Showing posts with label Pilihan Raya. Show all posts
Showing posts with label Pilihan Raya. Show all posts

Monday, October 31, 2016

Pan harap insiden bunuh diri cetus kebangkitan rakyat

Parti Amanah Negara (Pan) memperlihatkan hasrat untuk melihat insiden kematian Sukri Saad yang didakwa membunuh diri dengan terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam, Pulau Pinang minggu lalu, mencetuskan kebangkitan besar-besaran, sehingga berupaya menjatuhkan pemerintah Barisan Nasional. 

Sikap ini dapat dilihat melalui kenyataan Ahli Parlimen Pan, Mujahid Yusuf pada 30 Oktober, yang mengulas insiden itu sepenuhnya dari sudut "penindasan dan kezaliman" pemerintah dan sistem, menjelang perhimpunan Bersih kali kelima yang Pan menjadi antara penggerak utamanya, dalam usaha meningkatkan tekanan kepada pemerintah BN pimpinan Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Kenyataan beliau mengaitkan insiden ikonik dan bersejarah tindakan sami Buddha membakar diri di Vietnam dan Tariq Mohamed Bouazizi di Tunisia yang mencetuskan protes pertama kebangkitan Arab pada Disember 2010.

Sukri didakwa membunuh diri akibat kecewa dengan pihak berkuasa negara ini, satu sebab yang menepati naratif rakyat tertindas yang gemar dibawa oleh pihak pembangkang. Eksploitasi insiden didakwa pembunuhan diri ini secara besar-besaran oleh Pan dan sekutunya telah dijangka oleh banyak pihak, dan kenyataan Mujahid ini mengesahkan apa yang telah dijangka.

Perhimpunan Bersih 5 dijadualkan pada 19 November, 2016, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 yang dijangka diadakan pada awal tahun depan. Pihak penganjur, terutama Pan, amat berharap Bersih 5 mendapat penyertaan ramai terutama daripada kalangan orang Melayu, selepas gagal menarik penyertaan Melayu dalam Bersih 4 pada hujung Ogos tahun lalu.

Pan dipimpin oleh Mohamad Sabu sebagai presiden, yang mendapat kredit sebagai penggerak massa yang berjaya semasa bersama PAS. Kegagalan menarik penyertaan orang Melayu dan ahli PAS pada Bersih 4 dilihat sebagai satu kegagalan besar beliau, dan dipercayai menjadi permulaan terhakisnya kepercayaan DAP pada sekutu kuatnya itu.

Dalam perhimpunan Bersih keempat pada 29 dan 30 Ogos tahun lepas, kaum Cina mendominasi protes tersebut, dengan penyertaan Melayu yang kecil dan jauh merosot berbanding perhimpunan sebelumnya, dipercayai ramai akibat tindakan PAS menarik diri.

Sukri dilaporkan kecewa dengan tindakan pihak berkuasa terhadapnya dan mengambil keputusan membunuh diri untuk mengelak keluarganya menanggung malu.

Laporan insiden ini oleh media liberal dan respons segera di media sosial dengan pantas mengaitkannya dengan "kegagalan sistem" di negara ini dan dengan kelemahan kerajaan pimpinan Najib, tema yang hampir sama dengan insiden yang dikenali ramai sebagai pencetus kebangkitan "Arab spring" di Tunisia.



Tuesday, July 1, 2014

Selepas rombakan kabinet, tiada lagi tsunami Cina?

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak telah menambah anggota kabinetnya minggu lalu, melantik wakil-wakil MCA dan Gerakan.

Parti-parti Cina itu kembali ke kabinet melalui pelantikan itu, selepas "tsunami Cina" pada Pilihan Raya Umum ke-13 menyaksikan MCA, parti Cina terbesar dalam Barisan Nasional tewas teruk.

Kemasukan kembali wakil-wakil Cina ke kabinet menyusuli kemenangan wakil Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan bulan lepas.

Teluk Intan menjadi petanda jelas peralihan undi etnik Cina, apabila wakil DAP tewas kepada calon BN, yang dijanjikan jawatan dalam kabinet Najib sekiranya menang.

MCA telah agak lama menunjukkan kesediaan untuk kembali ke kabinet, satu perubahan pendirian yang menunjukkan penilaian semula oleh parti itu selepas tsunami Cina tidak menghasilkan perubahan pemerintahan di peringkat persekutuan.

MCA menunjukkan yang parti itu melihat ketiadaan mereka dalam kabinet merugikan, dan juga memberi gambaran parti Cina itu bersedia berperanan semula dalam pemerintahan BN.

Penilaian semula ini menunjukkan sikap pragmatik parti MCA dan juga komuniti Cina yang diwakili mereka, yang bertindak berdasarkan keperluan semasa.

Di pihak Najib, penambahan anggota kabinet Cina ini menunjukkan yang beliau masih berusaha memenangi undi Cina melalui MCA dan Gerakan, dan mampu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan Umno sendiri.

MCA dilihat oleh sesetengah pihak dalam Umno sebagai menjadi penyumbang besar kepada kemerosotan undi yang besar dalam pilihan raya umum lalu.

Malah ada yang menilai MCA tidak menunjukkan usaha yang cukup dalam mempertahankan BN dan melawan kempen lawan terutama DAP.

Najib yang mengambil pendekatan liberal sejak menjawat jawatan perdana menteri menunjukkan yang beliau masih tidak berputus asa dalam usaha memenangi undi Cina, menunjukkan beliau telah memulakan usaha menghadapi pilihan raya akan datang.

Hal ini dilihat sesuatu yang rasional sekiranya didasarkan pada hasil pengundian di Teluk Intan, dan berdasarkan penilaian pencapaian DAP dan Pakatan Rakyat melibatkan undi Cina telah mencapai jumlah maksimum dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Satu perkembangan semasa menunjukkan sesuatu yang dapat menjelaskan peranan MCA dalam membantu BN dan menjejaskan DAP, iaitu melibatkan permainan isu militan dalam media.

Akhbar dikuasai MCA, Star melapor dan menyorot isu militan di Syria dan Iraq secara berterusan, yang antara kesannya yang boleh dijangka ialah kesan negatif terhadap PAS dan juga sekutunya.

Hal yang hampir sama berlaku ekoran peristiwa serangan pada 11 September, 2001 di Amerika Syarikat, apabila kumpulan-kumpulan Islam termasuk PAS dipalitkan dengan imej sangat negatif, hingga memberi kesan kepada hubungannya dengan parti rakan.

Permainan dalam media MCA ini menunjukkan satu agenda yang besar melibatkan peranannya dalam BN, dan menandakan satu perkembangan baharu dalam politik BN-PR. - Jun 27, 2014

Saturday, June 14, 2014

Kenapa Dyana Sofya kalah di Teluk Intan

Pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan telah berakhir dengan kemenangan calon Barisan Nasional daripada Parti Gerakan, Datuk Mah Siew Kieong, merampas kerusi parlimen itu daripada DAP yang memenanginya dalam dua pilihan raya umum sebelum ini.

Mah menang dengan majoriti 238 undi apabila memperolehi 20,157 undi berbanding calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud mendapat 19,919 undi.

Kemenangan ini menjadi satu pencapaian besar kepada Gerakan, memandangkan kerusi ini boleh disifatkan sebagai satu kawasan yang agak selamat bagi DAP.

M Manogaran daripada DAP memenangi Parlimen Teluk Intan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 dengan memperolehi 18,486 undi, mengatasi Mah yang mendapat 17,016 undi.

Mah sekali lagi tewas pada Pilihan Raya Umum ke-13, apabila hanya mendapat 20,086 undi, berbanding calon DAP Seah Leong Peng yang memenangi 27,399 undi. Seorang lagi pesaing, calon bebas Moralingam Kannan mendapat 279 undi.

Teluk Intan menyediakan peluang kedua selepas Kajang untuk pengundi di negara ini menunjukkan faktor kaum bukan penentu dalam pilihan raya, seperti yang disebut oleh pemimpin-pemimpin parti politik sebagai menolak politik berasaskan kaum.

Tetapi, ternyata pengundi mempunyai pelbagai faktor untuk dipertimbangkan, dan Mah nampaknya mempunyai faktor-faktor yang dikehendaki oleh sebahagian besar pengundi Teluk Intan.

Dilihat dari sudut pengundian berdasarkan kaum, keputusan memberi gambaran yang pengundi Cina mengundi "bakal menteri besar" di Kajang dan "bakal menteri kabinet" di Teluk Intan.

Pengundi Cina di Teluk Intan - yang mengundi dan yang memilih untuk tidak mengundi - kelihatan mempunyai pertimbangan pragmatik tersendiri dalam membuat pilihan dalam pilihan raya kecil ini.

Pelbagai faktor telah ditimbulkan sebagai punca kekalahan Dyana, seperti faktor kaum dan agamanya. Isu berkaitan hukum syariah termasuk hudud yang disebut sebagai satu punca bukan sahaja memberi kesan kepada pilihan raya, tetapi masih berterusan hingga selepas tamat pilihan raya, antara pemimpin PAS dan DAP.

Imej awal kemunculan Dyana kelihatan telah memberi kesan kepada hubungan PAS dengan DAP. Beliau muncul dalam keadaan tidak bertudung dan laporan beliau "menolak hudud" terbit pada masa awal kempen Teluk Intan.

Isu ini mungkin dilihat sebagai remeh oleh sesetengah pihak, tetapi sensitiviti parti-parti yang beragam dalam kerjasama Pakatan rakyat yang berbeza-beza membolehkan pelbagai isu memberi kesan kepada pihak yang terlibat.

Hal ini telah memberi kesan kepada penglibatan dan komitmen PAS dalam kempen pilihan raya kecil ini, terutama melibatkan kelompok yang lebih konservatif dalam PAS.

Bangsa dan agama Dyana telah memberi kesan kepada kedua-dua PAS dan DAP, seperti penjelasan berhubung pendirian beliau menolak hudud dan penerimaan pengundi Cina tempatan terhadap anak muda Melayu ini.

Ini turut dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sendiri, mengakui yang percubaan kali ini tidak mendatangkan hasil seperti yang diharapkan. Lim dilapor berkata penurunan undi Cina mungkin disebabkan Dyana seorang Melayu.

DAP melihat tindakan meletakkan calon berbangsa Melayu ini sebagai satu usaha membawa politik baharu yang tidak berasaskan kaum, dan akan diterima pada masa depan. Pencalonan Dyana disifatkan sebagai satu pelaburan untuk masa depan.

Mungkin yang paling menjejaskan kepada masyarakat Cina ialah kaitan beliau dan ibunya dengan pertubuhan Perkasa, sehingga mempunyai hubungan yang baik dengan Datuk Ibrahim Ali. Banyak gambar yang menjelaskan hubungan ini telah terdedah sepanjang kempen.

Isu ini pula ditimbulkan berkali-kali dan terus hidup hingga ke saat-saat akhir kempen, tanpa jawapan yang meyakinkan daripada Dyana. Malah, jawapan beliau mendedahkan lebih banyak kekusutan.

Tindakan ibu beliau keluar daripada Perkasa membuktikan penglibatan dalam pertubuhan itu, dan menimbulkan persoalan sama ada adakah beliau bertindak sedemikian selepas pendedahan penglibatan beliau dibuat, dan adakah tindakan sama akan dilakukan sekiranya hal ini tidak terdedah.

Tidak kurang penting yang menjadi sebab kekalahan Dyana ialah politik dalaman DAP sendiri, disebabkan faksi-faksi yang bersaing dalam politik parti di negeri Perak.

Dyana bukan pilihan utama kumpulan-kumpulan utama dalam DAP di Perak, dan dibawa oleh Lim Kit Siang untuk bertanding di Teluk Intan. Beliau berdepan lawan seorang pemimpin veteran dan jauh lebih dikenali penduduk Teluk Intan. Kesemua faktor ini akhirnya menyebabkan kekalahan Dyana, walaupun dengan undi yang kecil.

Teluk Intan telah menunjukkan satu cabaran besar dalam menangani sensitiviti antara parti dalam Pakatan yang mudah terusik, dan sensitiviti pengundi terhadap pelbagai faktor, yang berkait dengan pertimbangan pragmatik kehendak setempat.

Semua ini menyediakan satu kes penting untuk dinilai oleh parti-parti Pakatan dalam menuju Pilihan Raya Umum ke-14. - Jun 3, 2014

Tuesday, March 11, 2014

Bagaimana pengundi Kajang menilai Wan Azizah?

Pilihan raya kecil Kajang, di atas kertas, agak kurang enak apabila dijelaskan, terutama kepada Pakatan Rakyat.

Wakil rakyat Kajang meletakkan jawatan, memberi laluan kepada seorang pemimpin yang telah menjadi ketua pembangkang selepas diberi laluan di Parlimen Permatang Pauh oleh isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang meletak jawatan.

Bekas wakil Permatang Pauh itu, yang dulu meletak jawatan, kini dicalonkan untuk menggantikan wakil rakyat Kajang yang meletak jawatan itu.

Dinilai berdasarkan agenda besar yang diuar-uarkan sebagai satu permulaan rancangan besar untuk meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri besar Selangor, sebagai persediaan menjadi perdana menteri tidak lama lagi, Kajang sudah kehilangan segala nilainya seperti yang digembar-gemburkan sejak beberapa minggu lalu.

Cerita menggantikan menteri besar tidak kedengaran lagi, malah kini diatasi oleh cerita Anwar didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Perkembangan sejak Jumaat 7 Mac lalu tidak menyebelahi Anwar dan PR. Rasa tidak sepakat dalam kalangan PR kelihatan jelas dalam pilihan raya kecil kali ini.

Keesokan harinya, 8 Mac, konvensyen PR kali kelima diadakan di Shah Alam, Selangor - negeri dikuasai PR yang paling berharga dan paling diuji - tanpa promosi besar-besaran dan suasana tertunggu-tunggu seperti sebelum ini.

Semasa konvensyen, pakaian yang seragam pemimpin-pemimpin dan juga petugas Jabatan Amal PAS tidak dapat melindungi rasa ketidaksepakatan yang telah lama terbuku.

Pada masa kepimpinan Anwar semakin dirasakan berada di penghujung, PR masih belum menampakkan pemimpin pelapis yang mampu, dan Anwar kekal dengan kedudukannya yang hampir menyamai pemimpin kultus itu.

Dengan kedudukan yang semakin tercabar, Wan Azizah akan mengharapkan sokongan kepada PR dan simpati pengundi untuk menghadapi BN di Kajang.



Wednesday, February 26, 2014

Kajang antara pemulihan MCA dan kebimbangan Umno

Oleh JOHARI M

Barisan Nasional telah memutuskan untuk meletakkan Datin Paduka Chew Mei Fun, naib presiden MCA bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, bersaing dengan nama-nama besar seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Zaid Ibrahim, yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding.

Jelas sekali apa yang menjadi penilaian utama BN dalam meletakkan calon MCA ialah harapan merebut undi kaum Cina yang merupakan sekitar 40 peratus pengundi di kawasan itu.

Perkiraan ini sekali pandang nampak seperti strategi yang baik, tetapi apabila dilihat dengan lebih mendalam mendedahkan kaum Cina di Kajang kepada satu dilema dan implikasi yang negatif.

Calon Dun Kajang sebelum ini ialah wakil Cina daripada PKR, yang telah meletak jawatan dan memberi laluan kepada Anwar, pemimpin Pakatan Rakyat berbangsa Melayu.

Pengundi Cina Kajang dijangka memberi undi secara blok kepada Anwar, atas merit beliau sebagai pemimpin PR yang dilihat sebagai boleh memelihara kepentingan mereka tanpa mengira bangsa.

Calon daripada MCA dinilai mampu mencabar Anwar dan calon lain berdasarkan MCA yang telah agak pulih dan diharap mampu menarik kembali sokongan kaum Cina yang pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu meletak sepenuh harapan pada PR.

BN berharap perletakan jawatan wakil rakyat Kajang sebelum ini dan penyerahan kerusi itu kepada Anwar dilihat secara negatif oleh kaum Cina, dan akan membuat undi protes.

Sekiranya MCA menang, BN akan meraikan satu kejayaan yang mengejutkan dan menggembirakan, tetapi corak pengundian itu akan menunjukkan yang kaum Cina hanya mahu mengundi kaum mereka sendiri sahaja.

Hal yang sama juga sekiranya undi MCA meningkat dan majoriti kemenangan PR merosot berbanding PRU 13 yang lalu. Hakikat itu akan dapat dieksploit.


Perkiraan ini memberi gambaran tentang tanggapan BN terhadap pengundi Cina bukan sahaja di Kajang tetapi di seluruh negara, bahawa perkiraan kaum ialah yang paling penting.

Pilihan BN meletakkan calon daripada kaum Cina telah meletakkan pengundi Cina Kajang dalam persoalan yang boleh mencetuskan isu yang sukar kepada mereka.

Dalam persaingan di Kajang, Anwar nampaknya mempunyai kelebihan paling banyak, kerana sejak awal telah mengumumkan akan bertanding, tindakan yang menunjukkan kesungguhan dan tekad untuk mewakili rakyat Kajang.

Anwar turun bertemu orang ramai dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan berhubung masalah setempat dan nasional, menunjukkan kesungguhan beliau.

Kehadiran beliau di Kajang sejak awal juga memberi kelebihan kerana paling awal bertemu rakyat Kajang dan membina hubungan, pada masa BN lambat membuat keputusan dan pada satu ketika kelihatan ketiadaan calon yang mempunyai kualiti boleh menang hingga muncul cadangan meletakkan jaguh badminton nasional Lee Chong Wei.

Sebab BN tidak meletakkan calon Umno dijangka disebabkan perkiraan yang hampir sama, yakni kerana tidak yakin kaum Cina akan memberi sokongan kepada calon Umno.

Pengundi Melayu yang membentuk majoriti juga tidak diyakini dapat memberi undi kepada Umno, kerana sokongan kuat kepada PR yang telah menunjukkan kemampuan menggantikan BN sebagai kerajaan di Putrajaya.

Pada PRU 13, Umno dihukum kerana mengambil kerusi yang selama ini ditandingi oleh MCA. Umno nampaknya tidak mahu hal ini berulang di Kajang, dan mungkin melihat tidak ada calon Melayu Umno yang mampu berdepan dengan Anwar, terutama dalam merebut sokongan kaum Cina.

Pilihan raya kecil Kajang itu nanti akan menjadi satu referendum kepada sokongan kaum Cina kepada MCA dan BN, selepas hampir setahun PRU 13 berlalu. - Februari 21, 2014

Saturday, February 1, 2014

Pilihan raya kecil Kajang dan masa depan Pakatan Rakyat

Perletakan jawatan wakil rakyat Kajang dan persetujuan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi itu menjadi berita paling mengejutkan dalam politik negara pada masa ini.

Perkembangan ini meletakkan PKR dan Pakatan Rakyat dalam keadaan defensif, kerana tindakan yang tidak dapat diberi justifikasi dan memberi gambaran kepentingan agenda peribadi dan kumpulan mengatasi kepentingan rakyat.

Banyak persoalan sukar timbul ekoran keputusan perletakan jawatan dan hasrat Anwar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, yang bakal membuka ruang kepadanya menjadi sebahagian kerajaan Selangor.

Sekurang-kurangnya tiga isu utama menjadikan episod terbaharu drama politik di Selangor ini menunjukkan kelemahan serius PKR terutamanya, dan juga PR dalam menangani persaingan kuasa di negeri ini.

Perletakan jawatan Lee Chin Cheh tanpa sebarang sebab yang dapat diterima ialah masalah pertama yang timbul, walaupun isu ini terus tenggelam disebabkan perkembangan selepas itu yang lebih menarik minat ramai.

Kedua ialah keperluan menukar menteri besar sedia ada kepada pemimpin lain, tanpa ada kesalahan atau isu-isu yang membolehkan tindakan ini diambil, dengan persetujuan parti-parti PR yang bersama membentuk kerajaan negeri.

Ketiga pemilihan Anwar, yang dilakukan dengan segera, untuk bertanding di kerusi Dun Kajang. Ini menimbulkan persoalan berhubung keperluan beliau bertanding dan berperanan dalam politik dan pentadbiran Selangor, pada masa sama beliau berperanan sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

Tiga isu ini, tidak dapat tidak menunjukkan ke arah politik peribadi dan kumpulan semata-mata, dengan mengabaikan kepentingan rakyat dan kerjasama politik parti-parti Pakatan.

Perkembangan ini kini menjadi ujian terbesar kepada PR, melibatkan integritinya sebagai sebuah gabungan yang selama ini mendakwa meletakkan kepentingan rakyat sebagai satu agenda utama perjuangan.

Perletakan jawatan seorang wakil rakyat yang telah dipilih tidak sepatutnya berlaku dengan begitu mudah, dengan matlamat membuka jalan kepada pemimpin lain untuk memposisikan diri dan mendapatkan kuasa.

Menteri besar, bukan sahaja di Selangor tetapi juga di negeri-negeri lain sentiasa terdedah kepada pelbagai cabaran dan kontroversi. Ada yang lebih melibatkan permainan politik dalaman dan antara parti, dan ada yang melibatkan hal pentadbiran.

Menteri besar sedia ada tidak menampakkan sebarang kelemahan yang serius hingga memerlukan beliau diganti, apatah lagi dengan segala drama permainan politik yang bertaraf rendah dan menjejaskan imej dan nama baik PR secara keseluruhan.

Ruang yang dibuka kepada Anwar pula menunjukkan dominasi seorang pemimpin yang berlebihan dan mencetuskan pelbagai konflik lain, kepada kerajaan negeri, partinya dan PR.

Apa pun kedudukan Anwar sekiranya menang nanti, beliau bakal membawa pengaruh yang besar disebabkan kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi PKR. Ini akan memberi kesan yang tidak sepatutnya sekiranya beliau dapat menjadi menteri besar, dan lebih buruk lagi sekiranya tidak.

Kerosakan telah berlaku akibat percaturan politik ini, yang terus dikecam bukan sahaja oleh pesaing politik tetapi juga rakan dan penyokong. Parti-parti komponen dalam PR, terutama PAS, perlu mengambil tindakan yang rasional dalam menangani kemelut ini.

Kekecohan yang dirasai pada masa ini, walaupun menggemparkan, mungkin hanyalah permulaan kepada satu kerumitan yang lebih panjang dan kompleks.

Kepentingan kerjasama politik dan menjaga hubungan sememangnya penting demi memastikan kelangsungan pakatan politik ini, tetapi tidaklah jauh lebih mengatasi kepentingan rakyat. - Januari 28, 2014

Monday, December 30, 2013

2014, tahun tekanan, tahun protes?

Menurut kajian oleh Unit Intelijen Ekonomis (EIU), Malaysia tersenarai sebagai salah sebuah negara yang berisiko rendah untuk menghadapi protes hingga membawa kepada kekacauan sosial pada tahun 2014 nanti.

Malaysia menurut kajian itu, tersenarai bersama negara aman dan stabil lain seperti Sweden, Finland, Jerman dan New Zealand, negara yang jauh kurang menghadapi kompleksiti kepelbagaian berbanding Malaysia.

Laporan ini mungkin melegakan bagi pihak parti pemerintah, yang baru lepas melalui pilihan raya yang mencabar dan akan memasuki tempoh getir berhubung hal ehwal ekonomi rakyat.

Bagi pihak yang mahu protes terus digiatkan bagi meningkatkan tekanan ke atas pemerintah, laporan itu dinilai dengan sangat kritikal.

Walau bagaimanapun, berdasarkan perkembangan terkini di dalam negara, masih banyak yang boleh berubah, disebabkan ketidaktentuan yang menanti pada tahun depan.

Pemerintah Barisan Nasional telah menjadi sasaran sentimen negatif orang ramai dan pembangkang ekoran prospek kenaikan harga tol dan tarif elektrik, yang menambahkan lagi kos kehidupan harian rakyat.

Selain kenaikan itu, kenaikan harga bahan bakar tidak lama dulu akan menampakkan lagi kesannya pada tahun 2014 nanti.

Perkembangan semasa mempunyai potensi untuk mengulangi suasana global tahun 2007-2008, ketika dunia dilanda kenaikan drastik harga beras dan bijirin lain melebihi 100 peratus hingga mencetuskan protes di banyak negara dan menggugat pemerintah.


Hal ini dipercayai menyumbang kepada prestasi buruk gabungan parti pemerintah BN dalam pilihan raya yang diadakan pada Mac 2008.

Semua ini dapat digunakan oleh penentang parti pemerintah untuk menggerakkan protes dan menambahkan tekanan ke atas pemerintah, walaupun pilihan raya umum - yang pasti diambil kira oleh pemerintah dalam menguruskan kenaikan itu - telah berlalu.

Isu ekonomi sentiasa menjadi hal besar yang memberi kesan kepada pemerintah, dan tahun 2014 nanti akan menjadi sangat mencabar kepada BN, dalam keadaan ekonomi yang menyuburkan rasa tertekan dan tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

Pemerintah sentiasa menjadi pihak yang perlu memberikan jawapan kepada rakyat apabila keadaan ekonomi buruk, dan sentiasa menjadi yang awal menerima kesan rasa tidak puas hati itu.

Ini menjelaskan tindakan segera pihak berkuasa terhadap aktivis yang terlibat dalam protes harga barang menjelang tahun baru 2014 beberapa hari lagi.

Kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang kini menghadapi cabaran menguruskan sentimen ini dalam persaingan mengekalkan dan merebut sokongan rakyat dan menjadi pihak yang suaranya paling didengari.

Pihak Pakatan Rakyat telah mula menggerakkan protes menentang cukai barangan dan perkhidmatan yang bakal dilaksanakan, dan kumpulan-kumpulan lain turut terlibat mengeksploit kemarahan untuk dihalakan kepada parti pemerintah.

Ini semua meningkatkan kemungkinan tahun 2014 nanti akan menyaksikan siri protes besar-besaran terhadap pemerintah BN, yang dipertanggungjawabkan atas peningkatan kos hidup yang dirasai hari ini.

Lebih memburukkan keadaan kepada BN, kenaikan harga seperti tol dan tarif elektrik, dan GST yang akan menyusul, dikaitkan terus dengan dasar pemerintah - terutama pemberian konsesi kepada syarikat-syarikat pengendali lebuh raya - pada masa sama pemimpin-pemimpin dan ahli keluarga dilihat masih meneruskan gaya hidup mewah.

Berkaitan kenaikan tol, hal ini mendedahkan dengan jelas kegagalan BN menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya umum lalu untuk mengurangkan kadar tol antara bandar secara berperingkat.

Pada masa sama, mood global juga memperlihatkan protes politik menjadi sesuatu yang semakin menjadi pilihan ramai, sejak bermula protes besar-besaran di dunia Arab lebih tiga tahun lalu.

Apa pun jangkaan yang dibuat, tahun 2014 nanti boleh dijangka menjadi tahun yang mencabar kepada BN, yang bakal menghadapi kesan rasa tertekan rakyat akibat kenaikan kos. - Disember 27, 2013

Sunday, December 22, 2013

Kebangkitan Arab: Antara demokrasi, perubahan dan kesinambungan


Pada Disember 2010, peristiwa yang disifatkan permulaan gelombang kebangkitan menuntut demokrasi bermula di dunia Arab, di Tunisia.

Secara mudah, siri protes di negara-negara Asia Barat dan Afrika Utara itu disifatkan sebagai proses pendemokrasian yang baik untuk kesejahteraan warga dunia Arab.

Demokrasi dijadikan kata kunci utama dalam perbincangan mengenai kebangkitan Arab, dan Tunisia diterima sebagai titik mulanya.

Kini, selepas tiga tahun, perbincangan tentang kebangkitan Arab memerlukan perhatian yang lebih luas daripada sekadar demokrasi dan menuntut penilaian yang lebih kritikal.

Tulisan di bawah ini, yang ditulis pada Januari tahun ini, menimbulkan persoalan-persoalan berhubung konsensus yang diterima apabila membincangkan kebangkitan Arab, dan menekankan perhatian lebih pada perubahan dan kesinambungan dalam perkembangan ini.  

Kebangkitan Arab: Demokrasi, perubahan dan kesinambungan
Oleh HARIS ZALKAPLI

Dunia Arab yang meliputi Asia Barat dan Afrika Utara menjadi perhatian dunia sejak tercetus kebangkitan yang menjatuhkan pemerintah di Tunisia, yang disebut sebagai permulaan peristiwa besar dinamakan “Arab spring.”

Dua hal di sini ditetapkan dan diterima ramai; iaitu kebangkitan bermula di Tunisia, dan diletakkan di bawah tajuk besar satu kebangkitan baharu dalam politik dunia.

Hakikatnya, Tunisia boleh dianggap permulaan satu gelombang baharu kebangkitan di dunia Arab, tetapi sebelum Tunisia, kebangkitan telah berlaku di Yaman pada 2009, dalam pertembungan terbaharu pemberontak Houthi di utara dengan kerajaan, dan di Bahrain, melibatkan warga yang majoritinya beraliran Islam Syiah.


Kebangkitan di dunia Arab telah berlaku banyak kali sebelum Disember 2010 di Tunisia, yang tiba-tiba mendapat perhatian khusus media Barat dan dunia dan dijadikan satu permulaan episod baharu warga dunia Arab menuntut demokrasi dan kebebasan.

Bahrain kini menjadi satu kisah kebangkitan yang gagal, akibat ditekan hebat oleh pemerintah monarki negara itu dan kuasa serantau Arab Saudi, yang turut menghantar tentera untuk membantu rejim mematahkan protes rakyat.

Protes di Bahrain, yang menerima tekanan kuat dan tindakan keras pemerintah kini tenggelam daripada perhatian dunia dan juga umat Muslim sedunia yang secara umumnya berminat memerhatikan perubahan yang sedang melanda dunia Islam di rantau Asia Barat dan Afrika Utara.

Apa yang menarik di sini ialah sekiranya berlaku perubahan pemerintahan di Bahrain, perubahan yang berlaku itu berpotensi menjadi perubahan yang paling besar, melibatkan perubahan sistem dan bukan sekadar perubahan pemimpin seperti yang berlaku di Tunisia dan Mesir, dua kes perubahan yang paling menarik minat dan dijadikan contoh perubahan di dunia Arab.

Lebih memburukkan keadaan, kebangkitan di Bahrain dan di negara-negara monarki Arab Teluk Parsi diberikan wajah sektarian oleh pemerintah monarki terbabit, dengan menuding kepada pengaruh asing dari Iran.

Elemen Syiah dan pengaruh Iran dijadikan isu yang utama, mencetuskan sentimen sektarian di dalam negara terbabit dan juga mempengaruhi pemerhati dari luar dalam kalangan sesetengah umat Muslim.

Permainan politik monarki Arab itu terlepas daripada pandangan dan penilaian kritikal banyak pihak, lebih-lebih lagi akibat sentimen yang sudah terbina dan perhatian yang dihalakan ke Syria, yang bertentangan dengan Bahrain yang majoriti Syiah tetapi berpemerintah Sunni, dikuasai pemerintah daripada sekte minoriti dengan majoriti penduduk beraliran Sunni.

Kebangkitan di Bahrain terus tenggelam daripada pemerhatian umat Muslim pada masa ini, ekoran pertembungan yang lebih rancak di Syria dan seluruh wilayah Syam, tempat terletaknya Palestin yang melibatkan isu sentral dunia Islam.

Kebangkitan di Bahrain yang terkini, bermula pada 2010 itu tidak berakhir dan diteruskan setelah episod yang dinamakan kebangkitan Arab itu bermula.

Kini, selepas lebih dua tahun gelombang dinamakan “Arab spring” itu berlangsung, Bahrain terus tenggelam, ditenggelamkan sentimen sektarian dan perhatian media yang jauh lebih kecil berbanding kisah di Syria.

Pengalaman menuntut demokrasi dan kejayaan yang bermakna juga tidak bermula dengan Tunisia, seperti yang mungkin tergambar hasil wacana yang berleluasa pada masa kini.

Pada 2006, Hamas, kumpulan Islam yang dilabel teroris oleh Barat memenangi pilihan raya parlimen di Palestin berdepan dengan Fatah, kumpulan sekular yang didukungi Barat.

Peristiwa ini, selepas episod kemenangan kumpulan Islam di Algeria pada pilihan raya 1991, menunjukkan pengalaman demokrasi yang tidak asing kepada dunia Arab, tetapi berdepan halangan termasuk akibat tidak sehaluan dengan kuasa-kuasa Barat.

Peristiwa-peristiwa itu tidak diletakkan di bawah tajuk demokrasi yang sewajarnya, dan tidak disambut seperti kebangkitan terkini yang bermula di Tunisia, tetapi masih berada di bawah tajuk “ancaman Islamis” dan sama ada Islam dan demokrasi itu selari, yang sering kali bermaksud adakah Islamis akan mengancam nilai-nilai demokratik dan mencabulhak asasi manusia.

Di Iraq pula, yang dinamakan sesetengah pemerhati sebagai “Arab spring” pertama, pada Januari 2005 menyaksikan pilihan raya pertama pasca-Saddam Hussein, yang hasilnya meletakkan kepimpinan baharu yang jauh berbeza komposisinya, melibatkan aliran ideologi politik dan sekte agama.

Tetapi, episod ini juga dilihat dari sisi sektarian dan bukan kebangkitan menuntut demokrasi. Pemimpin Jordan, Raja Abdullah dalam satu wawancara dengan akhbar Washington Post memberi amaran tentang ancaman pengaruh Iran yang bakal diberi ruang besar hasil pilihan raya itu.

Abdullah memberi amaran tentang kewujudan kawasan di bawah pengaruh Iran yang dinamakan bulan sabit Syiah, meliputi kawasan berbentuk seperti bulan sabit dari Syam (Lubnan, Syria) hingga ke Teluk Parsi.

Amaran ini telah membentuk dan mempengaruhi wacana berhubung hubungan Sunni-Syiah dan pengaruh Iran, mempengaruhi sikap rejim-rejim Arab, Israel dan kuasa-kuasa Barat.

Perkembangan melibatkan Syria, Hamas dan hubungan Arab dengan Iran pada masa ini mendapat sumbangan besar daripada wacana yang diperkukuhkan oleh amaran Raja Abdullah pada Disember 2004 itu.

Wacana yang meletakkan kebangkitan bermula di Tunisia sebagai satu permulaan baharu dalam politik dunia juga mengabaikan kebangkitan-kebangkitan di Asia Tengah dan Kaukasus yang bermula sejak hujung 2003.

Bermula di Georgia pada 2003, Ukraine pada 2004-2005 dan Kyrgyzstan pada 2005, mood kebangkitan dan protes telah bermula, dan menjadi satu ciri politik terkini.

Pada masa sama, Amerika Syarikat juga meningkatkan kempen penyebaran demokrasi di seluruh dunia, melalui usaha bersepadu kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan program latihan dan pendidikan hal-hal berkaitan demokrasi dan hak asasi manusia.

Usaha penyebaran demokrasi ini menyumbang satu bahagian besar kepada kebangkitan yang disaksikan di seluruh dunia, termasuk di dunia Arab.

Ini menjelaskan bahawa kebangkitan itu terhasil daripada banyak faktor dan bukan berlaku dengan berasaskan kesedaran yang datang tiba-tiba, walaupun tidak dapat dinafikan penyertaan sebahagian besar massa hanya tercetus selepas protes bermula.

Malah, pada 2010, berlaku satu lagi kebangkitan yang mengubah pemerintah di Kyrgyzstan, menjadikan dekad yang lalu dipenuhi kisah kebangkitan rakyat, yang sering disebut dengan takrif popular revolusi.

Tanpa menafikan kepentingan kebangkitan Arab dalam mencetus dan meningkatkan mood perubahan, protes dan kebangkitan di dunia Arab tidak boleh dilihat secara terpisah daripada trend kebangkitan di seluruh dunia, yang tercetus hasil kesedaran politik yang semakin meningkat dan berleluasa.

Selepas lebih dua tahun berlalu, janji-janji perubahan yang muncul pada peringkat awal kebangkitan juga perlu dinilai dengan lebih mendalam.

Sebarang perubahan politik yang dramatik dan emotif pasti akan mencetuskan sekali harapan-harapan besar, seperti disaksikan di Tunisia dan Mesir terutamanya.

Tunisia ialah negara Rachid Ghannouchi, pemikir Muslim yang popular dalam kalangan ahli gerakan Islam. Begitu juga Mesir yang menjadi medan Ikhwan al-Muslimin dan Dr Yusuf al-Qaradawi.

Kedua-duanya diharapkan oleh gerakan Islam, sekurang-kurangnya di negara kita, untuk memainkan peranan yang lebih dalam pemerintahan negara masing-masing selepas berlaku perubahan.

Kini, kelihatan harapan yang diletakkan pada mereka terlalu besar, dan telah melampaui jangkaan-jangkaan realistik, melibatkan pentadbiran, pembinaan negara dan juga hal ehwal hubungan luar.

Malah sehingga kini, banyak komentar dan pemerhatian terhadap perkembangan di dunia Arab mengabaikan pemerhatian lebih teliti terhadap perubahan dan kesinambungan.

Jangkaan dan bacaan salah ini sehingga mencetuskan dakwaan kebangkitan Islam secara berlebihan, sehingga ada yang mengaitkan pemerintahan baharu di Mesir dengan kebangkitan semula khalifah Islam.

Kes Mesir ialah yang paling mudah untuk menjelaskan pemerhatian berhubung perubahan dan kesinambungan selepas kebangkitan yang mengubah pemerintah.

Antara isu utama yang diperhatikan dalam hal ini ialah hubungan negara-negara terbabit dengan Israel.

Satu kesilapan dalam hal ini ialah menjangka perubahan akan berlaku dengan segera dalam hal hubungan dengan Israel dan Barat, dan juga sama ada perubahan boleh berlaku.

Pemerintahan oleh Mohammad Morsi daripada Parti Kebebasan dan Keadilan yang berkait dengan Ikhwan hakikatnya tidak membawa haluan baharu yang fundamental.

Pemerintahan pasca-Mubarak dijangka membina hubungan lebih rapat dengan Hamas, membantu Gaza berdepan tekanan dan kepungan Israel.

Tetapi kepentingan nasional terbukti terlalu kuat untuk diabaikan, termasuk oleh pemerintahan daripada gerakan Islam.

Setakat ini belum dapat dilihat tindakan tegas dan jelas daripada kerajaan Morsi yang menunjukkan perubahan besar dalam hubungan dengan Israel.

Kaherah telah menghantar duta baharu ke Israel, meneruskan hubungan Mesir dengan Israel seperti biasa, walaupun tidak dinafikan kemungkinan sikap kritikal terhadap Israel dalam kalangan pemerintah baharu.

Pentadbiran Morsi telah memanggil pulang duta dari Israel ekoran serangan tentera Zionis ke atas Gaza pada November 2012, tetapi hal yang sama juga dilakukan pentadbiran Hosni Mubarak ekoran serangan ke atas Gaza pada Disember 2008 hingga Januari 2009.

Hal yang sama juga dapat diperhatikan pada tindakan Turki, ekoran serangan ke atas kapal bantuan Mavi Marmara pada 2010, yang menjelaskan tentang perubahan dan kelangsungan.

Hubungan Turki dengan Israel terjejas, dan mendapat sorakan ramai umat Muslim pada masa itu, yang mengangkat Turki dan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan sebagai wira umat.

Tetapi pemerhatian terhadap Turki dalam hal hubungannya dengan Israel semakin kurang mendapat perhatian selepas lama peristiwa itu berlalu.

Sejarah sebenarnya telah menunjukkan hubungan baik Turki di bawah Parti Keadilan dan Pembangunan dengan Israel, dan kemerosotan hubungan kedua-dua pihak pernah berlaku semasa pemerintahan tentera, yang mempunyai hubungan lebih baik dengan Israel dan Barat. 

Isu berkaitan Palestin dan Israel sememangnya mampu mencetuskan emosi dan sentimen, yang berdasarkan sejarah, sering kali hanya bersifat bermusim, iaitu sekitar masa serangan berlaku.

Kesimpulannya, kebangkitan Arab perlu dilihat dengan lebih mendalam dari sudut perubahan dan kesinambungan, supaya dapat melihat dengan lebih jelas dan tepat tentang kesannya, dan mendapat penilaian yang lebih adil dan bukan dikuasai sentimen.

Konsensus media, sama ada Barat atau Islamis, mempunyai kecenderungan masing-masing, memperbesarkan sesetengah hal dan memperkecilkan hal-hal lain menurut ideologi dan kecenderungan masing-masing.

Banyak peristiwa perubahan politik di seluruh dunia, yang sesetengahnya belum lagi lama berlalu dalam catatan sejarah, dapat memberi pengajaran berguna dalam usaha memahami perubahan yang berlaku.

Perubahan yang dramatik tidak bermakna berlaku pendemokrasian yang seiring, melainkan ada turun naiknya berdasarkan persaingan dalaman dan juga luaran melibatkan kuasa-kuasa serantau dan global.

Contoh seperti negara-negara bekas Soviet yang janji-janji revolusinya tidak tertunai seperti Georgia, Ukraine dan Kyrgyzstan perlu diambil kira sebagai pengajaran.

Ukraine menyaksikan pihak yang sama-sama berjuang dalam revolusi menjatuhkan rejim lama terlibat dalam persaingan dalaman hingga menjejaskan kerajaan yang terbina hasil kebangkitan rakyat itu.

Kyrgyzstan juga mengalami pengalaman yang sama, dengan kerajaan baharu terbukti gagal menunaikan janji dan bersikap sama dengan rejim lama yang dijatuhkan sebelum itu.

Perubahan yang segera dan dramatik jelas sekali satu perubahan memasuki fasa baharu, tetapi tidak bermakna semestinya proses demokrasi lebih mudah selepas itu.

Malaysia, yang sedang menyaksikan mood untuk perubahan yang membuak-buak, perlu melihat perubahan-perubahan di dunia Arab tersebut untuk mendapat pengajaran yang berguna berhubung perubahan dan kesinambungan.- Januari, 2013

Friday, March 8, 2013

Pencerobohan Sabah: Beberapa isu penting

Pencerobohan Sabah oleh pihak bersenjata dari Filipina telah berlanjutan hampir sebulan telah menambahkan lagi suasana panas politik dalaman kedua-dua negara Malaysia dan Filipina, dan segera sedang menampakkan dimensi serantaunya.

Politik domestik kedua-dua negara akan terkesan oleh peristiwa ini, yang kelihatan ditangani dengan berhati-hati oleh kedua-dua Kuala Lumpur dan Manila.

Filipina akan menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi, dan telah banyak bacaan berhubung permainan politik antara faksi di negara itu dijelaskan.

Kaitan antara bekas Presiden Gloria Macapagal-Arroyo dengan Jamalul Kiram III, yang bertanding dalam pilihan raya 2007 mewakili parti Arroyo dijadikan satu asas konspirasi peranan Arroyo.

Kaitan ini walau bagaimanapun dikritik sebagai konspirasi oleh pihak Presiden Benigno Aquino untuk memburukkan seteru politiknya itu.

Tetapi, Arroyo menunjukkan kaitan tersebut bukan hanya melibatkan Jamalul Kiram, tetapi juga Nur Misuari - pemimpin satu kumpulan Moro yang menunjukkan sokongan kepada pihak penceroboh - yang pernah diajak untuk menyertai pilihan raya di bawah tiket parti Arroyo, walaupun tujuan sebenarnya mencetus spekulasi.

Manila kini menghadapi tekanan ekoran perhatian yang kembali diberikan pada isu tuntutan Sabah, terutama apabila pemerintah dilihat berlembut terhadap tindakan Malaysia menyerang penceroboh yang berasal dari Filipina.

Tekanan ini dipercayai mendorong Manila mempertimbangkan usaha untuk membawa tuntutan ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa, ICJ.

Di Malaysia, yang juga sedang melalui hari-hari terakhir mandat diperolehi sejak Mac 2008, hal berkaitan pilihan raya juga mendapat perhatian rapi semua yang terlibat dalam politik, sehingga menjadi berlebih-lebihan.

Naib Presiden PKR, Tian Chua awal-awal lagi telah mengeluarkan kenyataan yang mencetus provokasi, mengaitkan dengan mudah Umno dengan konflik Lahad Datu, walaupun kemudian beliau cuba menjarakkan diri daripada laporan media rasmi parti itu.

Pelbagai spekulasi dan kritikan dibuat untuk mengaitkan musuh politik dengan kejadian di Lahad Datu, walaupun kaitan yang jelas tidak dapat dikemukakan, mendedahkan amalan politik terkini yang buruk dan tidak berakhlak.

Walau bagaimanapun, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberi jawapan lebih jelas dan teratur terhadap beberapa persoalan berhubung isu ini, tanpa mengalih perhatian dengan memarahi wartawan dan secara mudah menyimpulkan semuanya sebagai rancangan Umno.

Hal ini lebih-lebih lagi disebabkan laporan awal mengaitkan pembangkang dengan kumpulan tersebut diterbitkan oleh agensi berita Reuters dan bukan mana-mana media Umno.

Anwar dikait dengan kejadian pencerobohan ekoran lawatan wakil PKR, Tian Chua dan R Sivarasa ke Manila tidak lama sebelum kejadian.

Banyak pihak juga telah memberi ulasan dan kritikan pada tahap operasi, yang sepatutnya tidak dibuat oleh pihak yang tidak berkepakaran dan tidak berada di lapangan dan terlibat dengan operasi.

Jelas sekali pelbagai dakwaan telah dibuat semata-mata untuk memburukkan pihak musuh politik, yang dalam kes ini ialah pihak pemerintah, khususnya menteri-menteri hal ehwal dalam negeri dan pertahanan.

Kritikan-kritikan yang dilihat mendedahkan sikap yang didasari pemahaman bahawa parti pemerintah dan pihak berkuasa polis dan tentera sebagai satu entiti yang sama, pemahaman yang sama dipegang sebahagian besar pemimpin dan penyokong parti pemerintah sejak sekian lama.

Pihak penentang parti pemerintah, yang mendakwa membawa satu pemahaman dan amalan politik yang baharu sewajarnya bersikap lebih matang dalam hal melibatkan keselamatan negara ini, dan tidak meremehkan dan memperlekeh dengan sewenang-wenang.

Pemerintah walau bagaimanapun tidak boleh dikecualikan terus daripada menanggung sebarang akibat pencerobohan kedaulatan negara ini, yang memerlukan satu siasatan mendalam menjelaskan bagaimana pencerobohan dapat dilakukan dan lengkap dengan kelengkapan senjata.

Kes ini juga menuntut dasar sempadan dan kerakyatan melibatkan kawasan seperti Sabah dinilai semula dengan lebh mendalam untuk mengelakkan kejadian seperti ini dan komplikasi lain pada masa akan datang.

Dari sudut politik domestik, peristiwa di Lahad Datu telah memberi pelbagai kesan kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang, melibatkan penangguhan siasatan pemberian kad pengenalan di Sabah dan kemungkinan pilihan raya di Sabah ditangguh jika darurat, yang boleh memberi implikasi negatif kepada kedua-dua BN dan PR.

Di pihak PR, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak didakwa akan menangguhkan lagi pilihan raya ke-13 disebabkan perkembangan di Sabah, negeri yang menjadi medan perebutan sengit BN dengan PR.

Seorang pemerhati asing, Luke Hunt, yang sering mengulas perkembangan politik Malaysia (termasuk laporan sensasi Anwar memberi laluan kepada anaknya Nurul Izzah), juga membuat andaian tersebut dalam tulisannya di laman The Diplomat.

Operasi bersenjata yang masih berterusan di Sabah menimbulkan pelbagai kemungkinan dan implikasi kepada politik negara, dan ini menuntut tindakan rasional semua pihak terbabit, sama ada pihak pemerintah dan juga pembangkang.

Asean juga bakal terkesan oleh insiden di Sabah ini, wilayah strategik kaya sumber hidrokarbon yang terletak berhampiran kawasan pertikaian Laut China Selatan dan di tengah-tengah antara China dan Australia.

Malaysia yang kini memberi tumpuan kepada Asean dalam hubungan luarnya mempunyai kepentingan untuk insiden ini tidak merebak dan mencetuskan hal-hal lain yang tidak diingini, terutama melibatkan hubungan dengan Filipina, negara jiran yang juga ahli Asean.

Asean kini berada dalam posisi penting melibatkan geopolitik baharu rantau sebelah sini, yang sedang menyaksikan persaingan kuasa besar Amerika Syarikat dengan China dan pertikaian yang melibatkan kedua-dua kuasa tersebut.

Walau apapun kelemahan Asean, ia tetap berpotensi menjadi platform penting yang diperlukan oleh negara-negara anggota dan kuasa besar yang berkepentingan di rantau ini.

Anwar Ibrahim ubah pendirian isu Lynas?

Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan semalam menunjukkan perubahan pendirian dalam isu pusat pemprosesan nadir bumi Lynas di Kuantan, Pahang, apabila mengatakan yang loji itu boleh diteruskan sekiranya selamat.

Anwar menyebut inkuiri awam dan beberapa poin lain, tetapi isu pentingnya ialah loji Lynas itu tidak mutlak berbahaya dan perlu ditutup, bertentangan dengan pendirian Pakatan Rakyat selama ini, yang menegaskan akan menutup Lynas sekiranya menguasai Putrajaya.

Kempen anti-Lynas menjadi salah satu kempen anti-Barisan Nasional yang digerakkan bersama gerakan Bersih sebagai sebahagian kempen massa PR untuk menghadapi BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13, termasuk melalui perhimpunan besar-besaran dinamakan Himpunan Hijau. 

PKR yang disokong sebuah pertubuhan bukan kerajaan mesra PR merupakan parti paling kuat memperjuangkan kempen anti-Lynas, mendominasi debat terbuka Lynas di media dan dalam kalangan aktivis, sehingga mencetuskan ketegangan dalam PR sendiri ekoran perbezaan pandangan seorang wakil rakyat PAS, Dr Che Rosli Che Mat.

Ahli Parlimen Kuantan dari PKR, Fuziah Salleh merupakan pemimpin PKR paling lantang dalam kempen anti-Lynas.

Dalam kalangan aktivis anti-Lynas, kenyataan Anwar yang dibuat dalam wawancara dengan media Australia itu telah mencetuskan keresahan, dengan sebahagian menganggap pemimpin PR itu sebagai tidak konsisten.

Perubahan pendirian Anwar ini dipercayai berkaitan dengan usaha menarik sokongan daripada Australia, negara yang mempunyai keupayaan untuk memberi sokongan kepada Anwar dan gabungan PR dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, terutama berhubung kempen menuntut pilihan raya yang bebas.

Canberra dilihat enggan menunjukkan sokongan terbuka kepada PR dan mengkritik pentadbiran Najib, ekoran hubungan baik Australia-Malaysia sejak beberapa tahun ini, yangdilihat sebagai antara tempoh paling harmonis dalam hubungan kedua-dua negara.

Pentadbiran Perdana Menteri Julia Gillard juga dilihat tidak menunjukkan protes yang kuat terhadap tindakan Kuala Lumpur menghalang kemasukan Nick Xenophon, senator yang dijemput Anwar untuk menilai proses pilihan raya Malaysia yang dilihat sebagai sangat condong kepada PR.

Sikap Canberra ini disifatkan oleh seorang akademik sebagai didasari hubungan baik kedua-dua negara, termasuk berhubung isu "penyelesaian Malaysia" melibatkan penghantaran pencari suaka ke Malaysia.


Sunday, February 24, 2013

DAP dan PRU 13: Mampukah DAP bina imej lebih inklusif?

 Oleh FARISH A NOOR

Ketika Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir, timbul spekulasi oleh penganalisis tentang sama ada negara ini akan menyaksikan kemunculan politik sistem dua parti. Sejak 1975 Malaysia ditadbir oleh parti-parti yang membentuk sebuah pakatan, pada mulanya sebagai Perikatan (1957-1974) dan kemudian sebagai Barisan Nasional (1974-2013). Parti-parti pembangkang, walau bagaimanapun, bergerak sendiri dan setakat ini tidak dapat menubuhkan blok lawan yang kohesif.

Antara parti pembangkang yang menonjol hari ini ialah DAP, yang ditubuhkan pada pertengahan 1960-an. DAP mendakwa berhaluan kiri sederhana dan sekular, tetapi sejak 1960-an lebih diterima pengundi berketurunan Cina. Pencapaiannya bergantung pada kemampuannya bercakap bagi pihak bukan Melayu dan juga pada kekuatan dan kelemahan pesaing utamanya, MCA. Dari sudut pencapaian dalam pilihan raya, DAP menyaksikan rekod bercampur-campur.

Dalam pilihan raya tahun 1969 DAP mendapat perhatian apabila menang 13 kerusi parlimen, jumlah sama dimenangi pesaingnya, MCA. Sejak awal lagi DAP sudah jelas dilihat sebagai ancaman bukan terhadap Umno, tetapi kepada MCA, dalam merebut pengundi Cina. Pada tahun 1974 DAP menang sembilan kerusi (sementara MCA menambah 19) dan meningkatkan kedudukan pada 1978 apabila menang 16 kerusi. Pencapaian DAP merosot pada 1982 apabila ia memenangi sembilan kerusi, dan mencapai kemuncaknya pada 1986 dengan mendapat 24 kerusi parlimen. Pada 1990 DAP memenangi 20 kerusi, tetapi hanya menang sembilan pada 1995. Sejak 1999 kerusi parlimen DAP terus meningkat: daripada 10 pada 1999, 12 pada 2004, kepada 28 pada 2008. Kerusi dimenangi DAP sejak 1999 hingga 2008 sebahagiannya secara langsung dirampas daripada MCA, yang terus menyaksikan kemerosotan kerusi parlimen.

Beberapa penilaian boleh dibuat berhubung peluang DAP dalam pilihan raya akan datang berdasarkan pencapaiannya dalam pilihan raya setakat ini: Pertama, dapat diperhatikan sejak pilihan raya 1969 hingga awal 2000-an, DAP telah telah mensasarkan MCA dalam strategi jangka panjangnya memenangi sokongan kaum Cina. Walaupun mendakwa berhaluan kiri sederhana dan sekular, DAP telah memperjuangkan beberapa hal yang bersifat komunal, termasuk memperjuangkan sekolah vernakular untuk bukan Melayu dan menuntut lebih perwakilan bagi bukan Bimuputera di pentas politik.

Semasa 1980-an hingga 1990-an DAP ialah antara pengkritik paling keras dasar Islamisasi di negara ini, yang bermakna ia tidak boleh sehaluan dengan sebuah lagi parti pembangkang yang besar di Malaysia, PAS. Ketika PAS sedang hebat berkempen untuk menubuhkan negara Islam di Malaysia, DAP secara konsisten menentang dan hasilnya dituai dalam pilihan raya 1986 – apabila PAS hanya menang satu kerusi parlimen dan DAP memenangi 24 kerusi.

Kedua, sebahagiannya disebabkan sifat politik Malaysia yang berasaskan kaum, DAP mula menyedari sumber undi utama mereka ialah pengundi bukan Melayu. Tetapi ini jga bermakna DAP tidak boleh mencapai kuasa di peringkat persekutuan tanpa menyertai pakatan politik yang boleh memenangi sokongan pengundi yang lebih meluas. Hal ini tidak dapat dilaksanakan pada tahun-tahun 1960-an hingga 2000 kerana DAP tidak dapat bekerjasama dengan PAS, yang mempunyai agenda negara Islam yang ditentang kuat DAP.

Hanya sejak 2004 DAP mula membina jambatan dengan parti-parti lain, terutama PAS dan PKR, pertama kali semasa kewujudan singkat Barisan Alternatif dan sekarang dalam gabungan Pakatan Rakyat. Walaupun dinafikan pemimpin-pemimpin parti pembangkang, wujud perbezaan mendalam antara parti yang masih tidak dapat diselesaikan.

Perbezaan mendalam antara ideologi berbeza ini dijelaskan lagi melalui kontroversi ucapan Hari Natal oleh pemimpin DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang mempertahankan penggunaan nama “Allah” dalam Injil berbahasa Melayu di Malaysia Timur. Pemimpin DAP itu dituduh oleh penentangnya sebagai melakukan provokasi terhadap sensitiviti Muslim tetapi pada mulanya dipertahankan oleh sekutunya PAS. Walau bagaimanapun, kemudian, PAS menarik balik sokongan ekoran keputusan majlis syuranya, yang mentakrifkan matlamat asas parti, menyatakan yang terjemahan “Allah” dalam Injil berbahasa Melayu boleh menyebabkan kekeliruan.

Isu ini, yang dimainkan di media, telah menunjukkan kerapuhan gabungan Pakatan Rakyat pada masa-masa tertentu. Pemimpin-pemimpin DAP juga secara konsisten telah menegaskan tidak akan menyokong penubuhan sebuah negara Islam di negara ini, pendirian yang mencetuskan kemarahan konservatif dalam PAS.

Ketiga, masih belum pasti sama ada DAP boleh membina semula imejnya sebagai sebuah parti Cina untuk menjadi lebih pluralistik dan inklusif yang boleh menarik semua kumpulan etnik di negara ini. Malah, pemilihan parti DAP yang lalu menyaksikan semua pemimpin Melayu gagal dipilih ke kepimpinan utama parti sehingga memaksa setiausaha agung mencalonkan dua daripada mereka ke Jawatankuasa Eksekutif Pusat. Kecuali Pengerusi DAP Karpal Singh, kebanyakan pemimpin parti DAP berbangsa Cina, mengukuhkan lagi persepsi yang ia ialah sebuah parti Cina. DAP bakal meletakkan calon menentang lawan dari parti MCA dalam pilihan raya nanti. 

Walaupun keputusan pilihan raya akan datang masih belum pasti, jelas bahawa DAP berhasrat terus kekal dalam gabungan PR kerana pakatan ini sahajalah yang boleh membawanya mencapai kuasa di peringkat persekutuan. Ini bermakna sekiranya PR berjaya berkuasa di peringkat persekutuan, DAP perlu mengimbangi tuntutan penyokongnya dengan aspirasi seluruh pakatan.

Ini mungkin memerlukan DAP menerima beberapa tuntutan Islamis PAS, tetapi tindakan ini juga akan membangkitkan kemarahan pengundi tradisional DAP yang terdiri daripada sebahagian besarnya bukan Melayu dan bukan Muslim.

Dr Farish A Noor ialah profesor madya di Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura. Artikel ini, diterjemahkan oleh SiasahDaily dan dipetik daripada laman RSIS Commentaries dengan tajuk asal Malaysia's 13th General Election: Prospects and Challenges for DAP.

Tuesday, February 19, 2013

Nick Xenophon tidak bantu Pakatan Rakyat

Nick Xenophon, senator dari Australia yang dihalang memasuki Malaysia tempoh hari tidak membantu usaha Pakatan Rakyat dalam menuntut proses demokratik yang lebih baik, malah kelihatan lebih menjejaskan usaha PR ini.

Sokongan kuat Xenophon kepada PR, dan hubungan akrab beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim memudahkan pemerintah membuat kaitan sokongan asing terhadap parti-parti PR.

Editor luar negara akhbar The Australian, Greg Sheridan membuat kenyataan yang wajar dalam tulisannya mengkritik Xenophon, kerana Xenophon telah menunjukkan sokongan yang sangat kuat kepada Anwar dan PR.

Tindakan ini sama dengan tindakan John Malott, bekas duta AS ke Malaysia yang menampakkan sokongan sangat kuat kepada Anwat hingga berterusan menghantar tulisan ke media untuk menunjukkan sokongan kepada Anwar dan kebencian kepada pemerintah Barisan Nasional, sehingga memudahkan tuduhan bantuan asing dilemparkan kepada PR.

Tindakan Xenophon telah mencetuskan sedikit ketegangan dalam hubungan Kuala Lumpur-Canberra, tetapi berjaya dikawal dengan cepat, termasuk melalui kenyataan Menteri Hal Ehwal Luar Australia, Bob Carr, yang walaupun mengkritik halangan kemasukan itu, menegaskan hubungan kedua-dua negara kekal baik.

Dalam hal ini, kerajaan Australia kelihatan berusaha untuk tidak mengeruhkan lagi suasana, mungkin kerana menyedari tindakan berlebihan oleh Xenophon dan supaya tidak terseret dalam satu krisis yang tidak perlu, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, ketika beberapa kerjasama penting sedang dibina melibatkan kedua-dua negara.

Dalam keadaan ini juga, Canberra tidak mahu mengambil risiko dengan menunjukkan sokongan kepada gabungan PR secara terbuka, walaupun mungkin bersetuju dengan banyak pendirian gabungan itu.

Carr sebelum ini menolak untuk terlibat dalam membantu memastikan pilihan raya di Malaysia berjalan dengan bersih, atas permintaan Anwar sendiri.

"Pilihan raya Malaysia ialah hal rakyat Malaysia. Sangat sukar untuk Australia berbuat apa-apa tentang bagaimana pilihan raya tersebut dijalankan, seperti juga sukar untuk Malaysia atau mana-mana kerajaan mempengaruhi pilihan raya di Australia. Kita bukan pihak berkuasa pilihan raya di Malaysia," kata Carr dalam satu wawancara dengan Perbadanan Penyiaran Australia, ABC.

Episod ini juga memperlihatkan usaha untuk menarik sokongan daripada negara-negara maju, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti yang dijangka sengit.


Kerajaan-kerajaan asing seperti Australia ini dinilai sebagai berkredibiliti dan dapat diterima pandangan mereka terhadap proses pilihan raya di negara ini.

Thursday, February 14, 2013

PAS dan PRU 13: Cabaran mengimbangi idealisme dan pragmatisme

Oleh FARISH A NOOR

Kontroversi berhubung penggunaan nama "Allah" oleh Kristian di Malaysia telah menimbulkan pelbagai persoalan tentang impaknya terhadap strategi politik parti Islam, PAS, menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangka bila-bila masa daripada sekarang hingga 28 April tahun ini.

Liputan meluas isu nama Allah di Malaysia dihangatkan kembali oleh ucapan pemimpin DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng semasa sambutan Hari Natal pada Disember lalu. Tindakannya mempertahankan penggunaan nama Allah oleh bukan Muslim untuk menterjemah "Tuhan" menerima reaksi keras daripada sesetengah pihak yang tegas mempertahankan kalimah Allah perlu dikhaskan untuk penggunaan Muslim sahaja. Sekutu DAP, PAS pada mulanya menyokong pendirian Lim tetapi mengubah pendirian apabila majlis syura parti itu mengumumkan nama Allah hanya boleh digunakan oleh Muslim sahaja.

Perkembangan ini telah menarik perhatian sekali lagi kepada perbezaan dan jurang dalam gabungan pembangkang persekutuan Pakatan Rakyat dan dalam PAS sendiri, antara ulama yang konservatif dan kelompok yang disebut sebagai "progresif" yang juga digelar "faksi Erdogan." Debat yang tercetus ketika pilihan raya umum semakin hampir ini menimbulkan persoalan tentang prestasi PAS dalam pilihan raya nanti, dan sama ada pihak Islamis akan dapat berkuasa nanti. Untuk menjawab soalan ini, perlu diperhatikan pencapaian pilihan raya PAS sejak penubuhannya pada 1951, dan turun naik popularitinya sepanjang enam dekad lalu.

Sejak pilihan raya 1955, pencapaian PAS bercampur-campur: Tahun itu PAS memenangi satu kerusi; pada pilihan raya parlimen selepas merdeka pada 1959 PAS memenangi 13 kerusi; 1964 sembilan kerusi; dan 1969 PAS menang 12 kerusi. Selepas tempoh singkat sebagai ahli gabungan pemerintah Barisan Nasional pada pilihan raya 1974, PAS sekali lagi bertanding bersendirian, mendapat lima kerusi pada 1978 dan 1982 dan satu kerusi pada 1986. PAS memenangi tujuh kerusi pada 1990 dan 1995; dan memenangi 27 kerusi pada 1999; tujuh kerusi pada 2004 dan 23 kerusi pada 2008.

Dapat diperhatikan PAS menunjukkan prestasi baik pada 1969, 1990, 1995, 1999 dan 2008 semasa menjadi ahli gabungan yang lebih besar. Pada 1990 dan 1995, ia menyertai pakatan dengan Semangat 46 sebagai Angkatan Perpaduan Ummah dan pada 2008, ia bersekutu dengan PKR dan DAP menubuhkan Barisan Alternatif. PAS hanya menang satu kerusi dalam pilihan raya 1986 dan tujuh kerusi dalam pilihan raya 2004, semasa bertanding bersendirian dan platform politiknya dinilai sebagai radikal dan berpotensi mencetuskan konfrontasi.

Dua kesimpulan boleh dibuat daripada pemerhatian pencapaian PAS dalam pilihan raya setakat ini: Pertama, PAS tidak dapat meraih kuasa di peringkat persekutuan sekiranya tidak bersama satu pakatan. Malah, semasa menjadi sebahagian pemerintah pada tahun 1970-an, ia sebahagian gabungan BN. Disebabkan landskap etnik Malaysia yang 60 peratus terdiri daripada orang Melayu dan etnik Bumiputera lain, PAS - seperti juga parti politik Malaysia lain yang beraspirasi nasional - perlu mempunyai sekutu daripada pelbagai parti dan menjadi sebahagian satu pakatan.

Pada masa sama, sifat pengundi Malaysia, yang berbeza kepentingan berdasarkan etnik, bahasa dan agama, menjadikan satu parti berkuasa tanpa sokongan parti berasas etnik atau agama sebagai sekutu sesuatu yang mustahil. Hal ini terpakai pada PAS dan parti-parti lain: Malah Umno yang kekal sebagai parti terbesar di negara ini juga bergantung kepada sekutu dalam BN.

Kedua, proses tawar menawar antara etnik di Malaysia bermakna mana-mana parti yang bercita-cita berkuasa di peringkat nasional perlu memenuhi keperluan dan permintaan pengundi Malaysia secara keseluruhan, dan tidak mencetuskan kemarahan mana-mana kumpulan etnik atau agama dalam negara. Seperti diperhatikan pada pilihan raya umum pertengahan 1980-an, pencapaian terburuk PAS berlaku semasa parti ini kelihatan terlalu radikal dan dipengaruhi retorik dan taktik parti-parti Islamis sedunia, sejurus selepas tercetus revolusi di Iran.

Pada 2004, PAS menyaksikan pencapaian terburuk selepas pemimpinnya secara terbuka menunjukkan sokongan kepada Taliban dan mewajarkan "jihad" terhadap Barat. Ini menunjukkan pengundi Malaysia, termasuk Melayu-Muslim yang membentuk majoriti, tidak berkecenderungan untuk menyokong parti politik yang mengambil pendekatan radikal dan mengartikulasi jalan revolusi menuju kuasa. Dalam hal ini, pengundi Malaysia kekal menjadi kuasa moderat yang mengimbangi retorik dan cita-cita parti-parti politik di negara ini.

PAS pada masa ini kelihatan bertekad untuk kekal dalam politik pakatan dan tidak menunjukkan kesediaan meninggalkan Pakatan Rakyat. Walau bagaimanapun, tuntutan segme konservatif dalam parti juga akan ditangani pada masa sama kepimpinan parti berusaha mencapai kuasa sebagai sebahagian satu pakatan pelbagai etnik dan agama.

Persoalan tentang bagaimana tuntutan kelompok konservatif dalam parti akan ditangani sekiranya PAS berkuasa, masih terbuka. Isu panas daripada penguatkuasaan peraturan Islam hingga kepada tindakan mengawal moral masih menjadi hal yang perlu ditangani oleh gabungan PR. Di sinilah dilema PAS: Ia tidak boleh mencapai kuasa di peringkat persekutuan melainkan kekal dalam gabungan, tetapi ia tidak dapat mencapai matlamat penubuhan negara Islam selama menjadi ahli pakatan.

Cara PAS menangani "isu nama Allah" memberi petunjuk politik yang bakal dimainkan oleh PAS sekiranya gabungan PR berkuasa. PAS dijangka kekal dalam gabungan PR kerana pakatan ini membolehkannya mencapai kuasa. Tetapi kekal dalam pakatan juga akan mencetuskan persaingan dalaman melibatkan kelompok konservatif dan progresif dalam parti.

Konflik dalaman ini sukar untuk diselesaikan walaupun ia dapat berkuasa di peringkat persekutuan, kerana sentiasa ada kemungkinan tuntutan untuk berusaha mencapai matlamat asal perjuangan yang telah ditentukan sejak tahun-tahun 1950-an. Permintaan-permintaan itu, walau bagaimanapun, tidak dapat dipenuhi tanpa mengakibatkan hakisan sokongan daripada sekutu PAS dalam pakatan. Maka kompromi perlu memandu politik seharian PAS, sementara kepimpinan parti berusaha menangani cabaran sukar mengimbangi pragmatisme dan idealisme politik.

Dr Farish A Noor ialah profesor madya di Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura. Artikel ini, diterjemahkan oleh SiasahDaily dan dipetik daripada laman RSIS Commentaries dengan tajuk asal 13th Malaysian General Election: Prospects and Challenges for PAS.

Tuesday, January 29, 2013

PAS jangan biar DHPP dimonopoli

Kumpulan penyokong PAS bukan Muslim, yang kini menikmati kedudukan selesa sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS, DHPP, perlu dinilai semula kedudukannya supaya tidak mencetuskan masalah pada masa depan kepada PAS.

DHPP yang diketuai Hu Pang Chow itu melonjak naik dengan pantas, daripada sekadar kelab penyokong bukan Muslim kepada sebuah dewan dalam tempoh yang singkat.

Kewujudan DHPP sebagai satu sayap yang rasmi itu bermakna dewan ini secara rasmi menjadi suara bagi penyokong bukan Muslim PAS, dan diiktiraf sebagai wakil dan suara tunggal penyokong bukan Muslim.

Dewan itu, yang setakat ini kelihatan dikuasai hampir sepenuhnya oleh Hu yang telah lama rapat dengan PAS, menampakkan pengaruh yang agak besar, sehingga mampu mengkritik parti dengan lantang tanpa berdepan dengan risiko yang biasa dihadapi pengkritik parti dari dalam.

Malah, Hu juga pernah mencetuskan satu kejutan besar apabila mengkritik kerajaan negeri Kelantan berhubung isu pelaburan ke negeri yang telah dikuasai PAS selama lebih daripada 20 tahun itu.

Tindakan-tindakan Hu selama ini menunjukkan satu pengaruh besar yang dimilikinya melalui penglibatan lamanya bersama PAS dan kedudukan sebagai ketua DHPP yang sehingga kini kelihatan dikuasai sepenuhnya oleh beliau, tanpa sebarang saingan dari dalam.

Pengaruh dimiliki Hu dan DHPP ini kelihatan melebihi kadar kedudukan sayap itu dalam PAS, yang keahlian dan kekuatan sebenarnya masih belum dapat dinilai dengan tepat.

Sesetengah pihak dalam PAS melihat kedudukan Hu ini memberikan beliau bargaining chip yang cukup besar untuk membuat tuntutan, dan segala yang disuarakan beliau itu tidak dapat tidak akan dilihat sebagai mewakili penyokong bukan Muslim PAS.

Keadaan sekarang membolehkan Hu dan DHPP - yang dilihat masih tidak benar-benar mewakili keseluruhan penyokong bukan Muslim PAS -mengambil kesempatan daripada sentimen semasa dalam PAS dan keperluan pada masa ini untuk menarik undi bukan Muslim.

Dalam suasana Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir, pelbagai tuntutan boleh dikemukakan, dengan berbekalkan DHPP dan penyokong bukan Muslim sebagai satu bentuk jaminan.

Pada tahun 2011, Hu menuntut satu kerusi diberikan di setiap negeri kepada calon bukan Muslim, tuntutan yang menggambarkan keyakinan yang semakin kuat di pihak Hu dan DHPP.

PAS dilaporkan bakal meletakkan lebih ramai calon bukan Muslim dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, tindakan yang membuka ruang kepada pelbagai tuntutan lagi daripada DHPP pada masa akan datang.

Tanpa menafikan sumbangan yang telah dan mampu diberikan oleh DHPP, PAS perlu memastikan pengaruh dimiliki Hu dan juga DHPP dikenakan semak dan imbang yang sewajarnya, agar sayap ini tidak mengenakan pengaruh yang tidak sewajarnya kepada parti.

Sunday, January 27, 2013

Dari Gaza ke Davos, Najib tewaskan PAS dan Anwar?

Selepas selesai melawat Gaza dan menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak boleh disimpulkan sebagai berjaya dalam kempen terbaharu dalam pembinaan imej positif beliau.

Melalui lawatan ke Gaza, Palestin, Najib telah mengaitkan nama beliau dengan perjuangan yang menjadi isu penting dunia Islam itu, yang selama ini dilihat lebih dekat dengan PAS.

Gaza dan Hamas mudah dikaitkan dengan PAS, dengan PAS melalui wacana popular berhubung isu ini memudahkannya dengan mewujudkan perumpamaan Hamas ialah PAS dan Fatah ialah Umno.

Lawatan ke Gaza itu bermakna Najib telah mengambil isu yang menjadi kekuatan PAS, yang melalui pelbagai program termasuk muktamar tahunan sentiasa menjadikan Palestin sebagai isu penting, dengan wakil Hamas menjadi tetamu tetap.

Ini dengan mudah menjelaskan reaksi daripada PAS yang meremehkan dan mencela lawatan Najib itu, rata-rata dengan laras dan bahasa rendah, termasuk daripada pemimpin-pemimpin tertinggi pemuda parti itu.

Serangan terhadap lawatan Najib itu - lawatan yang apa pun niat di sebaliknya memberi kesan meningkatkan imej beliau yang akan memberi kesan positif melibatkan kalangan pengundi Melayu Muslim - menjelaskan sendiri kesan lawatan ke Gaza itu, yang merupakan satu kejayaan perhubungan awam kepada Najib.

Menambahkan lagi kejayaan lawatan ke Gaza, Najib sejurus selepas itu turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin Mesir, Presiden Mohamed Morsi, tokoh yang dipandang tinggi oleh PAS, sebahagiannya ekoran hubungan sejarah PAS dengan gerakan Ikhwan al-Muslimin.

Kejayaan ini mendorong Pakatan Rakyat meningkatkan serangan terhadap lawatan itu, dengan menimbulkan isu-isu lain yang diletakkan di bawah tajuk "hubungan Malaysia dengan Israel" dan mencari sudut-sudut tertentu untuk menimbulkan sisi negatif lawatan itu.

Kritikan pemimpin Pihak Berkuasa Palestin, Presiden Mahmoud Abbas turut diperbesarkan sesetengah pengkritik Najib untuk mengalih tumpuan dan menjejaskan kejayaan lawatan itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengulas lawatan Najib itu, dengan mengkritik tindakan hanya melawat Gaza tetapi tidak bertemu pihak Fatah yang menguasai kerajaan Palestin yang diiktiraf.

Selepas menewaskan PAS di Gaza, Najib melangkah pula ke Davos, menunjukkan penerimaan dunia Barat terhadap dirinya, sesuatu yang selama ini dikenali sebagai medan Anwar.

Kemudian, selepas melawat Gaza, Najib menyertai Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, dengan bergaya, membawa bersama wajah-wajah kosmopolitan "satu Malaysia" seperti Tony Fernandes, Datuk Seri Michelle Yeoh dan Datuk Mohd Redzuawan Ismail, yang lebih dikenali sebagai Chef Wan di Malaysia.

Di medan berprestij WEF itu juga, Najib diwawancara wartawan terkenal Amerika Syarikat, Fareed Zakaria, mengemukakan ide-ide yang kelihatan disesuaikan untuk audiens elit dunia dengan bercakap dalam bahasa liberal.

Anwar sebelum ini, pada 2010, juga pernah diwawancara oleh wartawan dan pengulas popular AS itu, dalam kemunculan di CNN yang menjadi salah satu acara penting lawatan Anwar ke AS. 

Najib dalam wawancara itu antara lain mengemukakan pandangan melakukan "engagement" dengan kumpulan-kumpulan Islam yang dilihat sebagai ekstrem, pandangan sama yang turut pernah dikemukakan oleh Anwar.

Langkah Najib dengan selesa mengemudi kempen di Davos itu boleh disifatkan satu kemenangan mengatasi Anwar, yang dikenali sebagai berkemampuan mengendalikan diri di pentas-pentas antarabangsa seperti itu.

Dalam persaingan menarik perhatian Barat, sebahagiannya dalam usaha membina sokongan politik, kejayaan di Davos ini menambahkan lagi imej positif berkaitan hubungan ini bagi Najib.

Seolah-olah membuktikan gagasan wasatiyyah beliau, Najib menunjukkan kebolehannya menguasai kedua-dua pentas Gaza yang dikenali sebagai satu simbol utama perjuangan Islam dan Davos, medan penting elit dunia dikuasai Barat.

Apa yang menarik untuk diperhatikan ialah liputan dan komentar negatif daripada lawatan ke Gaza - dan kemudian Davos - amat sedikit, termasuk daripada media liberal di Malaysia yang selama ini mudah mengaitkan Hamas dengan terorisme.

Selepas selesai dua acara besar di peringkat antarabangsa ini, Najib boleh menarik nafas lega meraikan kejayaan kempen besarnya yang memberi poin politik untuk kedua-dua audiens domestik dan antarabangsa.

Walau bagaimanapun, kejayaan sebesar ini mencetuskan reaksi yang juga besar pada pihak lawan, dan pasti mendorong tindak balas yang tidak kurang dramatik dalam persaingan ini.

Friday, January 25, 2013

Krisis menjelang PRU 13, Umno Johor berpecah

Johor, kubu kuat Umno kembali menyaksikan pergeseran dalaman menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, akibat persaingan merebut jawatan menteri besar yang telah beberapa kali disebut-sebut akan berlaku peralihan.

Pergeseran yang hangat menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 dahulu kembali hangat ekoran peningkatan pertembungan melibatkan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan, terutama ekoran penutupan bilik gerakan Umno di Pasir Gudang, kawasan Parlimen Khaled.

Khaled dilihat menghadapi tekanan daripada Abdul Ghani dan Ahmad, dua pemimpin di Johor yang merupakan saingan kuat beliau, yang disebut-sebut akan menggantikan Ghani sebagai menteri besar sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-11 lagi.

Khaled meningkatkan usaha mencabar Ghani sejak lebih setahun lalu, ekoran merasakan disabotaj secara tidak langsung melalui tindakan-tindakan Ghani termasuk kelewatan meluluskan hak milik tanah di kawasan Khaled.

Terbaharu, orang kuat Khaled, Ketua Pemuda Umno Pasir Gudang, Rohazam Shah Ahmad memberi amaran kepada Ghani dan Ahmad, mendakwa Ghani tidak menunaikan janji, dipercayai sebagai membalas amaran Ahmad sebelum ini berhubung tindakan boikot oleh ahli Umno di Pasir Gudang itu.

Kenyataan ini ialah kenyataan paling terbuka setakat ini melibatkan pertembungan antara kem Khaled dengan Ghani dan Ahmad yang semakin sengit pada masa ini.

Serangan terbuka ini dilihat sebagai sokongan semakin kuat diterima Khaled dalam berdepan Ghani, dan turut dikaitkan sesetengah pemerhati dengan perubahan melibatkan istana.

Perkembangan di negeri kubu kuat Umno ini meningkatkan lagi kebimbangan Umno terhadap sabotaj dalaman yang semakin dibimbangi terutama ekoran hasil Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Khaled mendapat sokongan banyak pihak untuk menggantikan Ghani sebagai menteri besar, tetapi projek-projek besar seperti Iskandar dan Nusajaya dilihat mengukuhkan kedudukan Ghani sebagai menteri besar.

Walau bagaimanapun, Khaled bukan satu-satunya yang dilihat berpotensi menggantikan Ghani, kerana beberapa nama lain turut disebut.

Johor menyaksikan peningkatan kekuatan parti-parti Pakatan Rakyat sejak pilihan raya umum yang lalu, dengan parti-parti Pakatan Rakyat terutama DAP dijangka menambah beberapa kerusi lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Negeri ini walau bagaimanapun masih kekal sebagai kubu kuat Umno, disebabkan jumlah ahli dan pengundi tetap yang ramai dan kawasan-kawasan Felda yang masih dikuasai Umno.

Perkembangan ini mendedahkan tekanan yang semakin meningkat dihadapi Umno, termasuk sehingga melibatkan negeri kubu kuatnya, yang bakal memberi kesan kepada keseluruhan Umno dan Barisan Nasional dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 dan masa-masa akan datang.

Monday, January 14, 2013

Himpunan 12 Januari: Beberapa pemerhatian penting

Perhimpunan 12 Januari pada Sabtu lalu, yang dinamakan Himpunan Kebangkitan Rakyat oleh Pakatan Rakyat dan juga dikenali sebagai himpunan sejuta rakyat - tetapi tidak sama sekali Himpunan Shamsidar - telah berlangsung dengan aman, tanpa mana-mana pihak bertindak dengan tidak wajar.

Berikut beberapa poin penting berhubung perhimpunan yang baru berlalu ini.

1. Himpunan aman

Hakikat bahawa perhimpunan boleh berlangsung dengan aman tidak boleh diabaikan, dan menunjukkan satu perkembangan baharu yang sihat dalam politik negara, walaupun pada masa sama dilihat sebagai perubahan strategi oleh pihak berkuasa.

Tidak seperti menjelang perhimpunan Bersih ketiga, pemerintah dan pihak polis tidak mengambil pendekatan memberi amaran dan mencetuskan suasana tegang menjelang perhimpunan, satu faktor penting yang menyebabkan perhimpunan boleh berlangsung dengan aman.

Kedua-dua pihak PR dan pemerintah mengambil kredit daripada perjalanan perhimpunan yang aman itu, walaupun daripada pihak pembangkang dan sekutu, sebab tiada provokasi daripada pihak polis dan pemerintah dijadikan satu sebab utamanya.

Tetapi perlu diakui juga ketiadaan provokasi daripada pihak penyokong PR atau penentang pemerintah juga menyumbang kepada suasana aman ini, kerana segelintir daripada peserta protes seperti ini sering menjadikan tindakan melakukan provokasi sebagai amalan semasa menyertai protes, seperti menjerit dan mengutuk pihak polis.

Tetapi perlu diakui juga bukan semua peserta di bawah kawalan pihak PR, kerana elemen anarkis dan yang lebih radikal yang semakin banyak menyertai perhimpunan seperti ini. Salah satu sepanduk yang menarik perhatian dalam perhimpunan ini bertulis, "We want real change and real democracy, not just a choice between Coke and Pepsi," dengan gambar wajah Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim diletakkan di posisi bertentangan.

2. Tujuan perhimpunan

Perhimpunan ini masih merupakan kesinambungan dan sebahagian daripada mobilisasi Bersih, dilihat daripada warna utama dipakai pemimpin-pemimpin PR dan kepimpinan perhimpunan ini. Matlamat yang digariskan termasuk pilihan raya bersih dan adil dan tuntutan-tuntutan lain yang dikemukakan menunjukkan mobilisasi ini jelas merupakan kempen anti Barisan Nasional, dengan matlamat akhirnya menjatuhkan pemerintahan BN.

Naratif utama masih kegagalan-kegagalan pemerintah BN dan ucapan pemimpin-pemimpin politik juga masih berlegar sekitar isu kegagalan dan kelemahan pemerintah BN.

Stadium Merdeka dijadikan simbol usaha "memerdekakan" rakyat daripada pemerintahan BN yang disifatkan sebagai menindas, terutama dengan adanya kempen menyelamatkan Felda dan tuntutan royalti petroleum daripada negeri Kelantan dan Terengganu, yang ditahan bayarannya ekoran kemenangan PAS.

Fokus dan sentimen perhimpunan jelas sekali dalam kerangka mencetuskan sentimen dan membina momentum protes dan sokongan, sambil menunjukkan jumlah sokongan yang besar. Turut disertakan dalam tuntutan ialah pendidikan percuma, yang masih belum selesai diperdebatkan.

Tetapi perhimpunan kali ini memperlihatkan tanda-tanda keletihan, atau protest fatigue, selepas banyak kali protes besar-besaran diadakan sejak beberapa tahun lalu. Ramai peserta dilihat tidak menyertai perhimpunan di stadium, pulang awal dan seolah-olah kehilangan punca kerana ketiadaan elemen protes yang jelas (termasuk pertembungan dengan pihak berkuasa bagi sesetengah pihak) dalam himpunan ini.

3. Liputan media

Pihak media pemerintah telah memalukan diri sendiri apabila menamakan perhimpunan ini "Himpunan Shamsidar," berdasarkan maklumat yang tidak jelas asasnya. Liputan media pemerintah dalam isu ini mencapai tahap rendah terbaharu dan mencetuskan rasa meluat yang berleluasa dalam kalangan peserta dan pemerhati.

Pihak media propemerintah dan blog-blog upahan juga terpaksa mencari isu dan sudut lain untuk memainkan kempen negatif terhadap perhimpunan ini.

Walau bagaimanapun, kempen pro-PR di media sosial dan blog turut memperlihatkan elemen murahan dan sensasi, termasuk meletakkan gambar kesesakan jalan raya di luar negara yang didakwa kereta dari luar Kuala Lumpur menuju ibu kota untuk menyertai perhimpunan dan pelbagai gambar lain.

Perbezaan anggaran peserta juga mencetuskan debat, walaupun hanya pada tahap yang sederhana dan tidak sehingga menjadi perdebatan membuang masa tidak matang seperti yang sering berlaku sebelum ini.

Anggaran yang munasabah ialah sekitar 50,000 hingga 80,000, jauh melebihi anggaran pihak berkuasa tetapi juga tidak mencapai jumlah melebihi 100,000 yang dibawa sesetengah pihak dalam kalangan penyokong PR.

4. Apa selepas ini?

PR telah berkali-kali membuktikan sokongan besar yang diperolehi, selepas beberapa perhimpunan dan protes diadakan sejak penghujung 2007, meliputi isu pilihan raya bersih dan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA.

PR telah membina identiti yang mudah dikaitkan dengan protes, yang walaupun dapat memenuhi beberapa agenda tetapi juga mengesahkan lagi sifatnya sebagai pihak yang bukan memerintah.

Selepas banyak isu menyumbang kepada mobilisasi besar-besaran dan menerima kehadiran yang besar, PR kini perlu juga memberi tumpuan pada hal-hal lain seperti urus tadbir, dan usaha-usaha prorakyat melibatkan kos sara hidup dan sebagainya, dan tidak lagi meletakkan segalanya di atas bahu BN, kerana PR juga telah menjadi sebahagian pemerintahan negara dan semakin sukar untuk disifatkan semata-mata sebagai pembangkang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...