Thursday, December 23, 2010

Konvensyen PR: Apa yang dicapai, dan apa yang terlepas

Konvensyen Pakatan Rakyat hujung minggu lalu telah berjaya mempersembahkan gabungan itu sebagai pesaing paling jelas kepada Barisan Nasional dan paling mampu menggantikan BN sebagai kerajaan pusat.

Buku jingga Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia yang diedarkan menyenaraikan program PR untuk dinilai, menegaskan persediaan PR untuk melaksanakan tugas sebagai pemerintah dengan lebih berkesan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan perasmian telah menggariskan usaha kerjasama yang realistik dan cadangan praktikal meletakkan calon-calon yang bersih.

Kepentingan usaha itu dapat dilihat berdasarkan cabaran daripada kumpulan-kumpulan yang dianggap kuasa ketiga dalam politik Malaysia seperti Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) dan kumpulan seperti Hindraf.

MCLM dalam satu kenyataannya menegaskan pencalonan calon bersih, dan pada masa sama mahu bertanding di bawah tiket PR.

Berdasarkan perkembangan ini, PR dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti perlu menyenaraikan calon-calon terbaik, yang sekiranya diletakkan bersebelahan calon-calon lain akan jelas kelebihan mereka, sekiranya PR tidak mahu kerusi mereka disaingi juga oleh pihak lain.

Buku jingga yang dikemukakan mungkin satu kelebihan, kerana berbanding kumpulan lain, PR telah memperincikan progam dengan jelas dan secara kolektif sebagai sebuah pakatan pilihan raya.

Satu perkembangan menarik ialah parti-parti PR, terutama PAS dan DAP telah menunjukkan kompromi dalam hal ideologi, melibatkan isu negara Islam.

Ini walau bagaimanapun tidak boleh dilihat sebagai satu kemuncak kerjasama parti-parti PR melainkan satu proses yang masih berjalan dan dirundingkan. Tawar-menawar dalam hal ini masih berjalan dan boleh berubah secara dramatik pada bila-bila masa.

PAS sama sekali tidak boleh membaca dengan berlebihan kenyataan Karpal Singh itu dan menganggap debat isu tersebut sebagai sudah selesai dan DAP menerima ide negara Islam PAS.

Apa yang berlaku hanya satu kompromi, dan menunjukkan PR ialah satu usaha sama parti-parti pembangkang dalam hal yang dipersetujui sahaja.

Ungkapan popular Putrajaya masih kedengaran, walaupun tidak sekerap sebelum ini. Dalam hal ini, kesepakatan dan program yang lebih terperinci yang dipersembahkan mungkin lebih mendalam dan berkesan serta menjanjikan berbanding ungkapan Putrajaya yang sudah terlalu banyak digunakan.

Ucapan-ucapan pemimpin, termasuk oleh Lim Guan Eng dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan lebih kepada untuk menarik sorakan dan membina sentimen feel good tanpa menjelaskan sebarang isu baharu.

Lim mempromosikan lagi kerajaannya sebagai mengutamakan Melayu dengan mengemukakan satu daripada banyak data yang ada, yakni penganugerahan kontrak kerajaan. Isu-isu seperti tapak perniagaan di kawasan percutian, penggunaan bahasa Melayu dan banyak lagi isu kerajaan tempatan tidak disentuh.

Anwar pula menarik khalayak dengan isu Apco dan Israel, menumpukan perhatian terus kepada Umno dan Apco tanpa menjawab laporan kenyataan pemimpin Singapura Lee Kuan Yew mengenai dakwaan liwat terhadapnya.

Persembahan dramatik Anwar telah mengalihkan tumpuan konvensyen kepada Apco dan Umno.

Ucapan Karpal pada akhir konvensyen menjadi satu lagi ucapan menarik sorakan hadirin, dengan serangan peribadi terhadap bekas-bekas ahli PKR dengan kasar dan tidak bersopan, termasuk menggunakan perkataan "celaka."

Apa yang ingin disampaikan boleh dijelaskan dengan lebih berkesan tanpa sebarang usaha mensensasikan isu tersebut oleh Karpal.

DAP boleh dianggap sebagai pihak yang mendapat manfaat terbesar daripada konvensyen yang diadakan di negeri di bawah pentadbirannya itu.

Ketua Menteri Lim telah mengambil kesempatan memberikan sumbangan kepada rakyat negeri itu pada waktu rehat, selepas menyenaraikan kebaikan-kebaikan kerajaan negeri pada ucapan awal.

Ucapan presiden PAS mungkin yang paling tidak mendapat perhatian, kerana nada serius dan bersifat introspektif terhadap pakatan pembangkang itu, ketika sebahagian besar ahli dan penyokong PR masih menagih retorik-retorik, termasuk pujian-pujian dan kecaman terhadap musuh.

Budaya politik PR masih memerlukan penambahbaikan yang menyeluruh supaya tidak hanya mengulang dan meneruskan apa yang disaksikan selama ini.

PR tidak lagi boleh hanya menggunakan hujah ia lebih baik berbanding BN dalam semua perkara.

PR masih memerlukan maklum balas daripada rakyat berhubung buku jingga yang dikemukakan itu, kerana agenda tersebut bukan satu kitab suci yang perlu diterima semua rakyat Malaysia.

Tambahan pula, banyak perkara di dalamnya yang perlu diperincikan lagi dan ditegaskan, supaya tidak wujud tafsiran yang pelbagai.

Satu contoh ialah isu tempat ibadat yang sesuai untuk semua agama. Hal ini akan terdedah kepada pertikaian seperti yang telah berlaku di Shah Alam, Selangor.

Begitu juga dengan isu perumahan dan "satu keluarga, satu rumah." Berdasarkan penerusan sistem ekonomi neoliberal yang diterima oleh parti-parti PR, sukar untuk dijangka apa yang telah berlaku selama ini dikawal atau dihentikan di bawah kerajaan PR, kerana kuasa pendesak golongan kapitalis yang sering lebih berjaya berbanding rakyat biasa.

Isu ini melibatkan satu dasar yang sangat besar. Masa akan menentukan sama ada kerajaan PR benar-benar serius dengan janji ini.

Rakyat masih perlu menuntut janji sejak 2008 ditunaikan oleh PR. Agenda dalam buku jingga yang dilancarkan itu masih perlu kepada penambahbaikan, untuk benar-benar menjadikan agenda PR sekiranya berjaya memerintah negara akan memulihkan sistem sedia ada dan bukan hanya menukar pemain lain.

Dan yang lebih menuntut keikhlasan PR ialah usaha mencapai agenda-agenda tersebut walaupun tidak berjaya membentuk kerajaan pusat pada pilihan raya akan datang.

Friday, December 17, 2010

Kes Khir Toyo: Berakhirkah impian seorang pemimpin muda?

Nota: Penulis politik Abdul Aziz Ismail, telah kembali ke rahmatullah pada 4.30 petang, Khamis, 16 Disember, 2010 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu akibat serangan jantung.

Allahyarham banyak menulis di akhbar Siasah selama penerbitan akhbar politik itu di bawah kendalian Kumpulan Harakah.

Tulisan ini disempurnakan dan dikirimkan melalui emel oleh anaknya kepada SiasahDaily sebentar tadi. Al-Fatihah.

Apapun keputusan mahkamah kelak tentang perbicaraan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo, masa depan beliau dalam kepimpinan Umno sudah boleh dijangka.

Walaupun mungkin didapati tidak bersalah, namun rekod bersih beliau sudah tercalar, dipertikai dan sukar diterima semula sebagai pemimpin masa depan Umno. Sejarah Umno membuktikan, mereka yang sudah didakwa dan didapati tidak bersalah, tidak mudah kembali ke pangkuan kepimpinan Umno kerana persepsi ahli dan masyarakat umum sudah mendapati beliau tidak kelihatan bersih walaupun mahkamah bertindak sebaliknya.

Bekas pemimpin itu mungkin ditawarkan jawatan tinggi mengetuai sebuah agensi kerajaan dalam Felcra, Fama, Mara, Majuikan dan banyak lagi dengan tanggungjawab tidak besar tetapi bergaji besar.

Jika didapati bersalah dan dijatuhi hukum, masa depan politik dan keluarga pemimpin itu lebih parah dan gelap kecuali mendapat belas kasihan tertentu dari pemimpin pusat Umno yang masih bersimpati.

Namun, kariernya dalam Umno pasti musnah dan hilang semua sokongan dan penyokong. Masa depan yang ada mungkin berniaga atau terlibat sama perniagaan dengan kawan-kawan yang mempunyai pengaruh dan wang.

Khir dituduh di mahkamah kerana membeli hartanah berjumlah RM6.5 juta pada harga cuma RM3.5 juta. Jika ada bukti kukuh dan dokumen lengkap, sukar bagi beliau terlepas daripada tuduhan, tambahan pula bila dikaitkan dengan jawatan istimewa beliau ketika itu yang membenarkan semua jual beli dan segala bentuk perjanjian menjadi lebih mudah dan ditanggung beres.

Banyak persoalan boleh dibangkitkan sekitar kes beliau seperti di manakah begitu banyak beliau mendapat wang untuk membeli hartanah yang berjumlah RM3.5 juta sedangkan gaji beliau sebagai menteri besar tidaklah begitu besar? Mungkinkah beliau ada hartanah peribadi dan harta pusaka keluarga yang berjumlah jutaan ringgit hingga mampu membeli hartanah itu?

Apakah mungkin ada kawan-kawan atau saudara mara yang bermurah hati meminjamkan wang sebanyak itu untuk beliau membeli hartanah itu? Dan yang lebih signifikan, mengapa hartanah itu dijual kepada beliau dengan harga begitu rendah sehingga menjadi persoalan pelik dan nampak tidak masuk akal?

Episod Khir bermula selepas Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam tsunami politik Pilihan Raya Umum ke-12 lalu yang menyaksikan PKR memimpin negeri itu. Satu demi satu kelemahan beliau dan kepimpinan Umno Selangor dibongkar pemimpin PR terutama DAP untuk menunjukkan kepada rakyat negeri itu bahawa Khir bukanlah bekas menteri besar yang bersih dan boleh dibanggakan.

Beliau mungkin bagus dari kaca mata Umno dan kelihatan menunjukkan bakat dan berprestasi ketika menjalankan tugas. Namun, jawatan tinggi yang dipangku dan pelbagai suasana baharu mendadak menerpa kehidupan diri dan keluarganya mengubah cara hidup dan sikap seorang pemimpin.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (ketika itu Datuk Seri) telah mengejutkan ramai pemimpin dan tokoh Umno Selangor apabila memilih Khir sebagai menteri besar muda yang menewaskan ramai tokoh lama yang berpengalaman dan dikatakan layak sehingga ramai pemimpin yang merajuk dan membawa diri. Ketika itu Khir nampak calon paling sesuai, bersih berbanding yang lain, tidak berpuak dan kelihatan berpotensi memimpin negeri yang banyak hasil mahsul itu.

Terbukti, pada awalnya beliau begitu konsisten dan komited dalam menjalankan tugas sebagai ketua pentadbir yang baik dan berhasil. Namun, waktu lama memerintah telah mengubah cara bertindak dan cara fikir seseorang individu sehingga membawa kepada kes tuduhan beliau terlibat membuat banyak harta hingga mampu membeli hartanah berjumlah RM3.5 juta.

Tanpa mendahului keputusan mahkamah - sama ada bersalah atau tidak - episod Khir membawa interpretasi awal bahawa jawatan tinggi dan kuasa boleh mengubah sikap dan pandangan hidup seseorang individu.

Seorang yang pernah hidup susah dan tiba-tiba menempuh dan menikmati kesenangan - jika tidak berhati-hati dan tahan uji - mungkin boleh berubah mendadak dan tergoda dengan segala kemewahan yang terhidang di depan mata.

Sukar untuk menjadi seorang ketua yang terus kekal jujur dan komited - apalagi dalam usia masih muda - setelah dikelilingi persekitaran baharu yang belum pernah dinikmati serta kawan-kawan baharu yang boleh membawa implikasi kebaikan atau keruntuhan.

Sukar untuk mempertahan kebaikan dan mengawal nafsu diri dalam suasana sekitaran yang kondusif dan mencabar jika tidak disertai dengan kekuatan iman, keinsafan dan tanggungjawab diri yang besar.

Konvensyen kedua dan cabaran getir PR

Pakatan Rakyat akan mengadakan konvensyen kedua pada 19 Disember ini, di tengah-tengah suasana yang sangat mencabar bagi gabungan parti pembangkang ini.

Selepas kegembiraan ekoran Mac 2008, kegagalan projek 16 September Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan 13 pilihan raya kecil, konvensyen kali ini jauh sekali daripada konvensyen di Shah Alam pada tahun lalu.

Konvensyen pertama masih penuh dengan harapan, cita-cita besar dan semangat pakatan baharu yang berdepan Umno dan Barisan Nasional yang agak lemah dan berpecah-belah.

Dalam konvensyen pertama, yang berlangsung ketika cabaran menuju Pilihan Raya Umum ke-13 masih jauh, pelbagai janji dan harapan diberikan, janji dan harapan yang perlu ditunaikan dalam konvensyen kedua nanti.

Konvensyen Ahad nanti bakal berjalan dalam suasana ahli-ahli berada dalam keadaan battle weary, selepas cabaran sebenar realpolitik, politik aliansi dan pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri menghambat parti-parti komponen.

Beberapa pilihan raya kecil terakhir menyaksikan peningkatan prestasi Umno dan BN dan gabungan parti pemerintah itu mula mendapat suntikan semangat baharu kebelakangan ini, dan telah membuka keahlian yang dijangka akan meningkatkan undi BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Pada masa sama, parti-parti PR berdepan pelbagai cabaran, terbaharu pergeseran dalaman pemilihan parti Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

Pendaftaran PR sebagai sebuah entiti seperti BN, yang mencetuskan isu seperti lambang bersama dalam pilihan raya dan sebagainya tidak memberi kelebihan kepada PR, malah mungkin menjadi isu yang akan menjadi sasaran BN untuk dieksploit.

Isu ideologi masih menjadi isu sensitif yang mampu menjejaskan eksperimen terbaharu parti-parti pembangkang ini, selepas Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif berpecah akibat perdebatan isu ideologi.

Konvensyen ini dijangka menjadi pertemuan besar terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang, menjadikannya medan untuk menunjukkan wajah bersatu dan bersefahaman kepada rakyat, dan paling utama, untuk meyakinkan diri sendiri.

PR kini berdepan cabaran paling getir sejak penubuhannya, iaitu menyelesaikan banyak agenda sekaligus dalam satu pertemuan, untuk menyampaikan mesej positif kepada rakyat.

Thursday, December 16, 2010

Kita: Sejauh mana Zaid mampu tarik lebih ramai ahli?

Datuk Zaid Ibrahim telah berjaya menerajui sebuah parti, dinamakan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air, Kita, yang sebelum ini dikenali Akim.

Seperti dijangka, Zaid akan meneruskan agenda liberalnya, dengan tindakan pertama menjadikan Kita parti berbilang kaum.

Parti baharu Zaid ini dikatakan akan menarik beberapa orang ahli berprifil tinggi PKR.

Dengan munculnya parti Kita, Zaid telah berjaya dengan jalan pintas, menubuhkan parti dan meletakkan diri dan partinya dalam peta politik tanah air, dan mengemukakan dirinya sebagai satu daripada kuasa ketiga.

Seperti ditulis SiasahDaily pada 18 November lalu, kuasa ketiga bakal menjadi satu harapan baharu untuk liberal di Malaysia:

"Gabungan liberal dalam kuasa ketiga ini menunjukkan realiti dalam politik, iaitu sistem dua gabungan sangat terhad ruang bergeraknya, kerana kepelbagaian kepentingan amat sukar untuk diterjemahkan melalui gabungan dua parti sahaja.

"Kemunculan kuasa ketiga berpotensi memperkuatkan lagi gerakan liberal di Malaysia - sama ada melibatkan Datuk Zaid Ibrahim atau tidak - yang kini bersedia memasuki gelanggang politik pilihan raya.

"Sekiranya gabungan ini cukup kuat, ia bakal mempunyai kuasa tawar-menawar yang cukup untuk menjadi satu penentu dalam penubuhan kerajaan pusat, satu kekuatan yang diharapkan oleh kumpulan ini."

Sama ada parti Zaid disertai ahli-ahli Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (Malaysian Civil Liberty Movement, MCLM) atau tidak, Kita akan mempunyai hubungan yang baik dengan gerakan itu, termasuk melibatkan perkiraan pilihan raya.

Tuesday, December 14, 2010

WikiLeaks dan perang persepsi

Dari Harakahdaily.net, 13 Disember, 2010:

Politik WikiLeaks, Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat

Oleh Haris Zalkapli

Pendedahan WikiLeaks tentang komunikasi perisikan Singapura dengan Australia yang mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tuduhan liwat sekali pandang tidak menjelaskan apa-apa yang konkrit.

Maklumat yang didedahkan itu menunjukkan bahawa pihak tertentu di Singapura dan Australia percaya dengan tuduhan terhadap Anwar, berdasarkan risikan mereka.

Kenyataan setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail bahawa maklumat WikiLeaks tentang Anwar disensasikan tidaklah keterlaluan, disebabkan nilai berita itu kepada pihak tertentu untuk kepentingan politik.

Pihak peguam Anwar pula menganggap pendedahan maklumat itu sebagai subjudice memberi amaran supaya media tidak menerbitkannya.

Tetapi kesan maklumat itu menyumbang kepada permainan persepsi yang sedang berlangsung di media, menjelaskan mengapa sebuah akhbar propemerintah meletakkan berita itu di muka hadapan, walaupun tidak melaporkan dengan lebih lanjut isu itu (ini walau bagaimanapun tidak akan menghentikan pemain-pemain media baharu pro-Umno daripada memperpanjangkan isu ini untuk membina dan mengukukan persepsi negatif).

Ini kerana WikiLeaks ditakuti oleh semua pemain politik, sama ada kerajaan atau pembangkang.

Sekiranya satu pendedahan maklumat yang negatif bagi pihak lawan disambut sebagai fakta sahih akan memerangkap diri sekiranya pendedahan memanfaatkan lawan pula berlaku.

Sekiranya diperhatikan, kedua-dua pihak tidak segera mengambil kesempatan daripada pendedahan WikiLeaks, walaupun boleh memberikan mileage yang besar.

Pendedahan melibatkan syarikat Malaysia yang dikaitkan dengan Iran dan komunikasi pegawai Amerika Syarikat dengan pegawai Malaysia berhubung sebuah bank Iran tidak disambut seperti biasa oleh pembangkang.

Pada masa sama, pihak pemerintah juga tidak kelihatan seperti memperakui maklumat pendedahan itu, mungkin sebagai satu langkah untuk tidak memberi kredibiliti kepada WikiLeaks.

Dilaporkan masih banyak kawat melibatkan Malaysia diperolehi WikiLeaks. Kemungkinan untuk maklumat itu nanti mendedahkan keburukan pemimpin – atau mana-mana ahli politik Malaysia – tidak dapat ditolak.

Disebabkan pertimbangan inilah kedua-dua pihak kerajaan dan Malaysia tidak mahu memberikan WikiLeaks kredibiliti seperti yang biasa dilakukan terhadap laporan dari Barat yang menguntungkan, kerana potensinya untuk menjejaskan sesiapa sahaja.

Berhubung perang persepsi yang sedang berlangsung pada masa ini, pendedahan itu tidak dapat dielakkan daripada memberi kesan kepada Pakatan Rakyat dan bukan hanya Anwar dan PKR.

Menjelang konvensyen Pakatan yang bakal diadakan tidak lama lagi, perkembangan ini menuntut satu penilaian kritikal di pihak Pakatan disebabkan kesan manipulasi maklumat itu kepada gabungan ini.

Konvensyen itu nanti perlu fokus pada apa yang ingin dicapai dan dikemukakan kepada rakyat, dan tidak menjadi medan menangani maklumat WikiLeaks itu dan tertumpu kepada isu Anwar semata-mata.

Tindakan menyalahkan pihak lain semata-mata tanpa menjelaskan bagaimana menanggapi maklumat daripada pihak ketiga itu hanya akan mencetuskan satu imej negatif bagi pihak PKR.

Mengabaikan terus pendedahan itu dengan harapan isu tersebut akan berlalu begitu sahaja juga bukan sesuatu yang tepat, kerana maklumat itu akan tetap memberikan kesan.

Maklumat ini mungkin bukan yang terakhir didedahkan WikiLeaks yang mampu menjejaskan Pakatan.

Dalam hal ini, Pakatan tidak boleh kelihatan seperti ketakutan atau terdesak mempertahankan diri dengan cara yang tidak berwibawa seperti mengemukakan teori konspirasi yang berlebihan.

Pakatan perlu memberi tumpuan pada rakyat dan bukan individu-individu dalam aliansi ini.

Friday, December 10, 2010

Umno tingkat kempen pulih imej

Umno kini sedang meningkatkan usaha memulihkan imej buruk yang menyumbang kepada kekalahan di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-12.

Muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini memberi gambaran lebih jelas kepada usaha terbaharu Umno pada masa ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dilapor berkata kerajaan serius memerangi rasuah tanpa mengira martabat dan jawatan.

Persoalan terhadap manfaat tindakan itu kepada pemerintah, yang diulas pertama kali oleh SiasahDaily dalam komentar bertajuk Kes Khir Toyo: Peluang Umno Bersih Imej Hadapi PRU 13, semakin menjadi persoalan kini.

Dalam tulisan itu, SiasahDaily menulis: "Perkembangan ini membuka peluang kepada Umno untuk membersihkan imej parti itu di Selangor dan meletakkan calon yang lebih muda dan muka baharu di negeri yang dirampas Pakatan Rakyat pada 2008 itu.

"Kes Khir memberi gambaran bahawa pemerintah serius memerangi rasuah, tanpa mengira kedudukan."

Najib dilapor berkata martabat dan jawatan bukan jaminan tidak dikenakan tindakan kerana rasuah, merujuk kepada kes Datuk Seri Mohd Khir Toyo.

Walau bagaimanapun, tindakan terhadap Khir lebih banyak menimbulkan persoalan daripada jawapan yang pasti.

Tindakan terhadap Khir menimbulkan spekulasi tentang persaingan merebut kedudukan dalam Umno di Selangor, yang berharap merampas negeri itu dalam pilihan raya akan datang.

Dalam hal ini, tindakan itu kelihatan seperti satu tindakan pembersihan dalaman dicetuskan oleh Umno sendiri.

Tindakan itu juga berlaku terlalu lama - dan selepas Khir tidak lagi menjadi menteri besar - selepas laporan-laporan awal terhadapnya timbul.

Keseriusan membanteras rasuah tidak cukup dengan hanya mendakwa Khir yang kelihatan sebagai satu token, atau hanya untuk memenuhi syarat minima, tetapi perlu dibuktikan dengan pendakwaan seorang yang berjawatan lebih tinggi dan masih lagi memegang jawatan, dan lebih penting, bukan individu kurang penting yang hendak dikorbankan.

Konvensyen kedua perlu siapkan PR hadapi PRU 13

Pakatan Rakyat akan mengadakan konvensyen tahunan buat kali kedua pada 19 Disember nanti, di Butterworth, Pulau Pinang.

Gabungan yang ditubuhkan ketika kemenangan besar Pilihan Raya Umum ke-12 masih disambut pada 2008 kini telah berusia hampir tiga tahun.

Politik nasional kini sedang menyaksikan isu-isu kontroversi dalam PR timbul, yang sebahagian besarnya merupakan ujian menghadapi realiti politik sebagai satu aliansi dan kerajaan pemerintah negeri.

Umno dan Barisan Nasional menunjukkan kesatuan dan persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum.

Pelbagai isu yang boleh membantu BN, daripada dakwaan terhadap bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo kepada pengunduran Datuk Seri S Samy Vellu, kini timbul dan disambut baik oleh media pro-BN.

Pada masa sama, satu kajian oleh penyelidik Universiti Malaya mendapati sokongan kepada Parti Keadilan Nasional dan kepercayaan terhadap kredibiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim terjejas.

DAP di Perak, negeri kedua paling dikuasai parti itu, juga mengalami pergolakan antara faksi yang berprofil tinggi.

PAS yang menghadapi pemilihan kepimpinan paling sengit dua tahun lalu masih merasakan sentimen yang berpotensi menjejaskan perpaduan dan kesatuan parti.

Menjelang pilihan raya umum yang prestasi PR tidak dapat tidak akan diukur dan dibandingkan dengan Pilihan Raya Umum ke-12, konvensyen kali ini perlu mencapai sesuatu yang lebih konkrit.

Tempoh hampir tiga tahun sepatutnya telah menyediakan peluang yang luas untuk mengambil pelajaran dan memastikan pakatan yang dibina dengan nama rakyat itu terus mampu menyumbang untuk rakyat.

Thursday, December 9, 2010

Isu TPM: Pakatan Rakyat jangan hilang tumpuan

Suasana panas ketika ramai sedang menjangka Pilihan Raya Umum ke-13 akan diadakan beberapa bulan sahaja lagi telah mencetuskan pelbagai isu.

Di kedua-dua pihak BN dan Pakatan Rakyat, sensitiviti terhadap isu-isu yang timbul pada masa ini meningkat dengan semua memerhati setiap perkembangan.

Dakwaan terhadap Datuk Seri Dr Khir Toyo, peralihan kepimpinan MIC dan timbalan perdana menteri kerajaan PR semuanya mencetuskan respons segera semua pihak.

Terbaharu, parti-parti PR terlibat dalam debat hangat berhubung timbalan perdana menteri kerajaan PR yang dikatakan dijanjikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Lim Kit Siang.

Kedua-dua pihak yang menyokong dan menentang mengambil posisi masing-masing, mengulas isu sensitif ini.

Walau bagaimanapun, ingatan daripada presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memperlihatkan sikap rasional dan berhati-hati dalam menangani isu ini.

Hakikatnya, Pilihan Raya Umum ke-13 belum berlaku lagi, dan tidak dapat dipastikan suasana politik ketika pilihan raya itu berlangsung nanti, yang menurut keadaan kini, hampir pasti tidak menyamai suasana pilihan raya umum yang lalu.

Kemenangan PR sehingga berjaya menubuhkan kerajaan pusat, parti mana yang akan menang paling banyak kerusi, siapa yang bakal menjadi perdana menteri dan banyak lagi isu masih jauh daripada jelas, apatah lagi kedudukan timbalan perdana menteri.

Kedudukan timbalan perdana menteri dan semua jawatan menteri dalam kabinet bukan mudah untuk diselesaikan, dan pasti persoalan timbalan perdana menteri dan menteri-menteri lain tidak akan ditangani secara berasingan.

Ini jelas menunjukkan bagaimana isu timbalan perdana menteri ini telah menjadikan tumpuan PR tersasar. Sekiranya isu timbalan perdana mentei diperdebatkan, boleh juga jawatan penting lain diperdebatkan juga, seperti menteri kewangan, menteri dalam negeri, perumahan dan kerajaan tempatan dan pelajaran.

Sensitiviti isu ini juga mampu menjejaskan kerjasama dalam kalangan PR ekoran sentimen yang mampu dicetuskan. Ini berpotensi menjejaskan hubungan sesama PR, jauh sebelum pertempuran sebenar PRU 13 bermula.

Menjelang konvensyen PR yang bakal diadakan pada 19 Disember nanti, parti-parti pakatan ini perlu bertindak dan berfikir secara matang dan tidak tersasar daripada isu utama mengukuhkan kerjasama.

Monday, December 6, 2010

Kes Khir Toyo: Peluang Umno bersih imej hadapi PRU 13

Tindakan yang sedang dikenakan ke atas Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo memberi gambaran lebih jelas kepada jangkaan pilihan raya umum awal dan memberi peluang Umno meletakkan muka baharu di Selangor.

Perkembangan ini membuka peluang kepada Umno untuk membersihkan imej parti itu di Selangor dan meletakkan calon yang lebih muda dan muka baharu di negeri yang dirampas Pakatan Rakyat pada 2008 itu.

Kes Khir memberi gambaran bahawa pemerintah serius memerangi rasuah, tanpa mengira kedudukan.

Ini akan membolehkan Umno kelihatan lebih bersih dalam pilihan raya umum akan datang, berdepan dengan PR yang sedikit terjejas akibat pergeseran dalaman dan pelbagai masalah lain, terutama yang dicetuskan kempen Umno.

Tindakan terhadap Khir juga memberi kesan positif terhadap kumpulan pesaingnya dalam Umno Selangor, yang ada antaranya mempersalahkan bekas menteri besar itu dalam kekalahan pada pilihan raya umum 2008.

Pesaing Khir tidak mahu beliau berperanan dalam dalam Selangor, terutama sekiranya Umno berjaya merampas negeri kaya itu.

Tindakan ke atas Khir akan membuka peluang kepada tokoh-tokoh Umno lain untuk berperanan lebih besar di Selangor, termasuk Senator Mohamad Ezam Mohd Noor.

Saturday, December 4, 2010

Perpaduan BN, PRU 13 ujian kejayaan 1 Malaysia

Konvensyen Barisan Nasional yang sedang berlangsung kini, dengan tema 1 Malaysia menjadi salah satu penentu keberkesanan strategi yang sedang dilaksanakan kini.

Di tengah-tengah jangkaan Pilihan Raya Umum ke-13 dan usaha BN mengukuhkan gabungan itu, konvensyen kali ini merupakan usaha penting untuk mengukuhkan barisan.

Walau bagaimanapun, dengan cabaran menangani politik kaum bagi memenangi sokongan Melayu dan konsep 1 Malaysia bagi mencapai sokongan meluas bukan Melayu, Umno sebagai parti dominan BN masih berdepan cabaran getir.

Keahlian terbuka BN yang lebih sama rata dan BN sebagai satu parti tunggal merupakan antara tuntutan yang didasarkan pada 1 Malaysia yang ditafsir dengan lebih liberal.

Tuntutan-tuntutan itu, yang dibuat oleh Gerakan, sebuah parti komponen bukan Melayu telah menunjukkan gambaran ujian yang bakal dihadapi BN dalam usaha menangani kepelbagaian ahli komponen.

Perkembangan ini menunjukkan slogan 1 Malaysia boleh membina sokongan luas pelbagai kaum, tetapi juga membawa risiko mencetuskan pergeseran.

Perpaduan BN sebagai satu gabungan parti berbilang kaum dan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti akan menjadi pengukur sejauh mana slogan 1 Malaysia telah berjaya diterima.

Friday, December 3, 2010

Naik harga minyak, Najib ikut jejak langkah Pak Lah?

Harga minyak naik lagi, dengan kedua-dua Ron 97 dan Ron 95 naik kepada RM2.30 dan RM1.90 seliter.

Ron 97 naik kepada RM2.30 1 Disember lalu, manakala kenaikan harga Ron 95 diumumkan petang tadi, berkuatkuasa 4 Disember.

Kenaikan diumum Datuk Idris Jala, ketua eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pencapaian, Pemandu.

Kenaikan kali ini meliputi dua jenis petrol itu, diesel dan gula, dijangka memberi kesan kepada harga barangan lain, memandangkan kenaikan kos pengangkutan.

Kenaikan ini dijangka akan menghasilkan kesan negatif terhadap kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, terutama sekiranya pilihan raya umum diadakan awal tahun depan.

Kenaikan harga minyak ini berpotensi menjadi kesilapan langkah Najib dalam usaha menarik kembali sokongan untuk menghadapi pilihan raya umum.

Isu minyak menjadi salah satu isu utama kempen pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008.

Kenaikan susulan selepas itu menguatkan sokongan kepada gabungan pembangkang dalam rancangan peralihan kuasa 16 September, yang walau bagaimanapun tidak berjaya dilaksanakan.

Kenaikan kali ini juga berlaku ketika muncul laporan perbelanjaan RM66 juta untuk menubuhkan Pemandu, yang dilapor sejumlah besar dibayar kepada perunding luar negara sebelum penubuhan.

Kenyataan-kenyataan seperti "tidak membebankan rakyat" dan membandingkan harga dengan negara serantau mengundang lagi rasa kurang senang orang ramai yang dihidangkan dengan kenyataan yang sama setiap kali berlaku kenaikan.

Tindakan menaikkan harga yang disebut penyelarasan subsidi itu juga dikatakan bakal menjimatkan perbelanjaan kerajaan, sekaligus membolehkan peruntukan itu digunakan untuk perbelanjaan pembangunan lain.

Alasan ini turut boleh dilihat dengan kritikal. Sejak di bawah pemerintahan Abdullah, penjimatan subsidi disebut akan membolehkan perbelanjaan disalurkan untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam, tetapi masih tidak mendatangkan hasil yang konkrit berhubung sektor itu.

Selangor sasaran utama Umno dalam PRU 13

Hari ini, Jumaat, gabungan kumpulan yang menamakan diri mereka Gagasan Anti Penyelewengan Selangor, GAPS, mengadakan perhimpunan di Istana Kayangan, Shah Alam, Selangor selepas solat Jumaat.

GAPS yang dianggotai 50 pertubuhan bukan kerajaan mendakwa akan mendedahkan 30 kes korupsi dan salah guna kuasa oleh syarikat subsidiari kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, PKNS, dan Yayasan Selangor.

Pada Ahad, kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor akan ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum menuntut hak pengurusan air diberikan kepada kerajaan negeri.

Kedua-dua kumpulan juga bakal bertembung dalam usaha masing-masing berhimpun dan menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agung dijadualkan Ahad ini.

Perkembangan berkaitan Syarikat Bekalan Air Selangor, Syabas ini berada di tengah-tengah persaingan sengit Umno dengan kerajaan negeri dikuasai PR.

Satu ofensif yang dilakukan terhadap kerajaan Selangor ialah Tabung Budi yang digunakan untuk membantu mereka yang tidak mampu tetapi kelihatan mempunyai motif politik yang jelas, sebagaimana didakwa Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifly Ahmad.

Usaha Tabung Budi itu tidak dapat dielakkan daripada dilihat bermotif politik kerana ditubuhkan ketika PR menguasai negeri, dan bergerak dalam konteks yang kritikal terhadap tindakan-tindakan kerajaan negeri.

Umno turut cuba mendapatkan manfaat daripada kenyataan Sultan Selangor berhubung isu ketuanan Melayu yang dimanipulasi oleh PKR dalam kongresnya hujung minggu lalu.

Walau bagaimanapun, kumpulan-kumpulan disokong Umno menyasarkan lebih daripada isu air, tetapi turut mengaitkan pengurusan kerajaan negeri dan syarikat-syarikat berkaitan.

Kesungguhan Umno meningkatkan ofensif terhadap PR di Selangor dicerminkan melalui kempen ceramah yang diadakan sejak beberapa bulan lalu, mengemukakan penceramah seperti Senator Ezam Mohd Noor dan pemimpin-pemimpin kanan parti itu.

Umno kini semakin yakin dengan sokongan Melayu dan mengharapkan perubahan itu akan memberi manfaat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Perarakan hari ini dan pada Ahad nanti akan meningkatkan lagi persaingan sengit kedua-dua PR dan BN untuk merebut negeri Selangor, dengan kedua-duanya cuba merebut perhatian daripada institusi raja.

Menjelang PRU 13, PAS semakin realistik tangani strategi, ideologi

PAS semakin mengambil langkah dan sikap yang realistik dalam membentuk strategi dan menangani hubungan dengan parti-parti dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu wawancara mengatakan PR tidak perlu logo rasmi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Abdul Hadi dalam wawancara itu menegaskan fokus yang sewajarnya diberikan kepada kerjasama yang boleh dijalankan bersama PR dan bukan hal-hal yang masih jauh.

Beliau sebelum ini menegaskan perlunya PAS menang hasil kekuatan sendiri dan bukan akibat daripada kelemahan parti lawan.

Perkembangan ini memperlihatkan usaha PAS untuk menjadi lebih mandiri dan kukuh dalam menghadapi persaingan politik di negara ini.

Pendekatan ini dilihat muncul ekoran perkembangan sejak Pilihan Raya Umum ke-12 dua tahun lalu yang menunjukkan masih banyak yang tidak dapat dipersetujui parti-parti PR.

Selepas berdepan pergeseran dalaman ekoran projek 16 September pada 2008, pendekatan baharu PAS ini dilihat sebagai usaha untuk parti itu bergerak berdasarkan ideologinya, dengan meneruskan kerjasama pada tahap yang dipersetujui dalam PR.

Ketua pemuda PAS, Nasrudin Hassan dalam satu tulisan di blog menegaskan perjuangan Islam PAS yang perlu ditegaskan dan tidak bersikap apologetik, menandakan kesedaran parti itu terhadap ideologinya yang agak tidak ditonjolkan sejak kebelakangan ini ekoran keperluan strategi.

Ketika polemik panas timbalan perdana menteri yang dikatakan dijanjikan kepada pemimpin DAP, Lim Kit Siang, PAS mengambil pendekatan tidak terlibat dalam debat itu, dengan Nik Mohd Amar Abdullah mengatakan tindakan memutuskan siapa timbalan perdana menteri masih jauh, kerana PR masih belum menang dan menubuhkan kerajaan pusat.

PAS juga menjarakkan diri daripada penekanan berlebihan pada Putrajaya apabila naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata usaha menguatkan parti perlu dilaksanakan terlebih dahulu berbanding bercakap tentang Putrajaya.

Tindakan tersebut memperlihatkan sikap berhati-hati PAS berdepan pilihan raya umum nanti, yang dijangka menyaksikan prestasi Umno dan BN yang meningkat berbanding sebelum ini.

PAS turut meningkatkan usaha menarik sokongan bukan Melayu, yang digerakkan dengan aktif oleh pemimpin seperti Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Pada masa sama, parti ini turut semakin menyedari sokongan Melayu yang diperlukan, dan menggerakkan kempen untuk menjadi wakil kepada orang Melayu yang lebih berkesan berbanding Umno.

PAS mengadakan seminar PAS Sedia Ganti Umno di Shah Alam, Selangor bulan lalu, sebagai sebahagian usaha mempersiapkan parti mengambil peranan sebagai parti utama orang Melayu menggantikan Umno.

Thursday, December 2, 2010

Tangguh pemilihan parti untuk elak sabotaj

Keputusan Umno menangguh pemilihan parti selama 18 bulan semakin menjelaskan usaha parti itu mempersiapkan diri menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Tanpa mengira bila pilihan raya umum akan diadakan, tindakan itu boleh mengelakkan pelbagai perasaan negatif dalam kalangan pemimpin dan ahli parti sehingga mampu mencetuskan sabotaj.

Pemilihan parti tidak dapat dielakkan daripada mencetuskan pergeseran dan rasa tidak senang sesetengah kelompok, terutama yang kalah.

Dengan sasaran besar menawan Selangor dan mengembalikan sokongan orang Melayu dan memenangi undi bukan Melayu, Umno tidak mahu perebutan dalam parti menjejaskan pertaruhan besar dalam pilihan raya umum nanti.

Pilihan Raya Umum ke-12 telah menunjukkan kepada Umno bagaimana rasa tidak senang ahli telah membawa kepada bencana sehingga kehilangan majoriti yang besar.

Tindakan menangguhkan pemilihan ini merupakan tindakan yang bijak bagi pihak Umno dalam menangani ahli dalam persiapan pilihan raya.

Dalam keadaan parti-parti Pakatan Rakyat berdepan pelbagai risiko hasil pemilihan kepimpinan parti, Umno memutuskan untuk menangguhkan masalah itu ke masa depan.

Ini juga boleh menjadikan ahli-ahli Umno lebih fokus pada pilihan raya, yang masih ramai menjangka diadakan pada separuh pertama tahun hadapan.

Tuesday, November 30, 2010

PRU 13: Walaupun yakin, Najib masih berdepan risiko tersilap langkah

Selepas membentangkan bajet yang memberi beberapa ganjaran kepada rakyat dan disusuli kemenangan dalam pilihan raya kecil Galas dan batu Sapi, kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak kelihatan yakin untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Tinjauan-tinjauan yang menunjukkan kembalinya sokongan Melayu dan masalah menimpa parti-parti pembangkang menambahkan lagi keyakinan itu.

Pada masa sama, pembukaan keahlian BN dijangka meluaskan sokongan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, walaupun hasil selepas itu masih belum dapat dijangka.

Walau bagaimanapun, keyakinan Umno dan BN ini juga telah mendorongnya tersilap langkah dalam beberapa hal yang kritikal.

Dalam keghairahan menggunakan bencana alam di Kedah untuk kepentingan politik, pemerintah telah mengundang murka Sultan Kedah apabila menuduh kerajaan negeri tidak membantu.

Najib juga dilaporkan menolak nasihat bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad supaya menara 100 tingkat tidak dibina sekarang.

Dua contoh kesilapan ini mendedahkan keangkuhan Umno dan BN yang tidak mengambil kira suara rakyat terbanyak.

Dalam kes Kedah, Umno menambahkan rasa marah rakyat kepada parti pemerintah itu dengan tuduhan buruk terhadap kerajaan negeri itu. Lebih menambahkan kemarahan, sekitar masa yang sama, rakyat Kedah mengingati peristiwa Memali.

Menara 100 tingkat yang kuat diperjuangkan kerajaan BN itu mendapat tentangan ramai rakyat yang ketika ini dihambat dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup.

Menara yang tidak dapat dihubungkan dengan manfaat kepada rakyat terbanyak itu menimbulkan pelbagai tanda tanya tentang tujuannya, dan siapa yang akan paling mendapat manfaat.

Keyakinan Najib untuk menghadapi pilihan raya tidak secara mudah dapat ditafsirkan kepada kemenangan.

Monday, November 29, 2010

Kongres PKR tegaskan lagi kuasa Anwar

Parti Keadilan Rakyat kini mencatat sejarah sebagai parti politik yang ditakrif dan ditentukan haluannya oleh seorang individu, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tanpa sedikit pun rasa segan silu, seluruh parti menegaskan lagi kuasa Anwar sebagai pemimpin agung, mengatasi perlembagaan dan segala proses dalam parti.

Sejak rapat umum PKR Selangor sebelum kongres, Anwar menjadi tema dan tajuk perhimpunan. Di kongres, ada pemimpin yang mahu kedudukan Anwar ditegaskan dalam perlembagaan, untuk mengukuhkan lagi kedudukannya.

Kemudian, pemimpin yang sama memarahi media kerana "menyibuk." Masalahnya, sebagai parti yang paling berahi merampas Putrajaya, PKR tidak boleh menganggap segala yang dilakukan tidak ada kena-mengena dengan orang lain, terutama media.

Seperti PAS sejak lebih 10 tahun lalu, segala tindakan dan perkembangan dalam parti diletakkan di bawah mikroskop oleh media. Sebagai parti yang beraspirasi untuk menjadi sebahagian kerajaan pusat, hal ini tidak boleh dielakkan.

PKR perlu sedar sebagai sebuah parti yang aktif dalam politik nasional, ia tidak boleh melakukan sesuka hati tanpa mendapat maklum balas dan penilaian orang ramai. Setiap tindakan parti itu tidak boleh dilihat sebagai terpisah daripada perkembangan politik nasional.

Berdasarkan perkembangan ini, PKR kelihatan mendedahkan diri kepada pelbagai kritikan dan permainan media musuh. Tindakan memainkan sentimen kaum melalui perlekehan ketuanan Melayu menafikan dakwaan perubahan ke arah "politik baharu" yang diuar-uarkan sejak bertahun lalu.

Dalam berita media elektronik popular pada malam terakhir kongres, tiga berita mengenai kongres itu ialah tindakan Anwar memperlekehkan ketuanan Melayu, kritikan terhadap media kerana melaporkan cadangan meletakkan Anwar melebihi presiden dan tindakan seorang ahli bukan Muslim mentafsir secara salah ayat al-Quran.

Tanpa mengira betul atau tidak laporan itu, apa yang dilaporkan itu sampai dan menyentuh sentimen Melayu, yang boleh ditambahkan lagi dengan pelbagai krisis dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Perkembangan ini juga tidak dapat dielakkan daripada memberi kesan kepada parti-parti dalam PR, yang secara tidak langsung akan dikaitkan kredibiliti mereka.

Sebagai parti yang menyumbang kepada perubahan politik besar pada 2008, dan bercita-cita mengulanginya dalam pilihan raya umum akan datang, PKR perlu lebih matang dan mengutamakan rakyat berbanding kepentingan-kepentingan individu tertentu dalam parti.

Friday, November 26, 2010

Kenapa Zaid keluar parti, dan haluannya selepas ini

Isu ideologi merupakan perkara yang agak kurang menjadi subjek laporan dan perbincangan dalam politik Malaysia, dengan nada wacana yang lebih cenderung mewarnakan pihak-pihak terlibat kepada baik dan jahat.

Walau bagaimanapun, ideologi politik ialah satu alat yang mampu memberikan kita pemahaman untuk menilai permainan politik, melihat hal yang lebih dalam berbanding yang muncul di permukaan.

Isu dominasi Umno, pakatan-pakatan pemerintah dan pembangkang sehingga kepada penilaian terhadap tokoh-tokoh memerlukan pengetahuan tentang ideologi untuk membolehkan pemahaman yang lebih mendalam.

Tidak terkecuali dalam hal ini ialah isu Datuk Zaid Ibrahim dan Parti Keadilan Rakyat yang menjadi cerita besar sejak beberapa bulan lalu. Kini, timbul cerita tentang kuasa ketiga yang dilihat mampu menggugat Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Di bawah ialah artikel mengenai persaingan dalam pemilihan kepimpinan PKR yang ditulis menjelang pemilihan baru-baru ini, menjelaskan kedudukan Zaid dan kumpulan-kumpulan lain dalam PKR.

Perang Azmin-Zaid dan masa depan PKR
Oleh Haris Zalkapli

Pemilihan jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat, PKR telah pun mencetuskan drama yang hebat, lebih awal daripada yang dijangka, sebelum calon-calon disempurnakan pencalonan mereka untuk bertanding.

Kenyataan sokongan yang dibuat oleh sekumpulan wakil rakyat PKR baru-baru ini mencetuskan suasana yang tidak menyenangkan, bukan sahaja dalam kalangan ahli parti tetapi juga pemerhati politik dan penyokong Pakatan Rakyat.

Kenyataan bersifat preemtif oleh penyokong Azmin Ali terhadap Datuk Zaid Ibrahim itu menunjukkan wujudnya politik kelompok yang kuat dalam PKR, dan keazaman satu kumpulan untuk mentakrif dan menguasai perjuangan dan kepimpinan parti.

Kenyataan kumpulan Azmin itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana hanya mengesahkan lagi apa yang telah diperhatikan sejak sekurang-kurangnya pilihan raya kecil di Hulu Selangor.

Drama yang dicetuskan itu menunjukkan permainan politik seperti yang dikenali dalam politik parti negara ini masih terus hidup, walaupun dalam parti yang mendakwa membawa nilai-nilai yang lebih baik.

Perkembangan terbaharu ini menunjukkan persaingan pemimpin-pemimpin dan kumpulan-kumpulan dalam PKR sentiasa wujud, dan menegaskan lagi peranan penting ideologi dan pendekatan politik dalam parti itu.

Perbezaan-perbezaan melibatkan aliran ideologi dan gaya politik ini membezakan kumpulan-kumpulan dalam PKR, dan menjadi faktor utama dalam pelbagai isu, daripada penyingkiran Zulkifli Noordin hingga pemilihan Zaid untuk bertanding di Hulu Selangor.

Secara umumnya, tiga kumpulan besar bersaing dalam usaha mentakrif dan menguasai perjuangan PKR iaitu kumpulan yang sebahagian besarnya bekas Umno yang diwakili Azmin, kumpulan liberal dan berhaluan kiri diwakili individu seperti Tian Chua, Elizabeth Wong dan juga Zaid dan kumpulan Melayu Muslim diwakili Mustaffa Kamil Ayub.

Persaingan kumpulan ini dapat diperhatikan daripada mereka yang dijangka bertarung untuk jawatan timbalan presiden.

Ketiga-tiga kumpulan berusaha mengukuhkan pengaruh melalui Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin berkuasa dalam PKR yang memutuskan banyak keputusan.

Sejak penubuhan sebagai Parti Keadilan Nasional, persaingan kumpulan berbeza ideologi telah berlaku, dengan kumpulan berlatar belakang gerakan Islam seperti Abim menjadi yang pertama ditolak.

Kelompok berlatar Islam pada masa itu menjadi antara inner circle utama dalam kepimpinan parti itu, tetapi mempunyai perbezaan besar dengan kumpulan berhaluan kiri dan liberal dan sebahagian aktivis reformasi.

Pada masa kini, persaingan paling sengit melibatkan kelompok yang secara umumnya dipimpin Azmin dengan kumpulan liberal yang berhasrat menaikkan Zaid, tokoh yang menjadi harapan kumpulan liberal untuk memimpin PKR pada masa depan.

Hasil daripada persaingan untuk jawatan timbalan presiden ini akan menentukan bentuk dan perjalanan PKR dalam menghadapi pilihan raya akan datang dan seterusnya menempuh masa depan.

Kumpulan liberal dilihat mempunyai kekuatan pada masa ini, sebahagiannya disebabkan kejayaan mereka menasihati dan mendesak Anwar dalam beberapa isu, paling berprofil tinggi melibatkan penyingkiran Zulkifli, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu.

Mereka juga mampu membawa perjuangan PKR keluar daripada garisan Anwar, menjadikan PKR parti liberal sebenar, tanpa perlu berselindung atau cuba kelihatan mewakili semua.

Hal ini menimbulkan persoalan tentang pendirian Anwar sebagai pemimpin PKR, berhubung siapa yang direstuinya untuk menjawat jawatan timbalan presiden. - politikpop.com

Wednesday, November 24, 2010

Sultan Johor gesa lagi Najib bina jambatan baharu


Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar mengulangi hasrat baginda dan seluruh rakyat Johor supaya kerajaan pusat membina jambatan baharu menggantikan Tambak Johor. Ini merupakan kali kedua baginda menyatakan hasrat itu selepas dilantik menjadi sultan.

Sebelum itu Almarhum ayahanda beliau, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail juga mendesak dirobohkan tambak dan digantikan jambatan baharu demi kebaikan rakyat kedua-dua buah negara dan keperluan ekonomi yang lebih relevan.

Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-52 dengan harapan pembinaan jambatan baharu itu dapat memberikan keselesaan kepada rakyat Johor yang berulang alik ke Singapura, malah kemudahan untuk rakyat negara jiran melancong ke negara ini.

Sambil menghargai sumbangan besar dan keperhatinan kerajaan kepada masalah rakyat, baginda dengan nada sayu seolah-olah terkilan kerana hasrat ingin melihat Tambak Johor diroboh dan digantikan dengan jambatan baru belum dipenuhi oleh kerajaan pusat.

Menurut baginda lagi, ketiadaan Tambak Johor akan membolehkan air di Selat Tebrau bebas mengalir selakigus memberi kesan terhadap alam sekitar di sekelilingnya.

Apakah reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak tentang permintaan kedua baginda itu? Adakah kerajaan perlu membuka semula perundingan baru dengan Singapura bagi mereaslisasikan hasrat dan gesaan baginda itu?

Apakah Najib bersedia mendengar lagi ulangan kali ketiga dan seterusnya gesaan itu jika pintu rundingan tidak dibuka segera dengan pemerintah Singapura bagi menyelesaikan tuntutan baginda itu?

Episod baharu ini membuktikan desakan Tun Dr Mahathir Mohamad, Almarhum ayahnda baginda dan majoriti warga Johor yang ingin melihat jambatan baharu dibina bagi menggantikan Tambak Johor bukanlah cerita omong kosong atau impian individu tertentu yang tidak berpijak di bumi nyata.

Senario itu juga memberi isyarat bahawa soal pembinaan jambatan baharu adalah isu popular yang sudah menjadi perhatian dan kehendak mendesak semua rakyat Malaysia umumnya dan warga Johor khasnya.

Apa yang diperlukan kini ialah keazaman kuat dan keberanian Najib untuk mencari jalan keluar berunding sebaik mungkin dengan pemimpin negara jiran itu supaya menerima hakikat sebenar keperluan dirobohkan tambak dan dibina segera jambatan baharu demi persahabatan dan hubungan istimewa kedua negara yang sudah terjalin lama dalam ikatan sejarah.

Jika Singapura enggan bekerjasama, kerajaan boleh membina jambatan bengkok di sebelah perairan kita seperti yang dihujah Mahathir sebelum ini. Ini dibenarkan dari sudut undang-undang kerana kita tidak menyentuh atau memasuki daerah perairan Singapura.

Dan jika cadangan itu tidak diterima pemerintah negara jiran yang terkenal sikap kaisu (tidak mahu kalah), kerajaan harus segera menyerahkan perkara itu kapada mahkamah antarabangsa untuk mencari jalan penyelesaian adil dan abadi.

Tuesday, November 23, 2010

Dilema Najib hadapi pilihan raya umum

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak telah menafikan tanggapan tentang pilihan raya umum lebih awal sebagai khabar angin.

Walaupun Barisan Nasional kini dilihat lebih kuat dan Pakatan Rakyat terutama PKR dalam keadaan lemah, pemimpin pakatan pemerintah itu menafikan pilihan raya akan diadakan lebih awal.

Tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 kini merupakan dilema bagi pemerintah.

Ini kerana satu faktor yang penting, iaitu PR dalam keadaan lemah, jauh lemah berbanding pilihan raya umum Mac 2008 dan beberapa bulan selepas itu.

BN, terutama Umno pula bertambah kuat, ditambah pula dengan keahlian terbuka yang membuka gabungan itu kepada sokongan luas banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan.

Umno, sebagai parti terbesar kini berada pada tahap moral yang tinggi. Sokongan kepada Umno kini kelihatan meningkat, walaupun undi Melayu kepada parti Melayu itu sudahpun memperlihatkan perubahan sedikit, sekurang-kurangnya sejak pilihan raya Parlimen Bukit Gantang.

Pemerintah kini berdepan dilema memilih antara kekuatan faktor-faktor seperti ekonomi dan sebagainya dengan faktor kelemahan pembangkang. Pada masa ini, faktor yang besar ialah kelemahan relatif pembangkang. Sesetengah penyokong pemerintah melihat faktor ini perlu dimanfaatkan, memandangkan pelbagai perubahan boleh berlaku sekiranya pilihan raya dilambatkan.

BN baru sahaja memenangi dua pilihan raya kecil, dan pada masa sama PKR dan pemimpin utamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan masalah. Bagi sesetengah penyokong Umno dan BN, inilah faktor yang paling menentukan prestasi cemerlang pemerintah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, dan tidak boleh dibiarkan berlalu.

Monday, November 22, 2010

Ahli terbuka BN: Pakatan Rakyat perlu hadapi realiti

Usaha meluaskan sokongan oleh Barisan Nasional dengan memperkenalkan ahli terus dan bersekutu mendapat respons yang pelbagai daripada pemerhati.

Bagi pihak Pakatan Rakyat, mereka mendakwa tidak bimbang dengan perubahan itu kerana melihat perubahan itu sebagai tanda BN yang semakin tidak mendapat sokongan.

Dari satu sudut, pandangan ini ada benarnya kerana dengan keahlian yang ramai dalam parti komponen utama, sukar untuk dibayangkan tuntutan ini akan muncul.

Umno, MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti komponen yang menarik untuk disertai memungkinkan isu keahlian terus dan bersekutu tidak timbul, kerana komponen-komponen utama kukuh dan mendapat sokongan.

Walau bagaimanapun, penyertaan dalam parti terbabit kurang tarikannya, sehingga mencetuskan keperluan membuka keahlian.

Hal ini menjadi lebih penting dalam usaha memenangi sokongan ramai pada pilihan raya umum dan menghadapi serangan-serangan pembangkang.

Tetapi, sekiranya tindakan itu berjaya mendapatkan sokongan untuk BN, walaupun sekadar cukup untuk memenangi kerusi dalam pilihan raya, sudah cukup untuk BN terutama dalam jangka masa pendek.

Tuntutan untuk menjadikan BN sama-rata tidak terlaksana dengan perubahan itu kerana parti utama masih mahu mengekalkan status quo kuasa dengan menghadkan suara ahli terus dan bersekutu.

Ini perlu dilihat dengan serius oleh PR, yang hingga kini masih tidak berjaya mewujudkan satu gabungan yang kohesif dan berkesan, sekurang-kurangnya dalam politik pilihan raya.

PR sehingga kini masih dibelenggu agenda yang simplistik dan kurang jelas, dan pada masa sama menuntut kepatuhan yang ketat terhadap "semangat PR."

Beberapa agenda PR kelihatan dipaksakan dan masih berlaku percanggahan dalam banyak isu besar, yang hakikatnya memang tidak dapat dipersetujui semua, seperti isu kalimah Allah.

PR perlu sedar bahawa kepelbagaian ideologi tidak memungkinkan penyatuan seperti yang dibayangkan dalam retorik-retorik pemimpinnya.

Satu perbezaan besar BN dengan PR ialah BN lebih bersikap pragmatik dan bersetuju untuk bekerjasama secara agak realistik dalam perkongsian kuasa.

Parti-parti PR mempunyai ideologi yang jelas dan mengharapkan perbezaan ini ditangani dengan mudah dan PR sebagai satu badan seperti BN dapat diwujudkan dengan segera ialah sesuatu yang sangat tidak realistik.

Apa yang wajar dilakukan ialah mempersetujui satu agenda yang boleh diterima semua - seperti satu lawan satu menentang BN - dan bergerak sebagai pakatan yang longgar dahulu.

Kesepakatan dan kesatuan dalam kalangan parti berbeza ideologi sememangnya sukar dan memerlukan proses tawar-menawar yang panjang.

Sunday, November 21, 2010

Ahli terus BN, sejauh mana luaskan sokongan?

Barisan Nasional memutuskan untuk menerima ahli terus, sebagai ahli BN tanpa duduk di bawah parti komponen.

Dalam suasana menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 kini, tindakan ini dilihat mampu meluaskan keahlian dan sokongan daripada ramai yang menyokong agenda BN tetapi tidak mahu terlibat dengan parti komponen.

Dari satu sudut, keahlian terus ini boleh menjejaskan kuasa komponen besar seperti Umno yang kini mendominasi BN.

Walau bagaimanapun, beberapa langkah kawalan dijangka dilaksanakan untuk menjaga pengaruh Umno dalam pakatan itu, menunjukkan satu lagi keyakinan baharu pemimpin Umno dan BN, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Perkembangan ini merupakan satu petanda positif buat BN - dalam meluaskan sokongan - yang berdepan risiko perpecahan ekoran Pilihan Raya Umum ke-12 lebih dua tahun lalu.

Tetapi sejauh mana Umno berjaya memelihara kuasanya dan tidak berkompromi dalam hal melibatkan kepentingan parti dan konstituensinya, disebabkan tuntutan-tuntutan pelbagai kepentingan dan bentuk keahlian yang menggambarkan semangat sama-rata itu.

Umno merupakan pihak yang paling berkemungkinan melihat pengaruhnya terhakis melalui tindakan itu, walaupun ini masih bergantung kepada langkah-langkah kawalan yang boleh dilaksanakan.

Kemasukan ramai individu berpotensi diketengahkan - misalnya untuk mengisi posisi-posisi penting - boleh mengancam pemegang kuasa dalam Umno yang terus menguasai parti itu.

Walau bagaimanapun, parti-parti komponen lain turut bimbang dengan ahli-ahli terus yang berpotensi meningkat dalam BN tanpa tertakluk kepada politik parti komponen yang lebih sukar.

Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad ialah antara tokoh pemerintah yang menyokong keahlian terus.

Saturday, November 20, 2010

Kes Sime Darby: Siapa bakal didakwa?


Oleh Izmas

Syarikat konglomerat negara, Sime Darby akan mengambil tindakan undang-undang pada hujung tahun ini terhadap beberapa individu untuk mendapatkan semula RM2.1 billion kerugian besar yang dialami akibat salah tadbir dan salah laku dalam bahagian tenaga dan kemudahan awam (energy and utilities - E&U).

Pengurusan Sime Darby telah mengenal pasti beberapa nama individu yang terlibat dalam skandal itu. Menurut sumber, beberapa pengurus kanan dan pengarah dalam bahagian E&U bakal didakwa di samping segelintir "ikan jerung" yang juga akan dipanggil sebagai saksi. Pengurusan di bahagaian itu didakwa menjalankan perniagaan melibatkan lebihan kos (over run cost) yang disangsikan menyebabkan Sime Darby kerugian besar dalam perniagaan baharu yang sepatutnya tidak mereka terokai.

Pengurusan atasan Sime Darby turut dipersalahkan kerana membuat keputusan menerokai perniagaan baharu tenaga yang bukan menjadi keutamaannya. Sepatutnya pihak pengurusan fokus kepada enam perniagaan teras (core businesses) yang menjadi perniagaan asalnya seperti perladangan, hartanah, automotif, perindustrian dan penjagaan kesihatan.

Syarikat konglomerat negara itu mengalami kerugian besar RM2.1 billion dalam perniagaan bahagian E&U yang dicatatkan dalam kira-kira kewangan tahunan Jun lalu yang menyaksikan ketua eksekuitfnya ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zubair Mursyid dinasihatkan bercuti (dalam bahasa halus diminta melepaskan jawatan).

Menurut pemangku ketua eksekutif Sime Darby yang baru dilantik, Datuk Mohd Bakke Salleh, pihak pengurusan terpaksa membawa perkara itu ke mahkamah demi untuk mendapatkan semula wang kerugian yang dialami syarikat dan mendakwa mereka yang benat-benar terlibat. Beliau menyerahkan skandal itu kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk menjalankan siasatan lanjut.

Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam selepas mesyuarat tahunan syarikat bersetuju, urusan salah laku dan salah tadbir yang melibatkan jenayah bukan lagi urusan syarikat sebaliknya sudah diserahkan sepenuhnya kepada SPRM dan SC untuk bertindak sewajarnya.

Juru audit bebas KPMG dan Deloitte Enterprise Risk Sdn Bhd dan sebuah firma guaman sudah dilantik bagi melihat dan menyiasat situasi sebenar yang berlaku dalam empat projek besar termasuk empangan Bakun yang dikatakan mengalami kerugian luar biasa akibat lebihan kos. Pengurusan atasan Sime Darby dikatakan salah membuat perhitungan dengan terlibat dalam projek empangan Bakun yang menurut penganalisis ekonomi sangat berisiko tinggi.

Akibat kerugian besar syarikat, pemilik saham dalam mesyuarat tahunan telah mengambil keputusan drastik melantik lima pengarah baharu. Seorang pengarah lama meletak jawatan secara sukarela sementara enam lagi tidak mencalonkan diri untuk dilantik semula. Pengerusi jawatankuasa audit, juga salah seorang pengarah jawatankuasa Risk (pernilai risiko perniagaan) dalam syarikat, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda meletakkan jawatan berkuatkuasa serta merta.

Friday, November 19, 2010

Khairy masuk kabinet pecah-belahkan Umno

Spekulasi Khairy Jamaluddin dilantik ke kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sekiranya berlaku rombakan telah mencetuskan kempen anti-Khairy yang hebat.

Sejak spekulasi rombakan tercetus, nama Khairy disebut-sebut sebagai akan dilantik ke kabinet.

Ini menimbulkan kebimbangan ramai ahli dan penyokong kuat Umno yang menganggap ketua pemuda Umno itu sebagai pengkhianat dan satu punca masalah yang melanda Umno sejak pemerintahan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam kalangan penulis blog Umno, blog House PK merupakan salah satu blog yang terlibat dalam kempen "Say No to Kitol," merujuk kepada Khairy yang dilabel sebagai pengkhianat.

Blog terbabit menerbitkan ulasan-ulasan dan pautan ke artikel-artikel yang didakwa mendedahkan pengkhianatan Khairy selama bergiat dalam kerajaan.

Kesediaan Najib melantik Khairy ke kabinet, sekiranya benar boleh dijelaskan oleh kuasa tawar-menawar yang dimiliki Khairy, paling utama apa yang boleh dibawa oleh Khairy untuk membantu Najib dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Najib juga boleh dilihat sudah yakin dengan kekuatan dalaman sekiranya bersedia meletakkan Khairy sebagai timbalan menteri atau menteri, antaranya dengan meletakkan langkah-langkah untuk mengawasi tindakan-tindakan Khairy nanti.

Najib kini berdepan dengan cabaran mengimbangi tuntutan-tuntutan keperluan memperkemas pasukan dan berdepan reaksi negatif ahli dan penyokong, dalam situasi kritikal persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Thursday, November 18, 2010

Third force, harapan baharu liberal Malaysia


Selepas lebih dua tahun Pilihan Raya Umum ke-12, gabungan Pakatan Rakyat semakin banyak dihadapkan dengan realiti politik aliansi yang rumit dan sukar.

Parti-parti anggota PR sendiri secara individu menghadapi masalah masing-masing dalam menguruskan kemenangan dan berdepan permainan politik dalaman.

Kini, satu gabungan baharu kumpulan liberal di Malaysia berazam untuk muncul sebagai kuasa ketiga dalam pilihan raya umum, berpotensi berdepan dengan kedua-dua BN dan PR dalam pilihan raya.

Perkembangan ini menunjukkan kebolehlaksanaan yang terhad apa yang digelar "sistem dua parti," yang menghadkan agenda-agenda dan menggalakkan pemikiran secara kelompok.

Sistem dua parti seperti yang dibayangkan itu mempunyai beberapa masalah yang terkait dengan perkara paling asas dalam politik, yakni ideologi, seperti dijelaskan antaranya, dalam satu artikel diterbitkan di Harakahdaily lebih setahun lalu.

Gabungan liberal dalam kuasa ketiga ini menunjukkan realiti dalam politik, iaitu sistem dua gabungan sangat terhad ruang bergeraknya, kerana kepelbagaian kepentingan amat sukar untuk diterjemahkan melalui gabungan dua parti sahaja.

Kemunculan kuasa ketiga berpotensi memperkuatkan lagi gerakan liberal di Malaysia - sama ada melibatkan Datuk Zaid Ibrahim atau tidak - yang kini bersedia memasuki gelanggang politik pilihan raya.

Sekiranya gabungan ini cukup kuat, ia bakal mempunyai kuasa tawar-menawar yang cukup untuk menjadi satu penentu dalam penubuhan kerajaan pusat, satu kekuatan yang diharapkan oleh kumpulan ini.

Mahathir beri petunjuk pilihan raya umum hampir

Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dilapor berkata BN mampu menang dalam pilihan raya umum akan datang dan menubuhkan kerajaan pusat, tetapi pada masa sama melahirkan keyakinan gabungan itu dapat merampas beberapa negeri Pakatan Rakyat.

Kenyataan itu ialah input terbaharu Mahathir kepada pemerintah yang diterajui Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

BN kini kelihatan yakin untuk menghadapi pilihan raya umum, ketika pakatan parti-parti pembangkang berdepan pelbagai masalah.

Keyakinan BN ditambah dengan kemenangan dua pilihan raya kecil tidak lama dulu, kemenangan yang menamatkan gelombang kemenangan bergaya PR dalam siri pilihan raya umum sejak Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008.

Spekulasi rombakan kabinet juga meningkatkan lagi jangkaan pilihan raya umum makin hampir kerana rombakan itu bakal menjadi usaha terbaharu Najib menyusun parti-parti pemerintah bagi menghadapi pilihan raya.

Keperluan merombak kabinet dilihat kritikal untuk menangani kritikan terhadap pemimpin tertentu dan menjadikan gerak kerja pemerintah lebih berkesan.

Pemerhatian tokoh di luar kerajaan boleh dipandang serius berbanding pemimpin-pemimpin politik. Sebelum Pilihan Raya Umum ke-12, bekas menteri Tun Daim Zainuddin meramalkan kemenangan besar pembangkang dalam pilihan raya umum tersebut.

Tuesday, November 16, 2010

Kritik Anwar: Usaha Raja Petra pindah kem

Raja Petra Kamaruddin semakin kelihatan berubah pendirian daripada menyokong kuat segala agenda Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat kepada pengkritik kuat Anwar dan PR.

Raja Petra didakwa sedang mengubah kem daripada pembangkang kepada pemerintah ekoran masalah yang dihadapi ketika ini.

Kritikan Raja Petra ini bukan yang pertama diutarakan secara terbuka. Sebelum ini, beliau menyarankan kuasa ketiga yang tidak duduk di bawah BN atau PR.

Secara konsisten, Raja Petra mengkritik PR di pelbagai peringkat, daripada pihak berkuasa tempatan hingga kepada Anwar.

Walau bagaimanapun, ramai ahli dan penyokong Umno mengkritik usaha tersebut. Raja Petra dikatakan sedang "mencari tokey baharu" dan tidak mahu mengikut Anwar lagi.

Spin doctor terkenal ini juga digesa meminta maaf dengan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak oleh seorang penulis di laman pro-Najib, Malaysia Instinct.

Usaha mencari tokey baharu ini sedang mencetuskan polemik dalam Umno. Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, perkembangan ini menjadi semakin menarik.

DAP perlu jadi pembangkang dihormati

Oleh Izmas

Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengecam parti Umno sebagai buta sejarah dan buta perlembagaan dan tidak memperjuangkan kepentingan kaum-kaum lain di negara ini secara adil adalah keterlaluan dan tidak boleh diterima.

Menurut Lim, Umno lebih mengutamakan konsep "Melayu pertama, rakyat Malaysia kedua," sebagai melanggar Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Katanya, Umno hanya mempertahan kedudukan istimewa orang Melayu apabila bercakap soal Perlembagaan Persekutuan dan tidak bercakap tentang kepentingan dan masalah kaum lain yang didakwa kononnya tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Sebagai orang Melayu, penulis berpendapat kenyataan ketua menteri Pulau Pinang itu patut disebut dan diluahkan di Singapura di hadapan Menteri Mentor Lee Kuan Yew, anaknya Perdana Menteri Lee Hsein Loong, Menteri Kanan, Goh Chok Tong dan barisan pemimpin PAP lainnya.

Beliau patut sedar kaum minoriti utama Melayu yang menjadi rakyat peribumi dan penduduk asal negara itu tidak boleh bersuara seperti yang dilakukan beliau di sini. Orang Melayu di sana dinafikan semua hak istimewanya; hak mengundi yang adil, hak mutlak sebagai presiden, pembahagian jawatan dalam kabinet, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan penghapusan sekolah aliran Melayu dan berbagai lagi yang sudah dinafikan oleh parti PAP dan Lee.

Beberapa pemimpin Melayu cuba mempersoal kepentingan mereka tapi tidak pernah berjaya dan gagal di tengah jalan kerana gaya pemerintahan Lee dan amalan sistem demokrasi ala Singapura yang mengekang parti pembangkang dalam pemerintahannya. Jika Lim berani mempersoal sensitif atau mempertikai isu perlembagaan, seperti yang diucapkan di sini, beliau mungkin sedar nasib beliau dan tahap demokrasi di negara ini yang jauh berbeza dengan apa yang diamalkan di sana.

Penulis pernah menyaksikan dalam kempen pilihan raya umum Singapura awal tahun 80-an, seorang pemimpin muda Melayu dari parti pembamgkang cuba mempertikai soal istimewa orang Melayu dan partisipasi kaum itu dalam kemasukan perkhidmatan negara yang dikatakan tidak adil, pemimpin muda itu diberi amaran keras oleh Lee. Beberapa hari kemudian, tidak kelihatan wajah dan batang tubuh pemimpin muda itu lagi dalam kempen pilihan raya itu dan sudah menjadi perbualan umum dalam kalangan masyarakat Melayu Singapura.

Lim Guan Eng seharusnya banyak bersyukur dan sepatutnya belajar menjadi pembangkang yang baik dan berkesan – dengan membela nasib rakyat dan menunaikan segala janji yang ditabur dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu - setelah diberi peluang memerintah tanpa cuba mempersoal perkara-perkara yang boleh merosakkan kestabilan dan kemakmuran negara yang sudah dinikmati selama ini.

Marilah kita sama-sama membangun negara ini tidak kira apa kaum dan fahaman politik demi kelangusungan keamanan dan pembangunan negara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...