Monday, December 31, 2007

Shahidan mesti pergi atau Radzi kena letak jawatan


KUALA LUMPUR, 31 Dis: Desakan yang dibuat oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad agar Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kasim berundur dari jawatan itu menghasil keadaan, Radzi berjaya dengan gesaan itu atau gagal dan terpaksa berundur.

Desakan supaya Shahidan berundur dibuat Radzi ketika bercakap dalam satu kursus pilihan raya yang diadakan di negeri itu baru-baru ini dan mengulanginya dalam sidang media selepas itu.

"Bagi saya, Perlis patut berubah dan MB (Menteri Besar) juga patut diubah. Jika masih kekal kepemimpinan lama, Perlis akan tetap kekal macam tu juga," katanya kepada pemberita, selepas menghadiri Majlis Taklimat dan Perasmian Gerak Kerja Pilihan Raya Umno Bahagian Padang Besar, Perlis.

Shahidan ketika berucap pada Perhimpunan Agung Gerakan Belia 4B Malaysia ke-33, di sini pula mengaku kecewa dengan sikap segelintir pihak yang tidak mempunyai sebarang jawatan di Perlis, tetapi suka mengganggu ketenteraman serta pentadbiran negeri itu.

Tanpa menamakan sesiapa, katanya: "individu terbabit mempunyai jawatan tinggi pada peringkat persekutuan, tetapi tidak di Perlis, namun tetap mencampuri urusan pentadbiran negeri."

"Ada yang datang ke Perlis kemudian komen pasal sungai, manakala ada pula yang berniat nak tutup sempadan, tapi mereka tidak ada sebarang jawatan di negeri ini," katanya.

Apakah sebenarnya yang berlaku di Perlis?
Siasah sedang berusaha untuk membuat satu sorotan khas mengenai pertembungan kedua-dua tokoh ini.

Dapatkan naskah anda Ahad ini.


Friday, December 28, 2007

PAS diminta letak ramai muka baru di Kelantan

KOTA BHARU, 27 Dis: PAS Kelantan disarankan mengemukakan seramai mungkin muka baru dalam pilihan raya umum akan datang bagi memastikan kerajaan negeri itu kekal di tangan PAS.

Menurut tinjauan Siasah, kebanyakan yang ditemui, terutama di kalangan petugas dan aktivis parti yakin 'formula muka baru' adalah antara cara untuk memastikan Kelantan terus kekal di bawah kepimpinan ulamak.

"Parti hanya perlu mengekalkan pimpinan lama yang akan menjadi Exco sahaja untuk mengambil pengalaman mereka, yang lain saya rasa muka baru akan menambahkan peluang untuk PAS menang terutama di kerusi yang bermajoriti rendah PAS atau BN," kata seorang aktivis yang banyak terlibat dengan kerja-kerja teknikal pilihan raya.

Laporan penuh dalam Siasah Ahad ini.

Gerakan dan PPP dicadang sertai BA

PULAU PINANG, 27 Dis: PAS mencadangkan agar Gerakan dan Parti Progresif Rakyat (PPP) keluar dari Barisan Nasional (BN) dan bersama-sama dengan Barisan Alternatif (BA) bagi memperjuangkan hak untuk semua kaum di negara ini.

"Saya sendiri secara peribadi bersedia untuk berbincang dengan pimpinan BA untuk membolehkan Gerakan terus memimpin Pulau Pinang jika BA menang dalam pilihan raya umum nanti di samping kedudukan yang sesuai untuk para pemimpin PPP dalam kerajaan," kata Dr Mujahid Yusof Rawa, AJK PAS Pusat.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Kaum yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang itu yakin Gerakan mampu bersama dengan arus perubahan yang sedang melanda rakyat pelbagai kaum di negara ini sekarang.


Laporan penuh dalam Siasah Ahad ini.

Pemimpin cawangan Umno tidak mahu Dr Ramzi

KUALA TERENGGANU, 27 Dis: Para pemimpin Umno cawangan di Terengganu tidak bersetuju Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Md Zubir dipilih sebagai calon di Parlimen Marang dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut tinjauan Siasah, mereka lebih bersetuju jika Adun Alor Limbat, Alias Abdullah yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian Marang sekarang sebagai calon untuk Parlimen Marang menggantikan Datuk Abdul Rahman Bakar.

"Ramzi terlalu baru dalam politik Terengganu. Sebelum Siasah mendedahkan nama beliau, tidak siapa tahu siapa Ramzi. Jadi pemilihan Ramzi terlalu memberikan risiko yang tinggi kepada Umno," kata seorang ketua cawangan Umno di Alor Limbat.

Beliau mengulas cadangan Umno negeri yang memilih untuk meletakkan Ramzi, anak bekas Mufti Terengganu bagi menggantikan Abdul Rahman di Marang.


Laporan penuh dalam Siasah Ahad.

Wednesday, December 12, 2007

Pembangkang dan NGO mahu bincang dengan PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis, 2.oo petang: PAS, PKR dan DAP serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) memohon untuk bertemu dengan Perdana Menteri segera bagi membincangkan masalah yang sedang berlaku dalam negara sekarang.

Permohonan itu diumumkan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media yang disertai bersama oleh pemimpin PAS dan DAP petang 12 Disember.

"Pertemuan ini perlu untuk membolehkan kami berbincang dengan Perdana Menteri tentang segala masalah yang berlaku sekarang.

"Kami mendesak agar semua masalah negara yang dihadapi sekarang dibincang dan mendesak agar Perdana Menteri menunaikan segala janji yang dibuatnya dan mendengar segala masalah yang ada," kata Anwar yang membaca kenyataan bersama PKR, PAS dan DAP itu.

Turut membuat kenyataan mereka dalam sidang media itu adalah sebuah NGO, Hakam (Hak Asasi Manusia Malaysia) dan sebuah NGO dari Pulau Pinang, WaO, yang membantah cara kerajaan mengendalikan perhimpunan aman di negara ini.

Tuesday, December 11, 2007

Bersurai selepas jaminan Salahudin

KUALA LUMPUR, 11 Dis: Perhimpunan aman di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPK KL) bersurai selepas Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub, memberi jaminan kebajikan semua yang ditahan polis akan diambilalih oleh beliau.

Kira-kira 100 penyokong PAS dan lain-lain parti politik berkumpul di perkarangan IPK KL bagi mengetahui perkembangan mereka yang ditahan polis ekoran penyerahan memo kepada Speaker Dewan Rakyat menuntut agar rang undang-undang melanjutkan umur ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditolak.

Ia bermula dengan seorang pegawai polis memberi amaran agar mereka bersurai dalam masa lima minit.

Kira-kira dua minit kemudian, Salahudin berucap kepada hadirin meminta mereka bersurai dengan aman kerana tujuan mereka menyerahkan memo sudah dibuat dengan aman tanpa sebarang kecacatan kepada harta benda awam.

"Tentang kebajikan yang ditahan, termasuk Datuk Mustafa yang baru ditahan ketika turun dari bangunan Parlimen, saya akan ambil alih," katanya.

Ketika bercakap kepada wartawan kemudiannya, Salahudin berkata, pihaknya sangat kesal terhadap tangkapan yang dibuat ke atas Mustafa khasnya kerana ia dibuat dalam kawasan Parlimen.

Usul bantah polis hina Parlimen ditolak

KUALA LUMPUR, 11 Dis: Speaker Dewan Rakyat menolak usul tergempar yang dibawa oleh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang bagi membantah tindakan polis menangkap beberapa orang tetamunya di perkarangan bangunan Parlimen.

"Kita serahkan perkara ini kepada kebijaksanaan polis. Polis berhak membuat tangkapan di mana sahaja," kata Timbalan Speaker, Datuk Dr Yusof Yaakub.

Pagi tadi 23 termasuk 13 pemimpin parti pembangkang dan NGO ditahan ekoran penyerahan memo membantah rang undang-undang untuk menaikkan umur anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Antara mereka, termasuk Datuk Mustafa Ali ditahan di perkarangan bangunan Parlimen.
Dalam usulnya, Lim Kit Siang berkata, langkah polis menangkap beberapa orang dalam perkarangan Parlimen adalah penghinaan terhadap Parlimen.

Beliau menuntut Ketua Polis Negara supaya membebaskan para tetamu Parlimen itu dan jika pihak polis mahu menangkap mereka, ia boleh dibuat semula di luar perkarangan Parlimen.
Usul itu disokong oleh Ipoh Barat, N Kulasegaran dan juga Bukit Gelugor, Karpal Singh.

Kula berkata, ketika polis mahu menangkap bekas anggota Parlimen, Datuk Mustafa Ali di perkarangan Parlimen tadi, beliau sempat bertanya kepada pegawai polis berkenaan 'atas seksyen apa beliau mahu ditangkap'.

"Polis berkenaan tidak menjawabnya walaupun ketika itu Mustafa berkata, saya adalah peguam beliau," katanya dalam Dewan Rakyat ketika menyokong usul itu.

Karpal yang bangkit kemudian turut menyokong usul itu dengan berkata, tangkapan polis di dalam perkarangan bangunan Parlimen adalah penghinaan kepada Parlimen oleh polis.

"Tindakan tegas harus diambil terhadap pegawai polis ini," kata Karpal menyokong usul itu.

13 pemimpin pembangkang ditahan

KUALA LUMPUR, 11 Dis: Sehingga jam 2.00 petang, 13 pemimpin PAS, PKR dan NGO ditangkap polis ekoran penyerahan memo kepada Speaker Dewan Rakyat pagi tadi dengan Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali yang paling terbaru ditangkap.

Mustafa ditangkap di perkarangan bangunan Parlimen kira-kira jam 2 petang tadi oleh lebih 10 anggota polis.

Sebelum ini, Dr Dzulkifli Ahmad yang bersama-sama dengan Mustafa menyerahkan memorandum kepada Speaker Dewan Rakyat ditahan polis. Beliau ditahan bersama dengan seorang kakitangan Harakah, Mokhtar Ruzaidi yang bersama dengan beliau.

Turut ditahan selepas penyerahan memorandum adalah Yap Swee Seng, Wong Chin Huat dan G Gayathri.

Pada sebelah pagi sebelum penyerahan memo, tujuh sudah ditangkap.

Mereka adalah Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli; Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Tantawi, AJK PAS Pusat, Dr Lo' Lo Haji Ghazali; Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Dr Mohd Nasir telah ditangkap oleh pihak polis.

Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua telah ditangkap dalam jarak 200 meter dari tempat kawalan pihak polis.

BERSIH berjaya serahkan memo kepada Speaker Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 11 Dis jam 12.00 Tengahari: Rombongan BERSIH seramai 6 orang telah berjaya menembusi Parlimen yang dikawal ketat oleh pihak polis sejak awal pagi tadi.

Rombongan diketuai Yap Swee Seng (SUARAM) dan Dr Dzulkifli Ahmad kini sedang mengadakan sidang akhbar di lobi Parlimen. Mereka ditemani Ketua Pembangkang Sdr Lim Kit Siang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Dato' Kamarudin Jaffar.

Rahman nafi akan gugur, dakwa Siasah cuba lagakan Umno

KUALA LUMPUR, 11 Dis: Anggota Parlimen Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar yakin beliau akan terus menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang walaupun akhbar Siasah melapurkan nama beliau akan digugurkan.

"Akhbar Siasah cuba melaga-laga kami dalam Umno. Kami tidak berpecah sebenarnya, Umno tetap bersatu," katanya yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia kepada wartawan Siasah ketika dihubungi.

Siasah dalam edisi terbarunya melaporkan tiga pemimpin kanan Umno Terengganu bakal digugurkan dalam pilihan raya umum akan datang.

Akhbar New Straits Times dalam laporannya pada 28 November juga melaporkan, 40 peratus wakil rakyatnya termasuk beberapa orang Exco akan digugurkan dari menjadi calon.

Siasah melaporkan, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu yang juga anggota Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Exco kerajaan negeri, Datuk Ahmad Said juga akan digugurkan.

Ahmad Said ketika dihubungi enggan mengulas manakala Tengku Putera sedia berjumpa dengan wartawan Siasah.

Laporan penuh dalam Siasah Ahad ini.


Polis kepung Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut

KUALA LUMPUR, 11 Dis, Jam 11.50 pagi: Seluruh pimpinan kanan PAS telah pun samada berada di Parlimen atau pun menuju ke sana. Setiausaha Agung PAS Dato Kamarudin Jaffar dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Salahuddin Ayub masing-masing selaku ahli Parlimen telah pun kini berada di Bangunan Parlimen.

Sementara itu berita yang diterima setakat ini tiga orang pimpinan PAS Pusat iaitu Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli, AJK PAS Pusat Dr Lo'lo Dato Ghazali dan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Ustazah Nuridah telah ditahan polis apabila kenderaan mereka menghampiri Jalan Parlimen.

Sebelum itu turut ditahan dalam kejadian lain adalah Ketua Penerangan PKR Sdr Tian Chua dan Aruchelvan dari PSM.

Sebelum ini, Pejabat Agung PAS Pusat di Jalan Raja Laut, K. Lumpur dikeremuni oleh anggota polis beruniform dan tidak beruniform. Sebanyak lima buah kereta peronda dan sebuah landrover yang membawa sepasukan kecil Unit Anti Rusuhan kini berada di hadapan premis.

Seorang pegawai polis telah menampal Perintah Larangan (exparte) yang dikeluarkan oleh Majistret Azniza Mohd Ali dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bertarikh 10 Disember 2007, melarang:

1) Dr Syed Azman Syed Ahmad
2) Mohamad Sabu
3) Syed Shahir Syed Mohamud
4) Adnan Saad
5) dan mana-mana orang berkenaan

dari mengadakan perhimpunan di Perkarangan Bangunan Parlimen pada hari ini 11 Disember, 2007.

Mereka semua dilarang dan diberi amaran agar tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam perhimpunan tersebut.

Mohamad Sabu dan Operasi Padam

KUALA LUMPUR, 11 Dis: Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu yang baru saja dibebaskan dengan ikat jamin yakin semangat perjuangan rakyat negara untuk menuntut keadilan tidak akan padam walaupun berdepan dengan 'Operasi Padam' yang dilancarkan oleh kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar sebaik sahaja dibebaskan dengan jaminan selepas ditahan kerana menyertai perhimpunan Bersih 10 September lalu.

Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang, Ketua Pemuda, Salahudin Ayub, Setiausaha Agung, Datuk Kamarudin Jaffar dan Bendahari Dr Hatta Ramli serta Ketua Penerangan, Mahfuz Omar antara yang hadir di majlis itu.

"Rupanya nama operasi polis kali ini adalah 'Operasi Padam'. Mereka mahu memadamkan kebangkitan rakyat yang berlaku sekarang. Mula-mula Cina marah, sekarang India marah dan nampaknya Melayu juga marah kepada kerajaan BN.

Ikuti drama bagaimana Mohamad Sabu ditahan polis dalam Siasah Ahad ini.

Monday, December 10, 2007

Malaysia ke arah negara polis


KUALA LUMPUR, 10 Dis: PAS melihat beberapa insiden yang berlaku beberapa hari ini bakal membawa negara ke arah Negara Polis. PAS dengan itu menegaskan bantahan sekeras-kerasnya terhadap apa yang berlaku itu, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan medianya.

Pertama: Tindakan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu yang enggan memberikan ikat jamin kepada dua orang ahli PAS, iaitu Suwandi Ab Ghani, 38, dan Muhammad Azman Aziz, 21 yang dituduh dengan pelbagai tuduhan berikutan Perisitwa Hitam Batu Burok, Kuala Terengganu, 8 Sepetember, 2007 lalu.

Katanya, keenganan memberikan ikat jamin kepada kedua-dua ahli PAS ini sangat luar biasa sedangkan kesemua kes yang dituduh terhadap mereka dibenarkan ikat jamin. Menurut rekod kedua-dua mereka adalah mangsa yang ditembak dengan peluru hidup oleh pihak polis dalam kejadian tersebut.

Dalam kes ini juga PAS berdukacita atas keputusan Peguam Negara yang bertindak sendiri sebagai pendakwa dalam kes yang disebut di di peringkat Mahkamah Sesyen ini.
Kedua: Penangkapan terhadap lima orang peguam dan tiga aktivis yang sedang meraikan hari Hak Asasi Sedunia di Kuala Lumpur anjuran Majlis Peguam Malaysia pagi tadi. Turut ditahan adalah seorang ahli Majlis Peguam kerana menghalang pihak DBKL dari menurunkan sepanduk perayaan tersebut.

Tindakan pihak polis melakukan penangkapan dalam majlis aman dan memperingati "Hari Hak Asasi Sedunia" seumpama ini sudah pasti mencacatkan lagi rekod hak asasi negara yang telah sedia tempang dan tercemar.

Ketiga: Waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Naib Presiden PAS Hj Muhammad Sabu di Ipoh, ketika beliau sedang membawa rombongan perkahwinan anak perempuan beliau di sana. Beliau ditahan kononnya kerana menyertai perhimpunan haram.

Berikutan tindakan-tindakan ini PAS menganggap kerajaan pimpinan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah mula bergerak ke arah sebuah "Negara Polis" (Police State) dan tidak lagi menjunjung sistem demokrasi yang merupakan asas Perlembagaan Persekutuan.

"Saya menyeru semua ahli-ahli PAS diseluruh negara khasnya diperingkat kawasan-kawasan agar menunaikan solat hajat dipimpin oleh para ulamak peringkat masing-masing, dengan memohon kehadrat Allah swt agar menghapuskan segala bentuk kezaliman ini dan menyelamatkan kita semua dan negara tercinta ini dari angkara buruk kerajaan Barisan Nasional yang jelas membelakangkan demokrasi dan hak asasi itu," katanya dalam kenyataan itu.

Wednesday, December 5, 2007

Bukan etnik cleansing tetapi political cleansing - Mustafa

KUALA TERENGGANU, 4 Dis: PAS mendesak Kerajaan menghentikan 'political cleansing' di negara ini sebagaimana yang berlaku sekarang terhadap penyokong dan pemimpin politik yang tidak bersama dengan Barisan Nasional (BN).

"Apa yang berlaku sekarang bukan etnik cleansing sebagaimana yang didakwa oleh Hindraf tetapi adalah political cleansing terhadap pihak yang tidak menyokong parti kerajaan yang memerintah," kata Datuk Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Mustafa yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS mengulas dakwaan Hindraf (Hindu Action Force) yang mendakwa berlakunya etnik cleansing di negara ini sebagaimana yang berlaku dalam Peristiwa Kampung Medan tahun 2002 lalu.

Tuduhan Hindraf itu terkandung dalam memorandum yang diserahkan mereka kepada kerajaan Britain.

"Tuduhan bahawa berlakunya etnik cleansing sebagaimana yang didakwa Hindraf adalah melampau kerana ia tidak berlaku," kata Mustafa mengulas dakwaan Hindraf itu.

Laporan lanjut dalam Siasah Ahad ini.

Monday, December 3, 2007

Kelainan di majlis Tayangan Perdana Gelombang Kuning



Oleh Wartawan Siasah

LUAR KEBIASAAN PAS, tetapi itulah yang berlaku di majlis Tayangan Perdana Gelombang Kuning yang diadakan di Dewan Datuk Fadil Noor, Taman Melwar baru-baru ini.
Majlisnya bermula dengan nyanyian lagu Negaraku. Klip video Negaraku ditayangkan dan semua orang, termasuk Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berdiri tegak menyanyikan lagu itu.

Lain-lain tetamu turut berdiri tegak termasuklah Mahfuz Omar (Ketua Penerangan PAS), Sivarasa Rasiah (Naib Presiden PKR) dan Ronnie Liu (anggota CWC DAP).

Yang menariknya, klip video itu menggambarkan para pimpinan PAS bersama masyarakat termasuk Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Keseluruhan majlis dikendalikan oleh tenaga muda PAS yang bertugas di Tvpas.com termasuk mempengerusikan majlis tersebut. Penerangan sebelum program (briefing) kepada para pemimpin PAS juga diberikan oleh tenaga muda sehingga ada yang tertanya-tanya, "siapakah budak itu?"

Pada awalnya agak membimbangkan kerana kerusi yang disediakan oleh pihak penganjur (Lajnah Penerangan PAS, Bersih dan Tvpas.com) hanya penuh sebahagian sahaja. Namun menjelang majlis tayangan bermula, dewan besar itu hampir penuh.

Kekurangan sambutan memang dijangka kerana majlis ini majlis tayangan bukan ceramah. Dewan ini akan sentiasa penuh sesak jika ada ceramah terutama dari tokoh-tokoh besar PAS dan parti pembangkang, tetapi majlis tayangan jarang benar diadakan.

Ketika tanyagan berjalan pun, ada yang bertanya, tak ada ceramah ke lepas ini. Apabila penulis berkata, ceramah telah diadakan sebelum tayangan, beliau nampak tidak berpuas hati. Maklumlah, dewan ini adalah tempat ceramah bukan tayangan.

Namun, selepas majlis tayangan selesai, berduyun-duyun penonton sehinggalah kepada pimpinan PAS, PJR dan DAP mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur. Bagi mereka, ini satu usaha yang bagus dan perlu dilakukan.

"Tahniah, bagus," kata Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa. Beliau yang telah melancarkan tayangan itu gembira dengan tayangan yang beliau lihat.

Filem yang ditayangkan adalah Perhimpunan Bersih 10 November lalu. Dari permulaan yang merakamkan pesanan pengerusi perhimpunan itu, Muhamad Sabu yang dirakamkan perbualan telefon dengannya, sehinggalah kemuncak perhimpunan itu iaitu penyerahan memorandum Bersih kepada wakil Yang Dipertuan Agung di Istana Negara.

Nasharudin dalam ucapan berkata, "Dunia telah melihat betapa disiplin perhimpunan yang kita anjurkan ini. Usahkan cermin kereta dipecahkan atau batu dilontarkan, sekuntum bunga yang menghiasi perkarangan Istana Negara pun tidak gugur dalam perhimpunan hampir ratusan ribu orang ini. Inilah yang kita tawarkan untuk negara."

Mahfuz selaku Ketua Penerangan PAS berkata, video ini akan disebarkan ke seluruh negara agar semua rakyat dapat melihat sendiri bukannya berdasarkan berita-berita yang disiarkan oleh media milik BN sahaja.

Di majlis itu, Nasharudin turut memperkenalkan 'Kopi pra campuran Bersih' yang dibuat oleh seorang perniagaan untuk rakyat negara ini. Ia memdapat tepukan gemuruh kerana kreativiti pelbagai pihak untuk menjual agenda Bersih ini.
Pendek kata majlis ini berlainan dari kebiasaan majlis PAS yang diadakan di Dewan Datuk Fadzil Noor, Taman Melewar ini.

Exco Terengganu jadi mangsa

KUALA TERENGGANU, 2 Dis: Seorang Exco kerajaan negeri Terengganu bakal menjadi mangsa politik dalaman Umno apabila beliau dikatakan sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang bertujuan untuk dijadikan alasan penggugurannya dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut maklumat yang Siasah terima, ketegasan dan kelantangan exco berkenaan melawan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dalam beberapa isu telah menyebabkan 'beliau terpaksa diketepikan'.

Bagaimana caranya? Dengan cara memburukkan nama beliau dan penyiasatan BPR dikatakan menjadi caranya.

Siasah difahamkan, nama Exco berkenaan telah tidak ada dalam senarai calon BN Terengganu yang dikemukakan Umno kepada presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebaliknya, nama seorang wakil rakyat dari kawasan lain yang merupakan rakan beliau sendiri disebut-sebut bakal menggantikan beliau. Ia bertujuan untuk mengurangkan kemarahan beliau.

Namun, maklumat yang Siasah terima memaklum, tindakan menggugurkan beliau dibuat secara yang sistematik dan bagi memastikan seluruh penyokong beliau yang menyusahkan MB juga tidak berpengaruh lagi dalam Umno Terengganu.

Antaranya, apabila rakan beliau mengambil alih tempatnya, pengganti tempat Adun berkenaan akan diambil alih musuh peribadi beliau sendiri. Penyokong beliau di Dun lain juga bakal diketepikan dalam pilihan raya ini.

Nama Exco berkenaan juga tidak ada dalam senarai calon anggota Parlimen BN yang dikemukakan secara berasingan kepada Abdullah.

Baru-baru ini, media melaporkan, seorang ahli politik terkenal merupakan antara 70 individu yang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) di negeri ini sejak awal tahun ini.

Pengarah BPR Terengganu, Sharuddin Sapian berkata, kertas siasatan kes rasuah ahli politik berkenaan serta individu lain kini sedang disiapkan untuk tindakan lanjut.

Beliau bagaimanapun enggan memberitahu sama ada ahli politik itu mempunyai kedudukan dalam kerajaan negeri iaitu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Exco mesyuarat kerajaan negeri.

"Memang umum berpendapat, ramai pemimpin Umno terlibat dengan rasuah tetapi mereka akan selamat selagi tidak bertembung dengan Menteri Besar," kata seorang ahli politik dari negeri ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau mendapat maklumat, BPR akan menyiasat mana-mana pemimpin kerajaan negeri dengan syarat mendapat restu dari menteri besar.

"Saya nak kata, pintu sentiasa terbuka untuk BPR menyiasat mana-mana pemimpin kerajaan negeri tanpa perlu restu saya," kata Nik Aziz sebagaimana yang dilaporkan media.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...