ALOR SETAR, 7 Jun: Para wakil rakyat PAS di Kedah penuh harapan agar isu pengangkutan sampah di bandaraya Alor Setar selesai selepas September ini.
Buat sementara ini, pelbagai pendekatan terpaksa mereka ambil bagi menangani isu kutipan sampah yang tidak berjaya diselesaikan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) ini selepas pembentukannya.
Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa berkata, masalah kutipan sampah di Alor Setar adalah masalah yang serius dan sebagai wakil rakyat beliau terpaksa menghadapi isu ini hampir setiap hari.
Kunjungan Siasah ke Alor Setar semalam menemui satu masalah asas yang kepada semua orang...sampah. Dari berbual dengan rakan di sebelah tempat duduk di atas kapal terbang Fire Fly yang berlepas dari Subang sehinggalah bertemu dengan para wakil rakyat di sana...sampah adalah isunya.
"Dulu masa kami jadi pembangkang, isu inilah yang saya dan Datuk Mahfuz Omar jaja. Namun isu yang kita hadapi menjelang pilihan raya 2008 belum selesai hinggalah kini," kata Mohd Nasir.
Asas kepada isu ini adalah apabila masalah pengurusan sisa pepejal (sampah) ini diserahkan bidang kuasanya kepada kerajaan pusat. Pengurusannya pula dibuat melalui penswastaan.
Ia juga menjadi masalah apabila Alor Setar mahu dinaikkan statusnya dari bandar ke bandaraya padahal ciri-ciri sebuah bandaraya belum dipenuhi oleh Alor Setar.
Akibatnya, pendapatannya tidak mencukupi untuk membolehkannya bertanggungjawab penuh kepada keperluan penduduknya.
"Misalnya penduduk Alor Setar tidak sampai sejuta tetapi mahu dijadikan bandaraya juga sedangkan antara syarat bandaraya adalah penduduknya satu juta orang.
"Apabila sifat bandaraya tak cukup, ia tidak boleh berfungsi dan berperanan sebagai bandaraya...Ini antara masalah yang kerajaan kita (Pakatan Rakyat) terpaksa pikul sekarang," kata anggota Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.
Laporan penuh Siasah minggu depan.
No comments:
Post a Comment