Blog analisis, komentar dan berita politik Malaysia. SiasahDaily bukan versi internet Siasah cetak dan tidak mempunyai hubungan dengan akhbar tersebut.
Saturday, December 31, 2011
Saifuddin, AUKU dan politik baharu
Ini mesej yang disampaikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah di majlis wacana Dialog Orang Muda anjuran Persatuan Penulis Muda, Pena, siang tadi.
Saifuddin juga menegaskan isu politik mesti boleh dibincangkan di universiti. "Kalau di universiti tidak boleh dibincangkan isu politik, di mana lagi?" soalnya yang kelihatan yakin dengan kematangan mahasiswa.
Saifuddin turut menjelaskan pandangan yang mengaitkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti dengan peningkatan kualiti mahasiswa dan universiti.
Jelasnya, beliau tidak pernah mengaitkan secara langsung pembebasan mahasiswa dengan kualiti, seperti yang dihujahkan oleh sesetengah pihak. Katanya, pemansuhan AUKU berkait dengan hak dan partisipasi.
Kehadiran Saifuddin dan isu politik yang dibincangkan menarik kehadiran lebih ramai berbanding biasa, sehingga hampir tiga kali ganda.
Daripada hala dan suasana perbincangan di Rumah Pena tadi, dua perkara paling jelas dapat diperhatikan ialah minat yang tinggi terhadap isu politik mahasiswa (atau mahasiswa berpolitik) dan sikap positif terhadap Saifuddin.
Ahli Parlimen Umno dari Temerloh, Pahang yang rajin dan mudah mendekatkan diri dengan wacana seperti ini telah membina kelompok peminat tersendiri dalam kalangan anak muda termasuk daripada penyokong Pakatan Rakyat sendiri, sesuatu yang sukar dicapai oleh pemimpin Umno lain, malah juga oleh pemimpin-pemimpin PR.
Pendirian Saifuddin ini menunjukkan bukti apa yang beliau sifatkan sebagai "politik baharu," iaitu politik yang lebih menghormati hak demokratik dan lebih matang.
Walau bagaimanapun, sikapnya yang berbeza dengan sikap arus utama partinya tidak dapat dielakkan daripada dilihat sebagai satu strategi, yang boleh memperbaiki imej Umno yang dilihat sudah tidak punya harapan, malah strategi untuk menyelamatkan dirinya sendiri.
Apa pun, Saifuddin telah berjaya merancakkan dunia wacana yang lebih bebas dan tidak terikat dengan pandangan dominan parti melalui pandangan-pandangannya yang meletakkan hak demokratik dan politik yang lebih matang sebagai asas penting.
Friday, December 30, 2011
Politik Malaysia 2011: 10 pemain dan isu utama
1. Bersih 2.0
Gerakan yang paling mendapat perhatian di dalam dan luar negara selepas perhimpunan pada 9 Julai berjaya diadakan walaupun berdepan tekanan pemerintah. Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dapat dilihat tertekan ekoran kejayaan Bersih kedua, walaupun jauh sedikit berbanding penyertaan Bersih pertama pada 2007.
2. NFC dan Shahrizat
Datuk Seri Shahrizat Jalil ditekan oleh pemimpin-pemimpin Umno sendiri ekoran terdedahnya kaitan suami beliau dengan National Feedlot Corporation. NFC mencetuskan kebimbangan Umno disebabkan tekanan kuat dicetuskan oleh skandal itu. Shahrizat berpotensi tersingkir daripada kedudukannya akibat terpalit skandal itu, ketika Najib mula bercakap dan menekankan keperluan Umno meletakkan winnable candidates dalam pilihan raya akan datang.
3. Penyebaran Kristian
Kontroversi tercetus ekoran siasatan pihak berkuasa agama Selangor ke atas sebuah gereja Metodis di Petaling Jaya, dan menemui bukti-bukti jelas penyebaran agama Kristian ke atas orang Muslim. Kejadian di negeri Selangor yang dikuasai Pakatan Rakyat memberi implikasi negatif kepada gabungan itu terutama PAS. Tindakan Datuk Dr Hasan Ali, exco kerajaan daripada PAS mempertahankan tindakan siasatan itu mencetuskan reaksi negatif terhadapnya.
4. Bob Lokman
Bob Lokman menyertai PAS di Kedah semasa perhimpunan pemuda parti itu, dan terus aktif berkempen untuk PAS. Terbaharu, beliau muncul dalam video pendek Oley! bersama beberapa pemimpin Pemuda PAS termasuk Ketua Pemuda Nasrudin Hassan. Turut mencetus kontroversi dengan pihak berkuasa agama Selangor kerana ceramah tanpa tauliah. Mengatasi Lisa Surihani yang menerima anugerah Pergerakan Puteri Umno dari segi liputan dan perhatian ramai.
5. Najib
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak menjadi ahli politik paling berjaya memulihkan imej sepanjang 2011. Najib berusaha kelihatan cool dengan aktif dengan media sosial Facebook dan Twitter, bergambar dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, mengumumkan pemansuhan ISA dan membentangkan belanjawan yang memberi keyakinan kepada pemerintah untuk memenangi semula hati rakyat.
6. Pena, Interlok dan bahasa Melayu
Isu novel Interlok yang ditolak oleh penentangnya kerana dianggap rasis menjadi senjata menyerang pemerintah dikuasai parti Melayu, Umno. Terbaharu, novel tersebut diganti dengan novel lain, pada masa sama Persatuan Penulis Nasional (Pena) menyambut ulang tahun ke-50 dan diberi habuan RM1 juta oleh kerajaan. PPSMI yang diperjuangkan Pena juga masih dikekalkan.
7. Himpun
Gerakan masyarakat Muslim Himpun bergerak lebih aktif ekoran aktiviti penyebaran Kristian yang dilihat berleluasa, terutama ekoran peristiwa gereja Metodis di Selangor. Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, PAS menjauhkan diri daripada gerakan itu, walaupun menerima sokongan moral beberapa pemimpin pemuda parti itu. Himpun dilihat berkemampuan untuk menjejaskan sokongan orang Melayu Muslim kepada PR yang kelihatan tidak membela kepentingan Islam.
8. Anwar
Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berjuang untuk mengetuai Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya - yang gagal dilaksanakan pada 2008 - sepanjang 2011, tahun yang menyaksikan keyakinan terhadapnya semakin terhakis sehingga ada kalangan pemimpin PR menemui Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertindak sebagai pelan B. Anwar walau bagaimanapun tidak membenarkan perhatian beralih daripada dirinya, dan terus mendapat perhatian sepanjang 2011, tahun video seks dikaitkan dengannya disebarkan.
9. Seksualiti Merdeka
Seksualiti Merdeka, gerakan perjuangan hak gay mengejutkan negara apabila secara terbuka mempromosikan aktiviti tahunan pada November lalu. Penglibatan Datuk Ambiga Sreneevasan menarik perhatian musuh politik pembangkang yang segera mengaitkan PAS dengan gaya hidup yang dilarang agama Islam itu. Perkembangan melibatkan gerakan ini menandakan peningkatan pengaruh dan kuasa politik golongan gay di negara ini, dibantu oleh iklim politik yang semakin liberal.
10. Papa Gomo
Blog paling dikunjungi ini ialah blog pro-Umno yang mendepani usaha serangan ke atas pembangkang ekoran kekalahan teruk BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008. Antara blog terawal menyiarkan video seks didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dengan berani menegaskan bahawa pelakunya ialah Anwar. Papa Gomo menjadi pemblog paling dibenci oleh Pakatan Rakyat.
Wednesday, December 28, 2011
Zaid Ibrahim bantu Nurul Izzah lawan Azmin?
Pengendali laman Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin mendakwa Azmin Ali, timbalan presiden PKR di belakang penyebaran surat layang memburukkan Nurul Izzah Anwar, naib presiden PKR.
Surat itu menggesa ahli-ahli PKR menghalang Nurul Izzah yang didakwa cuba membawa semula Datuk Zaid Ibrahim - yang kini memimpin partinya Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) - menyertai semula PKR.
Dalam kolum terbaharunya, Raja Petra menerbitkan semula surat itu dengan ulasan ringkas mengatakan Azmin dipercayai di belakang penyebaran surat layang tersebut, dalam usaha menyekat anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu daripada menghalang kemaraan Azmin.
Menurut surat itu, Nurul Izzah mempunyai pengaruh untuk membolehkan Zaid dibawa semula menyertai PKR disebabkan kedudukannya.
"Sebagai naib presiden paling kanan dalam PKR dan anak kepada Anwar Ibrahim, Nurul Izzah pastinya mampu memanipulasi ayahnya dan setidak-tidaknya dapat membuka ruang buat Zaid menyertai PKR dan Pakatan Rakyat semula."
Menurut surat itu lagi, "Nurul Izzah perlu sedar bahawa status beliau sebagai anak kepada Anwar Ibrahim tidak semestinya akan merestui semua tindakan politiknya."
Zaid keluar parti setelah kecewa dengan politik Anwar dan permainan Azmin menyekat kemaraannya dalam parti.
Dakwaan Raja Petra ini sekiranya benar memberi gambaran usaha Azmin mengukuhkan kedudukannya dalam parti termasuk dengan menyekat Nurul Izzah, pemimpin muda yang dilihat berpotensi dan tidak mempunyai beban sejarah seperti beberapa pemimpin lain termasuk Azmin.
Kedudukan Nurul Izzah sebagai anak Anwar, pemimpin kanan yang muda dan popular mampu menggugat Azmin dalam kepimpinan parti.
Zaid semasa masih dalam PKR juga dilihat sebagai pencabar terdekat Azmin, disebabkan kedudukan seniornya yang dilihat mengatasi kelayakan Azmin.
Misteri kemunculan semula Razak Baginda terjawab
Tanpa memberikan sebarang maklumat terperinci, Abdul Razak hanya dikatakan "muncul semula" dalam program dialog dan juga "mula mendekati Islam."
Abdul Razak, yang kini diperkenalkan dengan nama Abdul Razak Abdullah, ialah pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan Islamic Peace Foundation yang berpangkalan di London, United Kingdom.
Beliau menggunakan nama Razak Baginda di laman jaringan sosial Facebook, dengan maklumat ringkas "Ex-prisoner, Oxford doctorate and now in the wilderness."
Yayasan beliau telah mengadakan dua majlis perbincangan berkisar tentang Islam di Kuala Lumpur sejak Mac lalu, terbaharu satu syarahan pada 14 Disember lalu bertajuk The Islamic World: Between Politics and Religion, di sebuah hotel yang terletak kurang 500 meter dari Bangunan Getah Asli, pejabatnya semasa terseret ke dalam kes pembunuhan pada 2008.
Yayasan beliau menekankan ciri Islam sebagai agama yang aman dan menolak ekstremisme dan terorisme, satu mesej yang hampir dengan mesej moderat global yang diusahakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.
Walaupun berpangkalan di London, Abdul Razak dijangka akan aktif dalam program dialog di Malaysia, meningkatkan profilnya kembali sejak dibebaskan daripada dakwaan subahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada Oktober 2008.
Monday, December 26, 2011
Isu qazaf, Yusri jawab tuduhan Wadah
Baru-baru ini saya mendapat panggilan daripada Prof Datuk Dr Sidek Baba tentang kenyataan media Wadah (Wadah Pencerdasan Umat Malaysia) bertarikh 19 Disember 2011 tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isu qazaf yang mengheret nama kami berdua.
Secara tidak langsung, kenyataan ini menggambarkan bahawa seolah-olah kami berdua terlibat dalam melakukan jenayah qazaf, tidak menghormati syarak dan melanggar hukum syarak dalam isu ini. Ini adalah dakwaan-dakwaan yang berat. Saya belum sempat untuk membuat respons penuh kerana sedang bermusafir.
Saya keberatan juga untuk memberi respons tetapi jika saya berdiam sahaja nanti ada yang menyimpulkan bahawa kenyataan tersebut adalah yang benar tanpa menyelidik lebih lanjut.
Apabila pimpinan Wadah memilih untuk tiba-tiba membuat kenyataan secara terbuka maka terpaksalah penjelasan juga dibuat secara terbuka.
Untuk rekod, sebagai bekas pimpinan tinggi Abim, saya sudah cuba dan beberapa kali menawarkan untuk membincangkan isu ini dalam organisasi secara keluarga dan tertutup tetapi kurang sambutan terutamanya di pihak pimpinan Wadah.
Respons ringkasnya dahulu, saya berpandangan bahawa pimpinan Wadah sudah tersasar dalam memahami hukum qazaf dalam syariah Islam dalam kes Anwar-Mohd Saiful Bukhari Azlan ini.
Mereka harus mengkaji semula dan merujuk balik kepada pakar-pakar syariah yang khusus dalam bidang ini. Janganlah kasih atau benci kita terhadap mana-mana orang atau kumpulan menghalang kita bersikap objektif dan berlaku adil.
Soal utamanya, adakah kes Anwar-Saiful suatu kes tuduhan zina/liwat biasa? Atau adakah ia kes seorang yang mendakwa dirinya menjadi mangsa zina/liwat yang melibatkan paksaan?
Adalah jelas jika dilihat secara objektif bahawa ini bukan kes tuduhan zina/liwat daripada pihak ketiga terhadap mereka. Peguam negara hanya mewakili Saiful yg mendakwa sebagai mangsa. Jadi ini jelas bukan kes zina/liwat yang hanya boleh dibuktikan dengan empat orang saksi.
Kes ini lebih sesuai dikategorikan sebagai dakwaan rogol atau lebih tepatnya sebanding dengan kes-kes sumbang mahram atau gangguan seks oleh majikan di tempat kerja. Dalam kes-kes sebegini, beban buktinya dalam Islam tidak sama dengan dakwaan zina/liwat. Bukan empat orang saksi. Bukan. Bukan.
Kalau masih dituntut empat orang saksi ke atas seseorang yang mendakwa dirogol, atau jadi mangsa sumbang mahram ataupun gangguan seks di tempat kerja maka bayangkan akan mampukah mana-mana mangsa kes-kes tersebut mendapat pembelaan dan keadilan? Zalimlah Islam dan syariah Islam! Sukar sangatkah untuk memahami hal ini?
Maka Anwar (dan Wadah?), dalam kes Saiful, tidak boleh berselindung di sebalik hukum empat orang saksi atau di sebalik hukum qazaf. Mahkamah harus memberi peluang kepada Saiful untuk membentangkan apa-apa bukti lain yang diiktiraf syarak dalam kategori bayyinah atau qarinah kalaupun bukan saksi mata (syahadah).
Itulah intipati sikap saya dalam hal ini. Apabila balik nanti saya akan berbincang lebih lanjut dengan Cikgu Sidek tentang apakah langkah susulan yang perlu diambil. Kalau ada dan kalau mahu.
Sebenarnya saya dan saya yakin Cikgu Sidek banyak tugas dan tumpuan lain dan saya yakin sepatutnya Wadah juga banyak tugas dan tumpuan lain di gelanggang dakwah di Malaysia yang begitu luas.
Sampai bilakah dakwah Islamiyyah, umat Islam dan organisasi Islam di Malaysia hendak terlalu tertumpu, terheret dan terikat dengan seorang insan bernama Anwar Ibrahim.
Saya yakin bahawa kita semua tahu bahawa Islam, dakwahnya dan umatnya adalah lebih besar dan lebih tinggi daripada mana-mana individu, organisasi atau kumpulan.
Wallahu a'lam.
Dr Yusri Mohamad ialah pengerusi Yayasan Sofa dan gabungan Persatuan-Persatuan Pembela Islam (Pembela).
Sunday, December 25, 2011
Dilema PAS hadapi Hasan Ali
Hasan bukan sahaja menafikan tuduhan menemui pemimpin Umno malah menuduh Mustafa yang sebenarnya melakukan pertemuan seperti itu.
Isu pertemuan dengan pemimpin Umno -malah dengan mufti yang dilihat pro-Umno - menjadi isu sensitif dalam PAS sejak pilihan raya 2008.
Pertemuan seperti itu dilabel sebagai usaha berbaik atau bersatu dengan parti pesaing utama PAS itu, yang bersaing merebut undi Melayu Muslim.
Kekecohan di media berhubung Hasan tercetus ekoran kenyataan Saari Sungib, bekas ahli PKR yang kini memegang jawatan ketua penerangan PAS Selangor yang memberi gambaran Hasan tidak akan dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 kerana ditolak ahli akar umbi.
Saari walau bagaimanapun tidak mendapat perhatian selepas tercetus kekecohan, apabila tumpuan ditujukan pada Hasan dan Nasharudin Mat Isa, bekas timbalan presiden.
Kedua-dua Hasan dan Nasharudin dituduh mahu menyertai Umno ekoran perselisihan pendapat dengan pandangan popular dalam parti. Kedua-duanya juga tidak popular dengan media parti.
Hasan walau bagaimanapun mempunyai kelebihan tersendiri, terutama di Selangor ekoran populariti beliau dalam kalangan masyarakat Melayu tanpa mengira kesetiaan parti.
Walaupun telah diturunkan dari kedudukan pesuruhjaya negeri, Hasan masih mempunyai pengaruh di dalam dan luar parti, dan terus membinanya hasil daripada kontroversi yang dilaluinya selama ini.
Tindakannya memohon maaf kerana menyerang gagasan negara berkebajikan yang dipersetujui parti mampu memperbaiki sikap ramai terhadapnya, dan memperlihatkan beliau sebagai ikhlas.
Kecamannya terhadap ide negara berkebajikan menyebabkan pihak yang sebelum itu menyokongnya terutama kepimpinan pemuda, berundur dan menegaskan sokongan terhadap program parti itu.
Kontroversi melibatkan Hasan, pertama kali dalam kes gereja di Damansara Utama, Selangor, telah memberi kesan kepada PAS disebabkan cara isu itu ditangani yang kelihatan berdasarkan perkiraan politik semasa menjaga undi bukan Muslim.
Tekanan terhadap Hasan memudahkan permainan musuh parti yang mengaitkan layanan terhadap exco negeri Selangor itu sebagai akibat sikap yang membela kepentingan umat Muslim, antaranya isu kawalan penjualan arak.
Pendirian Hasan dalam hal berkaitan ditentang hebat oleh DAP dan pemimpin PAS lain yang dilihat terlalu menjaga hati kaum bukan Muslim.
Layanan terhadap Hasan - dan juga Nasharudin - dikemukakan oleh Umno terutamanya sebagai bukti sikap yang tidak selari dengan DAP dan tuntutan bukan Muslim akan mendatangkan akibat buruk, yang dikenakan oleh parti Islam itu sendiri.
Episod ini memberi kesan kepada undi Melayu, terutama di negeri Selangor, selain mendedahkan lagi kecelaruan dalaman PAS dalam menghadapi politik pasca-Pilihan Raya Umum ke-12 bersama gabungan pembangkang PR.
Tuesday, December 20, 2011
Bahasa, sekolah kebangsaan teras nasionalisme
Ada pihak menganggap semangat kebangsaan atau nasionalisme adalah ‘asabiyyah sehinggga dilabelkan bercanggah dengan Islam kerana dikaitkan dengan asal-usul dari dunia Barat.
Namun, salah faham ini sudah dijelaskan oleh Dr Burhanuddin Helmy yang pernah memegang jawatan presiden PAS pada 25 Disember 1956.
Dalam bukunya, Falsafah Kebangsaan Melayu (1954) beliau menegaskan bahawa fahaman kebangsaan Melayu yang dianjurkannya bukan bersifat perkauman, fanatik atau ‘asabiyyah jahiliyyah yang sempit tetapi bertujuan untuk “memelihara dan menghidupkan hak kebangsaan Melayu bertaraf duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa atau kebangsaan yang lain di dunia ini.”
Justeru, dalam realiti sosial Malaysia pada dekad pertama kurun ke-21 ini, kedudukan nasionalisme perlu jelas difahami baik di pihak parti politik Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR).
Bezanya, hari ini lebih tepat lagi bermula sejak orang bukan Melayu memperoleh taraf kerakyatan warganegara ini menjelang kemerdekaan lalu bukan lagi nasionalisme Melayu seperti yang pernah diperkatakan oleh Burhanuddin sebaliknya nasionalisme Malaysia.
Ini selari dengan kenyataan Rustam A Sani dalam bukunya, Ke Mana Nasionalisme Melayu? bahawa realiti politik pasca-kolonial telah menyebabkan nasionalisme Melayu berubah namun diteruskan dalam kerangka negara-bangsa Malaysia.
Persoalannya, adakah kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak di bawah “mantera” 1 Malaysia (sepatutnya disebut “satu” bukan “one” seperti yang lazim disebut orang) telah berusaha mencapai nasionalisme Malaysia yang tetap tidak menafikan asas-asas kenegaraan dan nasionalisme yang berteraskan Melayu?
Dari segi keutamaan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang bermaruah di negara ini, kita dapat saksikan taraf bahasa milik semua rakyat Malaysia ini bagai disepak tidak dipeduli. Padahal, sentimen bernegara satu seperti yang diteriakkan dalam 1 Malaysia itu mestilah bersandarkan Satu Bahasa (boleh ditulis 1 Bahasa?) kerana bahasalah alat utama pengukuhan semangat nasionalisme mana-mana negara bangsa di dunia ini.
Najib sendiri dan sebahagian pemimpin dalam BN termasuklah sebahagian pemimpin PR terutama dari DAP seperti berasa hina diri (inferiority complex) untuk berucap dalam bahasa Melayu di majlis rasmi atau memberi maklum balas terhadap temuramah bersama pihak media.
Selanjutnya gejala bapak borek anak rintik pun berlanjutan dalam segenap bidang hidup bernegara. Bahasa kebangsaan bukan bahasa ilmu di peringkat pengajian tinggi dan bahasa utama dalam majlis atau acara rasmi jabatan/agensi kerajaan.
Pihak berkuasa tempatan pun kini sudah tidak kisah meluluskan sahaja penamaan kawasan pembangunan atau taman perumahan dengan nama asing hinggalah kepada tindakan zalim terhadap bahasa kebangsaan dalam penerbitan iklan termasuk dari Petronas sendiri; fi’il bercakap yang celaru di kalangan artis tempatan; lambakan program tv dalam pelbagai bahasa asing yang tidak dialihsuarakan seperti amalan lazim negara luar; tulisan bahasa Melayu yang kecil saiznya dan kabur pada papan-papan iklan serta pengumuman nombor giliran atau pilihan bahasa pada mesin ATM di sebahagian bank dan banyak lagi.
Justeru, penekanan terhadap bahasa kebangsaan sebagai bahasa perhubungan, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan perlu benar diberi tumpuan jika kita tidak mahu nasionalisme rakyat Malaysia terus rebah menyembah bumi.
Dalam masa sama, unsur-unsur simbolis nasionalisme sebagai ciri asasi negara Malaysia perlu diuar-uarkan. Persekitaran harus dijana membangkitkan rasa kebersamaan antara rakyat tanpa mengira warna kulit melalui ikatan bahasa kebangsaan tadi.
Sistem pendidikan Malaysia terutamanya tidaklah boleh dibanggakan selagi tidak wujud sekolah satu aliran. Ironi sekali dalam kita bersungguh-sungguh melaung 1 Malaysia tetapi di sini jugalah ada “jenis-jenis” sekolah kebangsaan mengikut kaum!
Apa semua ini!? Iltizam politik sama ada dari BN mahupun PR mesti tegas dalam hal ini kerana kewujudan pelbagai aliran sekolah hanya akan mudah dieksploitasi untuk kepentingan politik yang berkiblatkan republik China dan negara India.
Tidak mustahil PR jika diizinkan Tuhan memerintah Malaysia kelak akan berdepan dilema sama seperti BN hari ini yang terpaksa mengikut sahaja kehendak sekolah vernakular atas kepentingan politik kepartian.
Jelas, aspek bahasa kebangsaan dan sekolah kebangsaan adalah dua alat utama mengukuhkan rasa nasionalisme yang patut dimulakan sekarang sebelum sembilan tahun lagi tibanya sasaran taraf Malaysia maju menjelang tahun 2020.
Arif Atan ialah pemerhati politik yang memberi tumpuan khusus pada isu Melayu. Artikel ini pertama kali disiar pada Julai 2010.
Saturday, December 17, 2011
Pena, Interlok dan politik pilihan raya
Tentangan sesetengah pihak daripada kaum India terhadap penggunaan novel itu dalam pengajaran sastera di sekolah akhirnya berjaya ekoran pengumuman kerajaan baru-baru ini.
Masa pengumuman ini dibuat dikaitkan dengan Pilihan Raya Umum ke-13 dan usaha Barisan Nasional memenangi undi kaum India, yang memberi undi dalam jumlah yang besar kepada pembangkang dalam pilihan raya umum sebelum ini.
Berita berhubung Interlok itu ialah tamparan terbaharu kepada pejuang bahasa Melayu selepas perjuangan menentang dasar pendidikan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak mencapai matlamat.
Walaupun selepas desakan kuat penentang PPSMI, kerajaan mengumumkan dasar itu hanya akan ditamatkan pada 2016 untuk sekolah rendah dan 2021 untuk sekolah menengah, masa yang bermakna dasar itu akan terus berjalan untuk hampir 10 tahun lagi.
Permainan politik pemerintah jelas kelihatan dalam menguruskan kemarahan pejuang bahasa terhadap pengumuman terbaharu yang bakal mencetuskan reaksi keras itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang menghadiri makan malam majlis sambutan 50 tahun Pena semalam mengumumkan bantuan bernilai RM5 juta untuk penerbitan buku termasuk karya penulis muda dan RM1 juta untuk memulihkan Rumah Pena, tindakan yang dilihat ramai sebagai gula-gula pilihan raya.
Najib, pada masa sama, turut merasmikan program besar Pena, iaitu Perhimpunan Penulis Muda Nasional ketiga yang diadakan di Kuala Lumpur selama dua hari bermula hari ini.
Pena berada di barisan hadapan dalam mempertahankan Interlok sebagai teks sastera sekolah dan mendesak pemansuhan PPSMI, dasar yang dimulakan pada tempoh hujung pentadbiran Mahathir.
Tindakan pemerintah berundur dalam isu Interlok menambahkan lagi kritikan terhadap gagasan 1 Malaysia yang didakwa lebih berkecenderungan liberal dan mengabaikan kepentingan Melayu.
Penarikan Interlok ini juga berpotensi mendedahkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada lebih banyak kritikan pejuang bahasa.
Muhyiddin sebelum ini menunjukkan pendirian agak tegas dalam isu Interlok, sikap yang lebih disenangi pihak pejuang bahasa.
Selain pejuang bahasa, kedua-dua isu turut menjadi isu penting yang dijadikan modal politik oleh parti-parti pembangkang terutama PAS.
Friday, December 16, 2011
Game changer?: Selebriti dan parti politik (Bhg 2/3)
Sasterawan A Samid Said kini menjadi seniman paling lantang berkempen untuk pakatan pembangkang, menggesa segera dilakukan "regime change," iaitu menukar pemerintah Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat.
Samad Said merupakan seniman yang agak lewat menyatakan pendirian politik secara jelas, tidak seperti seniman lain contohnya Sasterawan Negara Prof Emiritus Datuk Shahnon Ahmad, yang memanaskan politik negara dengan novel kritik pentadbiran Mahathir, Shit.
Penglibatan sasterawan besar seperti Shahnon dan Samad Said menjadi berita panas pada masa penglibatan aktif mereka, kerana kedudukan mereka dan juga mesej yang mereka sampaikan.
Gesaan menukar rejim dan novel Shit boleh dilihat sebagai kritikan paling keras dan tidak berselindung terhadap parti pemerintah.
Kedua-dua sasterawan pula terlibat aktif dalam politik pembangkang di barisan hadapan, dengan Samad Said berdemonstrasi bersama Bersih kedua dan Shahnon bertanding mewakili PAS dan memenangi Parlimen Sik di Kedah pada 1999.
Shahnon semasa penglibatannya menjadi salah satu kempen paling berkesan dalam menentang parti pemerintah. Tambahan pula, pentadbiran Mahathir pada masa itu menghadapi cabaran getir ekoran tentangan popular terbuka terhadap parti pemerintah.
Kali ini, selepas lebih 12 tahun Shahnon mula terlibat dalam politik, Samad Said pula mendepani kempen menentang pemerintah, membawa kempen "regime change" yang dipopularkan semula oleh pentadbiran Bush di Amerika Syarikat.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac, 2008, penglibatan selebriti dalam politik semakin menjadi fenomena biasa, di kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang.
Menyedari impak yang dapat dihasilkan daripada penglibatan selebriti, parti-parti politik semakin berusaha menarik artis popular sebagai kempen menarik sokongan popular.
Maka dalam kempen pilihan raya umum nanti, boleh dijangka penglibatan lebih tersusun selebriti dalam kempen, yang tidak terhad kepada ceramah tetapi juga aktiviti-aktiviti lain.
Seniman-seniman popular yang semakin menunjukkan sikap politik masing-masing dijangka berada di barisan hadapan dan menjadi satu tumpuan dalam fenomena kempen politik negara ini.
Samad Said, seniman yang paling agresif menentang pemerintah pada masa ini, telah memulakan kempen dengan membawa mesej "regime change."
Menghadapi kempen agresif sasterawan ini, parti pemerintah akan memerlukan kempen yang lebih daripada apa yang dibawa selama ini.
Bahagian 3: Politik selebriti dan selebriti politik
Thursday, December 8, 2011
Kontroversi "hitam metalik" ujian 1 Malaysia DAP
Dengan tafsiran 1 Malaysia menurut parti itu, Najib sering diletakkan dalam posisi defensif kerana didakwa membelakangi gagasan diilhamkannya itu.
Terbaru, pemimpin DAP Lim Guan Eng sekali lagi menggunakan 1 Malaysia untuk menyerang Najib, menggesa perdana menteri membuktikan kepatuhan kepada ide itu.
DAP yang mentafsirkan 1 Malaysia menurut pandangannya telah menjadikan 1 Malaysia milik parti itu sendiri, berdasarkan peranannya sebagai "polis 1 Malaysia" yang sangat agresif.
Najib dan Umno sentiasa berada dalam pemerhatian DAP, mengkritik segala gerak yang dilihat menunjukkan rasisme orang Melayu.
Episod terbaharu berkaitan isu 1 Malaysia muncul ekoran kenyataan rasis Nga Kor Ming, seorang wakil rakyat DAP yang ditujukan kepada orang berkulit gelap ketika mengecam menteri besar Perak dalam satu ceramah.
Sejak Mac 2008, apa yang tersimpan dalam hati pemimpin-pemimpin parti itu telah diperlihatkan kepada umum, walaupun sebahagiannya terlepas atau dimaafkan.
Jeff Ooi pernah menyifatkan Jamaah Islam Malaysia sebagai sebuah kumpulan pelampau Islam dan ahlinya tidak sepatutnya berada dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang.
Manoharan Malayalam dalam satu kenyataan biadap mengatakan bendera negara akan ditukar sekiranya Pakatan Rakyat memerintah Malaysia.
Setiausaha Agung Lim Guan Eng membuat kenyataan fitnah ke atas negeri Johor (yang dipimpin Umno dan Barisan Nasional), membandingkan negeri itu dengan Pulau Pinang ditadbir DAP.
Walau bagaimanapun, hanya Mahoharan yang dikecam secara terbuka (sesuatu yang jarang dilakukan oleh DAP) dan dikenakan tindakan.
Selain sikap rasis, perkembangan ini juga tidak dapat dielakkan daripada dibaca sebagai dominasi kaum Cina dan elit daripada kalangan yang sama sejak puluhan tahun lalu dalam DAP.
Isu terbaharu melibatkan Ramasamy Palanisamy, pemimpin yang juga timbalan ketua menteri 2 Pulau Pinang memberi gambaran kedudukan kaum India dalam DAP.
Tindakan selektif oleh DAP mendedahkan siapa yang menguasai parti itu, pihak mana yang kebal dan pihak mana yang boleh dikorbankan.
Wednesday, December 7, 2011
Obama tekad sokong gay seluruh dunia
Pentadbiran Obama dilapor akan menggunakan segala alat diplomasi AS termasuk bantuan kewangan untuk mempromosi isu yang dianggap sebahagian hak asasi manusia itu.
Setiausaha Negara AS Hillary Clinton dalam satu kenyataan menegaskan akan memerangi usaha menyekat aktiviti homoseksual di peringkat antarabangsa.
Kenyataan Obama dan Clinton ini ialah yang paling tegas melibatkan isu hak gay oleh kerajaan AS.
Isu hak gay atau golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) semakin mendapat perhatian di seluruh dunia ekoran kebangkitan aktivisme kumpulan itu yang dibantu oleh wacana hak asasi yang lebih terbuka dan agresif.
Perjuangan golongan LGBT di seluruh dunia juga mencetuskan ketegangan antara kelompok liberal dengan konservatif seperti yang berlaku di Malaysia bulan lalu.
Acara kempen hak gay Seksualiti Merdeka bulan lalu mencetuskan kontroversi melibatkan masyarakat dan parti-parti politik.
Kaitan tokoh yang terlibat dalam acara itu telah dijadikan modal politik parti konservatif Umno dan penyokongnya untuk mengaitkan seluruh parti dalam Pakatan Rakyat termasuk PAS dengan perjuangan golongan LGBT.
Penglibatan aktivis hak asasi Datuk Ambiga Sreenevasan sebagai perasmi program tersebut (yang kemudian dibatalkan) meningkatkan profil kumpulan aktivis gay tersebut, tetapi turut mengaitkan PR ekoran penglibatan Ambiga dalam Bersih 2.0.
Ambiga ialah antara tokoh penting perjuangan hak asasi di Malaysia, dan pernah menerima anugerah daripada kerajaan AS, yang diserahkan oleh Clinton sendiri.
Penegasan pentadbiran Obama ini juga bakal mencetuskan kecaman hebat terhadap AS dan mendedahkan kumpulan gay di negara ini dan seluruh dunia kepada dakwaan berperanan sebagai alat kuasa asing.
Malaysia ialah salah sebuah negara yang dilihat mengekang hak gay, dan mendapat liputan meluas dalam media antarabangsa ekoran pendirian ini.
Konsert Elton John yang disusuli acara Seksualiti Merdeka bulan lalu menjadi isu terbaharu yang menjadikan Malaysia perhatian media antarabangsa dalam isu hak gay.
Tuesday, December 6, 2011
Game changer?: Selebriti dan parti politik (Bahagian 1/3)
1. Selebriti dan parti politik
Golongan selebriti, termasuk pelakon, penyanyi dan pengacara, kini semakin terlibat dalam politik di kedua-dua belah pemerintah dan pembangkang secara terbuka, dan menjadi sebahagian berita politik negara.
Tidak seperti satu masa dahulu, semasa Tun Dr Mahathir Mohamad masih menjadi perdana menteri, kaitan penggiat seni dengan pembangkang mendatangkan akibat yang buruk, seperti dihalang muncul di media dikuasai pemerintah, yang disebut sebagai "kena gam."
Pada masa ini, walaupun tidak bebas sepenuhnya, ramai selebriti semakin berani menunjukkan sokongan terbuka atau menyertai parti pembangkang.
Seperti ditunjukkan dalam kes Bob Lokman, penyertaan dalam pembangkang memerlukan tindakan meninggalkan industri seni yang disertai, menunjukkan kebebasan sepenuhnya maih belum wujud.
Pihak industri kelihatan masih tidak terbuka kepada pernyataan sikap politik yang jelas oleh penggiat budaya popular, yang sebahagiannya disebabkan oleh perkiraan pasaran.
Penyertaan dalam PAS setakat ini kelihatan, selain sikap politik juga berkait dengan kesedaran penghayatan cara hidup Islam oleh penggiat seni, seperti dalam kes Bob Lokman dan juga selebriti lain.
Hal seperti ini menjadi satu faktor industri yang sebahagian besarnya tidak mesra dengan elemen konservatif seperti itu kelihatan tidak terbuka dengan kecenderungan tersebut.
Walau bagaimanapun, kewujudan "budaya popular Islam" atau dalam industri seni dapat memberi ruang kepada elemen hiburan yang lebih konservatif, walaupun politik yang sangat jelas mungkin sukar diterima.
Industri yang lebih Islamik ini masih baharu dan tidak seluas industri dominan yang turut menyaksikan peranan syarikat multinasional yang lebih mempunyai modal besar.
Dalam hal ini, dari satu sudut, penglibatan aktif dalam politik pembangkang (selagi parti-parti terbabit masih menjadi pembangkang) memerlukan tindakan keluar daripada industri, dan mencari ruang atau pasaran lain untuk aktiviti seni.
Tetapi pembangkang, tidak seperti parti pemerintah, mempunyai tarikan popular seperti elemen anti-establishment atau penentangan terhadap autoriti dan penentangan terhadap korupsi dan penyalahgunaan kuasa yang dikaitkan dengan pemerintah.
Peningkatan populariti pembangkang (dan mungkin prospek menjadi pemerintah pusat dalam masa terdekat) menjadi satu faktor yang menarik semakin ramai penggiat seni menyertai dan menunjukkan sokongan.
Sumbangan terbesar yang dapat segera diberikan oleh selebriti ialah melalui tarikan popular mereka sebagai selebriti.
Budaya popular ialah sesuatu yang paling meluas, paling dapat diterima oleh paling ramai audiens, berbanding semua isu lain daripada inflasi hingga ke perincian urus tadbir negara.
Selebriti penggiat budaya popular membantu meningkatkan imej parti politik tanpa perlu berkata apa-apa, tetapi cukup dengan menghadiri majlis parti tersebut.
Kehadiran itu ialah satu endorsement dan kempen bersifat popular untuk menarik orang ramai menyokong parti terbabit.
Kerana faktor inilah parti-parti politik berlumba-lumba berusaha untuk mengaitkan selebriti dengan parti mereka.
Sebagai perbandingan, pemerintah yang satu masa dahulu mengekang dan memotong rambut panjang pemuzik rock, hari ini parti pemerintah yang sama bersedia melakukan apa sahaja untuk dilihat bersama mana-mana pemuzik rock.
Kerana perkiraan inilah Umno berusaha memperlihatkan penyertaan Bob Lokman dalam PAS dan kehadiran Wardina Safiyyah Fadhullah Wilmot sebagai hal yang sangat negatif.
Tetapi, perkiraan yang sama juga yang mendorong mereka berusaha mendapatkan Lisa Surihani menghadiri perhimpunan Umno untuk menerima anugerah.
Bahagian 2: Selebriti dan kempen politik
Saturday, December 3, 2011
Game changer, PRU 13 dan masa depan Umno
Ucapan Najib dalam perhimpunan agung Umno itu mengandungi banyak peringatan dan dorongan, yang berkait rapat dengan penerusan hidup Umno selepas menghadapi pilihan raya umum nanti.
Selepas Mac 2008, Umno menjadi parti yang paling banyak berada dalam keadaan defensif ekoran serangan agresif dan konsisten pakatan pembangkang, walaupun masih menjadi parti pemerintah.
Ideologi dan segala pegangan serta amalan Umno dikecam hebat sebagai perkara yang paling rosak dan buruk. Umno disinonimkan dengan korupsi, rasisme dan segala elemen jahat.
Menjelang 16 September, 2008, Umno kelihatan tergugat dan cemas berdepan ancaman pembangkang mengambil alih pemerintahan negara.
Ucapan dasar Najib sebagai presiden Umno menampakkan kesedaran terhadap ancaman-ancaman dihadapi Umno sejak 2008, yang berterusan hingga Umno kelihatan tidak sempat mencari ruang bernafas.
Peringatan bersedia menghadapi elemen yang mencetus perubahan dramatik permainan politik (game changer) yang diucapkan Najib mendedahkan kebimbangan parti pemerintah itu terhadap realiti semasa seperti bahasa baharu politik dan peranan media sosial yang semakin berpengaruh.
Setakat ini Umno nampaknya masih mampu menangani serangan media internet (walaupun dengan belanja yang besar) dan usaha Najib memulihkan imej dirinya dan parti kelihatan menampakkan hasil positif.
Walau bagaimanapun, pemulihan itu hanya satu aspek daripada banyak hal yang menyentuh pengundi, dan menjadi faktor diambil kira dalam memberikan undi.
Perubahan melibatkan penyebaran maklumat dan sentimen terhadap pemerintah sememangnya menjadi faktor yang mengubah permainan politik negara.
Pembangkang dan segala elemen penentang establishment di negara ini berjaya membawa dan menyebarkan bahasa baharu yang menjejaskan Umno dengan teruk, ketika Umno sebahagian besarnya masih bercakap dalam bahasa lama dan kurang sedar dengan realiti pasaran bebas ide.
Ucapan Najib menampakkan kesedaran itu, dan peringatan yang diberikan (yang bukan pertama kali ditujukan kepada "orang Umno") menampakkan kesungguhan.
Tetapi kedudukan Umno yang lama di tampuk kuasa telah membina satu budaya dan pandangan yang menyumbang kepada berleluasanya sentimen negatif terhadap parti itu, dan memerlukan masa yang panjang untuk diuruskan.
Najib ada mengingatkan ahli supaya tidak bersikap sombong dan angkuh. Malangnya, wacana sebagai pihak yang mempunyai kuasa sejak merdeka menjadikan sifat itu sebagai sesuatu yang kuat dalam Umno.
Budaya berwacana, menangani pelbagai isu dengan rasional masih sukar diterima oleh Umno, terutama di peringkat bawah yang lebih banyak berdepan dengan rakyat biasa.
Dua contoh mudah ialah isu seperti melibatkan projek ternakan lembu yang dikaitkan dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan tindakan beberapa orang selebriti menyertai atau menunjukkan sokongan kepada pembangkang.
Reaksi dominan dalam Umno ialah membalas kritikan terhadap pengkritik dengan emosi dan bermain sentimen tanpa menjawab persoalan sebenar, dalam kes Shahrizat. Yang kedua, kecaman dan tuduhan tidak mengenang budi kepada selebriti yang menyokong pembangkang.
Seperti diperhatikan dalam wacana dominan blog-blog Umno, selebriti yang menyokong pembangkang dikait dengan isu seperti "tidak mengenang budi" dan sebagainya, yang berdiri di atas pegangan sokongan kepada pembangkang ialah pengkhianatan.
Kedua-dua kes ini menunjukkan kelemahan besar Umno yang gagal menjawab secara rasional, tersusun dan bertanggungjawab, dan andaian bahawa segala diperolehi rakyat selama ini (termasuk selebriti terbabit) ialah jasa Umno (yang menimbulkan dakwaan tidak mengenang budi itu).
Bahasa yang diucapkan ini ialah bahasa lama, berdasarkan pemikiran lama yang tidak mesra dengan kritikan dan pertanggungjawaban. Bahasa ini tidak mempersoalkan pemisahan kuasa antara Umno, kerajaan yang memerintah dan negara.
Perubahan dalam wacana politik ini masih kurang disedari Umno yang selama ini bersaing dalam medan permainan yang berat sebelah, dengan Umno memiliki segalanya termasuk monopoli terhadap "kebenaran."
Permainan hari ini sudah berubah dan perang pemikiran semakin menyebelahi pembangkang dan segala kuasa liberal yang bersedia memerangi Umno dan segala pegangannya.
Perubahan ini mungkin satu game changer yang paling sukar ditangani Umno, dan semakin menjadi faktor yang menjadikan masa depan Umno dibayangi persoalan.
Friday, December 2, 2011
Parti kultus dan retorik
Anwar dapat dijelaskan sebagai pemimpin utama gerakan ini, sehingga berupaya menyatukan pembangkang dalam satu pakatan walaupun selepas kegagalan eksperimen penyatuan PAS, Semangat 46 dan DAP sebelum itu.
Pemecatan Anwar daripada Umno terus menghasilkan personaliti baharu bekas timbalan perdana menteri itu, menjadikannya pemimpin utama misi membersihkan negara daripada elemen-elemen korup pemerintah, malah parti Umno itu sendiri, yang dikemukakan sebagai memonopoli segala keburukan dalam lapangan politik, ekonomi dan sosial negara.
Kini, selepas gerakan yang bermula pada 1998 dilihat semakin hampir merampas tampuk pemerintahan negara, wacana parti yang membawa obor reformasi cetusan Anwar terus kelihatan sebagai sebuah kumpulan yang sangat berpusatkan personaliti bekas pemimpin nombor dua dalam kerajaan itu.
Kongres terbaharu PKR di Johor minggu lalu tidak menunjukkan perbezaan wacana dan retorik parti itu, yang terus mengangkat dan mengagungkan Anwar, mengutuk musuh-musuh politik dan memberi lagi harapan merampas pemerintahan kerajaan pusat.
Paling utama, dan yang paling dapat diperhatikan - walaupun tanpa secara serius memantau laporan kongres itu - ialah tumpuan yang terus diberikan kepada Anwar, sehingga muncul kenyataan seperti "memecahkan tembok penjara."
Seperti juga kongres dan pertemuan parti sebelum ini, tema yang hampir serupa diulang lagi, dan setiap kali menerima sorakan ahli-ahli parti.
Tempoh panjang sejak 1998 masih tidak mengubah posisi Anwar dalam partinya - yang dipimpin sebagai ketua umum yang tidak dipilih secara demokratik - malah menjadikan beliau lebih mengukuhkan cengkaman.
Realiti PKR berhubung kedudukan Anwar (dan keluarga) tidak menjadi persoalan kepada ahli-ahli parti, sekurang-kurangnya tidak secara terbuka, walaupun isu penguasaan seorang pemimpin dan ahli keluarga menjadi isu utama serangan terhadap Umno ketika tercetus kebangkitan 1998 dahulu.
PKR sendiri tidak dapat menjawab kritikan terhadap kedudukan istimewa ketua umumnya, kedudukan yang mungkin tidak akan wujud lagi atau tidak berkuasa seperti halnya Anwar pada masa kini, menjelaskan kuasa kultus personaliti Anwar ke atas PKR.
Walaupun merupakan parti Pakatan Rakyat paling bermasalah dalaman sejak 2008, PKR terus mengangkat diri sebagai parti utama dan pemimpin gabungan pembangkang.
Tahun-tahun selepas kejayaan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-12 menyaksikan ramai wakil-wakil rakyat PKR dan rakan-rakan rapat Anwar meninggalkan parti, sehingga mengubah imbangan kuasa dalam PR menjadikan DAP parti PR memiliki paling banyak kerusi di Parlimen.
Tetapi sehingga kini, selepas kongres yang mungkin terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, masih belum nampak upaya bersungguh-sungguh PKR untuk berubah, dan bukan hanya mengubah kerajaan memerintah.
Thursday, December 1, 2011
Sikap rasis terus berleluasa dalam DAP
Ucapan rasis dan biadap Nga itu didedahkan melalui rakaman video, sehingga memaksa pemimpin DAP Perak itu memohon maaf.
Nga menyifatkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sebagai "hitam metalik" dan "haram jadah" dalam satu ceramah.
Perkembangan ini mendedahkan lebih daripada kecenderungan rasis DAP tetapi juga kepincangan sikap PR yang selektif dalam penilaian moral, angkuh, dan terlalu dikuasai emosi.
Sikap rasis dalam kalangan PR telah kelihatan sejak Perak dirampas oleh Umno dan Barisan Nasional pada awal 2009.
Terutama pada awal peristiwa itu, Zambry menjadi sasaran serangan kata-kata rasis, seperti "Zambry Mamak," dan serangan peribadi lain oleh penyokong dan ahli parti-parti PR yang dapat diperhatikan di blog dan laman jaringan sosial Facebook.
Satu kepincangan yang mudah diperhatikan ialah pertanggungjawaban terhadap kenyataan itu, dan bagaimana rakan pakatan jelas kelihatan tidak terganggu dengan kenyataan itu, menjadikan seolah-olah kenyataan rasis seperti itu dibenarkan sekiranya ditujukan kepada Umno dan BN.
Selama ini amat mudah diperhatikan bagaimana parti-parti PR akan segera mempertanggungjawabkan tokoh-tokoh atau media Umno yang bersikap rasis (atau sekadar didakwa rasis), memperlihatkan Umno sebagai pihak paling rasis dan PR sebagai paling toleran.
Sebelum ini, dalam satu kes berprofil tinggi, wakil rakyat DAP Manoharan Malayalam membuat kenyataan melalui laman sosial menggesa bendera Malaysia diubah sambil mengeluarkan kenyataan-kenyataan ofensif, mendedahkan elemen rasis yang berleluasa dalam DAP.
Isu rasisme menjadi satu tunjang utama PR dalam menghadapi Umno dan BN, mengaitkan pelbagai isu daripada Dasar Ekonomi Baharu hingga kenyataan politik pemimpin parti pemerintah.
Ideologi etnonasionalis Umno dan sekutu menjadi isu utama yang dikaitkan dengan pendirian rasis gabungan parti pemerintah, yang dikemukakan sebagai bertentangan dengan ideologi "politik baharu" PR yang liberal.
Sering kali, serangan dilakukan secara berlebihan yang semata-mata berdasarkan perkiraan politik kepartian.
Hakikatnya, wacana balas terhadap sikap rasis yang dikatakan merupakan ciri "politik lama" tidak kelihatan berjalan dalam PR.
Episod kenyataan rasis Nga ini telah mendedahkan bahawa sikap rasis wujud dan subur dalam DAP dan kalangan pembangkang.