Showing posts with label PRU 13. Show all posts
Showing posts with label PRU 13. Show all posts

Tuesday, July 1, 2014

Selepas rombakan kabinet, tiada lagi tsunami Cina?

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak telah menambah anggota kabinetnya minggu lalu, melantik wakil-wakil MCA dan Gerakan.

Parti-parti Cina itu kembali ke kabinet melalui pelantikan itu, selepas "tsunami Cina" pada Pilihan Raya Umum ke-13 menyaksikan MCA, parti Cina terbesar dalam Barisan Nasional tewas teruk.

Kemasukan kembali wakil-wakil Cina ke kabinet menyusuli kemenangan wakil Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan bulan lepas.

Teluk Intan menjadi petanda jelas peralihan undi etnik Cina, apabila wakil DAP tewas kepada calon BN, yang dijanjikan jawatan dalam kabinet Najib sekiranya menang.

MCA telah agak lama menunjukkan kesediaan untuk kembali ke kabinet, satu perubahan pendirian yang menunjukkan penilaian semula oleh parti itu selepas tsunami Cina tidak menghasilkan perubahan pemerintahan di peringkat persekutuan.

MCA menunjukkan yang parti itu melihat ketiadaan mereka dalam kabinet merugikan, dan juga memberi gambaran parti Cina itu bersedia berperanan semula dalam pemerintahan BN.

Penilaian semula ini menunjukkan sikap pragmatik parti MCA dan juga komuniti Cina yang diwakili mereka, yang bertindak berdasarkan keperluan semasa.

Di pihak Najib, penambahan anggota kabinet Cina ini menunjukkan yang beliau masih berusaha memenangi undi Cina melalui MCA dan Gerakan, dan mampu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan Umno sendiri.

MCA dilihat oleh sesetengah pihak dalam Umno sebagai menjadi penyumbang besar kepada kemerosotan undi yang besar dalam pilihan raya umum lalu.

Malah ada yang menilai MCA tidak menunjukkan usaha yang cukup dalam mempertahankan BN dan melawan kempen lawan terutama DAP.

Najib yang mengambil pendekatan liberal sejak menjawat jawatan perdana menteri menunjukkan yang beliau masih tidak berputus asa dalam usaha memenangi undi Cina, menunjukkan beliau telah memulakan usaha menghadapi pilihan raya akan datang.

Hal ini dilihat sesuatu yang rasional sekiranya didasarkan pada hasil pengundian di Teluk Intan, dan berdasarkan penilaian pencapaian DAP dan Pakatan Rakyat melibatkan undi Cina telah mencapai jumlah maksimum dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Satu perkembangan semasa menunjukkan sesuatu yang dapat menjelaskan peranan MCA dalam membantu BN dan menjejaskan DAP, iaitu melibatkan permainan isu militan dalam media.

Akhbar dikuasai MCA, Star melapor dan menyorot isu militan di Syria dan Iraq secara berterusan, yang antara kesannya yang boleh dijangka ialah kesan negatif terhadap PAS dan juga sekutunya.

Hal yang hampir sama berlaku ekoran peristiwa serangan pada 11 September, 2001 di Amerika Syarikat, apabila kumpulan-kumpulan Islam termasuk PAS dipalitkan dengan imej sangat negatif, hingga memberi kesan kepada hubungannya dengan parti rakan.

Permainan dalam media MCA ini menunjukkan satu agenda yang besar melibatkan peranannya dalam BN, dan menandakan satu perkembangan baharu dalam politik BN-PR. - Jun 27, 2014

Wednesday, February 19, 2014

Sarawak selepas Taib Mahmud

Pengunduran Tan Sri Taib Mahmud daripada kedudukan sebagai ketua menteri Sarawak yang dipegangnya selama 33 tahun telah mencetuskan isu politik dalaman negeri ini, berhubung penggantinya dan pengaruh Taib selepas ini.

Kedudukan Taib yang sangat lama sebagai ketua menteri telah mengukuhkan kedudukan beliau dan sekutu politik dan ekonominya, pada satu tahap yang hanya dapat diperhatikan di Sarawak.

Pemimpin selepas Taib dijangka tidak akan dapat mengatasi malah menyaingi pengaruhnya sebagai ketua menteri, dan kemungkinan akan terus dibayangi Taib dalam politik dan pentadbiran negeri Sarawak.

Malah, mungkin ada yang melihat kepentingan Taib masih kuat dalam usaha memastikan kestabilan di Sarawak, dan untuk mengelakkan persaingan kuasa yang boleh menjejaskan partinya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, PBB dan Barisan Nasional.

Pengaruh yang telah lama dibina bermakna penguasaan Taib dan sekutu yang kukuh dalam pelbagai ruang, dalam tempoh yang suasana politiknya jauh berbeza dengan sekarang dari sudut penguasaan parti pemerintah dominan.

Hari ini, selain pengganti yang tidak dapat menyamai kepimpinan Taib, suasana politik yang baharu menyaksikan parti-parti pembangkang termasuk daripada Pakatan Rakyat semakin mengukuhkan kedudukan di negeri ini.

Dalam Pilihan Raya Negeri ke-10 pada April 2011, BN memenangi 55 kerusi Dewan Undangan Negeri, daripada 71 kerusi, merosot daripada 62 kerusi dalam pilihan raya negeri sebelum itu.

Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mac tahun lalu pula menyaksikan BN menang 25 kerusi Parlimen daripada 31 kerusi, berbanding 31 dimenangi pada pilihan raya umum 2008.

Ini bermakna landskap politik Sarawak telah banyak berubah, malah Parti Keadilan Rakyat pada 2011 berkempen dengan menjanjikan pelantikan pemimpin parti itu, Baru Bian sebagai ketua menteri jika PR menguasai Sarawak.

Pada tahun-tahun akhir Taib sebagai ketua menteri, kempen untuk menjatuhkan beliau juga berjalan dengan rancak dari dalam dan luar negara, meningkatkan lagi tekanan ke atas Taib dan negeri kubu kuat BN itu.

Tetapi selepas dua pilihan raya itu, Sarawak kekal sebagai kubu kuat BN walaupun dengan kekuatan yang merosot, dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, PBB, yang bersifat Bumiputera Muslim kekal dominan dalam BN di Sarawak, dan bersama dengan Umno menjadikan BN hanya dikuasai parti Melayu.

Piliha raya 2011 telah mencatat rekod terbaharu Taib berjaya mempertahankan penguasaan BN di Sarawak, pada masa banyak pihak bercakap tentang keperluan peralihan kepimpinan negeri Sarawak.

Perkembangan itu menunjukkan satu perubahan besar yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini; peningkatan kepentingan Sarawak dalam politik nasional, terutama kepada parti-parti politik dominan yang asas kuasanya terletak di Semenanjung.

Menyedari kekuatan undi di Sarawak, PR menjadikan negeri ini sebagai sasaran perubahan besar-besaran untuk mengubah imbangan kuasa BN-PR, terutamanya memandangkan Sarawak memegang 31 kerusi Parlimen.

Sarawak dan juga Sabah mula menjadi perhatian khusus parti-parti pembangkang, terutama PR dan parti Kita untuk merebut bahagian lebih besar hasil pilihan raya, dengan tawar-menawar yang semakin seimbang.

Selama ini, Sarawak dan Sabah kelihatan sekadar dipergunakan untuk kepentingan agenda-agenda yang sering tidak sehaluan dan tidak meletakkan kepentingan rakyat dua negeri itu sebagai matlamat utama.

Tetapi, berbeza dengan Sabah, Sarawak terus dikuasai PBB sedangkan Sabah telah menjadi salah satu medan utama Umno dan mempunyai kedudukan istimewa dalam kepimpinan tertinggi parti itu.

Sarawak mahu mengekalkan kepentingannya, dan bukan sekadar menjadi sumber undi mudah kepada BN tanpa pulangan yang sewajarnya.

Perkembangan ini menunjukkan pengaruh PBB yang semakin kritikal kepada BN, yang masih mampu mempertahankan negeri bank undi gabungan parti pemerintah.

Hal ini menjadikan PBB menyedari kekuatannya dan dapat dijangka tidak akan dengan mudah mahu mengorbankan kedudukan dominan ini, kedudukan yang semakin jelas pada masa BN semakin tercabar oleh PR. - Februari 11, 2014

Saturday, February 1, 2014

Ke mana haluan konsensus nasional?

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13, Pakatan Rakyat terutama PKR pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggerakkan kempen protes terhadap Barisan Nasional, menampakkan perbezaan yang tidak dapat didamaikan.

Tetapi kebelakangan ini cakap-cakap tentang satu konsensus nasional semakin tersebar luas, dan mendapat sokongan kuat Anwar dan PR.

Cadangan ini turut diterima baik oleh BN, apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan minat terhadap dialog konsensus nasional ini.

Malah projek konsensus nasional ini turut disokong oleh Dr Mujahid Yusof, seorang ahli jawatankuasa pusat PAS dalam satu tulisannya, bertajuk Jalan ke Depan Bersama Konsensus Nasional yang disiarkan dalam portal Malaysian Insider, yang menunjukkan kecenderungan positif terhadap dialog ini, dan juga tindakan Anwar di Kajang.

Dialog ini disebut sebagai bertujuan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda rakyat pada masa ini, melibatkan pelbagai isu daripada hubungan antara kaum hingga ke harga barangan dan perkhidmatan.

Tetapi perkembangan ini tidak dapat mengelakkan daripada menampakkan sisi politik pragmatik kedua-dua pihak yang terlibat dalam rancangan ini.

Perbezaan yang kelihatan sebelum dan sejurus selepas PRU 13 menunjukkan yang tidak ada jalan lain bagi PR selain melawan habis-habisan pemerintah BN yang telah melakukan penipuan dalam pilihan raya, tetapi kebelakangan ini dapat diperhatikan kesungguhan untuk segera berdialog dan mencapai konsensus.

Perkembangan ini malah turut dikaitkan dengan projek gerakan Kajang, meletakkan Anwar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang dan menjadi menteri besar Selangor.

Kaitan antara kesungguhan untuk mengadakan dialog bagi mencapai konsensus nasional dengan gerakan Kajang dilihat sesetengah pihak, tetapi masih banyak mencetuskan spekulasi, terutama melibatkan rundingan antara Anwar dengan Najib.

Beberapa rundingan melibatkan dua pemimpin ini telah dilakukan sejak sebelum PRU 13 untuk mencapai penyelesaian politik.

Perkembangan terkini di Selangor tercetus ekoran percaturan PKR berhubung kedudukan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sering tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi parti.


 

Wednesday, December 4, 2013

Pemilihan pemimpin, ahli pilih kelangsungan dan kestabilan

Oleh HARIS ZALKAPLI

Satu gambaran utama yang diberikan oleh perwakilan dalam pemilihan yang baru lepas ialah pemilihan dua perkara penting; kelangsungan dan kestabilan, yang berpotensi untuk meneruskan kerja-kerja yang telah dimulakan oleh kepimpinan lama dan sedia ada.

Hal ini paling utama dapat diperhatikan pada pemilihan jawatan timbalan dan naib presiden, ketua Dewan Muslimat dan sejumlah besar ahli jawatankuasa peringkat pusat.

Dalam jawatankuasa pusat juga, beberapa muka baharu yang dipilih telah mempunyai kehadiran peringkat nasional sejak sekurang-kurangnya sepenggal lepas, seperti Idris Ahmad, Nasrudin Hassan dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Faktor penting yang mendorong pembuatan keputusan oleh perwakilan nampaknya ialah populariti dan wajah-wajah yang dikenali, walaupun faktor pemilihan berdasarkan senarai kumpulan juga tidak boleh dinafikan.

Penyandang sentiasa memiliki kelebihan, terutama timbalan presiden Mohamad Sabu yang telah berada di barisan kepimpinan tertinggi dan bersama memimpin parti melalui siri protes utama disertai PAS sejak 2007 dan melalui Pilihan Raya Umum ke-13, pilihan raya umum pertama bagi Pakatan Rakyat.

Mohamad mendapat majoriti lebih besar pada pemilihan kali ini, sebanyak 98 undi. Undi diperolehi Mohamad ialah sebanyak 588 undi, berbanding 490 diperolehi Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Walau bagaimanapun, Mohamad dalam pemilihan pada 2011 mendapat 420 undi, dengan dua lawannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Nasharuddin Mat Isa masing-masing memperolehi 399 dan 224 undi. Mohamad hanya mendapat kelebihan undi sebanyak 21 undi berbanding saingan terdekatnya Tuan Ibrahim.

Kemenangan Mohamad pada masa itu disebut sebagai disebabkan oleh perpecahan undian melibatkan Tuan Ibrahim dan Nasharuddin, yang dilihat sebagai mewakili kelompok yang sama.

Di peringkat naib presiden, kehadiran nasional Tuan Ibrahim - yang lama disebut-sebut hendak bertanding timbalan presiden - dan tiga penyandang yang lain memberi kelebihan besar kepada mereka, walaupun seorang terkeluar disebabkan kemasukan Tuan Ibrahim.

Salahuddin Ayub kekal sebagai naib presiden mendapat undi tertinggi dengan 917 undi. Pada pemilihan 2011, Salahuddin mendapat undi tertinggi sebanyak 753 undi, diikuti Datuk Husam Musa yang mendapat 660. Mahfuz yang tidak terpilih kali ini mendapat undi terendah dalam pemilihan lalu, dengan 616 undi.

Bekas ketua penerangan ini mengalami hal yang hampir sama dengan Idris yang disebut-sebut akan bertanding jawatan naib presiden dan dilihat ramai ahli sebagai layak menduduki salah satu kerusi itu. Beliau memenangi undi terbanyak dalam kalangan ahli jawatankuasa, sebanyak 927, diikuti oleh Mazlan Aliman dengan 840 undi.

Keputusan undian ahli jawatankuasa menunjukkan kewujudan pemilihan berdasarkan kumpulan, apabila calon-calon yang mewakili kelompok digelar Erdogan atau "reformis," yang juga merupakan penyandang, mengekalkan kedudukan masing-masing dengan jumlah undi selesa, walaupun faktor populariti dan kelebihan penyandang juga tidak dapat dinafikan menjadi faktor dipilih.

Calon-calon kumpulan agamawan dan konservatif, seperti Nasrudin, Nik Abduh, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, dan Dr Riduan Mohamad Nor juga dipilih ke jawatankuasa pusat dengan undi yang selesa.

Di Dewan Pemuda, kemenangan Suhaizan Kaiat memperlihatkan kehendak perubahan dalam kalangan ahli dan pada masa sama pemilihan wajah yang dikenali, yang telah aktif di peringkat nasional dan dinilai sebagai calon berpotensi untuk jawatan ketua Pemuda, yang bermula sejak pemilihan yang lalu apabila beliau menjadi satu pilihan popular untuk bertanding jawatan ketua dewan itu.

Pemilihan pemimpin-pemimpin yang popular, dan dinilai mampu menjalankan tugas masing-masing, memperlihatkan kelangsungan masih menjadi pilihan ahli walaupun beberapa tokoh kunci kem masing-masing telah dipastikan dipilih.

Kemenangan Mohamad dan Suhaizan terutamanya, telah menafikan spekulasi panjang menjelang pemilihan yang mendakwa kumpulan ulama akan menguasai sepenuhnya, dan membuktikan ahli PAS mengambil kira banyak faktor.

Dari satu sudut, kemenangan timbalan presiden mengekalkan kedudukan dan kemenangan ketua Pemuda baharu menyumbang kepada bukan sahaja kelangsungan tetapi juga kestabilan parti dengan mewujudkan keseimbangan.

Undi yang agak seimbang antara Mohamad dan Mohd Amar menunjukkan kewujudan imbangan kuasa melibatkan dua aliran besar dalam PAS, hal yang perlu diambil kira oleh semua pemimpin dalam pembuatan keputusan.

Kemenangan kedua-dua pemimpin itu juga memaksa kerjasama dan kompromi antara yang memiliki perspektif berbeza, dan tidak hanya mengangkat agenda satu pihak sahaja yang mungkin berlaku - atau dilihat sebagai berlaku - sekiranya lawan mereka menang.

Hal ini penting kepada PAS sebagai sebuah parti yang semakin bersifat arus perdana, tetapi mempunyai akar umbi setia dan penggerak parti yang besar terdiri daripada agamawan dan konservatif.

PAS perlu meraikan dan menerima kecenderungan pragmatik dan inklusif yang telah meningkatkan sokongan daripada kelompok luar daripada pengikut tradisionalnya, tetapi tidak dapat dinafikan kepentingan elemen konservatif yang telah membina kekuatan parti selama ini, yang kekal setia sepanjang zaman sukar PAS pra-1998.

Kini terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin-pemimpin dan seluruh ahli untuk membina kekuatan atas kelebihan-kelebihan kepelbagaian aliran ini, untuk terus mengemudi parti melalui medan politik yang semakin berbeza berbanding apa yang dilalui PAS selama ini. - November 29, 2013

Friday, May 10, 2013

PRU 13: Ini Kalilah!, Ubah, bina sokongan Pakatan Rakyat

Slogan kempen Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu; "Ini Kalilah!" dan "Ubah" muncul sebagai slogan kempen menarik dan popular, dan mungkin telah membantu pembinaan sokongan rakyat kepada gabungan parti itu.

Dengan hanya dua slogan yang seragam dan mudah disebut ramai, PR kelihatan telah menggerakkan kempen yang berjaya, walaupun masih gagal menewaskan Barisan Nasional di peringkat persekutuan.

Slogan PR itu juga menjadi slogan yang diingati, dan pada masa sama BN tidak muncul dengan slogan yang menarik, selain "Janji Ditepati," tetapi menimbulkan pelbagai isu untuk dikemukakan di media.

Walau bagaimanapun, penyokong BN telah membalas slogan "Ini Kalilah" dengan "Lain Kalilah" yang tidak kurang menarik dan sinis.

Dibandingkan antara slogan PR dan BN kali ini, slogan PR lebih mudah dan menarik, pada masa sama slogan "Janji Ditepati" BN kelihatan seperti kerajaan yang menuntut balasan kerana telah melaksanakan tugas.

Perbandingan yang hampir sama dapat dilihat dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-12, apabila Parti Keadilan Rakyat diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan slogan "Harapan Baru untuk Malaysia," dan BN dengan "Selamat, Aman, Makmur."

Dari sudut kempen dan slogan, PR jelas telah berjaya mengatasi BN, ketika kedua-dua gabungan bersaing mengemukakan janji-janji populis kepada rakyat.

Slogan yang mudah dan ringkas, yang menunjukkan kesatuan matlamat dan mudah difahami membantu menjayakan kempen, dan bakal lebih diingati dalam sejarah.

Satu contoh ialah slogan kempen calon Republikan, Dwight Eisenhower dalam pemilihan presiden Amerika Syarikat pada 1952.

Berpuluh tahun sebelum kemunculan internet dan laman sosial Facebook, Eisenhower menggunakan slogan "I Like Ike" dalam kempennya, dan berganding dengan popularitinya pada masa itu, beliau akhirnya menang dalam pemilihan presiden pada pemilihan presiden 1952.

Pada zaman ini, Barack Obama muncul dengan slogan menarik "Change We Can Believe In" dan "Yes We Can," disertai imej popular Obama dengan perkataan "Hope," yang juga menarik orang ramai dan membantunya memenangi pilihan raya presiden 2008.

Slogan-slogan berjaya tersebut dapat menangkap semangat semasa, yang dirasakan oleh sejumlah besar rakyat, dan gabungan slogan menarik itu dan sokongan kuat rakyat telah menyumbang kepada pencapaian yang cemerlang dalam pilihan raya umum lalu.

Tuesday, May 7, 2013

PRU 13: Mampukah Anwar gerak protes besar-besaran?

Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkatkan usaha menggerakkan protes besar-besaran menolak keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 yang didakwa tidak bersih.

Satu perhimpunan besar akan diadakan di Kelana Jaya malam esok dalam usaha memulakan mobilisasi memprotes pilihan raya yang didakwa penuh dengan penipuan itu.

Kehadiran di perhimpunan itu akan menjadi satu pengukur sejauh mana protes yang mahu digerakkan oleh Anwar itu dapat dijalankan dengan berkesan.

Anwar sejak awal melalui akaun Twitter telah membina sentimen penyokong Pakatan Rakyat dengan menegaskan bahawa gabungan PR telah menang dan menggesa Umno dan Suruhanjaya Pilihan Raya tidak merampas keputusan tersebut.

Rafizi Ramli, strategis PKR kini menjadi penggerak penting kempen ini apabila ditugaskan mengetuai siasatan penipuan yang didakwa itu.

Bersih, kumpulan pemerhati pilihan raya pro-PR dalam satu kenyataan menegaskan belum bersedia mengiktiraf kerajaan baharu Barisan Nasional yang ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-13, menggambarkan pendirian yang selari dengan Anwar dalam hal ini.

Bersih yang bekerjasama dengan PR mempunyai kemampuan untuk menggerakkan protes pascapilihan raya yang boleh menggugat pemerintah, mengikut model yang pernah dilakukan di beberapa negara.

Aktivis pro-PR telah menggerakkan kempen memprotes keputusan pilihan raya umum yang baharu lepas di laman sosial, termasuk dengan meletakkan gambar bertema gelap sebagai gambar profil.

Suruhanjaya Pilihan Raya didakwa bekerjasama dengan pemerintah BN melakukan pemalsuan pilihan raya sehingga membolehkan BN mengekalkan kuasa.

Antara dakwaan yang dibuat termasuk menyeludup masuk 40,000 orang "pengundi ragu" dari Sabah dan Sarawak sejak 25 April lalu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang walau bagaimanapun telah menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-13.

Dalam mesej di akaun Facebook beliau, Abdul Hadi menulis: "Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi yang telah mengundi PAS dan Pakatan Rakyat. Terimalah keputusan ini dengan penuh kesyukuran dan kesabaran. Yakinlah sesungguhnya janji Allah pasti akan tiba."

Sebahagian besar pemimpin PR walau bagaimanapun telah mengangkat sumpah jawatan masing-masing, termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai ketua menteri Pulau Pinang.


PRU 13: Utusan Malaysia cetus api perkauman

Utusan Malaysia, akhbar dikuasai Umno meneruskan kempen bersifat perkauman melalui tajuk Apa Lagi Cina Mahu? yang mencetuskan reaksi marah banyak pihak, kurang seminggu sebelum tarikh 13 Mei yang masih mampu membangkitkan sentimen.

Tajuk muka depan dan pendirian editorial Utusan itu ditulis oleh Zulkiflee Bakar, yang artikelnya dimuatkan di muka surat 6.

Mesej disampaikan Utusan ini bertentangan dengan mesej Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dalam ucapan kemenangannya semalam, yang mengajak kepada perdamaian dan penyatuan.

Najib walau bagaimanapun dalam mengajak perdamaian nasional dilaporkan telah mempertahankan mesej Utusan itu.

Semalam, Utusan turut menyiarkan tulisan bertajuk Bukti Pengundi Cina Tak Tahu Balas Budi? di halaman 2, juga oleh Zulkiflee.

Penulis artikel ini menyifatkan pengundi Cina tidak tahu membalas budi kerana menyokong pakatan pembangkang, yang didakwa hanya mahu "memperalatkan undi mereka."

Tindakan akhbar ini juga membenarkan dakwaan sesetengah pihak bahawa Umno yang bakal mencetuskan sentimen yang boleh menjuruskan kepada ketegangan ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13.

Tindakan Utusan ini telah mengundang respons keras daripada Pakatan Rakyat dan banyak pihak lain yang mesra Umno dan BN.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Najib bertanggungjawab atas tindakan Utusan itu, yang didakwa mengikut mesej yang disampaikan Najib.

Di media sosial, pendirian tidak bersetuju dengan Utusan ini telah ditunjukkan, termasuk oleh bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Asyraf Wajdi Dusuki, ahli Umno dan juga Perkasa, turut melahirkan rasa tidak bersetuju dengan Utusan dalam tulisan di laman Facebook: "Baru lihat paparan muka depan akhbar Utusan Malaysia yang menulis Apa Lagi Cina Mahu, yang tidak sewajarnya diungkapkan oleh akhbar tersebut. 

"Walaupun jelas pola-pemilihan kali ini menunjukkan pengundi Cina menyokong pembangkang tapi usahlah meniup api kebencian yg hanya memporak-porandakan kesejahteraan negara. Seharusnya dilakukan muhasabah diri kenapa pengundi tidak menyokong daripada menyalahkan orang lain."

Malah, wartawan Utusan turut dilihat menyampaikan mesej yang dipercayai menolak permainan perkauman akhbar itu. Helmi Mohd Foad, ketua biro Selangor akhbar Utusan menulis mesej ringkas di Facebook beliau: "Tolak perkauman dan sektarian."

Utusan Malaysia dijangka berhadapan tentangan dan kecaman hebat ekoran tindakannya ini, yang secara jelas melakukan provokasi bersifat perkauman selepas kecewa dengan sokongan merosot kepada BN.

Monday, May 6, 2013

PRU 13: Selesai pilihan raya, Malaysia hadapi politik lebih mencabar

Keputusan penuh parlimen

BARISAN NASIONAL 133
PAKATAN RAKYAT 89

PAKATAN RAKYAT menguasai SELANGOR (44/56 kerusi, BN 12), PULAU PINANG (30/40, BN 10) dan KELANTAN (33/45 kerusi, BN 12)


Barisan Nasional diumumkan berjaya menubuhkan kerajaan persekutuan selepas mencapai majoriti mudah 112 kerusi parlimen hampir satu jam selepas memasuki tarikh 6 Mei, 2013, selepas melalui persaingan paling sengit dalam sejarah terkini.

Keputusan ini boleh dilihat sebagai satu tamparan kepada BN yang terus kehilangan sokongan besar, dan kegagalan bagi Pakatan Rakyat yang tidak dapat merampas kuasa persekutuan daripada BN.

Walau bagaimanapun, keputusan ini wajar dilihat sebagai satu keputusan yang menjelaskan realiti baharu yang perlu terus dihadapi dan malah diraikan, iaitu pemerintah yang tidak menikmati kuasa yang terlalu besar dan pembangkang peringkat persekutuan yang kuat.

Pemimpin BN, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dalam ucapan mengumumkan kemenangan BN membentuk kerajaan persekutuan kelihatan menyedari cabaran dihadapi, apabila mengajak kepada usaha pemulihan hubungan nasional selepas pertempuran getir pilihan raya ini.

Kedua-dua BN dan PR kini perlu menumpukan pada kerja-kerja yang sepatutnya, berkhidmat kepada rakyat - dan juga bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 - dan mengurangkan politik kepartian dan kepuakan yang tidak membina.

Kedua-dua gabungan jelas kelihatan perlu meningkatkan usaha membina kesatuan dan kesepakatan, antara parti dan juga dalaman masing-masing parti, yang masih tidak kukuh dan tidak meyakinkan.

PR yang memasuki pilihan raya umum ini pertama kali sebagai satu gabungan memperlihatkan masih banyak ruang yang perlu diperbaiki di peringkat paling asas iaitu pembahagian kerusi, walaupun telah pergi jauh dengan menghasilkan program-program bersama dalam usaha menawan Putrajaya.

BN menerima pukulan hebat apabila ramai nama-nama besar termasuk menteri dan timbalan dalam kabinet lalu tewas, antaranya Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, Dr Mohd Puad Zarkashi, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Abdul Ghani Othman dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

PR, terutama DAP memperlihatkan peningkatan apabila mencapai kemenangan besar, terutama Lim Kit Siang di Gelang Patah dan Liew Chin Tong di Kluang, tindakan yang memperlihatkan dengan jelas kejayaan parti itu menembusi negeri kubu kuat Umno, walaupun perkembangan ini menguatkan lagi identiti Cina DAP.

Kemenangan besar DAP ini juga menandakan parti itu telah menyempurnakan usaha menggantikan MCA, menjadi wakil utama dan kuat kepada kaum Cina, dan dalam PR yang semakin kuat.

Ini dijelaskan melalui hakikat bahawa konstituensi DAP ialah kaum Cina, tidak tertakluk kepada negeri tertentu.

Kaum Cina bersatu hati sepenuhnya memberikan sokongan kepada DAP, yang dilihat lebih mampu memperjuangkan kepentingan kaum tersebut.

Hal ini menjanjikan peningkatan kuasa tawar-menawar yang kuat kepada kaum Cina, dan menurut permainan baharu yang tidak seperti BN yang mengiktiraf kedudukan istimewa Melayu melalui posisi Umno dalam BN.

Sokongan secara blok kaum Cina kepada DAP dan pembangkang, dan sokongan kuat Melayu kepada Umno dan BN menandakan satu perkembangan yang tidak sihat kepada pembangunan negara, dan mewujudkan satu pembahagian yang berpotensi menjadi lebih buruk, terutama sekiranya sentimen sektarian terus dimainkan dalam persaingan politik parti.

Umno dan BN, yang telah berusaha keras mengekalkan kuasa perlu meningkatkan usaha berganda untuk terus kekal relevan dalam persaingan politik masa kini.

Usaha yang diperlukan lebih daripada sekadar memberi habuan besar-besaran kepada rakyat - yang tidak pernah dilakukan selama berkuasa sebelum ini - tetapi memerlukan pembaikan besar-besaran di peringkat dalaman.

Umno menjadi semakin dominan dalam BN, tetapi BN yang semakin lemah, apabila komponen Cina dan India utama, MCA dan MIC semakin tidak relevan dan kehilangan sokongan besar-besaran.

PAS, yang berhasrat menggantikan Umno sebagai suara orang Melayu, masih memerlukan usaha yang lebih panjang untuk mengambil peranan ini.

Secara keseluruhan, orang Melayu kelihatan kurang keyakinan terhadap PAS, dan orang Cina juga masih belum bersedia memberi sokongan padu kepada PAS, dan ini ditunjukkan oleh DAP sendiri, sekutu PAS dalam PR.

PAS ganti Umno, misi yang penting yang akan membolehkan PAS memperolehi posisi lebih dominan dalam PR dan politik Malaysia masih belum nampak dapat direalisasikan dalam masa terdekat, terutama tanpa usaha yang lebih gigih dan sistematik.


Saturday, May 4, 2013

PRU 13: Menjelang hari mengundi, tinjauan pendapat jadi senjata

Satu tinjauan pendapat oleh Pusat Merdeka mendapati populariti pemimpin Barisan Nasional, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak merosot dan Pakatan Rakyat mendahului sebagai pilihan untuk membentuk kerajaan persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini. 

Tinjauan sama juga mendapati 42 peratus mahu PR diberi peluang memerintah, berbanding 41 yang percaya hanya BN mampu menjalankan tugas itu.

Hasil tinjauan ini ialah yang paling jelas menunjukkan penguasaan gabungan PR dalam kempen pilihan raya kali ini, pada hari terakhir sebelum pengundian esok.

Pada masa sama, Najib turut mengemukakan hasil tinjauan oleh Pusat Kajian Pew, menunjukkan yang sebahagian besar rakyat Malaysia berpuas hati dengan hala tuju negara ini.

Sebelum itu, satu laporan palsu sebuah portal berita disebar melalui emel, melaporkan yang populariti Najib mencapai jumlah 73 peratus dan menjadi pilihan utama rakyat Malaysia sebagai perdana menteri.

Persaingan sengit ini berlaku ekoran tinjauan pendapat yang semakin menjadi senjata penting dalam pilihan raya masa kini, menyumbang kepada pembinaan sokongan dan momentum, lebih-lebih lagi hasil yang diumumkan secara strategik sehari sebelum mengundi.

Sebelum ini, tinjauan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya di Universiti Malaya (Umcedel) mendapati Datuk Seri Anwar Ibrahim mendahului sebagai pilihan ramai untuk menjadi perdana menteri yang baharu, keputusan yang dipertikaikan oleh BN.

Keputusan kajian Universiti Utara Malaysia dan Majlis Profesor Negara kemudian menjangka BN akan kekal berkuasa, dan 58 peratus memilih Najib sebagai perdana menteri berbanding Anwar yang hanya menjadi pilihan 42 peratus.

Tinjauan pendapat menjadi semakin popular sejak beberapa tahun lalu, dan menjadi tajuk penting dalam perbincangan berhubung pilihan raya disebabkan keupayaannya menilai dan kemungkinan juga mempengaruhi pilihan orang ramai.

Di beberapa negara, sentimen yang dibina oleh hasil tinjauan pendapat mencetuskan sentimen yang kemudian mendorong kepada protes besar-besaran apabila hasil tinjauan itu tidak diterjemahkan dalam bentuk keputusan pengundian.

Menurut sesetengah pihak, protes selepas pilihan raya didakwa dirancang oleh pihak tertentu antaranya melalui kempen Malaysian Spring yang berpusat di Bangsar, Kuala Lumpur, yang diwakili Nurul Izzah Anwar penggal lalu.

Bloomberg dalam laporannya semalam melaporkan Malaysia bakal menyaksikan protes selepas pilihan raya esok ekoran tindakan berat sebelah Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR, seperti didakwa badan pendesak Bersih.

Laporan itu memetik pemerhati politik Bridget Welsh dari Universiti Pengurusan Singapura, yang mengatakan keputusan kemenangan BN dengan kelebihan 15 hingga 20 kerusi boleh menyebabkan pertikaian dan mencetuskan protes.  


Friday, May 3, 2013

PRU 13: Ideologi dan wacana politik Malaysia

Ideologi ialah satu tajuk yang sangat kurang mendapat perhatian dalam wacana politik di negara kita, disebabkan sebahagian besarnya debat yang lebih cenderung bersifat emotif.

Di peringkat massa, sentimen (yang mempunyai kaitan dengan ideologi) menguasai perbincangan politik, dengan pembahagian mudah hitam-putih dalam menyifatkan kumpulan yang disokong dan yang ditentang.

Di peringkat lebih tinggi, ekoran peningkatan kecanggihan liputan media dan tumpuan pada politik pilihan raya, tinjauan pendapat melibatkan populariti tokoh atau parti, penilaian komposisi kaum, usia pengundi dan sebagainya semakin menarik minat.

Walau bagaimanapun, isu ideologi terus kurang dilapor dan kurang dibincangkan secara serius oleh parti-parti politik, sehingga membolehkan terlahir manifesto yang populis dan sangat kurang berpandukan sebarang asas ideologi.

Kedua-dua gabungan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional mengemukakan manifesto masing-masing dan memberikan habuan yang mengikut apa yang disukai orang ramai, walaupun bertentangan dengan pegangan gabungan atau tokoh-tokoh utamanya.

BN dikuasai Umno yang konservatif misalnya sepanjang kempen pilian raya bersikap mesra dengan pendidikan vernakular, walaupun aliran pendidikan ini bertentangan dengan pegangan yang sepatutnya bagi sebuah parti yang nasionalis dan konservatif.

Di pihak PR, kecenderungan neoliberal dan propasaran dikaburkan oleh pendekatan yang cenderung kepada subsidi sehingga kelihatan agak bersifat sosialis.

Kedua-dua gabungan kelihatan menenggelamkan ideologi masing-masing dalam berhadapan dengan rakyat terbanyak, dalam usaha menarik sokongan merentasi garis pemisah.

Kekurangan tumpuan pada ideologi ini membenarkan parti-parti politik mempunyai ruang yang luas untuk bergerak dalam kempen kepada rakyat, dan mengarahkan wacana politik dan pembangunan negara kepada wacana popular dan lebih berdasar pada unsur seperti imej dan citra.
 
Walaupun ideologi masing-masing tercatat dalam perlembagaan parti-parti politik terbabit, penilaian terhadap hal ini tidak dilakukan oleh pengundi.

Wacana yang telah lama dibentuk pula memberi tumpuan pada tokoh dan kumpulan, yang lebih mudah diterima ramai dan lebih laku sebagai laporan di media.

Hal ini juga menyebabkan orang ramai membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tidak lengkap berhubung parti-parti yang bersaing dalam arena politik negara.

Sikap pemimpin atau parti terhadap pelbagai isu boleh sahaja dengan mudah diselesaikan melalui ucapan-ucapan atau tindakan-tindakan simbolik tertentu, tanpa melihat lebih dalam asas ideologi pihak terbabit.


Ini dirumitkan lagi dengan gabungan parti-parti dalam PR yang berada di posisi yang jauh daripada satu sama lain melibatkan ideologi, dan pada masa sama bekerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia yang mempunyai pendirian bertentangan dengan semua parti dalam gabungan tersebut, terutama PAS yang Islamis dan PKR yang propasaran.

DAP misalnya menunjukkan imej mesra Islam melalui ucapan-ucapan Lim Guan Eng sebagai ketua menteri Pulau Pinang, walaupun hakikatnya DAP pada dasarnya tidak setuju dengan hampir semua dasar sekutu Islamisnya berhubung isu agama Islam dan pentadbiran.

Isu Melayu juga disimpulkan dengan mudah dalam wacana popular, misalnya dengan mengemukakan carta pembahagian wakil-wakil berbangsa Melayu BN dan PR.

Pembahagian ini dengan mudah membuat andaian wakil Melayu berideologi konservatif dan bersedia mempertahankan hal-hal berkepentingan kepada orang Melayu, sedangkan ahli politik berbangsa Melayu boleh sahaja beridelogi liberal, sosialis dan sebagainya, berdasarkan parti dan aliran politik yang disertainya.

Mustahil wakil-wakil Melayu daripada parti-parti Umno, PAS, PKR dan DAP akan bertindak semata-mata berdasarkan kaum mereka dan mempersetujui semua agenda berkaitan.

Penyertaan dalam parti-parti berbeza ideologi itu sendiri telah menunjukkan perbezaan yang perlu diambil kira, dan tidak dapat dimudahkan kepada etnik mereka. 

Akibat perhatian yang kurang kepada isu ideologi, wacana politik di negara ini cenderung menjadi bersifat emotif dan tertumpu kepada isu demi isu, tanpa dapat melihat dengan lebih mendalam asas hal-hal tersebut.

Wacana yang mengabaikan ideologi ini menjadikan perbincangan politik di negara ini tidak sempurna, kerana mengabaikan satu asas penting parti-parti politik yang bersaing untuk dipilih rakyat menerajui negara ini.

 

Wednesday, April 24, 2013

PRU 13: NGO sekadar batu loncatan sertai politik?

Dua pilihan raya umum terkini telah menyaksikan hubungan semakin rapat pertubuhan masyarakat sivil - yang lebih dikenali dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) - dengan parti-parti politik.

Hubungan dan persepaduan aktiviti melibatkan parti-parti Pakatan Rakyat dengan pertubuhan Bersih dan Bersih 2.0 memperlihatkan hampir tidak ada garis pemisah antara badan-badan ini, dan semua berkongsi matlamat yang hampir sama.

Politik yang semakin panas sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga telah menarik ramai aktivis pertubuhan masyarakat sivil menyertai parti politik, sekaligus menimbulkan persoalan berhubung aktivisme kemasyarakatan mereka.

Satu contoh terbaharu ialah aktivis kumpulan Himpunan Hijau, Wong Tack yang memperjuangkan agenda anti-Lynas, pusat pemprosesan nadir bumi dekat Kuantan, Pahang.

Himpunan Hijau juga berkongsi agenda yang selari dengan parti-parti politik dalam PR, dan muncul hampir sepenuhnya sebagai sebuah kumpulan anti-Barisan Nasional, lebih daripada sebagai sebuah kumpulan pencinta alam sekitar.

Aktiviti Himpunan Hijau juga dijalankan sebagai sebahagian kempen yang mesra PR, termasuk menjadi salah satu kumpulan utama dalam perhimpunan besar-besaran di ibu negara pada 12 Januari, 2013.

Wong Tack yang sebelum ini pernah mencetuskan kekecohan apabila membuat kenyataan mahu membakar loji Lynas, kemudian telah memperlihatkan perubahan pendirian dalam tentangan kuatnya terhadap fasiliti tersebut.

Beliau kini bertanding di bawah tiket DAP di Parlimen Bentong di Pahang.

Sekiranya menang, beliau akan dapat menyampaikan suara agenda diwakilinya di Parlimen, tetapi masih timbul persoalan kesetiaan sekiranya agenda alam sekitar dan tiket diwakilinya tidak sehaluan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, dua aktivis masyarakat sivil, Elizabeth Wong dan Charles Santiago bertanding mewakili parti masing-masing, PKR dan DAP, dan menang. Kedua-duanya meneruskan karier politik dan mempertahankan kerusi masing-masing dalam pilihan raya kali ini.

Wong bergiat sebagai aktivis Suara Rakyat Malaysia, Suaram sebelum menyertai PKR manakala Santiago bergiat dalam Kumpulan Warga Prihatin dan aktiviti menangani isu penswastaan air.

Wong, mewakili kerusi negeri Bukit Lanjan di Selangor dan dilantik exco dalam kerajaan negeri. Santiago pula menjadi salah seorang pemimpin penting dalam DAP dan mempunyai hubungan baik dengan kepimpinan tertinggi, dijelaskan lagi oleh hakikat bahawa beliau bertanding mewakili parti hanya sebulan selepas menyertai DAP.

Beberapa pemerhati telah menyuarakan kebimbangan terhadap trend ini, yang menyaksikan perubahan gaya hidup dan pendirian aktivis-aktivis terbabit selepas menjawat jawatan bergaji tinggi dan bergerak dalam koridor kuasa.

Dr Kua Kia Soong, aktivis dan penasihat Suaram dalam satu tulisannya baru-baru ini turut memberi amaran terhadap perkembangan yang tidak sihat ini, sambil menegaskan pendirian politik yang boleh berubah-ubah dan pengaruh wang terhadap parti-parti besar.

Pada masa sama, aktiviti dalam parti juga menuntut masa dan tenaga yang banyak sehingga sangat berpotensi mengganggu atau mengabaikan terus perjuangan masyarakat sivil yang disertai sebelum itu, yang didakwa akan lebih mudah diperjuangkan melalui parti politik dan kerajaan.

Perkembangan ini memerlukan lebih perhatian daripada semua yang terlibat, agar perjuangan agenda masyarakat terbanyak tidak terus ditewaskan oleh kuasa dan kedudukan.

PRU 13: Mampukah PAS pertahan Kelantan?

Oleh AFIF PASUNI

Negeri Kelantan yang telah ditadbir PAS sejak beberapa dekad lalu merupakan sebuah medan persaingan penting, menyaksikan perebutan 45 kerusi negeri dan 14 kerusi parlimen. Populasi Melayu Muslim sebanyak 95 peratus menjadikannya persaingan utama melibatkan parti PAS dan Umno. Seramai 900,000 pengundi dijangka membuang undi, dengan sejumlah 150,000 bekerja di kawasan bandar di luar Kelantan.

PAS telah berkuasa secara keseluruhannya selama 42 tahun di negeri ini. Dalam satu tempoh singkat antara tahun 1973-1978, PAS menjadi sebahagian komponen Barisan Nasional pimpinan Umno, tetapi kini menjadi ahli gabungan Pakatan Rakyat. Pada 1990, PAS menyapu bersih semua 39 kerusi negeri dan sejak itu, PAS memenangi Kelantan dalam pilihan raya umum 1995, 1999, 2004 dan terbaharu 2008. 

BN sementara itu sentiasa tewas di Kelantan, kecuali pada 2004 apabila hampir mencapai keputusan mengejutkan dengan memenangi 21 kerusi negeri yang sebahagian besarnya disebabkan oleh sentimen positif terhadap pemimpin baharu Perdana Menteri (Datuk Seri) Abdullah Ahmad Badawi. Prestasi BN di kerusi-kerusi parlimen pula lemah, kecuali pada 2004 apabila memenangi lapan kerusi. BN hanya memenangi satu atau dua kerusi antara tahun 1990 hingga 2008.

Pembangunan ekonomi sentiasa menjadi isu popular pada musim pilihan raya, terutama di negeri-negeri lebih miskin seperti Kelantan. Bagi PAS, ini berkaitan dengan isu royalti minyak, yang didakwa secara tidak adil tidak diberikan oleh kerajaan persekutuan. Kerajaan negeri PAS walau bagaimanapun mendakwa pertumbuhan ekonomi di negeri ini melebihi purata pertumbuhan nasional, walaupun sesetengah pihak menganggarkan jumlahnya secara purata ialah 3 peratus setahun.

BN sementara itu menawarkan rakyat Kelantan satu senarai pelaburan ekonomi, daripada lebuhraya baharu, stadium, projek perumahan, penambahbaikan sistem pengangkutan awam, universiti, dan beberapa projek lain. Walaupun projek seperti ini menarik perhatian semasa musim pilihan raya, isu-isu lain juga diperhatikan oleh pengundi. Antaranya ialah pembinaan sebuah masjid baharu, yang diuar-uarkan sebagai terbesar di Kelantan dan dianggar menelan kos sekitar RM50 juta. Salah satu simbol kunci kepatuhan kepada agama dan sebab utama kejayaan PAS di Kelantan ialah menteri besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang dianggap sebagai seorang pemimpin warak oleh pengikutnya. Walaupun pembangunan ekonomi Kelantan ketinggalan berbanding beberapa negeri, parti PAS mempunyai kelebihan kerana pemimpinnya dilihat lebih baik dari sudut agama berbanding parti pemerintah persekutuan. Ini ditambah lagi dengan dasar PAS yang sederhana berbanding BN yang dilihat sebagai bermewah-mewah, satu isu yang berpotensi menyentuh 150,000 pengundi dari bandar yang sebahagian besarnya tinggal di ibu negara.

Sekiranya pilihan raya umum 2008 dijadikan rujukan, hubungan rapat PAS dengan parti-parti dalam gabungan pembangkang persekutuan tidak menjejaskan sokongan daripada kalangan penyokong konservatif. Sokongan kepada PAS cenderung untuk terus kuat dalam kalangan pengundi konservatif di Kelantan. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, PAS kelihatan lebih terbuka berbanding parti Umno yang sekular, sehingga meletakkan calon Cina Kristian dan wanita India dalam pilihan raya ini. Ini walau bagaimanapun diimbangi oleh elemen lebih konservatif dalam parti, malah ada kalanya ditenggelamkan oleh pendirian konservatif PAS dalam isu-isu agama.

Tetapi harapan masih ada bagi Umno, yang membuktikan potensi untuk merampas kembali Kelantan pada pilihan raya 2004. Walau bagaimanapun, dalam pilihan raya 2008, kepimpinan Umno Kelantan yang hampir membuahkan kejayaan dipinggirkan - tindakan yang dilihat pemerhati sebagai satu sabotaj dalaman. Walaupun faksi-faksi yang wujud telah berdamai, politik dalaman sentiasa menjadi kelemahan Umno di Kelantan. Kumpulan baharu ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, Amanah, juga disebut-sebut mampu menjadi penentu dalam penubuhan kerajaan akan datang, membangkitkan semula ingatan kepada partinya dahulu, Semangat 46 yang pernah bersama pakatan pembangkang.

Walaupun kelihatan menghadapi laluan sukar, masih ada ruang untuk BN di Kelantan. Pertama, perubahan undi sebanyak 7-8 peratus mungkin boleh memberi kelebihan kepada BN. Pada 2004, masa Umno hampirmenawan semula Kelantan, undi popular terbahagi kepada kedua-dua pihak hampir sama rata. Pada 2008, walaupun menyaksikan persembahan buruk, BN memperolehi 43 peratus undi popular berbanding 56 peratus diperolehi PAS. Ini bermakna BN masih mempunyai sokongan agak kuat di Kelantan, dan sedikit perubahan berpihak kepada BN boleh membawa kepada kejayaan yang tidak disangka.

Tambahan lagi, ada enam kerusi negeri yang masyarakat Cina memainkan peranan penting, dan di sinilah dasar 1 Malaysia perdana menteri mungkin dapat menarik undi kepada BN. Walaupun PAS kini giat mempromosi imej baharunya, pendiriannya dalam beberapa isu agama agak kontroversi, dan mungkin menjejaskan undi Cina untuk gabungan PR. Parti-parti politik telah memulakan usaha menghadapi pilihan raya yang bakal menjadi yang paling panas dalam sejarah Malaysia. Beberapa anggaran menunjukkan BN diketuai Umno akan menewaskan PR dengan tipis di peringkat persekutuan. Oleh itu, setiap satu pengundi amat penting, terutama sekiranya BN mahu terus kekal berkuasa. Walaupun sering dilihat sebagai underdog di Kelantan, prestasi yang melebihi daripada biasa bakal menjadi kunci dalam merampas kembali Kelantan dan mengekalkan kuasa di Putrajaya.

Bagi PAS, Kelantan ialah ujian litmus bagi parti ini - sama ada perubahan yang dibawa oleh pakatannya dengan parti-parti lain telah membawa manfaat atau melemahkan lagi kedudukan PAS. Apapun, keputusan pengundi di Kelantan ialah sesuatu yang kritikal dalam pilihan raya umum nanti.

Afif Pasuni ialah felo penyelidik bersekutu Program Malaysia di Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang, Singapura. Artikel ini ialah terjemahan komentar bertajuk Battle for Kelantan: Will PAS Remain in Power? oleh SiasahDaily, dipetik daripada laman RSIS Commentaries.

Monday, April 22, 2013

PRU 13: Panas, celaru dan sesak

Pilihan Raya Umum ke-13 ini ialah yang pertama di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak bagi Barisan Nasional, dan kali pertama Pakatan Rakyat menyertai pilihan raya umum bersama selepas ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

Selesai penamaan calon pada 20 April lalu, pilihan raya kali ini mencatat sejarah dengan jumlah 579 calon merebut 222 kerusi Parlimen, dan 1,321 bersaing di 505 kerusi negeri, dan tiada satu pun kerusi dimenangi tanpa bertanding.

Pilihan raya umum kali ini muncul menjadi pilihan raya yang dikuasai isu-isu panas sehingga menyentuh pelbagai hal sensitif, bercelaru dengan parti-parti pemerintah dan pembangkang menyaksikan jumlah besar ahli bertanding bebas dan pada masa sama gagal mencapai persefahaman asas bertanding satu lawan satu menentang BN, dan jumlah calon yang banyak hingga berlaku persaingan sehingga tujuh penjuru.

Barisan Nasional

Kebimbangan menghadapi tentangan ahli menjadi realiti apabila lebih 20 ahli bertanding bebas tanpa mandat parti, dan menghadapi tindakan pecat. Ini berlaku selepas proses panjang pemilihan calon, yang dilihat mengambil kira pelbagai faktor termasuk sokongan pengundi muda dan mengemukakan imej baharu yang lebih segar kepada pengundi, selepas bencana Pilihan Raya Umum ke-12. Paling berprofil tinggi ialah Timbalan Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding bebas di kerusi Parlimen Kuala Kangsar. Muka-muka baharu yang ramai dicalonkan memungkinkan tindakan protes daripada orang lama yang tidak berpuas hati. BN walau bagaimanapun kelihatan mempunyai keyakinan baharu untuk menhadapi pilihan raya kali ini.

Pakatan Rakyat

Persetujuan paling asas dalam pilihan raya, satu lawan satu menentang BN gagal dilaksanakan, apabila bertembung sesama sendiri di tujuh kerusi; satu persekutuan dan enam negeri, melibatkan PKR dan PAS. PKR dan DAP juga menghadapi ahli bertanding bebas ekoran tidak puas hati dengan keputusan kepimpinan utama parti. Isu pertembungan sesama sendiri menjadi berita panas dalam kalangan PR seminggu sebelum penamaan calon. Perkembangan ini jauh sekali daripada kegembiraan selepas pilihan raya 2008, dan semangat yang diperhatikan sejak beberapa tahun lalu. Tetapi, kempen PR kali ini muncul sebagai kempen paling yakin dalam usaha menggantikan BN sebagai kerajaan di peringkat persekutuan.

Kerusi marginal

Kerusi-kerusi dimenangi dengan majoriti tipis menjadi perhatian dalam setiap pilihan raya, dan dalam persaingan yang dijangka sengit kali ini, kedua-dua BN dan PR berharap dapat merampas kerusi-kerusi panas ini, seperti PAS yang mensasarkan Arau dan BN mensasarkan Kuala Selangor. Sejumlah 14 kerusi Parlimen di seluruh negara dimenangi pada pilihan raya 2008 dengan majoriti kurang 1,000 undi. Negeri-negeri medan persaingan utama Selangor, Terengganu, Perak, Kedah dan Kelantan kesemuanya mempunyai jumlah kerusi marginal yang agak banyak. Daripada 32 kerusi negeri di Terengganu, 12 dimenangi dengan majoriti bawah 1,000 undi.

Parti-parti kecil

Parti yang melalui laluan sukar sejak penubuhan, Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air, Kita, bertanding di dua kerusi persekutuan dan 11 negeri. Parti Berjasa kembali bersaing, mengambil kesempatan daripada sentimen negatif terhadap PAS, dengan bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan lima kerusi negeri. Pilihan raya kali ini akan menjadi medan ujian kepada parti-parti kecil terbabit, mengukur sejauh mana kemampuan dan populariti mereka.

"Malaysian spring"

Jangkaan tentang protes massa besar-besaran pada Pilihan Raya Umum ke-13 sentiasa menjadi topik yang diperdebatkan antara dua gabungan utama BN dan PR, dengan masing-masing menuduh pihak lawan akan mencetuskan kekacauan sekiranya tewas. Pelbagai petunjuk memberi gambaran kecenderungan sesetengah pihak dalam kalangan penentang BN untuk mencetuskan protes massa "Malaysian spring," sekiranya tidak berpuas hati dengan tahap integriti pilihan raya kali ini.

Politik berasakan kaum

Sekuat mana pun retorik disuarakan kedua-dua belah pihak sama ada BN mahupun PR, politik berasakan kaum masih menjadi senjata penting kempen politik di negara ini. Pemilihan kerusi untuk ditandingi tidak dapat mengabaikan komposisi pengundi, isu ketuanan Melayu masih menjadi bahan kempen Umno, sebahagainnya digunakan untuk menafikan beban sejarahnya sendiri yang penuh dengan pencabulan amanah, dan kebimbangan terhadap dasar dan peraturan bersumberkan Islam masih dimomokkan kepada pengundi Cina.

Ketiadaan debat ideologi

Hampir semua isu kedua-dua kumpulan utama, BN dan PR berasaskan kepada isu, dengan kedua-dua menaburkan janji-janji populis. Pemerhatian terhadap ideologi parti-parti bertanding kebanyakannya disembunyikan dengan petikan-petikan kenyataan ringkas dan pelbagai imej dan simbol pop. Kebangkitan liberal dan reaksi konservatif kurang dinilai dengan lebih mendalam di media. Sentimen kelihatan menguasai hampir sepenuhnya pilihan raya kali ini.


Friday, April 19, 2013

PRU 13: Undi orang muda bakal jadi penentu?


Oleh MOHAMED NAWAB MOHAMED OSMAN

Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei, 2013 nanti dijangka menyaksikan saingan paling sengit sejak merdeka antara Barisan Nasional yang memerintah dengan gabungan pembangkang. Satu kumpulan penting yang akan mempunyai pengaruh signifikan terhadap keputusan pilihan raya nanti ialah pengundi muda yang merupakan 30 peratus daripada keseluruhan pengundi.

Gabungan yang dapat menarik sokongan pengundi muda bakal menawan beberapa buah negeri dan menubuhkan kerajaan di Putrajaya. Pengundi muda dalam hal ini mungkin akan menjadi penentu masa depan politik Malaysia. Persaingan untuk undi orang muda boleh difahami dengan lebih jelas lagi melalui analisis pecahan pengundi berdasarkan umur. Angka Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan 70 peratus daripada 4.2 juta pengundi tidak berdaftar ialah mereka yang berumur antara 21 hingga 40. Sekitar 450,000 orang mencapai umur 21 tahun setiap tahun, usia layak mengundi. Pada 2008, pengundi muda berperanan penting dalam mengalihkan undi kepada parti-parti pembangkang. SPR telah mendaftarkan 2.4 juta pengundi baharu sejak setahun lalu, atau 30 peratus daripada jumlah yang layak mengundi.

Satu tinjauan oleh Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) mendapati 48 peratus pengundi kali pertama belum memutuskan untuk mengundi mana-mana parti. Tinjauan ini juga menunjukkan perbezaan tipis sokongan kepada kedua-dua gabungan (BN pada 42 peratus dan Pakatan Rakyat pada 37 peratus), corak pengundian pengundi atas pagar ini bakal menjadi penentu keputusan pilihan raya. Ini menjadikan undi orang muda semakin penting. Perkembangan ini dilatari peningkatan usaha kedua-dua gabungan BN dan PR untuk memenangi pengundi muda.

Kerajaan BN telah melaksanakan beberapa siri langkah populis bermatlamat menarik sokongan pengundi belia. Contohnya pada Disember 2012, kerajaan menyediakan rebat RM200 untuk telefon pintar. Kemudian, kerajaan telah mendapatkan artis popular Korea Selatan, Psy untuk membuat persembahan di majlis Tahun Baharu Cina BN di Pulau Pinang yang ditadbir DAP. Pemimpin BN berharap kegilaan terhadap penyanyi pop Korea itu boleh menarik undi untuk BN.

PR juga secara aktif mensasarkan pengundi muda melalui beberapa dasar populis. Antaranya ialah tawaran pendidikan percuma, mengurangkan harga kereta, pelaksanaan gaji minimum lebih tinggi dan mengurangkan harga rumah. Hakikat bahawa kedua-dua BN dan PR mula meletakkan lebih ramai calon muda juga menunjukkan peningkatan kepentingan undi orang muda.

Satu tinjauan oleh Yayasan Asia bertajuk Tinjauan Belia Nasional 2012 menyediakan beberapa gambaran menarik pemikiran politik belia Malaysia. Ramai orang muda cenderung untuk tidak melihat politik melalui kaca mata agama dan kaum. Lebih daripada 71 peratus pengundi muda menunjukkan kecenderungan kepada parti politik yang berbilang kaum dan oleh itu mewakili kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik dan agama.

Orang muda juga mungkin lebih prihatin terhadap keadaan ekonomi secara umum seperti pekerjaan, inflasi dan keselamatan. Kebanyakan belia (sekitar 60 peratus) berpendapat kerajaan sekarang agak berjaya menangani soal ini. Walau bagaimanapun, semakin ramai yang bimbang dengan isu korupsi dan kronisme.

Berdasarkan sikap politik dan pemikiran ramai belia Malaysia, beberapa kesimpulan boleh berhubung corak pengundian mereka. Pertama, pendekatan PR yang lebih berbentuk pelbagai kaum boleh menarik orang muda. Strategi Umno berkempen dengan mengutarakan amaran tentang “ancaman” daripada etnik minoriti negara sekiranya PR membentuk kerajaan akan datang mungkin akan mencetus tindak balas negatif kepada parti pemerintah itu. Ini mungkin akan menyebabkan pengundi muda menjauhkan diri daripada pemerintah dan menyebabkan kehilangan undi mereka di kerusi negeri dan parlimen yang penting.

Kedua, kelemahan kerajaan Malaysia menunjukkan keberhasilan dalam menghapuskan korupsi dan kronisme dalam sistem politik bakal menyebabkan pakatan pemerintah kehilangan undi orang muda. Ketiga, sejumlah pengundi muda mungkin akan terus menyokong BN walaupun mereka tidak berpuas hati dengan beberapa aspek urus tadbirnya, kerana percaya yang kerajaan sedia ada masih pilihan terbaik dalam memastikan kemakmuran ekonomi dan keharmonian masyarakat yang telah dinikmati selama ini.

Undi orang muda mungkin menjadi lebih penting di beberapa kawasan yang sengit. Di negeri barisan hadapan seperti Selangor, Kedah, Negeri Sembilan dan Perak yang menyaksikan persaingan sengit, undi orang muda penting dalam menentukan pemenang. Di Selangor, negeri yang BN berusaha keras untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan PR, lebih 600,000 pengundi baharu telah didaftarkan. Corak pengundian pengundi-pengundi ini (yang sebahagian besarnya kemungkinan masih muda) boleh menjadi penentu pemenang. Hal yang sama juga disaksikan di Negeri Sembilan, negeri yang PR memerlukan pertambahan hanya empat lagi kerusi negeri untuk memperolehi majoriti mudah.

Hujah bahawa undi orang muda sahaja mampu menentukan keputusan pilihan raya umum mungkin sesuatu yang berlebihan, tetapi BN berpotensi kehilangan kuasa buat kali pertama sekiranya majority besar pengundi muda dan pengundi Cina sama-sama mengundi pembangkang. Maka, pengundi muda Malaysia menjadi semakin penting dan mampu untuk menjadi factor penentu keputusan pilihan raya. Berdasarkan perkembangan ini, dijangka kedua-dua gabungan parti akan bekerja keras mendapatkan undi penting daripada orang muda dalam peringkat terakhir kempen pilihan raya kali ini.

Mohamed Nawab Mohamed Osman ialah felo penyelidik di Program Malaysia dan Program Islam Kontemporari, di Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang, Singapura. Artikel ini ialah terjemahan komentar bertajuk The Youth Vote in GE 2013: Kingmakers in the Making? terbitan RSIS Commentaries.        


Wednesday, April 17, 2013

PRU 13: DAP kekal parti Cina

DAP, parti didominasi etnik Cina dalam gabungan Pakatan Rakyat terus menunjukkan sifatnya sebagai parti yang sektarian dan sukar menyesuaikan diri dengan retoriknya sendiri yang menolak perkauman.

Sepanjang sejarah, DAP bersaing paling utama dengan MCA merebut pengundi Cina, dan sehingga hari ini sukar menunjukkan sikap atau imej lebih inklusif.

Orang kuat parti itu, Lim Kit Siang yang kini menjawat jawatan penasihat, bakal bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah, yang lebih 50 peratus pengundinya terdiri daripada kaum Cina.

Menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya, pengundi Gelang Patah terdiri daripada 53 peratus Cina, 34 peratus Melayu dan 12 peratus India.

Hal ini jelas menunjukkan pertimbangan sokongan Cina yang dijangka dapat diperolehi oleh DAP, ketika pengaruhnya berbanding MCA sedang meningkat dan bakal menjadi wakil utama suara masyarakat Cina dalam politik Malaysia.

Perkembangan terkini hasrat Lim bertanding di Gelang Patah jelas menunjukkan pertimbangan kaum yang sangat tinggi pada parti DAP, ketika parti-parti lain telah lama menunjukkan kesediaan menjadi lebih terbuka.

Pertengkaran panas Lim dengan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu bertanding di Parlimen Gelang Patah menjelaskan lagi perkiraan faktor kaum yang diambil oleh DAP.

Mahathir dalam satu catatan ringkas di blognya menjelaskan apa yang dilihat sebagai perkiraan DAP dalam memutuskan untuk bertanding di Gelang Patah, yang menurutnya, "Jelas sekali disebabkan majoriti (pengundi) Gelang Patah ialah kaum Cina."

Lim menolak kenyataan Mahathir itu, yang didakwa bersifat menghasut dan dalam satu tulisan di blog menggesa Mahathir ditahan dan didakwa.

Sifat Lim didedahkan melalui kenyataannya menyelar MCA kerana menyerahkan kerusi Gelang Patah kepada parti Melayu Umno, dengan membuat andaian bahawa sekiranya MCA menyerahkan Gelang Patah kepada Umno, kerusi-kerusi MCA yang peratus pengundi Cina bawah 52 peratus juga perlu diserahkan kepada Umno.

Umno bakal meletakkan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman untuk berdepan Lim di kerusi itu.

DAP mudah mengambil pendirian kritikal terhadap parti-parti Cina lain dengan mengambil kira pengaruh parti-parti tersebut berbanding sekutu mereka, Umno.

Kritikan terhadap pentadbiran Dr Koh Tsu Koon di Pulang Pinang sejak lama dulu ialah dakwaan tidak mempunyai kuasa sewajarnya, yang paling jelas diperlihatkan melalui satu kempen menuntut "chief minister with power," satu kritikan kepada ketua menteri dari Gerakan itu yang didakwa dikuasai Umno.

PRU 13, peningkatan Umno dan kemerosotan MCA

Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak memasuki gelanggang Pilihan Raya Umum ke-13 untuk pertama kali sejak dilantik perdana menteri pada 2009, selepas Barisan Nasional menghadapi kemerosotan teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Selain penghakisan sokongan daripada pengundi, faktor sabotaj juga dilihat menjadi faktor utama, dan dinilai sebagai sebab penting kejatuhan Selangor kepada gabungan parti-parti yang kemudian membentuk Pakatan Rakyat.

Pemilihan calon kali ini telah mengambil kira faktor sabotaj daripada kalangan warlords dan ahli yang kecewa kerana tidak terpilih mewakili parti.

Pemimpin-pemimpin parti berulang kali menyuarakan amaran supaya tidak mensabotaj parti, dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri beberapa kali mengulangi amaran supaya tidak melakukan sabotaj demi memastikan BN menang.

Najib telah menunjukkan keberanian dalam memilih calon-calon untuk bertanding mewakili BN dalam pilihan raya kali ini, terutama dengan meletakkan ramai muka-muka baharu, satu usaha memulihkan semula keyakinan orang ramai terhadap BN dan tidak memanjangkan lagi tempoh pemimpin-pemimpin lama.

Melalui pemilihan calon-calon di Selangor, Najib menunjukkan kesungguhan untuk menawan semula negeri kaya itu, yang kehilangannya pada 2008 mencatat sejarah hitam kepada Umno.

Pencalonan Mukhriz Mahathir di kerusi negeri juga menunjukkan satu persediaan untuk menawan semula Kedah, negeri yang menyaksikan serangan tidak kurang hebat terhadap pemerintahan PAS yang menawan negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-12.

Pemilihan calon untuk berdepan pilihan raya mencabar kali ini menyaksikan Umno dan BN melaksanakan kerja yang jauh lebih sukar berbanding sebelum ini untuk memilih calon yang boleh menang, yang tafsirannya berbeza dalam kalangan parti-parti komponen.

Pemilihan calon Umno di kerusi Wangsa Maju dan Gelang Patah yang sebelum ini ditandingi MCA menunjukkan perkiraan sokongan Melayu yang dinilai lebih terjamin kepada Umno dan BN berbanding calon rakan Cina dalam BN itu.

MCA setakat ini boleh disimpulkan sebagai sedang melalui proses peralihan penggantian peranannya mewakili kepentingan Cina kepada DAP.

Sejak beberapa tahun lepas, MCA telah bersedia untuk memainkan peranan sebagai pembangkang seperti yang dilakukan DAP selama ini, dan mendakwa akan dapat berperanan menjadi pembangkang Cina yang lebih berkesan berbanding DAP.

Pilihan raya umum kali ini menampakkan lagi peningkatan kedudukan Umno dan kemerosotan MCA yang mewakili suara Cina dalam gabungan BN.


Monday, April 15, 2013

PRU 13: Bantuan RM2 juta jelas kepentingan isu bahasa dalam politik

Pagi ini, dalam satu program pertemuan dengan penggiat sastera dan bahasa di Kuala Lumpur, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan sebanyak RM2 juta kepada penulis melalui Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bantuan berpofil tinggi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 ini ialah yang kedua kepada penulis selepas bantuan RM5 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak pada Disember 2011.

Usaha kerajaan membina hubungan baik dengan penulis dan penggiat bahasa ini menjelaskan kepentingan isu bahasa Melayu yang menjadi topik penting dalam wacana politik nasional sejak beberapa tahun lalu, seperti isu novel Interlok dan dasar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah, atau ringkasnya PPSMI.

Kerajaan diterajui Umno menghadapi cabaran sukar menangani isu memartabatkan bahasa Melayu ekoran tekanan kuat aktivis bahasa dan persatuan penulis, terutama Persatuan Penulis Nasional, Pena dan Datuk Baha Zain, yang baru dianugerahi gelaran sasterawan negara.

PPSMI ialah dasar peninggalan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang masih kuat pengaruhnya dalam Umno sehingga menyukarkan usaha memansuhkan dasar itu dengan segera.

Muhyiddin, pemimpin Umno yang dilihat sebagai agak tegas dalam isu berkaitan Melayu mengimbangi sokongan pemerintah terhadap PPSMI dan tekanan daripada golongan penulis dan penggiat bahasa yang menolak dasar ini.

Umno juga dilihat perlu mengimbangi tuntutan memartabatkan bahasa Melayu dengan tekanan golongan yang lebih cenderung kepada bahasa Inggeris, termasuk sekelompok elit Melayu dan masyarakat bukan Melayu.

Isu bahasa cenderung dipolitikkan dan boleh mendedahkan pemerintah kepada dakwaan bersikap cauvinis, yang sering dilemparkan seteru politik Umno kepada pemimpin-pemimpinnya yang menunjukkan ketegasan dalam isu Melayu.

Pemerintah turut berdepan tekanan politik daripada PAS dalam isu PPSMI, yang mengitkannya dengan kelemahan parti Melayu Umno memperjuangkan bahasa Melayu.

Perkembangan ini dilihat sesetengah pihak sebagai usaha kerajaan untuk mengkooptasi penulis yang mendepani kempen mempertahankan kedudukan bahasa Melayu dan meletakkan kerajaan dalam posisi sukar, dan pada masa sama menunjukkan pendirian kerajaan yang prihatin terhadap isu bahasa Melayu.

Kerajaan sejak isu bahasa hangat diperdebatkan tidak menunjukkan sikap mahu berkonfrontasi dengan penulis dan aktivis bahasa Melayu, malah meningkatkan lagi usaha untuk membina hubungan baik dan menunjukkan keprihatinan terhadap perjuangan bahasa dan sastera.

Kerajaan sebelum ini tidak menunjukkan kesungguhan mendekati golongan penulis seperti yang disaksikan pada masa ini, terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008, seperti yang dilihat melalui kehadiran Najib di sambutan ulangtahun ke-50 Pena dan majlis Muhyiddin bertemu penulis hari ini.

Thursday, April 11, 2013

Menjelang PRU 13, SPR terus diragui

Kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR, terus diserang Pakatan Rakyat dan pertubuhan Bersih 2.0, sekutu gabungan pembangkang persekutuan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Pilihan raya umum yang dijadual pada 5 Mei nanti dilihat sebagai peluang terbaik untuk gabungan PR memenangi kuasa di peringkat persekutuan dan menguasai Putrajaya.

PR walau bagaimanapun terus berkempen menjejaskan kredibiliti SPR yang mengendalikan pilihan raya, dalam satu usaha yang dilihat sebagai persediaan untuk membina sokongan massa bagi tujuan memprotes keputusan pilihan raya yang diragui nanti.

Satu petanda terkini persediaan kempen ini ialah ceramah pada malam hari pembubaran Dewan Rakyat pada 3 April lalu, yang diadakan di Gombak anjuran PAS Kawasan Bukit Bintang, bertajuk Tipu Pilihan Raya - Turun Jalan Raya, menampilkan tokoh penting mobilisasi massa, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, aktivis berhaluan kiri Hishamuddin Rais dan aktivis Bersih, Maria Chin Abdullah.

Sentimen protes ini telah dibina sejak badan gabungan Bersih ditubuhkan pada 2007, dan ditingkatkan lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, dengan protes besar kali terakhir diadakan Januari lalu.

Sebelum itu, pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan mempersoalkan kredibiliti SPR sambil menegaskan kebimbangan berlaku keganasan dalam pilihan raya umum nanti, dalam satu kenyataan terbaharu Bersih mempersoal SPR menjelang pilihan raya. 

SPR sentiasa dipersoalkan integritinya oleh pemimpin-pemimpin PR dalam kempen bersepadu sejak selepas pilihan raya yang lalu, seperti didakwa menjadi alat parti pemerintah dan menjadi ahli Umno.

Pilihan raya umum kali ini merupakan peluang terbaik untuk PR menjatuhkan Barisan Nasional, yang walau bagaimanapun bergantung kepada kekuatan dan momentum yang telah dibina sejak beberapa tahun lalu.

Protes besar-besaran pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti sekiranya berlaku mempunyai potensi untuk menjatuhkan BN, sekiranya segala strategi dan keadaan yang diperlukan dipenuhi.

Kenyataan mengajak mengubah rejim pernah dibuat oleh sasterawan yang juga aktivis Bersih dan penyokong PR, Datuk A Samad Said, yang dalam satu kenyataan menegaskan sudah tiba masa untuk rakyat melakukan perubahan rejim, selepas lebih 50 tahun parti pemerintah sedia ada memegang tampuk kuasa.

Wednesday, April 10, 2013

PRU 13: Implikasi hari mengundi Ahad

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan hari ini tarikh pengundian untuk Pilihan Raya Umum ke-13 ialah pada Ahad, 5 Mei, dan penamaan calon pada 20 April, 2013.

Hari pengundian awal untuk anggota pasukan keselamatan dan pasangan dan pengundi di luar negara pula ditetapkan pada 30 April.

Pilihan raya kali ini akan menyaksikan tempoh kempen yang agak panjang, selama 15 hari, bermula selepas penamaan calon dan berakhir tengah malam 4 Mei.

Hari Ahad ialah hari bekerja di dua negeri dikuasai PAS; Kelantan dan Kedah, dan juga di Terengganu, yang menjadi sasaran PAS untuk ditawan dalam pilihan raya kali ini.

Sebelum ini, Pilihan Raya Umum ke-11 diadakan juga pada hari Ahad, 21 Mac, 2004, yang menyaksikan kemenangan besar Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pilihan Raya Umum ke-12 diadakan pada hari Sabtu, 8 Mac, 2008.

Hari berikutnya, Isnin ialah hari bekerja di negeri-negeri lain termasuk di Lembah Kelang, kawasan yang didiami ramai pengundi di negeri-negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Kesan mengundi pada hari Ahad ini bakal menyumbang kepada keterbatasan pergerakan ramai pengundi, terutama di negeri-negeri utara semenanjung - dan juga di Sarawak dan Sabah - disebabkan faktor seperti masa yang terhad dan kemungkinan kesesakan jalan raya.

Wujud kemungkinan jumlah pengundi yang akan merosot disebabkan hari mengundi yang jatuh pada hari Ahad, terutama di negeri-negeri yang bekerja pada hari tersebut, dan memerlukan pengundi balik mengundi dari jauh.

Hari bekerja selepas hari mengundi juga bakal menyaksikan kegiatan politik yang terhad pada hari pengundian, tidak seperti biasa apabila hari mengundi ialah hari Sabtu.

Kegiatan seperti aktiviti parti dan penyokong dan kemungkinan juga protes pada malam hari pilihan raya boleh menjadi terhad akibat faktor hari bekerja keesokannya.

Hari mengundi diikuti hari Isnin juga bermakna urusan pejabat yang diperlukan boleh dilaksanakan segera pada hari berikutnya, sama ada oleh kerajaan yang baru dipilih atau yang mengekalkan kuasa.

Faktor hari bekerja selepas hari mengundi dalam pilihan raya umum kali ini bakal memberi kesan kepada jumlah yang keluar mengundi, terutama yang memerlukan perjalanan jauh, dan memerlukan strategi baharu parti-parti yang bersaing, terutama parti-parti dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Wednesday, April 3, 2013

Parlimen dibubar hari ini, mulakan persaingan sengit PRU 13

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat hari ini untuk membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan, selepas dua minggu spekulasi hangat pembubaran.

Perdana menteri mengumumkan Parlimen dibubarkan hari ini selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Agung, selepas pertemuan awal pagi tadi. 


Pembubaran diumumkan dalam ucapan Najib dari pusat pentadbiran negara di Putrajaya yang disiarkan oleh RTM pada jam 11.30 pagi dan turut disiarkan stesen televisyen lain.

Najib segera mengumumkan pembubaran Parlimen dalam ucapan itu, yang ditunggu-tunggu dan dijangka ucapan pembubaran Parlimen.

Ucapan pembubaran selama sekitar 15 minit yang pertama kali seumpama ini menyampaikan berita pembubaran kepada semua secara langsung, tanpa tanda tanya dari orang ramai seperti yang biasa.

Pembubaran yang dilihat ditangguh-tangguh itu mencetuskan persepsi bahawa Najib dan parti pemerintah belum bersedia dan bimbangkan kemampuan untuk mencapai kemenangan yang diharapkan dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Najib sejak dilantik menjadi perdana menteri pada 2009 berdepan kempen agresif daripada parti-parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan yang bekerjasama dengan pembangkang.

Pembubaran ini bermakna Pilihan Raya Umum ke-13 dijangka diadakan penghujung April atau pada Mei, lebih lima tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac, 2008 dan empat tahun selepas Najib mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat untuk menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian selepas menerima surat rasmi memaklumkan pembubaran Parlimen dan dewan-dewan undangan negeri.

Dalam ucapan ringkas itu, Najib turut menyampaikan gesaan supaya proses pilihan raya diadakan secara aman dalam satu mesej yang dipercayai ditujukan kepada pakatan pembangkang.

Beliau turut mengajak rakyat meyakini proses pilihan raya dan menggesa sekiranya berlaku perubahan kerajaan, peralihan hendaklah berlaku secara aman.

Pakatan Rakyat didakwa berpotensi mencetuskan protes besar-besaran selepas pilihan raya dalam usaha menjatuhkan pemerintah Barisan Nasional.

Antara yang membuat dakwaan ini ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PR meneruskan dan meningkatkan momentum protes terhadap BN sejak perhimpunan Bersih kedua pada 2011, pada masa Pilihan Raya Umum ke-13 dijangka bakal diadakan.

Protes Bersih ketiga diadakan pada April 2012, juga pada masa pilihan raya umum dijangka hampir diadakan.

Perhimpunan terakhir diadakan pada 12 Januari, 2013, yang dinamakan Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka, perhimpunan yang berlangsung secara aman tanpa tindakan keras pihak berkuasa seperti perhimpunan-perhimpunan sebelumnya.

Najib turut mengambil kesempatan berkempen dengan mendakwa kerajaan Barisan Nasional ialah kerajaan yang mengotakan janji dan tidak mengamalkan "menanam tebu di bibir," sindiran yang juga ditujukan kepada PR.

BN mensasarkan untuk menawan negeri Selangor, yang ditawan gabungan parti yang kemudian membentuk PR, dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Pilihan Raya Umum ke-13 mendapat  perhatian rapat dari seluruh dunia, dan bakal menyaksikan persaingan paling sengit parti pemerintah dengan pembangkang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...