IPOH, 14 Mac: Kerajaan baru negeri Perak dijangka akan dibentuk segera selepas kesemua 31 Adun DAP, PKR dan PAS selesai menandatangani surat pengesahan sokongan mereka kepada Adun Pasir Panjang Mohamad Nizar Jamaludin sebagai MB Perak.
"Insya Allah malam ini saya boleh tidur lena selepas beberapa malam ini tidak dapat lena," kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Ahmad Awang ketika dihubungi Siasah malam tadi.
Beliau dalam perjalanan dari Istana Perak pulang ke Ipoh selepas selesai semua 31 Adun berkenaan menandatangani surat yang dikehendaki Raja Muda Perak, Raja Nazrin.
Sebelum ini, salah faham antara ketiga-tiga parti itu ada sahaja berlaku terutama dari pemimpin mereka di paringkat pusat.
"Hubungan di peringkat Perak ini sangat baik, tetapi kadang-kadang timbul salah faham dari mereka di peringkat pusat," kata Ahmad.
Mula-mula Pengerusi DAP, Lim Kit Siang membantah keputusan ketiga-tiga parti itu di Perak melantik Nizar sebagai MB sedangkan DAP paling banyak kerusi Adun dan PKR juga lebih dari PAS .
Ekoran itu beliau mengarahkan kesemua Adunnya agar jangan menyertai majlis angkat sumpah MB.
Padahal perlantikan Nizar bukan kerana dia dari PAS tetapi kerana syarat MB di Perak adalah Melayu beragama Islam. Di kalangan mereka hanya sembilan Melayu iaitu enam dari PAS dan tiga dari PKR.
Di kalangan kesembilan mereka pula, Nizar dikira paling berkelayakan dari segi akademik, pengalaman dan latar belakang kerja.
Selepas ia selesai apabila Lim Kit Siang memohon maaf dari Raja Muda Perak, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin pula membuat kenyataan Adun dari partinya tidak akan terlibat dengan kerajaan baru selepas tidak setuju dengan komposisi Exconya.
PKR menganggap DAP akan mendapat lapan dari 10 kerusi Exco padahal penyelesaian telah dicapai antara Raja Muda Perak, DAP dan PAS komposisinya adalah selaras dengan bilangan Adun masing-masing dalam Dewan Undangan Negeri iaitu DAP 18, PKR 7 dan PAS 6.
Komposisi Exco yang dipersetujui Raja Muda Perak dan ketiga-tiga parti itu di Perak adalah adalah DAP 6, PKR 3 manakala PAS 1.
Ekoran kekeliruan itu, Raja Nazrin telah mengarahkan sokongan ketiga-tiga parti dibuat secara bertulis dari 31 Adun yang terlibat.
No comments:
Post a Comment