Blog analisis, komentar dan berita politik Malaysia. SiasahDaily bukan versi internet Siasah cetak dan tidak mempunyai hubungan dengan akhbar tersebut.
Sunday, July 31, 2011
Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal meninggal dunia
Syed Ahmad dilahirkan pada 19 September, 1929 di Bandar Maharani, Muar, Johor, dan mendapat pendidikan tinggi dalam bidang seni di Chelsea School of Art di London, United Kingdom, 1951 hingga 1955.
Pelukis yang banyak merakamkan peristiwa-peristiwa penting dalam perjalanan sejarah negara ini akan dikebumikan di tanah perkuburan Sungai Pusu, Gombak pagi ini, 31 Julai, 2011.
Allahyarham meninggalkan balu Datin Hamidah Mohd Noor dan dua anak lelaki, Syed Nabil dan Syed Nurlhaq.
Syed Ahmad dianugerahkan Hadiah Seni Negara pada 1995, dan pelbagai hadiah lain sepanjang penglibatannya dalam seni visual.
Beliau sangat dikenali dengan keberaniannya merakamkan peristiwa-peristiwa kemanusiaan termasuk politik negara dan dunia.
Allahyarham menerima pelbagai tanggapan ekoran lukisannya yang menyentuh kemerdekaan, pembangunan negara dan politik di bawah pentadbiran Mahathir, perjuangan Palestin, peristiwa politik 1998 (gambar bawah) dan tsunami pada 2004.
Beliau enggan menyertai mana-mana parti politik tetapi tidak mengelak daripada menyuarakan pandangan dan mengambil pendirian terhadap isu-isu kritikal.
Syed Ahmad ialah pelukis logo gerakan bukan kerajaan Adil, atau Pergerakan Keadilan Sosial yang ditubuhkan sebagai respons tindakan-tindakan yang dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas timbalan perdana menteri dan pemimpin Umno.
Al-Fatihah. Syed Ahmad Syed Jamal, 1929-2011.
Foto oleh ZAMZARINA ABDULLAH.
Friday, July 29, 2011
Ku Li ketuai Pakatan Rakyat?
Melalui Angkatan Amanah Merdeka, veteran Umno yang mesra dengan panggilan Ku Li itu menempatkan diri dalam bahasa baharu politik yang lebih liberal, menyediakan ruang bergerak yang lebih selesa antara konservatif seperti Umno dan gabungan Pakatan Rakyat yang lebih liberal.
Tokoh yang dulu mengetuai parti Semangat 46 yang mendakwa lebih tegas memperjuangkan Melayu berbanding Umno, kini menerajui pula sebuah pertubuhan yang boleh disifatkan sebagai membawa "semangat merdeka" yang lebih inklusif.
Penubuhan Amanah dan bahasa yang dibawa memperlihatkan strategi politik yang cerdik oleh Ku Li, ketika apa yang disifatkan sebagai "politik baharu" menjadi sebutan popular, walaupun beliau dan beberapa individu yang menyertai Amanah merupakan orang lama dalam politik.
Nama-nama yang menyertai badan bukan kerajaan Amanah - yang merentasi garis etnik dan kecenderungan politik - memberi gambaran sifat dan hala tuju pertubuhan itu.
Masa Amanah dimunculkan, menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 tidak dapat mengelakkanya daripada dibaca sebagai satu usaha politik, sama ada secara kolektif mahupun peribadi bagi Ku Li.
Amanah kini menjadi kenderaan terbaharu Ku Li untuk menegaskan kedudukannya dan kepentingannya dalam politik nasional.
Kemunculan tokoh yang dilihat sebagai bercita-cita tinggi ini secara berprofil tinggi juga dikaitkan dengan masa depan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang semakin berdepan cabaran getir, sehingga kehadirannya melalui dan melepasi Pilihan Raya Umum ke-13 semakin diragui.
Anwar yang semakin teruk berdepan pelbagai isu yang menjejaskan kredibiliti menjadikan Ku Li alternatif yang berpotensi untuk dipersetujui ramai dalam PR.
Ku Li sebelum ini pernah terlibat dalam rundingan untuk menguasai kepimpinan Pakatan Rakyat dalam usaha membentuk kerajaan pusat pada penghujung 2008. Usaha menarik beliau kali ini merupakan yang kedua dilakukan oleh sekumpulan dalam pakatan pembangkang.
Razaleigh ialah tokoh politik veteran yang disenangi sebahagian besar pembangkang, terutama PAS yang menerajui kerajaan Kelantan dan mendapat kerjasama belau dalam usaha menuntut royalti hasil petroleum.
Ahli Parlimen Gua Musang itu sentiasa mengekalkan hubungan baik dengan PAS dan PR sehingga peranannya semasa pilihan raya kecil Galas tahun lalu berjaya dilalui tanpa mencetuskan banyak pertembungan dengan PAS.
Kedudukan Ku Li sebagai ahli politik veteran dan pendiriannya selama ini yang mengimbangi kedua-dua Umno dan pembangkang menjadikannya tokoh yang dilihat mampu mengetuai satu gabungan pembangkang.
Pada masa sama Datuk Zaid Ibrahim yang mengetuai Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air, Kita, juga menduduki posisi untuk memimpin satu gerakan liberal dalam pembangkang.
Tetapi Zaid terjejas ekoran pertembungannya dengan PKR dan pemimpin utamanya, Anwar, yang mampu menyukarkan kerjasama dengan parti berpusatkan bekas perdana menteri itu.
Zaid walau bagaimanapun mempunyai hubungan baik dengan Razaleigh dan turut hadir dalam majlis pelancaran Amanah, dan mempunyai ideologi yang hampir dengan pegangan Amanah.
Razaleigh walau bagaimanapun dijangka tidak akan diterima dengan mudah oleh pembangkang bukan Melayu dalam PR, sekiranya mengambil peranan kepimpinan gabungan pembangkang dan dikemukakan sebagai calon perdana menteri.
Potensi tindakan Ku Li menerima tawaran berisiko tetapi berpotensi itu mampu memberi impak besar kepada Umno yang sedang berdepan tekanan sejak Pilihan Raya Umum ke-12.
Sebarang kemungkinan walau bagaimanapun masih awal untuk dijangka. Untuk kepentingannya, Ku Li juga perlu berfikir panjang supaya tindakannya nanti berdasarkan perkiraan yang jelas dan pasti.
Wednesday, July 27, 2011
Tindakan keras hadapi Bersih, Najib disabotaj?
Peristiwa yang meningkatkan lagi kemarahan terhadap pentadbiran Najib berlaku sekitar masa yang sama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggerakkan persediaan secara agresif untuk BN menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Tindakan pihak berkuasa terhadap kempen Bersih sejak sebelum 9 Julai lalu sepenuhnya mengikut garisan keras berbentuk amaran, sekatan dan tangkapan yang dilihat sebagai taktik mencetuskan ketakutan supaya ramai akan mengelak daripada menghadiri perhimpunan itu.
Tindakan-tindakan pihak berkuasa sehingga kini mudah dijangka, iaitu berbentuk sekatan dan tekanan tanpa sebarang ruang kompromi yang dilihat ramai termasuk pemimpin-pemimpin dalam Umno dan BN sendiri sebagai mampu memberi kesan negatif terhadap BN pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Pihak berkuasa dilihat telah bertindak berdasarkan sikap dan bahasa lama politik kuasa, tanpa melayan langsung hak-hak demokratik pihak penggerak Bersih, sehingga pentadbiran Najib terlalu mudah menerima liputan negatif di media.
Penerusan sikap kerajaan itu, sehingga semakin hampir Pilihan Raya Umum ke-13, berpotensi menjejaskan lagi imej pentadbiran Najib.
Setakat ini, hanya seorang pemimpin Umno yang menunjukkan sikap agak positif terhadap Bersih, iaitu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah. Beliau walau bagaimanapun dikecam sesetengah pihak dalam parti ekoran sikapnya itu
Pemilihan hanya satu bentuk tindakan oleh pihak berkuasa mendorong sesetengah pihak melihatnya sebagai tindakan sabotaj dalaman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.
Kerajaan BN telah menghadapi impak negatif ekoran laporan media tempatan dan antarabangsa semasa protes Bersih pada penghujung 2007. Tindakan kerajaan kali ini telah mengakibatkan kesan negatif yang sama, malah dijangka lebih buruk disebabkan tekanan yang dikenakan hingga selepas perhimpunan 9 Julai.
Monday, July 25, 2011
Apa jaminan biometrik bebas manipulasi?
Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR, akhirnya bersuara menyatakan akan mengimplementasikan sistem biometrik untuk perjalanan proses pilihan raya di Malaysia.
Sistem biometrik ini, sekalipun belum diperincikan, tentunya kedengaran menarik dan mengujakan rakyat Malaysia secara amnya.
Sebelum kita pergi lebih jauh menerobosi kebarangkalian kejayaan yang bakal dicapai melalui sistem yang mengujakan ini, eloklah kiranya kita menahan gejolak nafsu kita yang sangat teruja dengan kita menggariskan beberapa perkara yang seharusnya menjadi pokok perbincangan, iaitu, masalah semasa yang dihadapi, gerak kerja inisiatif sendiri oleh parti-parti bertanding, matlamat yang ingin dicapai, dan cara atau sistem yang bakal digunakan.
Masalah semasa yang dihadapi
Salah satu masalah utama yang menghantui parti-parti politik di Malaysia, terutamanya parti-parti di luar koalisi Barisan Nasional adalah kewujudan pengundi hantu (phantom voters, dengan izin) yang berada dalam proses pilihan raya di Malaysia ini.
Dalam membincangkan masalah ini, adalah wajib untuk memahami bentuk kewujudan pengundi hantu yang disebut-sebut ini. Pengundi hantu wujud dalam beberapa keadaan, sama ada dalam keadaan yang disengajakan ataupun tidak:
1. Pengklonan data pemilih
Seseorang pemilih didaftarkan secara lebih daripada sekali sama ada melalui pertukaran alamat, pertukaran aksara-aksara tertentu dalam rekod pengenalan ataupun sekadar dengan meletakkan rekod individu yang sama di kawasan-kawasan pengundian yang berbeza.
2. Pengekalan kewujudan pemilih yang hilang kelayakan
Pemilih boleh hilang kelayakan melalui pelbagai cara. Salah satunya akibat kematian dan penghijrahan ke luar negara yang membatalkan kewarganegaraan seseorang pemilih. Sungguhpun demikian, terdapat keadaan-keadaan yang menunjukkan rekod pemilih yang hilang kelayakan ini kekal berada dalam daftar pemilih semasa yang digunapakai pada hari pengundian dan "diwakili" oleh pemililh yang lain.
3. Pemindahan pengundi ke kawasan-kawasan pemilihan yang lain
Wujud juga keadaan pemilih dipindahkan dari satu pusat pemilihan ke satu pusat pemilihan yang lain. Wujud dakwaan bahawa pemindahan ini dilakukan oleh semua parti yang bertanding dengan tujuan untuk menguatkan pengaruh dan mempengaruhi keputusan pemilihan.
Nah, isu pengundi hantu bukan sekadar pengundi yang tidak tinggal di kawasan pengundian tertentu, dan hanya pulang pada hari pengundian seperti yang dinyatakan oleh pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof baru-baru ini malahan juga akibat daripada manipulasi ke atas daftar pemilih dengan cara-cara yang tidak hanya terhad kepada yang di atas.
Tindakan SPR menyatakan bahawa pengundi hantu adalah sekadar pengundi yang tidak menghuni di kawasan pengundian yang telah didaftarkan namanya hanyalah merupakan helah yang dibuat supaya fokus sebenar dapat dilarikan daripada isu duplikasi dan pengklonan yang telah dilakukan (dengan sengaja) ini.
Perlu difahami, bahawa kewujudan pengundi hantu dalam keadaan 1 dan 2 adalah sangat jahat dan merupakan satu bentuk pengkhianatan yang ketara kepada seluruh rakyat Malaysia. Ini kerana, dalam keadaan 1 dan 2, hak untuk memilih ditambahkan daripada satu kepada beberapa hak, berbanding dengan keadaan 3 di mana hak pemilihan kekal kepada satu hak sahaja.
Seandainya anda beranggapan satu undi daripada seorang pemilih yang tidak seharusnya berada di dalam lokaliti tertentu itu satu pengkhianatan, maka anda perlu setuju bahawa penambahan hak pengundian kepada seseorang pemilih adalah merupakan pengkhianatan yang lebih dahsyat.
Inisiatif sendiri oleh parti-parti bertanding
Sebilangan parti politik yang bertanding ada menjalankan aktiviti-aktiviti untuk mengesan kewujudan pengundi hantu dalam kawasan pemilihan masing-masing. Proses yang selalunya dinamakan "culaan" ini selalunya merupakan proses "2 dalam 1" dengan pola pengundian diramalkan berdasarkan pemerhatian oleh pegawai-pegawai parti yang dilatih.
Selain itu, proses culaan ini secara langsung akan mendedahkan jumlah pengundi di satu-satu alamat dalam sebuah lokaliti dan bahagian pemilihan.
Sungguhpun begitu, perlu diakui bahawa proses culaan ini merupakan suatu proses yang jerih dan memenatkan selain memerlukan tenaga kerja yang banyak dalam melatih dan menyusun gerak kerja proses culaan ini.
Kemajuan teknologi maklumat juga telah digunakan membantu kerja-kerja culaan, namun "physical check" masih juga diperlukan untuk memastikan ketepatan data melalui teknologi maklumat.
Matlamat yang ingin dicapai
Perkara paling utama yang ingin dicapai menerusi pendedahan dan perbincangan ini adalah untuk menghapuskan kemungkinan penambahan hak pengundian dalam proses pilhan raya di negara ini.
Maka, ia bukan sekadar mengawal, memantau, mengurangkan atau menghapuskan pengundi hantu yang hanya ditakrifkan dalam keadaan 3 di atas.
Nah, sekarang jelas kelihatan bahawa SPR tidak membei tumpuan pada menghapuskan kecacatan dalam senario 1 dan 2, tetapi mengalihkan fokus kepada perkara yang kurang memberikan impak iaitu senario 3.
Sungguhpun mereka mengatakan bahawa matlamat sistem biometrik yang ingin diimplementasikan adalah menghapuskan pengundi hantu, tetapi ramai yang terperangkap bahawa tafsiran pengundi hantu mereka hanya sekadar senario 3, dan sekadar memejamkan mata kepada senario 1 dan 2 yang lebih memberi impak.
Perlu diingat, senario 1 dan 2 juga adalah merupakan tafsiran pengundi hantu yang wajib diberi perhatian.
Pra-penilaian ke atas sistem yang bakal digunakan
Maka, sekarang masanya untuk menilai kemungkinan kejayaan program "penambahbaikan" yang dicadangkan oleh SPR ini. Seandainya sistem biometrik digunapakai, mampukah ia diharapkan untuk mencapai matlamat tersebut? Sebelum kita menjawabnya, ada baiknya kita bincang dahulu tentang sistem ini.
Sistem biometrik, seperti namanya memang amat mengujakan. Ditambah pula dengan kejayaan beberapa sistem kurang kritikal (jika dilihat dalam skop sebuah negara) seperti yang diamalkan oleh beberapa syarikat swasta dan juga agensi kerajaan, maka harapan yang diletakkan adalah teramat tinggi untuk menghapuskan masalah yang dibincangkan tadi.
Sistem biometrik secara amnya akan menggunakan jalur-jalur maklumat biologi seperti cap jari, cap tapak tangan, suara, bentuk tulang wajah, bentuk iris mata, geometri tangan, DNA, dan sebagainya akan digunakan sebagai medium pemadanan.
Seandainya berlaku pemadanan terhadap salah satu atau gabungan daripada jalur-jalur maklumat ini, maka pemilih akan diberi lampu hijau untuk mengundi. Seandainya pemadanannya gagal, maka pemilih akan dihalang daripada meneruskan hasrat untuk mengundi.
Nah, jika demikian sekali potensi kejayaan sistem biometrik ini, mengapa harus ia dibangkang dan ditentang? Tidakkah tindakan membantah dan menentang ini menunjukkan jumudnya pemikiran pihak-pihak ini dan merupakan langkah ke belakang menolak kemajuan sistem teknologi maklumat berasaskan jalur bioloogi ini? Kuno sungguh pemikiran mereka!
Saya tidak berhasrat untuk menyentuh soal kos sebagai asas utama penolakan ini. Seandainya ia adalah benar-benar untuk kebaikan Malaysia, kos bukan satu alasan yang harus dipertimbangkan jika ada kemampuan. Kalau bukan soal kos, apa masalahnya?
Izinkan saya menjelaskan asas penentangan perlaksanaan sistem ini. Perlu difahami, sistem biometrik ini bergantung kepada jalur maklumat yang diperlukan, akan memerlukan satu proses "pendaftaran." Dalam proses pendaftaran ini, setiap seorang dari pemilih yahg layak perlu "didaftarkan" jalur maklumat biologinya ke dalam satu pangkalan data.
Contohnya, Encik Ahmad bin Abu seorang pemegang kad pengenalan Malaysia yang sah bernombor 721230-XX-XXXX yang mengundi di lokaliti 252/78/49/053. Encik Ahmad bin Abu perlu hadir ke pejabat pengurusan pangkalan data untuk direkodkan segala jalur maklumat biologinya.
Di sana, rekod cap jari, cap tapak tangan, suara, bentuk tulang wajah, bentuk iris mata, geometri tangan, DNA, dan sebagainya akan direkodkan. Berapa masa yang diperlukan untuk merekodkan seorang pemilih? Berapa juta pemilih yang layak untuk kekal berada di daftar pemilih seluruh Malaysia?
Mungkin ada yang mengatakan pula, seandainya kos bukan menjadi perhitungan, maka masa juga tidak harus diperhitungkan demi kebaikan negara. Baik, saya setuju dengan pendapat itu.
Di sini masalah utamanya. Sepanjang melalui proses "pendaftaran" itu, ada kemungkinan wujud kesilapan manusia dalam menjalankan proses tersebut. Apa jaminan bahawa proses "pendaftaran" itu tidak akan silap? Mungkin pula ada yang akan menjawab, kita akan wujudkan proses semakan dan pengesahan sebelum Encik Ahmad bin Abu melangkah keluar dari pejabat pengurusan pangkalan data tersebut.
Baik, itu adalah semakan dan pengesahan untuk pendaftaran yang sah, apa pula jaminan bahawa sistem jalur maklumat Encik Ahmad bin Abu ini tidak digunakan juga untuk Encik Rostam bin Khalid yang sebenarnya tidak wujud dan diberikan kad pengenalan yang luarannya (kecuali gambar) milik Encik Rostam bin Khalid, tetapi padanan di dalamnya sama seperti padanan untuk kad pengenalan bernombor 721230-XX-XXXX dan diberikan kepada Encik Ahmad bin Abu?
Maka, Encik Ahmad bin Abu akan mempunyai dua hak memilih, satu di bawah nama yang sah Ahmad bin Abu dan satu lagi dibawah nama fiksyen Rostam bin Khalid.
Itu sekadar kemungkinan yang berlaku di dalam proses "pendaftaran." Bagaimana pula keadaannya pada hari pengundian? Encik Baba bin Alang Jaafar pemegang kad pengenalan bernombor 810513-XX-XXXX mungkin tidak mendapat padanan yang baik akibat kegagalan pengesahan sewaktu proses "pendaftaran" tempoh hari.
Beliau juga berdepan dengan risiko gagal mendapat padanan akibat cap jari yang sudah rosak, iris mata yang berubah akibat pembedahan, suara yang berlainan padanan akibat batuk teruk yang berlanjutan, maka akan perlu wujud suatu keadaan manual override akan diperlukan.
Bagaimana pula manual override ini akan dilakukan? Bagaimana pemantauan ke atasnya? Siapa yang mempunyai autoriti untuk menjalankannya? Apa jaminan manual override ini tidak dimanipulasi dan disalahguna?
Mari kita lihat bagaimana pula keadaannya seandainya dakwat kekal yang digunapakai. Dalam penggunaan dakwat kekal, seseorang pengundi yang ingin melepasi satu peringkat pemeriksaan kelayakan akan ditandakan dengan sejenis dakwat yang sukar dihilangkan kecuali selepas beberapa hari.
Maka, seandainya agen tempat mengundi (polling agent) melihat seseorang yang telah ditandai jarinya mencuba untuk mengundi lagi, maka ia akan dihentikan dan pengundi tersebut akan dinafikan hak mengundi kali kedua yang sememangnya tidak sah.
Penutup
Dakwat kekal tidak perlu kepada proses "pendaftaran" jalur biologi dan tidak terdedah kepada manipulasi pangkalan data tetapi secara mudahnya mampu menangani masalah yang timbul akibat usaha jahat tersebut.
Nilaikanlah. Dengan kos yang begitu minimal, kita juga berpotensi mencapai matlamat yang dibincangkan. Tidak perlu berbelanja besar berbillion-billion yang terdedah kepada kesilapan dan manipulasi yang hanya berpotensi untuk menggagalkan senario 3 dan membiarkan senario 1 dan 2 terus berjalan dan memberikan kelebihan kepada pihak tertentu.
Ibnu Ahmad ialah aktivis PAS Selangor, dan terlibat dalam kerja-kerja pilihan raya umum.
Saifuddin Abdullah gesa kerajaan ambil berat tuntutan Bersih
Beliau yang menulis dalam akhbar Sinar Harian hari ini menegaskan demikian dalam tulisannya bertajuk Pandangan Alam Politik yang Bijaksana.
Dalam tulisannya yang positif terhadap perubahan yang sering dinilai sebagai politik baru itu, Saifuddin menjelaskan transformasi politik perlu berlaku selepas 9 Julai, tarikh protes besar-besaran Bersih 2.0.
"Apa selepas 9 Julai? Jawabnya ialah transformasi politik - mengandungi pandangan alam politik yang bijaksana, inovasi demokrasi, pemikiran politik progresif dan komunikasi politik terbaik," tulis Saifuddin.
Ahli Parlimen Temerloh itu ialah penulis buku Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia, yang membawa fahaman politik yang lebih terbuka inklusif.
Karyanya itu menerima ulasan positif pihak yang menyokong perubahan dan politik yang lebih liberal, terutama dalam kalangan penyokong pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan.
Beliau juga dilihat sebagai menteri Umno yang bijak hasil wacananya yang diterbitkan, termasuk di pelbagai media.
Beliau dikenali sebagai mempunyai ide-ide yang agak bebas dalam kalangan pemimpin-pemimpin Umno, sehingga mencetuskan kritikan dari dalam parti, yang paling jelas melalui beberapa blog pro-Umno yang popular.
Saifuddin dilihat mempunyai hubungan baik dengan ketua PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengekalkan hubungan itu walaupun kini memegang jawatan tinggi dalam kerajaan Barisan Nasional.
Akhbar Sinar Harian, yang sering menerbitkan pandangan-pandangan bertentangan dengan pemerintah turut menjadi sasaran penyokong kerajaan kebelakangan ini.
Syarikat penerbit akhbar tersebut sering mengadakan program forum mengetengahkan tokoh pembangkang seperti Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan, Datuk Ambiga Sreenevasan dan agamawan yang mempunyai pandangan kritikal terhadap pentadbiran Najib, Dr Asri Zainul Abidin.
Saifuddin juga pernah dikritik sebagai "kuda trojan PKR" dalam Umno, mengaitkan hubungannya sejak di sekolah menengah dengan Anwar dan beberapa personaliti media yang didakwa propembangkang.
Beliau juga mencetuskan rasa kurang senang dalam parti ekoran kenyataannya di Tweeter menjelang 9 Julai yang dibaca sebagai menunjukkan sokongan kepada perhimpunan itu, yang diharamkan pihak berkuasa.
Sunday, July 24, 2011
Serangan di Norway, Islam jadi mangsa
Di sejumlah media Barat, hakikat bahawa penyerang, Anders Behring Breivik ialah pelampau Kristian berhaluan kanan dan bukan individu atau kumpulan ekstemis Muslim kini mendatangkan satu beban berkaitan nilai kewartawanan mereka.
Banyak media Barat kini terpaksa berdepan bukti bahawa Islam tidak mempunyai kaitan dengan serangan itu.
Akhbar-akhbar berpengaruh seperti New York Times, Washington Post, Financial Times dan Telegraph terjerumus dalam perangkap Islamofobia mereka sendiri apabila sejak awal mengaitkan kejadian itu dengan kumpulan Muslim, tanpa sebarang bukti atau petunjuk yang jelas.
Satu contoh jelas ialah kolumnis Washington Post, Jennifer Rubin yang dengan yakin mengaitkan serangan itu dengan kumpulan Muslim, dan mengambil kesempatan mengkritik usaha mengawal peningkatan peruntukan pertahanan Amerika Syarikat.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sendiri dilaporkan memasukkan kejadian itu ke dalam tajuk besar "perang menentang terorisme" yang dipimpin AS.
Akhbar seperti Telegraph, walaupun tidak menyatakan dengan jelas, merujuk kepada laporan bahawa ada kumpulan Muslim yang mengaku bertanggungjawab, seolah-olah memberi petunjuk awal tentang siapa yang bertanggungjawab.
Selain prejudis yang telah terbina sejak lama dan tidak dapat dikawal, perkembangan ini mendedahkan satu kelemahan besar dalam wacana di media Barat yang mudah menerima perspektif tertentu untuk membentuk segala sudut pandang mereka.
Jelas sekali serangan itu dilihat dari perspektif "perang menentang terorisme" dalam dunia "pasca-911" yang cenderung simplistik. Perspektif ini memudahkan kaitan dengan al-Qaeda atau Islam, ekoran pemahaman yang telah lama terbina.
Seperti yang pernah dilihat sebelum ini, teroris itu kini cuba diasingkan dengan menyifatkannya sebagai seorang yang bertindak sendiri, atau seorang yang gila, tidak seperti dalam kes serangan melibatkan Muslim yang dengan mudah dikaitkan dengan agama Islam.
Kes ini menjadi satu lagi contoh pandangan menyeleweng yang dibina oleh satu wacana yang berjalan atas asas-asas yang salah, sesuatu yang wajar diberi perhatian oleh semua termasuk warga Malaysia yang kini berdepan satu tempoh yang mencabar.
Pemahaman menyeleweng terhadap Muslim dan agama Islam kini turut memberi kesan kepada sesetengah pihak di negara kita, menjadikan pandangan mereka selari dengan pemahaman yang dibina atas asas yang salah itu.
Kumpulan-kumpulan tertentu, termasuk dalam gabungan parti pembangkang sendiri juga masih kuat dipengaruhi perspektif seperti itu, sehingga mengaburkan pandangan mereka dalam menilai Islam.
Kejadian di Norway semalam, dan respons segera terhadap tragedi itu kini dapat dinilai untuk dijadikan pengajaran, untuk berdepan cabaran suasana politik yang menguji pada masa ini.
Friday, July 22, 2011
Pemuda PAS kempen di padang bola
Di kedua-dua belah pemerintah dan pembangkang, sentimen yang dapat dilahirkan melalui aktiviti sukan menjadi satu bahagian kempen yang ingin dimanfaatkan.
Politik Malaysia kini menyaksikan bola sepak semakin menampakkan sisi politiknya, dengan penglibatan aktif Pemuda PAS melalui pelbagai program dan kenyataan.
Bola sepak sentiasa menjadi salah satu medan yang diberi perhatian oleh sayap pemuda parti Islam itu, menganjurkan pelbagai program termasuk perlawanan persahabatan dengan penggiat seni.
Di bawah ketua Nasrudin Hassan, elemen politik ini diteruskan dengan program-program dan kenyataan menyatakan sokongan kepada skuad kebangsaan. Nasrudin menjadi ahli politik pertama menyampaikan ucapan tahniah kepada skuad Harimau Malaya yang menjuarai Piala Suzuki selepas menewaskan Indonesia tahun lalu.
Beliau malah turut serta dalam aktiviti sukan bola sepak yang dijalankan pemuda, dan mengetuai kempen antijudi bola sepak yang diluluskan oleh kerajaan BN tahun lalu, sehingga pemerintah akhir mengumumkan pembatalan kelulusan itu.
Perkembangan politik terkini yang dibayangi warna kuning meningkatkan lagi permainan simbol ini. Naib ketua Pemuda PAS, Dr Raja Ahmad al-Hiss dalam satu kenyataan 16 Julai lalu mengajak rakyat menyokong pasukan bola sepak Malaysia, dan menggesa "kuningkan Bukit Jalil," merujuk kepada warna dominan jersi utama pasukan kebangsaan.
Warna kuning kini mengundang reaksi politik ekoran warna ini menjadi warna rasmi gerakan menuntut reformasi pilihan raya Bersih, yang mengadakan perhimpunan di ibu negara 9 Julai lalu.
Jersi kuning skuad bola sepak Malaysia kini menjadi salah satu pilihan dalam kempen menunjukkan solidariti dalam menyampaikan mesej politik pembangkang, tanpa mengaitkannya dengan jelas kepada Bersih.
Jersi kuning itu kini membolehkan penyokong pembangkang menunjukkan sokongan kepada Harimau Malaya, menyampaikan mesej sokongan politik dan pada masa sama menunjukkan kritikan atau penentangan terhadap kerajaan.
Raja Ahmad dalam kenyataannya menggesa rakyat Malaysia mempertahankan jati diri dengan menunjukkan sokongan kepada pasukan negara, walaupun meminati kelab-kelab liga Eropah yang popular.
Thursday, July 21, 2011
Persoalan kepada penentang Bersih: Kenapa diam lihat kezaliman?
Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu memang telah memberi pengaruh besar hingga boleh memberi tempias juga kepada hubungan persahabatan.
Ironinya, pada ketika Sasterawan Negara, A Samad Said secara terang-terang berada di baris hadapan dengan dua buah puisi perjuanganya, Unggun Bersih dan Peludah Warna, majoriti golongan intelektual dan penulis tanahair mahupun penggemar sastera dan pencinta buku terutamanya angkatan muda mengambil sikap yang didakwa "berkecuali."
Namun, apabila diteliti pada daripada kenyataan lisan mereka jelaslah pendirian golongan berkecuali itu sebenarnya adalah tidak bersetuju dengan tindakan dan reaksi Pak Samad malah perhimpunan aman Bersih 2.0 itu sendiri.
Antara hujah popular mereka yang menentang perhimpunan rakyat itu ialah tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Ambiga Sreenevasan sebagai pengerusi gabungan Bersih 2.0; dakwaaan demonstrasi tiada dalam kamus politik Islam serta himpunan rakyat yang mengemukakan lapan tuntutan untuk proses pilihan raya yang lebih adil itu hanyalah tindakan mahu menggulingkan kerajaan!
Hairannya, golongan penulis dan intektual sebelum ini sudah cukup banyak resah gelisah dan kecewa dengan dasar serta tindakan kerajaan yang hanya banyak “membantu” merencatkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu; membiarkan industri penerbitan tempatan bergerak tanpa banyak sokongan kerajaan; menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa dan wang rakyat untuk kepentingan diri sendiri.
Tetapi, mengapa mereka yang telah banyak membaca termasuk mendalami banyak pemikiran falsafah Barat masih melihat Bersih 2.0 dalam tempurung yang sempit?
Kedudukan Ambiga sebagai pengerusi untuk sebuah gabungan yang menggesa kepada pilihan raya yang adil tidak sepatutnya dijadikan isu besar sehingga menutup tuntutan rakyat supaya Suruhanjaya Pilihan Raya adil dalam proses pilihan raya.
Kita sendiri pun sebagai rakyat adalah “pemimpin” untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Sungguhpun selepas Pilihan Raya Umum ke-13, ditakdirkan Pakatan Rakyat ke Putrajaya, desakan dan tuntutan yang sama malah lebih dahsyat lagi pasti akan diadakan jika kerajaan ketika itu bersikap tidak adil.
Tidak tepat sama sekali juga apabila ada yang menganggap Bersih 2.0 suatu tindakan mahu menggulingkan kerajaan. Salahkah rakyat menegur kerajaan pada ketika banyak bukti menunjukkan kerajaan bertindak tidak adil kepada rakyat?
Yusuf al-Qaradawi pun sudah lama menegaskan bahawa kekuatan rakyat yang bersatu ibarat kekuatan ombak di lautan atau pun banjir besar merupakan salah satu cara jika berdepan dengan kemungkaran daripada pihak pemerintah.
Malah, Prof Dr Syed Hussein al-Attas dalam bukunya Kita dengan Islam (1979:83) juga telah mengingatkan "rakyat wajib menggulingkan pemerintah yang zalim."
Rasuah dan seleweng kuasa tidakkah zalim kepada rakyat? Begitu juga tindakan menghalang rakyat daripada bersembahyang semasa masuk waktu Zohor pada 9 Julai lalu di beberapa masjid utama sekitar Kuala Lumpur. Adakah itu tidak cukup zalim?
Reaksi mereka yang tidak senang dengan Bersih 2.0 hingga menggangap itu hanya tindakan menjatuhkan kerajaan barangkali lupa akan fitrah dan ketetapan-Nya bahawa hidup ini ada pasang ada surutnya.
Samalah halnya dengan soal kuasa sebagai kerajaan yang dimiliki oleh Barisan Nasional. Kita tahu bahawa apa sahaja yang ada di dunia ini akan berubah. Tidak ada yang kekal kecuali Allah. Bezanya hanya sama ada perubahan itu berlaku pada kadar cepat atau pun lambat.
Oleh itu, penting untuk kita yang bersetuju bahawa masyarakat perlu berubah kepada keadaan yang lebih baik untuk berubah diri sendiri terlebih dahulu dengan ikhlas dalam saling memberi dan menerima pandangan; mempertimbang baik buruk sesuatu cadangan pilihan; berfikiran terbuka serta sedia memaafkan seterusnya mencari kesepakatan atau titik persamaan dalam menentukan apa tindakan selanjutnya yang hendak dilaksanakan tanpa terlalu banyak mencari alasan yang lebih menjurus kepada perpecahan umat dan kegagalan pelaksanaan. Usah berdiam diri dengan kezaliman dan penindasan!
Jamal Awwal ialah pembaca SiasahDaily. Beliau percaya bahawa golongan yang berfikir perlu menyatakan pendirian tegas dalam suasana politik yang panas pada masa kini.
Wednesday, July 20, 2011
Temu Pope usaha Najib tarik sokongan PRU 13
Pertemuan ini merupakan yang ketiga selepas pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri India Manmohan Singh dan Perdana Menteri China, Wen Jiabao yang mempunyai implikasi terhadap sokongan komuniti minoriti kepada parti pemerintah.
Sokongan daripada komuniti Cina, India dan penganut Kristian Katolik terhadap Barisan Nasional terjejas sehingga mengurangkan kerusi pemerintah di Parlimen ekoran Pilihan Raya Umum ke-12.
Pemerintah ekoran pilihan raya umum lalu dikuasai hampir sepenuhnya oleh Umno, parti etnonasionalis Melayu-Muslim yang bersaing sengit dengan PAS, parti dikuasai Melayu-Muslim yang merupakan parti terbesar dalam gabungan pembangkang.
Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan oleh Umno dan BN untuk memenangi semula sokongan tersebut, usaha yang dilihat menjadi pencetus kempen 1 Malaysia.
Jelas sekali bahawa kaitan pertemuan di Vatican City dengan politik pilihan raya tidak dapat dielakkan, dakwaan yang bukan sekadar spekulasi atau usaha mempolitikkan pertemuan itu.
Pertemuan Najib dengan Pope itu telahpun memperlihatkan sisi politik domestiknya disebabkan masa lawatan diadakan. Turut serta dalam lawatan itu ialah seorang pemimpin Katolik Malaysia Tan Sri Murphy Nicholas Xavier Pakiam.
Pertemuan Najib dengan pemimpin tertinggi Katolik itu menyusuli pertembungan antara pemerintah dengan kumpulan Katolik di negara ini berhubung penggunaan kalimah Allah dan halangan pengedaran Injil dalam bahasa Melayu.
Menjelang pilihan raya Sarawak April lalu, isu panas berhubung sekatan terhadap kitab Injil oleh pihak berkuasa timbul lagi, dipercayai untuk mempengaruhi pengundi Katolik di negeri itu.
Sebelum itu, kumpulan dominan dalam parti pemerintah menentang keras penggunaan kalimah Allah oleh kumpulan Katolik di negara ini, yang tercetus ekoran penggunaannya dalam majalah komuniti itu.
Parti-parti Pakatan Rakyat terdiri daripada PAS, PKR dan DAP menyokong penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian Katolik, pandangan yang semakin meletakkan pemerintah dalam keadaan defensif.
Tekanan terhadap pemerintah meningkat ekoran kelantangan kumpulan-kumpulan Melayu yang menyokong dan mempunyai kaitan dengan Umno, dan kemudian selepas berlaku serangan bom petrol ke atas beberapa buah gereja sekitar ibu negara.
Kumpulan terbabit dan Umno muncul dalam pelbagai media sebagai fanatik pada masa itu, menjejaskan kempen penyatuan 1 Malaysia yang diilhamkan Najib.
Pada masa sama, PAS yang sebelum ini terpalit imej negatif yang sama muncul dengan imej lebih positif berbanding Umno ekoran sikap parti Islam itu yang tidak menentang penggunaan kalimah Allah oleh penganut Katolik di negara ini.
Secara umumnya, dari sudut sokongan popular terutama dalam kalangan minoriti termasuk penganut Katolik, PR memperolehi manfaat daripada isu kalimah Allah ekoran sikap positif terhadap penggunaannya oleh Katolik.
Walau bagaimanapun, di luar lingkuan parti politik, beberapa kumpulan Islam menentang penggunaan tersebut yang disifatkan mempunyai helah politik, pendirian yang meletakkan kumpulan terbabit berseberangan dengan parti-parti PR.
Penentang penggunaan kalimah Allah oleh Katolik termasuk bekas ahli parti komponen PR yang agresif mengkritik PAS dan ketua PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran pendirian berhubung isu terbabit.
Di sudut yang lain, lawatan Najib bertemu Pope itu juga mampu mencetuskan kesan negatif terhadap pemerintah, yang slogan 1 Malaysianya dikaitkan sesetengah pihak dengan sifat liberal, termasuk pluralisme agama.
Dalam kalangan audiens tertentu, pertemuan Najib dengan Pope dapat dibaca sebagai satu perkembangan yang negtif kepada Umno dan kini mudah dikaitkan dengan pelbagai perkara negatif.
Usaha Najib membina imej pemerintah yang dalam isu minoriti agama kini jauh merosot berbanding PAS menjelaskan satu kompleksiti baharu dalam politik Malaysia yang semakin sofistikated dan kompleks.
Tuesday, July 19, 2011
Pembangunan dan penghapusan identiti Melayu
Pulau Pinang ditangisi sayu,
Kampung Baru musnah menanti,
apalah nasib kita Melayu,
mengharap pagar yang makan padi.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal dalam suatu majlis pertemuan dengan para pemilik dan pewaris Kampung Baru pada 29 Mei, 2010 berkenaan Pelan Cadangan Konsep Pelaksanaan Pembangunan kampung tersebut telah melontarkan cadangan agar 40 peratus daripada 151.57 hektar kawasan itu diberi kepada kaum lain dan pelabur asing.
Apa rasionalnya cadangan “sial” itu pada ketika tiada pula peratusan kuota setinggi itu untuk orang Melayu walaupun pada ketika Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dan kini Model Baharu Ekonomi (MBE) serta pembangunan wilayah serta kawasan lain sekitar Lembah Kelang yang didominasi oleh kaum lain seperti Bangsar, Jalan Petaling, Kelang dan Brickfields?
Jaminan Nong Chik bahawa pembangunan Kampung Baru dengan “sedekah” tanah 40 peratus itu kononnya “tidak sesekali” mengetepikan orang Melayu (Berita Harian, 30 Mei, 2010) ibarat cek kosong yang disua bukan sahaja kepada pemilik dan pewaris Kampung Baru malah kepada seluruh bangsa Melayu di negara ini!
Setelah apa yang dapat kita lihat dengan segala bentuk “penyingkiran” Melayu daripada Kuala Lumpur dari dahulu sehingga kini, bolehkah kita beratus-ratus kali menjadi pelanduk yang lupakan perangkapnya?
Lihatlah apa yang berlaku di Kampung Abdullah Hukum berhampiran pusat beli belah Mid Valley dan Gardens di seberang stesen LRT serta kawasan Kampung Kerinchi berdekatan Universiti Malaya. Orang Melayu yang keturunan datuk nenek moyang mereka adalah peneroka kampung-kampung tersebut malah penggerak awal ekonomi Kuala Lumpur telah habis diseret ke rumah-rumah pangsa.
Citra budaya Melayu pula kian ditelan dengan segala macam hutan batu dan konkrit dari kediaman mewah, bangunan pejabat hinggalah kompleks beli-belah berkiblatkan Barat yang sarat dengan imej kapitalis. Nama-nama seperti Bangsar South dan Sphere di kawasan pembangunan itu jelas agenda halus menghapuskan citra kebudayaan dan jati diri bangsa Melayu.
Begitu juga dengan apa yang telah berlaku di Pulau Pinang. Pi mai pi mai tang tu juga. Sejak diserah kepada Inggeris oleh "pagar yang makan padi," gejala pengusiran Melayu secara halus atas nama kononnya kemajuan dan pembangunan terus berlaku. dengan pemangkinnya adalah "pagar-pagar alaf baru!"
Apakah orang Melayu sekarang di Kampung Baru terutamanya dan kampung-kampung Melayu lain di seluruh negara akan tertipu sekali lagi?
Mengapakah “pagar-pagar” orang Melayu hari ini tidak ada kesungguhan politik (political will) membangunkan semua kampung milik Melayu turun-temurun sama ada di Kampung Baru mahupun di seluruh negara sebagai pusat jaringan ekonomi Melayu seperti perniagaan, industri makanan dan pelancongan serta dalam masa sama sebagai pusat kebudayaan, warisan dan kesenian Melayu?
Rakyat ada sebab untuk sangsi atau tidak percaya dengan jaminan pembangunan Kampung Baru yang kononnya tidak meminggirkan Melayu. Pada 6 Februari, 2010, ketika Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak membuat lawatan ke Kampung baru, beliau memberi jaminan bahawa pembangunan semula Kampung Baru akan memastikan kira-kira 35,000 penduduk di tujuh buah kampung itu tidak akan dipindahkan ke tempat lain.
Jadi, jika 40 peratus keluasan tanah hendak diberi kepada orang lain maka apa lagi yang mahu dikatakan dengan jaminan Najib itu?!
Jika dalam tempoh empat bulan sahaja, segala jaminan itu boleh berubah-ubah apatah lagi pada masa akan datang.
Justeru, orang Melayu khususnya Kampung Baru dan mereka yang masih ada tanah warisan nenek moyang masing-masing usahlah mudah benar mengalah dan gelap mata dengan tawaran pampasan tanah jutaan ringgit lalu tergadai tanah ke tangan orang lain.
Sejarah berkuasanya penjajah Inggeris serta proses perbandaran sekarang ini yang jelas mengasak orang Melayu ke rumah pangsa dan ke hulu adalah bukti pemimpin politik yang kita harapkan umpama pagar yang makan padi.
Ketepikan perbezaan fahaman politik dalam isu membabitkan tanah. Kampung Baru misalnya jika mahu dibangunkan boleh sahaja dilakukan oleh masyarakat tempatan sendiri tanpa banyak campur tangan pemimpin politik yang tidak ubah pagar yang makan padi.
Melayu marhaen amat penat,
hak bangsa disukat disekat,
Melayu Umno usah khianat,
Melayu PAS, PKR mesti sepakat!
Arif Atan ialah pemerhati politik yang memberi tumpuan khusus pada isu Melayu. Artikel ini pertama kali disiar pada Jun 2010. Raja Nong Chik kemudian menjelaskan semula kenyataan awalnya ekoran kritikan berleluasa terhadap cadangan itu.
Monday, July 18, 2011
Dr Lo'lo tokoh pejuang wanita dalam PAS
Pagi tadi, lebih 2,000 hadir ke solat jenazah dan pengkebumiannya di Datuk Keramat, daripada kalangan rakyat, aktivis dan pemimpin-pemimpin politik.
Lo'lo' dikenali sebagai aktivis muslimat yang lantang bersuara dalam isu-isu wanita, sama ada dalam mahupun luar parti.
Allahyarhamah mula dikenali dan menjadi tumpuan media pada awal dekad 2000, ketika masih agak baru terlibat aktif dalam PAS di peringkat pusat.
Lo'lo' pada masa itu bersuara menuntut pemimpin-pemimpin muslimat diletakkan pada kedudukan sama di atas pentas dengan pemimpin-pemimpin lelaki yang merupakan majoriti pimpinan PAS.
Pada masa itu, respons pelbagai tercetus ekoran tindakan Lo'lo' itu; ada yang bersikap terbuka dan ada juga yang kurang senang.
Lo'lo' merupakan pemimpin yang membina Nisa' sayap wanita muda dalam Dewan Muslimat dengan imej dan pendekatan baharu untuk disesuaikan dengan zaman.
Allahyarhamah menjadi salah seorang pemimpin muslimat yang menggerakkan wanita-wanita muda dalam parti menjadi lebih aktif dan tidak terlalu merendah diri dengan ahli-ahli lelaki.
Isu yang terlepas pandang oleh parti itu akhirnya bukan lagi menjadi hal yang asing. Dari satu sudut, perjuangan mengangkat kedudukan wanita oleh Allahyarhamah menyelamatkan parti daripada diserang kumpulan feminis liberal yang mendakwa PAS mengabaikan dan memandang rendah wanita.
Sejak itu, isu kedudukan wanita semakin mendapat perhatian dalam parti, dan tidak lagi dipandang mudah, atau terlepas pandang.
Akhirnya, pencalonan ahli wanita bertanding pilihan raya umum juga tidak lagi menjadi isu yang kurang diberi perhatian. Semakin ramai wanita mewakili PAS sebagai wakil rakyat, dan peratusan wakil wanita yang terus meningkat.
Kelantangannya dalam isu-isu politik, termasuk berdepan dengan menteri-menteri lelaki di Parlimen menjadi bukti sikapnya yang mengangkat kedudukan wanita sejak awal penglibatannya dalam PAS.
Thursday, July 14, 2011
Perang media baharu, Pakatan Rakyat makin tergugat
Kemudian, apabila blog menjadi popular, pemimpin-pemimpin pembangkang mendahului penggunaan alat ini dalam dunia politik negara.
Pada masa itu, selesa dengan akhbar dan saluran televisyen yang dikuasai, Umno dan Barisan Nasional kelihatan mengabaikan terus media baharu, kecuali satu atau dua saluran maklumat seperti laman Umno.
Laman-laman pembangkang walau bagaimanapun bukan semuanya kekal. Ada yang terus berkubur, ada yang muncul semula dalam bentuk lain, dengan beberapa masih kekal.
Tiba Pilihan Raya Umum ke-12, internet diraikan sebagai medan yang mencetuskan apa yang suka disebut sebagai "tsunami politik" yang mengubah wajah politik negara. Muncul kenyataan seperti "medan Pilihan Raya Umum ke-12 ialah di internet."
Selepas tiga tahun Mac 2008 berlalu, Umno dan BN semakin menyedari kepentingan media baharu. Secara tersusun dan bersungguh-sungguh, media baharu menjadi salah satu bahagian penting dalam jentera pemerintah.
Pemimpin-pemimpin Umno yang sebelum ini hanya sekadar mampu menyebut IT, kini sudah mampu menggunakan media baharu, bermula dengan blog, Twitter dan Facebook.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mula menulis blog menjadi blog politik paling diikuti, menjadi sumber berita dan pencetus perdebatan politik hingga ke hari ini, mengatasi semua pemimpin politik di Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak memanfaatkan sepenuhnya Facebook dan Twitter, sehingga muncul antara pemimpin paling popular dalam dunia media sosial dalam politik negara.
Media baharu mula tidak lagi menjadi asing kepada pemerintah yang sebelum ini seolah-olah memusuhi wacana politik di internet.
Di bawah Najib, blog-blog Umno semakin bercambah, dengan pembawaan isu-isu semasa yang selaras dan sistematik antara satu sama lain, menjadi satu senjata berkesan pemerintah.
Blog-blog tersebut dilihat menyokong satu sama lain dalam banyak isu, dan saling membantu dan melengkapkan blog pro-Umno lain, walaupun wujud perbezaan pada masa dan isu tertentu.
Blog-blog yang menjadi penyerang utama terhadap Pakatan Rakyat itu kini muncul menjadi blog politik paling popular di negara ini, mengatasi blog pro-PR.
Sebahagian besar menerbitkan tulisan sendiri melebihi purata satu tulisan setiap hari, dengan beberapa blog menunjukkan hasil kajian yang meyakinkan dan kredibel.
Umno kini tidak lagi perlu menunggu laporan berita Buletin Utama atau akhbar-akhbar harian, tetapi banyak isu ditangani dengan segera oleh blog pro-Umno.
Isu gambar kematian peserta demonstrasi Bersih 2.0, cincin yang didakwa dibeli oleh isteri perdana menteri dan banyak isu lain segera dijawab oleh blog Umno, yang sebahagian besarnya mengemukakan hujah yang bukan sembarangan.
Pemerintah bukan tidak terjejas oleh media baharu. Portal-portal berita propembangkang yang semakin banyak dan pelbagai kempen antipemerintah masih berjalan dengan meluas di dunia siber terutama laman sosial.
Terbaharu, Najib menerima tekanan apabila muncul kumpulan Facebook menerima sokongan ramai menuntut beliau meletak jawatan.
Walau bagaimanapun, dengan keupayaan yang besar, media baharu ialah satu wilayah bebas yang pihak pemerintah masih mampu memanfaatkan, dalam beberapa aspek, dengan lebih berkesan berbanding pembangkang.
Dalam kalangan pemblog pro-PAS, usaha-usaha menyusun gerak kerja, penyelarasan dengan parti dan sebagainya masih belum menampakkan hasil, walaupun beberapa pertemuan termasuk dengan pemimpin telah diadakan.
Banyak laman dan blog propembangkang lebih berperanan sebagai aggregator atau pengumpul berita berbanding menerbitkan tulisan sendiri.
Beberapa blog pembangkang pula lebih banyak berperanan dalam politik dalaman parti-parti tertentu, dengan sejumlah besar tulisan bertujuan menyampaikan kritikan atau kecaman kepada pihak yang tidak disenangi dalam parti sendiri.
Dari sudut bahasa dan etika banyak blog terbabit, banyak daripada blog terbabit menggunakan bahasa kesat dan mengulas atau mengkritik tanpa maklmat yang tepat, termasuk dalam isu-isu peribadi.
Banyak isu yang dibawa blog pro-PR berbentuk serangan psikologi dan permaina media semata-mata, tanpa menyampaikan sebarang penjelasan atau ulasan yang bertanggungjawab dan berdasarkan pengetahuan yang tepat.
Perkembangan ini mencetuskan satu kebimbangan berhubung peranan media baharu propembangkang dalam menyampaikan maklumat dan menyokong politik PR.
Dalam persaingan dalam media baharu hari ini, dapat diperhatikan pemerintah telah jauh berubah daripada kebekuan yang mereka alami satu masa dulu, pada masa sama pembangkang tersekat dalam satu kemelut yang sukar.
Pilihan Raya umum ke-13 nanti bakal memberi petunjuk, siapa yang paling dapat memanfaatkan media baharu; BN atau PR.
Wednesday, July 13, 2011
Abim tunjuk peranan politik tangani tuntutan Bersih
Presiden kumpulan Islam itu, Dr Mohamad Razak Idris dilapor berkata kedua-dua pihak Bersih dan SPR perlu menyahut seruan Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk berunding menyelesaikan isu tersebut.
Kenyataan terbuka Abim menyusul perhimpunan Bersih kedua pada hujung minggu lalu secara efektifnya ialah satu bentuk sokongan kepada tuntutan-tuntutan Bersih, yang menerima peranan penting Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh yang diketahui mempunyai hubungan baik dengan pertubuhan Islam itu.
Kenyataan Abim itu ialah gesaan lanjut agar tuntutan-tuntutan Bersih 2.0 diberi perhatian serius oleh SPR dan kerajaan.
Tindakan Abim itu juga dilihat selaras dengan sentimen ramai semasa yang kritikal terhadap pemerintah, pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, yang dikemukakan sesetengah pihak sebagai sedang bersaing satu lawan satu dengan Anwar dalam politik.
Abim, sebuah badan bukan kerajaan yang bukan bersifat politik kepartian kini lebih cenderung ke arah Pakatan Rakyat, sebahagian besarnya disebabkan sokongan dan hubungan rapat pertubuhan itu dengan Anwar, ketua Parti Keadilan Rakyat yang juga bekas presiden Abim.
Pendirian berhubung Bersih ini walau bagaimanapun bukan yang pertama yang memperlihatkan sikap politik pertubuhan itu. Abim mengekalkan pandangan yang sebehagian besarnya sehaluan dengan gabungan pembangkang dalam pelbagai isu.
Kenyataan terbaharu Abim ini menggerakkan lagi momentum penentangan terhadap Barisan Nasional selepas berakhir perhimpunan Sabtu 9 Julai lalu.
PR dilihat mahu mengekalkan momentum sokongan terhadapnya sehingga menghampiri Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal diadakan dalam tempoh kurang dua tahun.
Penggal semasa selepas Pilihan Raya Umum ke-12 belum mencapai empat tahun, tetapi pemerintah dijangka mengadakan pilihan raya umum awal untuk memperolehi mandat baharu sekiranya sokongan dilihat mencukupi dan selamat untuk BN.
Ekoran kejayaan Bersih kedua yang dilihat berjaya mengingkari perintah kerajaan dan menghimpunkan ribuan penyokong di Kuala Lumpur walaupun disekat hebat, Najib dijangka melewatkan lagi tarikh pilihan raya akan datang.
Monday, July 11, 2011
Bersih berjaya, BN habis modal?
Penilaian mudah terhadap perhimpunan Bersih kedua 9 Julai lalu ialah protes besar-besaran itu berjaya mencapai matlamatnya, tanpa peserta perhimpunan mencetuskan kekacauan atau keganasan seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Pandangan ramai yang menyifatkan cara pemerintah menangani perhimpunan menjejaskan imej dan undi menambahkan lagi poin negatif untuk pentadbiran Najib.
Sasterawan Negara, A Samad Said dengan yakin menyatakan bakal berlaku perubahan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, selepas kejayaan perhimpunan Bersih 2.0.
Samad Said semakin menonjol dalam aktivisme beberapa isu sejak beberapa tahun lalu, menjadi wajah popular kepada gerakan kepembangkangan masa kini.
Sasterawan ini menjadi salah seorang tokoh yang berdiri di barisan hadapan protes terhadap usaha mengangkat bahasa Inggeris melebihi bahasa kebangsaan di sekolah, protes yang menyaksikan beliau terkena tembakan gas pemedih mata.
Ketegasan Samad Said dalam isu-isu ini kelihatan mencemaskan pemerintah Barisan Nasional, disebabkan kedudukan berprestij beliau dalam dunia seni budaya negara.
Pada masa yang sama, Marina Mahathir, pejuang liberal anak kepada bekas perdana menteri turut sama menyertai perhimpunan 9 Julai, dan menjadikan penyertaannya satu bahan berita.
Secara tidak langsung, sedikit tempias Tun Dr Mahathir Mohamad terkena pada pentadbiran Najib ekoran penyertaan Marina.
Kritikan Mahathir telah menjejaskan teruk Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu, dan kini Najib kelihatan berdepan ancaman yang sama.
Marina boleh dilihat sebagai mewakili golongan menengah elit negara ini yang kritikal terhadap pemerintah hari ini, golongan yang tidak dapat diperhatikan dengan jelas perwakilannya dalam protes-protes di negara ini sebelum ini.
Selama ini, dalam demonstrasi jalanan, sukar untuk didapati golongan seniman dan kelas elit muncul dengan berprofil tinggi seperti yang ditunjukkan Samad Said dan Marina.
Adakah ini bermakna penolakan terhadap BN kini meliputi semua kelas dan golongan di negara kita?
Sekiranya benar, apakah lagi modal yang ada untuk digunakan BN menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti?
Sunday, July 10, 2011
Kematian peserta Bersih: BN tumbang PRU 13?
Saturday, July 9, 2011
Album: Bersih 2.0 9 Julai, 2011
Gambar-gambar sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, salah satu kawasan peserta himpunan Bersih kedua berkumpul.
Bersih kedua saksikan rekod tangkapan, dijangka cetus impak negatif kepada BN
Friday, July 8, 2011
Kurang 24 jam perhimpunan Bersih, suasana semakin tegang
Tuesday, July 5, 2011
Bersih demo di stadium, siapa menang, siapa kalah?
Sunday, July 3, 2011
Pilihan raya Thailand: Politik perdamaian dan perangkap populisme
Album: Lawatan kajian memerhati pilihan raya Thailand
Gambar-gambar lawatan Pemuda PAS dan PAS Selangor ke Bangkok, Thailand selama dua hari pada 30 Jun dan 1 Julai.