Monday, December 10, 2007

Malaysia ke arah negara polis


KUALA LUMPUR, 10 Dis: PAS melihat beberapa insiden yang berlaku beberapa hari ini bakal membawa negara ke arah Negara Polis. PAS dengan itu menegaskan bantahan sekeras-kerasnya terhadap apa yang berlaku itu, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan medianya.

Pertama: Tindakan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu yang enggan memberikan ikat jamin kepada dua orang ahli PAS, iaitu Suwandi Ab Ghani, 38, dan Muhammad Azman Aziz, 21 yang dituduh dengan pelbagai tuduhan berikutan Perisitwa Hitam Batu Burok, Kuala Terengganu, 8 Sepetember, 2007 lalu.

Katanya, keenganan memberikan ikat jamin kepada kedua-dua ahli PAS ini sangat luar biasa sedangkan kesemua kes yang dituduh terhadap mereka dibenarkan ikat jamin. Menurut rekod kedua-dua mereka adalah mangsa yang ditembak dengan peluru hidup oleh pihak polis dalam kejadian tersebut.

Dalam kes ini juga PAS berdukacita atas keputusan Peguam Negara yang bertindak sendiri sebagai pendakwa dalam kes yang disebut di di peringkat Mahkamah Sesyen ini.
Kedua: Penangkapan terhadap lima orang peguam dan tiga aktivis yang sedang meraikan hari Hak Asasi Sedunia di Kuala Lumpur anjuran Majlis Peguam Malaysia pagi tadi. Turut ditahan adalah seorang ahli Majlis Peguam kerana menghalang pihak DBKL dari menurunkan sepanduk perayaan tersebut.

Tindakan pihak polis melakukan penangkapan dalam majlis aman dan memperingati "Hari Hak Asasi Sedunia" seumpama ini sudah pasti mencacatkan lagi rekod hak asasi negara yang telah sedia tempang dan tercemar.

Ketiga: Waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Naib Presiden PAS Hj Muhammad Sabu di Ipoh, ketika beliau sedang membawa rombongan perkahwinan anak perempuan beliau di sana. Beliau ditahan kononnya kerana menyertai perhimpunan haram.

Berikutan tindakan-tindakan ini PAS menganggap kerajaan pimpinan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah mula bergerak ke arah sebuah "Negara Polis" (Police State) dan tidak lagi menjunjung sistem demokrasi yang merupakan asas Perlembagaan Persekutuan.

"Saya menyeru semua ahli-ahli PAS diseluruh negara khasnya diperingkat kawasan-kawasan agar menunaikan solat hajat dipimpin oleh para ulamak peringkat masing-masing, dengan memohon kehadrat Allah swt agar menghapuskan segala bentuk kezaliman ini dan menyelamatkan kita semua dan negara tercinta ini dari angkara buruk kerajaan Barisan Nasional yang jelas membelakangkan demokrasi dan hak asasi itu," katanya dalam kenyataan itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...