Wednesday, April 30, 2008

PKR dapat permit penerbitan seumpama Harakah

KUALA LUMPUR, 30 April: Lain yang diharap, lain yang diterima. Namun Parti Keadilan Rakyat (PKR) berterima kasih kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana telah meluluskan permit penerbitan yang mereka pohon untuk akhbar mereka.

Pada 21 April lepas, KDN telah meluluskan permohoan PKR untuk mendapatkan permit untuk akhbar mereka, Suara Keadilan.

Namun, ia hanya permit penerbitan untuk dua kali sebulan dan untuk ahli sahaja sebagaimana Harakah yang dimiliki oleh PAS.

Jabatan Editorial Suara Keadilan dengan ini mengumumkan setelah tiga tahun memohon, akhirnya permit akhbar ini yang merupakan lidah rasmi parti KeADILan telah diluluskan, umum Ketua Pengarangnya, Zulkifli Anuar ul Haq atau Zunar.

Hadapi krisis makanan: Hidupkan semula LPN

KUALA LUMPUR, 30 April: Kerajaan perlu mengembalikan semula peranan Lembaga Padi dan beras Negara (LPN) bagi membolehkan persoalan keselamatan makanan negara ditangani dengan baik.

Bekas Ketua Pengarah Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) 1989 - 1992, Datuk Mohd Amir Yaakub berkata, hanya dengan cara inilah kerajaan boleh mengawal balik industri terpenting negara ini.

Industri padi dan beras negara telah diserahkan kepada pihak swasta apabila peranan LPN telah diserahkan kepada syarikat padi dan besar negara, Bernas pada tahun 1984.

Datuk Amir, ketika ditemui Siasah baru-baru ini, bersetuju dengan pendapat seorang profesor bahawa kerajaan telah tidak lagi menjaga kepentingan industri padi dan beras negara sejak 15 tahun yang lalu sebaik sahaja Bernas ditubuhkan.

Datuk Amir, dipenghujung keriernya selaku Ketua Pengarah LPN telah menulis satu iaitu pada 16 September 1992 telah menulis satu laporan khas kepada Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Datuk Ahmad Sarji Abdul Hamid bagi menerangkan kepentingan industri padi dan beras negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi baru-baru ini memaklumkan kerajaan akan memperkukuhkan kembali industri makanan negara dengan menambah satu lagi jelapang padi negara di Sarawak.

Di Dewan Rakyat, Abdullah memaklum, kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menangani persoalan makanan dan kenaikan harga makanan.

Jawatankuasa ini akan disertai oleh pelbagai pihak termasuk dari pemimpin pembangkang.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat.

Balkis setaraf dengan JKKK

KUALA LUMPUR, 30 April: Anggota Parlimen Kuala Langat, Dr Che Rosli Che Mat menyifatkan tindakan para isteri Adun Barisan Nasional (BN) di Selangor yang bernaung di bawah Balkis selama ini sama saja tarafnya dengan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

"Jika anggota JKKK membawa lari semua kerusi dan meja dari dewan-dewan orang ramai milik kerajaan selepas BN kalah, mereka ini membawa lari wang RM9.9 juta milik rakyat," kata beliau kepada Siasah.

laporan penuh dalam Siasah Ahad ini.

Parlimen kecoh dan haru biru

KECOH DAN HARU BIRU...Itulah yang berlaku di permulaan sessi Dewan Rakyat hari ini apabila masing-masing mahu bercakap.

Hanya satu soalan sahaja berjaya dijawab dalam masa satu jam itu di samping satu soalan tambahan.

Sessi soal jawab hanya dapat berjalan selepas 25 minit Dewan bersidang dan apabila tempoh satu jam tamat, sessi itu dengan sendirinya diberhentikan.

Anggota dari Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali memberikan penjelasan yang baik tentang apa yang berlaku ketika bangkit dalam Dewan Rakyat.

"Semuanya gara-gara nak masuk TV apabila sidang ini ada siaran secara langsung," kata Ibrahim Ali yang bertanding atas tiket PAS dalam pilihan raya lalu.

Tuesday, April 29, 2008

BSKL rugi RM140 bilion?

KOTA BHARU, 29 April: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mendakwa, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) sudah kerugian kira-kira RM140 bilion sejak dua bulan lalu dan faktor terbesar akibat dari ketidakstabilan kerajaan yang ada.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar ia dihentikan segera.

"Kita mendengar ada desakan dari dalam Umno sendiri agar Perdana Menteri meletakkan jawatan...mungkin ia boleh hentikan ketidakstabilan ini," kata Husam.

Exco kerajaan negeri Kelantan itu berkata demikian ketika menggulung perbahasan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan Selasa lepas.

Ucapan beliau bagaimanapun diganggu oleh Ketua Pembangkang DUN Kelantan, Che Alwi Che Ahmad dengan berkata isu itu adalah isu nasional dan perlu dibawa oleh wakil-wakil PAS di Dewan Rakyat bukannya di Dun Kelantan.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, seorang penganalisa ekonomi, Alex Ong bersetuju dan mendakwa dakwaan Husam itu ada kebenarannya.

"Sejak Disember 2007 lalu, index komposit BSKL sudah turun dari 1445 point kepada 1227 point pada 9 April lalu. Jadi mungkin angka yang diambil oleh beliau adalah dari pilihan raya hingga sekarang," kata Alex ketika dihubungi Siasah bagi mengulas perkara itu.

Menurut Alex, nilai satu mata bagi indeks BSKL adalah kira-kira RM770 juta.

"Pada pertengahan Januari 2008, indeks BSKL memang ada yang mencecah 1300 mata dan jatuh pada 1200 mata pada minggu kedua April ini. Jika begitu benarlah dalam tempoh itu kita kerugian RM140 bilion," kata Alex.

Yang merisaukan Alex adalah kehilangan wang rakyat, misalnya tabung KWSP yang digunakan untuk menyokong pasaran saham ini dari jatuh lebih teruk.


Monday, April 28, 2008

Siapa tidak mengundi Dr Tan Seng Giaw?

KUALA LUMPUR, 28 April: Para wartawan di Parlimen sedang tercari-cari siapakah anggota pembangkang yang tidak mengundi naib pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw untuk jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat.

Ini kerana, dari 82 anggota pembangkang, anggota dari Kepong itu hanya mendapat 81 undi, satu undi kekurangan dari yang sepatutnya.

"Apakah Datuk Ibrahim Ali, calon bebas yang menggunakan simbul PAS dalam pilihan raya lalu atau Dr Tan tidak mengundi dirinya sendiri atau anggota parlimen yang lain," tanya mereka sesama sendiri.

Namun, sehingga kini, jawapan belum pasti lagi.

Dalam pengundian itu, Ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Giandi dipilih sebagai Timbalan Yang DiPertua selepas sesi undian bertulis dijalankan.

Wan Junaidi mendapat 157 undi, Ronald (150) manakala Dr Tan (81).

Wednesday, April 23, 2008

Pemuda PAS serah memo bantah pembunuh ulama di Mogadishu

Pemuda PAS menyerahkan memo bantahan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berikutan insiden pembunuhan sembilan ulama di dalam masjid Al Hidaya, utara Mogadishu, ibu negara Somalia baru-baru ini.

Penyerahan itu dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Ustaz Nasrudin Hassan. Turut serta adalah Ahmad Sabki Yusuf, Setiausaha dan Kamarulzaman Mohamed, Exco. Memo diterima oleh Asfaazam Kasbani, Assistant Resident Representative, Senior Programme Manager, PBB.

Tulisan terakhir Rustam: Mahathir yang celupar

Oleh Rustam A Sani
Selasa, 22 April 2008


SAYA benar-benar kagum akan Mahathir, khususnya terhadap kemampuan dan kedegilannya untuk menyatakan pandangannya.

Dia akan terus berkata-kata, meskipun sudah tidak ada lagi orang yang mau mendengar pandangannya itu – kecuali mungkin beberapa orang yang mau memperalatkannya sebagai sumber "pendapat" bagi maksud tertentu – untuk menyerang Abdullah Badawi, misalnya.

Dan bagi tahap umurnya, tenaga Mahathir memang luar biasa. Suaranya masih lantang, sebutannya masih jelas – meskipun daya ingatannya ternyata sudah kabur (banyak yang tidak diingatnya atau sudah tersalah ingat), daya analisisnya sudah longgar, rasa hormatnya terhadap lojika, etika, maupun kebenaran jelas sudah berkecai.

Namun, bagi saya, apa yang lebih menakjubkan ialah masih banyak antara kita yang masih sanggup mendengar racauannya itu. Oleh itu, bila Mahathir akan diwawancara untuk rancangan "Hard Talk" baru-baru ini saya menjadi kebanjiran dengan pesanan SMS maupun posting blog tentangnya.
Memanglah Mahathir merupakan seorang yang degil, yang tidak puas-puas meracau di mana sahaja. Dia akan berceramah di majlis ceramah anjuran PROWARIS atau bahagian-bahagian Umno yang tertentu, berdebat dalam forum anjuran laman blog MyKMU, ditemuramah oleh Malaysiakini.com, malah menulis kata pengantar untuk buku Dr. Collin Abraham.

Tidak ada sesuatu yang baru dalam apa yang diperkatakannya, namun orang tetap akan mendengar malah melaporkannya kembali di tempat lain, di muka akhbar maupun di laman blog. Tidak ada yang mendalam atau profound dalam analisisnya, namun masih banyak yang menganggap kata-katanya sebagai semacam mutiara ilmu.
Dan inilah yang menakjubkan saya. Apakah yang menarik tentang Mahathir ini: mutiara ilmu yang keluar dari mulutnya atau sekadar personanya? Dan apakah yang menarik tentang persona itu – auranya atau sekadar latarbelakang dirinya yang pernah menjadi ahli politik yang memberontak terhadap establishment Umno tetapi kemudiannya bertukar menjadi establishment itu sendiri yang amat menindas?

Baru-baru ini Mahathir tampaknya telah berhasil pula menjaja misteri dirinya itu ke luar negara. Dia sanggup ditemuramah di ruangan "Hard Talk" BBC yang terkenal kerana soalan-soalan mendalam lagi kasar terhadap sesiapa sahaja – khususnya para pemimpin negara dunia ketiga.

Mahathir memang tahu tentang reputasi rancangan Hard Talk itu, namun naluri dan semangatnya untuk terus berkata-kata itu ternyata tidak akan dapat diredakan. Otot di sekeliling mulutnya yang overdeveloped itu tampaknya tidak akan dapat dilemahkan.
Satu sifat dan sahsiah Mahathir yang asasi sehubungan dengan nalurinya yang mau terus berkata-kata ini ialah sifatnya yang combative – yakni dia akan menyerang bila dia mendapati dirinya terdesak oleh serangan orang lain khusus pihak yang mempersoalkan kredibiliti hujah dan kata-katanya.

Dan apabila Mahathir mulai menyerang, dia akan melakukannya secara dogged (hantam keromo, membujur lalu melintang patah). Bila Mahathir menyerang, maka jelaslah terserlah sifatnya yang samasekali tidak menghormati dan mengendahkan kebenaran, fakta, logika atau malah urutan dan tertib hujah yang siuman.

Saya telah melihat perkara ini berlaku beberapa kali sewaktu Mahathir diwawancara oleh media antarabangsa (Mahathir dalam nada prasangkanya sendiri akan mengatakannya "media barat").
Beberapa tahun lalu, sewaktu Mahathir ditemuramah oleh Zain Verge dari CNN, bila dia didesak dengan soalan-soalan yang hangat dan pedas, dia akan segera menjadi combative – menuduh sipenemuramah itu sebagai mewakili prasangka "orang putih" yang senantiasa memandang rendah terhadap orang kulit berwarna seperti dirinya.

Hakikat yang tidak diendahkan Mahathir ialah hakikat Zain Verge merupakan seorang wanita keturunan Pakistan yang dibesarkan di Afrika – hanya kulitnya sedikit cerah berbanding Mahathir.

Kali ini sewaktu menghadapi asakan soalan-soalan panas dari Stephen Sackur, hos rancangan Hard Talk ini, huraian Mahathir tentang prasangka orang Barat terhadap orang pribumi kita tampaknya diasaskan pada ikhtisar pandangan beberapa tokoh pegawai penjajah British satu dua abad lalu seperti Swettenham, Winstedt.

Pandangan berprasangka seperti itu sebenarnya sudah tidak kedengaran lagi hari ini, dan malah hujah seperti yang dikemukakan oleh Mahathir itu juga sejak lama sudah tidak digunakan lagi oleh para pembahas dan sarjana anak negeri. Namun demikianlah adanya vintage Mahathir: dia tidak teragak-agak menggunakan hujah dan mauduk dari dua abad lalu untuk memenangi perdebatan hari ini.

Mahathir agak beruntung bila berhadapan dengan para wartawan seperti Zain Verge dan Sackur itu. Mereka ini sebenarnya tidak begitu tahu tentang realiti politik di Malaysia, oleh itu tidak dapat terus bertanya (probing) bila Mahathir memberikan reaksi yang sebenarnya tidaklah seratus peratus tepat.

Huraiannya, misalnya, tentang penyingkiran para hakim, tentang pita V. K. Lingam, tentang keadilan yang diterima Anwar dari sistem kehakiman Malaysia sudah pasti akan mengundang asakan yang malah lebih kuat lagi dari seorang wartawan yang lebih tahu tentang Malaysia berbanding Zain maupun Sackur.

Namun Mahathir, bagi saya, tetap merupakan seorang watak awam yang bijak lagi licik. Dia pandai menggunakan segala macam helah dan permainan citra untuk mempertahankan dirinya dan mengelirukan para pendengarnya. Sebab itulah setiap gerak geri maupun kata-katanya akan menarik perhatian, meskipun tidak terdapat barang seurat ketulusan maupun kebijaksanaan dalam penampilan citra dan cendekianya itu.
Bilakah permainan penampilan dirinya yang penuh helah ini akan reda – demi menjaga kewarasan dan kesehatan minda (mental hygiene) masyarakat kita sendiri?

Perginya Rustam A Sani, Malaysia kehilangan sebutir permata

KUALA LUMPUR, 23 April: Malaysia kehilangan sebutir permatanya apabila penulis dan tokoh politik terkenal, Rustam A Sani meninggal dunia jam 2.30 pagi tadi di rumahnya, Bukit Lela, Gombak.

Menurut keluarganya, Rustam bangun jam 2.00 pagi untuk minum air. Selepas itu, beliau baring di katilnya dan terus meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

Beliau meninggalkan isteri, Puan Rohani, dua anak, seorang lelaki dan seorang wanita serta cucu.

Jenazah Rustam, kolumnis Siasah itu akan disemadikan di tanah perkuburan Islam Taman Ibu Kota selepas Zohor nanti.

Antara yang awal menziarahi jenazah Rustam adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya yang juga bakal Ketua Pembangkang, Datik Seri Dr Wan Azizah.

Turut hadir adalah Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar dan Ketua Pemuda, Salahudin Ayub. Ia diikuti kemudiannya Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar dan juga bekas Ketua Pengarang Utusan, Datuk Johan Jaafar.

Tuesday, April 22, 2008

Pemuda PAS temui Pengarang Makkal Osai


Pemuda PAS yang diketuai Salahuddin Ayub telah mengadakan pertemuan dengan Pengarang Makkal Osai semalam. Turut serta ialah Ustaz Nasrudin Hassan, Timbalan Ketua; Ustaz Azman Shapawi Abd. Rani, Naib Ketua; Ahmad Sabki Yusuf, Setiausaha dan Mohd Firdaus Jaafar, Exco.

PAS sokong usaha perkasa SPR

Oleh DATO' SERI ABD. HADI AWANG
Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS)

PAS menyokong usaha pihak kerajaan dalam memperkasakan agensi pencegahan rasuah negara, BPR dengan menstrukturnya semula menjadi sebuah suruhanjaya bebas. Bagi PAS keberkesanan menangani rasuah sesungguhnya tidak terletak semata-mata pada nama atau status tetapi yang lebih penting adalah keikhlasan dan keimanan para petugasnya dan kerajaan yang memerintah serta perlaksanaan yang menepati maksudnya yang sebenar.

PAS merasakan apa yang telah dibentuk dan diasaskan oleh Islam lebih 1400 tahun dahulu merupakan contoh terbaik dalam usaha memerangi dan membenteras rasuah, dan model Islam ini jauh lebih dahulu dari model-model semasa termasuklah apa yang terdapat di Hong Kong pada hari ini.

Islam telah menanam asas memelihara masyarakat dan pemimpin dari rasuah bukan hanya dengan memperkenalkan peraturan dan undang-undang tetapi dimulakan dengan menanam kepercayaan kepada Tuhan yang melihat dan mengetahui segala-galanya. Islam membentuk masyarakat dan pemimpin sehingga menyedari bahawa perlakuan dan jenayah rasuah tidak hanya akan berakhir di dunia semata-mata tetapi pesalahnya akan turut dihukum di Hari Akhirat kelak.

Bagi PAS sebarang usaha memerangi rasuah mestilah bermula dengan pemerintah yang bersih. Jika parti pemerintah itu sendiri dibebani dengan penyakit rasuah dan mereka pula dipilih melalui amalan rasuah, maka adalah mustahil untuk memberikan kepercayaan kepada mereka ini untuk memerangi rasuah dalam erti kata yang sebenar.

PAS telah berjaya membuktikan corak dan sistem pemerintahan yang bersih dari rasuah di Kelantan, sejak 1990 hingga kini, dan di Terengganu antara tahun 1999-2004. Insyallah kita akan memperkenalkan model yang sama ini, yang kita yakini dapat diterima oleh semua dinegeri-negeri Pakatan Rakyat dalam usaha melahirkan masyarakat dan pentadbiran yang bersih dan bebas dari rasuah.

22 April, 2008

Tahniah Pak Lah, Azman Ujang dan Syed Nadzri

Oleh ZULKIFLI SULONG

Secara peribadi, saya merakamkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana berani untuk membuat islah atau reformasi di negara ini. Jasa Datuk Seri akan dikenang oleh seluruh rakyat negara ini atas keberanian ini.

Percayalah, jika sesiapa di kemudian hari nanti bertanya kepada datuk nenek mereka, siapakah pemimpin Malaysia yang membawa islah ini kepada Malaysia, saya yakin, jawapan mereka adalah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sudah pasti bukan Jamaah Islah Malaysia (Jim) atau bapa reformasi Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menjadi jawapan mereka.

Biarlah Tun Dr Mahathir berkata, Datuk Seri mahu mencari populariti tetapi percayalah, pandagan Tun dalam soal ini sudah ketinggalan zaman. Semua mahukan kebebasan dan keadilan.

Mungkin nasib Datuk Seri akan sama dengan Bapak Habibie, bekas Presiden Indonesia, yang kemudiannya hilang kuasa sebagai Presiden Indonesia selepas mereformasikan negara itu, tetapi lihatlah kesannya ke atas negara Indonesia.

Hasil dari kebebasan yang dikecapi, ia telah membentuk semacam satu kuasa dan dinamika baru kepada negara itu untuk menjadikan negara mereka maju.

Biarlah Datuk Seri mungkin sekejap sahaja memerintah, kerana tekanan mereka yang dengki pasti datang, tetapi jasa Datuk Seri akan dikenang sehingga bila-bila.

Secara peribadi, saya juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Azman Ujang, Pengurus Besar Bernama atas kapasitinya sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Institut Akhbar Malaysia kerana berani akhirnya memberikan cadangan agar akhbar di negara ini dibebaskan dari kongkongan permit penerbitan.

Biarlah 'faktor pasaran' (market forces) yang menentukan hidup mati sesebuah akhbar dan bukannya kerajaan yang memerintah lagi.

Tahniah juga diucapkan kepada Datuk Syed Nadzri, Pengarang Kumpulan NST yang akhirnya juga berani berkata benar bahawa langkah kerajaan tidak lagi menyambung permit akhbar Makkal Osai sebagai tindakan yang memberikan signal yang salah kepada reformasi atau islah yang sedang dilakukan oleh Perdana Menteri.

Datuk Nadzri, keadilan juga harus diberikan kepada kerajaan dan rakyat negeri Selangor, bukannya dengan membawa lari Selangor.fm dari bangunannnya. MB Selangor hanya memohon satu jam sahaja seminggu untuk kerajaannya. Kementerian Penerangan mempunyai 167 jam lagi (dari 168 jam seminggu) untuk berkempen bagi pihak kerajaan Pusat.

Apa salahnya Menteri Penerangan kita yang baru, Datuk Ahmad Shabery Cheek mempertimbangkan permintaan kecil ini, yang bakal tidak akan menjadi kudis pun untuk dipenuhi. Bukankah inilah perjuangan Datuk selama ini. Laksana sahajalah. Lagipun ia selaras dengan islah yang sedang dibuat oleh Perdana Menteri sendiri. Tidak cukup sekadar senyum manis di sisi PM semasa melancarkan dialog intergriti itu, rakyat perlukan lebih dari itu.

Kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, mesej negetif yang kementerian Datuk Seri hantar ketika tidak menyambung lagi permit Makkal Osai perlu diperbetulkan segera.

Saya secara peribadi adalah pihak yang paling gembira dengan pemikiran Datuk Seri untuk tidak lagi memaksa akhbar di negara ini mendapatkan permit tahunan untuk akhbar mereka. Ini kerana sekatan itu sudah tidak perlu lagi di zaman langit dan wayar terbuka ini.

Dari dikecam kerana mengongkong media (padahal tidak boleh lagi mengongkong secara berkesan) lebih baik Datuk Seri bebaskan sahaja mereka dari kongkongan permit itu.

Saya sokong Datuk Azman, permit tidak perlu lagi, kerana pelbagai akta yang ada sudah cukup untuk mengawal media kita dari tidak bertanggungjawab. Saya sokong Datuk Syed Nadzri, kita perlu bersama islah yang sedang dibawa Perdana Menteri kita.

Saya dengan ini mohon menyokong.

Monday, April 21, 2008

Pulau Pinang perlu utamakan orang bukan kereta

PULAU PINANG, 21 April: Pulau Pinang memerlukan sistem pengangkutan yang lebih cekap berbanding dengan jambatan kedua yang akan membawa lebih banyak kereta ke pulau itu.

Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinanf (CAP) mencadangkan agar sistem LRT dibina menghubungkan tanah besar dengan pulau atau menambahkan lagi perkhidmatan feri.

Dengan cara ini, ia boleh mengurangkan kesesakan di pulau itu yang sedang menjadi masalah besar penduduknya sekarang, kata Presiden CAP, S. M. Momamed Idris dalam suratnya kepada Siasah yang bertajuk utamakan orang ramai dari kereta.

"Sebuah lagi jambatan hanya akan menambahkan lagi kesesakan lalu lintas terhadap jalan raya di Pulau Pinang yang sudah sedia sesak dengan kereta," tulisnya.

Terdapat pilihan yang lebih baik daripada membina Jambatan Kedua. Salah satu daripadanya ialah mempertingkatkan perkhidmatan feri, kata beliau.

Untuk tujuan ini, lebih banyak feri diperlukan, dan lebih banyak pangkalan feri dibina di beberapa kawasan strategik di bahagian pulau dan Seberang Perai. Perkhidmatan bas yang mencukupi juga perlu diadakan untuk membawa penumpang dari pangkalan dan ke bahagian lain.

Jika hubungan ketiga diperlukan antara Pulau Pinang dan Seberang Perai diperlukan, maka ia seharusnya dihubungkan dengan Transit Aliran Ringan (LRT), yang boleh memuatkan lebih ramai penumpang berbanding kereta persendirian yang menyebabkan kesesakan.

Seperti juga dengan perkhidmatan feri, bas dan LRT dapat memberikan perkhidmatan antara pulau dan Seberang Perai, kata beliau.

"Paling penting, tumpuan mestilah diberikan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang. Ini lebih efisien, menjimatkan kos dan memelihara alam sekitar dalam usaha untuk membawa penumpang dari bahagian A ke bahagian B, terutama sekali dalam masa harga minyak yang mahal dan pemanasan global," katanya.

Sehubungan itu, RM4.3 bilion atau sebahagian daripadanya boleh digunakan untuk membiayai rangkaian pengangkutan yang lebih berkualiti yang memberikan perkhidmatan yang lebih efisien kepada penduduk Pulau Pinang.

Ia mungkin tidak sehebat Jambatan Kedua yang menjadi mercu tanda baru tetapi ia lebih mesra pengguna dan sudah tentu perkara inilah yang paling dikehendaki oleh penduduk, katanya.

PAS alu-alukan reformasi badan kehakiman

KENYATAAN PRESIDEN PAS

PAS mengalu-alukan perubahan sikap pihak kerajaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam semasa berucap dalam majlis Makan Malam Majlis Peguam Malaysia di Kuala Lumpur. Usaha pihak kerajaan untuk mengislah dan mereformasi institusi kehakiman serta memperbetulkan kelemahan dan kesilapan yang lampau sangat disambut baik.

PAS mengharap melalui usaha-usaha mereformasi institusi kehakiman ini kelak akan mengembalikan kewibawaan badan berkenaan serta memastikan badan ini nanti dipimpin dan diketuai oleh mereka yang benar-benar ikhlas dan berkelayakan menjalan dan mempertahankan keadilan yang sebenar.

Dalam pada itu PAS juga berharap agar perubahan juga turut akan berlaku dalam aspek-aspek lain termasuklah sistem pentadbiran kerajaan, sistem demokrasi, media dan lain-lain yang semuanya penting dalam menjamin sebuah negara yang benar-benar Merdeka dan demokratik. PAS akan terus memberikan sokongan terhadap apa sahaja usaha dan langkah baik seumpama ini.

Sementara itu PAS juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan rakan-rakannya yang telah dikembalikan kewibawaan mereka sebagai tokoh-tokoh kehakiman negara apabila kerajaan bersetuju membayar ex-gratia kepada keenam-enam mereka kerana dipecat secara zalim pada tahun 1988 dahulu.

Jasa dan sumbangan mereka ini sesungguhnya akan terpahat dalam sejarah kehakiman negara dan pasti akan menjadi contoh kepada semua rakyat khasnya para hakim, sebagai bukti betapa kebenaran dan keadilan perlu dipertahankan dalam apa keadaan sekalipun.

PAS merasakan pembayaran ex-gratia ini adalah isyarat betapa pihak kerajaan memikul beban kesalahan atas insiden pemecatan yang merupakan detik hitam dalam sejarah negara itu. PAS merasakan pihak kerajaan sepatutnya perlu bersedia memohon maaf secara terbuka kepada keenam-enam negarawan ini malahan Islam mengajar umatnya agar bersedia mengaku kesalahan dan memohon maaf apabila melakukan kesalahan. Sesungguhnya Allah swt memberikan ganjaran kepada mereka yang bertaubat dan mengakui kesilapan masing-masing

18 April, 2008

DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG
Presiden
Parti Islam Se Malaysia (PAS)

MB Pahang tidak perlukan liputan Utusan selepas ini

KUANTAN, 21 April: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub berkata, beliau tidak memerlukan sabarang liputan dari akhbar Utusan selepas ini.

Adnan berkata demikian dalam satu kenyataan bertulis beliau pada hari Sabtu lepas berikutan laporan Utusan Malaysia pada 19 April lepas bertajuk "Jawatan Exco gugur - MB'.

Penjelasan MB Pahang

1. Saya ingin membuat penjelasan mengenai tajuk berita dalam Utusan Malaysia 19 April 2008, hari Sabtu, muka surat tiga bertajuk Jawatan Exco Gugur - MB.

2. Tajuk berita dan isi berita dalam perenggan enam yang melaporkan "dan sebagai Menteri Besar, beliau (yakni Adnan) mempunyai hak mutlak melantik sesiapa sahaja" adalah salah, mengelirukan dan boleh melaga-lagakan Menteri Besar dengan Perdana Menteri dan di antara Menteri Besar dengan Sultan Pahang.

3. Berdasarkan kepada rakaman percakapan yang direkodkan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar dan ramai pemberita lain, saya tidak pernah menggunakan perkataan 'hak mutlak saya' dan tidak pernah mengatakan 'Datuk Maznah Mazlan digugurkan sebagai Exco'.

4. Hak mutlak atau prerogatif diberikan kepada Perdana Menteri dalam pemilihan anggota kabinetnya dengan menyembah nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.

5. Sultan Pahang mempunyai hak mutlak melantik Menteri Besar sebagaimana yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Pahang.

6. Mengenai pengisian jawatan yang dikosongkan oleh Maznah saya menyatakan, "Itu kita tunggu saya menyembah nasihat, menyembah maklum, mengadakan perbincangan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan juga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Pahang."

7. Saya ada menyatakan juga "kedudukan Maznah dengan sendirinya di Majlis Mesyuarat Kerajaan akan dikosongkan." Saya tidak pernah menyatakan Maznah akan digugurkan sebagai Exco sebagaimana yang dilaporkan.

8. Berita yang telah tersiar menggambarkan saya sebagai Menteri Besar tidak memahami kuasa dan prerogatif yang ada pada Perdana Menteri dan kuasa dan prerogatif yang ada pada Sultan Pahang, sedangkan pada hakikatnya saya amat memahami.

9. Saya ucapkan terima kasih kerana menyiarkan kenyataan saya ini yang sepatutnya tidak perlu berlaku jika Utusan lebih berhati-hati, beretika dan profesional dalam laporannya.

10. Saya tidak memerlukan sebarang liputan lagi oleh Utusan selepas ini.

ADNAN YAAKOB
MENTERI BESAR PAHANG
Bertarikh: 19 April 2008
Sabtu, 11.29 malam

Friday, April 18, 2008

Selain Umno, selamatkan juga Unitar

KUALA LUMPUR, 18 April: Selain menyelamatkan Umno yang sedang hendak karam, para pemimpin Umno juga diminta menyelamatkan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) yang mereka ambil alih dari KUB setahun lalu yang sedang menghadapapi malapetaka sekarang.
Rata-rata kakitangan Unitar tidak berpuashati dengan kedudukan mereka bahkan mereka terasa selesa dan aman berada di bawah pentadbiran lama dahulu berbanding dengan pentadbiran Umno sekarang.

Yayasan Tun Abdul Razak (Pintar) yang dimiliki oleh Umno telah mengambilalih Unitar dari KUB Mac 2007 lalu selepas 10 tahun ia beroperasi untuk dijadikan universiti Umno.

"Pada mulanya, kami cukup gembira dengan kehadiran pengurusan baru yang berjanji untuk membawa perubahan yang lebih baik kepada Unitar. Pengurusan baru kemudiannya telah membawa masuk orang-orang baru yang memegang jawatan tinggi.

"Namun setelah genap setahun Unitar di bawah engurusan baru dan setelah beberapa perubahan dilakukan, Unitar kni berada di dalam krisis," tulis seorang kakitangan Unitar kepada Siasah.

Kini, penyakit yang dihadapi Umno juga melanda Unitar.

"Namun budaya mereka sama sahaja. Apa yang hadapi Umno itulah yang dihadapi kami di Unitar," kata pensyarah kanan Unitar kepada Siasah.

Rasuah, penyalahgunaan kuasa, suka mempersalahkan orang lain, memperlekehkan kakitangan, membina kekayaan peribadi dan sebagainya yang berlaku dalam Umno dan telah dihukum rakyat dalam pilihan raya baru-baru ini kini sedang menjalar dalam Unitar.

"Kami tertanya-tanya, sampai bila pengurusan baru ining menyalahkan pihak lain selain daripada mereka sendiri," tulis kakitangan itu kepada Siasah.

Beliau membariskan beberapa gejala yang sedang berlaku dalam Unitar sekarang.

Pembelian bas tanpa prosedur, pengubahsuaian sebuah dapur yang melibatkan wang jutaan ringgit, kekurangan kemasukan pelajar, pembelian kereta mewah untuk pihak pengurusan atasan dan kebajikan kakitangan yang terbiar adalah antara tanda-tanda Unitar sedang ditimpa malapetaka, tulisnya.

Selepas Azreen, kita akan menjejak Sufiah pula - Husam

SEPANG, 18 April: "Selepas ini, kita akan mulakan misi menjejak dan menyelamatkan Sufiah pula," kata Datuk Husam Musa selepas berjaya membawa pulang adik Che Siti Nur Azreen Che Ishak, 13 tahun, dengan selamatnya selepas hilang lebih dari empat bulan.

Husam berkata demikian kepada wartawan yang bersama-sama beliau menunggu kepulangan Azreen yang hilang dari rumahnya di di Ladang Ulu Sawah, Rantau Negeri Sembilan Disember tahun lalu.

Azreen selamat dibawa pulang oleh bapanya, Che Ishak Che Kob dari Lombok, Mataran, Jakarta selepas beliau bersama dengan Koordinator Migrant Care, Alex Ong serta Adun Paroi, Taufek Abdul Ghani dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Mohd Omar ke sana 14 April lalu.

Mereka pergi ke sana dengan biayaan Kijang Care, badan bukan kerajaan yang dinaungi oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa di samping pembiayaan pribadi ahli rombongan.

Azreen dan rombongan selamat tiba di LCCT jam 9.00 malam tadi. Namun, untuk kepentingan masa depannya, wajah beliau tidak dibenarkan bapanya untuk dirakam para jurugambar yang menunggu kepulangannya.

Husam penuh keyakinan, jika ada kesungguhan Sufiah boleh diselamatkan.

Husam berkata, usaha untuk menjejak Azreen hanya berjalan selama empat hari sahaja selepas usaha itu digerakkan dengan bantuan aktivis Migrant Care di Indonesia.

"Jam 8.30 malam hari ke empat saya menerima panggilan dari Lombok, mereka sudah berputus asa dan keletihan untuk mencari Azreen lagi. Namun tepat jam 9.00 malam saya menerima berita gembira melalui SMS yang memaklumkan Azreen dijumpai," cerita Husam kepada wartawan.

Sehubungan itu, Husam mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan misi jejak kasih ini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada yang terlibat termasuk seorang penderma dari Australia yang menyumbangkan RM2,000 untuk membantu projek ini. Namun kita masih memerlukan bantuan kerana kita masih terhutang lagi kerana bayaran tiket pulang rombongan ini dibayar melalui kad kredit," kata beliau.

Sementara itu, Adun Paroi, Taufik Abdul Ghani yang turut serta dalam rombongan itu menceritakan pahit maung mereka memujuk keluarga Tony Wijaya @ Supardi yang didakwa membawa Azreen lari ke Indonesia.

"Perjalanan Azreen ke sana berlangsung selama 10 hari 10 malam untuk sampai ke Lombok. Kami juga pergi melalui tempat yang sama, cuma kami lebih cepat kerana menggunakan kapal terbang," kata Taufik, satu-satunya Adun PAS di Negeri Sembilan. Beliau menang dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Mohd Omar juga mencerita bagaimana mereka terpaksa memujuk keluarga Supardi yang dikampungnya dikenali sebagai Suparman ini.

Masing-masing menggunakan pendekatan saikologi bukan secara kasar, kata Zulkifli.

Pihaknya berkata, mereka mahu membawa pulang Azreen kerana ibunya tidak sihat manakala adiknya pula demam kerana rindukan Azreen.

"Kelurga Suparman pula berkata, mereka perlu Azreen untuk membantu keluarga mereka kerana mereka tidak ada anak perempuan," cerita Zulkifli.

Namun semuanya berakhir dengan baik apabila mereka mendapat bantuan seorang anggota Parlimen (Dewan Perwakilan Rakyat - DPR) Indonesia dari Parti Keadilan Sejahtera (PKS) yang kebetulan sedang bermesyuarat di sebuah hotel berdekatan.

"Cuma keluarga mereka meminta perkara ini diselesaikan dengan cara baik dan tidak ada saman menyaman selepas ini," kata beliau.

Ke mana selepas ini

Husam berkata, beliau akan menjadikan Azreen sebagai anak angkat beliau dan akan berusaha untuk membina hidup dan masa depannya.

"Selepas bapanya menemui Azreen, agak sukar untuk memberikan keyakinan kepada Azreen untuk pulang. Saya telah memujukkan dengan menghantar surat dan coklat untuk membolehkan beliau ada keyakinan untuk pulang ke pangkuan keluarganya. Jadi kita tidak akan abaikan kebajikan Azreen selepas ini," katanya kepada wartawan.

Azreen selamat pulang

KUALA LUMPUR, 18 April: Adik Che Siti Nur Azreen Che Ishak, 13 tahun, selamat tiba di lapangan terbang LCCT, Sepang jam 9.30 malam tadi selepas hilang sejak Disember tahun lalu.

Beliau pulang bersama bapanya, Che Ishak Che Kob, yang ke Indonesia 14 April lepas bersama Koordinator Migrant Care, Alex Ong, Adun Paroi Taufik Abdul Ghani dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Mohd Omar.

Ketibaan mereka disambut oleh penaung Kijang Care, Datuk Husam Musa yang membiayai misi menjejak Azreen sehingga ditemui di Lombok, Indonesia minggu lalu dengan bantuan orang ramai.

Suasana di LCCT agak kecoh apabila keluarga Azreen enggan membenarkan gambar Azreen diambil oleh para jurugambar yang menunggu beliau di LCCT itu.

"Anak ini masih dibawah umur dan kita tidak perlu memberikan tekanan kepada beliau," kata Husam kepada para wartawan.

Wednesday, April 16, 2008

Azreen sudah dibawa ke hotel sebelum pulang

JAKARTA, 16 April: Pasukan jejak kasih Cik Siti Nor Azreen berjaya membawa pulang remaja itu ke bilik hotel penginapan mereka dan sedang dalam proses menyiapkan dokumentasi perjalanan untuk membawa remaja itu pulang ke Malaysia.

Demikian SMS yang dikirimkan oleh Koordinator Migran Care Alex Ong kepada Siasah, yang mengetuai pasukan itu ke Lombok, Indonesia bagi mempertemukan bapa gadis itu, Che Ishak Che Kob, dengan anaknya yang hilang sejak beberapa bula lalu.

Misi yang sebahagian besarnya dibiayai Kijang Care, sebuah NGO yang dinaungi Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa itu turut disertai oleh Adun Paroi, Taufek Abdul Ghani dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Mohd Omar.

Mereka berlepas 14 April lepas dari KLIA menaiki pesawat Garuda.

Mereka bertemu dengan Azreen di pusat kebajikan Lombok. Pasukan itu turut bertemu dengan lelaki yang dikatakan membawa lari Azreen ke Indonesia dari rumahnya di Negeri Sembilan.

Azreen, yang hilang sejak Aidiladha lalu dipercayai menjadi mangsa pukau seorang lelaki warga Indonesia yang juga jirannya ditemui semula di Desa Terentem, Dusun Kabar, Lombok Timur, Indonesia, Jumaat lalu.

Che Ishak, ayah Azreen, yang berasal dari Kelantan dan kini menetap di Ladang Ulu Sawah, Kuala Sawah, Rantau dekat sini, berkata beliau diberitahu Migrant Care sebuah organisasi sukarela yang bertanggungjawab mengenai buruh Indonesia bahawa anaknya sudah ditemui.

"Abdullah yang tidak cukup 30% pencalonan"

KUALA LUMPUR, 16 April: Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kini menghadapi dilema besar dan besar kemungkinan beliau terpaksa meletakkan jawatan menjelang pemilihan Umno akan datang ini.

"Pak Lah kini hadapi dilema apabila beliau sendiri dikatakan bakal tidak akan cukup 30 peratus pencalonan untuk bertanding jawatan presiden," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar berdasarkan cakap-cakap yang beliau dengar dari para pemimpin Umno.

Oleh itu, katanya, cakap-cakap soal kouta pencalonan tidak relevan lagi dalam Umno sekarang.

Hari ini, 16 April, di perkarangan hotel Sheraton Subang, kain-kain rentang dinaikkan meminta Abdullah mengundurkan diri secara terhormat melalui peralihan kuasa dan tuntutan dibuat agar proses itu dipercepatkan.

Mereka menamakan Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Muhyidin Yasin sebagai pengganti Abdullah.

"Jika situasi ini berterusan, besar kemungkinan Pak Lah tidak akan mendapat pencalonan yang mencukupi untuk bertanding jawatan Presiden dan terpaksa berundur lebih awal," kata seorang wartawan yang membuat liputan pertemuan jawatankuasa Pengurusan Umno dengan pemimpin Umno Selangor itu.

Bagi Kamarudin, kesilapan besar Abdullah adalah apabila beliau meletakkan tarikh 2010 sebagai tarikh peralihan kuasa.

"Ini satu kesilapan besar dalam politik Umno. Ini satu signal yang sangat tidak baik dalam kepimpinan," kata beliau yang pernah menyertai parti itu sebelum ini.

Satu lagi kesilapan Abdullah adalah tidak memimpin sendiri misi bertemu dengan pemimpin Umno bawahan dan menyerahkannya kepada Najib. Padahal Najib pula adalah calon yang dikehendaki untuk melawan Abdullah sendiri, kata Kamarudin yang merupakan bekas pensyarah sains politik itu.

Nasib Abdullah dipercayai akan sama dengan Tun Ghafar Baba apabila penyandang jawatan Timbalan Presiden Umno itu terpaksa mengumumkan penarikan diri apabila pencalonan untuk Datuk Seri Anwar mendahului beliau dengan ketara hampir setiap berita mengenai pencalonan diumumkan oleh Berita Terkini TV3 pada waktu itu.

"Mungkin nasib Pak Lah akan sama dengan Ghafar, terpaksa menarik diri sebelum bertanding kerana kurang pencalonan," kata wartawan yang membuat liputan di hotel Sheraton Subang itu.

Tuesday, April 15, 2008

Angka cukup tetapi perlukan majoriti yang kuat - Anwar

KUALA LUMPUR, 15 April: "Kita bersedia dan sudah ada angka yang cukup tetapi kita mahu satu majoriti yang meyakinkan," kata pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang medianya berikutan pertanyaan wartawan apakah pihaknya mempunyai anggota Parlimen yang cukup untuk menyertainya dalam membentuk kerajaan baru di negara ini.

Anwar berkata demikian dalam sidang media selepas berucap di majlis memperingati tragedi 'Black 14' di padang Kelab Sultan Sulaiman, dekat Kampung Baru malam tadi.

Kata Anwar, penyertaan anggota Parlimen BN bersama beliau untuk membentuk kerajaan baru tidak akan menjanjikan wang ringgit atau jawatan tetapi untuk bersama-sama membina Malaysia yang baru.

Bagaimanapun, kata Anwar, beliau berjanji akan menaikkan royalti untuk petrol dan lain-lain royalti untuk keperluan pembangunan negeri Sabah dan Sarawak selepas ini jika pihaknya bersama Pakatan Rakyat berjaya memerintah negara.

Untuk itu, kata Anwar, beliau tidak tergesa-gesa untuk menubuhkan kerajaan itu.
"Kita sanggup menunggu walaupun ke pilihan raya umum akan datang untuk memenuhi agenda kita," kata beliau.

Lebih 10,000 sertai majlis peringatan Black 14 di Kg Baru






Monday, April 14, 2008

Pasukan jejak kasih Azreen berlepas ke Lombok

KLIA, 14 April: Pasukan jejak kasih yang dibiayai oleh Kijang Care berlepas ke Lombok Indonesia hari ini bagi menjejak adik Che Siti Nur Azreen, 13 yang hilang sejak Aidil Adha lalu dengan penerbangan Garuda.

Mereka akan berada di Indonesia sehingga 19 April untuk bertemu Azreen dan juga berbincang dengan pihak berkuasa Indonesia.

Rombongan yang diketuai Koordinator Migran Care, Alex Ong turut disertai anggota Dewan Undangan Negeri Paroi, Taufik Abdul Ghani dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Muhamad Omar bagi mengiringi bapa Azreen, Che Ishak Che Kob.

Kijang Care adalah badan bukan kerajaan yang dinaungi Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa manakala Migran Care adalah sebuah NGO yang menjaga kebajikan rakyat Indonesia yang bekerja di negara ini.

Mereka akan menuju ke Lombok di mana Azreen telah ditemui dan kini berada di bawah jagaan pihak kebajikan masyarakat di sana.

Azreen, yang hilang sejak Aidiladha lalu dipercayai menjadi mangsa pukau seorang lelaki warga Indonesia yang juga jirannya ditemui semula di Desa Terentem, Dusun Kabar, Lombok Timur, Indonesia, Jumaat lalu.

Che Ishak yang berasal dari Kelantan dan kini menetap di Ladang Ulu Sawah, Kuala Sawah, Rantau dekat sini, berkata beliau diberitahu Migrant Care sebuah organisasi sukarela yang bertanggungjawab mengenai buruh Indonesia bahawa anaknya sudah ditemui.

Remaja itu kini dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan tidak cedera serta berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Sosial Lombok Timur, manakala lelaki 27 tahun yang melarikannya sudah ditahan pihak berkuasa tempatan.

Menurut Alex, oleh kerana program ini untuk melahirkan masyarakat penyayang, Menteri Besar, Datuk Seri Muhamad Hassan dan anggota parlimen Rembau, Khairy Jamaludin dijemput untuk bekerjasama.

"Namun Khairy tidak ada respon manakala wakil MB marah kepada kami kerana campur tangan," kata Alex kepada Siasah.

Padahal, bapa kepada Azreen telah membawa perkara ini kepada Adunnya dan juga pejabat MB sebelum pilihan raya lalu.

Peralihan dari pemimpin kepada jeneral yang kalah perang

KUALA LUMPUR, 14 April: Jika benarlah jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno akan bertukar dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak bermakna, BN yang kalah teruk baru-baru ini akan dipimpin oleh pengarah pilihan raya yang membawa kekalahan kepada BN dalam pilihan raya itu.

Ini kerana, dalam pilihan raya ke 12 baru-baru ini, Najib adalah Pengarah Pilihan Raya BN manakala Abdullah adalah Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Pengarah pilihan raya umpama jeneral yang memimpin peperangan dan kalah manakala Perdana Menteri yang memimpin negara dipersalahkan.

Desakan demi desakan di terima oleh Abdullah kini agar berundur. Kali ini ia dibuat dengan nama yang lebih lembut "pelan peralihan kuasa" yang nampaknya disokong oleh media BN sendiri.

Umno Johor dan Kedah nampaknya paling lantang membuat cadangan ini.

Ketua Penerangan Umno Johor, Dr Ahmad Puad Zarkashi bahkan meminta pelan ini dipercepatkan.

Tekanan agar Abdullah berundur ini umpama pemaksaan penyerahan kuasa dari Perdana Menteri yang memimpin negara kepada jeneral yang memimpin tentera dan kalah dalam peperangan yang dihadapi.

Saturday, April 12, 2008

Kerajaan dicadangkan gunakan gas sepenuhnya untuk kenderaan

Oleh: Hamdan Salleh

KUALA LUMPUR, 12 April: Kerajaan dicadangkan supaya memperluaskan penggunaan gas untuk kenderaan bagi menggantikan petrol bagi mengurangkan kos penggunaan bahan api untuk kenderaan di negara ini.
Bahkan cadangan ini telah dikemukakan kepada kerajaan sejak tahun 2004 lagi bagi mengurangkan bebanan kenaikan harga minyak di pasaran dunia.

Demikian kata Abdul Razak Kassim, Timbalan Presiden Global CNG Sdn Bhd dalam satu sidang media dekat sini.

Global CNG, katanya, telah mencadangkan kepada kerajaan untuk mengunakan sistem ini sejak tahun 2004 lagi dengan mengadakan 600 buah stesen gas baru di seluruh negara secara berperingkat.

“Projek penggunaan gas pada kenderaan ini perlu demi untuk meringankan kos pengunaan petrol dan diesel selain daripada kawalan harga minyak dan kerajaan tidak akan mengalami sebarang kerugian dan tidak lagi memerlukan subsidi petrol,” katanya.

“Pemilik kenderaan hanya perlu membayar RM2800 sahaja untuk membolehkan kenderaan mereka menggunakan CNG ini dan kerajaan pula mampu menyediakan perkhidmatan ini berdasarkan kepada jumlah subsidi yang telah kerajaan lakukan selama ini kepada rakyat,” jelas Abdul Razak lagi.

Dengan adanya sistem teknologi baru yang berasal dari negara Itali, serta alat ganti pengubahsuaian ini yang berasal dari negara Korea ini maka kerajaan juga akan mendapat banyak keuntungan dan penjimatan yang bernilai berbillion ringgit di masa hadapan.

Katanya lagi, saranan yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguan, Datuk Shahril Abdul Samad, jelas sekali menyokong usaha untuk meringankan bebanan petrol yang di alami oleh rakyat.

Pencemaran babi: Sistem tertutup dan moden adalah penyelesaian

KUALA LUMPUR, 12 April: Kerajaan Selangor dipuji kerana berani menyelesaikan isu penternakan babi di negeri itu secara yang terbuka. Ini kerana sistem penternakan secara berpusat, tertutup dan moden adalah penyelesaian terbaik, kata anggota Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS berkata, sudah sampai masanya isu babi ini diselesaikan melalui pendekatan good governance (pengurusan yang baik) dari membiarkan ia terus mencemarkan alam sekitar di negeri ini.

"Umno dan BN selama ini sedar masalah ini tetapi mereka penakut, play to the galary (ikut kehendak pihak terlibat) dan terikat dengan rasuah. Sebab itu ladang-ladang ternakan babi haram dan tidak terkawal ada di merata-rata tempat dan mencemarkan sungai dan pantai kita," kata beliau kepada Siasah.

Dzulkifli mengulas serangan media Umno terhadap cadangan kerajaan negeri Selangor untuk melaksanakan sistem ternakan babi secara moden yang tidak akan mencemarkan alam sekitar bagi menyelesaikan persoalan penternakan babi haram di negeri ini.

Kerajaan Selangor meluluskan cadangan kerajaan negeri sebelum ini untuk melaksanakan sistem penternakan babi secara moden yang dianggarkan bakal menelan belanja RM100 juta. Bagaimanapun segala perbelanjaan itu akan ditanggung oleh pelabur dan penternak babi yang terlibat.

"Sistem ini adalah jawapan kepada segala persoalan pencemaran dan bantahan penduduk terhadap kekotoran sungai dan pantai akibat najis babi di negeri ini sebagaimana dilaporkan oleh media Umno berkenaan," kata Dr Dzulkifli.

Dalam pada itu, katanya lagi, apa yang perlu dibuat oleh kerajaan Selangor sekarang adalah memastikan tempat penternakan moden ini biar sesuai dan mempunyai buffer zon (kawasan perantara) yang sesuai antara ladang dengan penempatan mereka.

Selepas dilaksanakan, beliau berkata, sistem penguatkuasaan pula mestilah cekap dan jangan sesekali terhalang oleh amalan rasuah yang membarah dalam kerajaan sebelum ini.

"Sistem best practise mestilah diamalkan dalam konteks ini," katanya.

"Orang memelihara anjing untuk menyalak pencuri. Tetapi jika pencuri itu adalah tuannya sendiri, sudah tentu anjing itu tidak menyalak," katanya lagi sebagai analogi yang nampak kasar tetapi itulah realitinya.

Sebab itulah, kata beliau, isu ini tidak selesai di Melaka dan Negeri Sembilan sebelum ini kerana mereka terikat dengan rasuah dan takut dengan sentimen tentang babi yang menjadi isu sensitif di kalangan orang Melayu.
Menurutnya, Islam jelas sekali memberikan hak untuk orang bukan Islam.

"Hak orang Cina untuk makan dan berniaga dengannya. Kita tidak boleh nafi hak mereka dan sebagai kerajaan ia mestilah dijaga. Kerajaan pula perlu memastikan hak penduduk iaitu melalui penempatan yang sesuai dan pastikan ia tidak tercemar. Saya rasa itu yang hendak dibuat oleh kerajaan Selangor melalui sistem moden ini. Lagipun, semua kosnya ditanggung oleh pelabur dan penternak itu sendiri bukan kerajaan," kata beliau.

Teknologi Jerman secara tertutup

Sementara itu, seorang penulis dalam laman web Tranungkite.net berkata, projek berteknologikan Jerman ini adalah satu sistem ternakan babi moden dan tertutup (closed system). Ini bermakna babi akan dipelihara di dalam tempat tertutup (lengkap dengan pendingin hawa) dan segala najis yang tercerna akan dikitar untuk pengeluaran gas (methane). Malah darah babi apabila disembelih pun akan menjadi sebahagian daripada kitaran ini.

Lantas tidak akan wujud lagi sebarang pencemaran (zero-pollution) akibat ternakan babi selepas ini. Pihak Jabatan Haiwan dan juga pegawai-pegawai kerajaan lain telah membuat kajian mendalam mengenai kesesuaian projek ini termasuk membuat lawatan ke Jerman untuk melihat sendiri bagaimana keberkesanannya.

Mereka begitu kagum dengan apa yang mereka lihat dan bersetuju melaksanakannya di Selangor, dan jika berjaya akan dikembangkan pula ke seluruh negara selepas ini.

Penulis ini mengetahui perkara ini kerana sistem ini ditawarkan oleh satu syarikat yang dimilki oleh seorang kawannya kepada kerajaan negeri Selangor sebelum ini.

"Seperkara lagi perlu disebutkan bahawa usaha ini adalah di bawah pembiayaan swasta. Kerajaan negeri hanya menyediakan tapak projek. Orang-orang bukan Islam perlukan daging babi sementara kita perlukan air yang bersih dan persekitaran yang nyaman. Bukankah projek ini satu kompromi yang amat hebat untuk rakyat negara ini?" tulis beliau dengan nama pena Iza.

Thursday, April 10, 2008

Presiden PAS beransur pulih

KUALA TERENGGANU, 10 April: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Zahirah (HSNZ) di sini pagi tadi telah menghubungi sendiri Setiausaha Agung PAS untuk memaklumkan beliau sihat selepas diserang angin ahmar yang ringan sahaja dan boleh berjalan seperti biasa.

Beliau dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas menunaikan solat subuh di rumahnya di Rusila pagi Khamis 9 April.

Menurut Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Roslan Shahir, Presiden PAS itu menghubungi sendiri Datuk Kamarudin Jaffar di pejabat agung PAS di hadapannya kira-kira jam 9.30 pagi dan bercakap sendiri dengan Kamarudin.

"Oleh itu, tidak perlu bimbang, dia sihat dan akan bertugas seperti biasa selepas berehat beberapa hari," katanya.
(Gambar: Para pemimpin PAS menziarahi Abdul Hadi di HSNZ Kuala Terengganu.)

Ternak babi secara moden: Sokong tetapi berhati-hati, kata pakar

Oleh Wartawan Siasah

KUALA LUMPUR, 10 April: Langkah kerajaan negeri Selangor untuk memusatkan penternakan babi disokong sepenuhnya oleh seorang pakar pengurusan penternakan babi dari Negeri Sembilan, namun beliau meminta mereka berhati-hati dalam melaksanakannya.

Yap Ah Ping, bekas Adun MCA dari Jimah, Negeri Sembilan (1974 - 1986) mempunyai pengalaman yang tersendiri dalam menguruskan penternakan babi. Namun pengalaman ngeri wabak JE yang melanda Bukit Pelanduk pada tahun 1999 sehingga mengorbankan 136 manusia masih segar dalam ingatan beliau.

"Semuanya bagi saya bermula dengan kerakusan manusia, masalah rasuah dan tamak haloba dalam melaksanakan sistem penternakan yang baik," kata Yap kepada Siasah.

Beliau mula menyedari masalah bakal dihadapi oleh rakyat Negeri Sembilan ekoran penternakan babi yang merata-rata tanpa mengikut peraturan alam sekitar yang baik sejak pertengahan 1980an lagi.

"Ekoran itu, saya bagi pihak kerajaan negeri Sembilan telah mengetuai satu jawatankuasa peringkat negeri dan berjaya membuat satu undang-undang bernama Enakmen Mengawal Pemeliharaan Babi 1980 iaitu undang-undang No 9, 1980.

"Ia bertujuan untuk mengumpulkan penternak babi dalam satu kawasan sahaja agar ia dapat dikawal dengan baik," kata Yap.

Melalui enakmen itu, kerajaan telah mengambil alih sebuah estet seluas 1520 ekar untuk dijadikan ladang babi berpusat ini. Tanah seluas 2045 ekar lagi milik penternak tradisional juga dimasuk ke kawasan ini.

Kawasan ini akan dijual semula mengikut keperluan setiap penternak iaitu tiga ekar setiap satu.

Inilah mulanya masalah apabila rasuah, tamak dan penyalahgunaan kuasa berlaku.

Laporan penuh dalam Siasah Ahad ini.

Wednesday, April 9, 2008

Kerjasama bidang penerangan, maklumat di lima negeri

KOTA BHARU, 8 April: Exco Penerangan Kelantan mencadangkan agar pertemuan segera diadakan di kalangan Exco Penerangan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Kelantan, Dr Mohd Fadzli Hassan berkata, kerjasama erat dalam bidang penerangan, sains dan teknologi akan diadakan di lima negeri bawah Pakatan.

Beliau berharap kewujudan negeri Pakatan memberi ruang lebih luas maklumat semasa yang berlaku di lima negeri diketengahkan kepada rakyat.

Selain itu, kerjasama erat dalam bidang penerangan, sains dan teknologi dapat dipertingkat bagi membolehkan maklumat semasa disampaikan segera kepada orang ramai di seluruh negara.

"Kelantan akan cuba merintis usaha ke arah itu dengan mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor dalam bidang tersebut.

"Kami bercadang mengadakan pertemuan dengan Exco Penerangan, Sains dan Teknologi di negeri-negeri terbabit dalam masa terdekat ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Sebelum ini maklumat mengenai parti-parti pembangkang banyak terhalang kerana disekat dengan pelbagai akta di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Akhbar alternatif termasuk Harakah, Siasah dan Suara Keadilan banyak terhalang dan tidak sampai ke bawah kerana sekatan-sekatan yang sengaja diwujudkan.

Di Kelantan sejak PAS mentadbir negeri ini pada akhir 1990 diwujudkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri bagi menerbitkan buletin, risalah, buku, VCD dan dokumen lain untuk disebarkan kepada rakyat.

Dr Fadzli berkata, pengalaman selama lebih 18 tahun PAS mentadbir Kelantan akan dikongsi bersama dengan rakan-rakan di negeri PR.

Katanya juga, Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri akan mempertingkat jenteranya bagi memastikan bahan-bahan penerbitan dan multimedia dikeluarkan sampai ke sasaran di seluruh negeri.

"Buletin yang ada sekarang juga akan diperkemaskan dari segi isi kandung dan persembahannya. Selain itu penerbitan VCD juga akan dipertingkatkan lagi," katanya.

Mufti Perlis terkejut, kenapa tiba-tiba sensitif dengan fitnah terhadap Islam

KUALA LUMPUR, 8 April: "Di Malaysia agak menarik, mereka yang sebelum ini tidak pernah sensitif dalam isu-isu yang seperti itu (filem fitna), tiba-tiba muncul mengangkat sepanduk bantahan di muka hadapan akhbar. Mungkin semangat baru telah muncul dalam diri masing-masing untuk membela Islam. Itulah yang kita harapkan.

"Atau, sebagai salah satu ubat yang cuba ditelan bagi memulihkan diri akibat hentakan demam pilihan raya yang ramai belum dapat ‘kebah’."

Demikian tulis Mufti Perlis, Dr Mohamad Asri Zainal Abidin dalam laman webnya, drmaza.com.
Beliau dipercayai mengulas langkah Pemuda Umno yang membuat demonstrasi membantah filem 'fitna' yang diterbitkan oleh seorang ahli politik ektremis kanan Belanda, Geert Wilders (gambar).

"Namun, seperti biasa saya ingin mengajak kita melihat isu ini dari sudut-sudut yang lain juga. Kita perlu jelas, bahawa apa yang kita bantah bukanlah hak untuk individu atau syarikat menerbitkan sesebuah filem. Kita percaya kepada hak dan kebebasan yang dimiliki oleh individu, atau syarikat atau negara dalam batasan yang wajar.

"Sebenarnya, yang kita marah adalah pembohongan, pengkhianatan dan penyelewengan fakta. Itu yang dibantah oleh kita. Sama seperti seseorang yang menggunakan haknya untuk mendengar radio, namun dia telah menguatkan suara sehingga mengganggu jiran tetangga. Maka anak kecil yang sedang tidur menangis, ibunya terjaga, yang sedang membaca terganggu dan sedang berehat sesak pendengaran. Lalu mereka membantahnya," tulis Asri lagi.

Laporan Utusan buktikan perlunya ladang ternakan babi moden

KUALA LUMPUR, 9 April: Tanpa perlu menjawab apa-apa, rakyat negara ini faham kenapa kawasan penternakan babi secara moden di perlukan di negara ini khasnya di Selangor. Ianya disahkan sendiri oleh laporan Utusan Malaysia hari ini.

Laporan Utusan mengesahkan penternakan babi yang dibuat di merata-rata tempat dan mengalirkan najisnya ke sungai dan laut selama ini sangat tidak baik kepada orang awam khasnya umat Islam.

Ia perlu dikawal di samping hak orang bukan Islam khasnya Cina untuk memakannya tidak boleh disekat sama sekali.

Itulah penyelesaian yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor iaitu penternakan babi secara moden untuk mengawal pencemaran.

Siasah akan membuat laporan penuh mengenainya Ahad ini.


Ternakan babi moden untuk kawalan pencemaran

SHAH ALAM, 9 April: Ladang ternakan babi moden diKuala Langat telah diluluskan oleh Mesyuarat Exco kerajaan negeri Selangor pimpinan Datuk Seri Dr Khir Toyo pada 30 Januari 2008 dan ia diluluskan oleh kerajaan Pakatan di Selangor pada 2 April untuk mengawal pencemaran yang boleh terhasil dari ternakan itu.

“Kami merasakan wajar meneruskan projek tersebut dengan memantapkan lagi proses pelaksanaan memandangkan kawasan tersebut sememangnya sudah menjadi tapak ladang babi utama di negeri Selangor dan ia memenuhi piawaian kualiti yang tinggi selaras dengan kehendak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kerajaan Negeri Selangor,” kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid IBrahim.

Berikut kenyataan penuh Khalid:

Kerajaan Negeri Selangor berharap pihak yang begitu prihatin tentang kelulusan Projek Ternakan Babi Moden di Selangor memeriksa fakta mereka terlebih dahulu.

Projek di Ladang Tumbuk, Mukim Batu Kuala Langat ini telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri dibawah Barisan Nasional dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipimpin YB Dato' Seri Dr. Khir Toyo pada 30 Januari 2008.

Dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2 April 2008, Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang baru merasakan wajar meneruskan projek tersebut dengan memantapkan lagi proses pelaksanaan memandangkan kawasan tersebut sememangnya sudah menjadi tapak ladang babi utama di negeri Selangor dan ia memenuhi piawaian kualiti yang tinggi selaras dengan kehendak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kerajaan Negeri Selangor.

Sebarang bahan buangan dari ladang tersebut akan diguna semula dalam bentuk biogas untuk menjanakan elektrik, air untuk pembersihan ladang serta penanaman makanan untuk babi yang diternak. Justeru, tiada bahan buangan yang akan menjadi sisa dan keluar dari kawasan ladang tersebut.

Pada masa yang sama, menerusi projek ini, tiada ladang-ladang khinzir baru akan diluluskan di negeri Selangor dan semua ladang babi di luar kawasan ini dikehendaki memindahkan operasi mereka ke Projek Modern Pig Farming.

Ini sejajar dengan dasar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani agar sebarang usaha penternakan babi dilakukan di satu tempat untuk memudahkan kawalan dan penyeliaan bagi pihak berkuasa.

Kerajaan Negeri juga berhasrat memperkenalkan dasar 'one stop' yang sama bagi penternakan yang lain bagi menjadikan industri penternakan lebih efisyen dan dapat diteruskan di sebalik kemajuan pesat Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor yang baru di bawah Pakatan Rakyat antara Keadilan, PAS dan DAP berhasrat menyelesaikan masalah perniagaan, sosial dan budaya masyarakat pelbagai kaum dengan meluluskan projek ini dan melaksanakan dengan adil dan saksama dengan mengambilkira keharmonian hidup berbilang kaum di Selangor.

Monday, April 7, 2008

Low profile: Pendekatan Azizan terbukti berjaya

ALOR SETAR, 7 April: Pendekatan yang diambil oleh Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak semasa pra-pilihan raya ke - 12 iaitu 'low profile' terbukti mendatangkan hasil.

Ini diakui dalam pertemuan antara wakil Siasah dengan Ustaz Azizan yang kini Menteri Besar Kedah dipejabatnya dekat sini semalam.

Dalam pertemuan itu, Azizan bertanya kenapa sekarang Siasah dan beberapa media PAS mahu menemuramah beliau, sedangkan sebelum ini tidak ada.

Wakil Siasah memperingatkan, sebelum ini beliau sendiri telah meminta media jangan terlalu perbesarkan cerita dan aktiviti PAS di Kedah untuk tidak 'mengejutkan harimau yang sedang tidur'.

"Terbukti sekarang, strategi ustaz itu berjaya," kata wakil Siasah kepada MB Kedah yang baru itu.

Sebelum ini, Azizan menyifatkan Umno kuat di Kedah tetapi mereka dalam keadaan leka ketika itu

Ekoran pandangan strategi Azizan itu, hampir kesemua media pro PAS dan beberapa media bebas lagi tidak berapa memberikan liputan kegiatan PAS di Kedah.

Pada 8 Mac lalu, strategi Pesuruhjaya PAS Kedah itu terbukti berjaya apabila PAS dan PKR berjaya menumpas BN di Kedah dan membentuk kerajaan bersama.

Padahal, negeri yang mendapat fokus utama media dan Siasah sendiri, Terengganu misalnya, gagal dimenangi PAS dan rakan-rakannya.

Laporan penuh wawancara khas dengan MB Kedah dalam Siasah Ahad ini.

10 Adun masuk ke rumah MB hari ini

KUALA TERENGGANU, 7 April: 10 Adun dilihat memasuki rumah rasmi MB Terengganu, Sri Iman semalam, lapor laman web yang berpangkalan di Terengganu, Buletinonline.net.

Kesemua mereka dipercayai bakal dilantik sebagai Exco kerajaan negeri yang baru di bawah pimpinan Datuk Ahmad Said.

Mereka adalah:

1) Mohamad Awang Tera (Chukai)

2) Dr. Abd Rahman Mokhtar (Kuala Besut)

3) Khazan Che Mat (Batu Rakit)

4) Asha’ari Idris (Langkap)

5) Abdul Rahin Mohd Said (Teluk Pasu)

6) Ahmad Razif Abd. Rahman (Seberang Takir)

7) Toh Chin Yaw (Bandar) 8) Za'abar Mohamed Adib (Rantau Abang)

9) Yahya Khatib Mohamad (Pengkalan Berangan)

10) Rozi Mamat (Telemong)

Jika benar mereka dipilih bermakna, hanya tiga Exco di bawah Datuk Seri Idris Jusoh kekal iaitu Mohamad Awang Tera, Toh Chin Yaw dan Abdul Rahin Mohd Said.

Namun, sehingga berita ini ditulis, nama-nama Exco baru belum lagi diumumkan oleh Ahmad Said.

Friday, April 4, 2008

Umno serang PAS umpama perang salib di Kelantan

GUA MUSANG, 4 April: Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan cara serangan yang dibuat Umno terhadap PAS di Kelantan semacam 'perang salib' terhadap PAS.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Mesyuarat Agung Luar Biasa Umno Bahagian Gua Musang di Bukit Cekati dekat sini.

"Di Kelantan kita dengar bagaimana seorang calon parlimen yang dekat dengan kuasa atasan di Kuala Lumpur memaki-hamun dan menggunakan kata-kata biadab terhadap PAS, khususnya terhadap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menteri besar Kelantan.

"Bahkan seluruh jentera Umno digerakkan untuk melancarkan semacam ‘perang salib’ terhadap PAS, gayanya seperti perang yang dilakukan oleh Bush terhadap negara Islam," kata Ku Li.

Menurut Ku Li, dalam pilihan raya baru-baru ini, pengundi melihat PAS sebagai parti yang adil kepada semua kaum dan pemimpinnya tidak mengamalkan rasuah - berbeza dengan imej Umno yang dilihat mementingkan Melayu sahaja dan korup.

"Mereka berkata orang PAS takut kepada Tuhan; jadi mereka takut hendak bercakap bohong atau melakukan dosa kepada makhluk Allah, tidak kira bangsa dan agama. Mereka berkata, Tok Guru Nik Aziz jauh lebih baik, bersih dan amanah daripada kebanyakan pemimpin Umno Kelantan," katanya.

Tentang PKR pula, menurut tafsiran Ku Li, pengundi semua kaum melihat parti itu – termasuk orang Melayu generasi baru – sebagai parti yang dasarnya ialah keadilan kepada semua rakyat berdasarkan keadaan dan keperluan asas mereka.

Ku Li juga berkata, Umno umpama kapal yang sudah rosak dan hendak karam sekarang ini.

Nakhodanya pula, kata beliau, sering meninggalkan kapalnya dan menyerahkan kepada anak-anak kapal untuk mengendalikannya.

Abim dan Jim temui pemimpin PAS

KUALA LUMPUR, 4 April: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan PAS dalam menjalankan kegiatan belia untuk kepentingan Islam di negara ini.

Perkara ini dinyatakan rombongan Abim yang diketuai Presidennya, Yusri Muhamad dalam kunjungan hormat mereka menemui pemimpin PAS Isnin lepas.

Rombongan Abim telah menemui pimpinan PAS di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pagi Isnin lepas.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menyambut dan mengadakan perbincangan dengan pertubuhan belia Islam yang berpengaruh itu.

Pada sebelah petangnya, rombongan Jamaah Islah Malaysia (Jim) pula telah menemui pemimpin PAS di tempat yang sama.

Robongan Jim diketuai sendiri oleh presidennya, Zaid Kamarudin.

(Gambar: Abdul Hadi berbincang dengan Zaid sebelum mesyuarat bersama bermula.)

"Kita jumpa di mahkamah"

KUALA LUMPUR, 4 April: Siasah mempertahankan laporannya bertajuk "Rekod Tg Adnan" dan bersedia untuk berjumpa dengan Setiausaha Agung Umno itu di mahkamah jika terpaksa berbuat demikian.

Demikian kata jurucakap Siasah ketika mengulas surat saman yang dikemukakan oleh peguam Datuk Seri Tengku Adnan Mansur, Satha & Co kepada Siasah Rabu, 2 April lepas.


"Kami menyifatkan surat itu sebagai usaha untuk menggertak Siasah agar menarik balik laporan kami," kata jurucakap Siasah.


Siasah minggu lalu telah menyiarkan di muka depannya laporan bertajuk "Rekod Tg Adnan" yang melaporkan secara terperinci rekod-rekod perniagaan Setiausaha Agung Umno yang baru dilantik itu.


Ekoran itu, 3 hari selepas disiarkan, Tengku Adnan melalui peguamnya telah menghantar notis kepada Siasah agar menarik balik, memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi lagi tuduhan itu.


Surat itu memberikan masa selama 48 jam kepada Siasah untuk bertindak.

Amerika dan Israel akan serang Iran bulan ini?

WASINGTON, 4 April: Badan perisikan Rusia dan akhbar Arab Saudi melaporkan, Amerika dan Israel akan menyerang infrastruktor nukleur Iran dalam masa terdekat, katanya April ini juga.

Hasrat Amerika dan Israel ini semakin terserlah dengan tambahan dua armada kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat iaitu USS Stennis dan USS Eisinhower ke Teluk Parsi merupakan tambahan kepada kekuatan empat buah armada yang sudah bersedia kini iaitu USS Kitty Hawk, Ronald Reagen, Enterprise dan kapal pengangkut berkuasa nuklear Nimitz.

Malahan operasi-operasi sulit dan khas sudah pun bermula di sempadan-sempadan dan jauh ke dalam wilayah Iran. Dilaporkan di media bahawa Israel mendapatkan kebenaran untuk jet-jet pejuangnya melintasi ruang udara negara teluk berkenaan untuk menyerang inftrastruktur nuklear Iran juga hangat diperkatakan.

Yang kini menjadi tanda tanya ialah BILAKAH TARIKH SERANGAN AKAN DILAKUKAN?

Menurut satu laporan Sabtu lepas, para komander perang Amerika telah bersedia untuk menyerang wilayah Iran mulai awal April tetapi bilakah masa sebenar serangan hendak dibuat tertakluk kepada arahan dari pemimpin politik Amerika.

Khalid Ibrahim yang letak jawatan

KUALA LUMPUR, 4 April: MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim disebut-sebut akan meletakkan jawatannya sebagai anggota Parlimen Bandar Tun Razak bagi membolehkan Datuk Seri Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil di situ dan seterusnya memimpin Pakatan Rakyat secara rasmi.

Selepas menang, Anwar dijangka akan secara rasmi menjadi Pengerusi Pakatan Rakyat (ringkasnya Pakatan) yang telah dibentuk oleh PAS, PKR dan DAP baru-baru ini.


Anwar akan tamat tempoh sekatan aktif politiknya pada 15 April ini. Bagaimanapun, pilihan raya kecil hanya akan boleh diadakan selepas 8 Ogos 2008 iaitu enam bulan selepas pilihan raya umum ke 12 baru-baru ini.

Menjelang waktu itu, Anwar mempunyai beberapa cara untuk dilantik sebagai pemimpin negara termasuklah dilantik sebagai senator.

Laporan penuh Siasah Ahad ini.

Wednesday, April 2, 2008

Perak telah mulakan Pakatan sejak 8 Mac lalu

IPOH, 2 April: Perak adalah negeri yang boleh dikatakan memulakan Pakatan Rakyat (ringkasnya Pakatan) apabila perhubungan rasmi antara PAS dan DAP di samping PKR bermula sejak jam 12.00 tengah malam 8 Mac lalu, kata Menteri Besar Perak, Muhamad Nizar Jamaludin.

Nizar berkata demikian ketika mengulas pembentukan Pakatan Rakyat yang menggabungkan secara rasmi PAS, PKR dan DAP dalam satu badan rasmi 1 April lepas.

Ia diumumkan ketiga-tiga pemimpin parti itu iaitu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang selepas ketiga-tiganya bersama delegasi masing-masing mengadakan mesyuarat bersama.

Nizar percaya, penyokong, ahli dan pemimpin ketiga-tiga parti di Perak akan menyambut baik pembentukan Pakatan itu.

Menurutnya, sebaik sahaja keputusan pilihan raya dicapai pada 8 Mac lalu, PAS mula berhubung secara rasmi dengan DAP dan PKR bagi membentuk kerajaan campuran di Perak.

“Memang kami tidak sempat untuk mendapat pandangan atau nasihat dari Pusat kerana masa itu agak lewat dan masing-masing sibuk. Tetapi kini alhamdulillah, pakatan ini dirasmikan di peringkat pusat,” kata Nizar dalam wawancaranya dengan Siasah di pejabat beliau petang Rabu, 2 April.

(Laporan penuh dalam Siasah Ahad ini)

Perak perkenal enam pendedakatan baru

IPOH, 2 April: Kerajaan negeri Perak hari ini mengumumkan enam perkara baru yang akan dilaksanakan di negeri itu segera, kata Menteri Besarnya, Mohamad Nizar Jamaludin.

(Gambar…akibat kesibukan, Nizar (tengah) hanya sempat makan tengahari dengan nasi bungkus jam 4.00 petang di pejabatnya)

Enam perkara itu adalah:-

1) 1/3 dari anggota majlis kerajaan tempatannya akan dilantik di kalangan bukan anggota mana-mana parti politik.

2) Mengisytiharkan semua harta milik anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.

3) Memberikan kontrak secara tender terbuka dan keutamaan akan diberikan kepada rakyat negeri Perak.

4) Menubuhkan penal Lembaga Aduan Rakyat untuk mendengar aduan tentang pegawai kerajaan, wakil rakyat dan anggota Exco kerajaan negeri.

5) Menubuhkan badan audit luar untuk menilai semua badan-badan kerajaan negeri secara berkala.

6) Memberikan geran kekal untuk penduduk kampong tersusun dan kampong baru setelah tarafnya disah atau digezetkan oleh kerajaan dan penduduk berkenaan memenuhi syarat-syarat yang akan ditetapkan.

Perkara ini diumumkan oleh Nizar selepas mempengerusikan Taklimat Khas Exco kerajaan negeri di Pejabat Menteri Besar hari ini.

Taklimat ini adalah pra kepada mesyuarat pertama Exco kerajaan negeri yang akan berlangsung Rabu depan.

Siasah telah mengadakan wawancara khas dengan Nizar di pejabatnya selepas taklimat khas itu.
(gambar...Ketua Pengarang Siasah, Sayuti Omar dan Wartawan NST mewawancara Nizar di pejabatnya)

Wawancara penuh akan disiarkan Ahad ini.

Tuesday, April 1, 2008

PAS, PKR dan DAP bergabung dalam Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 1 April: Mesyuarat pemimpin tertinggi PKR, DAP dan PAS hari ini bersetuju menubuhkan Pakatan Rakyat yang menggabungkan ketiga-tiga parti itu dalam satu pakatan yang sama.

Bagaimanapun, penubuhan rasminya perlu disahkan oleh mesyuarat jawatankuasa pusat parti-parti berkenaan.

Demikian dakat de facto pemimpin pakatan baru itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Anwar itu turut dihadiri Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah serta delegasi masing-masing.

"Pakatan Rakyat berikrar akan memperjuangkan hak dan kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara. Dengan keputusan ini, bermakna kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor nanti akan dikenali sebagai kerajaan Pakatan Rakyat," jelas Anwar.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...