Sunday, March 23, 2008

Ahmad Said terima surat perlantikan MB

KUALA TERENGGANU, 23 Mac: Adun Kijal, Datuk Ahmad Said menerima surat perlantikan sebagai menteri besar Terengganu dari Majlis Pemangku Raja ketika menerima amaran dari Setiausaha Agung Umno akan menghadapi tindakan tatatertib dari Umno jika berbuat demikian.

Siasah difahamkan, Istana Terengganu melantik Ahmad selepas yakin beliau mendapat sokongan yang mencukupi untuk dilantik sebagai MB.

Ia dikatakan dalam bentuk surat akuan bersumpah dari Adun-adun Umno berkenaan yang dikatakan berjumlah 11 orang termasuk Ahmad sendiri.

Ini bermakna, sokongan untuk kem Idris kini adalah 13 dari 24 Adun BN.

Dengan jumlah ini, Ahmad dijangka akan menghadapi kesukaran untuk meneruskan kerajaannya kerana bila-bila masa sahaja kerajaannya boleh ditumbangkan jika dibuat undi tidak percaya oleh Adun BN yang setia kepada Idris.

Langkah penyelamat kerajaan ini adalah dengan mendapatkan sokongan dari lapan Adun PAS dalam Dun Terengganu.

"11 campur lapan akan menjadi 19. Ini adalah angka yang cukup untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah di Terengganu," kata seorang aktivis politik di Terengganu.

Siasah difahamkan, PAS akan sedia bekerjasama dengan Ahmad Said untuk membentuk kerajaan baru kerana ia bukan bersama BN tetapi bersama kumpulan yang telah diambil tindakan tatatertib oleh Umno.

Dalam pada itu, akhbar dalam talian, Tranungkite.net melaporkan, Datuk Wan Mutalib, penasihat undang-undang PAS ketika dihubungi mereka menyatakan PAS tetap berdiri teguh di belakang pihak istana dalam soal ini.

Manakala, jika ada kesudian pihak Adun yang dikenakan tindakan tadi, maka secara peribadinya, PAS akan memberikan sokongan kepada MB baru, kata beliau kepada Tranungkite.

Hubungan dengan istana

Bagaimanapun, satu lagi perkara penting dalam kontek politik di Terengganu adalah hubungan dengan istana.

"Sudah jelas kini Rosol (Wahid) telah membakar jambatannya dengan istana Terengganu apabila membuat kenyataan akan menghantar memorandum kepada istana Terengganu mengenai perlantikan MB ini," ulas Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu, Yahya Ali mengenainya.

Bagi beliau, tindakan Rosol amat bahaya untuk masa depan politiknya.

"Adakah lain-lain Adun Umno berani bertindak macam Rosol?. Tindakan ini bermakna, Rosol bakal tidak akan mengecap sebarang peluang untuk menjadi MB hatta untuk menjadi exco kerana kedua-duanya memerlukan perkenan dari istana," kata beliau.

Keadaan di Terengganu

Sementara itu, keadaan di Terengganu agak panas apabila ramai berhimpun di kediaman rasmi MB Terengganu di Batu Buruk hari ini.

Lebih 200 orang berhimpun di situ dan usaha untuk melalui jalan ke situ agak sukar.

Orang ramai juga dilihat berkumpul di sana-sani sekitar bandaraya Kuala Terengganu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...