Tuesday, March 11, 2008

PAS komited bersama Barisan Altenatif

KUALA LUMPUR, 11 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan partinya kekal komited bersama Barisan Alternatif dan parti sahabat yang lain.

Kenyataan ini keluar ketika pelbagai pihak menyebarkan khabar angin, BN sedang memujuk PAS untuk menyertai BN kononnya untuk kepentingan orang Melayu.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

Parti Islam Se Malaysia (PAS) ingin mengulangi dan menegaskan komitmen kerjasama parti ini dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan Barisan Alternatif dan dengan rakan-rakan politik yang lain.

PAS akan bersama-sama menyertai kerajaan campuran negeri-negeri dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dan bersedia melantik dan dilantik sebagai anggota EXCO kerajaan negeri-negeri yang diterajui oleh ketiga-tiga parti itu.

Persefahaman bersama antara ketiga-tiga parti sedang disusun dan akan menjadi realiti melalui pembentukkan kerajaan-kerajaan negeri yang akan diumumkan dalam waktu terdekat ini oleh kerajaan-kerajaan negeri termasuklah Kedah yang telah pun mengumumkannya terlebih dahulu.

PAS ingin meyakinkan rakyat jelata bahawa wakil-wakilnya akan bekerja dan memikul amanah yang telah diberikan rakyat itu dengan sebaik-baiknya.

PAS AKAN TERUS BERJUANG BERSAMA BERSIH DALAM MENUNTUT PILIHAN RAYA YANG BERSIH DAN ADIL

Pilihan Raya Umum yang ke 12 baru sahaja selesai. Walaupun ianya merupakan salah satu pilihan raya yang terbaik buat PAS namun PAS merasakan yang pengurusannya tetap pincang dan berat sebelah.

Pembatalan penggunaan dakwat disaat-saat akhir, pengundian pos dan lain-lain isu operasi yang dilaksanakan SPR terus menerus membuktikan ketidak-telusan proses pilihanraya kita.

PAS akan bersama-sama Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil untuk melaksanakan post mortem Pilihan Raya Umum ke 12 ini dan akan memaparkan dapatan siasatan dalam masa yang terdekat bagi maklumat umum.

TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PARA PENGUNDI
DAN PETUGAS PAS


PAS ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih semua para pengundi, rakyat Malaysia yang telah mengundi dan memberikan sokongan kepada calon-calon PAS di seluruh negara. Ini termasuklah para pengundi bukan Melayu/Islam yang telah buat pertama kalinya secara terbuka memberikan sokongan kepada calon-calon PAS yang bertanding.

PAS berjanji akan memberikan khidmat terbaik kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan agama atau bangsa. Wakil-wakil rakyat PAS akan mengambil peluang atas amanah yang diberikan oleh rakyat ini untuk menunjukkan kebaikan dan keadilan Islam kepada semua.

Tidak lupa PAS juga ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih khasnya kepada semua para petugas dan pekerja parti yang telah mengorbankan masa, harta-benda dan titik-peluh bagi menghadapi pilihan raya kali ini, walaupun dalam suasana pilihan raya yang sangat pincang dan tempang.

1 comment:

wan said...

salam sejahtera.......ingat lah dengan ape yang kita lakukan pasti ade balasan.......teruskan lah perjuangan dalam parti ini dengan name Allah.......kejayaan pasti akan terbukti.........

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...