Friday, July 31, 2009

Selangor ada 2893 peluang pekerjaan

SHAH ALAM, 31 Julai: Rakyat tempatan khususnya dari negeri Selangor yang masih menunggu peluang pekerjaan sudah tentu boleh bernafas lega kerana peluang-peluang pekerjaan sudah menunjuk peningkatan di Selangor.

Syarikat-syarikat swasta menawar 2893 pekerjaan daripada jawatan eksekutif hinggalah ke jawatan operator pengeluaran setakat hari ini di seluruh negeri Selangor.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Halimah Ali, Exco Pembangunan Sumber Manusia Selangor yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, beberapa syarikat besar yang bakal dibuka juga sedang dalam proses menemuduga bakal pekerja.

"Justeru, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan Kerajaan Negeri Selangor menyeru kepada semua pekerja yang telah diberhentikan majikan ekoran fenomena kemelesatan ekonomi global dan juga kepada graduan-graduan IPT serta lepasan sekolah tampil ke depan untuk mencari rezeki yang halal untuk menampung keperluan diri dan keluarga mereka.

"Maruah diri mereka sebagai orang mampu berdikari dan berwibawa disisi keluarga dan masyarakat lebih terjamin dengan adanya sumber rezeki yang lebih terjamin daripada sumber yang sah," katanya.

Sehubungan itu, mereka yang berminat diminta melayari aman web Kerajaan Negeri Selangor selain akan dipaparkan di papan tanda semua PBT dan pusat khidmat masyarakat ADUN dan MP Selangor.

Presiden PAS rakam takziah kepada keluarga Allahyarham Hamdan

KUALA LUMPUR, 31 Julai: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di atas pemergian ADUN Permatang Pasir, Datuk Hamdan Abdul Rahman ke rahmatullah pada pagi ini.

Pemergian beliau ini bukan sahaja dirasai oleh seluruh keluarga Allahyarham dan penduduk DUN Permatang Pasir, tetapi juga merupakan satu kehilangan besar kepada seluruh pendukung gerakan Islam, khasnya PAS, katanya.

Menurut beliau, Hamdan adalah seorang pejuang gigih yang telah lama berkhidmat kepada gerakan Islam dalam pelbagai peringkat kepemimpinan.

Selain pernah memimpin PAS Pulau Pinang selama 11 tahun, beliau turut aktif dalam beberapa gerakan dakwah termasuk ABIM pada 1970-an.

Beliau juga adalah merupakan aktivis sosial yang cemerlang sehingga diberi kepercayaan berada dalam pimpinan PEMADAM Pulau Pinang pada satu ketika dahulu.

Berkat komitmen berterusan ini, Allahyarham telah dipilih oleh rakyat Permatang Pasir untuk menjadi wakil rakyat sejak dari tahun 1999 lagi, katanya.

Menurut Abdul Hadi, Hamdan adalah seorang pemimpin yang tawaduk kerana tidak suka menonjolkan diri walaupun mempunyai latar belakang pendidikan yang baik.

Selain mempunyai kelulusan pendidikan Inggeris di peringkat Senior Cambridge, beliau juga adalah lulusan Rubu’ Thanawi dalam bidang agama serta beberapa kali mengikuti kursus dalam pengurusan kastam.

Sumbangan beliau juga sangat besar kepada negara kerana beliau pernah berkhidmat dalam Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, sebelum aktif dalam politik.

Dalam Majlis Ulang Tahun Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada minggu sudah, beliau telah dianugerah pingat Darjah Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk.

"Bagi pihak seluruh pimpinan dan ahli-ahli PAS, saya merakamkan jutaaan takziah dan berharap seluruh keluarga, sahabat handai dan penduduk Permatang Pasir dapat bersabar dengan ketentuan Ilahi ini.

"Saya berdoa semoga Allah SWT melimpahi rahmat ke atas roh beliau dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama-sama roh para solihin dengan izin Allah SWT, Insya Allah," katanya.

ISA: PAS tidak cabar sesiapa dan cuba elak bertembung

Oleh Hamdan MS

KUALA LUMPUR, 31 Julai: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mencabar mana-mana pihak untuk bersama menyertai perhimpunan mansuh ISA pada 1 Ogos esok.

Beliau ditemui ketika sidang media yang terakhir sebelum perarakan besar-besaran Gerakan Mansuhkan ISA di ibu pejabat PAS di sini berkata, pihak sudah merancang perhimpunan ini sejak sekian lama.

Menurut Salahuddin lagi, kenyataan oleh Timbalan Ketua Polis Negara berhubung dua pihak mencabar satu sama lain dan menyifatkan kedua kumpulan itu akan melakukan huru-hara pada perhimpunan itu adalah tidak benar sama sekali.

“Pihak kami sudah merancang perhimpunan ini sejak tahun lepas lagi, saya pun hairan mengapakah pihak lain tergesa-gesa untuk sama-sama berhimpun," jelas Salahuddin.

“Pihak PAS sudah merancang dan ahli kami seramai 50,000 orang akan hadir pada perhimpunan itu. PAS sudah jelaskan dari awal bahawa perhimpunan ini akan diadakan secara aman dan kami sudah pun memaklumkan pada pihak Polis,” terang beliau lagi.

Turut sama di sidang media itu ialah Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Nuridah Salleh dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad.

Perarakan 100 ribu rakyat bagi membantah ISA itu akan mula bergerak di tiga lokasi yang berbeza, bermula dari Masjid Negara, Sogo dan juga Masjid Jamek menuju ke Istana Negara.

Dijangka 100 ribu orang akan hadir di program tersebut yang akan disertai oleh ahli PAS, PKR dan DAP, para NGO serta mereka yang menentang ISA.

“Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terkenal dengan kezalimannya dan rakyat harus bangkit demi untuk generasi akan datang,” tambah Salahuddin lagi.
Sementara itu, Jamaah Islah Malaysia (Jim) mengarahkan semua ahlinya berhimpun di Kuala Lumpur esok.
Setiausaha Agungnya, Nahar Md Nor berkata, sudah 49 tahun ISA mengancam kebebasan rakyat negara ini. Sehubungan itu, beliau menyeru semua rakyat turun ke Kuala Lumpur esok.

Tiga pemimpin utama Pakatan ketuai Mansuh ISA esok

Oleh Hamdan MS

KUALA LUMPUR, 31 Julai: Tiga pemimpin utama Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang akan memimpin perhimpunan 100 ribu rakyat membantah ISA esok.

Ketiga-tiga mereka juga akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, di Istana Negara.

Bakal turut serta dalam perhimpunan ini adalah Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Bagaiamana pun, ia bergantung kepada kesihatan beliau.

Menurut komandan perhimpunan ini, Salahudin Ayub, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat akan turun beramai-ramai untuk menyertai himpunan bagi menentang akta Isa pada jam 2 petang Sabtu ini.

Ahli PAS, katanya, tidak harus merujuk mana-mana fatwa yang diumumkan oleh pihak kerajaan. “Ini adalah amanah bagi ahli PAS dan saya yakin ahli PAS adalah sangat setia kepada pemimpin,” tambah Salahuddin

Naib Presiden PAS itu menyeru rakyat Malaysia yang menentang kezaliman ISA supaya datang untuk memberi sokongan.

Sementara itu, Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) dan NGO lain turut sama berhimpun di Padang Merbok dan Pasar Seni pada 11 pagi untuk menyokong ISA.

Perkara ini telah di sahkan oleh Timbalan Pengerusi GMI yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Kamaruzaman Mohamad.

Takziah, PAS hilang seorang lagi Adunnya

KUALA LUMPUR, 31 Julai: PAS hilang seorang lagi pemimpinnya apabila satu-satunya Adun PAS di Pulau Pinang, iaitu Adun Permatang Pasir, Datuk Hamdan Abdul Rahman meninggal dunia pagi tadi.

(Ketika hayatnya, Datuk Hamdan sangat aktif...gambar beliau bersama Datuk Seri Wan Azizah)

Hamdan meninggal dunia di Institut Jantung Negara jam 6.15 pagi. Jenazah beliau dijangka akan dikebumikan petang ini di Pulau Pinang.
Allahyarham telah seminggu berada di IJN untuk menjalani rawatan susulan akibat kesakitan di bahagian jantung. Beliau telah menjalani pembedahan jantung pada tahun 2003 di Hospital Besar Pulau Pinang.
Allahyarham menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri selama 11 tahun setelah pemergian Haji Zabidi Ali penghujung tahun 1980 an.
Beliau seorang yang dedikasi dan merupakan pejuang yang sanggup berkorban apa sahaja termasuk harta benda kerana memartabatkan Islam, kata Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Salleh Man.

Dengan kematian Hamdan, bermakna SPR akan mengadakan satu pilihan raya kecil di situ dalam masa 60 hari dari sekarang.
Ini bermakna, pengundi di situ akan mengundi lagi selepas dua kali mengundi tahun lepas iaitu pilihan raya umum 2008 dan pilihan raya kecil Permatang Pauh.
Nasib mereka akan sama dengan jiran mereka iaitu penduduk Penanti yang terpaksa mengundi dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

Nama yang popular disebut untuk menggantikan beliau kini adalah Haji Mohamad Sabu, bekas naib presiden PAS dan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Salleh Man.

Wednesday, July 29, 2009

Perhimpunan 1 Ogos aman

BUKIT MERTAJAM, 30 Julai - Perhimpunan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang akan diadakan pada 1 Ogos ini adalah suatu perhimpunan aman yang tidak akan menimbulkan provokasi atau huru-hara oleh peserta perhimpunan kecuali jika ia ditimbulkan oleh pihak polis sendiri.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr.Mujahid Yusof berkata, rakyat perlu memberi sokongan kepada perhimpunan ini dengan turun beramai-ramai bagi membuktikan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) yang telah disalahgunakan untuk mempertahankan rejim pemerintah sudah tidak sesuai lagi untuk diguna pakai.

"ISA yang menahan seseorang tanpa bicara ini perlu dimansuhkan bukannya dipertahankan. Ramai di antara mereka yang tidak dibawa ke muka pengadilan atau mahkamah untuk dibicarakan. Ada antara mereka yang dipisahkan dengan anak dan isteri sehingga lapan tahun. Ini adalah satu akta zalim yang menganiayai rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah beliau di Taman Impian, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah.

Turut hadir dalam majlis anjuran PAS kawasan Bukit Mertajam itu ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Yusni Mat Piah dan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Kedah, Mohd Halizal Allias.

Bagi Mujahid, perbuatan memenjarakan rakyat tanpa bicara ini adalah bertentangan dengan prinsip keadilan dan hak asasi manusia.

Malah, katanya, ia juga jauh daripada dasar dan perjuangan yang dituntut oleh Islam.

Oleh kerana itulah maka PAS sedia untuk mengambil alih pemerintahan daripada Barisan Nasional dan Umno dalam pilihan raya umum yang akan datang bagi memberi keadilan kepada semua, katanya.

"Hanya dengan dasar dan perjuangan yang berlandaskan Islam sahaja dapat memberi keadilan kepada semua rakyat," tegas beliau.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada semua penyokong dan pendokong yang mahukan ISA dimansuhkan untuk turut serta beramai-ramai dalam perhimpunan GMI yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu, 1 Ogos ini.

Kit Siang: Adakah blog t4tbh dari SPRM?

KUALA LUMPUR, 30 Julai: Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini menimbulkan persoalan, apakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di belakang 'blog hitam' t4tbh.

Ini kerana, blog hitam ini kelihatan sedang membina jalan cerita bagaimana Teoh Beng Hock mati dan tulunjuk kini dihalakan kepada dua Exco kerajaan negeri Selangor dari DAP iaitu Ronie Liu dan Ean Yong Hian Wah.

Kedua-dua Exco itu, kata Lim dalam blognya, didakwa oleh blog hitam itu melakukan kegiatan yang korup berdasarkan penipuan, maklumat separuh benar dan dokumen yang direkacipta.
"Yang disyakki kini adalah SPRM atau pegawainya, yang bertujuan untuk mengalihkan rasa kemarahan rakyat berikutan kematian Teoh Beng Hock di bangunan SPRM 16 Julai lalu," tulis Lim Kit Siang.

Blog t4tbh mula dibuat selepas kematian Teoh. Ia mengandungi tuduhan-tuduhan kepada Ronie Liu dan Ean dengan mendakwa mereka berdua mencuri wang rakyat Selangor dan dimasukkan ke poket DAP.

Teoh dibunuh kononnya untuk menutup rahsia ini. Menurut posting terbaru t4tbh, dua pamimpin DAP (bukan Exco Selangor itu) disyaki sebagai pembunuh Teoh. Kedua-duanya pula, lapor blog itu enggan memberikan sempel DNA mereka kepada polis atas nasihat peguam mereka, Karpal Singh.
Blog itu mendakwa, polis telah memeriksa sampel DNA pada badan Teoh dan menemui berpuluh-puluh sampel.
Namun dua darinya tidak sepadan dengan sample DNA yang diambil dari para pegawai SPRM yang membuat siasatan terhadap Teoh.

Atas dasar itu, blog hitam ini membuat dakwaan, ia milik dua pegawai DAP ini.

Analogi yang blog ini buat adalah, dua pegawai DAP inilah yang memegang Teoh dan mencampaknya keluar dari tingkap.

Namun bagaimana mereka berdua boleh masuk ke bilik soalsiasat SPRM tidak pula dijelaskan blog ini. Ini kerana menurut laporan NST, polis mengesahkan Teoh terjatuh dari tingkap dalam bilik soalsiasat SPRM di tingkat 14 Plaza Masalam.

Pengesahan polis itu diperolehi berdasarkan satu kancing tingkap berada bersama mayat mendiang Teoh yang dipercayai tersangkut padanya semasa beliau jatuh dari situ. Kancing itu kemudiannya disahkan dari tingkap di bilik pada tingkat 14 itu.

Dun Terengganu bubar?

Khabar angin dan kekecohan yang diketahuinya berlaku dalam Umno Terengganu menggelisahkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin sehingga beliau meminta diselesaikan segera masalah meninggalkan parti para pemimpin BN ke dalam PKR.

Di Terengganu pula, Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Said tertekan dan sudah beberapa kali mengugut akan membubarkan Dun Terengganu jika terpaksa.

Laporan penuh Siasah Jumaat ini.

Inkues Teoh sambung 5 Ogos

SHAH ALAM, 29 Julai : Antara para saksi yang menunggu untuk dipanggil untuk inkues kematian Teoh Beng Hock di Mahkamah Shah Alam di sini, hari ini sebelum prosiding inkues bermula.
Inkues Teoh, 30, setiausaha politik seorang anggota exco kerajaan selangor yang ditemui mati selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 16 Julai lepas, bermula pagi tadi di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas.

Inkues yang bermula pada 9.20 pagi diadakan bagi mengetahui punca kematian Teoh yang dipercayai terjatuh dari bangunan menempatkan SPRM selepas dia dipanggil memberi keterangan dalam siasatan mengenai dakwaan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor.

Inkues itu kemudiannya ditangguhkan dan akan disambung balik 5 Ogos ini.

Siapakah di belakang blog t4tbh?

KUALA LUMPUR, 29 Julai: Sejak akhir-akhir ini hampir semua media yang dikira pro Umno membuat promosi besar-besaran terhadap laman blog yang diwujudkan khas selepas kematian Teoh Beng Hock.

Ekoran itu, ramai yang tertanya-tanya siapakah di belakang blog ini yang nampaknya secara tersusun cuba menjatuhkan beberapa Exco kerajaan negeri Selangor.

Usaha juga nampaknya dibuat dengan keras untuk menyebarkan kebencian di kalangan penyokong PAS dan PKR di Selangor terhadap Exco kerajaan negeri Selangor dari DAP.

Sedangkan di luar pula Umno secara yang bersungguh-sungguh (terhegeh-hegeh, tulis wartawan Utusan) mahu menarik PAS bersama mereka.

Menurut satu blog, penulis di belakang blog ini adalah bekas wartawan NST. Selain dalam t4tbh, akhbar Malay Mail adalah akhbar utama yang melaporkan tulisan yang hampir sama dengan laporan dalam t4tbh ini.

Hari ini pula andaian timbul kononnya penulis ini ada kaitan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini ekoran dari tersiarnya dalam blog itu kenyataan bahawa maklumat yang disiarkan dalam blog ini (t4tbh) adalah dari komputer peribadi Teoh Beng Hock.

"Hanya mereka yang akses kepada komputer ini sahaja yang boleh mengetahui kandungannya...dan mereka adalah para pegawai SPRM yang menyiasat Teoh," tulis satu blog.

Tuesday, July 28, 2009

Akhbar Utusan diserbu

KUALA LUMPUR, 29 Julai: Akhbar Utusan Malaysia hari ini diserbu oleh pelbagai pihak khasnya para penyokong Pakatan Rakyat yang selama ini memboikot akhbar milik Umno itu.

Turut diserbu adalah laman web utusan, namun apa yang mereka cari tidak ditemui kerana ia hanya disiarkan dalam akhbar utusan versi cetak sahaja.

(Utusan Online telah memasukkan juga permohonan maaf itu pada sebelah petangnya.)

Yang dicari adalah permohonan maaf Utusan kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang disiarkan di muka depan akhbar itu.

Ia disiarkan di penjuru kanan atas muka depan akhbar itu dengan tajuk "Permohonan Maaf".

Permohonan maaf itu dibuat ekoran laporan Utusan sebelum ini yang mendakwa Nik Aziz berkata, "Nasihat saya wajib didengar" menjelang muktamar PAS yang lalu.

Ekoran itu Nik Aziz memfailkan samannya terhadap akhbar itu.


PERMOHONAN MAAF

Utusan Malaysia memohon maaf kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat, Menteri Besar Kelantan di atas kesilapan laporan mengenai kenyataan beliau yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 15 Jun 2009.YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz sebenarnya bermaksud bahawa "nasihat beliau tidak semestinya didengar" ketika mengulas mengenai cadangan kerajaan perpaduan pada sidang media itu.Oleh itu, tajuk atas sebelah kiri, muka surat hadapan Utusan Malaysia pada 15 Jun 2009 iaitu Nasihat saya mesti didengar adalah salah serta bukan menggambarkan apa yang dimaksudkan oleh YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz pada sidang media itu.Begitu juga fakta berhubung perkara yang sama pada berita penuh mengenai kenyataan beliau itu pada muka surat 7, Utusan Malaysia keluaran 15 Jun 2009, adalah salah.Utusan Malaysia dengan ini menarik balik dengan sepenuhnya kesilapan tersebut dan secara tulus ikhlas memohon maaf kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu dan atas apa jua kedukaan atau pengaiban yang mungkin diakibatkan kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz daripada kesilapan tersebut.

Royalti Kelantan: Petronas tidak ada pilihan lain...

KOTA BHARU, 28 Julai: Selepas bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim pula berkata Kelantan berhak ke atas royalti minyak.

Kedua-dua mereka mengesahkan Petronas mesti membayar royalti minyak lima peratus itu kepada Kelantan kerana sememangnya itu perjanjian antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri termasuk Kelantan.

Razaleigh berkata, jika dia masih menjadi Pengerusi Petronas, dia akan membayar royalti itu tanpa berdolak daleh lagi.

Zaid pula berkata, tidak ada sebab untuk kerajaan pusat menolak tuntutan Kelantan itu kerana sememangnya itu yang tertera dalam perjanjian.

Ia ditandatangani Razaleigh selaku Pengerusi Petronas dengan Mohamad Nasir, Menteri Besar Kelantan ketika itu, kata Zaid.

Hari ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pihaknya akan terus memperjuangkan hak rakyat Kelantan itu.

"Tidak sebab kerajaan pusat tidak mahu memberikan royalti itu kepada Kelantan kerana minyak yang diambil itu dari perairan Kelantan," katanya.

"Kami akan berbincang, jika tidak boleh bincang kita akan bawa ke mahkamah, jika di sini tidak boleh ke mahkamah antarabangsa," kata beliau hari ini.

Sebelum ini, Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, kerajaan negeri telah menuntut royalti minyak bernilai RM1 bilion dari Petronas.

Pada 4 Ogos ini, 30 pemimpin termasuk wakil rakyat dan wartawan akan dibawa ke pelantar minyak terdekat untuk membuktikan pelantar itu berada dalam perairan Kelatan.

Umno tertekan isu kematian Teoh Beng Hock

PERMATANG PAUH, 28 Julai: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Umno yang cuba untuk mengaburi mata rakyat dengan mengalihkan isu penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kematian mendiang Teoh Beng Hock kepada isu penghurmatan terakhir yang diberikannya kepada mendiang baru-baru ini.

Menurut Anwar kepimpinan BN dan Umno sedar bahawa rakyat semakin marah kepada mereka kebelakangan ini.

Oleh kerana itu maka jalan untuk mengalihkan pandangan rakyat yang negatif terhadap mereka digunakan dengan pelbagai cara termasuklah memperalatkan media arus perdana untuk kepentingan politik mereka.

"Mereka daripada BN dan Umno ini menyedari bahawa rakyat semakin marah dengan isu kematian Teoh Beng Hock yang diragui cara kematian beliau. Mereka juga semakin gentar apabila bekas pemimpin yang pernah menerajui MCA seperti Datuk Chua Jui Meng dan Datuk SS Subramaniam yang pernah menerajui kepimpinan tertinggi MIC menyertai Pakatan Rakyat.

"Penyertaan kedua-dua tokoh ini bersama-sama dengan penyokong mereka memberi tamparan hebat kepada kepimpinan Barisan Nasional. Oleh kerana ini telah menjadi satu isu apabila rakyat melihat sokongan kepada Pakatan Rakyat semakin bertambah, maka mereka daripada BN ini akan menjadikan isu seperti tindakan saya memberi penghurmatan terakhir kepada mendiang Teoh Beng Hock sebagai modal politik murahan mereka yang terdesak," kata Anwar.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, rakyat juga marah dengan ISA yang masih lagi menjadi pautan penting BN dan Umno untuk mengekang kemaraan dan sokongan yang diterima oleh Pakatan Rakyat.

Oleh kerana itu maka rakyat disarankan supaya bersama-sama dalam Gerakan Mansuhkan ISA yang akan diadakan pada 1 Ogos yang akan datang.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah beliau di Kompleks Yayasan An-Nahdhoh, Kubang Semang, Permatang Pauh.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Chua Jui Meng, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dr. Mansor Othman dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.

Monday, July 27, 2009

MB Kelantan lancar padi organik

KOTA BHARU, 27 Julai: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melancarkan padi organik di Dun Salor, dekat sini baru-baru ini.

Turut serta di majlis itu adalah Adunnya yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Dalam ucapan pelancaran, beliau menyarankan agar zon organik di wujudkan di setiap DUN di negeri Kelantan, bahkan projek padi SRI organik ini diperluaskan ke zon tersebut.
Sunnah Tani dan Salorcare yang bertanggungjawab terhadap projek ini di Dun Salor, diminta oleh Nik Aziz agar berperanan juga untuk memastikan projek seumpama ini dilaksanakan di Dun-Dun lain di negeri ini.

Bersempena dengan pelancaran ini, Salor Mol iaitu ragi baja organik juga dilancarkan dengan harga promosi RM10 seliter.

Salor Mol ini dijamin berkualiti dan bermutu bahkan apa yang istimewa ia dibuat sendiri oleh PAK AEP yang merupakan perintis kepada SRI Organik di Indonesia.

Apa yang dimaksud dengan Padi Organik?

Menurut sebuah laman web dari Indonesia, padi organik adalah padi yang disahkan oleh sebuah badan independen, untuk ditanam dan diolah menurut standard ‘organik’ yang ditetapkan.

Walau tidak ada satu definisi pun untuk “organik”,kebanyakan definisi memiliki elemen umum. Misalnya,“organik” sebagaimana digunakan pada kebanyakan tanaman sawah yang umumnya berarti bahwa:

1. Tidak ada racun serangga dan baja dari bahan kimia sintetis atau buatan yang telah digunakan.

2. Kesuburan tanah dipelihara melalui proses “alami” seperti penanaman tumbuhan penutup dan/atau penggunaan baja kandang yang dikompos dan limbah tumbuhan.

3. Tanaman dirotasikan di sawah untuk menghindaripenanaman tanaman yang sama dari tahun ke tahun disawah yang sama.

4. Pergantian bentuk-bentuk bukan-kimia dari pengendalian hama digunakan untuk mengendalikan serangga, penyakit dan gulma – misalnya serangga yangbermanfaat untuk memangsa hama, jerami setengahbusuk untuk menekan gulma, dan lain-lain.
Mengapa padi organik?

Produk “organik” – terutama di pasar-pasar maju – biasanya menerima harga yang lebih tinggi. Produk organik juga sering dianggap sebagai memiliki manfaat kesehatan yang lebih besar.

Ini permainan Umno bukan saya, kata Nik Aziz

KOTA BHARU 27 Julai: "Ini permainan Umno," kata Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. "Apa yang saya minta adalah kerajaan negeri mengadakan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan."

Nik Aziz mengulas kenyataan para pemimpin Umno kononnya beliau berpatah balik dan merubah balik kenyataannya sebelum ini yang menentang gagasan kerjasama dengan Umno.

"Apa yang saya cadangkan adalah hubungan antara dua kerajaan atas dasar semangat persekutuan," katanya mengulas cadangannya semasa Fiesta Kelantan 2009 di Kuala Lumpur.

Apa yang dia minta, kata Nik Aziz adalah kerajan persekutuan menunaikan tanggungjawabnya dengan baik. Antaranya tuntutan royalti minyak dari Petronas, bayaran geran pembangunan yang sering diperlambatkan dan projek-projek pembangunan di Kelantan.

Ekoran kenyataan itu, para pemimpin Umno menyambut baik kenyataan Nik Aziz itu seolah-olah beliau sudah mau berbaik-baik dengan kerajaan pimpinan Umno.

Mereka juga membuat kenyataan agar Nik Aziz tidak menarik balik kenyataannya mau berbaik-baik ini.

"Ini bukan urusan parti. Saya tidak berminat untuk merapatkan hubungan kedua-dua parti. Ini hal berasingan," kata beliau.

Jika saya masih pengerusi Petronas, saya akan bayar

KUALA LUMPUR, 27 Julai - Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, jika beliau masih pengerusi badan itu pihaknya akan membayar tuntutan kerajaan negeri Kelantan.

"Jika saya masih Pengerusi Petronas, saya akan bayar tanpa dolak dalih lagi," kata Razaleigh dalam wawancaranya dengan laman web The Malaysian Insider.
Razaleigh mengulas tuntutan kerajaan negeri Kelantan terhadap Petronas agar membayar mereka RM1 bilion royalti ekoran pengesahan Jabatan Perangkaan Negara, banyak hasil minyak yang dikeluarkan dari perairan Kelantan.

Sebelum ini, Menteri Penerangan dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim menafikan Kelantan berhak mendapat royalti itu.

Menurut Razaleigh, berdasarkan dokumen perjanjian yang beliau tandatangani bagi pihak Petronas dengan negeri-negeri terbabit, Petronas akan membayar royalti lima peratus kepada kerajaan negeri dari hasil yang diambil dari punca hidrokarbon yang diambil dari atas bumi atau perairan negeri berkenaan.

"Jadi saya rasa, semuanya patut dibayar kerana saya yang tandatangani dokumen itu. Tidak ada cara lain lagi," kata Razaleigh sebagaimana yang disiarkan lama web berita itu.

Abdul Hadi saran Umno undur diri

KEPALA BATAS, 27 Julai: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyarankan kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno supaya segera mengundurkan diri dari persada politik negara.

Menurut beliau lagi, BN dan Umno sudah banyak membawa kemusnahan dan keruntuhan kepada rakyat negara ini melalui sistem amalan demokrasi yang zalim.

"BN dan Umno sepatutnya sudah mengundurkan diri sebagai pemerintah dalam negara ini. Ini adalah kerana selagi mereka memerintah negara maka amalan demokrasi yang mereka amalkan banyak menzalimi rakyat.

"Akta seperti ISA adalah satu sistem lapuk penjajah yang masih lagi diguna pakai walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan melebihi daripada 52 tahun.

Islam melarang penggunaan sistem zalim dan menganiayai rakyat yang diamalkan oleh BN dan Umno ini.Amalan memenjarakan rakyat tanpa bicara ini adalah satu sistem zalim yang menzalimi rakyat kerana tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya," kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah beliau di Kompleks Sukan Bertam, Kepala Batas, Seberang Perai Utara.

Bagi beliau, jika Umno tidak mahu berundur, Abdul Hadi menyarankan rakyat supaya mengundurkan BN dan Umno dengan tangan mereka melalui keputusan pilihan raya yang akan datang.

"Saya yakin dengan kuasa yang ada pada rakyat maka BN dan Umno ini dapat kita undurkan dari terus memerintah negara dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

"Hanya dengan mengundurkan mereka secara paksa oleh rakyat sahaja maka kestabilan politik, ekonomi dan sosial dapat dipulihkan kembali tanpa melalui proses-proses kezaliman, korupsi dan penganiayaan yang diamalkan oleh mereka," katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr P Ramasamy, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff dan Ketua Dewan Ulama PAS Pulau Pinang, Ustaz Soid Md Amin.

Tiga trak FRU halang ceramah ISA di Gua Perahu




PULAU PINANG, 27 Julai: Ceramah Mansuhkan ISA yang dijadualkan diadakan di Padang Awam, Taman Guar Perahu, Penanti, baru-baru ini telah dicemari dengan kehadiran tiga trak berwarna merah siap dengan anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) bagi menghalang ceramah yang telah diatur.

Segala persiapan yang telah diatur oleh Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang berjalan seperti yang direncanakan.

Namun begitu setelah sampai waktu untuk memulakan ceramah yang akan disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng maka pihak polis telah memulakan operasi mereka dengan membariskan anggota FRU siap dengan belantan bagi menghalang ceramah diteruskan.

Suasana hiruk-pikuk apabila tindakan pihak FRU itu menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan penduduk tempatan dan orang ramai yang telah membanjiri padang tersebut untuk mendengar ceramah sepertimana yang dijadualkan.

Walaupun cuba dibincangkan oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Yusni Mat Piah bersama dengan barisan kepimpinan PAS dengan pihak polis, polis tetap tidak membenarkan ceramah diadakan di situ.

Namun begitu ceramah dipindahkan ke kediaman salah seorang penyokong Pakatan Rakyat di kawasan perumahan yang sama tanpa kehadiran FRU.

Dalam ceramah beliau, Mohamad Sabu menegaskan bahawa tindakan pihak polis itu tidak mencerminkan sikap One Malaysia yang dilaung-laungkan oleh kepimpinan negara.

"Bentuk demokrasi bagaimana yang mereka amalkan sehingga menjadikan ceramah oleh Pakatan Rakyat dengan mudah dihalang dan disekat walaupun rakyat begitu ramai mahukan demokrasi diamalkan dengan cara telus.

"Ini melambangkan bahawa kepimpinan Barisan Nasional dalam negara ini tidak harus dibiarkan terus menguasai negara.

"Selagi mereka berkuasa maka akta zalim seperti ISA yang mereka amalkan selama ini akan disalahgunakan untuk memenuhi aspirasi politik parti mereka.

"Takut dengan kebangkitan rakyat maka Barisan Nasional akan terus menjadikan ISA sebagai senjata mereka untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat dipersada politik negara," katanya.

Friday, July 24, 2009

Kolumnis Siasah pentaskan teater di DBP

Kolumnis Siasah yang juga seorang dramatis, Faisal Tehrani, akan kembali dengan sebuah pementasan yang berjudul Kopitiam Ghadir ogos ini. Faisal sebelum ini menerima reviu yang baik dari pengulas dan pengkritik teater tanahair menerusi Dua Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun. SM Zakir di Majalah Pentas, Oktober-Disember 08 misalnya menamakan pementasan itu sebagai "monumental."

Berbeza dengan Dua Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun kali ini Faisal akan menggunakan elemen muzik untuk menyampaikan sebahagian besar naratif dramanya. Drama pentas satu jam lima belas minit tersebut akan menyertakan enam buah lagu tentang Rasulullah saw. Ia mengisahkan seorang ustaz pakar ilmu hadis tersesat ke sebuah kota terpencil dan kerana keletihan beliau telah menyinggah di sebuah kopitiam untuk bertanyakan arah jalan.

Beliau berkenalan dengan sekumpulan pemuda yang asyik menyanyikan pelbagai rentak lagu nasyid. Perbualan ala coffee talk antara pemuda-pemuda tersebut dengan ustaz berkenaan menjadi wacana mengenai umat Muslim, sambil diselitkan lagu-lagu berentak joget, inang dan keroncong mengenai perbahasan mereka. Penggubah lagu untuk pementasan Kopitiam Ghadir ini ialah Mohd Iswan Mohd Isa pelajar jurusan muzik di UITM Shah Alam.

Produksi Kopitiam Ghadir kini sedang giat menjalani latihan di tempat pementasan, iaitu Balai Budaya Tun Syed Nasir. Antara pelakon yang akan membintangi Kopitiam Ghadir ini ialah saudara Faizal Jin, saudara Amir Hamzah, saudara Hilmi bin Alham, dan saudara Faizal XOD.

Teater separa muzikal Kopitiam Ghadir ini bakal berlangsung antara 8 hingga 11 Ogos 2009 bermula pukul 9 malam di Dewan Bahasa dan Pustaka (Balai Budaya Tun Syed Nasir: bangunan lama DBP). Tiket-tiket dijual dengan harga RM10. Tempahan tiket boleh dibuat mulai sekarang melalui pengurus produksi Luqman Hisyam di nombor 012-2335263.

Thursday, July 23, 2009

Harun nafi kenyataan ditujukan kepada Nizar

KUALA TERENGGANU, 23 Julai: Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib menafikan kenyataannya ditujukan kepada mana-mana pihak atau peristiwa ketika mengulas mengenai pemasangan lilin.

Beliau mendakwa hanya memberikan panduan secara umum berdasarkan hadis Rasulullah saw.

Harun mengulas laporan sebuah media hari ini yang mendakwa beliau mempertikaikan tindakan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin memegang lilin di majlis yang tidak jelas berunsur agama atau tidak bagi memperinghati kematian Teoh Beng Hock di Ipoh.

Dalam laporan itu, Harun dikatakan berkata, Nizar tidak sepatutnya hadir di majlis itu kerana ia majlis yang meragukan samada ia upacara agama atau tidak.

Ekoran laporan kenyataan Harun itu, pelbagai pihak bingung dan tidak jelas sikap PAS kerana Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Husam Musa menyokong kehadiran Nizar itu.

Media berkenaan jelas dilihat cuba melagakan antara Husam dengan beliau.

Razaleigh sertai PKR?

KUALA LUMPUR, 23 Julai: Walaupun menafikan beliau akan menyertai PKR selepas dijemput secara terbuka oleh Datuk Zaid Ibrahim, Tengku Razaleigh Hamzah dipercayai mempertimbangkannya dengan saksama.

Bahkan, desas-desus yang mengatakan beliau akan menuruti jejak Datuk Chua Jui Meng yang menyertai PKR selepas menafikannya, kini bertiup kencang dan tidak ditolak oleh rakannya, Ustaz Ibrahim Azmi.

Laporan penuh Siasah Jumaat ini.

Wednesday, July 22, 2009

Buktikan gas dalam Kelantan: Anggota Parlimen lawat pelantar

KOTA BHARU, 23 Julai: 30 orang yang terdiri dari anggota Parlimen dan Adun di samping para wartawan dan pemimpin masyarakat akan dibawa melawat pelantar minyak dan gas yang dikatakan berada di perairan Kelantan 4 Ogos ini.

Turut dipelawa menyertai rombongan itu adalah Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapha Mohamad dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin Abu Bakar.

Menurut maklumat Siasah, rombongan itu dianjurkan oleh kerajaan negeri Kelantan melalui exconya, Datuk Husam Musa.

Husam ketika dihubungi Siasah berkata, tujuan lawatan ini adalah untuk membuktikan bahawa ada pengeluaran gas dan minyak berlaku di kawasan pertindahan antara Kelantan dengan Thailand.

Mereka dijangka akan menaiki sebuah kapal nelayan laut dalam dan bakal mengharungi laut China Selatan selama 12 jam sebelum sampai ke pelantar minyak itu.

Lawatan ini bertujuan untuk melihat sendiri apa yang didakwa oleh Husam sebelum ini bahawa Petronas mengeluarkan minyak dari perairan Kelantan.

Oleh itu, sebagaimana Terengganu dan Sabah, kerajaan negeri Kelantan juga berhak mendapatkan royalti sebanyak lima peratus dari Petronas.

Sebelum ini, kerajaan negeri Kelantan telah menghantar surat kepada Petronas dan kerajaan Pusat menuntut royalti RM1 bilion yang menjadi hak rakyat negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin dalam kenyataannya meminta Petronas menjawab isu ini dalam masa 48 jam namun sehingga kini tidak ada sebarang kenyataan dari Petronas mengenainya.

Himpunan ISA 1 Ogos: Pertembungan dua idea

KUALA LUMPUR, 23 Julai: Setiap orang mempunyai hak untuk berhimpun dan bercakap, demikian ujar Pengurus Kempen Himpunan Mansuhkan ISA (Mansuh), Nalini Elumalai.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertembungan yang bakal terjadi pada 1 Ogos depan antara himpunan anjuran Mansuh dan Pewaris.

Mansuh berhimpun untuk menyerahkan memorandum kepada Istana Negara dalam usaha memansuhkan ISA sedangkan Pewaris pula berbuat demikian dalam usaha menyokong akta
tersebut.

Nalini menyifatkan dua himpunan yang mengadakannya pada masa sama sebagai pertembungan dua idea berbeza dan mereka berhak untuk berhimpun dan menyuarakan
pandangan.

“Saya anggap ini adalah pertemuan antara dua idea yang berbeza. Kita akan melihat sendiri idea yang lemah dan tidak berpihak kepada majoriti rakyat akan gugur secara sendiri,” tegasnya dengan yakin.

Ditanya tentang tahap kesedaran rakyat, Nalini menambah, jika dari segi hak asasi secara umum, ada berlaku perkembangan namun banyak yang masih perlu dilakukan dalam
usaha sedarkan rakyat tentang hak mereka.

“Dari segi ISA, banyak perubahan. Kalau dulu tahun 1987 semasa operasi lalang, hanya segelintir sahaja yang bercakap dan perjuangkan untuk memansuhkannya, tapi sekarang
ini banyak perubahan dari segi pemikiran rakyat terhadap ISA.

“Ramai rakyat tidak menyokong ISA lagi. itu adalah kebenarannya. ini boleh dapat dilihat dalam pilihan raya yang lepas,” tambahnya lagi.

Beliau berharap kebenaran dapat diterjemahkan dengan kumpulan Mansuh akan menjadi lebih ramai pada 1 Ogos nanti.

“Harapan saya kini rakyat Malaysia sudah berubah dan mereka tidak boleh ditipu lagi. Saya sentiasa percaya kepada rakyat dalam hal ini. Mereka tidak akan membenarkan diri mereka ditipu sekali lagi,” ujarnya.

Suruhanjaya diraja: Pakatan kaji anggotanya

KUALA LUMPUR, 22 Julai: PAS dan Pakatan Rakyat pada dasarnya menerima pembentukan suruhanjaya diraja menyiasat kematian Teoh Beng Hock tetapi akan meneliti anggota badan ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Pakatan Rakyat dalam mesyuarat mereka sebelum ini telah mencapai kata sepakat tentang keperluan penubuhan suruhanjaya ini.

"Sekarang kita akan meneliti samada anggota suruhanjaya ini dilantik di kalangan mereka yang sesuai untuk menjalankan tugas ini," kata beliau kepada Siasah.

Rabu lepas, dalam mesyuarat mingguannya, Kabinet Malaysia telah meluluskan pembentukan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Teoh.

Turut diluluskan adalah pembentukan satu inkues (siasatan awam) untuk menyiasat punca kematian itu.

Teoh Beng Hock ditemui meninggal dunia di atas bumbung sebuah bangunan lima tingkap di sebelah Plaza Masalam yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam.

Siasatan awal polis mendapati beliau terjatuh dari sebuah tingkap bilik soalsiasat SPRM di tingkat 14 bangunan tersebut.

Teoh sehari sebelum itu dipanggil untuk memberikan keterangan dalam satu siasatan yang dibuat oleh SPRM terhadap bos beliau iaitu Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Kabinet lulus Suruhanjaya Diraja untuk Beng Hock

PUTRAJAYA, 22 Julai: Selepas menerima tekanan pelbagai pihak, Kabinet dalam mesyuarat hari ini bersetuju menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

Kabinet juga bersetuju mengadakan inkues untuk mengkaji punca kematiannya di sebelah bangunan yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shah Alam.

Tuesday, July 21, 2009

Penghormatan terakhir untuk Teoh



MELAKA, 21 Julai: Para pemimpin Pakatan Rakyat bersama rakyat memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Teoh Beng Huat yang meninggal dunia di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub mengetuai pimpinan PAS yang bergegas ke Melaka selepas retreat PAS di Alor Setar yang tamat petang Ahad lepas.

Selain beliau, turut serta Pesuruhjaya PAS Melaka, Abdul Ghani Rahman, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan dan Zulkifli Mohd Omar. Turut serta Mohamad Sabu, AJK PAS Pusat.

Di samping itu, para Exco negeri Selangor turut serta bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Teoh. Antaranya Dr Halimah Ali.

Lebih kurang 2,000 orang berhimpun untuk menghadiri pengkebumian Teoh Beng Hock di Alor Gajah, Melaka.

Upacara bermula jam 9.45 pagi semalam dan keranda mendiang Teoh dibawa dari rumahnya di Taman Sri Kelamak kira-kira jam 11 pagi, untuk dikebumikan di taman peringatan Nirvana di Semenyih.

Monday, July 20, 2009

PAS sokong penuh tubuh suruhanjaya bebas

ALOR SETAR, 21 Julai - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS menyokong penuh supaya sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan segera bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada exco kerajaan negeri Selangor, baru-baru ini.

Menurut beliau lagi PAS juga telah sepakat bersama-sama dengan Pakatan Rakyat supaya suruhanjaya bebas yang ditubuhkan ini akan menjalankan siasatan dengan telus dan berwibawa bagi mencari punca sebenar kematian Teoh.

"Apabila siasatan ini dijalankan kita mahu supaya ia dijalankan dengan teliti dan adil. Keadilan sebenarnya adalah untuk semua rakyat. Kemungkinan dengan penyiasatan bebas oleh suruhanjaya yang dibentuk ini ia akan mencari punca kelemahan-kelemahan dalam jentera kerajaan yang perlu disiasat dengan teliti."

Dalam isu Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA), Abdul Hadi tidak bersetuju dengan pandangan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang mahukan ISA dikaji semula.
"ISA perlu dimansuhkan bukan dikaji semula.Ia adalah undang-undang yang aktanya pada zaman penjajahan Inggeris. Sepatutnya kerajaan perlu memerdekakan undang-undang negara. Ia sepatutnya bersikap bebas dan tidak membelenggu kezaliman serta mengongkong rakyat.
"Kita boleh bertindak untuk keselamatan negara. Cumanya undang-undang ISA ini adalah undang-undang yang sudah lapuk. Yang diperlukan ialah undang-undang yang tidak menzalimi rakyat serta dapat menjaga keamanan dan keselamatan negara.

"Tapi apa yang ada sekarang ialah undang-undang yang menjaga keamanan parti dan pemimpin-pemimpin parti yang memerintah.Ini bukan undang-undang keselamatan negara."
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program retreat (pemukiman) PAS di sebuah di sebuah hotel dekat sini.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Teoh Beng Hock: SPRM bertanggungjawab penuh

PULAU PINANG , 20 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus bertanggungjawab sepenuhnya diatas kematian yang berlaku terhadap Teoh Beng Hock yang merupakan Setiausaha Politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hean Wah.

Demikian dinyatakan oleh Misbahul Munir Masduki, Setiausaha PAS Perak semasa ditemui dalam satu majlis ceramah anjuran Lajnah Penerangan PAS Pulau Pinang.

Menurut beliau lagi kematian yang penuh dengan misteri itu harus disiasat dengan telus dan teliti bagi meyakinkan masyarakat bahawa pengawalan dan pengawasan dalam SPRM adalah terkawal dan tidak menjadi satu yang menakutkan.

"Sebagai sebuah badan yang mengakui bahawa mereka mempunyai profesionalisma dan kepakaran maka insiden seumpama ini menjadi sandaran dan alasan kepada masyarakat melihat sejauh mana kemampuan SPRM sebagai sebuah badan bebas yang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan profesional dan bebas.

"Sekiranya berada dalam kawalan dan pengawasan SPRM maka perkara sebegini boleh terjadi sudah pasti imej dan maruah badan tersebut tercalar dengan begitu serius sekali.

"Masyarakat memandang organisasi ini sebagai satu badan yang tidak melaksanakan ketelusan dan sebaliknya bertindak sebagai penguatkuasa tersendiri.Ini sudah pasti membahayakan," katanya.
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Pulau Pinang, Yusmadi Yusof juga mempunyai pandangan yang sama.

Yusmadi menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) patut bertanggungjawab di atas insiden tersebut. "Oleh kerana Teoh berada dalam pengawasan dan
kawalan SPRM ketika kejadian maka mereka harus bertanggungjawab dengan sepenuhnya di atas kejadian tersebut," tegas beliau.

Yusmadi berkata demikian selepas merasmikan konvensyen Angkatan Muda Keadilan cabang
Permatang Pauh di Yayasan Aman, Penanti, Permatang Pauh.

Lebih 5,000 polis bertugas di Manek Urai

KUALA KRAI, 20 Julai: 5,000 tilam yang telah digunakan anggota polis sepanjang pilihan raya kecil Manek Urai akan dilelong, lapor media hari ini.

Tilam itu akan dilelong oleh Mad Global Resources Sdn Bhd pembekal tilam itu.

Dengan pengumuman ini semacam polis membuat pengakuan sekurang-kurangnya 5,000 anggotanya bertugas di Manek Urai baru-baru ini.

Ia tidak termasuk polis yang ditempatkan di rumah-rumah yang mereka sewa di kawasan pilihan raya itu di samping mereka yang ditempatkan di balai-balai polis sekitarnya.

Juga tidak termasuk anggota polis yang bertugas di kawasan berdekatan yang diarahkan bertugas di Manek Urai sepanjang pilihan raya ini.

Sunday, July 19, 2009

Penyertaan Chua ke dalam PKR kuatkan sistem dua parti

KUALA LUMPUR, 19 Julai: Penyertaan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng menyemarakkan lagi perjuangan untuk mewujudkan sistem dua parti di negara ini.

Ini kerana, dengan cara ini sahaja, rakyat negara ini mempunyai pilihan yang baik apabila mana-mana parti pemerintah tidak bertindak secara pro rakyat.

Semalam, ketika membuat pengumuman menyertai PKR, Chua berkata, beliau berbuat demikian untuk memperkuatkan sistem dua parti berjalan baik di negara ini.

Bagi beliau, Umno adalah pemangsa utama kepada sistem dua parti ini.

Chua bersama Senator David Yeoh dan bekas anggota Parlimen Lumut menyertai PKR semalam.

"Kematian misteri Teoh Beng Hock menjadi pendorong penting kepada tindakan ini," kata beliau.

Saturday, July 18, 2009

SAIF terbakar,0.5 juta ditaksir rugi

JERAI, Kedah, 18 Julai- Sekolah Integrasi Faizin (SAIF) Guar Chempedak, dekat sini terbakar jam 10.00 pagi tadi (17 Julai) menyebabkan kerugian anggaran pihak bomba sebanyak RM550,000.

Menurut Pengerusi Lembaga Tadbir SAIF, Ustaz Mussodak Haji Ahmad, kebakaran itu telah mengakibatkan pejabat pentadbiran sekolah, bilik lembaga tadbir, bilik mudir, bilik guru, perpustakaan dan dua buah bilik darjah musnah.

Turut terlibat adalah 11 unit komputer termasuk dua unit komputer pentadbiran sekolah dan guru, 1 unit mesin fotostat yang baru dibeli, peralatan perabot antaranya meja mudir, meja kerani dan kaunter serta beberapa buah almari, 65 unit meja dan kerusi murid.

Pihak Bomba dari Guar Chempedak dan bomba sukarela termasuk dari Bukit Pinang tiba bagi membantu usaha memadam kebakaran dan berjayakan selamatkan bangunan surau serta asrama pelajar yang berada bersebelahan.

Menyedari kepulan asap yang tebal di bilik darjah selepas diberitahu pelajar, Musoddak yang berada di pejabat bergegas ke tempat tersebut dan mendapati api telah marak.

Katanya, pihak Lembaga tadbir mengadakan mesyuarat tergempat jam 1.00 petang tadi dan memutuskan memberi cuti kepada semua pelajar sehingga 27 Julai ini.

Dalam pada itu, ujarnya, bagi menggantikan dua buah bilik darjah yang musnah pihak sekolah akan memasang khemah sebagai bilik darjah sementara.

Sehubungan itu, tambahnya, pejabat sementara sekolah akan ditempat di tingkat bawah bangunan Tabung Haji yang bersebelahan dengan sekolah.

SAIF adalah di bawah pentadbiran Muassah Darul Ulum dan diuruskan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah yang memulakan sesi persekolahannya pada 1 Januari 2006.

Sekolah ini ditubuhkan hasil daripada penggembelingan tenaga pemuda, masyarakat setempat, intelektual yang inginkan penggabungan atau kesepaduan pendidikan agama, sains, tahfiz dan teknik pembelajaran dan pengajaran terarah.

Kini mempunyai 217 pelajar terdiri dari 145 putera dan 72 puteri dari tahun satu hingga empat sementara bilangan guru pula seramai 17 orang dan 8 staf.

Musoddak berkata, bagi mereka yang ingin menyumbang boleh salurkan melalui akaun Bank Islam : Tabung Pembangunan SAIF no. akaun 02084010028830.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut sila hubungi beliau di talian 012-4827563 atau Setiausaha Lembaga Tadbir sekolah, Ustaz Mohamad Ismail (019- 4227323).

Friday, July 17, 2009

Lebih 5,000 polis bertugas di Manek Urai

KUALA KRAI, 20 Julai: 5,000 tilam yang telah digunakan anggota polis sepanjang pilihan raya kecil Manek Urai akan dilelong, lapor media hari ini.

Tilam itu akan dilelong oleh Mad Global Resources Sdn Bhd pembekal tilam itu.

Dengan pengumuman ini semacam polis membuat pengakuan sekurang-kurangnya 5,000 anggotanya bertugas di Manek Urai baru-baru ini.

Ia tidak termasuk polis yang ditempatkan di rumah-rumah yang mereka sewa di kawasan pilihan raya itu di samping mereka yang ditempatkan di balai-balai polis sekitarnya.

Juga tidak termasuk anggota polis yang bertugas di kawasan berdekatan yang diarahkan bertugas di Manek Urai sepanjang pilihan raya ini.

Gan mengadu dipukul polis

SHAH ALAM, 17 Julai: Adun Rawang, Gan Pei Nei yang menjadi salah seorang mangsa pukulan pihak polis pagi tadi di Bangunan Masalam berkata, keputusan untuk tindakan seterusnya akan diambil selepas perbincangan dengan pihak peguam di Bangunan SUK, petang ini.

Beliau yang bercakap dengan Siasah berkata, beliau dan rakan-rakan yang lain baharu sahaja pulang dari hospital di Kelang untuk menjalani pemeriksaan ekoran pukulan terbabit menyebabkan benjolan di kepalanya.

Untuk pengetahuan, Gan merupakan wakil rakyat wanita yang sepatutnya menerima wartawan Siasah dalam satu tembubicara berbentuk focus untuk bulan Ogos namun terpaksa membatalkannya ekoran kejadian berkenaan.

“Kami pun hairan kenapa pula kami yang dipukul polis sedangkan kita hanya berkumpul secara aman di Bangunan Masalam dan hanya cakap-cakap sedikit sahaja,” terangnya kepada Siasah baru sebentar sebelum ini.

Menurutnya, antara yang turut menjadi mangsa adalah Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong dan ramai lagi ditangkap termasuk Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Kapar, Manikavasagam.

Mereka berkumpul di hadapan Bangunan Masalam dekat sini bagi menyatakan sokongan dan simpati serta memohon satu siasatan terperinci dilakukan oleh pihak polis terhadap bagaimana bentuk penyiasatan pihak SPRM sehingga berakhir dengan kematian mangsa.

Gan berkata, keadaan di Masalam kini aman dan orang ramai kelihatan berhimpun di hadapan Balai Polis Shah Alam bagi menyuarakan sokongan kepada rakan-rakan mereka yang masih belum dibebaskan ketika berita ini ditulis.

Pada jam 1.30 petang semalam, pembantu Exco Selangor, Teoh Beng Hock, 30, ditemui meninggal selepas dikatakan jatuh di Bangunan Masalam selepas selesai siasatan oleh SPRM pada jam 3.45 pagi sebelum itu.

Ekoran itu, Kerajaan Selangor menyifatkan kematian Teoh sebagai satu tragedi yang amat menyedihkan dan Menteri Besar mengucapkan takziah kepada keluarga Teoh ekoran kehilangan orang yang tersayang yang sepatutnya mendapatkan perkahwinannya pada hari ini.

Pakatan Rakyat menggesa pihak kerajaan mewujudkan satu Jawatankuasa Diraja untuk menyiasat secara khas dan terperinci bagaimana kejadian itu berlaku dan boleh berakhir dengan satu kematian yang amat menyedihkan.

Pegawai SPRM Selangor tutup mulut

SHAH ALAM, 17 Julai: Para pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor tidak mahu membuat sebarang penjelasan mengenai kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock atas arahan pihak atasan.

Usaha para pimpinan Pakatan Rakyat bertemu dengan mereka di Tingkat 14, Plaza Masalam tidak mendatangkan sebarang hasil kerana mereka diarahkan tutup mulut.

Demikian beritahu Dr Hatta Ramli, Bendahari PAS Pusat yang menyertai Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Lim Kit Siang ke pejabat SPRM Selangor pagi tadi.

Mereka berempat telah dibenarkan oleh polis dan SPRM untuk naik ke pejabat SPRM di tingkat 14 dan mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan SPRM namun tidak mendapat sebarang hasil kerana mereka tidak boleh membuat sebarang kenyataan.

Para pemimpin PAS, DAP dan PKR memenuhi perkarangan Plaza Masalam sejak semalam sebaik sahaja tersebarnya berita kematian Teoh.

Pakatan tuntutan Suruhanjaya Diraja

SHAH ALAM, 17 Julai: Kerajaan didesak menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock semalam di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Desakan itu datang serentak dengan kedatangan berpusu-pusu para pemimpin dan orang ramai ke kawasan kejadian itu di Plaza Masalam, Shah Alam.

Cubaan polis untuk menyekat mereka gagal bahkan polis diboo oleh mereka.

Beberapa orang pemimpin Pakatan telah ditangkap polis di samping beberapa orang yang turut diseret dengan kasar di depan wartawan dan jurugambar.

Teoh, 30, SU Politik kepada Ean Yong Hian Wah Exco kerajaan Selangor dari DAP, mati selepas jatuh dari pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan itu ke bumbung sebuah bangunan lima tingkat di sebelahnya.

Beliau yang sepatutnya mendaftarkan perkahwinan hari ini dibawa ke pejabat SPRM dua hari lepas dari bangunan SUK Selangor untuk siasat SPRM.

SPRM berkata, dia mula disoal siasat jam 5.30 petang sehinggalah ke 3.45 paginya.

Teoh didapati jatuh dari plaza itu jam 1.30 petang semalam dan mati di tempat kejadian.

Kerajaan Selangor anggap kematian Teoh sebagai tragedi

SHAH ALAM, 17 Julai: Kerajaan Negeri Selangor menyifatkan kematian Setiausaha Politik Exco kerajaan negeri, Teoh Beng Hock sebagai satu tragedi yang amat menyedihkan dan merasai sama kesedihan dengan apa yang ditanggung oleh seluruh anggota keluarga terlibat.

Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian di dalam sidang akhbar tergempar yang diadakan di Bangunan Annex berhampiran Bangunan SUK, dekat sini sekitar jam 8.15 malam malam tadi.

Kebanyakan exco turut serta di dalam sidang media itu yang dihadiri oleh ramai wakil media tempatan meskipun dimaklumkan di dalam masa terdekat.

“Bagi menghormati perasaan kaum keluarga yang sedang bersedih, kita menunggu laporan lanjut dan lengkap dari pihak polis dan patologi; kita tidak mahu mendahului pihak berkaitan termasuk keluarga mereka di dalam memberikan kenyataan.

“Esok sekali lagi Exco Kerajaan Selangor, Teresa Koh akan mengadakan sidang akhbar bersama-sama dengan beberapa orang lagi yang disoal-siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor (SPRM) dan bagaimana siasatan itu berlaku,” tegas Tan Sri Khalid lagi.

Untuk rekod, selepas pejabat exco berkenaan, Ean Yong Hian Wah, diserbu oleh pegawai SPRM, Teoh telah diminta ke pejabat SPRM dan beliau memandu sendiri ke pejabat itu yang terletak di Wisma Masalam di sini.

Menurut Khalid lagi, beliau dimaklumkan, Teoh dibebaskan pada jam 3.45 pagi dan berada di sekitar pejabat SPRM itu sehingga pagi, namun dimaklumkan kematiannya oleh seorang petugas di bangunan itu pada jam 1.30 petang semalam.

Di dalam sidang media itu, tidak dimaklumkan tentang punca kematian Teoh ekoran penyelidikan sedang dilakukan dan esok akan dikeluarkan laporan lengkap mengenainya.

Di dalam hal ini, Khalid berkata beliau mendapat jaminan dari Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Khalid Abu Bakar mengenai penyiasatan terperinci akan dilakukan ke atas kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ean ketika bercakap kepada wartawan berkata, beliau sangat sedih dan kesal dengan apa yang telah berlaku ke atas pegawainya dan meminta SPRM bertanggungjawab sepenuhnya di atas kejadian itu.

“Beliau akan mendaftar perkahwinannya pada esok hari (hari ini),” jelas Ean di dalam sidang sama sambil menjelaskan Teoh adalah bekas wartawan Sin Chew Jit Poh dan berasal dari Alor Gajah, Melaka.

Thursday, July 16, 2009

SU Politik Exco mati di pejabat SPRM

SHAH ALAM, 16 Julai - Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock meninggal dunia di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang ini.

Tidak diketahui bagaiaman beliau mati samada terjatuh atau terjun dari bangunan MACC itu.

Teoh, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, Adun Seri Kembangan dan juga Exco Selangor, diambil dari pejabatnya di bangunan SUK Selangor dalam serbuan yang dibuat oleh SPRM ke pejabat Ean semalam.

Ketika berita ini ditulis, Ean dan beberapa pemimpin kanan DAP berada di bangunan pejabat SPRM.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam respon segeranya mempersoalkan, "Adakah ini kes pertama kematian dalam tahanan SPRM, jumlahnya akan bertambah."

Wednesday, July 15, 2009

Kedah dapat pelaburan RM35.7 bilion

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Kedah bakal pesat membangun selepas ini apabila menerima projek hub penapisan minyak terbesar di negara ini yang bernilai RM35.7 bilion.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak menyaksikan pelancaran projek itu melalui majlis menandatangani perjanjian antara Merapoh Resources Corporation dengan para pelabur mereka.

Merapoh oil refinery di Yan, Kedah yang bernilai US$10 billion (RM35.7 billion) akan mempunyai kapasiti penapisan sebanyak 350,000 tong minyak sehari, sekali ganda kemampuan kilang yang kedua terbesar di Malaysia iaitu di Melaka.

Kilang ini akan dibangunkan oleh Merapoh Resources Corporation dan dananya akan disokong oleh pelabur antarabangsa.

Kilang ini akan menapis minyak mentah dari Timur Tengah untuk diekspot kemudiannya ke China.

Azizan berkata, kerajaan negeri menjangka, pelaburan untuk industri minyak dan gas akan bernilai RM80 bilion di masa depan dengan terbinanya hub ini.

Khir Toyo gemparkan Dun Selangor?

SHAH ALAM, 15 Julai: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo membuat kegemparan besar dalam Dewan Undangan Negeri Selangor pagi tadi apabila dia bersama 19 Adun BN lagi keluar meninggalkan dewan.

Gempar ke? Tetapi itulah yang dijanjikan oleh beliau semalam iaitu akan membuat satu kegemparan hari ini.

Dun Selangor, melalui Selcat, telah membentangkan usul untuk mengantung Khir selama setahun dan empat lagi Adun BN enam bulan.

Laporan penuh Siasah Jumaat ini.

100 hari Najib bawa bala kepada dua karyawan NTV 7

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Nampaknya tidak semua mendapat hadiah sempena 100 hari Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri. Dua karwayan NTV 7 misalnya mendapat bala sempena 100 hari Najib.

Ketua Pengarang Meja Berita NTV7, Mohd Mohsin Abdullah, selepas 100 hari Najib kehilangan pekerjaannya.

Beliau ditamatkan perkhidmatan di situ mulai 1 Julai lalu. Sebabnya, dia dikira penyokong Datuk Seri Abdullah Badawi kerana beliau memasuki NTV 7 atas cadangan Datuk Kamaruzaman Zainal, bekas Pengarah Hal Ehwal Semasa TV3, orang Abdullah.

Selain Mohsin, turut mendapat bala sempena 100 hari Najib adalah Penolong Editor Tugasan NTV 7, Florence Looi, yang juga rakan Mohsin.

Laporan penuh dalam Siasah Jumaat ini.

Tuesday, July 14, 2009

Kemenangan tipis satu peringatan untuk Pakatan

MANEK URAI, 14 Julai: Kemenangan tipis PAS kali ini dilihat sebagai satu peringatan kepada Pakatan Rakyat dan PAS agar sedar segera.

"Kami mahu pemimpin Pakatan sedar, kami orang bawah ini tidak mahu melihat pemimpin bergaduh dalam media dan memberikan persepsi negatif kepada umum," kata seorang ahli PAS dari Kemaman.

Sejak kebelakangan ini, tanpa mengambil kira parti mereka sedang bertanding dalam pilihan raya kecil Manek Urai, para pemimpin Pakatan saling serang menyerang antara mereka di depan umum.

DAP Kedah membuat kenyataan menarik diri dari kerajaan Pakatan di negeri itu manakala di Selangor Pemimpin PKR, Azmin Ali mempertikaikan Exco kerajaan negeri Selangor.

Anggota Parlimen PKR Wangsa Maju, Wee Choo Keong pula mendakwa seorang Exco Selangor berurusan dengan kumpulan kongsi gelap di pejabatnya.

Ekoran itu, cabar mencabar dan ugut mengugut berlaku.

Bagi menanganinya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mencadangkan agar Pakatan Rakyat menubuhkan Jawatankuasa Disiplin untuk menjaga tatatertib pemimpin mereka.

Retreat pimpinan PAS Sabtu dan Ahad ini di Alor Setar dijangka akan menjadi perbincangan panas dengan apa yang berlaku ini sebelum kata sepakat tercapai di kalangan mereka.

PAS menang majoriti tipis

Terkini jam 9.10 malam

PAS menang dengan majoriti 65 undi. Ini adalah angka rasmi yang dikeluarkan oleh SPR sekejap tadi.

Calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah mendapat 5348 undi manakala calon BN, Tuan Abdul Aziz Tuan Mat mendapat 5283 undi.

Sebanyak 115 kertas undi yang ditolak. Manakala peratus keluar mengundi ialah 87% kira-kira 10,746.Keputusan ini menunjukkan undi PAS merosot sebanyak 398 undi manakala undi BN meningkat sebanyak 889 undi.

87.3 peratus keluar mengundi

5.45 petang

SPR mengesahkan, 87.3 peratus atau 10,736 pengundi keluar mengundi di Manek Urai.

Pengiraan undi akan bermula jam 6 petang manakala keputusan dijangka akan keluar kira-kira 15 minit selepas itu.

Dengan jumlah peratusan mengundi ini, Pengarah Operasi Pilihan Raya PAS, Abdul Fatah Haron menjangkakan PAS akan menang dengan majoriti kira-kira 2,000 undi berbanding 1,325 dalam pilihan raya umum lalu.

Dalam peti undi Temalir, PAS mensasarkan undinya adalah 516 undi tetapi yang dikira mengundi PAS kali ini adalah 537 pengundi iaitu melebihi target 21 undi dan dikira undi bonus.

Ikuti result terkini dalam komen oleh salah seorang pembaca Siasahdaily...

68.4 peratus keluar mengundi jam 12 tengahari

MANEK URAI TERKINI

Jam 12.30 tengahari

SPR memberitahu, sudah 68.4 peratus atau 8,415 pengundi dari 12,293 telah membuang undi sehingga jam 12 tengahari tadi.

BN jadikan Lee Kuan Yew sebagai modal kempen

KUALA KRAI, 14 Julai: Barisan Nasional (BN) telah menjadikan kunjungan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew ke Kelantan sebagai kempen strategi akhir mereka di Manek Urai.

Mereka menyifatkan Nik Aziz sanggup berjumpa dengan Lee Kuan Yew tetapi tidak mahu bertemu dengan pemimpin Umno.

Poster dan banner itu mula dinaikkan di saat-saat akhir kempen iaitu petang semalam.

Padahal dalam siri lawatan yang sama, Lee Kuan Yew turut bertemu Datuk Seri Najib dan isterinya, Datin Sri Rosmah Mansor.

Najib semasa kunjungan itu dikatakan berjanji untuk membina jambatan ketiga antara Johor dan Singapura atas permintaan Singapura yang kemudiannya dibantah bekas PM, Tun Dr Mahathir.

Lee Kuan Yew pula semasa mengunjungi Nik Aziz bertanya apakah dasar PAS terhadap rakyat berbilang kaum jika memerintah negara ini.

Pengundi keluar awal

MANEK URAI TERKINI

Jam 11.45 pagi

SPR mengumumkan, 57.6 peratus atau 7,085 pengundi telah keluar mengundi jam 11 pagi tadi.

Pengundi nampaknya keluar awal kali.Ada 12, 293 pengundi berdaftar dalam pilihan raya ini.

Kekecohan berlaku di Manek Urai Baru sehingga memaksa polis datang untuk menyuraikan keadaan.

Ia berlaku apabila penyokong PAS dan Umno ramai berkumpul di situ.

Perkara ini berlaku walaupun SPR telah membuat peraturan tidak boleh berkempen di hari pengundian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...