Friday, October 31, 2008

Bukan kerana Cina atau wanita, kata Hassan Ali

SHAH ALAM, 31 Okt: PAS menegaskan tindakan mereka tidak menyokong perlantikan Madam Low Siew Moi bukan kerana dia Cina atau wanita tetapi kerana berpendapat tokoh dari luar perlu dilantik ke jawatan itu untuk memberi satu 'darah' baru kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali berkata, dia bersedia menyokong perlantikan sesiapa sahaja termasuk Cina dan wanita asalkan calon itu benar-benar profesional.

"Saya bersedia untuk menyokong perlantikan pengurus besar PKNS yang baru kalaupun dia bukan Melayu dan bukan lelaki jika dia betul-betul profesional dan bakal membawa masa depan yang baik kepada PKNS," kata Hassan Ali.

Pandangan ini, kata beliau, ekoran banyak cerita yang beliau dengar tentang Madam Low di samping cerita tentang bekas Pengurus Besar yang akan bersara, Datuk Harun Salim.

Bagi timbalan beliau, Khalid Samad pula, darah baru diperlukan oleh PKNS selepas menghadapi pelbagai cerita negatif.

"Jika kita kata pengurusan PKNS tidak bagus, saya beranggapan Madam Low juga tidak bagus kerana dia adalah salah seorang pengurus kanan badan itu bukan kerana dia bukan Melayu.

"Sesiapa yang memimpin PKNS pun tidak ada masalah asalkan dia memahami dasar dan tujuan PKNS serta dapat mematuhi Lembaga Pengarah PKNS yang dipengerusikan oleh MB.

"Kita juga tidak mahu melantik Melayu tetapi selepas itu dia tidak perform dan menyusahkan Pakatan," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad.

PAS dan PKR bersetuju untuk mencari pengganti kepada Madam Low Siew Moi untuk dilantik sebagai Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kerana perlantikan Low hanyalah untuk sementara sahaja sebelum mendapat calon baru dari luar.

Sebelum ini, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, perlantikan Madam Low adalah untuk sementara sahaja.

"Dia yang terbaik dan sesuai untuk menolong peralihan kuasa agar berjalan dengan teratur," kata jurucakap dari pejabat MB Selangor menjelaskan perlantikan itu.

Baru-baru ini, Menteri Besar Selangor mengumumkan perlantikan Madam Low sebagai pemangku Pengurus Besar PKNS bagi menggantikan Datuk Harun Salim yang akan bersara mulai 1 November ini.

Low dipilih oleh MB Selangor itu walaupun, ada dua lagi Timbalan Pengurus Besar iaitu Md. Nasir Md. Arshad (Pentadbiran dan Pembangunan) dan Abdul Ghani Hashim (Teknikal).
Low adalah Timbalan Pengurus Besar Korporat dan Akaun untuk PKNS. Beliau telah bekerja dengan bahagian akaun PKNS sejak 35 tahun yang lalu.

Selepas sampai umur bersara pada tahun 2006, dia telah tiga kali dilantik ke jawatan kontrak iaitu pada tahun 2006, 2007 dan 2008.

Berbanding dengan calon-calon yang lain, Low dianggap oleh MB Selangor sebagai "pihak yang bersedia menjadi pemimpin sementara."

Sebuah akhbar milik Umno Rabu lalu menyerang Khalid habis-habisan dengan isu ini. Ketua Pemuda Umno Selangor, Abdul Shukur Idris dilaporkan meminta Sultan Selangor campur tangan dengan isu ini kerana Khalid didakwa tidak membela kepentingan orang Melayu.
Persatuan Pegawai Kanan PKNS juga menghantar memo bantahan kepada Khalid.

Hassan Ali dalam kenyataannya kepada Siasah berkata, PAS tidak bersetuju perlantikan itu "bukan kerana Madam Low Cina atau wanita sebagaimana didakwa MCA tetapi dari segi kewibawaannya dua lagi timbalan pengurus besar yang ada lebih diterima oleh 800 pekerja PKNS dan menjadi kebiasaannya timbalan pengurus besar pentadbiran yang dinaikkan pangkat."

Kerjasama penuh dengan PKR dan DAP, kata Mustafa

KUALA TERENGGANU, 31 Okt: Para pemuda PAS di seluruh Terengganu diminta menerima hakikat PAS adalah sebuah parti politik dan dakwah yang perlu bekerjasama dengan semua pihak bagi mencapai matlamat perjuangannya.

Oleh itu, seluruh jentera PAS perlu bekerjasama dengan parti-parti lain bagi membolehkan PAS bersama-sama mentadbir negara.

Demikian ingatan Datuk Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Terengganu ketika bercakap kepada lebih 1,000 peserta Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) di pantai Cendering Sabtu lepas.

Himpit adalah progam tahunan yang dianjurkan oleh Pemuda PAS Terengganu untuk ahli-ahlinya di seluruh negeri itu.

Mustafa menganggap, Pemuda PAS adalah kilang memproses dan membentuk kepimpinan PAS di masa depan.

Salah satu dari bengkelnya adalah melalui program Himpit yang dianjurkan setiap tahun ini.
"Sebab itu, Umno sebagai parti yang terbesar dalam Barisan Nasional pun tidak boleh memerintah sendiri tanpa kerjasama dengan parti-parti lain dalam BN.

"Kerana itulah, kita perlu bekerjasama sebaik mungkin dengan PKR dan DAP yang menjadi rakan kita sekarang dalam Pakatan Rakyat," katanya ketika memberikan ucapan penutup di majlis yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu.

Grand design sekat Najib?

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Satu demi satu kontroversi yang menimpa bakal perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Apakah ia berlaku tanpa dirancang atau sememangnya ada perancangan besar (grand design) di belakang semua perkara ini.
Inilah yang hangat dibincangkan di kalangan penyokong timbalan presiden Umno itu.

"Kalau hendak dikatakan ia perkara biasa dalam tempoh peralihan kuasa kerana dia pun tidak boleh mengawal sepenuhnya lagi, apakah selepas menjadi PM segala kontroversi ini akan hilang?" soal seorang penganalisa politik yang mengkaji perkara ini.

Beliau mengkaji trend memburuk-burukkan nama baik Najib yang sedang merebak sekarang ini.

"Mula-mula (Datuk Seri) Anwar membawa isu Altantuya. Selepas itu, Bank International Indonesia (BII). Pembangkang juga bantah isu pinjaman RM5 bilion wang KWSP. Kini Pak Lah batalkan projek pembelian Eurocopter, Mahathir pula kritik cadangan memansuhkan pendekatan DEB. Semua kontroversi ini menghala kepada Najib. Saya rasa ini semua ada perancangan," kata beliau kepada Siasah.

Beliau berpendapat, semacam ada satu usaha untuk memburuk-burukkan nama Najib supaya dia tidak sempat menjadi PM Mac tahun depan.

Namun, siapakah yang berkepentingan?

Pertama, adalah pembangkang. Sememangnya pembangkang risau dengan pendekatan yang bakal diambil Najib dalam menghadapi kebangkitan mereka sebagaimana pendekatan Abdullah ketika mula-mula mengambil alih tapuk kepimpinan negara sebelum ini.

"Jika Najib sempat naik, ramai yang berpendapat habislah peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri. Oleh itu, pembangkang perlu sekat Najib. Jadi, mereka kena pastikan Najib tidak jadi PM," katanya.

Pihak kedua yang ada kepentingan adalah 'budak-budak Abdullah'.
Mereka ini terdiri dari para pemimpin Umno yang bimbang apabila Najib dan Muhyidin naik, mereka akan tersingkir dari kedudukan mereka sekarang.

"Mereka telah gagal memujuk Pak Lah agar lawan Najib. Pak Lah tak mau Umno pecah. Sekarang mereka berusaha untuk memastikan Najib tidak sempat jadi PM pula," kata sumber itu.

Bagi beliau, jika adanya grand design ini, ia adalah kerjasama antara budak-budak Pak Lah dengan pembangkang untuk menyekat Najib.

Tuesday, October 21, 2008

Tanah runtuh di Akademi Pengajian Islam UM

Oleh: Afandy Awang

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Hujan lebat di sekitar Lembah Kelang semalam menyebabkan berlakunya tanah runtuh di bahagian belakang bangunan pentadbiran Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Keruntuhan ini menyebabkan dinding perpustakaan pecah dan tanah masuk menenggelamkan sebahagian besar rak-rak buku.

Menurut salah seorang pekerja yang ditemui, antara punca berlakunya tanah runtuh ini adalah disebabkan kedudukan bangunan Block C itu terlalu hampir dengan bukit.

Jarak yang memisahkan hanya sekadar lebih kurang 2 meter sahaja. Ini cukup membahayakan kerana bukit yang di tarah ini akan runtuh pada bila-bila masa dan mendatangkan kemeberhayaan kepada mahasiswa APIUM sendiri.

Setakat ini, bangunan C ditutup buat sementara waktu sementara bangunan B juga masih dalam keadaan berjaga-jaga kerana dkhuatiri peristiwa runtuhnya Highland Towers akan berulang kembali di sini.

Pemimpin PAS dan PKR sertai majlis Raya DAP

SERTAI MAJLIS RAYA DAP...Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyertai majlis sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang dianjurkan DAP Ahad lepas. Turut serta di majlis itu adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Majlis yang diadakan di Kajang itu turut disertai oleh beberapa pemimpin PAS yang lain termasuk Datuk Husam Musa, Naib Presiden PAS. Antara pemimpin DAP yang hadir adalah penasihatnya, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung Lim Guan Eng.

200 ahli Umno sertai PAS di Masai

MASAI (JOHOR), 21 Okt: Tidak puashati dengan layanan dan sikap diskriminasi Umno yang berkuasa lebih 50 tahun, kira-kira 200 daripada 500 ahli Umno termasuk lapan ahli jawatankuasa cawangan Umno Kampung Baru Plentong Tengah, Masai telah mengisytiharkan keluar daripada parti itu dan menyertai PAS 19 Okotober lalu.

Mantan Ketua Pemuda Cawangan Umno kampung tersebut, Mohd Daud Mohd Isa telah menyerahkan borang keahlian kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada satu pertemuan yang diadakan di kampung tersebut. Tindakan tersebut tercetus, ekoran insiden perobohan rumah penduduk pada 16 Oktober lalu yang tidak mendapat simpati daripada Umno.

Sementara itu, Ketua Cawangan Umno yang sama, Sahari Mohd Sham telah menyerahkan memorandum kepada Presiden PAS untuk membawa isu perobohan rumah tersebut ke parlimen.

Markas Tarbiyah PAS akan berfungsi semula

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Mulai November ini, Pusat Tarbiyah PAS Taman Melewar akan dihidupkan sepenuhnya dengan kuliah-kuliah dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan merasmikannya pada 3 November ini.

Kuliah yang akan diadakan selepas solat Maghrib itu akan diadakan hampir setiap malam di Dewan Besar Datuk Fadzil Noor bermula tarikh tersebut.

Menurut jadual kuliah yang diedarkan oleh Lajnah Tarbiyah PAS, sepanjang November ini, sebanyak 20 kuliah akan diadakan di situ.

Ia membabitkan para guru dari PAS dan juga pengkuliah profesional dari luar.

Pada 3 November ini, bekas pensyarah Universiti Malaya yang kini adalah Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfudz Muhamad akan memberikan kuliah mengenai Qanun Jenayah Syariah.
Turut terlibat memberikan kuliah sepanjang bulan November adalah hampir 20 orang lagi guru yang memberikan kuliah untuk pelbagai topik dari aqidah sehinggalah muamalat.

Sejak berpindah ke pejabat baru di Jalan Raja Laut, bekas pejabat agung PAS itu dilihat sepi dan kosong dari aktiviti.

Ekoran itu, pelbagai kritikan dibuat terhadap PAS kerana membiarkan kemudahan yang sudah sedia ada dalam PAS itu.

Ekoran itu, Lajnah Tarbiyah PAS dikatakan diberi amanah untuk menghidupkannya dengan kelas-kelas pengajian secara yang sistematik.

Di samping itu, Siasah difahamkan, tanah milik PAS itu akan dibangunkan dengan bangunan-bangunan selepas ini di samping mengekalkan fungsinya sebagai markas tarbiyah.

Friday, October 17, 2008

Wakil rakyat BN kosongkan Dewan
Strategi tenggelamkan kehebatan Anwar?

KUALA LUMPUR: Ucapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membahaskan belanjawan 2008 tanpa gangguan daripada wakil - wakil rakyat kerajaan dilihat sebagai sangat berbeza berbanding suasana kebiasaan ketika tokoh-tokoh utama pembangkang berucap sebelum ini.

Malahan reaksi para wakil rakyat Umno ketika Anwar berucap jauh berbeza dengan pendekatan yang digunakan (membuat gangguan) ketika tokoh-tokoh seperti Lim Kit Siang, (Allahyarham) Datuk Fadzil Nor dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang memegang jawatan Ketua Pembangkang sebelum ini.

Sebaliknya, wakil - wakil rakyat kerajaan bukan sahaja tidak mencelah atau cuba menggangu Anwar yang pertama kali menyampaikan ucapan perbahasan sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat bahkan sebahagian besar daripada mereka meninggalkan dewan.

Manakala hampir tiada menteri dan timbalan menteri ditempat duduk masing-masing untuk menyaksikan bekas Timbalan Perdana Menteri itu berhujah.

"Saya, lapan tahun (menjadi) Menteri Kewangan saya duduk dengar ucapan Ketua Pembangkang. Kalau ada pembangkang bahas timbalan menteri wajib hadir untuk mendengar sepanjang perbahasan. Sekarang ini tidak ada sama sekali , tidak ada yang sanggup mendengar, serahkan kepada pegawai-pegawai. Lebih baik angkat pegawai mengisi kerusi-kerusi depan (tempat duduk menteri)," bidas Anwar dalam ucapanya berhubung situasi tersebut.

Sepanjang lebih lima jam berucap, hanya wakil Batu Pahat, Fuad Zakarsyi sahaja dilihat bangun beberapa kali untuk mencelah ucapan Anwar manakala selainnya hanya wakil pembangkang daripada DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat bangun meminta penjelasan.

Beberapa wakil rakyat kerajaan yang terkenal dengan jolokan 'pengacau' ketika pembangkang berucap seperti wakil Kinabatangan dan Sri Gading lebih banyak menghabiskan masa di luar dewan.

Sikap wakil rakyat kerajaan itu dilihat diluar kebiasaan berikutan Anwar sepanjang ucapannya bukan sahaja membawa hujah-hujah yang mampu menjatuhkan kewibawaan kerajaan dalam penyediaan belanjawan malahan beliau turut mengkritik Barisan Nasional dan mendedahkan skandal-skandal besar.


Berkenaan belanjawan 2008 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri itu sendiri Anwar menyifatkannya "sudah tidak realistik, tidak menepati fakta dan tidak mampu mengangkat ekonomi dan menyelamatkan negara dari kemelut ekonomi yang kian meruncing."
Beliau juga turut menyerang Menteri Kewangan dengan bidasan yang pedih dengan berkata "Menteri Kewangan yang baru yang harus menghormati dan mendengar hujah Ahli-ahli Dewan dan tidak sibuk kempen mempertahankan jawatannya."

Anwar juga menggunakan kesempatan dalam perbahasan tersebut menafikan tuduhan beliau melutut kepada IMF (Bank Dunia) - satu isu yang digunakan oleh Umno untuk menjatuhkan imejnya - turut tidak mendapat respon daripada mana-mana wakli rakyat parti itu.

"Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah mengarahkan Perbendaharaan Malaysia untuk meneruskan pinjaman oleh negara dengan Bank Dunia. Siapa sebenarnya yang melutut dengan IMF / World Bank," kata Anwar.


Kehadiran Anwar ke Parlemen mendapat tumpuan luar biasa dari media


Wartawan mengikuti ucapan Anwar melalui siaran televisyen di lobi Parlimen

Selain itu beberapa tindakan yang dilihat sebagai provokasi daripada pembangkang untuk menarik perhatian wakil kerajaan seperti mengemukakan usul supaya perbahasan belanjawan ditangguhkan turut tidak mendapat reaksi daripada wakil kerajaan.

Justeru, pendekatan wakil rakyat kerajaan terhadap Anwar dipercayai pemerhati sebagai strategi yang dirancang untuk menenggelamkan kehebatan Anwar Ibrahim di Parlimen.

Wakil-wakil media yang hadir secara luar biasa pada hari Anwar menyampaikan ucapannya juga turut melihat perkembangan tersebut sebagai usaha mengelapkan berita Anwar daripada mendapat liputan meluas di akhbar cetak atau elektronik yang datang membuat liputan.

"Sebarang kekecohan antara Anwar dengan wakil kerajaan akan menarik perhatian media.
Laporan tentang Anwar hanya akan menyerlahkan kehebatannya dalam Parlimen," ulas seorang petugas akhbar yang mengikuti ucapan Anwar pada hari kedua, 14 oktober lalu.

Dipihak Pakatan Rakyat, sikap ditunjukkan oleh wakil rakyat kerajaan itu mengambarkan ketakutan mereka untuk berhadapan dengan Anwar dalam isu menguruskan belanjawan negara.

Anwar selain daripada mempunyai pengalaman luas dalam kerajaan dan juga sebagai Menteri Kewangan bukan sahaja mempunyai fakta-fakta yang kukuh untuk mempertahankan hujahnya bahkan beliau mendapat maklumat yang jelas untuk mempertikaikan angka-angka yang dibentangkan untuk tujuan tersebut.

"Saya melihat perkara ini sebagai ketidak sediaaan kerajaan dalam proses demokrasi, ini dilihat tidak adil kerana ruang kami sangat terhad untuk bersuara, dan ini sepatutnya didengari," komen Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.

Katanya, pandangan yang diutarakan oleh Anwar amat bagus untuk pihak kerajaan , ia juga dapat membantu pihak kerajaan juga sekiranya mereka mengambil sikap terbuka.

Bagaimanapun Pengerusi kelab Penyokong Kerajan (BBC), Datuk Seri Tiong King Sing ketika ditanya kemungkinan tersebut menafikan ada usaha untuk memboikot Anwar sebaliknya menyifatkan hanya perkara biasa dan hujah yang diberikan oleh Anwar hanya lah sama seperti yang pernah di bahaskan. Beliau juga menafikan pihaknya takut untuk berhadapan dengan Anwar untuk berhujah dalam Dewan Rakyat.

Manakala Wakil Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin pula berkata, tindakan untuk tidak mengganggu Anwar bertujuan memberi ruang yang cukup luas kepada Ketua Pembangkang itu memberilkan pandangan-pandangannya tentang belanjawan 2008.

"Tetapi saya berasa kecewa kerana hujah Anwar tidak memperjuangkan rakyat dan ucapannya hanya retorik seperti yang sentiasa dibahaskan oleh pemimpin lain," katanya ketika diminta mengulas perkembangan tersebut.

Berhubung dakwaan wakil kerajaan takut berhadapan dengan Anwar, Bung Mokhtar berkata, "Anwar adalah orang yang biasa sahaja dan kami tidak gentar dengan hujah beliau."

Pengalaman ditahan lanun

"Mereka telah menghunus senjata kepada anak kapal sambil menyuruh berkumpul di satu tempat. Saya sempat melihat banyak kapal yang telah menjadi mangsa kepada lanun yang berkulit hitam itu," kata salah seorang anak kapal Melati 5, Mohd Nazri Mat Salleh @ Yusoff, 21 (gambar) yang baru dibebaskan selepas hampir sebulan ditahan lanun di perairan Somalia.

Tragedi menakutkan itu berlaku ketika kapal kargo Melati 5 belayar dari Pelabuhan Yamboo di Arab Saudi menuju ke Singapura bagi mengisi minyak.

"Pada 29 Ogos lebih kurang jam 5.50 petang waktu tempatan, terdengar bunyi beberapa das tembakan. Loceng kecemasan telah dibunyikan kapten kapal.

"Dan kami terus berkumpul di tempat yang selamat iaitu di tengah-tengah kapal. Sepuluh minit kemudian, terdengar pula tembakan yang mengena setiap penjuru dinding kapal.

"Dalam keadaan kelam kabut itu kami telah meniarap kerana bimbang akan terkena peluru sesat tembakan lanun," katanya menceritakan kembali drama yang menakutkan menjelang Ramadan lalu.

Setelah itu, Kapten memberitahu kapal Melati 5 telah menjadi milik lanun hanya seramai tujuh orang sahaja.

Mereka menaiki kapal menggunakan tali dan dalam sekelip mata sudah berada di atas kapal. Biar pun tubuh mereka kecil dan kurus, namun senjata di tangan cukup menakutkan.

Pelbagai lagi perkara menarik sepanjang ditawan oleh lanun diceritakan oleh Mohd Nazri kepada wartawan yang disiarkan dalam Siasah keluaran terbaru.

Antaranya solat berjamaah bersama lanun dan berpuasa dalam tahanan.

Mahathir kuasai Umno semula?

KUALA LUMPUR, 16 Okt: Selepas satu minggu berlalu, trend pencalonan para pimpinan Umno kelihatan menjurus kepada penguasaan semula bekas presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap parti Melayu itu.

Ia dibayangkan melalui pencalonan yang diterima oleh calon-calon yang dikira mendapat sokongan Mahathir termasuklah Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak (presiden), Tan Seri Muhyidin Yassin (timbalan presiden) dan anak beliau Mukhriz Mahathir (ketua pemuda).

Calon yang tidak mendapat sokongan beliau pula tidak mendapat pencalonan yang menggalakkan apatah lagi calon yang disifatkan oleh beliau sebagai 'pak lawak'.
Calon yang disifatkan pak lawak oleh Mahathir adalah calon timbalan presiden selain dari Muhyidin.

Antaranya, Datuk Seri Muhd Ali Rustam, Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib dan Datuk Nur Jazlan Mohamad.

Sehingga kini, hanya Najib yang mendapat mendapat pencalonan untuk menjadi presiden manakala Muhyidin meninggalkan jauh calon-calon lain untuk jawatan timbalan presiden.
Najib mendapat 29 pencalonan untuk presiden manakala Muhyidin mendapat 24 pencalonan untuk timbalan presiden meninggalkan saingan terdekatnya, Mohd Ali Rustam yang hanya mendapat 3 pencalonan.

Pencalonan yang diterima Najib ini bertentangan dengan serangan yang dibuat terhadap beliau. Antaranya berkaitan dengan pembelian 18 buah helikopter daripada Eurocopter yang menimbulkan pelbagai kontroversi.

Sebelum ini, Najib dikaitkan dengan kematian wanita Monggolia, Altantuya Shaariibuu, pembelian Bank International Indonesia oleh Maybank dan juga penganugerahan projek jalurlebar laju (high speed broadband) kepada TM tanpa tender.

Berbandiong Najib, calon popular untuk jawatan ketua pemuda iaitu Khary Jamaludin Abu Bakar, anggota Parlimen Jelebu yang juga menantu perdana menteri tidak mendapat sokongan penuh bahkan tertinggal. Sebelum ini, Mahathir selalu sahaja menyerang menantu Datuk Seri Abdullah Badawi ini.

Sehingga kini (15 Oktober), anak Mahathir, Mukhriz mendapat 40 pencalonan berbanding dengan Khairy yang hanya 19 pencalonan. Ini bermakna, Mukhriz sudah layak bertanding (39 pencalonan diperlukan).

Trend mengikut pencalonan setiap negeri juga menunjukkan Mukhriz mengusai sembilan negeri termasuklah Kedah (5 untuk Mukhriz, 1 untuk Khairy), Terengganu (1-0), (Sabah (6-3), Pahang (4-2), Melaka (1-0), Pulau Pinang (4-1), Perak (4-4), Johor (8-3), Negeri Sembilan (3-0), Selangor (3-1) dan hanya Kelantan yang dikuasai Khairy iaitu kesemua empat pencalonan kini diberikan kepada beliau.

Lim akan temu kali kedua dengan Abdul Hadi

KUALA LUMPUR, 16 Okt: Mungkinkah pergeseran pendapat mengenai pendekatan politik yang berlaku antara DAP dengan PAS sebelum ini sehingga menyebabkan kedua parti itu dilihat bermusuh dan menimbulkan masalah kepada Pakatan Rakyat akan berakhir?

Perkembangan terbaru memperlihatkan kedua parti itu kini kembali berada atas landasan dan nawaitu sama iaitu untuk memperkuatkan Pakatan Rakyat bagi menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN).


Kunjungan hormat Lim Kit Siang ke atas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa hari raya Aidifitri lalu di rumah Presiden PAS itu di Rusila, Terengganu (gambar) membuka lembaran baru bagi kedua parti berkenaan terutamanya kedua pemimpin penting parti itu.


Tanpa sesiapa menduga Lim Kit Siang mengambil pendekatan harmoni telah mengunjung Abdul Hadi pada hari raya lalu bersama berberapa pemimpin DAP lain.

Walaupun beliau memberi alasan kunjungan itu sebagai perkara biasa dan kebetulan beliau bercuti di Terengganu namun ianya nampak disengajakan, Lim berusaha untuk mendekati Abdul Hadi.

Tidak ada kenyataan dari kedua pihak apa yang dibincangkan oleh kedua pemimpin berkenaan.

Media alternatif hanya melaporkan berita pertemuan itu dengan menyiarkan gambar mereka berjabat tangan saja. Siasah minggu lalu turut menyiarkan gambar mereka berdua berjabat tangan dan berbual mesra.

Mungkin keduanya telah bersetuju untuk tidak menjadikan pertemuan itu sebagai bahan berita sensasi dan mendedahkan butiran perbincangan itu secara mendalam. Adalah tidak munasabah kalau pertemuan itu tidak merangka sesuatu untuk kebaikan bersama.

Bagaimana pun Lim Kit Sing ketika ditemui di rumah terbuka Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah di Kelab Sultan Sulaiman Ahad lalu, agak keberatan untuk mendedahkan isi pertemuan beliau dengan Abdul Hadi itu. Dalam keadaan cuba mengelak beliau hanya menyebut pertemuan itu bagus dan "kami seronok".

Ditanya apakah akan ada pertemuan kedua selepas ini, Lim mengatakan beliau akan mengatur satu lagi pertemuan dengan Abdul Hadi; "iya saya akan bertemu beliau sekali lagi selepas ini sedikit masa lagi."

Ketika ditanya bila pertemuan itu, Lim tidak mahu menjelaskan tetapi menegaskan ia akan diadakan lagi selepas ini yang agak khusus bagi membincangkan perkembangan politik semasa!

Ditanya bagaimana perasaan Abdul Hadi dengan kunjungan beliau itu, Lim menjelaskan Abdul Hadi juga nampak seronok dan gembira. Turut sama dalam pertemuan itu ialah Pesuruhjaya Pas Terengganu Datuk Mustafa Ali.

Wednesday, October 15, 2008

Papan tanda galakkan pergaulan bebas?

Kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri Terengganu yang diketuai Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengakui bahawa gejala pergaulan bebas semakin berleluasa di negeri ini sehingga pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bertindak memasang papan tanda beberapa hari lalu bagi mengingatkan golongan remaja menjauhi gejala tersebut.

Namun pemasangan papan tanda ini sebegini nampaknya bukan menghalang tetapi menggalakkan lagi pelakuan sebegini. Pemasangannya juga tidak kena pada tempatnya kerana di situ bukannya lokasi anak-anak muda bergaul bebas, tambahan pula tertera kalimah 'Subhanallah' di bawahnya.


Adalah lebih baik papan tanda yang 'menggiurkan' itu dipasang di tempat yang lebih sesuai.

Kubu Khir Toyo dikuasai Mukhriz

SHAH ALAM, 14 Okt: Harapan bekas Menteri Besar Selangor, Dato Seri Dr Muhd Khir Toyo yang menggunakan sentimen `kempen untuk anak tempatan’ mungkin tidak kesampaian berikutan beberapa bahagian Pemuda Umno yang menjadi 'kubu' kuat beliau menyokong calon lain bagi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pusat.

Antara kubu kuat beliau, Pemuda Umno Bahagian Kuala Selangor mencalonkan anak bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Muhamad, Datuk Mukhriz Mahathir dalam satu pemilihan sengit pemuda bahagian tersebut pada 5 Oktober lepas.

Melihat kepada keputusan yang diperolehi dalam senarai baru Jawatankuasa Pemuda Umno bahagian, dikatakan kesemua yang menang dikatakan cenderung dan menjadi penyokong kuat kepada Dr Mohd Khir.

Bagaimanapun apabila undian untuk calon Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pusat di cadangkan dilakukan secara undi sulit telah menimbulkan pelbagai persoalan sejauhmana sokongan Dr Mohd Khir di peringkat akar umbi. Persoalan ini terjawab apabila pemuda Umno di peringkat akar umbi telah mengundi Mukhriz berbanding Ahli Majlis Tertinggi Umno ini.
Keputusan daripada 247 perwakilan pemuda adalah Mukhriz mendapat 109 undi, Dr Mohd Khir 93 undi dan seorang lain calon popular, Khairy Jamaluddin mendapat 46 undi. Keputusan yang juga dikatakan tidak berpihak kepada Naib Ketua Pemuda Umno Pusat ini juga tidak menjadi sebarang isu memandangkan Pemuda Umno Bahagian Kuala Selangor adalah kubu kuat Dr Mohd Khir.

Walaupun beberapa bahagian Pemuda Umno di negeri ini mencalonkan Dato Seri Dr Muhd Khir, hampir pasti keputusan Pemuda Umno bahagian Kuala Selangor akan menjadi ikutan kepada bahagian-bahagian Pemuda Umno lain yang belum mesyuarat.

Sebelum ini, pucuk pimpinan tertinggi Pemuda Umno Selangor telah mengarahkan kepada jawatankuasa Pemuda bahagian-bahagian Umno agar mengutamakan calon anak tempatan berbanding calon luar. Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno negeri, Abdul Shukur Idrus dan Bekas Ketua Pemuda Umno bahagian Kapar, Faizal Abdullah.

Ini bererti kesemua 22 bahagian Pemuda Umno negeri Selangor bakal mencalonkan Dr Muhd Khir yang akan bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pusat. Bagaimanapun kelmarin Pemuda Umno negeri menafikan menerima arahan pucuk pimpinan parti supaya memilih Datuk Seri Dr Muhd Khir.

Beberapa Ketua Pemuda Pemuda Umno mengakui ada menasihatkan perwakilan mengambil kira calon tempatan sebelum mengundi tetapi bukan arahan mandatori yang perlu dipatuhi oleh mereka.

Dalam satu kenyataan kepada media, Ketua Pemuda Umno Kapar, Mohd Rosli berkata, bahagian itu tidak menerima arahan mewajibkan perwakilan memberi undi kepada Dr Muhd Khir sebaliknya pengundian dijalankan secara terbuka dan bebas.
“Memang betul kita meminta perwakilan mengambil kira calon tempatan kerana beliau seorang yang berani,” kata beliau.

Bagaimanapun mood Pemuda Umno seluruh negeri Selangor kini sukar diramal memandangkan isu anak tempatan sudah tidak menjadi releven lagi. Sehingga kini, Dr Muhd Khir mendapat 11 pencalonan selepas 72 bahagian pemuda Umno di seluruh negara selesai mengadakan mesyuarat. Tinggal 119 bahagian Pemuda Umno yang masih belum mengadakan mesyuarat lagi.
Persoalan yang timbul adalah layakkan Dr Muhd Khir bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Pusat? Kelayakan kouta untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno adalah 39 bahagian.

Perwakilan Setiawangsa boo Khairy

Oleh : Wartawan Siasah

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Calon Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pusat, Khairy Jamaluddin dan jentera kempen dikatakan menghadapi tekanan apabila beliau masih belum melepasi kouta pencalonan untuk membenarkan dirinya bertanding walaupun setelah 72 bahagian Pemuda Umno seluruh negara selesai mesyuarat.

Tekanan semakin bertambah terhadap dirinya apabila nama beliau di boo beberapa kali dalam satu mesyuarat pemilihan pergerakan Pemuda Umno bahagian Setiawangsa yang diadakan di PWTC pada 4 Oktober lalu.

Insiden ini berlaku apabila salah seorang perwakilan yang juga seorang wartawan, Dahalan Makmur cuba mencalonkan nama Ahli Parlimen Rembau ini sebagai calon Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pusat dari bahagian terbabit.

“Dahalan tidak tahu dan memahami mood pergerakan pemuda Umno di peringkat akar umbi di sini kerana dia jarang turun ke cawangan. Kerana itu, tindakan beliau ini mengambil risiko sehingga nama Khairy di boo oleh para perwakilan pemuda,” kata salah seorang perwakilan pemuda Umno yang hadir.

Situasi ini diterjemahkan di kertas undi apabila Khairy hanya memperolehi empat undi daripada 154 perwakilan yang hadir. Keputusan terus berpihak kepada Datuk Mukhriz Mahathir yang mendapat 135 undi sementara Dato Seri Dr Muhd Khir Toyo pula dikatakan mendapat 15 undi.

Perasmian mesyuarat Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno bahagian dilakukan oleh Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Dato Seri Zulhasnan Rafique yang juga Ketua Umno bahagian Setiawangsa.

Perwakilan ini memberitahu, dia juga agak terkejut apabila nama Khairy dicalonkan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pusat memandangkan seluruh pergerakan Pemuda Umno di peringkat akar umbi begitu kuat dengan anak bekas Presiden Umno ini.

Sehingga mesyuarat kelmarin, Mukhriz telah melepasi kouta pencalonan apabila dia mendapat 40 undi. Khairy pula mendapat 20 pencalonan, Dr Mohd Khir mendapat 11 dan Dato Zahidi Zainal Abidin hanya memperoleh satu undi. Kouta untuk melayakan diri bertanding adalah 39 pencalonan dari bahagian-bahagian.

Dalam kenyataannya kepada media, Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz mengakui dirinya tidak menyangka mendapat banyak pencalonan malah menyaingi pesaingnya dalam rebutan jawatan Ketua Pemuda Umno menjelang pemilihan parti pada Mac depan.

“Ia adalah di luar jangkaan saya. Ia satu kejutan yang mengembirakan (pleasant suprise),” katanya. Dia bagaimanapun yakin berdepan saingan tiga penjuru bagi jawatan itu walaupun sehingga kini dua pencabarnya belum memperoleh pencalonan mencukupi.

Dia berkata, masih banyak bahagian belum bermesyuarat, sekaligus memberi banyak peluang kepada kedua-dua pesaingan itu untuk memperoleh pencalonan mencukupi.

"Saya yakin Mukhris tetap dicabar Khairy dan Dr Mohd Khir walaupun kedua-duanya belum mendapat pencalonan yang cukup”.

“Pertandingan ini ibarat perlumbaan marathon, tempoh masih panjang dan saya yakin kedua-duanya dapat cukup pencalonan,” katanya di Lobi Parlimen kepada wartawan media baru-baru ini.

Thursday, October 9, 2008

Pengalaman kereta ditembak ketika sedang memandu

(Gambar) Penduduk kampung melihat kereta Hasbullah yang ditembak

KUALA LIPIS: “Saya terasa bagaikan mati hidup semula.." kata seorang lelaki yang berada ditempat kejadian ‘amuk’ seorang anggota polis yang melepaskan kira-kira 60 das tembakan rambang disebuah kampung dalam daerah Kuala Lipis 1 Syawal lalu.

Hasbullah Ludin, 38, ketika itu sedang memandu pulang dari Padang Tengku ke rumahnya di Kampung Berchang.

Pada saat itulah keretanya terkena tiga das tembakan yang mengenai cermin belakang dan tayar kereta ketika melintas di hadapan penembak ‘misteri’ itu.

“...Tembakan kedua pula mengenai lampu brek ketiga dan tembus ke cermin sebelah pemandu. Bagaimana saya bernasib baik kerana entah macam mana saya ditakdirkan sempat menundukkan kepala. Bila dilepaskan sahaja tembakan ketiga, saya mulai terasa kereta sudah tidak stabil lagi”, katanya yang menceritakan pengalaman tersebut kepada wartawan Siasah.

Ikuti laporan lanjut pengalaman Hasbullah yang secara tidak sengaja terjebak dalam kejadian menggemparkan pagi hari raya Idulfitri lalu dalam akhbar Siasah Jumaat ini.

Wednesday, October 8, 2008

Melaka banjir pada hari raya seperti jangkaan

KUALA LUMPUR: Akhbar Siasah 21-27 September lalu telah melaporkan Melaka antara negeri yang tidak terlepas dari ancaman banjir sebagaimana yang dialami pada Disember 2006, menurut kajian seorang pensyarah Universiti Malaya (UM), Professor Hamirdin Ithnin.

Dalam laporan tersebut, Melaka dijangka akan menghadapi banjir kali ini ketika umat Islam masih dalam suasana menyambut kedatangan Aidilfiti ekoran kedatangan musim tengkujuh kali ini adalah sedikit cepat (Ogos) berbanding dengan tahun tahun sebelumnya (pertengahan September).

Antara lokasi yang disebut perlu diberi perhatian adalah kawasan-kawasan yang sedang berlaku projek pembangunan dan kawasan yang mempunyai masalah perparitan akibat pembangunan tidak terancang kerana lokasi ini berpotensi besar menghadapi banjir kilat.
Perkembangan terbaru menyaksikan beberapa kawasan dalam negeri Melaka telah dinaiki air minggu lalu (hari raya keempat) yang mana kira-kira 100 keluarga dilaporkan terjejas teruk dan kerugian dianggarkan sekitar RM30,000.

Dalam tinjauan ringkas Siasah, beberapa penduduk yang ditemui melahirkan kekesalan kerana masalah banjir akibat rancangan pembangunan yang tidak efisyen ini seperti tidak serius ditanggani.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...