Thursday, January 29, 2009

Penjelasan kerajaan Selangor isu setinggan Bukit Botak

SHAH ALAM: Mesyuarat Stanco Tanah hari ini turut membincangkan isu projek penempatan semula setinggan Bukit Botak, Selayang yang melibatkan seramai 1400 pemilik tanah serta merangkumi keluasantanah seluas 138 ekar.

Delpuri Corporation Sdn. Bhd. (DCSB) telah dilantik sebagai kontraktor pada tahun 1999 oleh Kerajaan Negeri terdahulu bagi membangun dan menyusun semula penempatan setinggan Bukit Botak ke Taman Selayang Mutiara.

DCSB, selaku pemaju yang telah diamanahkan membangun dan menyusun semula penempatan setinggan Bukit Botak ke Taman Selayang Mutiara juga telah diarahkan membina rumah dan menyiapkan infrastruktur seperti pelan yang diluluskan oleh pihak berkuasa.

DCSB dikehendaki menyediakan rumah transit atau memberi bantuan subsidi sewa rumah sebanyak RM300.00 kepada penduduk yang diarahkan mengosongkan tapak projek sehingga rumah siap.

Sebagai balasan kepada usaha tersebut, penduduk telah memberi surat kuasa wakil (power of attorney) kepada DCSB untuk menyerahkan hak mereka keatas tanah tersebut kepadasyarikat pemaju itu. Namun demikian, DCSB akhirnya tidak dapat meneruskan tanggungjawab mereka dan segala projek yang telah dirancang terbengkalai.

Tanpa membuat kajian yang menyeluruh, kerajaan negeri yang terdahulu telah meminta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengambil alih projek terbengkalai dari DCSB. Setelah membuat penelitian, mesyuarat Lembaga Pengarah PKNS baru-baru ini telah membuat keputusan menghentikan kerja-kerja pembinaan di tapak dan memutuskan subsidi bayaran sewa ditamatkan hingga bulan Oktober 2008.

Keputusan ini terpaksa dibuat kerana PKNS tidak mampu menanggung kos kerugian sebanyak RM140 juta jika meneruskan projek pembinaan berkenaan.

Walaupun Kerajaan Negeri mengambil berat tentang kesusahan yang dialami oleh rakyat, tetapi adalah tidak wajar untuk meletakkan beban keseluruhan kepada PKNS adalah tidak wajar hanya kerana Kerajaan terdahulu tidak dapat memantau projek-projek ini dengan baik. Tambah pula DCSB dibenarkan lepas tangan dalam hal ini.

Kerajaan Negeri amat berhasrat untuk menolong penduduk yang terlibat namun terhalang kerana hak kepada tanah yang terbabit masih lagi ditangan DCSB. Pertolongan yang wajar boleh dibuat sekiranya penduduk mendapat balik hak terhadap tanah dengan membatalkan surat kuasa wakil yang ditandatangani diantara para penduduk dan Syarikat DCSB.

Dari sudut perundangan, Kerajaan Negeri mahupun PKNS tidak mempunyai hak untuk meneruskan pembangunan kerana penduduk yang juga pemilik tanah masih lagi terikat dengan terma-terma dalam perjanjian tersebut.

Setelah pembatalan kedua-dua perjanjian dilaksanakan barulah perbincangan dengan Kerajaan Negeri dapat dibuat bagi memutuskan bentuk penyelesaian yang lebih konkrit. Kerajaan Negeri berharap semua pihak memahami isu sebenar yang menghantui para penduduk Bukit Botak agar satu jalan penyelesaian dapat dilaksanakan secepat mungkin.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Tuesday, January 27, 2009

Rombongan PAS gagal masuki Gaza

RAFAH (Mesir), 30 Jan: Setelah mencuba hampir sehari, rombongan pemimpin PAS termasuk sembilan anggota Parlimen yang dipimpin presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang gagal masuk ke Gaza, Palestin.

Ini kerana sekatan yang dibuat oleh kerajaan Mesir di sempadan antara dua negara berjiran itu.
Demikian beritahu anggota Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof dalam SMSnya kepada Siasah.

"Dukacita dimaklumkan, kami tidak dapat masuk ke Gaza dan tersangkut di Rafah," tulis Mujahid yang Siasah terima jam 4.30 petang waktu Malaysia.

20 pemimpin dan anggota Parlimen PAS berlepas ke Mesir 28 Januari lalu untuk melihat sendiri keadaan umat tanah air Palestin yang diserang Zionis Israel.

Walaupun tidak berjaya memasuki Palestin mereka telah memberikan sumbangan sedaya mungkin di beberapa hospital di Mesir yang bersempadan dengan Palestin.

Di sempadan, mereka menemui rombongan dari Malaysia dan Indonesia yang turut berusaha untuk memasuki Palestin tetapi masih belum berjaya.

Rombongan PAS masuk Gaza malam ini

ARISH (MESIR), 30 Jan: Rombongan 20 anggota pimpinan dan anggota Parlimen PAS tiba di Arish pagi tadi dan mula melawat hospital yang menempatkan mangsa serangan Israel ke atas Palestin.

Di hospital itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengetuai rombongan itu telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa serangan Zionis Isreal.

Demikian tulis Dr Mujahid Yusof, salah seorang anggota Parlimen PAS yang turut serta dalam rombongan itu, kepada Siasah melalui SMS.

Arish adalah bandar berhampiran dengan sempadan antara Mesir dengan Palestin.
Mereka bercadang untuk ke Rafah malam ini (pagi di Mesir) iaitu sempadan antara Mesir dan Palestin dan berusaha untuk masuk ke wilayah Palestin.

20 pemimpin dan anggota Parlimen PAS itu berlepas dari KLIA jam 10.30 malam 28 Januari lepas untuk melihat sendiri kemusnahan di Palestin akibat serangan tentera Zionis Israel sambil memberikan bantuan moral dan kewangan.

BERANGKAT KE GAZA

28 Januari 2009
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama 19 lagi anggota rombongannya termasuk sembilan anggota Parlimen berlepas ke Gaza jam 10.30 malam ini. Mereka ke sana untuk melihat sendiri kemusnahan yang dialami rakyat Palestin di samping menyumbangkan sedikit sebanyak bantuan berupa sokongan moral dan material untuk meringankan bebanan umat Palestin yang diserang Zionis. Gambar oleh Azrul Edham.

Teori Domino hantui Umno

Umno sedang dihantui oleh teori Domino dan ketakutan untuk kehilangan kuasa benar-benar mencemaskan parti itu. Untuk menyekatnya, Umno dikatakan sanggup berbuat apa saja termasuk mendakwa bekas ketua bahagiannya, Datuk Ahmad Ismail dibawah Akta Hasutan walaupun ia sudah terlalu lewat.

Analisa penuh dalam Siasah Jumaat ini.

SELAMAT DATANG KE BBC PERAK

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Perak (BBC Perak), Drs Khalil Idham Lim bersalam dengan Datuk Nasarudin Hashim, Adun Bota sambil mengalu-alukan penyertaan beliau ke kelab itu selepas meninggalkan Umno dan BN. Dengan kemasukan Nasarudin, BBC Perak kini mempunyai 32 ahli manakala BN tinggal 27.

12 ditahan di perkarangan Pusat Perubatan UM


PETALING JAYA, 28 Jan: Sekurang-kurangnya 12 yang berkumpul di perkarangan Pusat Perubatan Universiti Malaya dikatakan telah ditahan menjelang tengahari kerana berkumpul untuk mengiringi mayat Kugan Anathan.

Namun, menurut sumber yang lain, hanya lima yang sudah ditahan.

Menurut saksi, kebanyakan mereka ditahan oleh polis berpakaian preman dengan andaian mereka adalah penyokong Hindraf.

Polis pula memenuhi kawasan itu termasuk trak FRU dan polis berpakaian biasa.

Hari ini, mayat Kugan Anathan yang mati dalam lokap polis dijadualkan akan disemadikan di Batu 14, Puchong.

Mayat beliau berada di situ selepas dibedahsiasat kali kedua atas permintaan keluarganya. Sebelum ini, Kugan dibedahsiasat di Hospital Serdang namun keluarganya tidak berpuashati.

50.6% peserta poll Utusan kata tindakan Nasarudin wajar

KUALA LUMPUR, 27 Jan: Hari pertama poll yang dibuat oleh media milik Umno, Utusan.com.my mendapati, 50.6 peratus pesertanya menyifatkan langkah Datuk Nasarudin Hashim melompat parti adalah wajar.

Keputusan itu diperolehi dari 1708 peserta yang memberikan pandangan mereka pada hari pertama poll itu dibuat.

Berikut adalah keputusan sehingga jam 6.35 petang tadi.

Bancian 27 Januari 2009

Wajarkah ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim melompat parti hanya kerana masalah peribadi?

Wajar 50.6% (865)
Tidak wajar 36.8% (628)
Tidak kisah 12.6% (215)
Jumlah Undi: 1708

Sementara itu, akhbar MCA, Mstar.com.my pula memberikan keputusan lebih tinggi iaitu 83 peratus menyokong langkah Nasarudin itu.

Hanya 17 peratus sahaja menyifatkan tindakan itu tidak wajar.

Berikut adalah keputusan penuh jam 7 petang tadi.

Tinjauan Mstar.com.my
Wajarkah ADUN Bota yang menang kerusi atas tiket Umno dan BN sertai PKR?

Ya 83%
Tidak 17%

Zahid jadi pengerusi Umno Perak?

KUALA LUMPUR, 27 Jan: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Zahid Hamidi disebut-sebut bakal menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Perak yang baru selepas Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali melepaskan jawatannya.

Berita angin ini semakin kuat bertiup berikutan Tajol mendapat tekanan terakhir ekoran tindakan Datuk Nasarudin Hashim, Adun Bota melompat ke Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Selepas bertemu Najib baru-baru ini, Tajol dikatakan akan melepaskan jawatannya untuk mengambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku di Perak," kata satu sumber kepada Siasah.

Ia juga berikutan dari tekanan dan kempen pihak-pihak tertentu agar Tajol melepaskan jawatannya selepas Perak jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

"Zahid semakin dipercayai oleh Umno Perak dengan tindakan beraninya mengarahkan pegawai kerajaan Pusat agar jangan menyertai sebarang mesyuarat anjuran kerajaan negeri Perak.

"Walaupun mendapat kecaman hebat dari pembangkang, Zahid sekurang-kurangnya dilihat berbuat sesuatu untuk menaikkan moral Umno di Perak ketika Tajol dilihat tidak berani berbuat apa-apa," kata sumber itu.
Bagi beliau, ramai pemimpin Umno membuat kenyataan yang bertentangan dengan pendapat umum sekarang asalkan ia mendapat sokongan Umno kerana mereka sekarang menghadapi pemilihan dalaman parti.
"Kenyataan Mukhris tentang sekolah satu aliran negetif kepada rakan-rakannya dalam BN tetapi ia tetap dibuat untuk mendapat undi di kalangan perwakilan Umno. Begitu juga dengan kenyataan Zahid ini," tambah beliau.

Tekanan terhadap Tajol semakin meningkat apabila Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaludin mengumumkan tiga lagi Adun Umno akan menyertai Pakatan.

Namun perkara ini ditolak oleh timbalan presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pro-M kuasai dua kampus utama

KUALA LUMPUR, 27 Jan: Setelah selesai pilihan raya kampus, kumpulan pro-Mahasiswa (Pro-M) menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan tahun ini apabila memperolehi 90 kerusi berbanding kira-kira 51 kerusi sebelum ini.

Kumpulan pro-Aspirasi (Pro-A) masih mendominasi kampus seluruh negara apabila memperolehi 196 kerusi kesemunya iaitu kira-kira 69% berbanding Pro-M yang mendapat 31% iaitu dari 286 kerusi MPP yang dipertandingkan.

Dalam pilihan raya kali ini, Pro-M menguasai dua universiti iaitu Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berbanding hanya UIA sebelum ini.

Di UM, Pro-M berjaya menubuhkan kerajaan apabila berjaya mengumpulkan 21 kerusi selepas bergabung dengan beberapa calon bebas yang menang mengalahkan Pro-A yang mendapat 20 kerusi.

Di UIA, sebagaimana tahun lalu, Pro-M meninggalkan Pro-A dengan jumlah yang besar iaitu 17 berbanding dengan 1 kerusi sahaja.

Namun, di kampus-kampus lain, Pro-A terus mendominasi badan utama pelajara di kampus masing-masing.

Sunday, January 25, 2009

5 isu penting di kalangan orang muda


KUALA LUMPUR, 25 Jan: Golongan muda mendesak lima perkara utama dilaksanakan oleh kerajaan iaitu biasiswa, kemasukan ke universiti yang lebih baik, pengangkutan awam yang cekap, kemudahan asas dan yang terakhir kemudahan sukan serta rekreasi yang baik.

Desakan ini diketahui melalui satu kajian yang dibuat pensyarah kajian
media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah bersama pasukannya.

Dr Hasbullah memaklumkan desakan ini dalam wawancara khas http://www.tvpas.com/ melalui siri Kubik Minda saluran tv internet itu.

Kajian itu dibuat ke atas golongan muda khasnya di Kuala Terengganu menjelang pilihan raya kecil baru-baru ini.

"Yang sedihnya tidak ada mana-mana calon atau pemimpin politik yang mengambil kisah perkara ini dalam ucapan dan kempen mereka," kata Abu Hassan.

Katanya, suara golongan ini tidak akan diperolehi dalam mana-mana media tradisional tetapi dalam internet iaitu facebook, blog dan sebagainya.


"Di Kuala Terengganu, politik harapan telah berjaya mendominasi pengundinya berbanding politik takut kerana inilah suara anak muda hasil dari pengaruh kempen Barack Obama di Amerika," katanya.

Kerajaan Pakatan Perak semakin kukuh

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Hrkh) - Kerajaan Pakatan Perak bertambah kukuh hari ini apabila seorang Adun BN, Datuk Nasarudin Hashim mengisyhtiharkan keluar Umno sekaligus menyertai PKR hari ini.

Majlis pengisytiharan itu dibuat dalam satu sidang media yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabat PKR, jam 2 petang tadi.

"Kenyataan Datuk Nasarudin ini satu yang sangat kritikal dan ia membayangkan sentimen pengundinnya, yang bermajoritikan orang Melayu," kata Anwar dalam sidang medianya.

Beliau menyifatkan langkah Nasarudin ini adalah permulaan kepada satu lagi gelombang baru selepas kemenangan PAS di Kuala Terengganu.

Penyertaan Nasarudin ini juga membayangkan penolakan rakyat Melayu Perak terhadap BN walaupun hampir setiap hari parti itu menekan kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaludin hatta menggesa beliau meletakkan jawatan sebagai MB kononnya kerana mengenepikan Melayu di Perak.

"Saya telah dimaklumkan perkara ini sebelum ini dan beliau lebih nekad mengambil keputusan ini selepas pilihan raya kecil Kuala Terengganu," kata Mohd Nizar kepada sebuah akhbar laman web.

Mohd Nizar berharap lebih ramai lagi Adun BN akan menyertai Pakatan Rakyat selepas ini.

Dengan perisytiharan ini, kerajaan Pakatan Rakyat menambahkan kerusinya kepada 32 kerusi manakala BN tinggal 27 kerusi sahaja.

Berikut adalah kenyataan media Nasarudin yang diedarkan hari ini :-

Assalamualaikum,

Setelah membuat pertimbangan terutamanya apabila melihat perkembangan suasana politik khasnya arah tuju sokongan rakyat selepas Pilihanraya Umum ke 12 pada bulan Mac 2008, serta keadaan-keadaan yang wujud dalam parti dan kepimpinan Umno, saya dengan ini mengambil keputusan untuk keluar dari Umno dan seterusnya menyertai PKR iaitu salah satu parti dalam Pakatan Rakyat.

Keputusan ini diambil setelah lama meneliti dan mempertimbangkan kepentingan rakyat seluruhnya khususnya buat para penyokong dan pengundi saya di kawasan Dewan Undangan Negeri Bota:-
Saya amat yakin dengan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat yang mempunyai iltizam dan idealisme yang kuat untuk memperjuangkan hak-hak dan kepentingan rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum di negara ini.

Saya yakin Parti Keadilan Rakyat akan tetap menjunjung dan menghormati hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Saya percaya Parti Keadilan Rakyat dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat mampu untuk menjadi sebuah permuafakatan komponen parti-parti yang lebih baik demi kepentingan rakyat seluruhnya.

Untuk membolehkan saya menjadi ADUN yang lebih berkesan dan memberi khidmat terbaik kepada penduduk setempat memandangkan Pakatan Rakyat sudah pun menubuhkan kerajaan di Negeri Perak.

Friday, January 23, 2009

Melayu tiada nilai di akhirat nanti, kata Nik Aziz







KUALA TERENGGANU, 23 Jan: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru masyarakat supaya mengubah istilah daripada membela Melayu kepada memperjuangkan Islam.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan berapakah nilai Melayu di akhirat kelak.

“Membela Melayu, berapa sen harga Melayu di akhirat? Allah tidak tanya di akhirat nanti, awak Melayu atau Cina. Tapi hendaklah membela Islam bukan memperjuangkan Melayu tapi memperjuangkan Islam,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Ceramah Perdana Sempena Meraikan Kemenangan Calon Pakatan Rakyat Pilihan raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, di sini, malam semalam.

Turut menyampaikan ceramah ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut.

Justeru beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, jadi tidak usahlah disebut ketuanan Melayu sebaliknya sebutlah ketuanan Islam.

“Selagi sebut ketuanan Melayu, hidup Melayu, hidup Melayu, Cina nak letak di mana, India nak letak di mana?” tanya beliau. Tetapi, katanya kalau disebut ketuanan Islam, ada juga Cina dan India yang beragama Islam.

Ini, jelasnya kerana orang Arab pun tidak semestinya dapat memasuki syurga.

"Bapa saudara nabi bernama Abu Lahab adalah orang Arab. Tapi dinyatakan dalam Quran, Abu Lahab akan masuk neraka kerana tidak memperjuangkan Islam.

”Jadi sebagi bapa saudara nabi, orang Arab yang faham bahasa Arab, yang faham Quran pun tak masuk syurga, apa lagilah orang Melayu yang tak faham bahasa Arab dan Quran,” ujarnya.

SPRM didakwa tekan Madam Low ekoran dakwaan rasuah terhadap MB

SHAH ALAM, 22 Jan: Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa menekan Pemangku Pengurus Besar PKNS, Madam Low Siew Moi membuat pengakuan bahawa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengarahkan beliau menyumbangkan lembu-lembu untuk dikorbankan di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

Menurut sumber Siasah, Madam Low dipaksa berbuat demikian dalam soalsiasat SPRM yang dibuat hampir empat jam baru-baru ini ekoran laporan oleh Gerak.

Turut disiasat adalah tiga lagi pemimpin kanan anak-anak syarikat kerajaan negeri Selangor yang lain.

Baru-baru ini, Gerak membuat aduan kepada SPRM terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana didakwanya telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri.

Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa, Abdul Khalid telah menggunakan wang negeri untuk menaja 46 ekor lembu untuk korban dan mengedarnya kepada penduduk Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur ketika Hari Raya Korban Disember lalu.
Abdul Khalid juga merupakan ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Dalam aduannya, Mohd Nazree mendakwa Abdul Khalid telah membeli lembu tersebut pada harga RM110,400 dengan menggunakan dana sebuah agensi kerajaan negeri.

Pengerusi Gerak itu juga mendakwa, mereka menerima dokumen minggu lagi dari seorang individu yang bekerja dengan agensi kerajaan negeri terbabit - Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd.

Aduannya diterima oleh Pengerusi SPRM Selangor, Mohd Shamsuddin Yusof di Plaza Masalam, Shah Alam pada jam 10.45 pagi.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid menolak dakwaan itu dan sedang menimbangkan untuk menyaman Gerak kerana memfitnah beliau.

Wednesday, January 21, 2009

"Tidak masuk akal"

Kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Zahid Hamidi menghalang pegawai Pusat sertai mesyuarat anjuran kerajaan negeri Perak disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Kenyataan itu juga melambangkan Zahid tidak sedar lagi walaupun kekalahan bertalu-talu dialami oleh Barisan Nasional (BN) khasnya di Kuala Terengganu.

Berita penuh Siasah Jumaat ini.

PAS kalah undi Cina dan wanita, menang undi muda, kata penganalis



KUALA TERENGGANU, 21 Jan: Penganalisis mendakwa, PAS kalah di kalangan pengundi Cina dan wanita dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu namun menguasai undi di kalangan orang muda.
(Gambar atas: Anak muda di Kuala Terengganu meraikan kemenangan PAS dengan berarak sekeliling bandaraya Kuala Terengganu)

Profesor Sains Politik dari John Hopkins Universiti, Bridget Welsh dalam analisannya yang disiarkan dalam satu laman web berkata, pengundi Cina dan wanita lebih banyak mengundi BN berbanding calon PAS.

Welsh berada beberapa hari di Kuala Terengganu terutama menjelang hari mengundi mengesahkan undi orang muda berada di tangan PAS.

Ariffin Deraman, pengarah bilik gerakan PAS di Kuala Terengganu mengesahkan majoriti pengundi muda menyokong PAS dalam pilihan raya ini.

Beliau juga dalam kenyataannya berkata, PAS kalah di kalangan pengundi muda masyarakat Cina.
Katanya, daripada 61 saluran muda, 42 daripadanya berpihak kepada PAS manakala 19 saluran kepada BN.

“Pengiraan dibuat dengan mengambil kira saluran dua sebagai saluran muda sekiranya hanya terdapat saluran 1 dan 2 sahaja di pusat mengundi, saluran tiga dan empat akan dikira saluran muda sekiranya terdapat 1 hingga 4 saluran di pusat mengundi, begitu juga saluran empat dan lima dikira saluran muda sekiranya terdapat saluran satu hingga lima di kawasan terbabit.

“Undi tersebut sekiranya tidak mengambil kira undi pos, kita menang majoriti dengan 3,584, sebaliknya mendapat 2,631 majoriti sekiranya dicampur undi pos,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, PAS mendapat undi paling banyak daripada golongan muda di Losong Masjid dengan 274 undi manakala undi paling merosot di Kampung Cina iaitu di saluran empat dengan kekurangan 95 undi.

Bagaimanapun katanya, PAS berjaya menawan golongan muda di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Bukit Besar iaitu tempat calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengundi iaitu sebanyak 65 undi melebihi parti lain.
Selain dari analisa di atas, Briget Welsh juga membuat kesimpulan berikut:

1. PAS tidak dapat majoriti undi Cina. Ramai yang takut tindak balas jika tidak undi Barisan Nasional (BN). Pemimpin kanan Pakatan Rakyat (PR) dan DAP pula balik awal. Mereka ingat apabila sambutan masyarakat Cina hebat pada awal mereka datang, kerja sudah selesai.
2. Dari pengundi Melayu pula, majoriti yang undi PAS adalah pengundi muda. BN mungkin kehilangan pengkalan masa depannya.

3. Umno mendapat undi kaum wanita - Cina dan Melayu. Orang perempuan, terutama di pusat bandar, takut untuk undi PAS.

4. Kakitangan kerajaan, walaupun tidak berani membuka mulut, ramai yang undi PAS.
5. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelihatan tidak mempunyai sokongan majoriti rakyat Malaysia.

6. SPR dan polis lebih profesional dalam pilihan raya kali ini.

PPSMI: Puad tidak datang di saat akhir

SHAH ALAM, 21 Jan: Anggota Parlimen Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membatalkan penyertaannya dalam mesyuarat bantahan terhadap pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di minit-minit terakhir malam Selasa lalu.

(Gambar: Nasharudin Mat Isa bercakap dalam mesyuarat Badan Induk Gerakan Mansuhkan PPSMI di Shah Alam baru-baru ini.)

Menurut maklumat yang diterima Siasah, Puad sepatutnya menyertai mesyuarat Badan Induk Gerakan Memansuhkan PPSMI itu selaras dengan pendirian beliau yang menentang PPSMI sejak dari awal lagi.

Dengan kegagalan Puad hadir itu bermakna Umno tidak menghantar sebarang wakil ke mesyuarat yang diadakan di tingkat 2, bangunan Sultan Salahudin itu.

Dalam mesyuarat yang disertai 50 pemimpin pelbagai kumpulan NGO dan parti politik itu, PAS diwakili oleh timbalan presidennya, Nasharudin Mat Isa.

Karpal halau pengundi Cina?

Kekurangan undi Cina kepada calon PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu dibimbangi berpunca dari kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh mengenai hukum hudud menjelang hari mengundi pilihan raya kecil itu.

Ini kerana, PAS sendiri tidak pernah menjadi juara isu itu bahkan ia lahir dari media BN dan dimainkan oleh MCA di Kuala Terengganu.

Analisa penuh dalam Siasah Jumaat ini.

Saturday, January 17, 2009

Kuala Terengganu: Bagaimana ia berlaku

Oleh Zulkifli Sulong

KUALA TERENGGANU, 17 Jan:
Ia bermula sejak jam 3 petang apabila berita kononnya 70 peratus pengundi Cina pergi ke pondok panas PAS dan tidak ke pondok BN di pusat-pusat pengundian.

Namun, keputusan sebenar mulai di rasai jam 5.00 petang selepas semua pusat pembungan undi mula ditutup dengan rasminya.

Ketika itu, selepas menghubungi beberapa pemimpin PAS, dirasai dengan jelas keputusan akan memihak kepada PAS. Tambahan pula apabila disahkan peratusan keluar mengundi tidak melebihi 80 peratus iaitu 10 peratus kurang dari yang dijangkakan oleh SPR sendiri.

"Nampaknya bulan akan mengambang di Kuala Terengganu," kata saya kepada emak saudara Datuk Wan Ahmad Farid (calon BN) di Kuala Lumpur yang sejak pagi ingin benar tahu apakah keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Pada paginya, emak saudara Wan Farid itu menelefon saya memberitahu, "Zul, Wan Farid kata, bulan akan gerhana di Kuala Terengganu."

Saya memberitahu beliau perkara ini kira-kira jam 5.15 petang dalam perjalanan ke Markas Besar PAS di Kuala Ibai.

Di Kuala Ibai, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah berada di situ. Dia nampaknya orang yang kedua masuk ke bilik mesyuarat utama pejabat PAS itu selepas saya.

Di situ sudah ada layar besar yang menayangkan penjumlahan undi yang diperolehi oleh PAS dari agen-agen pengiraan undinya di seluruh pusat pengiraan undi yang diadakan di pusat pengundian.

Tepat jam 5.30 petang, dua keputusan samapi serentak. Kedua-duanya menghasilkan keputusan PAS kalah dengan 33 undi. Selepas itu, keputusan datang bertalu-talu.

Pada jam 6.00 petang, PAS menang dengan majoriti 114 undi. Pada jam 6.30 petang, keputusan undi pos diperolehi. Ia menyebabkan PAS kalah 483 undi. Undi pos itu menunjukkan PAS hanya mendapat 86 undi, naik 3 undi berbanding pilihan raya Mac lalu apabila PAS hanya mendapat 83 undi.

Tepat jam 7.01 malam, mula jelas kelihatan trebnd bahawa PAS akan menang. Ketika itu, PAS mula menang 158. Sejak itulah, undi PAS terus meningkat dan meningkat.

Dalam masa yang sama, isteri saya yang berada di rumah memaklum, TV3 menyiarkan keputusan yang menunjukkan BN menang dan terus menang hinggalah keputusan rasmi diumumkan jam 9.30 malam bahawa calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut menang dengan undi 2, 631 undi.

Kalau ditanyakan, saya akan berkata kejayaan yang dicapai oleh calon PAS ini adalah hasil kerjasama semua pihak khasnya parti-parti Pakatan dalam membantu calon PAS.

Di kalangan jentera PAS pula, saya rasa antara yang terbaik adalah jentera penerangannya yang dipimpin oleh Muhyidin Abdul Rashid.

Dari Pusat Khidmat PAS Dun Alor Limbat, mereka menerbitkan pelbagai jenis bahan penerangan mulai dari Buletin Kuala (yang dibuat versi palsu oleh jentera BN), siri VCD yang terbit setiap hari oleh pasukan Tvpas yang berkampung di situ sejak 31 Disember hinggalah iklan-iklan bersiri yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian.

Pujian juga harus diberikan kepada sidang media harian yang dibuat oleh PAS di Markas Besar PAS di Kuala Ibai yang banyak sekali menjawab dan menyerang segala aktiviti BN sepanjang kempen pilihan raya ini. Juga pasukan IT PAS yang banyak membantu jentera dan lain-lain pasukan yang sememangnya hebat belaka.

Pendek kata, semuanya kerana perpaduan dan persefakatan di kalangan parti Pakatan dan jentera pilihan raya.

Proses pengundian ditutup: Sek Keb Gong Kapas masih panas



KUALA TERENGGANU: Proses pengundian telah ditutup tetapi pusat mengundi di Gong Kapas (Sek Keb Gong Kapas) masih panas apabila kedua-dua penyokong parti yang bertanding enggan bersurai.

Kira-kira lebih 200 penyokong kedua-dua parti masih berada dilokasi tersebut.

Sejak jam 5.00 petang sejurus waktu pengundian ditutp sehingga 6.00 petang, sekurang-kurangnya tiga kekecohan lagi berlaku antara kedua-dua penyokong yang saling tolak-menolak dan hampir mencetuskan perkelahian.


Sebelah tengahari tadi, satu pergaduhan kecil turut dilaporkan berlaku ditempat yang sama berpunca daripada perbuatan ejek mengejek antara kedua belah pihak.

Kekecohan pada jam lima petang berpunca daripada sebuah kereta proton Waja berwarna biru gelap yang mempamerkan lambang Barisan Nasional dan wajah calonnya, Datuk Wan Farid Wan Salleh didapati cuba memasuki pusat pengundian yang baru sahaja kira-kira seminit ditutup.

Beberapa petugas PAS telah menahan kereta yang dinaiki dua orang lelaki dan seorang perempuan untuk menyoal siasat kerana mengesyaki sesuatu yang tidak kena.

Ekoran itu, kedua-dua penyokong telah menyerbu ke arah kereta tersebut sehingga menimbulkan ketegangan sebelum disuraikan oleh polis dan pasukan keselamatan parti masing-masing.

Penumpang kereta tersebut memperkenalkan diri mereka sebagai ejen tempat mengundi yang bertugas disekolah tersebut dengan menunjukkan surat pengakuan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bagaimanapun tetap dipertikaikan oleh petugas PAS.

"Sekurang-kurangnya dua kesalahan telah dilakukan, pertama kereta ada lambang BN dan kedua mana boleh ejen tempat mengundi masuk selepas waktu pengundian ditutup," kata seorang petugas ditempat kejadian yang ditemui.

Polis terpaksa meminta kenderaan tersebut beredar ekoran suasana semakin tegang setelah campur tangan daripada penyokong-penyokong parti masing-masing.

Ahli jawatankuasa PAS, Dr mariah Mahmood yang berada ditempat kejadian dilihat bekerja keras untuk menenangkan para penyokongnya.

Sejurus selepas itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali bersama Wan Mutalib Embong dan Hanifa Maidin turut hadir untuk menenangkan penyokong dan mendapatkan penjelasan daripada SPR.

Pihak polis kemudiannya memperkuatkan kawalan keselamatan mereka dengan menambah kira-kira puluhan lagi anggota ke lokasi berkenaan

Tidak lama selepas itu, kekecohan berlaku lagi apabila seorang penyokong BN mendakwa dipukul oleh penyokong PAS.

Para penyokong BN mula mendekati penyokong PAS yang berada diseberang jalan tempat mereka berkumpul sehingga berlaku tolak menolak dan melempar botol air minuman sebelum campur tangan pihak polis.

Petugas PAS bagaimanapun berjaya mententeramkan panyokongnya supaya tidak melayan sebarang provokasi manakala polis terpaksa menahan seorang penyokong BN yang berkelakuan berang kerana mendakwa telah dipukul oleh penyokong PAS dan mahu mengajak penyokong PAS bertumbuk.

Pengundian hingga 90 peratus membimbangkan PAS

KUALA TERENGGANU, 17 Jan: Kira-kira satu jam lebih sahaja lagi dari waktu tamat pengundian, jangkaan SPR untuk mencapai 90 peratus keluar mengundi belum menampakkan hasilnya. Sehingga jam 12 tengahari tadi, peratus mengundi hanya 42 peratus manakala jam 2 petang, peratus mengundi adalah 52 peratus.

Pengerusi SPR dalam sidang media jam 12 tengahari tadi memaklumkan jangkaan untuk mendapatkan peratus keluar mengundi kali ini hingga 90 peratus. Ini berdasarkan 10 peratus mengundi bagi setiap jam.

Ia membimbangkan PAS kerana jumlah itu terlalu tinggi berbanding dengan jumlah ketika jam 12 tengahari hanya 42 peratus sedangkan kebiasaan pengundi keluar pada waktu pagi dan berkurang pada waktu petang.

"65 peratus lebih realistik," kata seorang aktivis politik dari Kelantan. "Jika dia kata akan capai 90 peratus itu, ia satu yang membimbangkan," katanya yang menyokong PAS.

PAS bimbang kalau-kalau peratusan yang tinggi itu akan memungkinkan kemasukan pengundi yang tidak sewajarnya mengundi.

(Gambar: Isteri dan anak-calon calon PAS yang turut mengundi pagi tadi)

"Jika benar peratusan pengundi akan menjadi 90 peratus, ia sangat tidak baik untuk PAS," kata Brigate Walsh, profesor sains politik dari John Hopkin University yang turut membuat liputan pilihan raya ini di sini.

Dari laporan SPR juga, didapati pengundi dewasa lebih ramai mengundi pagi tadi sedangkan pengundi saluran 3 dan 4 (pengundi baru) masih kurang.

Sebelum ini dinyatakan, pengundi muda lebih condong kepada PAS berbanding BN.

Sementara itu Siasah juga mendapat maklumat pengundi Cina banyak menyokong PAS dalam trend pengundian pagi tadi.

Sebuah pusat pengundian mencatatkan 70 peratus sokongan untuk calon PAS.

Sementara itu, kita-kira jam 3.50 petang enam trak FRU berloceng mula meninggalkan kawasan Tanjung selepas pergi ke situ mulai tengahari tadi. Kehadirannya menimbulkan kesesakan teruk di kawasan itu.

Trak-trak itu sekarang menuju ke Pasir Panjang.

Wahid dapat tujuh undi pertamanya

KUALA TERENGGANU, 17 Jan: Calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut mendapat tujuh undi pertamanya apabila beliau, isteri serta lima anak mereka mengundi di SK Pusat Cabang Tiga kira-kira jam 8.15 pagi tadi.

Ketujuh-tujuh mereka sampai ke sekolah itu kira-kira jam 8.00 pagi ketika para petugas BN hampir belum ada di luar kawasan mengundi itu.

Sementara itu, pengundian di Kuala Terengganu berjalan lancar dengan para petugas PAS menguasai kebanyakan tempat mengundi kecuali di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman yang dikira banyak dikuasai penyokong BN.

(Gambar: Wahid bersama petugas Muslimat PAS)

Di tempat mengundi yang lain, SK Wakaf Mempelam, Sk Losong, SK Seri Nilam, SK Pusat Cabang Tiga serta SMK Tengku Bariah yang di tinjau dikuasai para penyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar bersama isterinya.

Di situ, para penyokong dikira sama kuat antara BN dan PAS. Namun jirannya iaitu di Pasir Panjang, iaitu di SMK Tengku Bariah, penyokong PAS menguasainya.

(Gambar: Husam turun merayu undi di pusat pengundian)

Abdul Wahid ketika ditemui di SK Sri Nilam iaitu pusat mengundi untuk Merbau Patah berkata, pihaknya yakin bakal mencapai kemenangan jika tidak ada sebarang masalah besar sepanjang tempoh pengundian yang akan tamat jam 5 petang nanti.

Beliau melahirkan rasa kesal kerana Pegawai Pengurus Pilihan Raya ini, Datuk Mat Razali Kassim terpaksa meletakkan jawatan.

"Ini memalukan orang Terengganu sahaja kerana tidak pernah berlaku perkara sebegini sebelum ini.

"Pengerusi SPR orang Terengganu, Setiausaha orang Terengganu, kedua-dua calon orang Terengganu. Tiba-tiba RO kita Datuk Bandar Kuala Terengganu letak jawatan," kata Wahid kepada Siasah.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid juga yakin pihaknya akan menang berdasarkan segala gerak kerja penerangan yang dibuat menepati sasaran dan berjalan dengan baik.

"Kalau kalah pun kita amat berpuashati dengan kerja yang telah kita buat," katanya kepada Siasah.

(Gambar: PAS mempamirkan senarai nama pengundi yang mencurigakan di pos mereka)

Hampir 80,000 warga Kuala Terengganu akan membuang undi hari ini selepas lebih 1000 pengundi pos telah membuang undi sebelum ini.

Proses pengundian bermula pukul 8 pagi ini dan akan ditutup pukul 5 petang.

Pilihan raya kecil ini yang dilihat sengit dan disifatkan sebagai sangat penting untuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat menyaksikan persaingan tiga penjuru.

Persaingan itu membabitkan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dari BN, Mohd. Abdul Wahid Endut (PAS) dan Azharudin Mamat @ Adam (Bebas).

(Gambar: Mustafa Ali turut mengundi di Kuala Ibai)

Daripada 80,229 pemilih yang layak mengundi kali ini, seramai 1,035 merupakan pengundi pos di mana kira-kira 96 peratus telah pun mengundi.

Lebih 88 peratus atau 70,834 pengundi di bahagian ini adalah Melayu, 8,735 atau 10.89 peratus pengundi Cina, 518 atau 0.65 peratus pengundi India dan 142 atau 0.18 peratus pengundi lain.

Friday, January 16, 2009

Tiga isu akhir lonjakkan moral PAS

KUALA TERENGGANU, 16 Jan: Tiga isu terakhir yang berlaku sekitar pilihan raya kecil Kuala Terengganu melonjakkan moral petugas PAS.

Ketiga-tiganya adalah perletakan jawatan pegawai pengurus pilihan raya (RO), Datuk Mat Rozali Kassim, kemarahan keluarga Allahyarham Datuk Razali terhadap calon BN dan kenyataan tertuduh kes perbincaraan pembunuhan Altantuya Shariibuu.

"Ketiga-tiga isu ini benar-benar menaikkan semangat penyokong PAS dan dipercayai menyukarkan kem BN," kata seorang penganalisa.

Semalam, Datuk Mat Rozali Kassim meletakkan jawatan sebagai pegawai pengurus pilihan raya (RO) dan digantikan oleh Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Perletakan jawatan ini dipercayai ada kaitan dengan bantahan PAS terhadap kelakuan beliau.

Pada jam 1.30 15 Januari PAS menghantar satu surat bantahan kepada SPR berkaitan dengan empat program yang menjejaskan reputasi Mat Rozali selaku RO pilihan raya.

Antaranya berkempen untuk calon BN dan yang paling teruk mengugut kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu akan hilang pekerjaan jika mengundi calon selain BN.

"Perletakan jawatan beliau adalah kemenangan untuk kita. Kita juga akan mengkaji implikasi perlantikan Setiusaha MBKT sebagai RO baru kerana kalau Mat Rozali terlibat, apakah Setiausahanya tidak terlibat dalam kempen untuk BN?" kata Wan Mutalib dalam sidang medianya.

Isu yang kedua adalah hubungan yang sangat tidak baik antara calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid (gambar atas) dengan keluarga dan penyokong bekas anggota Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail.

"Kalah di tangan abang Wan Farid untuk merebut jawatan naib ketua bahagian dan selepas itu tidak terpilih sebagai perwakilan ke mesyuarat agung Umno Mac nanti adalah satu yang menekan Razali menjelang kematian mengejutnya.

"Sehingga kini, Wan Farid yang merupakan Ketua Bahagian Kuala Terengganu dikatakan masih belum dapat mendekati keluarga Allahyarham Razali," kata satu sumber.

"Ini menunjukkan betapa ketika hayatnya Razali tidak mendapat pengiktirafan dari Wan Farid dan Umno Kuala Terengganu. Baru sekarang selepas kematiannya, Umno cuba meraih simpati keluarga Razali dengan meletakkan nama beliau kepada maktab perguruan dan sekolah di Kuala Terengganu," kata Tengku Hassan Tengku Omar, Adun PAS Ladang dalam ceramahnya malam tadi.

Sementara itu, isu ketiga yang kini menghantui kem BN adalah pengakuan Chif Inspektor Azilah Hadri yang berkata dia mendapat arahan dari ADC (juru iring polis) Datuk Seri Najib untuk menguruskan Altantunya Shariibuu yang menganggu Abdul Razak Baginda.

"Jika begitu, kini orang ramai tertanya-tanya, siapa yang arahkan ADC Najib itu. Apakah Najib perlu bersumpah sekali lagi dia tidak membuat arahan itu di Kuala Terengganu ini," kata seorang pemerhati.

Sebelum ini, Najib berkali-kali membuat sumpah termasuk di masjid bagi menafikan penglibatannya dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Calon PAS berada di depan, kata Wan Mutalib

KUALA TERENGGANU, 16 Jan: PAS yakin calonnya, Mohd Abdul Wahid Endut boleh memenangi pilihan raya kecil Kuala Terengganu esok jika tidak ada sebarang kejadian luar biasa berlaku hari ini atau malam ini.

Pengarah Operasi pilihan raya ini, Datuk Wan Muatlib Embong berkata, tanpa mengambil kira undi bukan Melayu, calon PAS mendahului sedikit calon BN dan jika ada sokongan dari undi Cina, PAS akan menang pilihan raya ini dengan baik.

"Jika tidak ada apa-apa 'bom' selepas ini, insya Allah kita akan menang," kaea Wan Mutalib dalam sidang media hariannya di Kuala Ibai.

Sementara itu, beberapa pihak memberikan majoriti undi sebanyak 2,000 kepada calon PAS.

Namun begitu, Ng Chai Hing, ketua DAP Terengganu bimbang dengan sokongan pengundi Cina yang boleh berubah ekoran serangan bertubi-tubi MCA terhadap isu hudud.

"Sebelum ini, kita sudah melebihi 50 peratus undi namun semalam turun sikit kepada 40 lebih," katanya kepada Siasah.

Namun Ng berkata, beliau yakin pilihan raya ini PAS akan mendapat jumlah undi terbaik dari pengundi Cina di Kuala Terengganu.

Sebelum ini, paling tinggi PAS pernah mendapat 35 peratus dari undi Cina untuk calonnya.

Kali ini, sokongan terbuka jelas kelihatan di kalangan orang Cina terhadap PAS sehingga ada anggaran, PAS akan mendapat 70 peratus undi Cina.

UMNO diseru bersama himpunan 100,000 Gerakan Mansuh PPSMI

KUALA LUMPUR, 16 Jan: Gerakan Mansuh PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris) atau singkatannya GMP telah berjaya menyerahkan memorandum kepada Pakatan Rakyat (PR) di Kuala Terengganu pada 15hb Januari 2009.

Memorandum yang ditandatangani oleh Pengerusi GMP Dato’Dr Hassan Ahmad telah diserahkan oleh Timbalan Pengerusi GMP yang juga pakar matematik dan fizik Dr. Shahrin Md Zain kepada calon PR bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut.

Demikian kata Suhaizan Kaiat, Ketua Penerangan Pemuda PAS dalam satu kenyataannya.
katanya, respon yang baik telah ditunjukkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia telah berjanji akan memansuhkan PPSMI jika PR diberi kuasa memerintah negara ini. Selepas ini GMP akan berusaha menyerahkan memo ini kepada Perdana Menteri pula, tambah beliau.

Setakat ini lebih 30 NGOs dan parti politik bersetuju bersama dalam GMP yang akan mengadakan Himpunan 100 Ribu di hadapan Istana Negara. Terbaharu NGOs pendidikan cina dan tamil akan bersama dalam GMP. Parti-parti pembangkang seperti PAS dan PKR telah lama memberikan sokongan kepada GMP.

Tokoh-tokoh pejuang bahasa seperti bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dato’ Dr Hassan Ahmad, Peyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-Cina, Universiti Pengajian Asing Beijing Prof Dr. Awang Sariyan, bekas Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pusataka Prof Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, pakar matematik dan fizik Dr. Sharin Md Zain, Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Abdullah Hassan dan ramai lagi telah menunjukkan bantahan terhadap PPSMI.

Bagi beliau, walaupun GMP yang berusia bawah setahun jagung, tetapi ia telah mendapat sambutan luar biasa.

Sebenarnya NGOs, kata Suhaizan, parti politik dan pejuang-pejuang bahasa ini telah lama memendam rasa terhadap kesombongan pihak kerajaan.

Segala usaha melalui rundingan seperti persidangan dan resolusi tidak dindahkan langsung oleh pihak kerajaan. Oleh itu mereka berpendapat tekanan kepada pihak kerajaan perlu ditingkatkan melalui himpunan ala Bersih.

"Persoalannya, ditengah-tengah kegairahan NGOs, parti politik dan pejuang-pejuang bahasa membantah PPSMI, dimanakah suara-suara keramat pemimpin politik Melayu bernama UMNO.

"Pihak Sekretariat GMP masih belum menerima sebarang permohonan daripada mana-mana bahagian atau cawangan UMNO.

"Setakat ini hanya UMNO Johor sahaja yang menunjukkan bantahannya terhadap PPSMI. Menteri Besar Johor Dato’ Abdul Ghani Othman seperti yang tersiar dalam Utusan Malaysia pada 27hb Disember 2007 dengan tegas menyatakan batahannya terhadap PPSMI,"katanya.

Bagaimana pun batahan setakat kenyataan media dan persidangan-persidangan seperti yang dilakukan oleh Menteri Besar Johor telah terbukti tidak mampu mendesak pihak kerajaan persekutuan mengubah pendirian mereka.

"Oleh itu saya menyeru kepada saki baki ahli dan pemimpin UMNO yang ada perasaan sayangkan bangsa melayu sepertimana matlamat perjuangan asalnya, marilah bersama menganggotai GMP. Marilah kita bersama dalam Himpunan 100 Ribu Mansuh PPSMI. Marilah kita jayakan," katanya.

Wednesday, January 14, 2009

Karpal halau pengundi Cina?

Kekurangan undi Cina kepada calon PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu dibimbangi berpunca dari kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh mengenai hukum hudud menjelang hari pembungan undi pilihan raya itu.

Ini kerana, PAS sendiri tidak pernah menjadi juara isu itu bahkan ia lahir dari media BN dan dimainkan oleh MCA di Kuala Terengganu.

Analisa penuh dalam Siasah Jumaat ini.

Kuala Terengganu: PAS ucap terima kasih kepada semua terlibat

KUALA TERENGGANU, 21 Jan: Para Pemimpin Pakatan Rakyat, jentera pilihan raya kecil Kuala Terengganu,calon serta keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini sehingga memenangkan calon mereka, Mohd Abdul Wahid Endut.

Terima kasih terutamanya diucapkan kepada pengundi,petugas, pegawai keselamatan, petugas SPR, media yang membuat liputan dan lain-lain pihak yang telah membolehkan calon PAS itu terpilih sebagai anggota Parlimen P036 Kuala Terengganu.

"Ucapan terima kasih itu disiarkan dalam akhbar Sinar Harian semalam dan bakal diikuti oleh beberapa akhbar lain selepas ini," kata Muhyidin Abdul Rashid Ketua Penerangan PAS Terengganu kepada Siasah.

Umno didakwa ekstrem dan penipu

SEMAKIN hampir dengan hari mengundi, PAS mendakwa jentera BN semakin gelabah sehingga sanggup menyebarkan risalah perkauman yang ekstrem serta mencetak Buletin Kuala palsu bagi mempengaruhi pengundi.

BN juga didakwa menukar pendekatan kempen dari membina imej calonnya yang dikatakan tidak mesra rakyat kepada menyerang dan memfitnah calon dan parti lawannya.


(Gambar: Wan Mutalib menunjukkan Buletin Kuala palsu yang didakwa dibuat oleh jentera kempen BN)

Laporan penuh Siasah Jumaat ini.

Dosa kepada Razali hantui Umno

KETIKA hidup, jasa dan kehebatannya dipinggirkan bahkan diperlekehkan oleh rakan-rakannya dalam Umno. Usahanya untuk berada dalam hiraki kepimpinan Umno Kuala Terengganu pimpinan Datuk Wan Ahmad Farid juga ditolak bahkan dilakukan sendiri oleh abang Wan Farid iaitu Datuk Wan Hisham. Setelah dia tiada, dosa-dosanya kepada Razali kini menghantui Umno.

Maktab Perguruan Kuala Terengganu dinamakan Maktab Perguruan Datuk Razali, Sekolah Menengah Bandar akan dinamakan Sekolah Menengah Datuk Razali dan sebagainya.

Laporan penuh Siasah Jumaat ini.

BN membazir peruntukan dana bas


KUALA TERENGGANU, 14 Jan: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut mempertikaikan pembaziran kerajaan BN Terengganu yang memperuntukan RM1 juta kepada syarikat bas untuk membeli bas baru.

Ujarnya, dana tersebut lebih bersifat pembaziran sedangkan sebelum ini kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM14 juta kepada Cas Ligas Sdn Bhd bagi tujuan pengangkutan awam.

Sementara RM11.3 juta telah diperuntukkan untuk 28 buah bas bandar di kawasan Kuala Terengganu, katanya.

Namun dengan peruntukan tersebut dilihat tidak mendatangkan kesan besar kepada rakyat apabila hanya tiga buah bas sahaja mampu beroperasi untuk kemudahan di bandar raya ini.

Beliau menyatakan bahawa pihaknya ada menimbulkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) baru-baru ini bahawa RM14 juta diperuntukkan untuk Cas Ligas Sdn Bhd iaitu anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan RM11.3 juta diperuntukkan untuk membeli sebanyak 28 buah bas.

“Sebanyak 28 bas yang dibeli tidak berfungsi duduk tengah panas macam itu sahaja di tengah padang. Saya tanya sebab apa, dia kata tidak boleh berfungsi kerana tidak ikut peraturan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan," katanya yang juga Adun Wakaf Mempelam.

Perkara tersebut jelas menunjukkan bahawa kerajaan gagal menguruskan wang dengan baik dan memastikan keperluan hak rakyat, katanya.

Beliau melahirkan kebimbangan akan kesungguhan sebenar kerajaan negeri dapat menyelesaikan masalah pengangkutan bas sambil melihat pembaziran duit rakyat terus mengalir begitu sahaja.

Sejak bila Toyota Camry jadi kereta mewah?

SHAH ALAM, 14 Jan: Pelbagai pihak mempersoalkan sejak bila kereta Toyota Camry dikategorikan sebagai kereta mewah sebagaimana yang dinyatakan oleh sebuah stesyen TV dan beberapa media baru ini.

Ini kerana, selama ini tidak pernah ada mana-mana pihak yang telah mengkategorikan kereta ini dalam senarai kereta mewah kerana ia hanya kereta biasa sahaja.

"Yang disenaraikan kereta mewah adalah kereta yang dibeli oleh kerajaan negeri Terengganu pimpinan Datuk Ahmad Said iaitu Mercedes C200 kompresor," kata seorang pembaca kepada Siasah.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Selangor Pimpinan Pakatan Rakyat memandang serius isu pembelian kereta Camry untuk kegunaan Exco serta Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Selangor yang dilihat telah diputar belitkan oleh sesetengah pihak.

Keputusan Pembelian Kereta Toyota Camry di buat pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri minggu lalu dan bukan tahun lalu kerana belum ada peruntukan ketika itu, kata Setiausaha Politik MB Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataannya.

Tuesday, January 13, 2009

PAS dakwa Umno parti ekstrem perkauman

KUALA TERENGGANU, 13 Jan: PAS melahirkan rasa kesalnya terhadap tindakan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) yang terus-terusan memainkan sentimen kaum dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

(Gambar: Mustafa menunjukkan risalah menghasut yang disebarkan jentera BN.)

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya menemui satu risalah yang disebarkan BN yang mempertikaikan tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan cara memainkan api perkauman.

"Dalam media, pemimpin Umno dan BN bercakap soal perpaduan tetapi apabila datang kepada kaum masing-masing, mereka menyebarkan api perkauman," kata beliau sambil menunjukkan satu risalah yang disebarkan kepada penduduk Melayu di Kuala Terengganu.

Beliau yakin risalah itu dibuat oleh jentera pilihan raya BN untuk menanamkan rasa marah orang Melayu terhadap pemimpin Pakatan tetapi kandungannya penuh dengan semangat perkauman yang ekstrem.

Antara kandungan risalah itu adalah "Hanya kerana nak terus berkuasa, Tan Sri Khalid sanggup jadi barua DAP", "Haram jadah punya Khalid Ibrahim, sanggup jual bangsa sendiri" dan sebagainya.

Sudahlah kandungannya penuh dengan hasutan, fakta yang disiarkan dalam risalah bertajuk "Buletin anak Jawa Selangor" itu penuh dengan penyelewengan dan tipu muslihat, kata Mustafa.

"Saya ingin bertanya kepada Umno, kenapa sampai perlu buat begini?" kata Mustafa dalam sidang media di Markas Besar PAS itu.

Bagi Mustafa, pendekatan Umno ini berbeza dengan PAS dan Pakatan Rakyat.

"Semasa kami memerintah Terengganu dahulu, kami bela semua pihak termasuk penduduk Cina di negeri ini sehingga Umno juga berkempen apa guna kami beri cukai pintu percuma kerana ia menguntungkan orang Cina kerana mereka ramai di bandar," beritahu Mustafa.

Wan Farid mudaratkan penduduk Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 13 Jan: PAS menyifatkan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tidak berjasa kepada rakyat Kuala Terengganu bahkan memudaratkan mereka.

(Gambar: Papan pemidang kempen Wan Farid di Kuala Terengganu: Benarkah dia pembela golongan belia atau merosakkannya dengan menjadikan Kuala Terengganu tempat buangan penjenayah tegar )

Pengarah Operasi pilihan raya kecil Kuala Terengganunya, Datuk Wan Mutalib Embong berkata, kadar jenayah meningkat di Terengganu apabila kerajaan Pusat melalui Kementeri Dalam Negeri menjadikan Kuala Terengganu sebagai tempat buangan penjenayah.

"Saya difahamkan, Kuala Terengganu dijadikan sebagai salah satu lokasi orang buangan untuk pesalah atau penjenayah di bandar-bandar besar terutama di kalangan orang Cina dan India.

"Kementerian Dalam Negeri berharap akan memutuskan hubungan penjenayah ini dengan jaringan mereka di sana tetapi dalam masa yang sama mereka tidak sedar penjenayah ini menjadi guru kepada anak-anak muda di Kuala Terengganu ini.


"Apa peranan Wan Farid selama ini selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam hal ini atas dasar beliau orang Kuala Terengganu?" tanya Wan Mutalib Embong dalam sidang medianya hari ini di Markas Besar PAS Kuala Ibai.

Ketika ditanya, berapa bilangan penjenayah yang dibuang daerah ke Kuala Terengganu, Wan Mutalib berkata, beliau pernah bertanyakan hal ini dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu namun Menteri Besar berkata beliau tidak mempunyai angkanya kerana ia di dalam bidang kuasa Kerajaan Pusat.

"Jadi yang saya boleh sahkan Kuala Terengganu memang salah satu tempat orang buangan tetapi bilangannya saya tidak pasti.

"Yang sah juga, kadar jenayah di bandar ini meningkat dan saya katakan ia berpunca dari para penjenayah yang dibuang daerah ini," katanya kepada Siasah.

Royalti: Mampat cadang Abdul Wahid, Wan Farid berdebat

KUALA TERENGGANU, 13 Jan : Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) mencadangkan calon PAS dan Barisan Nasional (BN) yang bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini berdebat isu royalti minyak.

Pengerusinya, Mohamad Fauzi Abu Samah berkata, Mampat berdiri untuk menyelesaikan permasalahan dengan menganjurkan Debat Royalti untuk memberi peluang kepada bakal ahli Parlimen Kuala Terengganu menjelaskan pendirian masing-masing dan memperjuangkan isu yang sebenar dengan tepat dan jitu.

Katanya, debat yang dianjurkan Mampat itu akan diadakan pada 15 Januari ini di Terengganu Equestarian Resort (TER) bermula jam 8.00 hingga 10.00 malam dengan ahli panelnya adalah Mohd Abdul Wahid Endut (PAS) dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (PAS).

Tambahnya, Datuk Paduka Prof Mohamad Abu Bakar dari Universiti Malaya pula bertindak sebagai pengerusi debat yang bertajuk `Royalti: Antara Hak dan Maruah Rakyat Terengganu’ itu.

Menurutnya, usaha untuk mendapatkan kembali royalti adalah sebahagian daripada perjuangan Mampat.

“Mampat sebelum ini telah beberapa kali mengadakan program bagi mendapatkan kembali royalti yang merupakan hak rakyat negeri ini dipulangkan semula yang kini perjuangan itu hampir menampakkan hasilnya,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di TER, semalam.

Bagaimanapun, beliau merasa sedikit kecewa bila mana Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menyatakan Terengganu akan menarik kembali saman kerajaan negeri terhadap kerajaan Pusat berkenaan isu royalti pada 10 Januari lalu.

Bagi Mampat, katanya penarikan tersebut adalah sesuatu yang tidak wajar memandangkan isu itu belum selesai sepenuhnya.

“Bagi Mampat, kepercayaan dan keyakinan hanya akan kukuh apabila royalti benar-benar telah dikembalikan sepenuhnya hak pengurusan kepada kerajaan negeri,” ujarnya.

Menurutnya, penerimaan cek RM408.6 juta oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 12 Disember lalu di Stadium Negeri adalah amat sedikit dan masih jauh dari jumlah sepatutnya yang berjumlah RM6.218 bilion iaitu tunggakan bermula tahun 2000.

Tambahan pula, katanya, bayaran terus oleh Petronas kepada akaun kewangan negeri pula hanya akan berlaku mulai Mac 2009.

“Ini kerana RM700 juta wang royalti minyak telah digunakan oleh Kerajaan Pusat untuk membina rumah oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di negeri lain. RM800 juta lagi dibelanjakan untuk pelbagai projek pembangunan di negeri lain perlu dituntut kembali,” katanya lagi

Beliau berkata, menerusi akhbar Ganu Kite, iaitu edisi khas sempena pilihan raya kecil itu dimaklumkan sebanyak RM6.12 bilion sudah dimasukkan ke akaun kerajaan negeri sejak tahun 2000 yang termasuk jumlah cek RM408.6 juta.

“Kenyataan itu dilihat sebagai suatu yang sangat-sangat mengelirukan. Memandangkan isu royalti masih disebut-sebut dan wang berkenaan masih di awang-awangan, Mampat merasakan isu itu sewajarnya diperjuangkan sehingga benar-benar selesai,” ujarnya.

Sunday, January 11, 2009

Bekas pelumba motorsikal bantu calon PAS

KUALA TERENGGANU, 11 Jan: Bekas juara lumba motorsikal berkuasa kecil Malaysia, Mohd Yasir Said menyertai jentera PAS bagi kempen pilihan raya di Kuala Terengganu.

Beliau yang datang bersama empat rakannya telah mengadakan demonstrasi 'menunggang motor cara selamat' di Pasar Borong Gong Pauh dekat sini sebentar tadi.

Calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut sempan beramah mesra dengan Yasser serta rakannya dalam program tersebut yang dianjurkan Nisa Terengganu.

Beliau yang ditemui selepas membuat pertunjukan tersebut menyatakan sokongan penuh kepada calon PAS untuk menang dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Ujarnya, calon dan kepimpinan PAS tidak kira bagi pilihan raya kecil ini mahupun dalam apa juga keadaan memahami kehendak orang muda.

Baginya, pengundi muda di sini akan memberi undi kepada Wahid yang baginya sangat prihatin kepada golongan muda.

“Sangat penting bagi golongan muda untuk memberikan peluang kepada PAS untuk membuktikan bahawa pemimpin PAS memperjuangkan hak yang menepati citarasa golongan muda,” ujarnya.

Yasir adalah salah seorang anggota jawatankuasa Lajnah Kebudayaan dan Kesenian Pemuda PAS Pusat yang telah banyak membuat program bersama penunggang muda.

Beliau berada di Kuala Terengganu bersama jentera pilihan raya PAS beberapa hari sehingga proses pembuangan undi pada 17 Januari ini.

Tangkap anti Israel: Malaysia ada main mata dengan Amerika?

KUALA LUMPUR, 11 Jan: PAS melahirkan kebimbangan kalau-kalau kerajaan Malaysia bermain mata dengan Amerika dan Israel dalam isu serangan ke atas Palestin sehingga menyebabkan polis menangkap 21 penunjuk perasaan anti zionis di Dataran Merdeka.

"Kalau tidak mengapa hingga 21 orang ditangkap kerana berhimpun dan memasang lilin membantah perhimpunan anti Zionis dan anti perang," kata Mahfuz Omar, Ketua Penerangan PAS.

Menurut Mahfuz, perhimpunan itu tidaklah sebesar mana sehingga mengganggu ketenteraman awam dan lalu lintas di kawasan itu.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi Kuala Terengganu menilai kembali keikhlasan kerajaan BN dalam isu yang menimpa rakyat Palestin sekarang.

Sementara itu, tangkapan ke atas aktivis yang menghadiri himpunan aman mengecam tindakan biadap dan ganas zionis Yahudi Israel terhadap umat Islam Palestin menunjukkan seolah-olah pihak polis bersifat `talam dua muka'.

Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh amat kesal dengan tindakan tidak profesional pihak polis yang tidak memberi kesempatan kepada aktivis untuk menunjukkan protes mereka.

Menurut beliau mereka membuat perhimpuan itu untuk menyatakan rasa protes terhadap keganasan zionis Israel.

"Protes anti Israel itu tindakan menyeluruh dilakukan rakyat seluruh dunia tetapi kenapa pihak polis mengambil tindakan membuat tangkapan terhadap perhimpunan malam itu," tegasnya.

Beliau mempersoalkan adakah disebabkan ramai yang hadir dalam perhimpunan itu ahli Jerit dan jika perkara itu benar ia suatu tindakan yang akan mengundang kesan yang tidak baik terhadap masyarakat bukan Islam.

Ini kerana katanya mereka boleh membuat perbandingan dalam perhimpunan pada setiap hari Jumaat yang dihadiri ramai umat Islam polis tidak mengambil apa-apa tindakan sebaliknya memberi peluang selama satu jam untuk meluahkan bantahan.

Menurut beliau cara tangkapan itu juga menunjukkan pihak polis bertindak tidak profesional kerana ketika Charles Santiago dan Dr Mohd Nasir cuba berbincang dengan pihak polis manakala SB di belakang membuat kepungan.

Beliau mempersoalkan bagaimana sikap polis Malaysia apakah mereka mengikut masa-masa tertentu menyokong perjuangan rakyat Palestin dan dalam masa yang sama mengambil tindakan terhadap penyokong perjuangan tersebut.

"Apakah pihak polis di Malaysia bersifat `talam dua muka'," tegasnya.

Dalam tangkapan itu, polis menahan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad; Penyelaras Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) Arutchelvan Subramaniam; Adun Kota Damansara yang juga Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Mohd Nasir Hashim, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago serta beberapa orang aktivis Suaram.

Rakyat KT tidak akan termakan 'gula-gula' BN - Syed Azman

KUALA TERENGGANU, 11 Jan: Rakyat atau lebih khusus pengundi di Parlimen Kuala Terengganu tidak akan termakan dengan 'gula-gula' yang dijanjikan Umno/BN dalam kempen pilihan raya kecil di sini.

Demikian kata Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dalam satu ceramahnya di kampung Kuala Bekah dekat sini.

Turut hadir ialah, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Ahli Parlimen Pendang, Dr Hayati Othman; Exco Kedah, Dr Ismail Salleh dan Adun Seri Setia, Nik Nazmi (PKR).

"Rakyat di sini sudah matang dan tahu permainan yang dilakukan Umno/BN ini.Mereka hanya mahu menipu rakyat dengan janji-janji mereka, sedangkan selepas pilihan raya mereka akan hilang entah ke mana," kata beliau yang juga AJK PAS Pusat.

Sebelum ini ketika PAS memerintah Terengganu, wang royalti minyak dirompak oleh kerajaan Pusat, katanya.

Sebaliknya selepas BN memerintah semula Terengganu, wang tersebut diberi semula namun begitupun rakyat di sini tidak mendapat faedahnya, kata beliau.

"Rakyat Terengganu terus miskin sedangkan pemimpin BN kaya raya," katanya.

Beliau yakin, rakyat di sini boleh menilai prestasi buruk yang ditunjukkan kerajaan negeri selain calon BN yang jarang sekali turun padang melihat kesengsaraan rakyat.

Baginya, apa sahaja yang ditabur termasuk janji wang, projek dan kemudahan sudah tidak termakan oleh pengundi di Kuala Terengganu.

Sebaliknya, rakyat di sini sudah muak ditipu oleh BN di setiap kali pilihan raya berlangsung, katanya.

"Rakyat di sini tidak laparkan wang ringgit dan janji projek, tetapi mereka mahukan perubahan kerana berasa semakit terhimpit di bawah pemerintahan BN," katanya.

Beliau yakin pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ini akan dimenangi calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dan seterusnya akan mewakili suara rakyat di sini.

Rakyat di sini juga tidak akan termakan dengan janji Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang menyatakan akan melantik calon BN, Datuk Wan Farid Wan Saleh sebagai Timbalan Menteri jika menang, katanya.

Sebaliknya rakyat di sini mahu kesejahteraan hidup dan seorang wakil rakyat yang benar-benar dekat kepada rakyat, katanya.

Sehubungan itu PAS menyertai pilihan raya kali ini untuk menghantar seorang lagi wakil ke Parlimen untuk menyuarakan hak rakyat, katanya.

Sejurus selepas ucapan Syed Azman itu, Presiden PAS telah dijemput untuk menerima penyerahan borang pembukaan cawangan baru di Kampung Kuala Bekah.

Kira-kira 100 penduduk kampung menghadiri ceramah sempena majlis penyerahan borang penubuhan cawangan baru tersebut.

Pada masa yang sama, kira-kira 50 orang anggota polis ditempatkan semasa ceramah tersebut berlangsung.

Berikutan kehadiran ramai anggota polis di hadapan tempat ceramah tersebut, jalan agak sesak, malah beberapa orang penduduk melahirkan rasa kesal dengan kehadiran terlalu ramai polis di kawasan mereka.

Palestin: Malaysia menyokong siapa sebenarnya?

KUALA TERENGGANU, 11 Jan: Kerajaan Malaysia dipersoal menyebelahi pihak mana dalam isu serangan Israel ke atas Palestin ekoran perkembangan terbaru melibatkan tangkapan terhadap peserta himpunan aman di Dataran Merdeka.

Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu yang mempersoal tindakan tersebut berkata, kerajaan dilihat seperti tidak menyebelahi Palestin dan mula memperlihatkan wajah sebenar mereka.

"Mereka (pemimpin kerajaan) bercakap seolah-olah membenci apa yang dilakukan oleh Israel termasuk membenarkan para pelajar universiti menyertai perhimpunan-perhimpunan mengutuk Israel.

"Tetapi apabila rakyat turun menyatakan bantahan ke atas Isreal, 21 orang telah ditangkap. mungkin selepas ini kerajaan akan memberikan alasannya menangkap peserta himpunan itu tetapi kenyataanya 21 orang telah ditangkap," kata beliau mengulas perkembangan tersebut dalam ketika berkempen membantu calon PAS dalam satu ceramah di Losong.

Mohammad juga menyifatkan tindakan itu sebagai 'terbongkarnya wajah sebenar kerajaan BN' yang tunduk dan lebih takut kepada tekanan Amerika tetapi cuba untuk menunjukkan mereka menyokong perjuangan rakyat Palestin serta mengutuk Israel kerana sebab-sebab politik khususnya untuk memenangi hati pengundi di Kuala Terengganu.

"Biasanya penipuan itu tidak lama," kata beliau.

Justeru beliau menggesa pengundi Kuala Terengganu menyatakan bantahan terhadap sikap kerajaan itu melalui undi pada 17 Januari ini.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua turut membidas tindakan pihak berkuasa menangkap peserta himpunan aman di Dataran Merdeka itu.

"Pihak kerajaan khususnya Umno sebelum ini mengajak rakyat bersatu termasuk parti-parti politik diminta mengenepikan berbezaan untuk bersama-sama mengutuk keganasan Israel. tetapi bila rakyat turun mereka ditangkap," katanya dalam ceramah di Cabang Tiga.

Kata Tian Chua, jika kerajaan benar-benar mahu bersatu dalam isu Palestin PAS, PKR dan DAP akan mengembeling ahli-ahlinya untuk bersama-sama menyatakan bantahan terhadap Israel.
Dalam kejadian di Dataran Merdeka, polis telah menahan 21 peserta perhimpunan aman yang menamakan diri sebagai Gabungan Anti Perang (GAP). Penahan tersebut melibatkan 13 lelaki termasuk seorang remaja berumur 15 tahun dan lapan perempuan.

Antara yang turut ditahan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim, ahli Parlimen Klang, Charles Santiago serta Penyelaras Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) Arutchelvan Subramaniam.

Polis telah menahan kumpulan tersebut yang berarak dari perkarangan bangunan Majlis Peguam ke Dataran Merdeka kira-kira pukul 8 malam kerana dikatakan degil dan enggan beredar setelah diarahkan berbuat demikan.

Sementara dalam isu berkaitan, Mohammad turut mempersoalkan wang derma yang dikutip oleh kerajaan melalui masjid-masjid di seluruh negara atas nama bantuan kepada Palestin akan diagihkan kepada pihak mana.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid mengarahkan wang derma dimasjid-masjid pada hari Jumaat selama tiga minggu berturut diserahkan kepada pihaknya untuk tujuan membantu rakyat Palestin.

Bagaimanapun kata Mohammad, Malaysia selama ini dilihat tidak mengiktiraf kerajaan Palestin dipimpin oleh Hamas yang memenangi pilihan raya negara itu sebaliknya lebih dekat dengan kumpulan yang dipimpin oleh Mahmoud Abbas (Fatah).

Antaranya sebelum ini Malaysia sebagai tuan rumah persidangan khas Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pernah mengiktiraf kehadiran wakil Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sebagai mewakili rakyat Palestin dan mengenepikan wakil Hamas sebagai kerajaan yang sah dinegara itu yang turut hadir dalam persidangan tersebut.

Justeru kata Mohammad, walaupun 10 sen didermakan oleh rakyat ia perlu dibantah jika disalurkan kepada kumpulan Mahmoud Abbas yang didakwa bersekongkol dengan Yahudi.


"Kerajaan perlu jelaskan ke mana wang derma itu akan disalurkan, kalau kepada kumpulan Mahmoud Abbas maknanya wang umat Islam dari Malaysia diberi kepada kumpulan yang tidak berjuang," ujar beliau kepada hampir 1000 penduduk sekitar Losong yang hadir mengikuti ceramahnya itu.

Kerja keras bantu Abdul Wahid

Sementara itu kehadiran Mohammad menarik perhatian ramai ekoran beliau merupakan bekas calon PAS bagi kawasan parlimen tersebut dalam pilihan raya umum tersebut.

Kehadiran beliau sekali gus melangsaikan janjinya sebelum ini yang berikrar akan terus bekerja untuk membantu kempen pilihan raya walaupun tidak dipilih sebagai calon.

Beliau yang berkampung di Kuala Terengganu sejak semalam (9 Januari) sehingga 13 Januari ini dilihat bekerja keras untuk memastikan kemenangan PAS dengan memenuhi program-program yang disusun oleh jentera kempen parti kepadanya dan dijadualkan akan berceramah dibeberapa lokasi setiap malam selama beliau disini.

Mengulas mengenai calon PAS, Abdul Wahid Endut, Mohammad berkata calon yang diletakkan oleh PAS merupakan seorang yang berani, lantang dan pandai berhujah berdasarkan potensinya di Dewan Undangan Negeri.

"Abdul Wahid pernah dicabar bertumbuk oleh Ahmad Said (sebelum menjadi menteri besar) kerana tidak mampu berlawan hujah.

"Saya percaya Abdul Wahid ini kalau orang Kuala Terengganu hantar dia ke parlimen, mungkin kurang sedikit sahaja untuk setanding dengan Karpal Singh. Abdul Wahid ada ciri itu dan PAS tidak akan pilih wakil sekadar untuk panaskan kerusi sahaja," kata beliau.

Dalam pilihan umum raya lalu, Mohammad mewakili PAS sebagai calon parlimen Kuala Terengganu telah tewas kepada Datuk Razali Ismail dengan mejoriti kurang daripada 1000 undi.

Setelah Datuk Razali meninggal dunia akibat serangan jantung nama Mohammad turut disenaraikan sekali lagi sebagai calon dalam pilihan raya kecil bersama beberapa nama lain untuk dipilih oleh Presiden PAS. Bagaimanapun, Presiden PAS memilih Abdul Wahid dalam satu pengumuman di Stadium Kuala Terengganu 1 Januari lalu. - Foto: Azrul Edham

Datuk Razali tidak dihargai wan Farid

KUALA TERENGGANU: Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli menyifatkan calon Barisan Nasional, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tidak menghargai Allahyarham Datuk Razali Ismail sebagai orang yang berjasa kepada Umno negeri ini khususnya di Kuala Terengganu.
Kata Mohd Hatta, sepatutnya sewaktu Allahyarham Razali ketika hayatnya mendapat kedudukan lebih baik dalam Umno bahagian Kuala Terengganu setimpal dengan kejayaan dan kedudukannya.

Bagaimanapun katanya, ketika Allahyarham Razali bertanding jawatan Naib ketua Umno bahagian Kuala Terengganu tokoh itu telah tewas kerana dikatakan adanya konspirasi yang melibatkan Ahmad Farid sendiri sebagai ketua bahagian.

"Bukannya beliau mahu merebut ketua bahagian atau timbalan ketua bahagian, tetapi bertanding sebagai naib pun dikalahkan dengan konspirasi calon BN sekarang (Ahmad Farid)," kata Hatta dalam ceramahnya di Wakaf Beruas dekat sini bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Adun batu Buruk, Dr Syed Azman Nawawi dan Ahli jawatankuasa PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Kata Mohd Hatta, Allahyarham Razali selain dihormati oleh masyarakat Kuala Terengganu beliau juga berjaya mengalahkan Naib Presdien PAS, Mohammad Sabu dan dilantik sebagai timbalan menteri pelajaran oleh Perdana Menteri.

"Kejayaan beliau (Allahyarham Razali) bukannya mudah, apa lagi untuk mengalahkan seorang yang berjawatan tinggi dalam PAS dan sangat popular dikalangan rakyat seperti Mohammad sabu. Tetapi orang berjasa macam ini bertanding naib ketua bahagian pun dikalahkan oleh Umno Kuala Terengganu sendiri," ujar beliau.

Datuk Razali yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bermain badminton memenangi pilihan raya Kuala Terengganu pada pilihan raya umum 2008 menewaskan Mohammad Sabu.

Ekoran itu satu pilihan raya kecil akan diadakan pada 17 Januari ini antara Umno, PAS dan bebas yang masing-masing diwakili Ahmad Farid, Abdul Wahid Endut dan Azharudin Mamat.
Mengulas mengenai calon PAS, Mohd Hatta berkata, Abdul Wahid seorang yang kuat bekerja dan mempunyai potensi yang baik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri.

"Beliau mampu berhujah dengan baik dan wajar pengundi Kuala Terengganu menghantar beliau ke parlimen," katanya.

Saturday, January 10, 2009

Calon PAS dapat 58% sokongan kata poll Yahoo

KUALA LUMPUR, 10 Jan: Poll yang dibuat oleh laman web terkenal Yahoo.com.my mendapati 58% dari pengundi mereka memilih calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut sebagai pilihan mereka manakala calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh hanya mendapat 22% undi.

Poll yang sehingga berita ini ditulis telah disertai oleh 1521 peserta itu memberikan undi sebanyak 2% kepada calon bebas Azharudin Mamat @ Adam manakala 19% dari pesertanya tidak tahu atau tidak kesah dengan pilihan raya ini.

Berikut adalah keputusan penuh poll itu.

Who do you think will win the Kuala Terengganu parlimentary seat in next Saturday's by-election?
Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (BN) 331 votes 22%
Mohd Abdul Wahid Endut (PAS) 879 votes 58%
Azharudin Mamat @Adam (Independent) 27 votes 2%
Don't know, don't care. 284 votes 19%
(1521 people voted in this poll)

Pakatan Rakyat lebih demokratik, kata Anwar

KUALA TERENGGANU, 10 Jan: Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemuafakatan Pakatan Rakyat adalah lebih demokratik dan matang berbanding Barisan Nasional.

(Gambar: Anwar dan Mustafa dalam majlis makan malam untuk memugut dana pilihan raya Kuala Terengganu)

"Ini (Pakatan Rakyat) bukan Barisan Nasional di mana pimpinan Umno boleh memerintah (dictates) kemudian pimpinan MCA, Gerakan dan MIC semuanya menurut tanpa bantahan," kata Anwar disertai sorakan hebat para hadirin.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Bilik Gerakan Utama KeADILan di Gong Kapas, dekat sini.

Beliau menjelaskan parti-parti dalam Pakatan Rakyat tidak akan bergabung dengan satu muafakat yang akan mengikat kebebasan parti-parti tersebut menyuarakan perbezaan antara satu sama lain.

"Premis dia kena 'clear' (jelas), kita menerima proses demokrasi, orang nak bercakap, bercakaplah, mengapa dalam kita bicarakan soal demokrasi kita kurang sabar bila kita mendengar satu pandangan yang kurang enak kita dengar.

"Saya tidak terlalu sensitif apabila ada pandangan-pandangan dan kenyataan antara Kedilan, PAS dan DAP yang tidak disepakati dengan jelas, kita harus beri ruang.

"Muafakat kita (Pakatan Rakyat) ini lebih demokratik lebih matang, itu prinsip kita, kita tidak mahu ada sesuatu yang terikat,"ujarnya.

Oleh yang demikian katanya, pendirian PAS tentang Islam adalah jelas dan ianya bukanlah satu perkara yang baru.
(Gambar: Kedatangan YB Izzah ke Kuala Terengganu turut memberikan semangat kepada petugas pilihan raya)

Menurutnya, penjelasan telah dibuat berulangkali oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa beberapa peruntukan dalam undang-undang Islam yang dipanggil 'Hudud' itu hanya diterima pakai kepada umat Islam sahaja.

"Secara umum Pakatan Rakyat mahu dengan jelas kedudukan Islam sebagai agama persekutuan itu dipandang secara serius dan bukan sebagai upacara rasmi sahaja," tegasnya.

Anwar juga berkata, pelancaran Bilik Gerakan Utama Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) bukan sekadar simbol kehadiran ahli-ahli dan penyokong PKR, namun merupakan komitmen kerja parti tersebut.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh lalu, permuafakatan Pakatan Rakyat cukup padu selain jentera PKR dan para petugas PAS seluruh negara berhempas pulas membantu memenangkannya.

"Jentera PAS seluruh Malaysia dikerahkan dan bekerja berhempas pulas seolah-olah calon itu calon PAS.

"Kita (PKR) juga diminta bekerja (pilihan raya kecil Kuala Terengganu) seolah-olah calon (PAS) itu adalah calon Kedilan, tidak ada perbezaan dari segi simbol,"ujarnya.

Beliau mendakwa tugas pihak media yang dikuasai oleh Barisan Nasional adalah untuk memecah belahkan perpaduan Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, walaupun pengundi Cina tidak ramai di Kuala Terengganu namun kehadiran pemimpin-pemimpin bukan Melayu dari PKR dan pemimpin utama DAP menunjukkan muafakat Pakatan Rakyat adalah jelas.

”Secara umum Pakatan Rakyat mahu dengan jelas kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan itu dipandang secara serius bukan sebagai upacara rasmi, memberi ruang kepada umat Islam menghayati dengan mengangkat kedudukan Islam khususnya bagi umat Islam bukan setakat kahwin, secara dan beberapa aspek hukum,” tambahnya.

Ke mana pergi RM1.6 bilion royalti minyak?

KUALA TERENGGANU, 10 Jan: Royalti minyak adalah hak rakyat Terengganu dan perlu diserahkan kepada kerajaan dan rakyat tanpa mengambil kira siapa yang memerintah Terengganu.

(Gambar: Tian Chua bersama rakan-rakannya selepas sidang media.)

“Pakatan Rakyat dan Barisan Alternatif sebelum ini tidak bersetuju pembangunan di politikkan, bila Barisan Alternatif mendapat mandat di Terengganu, rakyat Terengganu tidak kira yang sokong PAS yang sokong UMNO mereka berhak mendapat pembangunan.

“Tapi Barisan Nasional tidak menghormati mandat rakyat, apabila PAS memerintah Barisan Nasional bekukan dan tidak diberi royalti minyak itu kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat Terengganu dan akhirnya yang menjadi mangsa bukan penyokong PAS sahaja, orang Umno, orang MCA, orang MIC dan semua, itu kita (Pakatan Rakyat) tidak setuju,” kata Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Malaysia, Tian Chua dalam sidang media di Pusat Operasi PKR Dun Bandar, Jumaat lalu.

Beliau turut mempersoalkan di manakah baki RM1.6 bilion dari jumlah RM7 bilion wang royalti minyak tahun 2004 hingga 2007.

“Menteri Besar sebelum ini Datuk Idris mengatakan hanya RM5 bilion sahaja yang diterima, ke mana pergi RM2 bilion lagi.

Baru-baru ini, Datuk Seri Najib telah serah RM 400 juta sebagai sebahagian sumbangan royalti, tapi masih ada RM1.6 bilion yang belum diketahui dimanakah wang tersebut,” katanya.

Beliau bertanya apakah pendirian calon Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Farid terhadap wang RM1.6 bilion yang kerajaan Pusat masih berhutang kepada kerajaan dan rakyat Terengganu.

Katanya, wakil-wakil Pakatan Rakyat di parlimen mendesak kerajaan Pusat mengembalikan wang dan pemberian royalti minyak kepada kerajaan dan rakyat Terengganu.

“Kita tidak kira siapakah yang memerintah (PR atau BN) tapi yang penting ia adalah hak rakyat Terngganu. Kita anggap pemberian 5 peratus royalti minyak itu adalah terlalu sedikit, sekiranya Pakatan Rakyat memerintah kita berjanji akan berunding untuk menaikkan sehingga kadar 20 peratus,” ujarnya.

BN gagal atasi masalah pembeli Plaza Paya Bunga

KUALA TERENGGANU, 10 Jan: Indah khabar dari rupa, itulah kata-kata yang diluahkan oleh hampir 40 orang pembeli blok-blok bangunan di Plaza Paya Bunga, di sini.

Lot perniagaan yang dibeli sejak hampir 12 tahun lalu hingga kini masih belum dapat diduduki oleh pembelinya meskipun ’janji-janji’ telah diberikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar negeri, Toh Chin Yaw.

Kerajaan Barisaan Nasional (BN) negeri juga dilihat gagal menunaikan janji serta menyelesaikan masalah para peniaga terbabit yang terpaksa menanggung kerugian sejak sekian lama.

Bangunan Plaza Paya Bunga itu sepatutnya dibuka pada 12 September 2007 lalu tetapi terbengkalai sekalipun Kuala Terengganu akan diisytiharkan sebagai Majlis Bandar Raya pada 1 Januari 2008.

Seorang pembeli, Chang Pok Kiun, 56, (gambar kiri) mendakwa telah ditipu dalam transaksi pembelian satu lot perniagaan di plaza itu.

Katanya, keluasan yang ditawarkan dalam perjanjian pembelian itu adalah 469 kaki persegi tetapi ukuran sebenar hanya 398 kaki persegi sahaja.

”Saya telah rugi RM400 upah juru ukur untuk kepastian dan lot perniagaan itu dibeli dengan harga RM330,000 melalui pinjaman bank. Saya terpaksa bayar hutang bank setiap bulan sejak 10 tahun lalu tetapi masih belum boleh dibuka hari ini,” katanya.

Menurutnya, pemaju terbabit juga telah meminta bayaran baki 10 peratus lagi dalam tempoh 14 hari dari surat notis tersebut.Bahkan, katanya pemaju lebih berani mengugut untuk membatalkan perjanjian serta menjual lot berkenaan kepada pembeli lain jika pembeli gagal menyelesaikan tunggakan itu.

Beliau yang menjalankan perniagaan kedai jahit sejak 20 tahun lalu dukacita dengan masalah tersebut.

Lim Eng Keong, 46, (gambar kanan bawah) turut mendakwa mengalami kerugian kerana lot perniagaan yang dibeli sejak lapan tahun itu masih belum dapat digunakan.

”Saya telah bayar 90 peratus dari harga kos sejak lapan tahun lalu tetapi pemaju cuma siapkan 80 peratus. Saya sudah bayar lebih tetapi lot perniagaan yang dibeli itu belum disiapkan oleh pemaju,” jelasnya.

Beliau yang juga anggota MCA Kuala Terengganu mula bosan serta kecewa dengan sikap wakil rakyat yang gagal membela nasib para peniaga terbabit.

”Saya sudah acap kali pergi ke pejabat Adun Bandar tetapi tidak dapat berjumpa dengan dia (Toh Chin Yaw) cuma dengan kerani,” ujarnya.

Katanya, pemaju terbabit tidak mempunyai pejabat di bandar dan segala urusan diminta berhubung dengan pengawal keselamatan bangunan sahaja.

Heng Jee Nan, 67, yang telah menjalankan perniagaan sejak 38 tahun lalu di bandar ini antara salah seorang pembeli lot-lot kedai tersebut.

Beliau menaruh harapan tinggi kepada mana-mana pihak yang dapat membantu menyelesaikan masalah tersebut termasuk PAS.

”Kita tidak kira siapa dia yang boleh bantu kita kali ini sama ada PAS atau sesiapa sahaja. Pilihan raya sudah dekat dan orang akan cari kita untuk dapat undi satu hari nanti,” ujarnya.
Katanya, pihak pemaju telah menghantar surat bagi penyerahan kunci dan diminta menjelaskan bayaran sebanyak RM5,465.20 sebagai bayaran deposit.

Menurutnya, walaupun bayaran telah dijelaskan bagi mendapatkan kunci tetapi lot perniagaan berkenaan masih belum dapat digunakan lagi.

Rakannya Poof Chang, 42, berpendapat kegagalan menyelesaikan masalah pembeli-pembeli lot di Plaza Paya Bunga itu akan menjejaskan imej bandar ini sebagai bandar raya.
Katanya, semua pembeli lot perniagaan di plaza berkenaan marah dan kecewa dengan sikap pihak pemaju dan kerajaan negeri.

”Siapa pun tidak boleh tolong kita (pembeli) baik wakil rakyat atau pun kerajaan negeri sendiri. Berapa lama kami telah kerugian kerana membeli bangunan yang gagal disiapkan oleh pemaju,” ujarnya.

Menurutnya, rakyat kini boleh melihat serta menilai mana-mana kerajaan yang benar-benar mampu mentadbir negeri dengan baik.
Dimaklumkan, bangunan terbabit sepatutnya telah siap mengikut perjanjian pada tahun 2004 tetapi masih terbengkalai.
Namun begitu, kesemua pembeli hairan bagaimana pula dengan sebuah restoran makanan segera boleh mendapat kemudahan serta telah menjalankan perniagaan di situ sejak lebih sebulan lalu.

Sambutan hebat Cina terhadap calon PAS, kata Ngeh Koo Ham

KUALA TERENGGANU, 10 Jan: Sambutan masyarakat Tionghua terhadap calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil P.036 Kuala Terengganu amat luar biasa kali ini.

Pendirian tersebut dinyatakan sendiri oleh Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham hasil kempennya di Kampung Tiong dan Kampung Cina, Kuala Terengganu.

"Saya terperanjat dan begitu baik sekali sambutannya. Orang Cina sekarang bukan lagi macam orang Cina dahulu. Orang Cina takutkan PAS dan orang Melayu takutkan DAP kerana fitnah, ugutan dan 'benda-benda' (perkara) yang tidak betul," ujarnya ketika ditemui di Kampung Cina, baru-baru ini.

Katanya, pihak Umno dan Barisan Nasional (BN) sering kali menakut-nakutkan orang Melayu terhadap DAP dan menakutkan orang Cina terhadap PAS.

Menurutnya, orang Cina sekarang ini sudah terbuka minda terutama setelah melihat kepada perwatakan dan peribadi Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Infrastruktur, Air, Kemudahan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Perak berpendapat meski pun MB Perak dari kalangan orang PAS namun beliau seorang pemimpin yang baik.

"Orang Cina sekarang sudah terbuka terutama melihat kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar, sungguh pun dia orang PAS tetapi dia (Nizar) adalah pemimpin yang begitu baik, mentadbir dengan baik dan melayan semua orang dengan baik," jelasnya.

Kini katanya, orang Melayu, Cina, India dan orang Asli di seluruh negara ini telah mengetahui kesemua cerita fitnah dan bohong pemimpin Umno-BN itu.

Najib pening kepala peruntukan ‘tak turun’

KUALA TERENGGANU, 10 Jan: “Mana peruntukan? Saya tahu duit dah turun (dari Pusat), dah sampai kat Terengganu, tapi orang (jentera BN) bawah merungut duit tak sampai kepada mereka,” begitulah lebih kurang bunyi luahan kecewa Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohd Najib Razak beberapa hari lalu.

Menurut satu sumber yang rapat dengan BN negeri, pertanyaan yang lebih berbentuk sergahan itu ditujukan oleh Najib kepada para pemimpin Umno Bahagian Kuala Terengganu.

Selaku Pengarah Pilihan Raya BN di Kuala Terengganu, Timbalan Presiden Umno itu dikatakan telah dimaklumi bahawa peruntukan sangat besar telah dikeluarkan oleh parti itu di peringkat Pusat.

Duitnya juga telah sampai ke Terengganu dan dipercayai berada dalam simpanan seorang pemimpin kanan Umno bahagian.

Bagaimana pun, jentera BN peringkat bawahan, khususnya peringkat Unit Peti Undi (UPU) dan cawangan-cawangan merungut kerana peruntukan yang mereka tahu sangat banyak itu masih tidak melimpah kepada mereka.

Menteri besar, menteri kabinet tak reti fakta politik ke?

Analisa Berita
Oleh Penulis Khas

Sudah habis modal nampaknya para pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pertarungan sengit di Kuala Terengganu sekarang, sehinggakan para pemimpinnya tanpa segan silu sanggup memperdaya rakyat, termasuk dengan memutarbelit fakta-fakta berkaitan kejayaan kerajaan pimpinan PAS dulu.

Tambah sedihnya, pembohongan dan putarbelit itu bukan saja dibuat para pemimpin peringkat bawahan, bahkan oleh menteri besar dan menteri kabinet sendiri. Dalam ceramah politik di salah satu peti undi di Dun Wakaf Mempelam, malam kelmarin, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said kata orang-orang PAS suka berbohong.

Katanya, ada orang PAS kata mereka tidak berhutang apa-apa dengan Umno kerana Umno tidak pernah berjasa kepada mereka.

Kita tidak tahu apakah betul ada orang PAS yang kata begitu. Ataukah ia sekadar “Ahmad Said kata orang PAS kata”? Kalau setakat nak kata orang tu kata begini, orang ni kata begitu, semua orang boleh kata. Kitapun boleh kata macam-macam juga, betul tak? Tapi betulkah ada orang itu kata macam yang kita kata itu?

Tak apalah, tu urusan dia lah. Tapi apa yang menyerlahkan putar belit Ahmad ialah apabila dia berikan contoh bahawa hanya Umno yang perjuangkan kemerdekaan negara. “Dulu Umnolah yang memperjuangkan kemerdekaan negara hingga bebas dari penjajah. Tak ada PAS masa itu, tak ada DAP, tak ada Keadilan,” kata dia.

Ini fakta dari mana dia ambil ni? Kita akui bila Malaysia merdeka tahun 1957, DAP belum ada. Keadilan pun memang tak ada sebab dia baru wujud lepas Tun Dr Mahathir pecat Datuk Seri Anwar Ibrahim, 1998. Tapi semua orang yang mengaji sejarah tahu PAS sudah ada sejak tahun 1951.

Bahkan dalam pilihan raya umum pertama 1955, PAS sudah bertanding. Sudah ada kerusi dimenangi PAS di Parlimen Krian, Perak. Wakil tunggal PAS itu jadi pembangkang tunggal di Parlimen.

Apa menteri besar kita tak belajar ke sejarah ni? Takkan fakta macam ni pun nak kena tunggu Dr Ramlah Adam, pakar sejarah yang kuat Umno tu datang perbetulkan? ‘Dok rok cetong’ menteri besar macam ni!

Seorang menteri kabinet dari Kemaman pun lebih kurang itu juga. Dia ni pula kata waktu PAS perintah Terengganu dulu, parti itu janji nak pinda perlembagaan negeri untuk bolehkan dilantik Adun daripada kaum Cina.

Malangnya, kata Datuk Ahmad Shabery Cheek, PAS tak pernah buat demikian. Kata dia, itu kerana PAS memang tidak pedulikan kepentingan kaum Cina.

Ini pun kes pemimpin jahil fakta juga ni. Apa susah sangat kah untuk dia rujuk rekod prosiding Dun Terengganu zaman PAS dulu untuk pastikan benda tu?

Untuk pengetahuan sang menteri, kerajaan PAS melalui Sidang Dun pada 24 April 2003 telah meluluskan Enakmen Bagi Meminda Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama) (Pindaan) 2003 yang dikemukakan Adun PAS-Batu Burok, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong.

Enakmen ini bagi membolehkan DUN Terengganu melantik Adun dari kalangan wanita dan bukan Islam, apakala tiada antara mereka yang terpilih melalui pilihan raya. Itu faktanya. Soal apakah ia sempat dilaksanakan atau tidak, itu soal kedua. Kalau nak tahu PAS akan buat atau tidak,berilah peluang dia perintah semula negeri ini.

Malang sungguh bagi Terengganu. Ada menteri besar pun, buta sejarah. Ada seorang menteri tak dak lola pulak, ‘dok rok cetong’ jugak!

Friday, January 9, 2009

Tambah suara rakyat di Parlimen

KUALA TERENGGANU, 9 Jan: Pengarah Operasi Jentera Pilihan raya PAS bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong menyeru pengundi supaya memberikan sokongan kepada PAS untuk membolehkan suara rakyat dapat disampaikan di Parlimen.

Katanya, PAS bukan sekadar bertanding untuk untuk memenangi kerusi politik sahaja pada pilihan raya kecil itu tetapi untuk menyampaikan seruan rakyat di Dewan Rakyat.

“Insya Allah, 17 haribulan ini, bukanlah kita sekadar bertanding untuk memenangi kerusi politik, tetapi seruan yang akan kita sampaikan di Parlimen,” ujarnya pada satu majlis di Masjid Hiliran, di sini.

Beliau yang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kesempatan yang diberikan kepada PAS menggunakan premis itu menambah, ia digunakan untuk menyampaikan perkara yang amat penting.

“Yakni seruan untuk menyempurnakan fitrah kejadian kita sebagai khalifah di muka bumi ini ialah mengabdikan diri untuk memerintah, membentuk keimanan dan akhlak umat Islam, yang telah pun dicemari pada hari ini, dengan budaya-budaya dan ajaran yang menyesatkan pada hari ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri mengambil contoh bagaimana sambutan yang dilakukan sempena menyambut Hari Natal oleh masyarakat di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang baru-baru ini bukan sahaja memalukan umat Islam tetapi memalukan masyarakat yang bertamadun.

“Dan inilah suatu contoh yang kita lihat, kenapa kita mesti menambahkan suara kita di parlimen, yang boleh menyedarkan bahawa kegagalan pemerintahan di Malaysia selama 50 tahun ini, yang menghancurkan harapan ummah, yang menghancurkan harapan untuk menegakkan agama Allah di bumi yang kita hidup pada hari ini,” ujarnya.

Justeru, katanya adalah menjadi kewajipan setiap individu Islam dan bukan Islam untuk melihat keadilan Ilahi kerana ianya melintasi etnik kaum, bangsa dan agama. Ini, tambahnya selaras dengan diutuskan Nabi Muhammad untuk membawa rahmat kepada seluruh alam tanpa mengira bangsa, keturunan dan apa sahaja sehingga unggas dan binatang yang melata di bumi juga akan mendapat rahmat daripada Islam.

“Dan inilah untuk kita menjadikan panduan, kewajipan diri individu untuk melihat keadilan Islam, keadilan Ilahi itu akan dinikmati oleh seluruh penduduk bumi ini, apa sahaja kaum, apa sahaja agama, yang ada nada bersama-sama kita,” ujarnya.

Abdul Wahid sedia pikul amanah

KUALA TERENGGANU, 9 Jan: Haji Mohd Abdul Wahid Endut, calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini menegaskan beliau sudah bersedia memikul amanah sebagai ahli Parlimen jika diberi mandat oleh rakyat.

“Saya bersedia untuk memikul tanggungjawab ini jika diberi mandat oleh rakyat, tugas saya untuk menyampaikan hasrat rakyat,” ujarnya pada satu majlis ceramah, di sini, baru-baru ini.

Beliau yang juga Bendahari PAS Terengganu berkata kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil ini bukan untuk membentuk kerajaan baru tetapi menambahkan suara Pakatan Rakyat di Parlimen.

“Kita masuk pilihan raya kecil ini bukan untuk tubuh kerajaan baru tetapi mahu suara Pakatan Rakyat bertambah jika kita berjaya memenangi kerusi tersebut.

“Sekarang ini, ada tujuh orang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Terengganu tetapi apa yang disuarakan oleh mereka untuk kepentingan rakyat?” soalnya.

Katanya, beliau akan membuat pendedahan penyelewengan kerajaan sebagaimana pada persidangan Dun dan meneruskan khidmat membela rakyat di Dewan Rakyat bagi penduduk di kawasan Parlimen dan negeri ini jika diberi peluang pada 17 Januari ini.

“Jika diberi peluang oleh rakyat terutama pengundi di Kuala Terengganu, saya akan menyambung pula tugas baru di Parlimen pula,” ujarnya.

Ini kerana beliau tidak yakin terhadap ahli-ahli Parlimen BN dari negeri ini seramai tujuh orang untuk membawa suara dan mesej rakyat agar kehidupan mereka lebih terbela.

"Saya tidak yakin dengan tujuh orang Ahli Parlimen dari Terengganu itu mampu dengan lantang bersuara membela untuk membela nasib rakyat. Senyap, sunyi sepi tidak beritahu (bercakap) apa-apa yang boleh membela nasib rakyat Terengganu. Saya buat dan saya dedahkan di Dewan Undangan Negeri (Dun) dan saya akan dedahkan pula perkara yang sama di Parlimen.

"Saya harap rakyat, jika diberi peluang saya akan sambung tugas saya yang baru di Parlimen. Isu royalti, ia berkait dengan pusat dan pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin Umno di peringkat Pusat. Ini yang saya hendak berdepan dengan dia (pemimpin kerajaan Pusat),” ujarnya.

Dr Mahathir tidak relevan, kata Abdullah

KUALA TERENGGANU, 9 Jan: "Dr Mahathir boleh kata apa saja dia mahu. Dia tidak relevan kepada kita," kata Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap serangan Tun Dr Mahathir kepada beliau.

Abdullah berkata demikian kepada media selepas bertemu dengan jentera Umno dalam kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata, calon Umno di Kuala Terengganu adalah "pilihan yang sangat buruk" dan calon itu hanya 'proksi kepada Abdullah."

Mahathir berkata demikian ketika mengulas pemilihan bekas Setiausaha Politik Abdullah, Wan Ahmad Farid sebagai calon BN.

Ekoran itu, buat pertamanya kali Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno turun sendiri ke satu pilihan raya kecil.

Sedangkan sebelum ini, hanya timbalan beliau, Datuk Seri Mohd Najib mengendalikan kempen BN untuk pilihan raya kecil.

Dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh yang berjalan di negeri yang beliau adalah pengerusi perhubungannya, Abdullah tidak turun.

Beberapa akhbar baru-baru ini melaporkan Najib secara terbuka mengkritik Wan Ahmad Farid. Kritikan itu dibuat selepas Dr Mahathir menyerangkan calon itu.

Najib juga dikatakan membatalkan beberapa programnya di hari berkenaan kerana marahkan calon BN itu.

Sebelum pengumuman calon BN, Najib berkata BN memerlukan calon yang rendah diri, tidak elit dan mesra dengan rakyat.

Difahamkan, Najib mempunyai calon lain untuk pilihan raya ini namun calon pilihan beliau tidak terpilih, sedangkan calon yang dikatakan pilihan Abdullah, Wan Ahmad Farid menjadi calon.

Tuesday, January 6, 2009

Tiga penjuru di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 6 Jan: Pilihan raya kecil Kuala Terengganu akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam, 46 tahun, menyertai pertandingan tradisi antara PAS dan BN itu.

SPR mengesahkan pencalonan Muhamad Abdul Wahid Endut dari PAS dan Datuk Wan Ahmad Farid (BN) di samping calon bebas itu.

Ketiga-tiga mereka disahkan sebagai calon oleh Datuk Mohd Razali Kassim, Pegawai Pengurus Pilihan raya kecil itu jam 11.32 pagi selepas waktu bantahan tamat jam 11 pagi.

Kira-kira jam 9.30 pagi, Naib Presiden Akim, Harun @ Abdul Rahman Mohd membuat sidang media mengumumkan beliau menarik diri dari mendaftarkan diri sebagai calon dan meminta penyokongnya memberikan undi kepada calon PAS.

Ini kerana, kata beliau, perjuangan Akim sama dengan perjuangan PAS.

Wan Farid adalah yang pertama mengemukakan kertas pencalonannya diikuti Abdul Wahid. Azharudin terpaksa masuk semula ke pusat penamaan calon selepas kertas pencalonan pertamanya berlaku kesilapan. Beliau berjaya memfailkannya dua minit sebelum tempoh pencalonan ditutup iaitu jam 9.58 pagi.

Menurut Pegawai Pengurus, pihaknya menerima empat bantahan terhadap kertas pencalonan yang dipamerkan namun bantahan itu kesemuanya ditolak.

Dalam pada itu, PAS mendapat sokongan padu dari rakan-rakannya iaitu DAP dan PKR.

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang turut hadir di pusat penamaan calon iaitu di Stadium Negeri. PKR pula diwakili Naib Presidennya Azmin Ali manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mula memberikan ceramah bagi membantu kempen malam ini.

Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku kerana kumpulan penyokong Pakatan dan BN diletak jauh antara satu sama lain.

Monday, January 5, 2009

Rampas Tadika Kemas: Kerajaan Perak digesa saman pemimpin BN

IPOH, 5 Jan: Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (BERSATU PERAK) menggesa pemimpin kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa orang pemimpin UMNO yang melemparkan fitnah dan tuduhan liar terhadap kerajaan negeri berhubung isu penutupan tadika kemas di Perak baru-baru ini.

Presidennya, Mohd Hafez Sabri menjelaskan isu ini sebenarnya tidak berlaku sebaliknya sengaja dicipta dan direka oleh pihak yang terdesak semata-mata mahu meraih undi dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu yang akan menjelang.

"Saya sendiri telah bertanya kepada YAB Menteri Besar dan beliau menjelaskan kerajaan negeri tidak pernah pun menutup atau mengarahkan mana-mana pihak untuk menutup mana-mana premis tadika kemas di negeri ini, sebaliknya mengalu-alukan kewujudan sekolah tersebut sebagai salah satu medium terpenting dalam usaha mendidik anak bangsa kita," katanya.

"Ini merupakan salah satu bukti lagi yang menunjukkan pemimpin BN negeri gemar melakukan fitnah dan tuduhan tidak berasas," katanya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan kononnya kira-kira 13,000 murid tadika di negeri ini mungkin terjejas pembelajaran mereka ekoran tindakan kerajaan negeri Perak mengarahkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengosongkan 700 premis tadika milik agensi itu.

Dalam pada itu, menurut Ketua Penerangan pertubuhan tersebut, Ahmad Shahir Abdul Aziz ketika menjelaskan isu ini berkata pihak media khususnya media arus perdana sepatutnya meneliti dan menyiasat isu ini terlebih dahulu sebelum dihebahkan kepada umum.

Ini kerana lantaran daripada fitnah dan tuduhan palsu yang dilemparkan membuka ruang kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Kita berasa cukup terkilan dengan tuduhan berkenaan dan kita minta pihak media khusunya media arus perdana untuk berjumpa sendiri dengan pemimpin kerajaan negeri bagi mendapatkan penjelasan sebenar," jelas beliau.

Perhimpunan 100,000 bantah PPSMI

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Para pencinta bahasa Malaysia di negara ini akan mengadakan perhimpunan 100,000 umat tahun ini bagi membantah penerusan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Perhimpunan itu kemudiannya akan menyerahkan satu memorandum kepada Yang Dipertuan Agung bagi membantah PPSMI.

Demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Hasni Abas, Pengarah Jawatankuasa Pelaksana Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu.

Keputusan itu dicapai selepas satu perbincangan antara NGOs, parti politik dan pencinta bahasa telah diadakan di Yayasan Penataran Ilmu bersebelahan Gapena pada 30 Disember 2008 lalu.
Pertubuhan-pertubuhan yang telah hadir dalam perbincangan ini adalah Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), Pemuda Parti Islam SeMalaysia (PAS), Persatuan Lingustik Malaysia (PLM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Teras Keupayaan Melayu (TERAS) dan Persatuan Pelajar Bahasa Melayu, Universiti Malaya.

Organisasi yang menghimpunkan NGOs, parti politik dan pencinta bahasa ini dikenali sebagai Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu. Ia mempunyai dua badan iaitu pertamanya badan induk dikenali sebagai Badan Induk Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu yang bakal dianggotai oleh tokoh-tokoh pejuang bahasa Melayu.

Antaranya adalah Datuk Dr. Hassan Ahmad (bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka), Tan Seri Abdul Aziz Abdul Rahman (bekas Pengerusi MAS), Tun Abd Rahman Yaakob (bekas Menteri Pendidikan), Datuk Aziz Deraman (bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka), Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein, Prof. Dr Awang Sariyan dan ramai lagi.

Badan ini berfungsi untuk menghimpunkan semua tokoh-tokoh pejuang bahasa Melayu. Di bawah badan induk ini terdapat jawatankuasa pelaksana yang menumpukan kepada mobilasi Himpunan 100 Ribu Selamatkan Bahasa Melayu.

Jawatankuasa Pelaksana ini diketuai oleh seorang Pengarah iaitu Hasni Abas, Timbalan Pengarah Suhaizan Kaiat, Setiausaha Saifullah, Pen S/U Sdr. Faisal, Bendahari Saudara Kamaruzaman.

Menurut Hasni, tugas terdekat badan pelaksana ini adalah mengadakan perjumpaan dengan Datuk Dr. Hassan Ahmad dan keduanya mengadakan perjumpaan dengan semua NGOs, parti politik dan individu pencinta bahasa pada Sabtu 31 Januari 2009 di Kuala Lumpur.

Presiden PAS ziarah pusara Yamtuan Negeri Sembilan

KUALA PILAH, 6 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menziarahi pusara Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman yang mangkat baru-baru di Seri Menanti dekat sini petang semalam.

Turut serta bersama beliau adalah Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Muhamad Omar serta Adun Paroi Taufik Abdul Ghani.

Beliau ke sana selepas menemui para pengundi Kuala Terengganu yang berada di perantauan dekat Shah Alam.

Sebelum berada di Shah Alam, Abdul Hadi dan Salahudin berada di Bandar Tasik Puteri Rawang kerana merasmikan pembukaan sebuah kelas Pasti, Al Abqari Kids 1, di Blok 28, Green Valley Park.

Halau pelajar Tadika Kemas: Zahid dicabar tunjukkan bukti

IPOH, 5 Jan: Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak (BBC Perak) Drs Khalil Idham Lim (gambar) mencabar Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi menunjukkan bukti bilakah kerajaan negeri Perak menghalau pelajar Tadika Kemas dari premis kerajaan negeri.

"Sekiranya beliau bertanggung jawab saya mencabar beliau mendedahkan secara specifik siapakah, dan dimana kejadian yang didakwa itu berlaku. Tunjukkan sifat haji mabrur yang diperolihi semasa Datuk Seri mengerjakan haji baru-baru ini," kata Khalil dalam kenyataannya.

Khalil merujuk kepada berita kononnnya "kira-kira 13,000 murid tadika di negeri ini mungkin terjejas pembelajaran mereka ekoran tindakan kerajaan negeri Perak mengarahkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengosongkan 700 premis tadika milik agensi itu."

Menurut berita itu, Zahid mendakwa, beberapa pegawai Kemas mendakwa mereka telah diarahkan oleh Pejabat Daerah supaya menyerahkan kunci dewan orang ramai dan pejabat Kemas kepada kerajaan negeri sejak beberapa bulan lalu.

Kenyataannya dalam Utusan Malaysia juga menyatakan sesetengah Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Persekutuan (JKKP) telah menyerahkan kunci premis berkenaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Negeri (JKKKN) kerana tidak mahu bertengkar dengan mereka.

"Saya menafikan tohmahan yang tidak berasas yang dikeluarkan oleh Zahid Hamidi. Sesungguhnya apa yang didakwa oleh beliau saya anggap dakwaan yang tidak berasas dan kerana takut kan kepada "bayang-bayang" sendiri," kata Khalil yang juga Adun Titi Serong yang juga Timbalan Exco Agama kerajaan negeri Perak.

Menurut Khalil, pihaknya tidak ada masa untuk menganggu Tadika KEMAS, Nasihat saya teruskan kerja lama anda walaupun nampak sangat double standard.

"Contohnya tanyalah di Parit Buntar berapa Tadika Kemas yang kami ganggu khususnya dalam DUN Titi Serong. Apa yang saya sedang rancang kan ialah akan pergi melawat semua tadika tersebut kalau mampu di awal persekolahan ini, sekadar bertanya khabar kepada guru dan ibubapa dan anak-anak yang bersekolah di situ," katanya.

Sunday, January 4, 2009

Peluang PAS cerah, kata Adun Ladang

KUALA TERENGGANU, 4 Jan: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, PAS mempunyai harapan cerah untuk memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam pilihan raya kecil pada 17 Januari nanti.

Ini, katanya berdasarkan kajian dan semakan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 yang lalu.

Katanya, PAS telah membuat analisis serta mengenal pasti punca-punca kekalahan dengan mempergiatkan usaha memenangi hati para pengundi.

“Berdasarkan keputusan lalu di Dun Ladang ini kita menang tipis tetapi bila dicampur dengan empat Dun kesemuanya kita boleh menang 2,500 undi,” ujarnya ketika ditemui pada Pertandingan Dam Aji 2008 di Kampung Ladang Sekolah, di sini, Jumaat lalu.

Sehubungan itu, katanya Dun Ladang menjadi penentu kemenangan atau kekalahan dalam pilihan raya kecil nanti.

“Kita mempunyai strategi untuk memastikan kerusi Parlimen Kuala Terengganu akan menjadi milik PAS walau siapapun calonnya,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan kajian terperinci yang dilakukan, PAS tidak mempunyai masalah dan berpeluang memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Pertandingan dam aji itu dianjurkan oleh Majlis Tindakan Dun (MTD) Ladang dengan kerjasama Persatuan Dam Aji Negeri Terengganu yang berjaya menarik minat pencinta permainan tradisional itu.

Sebagai selingan, Tengku Hassan turut menunjukkan bakatnya dalam permainan tradisional itu yang berjaya menewaskan lawannya.

Umum calon di Stadium Negeri, apa rahsianya

KUALA TERENGGANU, 4 Jan: Pengumuman calon PAS di Stadium Negeri Kuala Terengganu Khamis lalu memberikan makna besar dalam politik Terengganu.

Beberapa hari sebelum itu, Mursyidul PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dibenarkan menggunakan Masjid Hiliran, Kuala Terengganu.

Selain memberikan tazkirah beliau turut melancarkan Jentera Pilihan Raya Kecil P.36 Kuala Terengganu bagi petugas Kelantan dan Wilayah Persekutuan di Masjid Hiliran, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Operasi Jentera Pilihan Raya kecil itu, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong, Bendahari PAS negeri, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Haji Mohd Noor, Ketua Kontinjen Jentera PAS Kelantan, Haji Abdul Fatah Harun serta beberapa orang kepimpinan PAS Kelantan dan Terengganu.

Sebelum itu, beliau mengimamkan solat hajat sempena pelancaran jentera pilihan raya tersebut bersama lebih 2,000 jemaah.

Perkembangan ini amat menarik kerana sebelum ini iaitu pada pertengahan 2008, PAS dibenarkan mengadakan konvensyen PAS negeri di sebuah dewan milik kerajaan di Chukai, Kemaman.

Perkembangan ini berlaku ketika Datuk Ahmad Said mentadbir Terengganu dalam keadaan tidak mendapat restu sepenuhnya dari Umno yang dipimpin Datuk Seri Idris Jusoh sebelum ini.

Bahkan ada berita angin menjelang Sidang DUN Terengganu Disember lalu, satu usul undi tidak percaya hendak dikemukakan Umno terhadap Ahmad Said.

Bagaimanapun usul itu tidak jadi dikemukakan.

Ahmad Said dikatakan hanya boleh mengawal 10 Adun sahaja iaitu ahli Exco kerajaannya dalam DUN yang mempunyai 32 anggota itu.

PAS mempunyai lapan dan selebihnya dikuasai oleh Idris Jusoh iaitu 12 anggota.

Ini bermakna faktor PAS sangat penting dalam menstabilkan kerajaan negeri pimpinan Ahmad Said.

Kuala Terengganu: YDP PAS lwn Ketua Umno

KUALA TERENGGANU, 4 Jan: Pilihan raya kecil Kuala Terengganu bakal menyaksikan pertembungan secara langsung antara Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut dengan Ketua Umno Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Wahid, Bendahari PAS Negeri Terengganu, dipilih sebagai calon PAS bagi mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat pengumuman itu pada jam 10.53 malam di hadapan kira-kira 9,000 penyokong dan ahli parti dalam majlis yang diadakan di Stadium Negeri, di sini, Khamis lalu.

Secara seloroh beliau berkata, oleh kerana calon BN adalah Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, maka PAS memilih Abdul Wahid selaku Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Terengganu.

Menurutnya, calon PAS agak sukar dipilih kerana mereka yang disenaraikan semuanya baik-baik belaka.

Ini, katanya kerana mereka tiada rasuah, politik wang dan penyelewengan politik.
Abdul Wahid merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam sejak tahun 1990 dan pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri semasa pemerintahan PAS dari tahun 1999 hingga 2004 lalu.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Mustaffa Kamil Ayub.

Sebelum ini, bakal Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Datuk Wan Ahmad Farid sebagai calon BN..

Hudud bukan masalah PAS- Aziz Bari

Pakar undang-undang perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari mencadangkan agar PAS dan Umno berfikir di luar kerangka politik bagi memastikan hudud dapat dilaksanakan dengan baik di negara ini.

Bagi beliau, hudud tidak akan menjadi masalah politik bagi PAS menjelang pilihan raya kecil Kuala Terengganu nanti.

Wawancara penuh dalam Siasah.

Thursday, January 1, 2009

PAS akan umumkan calonnya malam ini

KUALA TERENGGANU, 1 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengumumkan calon parti itu untuk pilihan raya kecil Kuala Terengganu malam ini di Stadium Negeri, Batu Burok dekat sini.

Sehingga kini (jam 10.30 pagi), Siasah difahamkan tidak ada pimpinan lain PAS yang dapat mengesahkan siapakah calon PAS itu dan disimpan kemas oleh Abdul Hadi.

Semalan, Abdul Hadi telah menemui Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Bharu yang dipercayai ada kaitan dengan calon PAS ini.

Sekurang-kurangnya tiga nama disebut-sebut akan menjadi calon PAS. Mereka adalah Dr Syed Azman Ahmad Nawawi (Adun Batu Burok), Datuk Wan Mutalib Embong (timbalan pesuruhjaya PAS Terengganu) dan Datuk Mustafa Ali (Pesuruhjaya PAS Terengganu).

Namun, para pimpinan PAS tidak menolak kemungkinan kalau-kalau nama lain diumumkan oleh Abdul Hadi malam ini.