Friday, April 29, 2011

Selepas tarik India, Najib usaha menangi undi Cina

Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 yang berakhir awal bulan ini menampakkan lagi sokongan masyarakat Cina yang tertumpu pada parti pembangkang, DAP.

Parti-parti Cina dalam Barisan Nasional seperti MCA, Gerakan dan SUPP menunjukkan penerimaan sokongan yang semakin merosot daripada pengundi Cina.

Perkembangan ini membimbangkan Umno yang menjadi tunjang BN, gabungan yang dikemukakan sebagai model perkongsian kuasa antara kaum yang berjaya.

Sejak Pilihan Raya Umum ke-12, hubungan antara parti komponen BN terjejas akibat isu-isu kaum.

Menjelang konvensyen BN Disember tahun lalu - yang terbaharu diadakan selepas kali terakhir pada 2001 - perdebatan terbuka melibatkan pemimpin-pemimpin parti komponen Melayu dengan Cina semakin jelas dan mendedahkan potensi pertembungan yang lebih besar.

Walaupun hubungan antara parti pelbagai kaum dalam Pakatan Rakyat turut tidak bebas daripada masalah, BN berdepan cabaran terbesarnya pada masa ini, dalam usaha Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak memulihkan kembali sokongan kepada BN selepas tewas banyak kerusi Parlimen dan negeri dalam pilihan raya Mac 2008.

Najib membawa gagasan 1 Malaysia sebagai ide besar pentadbirannya, tetapi ujian terbesar hubungan antara kaum dalam BN berlaku dalam tempoh ini, apabila setiap parti komponen secara terbuka terlibat dalam pertengkaran isu kaum sesama sendiri.

Undi masyarakat India dinilai sebagai sudah kembali kepada BN, apabila Hindraf sendiri - yang mencetuskan sentimen antikerajaan orang India menjelang 2008 - semakin kehilangan sokongan, termasuk daripada PR sendiri.

Terbaharu, Najib menerima kunjungan Perdana Menteri China, Wen Jiabao ke Kuala Lumpur, menandakan hubungan baik dan meningkat kedua-dua negara.

Isyarat yang dicetuskan pertemuan dan hasil pertemuan dua pemimpin itu secara tidak langsung berupaya membina sentimen positif masyarakat Cina di negara ini terhadap Najib dan BN.


Thursday, April 28, 2011

'Hadi mesti turun, ganti Husam, Nizar'

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang digesa menolak pencalonan jawatan presiden dalam pemilihan kepimpinan kali ini, dan perlu digantikan dengan tokoh muda seperti Datuk Husam Musa atau Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Pandangan ini dikemukakan oleh Wan Saiful Wan Jan, pemimpin sebuah pusat pemikir libertarian yang pernah aktif dalam gerakan pro-PAS semasa menuntut di United Kingdom.

Wan Saiful berpendapat PAS perlu dibawa ke tahap baharu untuk menghadapi masa depan dalam politik Malaysia dengan lebih berkesan.

Pandangan yang diterbitkan di beberapa media tempatan hari ini meningkatkan lagi tekanan ke atas Abdul Hadi menjelang pemilihan parti Jun nanti.

Kritikan Wan Saiful itu ialah yang kedua dikemukakan oleh pemerhati dari luar parti selepas pakar perundangan Prof Dr Abdul Aziz Bari tidak lama dulu.

Menurut Wan Saiful, walaupun mempunyai kelebihan sebagai tokoh gerakan Islam yang dikenali, Abdul Hadi dibebani persepsi tidak mapu menjadi pemimpin peringkat nasional.

"PAS memang meiliki individu-individu yang boleh membawa parti itu ke satu tahap baharu. Husam Musa dan Nizar Jamaluddin hanya dua nama yang biasa dicebut.

"Sudah pasti ada tokoh lain yang juga boleh melakukannya dan perlu dipertimbangkan," tulis Wan Saiful.

Husam sebelum ini menolak pencalonan jawatan presiden oleh PAS Kawasan Bukit Bintang sambil menegaskan sokongan kepada Abdul Hadi.


Wednesday, April 27, 2011

Blog Umno sebar lagi video seks

Blog-blog Umno yang paling agresif menyerang Pakatan Rakyat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan tekanan ke atas gabungan dan pemimpin pembangkang itu apabila menyebarkan satu lagi bahagian video seks yang dikaitkan dengan Anwar.

Blog-blog tersebut, antaranya Papa Gomo dan Gerakan Anti PKR memaparkan rakaman kedua itu yang juga dari laman You Tube, dengan catatan ringkas ditujukan kepada Anwar.

Pendedahan video itu, yang juga berdurasi kurang dua minit meningkatkan lagi tekanan ke atas pakatan pembangkang yang diketuai Anwar.

Baru-baru ini, Mohamed Azmin Ali, timbalan presiden PKR menyelar Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang dilaporkan berkata PAS akan menunggu hasil siasatan pihak berkuasa sebelum membuat sebarang keputusan berhubung kerjasama dalam PR.

Pendedahan terbaharu ini mendedahkan lagi kesungguhan pihak penentang Anwar yang dipercayai mempunyai hubungan dengan parti pemerintah untuk mengaibkan dan menjatuhkan pemimpin PKR itu.

Nasharudin masih dapat sokongan pertahan timbalan

Nasharudin Mat Isa, timbalan presiden PAS masih mendapat sokongan ramai dalam parti untuk mempertahankan jawatan nombor dua, walaupun berdepan tekanan pesaing-pesaing.

Nasharudin yang berdepan saingan sengit dalam pemilihan yang lepas dan jarang muncul dalam media kebelakangan ini menerima beberapa pencalonan untuk mempertahankan jawatan timbalan presiden.

Beliau yang diletak sebagai mewakili golongan ulama dalam PAS disokong untuk mempertahankan jawatan itu yang dilihat sebagai bakal pengganti presiden.

Faktor mengekalkan tokoh berpendidikan agama sebagai dua pemimpin tertinggi yang menjadi amalan PAS selama ini menyumbang kepada sokongan dan pencalonan diterima beliau.

Golongan ulama dan agamawan yang menguasai akar umbi parti dilihat berusaha memastikan jawatan nombor dua itu dipegang tokoh berpendidikan agama yang dilihat sebagai mampu memimpin parti Islam itu.

Nasharudin mempunyai latar pendidikan Islam dan bergiat dalam aktiviti gerakan Islam antarabangsa, termasuk di Palestin.

Sebelum ini, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang dilihat ramai sebagai layak memegang jawatan timbalan presiden menolak pencalonan untuk jawatan itu.

Nasharudin mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan pada 2009 menewaskan dua calon berprofil tinggi yang mendapat sokongan ramai di dalam dan luar parti; Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Mohamad Sabu telah menunjukkan kesediaan mencabar Nasharudin buat kali kedua tahun ini, dan sudah mengatur kempen membina sokongan.

Husam pula dilihat memberi laluan kepada Mohamad untuk mencabar Nasharudin apabila kawasannya, Kubang Kerian mencalon Mohamad untuk merebut jawatan timbalan presiden.

Husam dicalonkan untuk mencabar Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang oleh PAS Kawasan Bukit Bintang, tetapi menolak pencalonan itu dan mengatakan Abdul Hadi tidak perlu dijatuhkan.

Selain Mohamad, beberapa nama lain turut disebut untuk bertanding jawatan nombor dua itu, tetapi belum ada lagi yang menyatakan kesediaan bertanding.

Tuesday, April 26, 2011

PAS dalam PR semakin menjadi persoalan

Kedudukan PAS dalam gabungan pembangkang Pakatan Rakyat semakin menjadi persoalan pada masa kini, ekoran keresahan yang semakin meluas dalam kalangan ahli parti itu berhubung faedah yang diperolehi PAS berbanding parti lain.

Menjelang muktamar tahunan PAS pada Jun ini, isu kedudukan PAS dalam PR sekali lagi akan menjadi tumpuan.

Dua pandangan utama dalam parti itu bersaing dalam mengendalikan peranan PAS dalam PR yang dikuasai PKR, melalui kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kelebihan kerusi parti itu di beberapa negeri yang disebut sebagai negeri dikuasai PR.

PKR diikuti DAP menguasai Selangor manakala DAP menguasai Pulau Pinang dan Perak sebelum dirampas kembali oleh BN dikuasai DAP walaupun meletakkan menteri besar dari PAS. Kelantan dan Kedah pula dikuasai oleh PAS.

Anwar menguasai PR di peringkat pusat dalam banyak hal, paling jelas projek 16 September, 2008, bertujuan menarik ahli Parlimen Barisan Nasional menyertai PR - terutama PKR - untuk membolehkan PR menubuhkan kerajaan pusat dan Anwar menjadi perdana menteri.

Pendirian tidak bersetuju beberapa tokoh PAS dikecam banyak pihak yang menyokong projek 16 September sebagai mensabotaj agenda PR dan menjadi agen Umno.

Projek dikenali dengan nama popular 16 September atau 916 diilham dan digerakkan oleh Anwar dalam usaha menjatuhkan BN dan menubuhkan kerajaan pusat PR pimpinan beliau.

Persaingan kumpulan yang menyokong dan kritikal dengan ide itu mencetuskan krisis dalam PAS sehingga kedudukan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dikecam hebat.

Abdul Hadi dan kumpulan digelar ulama dalam PAS turut dikaitkan dengan usaha bekerjasama dengan Umno dan membelakangi kerjasama dalam PR.

Ide dibawa Abdul Hadi yang dikemukakan sebagai kerajaan perpaduan ditolak dan ditafsirkan sebagai usaha membina pakatan politik antara PAS dengan Umno untuk kepentingan yang sempit.

Kumpulan yang kritikal dengan susunan kuasa dalam PR kini melihat gabungan itu didominasi PKR dan DAP dalam isu-isu nasional dan juga di negeri PR seperti Selangor, yang PAS didakwa dipinggirkan.

Di Selangor, pendirian dan inisiatif PAS berhubung arak dan bisnes yang dikaitkan dengan maksiat dikecam hebat rakan PR lain terutama DAP, meletakkan parti Islam itu sentiasa dalam keadaan defensif.

Di peringkat nasional, isu penggunaan nama Allah oleh Kristian Katolik mencetuskan kekecohan berpanjangan dan menyebabkan PAS dikritik kerana didakwa tidak tegas dan mengambil pendirian yang tidak tepat kerana bersetuju dengan tuntutan Katolik tersebut, pandangan yang dilihat dikuatkan lagi oleh Anwar.

PAS pula dikritik oleh ramai ilmuan Islam - termasuk yang prokerajaan dan daripada kumpulan bukan kerajaan Muslim - ekoran sikapnya yang dilihat berlembut dalam hal itu, sikap yang dilihat disebabkan oleh kepentingan politik pragmatik.

Sikap PAS itu turut diambil kesempatan oleh Umno yang mengecam keras apa yang disifatkan sebagai satu pengkhianatan PAS terhadap Islam.

Perkembangan terkini yang menyaksikan pembahagian undi Cina yang hampir sepenuhnya diberikan kepada parti pembangkang seperti DAP dan undi Melayu yang semakin mengukuh pada Umno dijangka bakal mencetuskan persoalan-persoalan kritikal berhubung kedudukan PAS dalam PR, terutama melibatkan kerjasama dengan DAP.

PAS dilihat mula memujuk pengundi Melayu selepas dikecam hebat Umno dan ekoran debat hangat dalam parti berhubung persepsi ramai yang parti itu semakin kurang memperjuangkan kepentingan Melayu.

Dua program besar dengan tema Melayu diadakan di Selangor, medan persaingan paling sengit melibatkan PAS dengan parti PR lain, yang terbaharu bertema PAS sebagai pengganti Umno sebagai parti utama orang Melayu.

Progam tersebut walau bagaimanapun dilihat sebagai terlambat dan sukar untuk menangani persepsi ramai yang melihat PAS semakin kurang mewakili kepentingan Melayu dalam usaha memenangi undi bukan Melayu dan akibat tekanan DAP dan PKR.

PAS memperkukuhkan kedudukan penyokong bukan Melayu selepas Pilihan Raya Umum ke-12 dalam parti itu dengan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Program itu turut menyampaikan jaminan PAS kepada pengundi Melayu untuk memperjuangkan kepentingan mereka.

PAS menguasai dua negeri Melayu yakni Kelantan dan Kedah, dan berpotensi untuk menguasai sebuah lagi negeri iaitu Terengganu yang pernah dimenangi pada 1999 tetapi dirampas kembali oleh BN pada 2004.

PAS juga mempunyai asas yang kuat melalui ahli yang ramai di Selangor, tetapi bersaing dengan PKR untuk memenangi sokongan orang Melayu di negeri itu.

Saturday, April 23, 2011

Mat Sabu lawan Nasha, Husam pertahan Hadi

Ketika Mohamad Sabu menggerakkan jentera dan penyokong untuk mencabar Nasharudin Mat Isa untuk kerusi Timbalan Presiden PAS, Datuk Husam Musa menunjukkan sikap berbeza apabila mempertahankan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Husam yang bersaing dengan Mohamad dalam merebut jawatan timbalan presiden pada maktamar 2009 kini menunjukkan sikap berhati-hati dan kelihatan menegaskan perpaduan parti serta mempertahankan presiden.

Husam dilapor berkata apa yang perlu dilakukan PAS ialah memperbaiki parti dan bukan menjatuhkan Abdul Hadi.

Kedudukan Abdul Hadi mula diperkatakan lagi ekoran kenyataan pakar undang-undang yang rapat dengan PAS dan PKR, Prof Dr Abdul Aziz Bari yang Abdul Hadi perlu diganti kerana menjadi liabiliti kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Husam kini menjadi antara tokoh parti yang muncul mempertahankan Abdul Hadi, yang masih dilihat dengan kritikal oleh sesetengah pihak dalam parti kerana dikaitkan dengan pakatan bersama Umno.

Kenyataan Husam itu merupakan kali kedua beliau mempertahankan Abdul Hadi sebagai presiden parti. Sebelum ini Husam menolak pencalonan untuk jawatan presiden oleh PAS Kawasan Bukit Bintang.

Husam dikatakan tidak mahu bertanding jawatan timbalan presiden pada tahun ini dan akan menumpukan pada Jawatankuasa Pusat.

Husam ialah tokoh yang disebut dipilih oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi timbalan perdana menteri sekiranya projek 16 September, 2008 untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional di peringkat pusat melalui lompat parti berjaya.

Pada masa ini, Mohamad merupakan tokoh yang pertama dan paling jelas menunjukkan kesungguhan untuk bertanding dalam pemilihan muktamar tahun ini yang dijadual awal Jun.

Nota: Artikel ini pada perenggan enam mengandungi kesilapan melaporkan Husam menolak pencalonan timbalan presiden oleh PAS Kawasan Bukit Bintang. Bukit Bintang mencalonkan beliau sebagai presiden. Kesilapan telah diperbetulkan.


Tuesday, April 19, 2011

Kritik Hadi mulakan kempen pemilihan PAS

Kritikan keras akademik Prof Dr Abdul Aziz Bari terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelang pemilihan kepimpinan parti itu Jun nanti memulakan suasana panas kempen.

Kritikan yang telah lama disuarakan itu membawa kembali tekanan terhadap Abdul Hadi yang bermula sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 dan memuncak semasa pemilihan 2009.

Abdul Aziz mengulangi kritikan mengaitkan Abdul Hadi dengan beberapa isu termasuk kekalahan PAS dan kehilangan kerajaan di Terengganu pada 2004 dan kegagalan rancangan 16 September, 2008.

Abdul Aziz sebelum ini mencetuskan kekecohan dalam PAS apabila satu tulisannya pada penghujung 2009 mendorong Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyarankan mesyuarat agung luar biasa diadakan.

Kritikan Abdul Aziz sebelum ini biasanya mendapat sokongan tokoh-tokoh yang kritikal dengan Abdul Hadi, seperti Khalid Samad, ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Kritikan terbaharu itu menimbulkan kembali persaingan dua kumpulan utama dalam PAS, yang digelar kem "ulama" terdiri daripada sebahagian besar golongan konservatif dan kem "Erdogan," yang dikuasai tokoh profesional dan berlatar belakang kumpulan Islam seperti Jamaah Islah Malaysia serta dekat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kritikan Abdul Aziz itu memberi gambaran kem ulama dan Abdul Hadi bakal sekali lagi berdepan tekanan dikaitkan isu-isu seperti dakwaan agenda kerjasama dengan Umno dalam pemilihan tahun ini, yang mampu memberi bahan kempen kepada kumpulan penentang presiden PAS itu seperti yang berlaku pada 2009.

Walau bagaimanapun, belum ada individu yang menunjukkan kesediaan untuk mencabar Abdul Hadi sebagai presiden, walaupun PAS Kawasan Bukit Bintang telah mencalonkan Datuk Husam Musa, bekas naib presiden untuk mencabar jawatan presiden.

Husam walau bagaimanapun menolak pencalonan itu dan menyatakan sokongan kepada presiden parti, tindakan yang menjarakkan dirinya daripada kumpulan yang dilihat sebagai penentang Abdul Hadi.

Bukit Bintang ialah kawasan yang mempunyai hubungan baik dengan Mohamad Sabu, ahli Jawatankuasa Pusat yang telah memulakan kempen mencabar Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa yang mewakili kumpulan ulama.

Mohamad ialah antara tokoh PAS yang paling lantang menentang sebarang kerjasama dengan Umno dan sangat kritikal dengan Nasharudin.

Pencalonan Bukit Bintang itu juga dilihat meletakkan Mohamad dalam kumpulan penentang Abdul Hadi, ekoran hubungan baik kawasan itu dengan Mohamad, yang sebelum ini dilihat sebagai tidak bersama sama ada kem ulama ataupun Erdogan.

Mohamad walau bagaimanapun mempunyai hubungan lebih baik dengan kumpulan Erdogan, antaranya disebabkan penentangan terhadap apa yang dilihat sebagai agenda bersama dengan Umno.

Mohamad telah memulakan kempen membina sokongan dalam usahanya mencabar Nasharudin. Satu acara pelancaran kelab penyokong tokoh terkenal dengan imej marhaen itu - termasuk kumpulan Facebook Kelab MohamadSabuDotCom - dijadual diadakan pada 6 Mei nanti di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Kempen Mohamad ini merupakan yang paling awal dan agresif dalam musim pemilihan kali ini, bermodalkan sentimen sokongan meluas tokoh lama PAS ini dan populariti Nasharudin yang dilihat merosot.

Mohamad juga dilihat lebih yakin ekoran tokoh agamawan yang dianggap layak dan berpotensi, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menolak pencalonan.

Bentuk kempen Mohamad itu walau bagaimanapun dikritik sesetengah pihak yang menyokongnya sebagai memperlihatkan sikap terlalu ambisius.

Kempen yang membangkitkan semula sentimen penentangan terhadap usaha berbaik dengan Umno dengan menyimpulkannya sebagai "kerajaan perpaduan - yang telah mencetuskan krisis dalam parti sejak 2008 - sebagai kritikan terhadap kem ulama juga dikritik sebagai berpotensi memberi kean negatif terhadap Mohamad.

Nasharudin sejak beberapa bulan lalu dispekulasi tidak akan mempertahankan kedudukan, tetapi dijangka sesetengah pihak akan mempertahankan jawatan dan mendapat sokongan tokoh-tokoh ulama yang berpengaruh dalam kalangan ahli akar umbi.

Sentimen meluas yang mahu timbalan presiden dipegang pemimpin berlatar belakang agama berpotensi membina sokongan untuk Nasharudin sekiranya beliau mempertahankan jawatan dan tidak ada tokoh agamawan popular lain bersaing untuk jawatan itu.

Mohamad dan Husam terlibat dalam pertandingan tiga penjuru dengan Nasharudin untuk jawatan timbalan presiden pada 2009, dengan keputusan Nasharudin mempertahankan jawatan dengan undi yang selesa.


Sunday, April 17, 2011

Selepas menang besar, BN perlu tangani isu Taib Mahmud

(Kedudukan rasmi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10: BARISAN NASIONAL, 55 kerusi: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, PBB, 35 kerusi. Parti Bersatu Rakyat Sarawak, SUPP, 6. Parti Rakyat Sarawak, PRS, 8. Parti Demokratik Progresif Sarawak, SPDP, 6. PAKATAN RAKYAT, 15 kerusi: DAP, 12. PKR, 3. LAIN-LAIN: Bebas, 1.)


Kedudukan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud menjadi isu yang perlu ditangani Barisan Nasional selepas mencapai kemenangan besar mengekalkan dua pertiga kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Pengunduran Taib dan peralihan kuasa bakal menjadi tuntutan banyak pihak selepas berakhir Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 semalam.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin semalam dilapor berkata BN perlu melaksanakan janji mengadakan peralihan kuasa di Sarawak.

Kedudukan Taib - yang segera mengangkat sumpah selepas BN berjaya menubuh kerajaan - masih kukuh ekoran kejayaan memastikan kemenangan selesa walaupun berdepan tekanan kuat pembangkang.

Walaupun terjejas sebagai "simpanan tetap" bagi BN untuk Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, Sarawak tetap masih dilihat selamat bagi BN, dan menguatkan sebab kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak mengadakan pilihan raya umum tahun ini.

Taib telah berjaya memastikan BN kekal dengan dua pertiga kerusi di Sarawak. Prestasi BN dalam pilihan raya umum akan datang, sama ada berjaya atau tidak mendapat semula dua pertiga, bakal mengalih tumpuan kepada Najib pula.

Najib telahpun mengatakan BN akan berdepan saingan sengit pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Tetapi beliau dijangka tetap akan berdepan cabaran dan tekanan sekiranya BN tidak berjaya mengekalkan dua pertiga di Parlimen selepas pilihan raya itu nanti.


Saturday, April 16, 2011

BN kekal dua pertiga, kerusi PR meningkat

Barisan Nasional mempertahankan kerajaan Sarawak dengan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 hari ini.

Sehingga pukul 10 malam tadi, BN telah memenangi 52 kerusi.

DAP memenangi kerusi terbanyak dalam kalangan parti Pakatan Rakyat dengan menawan 12 kerusi, manakala PKR mendapat tiga kerusi.

PAS yang bertanding di lima kerusi tidak memenangi sebarang kerusi tetapi mendapat peningkatan undi.

Pilihan raya kali ini menyaksikan BN memperolehi jumlah kerusi yang jauh merosot berbanding 63 kerusi dalam pilihan raya sebelum ini pada 2006.

PR gagal membuat kejutan besar dalam pilihan raya ini walaupun isu besar tempoh 30 tahun pemerintahan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud digunakan secara besar-besaran untuk menarik pengundi.

Isu Injil dalam bahasa Melayu yang panas menjelang pilihan raya juga tidak menggugat sokongan kepada kerajaan BN pimpinan Taib.

Isu pengambilan tanah oleh kerajaan negeri juga dilihat tidak memberi impak seperti diharapkan oleh pembangkang.

Kemenangan ini memberikan kekuatan baharu kepada Taib yang menghadapi tekanan berundur dan dilihat sebagai liabiliti kepada BN.

Kejayaan yang boleh dilihat sebagai kejayaan Taib mengekalkan kemenangan dan kerusi dua pertiga mampu mengurangkan tekanan kepadanya untuk berundur.

Walau bagaimanapun, kemerosotan undi dan kerusi BN di Sarawak yang boleh memberi kesan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti tetap meletakkan kawasan "deposit tetap" BN itu dalam bahaya.

Kemenangan BN ini mampu memberi keyakinan kepada BN untuk mengadakan pilihan raya umum awal pada tahun ini, tetapi kemerosotan undi parti pemerintah di kubu kuat itu boleh memberikan keyakinan kepada PR.

Pilihan raya ini telah menguji kedua-dua BN dan PR, dan pada masa sama mampu memberikan semangat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Friday, April 15, 2011

Sarawak ujian paling sukar 1 Malaysia

Oleh HARIS ZALKAPLI

Pilihan raya di Sarawak itu mencatat sejarah sebagai ujian terbesar terhadap gagasan 1 Malaysia dan pelaksanaannya.

Politik di Semenanjung sebahagian besarnya melibatkan tiga etnik, Melayu, Cina dan India, yang menjadi perkiraan dalam pemilihan calon dan cara kempen parti-parti politik.

Di Sarawak, jumlah etnik dan agama yang lebih banyak ditambah lagi dengan isu jurang antara Semenanjung dengan Borneo melibatkan pelbagai isu.

Pilihan raya kali ini, yang bakal menjadi yang paling sengit dalam sejarah, menjadikan isu-isu tersebut sebagai topik utamanya.

Hal ini menjadikan medan politik Sarawak sebagai ujian terbesar terhadap gagasan 1 Malaysia, yang hanya akan diatasi oleh Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

1 Malaysia sentiasa berdepan ujian sejak kelahirannya yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Dalam era 1 Malaysia, elemen liberal dalam politik Malaysia semakin lantang bersuara, menuntut aspirasi mereka diterima.

Pada masa sama, muncul kumpulan etnonasionalis Melayu berhaluan kanan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Perkasa, yang menjadi sekutu dan pada masa sama pesaing kepada Umno, parti Melayu paling dominan.

Kempen Barisan Nasional, yang menyaksikan perdana dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkempen lebih lama di sana memberi gambaran persaingan sengit yang bakal dihadapi BN.

Janji-janji 1 Malaysia, menurut pelbagai tafsiran, kini dituntut oleh pengundi dan pemain politik di Sarawak.

Isu Injil dalam bahasa Melayu menjadi satu isu besar yang menggugat kerajaan BN, yang terlibat dalam debat ini sejak beberapa tahun lalu tetapi tidak mahu menunjukkan sebarang komitmen.

Pendekatan berhati-hati pemerintah berdepan ujian dalam pilihan raya ini apabila isu Injil tersebut sekali lagi menjadi perhatian pembangkang dan kumpulan Katolik menjelang pilihan raya di Sarawak.

Kristian Katolik yang merupakan antara kumpulan agama terbesar di Sarawak berupaya mengundi secara blok dan memberi kesan terhadap dominasi BN.

Isu ini diambil kesempatan sepenuhnya oleh pembangkang dan menjadikan BN berada dalam keadaan defensif.

Kedudukan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang telah berdekad memerintah Sarawak juga menjadi liabiliti kepada BN.

Kompromi yang diambil, menjanjikan pengunduran Taib selepas pilihan raya kelihatan tidak memuaskan hati banyak pihak.

Kedudukan dominan Taib dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, PBB, yang merupakan parti dominan Melayu turut menimbulkan isu kaum dalam pilihan raya kali ini.

Etnik yang ditakrifkan sebagai Melayu bukan etnik terbesar di Sarawak, tetapi Taib yang mewakili parti Melayu telah menguasai Sarawak selama 30 tahun.

Hal ini dijadikan satu isu yang menyentuh keadilan antara etnik di negeri itu, satu lagi isu yang meletakkan BN dalam keadaan defensif.

Pada masa sama, kedudukan Borneo yang jauh berbeza daripada arus pembangunan seperti dilihat di Semenanjung turut menyumbang poin negatif terhadap pemerintah BN.

Sarawak menjelang pilihan raya ini menjadi perhatian media propemerintah, dengan isu-isunya seperti pembangunan mengisi sisipan-sisipan dalam akhbar harian.

Malah, ada akhbar mula menerbitkan kolum dengan tajuk dalam dialek Sarawak.

Sepanjang kempen, berbilion peruntukan disebut dan dijanjikan oleh BN, dalam usaha menegaskan lagi kaitan parti pemerintah BN dengan pembangunan.

Secara tidak langsung, liputan media, janji dan pencapaian yang dikemukakan mengesahkan kedudukan Sarawak yang tidak terpandang dan jauh di belakang berbanding Semenanjung dalam pembangunan.

Pada masa sama, banyak paparan mengenai Sarawak dikemukakan dengan cara yang menekankan perbezaan antara wilayah itu dengan Semenanjung.

Tidak seperti pilihan raya sebelum ini, isu etnik, agama dan integrasi Sarawak dengan Semenanjung menjadi isu sentral, menguji kepimpinan Najib dan gagasan 1 Malaysianya.

Thursday, April 14, 2011

Dakwaan Raja Petra cetus kejutan

Raja Petra Kamarudin, pengendali laman Malaysia Today yang dikenali sebagai orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kejutan terbaharu apabila menafikan yang beliau menuduh perdana menteri dan isteri terlibat dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Beliau membuat kenyataan itu dalam satu wawancara eksklusif dengan media pro-Umno, TV3 di Australia.

Raja Petra mengatakan tindakan beliau membuat kenyataan yang mengaitkan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dibuat selepas didesak dan dipengaruhi individu-individu yang rapat dengan Anwar.

Beliau turut menyebut individu terbabit, iaitu Nik Azmi Nik Daud, John Pang, Din Merican dan Kolonel Azmi Zainal Abidin.

Kenyataan Raja Petra dalam Akuan Bersumpah yang dibuat pada Jun 2008 itu mencetuskan kejutan dalam politik negara dan meletakkan Najib dan Rosmah dalam kedudukan sangat defensif.

Kenyataan itu juga diterima ramai sebagai pengesahan bahawa Rosmah terlibat dalam pembunuhan model dari Mongolia itu.

Raja Petra kemudian melarikan diri dan keluar negara selepas waran tangkap ke atasnya dikeluarkan pada Mei 2009. Beliau kemudian didedahkan berada di London, England.

Kenyataan terbaharu Raja Petra ini menimbulkan tanda tanya tentang kedudukan beliau kini, yang dilihat semakin mendekati kem pemerintah dan menjauhkan diri daripada kem Anwar.

Tindakan ini menambahkan lagi isu-isu panas yang negatif kepada pembangkang ketika kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 sedang berjalan.

Raja Petra juga terlibat dalam kumpulan politik dan sosial Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia, MCLM, yang dilihat bakal mencabar dan menjejaskan peluang Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Tindakan Raja Petra yang menegatifkan Anwar ini bakal memburukkan lagi hubungan Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat dengan MCLM yang muncul sebagai kuasa ketiga itu.

Penghujung tahun lalu, beberapa kenyataan Raja Petra dilihat banyak pihak sebagai usahanya berbaik dengan Najib.

SiasahDaily turut melaporkan hal yang sama pada 16 November tahun lalu.

Monday, April 11, 2011

Isu Kristian dedah kebimbangan BN di Sarawak

Walaupun Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan kerajaan Barisan Nasional menghormati hak Kristian, kempen yang dijalankan melibatkan orang Islam di Sarawak menunjukkan BN bimbang dengan peningkatan pengaruh kumpulan itu.

Kempen oleh blog-blog dan juga yang secara tidak terbuka oleh BN mendedahkan isu Kristian dijadikan alasan untuk menolak Pakatan Rakyat yang dikuasai DAP dan PKR di Sarawak.

Tokoh PKR, Baru Bian yang menjadi konsensus untuk menjawat jawatan ketua menteri sekiranya PR menang dalam pilihan raya kali ini menambahkan lagi kebimbangan terhadap penghakisan pengaruh Melayu dan Islam dan peningkatan pengaruh Kristian dan bukan Melayu.

Status agama peguam itu menjadi sasaran dalam kempen BN untuk menolak PR dalam pilihan raya negeri kali ini, yang menyaksikan saingan paling sengit dalam sejarah.

Pengakuan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak bahawa pilihan raya ini sengit dan tempoh kehadiran dua pemimpin tertinggi pemerintah itu dalam kempen Sarawak menggambarkan kebimbangan BN terhadap saingan sengit kali ini.

Kelangsungan penguasaan Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan partinya didakwa sesetengah pihak boleh memelihara Sarawak daripada dikuasai pengaruh Kristian.

Kempen pilihan raya di Sarawak kali ini menyaksikan isu Kristian menjadi isu paling panas, yang dijangka boleh mempengaruhi pengundi Kristian secara blok.

Kempen menjatuhkan pemerintah Sarawak dijalankan dengan agresif kali ini dan mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk dari luar negara.

Tekanan terhadap Taib yang sangat kuat telah mendorong BN mengambil kira dengan serius peralihan kuasa di negeri itu.


Friday, April 8, 2011

Undi Kristian, Cina penentu nasib Taib Mahmud?

Undi masyarakat Kristian dan Cina bakal menjadi faktor penting kejayaan Barisan Nasional pimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10.

Walaupun kelihatan yakin dengan sokongan yang bakal diperolehi daripada pengundi Kristian dan Cina, kempen pembangkang yang semakin agresif mampu mengubah kecenderungan kumpulan pengundi terbabit.

BN melakukan tindakan memujuk melalui pelepasan Injil dalam bahasa Melayu yang ditahan dan pengumuman bantuan dan sokongan untuk sekolah mubaligh Kristian.

Kempen pilihan raya BN kali ini yang bertema kestabilan dan masa hadapan yang terjamin dilihat sebagai ditujukan paling utama kepada masyarakat Cina yang paling banyak terlibat dalam perniagaan.

Pelancaran kempen yang diadakan di Sibu, sebuah bandar utama kaum Cina juga boleh dilihat sebagai usaha kempen pertama memujuk pengundi Cina.

Kempen menentang Taib mendapat perhatian masyarakat Kristian dan Cina yang melihat pemerintahan berdekad ketua menteri itu sebagai dominasi Melayu yang tidak adil kepada etnik dan agama lain.

Kempen itu, yang turut mendapat bantuan pihak dari luar negara, bergantung sebahagian besarnya pada pengundi Kristian dan Cina untuk berjaya.

BN mula meningkatkan kempen memenangi sokongan kelompok pengundi terbabit dengan pelbagai tindakan termasuk janji pengunduran Taib selepas pilihan raya, yang masih dipandang dengan skeptikal oleh pembangkang.

Pada masa sama, BN terus menabur janji pembangunan di Sarawak, termasuk berbilion peruntukan pembangunan dan janji menjadikan Sarawak negeri kaya.


Wednesday, April 6, 2011

Analisis ringkas muka utama Utusan Malaysia hari ini

Oleh HARIS ZALKAPLI

Satu senjata utama pemerintah dalam persaingan politik dengan pembangkang ialah media.


Media, sama ada media cetak mahupun elektronik digunakan sepenuhnya untuk membawa mesej pemerintah.


Dalam musim pilihan raya, bentuk dan susunan kandungan akhbar-akhbar dikuasai pemerintah boleh berubah untuk menyampaikan mesej dengan lebih agresif.


Satu contoh paling jelas ialah Utusan Malaysia, akhbar berbahasa Melayu yang menjadi pembawa dan penyebar utama mesej pemerintah.


Sekiranya diperhati dengan teliti, dapat dilihat satu amalan standard yang dilaksanakan untuk mencapai tujuan tersebut.


Muka depan Utusan Malaysia hari ini, April 6, 2011, menjadikan isu video yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai berita utama.


Tajuk utama, Desak Tubuh Suruhanjaya boleh dikod sebagai positif (pada nilai yang agak rendah) kepada pemerintah, kerana tuntutan penubuhan suruhanjaya biasanya disuarakan pihak yang mempunyai kelebihan, ditujukan kepada pihak yang defensif, atas pelbagai sebab, paling utama kerana hamu menyembunyikan sesuatu.


Penilaian nilai penuh untuk berita ini dari segi saiz tajuk kerana menggunakan font besar, dan menjadi berita utama muka depan.


Gambar mendapat nilai moderat kerana bersaiz sederhana, dan diberikan nilai neutral kerana tidak mempunyai kualiti negatif atau positif bagi pembangkang dan juga pemerintah.


Untuk nilai negatif, penilaiannya agak tinggi negatif bagi pembangkang, kerana Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menjadi subjek berita dikemukakan sebagai memberikan alasan yang tidak kukuh menolak implikasi video itu.


Berita ini juga memberi nilai positif kepada pemerintah kerana nilai negatifnya kepada pembangkang, tetapi pada nilai yang rendah.


Muka 2 yang kini dijadikan album gambar, yang boleh menjadi ruang untuk memasukkan gambar bernilai positif kepada pemerintah dan negatif kepada pembangkang.


Muka 3 pula, salah satu muka utama selepas muka depan, meletakkan berita lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak ke Korea Selatan dan mendapat pulangan.


Tajuk mendapai nilai tinggi untuk saiz tulisan dan kedudukan berita, dan memberikan nilai positif kepada pemerintah, tetapi pada tahap sederhana tinggi.


Gambar mendapat nilai tinggi kerana bersaiz besar, dan mengandungi nilai positif sederhana kepada Najib dan pemerintah.


Gambar sedang berjalan bersama pemimpin tertinggi Korea Selatan itu memberi kesan positif kepada Najib kerana menggambarkan penerimaan dan kepentingan beliau.


Tidak ada nilai kepada pembangkang kerana tidak disebut.


Di bahagian bawah, terdapat berita sederhana kecil melibatkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mempunyai nilai sederhana bagi saiz tajuk dan rendah dari segi kedudukan dalam halaman.


Nilai positif kepada pemerintah kerana berita berbentuk pelaksanaan tugas dengan baik.


Gambar mempunyai nilai positif kerana memberikan gambaran kejayaan Muhyiddin dan Kementerian Pelajaran, walaupun bersaiz sederhana.


Paparan berita sangat positif bagi kerajaan di muka-muka awal, yang biasanya mesti melibatkan perdana menteri atau pemimpin tertinggi lain pemerintah menjadi amalan akhbar-akhbar dikuasai Umno.


Halaman-halaman ini ialah yang paling dijaga oleh pengendali akhbar-akhbar tersebut.


Berita muka-muka utama dalam amalannya mesti melibatkan dua pemimpin tertinggi dan memberi nilai positif, untuk tujuan membina imej yang baik dan menarik sokongan.


Turut sering dibawa ialah berita bersifat feel good bagi negara seperti kejayaan dalam kejohanan sukan, keputusan cemerlang peperiksaan nasional dan sebagainya yang boleh diolah untuk memberi imej positif kepada pemimpin negara.


Walau bagaimanapun, kempen negatif terhadap pembangkang turut menjadi pilihan untuk muka depan seperti dilakukan semalam.


Berita utama itu kelihatan jelas diolah untuk memberi kesan negatif tertinggi kepada pemimpin pembangkang yang dimaksudkan dan kepada semua komponen gabungan pembangkang.


Tetapi nilai ekstrem negatif tidak semestinya memberi pulangan yang diharapkan kerana mampu mencetuskan kesan negatif akibat reaksi pembaca.


Nilai negatif tinggi bagi pembangkang seperti itu ada kalanya boleh memberi lebih banyak kelebihan kepada pemerintah berbanding berita positif yang tidak diolah dengan baik.


Dalam suasana menjelang pilihan raya kini, berita beserta gambar bernilai positif kepada pemerintah akan lebih banyak dibawa akhbar-akhbar dikuasai mereka.


Malah, seluruh halaman akhbar akan dimasukkan seberapa banyak yang boleh kandungan yang boleh memberi nilai positif kepada pemerintah dan negatif kepada pembangkang.


Dalam tempoh pilihan raya, ruangan rencana, surat pembaca, kartun editorial, wanita, seni, mesej teks pembaca dan sebagainya boleh digunakan untuk tujuan menyampaikan mesej berbentuk positif untuk pemerintah dan negatif untuk pembangkang.


Rencana misalnya akan banyak memuatkan surat, contohnya, daripada seorang “rakyat prihatin” yang bimbang dengan kedudukan bangsa Melayu sekiranya Pakatan Rakyat memerintah Malaysia sebagai kerajaan pusat.


Hal yang sama juga boleh dimuatkan dalam halaman mesej teks telefon, yang boleh mengemukakan pandagan-pandangan ringkas, termasuk kritikan, berhubung pelbagai isu.


Hal ini sangat berbeza berbanding masa lain yang bukan dalam tempoh pilihan raya, walaupun mesej positif sentiasa menjadi agenda utama.


Dalam menangani kempen media dikuasai pemerintah seperti ini, media pembangkang memerlukan tindakan dan amalan tersusun yang dipertimbangkan dengan mendalam terlebih dahulu.


Kandungan yang ekstrem negatif kepada lawan, seperti ditunjukkan dalam kes Utusan semalam, tidak semestinya boleh menjadi senjata yang berkesan.


Usaha menangani kempen secara tersusun itu memerlukan kefahaman dan kebijaksanaan yang sewajarnya.

Tuesday, April 5, 2011

Rakaman tragedi dalam sejarah bangsa

Dua tragedi besar menimpa bangsa Melayu ketika ini. Satu ialah pendedahan video rakaman aksi seks seorang yang dipercayai ramai sebagai seorang pemimpin utama pembangkang.

Kesan daripada ini, sama ada benar atau tidak ia melibatkan tokoh itu, menimpa rakyat sama ada yang percaya atau tidak.

Kedua-dua golongan, yang percaya dan yang tidak percaya, terkesan untuk jangka panjang, membentuk satu sikap tersendiri terhadap politik, kepimpinan bangsa dan budaya politik bangsa.

Kedua-dua pihak, yang berlebihan mengiyakan dan berlebihan menolak sebarang kemungkinan yang merugikan pihaknya, sedang bertindak tidak adil, kepada diri mereka sendiri dan kepada kepentingan bangsa dan negara.

Kesan terhadap rakyat, yang termasuk pemain politik kedua-dua belah pemerintah dan pembangkang, mungkin tragedi yang lebih besar daripada pendedahan video itu.

Blog-blog prokerajaan pernah meminta semua menyalin dan menyimpan gambar-gambar solat hajat diketuai PAS di Shah Alam, Selangor tidak lama dulu.

Menurut mereka, ia merupakan satu rakaman sejarah penting, yang mendedahkan satu kelemahan besar parti Islam itu.

Kali ini, seluruh rakyat juga berpeluang sekali lagi merakam sejarah yang penting, iaitu bagaimana Umno dan pengikut-pengikutnya meraikan pendedahan video itu dengan penuh gembira sekali sejak semalam.

Keaiban yang didedahkan itu bukan sahaja merosakkan pelakunya tetapi terpalit juga kepada semua orang Melayu Muslim di negara ini.

Sekiranya benar pihak yang didakwa terlibat itu adalah yang disangka ramai, ia menjadi satu tragedi besar pengkhianatan dan kemunafikan yang tidak dapat dibayangkan.

Umno dan penyokongnya kini dirakam dalam sejarah sebagai kumpulan yang meraikan saat yang mengaibkan ini, dalam keghairahannya menjatuhkan lawan.

Mungkin mereka mempunyai sebab tersendiri yang diyakini membolehkan tindakan realpolitik itu diambil, tetapi kesannya kepada umat amat mendalam dan berpanjangan, yang kesannya mungkin tidak akan dapat dilihat dalam tempoh terdekat ini.

Sukar untuk diharap tindakan rasional dan waras daripada pemain-pemain politik, terutama Parti Keadilan Rakyat dan lawan utamanya dalam episod ini, Umno.

Semua pihak, termasuk parti Melayu Muslim PAS sebagai sekutu PKR dalam pakatan pembangkang, perlu mengambil peranan untuk menangani episod busuk ini daripada terus merosakkan sejarah bangsa.

Monday, April 4, 2011

Blog Umno mula dedah video seks

Blog-blog pro-Umno mula mendedahkan klip rakaman video yang didakwa memaparkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama seorang wanita yang dikatakan pelacur China.

Blog-blog terbabit mula memuatkan sedutan video itu sekitar sejam lalu, dalam satu tindakan yang kelihatan dirancang dan dikoordinasi sesama mereka.

Paparan itu menampakkan dengan jelas wajah lelaki yang didakwa pemimpin politik pembangkang itu, yang kelihatan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Blog-blog pro-Umno paling dikenali termasuk Papa Gomo, Pisau.net dan Ruang Bicara Faisal memaparkan sedutan video itu, dengan tajuk dan kenyataan ringkas mengaitkannya terus dengan Anwar.

Sunday, April 3, 2011

Pemilihan PAS tahun ini paling sengit

Pemilihan kepimpinan PAS pada muktamar Jun nanti dijangka menjadi yang paling sengit apabila jawatan timbalan presiden, naib presiden dan jawatan-jawatan tertinggi dalam Dewan Pemuda menjadi rebutan.

Penyandang timbalan presiden, Nasharudin Mat Isa berdepan tekanan sejak pemilihan 2009 ekoran persaingan antara dua kumpulan yang digelar "Erdogan" dan kem "ulama."

Sekiranya berhasrat mempertahankan jawatan, Nasharudin bakal berdepan cabaran sengit seperti yang berlaku pada 2009.

PAS meneruskan pemilihan parti pada tahun ini, tahun dijangka akan diadakan Pilihan Raya Umum ke-13, ketika parti-parti lain menangguhkan pemilihan kepimpinan parti untuk mengelakkan impak negatif dalam pilihan raya nanti.

Muktamar tahun ini diadakan dalam mood menuju pilihan raya umum, selepas pelbagai cabaran dan gugatan ekoran kemenangan besar pembangkang pada 2008 dan ketika tokoh pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan serangan politik yang semakin dahsyat, sehingga beliau dan Parti Keadilan Rakyat dilihat sesetengah pihak sebagai liabiliti.

Dalam pemilihan ini, tokoh popular parti, Mohamad Sabu ialah antara yang dijangka mencabar Nasharudin, dan dijangka seorang lagi dari kem Erdogan akan menyertai persaingan.

Mohamad dan Datuk Husam Musa tewas dalam usaha mencabar Nahsarudin pada pemilihan sebelum ini.

Husam yang mewakili kem Erdogan pada masa itu dilihat paling berupaya menewaskan Nasharudin.

Pemilihan di Shah Alam, Selangor itu menjadi pemilihan yang sengit dan dipenuhi kempen agresif melibatkan media berita dan blog.

Husam menjadi tokoh favorite beberapa media di internet serta mempunyai penyokong yang ramai dalam kalangan penulis blog.

Persaingan ini dijangka berlaku sekiranya Tuan Ibrahim Tuan Man tetap dengan pendirian menolak untuk bertanding jawatan timbalan presiden yang mendapat sokongan kuat pihak yang mahu kedudukan nombor dua dipegang oleh agamawan.

Tuan Ibrahim dicadang merebut jawatan timbalan presiden untuk menggantikan Nasharudin yang dilihat sebagai tidak berjaya melaksanakan tugas dan menjadi semakin tidak popular.

Tokoh PAS dari Pahang itu dilihat sebagai berkelayakan untuk menjawat jawatan timbalan dalam kalangan naib presiden.

Isu yang mencetuskan pertembungan dalam PAS, kerajaan perpaduan yang disebut UG (unity government) turut dijangka menjadi isu yang akan dibawa untuk menjejaskan kem ulama, terutama Nasharudin.

Isu kerjasama dengan Pakatan Rakyat juga akan menjadi satu isu besar. Kem Erdogan sudah menimbulkan isu ini sejak awal sebagai satu tindakan preemtif untuk menegaskan lagi kerjasama dengan PR dan kepimpinan Anwar dalam gabungan itu.

Penentang kem ulama dan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mentakrif kerajaan perpaduan sebagai usaha menjalin kerjasama dan bersama dalam satu pakatan dengan Umno, sekaligus meninggalkan kerjasama dalam PR.

Naib presiden turut bakal menyaksikan persaingan, dengan beberapa orang tokoh dijangka mampu untuk mencabar dua penyandang, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Mahfuz pernah dikritik secara terbuka melalui satu surat yang mendakwanya bermain "poligame," yakni politik gambar dan media sehingga tidak melaksanakan tugas sebagai ahli Parlimen sebaiknya.

Salahuddin pula dikrtitik sebagai terlalu bermain selamat dan bergantung pada kumpulan dominan dalam PAS Kelantan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian yang biasanya diberikan kepada ketua pemuda.

Dalam sayap pemuda, sudah wujud pertimbangan untuk mencabar ketua pemuda, Nasruddin Hassan dan timbalannya, Azman Shapawi.

Calon juga bakal diletakkan untuk jawatan naib ketua.

Kepimpinan Nasruddin dikritik sebagai bergerak terlalu perlahan dan tidak dapat mendekati orang muda, sebahagiannya dikatakan berpunca daripada sifat dan perwatakan ulama kedua-dua pemimpin tertinggi pemuda itu.

Kalangan pencabarnya mendakwa Pemuda memerlukan pemimpin yang lebih selesa dengan pelbagai golongan dan berperanan aktif dalam pelbagai aktiviti.

Antara nama yang disebut untuk bertanding merebut jawatan-jawatan dalam pemuda ialah ketua penerangan pemuda Suhaizan Kayat, pengarah pilihan raya pemuda Mohd Firdaus Jaafar, dan setiausaha Pemuda Perak, Dr Raja Ahmad al-Hiss.

Muktamar dan pemilihan Jun nanti akan menjadi petanda penting hala tuju parti, melibatkan Pilihan Raya Umum ke-13 dan bentuk kerjasama dan peranan PAS dalam PR, yang menjadi isu yang agak divisif ekoran projek 16 September, 2008 yang dipimpin Anwar.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...