Wednesday, September 26, 2012

Gerakan Islam menghadapi gelombang Islamofobia

Suasana panas ekoran kemunculan treler filem Innocence of Muslims terus berlanjutan, mencetuskan debat dan pada masa sama mencetuskan protes penuh emosi umat Muslim.

Sikap dwi-standard Barat dalam hal ini telah diketahui dan dikritik dengan meluas banyak pihak, yang membenarkan penghinaan dan penyebaran kebencian dengan mengatasnamakan kebebasan.

Barat telah banyak kali menampakkan sikap mudah melatah dan tidak kritikal dalam isu melibatkan pertembungan nilai-nilai liberal (seperti kebebasan bersuara) dengan konservatif (seperti kesucian agama), atau nilai Barat dengan masyarakat lain, yang telah dikritik dan dikupas ramai pemerhati.

Satu masalah berhubung isu ini, yang terus membenarkan episod seperti ini berulang-ulang ialah pandangan alam Barat yang berseberangan dengan dunia Islam dan sebahagian dunia tamadun lain, yang pandangan mereka terhadap agama berbeza dengan pandangan dominan di Barat.

Barat melihat sikap marah umat Muslim terhadap penghinaan klip filem tersebut sebagai sesuatu yang aneh, dan mungkin juga dengan sedikit rasa kasihan terhadap emosi meluap-luap tidak terkawal itu, seperti ditunjukkan oleh sesetengah pengikut Islam, misalnya di Pakistan.

Tetapi, dari sudut lain, Barat juga wajar dikasihankan kerana tidak lagi mempunyai apa-apa yang sangat dicintai dan disakralkan seperti halnya Nabi Muhammad s.a.w. dan agama pada umat Muslim.

Barat juga, dalam kes filem ini dan penghinaan lain sepertinya, memperlihatkan kebencian luar biasa yang tidak ada taranya di sebelah dunia Islam.

Apa pun kelemahan umat Muslim, kita tidak menyaksikan usaha-usaha gigih dilakukan oleh Muslim (walaupun mereka jauh sekali daripada mewakili Muslim seluruhnya) untuk menghina agama dan tokoh-tokoh agama lain seperti dilakukan pembikin filem tersebut, atau seperti dilakukan penulis Salman Rushdie dan penulis lain sepertinya.

Satu persoalan yang perlu ditanya dalam hal ini ialah kenapa usaha menghina agama dan tokoh agama Islam begitu gigih sekali diusahakan. Jawapannya tentu sekali bukan semata-mata kerana kebebasan berkarya atau bersuara, melainkan kerana kebencian.

Di Barat, atau lebih tepat lagi dunia Barat yang menerima demokrasi liberal, nilai-nilai keagamaan dan simbol-simbol berkaitan tidak mendapat tempat seperti di dunia Muslim, walaupun tafsiran dan pengamalan agama di dunia Muslim masih dibelenggu pelbagai masalah.

Tetapi, sebelum umat Muslim digesa melakukan introspeksi melihat diri ekoran emosi tidak terkawal akibat penghinaan ini dan episod lain sepertinya, lebih utama untuk pihak di Barat menangani kepincangan yang melanda mereka, sehingga kempen kebencian menggunakan alasan liberal kebebasan berlaku secara berterusan.

Kebebasan mutlak, pelbagai kepincangan dan pegangan-pegangan seperti saintisme menjadikan Barat kehilangan perasaan cinta terhadap agama dan kesuciannya, seperti yang terus menjadi satu ciri penting masyarakat Muslim.

Ini sama sekali tidak menafikan kepincangan nilai dan ketololan segelintir yang hanya tergerak emosi apabila berdepan isu-isu seperti ini, yang mudah diberi tindak balas dan tidak memerlukan pemikiran dan tindakan yang lebih daripada sekadar meluahkan kemarahan melalui protes.

Gerakan Islam, salah satu gerakan yang meletakkan diri sebagai pemimpin umat juga kelihatan mudah memasuki perangkap ini, dan kemudian tidak menunjukkan tindak balas susulan yang lain yang boleh menjadi lebih membina dan berpanjangan.

Filem Innocence of Muslims dan pelbagai bentuk penghinaan lain, melalui seni budaya dan bidang lain, dicetuskan dan diteruskan hasil satu gerak kerja besar, daripada asas-asas pemikiran hingga ke pelaksanaan.

Dunia Islam wajar memberikan respons yang serupa, sebagai reaksi dan wacana balas bagi menangani kebencian yang luar biasa itu, melalui bidang-bidang yang setara.

Sekiranya filem-filem anti-Islam boleh diperolehi, pilihan juga perlu diadakan supaya filem-filem yang mengangkat kesucian agama Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. juga dapat ditonton.

Monday, September 10, 2012

Tentang politik warna dan bendera

Isu bendera merah putih yang dikibarkan penyokong Pakatan Rakyat pada malam ambang merdeka bulan lalu terus panas, dengan penyertaan semakin banyak kumpulan dalam debat panas ini.

Satu isu yang menarik perhatian dalam hal ini ialah tentangan kuat kumpulan Perkasa terhadap bendera yang mempunyai warna merah dan putih itu, sedangkan warna tersebut mempunyai hubungan sejarah lebih rapat dengan perjuangan Perkasa, sebuah kumpulan yang memanfaatkan populisme haluan kanan di Malaysia.

Warna merah putih menjadi bendera dua parti Melayu utama negara ini; Umno dan PAS, disebabkan latar warna tersebut dalam sejarah Melayu rantau ini, sekurang-kurangnya dalam sejarah terkini Nusantara.

Persamaan warna merah putih digunakan pada bendera di rantau ini disebabkan oleh akar sejarah wilayah Melayu rantau ini.

Hal yang sama dapat dilihat di rantau lain, antara contohnya ialah dunia Arab yang berkongsi warna hitam, hijau, putih dan merah, warna pan-Afrika yang dikongsi di dunia Afrika, dunia Slav yang berkongsi warna merah, biru dan putih, dan rumpun bangsa Iran dengan warna hijau, putih dan merah.

Sebagai kumpulan yang berpendirian lebih kanan daripada Umno, Perkasa lebih wajar menyertai debat isu bendera ini dengan lebih cermat dan cerdik, dan bukan sekadar menentang apa yang dibawakan oleh pihak penentang Umno.

Dalam hal ini, pihak yang mencetuskan isu ini dengan memperkenalkan bendera itu menjelang ulang tahun kemerdekaan ke-55 dan Perkasa mengambil posisi yang sebenarnya bertentangan dengan ideologi masing-masing.

Perkasa terlibat menentang tindakan memperkenalkan satu "bendera alternatif" kepada Malaysia yang telah menjadi lebih pluralis hasil kemerdekaan, kemerdekaan yang telah mengubah Tanah Melayu menjadi Malaysia dan mengambil bendera yang jauh berbeza dengan warna merah putih seperti yang menjadi warna pilihan Indonesia dan Singapura.

Walau bagaimanapun,isu mengubah bendera bukan sesuatu yang sangat asing atau aneh, dan dilakukan di banyak tempat untuk mencerminkan bentuk rejim memerintah atau keperluan lain.

Di Syria, pihak pemberontak menggunakan bendera pra-Baath dengan warna hijau, putih, dan hitam, untuk menunjukkan penentangan dan penolakan pemerintahan rejim sedia ada.

Rusia sebagai contoh, sejak zaman czar hingga ke hari ini telah menyaksikan perubahan bendera negara berdasarkan bentuk pemerintahan.

Lebih dekat dengan Malaysia, Burma (Myanmar) turut mengubah bendera pada tahun 2010, menggantikan bendera berwarna merah biru kepada bendera tiga warna: kuning, hijau dan merah, dengan bintang di tengah.

Pihak yang memperkenalkan bendera bersifat "revisionist" yang lebih rapat kaitan sejarah Melayunya itu pula ialah daripada pihak parti yang berideologi liberal, yang tidak meletakkan isu Melayu sebagai perjuangan pentingnya.

Dalam keadaan biasa, boleh dijangka sebarang usaha memperkenalkan bendera yang berakar Melayu itu bakal menerima tentangan hebat liberal dan kumpulan anti-Melayu dan diwajarkan oleh kumpulan Melayu seperti Perkasa.

Walau bagaimanapun, tindakan memperkenalkan bendera itu oleh pihak penentang rejim Barisan Nasional tidak dapat dilihat lebih daripada sebagai satu permainan politik dan bukan satu usaha memulakan satu debat serius untuk mengubah Jalur Gemilang kepada merah putih, malah lebih kepada satu provokasi yang tidak perlu, menunjukkan satu keperluan di pihak pembangkang yang cenderung untuk mahu berseberangan dalam setiap isu dengan pemerintah.


Pihak PR setakat ini, sekurang-kurangnya dalam jangka masa pendek tidak menunjukkan gambaran hasrat mengubah bendera sedia ada, walaupun berbeza dari segi fundamental dengan pemerintah BN, termasuk dalam isu kedudukan Melayu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...