Thursday, August 30, 2012

Syaitan dan politik Malaysia

Pada masa istilah "politik baharu" tidak lekang dari bibir ahli-ahli politik Pakatan Rakyat, satu hal yang memperlihatkan politik yang tidak cerdik dan murahan berlaku dan mencetuskan debat yang besar, lebih besar daripada yang sepatutnya.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu tulisan yang juga disebut dalam satu kenyataan kepada wartawan memetik simpulan bahasa dari bahasa Inggeris, "Better the devil you know than the devil you don't," tetapi mengubah devil yang kedua kepada angel (malaikat), mungkin sebagai sindiran kepada tokoh-tokoh tertentu parti lawannya.

Kedua-dua kenyataan itu - tulisan di blog dan kenyataan kepada wartawan - dibuat dalam bahasa Inggeris.

Kenyataan Mahathir itu segera mendapat respons daripada pemimpin parti lawan, pertama daripada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang mengulas penggunaan istilah syaitan yang digunakan Mahathir sebagai bertentangan dengan agama.

Dakwaan bahawa kenyataan itu boleh mengelirukan mungkin ada benarnya, kepada mereka yang tidak berfikir panjang dan hanya menerima apa yang didengari, tetapi kenyataan daripada bekas menteri besar Perak - yang anaknya terlibat menentang dasar pendidikan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris melalui proses mahkamah - itu mengabaikan satu fakta mudah, iaitu simpulan bahasa dalam bahasa Inggeris itu tidak perlu diterjemah secara harfiah.

Lebih malang lagi, salah faham ini berpanjangan hingga menjadi satu isu besar politik nasional ketika suasana Syawal agak masih baru bermula, sebahagian besarnya diulas tanpa merujuk kepada asal ekspresi itu dalam bahasa Inggeris, mendedahkan satu kelemahan yang besar di pihak PR kerana terlalu cepat mahu mempolitikkan kenyataan tersebut yang merupakan satu simpulan bahasa yang agak mudah dan dikenali.

Sekiranya ada satu kesalahan di pihak Mahathir ialah penggunaan ekspresi daripada bahasa Inggeris dalam konteks politik Malaysia, dan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rujukan utama.

Satu isu yang boleh diberi perhatian dalam isu ini ialah konteks sejarah dan budaya sesuatu bahasa itu, yang dalam beberapa kes tidak dapat dipakai dalam konteks masyarakat yang asing kepada bahasa tersebut.

Sekiranya penggunaan istilah syaitan itu menimbulkan masalah, banyak lagi ekspresi lain seperti "underdog" yang sangat biasa digunakan perlu dipersoalkan juga.

Ada beberapa ekspresi dalam bahasa Inggeris hakikatnya agak tidak kena atau memang tidak sesuai digunakan dalam konteks masyarakat Melayu Muslim negara ini ekoran etimologi atau asal usulnya, seperti "Speak of the devil," "Keep your fingers crossed," yang mempunyai kaitan agama.

Bahasa Inggeris juga, hasil pengalaamn sejarahnya sendiri, mempunyai banyak ekspresi dan simpulan bahasa mengandungi istilah "devil."

Isu ini kini telah menjadi isu politik kepartian, mencetuskan banyak komen dan ulasan murahan semata0mata untuk memalukan pihak lawan, tanpa membawa sebarang manfaat.

Turut menarik perhatian dalam isu ini ialah tindakan seorang ilmuan agama dari Umno, Fathul Bahari Mat Jahaya yang mempertahankan kenyataan Mahathir itu berdasarkan hakikat bahawa simpulan bahasa itu tidak boleh dibaca secara literal.

Dalam hal ini, mungkin perlu ilmuan muda yang agak berpengaruh itu menegur juga seorang penceramah yang mengecam hebat tokoh agama zaman lalu kerana menggunakan ayat-ayat puitik dalam menghayati agama.

Sekiranya simpulan bahasa daripada bahasa Inggeris boleh dipertahankan, tentu ekspresi berasal daripada tokoh agama Islam sendiri juga wajar dipertahankan dan tidak dikecam sewenang-wenangnya. 

Penceramah ini - yang mungkin sealiran dengan ilmuan muda Umno tersebut - jelas kelihatan lemah penguasaan bahasanya telah mengambil secara salah satu retorik yang kini turut popular sebagai sebuah lagu dan mengecamnya sebagai satu kenyataan tidak mahu masuk syurga.



Sunday, August 26, 2012

Guardian henti guna khidmat pelobi pro-Zionis dikait Najib

Guardian, akhbar Inggeris liberal beraluan kiri menghentikan khidmat Joshua Trevino, pemblog dan pelobi pro-Zionis sebagai kolumnis di akhbar itu, memberi alasan konflik kepentingan melibatkan aktiviti bisnes di Malaysia.

Menurut kenyataan ringkas Guardian dan Trevino, penulis itu telah melanggar etika kerana tidak mendedahkan konflik kepentingannya melibatkan Malaysia.

Trevino didakwa menjadi penulis upahan yang menulis bagi pihak pemerintah Malaysia di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, dengan satu misi utamanya menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membantu meningkatkan imej Najib.

Trevino mencetuskan kekecohan ekoran tulisannya mendakwa Anwar "membeli" khidmat CNN untuk membantu memulihkan imejnya dalam satu lawatan ke Amerika Syarikat hujung 2010 yang digelar "lawatan memohon maaf," ekoran beberapa kenyataannya yang dilihat anti-Yahudi.

Pemerhatian terhadap rancangan soal jawab melibatkan Anwar di CNN tersebut walau bagaimanapun cenderung untuk membenarkan dakwaan Trevino itu, ekoran soalan-soalan mudah dan terpilih yang diberikan kepada Anwar, dan tanpa susulan yang lebih menekan.

Walau bagaimanapun, kredibiliti Guardian turut terjejas ekoran episod ini, kerana menggunakan khidmat Trevino, bekas penulis ucapan Bush dan pelobi pro-Zionis itu walaupun pendirian kontroversi beliau termasuk menyokong pembunuhan oleh Zionis sedia diketahui ramai.

Wartawan dan pengasas bersama laman Electronic Intifada, Ali Abunimah dalam satu tulisan mengemukakan kaitan Trevino dengan Israel sambil mempersoalkan sikap Guardian yang mendapat respons segera akhbar itu, yang kelihatan cuba menyembunyikan hal sebenar.

Ali merupakan seorang penulis yang sejak awal memerhati dan mendedahkan sikap Guardian terhadap penulis anti-Islam itu.

Kaitan dengan Israel dan kedudukan Trevino sebagai pelobi Zionis telah menunjukkan satu konflik kepentingan yang jauh lebih besar sejak awal lagi, dan sewajarnya sudah mendesak Guardian memutuskan hubungan dengan Trevino.



Thursday, August 23, 2012

Lagi sokongan untuk Nurul Izzah di media Barat

Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai dan pemimpin PKR, sekali lagi disebut dalam media Barat sebagai calon pengganti kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sejak mengetuai protes menentang pemerintah pada penghujung 1998 disebut-sebut sebagai pewaris jawatan perdana menteri oleh gabungan parti-parti pembangkang.

Dalam satu tulisan yang tidak mengemukakan sebarang isu baharu, Luke Hunt di laman The Diplomat menyebut bahawa Nurul Izzah ialah salah seorang calon penerus misi Anwar.

Banyak pihak, terutama di Barat, melihat Anwar sebagai satu-satunya calon perdana menteri Malaysia gabungan pembangkang, disebabkan ideologinya yang lebih disenangi berbanding PAS, parti pembangkang terbesar dan lebih mudah diterima berbanding DAP yang dikuasai etnik Cina, selain hubungan Anwar dengan Barat yang telah lama terjalin.

Artikel bertajuk Malaysia's Opposition Leader Stepping Down? itu senada dan kelihatan hampir sama dengan satu tulisan di akhbar Inggeris Guardian awal Julai lalu, yang juga menyebut nama Nurul Izzah sebagai calon pengganti Anwar di penghujung rencana.

Tulisan agak ringkas ini sekadar mencatatkan peluang Anwar menewaskan Barisan Nasional yang semakin sukar dan keperluan menyerahkan kepimpinan kepada generasi lebih muda.

Menurut Hunt, peluang Anwar menwaskan BN semakin sukar ekoran pemberian ganjaran yang besar oleh kerajaan, ekonomi yang bertambah pulih, pemansuhan undang-undang yang mengekang kebebasan, kebebasan media dan proses perundangan yang terlaksana di bawah Najib.

Nurul Izzah kini menjadi pemimpin dalam pakatan pembangkang yang paling jelas disebut sebagai pengganti bapanya sebagai pemimpin pembangkang dan calon perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaan persekutuan.

Beliau mempunyai sokongan kuat kelompok liberal Malaysia, ekoran pelbagai faktor termasuk populariti dan potensi untuk membawa agenda liberal tetapi tanpa mencetuskan banyak perpecahan seperti dilakukan bapanya.

Walaupun prestasinya di Lembah Pantai didakwa sesetengah pihak sebagai tidak cemerlang seperti yang dikemukakan, ahli politik yang menerima sokongan sebahagian besarnya akibat kedudukan keluarganya ini setakat ini belum mengalami kontroversi ekoran pendirian politiknya.

Anwar semakin terjejas populariti dan kredibiliti ekoran pelbagai isu, termasuk peribadi melibatkan dakwaan liwat, pendirian dalam isu homoseksualiti, dan melibatkan agama seperti pluralisme agama.

Beliau juga kini merupakan pemimpin yang jauh lebih tua berbanding ramai pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Sekiranya Anwar menjadi perdana menteri seterusnya, beliau bakal menjadi perdana menteri yang lebih tua enam tahun berbanding penjawat sebelumnya.

Tulisan terkini di media antarabangsa ini mampu meningkatkan lagi tekanan terhadap Anwar untuk berundur, sekiranya beliau tidak bercadang untuk berundur, lebih-lebih lagi selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, dan mampu meningkatkan lagi sokongan kepada anaknya Nurul Izzah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mendapat liputan agak meluas media dan menjalin hubungan baik dengan pelbagai pihak yang mampu membantu peningkatannya.


Dilema dasar luar Najib menangani NAM

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak berdepan cabaran mengimbangi usaha merapatkan hubungan dengan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama dengan politik Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, NAM, yang bakal berlangsung di Tehran, Iran tidak lama lagi.

Dalam usaha mendapatkan sokongan berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 dan kempen imej moderat di peringkat antarabangsa, Najib memerlukan AS dan Obama, yang mempunyai pengaruh besar dalam hal ini.

Pada masa sama, NAM, yang Malaysia berperanan sebagai ahli pentingnya semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, bakal menangani satu agenda kritikal berhubung hubungan AS dengan Iran dan juga melibatkan hubungan negara serantau di Asia Barat.

Di sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC di Arab Saudi minggu lepas, Malaysia menunjukkan sikap selari dengan agenda Riyadh dan sekutunya Turki dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk, GCC, dengan menyokong penggantungan Syria, sekutu utama Iran di dunia Arab.

Riyadh telah menggunakan sidang kemuncak OIC yang lalu sebagai satu medan untuk menegaskan lagi pengaruhnya dan mencapai agenda melibatkan persaingan kuasa-kuasa serantau di dunia Arab, menggunakan tarikh penting dalam bulan Ramadan dan kedudukannya sebagai negara menempatkan kota suci Mekah sebagai simbol yang mengabsahkan agendanya.

Ekoran pelbagai kepentingan termasuk ekonomi, Malaysia di bawah Najib memelihara hubungan baik dengan Saudi dan sekutu, sehingga menunjukkan sokongan tidak berbelah bagi berhubung politik dalaman dan serantau negara-negara monarki terbabit.

Mahathir dalam satu kenyataan telah menegaskan kepentingan sidang kemuncak NAM di Tehran sebagai satu forum untuk "mempertahankan kepentingan negara yang mendapat layanan tidak adil Barat."

Pentadbiran Najib walau bagaimanapun dijangka tidak akan memperlihatkan sikap tegas seperti Mahathir ini, yang bakal mengguris negara-negara seperti Arab Saudi dan AS.

Kerajaan AS - dan juga sekutunya Israel - telah mengeluarkan kenyataan mengecam sidang kemuncak NAM di Tehran, mendakwa Iran menggunakan pertemuan itu untuk kepentingan agendanya.

Dalam hal ini, Najib mengambil haluan dasar luar yang berbeza berbanding pendekatan zaman Mahathir, yang lantang bersuara terhadap sikap Barat, walaupun dikritik kerana bersikap kuku besi di dalam negara.

Mahathir melalui aktivismenya dalam isu-isu antarabangsa terus menangani isu-isu sensitif kepada kuasa besar seperti Palestin, campur tangan kuasa Barat dan struktur dunia yang tidak seimbang terhadap negara Membangun, yang selari dengan semangat NAM.

Wednesday, August 15, 2012

Semua pihak mesti tegas isu lompat parti

Tindakan keluar parti beberapa nama dikenali dari parti pemerintah mencetuskan sambutan positif daripada Pakatan Rakyat, yang melihatnya sebagai satu kemenangan yang meningkatkan lagi kekuatan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Dalam episod terbaharu, Datuk Seri Wilfred Bumburing, Datuk Seri Lajim Ukin dan Tamrin Abdul Ghafar keluar parti dan menyertai kem PR. 

Perkembangan ini semakin menunjukkan sikap tidak konsisten parti-parti politik termasuk di pihak PR terhadap tindakan lompat parti.

Dalam kes individu seperti Wilfred, Lajim dan Tamrin, kesannya tidak sebesar lompatan ahli politik yang menjadi wakil rakyat, sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, tetapi sikap yang ditunjukkan pihak pembangkang memperlihatkan pendirian moral yang membimbangkan dalam isu ini.

Kedua-dua pihak Barisan Nasional dan PR perlu menunjukkan sikap yang jelas dalam isu moral ini, yang implikasinya setara dengan isu moral seperti rasuah, yang kuat dikecam pemimpin-pemimpin PR sepanjang masa.

Kedua-dua pihak BN dan PR jelas bersikap selektif dalam isu lompat parti, dengan logik moral yang diubah dan diselaras sewenang-wenang dalam menangani isu lompat parti.

Sikap tidak konsisten kedua-dua pihak telah dicatat dalam sejarah, melalui episod projek 16 September, 2008 yang bermatlamat menumbangkan kerajaan BN di peringkat persekutuan dan kemudian lompatan yang menjatuhkan kerajaan negeri Perak dikuasai DAP, PKR dan PAS.

Kedua-dua pihak BN dan PR pernah menunjukkan sokongan kepada penggubalan undang-undang menghalang lompat parti, tetapi mengubah pendirian apabila kepentingan menyebelahi mereka.

Banyak pihak bersetuju dengan peraturan melepaskan kerusi sebagai wakil rakyat sekiranya melompat parti, kerana umumnya wakil tersebut dipilih berdasarkan ideologi atau perjuangan parti oleh pengundi di konstituensinya. 

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini bersuara menuntut undang-undang lompat parti digubal.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dalam satu kenyataan menegaskan, "Kita tidak mahu wakil rakyat mencabul hak rakyat sebagai pemilih."

"Jika seseorang wakil rakyat lompat, maka dia perlu dikenakan tindakan gugur jawatan sebagai wakil rakyat, sama ada Parlimen atau Adun," katanya dipetik Harakahdaily.  

Menurut Mahfuz, isu ini "bukan soal PAS (atau) BN. Ini soal mengkhianati amanah rakyat."  





Pendirian ini perlu terus ditegaskan dan diusahakan menjadi undang-undang yang dapat mengawal moral dan integriti politik negara kita daripada pengkhianatan amanah.

PAS sendiri kini mendesak Ahli Parlimen Bachok, Nasharuddin Mat Isa yang juga bekas timbalan presiden parti itu agar melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat ekoran hubungan rapat dengan Umno.

Pendirian ini bermakna PAS perlu menunjukkan sikap yang sama konsisten dalam hal melibatkan lompat parti, terutama melibatkan wakil rakyat.

Hal yang sama juga perlu dilaksanakan melibatkan wakil rakyat yang meletak jawatan tanpa sebab yang munasabah seperti isu kesihatan, contohnya untuk memberi laluan kepada ahli politik lain bertanding di kerusi sama.

Isu lompat parti ialah satu isu moral yang besar, melibatkan implikasi luas. Sudah sampai masanya isu moral melibatkan lompat parti tidak hanya dijadikan senjata untuk menyerang lawan.

Lompat parti perlu segera ditangani dengan tegas, dihalang daripada menjadi satu ciri politik negara kita.


Tuesday, August 14, 2012

Pemuda PAS gesa peranan aktif OIC, Asean tangani minoriti Muslim

Pemuda PAS melalui lajnah antarabangsanya telah menggerakkan dua kempen bantuan dalam bulan Ramadan ini, melibatkan minoriti Muslim di Thailand dan Burma (Myanmar).

Awal Ogos lalu, delegasi Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS diketuai pengerusi lajnah yang juga Naib Ketua Pemuda Dr Raja Ahmad Iskandar al-Hiss menyampaikan bantuan kepada anak-anak yatim mangsa keganasan di Tak Bai, Narathiwat, di selatan Thailand.

Delegasi turut disertai ahli lajnah yang lain antaranya Abdul Ariffahmi Ab Rahman, Fariz Irwan Mustafa dan Dr Rosli Alani Kader.

Ekoran perkembangan terkini politik serantau, Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS bakal memberi tumpuan khusus kepada isu minoriti Muslim khususnya di Asia Tenggara yang membentuk Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, Asean.

Pemuda PAS bersama wakil pemuda parti Islam serantau baru-baru ini juga telah hadir ke Jakarta, Indonesia menyampaikan memorandum berhubung kekejaman terhadap Muslim Rohingya di Burma, hasil satu ketetapan yang dibuat di Kuala Lumpur Julai lalu.

Pemuda PAS mengadakan kempen kutipan bantuan yang boleh disampaikan ke akaun Bank Islam, 14014010026320.

Tindakan menyampaikan memorandum itu merupakan sebahagian usaha Pemuda PAS untuk mendesak peranan lebih aktif dan tegas Asean sebagai badan serantau dalam menangani isu kritikal seperti keganasan dan pembersihan etnik di Burma dan Thailand.

Pemuda PAS turut meningkatkan usaha mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC, agar menjalankan fungsi yang lebih berkesan dalam menangani isu dunia Islam, seperti perang saudara di Syria dan keganasan terhadap etnik Rohingya di Burma yang masih berlangsung.

OIC kini sedang mengadakan sidang kemuncak tergempar di Mekah, Arab Saudi, untuk menangani isu semasa umat Muslim.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak kini berada di Mekah menghadiri sidang kemuncak tergempar pertubuhan itu.

PAS dan Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan menggesa peranan lebih tegas Malaysia dalam menangani isu Rohingya, yang berlaku di sebuah negara anggota Asean, pertubuhan serantau yang Malaysia menjadi sebuah ahli pengasasnya. 

Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS melihat sidang kemuncak ini, dan pertemuan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, NAM di Iran tidak lama lagi sebagai peluang untuk mencapai persetujuan, membina kerjasama dan meningkatkan tekad politik untuk menangani isu-isu umat dengan lebih berkesan.

Thursday, August 9, 2012

OIC, NAM dan harapan perpaduan dunia Islam

Bulan Ogos ini, ketika umat Muslim dunia sedang melaksanakan ibadah Ramadan dan menyambut kedatangan bulan Syawal, dua sidang kemuncak pertubuhan antarabangsa akan diadakan tidak jauh daripada satu sama lain.

Di Arab Saudi, pada 14 dan 15 Ogos, Riyadh menjadi tuan rumah sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC, yang dijadual untuk berlangsung pada tarikh 27 Ramadan, tarikh yang signifikan kepada pengikut Islam.

Kemudian, di Iran, sidang kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, NAM, dijadual pada 16 hingga 31 Ogos, ketika suasana Aidilfitri masih dirasakan.

Kedua-dua pertemuan diadakan pada masa yang kritikal dalam politik global - semasa kebangkitan di dunia Arab masih berlangsung dan persaingan kuasa-kuasa serantau dan dunia sedang rancak berjalan, yang menyaksikan Riyadh dan Tehran berada di kedudukan berseberangan.

Arab Saudi dan Iran sedang terlibat dengan mendalam di Syria, negara diperintah sekutu kuat Tehran yang sedang berdepan gugatan daripada kuasa Barat dan serantau terdiri daripada Saudi, Qatar, Turki dan sekutu.

Syria menjadi isu yang amat divisif dan mengambil bahagian terbesar dalam hubungan luar negara-negara serantau, yang menjadi satu penentu kepada pengukuhan pengaruh Saudi dan Qatar dan faktor terbesar dalam menggugat pengaruh dan kedudukan Iran dalam paksi bersama Syria dalam menghadapi Israel dan kuasa Barat di Asia Barat.

Kedua-dua pertemuan OIC dan NAM yang bakal diadakan akan menangani isu Syria yang kritikal kepada dunia Arab - dengan sedikit perhatian kepada keganasan terhadap etnik Rohingya di Burma - dengan kedua-dua Riyadh dan Tehran menggunakan pengaruh masing-masing untuk mendapatkan sesuatu yang sehaluan dengan kepentingan mereka seboleh-bolehnya.

Suasana Ramadan dan Syawal yang akan melatari pertemuan OIC dan NAM nanti tidak dapat dielakkan daripada dilihat sebagai satu elemen yang memberi gambaran perpaduan, tetapi keadaan kritikal dalam hubungan kuasa-kuasa utama dalam dunia Islam pada masa ini dijangka terus akan mempengaruhi posisi negara-negara terbabit.

Kedua-dua OIC dan NAM mempunyai sifat yang berbeza, dan muncul daripada latar politik serantau dan global yang kritikal dalam sejarah. 
 
Malaysia, di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang sedang cuba menonjolkan diri sebagai negara Muslim moderat dan penting dalam politik dunia kini, telah mencatat sejarah sebagai ahli penting kedua-dua OIC dan NAM, dan wajar memainkan peranan dalam menangani isu-isu umat pada masa ini, terutama melibatkan Muslim di negara serantau Burma.

OIC yang menyatukan negara-negara Islam dalam satu forum ditubuhkan dengan dukungan kuat Arab Saudi sebahagiannya sebagai satu usaha untuk mengimbangi pengaruh Nasserisme atau Pan-Arabisme yang dilihat sebagai satu ancaman oleh Riyadh, dan sebagai mengimbangi pengaruh Liga Arab yang pada masa itu memperlihatkan pengaruh Mesir yang kuat.

Dalam mengukuhkan pengaruh dalam dunia Islam, OIC menjadi penting kepada Riyadh, walaupun negara lain seperti Turki dan Iran turut mampu memperlihatkan pengaruh mereka.

Dalam hal ini, Saudi mempunyai kelebihan ekoran kedudukan pejabatnya di Jeddah, Arab Saudi.

Masa pertemuan diadakan pada 27 Ramadan juga mempunyai signifikan yang mampu dimanfaatkan oleh Riyadh.

OIC walau bagaimanapun berdepan kritikan hebat ekoran apa yang dilihat sebagai ketidakmampuannya menangani pelbagai isu melibatkan umat Muslim, termasuk isu Palestin yang menjadi pencetus yang membawa kepada penubuhannya.

Pada masa dunia Arab menyaksikan kebangkitan, yang ingin dikekang oleh Saudi dan sekutunya negara-negara Arab monarki di Teluk Parsi, Riyadh merasakan keperluan yang mendesak untuk menggunakan pengaruhnya menangani isu-isu berkaitan, dan memelihara kepentingannya dalam hal Syria.

NAM yang menemukan negara-negara berkecuali kini mempunyai kepentingan yang besar kepada Iran, yang sedang mendepani cabaran kuasa besar Amerika Syarikat dan sekutu, isu yang selari dengan asas pergerakan ini, walaupun relevan pergerakan ini terjejas selepas berakhirnya Perang Dingin.

Sejarah penubuhan NAM yang melibatkan pemimpin seperti Sukarno, Jamal Abdul Nasir dan Jawaharlal Nehru juga memberikan prestij dan relevan dalam menangani isu yang dihadapi Iran dan sekutunya Syria pada masa ini, melibatkan campur tangan asing. 

Tehran pada masa ini sangat berkepentingan supaya semangat NAM digerakkan dan menjadi faktor besar dalam hubungan negara-negara, terutamanya berhubung kedudukannya yang ditekan kuasa besar Barat dan sekutu, sesuatu yang tidak dimiliki Saudi dan sekutu ekoran hubungan baik negara terbabit dengan AS.

Kedua-dua pertemuan OIC dan NAM yang dijadual diadakan tidak lama lagi bakal menangani isu-isu kritikal melibatkan dunia Islam dan dunia secara keseluruhan, terutama melibatkan tekanan ke atas Iran, persaingan kuasa melibatkan Syria dan kekejaman terhadap Muslim Rohingya di Burma.

Pelbagai isu, seperti Syria yang telah dikemukakan sebagai isu perbezaan dan persaingan mazhab oleh pihak berkepentingan kini menjadi faktor yang menyumbang kepada satu lagi perpecahan dalam kalangan umat.

Pada masa sama, isu Rohingya yang melibatkan kuasa-kuasa besar AS dan China juga bakal menjadi ujian kepada kedua-dua OIC dan NAM dalam menangani isu kemanusiaan yang dibayangi pengaruh kuasa besar. 

Pertemuan itu akan menunjukkan sejauh mana negara-negara dalam dunia Islam akan bersedia menangani isu-isu terbabit, atau sekadar menjadi satu lagi pertemuan yang tidak mendatangkan hasil dan dipolitikkan.

Sunday, August 5, 2012

'Arakan jadi Gaza kedua'

Wilayah Arakan (Rakhine) yang didiami oleh etnik Rohingya di Burma (Myanmar) kini menjadi seakan-akan wilayah Gaza di Palestin, yang terkepung dan dizalimi oleh pemerintah, pihak keselamatan dan juga penduduk tempatan, kata Mohd Azmi Abdul Hamid, setiausaha agung Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Shura, dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Mapim.

Tegasnya, kesungguhan yang ditunjukkan melibatkan isu kepungan ke atas Gaza perlu ditunjukkan sekali lagi dalam menangani isu kezaliman ke atas minoriti Rohingya di Burma.

"Wilayah Arakan yang didiami etnik Rohingya yang beragama Islam kini terkepung, seakan-akan kepungan yang dilakukan oleh Zionis Israel terhadap Gaza," tegas Mohd Azmi.

Beliau yang baru pulang dari Burma untuk lawatan tinjauan dan menggerakkan bantuan kepada etnik Rohingya menegaskan bantuan perlu segera dihantar dan menggesa semua yang prihatin menghulurkan bantuan dan turut menggesa peranan lebih aktif kerajaan Malaysia.

Dalam satu wacana isu Rohingya di Pantai Dalam, Kuala Lumpur semalam, Mohd Azmi memberitahu hasil tinjauan di Burma mendapati kes-kes tangkapan dan pembunuhan Muslim Rohingya kini berada pada tahap yang kritikal, malah mereka yang terselamat atau menjadi pelarian berdepan suasana hidup atau mati ekoran kekurangan makanan dan keperluan asas lain.

Jelasnya lagi, kekejaman dan kempen membenci etnik Rohingya yang beragama Islam didasari atas satu sentimen keagamaan penganut Buddha di Burma, yang melihat minoriti Muslim di sana sebagai satu ancaman demografik sehingga sami Buddha turut terlibat dalam kempen anti-Muslim Rohingya.

Dasar menghapuskan minoriti Muslim Rohingya merupakan sesuatu yang terus dijalankan oleh pemerintah Burma, walaupun kononnya telah menjadi semakin terbuka, kata Mohd Azmi lagi.

"Perubahan yang dilakukan oleh kerajaan Burma pada masa ini tidak lebih daripada satu tindakan yang kosmetik," tegas Mohd Azmi.


Lebih memburukkan keadaan, pelarian dihalang daripada memasuki negara jiran Bangladesh dan kerajaan negara itu kini mengharamkan badan-badan bukan kerajaan daripada membantu pelarian Rohingya yang memasuki Bangladesh, atas alasan menggalakkan pelarian Rohingya memasuki negara jiran Burma itu.

Menurutnya, pilihan utama sekarang ialah menghantar sendiri dan mengedarkan makanan kepada mangsa kempen penghapusan di Burma, yang dijangka akan berdepan pelbagai halangan daripada pihak berkuasa negara itu.

Beliau menggesa sumbangan untuk segera memulakan misi menghantar bantuan makanan ke Arakan untuk menangani krisis kemanusiaan yang sedang melanda minoriti Muslim di sana.

Bantuan boleh disampaikan kepada akaun Bank Islam 12047010037282, milik Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...