Tuesday, November 27, 2012

Hamas, Iran dan politik baharu Palestin

Oleh HARIS ZALKAPLI

Perkembangan terkini dunia Arab telah menampakkan perubahan, melibatkan perubahan kepimpinan di beberapa negara dan perubahan pendekatan dan aliansi.

Hamas, kumpulan yang terpinggir di Gaza sejak kemenangannya dalam pilihan raya pada 2006 mendapat manfaat ekoran kebangkitan serantau, dan mula menyesuaikan diri menjadi lebih pragmatik.

Politik baharu Hamas dalam menyesuaikan diri dalam persaingan kuasa serantau kini sedang mengubah gerakan ini, yang perlu mengimbangi peranannya sebagai kerajaan dan gerakan penentangan yang dilabel pengganas oleh masyarakat antarabangsa dan persaingan dalaman menentukan hala tuju gerakan. 

Sejarah sejak 2006 menyaksikan Hamas berdepan situasi yang amat sukar, selepas kemenangan dalam satu pemilihan demokratik tidak mendapat respons sewajarnya daripada masyarakat dunia, yang sesetengahnya melihat peningkatan peranan Hamas akan menyukarkan lagi proses damai.

Dunia mengiktiraf Fatah sebagai wakil rakyat Palestin, walaupun, seperti dibuktikan dalam pilihan raya itu, tidak mendapat sokongan sebahagian besar rakyat Palestin seperti Hamas.

Hamas yang terus dipinggir, termasuk melalui sekatan bantuan itu walau bagaimanapun mendapat talian hayat apabila Iran bersetuju untuk memberi bantuan kewangan kepada kumpulan itu, yang telah berperanan sebagai kerajaan.

Tetapi bantuan Iran tidak membebaskan Hamas daripada peminggiran, dan nasib Hamas hanya kelihatan berubah ekoran usaha mengatur semula pakatan antara kuasa-kuasa di dunia Arab, yang bergerak selari dengan gelombang kebangkitan rakyat terbaharu.

Selepas kepimpinan politik Hamas, diketuai Khaled Meshaal meninggalkan Damsyik ekoran tekanan ke atas rejim Basyar al-Assad dan membina hubungan dengan Qatar, Hamas menampakkan perubahan haluan dengan lebih jelas, dan pada masa sama perbezaan pandangan dalaman mula kelihatan.

Meshaal meninggalkan Damsyik dan mula membina hubungan rapat dengan pemerintah Qatar, yang lebih berkemampuan dari segi kewangan.

Isu pemberontakan di Syria dan pakatan Syria dengan Iran dan kumpulan-kumpulan Islam di Syam yang telah dikemukakan sebagai satu persaingan didasari ideologi antara Sunni dengan Syiah turut meningkatkan lagi tekanan ke atas Hamas untuk mengubah pakatan.

Doha, bersama sekutu Arab dan Turki menyokong pemberontak Syria dalam satu usaha untuk melemahkan pakatan Iran-Syria.

Lawatan Emir Qatar ke Gaza pada Oktober lalu, menjanjikan bantuan AS$400 juta untuk membina semula kediaman dan infrastruktur yang musnah ekoran serangan Israel hampir empat tahun lalu dari satu sudut telah meningkatkan profil Hamas, meningkatkan posisi Hamas berbanding Fatah yang di samping mengikat lagi Hamas dengan Doha. 

Qatar berkepentingan dalam isu Palestin ekoran peranannya sebagai perantara antara Hamas dengan Fatah yang telah bermula sejak 2006 lagi, dan bantuan kepada Gaza boleh dilihat sebagai satu usaha untuk memenangi komitmen Hamas di Gaza untuk menerima pelan Doha.

Berdepan realiti politik baharu yang melanda rantau Asia Barat, kepimpinan Hamas diwakili Meshaal dan yang berpangkalan di Gaza diketuai Ismail Haniyeh telah mula menampakkan perbezaan pandangan berhubung pendekatan politik lebih awal, beberapa bulan sebelum pertemuan di Doha untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Fatah.

Kepimpinan di Gaza mahu meneruskan penentangan bersenjata, manakala Meshaal menampakkan kecenderungan lebih pragmatik dan mahu mengubah pendekatan menjadi lebih aman.

Haniyeh walau bagaimanapun turut kelihatan mengimbangi aliansi dengan dunia Arab, yang didominasi kerajaan monarki seperti Qatar dan Arab Saudi, apabila menyatakan sokongan kepada rakyat Syria, yang menandakan penolakan terhadap rejim Bashar al-Assad dan sokongan kepada pemberontak.

Haniyeh sebelum itu, pada bulan yang sama, Februari, melawat Iran dan menyertai sambutan ulangtahun Revolusi Islam republik itu.

Hamas juga dalam satu kenyataan Mac lalu, ketika perubahan haluan Hamas semakin jelas, menegaskan tidak akan membantu Iran dengan melakukan serangan ke atas Israel sekiranya Iran diserang.

Hubungan Iran dengan Hamas telah terjejas, sehingga Tehran menurut satu laporan telah menghentikan bantuan tahunan sebanyak AS$300 juta pada pertengahan Ogos 2011.

Selepas itu, Turki dilaporkan bersedia menggantikan bantuan yang dihentikan Iran itu, tetapi dinafikan oleh Ankara.

Apapun yang berlaku selepas ini, perkembangan semasa menjadikan sukar untuk Hamas membina kembali hubungan dengan Syria dan Iran.

Perkembangan ini bermakna Hamas telah menjarakkan diri dan memutuskan hubungan dengan pakatan dikenali "paksi penentangan" menggabungkan Iran, Syria dan gerakan-gerakan Islam di Palestin dan Lubnan, yang juga dikemukakan oleh rejim-rejim Arab sebagai satu pakatan Syiah.

Pada masa sama, Syria dan Iran pula mula meningkatkan sokongan kepada kumpulan lain termasuk Jihad Islami, yang bertempur dengan Israel pada Oktober tahun lalu dan terbaharu Mac lalu, ketika Hamas berusaha mengekalkan gencatan senjata dengan Israel.

Pemimpin Jihad Islami, dalam satu wawancara dengan Reuters selepas serangan Israel penghujung tahun lalu menyatakan kesediaan untuk berperang habis-habisan dengan Israel dan menyatakan penghargaan kepada Iran yang memberi bantuan. 

Dalam serangan terbaharu Israel ke atas Gaza, Jihad Islami sekali lagi menyatakan terima kasih kepada Iran yang memberi bantuan, termasuk membekalkan peluru berpandu Fajr-5.

Iran, dalam tindakan untuk memperlihatkan peranan dalam konflik terbaharu Gaza, secara terbuka menyatakan bertanggungjawab memberi bantuan kepada Hamas dan Jihad Islami.

Pada masa sama, suara konservatif di Iran mengkritik kuat Hamas kerana meninggalkan aliansi dengan Iran dan bersekutu dengan Qatar dan Turki, mengingatkan kepimpinan Hamas bahawa sejarah membuktikan bahawa Iran lebih membantu Hamas berbanding negara-negara serantau yang didekati gerakan itu pada masa ini.

Walau bagaimanapun, perbezaan antara faksi dalam Hamas terus kelihatan, dan ditandai dengan lebih jelas melalui operasi ketenteraan Israel ke atas Gaza yang baru berlalu, yang disifatkan sebagai menampakkan kemenangan kumpulan di Gaza yang komited terhadap penentangan bersenjata.

Perkembangan selepas ini, yang masih bergerak pantas ekoran perkembangan terkini melibatkan kuasa-kuasa serantau, bakal menampakkan dengan lebih jelas haluan Hamas selepas ini. 

Ini juga membuktikan yang kebangkitan rakyat di dunia Arab pada masa ini bukan sahaja melibatkan politik dalaman dan pendemokrasian, tetapi juga melibatkan persaingan antara kuasa-kuasa serantau yang sengit, yang sedang mengubah aturan kuasa di seluruh dunia Arab.

Friday, November 23, 2012

Persaingan Najib-Anwar ambil hati Obama, siapa menang?

Imej memainkan peranan yang sangat besar dalam politik, dalam usaha membina imej popular untuk meraih sokongan ramai.

Dalam dunia hari ini, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menjadi pemimpin berimej paling popular, dengan muncul bergaya di pelbagai jenis majalah termasuk majalah budaya popular terkenal dan diminati di seluruh dunia.

Imej ini memberi implikasi positif yang luas kepada AS, ekoran kemampuan seorang presiden memberi impresi baik hanya melalui imej dirinya.

Imej Obama ini mampu memberi kesan positif kepada mereka yang mendekati dan dilihat bersamanya, menjadikan peluang dilihat bersama presiden AS daripada Parti Demokratik itu sesuatu yang sangat dihargai oleh pemimpin seluruh dunia.

Di Malaysia, dua pemimpin utama kerajaan dan pembangkang, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersaing untuk mendapatkan kesan imej positif Obama, dan juga sokongan melibatkan politik.

Najib tidak melepaskan peluang untuk dilihat bersama Obama, dan hal ini sentiasa menjadi isu yang diangkat media pemerintah setiap kali Najib bertemu Obama.

Malah, gambar Najib sedang memegang gagang telefon dan dilaporkan sedang bercakap dengan Obama juga pernah diangkat oleh media pemerintah, dalam satu usaha yang kelihatan terdesak dan murahan untuk dilihat bersama Obama.

Kemuncak usaha Najib ini ialah pertemuan empat mata di Washington di sidang kemuncak isu nuklear dan pelancaran Gerakan Moderat Global yang sentiasa disesuaikan untuk menarik perhatian Obama.

Malah keputusan kes Anwar Januari lalu, yang terkait dengan kekangan terhadap homoseksualiti juga kelihatan mempunyai kaitan dengan usaha untuk tidak meletakkan Malaysia di posisi berseberangan dengan Obama, ekoran pengumuman sokongan Washington terhadap homoseksualiti di seluruh dunia.

Najib juga menunjukkan sikap selari dengan Washington di sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC, di Arab Saudi Ogos lalu dan kemudian tidak menghadiri sidang kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di Iran selepas itu.

Anwar, yang mengambil banyak pengajaran berhubung kempen politik dari AS, tidak ketinggalan dalam usaha menumpang imej Obama dan menarik perhatian pemimpin AS itu.

Kempen Anwar kini menampakkan hal ini; dengan bas dihiasi gambarnya seperti yang dilihat dalam kempen presiden di AS, dan gaya berceramah sambil berjalan yang menyerupai gaya Obama dan gaya ucapan dalam kempen pemilihan presiden.

Terbaharu, Anwar menulis sebuah artikel dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan di laman webnya - dan bukan di akhbar seperti The Wall Street Journal yang biasa menjadi amalan Anwar untuk mengiringi pertemuan berprofil tinggi seperti Forum Ekonomi Asia Pasifik - menjelang lawatan Obama ke Burma.

Anwar biasa menulis komentar-komentar seperti ini untuk mengiringi acara-acara penting serantau dan global, untuk pelbagai tujuan yang antaranya termasuk menarik perhatian dan sokongan.

Dalam tulisannya itu, Anwar memuji peribadi Obama sambil turut menyebut kekerasan yang dikenakan ke atas peserta protes menuntut pilihan raya bersih, dipercayai merujuk kepada protes Bersih di Malaysia.

Pemimpin PKR itu memilih penggunaan nama Burma dalam tulisan ini, selari dengan dasar kerajaan AS. Dalam satu kenyataan lain, mengulas isu Rohingya, Anwar menggunakan nama Myanmar dalam kedua-dua kenyataan bahasa Melayu dan Inggeris. 

Anwar turut menggesa pentadbiran Obama membina kumpulan masyarakat sivil dan pakatan pembangkang yang efektif di Burma, dan dibaca berdasarkan konteks tulisan ini, juga dapat dikaitkan dengan seluruh rantau Asia Tenggara.

Di penghujung tulisan, Anwar memuji Obama dengan menyifatkan rakyat AS telah memilih seorang pemimpin yang "berprinsip dan berintegriti."

Persaingan merapati Obama antara Najib dan Anwar ini ialah satu sisi persaingan yang tidak kurang sengit berbanding persaingan lain antara kedua-dua tokoh yang masing-masing mengetuai kerajaan dan pakatan pembangkang itu.

Usaha kedua-dua pemimpin lama-kelamaan semakin jelas kelihatan dan semakin menarik untuk diperhatikan.

Persaingan ini menegaskan lagi kepentingan imej, yang berperanan meningkatkan profil dan populariti di dalam dan luar negara, dan paling utama, membuktikan kekuatan imej Obama sebagai seorang pemimpin.


Thursday, November 22, 2012

Monarki Arab, antara ancaman Iran dan ancaman Ikhwan

Oleh HARIS ZALKAPLI

Sejak 1979, tahun berlaku revolusi di Iran, isu ancaman pengaruh Iran dan Syiah menjadi satu topik yang sering diulang-ulang setiap kali kedudukan rejim-rejim Arab berasa terancam.

Dari Mesir ke Syam hingga ke Teluk Parsi dan Yaman, ancaman Iran sebagai kuasa serantau sering dikemukakan.

Tehran didakwa menggunakan proksi-proksi di seluruh dunia Arab untuk memperluaskan pengaruh, dakwaan yang walaupun ada kebenarannya, biasanya diperbesarkan dan disertakan implikasi yang amat negatif.

Persaingan serantau Arab Saudi dan sekutu dengan pakatan diketuai Iran muncul dalam hampir semua perkembangan politik serantau. 

Walau bagaimanapun, dilihat dengan lebih teliti, perkembangan semasa, terutama ekoran tercetus kebangkitan yang mengubah landskap politik di Mesir, Ikhwan al-Muslimin kelihatan lebih mampu menggugat rejim-rejim Arab, termasuk monarki yang sehingga ini masih tidak tergugat.

Perkembangan terkini, yang menyaksikan Ikhwan dan kumpulan yang mempunyai hubungan dengan gerakan ini lebih pragmatik, meningkatkan lagi ruang dan peluang gerakan Ikhwan serantau untuk mengatur gerakan bagi mendapatkan kuasa politik.

Ikhwan terlibat langsung dengan politik dalaman, dan mampu menyesuaikan diri untuk mendapatkan bantuan asing termasuk kuasa-kuasa besar.

Nama Ikhwan al-Muslimin dibicarakan dengan meluas sekali sejak tercetus kebangkitan di dunia Arab hampir dua tahun lalu, terutama di Mesir, dan dilihat sebagai tidak boleh dielakkan daripada diterima sebagai sebahagian realiti baharu politik Asia Barat.

Mesir ialah negara dengan gerakan Ikhwan paling berjaya, paling mendapat perhatian dunia dan paling menampakkan perubahan untuk menyesuaikan diri dengan politik semasa.

Sejak tercetus kebangkitan rakyat di Tunisia penghujung 2010, seluruh dunia Arab merasakan bahangnya, tidak terkecuali monarki-monarki Arab di Teluk Parsi, dan juga Jordan dan Maghribi, dua negara yang terpisah daripada monarki Teluk Parsi hanya dari segi geografi.

Kepentingan yang selari antara Jordan dan Maghribi dengan Majlis Kerjasama Teluk, GCC, telah bukan sahaja merapatkan hubungan sesama negara terbabit, tetapi juga membuka ruang penyertaan kedua-dua negara itu dalam GCC.

Setakat ini, negara-negara monarki di Teluk Parsi masih terselamat daripada kebangkitan rakyat Arab yang telah menyaksikan perubahan di beberapa buah negara republik - dengan Ikhwan mengambil peranan yang besar - disebabkan keadaan sosio-ekonomi yang jauh lebih baik dan sumber kewangannya yang besar.

Tetapi, satu kenyataan oleh ketua polis Dubai pada Julai lalu mendedahkan satu ketakutan pemerintah-pemerintah Arab di Teluk Parsi, negara-negara monarki yang tidak demokratik.

Kenyataan ini diulangi lagi oleh pemerintah-pemerintah monarki terbabit, yang mendakwa Ikhwan mahu merampas kuasa secara haram. Ikhwan dilihat monarki Arab terbabit sebagai satu punca kekacauan di dunia Arab, pandangan yang muncul selepas hubungan negara-negara terbabit dengan Ikhwan merosot dan berada di tahap paling rendah ekoran kebangkitan Arab.

Ikhwan yang semakin berpengaruh dan terlibat dengan kebangkitan massa di seluruh dunia Arab dilihat sebagai ancaman oleh pemerintah serantau, lebih-lebih lagi monarki yang menolak sistem demokrasi untuk memilih pemimpin tertinggi negara, sistem yang diharapkan Ikhwan untuk merampas tampuk pemerintahan.

Dalam hal asas ini, Ikhwan dan pemerintah monarki Arab mengambil posisi yang bertentangan sama sekali.

Walau bagaimanapun, Ikhwan tidak boleh dilihat sebagai satu organisasi yang monolitik di seluruh dunia Arab. Ikhwan Mesir dan Ikhwan di negara monarki GCC dan Jordan mengambil pendekatan berbeza, dengan sesetengahnya menjalin hubungan baik dengan pemerintah.

Namun kejayaan parti Ikhwan, Parti Kebebasan dan Keadilan dan calonnya Mohamed Morsi sebagai presiden Mesir telah memberi semangat dan dorongan kepada Ikhwan di negara lain, terutama Syria yang untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim pemerintah negara itu.

Kemenangan yang menaikkan semangat Ikhwan di seluruh dunia Arab itu dilihat dengan penuh syak dan bimbang oleh monarki-monarki Arab di Teluk Parsi, dan mendorong Morsi mengimbangi tindakan dasar luarnya dengan berhati-hati, dalam usaha menjalankan dasar luar yang lebih bebas.

Morsi telah melakukan lawatan luar pertamanya sebagai presiden ke Arab Saudi, untuk tidak menampakkan Kaherah masih berhubungan baik dengan Riyadh.

Tetapi perkembangan terbaharu menyaksikan Ikhwan di Jordan mengambil kesempatan daripada situasi ekonomi dan politik di negara itu, termasuk mengetuai protes massa menunjukkan penentangan terhadap raja Jordan.

Di Arab Saudi, Ikhwan yang menyaksikan hubungan turun naik dengan pemerintah menunjukkan penentangan terhadap pemerintah secara bermusim, dan tidak mempunyai keupayaan dan sokongan massa yang cukup kuat untuk memberi penentangan seperti yang dilihat di Mesir.

Qatar, negara yang aktif menggerakkan agenda serantaunya kini pula menjalinkan hubungan baik dengan Ikhwan, di dalam negara dan di seluruh rantau Arab, sehingga membolehkan Ikhwan dipergunakan untuk kepentingan politik serantau Doha.

Stesen televisyen al-Jazeera dan ilmuan Dr Yusuf al-Qaradawi yang berpangkalan di Qatar telah memainkan peranan yang membantu peningkatan pengaruh Ikhwan di Mesir, memperlihatkan satu kejayaan besar dalam pelaksanaan dasar luar Doha.

Dalam hal ini, Qatar memperlihatkan perbezaan dengan monarki GCC lain, disebabkan dasar luarnya yang lebih pragmatik dan agresif pada masa ini, di samping dana yang cukup besar untuk menggerakkan agendanya, seperti yang diperhatikan melalui bantuan kepada pemberontak Libya dan kemudian Syria.

Hal ini menjelaskan sokongan kuat pemerintah Qatar kepada pemberontak Syria, yang didominasi tokoh Ikhwan negara itu.

Seperti juga Mesir, Ikhwan di Syria dijangka bakal memainkan peranan penting, kalau pun bukan paling utama, dalam politik Syria selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad.

Dalam sejarah, hubungan terkini Ikhwan dengan rejim Qatar pada masa ini hampir menyerupai peranan Ikhwan menentang gerakan pan-Arabisme Jamal Abdul Nasser dengan sokongan Arab Saudi pada 1950-an.

Perkembangan ini menunjukkan pengaruh meningkat Ikhwan di dunia Arab sekarang ini, tetapi menunjukkan juga hubungan Ikhwan dengan kerajaan-kerajaan Arab yang boleh berubah mengikut kepentingan semasa.


Monday, November 19, 2012

PAS perlu henti dakwa DAP terima hudud

Dalam satu tindakan yang dilihat sebagai usaha menunjukkan satu bentuk kejayaan dalam kerjasama dengan sekutu Pakatan Rakyat, PAS telah beberapa kali mendakwa DAP telah mula lunak terhadap pelaksanaan hukum hudud.

Terkini, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib ketika muktamar parti di Kota Bharu, Kelantan membuat dakwaan yang hampir sama, dan segera disusuli penafian oleh Karpal Singh, veteran DAP yang berpengaruh.

Sebelum itu, Ketua Pemuda Nasrudin Hassan dalam sebuah forum mengatakan bahawa Karpal telah mula menerima hudud, walaupun hebat menentangnya sebelum itu.

Dakwaan Nasrudin itu merujuk kepada kenyataan Karpal di sebuah Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat di Pulau Pinang pada Disember, 2010, yang sering dibaca PAS sebagai bukti bahawa Karpal yang pernah membuat kenyataan ofensif berhubung hudud itu telah mula lunak terhadap hukum tersebut.

Hakikatnya, Karpal dalam ucapan di konvensyen itu tidak menyatakan dengan jelas penerimaan DAP terhadap hudud, tetapi sekadar menyampaikan mesej sedia berkompromi demi kerjasama dalam hal dipersetujui bersama, yang disampaikan dengan tidak menyebut sebarang komitmen secara jelas.

Pakatan bersama PAS, DAP dan PKR telah bersetuju meletakkan dokumen dikenali Buku JIngga sebagai dasar bersama, yang tidak meliputi hukum hudud.

Secara bersama, PR tidak dapat dilihat menerima sebarang dasar Islam lebih daripada apa yang sedia terlaksana, kerana perlaksanaan Islam seperti yang diperjuangkan PAS tidak diterima sebagai agenda bersama, disebabkan sifat Buku Jingga yang sekular.

Kerjasama parti-parti PR juga dihadkan oleh ideologi berbeza setiap parti, dan ideologi DAP sama sekali tidak akan menerima hudud, kecuali sekiranya terjadi keperluan realpolitik untuk mengubah pendirian secara drastik.

DAP memperjuangkan Malaysia yang sekular, dan tidak keterlaluan apabila mengatakan parti ini memegang ideal negara yang lebih sekular daripada yang ada pada hari ini.

Ini disebabkan oleh ideologi parti dan juga konstituensinya yang paling utama ialah masyarakat bukan Melayu.

Sejarah telah menunjukkan DAP memberi respons segera kepada suara konstituensinya, terkini semasa memutuskan hubungan dalam kerjasama dengan Semangat 46 yang mempunyai hubungan dengan PAS dan selepas itu selepas pertikaian semasa dalam Barisan Alternatif.

Isu utama yang mendorong tindakan DAP meninggalkan pakatan-pakatan tersebut ialah hukum hudud yang dibawa PAS.

PAS, selain tersilap baca kenyataan Karpal itu, juga didorong oleh persaingannya dengan Umno.
PAS mengaitkan sebarang tindakan sekutu Umno, seperti MCA dan Gerakan yang salah faham atau bersangka buruk terhadap Islam dengan kegagalan Umno "mendidik" parti terbabit.

Hampir setiap kali pemimpin MCA membuat kenyataan yang mengkritik atau menghina Islam, hujah yang biasa diberikan ialah kegagalan Umno yang telah bersekutu dengan parti tersebut lebih 50 tahun untuk memberi penerangan tentang Islam.

PAS mahu menunjukkan yang ia berjaya memberi penerangan atau mempengaruhi sekutu dalam PR, lalu memberi gambaran bahawa Islam, termasuk hukum hudud, semakin diterima oleh sekutunya.

Hal ini ditegaskan untuk menunjukkan yang PAS lebih berjaya dalam memperjuangkan Islam berbanding Umno, dan kerjasama PAS dengan sekutu politik mempunyai dasar yang lebih murni berbanding kerjasama Umno dan sekutu Barisan Nasional.

Tindakan PAS memberi gambaran DAP menerima hudud sebenarnya meningkatkan dan menyebarkan salah faham dalam kalangan ahli, dan seperti dilihat selama ini, hanya sekadar mampu mencetuskan pertikaian yang mudah dieksploit oleh seteru politik.

PAS sewajarnya lebih memahami dan menginsafi realiti politik pakatan yang disertainya bersama parti-parti berbeza ideologi, dan tidak memberi gambaran salah yang tidak membantu perjuangannya dan memperbaiki hubungan dengan parti-parti sekutu.

Saturday, November 17, 2012

Palestin antara perjuangan umat dan persaingan kuasa

Oleh HARIS ZALKAPLI

Isu Palestin sentiasa menjadi satu isu sentral dalam dunia Islam, dengan perhatian pada wilayah ini tidak pernah berakhir dan sentiasa berupaya mencetuskan emosi dan tindakan politik.

Kedudukan yang penting ini juga, walau bagaimanapun, mendedahkan Palestin kepada permainan politik antara kuasa-kuasa serantau yang bercita-cita tinggi.

Pemimpin-pemimpin negara Iraq, Iran, Qatar, Turki, Syria, Arab Saudi dan banyak lagi semuanya terlibat dalam menjadikan Palestin sebagai satu isu dalam meningkatkan kredibiliti kepimpinan umat masing-masing, walaupun pada tahap komitmen dan keikhlasan yang berbeza-beza.

Sepanjang sejarah, ramai pemimpin telah muncul dengan imej pembela Palestin dan pemimpin umat Muslim, imej yang dapat dengan segera meningkatkan kedudukan dan pengaruh pemimpin tersebut dalam dunia Islam.

Walau bagaimanapun, komitmen yang ditunjukkan dengan dramatik itu berdepan dengan turun naik dan sangat bergantung kepada kepentingan masing-masing, yang berubah menurut keadaan dan masa.

Pada Januari 2009, di Davos, Switzerland, pertengkaran terbuka Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan dengan Presiden Israel Shimon Peres mencetuskan imej pembela Palestin pada Erdogan.

Kemudian pada Mei 2010, MV Mavi Marmara, sebuah kapal bantuan dikendalikan kumpulan dari Turki diserang komando Israel, menjadi peristiwa antarabangsa yang sekali lagi menempatkan Turki dalam perhatian dunia melibatkan isu Palestin.

Respons kerajaan Turki selepas itu memperlihatkan satu sikap amat tegas terhadap Israel, menjejaskan hubungan kedua negara yang berhubungan baik itu.

Tetapi, kini, Turki sejak setahun lalu lebih menunjukkan perhatian terhadap usaha menjejaskan dan menjatuhkan pemerintah Syria, dan memerangi Kurdi, isu dalaman yang lebih segera.

Sekiranya diukur berdasarkan tindakan Erdogan di Davos dan retorik menyusul serangan ke atas Mavi Marmara, Ankara memberi gambaran melaksanakan tindakan sama tegas dan dramatik, tetapi pelbagai perkembangan terkini, daripada hal melibatkan Syria hingga kepada pemberontak Kurdi telah menarik komitmen kerajaan Turki terhadap Palestin.

Hal yang hampir sama turut kelihatan pada Mesir di bawah pimpinan Presiden Mohamed Morsi, pemimpin berlatar belakang Ikhwan al-Muslimin.

Kemunculan kepimpinan yang dilihat lebih rapat dengan Hamas yang menguasai Mesir dijangka mengubah nasib wilayah Gaza yang dikepung Israel dengan bantuan rejim Mubarak sebelum itu.

Walau bagaimanapun, janji itu masih belum terlaksana, dan Mesir di bawah Morsi tetap tertakluk kepada kepentingan nasional dan politik dalaman, selain perkiraan melibatkan persaingan serantau.

Pentadbiran Morsi telah menunjukkan sikap yang tegas dengan memanggil pulang duta Mesir ke Israel, menunjukkan komitmen dan janji yang lebih besar dalam perjuangan membela Palestin.

Melibatkan kepentingan dalam persaingan serantau kuasa-kuasa Arab dan dunia Islam, tindakan Mesir ini mengukuhkan lagi imej dan kredibilitinya sebagai pejuang Palestin, yang membawa bersamanya imej kepimpinan serantau dan umat.

Perkembangan terkini di Gaza memberikan peluang kepada Kaherah untuk meningkatkan pengaruhnya sebagai pemimpin umat dan pejuang Palestin, upaya yang membolehkannya mengulangi apa yang dilakukan oleh Erdogan sebelum ini.

Pada masa sama, tindakan melibatkan isu Palestin ini juga menepati tuntutan dan sentimen popular dalam negara, sesuatu yang penting kepada mana-mana pemerintah.

Tetapi dengan sejarah sebagai petunjuk, perkembangan semasa belum tentu menjanjikan kesinambungan hingga ke masa depan, seperti yang telah ditunjukkan oleh Turki.

Negara-negara serantau telah menunjukkan sikap mereka terhadap isu Palestin sejak lebih setahun lalu.

Negara-negara Arab seperti Arab Saudi dan Qatar (dalam pakatan bersama Turki) memberikan tumpuan kepada usaha menjatuhkan rejim Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad, dalam usaha yang didasari kepentingan kuasa serantau berbanding membela rakyat Syria, yang ditunjukkan dengan jelas melalui kumpulan yang disokong Riyadh dan Doha.

Negara-negara ini menggunakan Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC, untuk menjalankan agenda mereka, termasuk mengadakan persidangan pada bulan Ramadan dengan menumpukan pada hal Syria, dan bukan Palestin.

Qatar, Arab Saudi, negara-negara monarki Majlis Kerjasama Teluk dan Turki bekerjasama dalam satu pakatan melemahkan pemerintah Syria, yang bersekutu dengan Iran dan kumpulan-kumpulan Islam di Syam.

Dengan menggunakan kempen sektarian, pakatan Syria-Iran-gerakan Islam Syam itu dilabel sebagai satu pakatan Syiah yang membentuk "bulan sabit Syiah" dari Syam, meliputi Iraq, Iran dan berakhir di Teluk Parsi di wilayah timur Arab Saudi.

Kejatuhan pakatan ini, yang berseberangan dengan Saudi-Qatar dan sekutu mereka, bakal menjejaskan pengaruh Iran dan Syria yang bergantung kuat pada gerakan-gerakan Islam di Syam, yang termasuk Hamas.

Permainan politik serantau itu kini telah membawa manfaat kepada pakatan monarki Arab itu, apabila kepimpinan Hamas yang berpangkalan di Damsyik berpindah ke Qatar, sekaligus menerima naungan negara yang aktif menyokong pemberontak Syria itu.

Ekoran itu, seperti yang terlaksana Oktober lalu, Qatar dalam satu lawatan berprofil tinggi pemimpinnya ke Gaza menunjukkan kepada dunia kedudukan baharunya sebagai pembela Palestin dan Gaza, juga sebahagian usaha mengukuhkan pengaruh serantau.

Qatar, negara terkenal dengan peranannya sebagai perantara dalam meredakan konflik di rantau Asia Barat dan Afrika, turut mempunyai kepentingan melibatkan misi perantaraannya dalam menyatukan Hamas dan Fatah dalam satu kerajaan perpaduan di Palestin.

Penglibatan Qatar di Gaza, melibatkan bantuan dan pelaburan ratusan juta dolar dan lawatan Oktober lalu yang meningkatkan kedudukan Hamas berbanding Fatah, dijangka memudahkan lagi usaha Doha mencapai penyerlesaian dalam misi perantaraannya melibatkan Hamas dengan Fatah.

Pada masa sama, Qatar ialah negara Arab yang mempunyai hubungan yang luar biasa baik dengan Israel, ekoran dasar luarnya yang pragmatik.

Perpindahan Hamas ke Qatar dan negara Arab lain berpotensi meningkatkan imej negara-negara terbabit sebagai pembela Palestin, dan sekaligus menjanjikan masa depan yang lebih cerah kepada Hamas berbanding bersama Syria, tetapi hanya sejarah akan menunjukkan sejauh mana janji ini akan terlaksana.

Ekoran perkembangan semasa, dunia Arab dijangka menunjukkan reaksi yang tegas dan mengutarakan retorik keras, tetapi turut sama akan menimbulkan persoalan sejauh mana komitmen untuk menangani Palestin lebih daripada sekadar percaturan dalam persaingan kuasa serantau.

Friday, November 9, 2012

Kontroversi kebebasan agama, Nurul Izzah tingkat sokongan liberal

Kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyokong kebebasan beragama meliputi semua termasuk Melayu-Muslim yang mencetuskan kekecohan kini kelihatan meningkatkan sokongan terhadap beliau daripada golongan liberal negara ini.

Di laman-laman berita liberal dan media sosial, sokongan meluas dan komen positif berhubung pendiriannya itu dapat dilihat daripada ramai pembaca dan pengulas, walaupun mendapat respons negatif yang keras daripada konservatif dalam kalangan parti politik dan akademik.

Seorang pengulas di laman Malaysiakini menulis satu artikel panjang memuji pendirian Nurul Izzah itu, yang disifatkan sebagai satu ide penting yang perlu difikirkan oleh rakyat negara ini. 

Parti pemerintah Umno dan golongan konservatif menentang keras kenyataan beliau itu, tetapi politik parti yang sangat partisan memperlihatkan sokongan yang tidak berubah daripada parti beliau, PKR.

Episod ini turut dilihat meningkatkan imej dan kelayakan liberal beliau, ciri penting untuk terus mendapatkan sokongan komuniti liberal yang termasuk banyak pertubuhan bukan kerajaan berpengaruh di dalam dan luar negara serta, serta kerajaan Barat seperti Amerika Syarikat dan Britain.

Kenyataan Nurul Izzah itu kelihatan ditujukan kepada audiens liberal, yang jelas memperlihatkan pendirian terbuka beliau berhubung kebebasan memilih agama termasuk melibatkan orang Muslim.

Beliau kini telah mula dikemukakan sebagai bakal perdana menteri Malaysia oleh para penyokong, yang sebahagian besarnya terdiri daripada politikus dan aktivis liberal, dengan liputan agak meluas daripada media Barat.

Debat panas yang tercetus daripada kenyataan pemimpin muda PKR ini memperlihatkan penerusan debat terbuka berhubung isu berkaitan agama Islam di negara ini, ketika Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir.

Nurul Izzah menerima kritikan keras daripada akademik dan aktivis Muslim, yang melihat beliau sebagai meneruskan kesinambungan perjuangan bapanya, Datuk Seri Awnar Ibrahim yang dilihat membawa agenda liberal.

Pensyarah di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban di Universiti Teknologi Malaysia, Dr Khalif Muammar A Harris menulis kritikan yang dipercayai ditujukan kepada Nurul Izzah dan penyokong di laman Facebook beliau: "Sekadar teguran dan nasihat kepada para aktivis. Jangan kerana kesetiaan politik yang salah dibenarkan. Yang salah itu tetap salah, bila kenyataan telah dibuat dan seseorang itu sedar ia telah melakukan kesilapan ia perlu menarik balik kenyataannya dan memohon maaf, dan bukan menyalahkan orang lain yg dianggap memutar belit."

"Hal serupa berlaku ketika Anwar Ibrahim memberi ucapan di LSE [Sekolah Ekonomi dan Sains Politik London], ia jelas mendukung pluralisme agama, tetapi ramai aktivis justeru menyalahkan orang lain yang salah faham. Dalam kes Nurul Izzah memang ada tanggapan yang ekstrem sehingga menambahkan perkara yg tidak benar, tetapi lihatlah kata-katannya sendiri dan nilailah mengikut ilmu di dada jika tidak mampu rujuk yang tahu," tulis Khalif.

Walau bagaimanapun, kenyataan Nurul Izzah itu mendapat sokongan - walaupun dengan tafsiran yang pelbagai - daripada rakan-rakan ahli politik dan aktivis seperti Dr Ahmad Farouk Musa - antara aktivis yang memberi sokongan kuat kepada Nurul Izzah untuk menjadi perdana menteri Malaysia - ketua pertubuhan penganjur forum tempat naib presiden PKR itu mengeluarkan kenyataan kebebasan agama itu.

Nurul Izzah kini telah meningkatkan lagi profil beliau sebagai seorang pemimpin Muslim beraliran liberal, yang diperlukan untuk beliau meningkatkan dan mengukuhkan lagi sokongan daripada kelompok liberal, dan pada masa sama juga telah meningkatkan pertembungan antara konservatif dengan liberal di Malaysia, yang menjadi satu ciri penting persaingan politik terkini.


Sunday, November 4, 2012

Perangkap hudud MCA tidak mengena

Usaha pemimpin MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengumpan respons daripada parti-parti Pakatan Rakyat berhubung isu hudud bagi mencetuskan perdebatan hangat tidak menampakkan hasil.

Selain PAS, parti-parti PR tidak memberikan respons yang mencetuskan perdebatan terbuka antara parti terbabit, terutama PAS dengan DAP, yang dilihat menjadi matlamat Chua mencetuskan isu bahaya hudud.

Malah, Chua turut terpaksa memberikan penjelasan panjang berhubung kenyataannya yang disifatkan sebagai anti-Islam itu, yang dipublisitikan secara prominen oleh akhbar Umno, Mingguan Malaysia hari ini.

Penjelasan Chua itu juga dilihat sebagai mengawal kerosakan yang menimpa Umno, sekutu MCA dalam Barisan Nasional yang bersaing merebut undi Melayu dengan PAS.

Umno mendapat kesan negatif ekoran kenyataan Chua itu selepas dilihat tidak memberi respons keras terhadap kenyataan presiden MCA itu seperti yang dilakukan terhadap pemimpin-pemimpin PR yang membuat kenyataan yang dinilai menghina Islam.

Kenyataan Chua yang mendakwa hanya menolak hudud versi PAS itu, selain menampakkan alasan murahan untuk membela diri, juga mencetuskan persoalan sama ada MCA tidak akan menentang pelaksanaan hudud (yang melibatkan hukuman seperti potong tangan) yang dibawa oleh pihak lain.

Chua juga, sebagai melanjutkan lagi usahanya mencetuskan debat hudud terbaharu, mencabar PR menjadikan pelaksanaan hukum hudud sebagai salah satu janji dalam manifesto bersama Pilihan Raya Umum ke-13.

Tindakan ini sekiranya cuba dilaksanakan bakal mencetuskan pertikaian dan perpecahan melibatkan parti-parti berbeza ideologi dalam gabungan PR.

PR walau bagaimanapun tidak memberikan respons terhadap kenyataan terkini Chua itu. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...