Thursday, January 20, 2011

Najib bina jaminan undi India

Ketika politik negara tertumpu di pilihan raya kecil Tenang, dan pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar debat, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak menjalankan strategi untuk menjamin undi kaum India dalam pilihan raya akan datang.

Najib menumpukan perhatian pada Batu Caves, lokasi penganut Hindu menyambut perayaan agama, Thaipusam, dan menjanjikan satu projek besar kereta kabel.

Perayaan besar penganut Hindu yang hampir kesemuanya kaum India itu menerima perhatian khusus perdana menteri tahun ini, sesuatu yang berpotensi akan terus diingati semasa pilihan raya umum nanti.

Dalam keadaan sokongan India kepada Pakatan Rakyat kini dikatakan semakin merosot dan potensi parti Kita dan calon-calon bebas menjejaskan PR, tindakan Najib ini berupaya mengubah sesuatu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Apapun yang mampu - atau tidak - dicapai oleh MIC, komponen mewakili India terbesar dalam Barisan Nasional menjelang pilihan raya umum nanti, usaha secara bersendirian Najib ini sudah boleh menjamin kembalinya satu jumlah besar undi India untuk BN, sekiranya tidak berlaku sebarang perubahan besar dalam politik yang melibatkan kaum India.

Dalam hal ini, gagasan 1 Malaysia yang dibawa Najib telah menunjukkan satu potensi besar untuk membawa pulangan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Parti Kita: Zaid Ibrahim antara imej katak dan ruang tengah

Pelancaran Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air, yang popular dengan singkatannya Kita semalam mencetuskan pelbagai reaksi.

Ada yang menolaknya terus sebagai satu kuasa yang perlu diambil kira dan ada juga yang melihat potensinya untuk menjejaskan peluang kedua-dua Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, paling utama PR.

Penegasan Datuk Zaid Ibrahim yang Kita berbeza daripada kedua-dua BN dan PR dan nilai demokratik dan liberal yang menjadi asasnya menjelaskan lagi dasar ideologi parti yang dianggap sebahagian kuasa ketiga dalam politik Malaysia itu.

Kita, mahu tidak mahu dilihat sebagai pengacau kepada PR kerana potensinya merebut konstituensi urban dan liberal yang menjadi perhatian DAP dan Parti Keadilan Rakyat dan akan bersaing dengan kedua-dua DAP dan PKR untuk menunjukkan sifat dan kelebihan liberal masing-masing.

Walau bagaimanapun, akibat perlakuannya dalam dua parti yang pernah disertai dan ditinggalkan sebelum ini, Zaid perlu berdepan dengan imej "katak" yang berupaya menjejaskan kredibilitinya sebagai pemimpin sebuah parti yang becita-cita besar.

Selain itu, politik Malaysia yang sejarahnya tidak menunjukkan kejayaan parti-parti kecil seperti Kita juga menjadi satu cabaran besar buat Zaid, yang masih belum dilihat keupayaannya menjadi pemimpin sebuah parti.

Setakat ini, Kita masih belum menampakkan tokoh-tokoh besar dalam politik Malaysia menyertainya sepeti halnya parti-parti lain.

Kelebihan yang mungkin akan dimanfaatkan Kita ialah aliansi dengan parti-parti di Sabah dan Sarawak dan calon-calon bebas yang liberal dalam menghadapi pilihan raya dan menyertai kerajaan sekiranya mendapat kemenagan yang cukup.

Kita kini muncul sebagai salah satu kuasa dan harapan kepada liberal Malaysia, memperjuangkan aspirasi yang dilihat tidak berupaya diperjuang DAP dan PKR yang dikuasai politik kaum dan pemimpin kultus.

Sebelum bersaing dalam medan politik, Kita telah sedia berdepan cabaran besar imej pemimpinnya yang masih dikait dengan imej katak.

Artikel berkaitan: Kenapa Zaid Keluar Parti, dan Haluannya Selepas Ini

Tuesday, January 18, 2011

Dalam satu peristiwa, 2 isu besar politik Malaysia bertemu

Komuniti Syiah di Malaysia menuntut bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan agamawan Datuk Abu Hassan Din didakwa kerana "menghina, menghasut dan memfitnah" komuniti tersebut.

Kumpulan itu, yang ditahan Jais dalam serbuan ke atas pusat aktiviti mereka Disember lalu diwakili Kamil Zuhairi Abdul Aziz yang hadir bersama peguam Mohd Haidar Mohd Hashim dan lebih 20 orang ahli komuniti itu di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur pada Isnin, 17 Januari.

Laporan polis tersebut dibuat Kamil Zuhairi dan turut ditandatangani 13 orang Syiah lain.

Dalam kenyataan media empat perenggan yang diedarkan, Kamil Zuhairi turut mendakwa pihak berkuasa agama yang terlibat dalam serbuan 15 Disember lalu telah mencuri kain pemidang Syarikat Majma Ahlulbait Resources di Hauzah ar-Ridha di Sri Gombak, Selangor.

“Kami menuntut pihak polis mengambil tindakan undang-undang terhada Mohd Khusrin di bawah peruntukan undang-undang Malaysia kerana menghina, menghasut dan memfitnah.

“Kami juga menuntut pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap Mohd Khusrin yang berniat jahat untuk menghuru-hara ketenteraman awam di Malaysia dan negara-negara Islam di dunia.

“Selain itu, kami juga menuntut tindakan terhadap Mohd Khusrin kerana ia mencetuskan kebimbangan kepada penduduk Malaysia yang mengamalkan kebebasan beragama,” tegasnya lagi.

Syiah terbabit menuntut Khusrin dan Abu Hassan memohon maaf dan membuat tuntutan-tuntutan lain termasuk dialog tetapi tidak mendapat respons daripada pihak terbabit.

Dalam kenyataan ekoran serbuan Jais 15 Disember lalu, komuniti tersebut mengajak dialog diadakan dengan pihak berkuasa agama negeri-negeri termasuk Jais.

Dakwaan-dakwaan Khusrin dan Abu Hassan dilaporkan akhbar-akhbar harian dan media elektronik ekoran serbuan Jais ke atas Hauzah ar-Ridha.

Selain didakwa sesat, komuniti Syiah juga didakwa menganggap Muslim ahli Sunnah sesat dan menghalalkan darah mereka. Syiah juga dituduh menjadikan seks sebagai tarikan untuk menyertai komuniti mereka.

Kamil Zuhairi dalam laporannya juga mendakwa akhbar Sinar Harian dan Berita Harian menerbitkan fitnah mengenai kumpulan itu.

Laporan polis ini meningkatkan lagi tekanan ke atas Khusrin yang kini memegang jawatan setiausaha kerajaan negeri Selangor yang tidak dipersetujui kerajaan negeri dari Pakatan Rakyat.

Ekoran serbuan oleh Jais itu, komuniti Syiah kini menjadi lebih terbuka dan asertif dalam menuntut hak-hak mereka, terutama kebebasan beragama.

Kes ini menambahkan lagi kompleksiti wacana politik dan agama di Malaysia, apabila mengemukakan saingan kepada konsensus penerimaan mazhab Shafie ahli Sunnah.

Wakil komuniti Syiah Malaysia bertemu Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia 20 Disember lalu untuk mendapatkan nasihat dan bantuan berhubung dakwaan ke atas mereka oleh pihak berkuasa agama.

Monday, January 17, 2011

'PAS zaman dulu'

Oleh JOHARI M

Pencalonan Normala Sudirman sebagai calon PAS merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Tenang di Labis, Segamat, Johor mengingatkan kembali kepada suasana PAS satu ketika dulu, sebelum memperoleh kemenangan besar di Kelantan pada 1990 dan sebelum memenangi beberapa negeri dan menjadi "kerajaan menanti."

Normala telah meletakkan jawatan sebagai guru sekolah untuk menjadi calon PAS, membuat satu pengorbanan besar yang semakin asing dalam PAS pada era kemenangan dan menuju Putrajaya hari ini.

Nasib Normala, sama ada menang atau kalah, terutama kalah, akan menjadi sukar sekiranya tidak ada persediaan dan tidak memperolehi sumber pendapatan yang secukupnya nanti.

Inilah yang mengimbau kembali satu suasana PAS dahulu, ketika pengorbanan menjadi sesuatu yang norma, dan cerita ditukar dan diganggu pihak berkuasa menjadi cerita yang biasa.

Bertanding dalam pilihan raya dan berjuang dalam PAS dilakukan bukan semata-mata untuk kemenangan - yang jelas sekali amat jauh ketika itu - tetapi sebagai satu cara berdakwah dan menunjukkan penentangan kepada Umno.

Di Tenang, sudah timbul cerita-cerita bahawa tidak ada calon heavy weight berminat kerana peluang menang tipis, malah ada yang mendakwa ramai yang tidak memandang kempen di sini kerana Johor bukan negeri sasaran PAS lalu dilihat tidak berapa penting.

Pertandingan di Tenang ini elok sekali direnung dan diambil iktibar oleh semua ahli PAS, untuk melihat keadaan satu ketika dulu, di mana PAS berdepan lawan yang sangat kuat dan parti tidak mempunyai banyak sumber untuk dimanfaatkan.

Di Johor, dan mungkin juga beberapa negeri kuat Umno lain, suasana masih jauh berbeza, sehingga ada ahli dan pemmimpin PAS yang melihat suasana PAS di negeri ini teringat kepada PAS pada zaman lalu.

Penulis ialah pembaca blog SiasahDaily.

Tuesday, January 11, 2011

Kontroversi Interlok, Anwar kemuka saranan terbaik

Ketua Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul memberikan kenyataan paling rasional di tengah-tengah kontroversi novel Interlok yang divisif.

Anwar dilapor berkata tidak ada elemen perkauman dalam novel Interlok dan menyarankan pihak terbabit dalam kontroversi berbincang menyelesaikan pertikaian.

Beliau pada masa sama menyifatkan novel itu sebagai satu karya yang baik tetapi bukan istimewa, satu kenyataan yang mengimbangi sokongan beliau terhadap novel itu.

Anwar turut menyarankan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil kira setiap teguran berkaitan karya itu.

Walaupun muncul agak lewat, kenyataan Anwar ini meletakkannya dalam posisi yang positif selepas PAS dikritik hebat aktivis seni ekoran pendirian parti itu tidak mempertahankan Interlok walaupun pernah berpendirian tegas mempertahankan novel Shit karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad.

Parti itu dikritik kerana dilihat tunduk kepada tekanan yang berasaskan politik dan sentimen perkauman kumpulan tertentu dan didakwa tidak mempunyai dasar berhubung seni dan budaya yang jelas dan konsisten.

PAS walau bagaimanapun melalui pemudanya berhasrat mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pihak terlibat untuk mencari penyelesaian isu kontroversi itu.

Semalam, lima persatuan termasuk Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) membuat laporan polis berhubung tindakan membakar novel Interlok oleh beberapa orang individu di Klang, Selangor.

Hari ini, Pena bersama 12 pertubuhan menyerahkan memorandum menyokong novel Interlok kepada Kementerian Pelajaran dan pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Isu Interlok turut dijangka menjadi salah satu isu dalam kempen pilihan raya kecil Tenang di Segamat, Johor bulan ini.

Monday, January 10, 2011

Kontroversi Interlok ujian PAS tangani isu Melayu

Walaupun Umno dan Barisan Nasional sebagai kerajaan ialah pihak yang perlu bertanggungjawab dalam kontroversi yang dicetuskan novel Interlok, PAS bakal menjadi pihak yang berjaya mendapat manfaat atau kerugian, bergantung kepada tindakan parti itu dalam menangani isu ini.

Setakat ini, PAS berdepan kritikan banyak pihak terdiri daripada komuniti seni dan pemerhati, ekoran tindakan Ahli Parlimen Kota Raja Dr Mariah Mahmud menyertai demonstrasi anti-Interlok, walaupun menafikan terlibat dalam pembakaran novel itu atau menunjukkan sokongan.

Mariah dalam satu kenyataannya yang bernada defensif mengalihkan tumpuan kepada Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya mempersoalkan motif Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkenalkan novel tersebut ke sekolah. Saya yakin beliau tahu sangat isi novel dan potensi konflik yang akan timbul. Saya percaya dan yakin bahawa ada motif politik yang tersirat. Mesej yang hendak dihantar kepada murid-murid India ialah 'ketahui lah asal usul anda' apabila membaca buku itu," tulis Mariah.

Interlok telah berjaya dijadikan 'wedge' di antara pejuang sastera dan pejuang rakyat marhaen dengan rakyat yang cuba mereka bela. Hebat Muhyiddin Yassin! Fikir-fikirkan lah. Tidak salah jika saya katakan sesuatu yang berlaku di negara ini yang didalangi oleh pemimpin BN/Umno ada motif tersirat. Ianya tidak berlaku secara kebetulan," tegas Mariah lagi.

Tindakan PAS selepas ini, sekiranya dilihat sebagai menyebelahi kumpulan menolak Interlok mampu mendedahkannya kepada kritikan masyarakat Melayu sebagai lebih mengutamakan undi bukan Melayu dan mengabaikan sifat novel itu sebagai satu karya seni.

Perbincangan ramai, termasuk di laman sosial Facebook telah memperlihatkan kemarahan kepada PAS - ekoran laporan penyertaan Mariah dalam demonstrasi anti-Interlok - yang dilihat memberikan sokongan kepada kumpulan menolak Interlok yang dinilai berasas sentimen dan permainan politik perkauman.

Parlimen Kota Raja diwakili Mariah mempunyai hampir 30 peratus pengundi India, memberi satu gambaran pertimbangan beliau dalam menangani isu ini.

Sunday, January 9, 2011

Lantik Satim Diman, Umno tingkat usaha tawan Selangor

Umno kelihatan semakin yakin dengan usaha menawan kembali negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat dengan pelantikan Datuk Mohamed Satim Diman sebagai ketua pembangkang yang baharu.

Tindakan ini memperlihatkan penyusunan Umno negeri itu yang telah diselesaikan oleh Umno ekoran tersingkirnya Datuk Dr Mohamad Khir Toyo dalam satu tindakan yang dilihat sebagai usaha pembersihan.

Pelantikan ini menyelesaikan satu isu dalam Umno Selangor yang sebelum ini meletakkan Khir sebagai ketua pembangkang.

Perbicaraan Khir yang masih jauh juga hampir pasti mengeluarkan bekas menteri besar ini daripada percaturan besar melibatkan posisi di Selangor oleh Umno.

Kemelut ekoran pelantikan setiausaha kerajaan negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi telah meletakkan kerajaan negeri PR Selangor dalam keadaan sukar kerana terpaksa berdepan tekanan Umno dan juga menangani istana.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didakwa melawan raja ekoran pendiriannya menolak pelantikan Khusrin yang telah diperkenan sultan Selangor.

Saturday, January 8, 2011

Dakwaan liwat Anwar, Karpal dicabar

Selepas menjadi perhatian ekoran ucapannya tentang negara Islam dalam konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, orang kuat DAP Karpal Singh kini menjadi tumpuan berhubung dakwaan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zulkifli Noordin, Ahli Parlimen bebas Kulim-Bandar Bharu dalam tulisan panjangnya di blog mempersoalkan sikap Karpal berhubung kes Anwar, kerana peguam pemimpin DAP itu pernah mendakwa mempunyai bukti Anwar meliwat.

Tulisan Zulkifli ini merupakan serangan paling keras terhadap Karpal oleh penentang Anwar, yang mula menimbulkan isu pendirian Karpal dan tindakannya mewakili Anwar dalam pembelaan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Tekanan terhadap Karpal ini menjadi satu agenda utama beberapa ahli konsensus bebas pada masa ini, menimbulkan persoalan tentang hubungan mereka dengan Umno dan Barisan Nasional.


Tindakan Zulkifli, Ahli Parlimen Bayan Baru Zahrain Mohd Hashim, dan Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong ketika pilihan raya umum dijangka pada tahun ini menunjukkan tindakan ahli bebas yang selari dengan agenda Umno.

Walau bagaimanapun, kenyataan-kenyataan Zulkifli dan Wee itu turut mendedahkan sikap Karpal yang tidak konsisten, atau oportunis mengendalikan agenda politiknya.

Beliau pernah mendakwa Anwar meliwat dan pernah menuntut pemimpin Parti Keadilan Rakyat itu bertaubat selepas kegagalan rancangan 16 September, 2008.

Thursday, January 6, 2011

Isu sensitif bantu BN gugat kerajaan PR Selangor

Oleh Zaid Zakaria

Negeri Selangor dinilai bakal menjadi medan pertempuran utama Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Sejak kalah dalam pilihan raya umum yang lalu, Umno sukar menerima hakikat kekalahan itu dan memulakan kempen memburukkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, sehingga bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo turut menjadi penulis blog.

Usaha terbaharu Umno telah dimulakan dengan mengeksploit pertikaian berkaitan pelantikan setiausaha kerajaan negeri.

Dalam kes terbaharu, pertikaian berhubung pelantikan setiausaha kerajaan negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi menjerumuskan lagi negeri paling diidamkan Umno ini dalam kemelut.

Seperti yang biasa, Umno dan media dikuasainya mengeksploit sepenuhnya episod ini dengan meletakkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam keadaan defensif dan memperlihatkan beliau sebagai melawan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hal melibatkan raja ini jelas sesuatu yang boleh dengan mudah menjadi perangkap kepada PR, lebih-lebih lagi dalam keadaan kini.

Selepas beberapa isu dikaitkan dengan istana, isu setiausaha kerajaan negeri ini merupakan yang paling menguji bagi kerajaan PR.

Akhbar Utusan Malaysia telah empat hari meletakkan berita negatif tentang PR Selangor di muka hadapannya.

Bagi orang ramai, terutama orang Melayu, drama yang dipersembahkan melalui media Umno ini menjadikan Khalid dan seluruh kerajaan PR Selangor sebagai penentang raja Melayu.

Imej negatif yang dikemukakan ini bermatlamat menghakis sokongan orang Melayu terhadap Pakatan seperti yang pernah dilakukan di Perak.

Imej ini mudah disampaikan kepada umum ekoran pertikaian dalam hal memakai baju Melayu lengkap melibatkan wakil-wakil rakyat bukan Melayu DAP dan isu-isu seumpamanya yang dikait dengan DAP.

Sama seperti yang dilakukan di Perak, kerajaan Pakatan dan menteri besarnya didakwa melawan sultan dan mesej ini disampaikan melalui permainan media Umno.

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang sebenarnya sebahagian daripada jentera Umno menyokong dan menguatkan lagi serangan yang diprogram oleh Umno.

Akhbar pro-Umno pula memberikan kredibiliti kepada kumpulan-kumpulan ini dan apa yang mereka bawa secara selektif itu.

Pertubuhan-pertubuhan ini jelas sekali menjalankan program Umno untuk memburukkan imej kerajaan Pakatan Selangor kerana isu-isu yang ditangani semuanya yang dipolitikkan, daripada mempertahankan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) hingga kepada pelantikan Khusrin.

Buktinya, mereka hanya terlibat dalam perkara-perkara yang boleh memberi manfaat kepada pembangkang di negeri Selangor, yakni Umno, dan merugikan kerajaan Pakatan.

Kempen mereka juga dipertingkatkan menjelang pilihan raya umum yang dijangka beberapa bulan lagi.

Akhbar harian dikuasai Umno telah menjadikan isu kemelut Selangor sebagai berita muka depannya selama dua hari berturut-turut.

Laporan-laporan lain, seperti dakwaan menghasut oleh Shuhaimi Shafie, wakil rakyat Seri Muda kesemuanya bermatlamat menguatkan persepsi negatif terhadap Pakatan Selangor di mata orang Melayu.

Di sinilah kumpulan-kumpulan Melayu pro-Umno memainkan peranan Mereka, menjadi penyerang barisan hadapan bagi Umno yang tidak mahu mengotorkan tangan mereka dan meletakkan kempen 1 Malaysia dalam risiko.

Mesej yang disampaikan oleh kumpulan-kumpulan itu, termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Perkasa, kesemuanya berperanan mengukuhkan imej tidak mesra Melayu kerajaan Pakatan di Selangor.

Berdasarkan perkembangan sejak Pilihan Raya Umum ke-12, Umno dan BN menyedari undi bukan Melayu di Selangor tidak boleh diharapkan sangat untuk memenangi semula Selangor.

Kerana inilah, Umno berusaha memenangi hati dan minda orang Melayu, seperti yang disebut Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam ucpaan semasa konvensyen Pakatan, menggunakan race (bangsa), religion (agama) dan raja.

Seperti juga yang telah berlaku di Perak, kempen menggunakan formula bangsa di negeri itu berjaya menjejaskan sokongan orang Melayu terhadap Pakatan.

Apa yang dilakukan oleh Umno ini ditujukan kepada satu perkara dasar dalam Pakatan iaitu kerjasama melibatkan PAS dengan DAP dan PKR.

Dengan menggugat kerjasama ini, hubungan ketiga-tiga parti dalam Pakatan boleh terjejas dan memudahkan usaha Umno dalam pilihan raya umum nanti.

Di negeri-negeri Pulau Pinang dan Selangor, dua negeri yang PAS tidak menguasai pentadbiran negeri, isu Melayu terpinggir dimainakan oleh Umno.

Negeri Pulau Pinang dikatakan dikuasai sepenuhnya oleh DAP sehingga mengabaikan orang Melayu manakala Selangor pula dikatakan didominasi PKR dan DAP dengan kesan yang sama seperti Pulau Pinang.

Ini membolehkan sentimen Melayu dimanipulasi oleh Umno dan mendorong sejumlah pengundi memikirkan lebih baik memilih Umno kerana sekurang-kurangnya parti Melayu itu dominan dalam Barisan Nasional.

Di sinilah Umno berjaya menarik sokongan Melayu, yang dibina sedikit demi sedikit sejak tewas di beberapa negeri dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Umno yang terjejas teruk selepas kalah di Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-12 sedang menumpukan kekuatan untuk merampas Selangor.

PR perlu strategi yang kuat dan setara untuk menentang kempen Umno menggunakan sentimen Melayu ini.

PAS sebagai parti dianggotai Melayu terbesar selepas Umno dan berhasrat menggantikan Umno sebagai pejuang utama orang Melayu Muslim di negara ini perlu menunjukkan peranannya sebagai pemelihara kepentingan Melayu.

Tindakan ekstrem Umno menggunakan agama dalam kes Selangor ini perlu ditangani oleh PAS dengan menunjukkan ada ruang yang lebih sederhana dalam membela kepentingan Melayu tanpa bertindak seperti Umno.

Episod Selangor ini mendedahkan sensitiviti isu bangsa yang masih boleh dimanipulasi oleh Umno di Selangor, selepas berjaya mempalitkan imej negatif pada PR selepas episod Perak.

Pakatan kini perlu lebih berhati-hati supaya tidak mudah diperlihatkan sebagai menentang raja di Selangor dalam pertikaian pelantikan setiausaha kerajaan negeri.

Bagaimana PAS menangani media baharu menjelang PRU 13?

Dari Harakahdaily.net, 5 Januari, 2011:

Blog-blog Umno sejak kebelakangan ini gemar mengeluarkan senarai blog mereka yang paling dilawati, dijadikan sebagai satu pendorong kepada mereka untuk meneruskan penulisan.

Sebahagian besar blog bukanlah sumber maklumat yang sahih atau kredibel, malah sebahagian besar menulis menggunakan nama samaran.

Tetapi, kredibiliti seperti media berita, sama ada bercetak atau di internet bukan matlamat mereka ini.

Bagi mereka, yang utama ialah serangan terhadap parti-parti Pakatan Rakyat, untuk menjejaskan kredibiliti dan menghakis sokongan orang Melayu kepada PR.

Sekiranya dinilai daripada pelawat yang menjenguk blog-blog tersebut, boleh dikatakan isu sensasi yang dimainkan secara berterusan menarik minat pengguna internet.

Betul atau salah berita tersebut bukan isu, kerana matlamatnya hanya persepsi, yakni menghasilkan dan menguatkan lagi persepsi negatif terhadap PAS dan parti-parti PR.

Trend penggunaan media seluruh dunia membuktikan media “ringan,” dan sensasi lebih menarik ramai pengguna berbanding isu politik yang lebih berat seperti federalisme, perwakilan dan sebagainya.

Di sinilah peranan blog-blog Umno, iaitu menerbitkan tulisan-tulisan sensasi, berbentuk gosip, dan gambar-gambar diubahsuai untuk memberi kesan sensasi itu.

Tidak dapat dinafikan, sama ada seseorang pengguna itu bersetuju atau tidak dengan isu-isu yang disensasikan itu, tulisan-tulisan di blog itu tetap menarik minat mereka.

Budaya media di negara kita mudah suka dengan berita-berita sensasi telah menyuburkan lagi minat ini dalam kalangan pembaca.

Banyak blog Umno ini dibaca sebagai hiburan oleh sesetengah pembaca internet dan bukan sumber berita, tetapi hiburan juga boleh menjadi satu medium menyampaikan maklumat.

Walaupun tidak mempercayai semua cerita yang dihidangkan, pengunjung blog-blog tersebut mungkin akhirnya akan mempercayai atau cenderung untuk percaya kepada gosip-gosip yang diterbitkan.

Dengan jumlah blog pro-Umno yang banyak dan bercambah menjelang pilihan raya umum nanti, kebarangkalian untuk mereka menyampaikan kempen mereka kepada umum semakin tinggi.

Umno yang satu ketika dulu ketinggalan jauh dalam memanfaatkan media baharu seperti blog kini berjaya menyaingi PR, atau menurut sesetengah pihak, sudah pun mengatasi parti-parti PR.

Pemimpin tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak secara peribadi mengambil tahu dan berperanan dalam memperkemaskan jentera media baharu Umno.

Banyak daripada blog dan laman berita pro-Umno mendapat sokongan pelbagai bentuk daripada pemimpin tinggi parti itu.

Apa yang dicetuskan dan dibawa oleh blog-blog Umno sering kelihatan seragam dan sekata, walaupun terdapat beberapa perbezaan dalam sokongan kepada pemimpin tertentu.

Di sinilah blog-blog oleh PAS, pro-PAS dan PR perlu menyedari perang siber yang sedang berlaku dengan rancak ini.

Kejayaan PR dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu disifatkan oleh ramai pihak sebagai hasil pertarungan ide di internet.

Walaupun hal ini masih boleh diperdebatkan, sememangnya tidak boleh dinafikan sebagai salah satu sumber maklumat, internet mempunyai peranannya yang besar.

Malang sekiranya blog-blog pro-PAS dan PR ketika ini teralih fokus daripada melawan serangan media baharu Umno dan terlibat dalam polemik sesama sendiri.

Blog-blog pro-PAS kelihatan mudah terlibat dalam perdebatan sesama sendiri, termasuk ketika bahang pilihan raya umum semakin dirasakan ketika ini.

Banyak isu – ataupun isu yang dibuat-buat – dipanaskan lagi oleh blog-blog yang selama ini dianggap pro-PAS dan akhirnya memberi kesan negatif kepada parti dan PR.

Dalam mood menjelang pilihan raya umum kini, rakyat bukan sahaja disajikan dengan tulisan-tulisan sensasi di blog malah juga akhbar-akhbar dan televisyen.

Dalam hal ini, PAS dan parti-parti PR sendiri perlu bertindak pertama dengan menyusun dan memperkemas blog yang dikendalikan sendiri oleh pemimpin dan ahli parti di semua peringkat.

Serangan yang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional ini akan terus meningkat ketika Pilihan Raya Umum ke-13 nanti semakin hampir.

Blog-blog pro-PAS dan PR perlu menjadi pesaing yang setara dengan blog-blog pro-Umno dan sekali lagi menjadi faktor penting dalam usaha memenangi pilihan raya umum.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...