Friday, July 18, 2008

Shabery gagal pertahan dasar kerajaan

KUALA LUMPUR, 18 Julai: Persepsi yang ada, Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek gagal dalam tugasnya mempertahankan dasar kerajaan dalam Debat antara beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim Selasa lepas.

Pungutan suara yang dibuat oleh pelbagai pihak menunjukkan Anwar jauh di depan berbanding dengan Shabery.

Bagaimanapun ini adalah persepsi sahaja kerana Debat itu bukan boleh dinilai menang atau kalahnya.

Debat bertajuk "Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" anjuran portal berita Agendadaily, yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini bermula pada 9 malam.

Ia disiarkan secara langsung melalui TV9, Astro Awani, Bernama TV dan juga beberapa laman web. TV3 pula menyiarkan secara siaran tertunda pada jam 11 malam.

Ia dipengerusikan oleh Datuk Johan Jaafar manakala dua penal dilantik oleh pendebat adalah Tan Sri Nordin Kardi, Naib Cancelor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dilantik Shabery dan Ketua Pengarang Eksekutif Siasah, Zulkifli Sulong yang dilantik Anwar.

Sebelum Debat, Shabery dalam laporan Bernama berkata, beliau akan menyerahkan kembali jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi jika kalah dalam Debat itu.

Selepas Debat, Shabery berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menilainya, termasuk sama ada beliau dikekalkan di dalam Kabinet.

Akhbar laman web Mstar.com.my yang dimiliki MCA melalui kumpulan akhbar The Starnya mendapati, 85.7 peratus memberikan undi kepada Anwar sebagai pemidato terbaik.

Shabery, Menteri Penerangan hanya diberi 7.7 peratus manakala sama-sama hebat 6.7 peratus.
Dalam pollnya, Mstar meletakkan tajuk pollnya, "Siapakah pemidato terbaik dalam debat bertajuk "Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak"?.

Seorang bekas profesor Universiti Malaya yang pernah menjadi pensyarah kepada Shabery semasa belajar di universiti itu pula memberikan Anwar 8 dari 10 markah manakala Shabery 6.5 dari 10 markah.

"Saya meletakkan kegagalan Shabery untuk mempertahankan dasar kerajaan di samping tindakan Shabery menyerang pribadi Anwar menyebabkan pencapaian beliau tidak baik dalam Debat ini," kata bekas profesor itu yang kini banyak terlibat dengan MIC.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...