Monday, March 31, 2008

PAS, PKR dan DAP bergabung dalam Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 1 April: Mesyuarat pemimpin tertinggi PKR, DAP dan PAS hari ini bersetuju menubuhkan Pakatan Rakyat yang menggabungkan ketiga-tiga parti itu dalam satu pakatan yang sama.

Bagaimanapun, penubuhan rasminya perlu disahkan oleh mesyuarat jawatankuasa pusat parti-parti berkenaan.

Demikian dakat de facto pemimpin pakatan baru itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Anwar itu turut dihadiri Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah serta delegasi masing-masing.

"Pakatan Rakyat berikrar akan memperjuangkan hak dan kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara. Dengan keputusan ini, bermakna kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor nanti akan dikenali sebagai kerajaan Pakatan Rakyat," jelas Anwar.

Pemuda PAS serah memo bantahan kepada kedutaan Belanda

KUALA LUMPUR, 1 April: Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS telah menyerahkan memorandum bantahan kepada Luc Schillings, Timbalan Ketua Misi Kounselor Kedutaan Belanda semalam bagi membantah penerbitan filem ‘Fitna’ yang memfitnah Islam dan kepercayaannya.

Rombongan Pemuda PAS itu juga disertai Ustaz Nasrudin Hassan, Timbalan Ketua; Ahmad Sabki Yusuf, Setiausaha; Dr. Rosli Allani Abdul Kadir, Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Kamarulzaman Mohamed, Exco dan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Menurut Salahudin, jika kerajaan Belanda tidak memohon fitnah, pihaknya akan mengadakan demonstrasi bantahan di depan kedutaan itu Jumaat ini.
Berikut adalah kandungan memo yang diserahkan Pemuda PAS itu.

We, the Central Youth Council of Islamic Party of Malaysia (PAS), firmly express our deepest resentment over the production of offensively anti-Islam film "Fitna" by Dutch MP Geert Wilders.

We strongly condemn the airing of the film and demand immediate action by the producer to retrieve the film from public domain. The film is clearly an insult to Islam and maliciously misleads viewers of the true pictures of Islam. As constantly promoted by those anti-Islam ignorant propagators, the film tries to link Islam with terrorism. We would like to firmly reiterates here that Islam do not condone any form of terrorism as we believe that violence begets further violence. Islam principally and fundamentally opposes any form of violence, transgressions and any form of terrorism.

The release of the film is totally unacceptable and irresponsible which shall not be granted justification under the freedom of expression. We warn the Dutch government that it would create unnecessary tense and invite vengeance from Muslim community throughout the world. We regret that the Dutch government has failed to prevent the producer as the news of his intention was made public before.
We look at this unwanted provocation as another encumbrance in creating better environment for peace and stability in the world. The Dutch leader should have been more responsible in participating in the harmonization of the true meaning of Islam particularly in Europe and the world at large. To signify our protest, we strongly urge Muslims all over the world to boycott all Dutch products effective immediately. We hope the protests by Muslims all around the world can be taken as our disapproval against any insult and attempts to deceive the world of the true picture of Islam.

Presiden PAS hulurkan tangan untuk wakil rakyat BN

Oleh Roslan Shahir

SHAH ALAM, 1 April: Semalam semasa menghadiri program Himpunan Rakyat dan Munajat Perdana sempena kemenangan PAS di Selangor, di Stadium Malawati, Shah Alam, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mencadangkan agar satu gagasan pakatan politik baru ditubuhkan bagi mendepani cabaran politik baru di Malaysia.

Barisan Rakyat yang terdiri dari pakatan PAS, PKR dan DAP yang telah diberikan mandat besar oleh rakyat dalam pilihan raya umum lalu wajar menghulurkan tangan kepada rakan-rakan dalam Barisan Nasional khasnya wakil-wakil rakyat Umno, MCA, MIC dan Gerakan agar bersama-sama samada secara bersendirian atau "en bloc" menyertai gagasan politik baru ini bagi membina Malaysia baru yang lebih selamat, sejahtera dan makmur buat rakyat Malaysia keseluruhannya.

Menurut Presiden PAS lagi ternyata hasil dari gelombang kebangkitan rakyat dalam PRU ke 12 lalu, Barisan Nasional kini sudah semakin dipinggirkan rakyat dan sudah semakin tidak relevan dalam arus politik negara.

Oleh itu semua pihak perlu realistik dan menerima hakikat politik semasa ini dengan lapang dada. Beliau mengharapkan melalui gagasan pakatan politik baru ini nanti dapatlah semua pihak bersatu dan sama-sama menyusun agenda dan hala tuju baru negara demi nasib dan masa depan semua rakyat tanpa mengira agama atau bangsa.

Presiden PAS turut menegaskan bahawa gagasan pakatan baru itu nanti perlulah memberi keutamaan kepada desakan dan tuntutan rakyat iaitu antaranya adalah:

1) Menyemak semula dengan meminda atau menghapuskan mana-mana undang-undang dan peraturan yang zalim dan mendiskriminasi terutamanya Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA), Akta Univerisiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan yang seumpamanya.

2) Segera melakukan reformasi terhadap amalan demokrasi dalam negara dengan memulihkan proses pilihan raya di Malaysia sebagaimana yang dituntut rakyat dan badan-badan bukan kerajaan khususnya yang melibatkan bidang tugas dan operasi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

3) Memperkasa dan memberikan kebebasan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai sebuah agensi pencegahan rasuah yang efektif dan tidak lagi mengamalkan pendakwaan berpilih.

4) Mengembalikan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman negara dengan memastikan ianya benar-benar bebas dan tidak tertakluk kepada mana-mana badan atau kuasa politik.

Adalah diharapkan cadangan ini dapat dipertimbangkan oleh semua pihak demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.

(Penulis adalah Setiausaha Akhbar Presiden PAS)


Sunday, March 30, 2008

Peristiwa penting pada 13 April!

RAWANG, 30 Mac: Negara akan menerima kejutan sekali lagi pada 13 April ini, kata Pegawai Khas Menteri Besar Selangor, Yahya Sahri.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili MB Selangor di majlis kesyukuran selepas PKR, PAS dan DAP membentuk kerajaan baru Selangor di Lembah Hijau dekat Bandar Tasik Puteri petang Ahad.

“Apakah kejutan itu, tuan-tuan tunggulah. Paling lewat pun Jun ini,” kata beliau mendapat tepukan gemuruh dari para hadirin yang lebih 500 orang itu.

Yahya yang merupakan Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor berkata, selepas pembubaran Parlimen 13 Februari lalu beliau dalam taklimatnya berkata, ketika itu sudah 15 kerusi jatuh ke tangan pembangkang di Selangor.

Sejak itu, kerusi untuk pembangkang bertambah hari ke hari, sehinggalah terbukti kerajaan Selangor jatuh pada jam 7.30 malam 8 Mac walaupun diumumkan SPR pada jam 5.30 pagi 9 Mac.

Turut berucap di majlis kesyukuran anjuran PAS dan PKR Lembah Hijau itu adalah anggota Parlimen Lembah Pantai yang baru, Nurul Izzah Anwar serta datuknya, Datuk Wan Ismail.

Ketibaan mereka telah disambut dengan pasukan bermotor BTP. Orang ramai pula berebut-rebut untuk bergambar dengan Nurul dan suaminya, Shahril.

Adalah difahamkan, PKR menjangkakan, kerajaan Pusat akan berubah tangan dan kerajaan BN yang ada akan jatuh.

Kenapa tarikh 13 April dipilih tidak diketahui namun berita angin bertiup kencang kerajaan BN pimpinan Abdullah akan kecundang selepas itu ekoran masalah dalaman yang semakin menjadi-jadi dalam kerajaan pimpinan beliau itu.

Abdullah dianggap telah hilang kawalan.

Dua calon MB yang dipilih beliau tidak boleh mengangkat sumpah sebagai MB iaitu Datuk Seri Shahidan Kasim di Perlis dan Datuk Seri Idris Jusoh di Terengganu.

Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Presiden Umno melawan Abdullah.

Usaha beberapa pihak yang menyokong kepimpinan Abdullah untuk menangguhkan pemilihan kepimpinan parti ke tahun depan juga gagal dan ditolak oleh Majlis Tertinggi Umno.

Tiga timbalan menteri yang dilantik beliau juga menolak jawatan itu. Yang terakhir adalah Datuk Ghafur Salleh dari Sabah kerana tidak berpuashati dengan layanan Umno Pusat terhadap Sabah.

Friday, March 28, 2008

30,000 sambut kepulangan Sultan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 29 Mac: Lebih 30,000 rakyat Terengganu berhimpun di Lapangan Terbang Kuala Terengganu bagi menyambut kepulangan DYMM Yang Dipertuan Agung ke negeri ini pagi tadi.

Mereka mula berkumpul sejak jam 9.00 pagi dengan pelbagai jenis banner dan sepanduk menyokong Tuanku Mizan.

Di samping itu, pelbagai jenis pelekat kereta, reben kuning dan juga gambar dibawa ke perkarangan lapangan terbang itu.
Mereka berteriak daulat Tuanku dan sesekali teriakan Takbir berkumandang apabila konvoi baginda bergerak keluar dari lapangan terbang kira-kira jam 10.45 pagi.

Turut serta dalan konvoi adalah anakanda Baginda yang menjadi pemangku Raja di samping anggota Majlis Penasihat Pemangku Raja.

Rombongan Tuanku kemudiannya begerak ke Lembah Bidung.
Di sana, Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) dan beberapa NGO menyerahkan memorandum sokongan kepada baginda.



Wednesday, March 26, 2008

Idris, Rosol dan Din Adam ditarik gelaran datuk

KUALA TERENGGANU, 26 Mac: Tiga pemimpin Umno Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Rosol Wahid dan Datuk Din Adam telah ditarik balik gelaran mereka oleh istana Terengganu.

Menurut sumber yang rapat dengan istana, penarikan gelaran ketiga-tiag mereka itu berkuatkuasa serta merta.

Dalam pada itu, Datuk Muhamad Awang Tera (Chukai) telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Terengganu, satu jawatan yang tidak pernah wujud sebelum ini.

Sebuah NGO, Majlis Pemesyuaratan Rakyat Terengganu (Mampat) dan beberapa NGO lagi akan menganjurkan solat hajat di masjid Terapung, Kuala Ibai malam esok untuk memohon kepada Allah untuk keselamatan baginda Sultan Terengganu dan anakanda baginda yang menjadi Pemangku Raja.

Ia akan diadakan bermula sembahyang Isya secara berjamaah di masjid berkenaan dan bakal diimami oleh Iman Masjid Negara, Sheikh Ismail Al Hafiz.

Umno, anda butakah melantik Tengku Adnan?

KUALA LUMPUR, 26 Mac: Memeranjatkan. Tetapi itulah orang yang dipilih oleh Presiden Umno untuk dilantik sebagai setiausaha agung partinya dan juga Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung Umno yang baru, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mempunyai kepentingan dalam sekurang-kurangnya 59 buah syarikat sendirian berhad dan juga berhad.

Di samping itu, beliau menghadapi sekurang-kurangnya empat tindakan bangkap dan hanya satu sahaja dari tindakan itu yang telah selesai.

Beliau juga adalah pihak yang meghadapi sekurang-kurangnya 11 tindakan mahkamah menuntut penggulungan syarikat oleh pelbagai pihak termasuk dari kerajaan Malaysia sendiri apabila syarikat-syarikatnya gagal menjelaskan hutang mereka.

Tengku Adnan juga menghadapi sekurang-kurangnya 15 kes saman kerana kegagalan syarikat yang beliau ada kepentingan dalamnya membayar hutang mereka yang jumlah keseluruhannya hampir RM50 juta.

Semua rekod-rekod ini adalah tembahan kepada penglibatan beliau dalam kes video klip Lingam yang menunggu keputusan dari Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kes ini.

Pemilikan saham syarikat

Antara syarikat-syarikat utama yang Tengku Adnan memiliki syer utama adalah KL Monorail Concessionaires Sdn Bhd, Magni-Tech Industries Berhad, Bridgecon Holding Berhad, Nostalgia Kiara Sdn Bhd dan Regnis Industries (M) Sdn Bhd.

Dalam KL Monorail Tengku Adnan adalah stau-satu pemegang saham individu iaitu sebanyak 2,372,500 saham manakala tiga pemegang saham yang lain adalah syarikat sdn bhd.

Jumlah asset semasa syarikat yang menguruskan KL Monorail ini adalah RM7.377 juta dengan modal berbayarnya adalag RM7.4 juta.

Apakah kedudukan Tengku Adnan dalam KL Monorail tidak bertentangan dengan kedudukan beliau sebagai salah seorang anggota kabinet Abdullah dan kini sebagai Setiausaha Agung Umno?

Dalam Nostalgia Kiara, Tengku Adnan adalah pemegang saham individu tertinggi iaitu sebanyak 3,1000,000 . Turut memegang saham individu adalah Robin Tan Yeong Ching, anak Vincent Tan yang memiliki 375,000.

Aset semasa syarikat ini, sebagaimana yang dilaporkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia adalah RM28 juta.

Tengku Adnan juga merupakan pemegang saham individu terbesar dalam Regnis Industries iaitu 77 unit manakala yang lain kebanyakannya dipegang oleh syarikat Sdn Bhd.

Beliau juga memilki saham sebanyak 986,507 saham dalam Bridgecon Holding dan 1.89 juta saham dalam Magni-tech Industries Berhad.


Kenapa Tengku Adnan

Dengan rekod-rekod perniagaan yang beliau ada di atas, tidak diketahui bagaimana beliau telah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1999-2004), Menteri Pelancongan (2005 – 2007) dan kini Setiausaha Agung Umno dan BN oleh Perdana Menteri.

Ramai yang menafsirkan langkah Abdullah melantik Tengku Adnan sebagai Setiausaha Agung Umno adalah untuk menghadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini defacto Ketua Pembangkang yang disebut-sebut bakal menjadi perdana menteri jika kerajaan yang ada tumbang.

Mungkin langkah ini dibuat berdasarkan pengalaman beliau menghadapi Anwar ketika menjadi Setiausaha Kerja Umno di bawah Tun Dr Mahathir dahulu.

“Are you blind (Anda butakah)?” kata seorang pemerhati politik kepada Umno ketika beliau ditunjukan rekod-rekod yang Siasah terima.

Bagi beliau, setelah menerima kekalahan, Umno sepatutnya memilih Setiausaha Agung yang berwibawa untuk memulihkan nama baiknya bukan orang yang mempunyai rekod buruk sebagaimana Tengku Adnan.

Sebagai pelopor Islam hadhari juga, Abdullah sepatutnya memilih mereka yang benar-benar bersih agar nama baik Islam tidak terpalit dengan imej burok Tengku Adnan ini.

“Kenapa pada tahun 2004 digugurkan, kemudian pada tahun 2005 ambil balik. 2008 digugurkan sebagai menteri tetapi kemudian ambil balik sebagai Setiausaha Agung. Macam yo-yo je. Budak-budak kata macam biskut, sekejap ada sekajap tak ada,” kata beliau lagi.

Sesetengah pihak mungkin beranggapan ini adalah tindakan pembangkang atau Siasah untuk memburukkan nama Tengku Adnan tetapi berdasarkan rekod yang Siasah terima inilah faktanya.

Dan rekod-rekod ini adalah rekod yang boleh dilihat sendiri oleh orang awam kerana ia sudah berstatus rekod awam (public record).

Tuesday, March 25, 2008

PM terima Ahmad Said sebagai MB

Terkini

Selepas menemui Yang Dipertuan Agung, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pihaknya menerima perlantikan Adun Kijal Datuk Ahmad Said sebagai MB Terengganu.

Tengku Adnan yang memeranjatkan

KUALA LUMPUR, 25 Mac: Memeranjatkan. Tetapi itulah orang yang dipilih oleh Presiden Umno untuk dilantik sebagai Setiausaha Agung partinya dan juga Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung Umno yang baru, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mempunyai kepentingan dalam sekurang-kurangnya 59 buah syarikat sendirian berhad dan juga berhad.

Di samping itu, beliau menghadapi sekurang-kurangnya empat tindakan bankrap dan hanya satu sahaja dari tindakan itu yang telah selesai.

Beliau juga menghadapi sekurang-kurangnya 11 petition mahkamah menuntut penggulungan syarikatnya oleh pelbagai pihak, dua darinya dari kerajaan Malaysia sendiri, apabila syarikat-syarikatnya gagal menjelaskan hutang mereka.

Tengku Adnan juga menghadapi sekurang-kurangnya 15 kes saman kerana kegagalan syarikat yang beliau ada kepentingan dalamnya membayar hutang mereka yang jumlah keseluruhannya hampir RM50 juta.

Laporan lengkap dengan dokumennya dalam Siasah Ahad ini.

Tindakan istana Terengganu selari dengan Perlembagaan - peguam

KUALA LUMPUR, 25 Mac: Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu telah menjalankan tugas mereka dengan betul mengikut Perlembagaan ketika melantik Adun Kijal Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Demikian kata Ahmad Sabky Yusof, peguam yang juga rakan kongsi dalam firma guaman Radzi dan Abdullah dekat sini.

“Yang bersalah dalam kes ini adalah sikap kepimpinan BN yang hanya menamakan seorang sahaja calon MB ketikamana calon berkenaan tidak diterima oleh istana Terengganu,” kata Sabky.

Menurut Perlembagaan, kata Sabky, raja atau sultan hendaklah melantik mana-mana pihak yang pada pandangan baginda mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.

Ini bermakna, istana boleh memilih mana-mana calon. Yang silapnya adalah Presiden Umno hanya berkeras untuk melantik Datuk Seri Idris sahaja sebagai MB.

“Sepatutnya BN mengemukakan calon lain bukan berkeras untuk melantik Idris sahaja,” katanya yang merasa hairan dengan sikap itu sehingga sanggup memperjudikan nasib sebuah kerajaan negeri miliknya.

Beliau memberikan contoh yang berlaku di Perak apabila pemangku Raja Perak meminta tiga nama untuk dipilih dari mereka seorang menteri besar.

“Tugas BN dalam krisis sebegini adalah meraikan kuasa Sultan, bukannya berkeras untuk menafikan kuasa Sultan. Bila BN gagal kemukakan calon yang dipersetujui oleh Sultan berlakulah constitutional deadlock,” katanya.

Apabila perkara ini berlaku, Sultan, katanya boleh melantik calon yang difikirkan baginda akan mendapat sokongan majoriti dalam DUN.

“Sebab itu, bagi saya perlantikan Ahmad Said oleh istana adalah sehaluan dengan kehendak perlembagaan,” kata beliau.

Menurut Sabky, sultan tidak semestinya menunjukkan bukti sokongan majoriti semasa perlantikan dibuat tetapi ia boleh dibuktikan kemudian.

“Cukup dengan baginda percaya, MB Terengganu yang dipilih itu akan mendapat sokongan majoriti,” katanya.

Menurutnya, Ahmad boleh membentuk kerajaan dan membentuk Exco sekurang-kurangnya empat orang setelah dilantik sebagai MB.

“Apabila sidang dewan berlaku, ahli-ahli DUN boleh membuat ujian keyakinan ahli-ahlinya ke atas MB ini.

“Jika dia mendapat sokongan majoriti, dia boleh teruskan kerajaan itu. Jika dia gagal, maka dengan sendirinya, dia jatuh dengan sendirinya sebagai MB. Ketika itu, bolehlah pihak yang mendapat majoriti dalam DUN kemukakan calon MB mereka. Jika Sultan setuju, ia boleh dilantik. Jika tidak bersetuju sekali lagi pusingan itu akan berlaku,” katanya.

Ketika ditanya, bilakah Ahmad Said selaku MB boleh menasihat Sultan untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya semula, Sabky berkata sebelum beliau kalah dalam undi tidak percaya oleh DUN.

Selepas kalah, dia tidak berhak lagi kerana ketika itu dia bukan lagi MB yang sah, katanya.

Perkataan 'binatang' penyokong Idris ditujukan kepada Sultan - Salahuddin

KUALA LUMPUR, 25 Mac: Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan istilah 'natang' (binatang) yang digunakan oleh penyokong Datuk Idris Jusuh pada satu slogan yang tertera pada kain rentang mereka ketika himpunan dikediaman Idris dekat Kuala Terengganu baru-baru ini ditujukan kepada Sultan negeri itu.

Kata Salahuddin beliau sangat yakin istilah itu merujuk kepada Sultan kerana slogan yang berbunyi 'Kami nak Idris, natang! (kami mahukan Idris, binatang) itu bertujuan membantah perlantikan membantah keputusan pelantikan Adun Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

“Sultan yang mahukan Ahmad Said menjadi Menteri Besar," kata ketua Pemuda PAS itu dalam sidang akhbar di Pejabat PAS jalan Raja Laut hari ini.

Ditanya kemungkinan istilah binatang itu dituju kepada orang lain, Salahuddin berkata ia tetap akan ditafsirkan oleh orang ramai sebagai dituju kepada Sultan kerana pemilihan Ahmad Said dan penolakan Idris sebagai Menteri Besar merupakan keputusan (perkenan) Sultan.
(Gambar:Salahuddin menunjukkan gambar kain rentang yang tertera slogan 'Kami nok Deris, natang')

Sehubungan itu kata beliau, Pemuda PAS telah mengarahkan pihaknya di Terengganu membuat laporan Polis diseluruh negeri kerana beranggapan isu tersebut sebagai bahaya dan menghasut.

Isu Menteri Besar Terengganu mula menjadi kontraversi apabila Ahmad Said bakal dilantik sebagai Menteri Besar yang baru menggantikan Idris selepas pilihan raya umum yang lalu.

Sedangkan Idris dikatakan telahpun menerima watikah daripada Perdana Menteri untuk dilantik semula sebagai MB Terengganu.

Sehubungan itu, keputusan yang dibuat oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja dalam melaksanakan fungsi bagi pihak Pemangku Raja untuk memilih Ahmad itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan penyokong Idris sehinggalah bertindak mengadakan perhimpunan menunjukkan bantahan mereka di kediaman rumah Menteri Besar yang masih diduduki oleh Idris.

Sementara dalam perkembangan berkaitan, bantahan secara terbuka terhadap perkenan Sultan Terengganu itu turut dinyatakan oleh beberapa pimpinan Umno di peringkat Pusat.
Bahkan Ahmad turut diingatkan berkemungkinan akan dikenakan tindakan disiplin oleh parti dan akan berlaku undi tidak percaya sekiranya beliau tetap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.

Monday, March 24, 2008

BN pecah-kalut bila kalah. BA jangan pecah-kalut bila menang!

Oleh : Haji Muhaimin Sulam

Keadaan politik tanahair masih tidak menentu. Walaupun isu pelantikan MB samada di pihak BN ataupun BA & DAP sudah sampai penghujungnya kecuali di Terengganu yang masih mencari jalan penyelesaiannya. Pelantikan barisan kabinet dinamik oleh PM Malaysia terus menyambung kegusaran politik tanahair.

Pelantikan dan pengguguran beberapa pemimpin terus mengundang polemik yang tak berkesudahan. Dari Perlis hingga ke Sabah, yang telah dilantik menolak jawatan, yang berjawatan bertindak melepaskan. Dan bermacam-macam adegan politik yang boleh kita saksikan. Akhbar di Malaysia mungkin laris sekali.

Ku Li sudah bersedia untuk mengambil alih kedudukan Pak Lah sebagai Presiden UMNO. Tentu sekali Najib tidak akan berdiam diri orang lain memotong tripnya. Khairi yang selama ini berdiam diripun akan bangkit. Saya tidak berhasrat menghuraikan satu persatu apa yang telah berlaku di dalam UMNO dan BN sendiri.

Ringkasnya, UMNO dan BN sedang menuju jalan perbalahan, krisis dalaman yang memungkinkan perpecahan berlaku. Itu mungkin. Mungkin tidak jika barisan kepimpinan dan pengurusan parti dapat mengawal dengan baik samada oleh nakhoda dan anak-anak kapal. Inilah fenomena apabila sebuah parti yang sukar dicabar dan berdiri kukuh dalam takhta kerajaan selama lebih 50 tahun menghadapi saat-saat kehilangan kuasa. Mereka tidak ada pengalaman kalah dan terkikis kuasa yang begini besar. Meskipun ada juga suara yang mengatakan bahawa UMNO tidak kalah tetapi yang kalah adalah MCA, MIC dan juga Gerakan. Itu sekadar ungkapan helah bela diri yang tidak membantu mereka.

Cuba bayangkan bagaimana lagak buaya yang kena tembak atau harimau yang terluka? Mereka akan mengamuk, hilang pertimbangan dan mungkin akan membunuh sebelum terbunuh!
Keadaan yang hampir serupa apabila BA dan DAP memperolehi kuasa melalui sistem pilihanraya. Ia tidak pernah berlaku di Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Meskipun keputusan pilihanraya 1969 keadaannya hampir-hampir berlaku tetapi Perikatan masih mampu mengawal kondisi kuasa mereka. Pun demikian, PAS dan Gerakan bertukar alih daripada sebagai parti pembangkang menjadi parti komponan kerajaan dan membentuk kerajaan campuran. Itu perubahan yang besar. Itu sejarahnya politik.

Ketika negeri-negeri yang dikuasai BA dan DAP ke arah pembentukan kerajaan negeri, terlalu banyak khabar angin dan khabar api yang kedengaran – hingga ke UK! Beberapa pimpinan BA dan DAP sebahagiannya mungkin seperti kehilangan arah ataupun masih terkejut dan terpaksa bersedia. UMNO dan BN pun khabarnya sudah berusaha membuat perundingan dan tawaran yang memungkinkan kuasa mereka dapat diteruskan. Ketika inilah episod yang benar-benar menguji kesetiaan dalam perjuangan. Rundingan sulit, kunjungan hormat, kenyataan provokasi, pembatalan persetujuan dan sebagainya memang mengecutkan hati rakyat.

Penyokong dan pemimpin BA dan DAP mungkin sudah mula berkira-kira tentang keuntungan yang bakal diperolehi melalui jawatan politik, projek dan juga sebagainya. Golongan yang ingin mengambil kesempatan mula tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Masing-masing mula mengistiharkan diri sebagai penyokong BA dan DAP. Memang perlu diraikan semua ini. Jangan bersikap sombong dan ingin berbalas dendam.


Pemimpin dan penyokong PAS yang sudah biasa kehidupan susah, jika tidak kena tarbiah yang mantap, mungkin kecundang berhadapan cabaran kemewahan kuasa, status dan harta. Perasaan busuk dalam diri seperti cemburu, irihati dan hasad dengki perlu diawasi daripada menjangkiti diri pemimpin dan penyokong PAS. Pengalaman PAS memerintah di Terengganu pada 1959 dan 1999 perlu ditelaah kembali. Mengapa kerajaan PAS boleh jatuh dalam masa yang singkat. Meskipun ada alasan tentang kehadiran pengundi hantu, tawaran wang yang banyak dan.......semua itu sekadar satu alasan luar.

Alasan dalamannya adalah cemburu di kalangan pemimpin dan ahli PAS ketika itu. Begitu juga pengalaman PAS memerintah Kelantan 1959 – 1978 dan 1999 – 2008 juga perlu difikirkan sekali. Rasanya tak perlu dihuraikan panjang di sini. Bak kata Raja Lawak, Nabil - Lu fikirlah sendiri!

Ketepikan soal BN dan UMNO, kuasa yang ada sudah dijadikan sebagai sumber pendapatan peribadi, parti dan keluarga sendiri. Rakyat sekadar mendapat mimpi di siang hari. Rakyat terus tidur dibuai selagai kuasa ada pada mereka. Hari ini, rakyat terjaga – tetapi masih terpinga-pinga. Fikiran belum jitu. Masih mamai.

PAS, PKR, DAP yang telah berkuasa - jangan berpecah, jangan berundur, jangan sombong meskipun rakyat masih tidur!

Maaf, saya selalu prejudis pada fungsi rakyat dalam membuat perubahan. Sekali fikir - Rakyat hanya sekadar alat! Bangkit tetapi tidak sedar. Bingkas bangun tetapi sekadar untuk ke bilik air!Cittt!

Nota : Penulis adalah bekas Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Perak, sedang menyiapkan kajian PhD di University of Wales, Lampeter dalam bidang kepimpinan politik.

Senarai Exco kerajaan Selangor

Tan Sri Datuk Abdul Khalid bin Ibrahim
Dato’ Menteri Besar
Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Belia & Sukan

2. Teresa Kok Suh Sim
Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan

3. Datuk Dr. Hassan bin Mohamed Ali
Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam

4. Yaakob bin Sapari
Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan

5. Rodziah binti Ismail
Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi

6. Dr. Xavier Jayakumar a/l Arulanandam
Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin

7. Dr. Halimah binti Ali
Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan

8. Iskandar bin Abdul Samad
Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan

9 . Ronnie Liu Tian Khiew
Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan

10. Wong Keat Ping @ Elizabeth Wong
Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar

11. Eam Yong Hian Wah
Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram

Kenapa Abdullah berkeras mahukan Idris?

KUALA TERENGGANU, 24 Mac: Rakyat Terengganu kini tertanya-tanya kenapa Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi begitu beria-ia benar mahukan Datuk Seri Idris Jusoh kekal sebagai Menteri Besar Terengganu sehingga sanggup kehilangan satu negeri.

Padahal istana Terengganu sudah memberikan beberapa pilihan selain Idris untuk dipilih oleh Abdullah untuk dilantik sebagai MB.

"Kenapa Pak Lah sanggup berkeras sehingga sanggup memperjudikan sebuah kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional untuk mempertahankan Idris sebagai MB?" kata seorang pemerhati politik di Terengganu.

BN bakal kehilangan sebuah lagi negeri iaitu Terengganu jika calon MB yang dipilih istana Terengganu, Datuk Ahmad Said berjaya memujuk rakan-rakan Adun BN di Terengganu menyertainya.

Beliau hanya perlukan lapan sahaja lagi dari BN kerana PAS yang mempunyai lapan Adun awal-awal lagi membayangkan sokongan mereka apabila berkata akan memberikan sokongan mereka kepada Sultan Terengganu.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, beliau percaya keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja itu mengambil kira dan menitik-beratkan hasrat dan kehendak sebenar rakyat negeri Terengganu keseluruhannya.

Siasah juga dimaklumkan, Ahmad bakal mendapat sokongan kira-kira 10 Adun BN lain.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Umno Terengganu, Tengku Putera Tengku Awang berkata, tujuh dari lapan ketua bahagian Umno di Terengganu menyokong Ahmad Said.

Namun, Ketua bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Farid menafikan beliau menyokong Ahmad.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib pula berkata, empat ketua bahagian Umno di Terengganu menyokong Idris.

Di KUALA LUMPUR, Hari ini, Adun Kijal Datuk Ahmad Said kelihatan memasuki Istana Terengganu di Kuala Lumpur menghadap Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan.

Kenderaann Tuanku Mizan pula kelihatan dua kali memasuki bangunan Istana Terengganu di Jalan Tun Razak itu.

Menurut sumber, beberapa pegawai kanan kerajaan turut berada dalam istana berkenaan.

Saturday, March 22, 2008

Ahmad Said terima surat perlantikan MB

KUALA TERENGGANU, 23 Mac: Adun Kijal, Datuk Ahmad Said menerima surat perlantikan sebagai menteri besar Terengganu dari Majlis Pemangku Raja ketika menerima amaran dari Setiausaha Agung Umno akan menghadapi tindakan tatatertib dari Umno jika berbuat demikian.

Siasah difahamkan, Istana Terengganu melantik Ahmad selepas yakin beliau mendapat sokongan yang mencukupi untuk dilantik sebagai MB.

Ia dikatakan dalam bentuk surat akuan bersumpah dari Adun-adun Umno berkenaan yang dikatakan berjumlah 11 orang termasuk Ahmad sendiri.

Ini bermakna, sokongan untuk kem Idris kini adalah 13 dari 24 Adun BN.

Dengan jumlah ini, Ahmad dijangka akan menghadapi kesukaran untuk meneruskan kerajaannya kerana bila-bila masa sahaja kerajaannya boleh ditumbangkan jika dibuat undi tidak percaya oleh Adun BN yang setia kepada Idris.

Langkah penyelamat kerajaan ini adalah dengan mendapatkan sokongan dari lapan Adun PAS dalam Dun Terengganu.

"11 campur lapan akan menjadi 19. Ini adalah angka yang cukup untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah di Terengganu," kata seorang aktivis politik di Terengganu.

Siasah difahamkan, PAS akan sedia bekerjasama dengan Ahmad Said untuk membentuk kerajaan baru kerana ia bukan bersama BN tetapi bersama kumpulan yang telah diambil tindakan tatatertib oleh Umno.

Dalam pada itu, akhbar dalam talian, Tranungkite.net melaporkan, Datuk Wan Mutalib, penasihat undang-undang PAS ketika dihubungi mereka menyatakan PAS tetap berdiri teguh di belakang pihak istana dalam soal ini.

Manakala, jika ada kesudian pihak Adun yang dikenakan tindakan tadi, maka secara peribadinya, PAS akan memberikan sokongan kepada MB baru, kata beliau kepada Tranungkite.

Hubungan dengan istana

Bagaimanapun, satu lagi perkara penting dalam kontek politik di Terengganu adalah hubungan dengan istana.

"Sudah jelas kini Rosol (Wahid) telah membakar jambatannya dengan istana Terengganu apabila membuat kenyataan akan menghantar memorandum kepada istana Terengganu mengenai perlantikan MB ini," ulas Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu, Yahya Ali mengenainya.

Bagi beliau, tindakan Rosol amat bahaya untuk masa depan politiknya.

"Adakah lain-lain Adun Umno berani bertindak macam Rosol?. Tindakan ini bermakna, Rosol bakal tidak akan mengecap sebarang peluang untuk menjadi MB hatta untuk menjadi exco kerana kedua-duanya memerlukan perkenan dari istana," kata beliau.

Keadaan di Terengganu

Sementara itu, keadaan di Terengganu agak panas apabila ramai berhimpun di kediaman rasmi MB Terengganu di Batu Buruk hari ini.

Lebih 200 orang berhimpun di situ dan usaha untuk melalui jalan ke situ agak sukar.

Orang ramai juga dilihat berkumpul di sana-sani sekitar bandaraya Kuala Terengganu.

Politik Terengganu semakin panas, Pemuda Umno mahu adakan perhimpunan esok

KUALA TERENGGANU, 22 Mac: Politik Terengganu semakin panas apabila Pemuda Umno negeri dijangka akan mengadakan perhimpunan khas di Batu Buruk pagi esok, Ahad 23 Mac.

Menurut sumber, perhimpunan itu diadakan bertujuan untuk menyokong Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang tidak mendapat perkenan Sultan Terengganu untuk menjadi MB.

Dalam pada itu, Adun Umno yang diketuai Datuk Rosol Wahid telah membuat sidang akhbar khas sebaik sahaja pengumuman Ahmad Said dilantik sebagai MB Terengganu.

Rosol berkata berkata, mereka akan memboikot majlis anjuran Istana Terengganu itu.

Majlis Penasihat Raja Terengganu dalam kenyataan mereka hari ini memaklumkan, Datuk Ahmad Said telah dipilih sebagai MB Terengganu yang baru.

Majlis mengangkat sumpah jawatan beliau akan dibuat di Istana Tamu esok.

"Adun Umno tidak perlu datang kerana ini majlis angkat sumpah melantik MB bukan Exco. Selepas jadi MB, saya yakin berbondong-bondong wakil rakyat Umno akan bersama Ahmad Said untuk menjadi Exco. Ketika itulah baru ujian sebenar akan dilihat," kata seorang pemimpin PAS Terengganu mengulas isu ini.

Dalam pada itu, Adun Umno juga telah membuat laporan kepada BPR tentang penyelewengan yang berlaku dalam dua projek di Kijal, Terengganu yang dipercayai ditujukan kepada Ahmad Said.

Sebelum ini, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah berkata, semua calon BN telah lulus pemeriksaan BPR dan tidak ada siasatan BPR yang berjalan ke atas calon-calon BN itu.

Di Kuala Lumpur, Setiausaha Agung Umno yang baru, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor memberi amaran kepada Ahmad Said agar jangan mengangkat sumpah sebagai MB kerana watikah telah diberikan Oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah kepada Idris untuk menjadi MB.

Ketika ditanya, bagaimana dengan kes Perlis, Abdullah juga memberikan watikah kepada Datuk Seri Shahidan tetapi Datuk Dr Mohd Isa Sabu yang dilantik menjadi MB, Adnan berkata, majoriti anggota BN di Perlis menyokong Md Isa bukan Shahidan.

Tetapi, di Terengganu, majoriti Adun BN menyokong Idris.

Oleh itu, jika Ahmad terus mengangkat sumpah, tindakan disiplin akan diambil oleh Umno ke atasnya, kata Adnan.

Thursday, March 20, 2008

Exco Selangor PKR-4, DAP-3 dan PAS-3

Kemaskini

SHAH ALAM, 21 Mac: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah menyerahkan 10 nama, empat PKR, tiga DAP dan tiga PAS untuk dilantik sebagai Exco Selangor kepada Sultan Selangor.

Jumlah komposisi kaum pula adalah lima Melayu dan lima lagi bukan Melayu menjadikan komposisi dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor adalah enam Melayu dan lima bukan Melayu.

Dari lima bukan Melayu itu, satu India iaitu dari PKR. Namun, DAP memilih semua Cina sebagai exconya.

Empat dari exco itu pula adalah wanita iaitu dua PKR, satu DAP dan satu PAS.

Menurut sumber, wakil PKR adalah Yaakob Sapari (Kota Angerik), Rodziah Ismail (Batu Tiga), Dr Xavier Jayakumar (Seri Andalas ) dan Elizabeth Wong (Bukit Lanjan)

Wakil DAP adalah Ronnie Liu (Pandamaran), Teresa Kok (Kinrara) dan Ean Yong Hian Hua (Seri Kembangan).

Siasah difahamkan sebelum ini, tiga wakil PAS yang dicalonkan adalah Datuk Dr Hassan Mohd Ali (Gombak Setia), Iskandar Samad (Cempaka) dan Dr Halimah Ali (Selat Klang).

Dalam pilihan raya lalu, PKR memenangi 15 kerusi Dun, DAP 13 dan PAS lapan.
Dengan penyusunan ini bermakna tidak ada satu parti pun yang mempunyai majoriti dan masing-masing saling bergantung antara satu sama lain atau pemuafakatan jelas berlaku.

MB Perak akan temui PM untuk kebaikan rakyat

IPOH, 21 Mac: Menteri Besar Perak, Ir Mohamad Nizar Jamaludin merancang untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secepat mungkin bagi memperkemaskan hubungan kerajaan negeri Perak dengan Kerajaan Pusat.
"Ia untuk kebaikan rakyat," kata Nizar dalam wawancara khas beliau dengan Tvpas.com yang sedang disiarkan sekarang.
Wawancara kira-kira 25 minit itu menyentuh pelbagai perkara termasuklah rasional penghapusan kompaun tempat meletak kereta dan saman terhadap penjaja kecil di Perak sehingga perlantikan beliau sebagai MB Perak.

Kunjungi www.tvpas.com untuk menonton wawancara sepenuhnya.


Wednesday, March 19, 2008

Ahmad Shabery Cheek yang saya kenal

Oleh Zulkifli Sulong

"Menyesal sungguh ana kahwin lewat. Kalaulah ana tahu seronoknya kahwin, dari tahun satu lagi ana kahwin."

Itulah kata-kata Ahmad Shabery Cheek (kini Datuk) kepada rakan-rakannya tahun 1982 lalu di kampus UM. Ketika itu penggal kampus Universiti Malaya (UM) baru dibuka. Ahmad Shabery, semasa cuti penggal itu telah melangsungkan perkahwinannya dengan teman sekampusnya, Puan Syarifah (hingga kini saya hanya ingat sebagai Kak Pah sahaja).

Kata-kata itu beliau lafazkan di depan isterinya kepada kami para junior beliau di kampus. Ia semacam dorongan kepada kami agar berkahwin cepat-cepat walaupun masih belajar lagi.

Shabery dengan Kak Pah telah kahwin semasa cuti penggal tahun dua untuk masuk tahun tiga (tahun akhir pengajiannya di UM).

Kini, Shabery baru sahaja dilantik menjadi Menteri Penerangan menggantikan Datuk Zainudin Maidin.

Ketika di kampus UM, Shabery adalah aktivis kampus. Yang menariknya, rakan-rakan beliau kini juga mendapat tempat yang baik dalam dunia politik Malaysia. Mungkin hasil dari didikan politik ketika berada di kampus ketika itu.

Anwar sertai Umno

Zaman awal 80an adalah era menarik dalam politik Malaysia. Ketika itulah politik pelajar bangkit kembali dan menghadapi kemelut yang hebat. Ia bergerak sekitar kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam Umno. Kini Anwar juga adalah tokoh penting politik tanah air.

Di UM, Shabery, sebelum peristiwa penting itu berlaku adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM). Kumpulan beliau, yang pro pembangkang ketika itu berjaya menubuhkan kerajaan di PMUM hasil gabungan dengan mahasiswa bukan Malayu iaitu India dan Cina.

Saya masin ingat lagi, Setiausaha Agung PMUM ketika itu adalah Muhamad Fuad Zarkashi. Kini Fuad adalah Ketua Penerangan Umno Johor.

Apabila Anwar menyertai Umno, berlaku perpecahan hebat dalam kem Islam di kampus UM. Namun Shabery tidak terlalu menunjukkan sikapnya. Lalu beliau ditolak masuk dalam kumpulan 'tidak jelas'.

Rumah sewa kami adalah di Conchita, rumah sewa yang menjadi markas pergerakan pelajar Islam di UM. Di Conchita inilah berdebatan hari-hari berlaku.

Ketika itu kumpulan pro-Anwar dikenali dengan nama Anwariyyun. Yang paling ketara memimpin kumpulan ini adalah Saifudin Abdullah, Presiden Persatuan Bahasa Melayu (PBMUM) ketika itu. Baru-baru ini Saifudin menjadi calon BN di Pahang dan memenangi kerusi yang ditandinginya itu.

Ketika Shabery tidak menunjukkan sikapnya yang jelas, Muhamad Husin memimpin kumpulan yang menyokong PAS secara langsung. Dalam kumpulannya termasuknya Husam Musa, Taib Ahmad, Mohamad Zainal Abidin Husien, Takiyudin Hassan, Zulkifli Yusof, Azmi Mohamad Ali, Syed Putra Syed Ahmad dan lain-lain lagi.

Husam ketika itu aktif dalam PBMUM di bawah Saifudin. Muhamad Husin kemudiannya menjadi Presiden PMUM. Selepas itu, Takiyudin Hassan pula menjadi Presiden PMUM. Dan seterus selepas itu, Zulkifli Yusof juga menjadi Presiden PMUM.

Mereka berjaya menjadi presiden PMUM kerana kejayaan golongan pro-PAS ketika itu menguasai kampus selepas keluarnya golongan yang lebih liberal dari kampus, termasuk Shabery.

Kesemua nama yang disebut diatas kini menjadi orang penting. Husam Naib Presiden PAS dan juga Exco kerajaan negeri Kelantan. Begitu juga Takiyudin, Exco Kelantan. Muhamad Husin baru menang parlimen Pasir Puteh di Kelantan.

Angkatan Perpaduan Ummah

Walaupun liberal, Shabery tetap masih dalam lingkungan kumpulan aktivis Islam pro PAS dalam kampus menghadapi golongan nasionalis yang menjadi proksi Umno di kampus UM. Ketika itu, golongan ini tidak boleh angkat muka dan sentiasa tewas dalam pilihan raya kampus.

Selepas tamat belajar, Shabery pulang ke negeri asalnya Terengganu dan bergiat aktif dalam PAS. Tapaknya adalah Institut Berakan. Beliau aktif di Terengganu dan cuba menerapkan beberapa elemen baru dalam politik PAS di Terengganu. Namun, setelah beberapa tahun mencuba, Shabery gagal untuk menyesuaikan dirinya, lalu menyambungkan pelajaran dan seterusnya menjadi pensyarah Sains Politik di kampus asalnya iaitu UM.

Dari situlah, Shabery kelihatan mula mendekati politik Umno, namun masih bukan mainstream Umno. Beliau bersama dengan kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah. Apabila Ku Li menubuhkan Semangat 46, beliau bersama Ku Li dalamnya.

Shabery mempunyai saham yang besar dalam mencantumkan PAS dan Semangat 46. Ia berlaku dalam pilihan raya kecil Teluk Pasu pada tahun 1989. PAS dan S46 yang bersatu atas banner Angkatan Perpaduan Ummah melalui calon mereka Harun Taib (kini Datuk) menang dalam pilihan raya itu mengalahkan calon Umno, Abdul Rahman Mohamad.

Isu calon PAS tidak mahu bersalam dengan calon Umno sebagaimana berlaku di Marang baru-baru ini sudah berlaku dalam pilihan raya kecil Teluk Pasu ini. Media BN melaporkan calon PAS tak mahu bersalam dengan calon BN. Tidak sebagaimana di Marang, gambar gelagat calon PAS tidak mahu bersalam itu disiarkan sekali.

Namun, di edisi Kuala Lumpur, akhbar The Star telah menyiarkan gambar calon PAS bersalam dengan calon Umno ini. Apa yang berlaku adalah calon PAS tidak mahu berlakun sekali lagi bersalam dengan calon Umno apabila diminta wartawan berbuat demikian.

Inilah isu yang dimainkan Shabery dengan baik. Beliau mengeluarkan satu poster bertajuk "Siakap senohong gelama ikan duri, Cakap bohong lama-lama mencuri". Beserta dengan simpulan bahasa itu, beliau meletakkan gambar calon PAS dan Umno bersalam yang disiarkan akhbar The Star itu.

Hasilnya, di samping lain-lain faktor, calon PAS menang dalam pilihan raya kecil Teluk Pasu itu dan kemudiannya membolehkan PAS bergabung dengan Semangat 46 secara rasminya, walaupun agak sukar sebelumnya.

Kini Shabery Cheek adalah Menteri Penerangan. Janji awal beliau adalah untuk membolehkan media kerajaan yang dipimpinnya lebih berwibawa berbanding dengan sekarang.

Beliau akan diperhatikan secara 'close-up' oleh rakan-rakannya seperti Husam, Takiyudin dan Mohamad Husin dan juga tenaga media PAS yang menjadi rakan beliau dahulu.

SENARAI PENUH PORTFOLIO EXCO KELANTAN

Jawatankuasa Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli
Pengerusi: Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Tanah dan Wilayah
Pengerusi: Dato' Ahmad Yaacob

Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan
Pengerusi: Dato' Husam Musa

Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Pepaduan Masyarakat
Pengerusi: Dato' Annuar Tan

Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan
Pengerusi: Dato' Takiyuddin Hassan

Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah
Pengerusi: Nik Mohd Amar Nik Abdullah

Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar
Pengerusi: Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman

Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO
Pengerusi: Abdul Fattah Mahmood

Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknolgi
Pengerusi: Che Abdullah Mat Nawi

Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan
Pengerusi: Wan Ubaidah Omar

Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi
Pengerusi: Dr Mohd Fadhli Dato' Hassan

PAS, PKR dan DAP bina pakatan erat




KUALA LUMPUR, 19 Mac: PAS, PKR dan DAP mencapai kata sepakat Selasa lalu untuk mempertimbangkan kerjasama yang lebih erat antara mereka, kata kenyataan bersama ketiga-tiga parti itu dalam kenyataan rasmi mereka.

Mereka juga bersetuju mencadangkan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, Presiden PKR sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim layak bertanding kerusi Parlimen.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Laporan penuh dalam Siasah Ahad ini.

Abdullah perkuatkan Team B dalam Kabinet

KUALA LUMPUR, 19 Mac: Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi disifatkan sebagai memperkuatkan kedudukan dalam Umno melalui pembentukan Kabinetnya Selasa lepas bagi menghadapi pemilihan pucuk pimpinan Umno hujung tahun ini.

Langkahnya adalah dengan mengeluarkan menteri yang dikira mempunyai hubungan yang rapat dengan bekas ketua beliau, Tun Dr Mahathir Mohamed atau lebih tepatnya memperkuatkan Team B dan mengeluarkan pemimpin dari Team A dari Kabinetnya.

Untuk itu, sekurang-kurang tiga pemimpin utama Team B mendapat tempat yang baik dalam Kabinet ini iaitu Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Datuk Shahril Samad.

Yang mendapat nasib malang adalah pemimpin Team A Umno atau penyokong Tun Dr Mahathir iaitu Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk Seri Tengku Adnan Mansur dan Datuk Seri Jamaludin Jarjis. Ketiga-tiganya dipecat dari Kabinet walaupun menang dalam pilihan raya baru-baru ini.

Baca laporan penuh dalam Siasah Ahad ini.

Pemuda PAS kunjungi MB Perak

Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS Pusat mengetuai rombongan ke Pejabat Menteri Besar Perak, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, 51, 18 Mac.

Tuesday, March 18, 2008

Agenda ekonomi Malaysia

Oleh ANWAR IBRAHIM

Agenda Ekonomi Malaysia oleh KeADILan adalah komited untuk memperbaiki dan menaiktaraf golongan miskin dan terpinggir samada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lainnya. Kami sentiasa menegaskan bahawa di bawah kepimpinan kami, kepentingan orang Melayu akan dipelihara dan kami kekal komited untuk membina sebuah sistem baru yang lebih adil, lebih saksama dan berperanan untuk memastikan tidak ada seorang pun yang ketinggalan di belakang tanpa mengira apa agama dan bangsa mereka.

Kami merancang untuk melaksanakan mekanisme-mekanisme baru untuk menyalurkan bantuan ekonomi kepada sejumlah besar peniaga-peniaga kecil dalam komuniti Melayu dan memastikan peluang pendidikan, skim kewangan mikro kredit, perkhidmatan sosial dan kebajikan serta pelbagai lagi bentuk bantuan ekonomi terbuka untuk masyarakat Melayu.

Saya percaya bahawa semua rakyat Malaysia termasuklah golongan Melayu mengalu-alukan mandat yang diperolehi KeADILan pada 8 Mac lepas dan mereka memandang ke hadapan untuk membentuk sebuah kerajaan yang lebih berakauntabiliti, memerangi rasuah dan melaksanakan janji-janji untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan membasmi kemiskinan di dalam pelbagai sektor masyarakat.

Justeru saya turut terkesan dengan pelbagai usaha yang dilakukan oleh segelintir pihak untuk mengapi-apikan sentimen perkauman selepas Pilihanraya Umum 8 Mac yang lepas. Kami mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kempen ganas ini dipeloporti segelinti Melayu korporat dan pimpinan Umno yang bersalah kerana menyalahguna dan menyelewengkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk memperkayakan kelompok dan kroni mereka menggunakan wang yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat.

Hubaya-hubaya ini mempergunakan Umno dan media kawala kerajaan untuk menyemarakkan rasa takut di kalangan masyarakat Melayu dan mengalihkan tumpuan daripada kekalahan mereka dan kegagalan terbesar Umno dalan sejarah, kepada memberi tumpuan dan fokus kepada keperluan seluruh rakyat Malaysia termasuklah Melayu miskin dan tertindas.

Saya menyeru kepada seluruh rakan warga Malaysia untuk menolak usaha desperado tajaan pimpinan dan ahli Umno untuk menyelamatkan harapan rakyat daripada dimanipulasi sebuah parti yang rosak yang menyemarakkan ketakutan rakyat dan berusaha memecahbelahkan rakyat negara ini.

Kita mesti kekal bersatu untuk menjunjung Harapan Baru untuk Malaysia

Rahin Mohd Said bakal MB Terengganu?

KUALA TERENGGANU, 18 Mac: Adun Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said bakal ditabalkan sebagai Menteri Besar Terengganu, bukannya Datuk Seri Idris Jusoh, tulis Ketua Pengarang Siasah, Mohd Sayuti Omar dalam blognya.

"Dari satu sumber Umno Terengganu yang diterima lewat malam ini pula 'mengesahkan' bahawa Idris sudah pasti tidak akan dilantik menjadi MB Terengganu.

Nama Adun Telok Pasu, Abdul Rahin Mohd Said (foto) dikatakan sudah diperkenan oleh Sultan Terengganu untuk mengganti Idris.

"Nama Datuk Rahin adalah satu-satu nama setakat ini yang diperkenankan oleh Sultan," ujar sumber berkenaan, tulis Sayuti dalam blognya.

Sementara itu, Buletinonline melaporkan, upacara angkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu masih samar-samar dan tiada petunjuk ia akan diadakan hari ini, walaupun akhbar media perdana melaporkan kelmarin majlis itu dikatakan akan berlangsung Selasa.

Namun sehingga lewat petang ini tiada pihak dapat mengesahkan tarikhnya.
Buletin Online dimaklumkan bahawa Tuanku Sultan Mizan tidak meletakkan jadual kerangkatannya hari ini(18/3) manakala anakandanya Tengku Muhammad dimaklumkan ada di Singapura.

Sumber-sumber yang rapat dengan istana yang sepatutnya menghubungi Buletin Online, tidak berbuat demikian sehingga lewat semalam.

(Gambar: Istana Maziah tempat sepatutnya istiadat mengangkat sumpah diadakan)
Akhbar media perdana yang melobi Idris Jusoh supaya meneruskan khidmatnya sebagai Menteri Besar melaporkan Idris mempunyai jadual yang agak padat esok sekali gus memberi petanda bahawa tiada upacara angkat sumpah jawatan akan berlangsung.

Jika upacara angkat sumpah masih tidak diadakan esok, bermakna Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang masih belum mempunyai Menteri Besar selepas sepuluh hari Pilihan Raya Umum Ke-12 berakhir.

Sehingga pukul 6.30 petang kelmarin, tiada petunjuk jelas mengenai persediaan bagi mengadakan majlis itu. Semua pihak yang dihubungi enggan mengulas mengenai perkara itu dan meminta pihak media menunggu sehingga pengumuman dibuat oleh pihak istana.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong pula dilaporkan enggan menjawab sebarang soalan berkaitan dengan isu itu.

Senarai penuh anggota Kabinet Malaysia

Perdana Menteri:
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

Timbalan Perdana Menteri:
Datuk Seri Najib Tun Razak

Kementerian di Jabatan Perdana Menteri
Menteri:Tan Sri Bernard Dompok,Datuk Seri Nazri Aziz, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Mohd Zaid Ibrahim, Datuk Amirsham Abdul Aziz
Timbalan Menteri:Datuk Johari Baharom, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, Datuk K Devamany, Datuk Hassan Malik

Kementerian Kewangan
Menteri:Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
Menteri Kewangan Kedua:Tan Sri Nor Mohamed Yakcop
Timbalan Menteri:Datuk Ahmad Husni Hanadzlah, Datuk Kong Cho Ha

Kementerian Pertahanan
Menteri:Datuk Seri Najib Tun Razak
Timbalan Menteri:Datuk Wira Abu Seman Yusof

Kementerian Dalam Negeri
Menteri:Datuk Seri Syed Hamid Albar
Timbalan Menteri:Datuk Chor Chee Heong, Senator Wan Ahmad Farid Wan Salleh

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Menteri:Datuk Ong Ka Chuan
Timbalan Menteri:Datuk Robert Lau, Datuk Hamzah Zainuddin

Kementerian Kerja Raya
Menteri:Datuk Mohd Zin Mohamad
Timbalan Menteri:Datuk Yong Khoon Seng

Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi
Menteri:Datuk Shaziman Abu Mansor
Timbalan Menteri:Datuk Joseph Salang Gandum

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
Menteri:Datuk Mustapa Mohamed
Timbalan Menteri:Datin Paduka Rohani Abdul Karim

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Menteri:Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Menteri:Loh Wei Keong, Datuk Jacob Dungau Sagan

Kementerian Luar
Menteri:Datuk Seri Dr Rais Yatim
Timbalan Menteri:Tengku Azlan Sultan Abu Bakar

Kementerian Pelajaran
Menteri:Datuk Seri Hishammuddin Hussein
Timbalan Menteri:Datuk Wee Ka Siong, Datuk Razali Ismail

Kementerian Pengajian Tinggi
Menteri:Datuk Khaled Nordin
Timbalan Menteri:Khoo Kok Choong, Datuk Idris Harun

Kementerian Pengangkutan
Menteri:Datuk Ong Tee Keat
Timbalan Menteri:Anifah Aman

Kementerian Sumber Manusia
Menteri:Datuk S Subramaniam
Timbalan Menteri:Datuk Noraini Ahmad

Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga
Menteri:Datuk Dr Ng Yen Yen
Timbalan Menteri:Noriah Kasnon

Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan
Menteri:Datuk Shafie Apdal
Timbalan Menteri:Datuk Teng Boon Soon

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
Menteri:Datuk Dr Maximus Ongkili
Timbalan Menteri:Fadilah Yusof

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Menteri:Datuk Noh Omar
Timbalan Menteri:Datuk Saiffuddin Abdullah

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
Menteri:Datuk Douglas Unggah Embas
Timbalan Menteri:Datuk Abu Ghapur Salleh

Kementerian Luar Bandar dan Wilayah
Menteri:Tan Sri Muhammad Muhd Taib
Timbalan Menteri:Tan Sri Joseph Kurup

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
Menteri:Datuk Shahrir Samad
Timbalan Menteri:Jelaing Mersat

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Menteri:Datuk Peter Chin Fah Kui
Timbalan Menteri:Senator A Kohilan

Kementerian Belia dan Sukan
Menteri:Datuk Ismail Sabri Yaacob
Timbalan Menteri:Wee Jack Seng

Kementerian Kesihatan
Menteri:Datuk Liow Tiong Lai
Timbalan Menteri:Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad

Kementerian Penerangan
Menteri:Datuk Ahmad Shabery Cheek
Timbalan Menteri:Datuk Tan Lian Hoe

Kementerian Pelancongan
Menteri:Datuk Azalina Othman Said
Timbalan Menteri:Datuk Sulaiman Abdul Rahman Abu Taib

Kementerian Wilayah Persekutuan
Menteri:Datuk Zulhasnan Rafique
Timbalan Menteri:M Saravanan

Monday, March 17, 2008

PAS tidak yakin dengan kabinet baru Abdullah

Oleh DATUK SERI ABD. HADI AWANG
Presiden PAS

"PAS melihat kabinet baru Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ini lebih merupakan kabinet untuk menyelamatkan kedudukan politik beliau sebagai PM dan Presiden Umno dan bukannya untuk membina Malaysia yang baru.
Nama-nama yang telah diumumkan itu kebanyakkannya merupakan mereka yang setia dengan Abdullah manakala mereka yang dikira rapat dengan Timbalan Presiden Umno Dato Seri Najib Tun Razak telah dicantas.

"Perlantikan beberapa Senator untuk menganggotai kabinet khasnya dari kalangan pimpinan Umno membuktikan yang Abdullah menganggap bahawa ahli-ahli Parlimen Umno yang lain yang telah berjaya dalam pilihan raya umum lalu sebagai tidak layak untuk duduk di dalam kabinet.

"PAS juga mendapati kabinet ini turut dianggotai oleh tokoh-tokoh yang moral dan kebersihannya sangat diragukan oleh rakyat dan ini sudah pasti tidak akan membantu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerjaaan BN.

"Bagi PAS kabinet baru Perdana Menteri ini tidak memiliki kekuatan untuk mengubat ketidakpuasan hati rakyat yang telah diterjemahkan melalui keputusan PRU ke-12 lalu.

"Abdullah jelas tidak mengambil iktibar dari kemerosotan sokongan rakyat terhadap beliau itu dan diyakini melalui kabinet ini beliau akan terus mengulangi kesilapan dan kelemahannya yang lalu."

Ramai menteri gugur

Yang digugurkan dalam Kabinet kali ini adalah Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, Datuk Azmi Khalid, Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk Tengku Adnan Mansur dan Datuk Jamaludin Jarjis.


Menteri baru


Menteri baru adalah Datuk Amir Sham Aziz, Datuk Zaid Ibrahim, Datuk Zahid Hamidi, Ahmad Shabery Cheek, Ismail Sabri Yaakub, Datuk Shahril Samad, Datuk Noh Omar, Datuk Zain Mohamed dan Datuk Mohamad Haji Mohd Taib.

Saturday, March 15, 2008

MB Perak angkat sumpah esok

IPOH, 16 Mac: Menteri Besar Perak, Ir. Mohamad Nizal Jamaludin akan mengangkat sumpah jam 11.30 pagi esok, 17 Mac, kata Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang.

Majlis itu diadakan selepas ditangguhkan baru-baru ini ekoran masalah salah faham antara ketiga-tiga parti yang membentuk kerajaan iaitu DAP, PKR dan PAS.

15 Mac lalu, ketiga-tiga parti telah mencapai kata sepakat dan menghantar surat kepada Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah, menyokong Nizal sebagai MB dan mahu membentuk kerajaan bersama.

Ketiga-tiga parti juga bersetuju komposisi Exco berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi mereka iaitu komposisi DAP 6: PKR 3: PAS 1

Hanya empat sokong calon pilihan Abdullah di Perlis

KANGAR, 15 Mac: Jika melihat kepada sokongan kepada bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk menjadi menteri besar semula, bermakna hanya empat sahaja menyokong calon yang dipilih Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di kalangan Adun Perlis.

Ini berdasarkan, Shahidan mendakwa, mereka yang membelakangi surat watikah Abdullah yang mencalonkan beliau sebagai MB Perlis bermakna tidak mematuhi kepimpinan Barisan Nasional (BN).

Ini bermakna, yang menyokong kepimpinan Abdullah adalah hanya empat.

Hatta satu-satunya Adun PAS di Perlis, Rus'sele Eizan (Pas-Simpang Empat) juga menyokong keputusan Raja Perlis melantik Dr Mohamad Isa Sabu sebagai MB.

Mereka yang menyokong Shahidan yang dipilih Pak Lah adalah:

1. Khairi Hassan (Mata Ayer)
2. Mansor Jusoh (Chuping)
3. Abdullah Hassan (Sanglang)
4. Jafperi Othman (Guar Sanji)

Mereka yang menyokong Dr Isa pula adalah:


1. Yip Sun Onn (Titi Tinggi)
2. Mat Rawi Kassim (Beseri)
3. Sabry Ahmad (Santan)
4. Dr Por Choo Chor (Indera Kayangan)
5. Abdul Jamil Saad (Sena)
6. Ahmad Bakri Ali (Kayang)
7. Mat Hassan (Kuala Perlis)
8. Datuk seri Syed Radzlan Putra Jamalullail (Pauh)
9. Rus'sele Eizan (Pas-Simpang Empat)


Shahidan mendakwa, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Datuk Seri Azmi Khalid di belakang pencalonan Dr Isa Sabu.

Thursday, March 13, 2008

Selepas beberapa malam, baru Ahmad Awang dapat tidur lena

IPOH, 14 Mac: Kerajaan baru negeri Perak dijangka akan dibentuk segera selepas kesemua 31 Adun DAP, PKR dan PAS selesai menandatangani surat pengesahan sokongan mereka kepada Adun Pasir Panjang Mohamad Nizar Jamaludin sebagai MB Perak.

"Insya Allah malam ini saya boleh tidur lena selepas beberapa malam ini tidak dapat lena," kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Ahmad Awang ketika dihubungi Siasah malam tadi.

Beliau dalam perjalanan dari Istana Perak pulang ke Ipoh selepas selesai semua 31 Adun berkenaan menandatangani surat yang dikehendaki Raja Muda Perak, Raja Nazrin.

Sebelum ini, salah faham antara ketiga-tiga parti itu ada sahaja berlaku terutama dari pemimpin mereka di paringkat pusat.

"Hubungan di peringkat Perak ini sangat baik, tetapi kadang-kadang timbul salah faham dari mereka di peringkat pusat," kata Ahmad.

Mula-mula Pengerusi DAP, Lim Kit Siang membantah keputusan ketiga-tiga parti itu di Perak melantik Nizar sebagai MB sedangkan DAP paling banyak kerusi Adun dan PKR juga lebih dari PAS .

Ekoran itu beliau mengarahkan kesemua Adunnya agar jangan menyertai majlis angkat sumpah MB.

Padahal perlantikan Nizar bukan kerana dia dari PAS tetapi kerana syarat MB di Perak adalah Melayu beragama Islam. Di kalangan mereka hanya sembilan Melayu iaitu enam dari PAS dan tiga dari PKR.

Di kalangan kesembilan mereka pula, Nizar dikira paling berkelayakan dari segi akademik, pengalaman dan latar belakang kerja.

Selepas ia selesai apabila Lim Kit Siang memohon maaf dari Raja Muda Perak, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin pula membuat kenyataan Adun dari partinya tidak akan terlibat dengan kerajaan baru selepas tidak setuju dengan komposisi Exconya.

PKR menganggap DAP akan mendapat lapan dari 10 kerusi Exco padahal penyelesaian telah dicapai antara Raja Muda Perak, DAP dan PAS komposisinya adalah selaras dengan bilangan Adun masing-masing dalam Dewan Undangan Negeri iaitu DAP 18, PKR 7 dan PAS 6.

Komposisi Exco yang dipersetujui Raja Muda Perak dan ketiga-tiga parti itu di Perak adalah adalah DAP 6, PKR 3 manakala PAS 1.

Ekoran kekeliruan itu, Raja Nazrin telah mengarahkan sokongan ketiga-tiga parti dibuat secara bertulis dari 31 Adun yang terlibat.

DEB alat perkauman Umnoputera

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Pemuda PAS memandang serius amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menganggap kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk menamatkan DEB sebagai berunsur perkauman dan menyemarakkan ketegangan kaum.

Bagi Pemuda Pusat, kerajaan DAP di Pulau Pinang berhak menentukan sendiri dasar mereka dan tidak bermakna penolakan terhadap DEB akan membakar isu perkauman, kata ketuanya Salahudin Ayub.

Pamuda PAS, katanya, pada asasnya berdiri teguh di sebalik pendirian PAS yang mahu dasar-dasar nasional dikekalkan tetapi tidak bermakna PAS menyokong amalan-amalan korupsi, kronisme dan nepotisme dalam perlaksanaan dasar-dasar awam termasuk DEB.

Selama ini DEB memang memberikan manfaat yang besar dalam merapatkan jurang kaya miskin antara kaum di negara ini.

Tetapi, apa yang mendukacitakan ialah DEB dijadikan alat politik oleh BN untuk menekan dan memeras ugut rakyat sama ada atas sentimen ekonomi, politik atau perkauman, katanya.

Kit Siang: Tanniah, anda matang kerana sedia memohon maaf

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Langkah Pengerusi DAP, Lim Kit Siang memohon maaf selepas mempertikaikan perlantikan Adun Sungai Panjang, Mohamad Nizar Jamaludin, 51, sebagai Menteri Besar Perak diterima dengan linangan air mata kegembiraan oleh penyokong PAS, PKR bahkan juga DAP.

Mereka menyifatkan langkah ini sebagai melambangkan kedewasaan dan kematangan beliau untuk menerima kesilapan dan pengajaran secara langsung dari rakyat.

Lim Kit Siang menerima kritikan paling hebat, mungkin terhebat dalam sejarahnya sebagai ahli politik, bahkan dari pembaca blognya sendiri selepas beliau membuat kenyataan tidak puas hati dengan pemilihan Mohamad Nizar sebagai MB Perak.

Beliau juga telah mengarahkan kesemua wakil rakyat DAP memboikot majlis mengangkat sumpah MB Perak.

Pada hari berikutnya, 13 Mac, kira-kira jam 11 pagi, beliau membuat kenyataan memohon maaf dan memohon ampun dari Sultan Perak ekoran kenyataannya itu.
Laporan penuh dalam Siasah Ahad ini.

Nizar: Jurutera yang boleh berbahasa Inggeris, Cina dan Tamil

Ramai yang tertanya-tanya bagaimana wakil rakyat Pasir Panjang dari PAS, Ir Mohamad Nizar Jamaludin, 51, dipilih sebagai Menteri Besar Perak padahal DAP mempunyai lebih ramai Adun (18) dan PKR juga mempunyai lebih dari PAS iaitu tujuh, manakala PAS hanya ada enam sahaja.

Dia sebenarnya bukan dipilih kerana PAS tetapi faktor utamanya adalah kerana dia paling layak di kalangan sembilan wakil rakyat Melayu dan beragama Islam yang ada di kalangan Adun DAP, PKR dan PAS yang membentuk kerajaan bersama itu.

PKR hanya ada tiga Melayu manakala PAS ada enam. DAP tidak mempunyai seorangpun Adun berbangsa Melayu dan beragama Islam. Menjadi syarat kepada MB Perak (sebagaimana termaktub dalam undang-undang tubuhnya) adalah Melayu dan beragama Islam. Hanya Sultan Perak boleh mengubah syarat ini.

Rakyat Perak bukan sahaja bakal memperolehi seorang Menteri Besar yang boleh memberikan khutbah Jumaat bahkan juga seorang jurutera yang boleh bercakap empat bahasa, Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris.

Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, 51, dilahirkan pada 17 Mac 1957 di Kampung Air Hitam Labu, Kampar Perak. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Kampar, kemudiaannya meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Anglo Chinese, Kampar.

Selepas itu menyambung pelajaranya di Sekolah Menengah Teknik, Persiaran Brash, Ipoh. Pada tahun 1972 beliau mengambil Advance Level (A Level) di Norwich City College Of Arts & Technology Norwich, Norfolk, England.

Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Aston di Brimingham, United Kingdom.

Sekembalinya ke tanahair, beliau bekerja di beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Kerja Raya bahagian bengkel dan kuari, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA - Daya Urus), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Beliau berpengalaman luas dalam menjalankan beberapa projek besar negara. Antaranya Projek Dayabumi fasa 2 & 3 pada tahun 1983, projek Pusat Islam (BAHES, Jabatan Perdana Menteri (1984), projek Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu (1985), pengurusan bangunan-bangunan kerajaan dan swasta termasuk KOMTAR, Bangunan Persekutuan Gunasama, pusat membeli belah dan pengurusan semua lif di hospital Kerajaan Negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis sehingga kini.

Sebelum dilantik menjadi Menteri Besar beliau merupakan Pengarah Urusan di beberapa firma swasta. Di luar negara pula beliau banyak menjalankan beberapa projek di beberapa buah negara, antara di Birmingham, United Kingdom, Zug Switzerland, Miano Italy, Bangkok Thailand, Sdyney dan Goldcoast Australia, Doha Qatar dan Tehran, Iran.

Dalam bidang politik pula, beliau berkecimpung dengan PAS dengan memegang Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Kampar (1999 - 2001). Beliau menjawat jawatan Yang Dipertua PAS kawasn Kampar (2001 hingga kini). Di peringkat PAS Negeri Perak, beliau memegang jawatan Bendahari PAS Negeri (2001- 2006), Setiausaha PAS Negeri (sebelum menjadi Menteri Besar Perak).

Walaupun beliau seorang yang berpendidikan tinggi tetapi beliau amat aktif dengan kegiatan masyarakat. Antaranya beliau memberikan kuliah dan majlis ilmu di masjid-masjid dan surau-surau, ceramah motivasi pelajar dan institusi pengajian tinggi, menyampaikan khubah jumaat, bantuan kepada fakir miskin, mewakili PAS dalam program program kaum bukan Islam serta terlibat secara langsung dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Beliau mempunyai lapan orang cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Fatimah Taat. Anaknya pertama merupakan lulusan BA Syariah Universiti Mut'ah, Jordan. Anak kedua pula lulusan hafiz al-Quran di Universiti Mut'ah Jordan. Anak yang ketiga juga lulusan hafiz al-Quran dari Universisiti Damsyik, Syria dan Universiti Lebanon. Manakala anak yang ke empat hingga ke lapan sedang belajar di beberapa pelbagai institusi pendidikan dalam negeri.

Menurut Setiausaha Kerja PAS Perak, Khalilul Abdul Rahman, Nizar merupakan seorang yang pemurah dan mudah bergaul dengan masyarakat dan mengambil berat masalah kakitangan di bawahnya. "Jika ada kakitangannya yang menghadapi masalah, beliau akan cepat menyekesaikan masalah temasuk masalah kewangan," jelas Khalilul.

"Sebagai ketua pejabat, beliau seorang yang peramah dengan orang ramai termasuk orang bawahannya dan beliau bersedia mendengar pandangan orang lain," ujar beliau.

Memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat menjadi agenda perjuangannya, kerana itu beliau bergiat cergas di dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO). Umpamanya Gabongan Pengguna Air Perak (GPAP).

Keistimewaan beliau, walaupun lulusan dari luar negeri beliau mampu mengajar (buka kitab) di masjid-masjid dan suara-surau.malah beliau sendiri mampu mengelenggarakan ibadah kurban termasuk penyembelihan bintang kurban.

Haji Nizar juga selain boleh berbahasa Inggeris juga boleh berbahasa Cina dan Tamil. Inilah Menteri Besar yang dikehendaki oleh rakyat, mampu mentadbir, berwibawa dan mempunyai pengetahuan agama dan boleh membaca khutbah jumaat.
Perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang memilih Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak memang tepat, oleh itu semua pihak perlu akur dengan keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak.

Angkat sumpah MB Perak batal lagi kerana salah faham

Terkini jam 4:50 petang

KUALA KANGSAR, 13 Mac: Majlis angkat sumpah Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri Perak yang baru terpaksa batal lagi hari ini apabila anggota Dewan Undangan Negeri dari PKR pula tidak berpuashati hasil dari salah faham.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang ketika dihubungi Siasah mengesahkan perkara ini dan majlis yang sepatutnya berlangsung jam 4 petang ini (13 Mac) terpaksa ditangguhkan.

PKR salah faham apabila menyangka mereka tidak mendapat sebarang kerusi dalam kerajaan Perak, padahal persetujuan yang dicapai adalah DAP akan mendapat 6 kerusi, PKR 3 dan PAS satu di samping MB.

Taburan ini adalah berdasarkan bilangan Adun masing-masing dalam kerajaan bersama itu iaitu DAP mempunyai 18 anggota, PKR 7 dan PAS 6.

"Persetujuan ini dicapai semalam antara DAP dan PAS selepas mereka dipanggil oleh Raja Muda Perak, namun tidak dipanggil PKR kerana ketika itu PKR tidak terlibat membantah," kata Ahmad Awang.

Hari ini, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali membuat kenyataan tidak akan terlibat dalam pembentukan kerajaan negeri Perak itu.

Pagi tadi, rombongan tujuh Adun PKR di Perak menemui Penasihat Undang-undang dan seterusnya mengadap Raja Muda Perak menyatakan bantahan mereka.

Ketika dihubungi Siasah, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua memaklumkan bantahan itu dibuat kerana PKR seolah-olah tidak ada sebarang kerusi dalam kerajaan Perak yang baru itu.

Namun beliau mengaku taburan 6:3:1 dalam Exco yang baru beliau ketahui itu adalah taburan yang sangat sesuai dan boleh diterima.

Wednesday, March 12, 2008

PAS umumkan 4 perkara penting

KUALA LUMPUR, 12 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan empat perkara penting yang menjadi isu sekarang dalam sidang medianya selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat hari ini.

Perkara itu adalah:

1) Beliau sendiri telah menandatangani surat bagi pihak PAS kepada Sultan Selangor menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

2) PAS hanya berunding dengan PKR dalam isu Exco Kedah dan telah memberikan tiga kerusi untuk PKR tentukan wakilnya dalam kerajaan negeri. Terserah kepada PKR untuk memilih exconya dan PAS telah menyatakan kesediaannya jika salah satunya adalah dari DAP.

3) PAS tidak menolak sepenuhnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana dasar itu ada juga kebaikannya. Bagaimanapun, PAS bersetuju dengan dasar-dasar baik yang dikemukakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan ianya telah dilaksanakan di Terengganu dan Kelantan termasuk dasar mengisytiharkan harta, tender terbuka dan sebagainya.

4) Buat masa sekarang, beliau tidak ada masa dan minat untuk berunding dengan Umno sehinggalah kesemua kerajaan negeri BA selamat ditubuhkan. Selepas itu, PAS bersedia untuk berunding dengan Umno untuk kepentingan negara.

Turut serta bersama beliau dalam sidang media itu adalah Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar dan Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar.

Tuesday, March 11, 2008

Lima negeri BA bergabung bentuk koridor ekonomi baru

KUALA LUMPUR, 11 Mac: PAS mencadangkan agar lima buah negeri yang dikuasai Barisan Alternatif (BA) sekarang bergabung membentuk koridor ekonomi di negara ini.

Cadangan ini dibuat oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut dekat sini Selasa lepas.

Negeri-negeri itu adalah Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak.

“Kalau perlu kita boleh buat rel keretapi laju atau lebuhraya antara Pulau Pinang dan Kelantan merentasi Kedah dan Perak,” kata Husam.

Ketika ditanya media, apakah ia boleh dilaksanakan, Husam berkata, ia boleh dilakukan dengan kerjasama para pelabur dan lima kerajaan negeri yang terlibat.

“Kita kena explore segala peluang yang ada untuk kepentingan rakyat,” kata Husam.

Menurutnya, menguasai lima negeri tersebut bukan perkara kecil.

“Kita kena bayangkan apa yang berlaku dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara. Lima negeri akan mendesak pengerusi agar membuat reform dalam pembangunan kewangan.

“Begitu juga dalam mesyuarat Majlis Raja-raja. Lima sultan dan MB dari negeri-negeri ini akan terlibat secara langsung dalam mesyuarat itu. Bolehlah kita bayangkan apa yang berlaku?” kata Husam.

Oleh itu, katanya, apabila lima negeri bergabung, kelima-limanya bakal menghasilkan persaingan dengan negeri-negeri di bawah BN dan kesatuan di kalangan negeri-negeri BA ini.

Berkenalan dengan bakal MB Selangor

KUALA LUMPUR, 11 Mac: Bendahari PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim yang bakal dilantik sebagai Menteri Besar Selangor adalah tokoh hebat dalam dunia korporat dan pengurusan.
Beliau dijangka bakal membawa Selangor ke arah negeri maju untuk semua rakyat jelata.

Beliau pernah bertanding dalam pilihan raya kecil Ijok, Selangor pada 28 April 2007. Tetapi cubaan pertama beliau, tewas kepada calon muda MIC Barisan Nasional iaitu Cikgu K. Parthiban.
Dalam pilihan raya ini, Khalid menang di Dun Ijok dan Parlimen Bandar Tun Razak dengan majoriti yang membanggakan.

Khalid adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Permodalan Nasional Berhad (1979-1994) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Kumpulan Guthrie Berhad (1995-2003).

Biodata

Abdul Khalid lahir pada 1946 di Kampung Jalan Raja Abdulah, Jeram, Kuala Selangor. Khalid Ibrahim belajar di Sekolah Melayu Jeram pada 1956 dan menduduki Special Malay Class. Seterusnya belajar di Sekolah Inggeris Kampung Kuantan.

Khalid Ibrahim mendapat ijazah BA.Hons dalam jurusan Ekonomi dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Queensland, Australia pada 1975.

Kerjaya

Khalid Ibrahim pernah bekerja sebagai guru, pensyarah, pegawai kredit , pegawai kewangan korporat dan memegang pelbagai jawatan tinggi dalam Permodalan Nasional Berhad (PNB). Beliau pernah menghadiri kursus USA International Visitors Program pada 1983 dan Eisenhower Exchange Fellowship Program pada 1989.
Beliau juga ahli majlis eksekutif Unit Investment Fund dan ahli Financial Engineering Advisory Forum di Islamic Development Bank, Jeddah. Beliau juga ahli APEC Business Advisory Council (ABAC).

Anugerah

Pada 15 Disember 1998, beliau dianugerah sebagai CEO Malaysia Terbaik 1997 dari majalah Business Times anjuran Business Times Sdn. Bhd. dan the American Express Corporate Services. Khalid Ibrahim juga menerima Anugerah International Alumnus dari Universiti Queensland 2001.
Pada 10 Julai 2003 menerima anugerah “AAAB Captain of Industry Award 2002” (First Asian Academy of Applied Business”) dari Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu. Seterusnya menjadi pensyarah pelawat di Oxford Centre of Islamic Studies, Universiti Oxford .

Atas jasa beliau, Guthrie Berhad telah membina Lebuh raya Guthrie dari Kuala Selangor ke Sungai Buluh bersambung dengan Lebuh raya Utara Selatan. Pusat latihan penyelenggaraan jentera industri dengan kerjasama UMW Berhad telah dibina di Kuala Selangor.
Program Rakan Jaya Diri diadakan di Kuala Selangor bagi melatih pelajar yang tercicir dari persekolahan dan seterusnya bekerja dengan Guthrie Berhad.

PAS komited bersama Barisan Altenatif

KUALA LUMPUR, 11 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan partinya kekal komited bersama Barisan Alternatif dan parti sahabat yang lain.

Kenyataan ini keluar ketika pelbagai pihak menyebarkan khabar angin, BN sedang memujuk PAS untuk menyertai BN kononnya untuk kepentingan orang Melayu.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

Parti Islam Se Malaysia (PAS) ingin mengulangi dan menegaskan komitmen kerjasama parti ini dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan Barisan Alternatif dan dengan rakan-rakan politik yang lain.

PAS akan bersama-sama menyertai kerajaan campuran negeri-negeri dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dan bersedia melantik dan dilantik sebagai anggota EXCO kerajaan negeri-negeri yang diterajui oleh ketiga-tiga parti itu.

Persefahaman bersama antara ketiga-tiga parti sedang disusun dan akan menjadi realiti melalui pembentukkan kerajaan-kerajaan negeri yang akan diumumkan dalam waktu terdekat ini oleh kerajaan-kerajaan negeri termasuklah Kedah yang telah pun mengumumkannya terlebih dahulu.

PAS ingin meyakinkan rakyat jelata bahawa wakil-wakilnya akan bekerja dan memikul amanah yang telah diberikan rakyat itu dengan sebaik-baiknya.

PAS AKAN TERUS BERJUANG BERSAMA BERSIH DALAM MENUNTUT PILIHAN RAYA YANG BERSIH DAN ADIL

Pilihan Raya Umum yang ke 12 baru sahaja selesai. Walaupun ianya merupakan salah satu pilihan raya yang terbaik buat PAS namun PAS merasakan yang pengurusannya tetap pincang dan berat sebelah.

Pembatalan penggunaan dakwat disaat-saat akhir, pengundian pos dan lain-lain isu operasi yang dilaksanakan SPR terus menerus membuktikan ketidak-telusan proses pilihanraya kita.

PAS akan bersama-sama Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil untuk melaksanakan post mortem Pilihan Raya Umum ke 12 ini dan akan memaparkan dapatan siasatan dalam masa yang terdekat bagi maklumat umum.

TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PARA PENGUNDI
DAN PETUGAS PAS


PAS ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih semua para pengundi, rakyat Malaysia yang telah mengundi dan memberikan sokongan kepada calon-calon PAS di seluruh negara. Ini termasuklah para pengundi bukan Melayu/Islam yang telah buat pertama kalinya secara terbuka memberikan sokongan kepada calon-calon PAS yang bertanding.

PAS berjanji akan memberikan khidmat terbaik kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan agama atau bangsa. Wakil-wakil rakyat PAS akan mengambil peluang atas amanah yang diberikan oleh rakyat ini untuk menunjukkan kebaikan dan keadilan Islam kepada semua.

Tidak lupa PAS juga ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih khasnya kepada semua para petugas dan pekerja parti yang telah mengorbankan masa, harta-benda dan titik-peluh bagi menghadapi pilihan raya kali ini, walaupun dalam suasana pilihan raya yang sangat pincang dan tempang.

Kejatuhan pasaran saham kerana hilang kepercayaan kepada Pak Lah - Husam

KUALA LUMPUR, 11 Mac: Kejatuhan pasaran saham semalam adalah akibat dari kehilangan kepercayaan rakyat dan pasaran modal kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Oleh itu, katanya, cara yang terbaik dan demi kepentingan negara Abdullah perlu melepaskan jawatan itu segera.

Husam berkata demikian dalam satu sidang media khas di Pajabat Agung PAS, Jalan Raja Laut petang tadi.

Selain itu, punca kejatuhan pasaran saham Malaysia adalah kerana kenaikan tidak tulin (artificial) pasaran saham menjelang pilihan raya baru-baru ini bagi membolehkan ia menyumbang kepada 'tabung pilihan raya' BN menjelang pilihan raya baru-baru ini.

"Apabila pilihan raya selesai, ia dilepaskan sewajarnya, maka ia pun jatuh merudum. Sebab itu kaunter yang teruk adalah milik syarikat-syarikat yang berkaitan kerajaan," kata Husam.

Jangan pancing

Husam juga mengingatkan Umno, mereka tidak akan berjaya untuk memancing PAS untuk menyertai semula BN.

"Yang terbuka bagi kita sekarang adalah penyertaan mana-mana pemimpin BN atau parti dalam komponen BN menyertai kita untuk menubuhkan kerajaan Pusat yang baru," katanya.

Sebelum ini, dalam sidang media pertamanya selepas kemenangan PAS mempertahankan Kelantan, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memperingatkan tentang pengalaman pahit PAS menyertai BN dahlu.

Bukan sahaja PAS berpecah tiga, selepas Umno kuat semula, PAS ditendang dari BN, kata Nik Aziz.
Laporan lanjut dalam Siasah Ahad ini.

Monday, March 10, 2008

Tan Sri Khalid akan mengangkat sumpah sebagai MB Selangor esok

Terkini jam 10:20 malam

SHAH ALAM, 10 Mac: Bakal Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, akan mengangkat sumpah esok (11 Mac) selepas namanya disahkan mendapat sokongan dari PAS dan DAP oleh pihak istana.

Menurut sumber, secara prinsipnya, Tuanku Sultan Selangor telah menerima nama Tan Sri Khalid sebagai MB namun baginda mahu bertemu sendiri dengan wakil PAS dan DAP terlebih dahulu sebelum baginda melantik Khalid.

Khalid dan beberapa pemimpin PKR telah diterima mengadap oleh Sultan Selangor petang tadi.

Beribu-ribu penyokong Idris tidak jadi berarak ke istana Terengganu

Terkini jam 10:41 malam

KUALA TERENGGANU, 10 Mac: Lebih 1,000 penyokong bekas MB Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh tidak jadi berarak ke istana Terengganu selepas menyambut ketibaan beliau di Lapangan Terbang Kuala Terengganu jam 9.30 malam tadi.

Sebaliknya mereka terus pulang ke Besut selepas ketibaan Idris dengan makluman Idris akan kekal sebagai MB.

Majlis mengangkat sumpah MB pagi tadi tertangguh apabila Idris tergesa-gesa ke Kuala Lumpur dengan meninggal majlis itu.

Hampir kesemua calon-calon Umno yang menang dalam pilihan raya baru-baru ini berkumpul di Istana Maziah namun Idris tidak ada di situ.

Ekoran itu, majlis angkat sumpah itu dibatalkan dengan alasan ketiadaan Idris.
Ekoran itu, pelbagai berita angin tersebar antaranya, Sultan Terengganu tidak memperkenankan perlantikan Idris sebagai MB dan mahukan calon lain.

Selepas berbincang, Umno dikatakan menamakan tiga nama untuk menjadi MB iaitu Muhamad Awang Tera, Datuk Rosol Wahid dan Datuk Ahmad Said.

Ekoran itu, menurut sumber, penyokong Idris tidak bersetuju dengannya dan berhimpun menyambut ketibaan Idris di lapangan terbang dan seterusnya bercadang mahu berarak ke istana.

Saturday, March 8, 2008

PAS sangat baik di Selangor, Wilayah dan Perak

11.11 malam

PAS Selangor
Dr Abdul Rani Othman menang di Dun Meru
Iskandar Samad menng di Dun Chempaka
Khasim Abdul Aziz menang di Lembah Jaya
Shaari Sungib menang di Dun Hulu Klang
Dr Halimah Ali menang di Dun Selat Kelang
Dr Siti Mariah Mahmood menang di Parlimen Kota R
aja
Khalid Samad menang di Parlimen Shah Alam
Dr Shafie Abu Bakar menang di Dun Bangi
Dr Ahmad Yunos menang di Dun Sijankang
Dr Hassan Mohd Ali menang di Dun Gombak Setia

Perak
Dr Mujahid Yusof menang di Parit Buntar
Dr Khalil Idham Lim menang di Dun Titi Serong


Jam 10:32 malam

PAS kekal di Kelantan, nafikan 2/3 di Terengganu

PAS sudah menang di Kelantan namun hanya berjaya menafikan 2/3 majoriti BN di Terengganu. Di PulauPinang, pembangkang berjaya membentuk kerajaan setelah BN kalah di kebanyakan kerusi.

Pada keseluruhannya, kerusi yang mempunyai kaum Cina dan India yang tinggi di menangi pembangkang termasuk PAS.

PAS menunjukkan pencapaian yang baik di Kedah, Perak, Selangor dan Perlis. Namun berita rasmi belum diperolehi hingga kini.

Wednesday, March 5, 2008

Selepas 10 tahun, Ustaz Latif Mohamad kembali ke pangkuan PAS

BESUT, 6 Mac: Selepas 10 tahun meninggalkan PAS, bekas Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Abdul Latif Mohamad kembali secara rasmi ke pangkuan PAS semalam.

Mjlis yang istimewa lagi bersejarah telah diadakan di Kampung Gong Kemuntong, Jerteh, dekat sini semalam. Majlis ‘Selamat Tinggal UMNO’ adalah majlis yang diadakan sendiri oleh Ustaz Abd Latif Mohamad, bekas Yang Dipertua PAS Besut diperkarangan rumahnya.

Mjlis yang menyaksikan himpunan lebih 8,000 orang ahli dan penyokong PAS adalah amat istimewa kerana Ustaz Abd Latif Mohamad mengisytiharkan dirinya meninggalkan UMNO walaupun tidak pernah mengisi borang dan menyertai UMNO.

Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Mustafa Ali menyatakan majlis yang diadakan pada malam ini adalah majlis yang besar ertinya kepada beliau.

“Saya menunggu lebih dari 10 tahun untuk kembali berceramah bersama-sama Ustaz Abd Latiff diatas satu platform semula,

“Saya kira 10 tahun dulu adalah kali terakhir saya berceramah dengan beliau,” kata Mustafa.
Ustaz Abd Latiff Mohamad telah ‘renggang’ dengan PAS bermula sekitar tahun 1997. Beliau kemudiannya berceramah diatas pentas UMNO walaupun membuat pengakuan tidak pernah masuk menjadi keahlian UMNO.
Sehubungan dengan itu, Mustafa yakin dengan pulangnya Ustaz Latif ke pangkuan PAS akan memberikan peluang yang lebih cerah kepada PAS untuk menawan negeri Terengganu dalam PRU ke 12 kali ini.

Munurut Mustafa lagi, kebangkitan rakyat sekarang bukan sahaja berlaku di negeri Terengganu, malah dinegeri-negeri pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Sekiranya perkembangan yang baik ini berterusan sehingga hari pengundian pada 8hb Mac akan datang, PAS bukan sahaja akan mengekalkan pemerintahan di Kelantan, menawan semula Terengganu, malah akan dapat menguasai dua pertiga dalam Parlimen Malaysia.

Siar kenyataan Chandra: Media akan alami nasib yang sama macam saya - Zulkifli

KUALA LUMPUR, 6 Mac: “Orang yang tidak boleh dipegang dan dipercayai kata-katanya adalah Dr Chandra Muzaffar, bukannya Anwar Ibrahim,” kata Zulkifli Sulong, bekas Ketua Pengarang Harakah.

Zulkifli yang didapati bersalah dan didenda RM5,000 oleh mahkamah di bawah Akta Hasutan berkata, apa yang berlaku kepada beliau adalah kerana percaya kepada kenyataan Dr Chandra.

Zulkifli didapati bersalah sebagai penyunting Harakah apabila menerbitkan berita yang berasaskan kenyataan Dr Chandra ketika beliau menjadi Timbalan Presiden PKR.

“Yang saya sangat kesal adalah Dr Chandra tidak bersediapun untuk menjadi saksi dalam perbicaraan saya untuk mempertahankan tulisannya itu. Jika tulisan itupun beliau tidak berani pertahan, saya percaya media yang menyiarkan kenyataannya terhadap Anwar akan menghadapi masalah yang serupa dengan saya apabila disaman oleh Anwar nanti,” kata Zulkifli.

Pada tahun 1988 lalu, Harakah yang diketuai Zulkifli menyiarkan kenyataan media yang dibuat Chandra.

Ekoran itu, pada 12 Januari 2000, selepas pilihan raya umum 1999, Zulkifli didakwa di bawah Akta Hasutan dan didapati bersalah kemudiannya dan didenda RM5,000 atau enam bulan penjara.

Zulkifli membayar dendanya itu.

Pencetak Harakah juga didakwa dan mereka mengaku bersalah dan didenda RM4,000.

Batal dakwat kekal: Mafrel tarik diri dari pemerhati bebas

KUALA LUMPUR, 6 Mac: Pemerhati bebas pilihan raya (Mafrel) menarik diri dari menjadi pemerhati yang disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pilihan raya ini dengan menyerahkan balik kad pemerhati mereka kepada SPR.

Tindakan ini ekoran dari langkah SPR menarik balik cadangannya untuk menggunakan dakwat kekal bagi mengelakkan pengundian berganda dalam pilihan raya kali ini.

“Kami dengan ini menyerahkan kembali kad pemerhati bebas dari SPR sebagai tanda bantahan,” kata Abdul Malek Husin dengan diikuti timbalannya Syed Ibrahim Syed Noh dan Ong.

Malfrel memberikan jawapan berikut terhadap alasan SPR:

1) Jaga hak individu untuk mengundi dalam perlembagaan – Orang tak pertikaikan sekatan ini kerana ia melanggar hak ramai untuk mendapat pilihan raya yang adil, kerana sekatan yang dibuat terhadap hak berorganisasi, hak berhimpun secara aman yang ditentang ramai.

2) Tiada peruntukan undang-undang – Kalau tindakan untuk melanjutkan usia pengerusi dan ahli SPR dibuat pindaan, perkara ini juga boleh dibuat undang-undang kalau SPR serius.

3) Kehadiran Ketua Polis Negara dan Peguam Negara – langkah tidak betul kerana ia membayangkan tindakan SPR dipengaruhi mereka sedang SPR sepatutnya bebas dari sebarang campurtangan.

4) Ada laporan dakwat palsu – Kalau ada sekeping wang kertas palsu, adakah kita perlu membakar semua wang kertas asli yang ada?.

Nik Aziz terima anugerah MB Paling Bersih

KOTA BHARU, 5 Mac: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima anugerah sebagai MB paling bersih dari Gerakan Rakyat anti Korupsi (Gerak) yang disampaikan pengerusinya, Ezam Mohd Nor.

Anugerah itu diberi hasil komitmennya menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kerajaan Kelantan hampir 18 tahun.

Anugerah tersebut disampaikan kepada Nik Abdul Aziz dalam majlis khas di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar tengahari tadi.

Ezam berkata, Nik Abdul Aziz merupakan satu-satunya Menteri Besar paling bersih di negara ini kerana tidak terdapat sebarang laporan rasuah terhadap diri dan keluarganya.

“Keputusan penganugerahan itu dibuat hasil mesyuarat Gerak Malaysia. Hasil kaji selidik yang dibuat Gerak beliau juga merupakan Menteri Besar paling dihormati dan bersih dari sudut akhlak dan komitmen tinggi melawan rasuah.

“Di samping itu juga Tuan Guru Nik Abdul Aziz mempamerkan sikap sederhana sehingga dapat bertahan dalam tempoh 18 tahun mentadbir negeri ini,” katanya pada majlis tersebut.

Berpuluh buah bas bertolak dari Bukit Jalil Jumaat ini

KUALA LUMPUR, 5 Mac: Berpuluh-puluh buah bas dijangka akan bertolak dari Stadium Bukit Jalil pagi Jumaat ini menuju ke Kelantan.

Menurut sumber, Setiausaha Kerja Umno, Brig Jen(B) Husaini akan melepaskan mereka dari stadium berkenaan.

Umno mendakwa mereka adalah pengundi luar yang mahu pulang ke Kelantan untuk mengundi namun menurut sumber, sebahagian dari mereka adalah pengundi hantu yang didaftar Umno untuk mengundi di Kelantan.

Siasah difahamkan, PAS telah meminta orang ramai agar mengambil gambar-gambar mereka kerana ia bakal dijadikan bukti dalam sebarang kes selepas pilihan raya nanti.

Sebahagiannya adalah dari Selatan Thailand yang mendapat kad pengenalan ekspres untuk membolehkan mereka mengundi bagi menjatuhkan kerajaan PAS di Kelantan.

Seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara telah membuat pengakuan kepada rakannya, dia mempunyai 30,000 nombor kad pengenalan yang didaftar untuk penduduk Islam selatan Thai bagi membolehkan mereka mengundi BN di Kelantan dalam pilihan raya kali ini.

Laporan lanjut Siasah Khamis ini.

PAS sedia sambut pengundi hantu

KUALA TERENGGANU, 5 Mac: Para petugas PAS sudah bersiap sedia untuk menyambut apa yang dinamakan pengundi hantu ke negeri ini menjelang pilihan raya ke 12 ini, kata Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali.

Kenyataan yang serupa juga telah diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menasihatkan mereka agar jangan datang ke Terengganu kali ini kerana "petugas PAS sudah bersedia menantinya".

Menurut Mustafa, ada sekitar 85,000 pengundi hantu yang bakal datang ke Terengganu dan Kelantan dalam pilihan raya umum kali ini.

Dalam pada itu, Mustafa mengingatkan, PAS tidak membenarkan sebarang perarakan bermotosikal dilakukan di negeri itu dan jika ada itu bukan kerja penyokong PAS.

"Para petugas diarahkan supaya menghentikan mana-mana pihak yang menggunakan bendera PAS untuk berarak dalam pilihan raya kali ini," kata Mustafa.

Beliau difahamkan, ada pihak-pihak tertentu yang mendapat upah untuk berarak menggunakan bendera PAS dan akan membuat kacau.

Pihak TV pula dikatakan akan menyiarkan aksi itu untuk menunjukkan betapa tidak senonohnya penyokong PAS.

Tuesday, March 4, 2008

Abdullah Badawi di boo di Kerinchi


KUALA LUMPUR, 5 Mac: Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Badawi menerima tamparan hebat dari pengundi apabila beliau diboo oleh penduduk Lembah Pantai ketika berceramah di situ 4 Mac lepas.

Abdullah ke sana untuk membantu calon BN Sharizal Jalil yang semakin hinag sokongan rakyat akibat populariti calon PKR, Nurul Izzah Anwar untuk kerusi parlimen kawasan itu.

Bagi menarik sokongan orang ramai, selain Abdullah dan Shahrizat, BN menjemput beberapa penyanyi termasuk Mawi dan kumpulan muzik Rabbani dalam ceramah yang diadakan pada sebelah malam di tapak Pasar Tani Bukit Angkasa itu.

Bebarapa saksi menyatakan Abdullah di boo oleh sebahgaian yang hadir di situ sebaik beliau memulakan ucapan menyebabkan beliau terpaksa memendekkan ucapan dan pulang awal. Ini bukanlah kejadian pertama pemimpin BN dimalukan oleh pengundi.

Sebelum ini, sekutu Abdullah yang juga Presiden MIC, Samy Vellu dimalukan apabila 2000 warga India menghalang beliau dari menghadiri majlis jamuan makan malam anjuran BN di Lunas, Kedah.

Di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Datuk Seri Annuar Musa turut diboo orang ramai apabila beliau cuba singgah di pasar itu petang Selasa lepas.

Pemerhati berpendapat, senario ini adalah ekoran sentimen anti-BN yang menular di seluruh negara sekarang.

PAS yakin dapat ambil Terengganu semula


KUALA TERENGGANU, 5 Mac: Dari satu kerusi ke satu kerusi. Itulah yang berjaya dilakukan oleh jentera PAS di Terengganu. Yang terakhir (Selasa), tiga hari menjelang hari mengundi, hanya tinggal Besut dan Kemaman sahaja masih putih untuk BN di Terengganu.

Sehingga berita ini ditulis (Rabu), PAS sudah berada di depan iaitu mendapat empat dari lapan kerusi Parlimen dan 17 dari 32 kerusi Dun. Mereka sedang berusaha untuk menawan beberapa kerusi lagi dari Besut dan Kemaman untuk memastikan parti itu kembali memerintah Terengganu.

Untuk itu, jentera PAS kini bergerak ke Besut dan Kemaman bagi memastikan beberapa kerusi di situ berjaya mereka perolehi bagi menjamin kemenangan mereka.

Laporan penuh dalam Siasah Khamis ini.

Kenapa Awang Adek berhenti dari Bank Negara?


KUALA LUMPUR, 5 Mac: "Encik nak ke mana? Di sini kawasan larangan, encik tak boleh masuk. Kalau nak masuk kena dapatkan kebenaran dahulu dahulu dari penghuni dalam kawasan ini."

Inilah dialog biasa yang boleh di dengar di pintu masuk utama kawasan perumahan elit Tropicana yang terletak berhampiran Bandar Utama, Damansara.

Bukan sebarangan orang yang dapat masuk ke sini. Hanya mereka yang disahkan sebagai penghuni sahaja boleh masuk. Yang lain akan mendapat sekatan dari pengawal keselamatan yang bertugas 24 jam dipintu masuknya.

Di sinilah juga terletaknya banglo mewah bernombor 78, Jalan Tropicana Utama, 47410 Petaling Jaya, Selangor. Rumah ini dimiliki oleh bakal Menteri Besar Kelantan, Datuk Aweng Adek Hussin.

Usaha kami sendiri untuk masuk ke kawasan ini amat sukar. Yang kami mampu adalah membuat pelbagai helah untuk masuk. Itupun akhirnya tertangkap dan dihalau keluar oleh pengawal keselamatan berbadan sasa yang sentiasa melilau di kawasan ini.

Tidak dapat kami bayangkan bagaimana penduduk Perupok, Tawang atau Jelawat yang datang ke Kuala Lumpur dan mahu menziarahi wakil rakyat mereka. Tentu lagi sukar.

Awang Adek Hussin mula membeli rumah ini pada tahun 1996. Yang terlebih menarik adalah cara beliau membeli rumahnya ini. Ia mungkin menjadi salah satu sebab kenapa beliau terpaksa keluar awal dari Bank Negara.

Ikuti bagaimana Awang Adek dapat rumah ini dalam Siasah Khamis ini.

Teruskan dan jangan boikot pilihan raya: Kita sedang menuju kemenangan kata Mustafa

KUALA LUMPUR, 4 Mac: PAS mengarahkan jentera pilihan rayanya agar terus bekerja untuk menghadapi pilihan raya ini dan jangan sekali-kali memboikotnya kerana tindakan itu bermakna memasuki perangkap yang sedang dipasang oleh BN sekarang ini.

"Tindakan SPR ini adalah satu lambang kecemasan BN dalam menghadapi pilihan raya kali ini selepas merasai kekalahan yang bakal menanti mereka. Oleh itu kita mesti teruskan sehingga hari mengundi dan jangan terperangkap dengan strategi mereka," kata Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa yakin, pilihan raya ini bakal menjadi sejarah kerana BN akan kehilangan dua pertiga majoritinya kali ini. Ia sedang dirasai oleh seluruh rakyat negara ini hatta di negeri-negeri yang tidak pernah dimenangi PAS sebelum ini.

"Oleh itu, mereka sengaja membuat provokasi supaya pembangkang melenting dan memboikot pilihan raya," kata beliau sambil mengakui memang ada cadangan dari kalangan PAS sendiri agar pilihan raya ini diboikot.

Mustafa mengulas langkah SPR menarik balik cadangan untuk menggunakan dakwat kekal bagi mengelakkan pengundian berganda dalam pilihan raya ini.

Laporan penuh dalam Siasah Khamis ini.

SPR batalkan penggunaan dakwat kekal


KUALA LUMPUR, 4 Feb: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memutuskan penggunaan dakwat pada kuku semasa pengundian pada pilihan raya umum 8 Mac ini dibatalkan.


Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman membuat pengumuman itu pada sidang akhbar di sini yang turut dihadiri oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Monday, March 3, 2008

Hotel Nikko penuh sesak dengan anak Kelantan

KUALA LUMPUR, 3 Mac: Jelas majlis Anak Kelantan Pas di hotel Nikko, KL lebih berjaya dan bersemangat berbanding majlis Anak Kelantan Umno di Stadium Juara, Kelana Jaya, tulis Mohd Sayuti Omar dalam blognya.

Laungan bersemangat takbir dan sindiran kebencian kepada Umno bergema di dalam dewan yang boleh memuatkan kira-kira 4,000 orang itu. Dari segi kehadiran juga majlis di Nikko lebih hebat berbanding majlis di Bukit Kiara itu. Mungkin dua kali ganda.

Setiap kali penceramah mengusik ilusi mereka, bergemalah laungan dan sindiran atau dalam dailek Kelantan 'juah' kepada pemimpin Umno. Dua orang pemimpin yang menjadi ejekan dan dijuah malam tadi ialah Annuar Musa dan Khairy Jamaluddin.

Kelancangan mulut Khairy yang menuduh Kelantan miskin, tidak ada pembangunan dan Pas gagal membawa sebarang kebajikan kepada rakyat mengesalkan penceramah dan menimbulkan kemarahan para hadirin. Rata-rata yang hadirin terdiri daripada anak-anak muda, pelajar dan mereka berkerja sendiri di Kuala Lumpur.

Berbeza dengan wajah-wajah yang hadir pada majlis anak Kelantan Umno, terdiri golongan veteran, ahli korporat dan mereka yang hadir sekadar mempamirkan diri kepada Annuar dan Abdullah Ahmad Badawi.

“Paling merujakan saya, ada mereka yang hadir pada majlis di Bukit Kiara itu juga turut sama hadir di Nikko malam tadi. Mereka nampaknya releks dan tersenyum bila melihat saya,” tulis Sayuti.

Jelas daripada apa yang mereka tuturkan, mereka lebih seronok dan senang bersama majlis anjuran Pas itu. "Kita anak Kelantan Pas, bukan Umno..." begitulah ujar salah seorang dari kumpulan anak muda itu secara berseloroh.

Apa yang dapat disimpulkan secara mudah, jika kedua majlis itu dijadikan kayu pengukur, maka sah Pas akan mendapat undi majoriti daripada anak-anak Kelantan yang berada di sekitar Lembah Klang. Mereka hadir bukan untuk bermuka-muka dengan pemimpin Pas seperti mana mereka yang hadir pada majlis di Bukit Kiara, tetapi hadir dengan semangat dan mengatakan komitmen mereka kepada negeri kelahiran mereka sendiri.

Suara-suara dan wajah yang dipamirkan menjelaskan mereka lebih rela Kelantan ditadbirkan Pas dan janji-janji yang ditawarkan oleh BN menerusi manifeso khasnya Kelantan Baru - Kelantan Maju, sedikit pun tidak membuka selera mereka.

Sunday, March 2, 2008

Stadium Juara kosong di majlis PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac: Walaupun pihak penganjur mensasarkan 5,000 orang yang bakal hadir tetapi ternyata di dalam dewan hanya kira-kira 2,220 orang sahaja. Banyak kerusi kosong. Bas juga disediakan untuk mereka yang tinggal di luar Kuala Lumpur.

Demikian apa yang berlaku di majlis anak perantau Kelantan bersama PM di Stadium Juara semalam.

Jika dilihat kepada kehadiran itu ia menunjukkan majlis malam tadi tidak berjaya dan mengecewakan penganjur. Apa lagi jika diambil kira majlis itu dihoskan sendiri oleh seorang Perdana Menteri. Dalam keadaan sekarang tidak seharusnya majlis dihadiri Perdana Menteri terdapat kerusi kosong.

Angka tidak rasmi jumlah anak-anak Kelantan yang berada di Kuala Lumpur dan Selangor ialah kira-kira 400 ribu. Jika 10% daripada mereka merupakan pengundi di Kelantan bermakna yang hadir semalam tidak sampai 0.01 %.

Mungkin menyedari kehadirannya kurang, Setiausaha MKK Suhaimi Yaacok ketika berpapasan dengannya membisikan kepada saya; majlis ini dirancangkan tiga hari saja.

Berdasarkan kepada apa yang berlaku malam tadi kalau Umno mengharapkan pengundi Kelantan di Kuala Lumpur untuk menjatuhkan Pas bagi membina Kelantan baru, harapan itu sia-sia saja.

"Kalaulah setara ni, nampakannya tak jadi apa.. tak pecah keberas!" begitulah komen salah seorang yang hadir yang mengakui dia hadir kerana ingin makan dan dengan dikir barat.

Saturday, March 1, 2008

Selepas tamat satu penggal, janji BN tinggal janji

Rumah ini milik seorang penyokong Umno bernama Mohd Anwar Isa di kampung Sri Ketangga dalam parlimen Baling. Rumah berdindingkan buloh dan tiang menggunakan batang-batang kayu seperti ini bukanlah suatu pemandangan yang luar biasa di daerah ini.

Ironis!

Ketika berkempen pada pilihan raya 2004, BN merayu penduduk Baling mengundinya demi perubahan. Antara kempen yang digunakan dalam pilihan raya ketika itu, PAS yang mewakili rakyat Baling setelah menang pada tahun 1999 tidak membawa apa-apa pembangunan dan tidak mampu mengubah nasib rakyat. Akhirnya rakyat Baling mengambil keputusan memilih Dr Mashitah ketika itu. Kini, setelah sepenggal berlalu, apa perubahan yang dibawa?

Laporan Fokus kemiskinan di Baling dan menifesto PAS dalam akhbar Siasah Khamis ini.

Penyokong Mashitah kempen undi Ustaz Taib

BALING, 2 Mac: Beberapa penyokong Datuk Mashitah Ibrahim sedang menjalankan kempen supaya mengundi calon PAS, Ustaz Taib Azzamuddin dalam pilihan raya umum kali ini.

Sebahagian daripada penyokong tersebut melakukan kempen itu secara diam-diam kepada orang-orang rapat dengannya manakala ada di kalangan mereka melakukan secara terbuka.

Seorang petugas PAS mengakui, isteri seorang bekas wakil rakyat Umno dalam salah sebuah DUN di Baling yang tidak dapat bertanding dalam pilihan raya kali ini sedang giat berkempen untuk Ustaz Taib.

"Dia (isteri bekas wakil rakyat tersebut) bersama-sama muslimat PAS pergi rumah-ke rumah untuk merayu undi,' katanya.

Baling turut menyaksikan pergolakan dalam BN apabila penyandang kerusi DUN dan Parlimen di situ pada penggal lalu tidak disenaraikan semula sebagai calon untuk pilihan raya kali ini.

Kerusi Parlimen Baling sebelum ini disandang oleh Datuk Dr Mashitah Ibrahim selepas berjaya menewaskan Taib Azzamuddin pada pilihan raya 2004.

Bagaimanapun Mashitah tidak disenaraikan dalam pilihan raya kali ini ekoran kerusi Baling diserahkan kepada Ketua Putera Umno.

Ikuti laporan penuh pertembungan di Baling dalam Siasah Khamis ini.

PAS Baling kesan 1000 nama pengundi hilang

BALING, 2 Mac: PAS Baling mengesan kira-kira 1000 nama pengundi di kawasan parlimen mereka telah hilang dari senarai daftar pengundi.

Yang Dipertua PAS Kawasan Baling, Ustaz Taib Azzamuddin berkata, pihaknya menyedari perkara tersebut apabila membuat semakan nama pengundi di dalam buku daftar pemilih dengan saluran tempat mengundi.

Katanya, buku daftar pemilih yang disemak itu adalah dartar pemilih terakhir yang dikeluarkan oleh SPR.

"Dalam buku daftar pemilih sebelum ini nama-nama 1000 pengundi itu masih ada," kata beliau ketika ditemui Siasah.

Kata Ustaz Taib, pihaknya sedang mendapatkan penjelasan SPR berkenaan perkara tersebut.

Manakala dalam tinjaun Siasah di beberapa cawangan PAS dalam parlimen Baling, petugas-petugas di situ turut mengesahkan ada pengundi yang tidak dapat mengundi kerana tiada nama dalam senarai pemilih.

"Orang ini masih ada dan boleh ditemui bila-bila masa, mereka sudah lama menjadi pengundi di sini,' kata seorang petugas PAS dalam DUN Bayu.

Ketua Putera Umno salah strategi kempen di Baling

BALING, 2 Mac: Cara Ketua Kutera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim menjalankan kempen pilihan rayanya semakin tidak popular di kalangan penduduk Baling.

(Gambar : Papan tanda Sedia Gempur di salah sebuah bilik gerakan BN)

Tinjauan Siasah ke daerah itu mendapati penduduk Baling terutamanya golongan muda lebih cenderung mendekai PAS berbanding Barisan Nasional.

Antara dua sebab utama menjadikan 'penolakan penduduk Baling' terhadap Aziz ekoran beliau membawa masuk orang luar sebagai jentera pilihan rayanya sehingga mengenepikan orang tempatan.

Cara dan gelagat orang luar yang kebanyakannya golongan muda itu sepanjang menjalankan kempen untuk Aziz melahirkan rasa kurang senang penduduk tempatan.


Menurut sumber BN, Aziz sedang berusaha membawa masuk lebik ramai lagi pemuda dari luar iaitu dari Johor untuk membantunya bagi mempertingkatkan lagi kempen menjelang pilihan raya yang semakin hampir.

Faktor kedua, Aziz telah menggunakan slogan yang dianggap kasar oleh penduduk tempatan iaitu 'Sedia Gempur'.

"Beliau seperti mahu menyanggah budaya susila keharmonian di Baling,' kata seorang peniaga makanan di pekan Kupang.

Manakala calon PAS bagi kerusi Parlimen Baling, Uztaz Taib Azzamuddin ketika diminta komennya berkata, "orang-orang Baling tidak boleh menerima slogan yang tercium bau samseng".

Menifesto PAS berkesan di Baling

BALING, 2 Mac: Menifesto PAS yang berkonsepkan negara berkebajikan berjaya mendapat perhatian penduduk Baling termasuk dari kalangan masayarakat Cina, India dan siam.

(Gambar: Kami sokong ustaz kali ini)
Perkembangan yang sangat menarik itu dipercayai berhubungkait dengan sosio kehidupan penduduk di situ yang mejoriti daripada mereka miskin dan mempunyai ramai penduduk yang dikategorikan miskin tegar.

Baling yang terletak di selatan Kedah merupakan sebuah daerah termiskin di Malaysia. Baling pernah mencatat sejarah pada era tahun 70an apabila penduduknya keluar berdemonstrasi kerana isu kemiskinan yang kritikal.

Calon PAS Parlimen Baling, Ustaz Taib Azzamuddin dalam wawancara dengan Siasah berkenaan kempennya mengakui mengolah konsep negara berkebajikan untuk disesuaikan dengan suasana penduduk setempat dalam ceramah-ceramahnya.

Kata beliau, reaksi paling positif selain orang Melayu datang daripada masyarakat India, keduanya Cina dan juga Siam.

Di Baling orang Melayu dan kaum lain terutamanya India ada persamaan terutamanya taraf hidup mereka.

"Apa yang dialami oleh mereka sama dengan apa yang dialami oleh orang Melayu di kampung-kampung, jadi nada telah menjadi sama, isu menjadi sama, beban dan masalahpun sudah menjadi sama,"kata beliau.

Ini penggal terakhir saya bertanding, Mustafa Ali


KUALA LUMPUR, 1 Mac: Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali membuat pengumuman mengejutkan di majlis anak Terengganu di perantauan hari ini, "ini adalah penggal terakhir saya bertanding pilihan raya".

"Selepas ini saya tidak akan bertanding lagi dan memberikan peluang kepada orang-orang muda pula," katanya di hadapan kira-kira 100 tetamu.

Musfafa yang bertanding di Dun Alor Limbat, Terengganu kali ini kalah kedua-dua kerusi yang ditandinginya dalam pilihan raya 2004 lalu iaitu Parlimen Dungun dan Dun Pengkalan Berangan, Terengganu yang kedua-duanya beliau menangi pada tahun 1999 lalu.

Selepas kalah 2004, Mustafa telah mula menunjukkan sikapnya mahu berada di 'kerusi belakang' politik tanah air apabila beliau tidak bertanding sebarang jawatan dalam muktamar PAS tahun 2005 lalu.
Bagaimanapun, beliau dilantik untuk mengetuai PAS Terengganu apabila dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS negeri oleh Presiden PAS, Dauk Seri Abdul Hadi Awang.
Mulai tahun itu juga PAS Terengganu melantik ramai orang muda dalam saf kepimpinannya utamanya iaitu setiausaha, bendahari dan ketua penerangan PAS negeri.

Terengganu akan jatuh ke tangan PAS


KUALA LUMPUR, 1 Mac: PAS yakin akan berjaya merampas kembali Terengganu dalam pilihan raya kali, kata Pesuruhjaya PAS, Datuk Mustafa Ali dalam majlis pelancaran rayuan anak Terengganu di perautauan (Perantau) hari ini.

(Gambar atas: Rayuan kami, ada 10 dalil kita perlu kembalikan PAS di Terengganu, kata anak Terengganu di perantauan)

"Mood yang ada sekarang semacan tahun 1999 lalu tetapi dalam bentuk yang berbeza," kata Mustafa di depan kira-kira 100 orang anak Terengganu di Kuala Lumpur yang menyertai majlis itu di sebuah hotel dekat sini.

Menurut Mustafa, kalau tahun 1999 lalu, hanya orang Melayu yang banyak bergerak, kali ini pergerakan banyak berlaku di kalangan bukan Melayu.

"Ia banyak memainkan peranan untuk membantu PAS terutama di kerusi-kerusi yang pengundinya bercampur," kata beliau.

Di majlis itu, Perantau menyerahkan mock up buku rayuan "10 dalil kenapa kita perlu kembali kepada PAS".

Ia diserahkan oleh bekas pegawai kanan tentera Jeneral (B) Datuk Wan Abdul Majid mewakili anak Terengganu di peratauan kepada Mustafa.
(Gambar: Jeneral (B) Datuk Wan Majid menyerahkan replika buku rayuan Perantau kepada Mustafa)

Kira-kira 100,000 buku itu dicetak oleh Perantau.

Menurut Mustafa, ini adalah majlis yang pertama seumpama ini dilakukan oleh anak Terengganu di perantauan untuk membantu PAS menang.

Laporan penuh dalam Siasah Ahad minggu depan.