Tuesday, May 31, 2011

'Majlis Syura wajar buat endorsement pemilihan parti'

Veteran PAS, Subky Abdul Latif berpendapat Majlis Syura Ulama parti wajar membuat perakuan (endorsement) calon jawatan-jawatan tertinggi parti untuk dijadikan panduan oleh ahli dalam membuat pilihan.

Menurutnya, pemerkasaan Majlis Syura untuk menjalankan fungsi ini perlu supaya ahli-ahli parti mempunyai panduan untuk memilih pemimpin-pemimpin tertinggi parti.

"Majlis Syura mesti diperkasakan untuk menjadi pemandu kepada parti. Majlis Syura boleh menunjuk calon-calon yang dilihat layak untuk jawatan-jawatan tersebut supaya ahli mempunyai panduan siapa hendak dipilih," kata Subky kepada SiasahDaily.

Bekas pemimpin PAS Wilayah Persekutuan ini menjelaskan, sekiranya soal pemilihan calon untuk pilihan raya perlu melalui penilaian Majlis Syura, tidak ada sebab pemilihan kepimpinan parti tidak boleh mendapat perakuan majlis itu.

Katanya, Majlis Syura perlu menilai setiap calon dan memberikan perakuan untuk calon-calon pilihan supaya disokong oleh ahli dalam pemilihan di muktamar.

Beliau turut menegaskan lagi keperluan dua jawatan tertinggi parti dipegang oleh tokoh berkelulusan agama kerana berpendapat orang nombor dua ialah pemimpin yang dipersiapkan untuk menggantikan presiden.

Tegasnya lagi, ini bermakna semua anggota Majlis Syura mestilah berada pada kedudukan kuat berbanding ahli-ahli Jawatankuasa Pusat supaya pandangan kolektif mereka dihormati dalam parti.

Penulis prolifik ini menegaskan, untuk mencapai tujuan itu, Mursyidul Am kini perlu mengambil tugas memperkuatkan Majlis Syura supaya mempunyai suara yang lebih besar dan berkemampuan memandu hala tuju parti.

Pandangan Subky ini selari dengan pandangan yang disampaikan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din pada 2009 dalam ucapannya Memperkukuh Kepimpinan Ulama pada majlis sambutan jubli perak kepimpinan ulama PAS.

Haron mencadangkan calon-calon bertanding pada pemilihan parti melalui penapisan oleh Majlis Syura seperti diamalkan dalam memilih calon pilihan raya.

Dua cadangan utama Haron dalam kertas itu ialah calon-calon pemilihan perlu disemak oleh Majlis Syura dan ahli Jawatankuasa Pusat hanya sah jawatan mereka setelah diperakukan oleh majlis itu.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

IKLAN TEKS

Kem Bimbingan Remaja al-Quran 2011 (KEBAL)
7 hingga 11 Jun, 2011,
Untuk remaja lelaki berusia 11 hingga 16 tahun.
Pengisian: Tahfiz 5 ayat lazim, solat jamaah, tadarus,/qiraah al-Quran dan surah Yasin, al-Rahman dan al-Mulk, zikir Asma al-Husna, al-ma'thurat, qiamullail, dhuha, rawatib, sesi muhasabah, pengajian aqidah dan fiqh, munajat khitamah. Sesi akhir bersama ibu bapa.
Anjuran: Raudhatul Huda, Maahad Tahfiz Ibbdurrashad, no 16 Lorong Lampam, 13700 Seberang Jaya, Seberang Perai, Pulau Pinang.
Pendaftaran hubungi Puan Sue 019-4716165/019-4748165

Monday, May 30, 2011

Najib dan kekalahan Manchester United

Oleh HARIS ZALKAPLI

Perhimpunan sejuta belia di Putrajaya semalam memberi tanda-tanda kegemilangan pada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Program di seberang lain oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan diatur dengan tergesa-gesa, dengan kehadiran belia yang terhad, dan dengan tajuk generik "sesi ramah mesra."

PAS pula beberapa bulan lalu hanya dapat mengumpul 30,000 pemuda di Kedah. Najib menurut laporan media pro-Umno dapat mengumpulkan sejuta belia.

Kemuncak program Najib itu ialah perlawanan akhir Piala Juara-Juara Eropah menemukan pasukan bola sepak ikon budaya popular, Manchester United dengan pasukan Sepanyol, Barcelona.

Najib hadir sebagai penyokong pasukan paling popular - tetapi menjengkelkan pada pandangan sesetengah pihak - Manchester United, lengkap dengan jersi dan aksesori lain.

Kemenangan Manchester United boleh memberikan poin besar kepada beliau, lebih-lebih lagi memandangkan usaha Najib mendekatkan diri dengan golongan muda untuk membina dan mengukuhkan sokongan mereka.

Pemerintah juga kini semakin biasa mempolitikkan sukan untuk membina sentimen positif, seperti dilakukan ketika Kelantan menewaskan Negeri Sembilan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu.

Walau bagaimanapun, Manchester United tidak berjaya, tewas kepada Barcelona dengan jaringan 1 berbalas 3, keputusan yang kemudian mencetuskan pelbagai kritikan keras termasuk dari media Inggeris sendiri.

Poin besar yang diharapkan Najib tidak kesampaian, dan mendedahkan dirinya kepada sindiran-sindiran, seperti yang biasa, disebut sebagai menjadi punca kekalahan pasukan popular itu (walaupun ada juga yang mengaitkannya dengan isteri beliau yang sering dikait dengan imej negatif).

Sindiran seperti ini sememangnya bersifat murahan, tetapi memberi sedikit poin kepada penentang Najib dan parti pemerintah untuk dijadikan bahan jenaka buat seketika.

Boleh dijangkakan, media propemerintah hari ini penuh dengan laporan-laporan dan komentar mengaitkan Najib dengan kemenangan sekiranya Manchester berjaya, tetapi menjadi laporan sukan biasa apabila pasukan sokongan perdana menteri itu tidak mencapai kemenangan.

Tetapi, sebagai pemimpin yang semakin selesa dan berjaya memanfaatkan budaya popular - termasuk Facebook, Twitter dan kemunculan di radio popular bersama DJ selebriti - kehadiran Najib menonton perlawanan itu, dengan publisiti yang meluas, sekurang-kurangnya telah berjaya mendekatkan dirinya dengan golongan belia.

Sedikit demi sedikit, permainan imej melalui budaya popular oleh Najib kini semakin menunjukkan kesan, terutama pada tahun ini, ketika pilihan raya umum akan datang dirasakan semakin dekat.

Isu KUIN, muktamar PAS perlu tangani kenyataan MB Kedah

Oleh ZOMBI KG PISANG

Hanya beberapa hari menjelang muktamar PAS 2011, Datuk Seri Azizan Abdul Razak selaku menteri besar Kedah yang mewakili PAS sebagai kerajaan negeri telah mengeluarkan satu kenyataan yang rata-rata dilihat tidak berhemah malah mampu mencalar maruah serta kredibiliti Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku pemimpin tertinggi PAS.

Kenyataan berbunyi, “Insaniah (Kolej Universiti Insaniah - KUIN) bukan hak PAS, presiden PAS bukan ada locus standi dalam bab ni. Insaniah hak kerajaan negeri," dikeluarkan oleh menteri besar Kedah sebagai mengulas isu enam orang pelajar KUIN yang dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak pentadbiran kolej universiti tersebut.

Kenyataan berkenaan telah dilaporkan oleh Harakahdaily dan dipetik oleh beberapa laman web lain seperti Malaysiakini.

Menurut seorang pemerhati politik tempatan, kenyataan tersebut boleh disalah anggap sebagai memperlekeh wibawa jawatan presiden malah PAS itu sendiri dalam keadaan menteri besar Kedah itu adalah wakil yang dilantik oleh PAS untuk memerintah kerajaan negeri Kedah.

Jika kenyataan itu dijadikan sandaran, maka apakah locus standi semua ahli politik di dalam negara ini sama ada daripada kalangan parti pemerintah atau parti pembangkang untuk mengulas atau mengkritik apa-apa isu bersabit dengan institusi pengajian tinggi apabila diminta berbuat demikian oleh mana-mana pihak?

Jika keperluan locus standi yang disebut oleh menteri besar Kedah itu barangkali merujuk kepada aspek undang-undang dalam keadaan pelajar-pelajar terbabit memilih pendekatan penyelesaian bukan undang-undang iaitu merujuk kepada pemimpin tertinggi parti yang memerintah negeri Kedah, adakah beliau akan memberikan jawapan yang sama sekiranya pelajar-pelajar terbabit bertindak merujuk perkara tersebut kepada Sultan Kedah, yang juga dari aspek undang-undang tidak mempunyai locus standi?

Tidak diketahui jika kenyataan Azizan itu berkaitan dengan perebutan jawatan sempena muktamar PAS 2011, walhal fakta mengesahkan bahawa menteri besar Kedah itu tidak dicalonkan untuk bertanding jawatan presiden PAS oleh mana-mana kawasan.

Ada pun hanya terdapat seorang sahaja yang diketahui umum sejak beberapa ketika begitu tegar dengan dalilnya supaya ahli-ahli PAS seluruh negara menabalkan Azizan Abdul Razak sebagai presiden PAS jika mahukan PAS berjaya berkuasa di Putrajaya.

Orang yang sama juga sejak sekian lama begitu ghairah mengkritik malah ke tahap memperlekeh kepimpinan Abdul Hadi sebagai presiden PAS.

Orang itu merupakan seseorang berjawatan profesor bidang undang-undang perbandingan (comparative laws) iaitu salah satu daripada puluhan cabang bidang undang-undang. Profesor ini juga dianggap sebagai pakar salah satu lagi cabang undang-undang iaitu undang-undang perlembagaan (constitutional laws) malah sering menulis terutamanya di akhbar-akhbar alternatif serta memberi pandangannya berkaitan isu-isu perlembagaan.

Laman web Malaysiakini turut melaporkan bahawa akibat kecewa dengan cara pengendalian isu tindakan tataterbib terhadap enam mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah, sekumpulan mahasiswa mengugut untuk menggegarkan isu itu dalam muktamar PAS 2011.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, sekiranya dalam tempoh terdekat kepimpinan PAS masih berdiam, pihaknya akan memastikan ia menjadi antara isu utama yang dibahaskan.

Zombi Kg Pisang ialah nama samaran seorang pembaca SiasahDaily. Beliau percaya pada motto "Tiada sokongan tanpa kritikan."

Sunday, May 29, 2011

Muktamar Ipoh dan permulaan persaingan Erdogan-ulama

Tahun 2008 ialah permulaan jelas persaingan dua kumpulan dalam PAS, yang menyaksikan satu haluan lain diambil dan ditegaskan lagi sebagai jalan masa depan bagi PAS.

Kumpulan yang kemudian digelar Erdogan itu memperlihatkan sikapnya dengan jelas pada muktamar PAS di Ipoh, Perak, pada 2008 selepas gabungan yang kemudian ditubuh sebagai Pakatan Rakyat menang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac tahun itu.

Artikel di bawah ini, yang ditulis selepas muktamar PAS di Ipoh pada Ogos 2008, merupakan satu catatan yang mendokumenkan permulaan persaingan ide dalam parti itu, yang kemudian menjadi isu utama dalam muktamar-muktamar selepas itu, termasuk yang akan datang awal Jun nanti.

PAS menghadapi cabaran politik baharu
Oleh HARIS ZALKAPLI

Muktamar PAS yang berakhir 17 Ogos lalu menunjukkan satu gambaran yang jelas, iaitu parti pembangkang terbesar Malaysia ini berdepan satu cabaran yang hebat ketika ia melangkah memasuki Malaysia yang lebih liberal dan politik baharu yang lebih mencabar.

Apa yang jelas dilihat dalam muktamar kali ini ialah dalam masa tiga dekad kebelakangan ini, PAS pertama kali berdepan ujian perbezaan pendapat terbesar, sehingga perbezaan pendapat ini dapat dilihat dengan jelas sepanjang muktamar, melalui reaksi pemimpin-pemimpin.

Malah, satu-satunya perkara paling jelas dapat diperhatikan dalam muktamar kali ini ialah perbezaan pendapat dua kumpulan besar ini, iaitu kumpulan yang menentang rundingan dengan Umno, yang digelar kumpulan Erdogan (merujuk kepada perdana menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan), dan yang menyokong diketuai Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan kumpulan ulama.

Perbezaan dan persaingan ini dapat diperhatikan ketika dua tokoh ulama PAS, Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Harun Din dan Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masing-masing mengemukakan hujah mewakili pandangan dua kumpulan ini. Sangat jelas reaksi pemimpin-pemimpin ketika tokoh mewakili dan tidak mewakili mereka berucap.

Kemudian, pada hari Sabtu ketika berlangsung penamaan calon untuk pilihan raya kecil Permatang Pauh, pentas pimpinan lengang seketika ekoran perginya pemimpin-pemimpin kumpulan Erdogan ke Permatang Pauh, memberikan petanda jelas sokongan mereka terhadap pengukuhan Pakatan Rakyat yang bercita-cita menubuhkan kerajaan pusat bermula 16 September nanti.

Kedua-dua kumpulan menegaskan bahawa haluan merekalah yang sepatutnya diambil, sekiranya PAS ingin meneruskan lagi perjuangan secara terhormat pada masa hadapan.

Persaingan kedua-dua kumpulan ini kelihatan seimbang, dan membawa PAS ke satu persimpangan yang menuntut parti ini memilih haluannya ke masa hadapan. Muktamar di Ipoh minggu lalu hanyalah satu permulaan persaingan yang boleh disifatkan sebagai untuk menguasai jiwa parti ini.

Dalam ucapan dasar yang bersifat agak defensif, presiden PAS menegaskan kekuatan parti itu, yang ditegaskan sebagai penyumbang kepada kemenangan besar pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu. Ucapan ini, yang dibuat menjelang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang memerlukan sokongan dan kerja-kerja oleh ahli-ahli PAS, menegaskan sekali lagi kenyataan Abdul Hadi menuntut PR lebih menghormati PAS dalam menentukan hala tuju gabungan itu.

Kata Abdul Hadi, “Kita hendaklah sama-sama menyedari betapa mahalnya pengorbanan ahli dan penyokong PAS untuk mencapai kejayaan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu. Perlu juga diingat bahawa PAS telah memberikan sahamnya yang sangat besar kepada kemenangan ini dengan mempunyai paling banyak jentera parti di kalangan Pakatan Rakyat dan bekerja untuk parti lain di kalangan Pakatan Rakyat. Kita sama-sama bekerja dan menyedari bahawa kita menghadapi pilihan raya di medan yang tidak sama rata, disebabkan oleh amalan demokrasi yang dipenuhi kecacatan, penipuan, kezaliman dan lain-lain.”

Jelasnya lagi, “Kejayaan kita mengerahkan himpunan rakyat di bawah payung organisasi yang dinamakan Bersih bagi menyuarakan desakan pemulihan demokrasi dengan pilihan raya yang adil, demokratik dan telus, sebelum pilihan raya umum, menunjukkan kepada kita bahawa PAS bukan sahaja boleh menyertai pilihan raya, bahkan PAS juga mampu mengerah rakyat turun ke jalan raya. Ini membuktikan bahawa PAS tetap mempunyai kekuatannya yang tersendiri, yang tidak boleh diperkecilkan.”

Abdul Hadi juga menegaskan apa yang mendasari rancangan berbincang dengan Umno. Katanya, “Dalam pilihan raya yang lalu kita terus melaksanakan thahaluf siyasi, dengan parti-parti dan semua pihak yang bersahabat dengan kita. Keputusan ini tidak dibuat oleh mana-mana individu secara berseorangan dalam PAS."

Katanya lagi, "Perkara yang sebegini besar telah menempuh proses perbincangan, penghujahan dan diperhalusi menerusi Jawatankuasa Politik dan Jawatankuasa PAS Pusat, dan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama.”

Bagaimanapun, keputusan kumpulan ulama berhubung hal ini masih dipertikaikan, antaranya berhubung apa yang disifatkan sebagai kesan-kesan negatif daripadanya, seperti kehilangan sokongan penyokong bukan Muslim. Perselisihan ini menunjukkan perbezaan tafsiran - yang mendasari sikap dan tindakan dalam pelbagai perkara - masih satu isu sentral dalam PAS.

Respons kepada isu ini dapat didengari dalam ucapan pengerusi kelab penyokong PAS, Hu Pang Chaw yang menegaskan dengan cara agak diplomasi bahawa penyokong bukan Muslim PAS akan meninggalkan parti ini sekiranya PAS bekerjasama dengan Umno.

Tetapi, presiden PAS sebelum itu turut menegaskan pentingnya kelab penyokong bukan Muslim kepada parti, dan menyarankan agar kelab itu diberi peranan lebih luas.

Katanya, “Penubuhan kelab ini sahaja tidak memberi apa-apa makna sekiranya tidak diisi dengan sesuatu program yang bersesuaian. Program kemasyarakatan bersama dengan ahli Kelab Penyokong PAS perlu dipergiatkan di seluruh negara. Kita juga amat mengharapkan agar mereka dapat diberikan peranan yang lebih besar di dalam PAS pada masa hadapan.”

Menghadapi cabaran ini, PAS perlu menyedari kesilapannya tidak menyuburkan wacana dalam kalangan pimpinan teratasnya mengenai pelbagai isu kritikal yang kelihatan agak jauh dari medan permainan PAS, seperti falsafah dan pemikiran baharu yang berleluasa dalam masyarakat, dan isu global yang akhirnya akan turut tiba di Malaysia.

Dapat dilihat hari ini, PAS kelihatan tidak bersedia menghadapi cabaran-cabaran permainan baharu yang jauh lebih sofistikated berbanding cara PAS yang lebih lurus dan literal.

PAS wajar sekali mengaktifkan pemikirannya, memerhati semua perkembangan di semua lapangan aktiviti manusia, termasuk seni budaya, media, ekonomi dan sebagainya. PAS tidak boleh lagi menghadkan rujukan hanya kepada lingkungan biasanya yang kecil itu.

Dan sebagai gerakan Islam, PAS perlu merapatkan hubungan dengan gerakan-gerakan Islam seluruh dunia yang mungkin mempunyai pengalaman berharga untuk dikongsi.

Muktamar yang baru lepas ini memberi pengajaran berguna bagi PAS, sekiranya parti pembangkang terkuat Malaysia ini bersedia mengambil pengajaran daripada pengalaman tersebut.

Politik baharu yang lebih mencabar ini menuntut pemikiran dan pendekatan yang lebih sofistikated, termasuk melibatkan penyampaian mesej dan jenama yang ingin dipersembahkan kepada masyarakat. - 20 Ogos, 2008

Friday, May 27, 2011

Nasrudin jawab kritikan Erdogan

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan menjawab kritikan-kritikan kumpulan Erdogan yang menuntut perubahan besar dilakukan melibatkan pemimpin-pemimpin PAS, sekaligus mempertahankan presiden parti.

Nasrudin memberikan jawapan panjang dalam blognya hari ini.

Dalam satu forum 25 Mei lalu, akademik pengkritik kuat kumpulan ulama Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata PAS memerlukan pemimpin yang boleh membawa perubahan, merujuk kepada tokoh-tokoh Erdogan, sambil menyifatkan PAS kini seperti "gajah tanpa kepala."

Dalam forum itu, Abdul Aziz meneruskan kritikan kerasnya menuntut Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berundur, sambil menyifatkan Abdul Hadi telah diberi marching order atau didesak berundur oleh ahli.

Ahli-ahli panel lain turut menyimpulkan bahawa apa yang dikenali sebagai kem Erdogan ialah kumpulan yang properubahan, memberi implikasi kem ulama tidak mahukan perubahan.

Sambil menegaskan perubahan perlu berhati-hati, Nasrudin juga menggesa supaya perubahan tidak didesak hanya untuk mendapatkan posisi tertentu.

Menurutnya lagi, perubahan tidak sepatutnya dituntut hanya berdasarkan rasa tidak puas hati.

"Gerakan perubahan tidak boleh bertolak dari rasa tidak puas hati, sebaliknya ia mesti berpaksi di atas kesedaran dan keinsafan yang tinggi terhadap cita-cita perubahan tersebut serta memiliki matlamat dan objektif yang jelas, tepat dan benar."

Menurut Ketua Pemuda PAS itu lagi, perubahan juga bukan hanya mesti bermakna menukar individu tertentu, dan memberi ingatan agar perbezaan pendapat tidak mendasari tuntutan perubahan itu.

"Membawa perubahan bukan untuk menyalahkan orang selain daripada kita atau menidakkan apa yang telah dilakukan oleh orang lain untuk jamaah. Perubahan juga tidak hanya terhenti pada menukar susuk tubuh pemimpin kepada pemimpin yang lain."

"Saya tidak prejudis dengan gerakan perubahan namun sebagai peringatan kepada semua termasuk diri saya sendiri, jika gerakan perubahan itu hanya bermula dari rasa tidak puas hati dan pertelingkahan politik serta perselisihan pendapat, saya yakin gerakan perubahan itu hanya seperti angin pantai yang meniup secara bermusim," tegas Nasrudin.

Forum melibatkan semua moderator dan ahli panel sealiran pendapat itu menjelaskan lagi pandangan-pandangan kumpulan Erdogan dalam PAS, yang menolak label itu dengan menggantikannya dengan properubahan.

Moderator dan penganjur, Wan Saiful Wan Jan walau bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan kesatuan dan penegasan tuntutan Erdogan.

Dalam satu tulisannya, Wan Saiful menegaskan, "But the so-called ‘reformists’ in PAS have failed to even outline what reform they want to bring to the party. If they really want to bring reform, they should start speaking up now."

Pemilihan PAS, timbalan dan naib presiden sengit

Ekoran kemasukan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding jawatan timbalan presiden, sentimen sejak awal yang tertumpu pada Mohamad Sabu dan Nasharudin Mat Isa berubah dengan drastik.

Tuan Ibrahim kini calon popular dalam persaingan timbalan presiden, berdasarkan kelayakan pendidikan agama dan kedekatan dengan kepimpinan tertinggi, sebagai naib presiden sejak sepenggal.

Keupayaan tokoh agamawan ini walau bagaimanapun masih belum dapat diperhatikan oleh banyak pihak, berbanding Nasharudin yang berkelayakan tinggi dan lebih biasa terlibat dalam pertemuan antara gerakan-gerakan Islam antarabangsa seperti Hamas.

Penglibatan bersama gerakan Islam antarabangsa dilihat sebagai satu lagi ciri untuk melengkapkan kelayakan sebagai timbalan presiden, yang merupakan bakal pengganti presiden.

Kekurangan besar Nasharudin kini ialah prestasinya yang dinilai dengan rendah sekali oleh banyak pihak, dan gaya hidupnya yang dikatakan sangat elit.

Tetapi pengkritik beliau tidak dapat menyabitkan beliau dengan kelemahan yang lebih besar, dan kritikan terhadap kehidupan beliau semakin kelihatan selektif, seperti juga isu hubungan dengan pemimpin-pemimpin Umno.

Tuan Ibrahim mempunyai merit kelayakan pendidikan agama, tetapi ada yang menganggap kekananan beliau dalam parti bakal menyumbang kepada kesukaran beliau untuk memimpin.

Pesuruhjaya PAS Pahang ini agak lebih lewat aktif dalam PAS berbanding beberapa pemimpin, termasuk Idris Ahmad yang kini bersaing untuk jawatan naib presiden.

Tuan Ibrahim juga dikritik kerana lewat menyertai persaingan, dan didakwa banyak pihak disebabkan dorongan pihak lain untuk tujuan yang tidak semestinya berasaskan kelayakan beliau.

Ada pemerhati menyifatkan Tuan Ibrahim mampu memberi kelebihan kepada Mohamad, yang paling awal menegaskan penyertaan dalam persaingan.

Ada juag yang menganggap beliau calon sokongan Erdogan untuk memastikan Nasharudin dan juga Mohamad tewas.

Kritikan paling keras terhadap Mohamad datang daripada blog anti-Erdogan, Tulang Besi, yang menegaskan dengan lebih dalam hujah Mohamad ialah calon Erdogan.

"Kumpulan endorgan tidak pernah putus asa. Kini kumpulan endorgan berkempen untuk memenangkan Mat Sabu dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden PAS kali ini. Apa yang penting ialah siapa sahaja ulamak untuk jawatan no. 2 dalam PAS mesti dikalahkan dalam sesi kali ini," tulisnya dalam artikel bertarikh 24 Mei yang menunjukkan sokongan kuat penulis blog itu terhadap kepimpinan tokoh agamawan untuk dua jawatan tertinggi parti.

Hujahnya lagi: "Kali ini Mat Sabu merasa selesa dan gah apabila mendapat tahu beliau mendapat bilangan pencalonan yang agak besar juga untuk jawatan Timbalan Presiden dalam Muktamar 2011. Tetapi Mohamad Sabu mungkin terlupa akan agenda kumpulan endorgan untuk membuang gagasan ulamak dari kepimpinan tertinggi PAS iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

"Para simpati dan penyokong Mat Sabu juga mungkin terlepas pandang akan agenda tersirat kumpulan endorgan ini dalam PAS. Adakah Mat Sabu akan tertipu dengan keghairannya melihat pencalonan yang banyak dan desakan serta sokongan yang hebat dari ahli PAS khususnya kumpulan endorgan? Adakah Mat Sabu akan terjebak dalam permainan politik endorgan dan menjadi S.S.?"

Sebuah blog pro-Umno lebih keras lagi menyatakan Mohamad disokong Erdogan dan Lim Guan Eng supaya mereka dapat mempengaruhi PAS.

Mohamad walau bagaimanapun kekal sebagai tokoh yang paling mampu menggerakkan ahli dan penyokong, seperti yang dilihat semasa demonstrasi Bersih pada 2007 dan banyak aksi lain.

Kritikan terhadap Nasharudin berhubung prestasinya semakin meningkat, seperti juga sokongan terhadap Mohamad yang diharap dapat menggerakkan PAS dengan lebih aktif menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim kini dibina imejnya sebagai seorang tuan guru sebagai persediaan untuk meletakkannya sebagai timbalan presiden, dan kemungkinan, kedudukan lebih tinggi lagi.

Tetapi, tempoh seminggu lagi menjelang muktamar ialah satu tempoh panjang yang masih boleh memperlihatkan sebarang kemungkinan.

Dalam persaingan naib presiden, enam dijangka bertanding: Datuk Husam Musa, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Salahuddin Ayub, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan Idris Ahmad.

Berdasarkan formula yang menjadi tradisi PAS, naib presiden mewakili tiga kumpulan iaitu agamawan, profesional dan aktivis.

Benar atau salah, hal ini dilihat menjadi pertimbangan ahli dan dibuktikan benar, walaupun tidak sepenuhnya, dalam pemilihan-pemilihan sebelum ini.

Sekurang-kurangnya, seorang agamawan biasanya dipilih untuk mengisi jawatan naib presiden.

Husam dan Nizar mewakili profesional, Salahuddin dan Mahfuz mewakili aktivis dan Nik Amar dan Idris mewakili ulama.

Walau bagaimanapun, dua tokoh daripada dua kumpulan berbeza, Husam dan Nik Amar kedua-duanya dari Kelantan, yang kemenangan kedua-dua mungkin menjadi isu perwakilan negeri atau kawasan berbeza untuk jawatan naib presiden.

Tetapi formula tersebut bukan sesuatu yang pasti, terutama sekiranya desakan Erdogan supaya pemimpin tidak perlu daripada kalangan agamawan sahaja diterima perwakilan mengundi.

Muktamar kali ini bakal menjadi pertemuan terakhir ahli-ahli PAS sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Banyak isu, termasuk strategi dan sikap menghadapi pilihan raya dan kerjasama politik akan terkesan hasil pemilihan nanti.

Kebertanggungjawaban berkait prestasi dalam pilihan raya nanti pula dijangka menjadi isu yang akan memberi kesan berpanjangan selepas pilihan raya dan sehingga pemilihan akan datang selepas itu.

Thursday, May 26, 2011

Tangguh naik harga RON 95, kerajaan berdrama

Rakyat Malaysia hari ini dihidangkan dengan berita gembira pengekalan harga minyak petrol RON 95, ekoran keputusan kerajaan meneruskan subsidi besar untuk bahan bakar itu.

Dua lagi bahan bakar utama, diesel dan gas petroleum cecair juga dikekalkan hasil perbincangan kabinet itu semalam.

Dengan tajuk muka depan akhbar utama Umno, Utusan Malaysia yang turut menyebut "kepentingan rakyat," pentadbiran Najib mendapat isu yang boleh membina sentimen positif terhadap pemerintah menjelang pilihan raya umum nanti.

Pemerhatian terhadap bagaimana isu ini dimainkan di blog-blog dan akhbar harian menunjukkan tanda adanya satu drama politik untuk tujuan membina sokongan.

Blog-blog pro-Umno membina isu ini sejak beberapa minggu lalu, dengan pelbagai komentar dan tuntutan serta desakan terhadap kerajaan, yang banyak ditujukan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menteri menjaga hal ehwal pengguna.

Isu ini turut mendapat perhatian khusus parti-parti pembangkang, yang menunggu peluang untuk digunakan terhadap kerajaan Barisan Nasional menjelang pilihan raya.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut terlibat dalam perdebatan hangat isu ini, meningkatkan lagi perhatian terhadap isu ini.

Isu kenaikan harga minyak yang sentiasa mudah digunakan untuk membina sentimen menolak pemerintah menjadikan isu kemungkinan kenaikan harga minyak RON 95 menarik kepada pembangkang.

RON 95 digunakan oleh sebahagian besar pengguna kenderaan petrol, berbanding RON 97 yang kini berada dalam kategori premium.

Walau bagaimanapun, hari ini muncul di muka-muka utama akhbar harian subsidi yang besar untuk bahan bakar penting itu dikekalkan, mengelak daripada harga minyak pilihan utama itu meningkat.

Blog-blog Umno menerbitkan komentar memuji-muji tindakan kerajaan yang disifatkan prihatin terhadap rakyat itu, dan kelegaan besar ini menjadi berita utama negara pada masa ini.

Sekiranya diperhatikan dengan lebih mendalam, sukar untuk dijangka pemerintah yang sedang tertekan menjelang pilihan raya umum yang akan menjadi satu penilaian besar prestasi akan melaksanakan tindakan yang sangat tidak popular dan mampu menjejaskan undi dengan dramatik sekali.

Selepas undi Cina selamat, DAP usaha tarik Melayu

DAP kini meningkatkan usaha menarik undi masyarakat Melayu dengan melancarkan Roketkini, portal untuk menyampaikan perspektif parti didominasi Cina itu kepada orang Melayu.

Dilancarkan Isnin lalu, portal berita dan pendapat itu muncul dengan mengemukakan wajah-wajah Melayu yang sangat dikenali dalam kalangan orang Melayu seperti Tan Sri P Ramlee dan Said Zahari.

Tindakan ini boleh dibaca sebagai usaha mengambil hari dengan cara memperlihatkan tokoh-tokoh tersebut, yang dekat dengan orang Melayu bukan asing bagi DAP.

Turut diterbitkan ialah gambar Teresa Kok memberi bantuan kepada sekumpulan orang Melayu, yang juga boleh menyampaikan mesej DAP tidak bermusuh dengan orang Melayu.

Di bahagian rencana utama, rencana pengenalan DAP disertakan gambar perisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, mengaitkan parti itu dengan perjuangan kemerdekaan.

Satu rencana yang memperlihatkan satu persepsi DAP terhadap orang Melayu ialah berkenaan orang muda Melayu kelas pekerja yang dinamakan Mat, yang bernada agak menghakimi dan mempersalahkan kerana tidak peduli dengan politik.

Satu tema yang dapat diperhatikan ialah usaha DAP mempersembahkan dirinya sebagai sebuah parti yang inklusif.

Roketkini juga kelihatan masih berhati-hati dan memberi tumpuan pada isu-isu yang selamat - berbanding isu seperti penukaran agama dan undang-undang Islam - dan tidak mendedahkannya kepada kontroversi yang boleh menjejaskan misinya.

Walau bagaimanapun, penerbitan Roketkini tidak dapat dilihat secara terpisah daripada DAP secara keseluruhan.

DAP telah terlibat dalam politik Malaysia sejak selepas merdeka, dan masih mempunyai rupa dan sikap yang mewakili masyarakat Cina.

Kepimpinan DAP terus dikuasai tokoh berbangsa Cina dan bukan Melayu, dan parti itu terus tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.

Kenyataan-kenyataan pemimpin DAP yang muncul hampir setiap hari apabila diperhatikan tidak ada yang menyuarakan kepentingan orang Melayu, malah bersikap selektif dalam hal melibatkan kaum.

Tanpa perubahan yang lebih bermakna melibatkan DAP, Roketkini hanya akan menjadi satu propaganda murahan dan penyelewengan sikap DAP terhadap orang Melayu.

Wednesday, May 25, 2011

Pendedahan WikiLeaks serampang dua mata dedah Eskay, Anwar

Oleh ZOMBI KG PISANG

Terdapat dua perkara pokok yang perlu diperjelaskan kepada umum berikutan pendedahan terbaru WikiLeaks seperti didedahkan kepada Asia Sentinel yang kemudiannya disiarkan oleh laman web kendalian Raja Petra Kamaruddin iaitu Malaysia Today. Pendedahan tersebut berdasarkan kabel sulit Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia yang dibocorkan.

Pendedahan terperinci itu merupakan maklumat mesyuarat pada 5 Februari 2006 yang dihantar kepada Jabatan Negara AS di Washington melalui kabel sulit oleh kaunselor politik Mark D Clark.

Pertama ialah peranan yang dijalankan oleh ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dalam konflik bersenjata di negara jiran Malaysia iaitu Thailand. Menurut pendedahan tersebut, Eskay mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang pergerakan serta aktiviti puak pemisah Melayu Muslim di selatan Thailand dalam konfliks berdarah dengan kerajaan pusat Thailand yang telah mengorbankan ramai nyawa terutama di pihak puak pemisah akibat serangan tentera kerajaan Thailand termasuk menyerang masjid dan sekolah agama di selatan Thailand yang mempunyai penduduk majoriti Melayu Muslim.

Eskay dikatakan telah berkongsi maklumat dengan pegawai-pegawai berpangkat tinggi di Kedutaan AS Kuala Lumpur. Antara lain, Eskay dikatakan berkongsi maklumat perihal aktivis-aktivis puak pemisah Melayu Muslim Thailand yang menetap di Malaysia serta jaringan dan aktiviti mereka.

Kedua, malah mungkin lebih mencetuskan persoalan dan kontroversi ialah pendedahan bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim, sama ada ketika masih di pihak kerajaan Umno dan Barisan Nasional mahupun selepas disingkirkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad daripada Umno dan kerajaan – acap kali dikatakan berhubungan dengan pegawai-pegawai kedutaan AS bagi memberi amaran secara kerap kepada kedutaan AS tentang Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Menurut pendedahan itu lagi, kabel sulit yang mengandungi lebih 900,000 perkataan itu merangkumi laporan selama 15 tahun bermula pada tahun 1993 hingga tahun 2008. Anwar, sejak awal lagi dikatakan menganggap Najib sebagai bahaya kepada dirinya dan secara kerap memberi amaran kepada kedutaan AS betapa Najib sering melakukan jenayah korupsi dalam pembelian peralatan pertahanan negara dan menjadi ancaman kepada amalan demokrasi di Malaysia.

Menjadi sedikit pelik apabila laman web yang dianggap berwibawa seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider – begitu pantas dan prihatin melaporkan pendedahan tentang Eskay tetapi bertindak menggelapkan pendedahan tentang Anwar walhal tindakan seseorang ketika memegang jawatan timbalan perdana menteri dan selepas itu, pemimpin utama pakatan pembangkang yang melapor kepada sebuah kedutaan asing tentang seseorang yang menjadi ahli parti politik serta ahli kerajaan yang sama – boleh menimbulkan persoalan yang amat besar.

Sekiranya perkara tersebut berlaku sewaktu Anwar menjadi sebahagian daripada kerajaan – tidakkah ini menunjukkan betapa Umno sebagai parti politik utama yang memerintah dalam kerajaan Malaysia tidak mempunyai cara atau mekanisme untuk menangani amalan korupsi ahli-ahlinya. Jika sebagai sebuah parti politik perkara ini gagal ditangani, bagaimanakah pula dari sudut sebuah kerajaan yang memerintah negara?

Pada waktu yang sama, apakah kuasa dan peranan seorang perdana menteri ketika itu, malah berlanjutan kepada semua agensi atau jabatan seperti polis, pencegah rasuah dan lain-lain.

Jika seorang timbalan perdana menteri bertindak sedemikian, apakah yang dapat menghalang orang lain sama ada menteri-menteri kabinet, ketua-ketua turus tentera, ketua-ketua kementerian dan lain-lain untuk melapor kepada mana-mana kedutaan asing di Kuala Lumpur?

Tidakkah tindakan sedemikian sebenarnya amat merbahaya kepada keselamatan negara?

Pendedahan tentang Eskay hanya melibatkan peranannya secara peribadi – yang jika diperhalusi tidak melibatkan maklumat sulit negaranya sendiri. Eskay memberi maklumat tentang puak pemisah Melayu Islam di Thailand kepada kedutaan AS di Kuala Lumpur. Barangkali yang dipersoal ialah moralnya sebagai orang Muslim, atau juga risiko yang perlu dihadapinya sendiri akibat peranannya itu.

Sebaliknya, jika pemain-pemain politik Malaysia, tidak kira di sebelah pihak parti yang memerintah atau di barisan pembangkang dibenarkan mengadu atau melaporkan perihal seteru politik mereka kepada mana-mana kedutaan asing di Kuala Lumpur, sama ada seteru politik itu berada di dalam parti sendiri atau tidak, tidakkah tindakan sebegini pada tahap paling daif lagi naïf malah amat berbahaya umpama suami isteri anak-beranak bergaduh lalu masing-masing mengadu-domba sekeliling kampong.. opps, serata dunia.

Dan soalan cepumas untuk PAS – sebagai parti politik yang mendakwa mendambakan Islam sebagai destinasi perjuangannya yang syumul – apakah pendirian PAS dalam soal seperti ini? Atau seperti isu-isu lain sebelumnya, terutama yang melibatkan seseorang yang menghuni rumah agam di Segambut Heights, PAS sentiasa berpegang kepada keputusan konsensus bersama-sama rakan politik mereka iaitu DAP dan PKR?

Zombi Kg Pisang ialah nama samaran seorang pembaca SiasahDaily. Beliau merupakan pemerhati politik tempatan, terutama melibatkan PAS dan hubungan dengan rakan pembangkang lain.

'Erdogan masa depan PAS'

Oleh JOHARI M

Perbincangan isu pemilihan kepimpinan PAS yang diadakan di Kuala Lumpur pada 24 Mei semalam memberi gambaran kesimpulan bahawa masa depan PAS berkait rapat dengan kumpulan Erdogan, yang juga disifatkan sebagai kumpulan "progresif" dalam parti Islam itu.

Forum itu bertajuk Pemilihan 2011: Mampukah PAS Membuat Lonjakan, memberi implikasi dan isyarat bahawa pemilihan pemimpin-pemimpin tertentu sebagai tanda lonjakan atau pembaharuan dimaksudkan itu.

Forum anjuran pemikir libertarian Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas), Ilham Center dan Free Public Forum Malaysia itu ialah yang pertama dalam siri forum berhubung PAS yang akan diadakan.

Wakil-wakil PAS terdiri daripada Dr Dzulkifly Ahmad, ahli Parlimen Kuala Selangor dan bekas pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Khalid Samad, ahli Parlimen Shah Alam dan Datuk Kamaruddin Jaafar, ahli Parlimen Tumpat.

Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari menjadi ahli panel tunggal yang bukan dari PAS. Forum dipengerusikan Wan Saiful Wan Jan dari Ideas.

Apa yang paling jelas daripada forum itu ialah wakil-wakil PAS kesemuanya sealiran, sehingga boleh menimbulkan persoalan keperluan sehingga tiga orang menjadi panel.

Malah, tidak ada wakil dari kem bertentangan dipanggil, sehingga forum menjadi mudah diagak dan ahli-ahli panel kurang dicabar.

Apa yang lebih mengundang perhatian ialah dua yang terlibat; Wan Saiful dan Abdul Aziz pada bulan lalu menerbitkan tulisan yang mengkritik dengan keras Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, tindakan yang dilihat muncul sebagai sebahagian permainan menjelang muktamar parti itu.

Walaupun kewujudan kem dan label Erdogan dinafikan, persamaan ide dan perspektif wakil-wakil PAS terbabit memperlihatkan sebaliknya.

Malah, istilah properubahan turut timbul, yang memberi makna wujud kem lain yang tidak mahu atau kurang menerima perubahan.

Kesemua ahli Parlimen PAS terbabit mengemukakan sudut pandangan yang menarik, popular dengan audiens yang hadir, dan berdasarkan suasana politik semasa, perlu diperincikan dan dijelaskan lagi dalam wacana lain.

Hampir kesemua pandangan dikemukakan kelihatan sangat ideal dan baik, sehingga tertonjol ketidakselariannya dengan perkembangan dalam parti selama ini yang jauh berbeza.

Kesemua memberikan pandangan yang sealiran dengan sedikit perbezaan, tetapi paling efektif disampaikan oleh Dzulkifly, yang antara lain turut mengemukakan hujah berdasar nas al-Quran untuk menyokong sistem dua parti.

Forum ini - dan pelbagai forum lain sebelum ini - mengukuhkan lagi kedudukan Dzulkifly sebagai tokoh paling mempunyai keupayaan intelektual yang cukup untuk menjelaskan ide-ide yang dikaitkan dengan kumpulan itu.

Menurutnya, sistem dua parti secara praktikal ialah semak dan imbang antara dua kumpulan seperti disebut dalam al-Quran.

Khalid walaupun menegaskan lagi pendiriannya yang biasa didengari sebelum ini, kelihatan agak berbeza apabila memuji dua pemimpin konservatif yang berseberangan dengan Erdogan, iaitu presiden parti, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Nasrudin Hassan, ketua pemuda.

Beliau turut mengelak daripada menjawab soalan berhubung kemungkinan bekerjasama dengan Umno, tanpa memberi sebarang penjelasan.

Kamaruddin, menjawab satu soalan peserta pada penghujung program mengakui bahawa ide kerajaan perpaduan yang disarankan oleh presiden telah tidak dibincangkan dengan sempurna oleh pimpinan PAS.

Menjelaskan ide-ide yang dilihat dipelopori oleh Erdogan, Kamaruddin menjawab satu isu dengan baik apabila memberikan latar sejarah pakatan politik melibatkan Melayu-Muslim dengan bukan Melayu seperti dilakukan sebelum merdeka dan pada 1980-an dengan penubuhan majlis untuk menguruskan perhubungan dengan orang Cina.

Abdul Aziz tidak menampakkan perbezaan daripada kenyataan-kenyataan provokatifnya sejak beberapa tahun lalu.

Secara keseluruhan, forum ini menarik dan berjaya menyampaikan pandangan-pandangan Erdogan dengan baik, tetapi dalam parti apa yang disebut tidak seindah itu kerana berlaku pergeseran yang getir akibat daripadanya.

Apapun, forum seperti ini wajar diadakan lagi, tetapi hendaklah lebih mewakili pandangan berbeza dan tidak hanya membawa satu aliran pandangan seperti yang berlaku dalam forum ini.

Tuesday, May 24, 2011

Tuan Ibrahim calon kompromi atau pemecah undi?

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang kini menyandang jawatan naib presiden PAS akhirnya mengambil keputusan yang dijangkakan banyak pihak; bertanding jawatan nombor dua parti.

Ini bermakna persaingan nombor dua bakal menyaksikan pertambahan seorang lagi calon, sekiranya Nasharudin Mat Isa dan Mohamad Sabu tidak berganjak dan tidak ada calon lain menyertai persaingan.

Kemasukan Tuan Ibrahim meletakkan dua tokoh ulama dalam persaingan.

Tempoh dua hari ini akan diperhatikan dengan minat oleh pemerhati untuk melihat sebarang perkembangan terbaharu.

Tuan Ibrahim sejak awal menyatakan tidak berminat bertanding timbalan presiden, tetapi mengubah keputusan menjelang dua hari tempoh akhir penerimaan pencalonan.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu cuba ditonjolkan sebagai calon kompromi oleh sesetengah pihak, sebagai pilihan yang terbaik berbanding Nasharudin yang dinilai tidak berjaya dan Mohamad yang dilihat tidak mempunyai ciri-ciri pemimpin nombor dua selepas presiden parti.

Ramai yang menyokong Nasharudin dalam pemilihan lepas pada 2009 hanya berbuat demikian untuk mengekalkan tokoh daripada kalangan ulama terus memegang jawatan timbalan presiden.

Dengan adanya tokoh lain, ramai yang menyokong Nasharudin boleh - tetapi tidak semestinya - mengubah sokongan kepada Tuan Ibrahim, alternatif calon ulama.

PAS di negeri Pahang contohnya, berpotensi besar memberi sokongan kepada Tuan Ibrahim walaupun mencalonkan Nasharudin dan Mohamad semasa tempoh pencalonan.

Banyak pencalonan kepada Nasharudin dikatakan diberi ekoran kenyataan Tuan Ibrahim tidak mahu bertanding jawatan timbalan presiden.

Pada masa sama, sokongan kepada Mohamad juga bergantung kepada faktor menolak Nasharudin dan keengganan Tuan Ibrahim bertanding timbalan sebelum ini.

Tetapi satu kemungkinan yang dimbimbangi ramai penyokong ulama ialah perpecahan undi yang akan memenangkan Mohamad.

Ekoran jumlah pencalonan yang tidak semestinya diterjemahkan kepada undi dalam pemilihan, pelbagai kemungkinan masih boleh dijangka.

Beliau yang mempunyai hubungan keluarga dengan Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dinilai berkebolehan dalam bidang akademik dan berperwatakan alim, ciri yang dirasakan boleh mengukuhkan kepimpinan ulama dalam parti.

Beliau turut dikatakan mendapat sokongan Nik Abdul Aziz untuk merebut kerusi timbalan presiden dalam pemilihan Jun nanti.

Tuan Ibrahim menang dalam cubaan kali pertama bertanding naib presiden, yang dilihat sebagai ukuran populariti beliau.

Ramai menjangkakan kem ulama akan memberikan sokongan kepada Nasharudin atau tokoh lain yang dilihat boleh membawa kepimpinan ulama, sebagai penyokong presiden, pemangku dan juga bakal penggantinya.

Sebelum ini Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib membuat kenyataan menggesa presiden dan timbalan dikekalkan.

Dalam kempen menentang Mohamad, potensi peranan pemimpin popular itu sebagai pemangku presiden dan tahap pendidikan agama beliau menjadi antara isu negatif yang ditimbulkan oleh pengkritik beliau.

Mohamad walau bagaimanapun menurut sumber yang rapat dengannya tidak berminat untuk merebut jawatan presiden, dan dalam senario terburuk sekiranya presiden tidak dapat bertugas, beliau hanya akan memangku dan membiarkan pemilihan parti memilih presiden baharu.

Walau bagaimanapun, mengambil kira pelbagai perubahan yang boleh berlaku, kedudukan Mohamad di kerusi timbalan presiden juga dinilai boleh mencetuskan banyak perubahan yang bakal memberi kesan meluas, terutama dalam memecahkan tradisi timbalan presiden daripada kalangan ulama.

Kemungkinan-kemungkinan itu, yang mampu mengubah tradisi kepimpinan ulama yang difahami sebahagian besar ahli PAS, dikhuatiri oleh pengkritik-pengkritik beliau.

Kehadiran Tuan Ibrahim kini menjadi satu faktor yang mengubah permainan yang sebelum ini dijangka akan mempertemukan calon-calon utama, Nasharudin dan Mohamad dalam perebutan timbalan.

Monday, May 23, 2011

Tanah runtuh hangatkan lagi persaingan rebut Selangor

Belum lama tragedi tanah runtuh di Hulu Langat yang mengorbankan 16 nyawa Sabtu lalu, kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat sudah mempolitikkan kejadian itu.

Kedua-dua pemimpin BN dan PR berlumba-lumba untuk menjadi atau mengakui menjadi yang terawal di lokasi, menjelaskan lagi kedudukan Selangor sebagai medan pertempuran paling sengit sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Di kalangan penulis blog kedua-dua kumpulan, serang-menyerang telah tercetus, dengan pemblog pro-PR menyerang kenyataan menteri BN dan blog Umno mengecam dan membalas kritikan blog pro-PR itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil dilapor berkata rumah anak yatim yang menjadi mangsa tidak berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Mayarakat, kenyataan yang dieksploit pihak PR untuk mengkritik kerajaan BN.

Kecondongan sebuah portal berita, Malaysiakini juga terlihat melalui kedudukan berita melaporkan kenyataan Shahrizat dan sebuah berita lain melaporkan kerajaan Selangor diterajui PR akan membantu mangsa bersebelahan.

Media cetak dikuasai Umno pula meletakkan laporan sangat positif beserta gambar Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat tempat kejadian.

Kedua-dua BN dan PR kelihatan bersaing untuk menunjukkan keprihatinan dengan mengumumkan bantuan yang akan diberikan kepada mangsa.

Kejadian ini dijangka akan dipergunakan oleh kedua-dua BN dan PR dalam usaha mengukuhkan pengaruh masing-masing di Selangor.

Perkembangan ini dikecam hebat beberapa pemerhati, dan ada yang menyifatkan perlumbaan melibatkan kedua-dua kumpulan politik itu sebagai "memualkan."

Sunday, May 22, 2011

Pakatan Rakyat harap Bersih kedua ulangi kejayaan PRU 12

Gabungan parti-parti pembangkang Pakatan Rakyat sedang membina momentum untuk mendapat sokongan mengulangi kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-12 melalui demonstrasi besar-besaran.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil yang lebih dikenali dengan nama popularnya kini, Bersih 2.0 telah mengumumkan demonstrasi besar-besaran di ibu kota pada 9 Julai nanti.

Rancangan ini diumumkan pengerusi Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat, Mohamad Sabu di Kuala Lumpur Sabtu, 21 Mei.

Perhimpunan ini bakal mengulangi demonstrasi Bersih kali pertama yang diadakan pada 10 November, 2007, sekitar empat bulan sebelum pilihan raya umum pada 8 Mac tahun berikutnya.

Pada perhimpunan Bersih 2007 itu, sehingga 100,000 dianggarkan hadir di pelbagai lokasi di Kuala Lumpur, termasuk Dataran Merdeka, sekitar Pasar Seni dan Jalan Tunku Abdul Rahman.

Perhimpunan Bersih 2007 melibatkan penyerahan memorandum kepada ketua negara, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Warna kuning menjadi tema perhimpunan itu, yang selain untuk memperlihatkan kesatuan, juga bertujuan untuk membina hubungan baik dengan institusi raja.

Perhimpunan kali ini turut melibatkan tuntutan tambahan menolak penyalahgunaan institusi kerajaan dan tempoh kempen yang lebih panjang.

Empat tuntutan asal ialah penggunaan dakwat kekal yang diterima Suruhanjaya Pilihan Raya, daftar pengundi yang bersih, penghapusan undi pos dan akses parti pembangkang kepada media dikuasai pemerintah.

Demonstrasi besar itu mendapat liputan meluas media antarabangsa terutama al-Jazeera, dan meningkatkan profil Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat sebagai penggerak utama dan pemimpin aksi massa itu.

Bersih ditunjangi PAS dan parti-parti PR tetapi turut melibatkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.

Bersih pertama disebut sebagai penyumbang penting kepada kejayaan parti-parti PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP pada pilihan raya Mac 2008, yang bersatu sebagai PR sejurus selepas kejayaan itu.

Kali ini, Bersih 2.0 dipimpin Datuk Ambiga Sreenevasan dan melibatkan 60 pertubuhan lain, tetapi juga menyaksikan peranan besar PAS.

Mohamad merupakan tokoh paling dapat diharapkan untuk mobilisasi massa, dan menjadi sandaran penting untuk menjayakan perhimpunan yang dirancang ini, terutama dari segi kehadiran.

PR telah berusaha mencetuskan suasana untuk demonstrasi besar-besaran sejak tercetus kebangkitan rakyat di Afrika Utara dan Asia Barat.

Anwar dalam satu tulisan di akhbar Wall Street Journal menyentuh isu tersebut dan menyifatkannya sebagai pencetus perubahan di dunia Islam.

Pelbagai pihak menimbulkan gaya hidup membazir dan membina kekayaan diri oleh keluarga diktator terutama wanita pertama Tunisia dan Mesir dan mengaitkannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Saturday, May 21, 2011

Isu rundingan PAS-Umno timbul lagi

Isu rundingan dengan Umno yang mencetuskan debat panas dan pergeseran dalam PAS muncul lagi apabila Ahli Jawatankuasa Pusat Dr Dzulkifly Ahmad membuat kenyataan bersedia bertemu dengan Umno.

Pertemuan dengan Umno selama ini dikait terus dengan usaha bergabung dengan Umno atau disebut "kerajaan perpaduan," cadangan presiden PAS pada 2009 yang merujuk penubuhan kerajaan semua parti berdasarkan peratus kerusi Parlimen dimenangi.

Kenyataan Ahli Parlimen Hulu Selangor itu mencetuskan persoalan dalam kalangan ahli-ahli PAS, yang membuat pelbagai spekulasi termasuk melibatkan urusan dengan Umno di Selangor yang dijangka menawan negeri terkaya itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Ada juga yang melihat kenyataan itu untuk mengundang respons pihak lain dalam PAS, terutama golongan ulama yang didakwa mahu bersama dengan Umno.

Walau bagaimanapun, perkembangan melibatkan kemungkinan pengharaman Parti Keadilan Rakyat, sebuah komponen dalam Pakatan Rakyat turut menyumbang dalam memperkuatkan spekulasi kesediaan PAS bekerjasama dengan Umno.

Di laman popular dalam kalangan ahli PAS, Tranungkite, timbul beberapa reaksi sinikal oleh pembaca.

"AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifly Ahmad yang bercakap tentang pertemuan dengan pemimpin Umno tak apa, asalkan jangan Tuan Guru Haji (Abdul) Hadi Awang, Dr Hassan Ali, Ust Nasharudin Mat Isa, Datuk Mustafa Ali dan Tuan Guru Haron Din. Kalau 5 orang ni yang bercakap, memang teruk difitnah kononnya mahu membawa PAS masuk Umno oleh mereka yang didalam hatinya ada penyakit hati," komen seorang pembaca.

Isu kerjasama PAS dengan Umno telah timbul sejak beberapa minggu lalu, menjelang muktamar yang sekali lagi akan menyaksikan persaingan sengit antara kumpulan yang dilabel ulama dengan Erdogan.

Spekulasi penggabungan PAS dengan Umno pada mulanya ditimbulkan sebagai mengulas haluan PAS di bawah Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang terus mengekalkan kedudukan sebagai presiden untuk penggal akan datang, yang akan melalui pilihan raya umum sekali lagi.

Isu hubungan PAS dengan Umno ditimbul pada masa-masa tertentu sebahagian besarnya untuk meletakkan Abdul Hadi dan pemimpin-pemimpin sealirannya dalam kedudukan defensif.

Sejak 2009, kerjasama atau gabungan dengan Umno disifatkan sebagai kerajaan perpaduan oleh pemimpin tertentu dalam PAS, penulis blog dan media terutama portal berita internet seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider.

Kedua-dua portal ini dikait dengan kem Erdogan dan memperlihatkan kecondongan terhadap calon kem itu dalam pemilihan-pemilihan PAS sebelum ini.

Tahun 2009 ialah kemuncak persaingan dan pertembungan kem ulama dengan Erdogan, dengan suasana panas dirasakan di muktamar di Shah Alam, Selangor.

Isu rundingan atau kerjasama dengan pemerintah menyaksikan sikap berubah-ubah daripada pihak yang kuat menentangnya.

Pada 2009, Dr Mujahid Yusuf menulis dalam Siasah - akhbar politik yang menjadi sasaran kempen negatif ekoran didakwa menyokong gabungan PAS dengan Umno - memuji dan menyokong gagasan kerajaan perpaduan.

“Mungkinkah ini era kerajaan perpaduan nasional ataukah ia kerajaan persekutuan nasional yang akan terbentuk..,” tulis beliau pada masa itu.

Kemudian ide itu dikecam hebat dan pelbagai kritikan dilemparkan terhadap Abdul Hadi, sehingga beliau kemudian menarik balik cadangan itu.

Abdul Hadi walau bagaimanapun kemudian membina kempen "PAS ganti Umno" sebagai usaha parti Islam itu menggantikan Umno menjadi wakil dan suara utama orang Melayu-Muslim, yang tidak selari dengan cadangan kerjasama aau gabungan PAS dengan Umno.

Pada awal 2010, berlaku satu lagi pertemuan melibatkan pemimpin utama PAS dengan pemerintah yang turut disertai Yang Dipertuan Agong, tetapi ditolak dengan keras oleh penentang kerjasama dengan Umno.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dalam satu kenyataan berkata kerjasama dengan Umno tidak akan berlaku walaupun dipelawa oleh Agong.

Kenyataan terbaharu oleh Dzulkifly menimbulkan kembali debat panjang isu kerjasama dengan Umno, yang dijangka bakal menjadi satu isu yang memberi kesan kepada muktamar dan PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Potong subsidi, Khairy cakap bernada pembangkang

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin membuat kenyataan agak mengejutkan apabila menuntu kerajaan terlebih dahulu berjimat sebelum mengambil langkah kurangkan subsidi untuk rakyat.

Kenyataannya itu senada dengan apa yang sering ditimbulkan oleh pembangkang dan mengejutkan daripada seorang yang terpinggir dalam parti pemerintah.

Khairy mengemukakan satu senarai projek-projek kerajaan yang dianggap membazir dan tidak membawa hasil yang sewajarnya, seperti khidmat negara yang menelan belanja RM560 juta tahun ini.

"Jangan meminta rakyat mengikat perut sebelum (kerajaan sendiri) memendekkan senarai perbelanjaan sendiri," katanya kepada Malaysian Insider, portal berita dikuasai tokoh yang rapat dengan beliau.

Kenyataan Khairy itu dibuat tidak lama selepas harga gula dan petro RON 97 meningkat dan di tengah-tengah jangkaan kenaikan harga RON 95 dan tarif elektrik.

Pemerintah menyatakan peningkatan harga minyak mentah di pasaran global menyebabkan perbelanjaan subsidi meningkat, dan telah memulakan tindakan mengurangkan subsidi, menyebabkan peningkatan harga barang-barang keperluan.

Kenyataan Khairy meningkatkan tekanan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang berdepan cabaran mengukuhkan sokongan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Isu kenaikan harga barang keperluan mudah menjadi isu yang menjejaskan sokongan kepada pemerintah dalam pilihan raya, seperti yang berlaku pada pilihan raya umum lalu pada 2008.

Pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi membenarkan kenaikan mendadak yang tinggi harga bahan bakar semasa pemerintahannya, sehingga mengundang kritikan pemimpin Umno sendiri dan juga bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

Dalam perkembangan sama, orang kuat pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mencetuskan kembali ingatan kepada kenaikan harga menjelang 2008 yang menyumbang kepada kekalahan teruk Barisan Nasional dalam pilihan raya.

Tegas Anwar, undi untuk BN bermakna undi untuk salah urus ekonomi dan kenaikan harga makanan.

Friday, May 20, 2011

PRU 13 sengit, Muhyiddin kritik Najib?

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kenyataan menjangka Pilihan Raya Umum ke-13 bakal menyaksikan persaingan paling sengit bakal dilalui Barisan Nasional.

Pilihan raya umum akan datang akan menjadi yang pertama dilalui Perdana Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang mengambil alih kepimpinan kerajaan dan BN pada April 2009.

Najib mengambil alih daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dipersalahkan atas kekalahan besar dan kegagalan mengekalkan majoriti dua pertiga untuk BN di Parlimen.

Tekanan terhadap pemerintah meningkat selepas pilihan raya pada Mac 2008 dan kerajaan BN berdepan risiko kehilangan kerajaan pusat ekoran tekanan pakatan pembangkang melalui satu rancangan lompat parti.

Najib dilihat bakal diukur berdasarkan hal yang sama, iaitu memenangi kembali majoriti dua pertiga di Parlimen untuk BN, dan bakal berdepan tekanan sekiranya gagal.

“Kita kena tanya selepas (Pilihan Raya Umum ke-13) masihkah kita berkuasa... ia sangat perit sekiranya tidak dapat menguasai dua pertiga dari kerusi dalam dewan,” Muhyiddin dilaporkan berkata.

Selain untuk mengejutkan Umno dan mendesak parti itu supaya lebih bersedia, kenyataan itu juga mempunyai sisi yang ditujukan kepada Najib.

Sesetengah pihak berpendapat sekiranya gagal mencapai kemenangan dua pertiga, Najib turut akan dipersalahkan, termasuk berhubung gagasan 1 Malaysia yang dinilai sebagai bermasalah kepada orang Melayu.

Muhyiddin pernah dilihat kritikal terhadap gagasan 1 Malaysia dan merupakan pemimpin yang banyak bercakap isu Melayu, ketika isu tersebut semakin tidak popular ekoran kemunculan gagasan 1 Malaysia.

Muhyiddin menerima sokongan kumpulan lebih cenderung menangani isu Melayu dengan lebih agresif dalam Umno.

Mat Sabu bakal terkorban lagi?

Penyandang jawatan timbalan presiden PAS kini meningkatkan lagi kempen untuk mengukuhkan sokongan dan mengekalkan kedudukan, dan pada masa sama, sesetengah pihak dalam parti itu semakin kuat mendesak Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding jawatan timbalan presiden.

Penyandang, Nasharudin Mat Isa yang dipandang rendah sejak sebelum pencalonan pertama dibuat semakin menunjukkan kesediaan dan kemampuan untuk bersaing.

Nasharudin yang dilihat tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang dan dikaitkan dengan hubungan baik dengan Umno walau bagaimanapun masih menerima sokongan ramai - walaupun merosot - dan dianggap calon selamat, sebahagiannya disebabkan kedudukan sebagai penyandang.

Nasharudin sebelum ini mendapat sokongan terbuka daripada Datuk Harun Taib, ketua Dewan Ulama.

Pihak yang melobi Tuan Ibrahim bertanding menilai pemimpin dari Pahang itu sebagai calon kompromi dalam usaha menghalang calon popular Mohamad Sabu dan penyandang yang semakin tidak popular.

Tuan Ibrahim walau bagaimanapun masih dilihat baharu kerana baru sepenggal menjadi naib presiden, dan beliau telah beberapa kali menyatakan tidak mahu bertanding timbalan.

Tetapi, faktor yang dilihat pihak dalaman sebagai paling berpotensi menjejaskan peluang Mohamad ialah sokongan kuat kem Erdogan terhadap beliau, yang dikait dengan liputan media tertentu yang positif dan kebimbangan terhadap kedudukan nombor dua yang bukan agamawan.

Ada portal berita walau bagaimanapun kelihatan telah mengubah nada dengan melaporkan pertikaian terhadap angka pencalonan tidak rasmi yang dilaporkan sebelum itu.

Mohamad juga dilihat dengan kritikal oleh sesetengah pihak ekoran hubungan baiknya dengan seorang penulis blog kontroversi yang pernah menyerang Nasharudin di Parlimen.

Mohamad juga dikatakan hanya menerima pencalonan kawasan-kawasan tertentu ekoran keperluan politik supaya kawasan tersebut dilihat tidak menentang beliau, dan Mohamad akan bersedia berceramah di kawasan tersebut.

Kritikan lantang juru kempen beliau terhadap ulama juga dilihat pihak dalaman sebagai berpotensi untuk memberi kesan negatif.

Mohamad walau bagaimanapun mempunyai kekuatan sokongan ahli-ahli akar umbi, yang selesa dengan beliau yang mudah mesra dan tidak dikaitkan dengan imej elit.

Wednesday, May 18, 2011

Sokongan untuk Anwar gugat perpaduan Abim

Angkatan Belia Islam Malaysia, Abim, yang mencecah usia 40 tahun pada tahun ini berdepan kemelut dalaman ekoran sokongan kuat gerakan itu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua Parti Keadilan Rakyat, PKR, yang juga bekas pemimpin kumpulan bukan kerajaan itu.

Sokongan untuk Anwar, pada masa kritikan yang semakin meningkat berhubung pendiriannya berhubung isu-isu Islam dan Melayu, dilihat telah menjadi punca beberapa bekas pemimpin kumpulan itu disisihkan.

Abim kini dilihat meminggirkan bekas pemimpinnya seperti Dr Yusri Mohamad dan Prof Datuk Dr Sidek Baba yang kritikal dengan Anwar kini, walaupun kuat menyokong bekas timbalan perdana menteri itu satu ketika dulu.

Abim, bersama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) saling berkaitan dan biasa dirujuk sebagai secara popular sebagai Abim ekoran perkaitan rapat itu.

Secara umumnya, aktivis yang bergerak dalam PKPIM di kampus kemudian menyertai Abim dan selepas itu bergerak dalam Wadah.

Yusri, bekas presiden Abim yang kini bergiat dalam Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menjadi tokoh paling vokal mengkritik Anwar yang didakwa menunjukkan sikap menyokong pluralisme agama yang dibawa Barat.

Satu kes yang mengejutkan pertubuhan itu ialah satu rakaman audio perdebatan Anwar dengan ahli-ahli Abim yang disebarkan oleh laman web anti-Anwar, di anwaraidc.com.

Pendirian Anwar dipersoalkan dengan lebih kuat ekoran satu ucapannya di London School of Economics pada 2010, menyaksikan Anwar mengemukakan hujah yang boleh dibaca sebagai menyokong pandangan menyamakan agama-agama yang berbeza.

Anwar juga dikritik kerana tidak memberikan pandangan yang jelas berhubung isu murtad Lina Joy dan menyokong penggunaan kalimah Allah oleh Kristian Katolik yang ditentang kuat Pembela dan aktivis-aktivis seperti Dr Mohd Farid Mohd Shahran.

Ucapan Anwar itu dinilai sebagai mengemukakan tafsiran yang bertentangan dengan Islam dan cuba mengambil hati Barat untuk menguatkan lagi sokongan kepada beliau.

Sikap Anwar itu turut mengundang kritikan terhadap PAS yang bersama Anwar dalam Pakatan Rakyat, gabungan pembangkang yang dilihat semakin mengabaikan Islam.

Menurut sumber, ekoran sikap kritikal tersebut, kedua-dua Yusri dan Sidek tidak dijemput ke satu majlis besar untuk memperingati 40 tahun pertubuhan itu baru-baru ini.

Ekoran sikap kritikal terhadap Anwar, ada suara yang mengaitkan kedua-dua mereka sebagai cuba merapatkan diri dengan parti pemerintah, malah ada yang mendakwa mereka dibeli.

Tokoh yang kuat mempertahankan Anwar kini termasuk Dr Siddiq Fadzil, akademik yang kini memgang jawatan presiden di pusat pengajian tinggi Islam ditubuhkan Abim, Kolej Dar al-Hikmah.

Anwar masih mempunyai pengaruh kuat terhadap Abim, yang dilihat sesetengah pihak sebagai tanda menunjukkan pergantungan pertubuhan itu untuk mendapat manfaat daripada kuasa politik presiden keduanya itu, selain hubungan persahabatan peribadi.

Aktivis Abim menjadi pendokong kuat Anwar ketika beliau di dalam Umno. Menjelang 1998, pemuda Umno yang dikuasai Anwar memainkan peranan aktif dalam membawa agenda Anwar, termasuk mengkritik perdana menteri ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad dan amalan "kolusi, kronisme dan nepotisme."

Semasa Anwar menjadi timbalan perdana menteri, menjelang tahun 1998, Sidek yang ketika itu merupakan orang Anwar yang berpengaruh di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, UIAM, melaksanakan agenda yang termasuk mengekang kumpulan pelajar yang dikaitkan dengan PAS.

Beliau dilihat sebagai antara tokoh yang bakal ditempatkan di kedudukan tinggi sekiranya Anwar berjaya menjadi perdana menteri dalam masa terdekat.

Antara jawatan yang disebut-sebut bakal dipegang tokoh itu ialah ketua menteri Melaka.

UIAM ketika era kegemilangan Anwar merupakan kubu kuat kem Anwar, tempat bergiat pemimpin pelajar seperti ketua pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Mohamad Ezam Mohd Noor yang kini telah meninggalkan Anwar.

Pemimpin pelajar kem Anwar walau bagaimanapun tidak semuanya terus bersama Anwar.

Seorang bekas presiden PKPIM, Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyertai Umno dan kini bergiat aktif bersama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Perkasa.

Asyraf pada Pilihan Raya Umum ke-12 bertanding di Parlimen Tumpat menentang orang kuat Anwar, Datuk Kamaruddin Jaffar dari PAS.

Jaringan ahli dan bekas ahli Abim kini masih menjadi pendokong dan penyokong penting Anwar sehingga ke hari ini, termasuk dalam PKR yang diwakili antaranya oleh Mustaffa Kamil Ayub dan Dr Muhammad Nur Manuty.

Muhammad Nur yang berlatar belakang akademik dan agamawan menjadi pembela utama Anwar dan PKR dalam membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian Katolik.

Abim merupakan kumpulan paling aktif membela Anwar pada awal beliau dipecat daripada Umno dan kemudian menubuhkan Parti Keadilan Nasional, PKN.

Jaringan yang dikenali "orang Abim" walau bagaimanapun semakin merosot dalam PKR ekoran peningkatan pengaruh ahli bukan Muslim dan berfahaman liberal, serta agenda Anwar yang semakin liberal.

Tuesday, May 17, 2011

Pemilihan PAS, fasa pertama selesai, tunggu 26 Mei

Keputusan calon-calon yang layak bertanding jawatan-jawatan dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi penggal 2011-2013 diumumkan di Kuala Lumpur hari ini, memberi gambaran saingan sengit di semua sayap parti kecuali Dewan Ulama.

Presiden menang tanpa bertanding kerana tiada pencabar.

Persaingan akan menjadi lebih jelas selepas tarikh akhir penerimaan pencalonan pada 26 Mei nanti, tarikh akhir penerimaan pencalonan untuk bertanding oleh mereka yang dicalonkan.

Pencalonan memperlihatkan perwakilan seimbang daripada semua golongan - ulama, profesional dan aktivis - dalam PAS.

Presiden parti, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan untuk penggal kelima berturut-turut, mencerminkan kedudukanya yang stabil dan terus mendapat sokongan walaupun berdepan tekanan sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac, 2008.

Jawatan timbalan presiden yang disebut-sebut bakal mempertemukan penyandang dengan Mohamad Sabu menyaksikan enam calon layak bertanding termasuk penyandang Nasharudin Mat Isa.

Berikut calon-calon yang disahkan untuk Jawatankuasa Kerja Pusat, Dewan Ulama, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat untuk penggal 2011-2013.

Presiden (menang tanpa bertanding)

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Timbalan presiden (6 layak bertanding)

1. Mohamad Sabu
2. Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
3. Datuk Seri Azizan Abdul Razak
4. Nasharudin Mat Isa (penyandang)
5. Datuk Husam Musa
6. Salahuddin Ayub

Naib presiden [3 kerusi] (14)

1. Datuk Seri Azizan Abdul Razak
2. Datuk Husam Musa
3. Salahuddin Ayub (penyandang)
4. Nasharudin Mat Isa
5. Mohamad Sabu
6. Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (penyandang)
7. Idris Ahmad (ketua penerangan)
8. Datuk Mahfuz Omar (penyandang)
9. Mazlan Aliman
10. Datuk Nik Mohd Amar Abdullah
11. Dr Mohd Hata Ramli (bendahari)
12. Dr Mujahid Yusof Rawa
13. Nik Zawawi Nik Salleh
14. Datuk Seri Nizar Jamaluddin

Jawatankuasa Kerja Pusat [18 kerusi dipilih, (6 lagi dilantik)]

82 layak bertanding

Ketua Dewan Ulama (menang tanpa bertanding)

Datuk Haron Taib

Timbalan ketua ulama (2)

1. Datuk Ahmad Yaakob
2. Mohd Zain Abdul Rahman

Naib ketua ulama (menang tanpa bertanding)

Datuk Dr Mahfudz Mohamed

Jawatankuasa Kerja Ulama [18]

26 orang layak bertanding

Ketua Dewan Pemuda (4)

1. Nasrudin Hassan (penyandang)
2. Azman Shapawi Abdul Rani (timbalan ketua)
3. Suhaizan Kayat
4. Mohd Firdaus Jaafar

Timbalan ketua pemuda (9)

1. Ahmad Sabki Yusof (naib ketua)
2. Azman Shapawi Abdul Rani (timbalan ketua)
3. Mohd Firdaus Jaafar
4. Mohd Nor Hamzah
5. Nasrudin Hassan (ketua pemuda)
6. Nik Abduh Nik Abdul Aziz
7. Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob
8. Riduan Mohd Nor
9. Suhaizan Kayat

Naib ketua pemuda (12)

1. Azman Shapawi Abdul Rani (timbalan ketua pemuda)
2. Mohd Firdaus Jaafar
3. Kamaruzaman Mohamad
4. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob
5. Ahmad Sabki Yusof (penyandang)
6. Khairi Faizi Kamil
7. Mohd Nor Hamzah
8. Mohd Sany Hamzan
9. Nasir Zakaria
10. Nik Abduh Nik Abdul Aziz
11. Riduan Mohd Nor
12. Suhaizan Kayat

Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda [12 kerusi]

Seramai 68 orang layak bertanding

Ketua Dewan Muslimat (4)

1. Nuridah Salleh (penyandang)
2. Dr Siti Mariah Mahmud
3. Dr Asiah Ali
4. Siti Zailah Mohd Yusoff

Timbalan ketua muslimat (6)

1. Siti Zailah Mohd Yusoff (penyandang)
2. Dr Asiah Ali
3. Mumtaz Md Nawi
4. Dr Siti Mariah Mahmud
5. Wan Hasrina Wan Hassan
6. Nuridah Salleh (ketua muslimat)

Naib ketua muslimat (11)

1. Aiman Athirah al-Jundi
2. Dr Asiah Ali
3. Mumtaz Md Nawi (penyandang)
4. Mastura Mohamad
5. Dr Najhatussolehah Ahmad
6. Normala Sudirman
7. Nuridah Salleh (ketua muslimat)
8. Rohani Ibrahim
9. Dr Siti Mariah Mahmud
10. Siti Zailah Mohd Yusoff (timbalan ketua muslimat)
11. Wan Hasrina Wan Hassan

Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat [17 kerusi]

Seramai 54 orang disah layak bertanding
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...