Wednesday, July 13, 2011

Abim tunjuk peranan politik tangani tuntutan Bersih

Angkatan Belia Islam Malaysia, Abim, menunjukkan lagi sikap politik apabila mengajak kedua-dua pihak Bersih 2.0 dan Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR, berbincang dengan serius mengenai tuntutan-tuntutan gabungan pertubuhan menuntut pemulihan proses pilihan raya itu.

Presiden kumpulan Islam itu, Dr Mohamad Razak Idris dilapor berkata kedua-dua pihak Bersih dan SPR perlu menyahut seruan Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk berunding menyelesaikan isu tersebut.

Kenyataan terbuka Abim menyusul perhimpunan Bersih kedua pada hujung minggu lalu secara efektifnya ialah satu bentuk sokongan kepada tuntutan-tuntutan Bersih, yang menerima peranan penting Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh yang diketahui mempunyai hubungan baik dengan pertubuhan Islam itu.

Kenyataan Abim itu ialah gesaan lanjut agar tuntutan-tuntutan Bersih 2.0 diberi perhatian serius oleh SPR dan kerajaan.

Tindakan Abim itu juga dilihat selaras dengan sentimen ramai semasa yang kritikal terhadap pemerintah, pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, yang dikemukakan sesetengah pihak sebagai sedang bersaing satu lawan satu dengan Anwar dalam politik.

Abim, sebuah badan bukan kerajaan yang bukan bersifat politik kepartian kini lebih cenderung ke arah Pakatan Rakyat, sebahagian besarnya disebabkan sokongan dan hubungan rapat pertubuhan itu dengan Anwar, ketua Parti Keadilan Rakyat yang juga bekas presiden Abim.

Pendirian berhubung Bersih ini walau bagaimanapun bukan yang pertama yang memperlihatkan sikap politik pertubuhan itu. Abim mengekalkan pandangan yang sebehagian besarnya sehaluan dengan gabungan pembangkang dalam pelbagai isu.

Kenyataan terbaharu Abim ini menggerakkan lagi momentum penentangan terhadap Barisan Nasional selepas berakhir perhimpunan Sabtu 9 Julai lalu.

PR dilihat mahu mengekalkan momentum sokongan terhadapnya sehingga menghampiri Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal diadakan dalam tempoh kurang dua tahun.

Penggal semasa selepas Pilihan Raya Umum ke-12 belum mencapai empat tahun, tetapi pemerintah dijangka mengadakan pilihan raya umum awal untuk memperolehi mandat baharu sekiranya sokongan dilihat mencukupi dan selamat untuk BN.

Ekoran kejayaan Bersih kedua yang dilihat berjaya mengingkari perintah kerajaan dan menghimpunkan ribuan penyokong di Kuala Lumpur walaupun disekat hebat, Najib dijangka melewatkan lagi tarikh pilihan raya akan datang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...