Monday, November 23, 2009

"Katakan tidak kepada keganasan rumahtangga"

Oleh Sharifah Norhayati Syed Omar

(Ketua Unit PR dan Media WIRDA Selangor)


Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Kebajikan, Kebudayaan, Sains, Teknologi dan Inovasi Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil satu usaha murni dalam memperkenalkan One Stop Crisis Centre (OSCC) kepada masyarakat dalam usaha untuk mewujudkan satu masyarakat yang prihatin terhadap wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, seksual, liwat dan dera.


Kewujudan OSCC ini mewujudkan suasana yang selesa dan penghidupan yang lebih baik kepada wanita dan kanak-kanak. Mereka tidak keseorangan sebaliknya OSCC bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik jika mereka di dera oleh si pelaku keganasan yang durjana.


OSCC telah diperkenalkan sejak 1997 tetapi tidak digerakkan secara serius oleh kerajaan negeri yang memerintah sebelum ini. OSCC adalah satu pusat perkhimatan yang lengkap dan menyeluruh bagi membantu mangsa penderaan, perkosaan, liwat dan mangsa keganasan rumah tangga. Pusat ini ditubuhkan khas untuk merawat dan mengasingkan mangsa-mangsa tersebut serta di beri bantuan dari segi sokongan emosi dan kaunseling agar mereka tidak mengalami taruma yang serius.


Exco kerajaan Selangor Rodziah Ismail telah mula mengorak langkah untuk menyedarkan masyarakat bahawa terdapat satu pusat khidmat yang dapat membantu mangsa keganasan rumah tangga dan dera.


Pusat ini dikendalikan oleh secara bersama yang melibatkan beberapa agensi iaitu Hospital, polis, peguam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.


Keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perlu di tangani oleh setiap ahli dalam komuniti untuk melahirkan masyarakat penyayang yang memberikan saham besar dalam pembangunan negara yang lebih positif.


Ada tiga kaedah yang dikenal pasti untuk menangani keganasan rumah tangga dan gangguan seksual terhadap wanita di tempat kerja.

1) Memberi kefahaman dan kesedaran kepada wanita mengenai konsep keadilan dalam hubungan kekeluargaan.

2) Memberi kefahaman dan kesedaran wanita terhadap hak-hak mereka yang dilindungi oleh undang-undang.

3) Menyediakan tempat yang selamat untuk mendapat rawatan dan tempat yang selamat dimaksudkan ialah di OSCC.


OSCC telah lama ditubuhkan namun masih ramai tidak mengetahui kewujudan pusat ini dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai.


Objektif Kempen kesedaran "Katakan tidak kepada keganasan rumahtangga ialah:

1) Mewujudkan kesedaran dan peranan OSCC kepada masyarakat dalam membantu wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan.

2) Memupuk kesedaran wanita untuk memperkasakan minda yang merdeka dan menggilap jatidiri wanita yang bermaruah.

3) Memberi maklumat dan kefahaman yang sahih lagi benar mengenai isu-isu keganasan rumah tangga dan gangguan seksual ditempat kerja.

4) Memberi pendedahan dan kefahaman mengenai undang-undang yang dapat melindungi wanita dan kanak-kanak.


Dalam agenda merakyatkan ekonomi Selangor (MES) fasa 1, antaranya diperkasakan semula program OSCC dimana kempen ini akan dilaksanakan dalam bentuk jaringan dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO).


Kempen ini adalah untuk memberi kesedaran tentang keganasan terhadap kaum wanita dan kanak-kanak di samping memberi maklumat berkaitan undang-undang keluarga dan menghebahkan maklumat mengenai OSCC ini kepada orang ramai.


Program ini dijalankan dan dikendalikan oleh beberapa buah badan NGO yang terpilih antaranya WIRDA, dan pelaksanaannya mengikut Dun di seluruh Selangor.


OSCC diwujudkan di enam hospital di Selangor iaitu Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Tengku Puan Rahimah Klang dan Hospital Kajang.


Mangsa tidak perlu takut untuk ke OSCC untuk mendapatkan rawatan kerana pihak hospital menyediakan bilik khas yang terasing dari orang ramai. Maklumat mangsa juga dirahsiakan. Maruah mereka akan dijaga dan dipelihara. Mangsa juga tidak perlu untuk mengambil nombor sebaliknya akan terus dibawa ke bilik OSCC. Jururawat terlatih dan doktor akan memberikan bantuan yang segera kepada mangsa. Mangsa akan dilindung dari sebarang ancaman dari si pelaku dera.


http://wirdaselangor.wordpress.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...