Friday, February 28, 2014

Pintasan Putrajaya lemahkan langkah Kajang

Upacara menandatangani memorandum persefahaman penstrukturan semula bekalan air Selangor antara Selangor dan Putrajaya 26 Februari lalu berlangsung dengan sangat sederhana tetapi jelas mesej politiknya.

Majlis yang sepatutnya tidak seberapa besar itu dihadiri sama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Majlis itu jelas menampakkan kejayaan Putrajaya dan Khalid memintas kemungkinan-kemungkinan yang bakal dicetuskan pihak lain sekiranya Khalid tidak lagi menjadi menteri besar.

Majlis yang dikatakan diadakan secara agak tergesa-gesa dan tanpa pengetahuan ramai sebelumnya segera mendapat respons arkitek langkah Kajang, Rafizi Ramli, mewakili kepimpinan PKR yang menunjukkan penentangan terhadap persetujuan itu.

Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin kemudian turut mempersoalkan tindakan Khalid itu, dengan mengaitkannya dengan kemungkinan kos air lebih tinggi dan dilakukan secara terburu-buru, walaupun dinyatakan dengan agak berlapik.

Persetujuan ini sebenarnya telah dicapai selepas rundingan Disember lalu, dan Khalid mengumumkannya Januari lalu. Tawaran kerajaan Selangor akhir tahun lalu pada mulanya tidak dipersetujui, yang kemudian membawa kepada persetujuan baharu, yang dipersetujui pentadbiran Khalid dan Putrajaya.

Satu lagi tawaran pengambilalihan melibatkan syarikat Gamuda Berhad, yang menawarkan pembelian aset air Selangor dengan nilai RM10.75 bilion.

Langkah Khalid ini segera mendapat perhatian seteru politik Anwar, Datuk Zaid Ibrahim yang mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merancang bertanding di Kajang dan menjadi menteri besar Selangor, mempunyai rancangan lain yang kini telah dipintas oleh Khalid dan Putrajaya.

Khalid turut membuat kenyataan yang hampir sama, dengan menyatakan ada pemimpin PKR yang mahu menetapkan harga lain bagi aset air Selangor.

Dalam kalangan Pakatan Rakyat terutama PKR, ramai tidak bersetuju dengan tindakan Khalid, kritikan terhadap menteri besar Selangor itu masih dilakukan dengan agak berhati-hati.

Wednesday, February 26, 2014

Kajang antara pemulihan MCA dan kebimbangan Umno

Oleh JOHARI M

Barisan Nasional telah memutuskan untuk meletakkan Datin Paduka Chew Mei Fun, naib presiden MCA bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, bersaing dengan nama-nama besar seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Zaid Ibrahim, yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding.

Jelas sekali apa yang menjadi penilaian utama BN dalam meletakkan calon MCA ialah harapan merebut undi kaum Cina yang merupakan sekitar 40 peratus pengundi di kawasan itu.

Perkiraan ini sekali pandang nampak seperti strategi yang baik, tetapi apabila dilihat dengan lebih mendalam mendedahkan kaum Cina di Kajang kepada satu dilema dan implikasi yang negatif.

Calon Dun Kajang sebelum ini ialah wakil Cina daripada PKR, yang telah meletak jawatan dan memberi laluan kepada Anwar, pemimpin Pakatan Rakyat berbangsa Melayu.

Pengundi Cina Kajang dijangka memberi undi secara blok kepada Anwar, atas merit beliau sebagai pemimpin PR yang dilihat sebagai boleh memelihara kepentingan mereka tanpa mengira bangsa.

Calon daripada MCA dinilai mampu mencabar Anwar dan calon lain berdasarkan MCA yang telah agak pulih dan diharap mampu menarik kembali sokongan kaum Cina yang pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu meletak sepenuh harapan pada PR.

BN berharap perletakan jawatan wakil rakyat Kajang sebelum ini dan penyerahan kerusi itu kepada Anwar dilihat secara negatif oleh kaum Cina, dan akan membuat undi protes.

Sekiranya MCA menang, BN akan meraikan satu kejayaan yang mengejutkan dan menggembirakan, tetapi corak pengundian itu akan menunjukkan yang kaum Cina hanya mahu mengundi kaum mereka sendiri sahaja.

Hal yang sama juga sekiranya undi MCA meningkat dan majoriti kemenangan PR merosot berbanding PRU 13 yang lalu. Hakikat itu akan dapat dieksploit.


Perkiraan ini memberi gambaran tentang tanggapan BN terhadap pengundi Cina bukan sahaja di Kajang tetapi di seluruh negara, bahawa perkiraan kaum ialah yang paling penting.

Pilihan BN meletakkan calon daripada kaum Cina telah meletakkan pengundi Cina Kajang dalam persoalan yang boleh mencetuskan isu yang sukar kepada mereka.

Dalam persaingan di Kajang, Anwar nampaknya mempunyai kelebihan paling banyak, kerana sejak awal telah mengumumkan akan bertanding, tindakan yang menunjukkan kesungguhan dan tekad untuk mewakili rakyat Kajang.

Anwar turun bertemu orang ramai dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan berhubung masalah setempat dan nasional, menunjukkan kesungguhan beliau.

Kehadiran beliau di Kajang sejak awal juga memberi kelebihan kerana paling awal bertemu rakyat Kajang dan membina hubungan, pada masa BN lambat membuat keputusan dan pada satu ketika kelihatan ketiadaan calon yang mempunyai kualiti boleh menang hingga muncul cadangan meletakkan jaguh badminton nasional Lee Chong Wei.

Sebab BN tidak meletakkan calon Umno dijangka disebabkan perkiraan yang hampir sama, yakni kerana tidak yakin kaum Cina akan memberi sokongan kepada calon Umno.

Pengundi Melayu yang membentuk majoriti juga tidak diyakini dapat memberi undi kepada Umno, kerana sokongan kuat kepada PR yang telah menunjukkan kemampuan menggantikan BN sebagai kerajaan di Putrajaya.

Pada PRU 13, Umno dihukum kerana mengambil kerusi yang selama ini ditandingi oleh MCA. Umno nampaknya tidak mahu hal ini berulang di Kajang, dan mungkin melihat tidak ada calon Melayu Umno yang mampu berdepan dengan Anwar, terutama dalam merebut sokongan kaum Cina.

Pilihan raya kecil Kajang itu nanti akan menjadi satu referendum kepada sokongan kaum Cina kepada MCA dan BN, selepas hampir setahun PRU 13 berlalu. - Februari 21, 2014

Thursday, February 20, 2014

Krisis air dan krisis politik Selangor

Cuaca panas yang berpanjangan di negara ini mula menampakkan kesan politiknya apabila kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mula dilihat dijadikan sasaran untuk dipersalahkan.

Media elektronik dan media cetak yang pro-Barisan Nasional telah bersama mengangkat kemungkinan krisis air berlaku sekiranya cuaca panas berterusan dan bekalan air merosot.

Antaranya, laporan akhbar Umno, Berita Harian pada 14 Februari mengaitkan kemungkinan krisis air di Lembah Klang dengan apa yang dianggap sebagai kegagalan kerajaan negeri Selangor menyelesaikan isu pembinaan loji air baharu.

Akhbar Berita Harian di muka depannya memaparkan gambar air yang surut di sebuah ampangan dengan tajuk Akibat Degil: Lembah Klang Tidak Akan Berdepan Risik Catuan Air Jika Kerajaan Selangor Pimpinan PKR Benarkan Pembinaan Loji Langat 2.

Tindakan media Umno memainkan isu ini sejak awal lagi, sama ada krisis yang dijangka itu benar-benar akan berlaku atau tidak, memperlihatkan satu kempen terbaharu BN dalam usaha menjejaskan imej dan kredibiliti kerajaan negeri Selangor.

BN dan sekutu dilihat kecewa dengan pendirian kerajaan Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tidak sehaluan dengan pengurusan bekalan air negeri ini oleh syarikat konsesi.

Empat syarikat konsesi menguruskan bekalan air beroperasi di Selangor; Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd, dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash).

Hujung tahun 2013, kerajaan Selangor memutuskan untuk mengambil alih pengurusan empat syarikat tersebut, dengan membuat tawaran RM9.65 bilion bagi tujuan itu melalui cabang pelaburannya Kumpulan Darul Ehsan Berhad. Rancangan pengambilalihan itu walau bagaimanapun tidak berjaya dilaksanakan.

Menurut Abdul Khalid, kerajaan Selangor mahu mengambil alih syarikat konsesi air di Selangor kerana syarikat terbabit gagal memberikan perkhidmatan yang baik dan tarif yang berpatutan walaupun telah memperolehi keuntungan besar.

Walau bagaimanapun, Januari lalu, Abdul Khalid mengumumkan yang projek Loji Rawatan Air Langat 2 diteruskan semula selepas siri rundingan dengan Putrajaya, dan kerajaan Selangor bersetuju bekerjasama dengan kerajaan persekutuan mengambil alih syarikat konsesi air di Selangor, menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006.

Keputusan Abdul Khalid itu walau bagaimanapun tidak dipersetujui sepenuhnya dalam kalangan wakil-wakil rakyat PKR, dan dipercayai menjadi satu isu yang membawa kepada krisis politik dalaman Selangor masa kini.

Isu air Selangor menjadi isu yang banyak dipolitikkan di Selangor, dan dilihat berpotensi menggugat kedudukan pemerintahan PR menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Media BN memperlihatkan kerajaan PR Selangor sebagai tidak cekap menguruskan air hingga menyebabkan gangguan bekalan sering terjadi, tanpa memberi perhatian pada syarikat konsesi yang mempunyai hubungan baik dengan BN.

Sepanjang 2012, Selangor menyaksikan banyak gangguan bekalan air berlaku, dan perkembangan ini segera mencetuskan pertengkaran terbuka antara kerajaan negeri dengan syarikat konsesi Syabas.

Pada awal 2013, krisis air sekali lagi melanda Lembah Klang, yang dikatakan akibat kerosakan stesen pam. Krisis ini segera mendapat liputan meluas media pro-BN dan menjadi bahan kempen terbaharu terhadap Pakatan di Selangor.

Akhbar-akhbar meletakkan liputan isu krisis air itu di muka hadapan, dengan pertanggungjawaban dihalakan kepada kerajaan negeri Selangor.

Pada masa sama, Umno menggunakan krisis itu untuk kempen politik, termasuk melibatkan isteri perdana menteri, Datin Sri Rosmah Mansor memberikan bantuan bekalan air dalam botol kepada penduduk Lembah Klang.

Umno kelihatan cuba menyebarkan persepsi yang kerajaan negeri Selangor menangani isu air tersebut berdasarkan kepentingan politik, sedangkan Umno turun kepada rakyat dan memberikan bantuan.

Pilihan Raya Umum ke-13 yang dirasakan semakin hampir pada masa itu memanaskan lagi krisis air yang menjejaskan ribuan warga Selangor dan Kuala Lumpur itu.

Kali ini, BN telah memulakan tindakan preemtif dengan menghalakan perhatian kepada kerajaan PR Selangor, mengambil kesempatan daripada suasana cuaca panas yang melanda negara.

Sekiranya krisis air benar-benar terjadi, krisis tersebut boleh dijangka akan sekali lagi dimanipulasi untuk kepentingan politik BN, yang telah mula dapat diperhatikan dalam media tertentu.

Krisis terbaharu itu nanti bakal menjadi sangat sengit dan memberikan implikasi yang luas, memandangkan pada masa sama, Selangor juga sedang menyaksikan krisis politik dalaman. - Februari 14, 2014

Wednesday, February 19, 2014

Sarawak selepas Taib Mahmud

Pengunduran Tan Sri Taib Mahmud daripada kedudukan sebagai ketua menteri Sarawak yang dipegangnya selama 33 tahun telah mencetuskan isu politik dalaman negeri ini, berhubung penggantinya dan pengaruh Taib selepas ini.

Kedudukan Taib yang sangat lama sebagai ketua menteri telah mengukuhkan kedudukan beliau dan sekutu politik dan ekonominya, pada satu tahap yang hanya dapat diperhatikan di Sarawak.

Pemimpin selepas Taib dijangka tidak akan dapat mengatasi malah menyaingi pengaruhnya sebagai ketua menteri, dan kemungkinan akan terus dibayangi Taib dalam politik dan pentadbiran negeri Sarawak.

Malah, mungkin ada yang melihat kepentingan Taib masih kuat dalam usaha memastikan kestabilan di Sarawak, dan untuk mengelakkan persaingan kuasa yang boleh menjejaskan partinya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, PBB dan Barisan Nasional.

Pengaruh yang telah lama dibina bermakna penguasaan Taib dan sekutu yang kukuh dalam pelbagai ruang, dalam tempoh yang suasana politiknya jauh berbeza dengan sekarang dari sudut penguasaan parti pemerintah dominan.

Hari ini, selain pengganti yang tidak dapat menyamai kepimpinan Taib, suasana politik yang baharu menyaksikan parti-parti pembangkang termasuk daripada Pakatan Rakyat semakin mengukuhkan kedudukan di negeri ini.

Dalam Pilihan Raya Negeri ke-10 pada April 2011, BN memenangi 55 kerusi Dewan Undangan Negeri, daripada 71 kerusi, merosot daripada 62 kerusi dalam pilihan raya negeri sebelum itu.

Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mac tahun lalu pula menyaksikan BN menang 25 kerusi Parlimen daripada 31 kerusi, berbanding 31 dimenangi pada pilihan raya umum 2008.

Ini bermakna landskap politik Sarawak telah banyak berubah, malah Parti Keadilan Rakyat pada 2011 berkempen dengan menjanjikan pelantikan pemimpin parti itu, Baru Bian sebagai ketua menteri jika PR menguasai Sarawak.

Pada tahun-tahun akhir Taib sebagai ketua menteri, kempen untuk menjatuhkan beliau juga berjalan dengan rancak dari dalam dan luar negara, meningkatkan lagi tekanan ke atas Taib dan negeri kubu kuat BN itu.

Tetapi selepas dua pilihan raya itu, Sarawak kekal sebagai kubu kuat BN walaupun dengan kekuatan yang merosot, dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, PBB, yang bersifat Bumiputera Muslim kekal dominan dalam BN di Sarawak, dan bersama dengan Umno menjadikan BN hanya dikuasai parti Melayu.

Piliha raya 2011 telah mencatat rekod terbaharu Taib berjaya mempertahankan penguasaan BN di Sarawak, pada masa banyak pihak bercakap tentang keperluan peralihan kepimpinan negeri Sarawak.

Perkembangan itu menunjukkan satu perubahan besar yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini; peningkatan kepentingan Sarawak dalam politik nasional, terutama kepada parti-parti politik dominan yang asas kuasanya terletak di Semenanjung.

Menyedari kekuatan undi di Sarawak, PR menjadikan negeri ini sebagai sasaran perubahan besar-besaran untuk mengubah imbangan kuasa BN-PR, terutamanya memandangkan Sarawak memegang 31 kerusi Parlimen.

Sarawak dan juga Sabah mula menjadi perhatian khusus parti-parti pembangkang, terutama PR dan parti Kita untuk merebut bahagian lebih besar hasil pilihan raya, dengan tawar-menawar yang semakin seimbang.

Selama ini, Sarawak dan Sabah kelihatan sekadar dipergunakan untuk kepentingan agenda-agenda yang sering tidak sehaluan dan tidak meletakkan kepentingan rakyat dua negeri itu sebagai matlamat utama.

Tetapi, berbeza dengan Sabah, Sarawak terus dikuasai PBB sedangkan Sabah telah menjadi salah satu medan utama Umno dan mempunyai kedudukan istimewa dalam kepimpinan tertinggi parti itu.

Sarawak mahu mengekalkan kepentingannya, dan bukan sekadar menjadi sumber undi mudah kepada BN tanpa pulangan yang sewajarnya.

Perkembangan ini menunjukkan pengaruh PBB yang semakin kritikal kepada BN, yang masih mampu mempertahankan negeri bank undi gabungan parti pemerintah.

Hal ini menjadikan PBB menyedari kekuatannya dan dapat dijangka tidak akan dengan mudah mahu mengorbankan kedudukan dominan ini, kedudukan yang semakin jelas pada masa BN semakin tercabar oleh PR. - Februari 11, 2014

Saturday, February 1, 2014

Ke mana haluan konsensus nasional?

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13, Pakatan Rakyat terutama PKR pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggerakkan kempen protes terhadap Barisan Nasional, menampakkan perbezaan yang tidak dapat didamaikan.

Tetapi kebelakangan ini cakap-cakap tentang satu konsensus nasional semakin tersebar luas, dan mendapat sokongan kuat Anwar dan PR.

Cadangan ini turut diterima baik oleh BN, apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan minat terhadap dialog konsensus nasional ini.

Malah projek konsensus nasional ini turut disokong oleh Dr Mujahid Yusof, seorang ahli jawatankuasa pusat PAS dalam satu tulisannya, bertajuk Jalan ke Depan Bersama Konsensus Nasional yang disiarkan dalam portal Malaysian Insider, yang menunjukkan kecenderungan positif terhadap dialog ini, dan juga tindakan Anwar di Kajang.

Dialog ini disebut sebagai bertujuan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda rakyat pada masa ini, melibatkan pelbagai isu daripada hubungan antara kaum hingga ke harga barangan dan perkhidmatan.

Tetapi perkembangan ini tidak dapat mengelakkan daripada menampakkan sisi politik pragmatik kedua-dua pihak yang terlibat dalam rancangan ini.

Perbezaan yang kelihatan sebelum dan sejurus selepas PRU 13 menunjukkan yang tidak ada jalan lain bagi PR selain melawan habis-habisan pemerintah BN yang telah melakukan penipuan dalam pilihan raya, tetapi kebelakangan ini dapat diperhatikan kesungguhan untuk segera berdialog dan mencapai konsensus.

Perkembangan ini malah turut dikaitkan dengan projek gerakan Kajang, meletakkan Anwar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang dan menjadi menteri besar Selangor.

Kaitan antara kesungguhan untuk mengadakan dialog bagi mencapai konsensus nasional dengan gerakan Kajang dilihat sesetengah pihak, tetapi masih banyak mencetuskan spekulasi, terutama melibatkan rundingan antara Anwar dengan Najib.

Beberapa rundingan melibatkan dua pemimpin ini telah dilakukan sejak sebelum PRU 13 untuk mencapai penyelesaian politik.

Perkembangan terkini di Selangor tercetus ekoran percaturan PKR berhubung kedudukan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sering tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi parti.


 

Pilihan raya kecil Kajang dan masa depan Pakatan Rakyat

Perletakan jawatan wakil rakyat Kajang dan persetujuan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi itu menjadi berita paling mengejutkan dalam politik negara pada masa ini.

Perkembangan ini meletakkan PKR dan Pakatan Rakyat dalam keadaan defensif, kerana tindakan yang tidak dapat diberi justifikasi dan memberi gambaran kepentingan agenda peribadi dan kumpulan mengatasi kepentingan rakyat.

Banyak persoalan sukar timbul ekoran keputusan perletakan jawatan dan hasrat Anwar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, yang bakal membuka ruang kepadanya menjadi sebahagian kerajaan Selangor.

Sekurang-kurangnya tiga isu utama menjadikan episod terbaharu drama politik di Selangor ini menunjukkan kelemahan serius PKR terutamanya, dan juga PR dalam menangani persaingan kuasa di negeri ini.

Perletakan jawatan Lee Chin Cheh tanpa sebarang sebab yang dapat diterima ialah masalah pertama yang timbul, walaupun isu ini terus tenggelam disebabkan perkembangan selepas itu yang lebih menarik minat ramai.

Kedua ialah keperluan menukar menteri besar sedia ada kepada pemimpin lain, tanpa ada kesalahan atau isu-isu yang membolehkan tindakan ini diambil, dengan persetujuan parti-parti PR yang bersama membentuk kerajaan negeri.

Ketiga pemilihan Anwar, yang dilakukan dengan segera, untuk bertanding di kerusi Dun Kajang. Ini menimbulkan persoalan berhubung keperluan beliau bertanding dan berperanan dalam politik dan pentadbiran Selangor, pada masa sama beliau berperanan sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

Tiga isu ini, tidak dapat tidak menunjukkan ke arah politik peribadi dan kumpulan semata-mata, dengan mengabaikan kepentingan rakyat dan kerjasama politik parti-parti Pakatan.

Perkembangan ini kini menjadi ujian terbesar kepada PR, melibatkan integritinya sebagai sebuah gabungan yang selama ini mendakwa meletakkan kepentingan rakyat sebagai satu agenda utama perjuangan.

Perletakan jawatan seorang wakil rakyat yang telah dipilih tidak sepatutnya berlaku dengan begitu mudah, dengan matlamat membuka jalan kepada pemimpin lain untuk memposisikan diri dan mendapatkan kuasa.

Menteri besar, bukan sahaja di Selangor tetapi juga di negeri-negeri lain sentiasa terdedah kepada pelbagai cabaran dan kontroversi. Ada yang lebih melibatkan permainan politik dalaman dan antara parti, dan ada yang melibatkan hal pentadbiran.

Menteri besar sedia ada tidak menampakkan sebarang kelemahan yang serius hingga memerlukan beliau diganti, apatah lagi dengan segala drama permainan politik yang bertaraf rendah dan menjejaskan imej dan nama baik PR secara keseluruhan.

Ruang yang dibuka kepada Anwar pula menunjukkan dominasi seorang pemimpin yang berlebihan dan mencetuskan pelbagai konflik lain, kepada kerajaan negeri, partinya dan PR.

Apa pun kedudukan Anwar sekiranya menang nanti, beliau bakal membawa pengaruh yang besar disebabkan kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi PKR. Ini akan memberi kesan yang tidak sepatutnya sekiranya beliau dapat menjadi menteri besar, dan lebih buruk lagi sekiranya tidak.

Kerosakan telah berlaku akibat percaturan politik ini, yang terus dikecam bukan sahaja oleh pesaing politik tetapi juga rakan dan penyokong. Parti-parti komponen dalam PR, terutama PAS, perlu mengambil tindakan yang rasional dalam menangani kemelut ini.

Kekecohan yang dirasai pada masa ini, walaupun menggemparkan, mungkin hanyalah permulaan kepada satu kerumitan yang lebih panjang dan kompleks.

Kepentingan kerjasama politik dan menjaga hubungan sememangnya penting demi memastikan kelangsungan pakatan politik ini, tetapi tidaklah jauh lebih mengatasi kepentingan rakyat. - Januari 28, 2014
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...