Tuesday, March 25, 2008

Tindakan istana Terengganu selari dengan Perlembagaan - peguam

KUALA LUMPUR, 25 Mac: Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu telah menjalankan tugas mereka dengan betul mengikut Perlembagaan ketika melantik Adun Kijal Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Demikian kata Ahmad Sabky Yusof, peguam yang juga rakan kongsi dalam firma guaman Radzi dan Abdullah dekat sini.

“Yang bersalah dalam kes ini adalah sikap kepimpinan BN yang hanya menamakan seorang sahaja calon MB ketikamana calon berkenaan tidak diterima oleh istana Terengganu,” kata Sabky.

Menurut Perlembagaan, kata Sabky, raja atau sultan hendaklah melantik mana-mana pihak yang pada pandangan baginda mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.

Ini bermakna, istana boleh memilih mana-mana calon. Yang silapnya adalah Presiden Umno hanya berkeras untuk melantik Datuk Seri Idris sahaja sebagai MB.

“Sepatutnya BN mengemukakan calon lain bukan berkeras untuk melantik Idris sahaja,” katanya yang merasa hairan dengan sikap itu sehingga sanggup memperjudikan nasib sebuah kerajaan negeri miliknya.

Beliau memberikan contoh yang berlaku di Perak apabila pemangku Raja Perak meminta tiga nama untuk dipilih dari mereka seorang menteri besar.

“Tugas BN dalam krisis sebegini adalah meraikan kuasa Sultan, bukannya berkeras untuk menafikan kuasa Sultan. Bila BN gagal kemukakan calon yang dipersetujui oleh Sultan berlakulah constitutional deadlock,” katanya.

Apabila perkara ini berlaku, Sultan, katanya boleh melantik calon yang difikirkan baginda akan mendapat sokongan majoriti dalam DUN.

“Sebab itu, bagi saya perlantikan Ahmad Said oleh istana adalah sehaluan dengan kehendak perlembagaan,” kata beliau.

Menurut Sabky, sultan tidak semestinya menunjukkan bukti sokongan majoriti semasa perlantikan dibuat tetapi ia boleh dibuktikan kemudian.

“Cukup dengan baginda percaya, MB Terengganu yang dipilih itu akan mendapat sokongan majoriti,” katanya.

Menurutnya, Ahmad boleh membentuk kerajaan dan membentuk Exco sekurang-kurangnya empat orang setelah dilantik sebagai MB.

“Apabila sidang dewan berlaku, ahli-ahli DUN boleh membuat ujian keyakinan ahli-ahlinya ke atas MB ini.

“Jika dia mendapat sokongan majoriti, dia boleh teruskan kerajaan itu. Jika dia gagal, maka dengan sendirinya, dia jatuh dengan sendirinya sebagai MB. Ketika itu, bolehlah pihak yang mendapat majoriti dalam DUN kemukakan calon MB mereka. Jika Sultan setuju, ia boleh dilantik. Jika tidak bersetuju sekali lagi pusingan itu akan berlaku,” katanya.

Ketika ditanya, bilakah Ahmad Said selaku MB boleh menasihat Sultan untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya semula, Sabky berkata sebelum beliau kalah dalam undi tidak percaya oleh DUN.

Selepas kalah, dia tidak berhak lagi kerana ketika itu dia bukan lagi MB yang sah, katanya.

3 comments:

BARISAN RAKYAT said...

PENDAPAT YG BERNAS...YG NI LAH DI TUNGGU

Ikemen said...

hebat2..tahniah

jebatderhaka said...

Syabas Shabky.
Bukan setakat diGanu.Pegawai pegawai tingi kerajaan pilihan Pack Lah semua 'hancussss'.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...