Blog analisis, komentar dan berita politik Malaysia. SiasahDaily bukan versi internet Siasah cetak dan tidak mempunyai hubungan dengan akhbar tersebut.
Wednesday, June 29, 2011
1 Malaysia pun komunis?
Tuesday, June 28, 2011
Umno bimbang kurang dapat sokongan selebriti?
Monday, June 27, 2011
Wardina tambah senarai selebriti sokong Pakatan Rakyat
Bersih uji imej Najib dan sokongan untuk pembangkang
Perhimpunan besar-besaran Bersih pertama pada 2007 telah menjejaskan dengan teruk imej kerajaan Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sunday, June 26, 2011
Bersih ancam keselamatan alasan tangkap peserta
Thursday, June 23, 2011
Tapis internet untuk jaga moral atau rejim?
Ketika kemenangan besar Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, masih diraikan dan menjadi tumpuan media, kerajaan popular pimpinan Recep Tayyip Erdogan itu memulakan satu langkah penapisan internet, yang berpotensi menjejaskan imejnya di peringkat antarabangsa.
AKP kini memulakan langkah penapisan internet besar-besaran, melibatkan pendaftaran pengguna internet di negara itu untuk menguruskan penapisan, yang didakwa berasaskan alasan moral.
Hal ini semakin menjadi perhatian sehingga mendorong Presiden Abdullah Gul mengadakan satu pertemuan baru-baru ini dengan pengerusi ekskutif Google, Eric Schmidt yang menumpukan pada isu-isu antarabangsa melibatkan Google.
Penapisan internet menjadi isu sensitif dalam iklim dunia yang liberal dan menyaksikan soal-soal demokratik semakin menjadi topik utama.
Masa tindakan kerajaan AKP itu, yang dimulakan ketika dunia politik Asia Barat sedang menyaksikan kebangkitan rakyat, menimbulkan persoalan berhubung motif sebenar tindakan penapisan itu.
Sebelum ini, beberapa negara serantau termasuk Mesir melaksanakan sekatan internet ketika berlaku kebangkitan rakyat, untuk menyekat penyebaran maklumat yang negatif untuk rejim.
Walaupun alasannya moral, kuasa yang diperolehi boleh sahaja membenarkan sekatan terhadap penentangan kerajaan apabila sesuatu seperti kebangkitan disaksikan di rantau Arab berlaku di Turki.
Walau bagaimanapun, pendirian konservatif AKP dalam isu sosial boleh menjadi asas tindakan ini, yang disebut oleh Gul dan beberapa pemimpin lain sebagai usaha memelihara keluarga dan moral masyarakat.
Tindakan ini memperlihatkan realiti had kebebasan yang menjadi pegangan banyak pihak, walaupun melibatkan kerajaan yang dinilai ramai sebagai liberal dan demokratik.
Hal ini menimbulkan persoalan keperluan penapisan yang melibatkan moral, yang boleh mendapat sokongan ramai, terutama dalam masyarakat konservatif.
Di Malaysia, soal penapisan internet juga menjadi soal sensitif yang menuntut pengimbangan antara soal moral masyarakat dan sekatan maklumat oleh rejim pemerintah.
Laman lucah dan bahan-bahan yang negatif mempunyai sebab yang kuat untuk disekat, kerana pelbagai kepentingan melibatkan masyarakat.
Walau bagaimanapun, isu ini masih dinilai kontroversi yang menghalang kebebasan oleh sesetengah pihak dengan mengatasnamakan kebebasan.
Soal penting di sini ialah ciri yang ditentukan untuk mengawal akses internet yang dikait dengan moral itu, satu ciri yang mempunyai sifat yang jelas berbanding isu politik yang terbuka untuk ditafsir oleh pihak yang berkuasa.
Wednesday, June 22, 2011
Respons tulisan Abu Imad: Negara berkebajikan ialah pelaksanaan politik Islam
PAS, politik Islam dan demokrasi: Wacana pasca-Muktamar ke-57
Tuesday, June 21, 2011
Khairy bersama Pakatan Rakyat PRU 13?
Monday, June 20, 2011
Siapa punya kuasa batal demo Bersih?
Sunday, June 19, 2011
PRU 13, Khairy sabotaj Najib?
Friday, June 17, 2011
Demo Bersih, Hishamuddin beri amaran kepada Khairy
Thursday, June 16, 2011
Kontroversi kartun hangatkan lagi pertembungan PAS dengan Perkasa, Utusan
Wednesday, June 15, 2011
Ratusan laporan polis, Bersih kedua berdepan cabaran getir
Makna kemenangan AKP dan beberapa pengajaran demokratik
Oleh HARIS ZALKAPLI
Parti Keadilan dan Pembangunan Turki, dikenali dengan singkatan popularnya AKP, memenangi pilihan raya parlimen negara itu dengan majoriti 49.9 peratus, mengatasi peratusan tahun 2007 dan 2002.
Kemenangan tahun ini menyaksikan peningkatan berbanding 46 peratus pada 2007 dan 34 peratus pada 2002, walaupun dengan jumlah kerusi yang semakin merosot disebabkan perubahan dilakukan pihak berkuasa pilihan raya.
Dalam era demokratik republik itu, Recep Tayyip Erdogan dan AKP kini menjadi pemimpin dan parti politik paling berjaya, dari segi memenangi pilihan raya dan rekod membawa perubahan, terutama dalam ekonomi.
Peratusan itu menyumbang kepada 326 kerusi - daripada parlimen dengan 550 kerusi - jauh daripada sasaran 367 untuk membolehkannya meminda perlembagaan secara unilateral, projek utama yang dibayangkan parti yang semakin dinilai dengan kritikal itu.
Rekod cemerlang AKP itu walau bagaimanapun disertai dengan cabaran-cabaran besar mengemudi sebuah negara yang kompleks, di sebuah rantau yang semakin berubah dan pada masa yang kritikal dalam pembinaan kedudukan dalam pentas dunia.
Walaupun mengekalkan kemenangan kali ketiga dengan peratusan undi yang meningkat, pencabar terdekat, Parti Rakyat Republikan (CHP) memperolehi keputusan terbaik dalam tempoh 30 tahun, mendapat 25.9 peratus undi.
Parti berhaluan kanan yang dilanda skandal video seks, Parti Tindakan Nasionalis (MHP), mendapat 13 peratus undi.
Calon-calon Kurdis sebahagian besarnya disokong Parti Keamanan dan Demokratik (BDP) yang bertanding sebagai bebas berjaya mendapat 36 kerusi di parlimen.
Dalam politik domestik Turki, AKP kini berdepan cabaran dalam membuktikan kredibilitinya sebagai sebuah kumpulan demokrat, walaupun kelayakan dari segi haluan sederhana dan ekonomi pasaran bebas tidak dipertikaikan.
Pemerintahan AKP terpaksa mengimbangi pelbagai tuntutan dalaman masyarakat Turki yang pelbagai, meliputi kumpulan berhaluan kanan yang tegar memperjuangkan identiti Kamalis Turki yang sekular dan nasionalistik hingga kepada Kurdis yang menuntut hak kebebasan dan pengiktirafan dalam negara Turki.
Sebagai parti yang telah berkuasa selama sedekad, Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan dan AKP tidak dapat mengelak daripada menjadi semakin asertif dan keras, sehingga menghampiri kecenderungan autoritarian.
Erdogan semakin dikritik sebagai kurang sabar dengan kritikan, dan kerajaan Turki kini tidak menunjukkan ciri demokrat yang diharapkan ramai pihak apabila memenjarakan 60 orang wartawan tanpa tuduhan yang jelas, jumlah yang lebih berbanding di China dan Iran, rujukan popular Barat dan demokrat untuk menjelaskan autoritarianisme.
Namun, ucapan kemenangan Erdogan yang mengajak konsensus mungkin memperlihatkan satu kesedaran pemimpin itu akan keperluan kerjasama dengan pelbagai parti, berbeza dengan pendirianya sebelum itu.
Keputusan yang tidak memberikan parti pasca-Islamis itu majoriti sehingga boleh bertindak sendirian dalam banyak perkara boleh meredakan sedikit kebimbangan terhadap apa yang dilihat sebagai kecenderungan autoritarian AKP.
Isu Kurdis juga menjadi cabaran besar dalam politik Turki kini, dengan usaha memulihkan hubungan dan mengiktiraf kumpulan etnik itu kelihatan tersekat-sekat dan tidak tertunai.
Isu Kurdis turut dipergunakan oleh AKP untuk tujuan-tujuan politik tempatan dan antarabangsa. Menggunakan populariti selepas memenangi pilihan raya pada 2007, AKP melancarkan operasi tentera terhadap kedudukan pemberontak Kurdis di sempadan Turki-Iraq.
Nasionalis terus menuntut tindakan yang lebih tegas terhadap Kurdis, dengan tidak berkompromi dalam sebarang hal melibatkan identiti negara Turki.
Tetapi, dunia politik yang semakin liberal pada masa ini menjadikan sebarang usaha seperti itu tidak popular, atau bertentangan dengan norma yang dipersetujui masyarakat antarabangsa, sesuatu yang disedari AKP.
Isu-isu hak asasi seperti itu penting bagi Turki untuk imej antarabangsanya, termasuk dalam usaha menyertai Kesatuan Eropah yang kini tersekat.
Dengan ekonomi yang terus meningkat, mencapai 8 peratus pada masa ini, Erdogan dan AKP mempunyai sandaran yang baik untuk mengekalkan populariti.
Sebahagian kempen AKP kali ini ialah projek mega termasuk terusan laluan air baharu menghubungkan Laut Hitam dengan Laut Marmara, sebagai laluan kedua selain Selat Bosphorus yang sesak.
Projek ini dilihat sebagai satu usaha membina legasi oleh Erdogan. Ini terkait dengan dakwaan beliau mahu melakukan perubahan ke arah sistem presiden, jawatan yang dikatakan menjadi matlamatnya selepas ini.
Untuk meletakkannya dalam konteks, Turki akan menyambut ulangtahun republik itu yang ke-100 pada 2023. Erdogan dikatakan mahu masih berada dalam kepimpinan negara pada masa itu, untuk meraikan kejayaan-kejayaannya.
Di peringkat antarabangsa, peranan Turki di Asia Barat sebagai kuasa diplomasi menerima respons yang pelbagai, yang terkait dengan populariti dan penerimaan rakyat terhadapnya.
Satu bahan kempen AKP ialah pertengkaran Erdogan dengan Shimon Peres, pemimpin Israel di Davos, Switzerland pada Januari 2009.
Tindakan populis itu walau bagaimanapun tidak dapat dielakkan daripada menjadi salah satu bahan kempen untuk pilihan raya kerajaan tempatan pada Mac tahun itu, masa yang menyaksikan kemerosotan sokongan untuk calon-calon AKP.
AKP memenangi 38.8 peratus undi dalam pilihan raya itu, merosot berbanding 41.7 pada pilihan raya sebelumnya tahun 2004.
Insiden debat di Davos itu walau bagaimanapun kini terpahat dalam memori kedua-dua rakyat Turki dan masyarakat Muslim dunia terutamanya, dan membina imej positif untuk AKP melaksanakan dasar luarnya.
Dalam agenda yang disebut neo-Uthmaniyah dalam dasar luar Turki, aksi mewakili pembelaan terhadap umat Muslim Palestin itu menduduki satu tempat yang istimewa.
Neo-Uthmaniyah yang mempunyai kaitan dengan masa silam Turki sebagai pelindung umat Muslim kini kelihatan dihidupkan kembali melalui satu agenda dalam dasar luar Turki.
Aksi Erdogan itu menegaskan kedudukan Turki sebagai pembela umat, aksi yang hanya diatasi kemudian oleh serangan ke atas kapal bantuan Mavi Marmara awal 2010.
Hasilnya, Turki muncul di dunia Islam sebagai pembela utama Palestin, imej yang terus diperkukuhkan melalui pelbagai kenyataan dan tindakan.
Kemenangan kali ketiga AKP ini memberikannya mandat untuk meneruskan dasar luar yang telah dimulakan dengan agresif di bawah menteri luar lantikan Erdogan, Ahmet Davutoglu.
Kedudukan yang agak selesa ini terus membenarkan Turki memberi tumpuan kepada agenda dasar luarnya membina pengaruh di Asia Barat, untuk muncul sebagai kuasa dominan rantau itu dan mengulangi kegemilangan era Uthmaniyah.
Perkembangan di Asia Barat dan Afrika Utara telah menjadikan Turki sebagai model di wilayah itu, disebabkan keupayaannya melaksanakan demokrasi dengan lebih matang, walaupun dengan keterbatasan tertentu.
Rejim-rejim dunia Arab yang semakin tidak popular dan dijadikan rujukan autoritarian sejak bermula kebangkitan telah menonjolkan Turki, sama ada benar atau salah, sebagai model terbaik.
Walaupun komentar-komentar Barat semakin kritikal dengan Erdogan dan parti pimpinannya disebabkan dasar luar yang semakin bebas dan beberapa isu dalaman lain, Barat terus memberi sokongan kepada Turki sebagai model di wilayah terbabit.
Dalam wacana media popular Barat, Turki terus disebut sebagai model politik untuk negara-negara Asia Barat dan Afrika Utara yang sedang menyaksikan perubahan, walaupun tindakannya berhubung Israel semakin dikecam.
AKP kini terus popular berdasarkan keputusan pilihan raya parlimen terbaharu, tetapi kejayaannya kekal popular turut mengundang reaksi bertentangan yang agak setara.
Kes AKP telah menunjukkan dalam politik yang mempunyai pelbagai polar – nasionalis kanan sekular, Islamis dan kumpulan etnik Kurdis – sesebuah parti, walaupun popular tetap mampu menjadi divisif dalam beberapa isu.
Tuntutan pelbagai kumpulan mudah untuk menghambat sesebuah kerajaan, tidak kira di kedudukan mana ia berada dalam spektrum ideologi politik.
Dalam kes AKP, isu Kurdis menjadi satu isu yang terbukti sangat mencabar, sehingga menjejaskan kredibiliti parti itu sebagai demokrat.
Hal ini juga memperlihatkan tidak ada satu parti yang mampu memonopoli semua nilai-nilai baik yang menjadi tuntutan.
Usaha membina perlembagaan baharu yang lebih memenuhi tuntutan zaman juga memperlihatkan cabaran besar yang terpaksa dilalui AKP, yang kini dituntut membina konsensus untuk mencapai apa yang menjadi matlamat ramai pada masa ini.
Harapan-harapan dan retorik populis mudah untuk disuarakan semasa kempen tetapi akan segera berdepan halangan dalam politik dan pentadbiran yang jauh lebih kompleks.
Tuesday, June 14, 2011
Zul Noordin terus kritik Bersih, persoal niat berdemo
Ahli Parlimen bebas, Zulfikli Noordin meneruskan kritikan terhadap perhimpunan Bersih kedua dijadual 9 Julai nanti, mempersoal niat penganjur yang dilihat mahu menjatuhkan kerajaan dengan meniru demonstrasi di dunia Arab.
"Niatnya jelas. Cuba baca twitter, facebook dan laman web kaum pelampau ini. 'Mari kita tumbangkan kerajaan 9 Julai ini.' 'Jom sapu-bersih Be End 09 Julai'. 'Dataran Merdeka Dataran Tahrir.' 'Basahkan bumi KL dengan warna merah.' 'Kalau rakyat Mesir berjaya, kita juga akan berjaya.'"
"Dan banyak lagi kenyataan-kenyataan yang membawa kepada satu sahaja rumusan, mereka berniat mahu menjadikan 09 Julai sebagai hari rusuhan, kekacauan sebagaimana berlakunya dinegara-negara 'Arab. Dengan niat supaya Kerajaan yang dipilih rakyat ini tumbang secara ganas, kasar dan haram," tulis Zulkifli di blognya.
Beliau turut mempertikaikan penganjur yang dikait dengan sikap "anti-Islam," mengingatkan PAS tentang hal itu dan menggesa umat Muslim tidak dipengaruhi dan diperalatkan.
"Teman cukup yakin dalang-dalang disebalik himpunan haram ini mempunyai agenda mereka sendiri. Ambeega Sreenavasan, bekas Pengerusi Majlis Peguam, badan yang terkenal anti Islam, sudah pasti mahukan kerajaan yang ada pada hari ini tumbang kerana 'terlalu Islamik.' Yang ini takkan rakan-rakan dalam PAS dah lupa."
Monday, June 13, 2011
Tentang Bersih, Konsensus Bebas buat kerja BN
Sunday, June 12, 2011
AJK baharu PAS: Kabinet pilihan raya, kabinet Pakatan Rakyat
Saturday, June 11, 2011
Piala FA: Kelantan PAS atau Kelantan Umno?
Friday, June 10, 2011
Najib dan kelab diktator Asia Tengah
Hubungan Malaysia dengan Kazakhstan, dan hubungan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dengan Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev bakal memasuki satu era baharu yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.
Hubungan rapat yang bakal bermula ini memberi implikasi yang besar kepada Najib dan Malaysia, dari pelbagai sudut terutama perniagaan dan politik.
Kedua-dua Malaysia dan Kazakhstan ialah negara membangun yang terpandang dalam dunia Islam, dengan kekuatan masing-masing. Kedua-duanya akan mendapat manfaat daripada hubungan ini.
Malaysia bakal mendapat peluang perniagaan dalam pelbagai bidang termasuk minyak dan gas dan pembangunan infrastruktur yang luas di Kazakhstan, negara yang menjadi rebutan kuasa-kuasa besar dunia dari sudut ekonomi dan politik.
Kazakhstan ialah salah sebuah negara bersempadan Laut Kaspia, medan minyak dan gas yang menjadi tumpuan dunia.
Negara terbesar di Asia Tengah ini mempunyai tiga telaga minyak dan gas besar yang menjadikannya tumpuan syarikat multinasional; Tengiz, Kashagan dan Karachaganak. Kashagan terletak dalam wilayah Kazakhstan di Laut Kaspia, dan dianggar menyimpan 6 hingga 9 bilion tong minyak.
Sumber minyak dan gas Kazakhstan menjadikannya negara yang dapat membina hubungan baik dengan Amerika Syarikat, Eropah, Rusia dan China, yang syarikat tenaga mereka terlibat dalam perdagangan dengan Kazakhstan.
Kedudukan Asia Tengah yang tidak mempunyai laut (Laut Kaspia terkepung oleh daratan dan definisinya, sebagai laut atau tasik, masih dipertikai) menjadikan saluran paip sebagai pengangkutan minyak dan gas menjadi pilihan utama.
Sebagai negara yang pesat membangun, dan dengan pendapatan minyak yang besar, pelbagai projek pembangunan diperlukan di Kazakhstan, projek yang skalanya dapat menyaingi apa yang diperolehi syarikat Malaysia di dunia Arab.
Hubungan peribadi Najib dengan keluarga Nazarbayev dijangka dapat membantu dalam hal ini.
Malaysia sebelum ini telah sedia menjadi salah satu pemain dalam industri minyak dan gas di Asia Tengah, sebahagiannya disebabkan peranan Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri.
Tetapi, Kazakhstan dan seluruh Asia Tengah ialah sebuah wilayah yang dikuasai rejim-rejim kuku besi yang merupakan antara terburuk di dunia.
Perkembangan ini juga bermakna Najib membina hubungan rapat dengan salah satu ahli kelab diktator paling dikenali di Asia Tengah dan dunia.
Nazarbayev, pemimpin tertinggi Kazakhstan kini menempatkan dirinya di kedudukan utama yang tidak boleh dicabar di negara itu.
Dalam satu perkembangan terbaharu, Kazakhstan dikecam kerana menghantar pulang sekumpulan penuntut suaka politik dari Uzbekistan, yang dibimbangi berdepan ancaman penyiksaan oleh pihak berkuasa negara itu, satu lagi negara diktator Asia Tengah yang dikenali.
Hubungan ini mendedahkan Najib kepada implikasi negatif dari sudut politik, di kedua-dua peringkat antarabangsa dan tempatan.