Oleh: Hafiz Mohd BaqiBUKIT MERTAJAM: Calon Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh, bagaimanapun dengan mejoriti lebih kecil berbanding mejoriti diperolehi isterinya, Dr Wan Azizah Ismail dalam pilihan raya umum lalu.
Pilihan raya umum Mac lalu, Dr Wan Azizah menang dengan majoriti 13,398 undi menewaskan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail.
Menurut beberapa sumber, Anwar kini dikatakan sedang mendahului calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah sehingga jam 1.00 tengahari dengan kedudukan yang agak jauh kedepan.
Bagaimanapun dibeberapa pusat pengundian, khususnya di kawasan ramai pengundi Melayu, undi terhadap calon BN turut menunjukkan peningkatan dan dijangka mampu merapatkan jarak dengan sokongan yang diperolehi oleh Anwar.
Seorang penganalisis turut mengakui peluang BN untuk mengalahkan Anwar semakin mengecil setelah tempoh mengundi hanya tinggal beberapa jam saja namun beliau percaya BN masih mampu mengurangkan mejoriti Anwar seperti yang diperolehi Wan Azizah pada Mac lalu.
"Ada sekitar 3000 penyokong BN yang mengundi PKR dalam pilihan raya umum lalu kerana protes, tetapi sukar dipastikan sejauh mana mereka ini akan 'swing' balik kepada parti asal mereka kali ini," kata beliau.
Kata penganalisis itu, mejoriti Anwar mungkin akan kurang daripada 10 ribu sekiranya berlaku perubahan dikalangan penyokong BN yang mengundi PKR dalam pilihan raya lalu.
"Bagaimanapun angka ini bergantung kepada peratusan keluar mengundi dan keberkesanan isu yang dimainkan oleh BN dalam kempen-kempen mereka," tambah beliau membuat analisis awal pengundian yang sedang berlangsung di Permatang Pauh hari ini.
Selain itu, faktor calon BN, Arif Shah juga dilihat akan memberi kesan kepada undi Anwar.
Dalam pilihan raya lalu, Arif Shah berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh dalam masa dua lagi kerusi dan parlimen itu ditawan oleh Pakatan Rakyat.
"Calon BN ini ada kekuatan sendiri dalam parlimen Permatang Pauh kerana boleh menang diwaktu rakyat disini sebulat suara menolak BN," kata seorang pemerhati politik.
Daripada sumber penduduk, Arif Shah diterima oleh orang tempatan kerana beliau berani memperjuangkan kepentingan penduduk walaupun terpaksa menentang parti sendiri.
Naib Presiden PAS yang juga merupakan bekas Pesuruhjaya Pulau Pinang, Mohammad Sabu ketika ditanya tentang calon Umno berkata, Arif Shah adalah pilihan yang paling tepat dibuat oleh BN.
"Nampaknya BN
study untuk memilih calon ini kerana hanya beliau tidak ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya lalu. Memang ini agak menghairankan," kata Mohamad kepada
Siasah.Bagaimanpun kata Naib Presiden PAS itu, beliau masih yakin kemenangan masih dipihak Anwar.
Dalam pada itu, seorang pengundi di Seberang Jaya ketika di temui berkata, mereka tidak rugi memilih Anwar kerana meraka akan mendapat kedua-duanya sebagai wakil kerana Arif Shah memang Adun mereka.
"Kalau pilih Anwar kami dapat Anwar dan Arif Shah tapi kalau pilih Arif Shah kami hanya dapat beliau seorang sahaja sebagai wakil kami," kata beliau.
"Tapi situasi ini tidak diperolehi oleh pengundi dalan DUN lain seperti penanti dan Permatang Pasir," tambahnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan lebih 50 peratus daripada 58,459 ribu jumlah keseluruhan pengundi di Permatang Pauh telah keluar pengundi.
Anwar dan Isteri juga selesai mengundi di SK Sri Penanti manakala calon BN mengundi di Seberang Jaya.
Anwar yang berucap selepas selesai membunag undi berkata, beliau yakin mendapat sokongan kuat penduduk Permatang Pauh.
Sambil berharap dapat angkat sumpah di Parlimen esok Anwar menegaskan "kita akan masuk Parlimen dengan agenda yang jelas dan mereka (BN) patut bangun dengan menerima realitinya".
Seorang petugas PKR di Seberang Jaya ketika dihubungi turut mengesahkan PKR dalam keadaan agak selesa berdasarkan reaksi orang ramai yang datang mengundi sejak awal pagi walaupun katanya, ada kawasan yang memperlihatkan sokongan kepada BN agak ketara.
"Tapi mood yang ditunjukkan dikebanyakan pusat pengundian agak mustahil untuk menjangka Umno mampu membuat kejutan," kata beliau yang juga petugas ponduk panas PKR.
Sementara tinjauan wakil
Siasah dibeberapa pusat mengundi, nisbah pengundi yang memasuki ponduk panas PKR masih mengatasi BN.
Pusat mengundi di Sekolah Tok Kembal, Penanti didapati tujuh daripada 10 pengundi yang datang untuk mengundi mengunjungi pondok panas PKR berbanding hanya tiga yang menuju ke pondok panas BN.
Di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya 2, sokongan pengundi kepada PKR berdasarkan kunjungan ke pondok panas lebih ketara apabila sembilan daripada 10 yang hadir untuk mengundi melakukan semakan daftar pemilih di pondok panas PKR.