Tuesday, November 27, 2012

Hamas, Iran dan politik baharu Palestin

Oleh HARIS ZALKAPLI

Perkembangan terkini dunia Arab telah menampakkan perubahan, melibatkan perubahan kepimpinan di beberapa negara dan perubahan pendekatan dan aliansi.

Hamas, kumpulan yang terpinggir di Gaza sejak kemenangannya dalam pilihan raya pada 2006 mendapat manfaat ekoran kebangkitan serantau, dan mula menyesuaikan diri menjadi lebih pragmatik.

Politik baharu Hamas dalam menyesuaikan diri dalam persaingan kuasa serantau kini sedang mengubah gerakan ini, yang perlu mengimbangi peranannya sebagai kerajaan dan gerakan penentangan yang dilabel pengganas oleh masyarakat antarabangsa dan persaingan dalaman menentukan hala tuju gerakan. 

Sejarah sejak 2006 menyaksikan Hamas berdepan situasi yang amat sukar, selepas kemenangan dalam satu pemilihan demokratik tidak mendapat respons sewajarnya daripada masyarakat dunia, yang sesetengahnya melihat peningkatan peranan Hamas akan menyukarkan lagi proses damai.

Dunia mengiktiraf Fatah sebagai wakil rakyat Palestin, walaupun, seperti dibuktikan dalam pilihan raya itu, tidak mendapat sokongan sebahagian besar rakyat Palestin seperti Hamas.

Hamas yang terus dipinggir, termasuk melalui sekatan bantuan itu walau bagaimanapun mendapat talian hayat apabila Iran bersetuju untuk memberi bantuan kewangan kepada kumpulan itu, yang telah berperanan sebagai kerajaan.

Tetapi bantuan Iran tidak membebaskan Hamas daripada peminggiran, dan nasib Hamas hanya kelihatan berubah ekoran usaha mengatur semula pakatan antara kuasa-kuasa di dunia Arab, yang bergerak selari dengan gelombang kebangkitan rakyat terbaharu.

Selepas kepimpinan politik Hamas, diketuai Khaled Meshaal meninggalkan Damsyik ekoran tekanan ke atas rejim Basyar al-Assad dan membina hubungan dengan Qatar, Hamas menampakkan perubahan haluan dengan lebih jelas, dan pada masa sama perbezaan pandangan dalaman mula kelihatan.

Meshaal meninggalkan Damsyik dan mula membina hubungan rapat dengan pemerintah Qatar, yang lebih berkemampuan dari segi kewangan.

Isu pemberontakan di Syria dan pakatan Syria dengan Iran dan kumpulan-kumpulan Islam di Syam yang telah dikemukakan sebagai satu persaingan didasari ideologi antara Sunni dengan Syiah turut meningkatkan lagi tekanan ke atas Hamas untuk mengubah pakatan.

Doha, bersama sekutu Arab dan Turki menyokong pemberontak Syria dalam satu usaha untuk melemahkan pakatan Iran-Syria.

Lawatan Emir Qatar ke Gaza pada Oktober lalu, menjanjikan bantuan AS$400 juta untuk membina semula kediaman dan infrastruktur yang musnah ekoran serangan Israel hampir empat tahun lalu dari satu sudut telah meningkatkan profil Hamas, meningkatkan posisi Hamas berbanding Fatah yang di samping mengikat lagi Hamas dengan Doha. 

Qatar berkepentingan dalam isu Palestin ekoran peranannya sebagai perantara antara Hamas dengan Fatah yang telah bermula sejak 2006 lagi, dan bantuan kepada Gaza boleh dilihat sebagai satu usaha untuk memenangi komitmen Hamas di Gaza untuk menerima pelan Doha.

Berdepan realiti politik baharu yang melanda rantau Asia Barat, kepimpinan Hamas diwakili Meshaal dan yang berpangkalan di Gaza diketuai Ismail Haniyeh telah mula menampakkan perbezaan pandangan berhubung pendekatan politik lebih awal, beberapa bulan sebelum pertemuan di Doha untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Fatah.

Kepimpinan di Gaza mahu meneruskan penentangan bersenjata, manakala Meshaal menampakkan kecenderungan lebih pragmatik dan mahu mengubah pendekatan menjadi lebih aman.

Haniyeh walau bagaimanapun turut kelihatan mengimbangi aliansi dengan dunia Arab, yang didominasi kerajaan monarki seperti Qatar dan Arab Saudi, apabila menyatakan sokongan kepada rakyat Syria, yang menandakan penolakan terhadap rejim Bashar al-Assad dan sokongan kepada pemberontak.

Haniyeh sebelum itu, pada bulan yang sama, Februari, melawat Iran dan menyertai sambutan ulangtahun Revolusi Islam republik itu.

Hamas juga dalam satu kenyataan Mac lalu, ketika perubahan haluan Hamas semakin jelas, menegaskan tidak akan membantu Iran dengan melakukan serangan ke atas Israel sekiranya Iran diserang.

Hubungan Iran dengan Hamas telah terjejas, sehingga Tehran menurut satu laporan telah menghentikan bantuan tahunan sebanyak AS$300 juta pada pertengahan Ogos 2011.

Selepas itu, Turki dilaporkan bersedia menggantikan bantuan yang dihentikan Iran itu, tetapi dinafikan oleh Ankara.

Apapun yang berlaku selepas ini, perkembangan semasa menjadikan sukar untuk Hamas membina kembali hubungan dengan Syria dan Iran.

Perkembangan ini bermakna Hamas telah menjarakkan diri dan memutuskan hubungan dengan pakatan dikenali "paksi penentangan" menggabungkan Iran, Syria dan gerakan-gerakan Islam di Palestin dan Lubnan, yang juga dikemukakan oleh rejim-rejim Arab sebagai satu pakatan Syiah.

Pada masa sama, Syria dan Iran pula mula meningkatkan sokongan kepada kumpulan lain termasuk Jihad Islami, yang bertempur dengan Israel pada Oktober tahun lalu dan terbaharu Mac lalu, ketika Hamas berusaha mengekalkan gencatan senjata dengan Israel.

Pemimpin Jihad Islami, dalam satu wawancara dengan Reuters selepas serangan Israel penghujung tahun lalu menyatakan kesediaan untuk berperang habis-habisan dengan Israel dan menyatakan penghargaan kepada Iran yang memberi bantuan. 

Dalam serangan terbaharu Israel ke atas Gaza, Jihad Islami sekali lagi menyatakan terima kasih kepada Iran yang memberi bantuan, termasuk membekalkan peluru berpandu Fajr-5.

Iran, dalam tindakan untuk memperlihatkan peranan dalam konflik terbaharu Gaza, secara terbuka menyatakan bertanggungjawab memberi bantuan kepada Hamas dan Jihad Islami.

Pada masa sama, suara konservatif di Iran mengkritik kuat Hamas kerana meninggalkan aliansi dengan Iran dan bersekutu dengan Qatar dan Turki, mengingatkan kepimpinan Hamas bahawa sejarah membuktikan bahawa Iran lebih membantu Hamas berbanding negara-negara serantau yang didekati gerakan itu pada masa ini.

Walau bagaimanapun, perbezaan antara faksi dalam Hamas terus kelihatan, dan ditandai dengan lebih jelas melalui operasi ketenteraan Israel ke atas Gaza yang baru berlalu, yang disifatkan sebagai menampakkan kemenangan kumpulan di Gaza yang komited terhadap penentangan bersenjata.

Perkembangan selepas ini, yang masih bergerak pantas ekoran perkembangan terkini melibatkan kuasa-kuasa serantau, bakal menampakkan dengan lebih jelas haluan Hamas selepas ini. 

Ini juga membuktikan yang kebangkitan rakyat di dunia Arab pada masa ini bukan sahaja melibatkan politik dalaman dan pendemokrasian, tetapi juga melibatkan persaingan antara kuasa-kuasa serantau yang sengit, yang sedang mengubah aturan kuasa di seluruh dunia Arab.

Friday, November 23, 2012

Persaingan Najib-Anwar ambil hati Obama, siapa menang?

Imej memainkan peranan yang sangat besar dalam politik, dalam usaha membina imej popular untuk meraih sokongan ramai.

Dalam dunia hari ini, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menjadi pemimpin berimej paling popular, dengan muncul bergaya di pelbagai jenis majalah termasuk majalah budaya popular terkenal dan diminati di seluruh dunia.

Imej ini memberi implikasi positif yang luas kepada AS, ekoran kemampuan seorang presiden memberi impresi baik hanya melalui imej dirinya.

Imej Obama ini mampu memberi kesan positif kepada mereka yang mendekati dan dilihat bersamanya, menjadikan peluang dilihat bersama presiden AS daripada Parti Demokratik itu sesuatu yang sangat dihargai oleh pemimpin seluruh dunia.

Di Malaysia, dua pemimpin utama kerajaan dan pembangkang, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersaing untuk mendapatkan kesan imej positif Obama, dan juga sokongan melibatkan politik.

Najib tidak melepaskan peluang untuk dilihat bersama Obama, dan hal ini sentiasa menjadi isu yang diangkat media pemerintah setiap kali Najib bertemu Obama.

Malah, gambar Najib sedang memegang gagang telefon dan dilaporkan sedang bercakap dengan Obama juga pernah diangkat oleh media pemerintah, dalam satu usaha yang kelihatan terdesak dan murahan untuk dilihat bersama Obama.

Kemuncak usaha Najib ini ialah pertemuan empat mata di Washington di sidang kemuncak isu nuklear dan pelancaran Gerakan Moderat Global yang sentiasa disesuaikan untuk menarik perhatian Obama.

Malah keputusan kes Anwar Januari lalu, yang terkait dengan kekangan terhadap homoseksualiti juga kelihatan mempunyai kaitan dengan usaha untuk tidak meletakkan Malaysia di posisi berseberangan dengan Obama, ekoran pengumuman sokongan Washington terhadap homoseksualiti di seluruh dunia.

Najib juga menunjukkan sikap selari dengan Washington di sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC, di Arab Saudi Ogos lalu dan kemudian tidak menghadiri sidang kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di Iran selepas itu.

Anwar, yang mengambil banyak pengajaran berhubung kempen politik dari AS, tidak ketinggalan dalam usaha menumpang imej Obama dan menarik perhatian pemimpin AS itu.

Kempen Anwar kini menampakkan hal ini; dengan bas dihiasi gambarnya seperti yang dilihat dalam kempen presiden di AS, dan gaya berceramah sambil berjalan yang menyerupai gaya Obama dan gaya ucapan dalam kempen pemilihan presiden.

Terbaharu, Anwar menulis sebuah artikel dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan di laman webnya - dan bukan di akhbar seperti The Wall Street Journal yang biasa menjadi amalan Anwar untuk mengiringi pertemuan berprofil tinggi seperti Forum Ekonomi Asia Pasifik - menjelang lawatan Obama ke Burma.

Anwar biasa menulis komentar-komentar seperti ini untuk mengiringi acara-acara penting serantau dan global, untuk pelbagai tujuan yang antaranya termasuk menarik perhatian dan sokongan.

Dalam tulisannya itu, Anwar memuji peribadi Obama sambil turut menyebut kekerasan yang dikenakan ke atas peserta protes menuntut pilihan raya bersih, dipercayai merujuk kepada protes Bersih di Malaysia.

Pemimpin PKR itu memilih penggunaan nama Burma dalam tulisan ini, selari dengan dasar kerajaan AS. Dalam satu kenyataan lain, mengulas isu Rohingya, Anwar menggunakan nama Myanmar dalam kedua-dua kenyataan bahasa Melayu dan Inggeris. 

Anwar turut menggesa pentadbiran Obama membina kumpulan masyarakat sivil dan pakatan pembangkang yang efektif di Burma, dan dibaca berdasarkan konteks tulisan ini, juga dapat dikaitkan dengan seluruh rantau Asia Tenggara.

Di penghujung tulisan, Anwar memuji Obama dengan menyifatkan rakyat AS telah memilih seorang pemimpin yang "berprinsip dan berintegriti."

Persaingan merapati Obama antara Najib dan Anwar ini ialah satu sisi persaingan yang tidak kurang sengit berbanding persaingan lain antara kedua-dua tokoh yang masing-masing mengetuai kerajaan dan pakatan pembangkang itu.

Usaha kedua-dua pemimpin lama-kelamaan semakin jelas kelihatan dan semakin menarik untuk diperhatikan.

Persaingan ini menegaskan lagi kepentingan imej, yang berperanan meningkatkan profil dan populariti di dalam dan luar negara, dan paling utama, membuktikan kekuatan imej Obama sebagai seorang pemimpin.


Thursday, November 22, 2012

Monarki Arab, antara ancaman Iran dan ancaman Ikhwan

Oleh HARIS ZALKAPLI

Sejak 1979, tahun berlaku revolusi di Iran, isu ancaman pengaruh Iran dan Syiah menjadi satu topik yang sering diulang-ulang setiap kali kedudukan rejim-rejim Arab berasa terancam.

Dari Mesir ke Syam hingga ke Teluk Parsi dan Yaman, ancaman Iran sebagai kuasa serantau sering dikemukakan.

Tehran didakwa menggunakan proksi-proksi di seluruh dunia Arab untuk memperluaskan pengaruh, dakwaan yang walaupun ada kebenarannya, biasanya diperbesarkan dan disertakan implikasi yang amat negatif.

Persaingan serantau Arab Saudi dan sekutu dengan pakatan diketuai Iran muncul dalam hampir semua perkembangan politik serantau. 

Walau bagaimanapun, dilihat dengan lebih teliti, perkembangan semasa, terutama ekoran tercetus kebangkitan yang mengubah landskap politik di Mesir, Ikhwan al-Muslimin kelihatan lebih mampu menggugat rejim-rejim Arab, termasuk monarki yang sehingga ini masih tidak tergugat.

Perkembangan terkini, yang menyaksikan Ikhwan dan kumpulan yang mempunyai hubungan dengan gerakan ini lebih pragmatik, meningkatkan lagi ruang dan peluang gerakan Ikhwan serantau untuk mengatur gerakan bagi mendapatkan kuasa politik.

Ikhwan terlibat langsung dengan politik dalaman, dan mampu menyesuaikan diri untuk mendapatkan bantuan asing termasuk kuasa-kuasa besar.

Nama Ikhwan al-Muslimin dibicarakan dengan meluas sekali sejak tercetus kebangkitan di dunia Arab hampir dua tahun lalu, terutama di Mesir, dan dilihat sebagai tidak boleh dielakkan daripada diterima sebagai sebahagian realiti baharu politik Asia Barat.

Mesir ialah negara dengan gerakan Ikhwan paling berjaya, paling mendapat perhatian dunia dan paling menampakkan perubahan untuk menyesuaikan diri dengan politik semasa.

Sejak tercetus kebangkitan rakyat di Tunisia penghujung 2010, seluruh dunia Arab merasakan bahangnya, tidak terkecuali monarki-monarki Arab di Teluk Parsi, dan juga Jordan dan Maghribi, dua negara yang terpisah daripada monarki Teluk Parsi hanya dari segi geografi.

Kepentingan yang selari antara Jordan dan Maghribi dengan Majlis Kerjasama Teluk, GCC, telah bukan sahaja merapatkan hubungan sesama negara terbabit, tetapi juga membuka ruang penyertaan kedua-dua negara itu dalam GCC.

Setakat ini, negara-negara monarki di Teluk Parsi masih terselamat daripada kebangkitan rakyat Arab yang telah menyaksikan perubahan di beberapa buah negara republik - dengan Ikhwan mengambil peranan yang besar - disebabkan keadaan sosio-ekonomi yang jauh lebih baik dan sumber kewangannya yang besar.

Tetapi, satu kenyataan oleh ketua polis Dubai pada Julai lalu mendedahkan satu ketakutan pemerintah-pemerintah Arab di Teluk Parsi, negara-negara monarki yang tidak demokratik.

Kenyataan ini diulangi lagi oleh pemerintah-pemerintah monarki terbabit, yang mendakwa Ikhwan mahu merampas kuasa secara haram. Ikhwan dilihat monarki Arab terbabit sebagai satu punca kekacauan di dunia Arab, pandangan yang muncul selepas hubungan negara-negara terbabit dengan Ikhwan merosot dan berada di tahap paling rendah ekoran kebangkitan Arab.

Ikhwan yang semakin berpengaruh dan terlibat dengan kebangkitan massa di seluruh dunia Arab dilihat sebagai ancaman oleh pemerintah serantau, lebih-lebih lagi monarki yang menolak sistem demokrasi untuk memilih pemimpin tertinggi negara, sistem yang diharapkan Ikhwan untuk merampas tampuk pemerintahan.

Dalam hal asas ini, Ikhwan dan pemerintah monarki Arab mengambil posisi yang bertentangan sama sekali.

Walau bagaimanapun, Ikhwan tidak boleh dilihat sebagai satu organisasi yang monolitik di seluruh dunia Arab. Ikhwan Mesir dan Ikhwan di negara monarki GCC dan Jordan mengambil pendekatan berbeza, dengan sesetengahnya menjalin hubungan baik dengan pemerintah.

Namun kejayaan parti Ikhwan, Parti Kebebasan dan Keadilan dan calonnya Mohamed Morsi sebagai presiden Mesir telah memberi semangat dan dorongan kepada Ikhwan di negara lain, terutama Syria yang untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim pemerintah negara itu.

Kemenangan yang menaikkan semangat Ikhwan di seluruh dunia Arab itu dilihat dengan penuh syak dan bimbang oleh monarki-monarki Arab di Teluk Parsi, dan mendorong Morsi mengimbangi tindakan dasar luarnya dengan berhati-hati, dalam usaha menjalankan dasar luar yang lebih bebas.

Morsi telah melakukan lawatan luar pertamanya sebagai presiden ke Arab Saudi, untuk tidak menampakkan Kaherah masih berhubungan baik dengan Riyadh.

Tetapi perkembangan terbaharu menyaksikan Ikhwan di Jordan mengambil kesempatan daripada situasi ekonomi dan politik di negara itu, termasuk mengetuai protes massa menunjukkan penentangan terhadap raja Jordan.

Di Arab Saudi, Ikhwan yang menyaksikan hubungan turun naik dengan pemerintah menunjukkan penentangan terhadap pemerintah secara bermusim, dan tidak mempunyai keupayaan dan sokongan massa yang cukup kuat untuk memberi penentangan seperti yang dilihat di Mesir.

Qatar, negara yang aktif menggerakkan agenda serantaunya kini pula menjalinkan hubungan baik dengan Ikhwan, di dalam negara dan di seluruh rantau Arab, sehingga membolehkan Ikhwan dipergunakan untuk kepentingan politik serantau Doha.

Stesen televisyen al-Jazeera dan ilmuan Dr Yusuf al-Qaradawi yang berpangkalan di Qatar telah memainkan peranan yang membantu peningkatan pengaruh Ikhwan di Mesir, memperlihatkan satu kejayaan besar dalam pelaksanaan dasar luar Doha.

Dalam hal ini, Qatar memperlihatkan perbezaan dengan monarki GCC lain, disebabkan dasar luarnya yang lebih pragmatik dan agresif pada masa ini, di samping dana yang cukup besar untuk menggerakkan agendanya, seperti yang diperhatikan melalui bantuan kepada pemberontak Libya dan kemudian Syria.

Hal ini menjelaskan sokongan kuat pemerintah Qatar kepada pemberontak Syria, yang didominasi tokoh Ikhwan negara itu.

Seperti juga Mesir, Ikhwan di Syria dijangka bakal memainkan peranan penting, kalau pun bukan paling utama, dalam politik Syria selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad.

Dalam sejarah, hubungan terkini Ikhwan dengan rejim Qatar pada masa ini hampir menyerupai peranan Ikhwan menentang gerakan pan-Arabisme Jamal Abdul Nasser dengan sokongan Arab Saudi pada 1950-an.

Perkembangan ini menunjukkan pengaruh meningkat Ikhwan di dunia Arab sekarang ini, tetapi menunjukkan juga hubungan Ikhwan dengan kerajaan-kerajaan Arab yang boleh berubah mengikut kepentingan semasa.


Monday, November 19, 2012

PAS perlu henti dakwa DAP terima hudud

Dalam satu tindakan yang dilihat sebagai usaha menunjukkan satu bentuk kejayaan dalam kerjasama dengan sekutu Pakatan Rakyat, PAS telah beberapa kali mendakwa DAP telah mula lunak terhadap pelaksanaan hukum hudud.

Terkini, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib ketika muktamar parti di Kota Bharu, Kelantan membuat dakwaan yang hampir sama, dan segera disusuli penafian oleh Karpal Singh, veteran DAP yang berpengaruh.

Sebelum itu, Ketua Pemuda Nasrudin Hassan dalam sebuah forum mengatakan bahawa Karpal telah mula menerima hudud, walaupun hebat menentangnya sebelum itu.

Dakwaan Nasrudin itu merujuk kepada kenyataan Karpal di sebuah Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat di Pulau Pinang pada Disember, 2010, yang sering dibaca PAS sebagai bukti bahawa Karpal yang pernah membuat kenyataan ofensif berhubung hudud itu telah mula lunak terhadap hukum tersebut.

Hakikatnya, Karpal dalam ucapan di konvensyen itu tidak menyatakan dengan jelas penerimaan DAP terhadap hudud, tetapi sekadar menyampaikan mesej sedia berkompromi demi kerjasama dalam hal dipersetujui bersama, yang disampaikan dengan tidak menyebut sebarang komitmen secara jelas.

Pakatan bersama PAS, DAP dan PKR telah bersetuju meletakkan dokumen dikenali Buku JIngga sebagai dasar bersama, yang tidak meliputi hukum hudud.

Secara bersama, PR tidak dapat dilihat menerima sebarang dasar Islam lebih daripada apa yang sedia terlaksana, kerana perlaksanaan Islam seperti yang diperjuangkan PAS tidak diterima sebagai agenda bersama, disebabkan sifat Buku Jingga yang sekular.

Kerjasama parti-parti PR juga dihadkan oleh ideologi berbeza setiap parti, dan ideologi DAP sama sekali tidak akan menerima hudud, kecuali sekiranya terjadi keperluan realpolitik untuk mengubah pendirian secara drastik.

DAP memperjuangkan Malaysia yang sekular, dan tidak keterlaluan apabila mengatakan parti ini memegang ideal negara yang lebih sekular daripada yang ada pada hari ini.

Ini disebabkan oleh ideologi parti dan juga konstituensinya yang paling utama ialah masyarakat bukan Melayu.

Sejarah telah menunjukkan DAP memberi respons segera kepada suara konstituensinya, terkini semasa memutuskan hubungan dalam kerjasama dengan Semangat 46 yang mempunyai hubungan dengan PAS dan selepas itu selepas pertikaian semasa dalam Barisan Alternatif.

Isu utama yang mendorong tindakan DAP meninggalkan pakatan-pakatan tersebut ialah hukum hudud yang dibawa PAS.

PAS, selain tersilap baca kenyataan Karpal itu, juga didorong oleh persaingannya dengan Umno.
PAS mengaitkan sebarang tindakan sekutu Umno, seperti MCA dan Gerakan yang salah faham atau bersangka buruk terhadap Islam dengan kegagalan Umno "mendidik" parti terbabit.

Hampir setiap kali pemimpin MCA membuat kenyataan yang mengkritik atau menghina Islam, hujah yang biasa diberikan ialah kegagalan Umno yang telah bersekutu dengan parti tersebut lebih 50 tahun untuk memberi penerangan tentang Islam.

PAS mahu menunjukkan yang ia berjaya memberi penerangan atau mempengaruhi sekutu dalam PR, lalu memberi gambaran bahawa Islam, termasuk hukum hudud, semakin diterima oleh sekutunya.

Hal ini ditegaskan untuk menunjukkan yang PAS lebih berjaya dalam memperjuangkan Islam berbanding Umno, dan kerjasama PAS dengan sekutu politik mempunyai dasar yang lebih murni berbanding kerjasama Umno dan sekutu Barisan Nasional.

Tindakan PAS memberi gambaran DAP menerima hudud sebenarnya meningkatkan dan menyebarkan salah faham dalam kalangan ahli, dan seperti dilihat selama ini, hanya sekadar mampu mencetuskan pertikaian yang mudah dieksploit oleh seteru politik.

PAS sewajarnya lebih memahami dan menginsafi realiti politik pakatan yang disertainya bersama parti-parti berbeza ideologi, dan tidak memberi gambaran salah yang tidak membantu perjuangannya dan memperbaiki hubungan dengan parti-parti sekutu.

Saturday, November 17, 2012

Palestin antara perjuangan umat dan persaingan kuasa

Oleh HARIS ZALKAPLI

Isu Palestin sentiasa menjadi satu isu sentral dalam dunia Islam, dengan perhatian pada wilayah ini tidak pernah berakhir dan sentiasa berupaya mencetuskan emosi dan tindakan politik.

Kedudukan yang penting ini juga, walau bagaimanapun, mendedahkan Palestin kepada permainan politik antara kuasa-kuasa serantau yang bercita-cita tinggi.

Pemimpin-pemimpin negara Iraq, Iran, Qatar, Turki, Syria, Arab Saudi dan banyak lagi semuanya terlibat dalam menjadikan Palestin sebagai satu isu dalam meningkatkan kredibiliti kepimpinan umat masing-masing, walaupun pada tahap komitmen dan keikhlasan yang berbeza-beza.

Sepanjang sejarah, ramai pemimpin telah muncul dengan imej pembela Palestin dan pemimpin umat Muslim, imej yang dapat dengan segera meningkatkan kedudukan dan pengaruh pemimpin tersebut dalam dunia Islam.

Walau bagaimanapun, komitmen yang ditunjukkan dengan dramatik itu berdepan dengan turun naik dan sangat bergantung kepada kepentingan masing-masing, yang berubah menurut keadaan dan masa.

Pada Januari 2009, di Davos, Switzerland, pertengkaran terbuka Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan dengan Presiden Israel Shimon Peres mencetuskan imej pembela Palestin pada Erdogan.

Kemudian pada Mei 2010, MV Mavi Marmara, sebuah kapal bantuan dikendalikan kumpulan dari Turki diserang komando Israel, menjadi peristiwa antarabangsa yang sekali lagi menempatkan Turki dalam perhatian dunia melibatkan isu Palestin.

Respons kerajaan Turki selepas itu memperlihatkan satu sikap amat tegas terhadap Israel, menjejaskan hubungan kedua negara yang berhubungan baik itu.

Tetapi, kini, Turki sejak setahun lalu lebih menunjukkan perhatian terhadap usaha menjejaskan dan menjatuhkan pemerintah Syria, dan memerangi Kurdi, isu dalaman yang lebih segera.

Sekiranya diukur berdasarkan tindakan Erdogan di Davos dan retorik menyusul serangan ke atas Mavi Marmara, Ankara memberi gambaran melaksanakan tindakan sama tegas dan dramatik, tetapi pelbagai perkembangan terkini, daripada hal melibatkan Syria hingga kepada pemberontak Kurdi telah menarik komitmen kerajaan Turki terhadap Palestin.

Hal yang hampir sama turut kelihatan pada Mesir di bawah pimpinan Presiden Mohamed Morsi, pemimpin berlatar belakang Ikhwan al-Muslimin.

Kemunculan kepimpinan yang dilihat lebih rapat dengan Hamas yang menguasai Mesir dijangka mengubah nasib wilayah Gaza yang dikepung Israel dengan bantuan rejim Mubarak sebelum itu.

Walau bagaimanapun, janji itu masih belum terlaksana, dan Mesir di bawah Morsi tetap tertakluk kepada kepentingan nasional dan politik dalaman, selain perkiraan melibatkan persaingan serantau.

Pentadbiran Morsi telah menunjukkan sikap yang tegas dengan memanggil pulang duta Mesir ke Israel, menunjukkan komitmen dan janji yang lebih besar dalam perjuangan membela Palestin.

Melibatkan kepentingan dalam persaingan serantau kuasa-kuasa Arab dan dunia Islam, tindakan Mesir ini mengukuhkan lagi imej dan kredibilitinya sebagai pejuang Palestin, yang membawa bersamanya imej kepimpinan serantau dan umat.

Perkembangan terkini di Gaza memberikan peluang kepada Kaherah untuk meningkatkan pengaruhnya sebagai pemimpin umat dan pejuang Palestin, upaya yang membolehkannya mengulangi apa yang dilakukan oleh Erdogan sebelum ini.

Pada masa sama, tindakan melibatkan isu Palestin ini juga menepati tuntutan dan sentimen popular dalam negara, sesuatu yang penting kepada mana-mana pemerintah.

Tetapi dengan sejarah sebagai petunjuk, perkembangan semasa belum tentu menjanjikan kesinambungan hingga ke masa depan, seperti yang telah ditunjukkan oleh Turki.

Negara-negara serantau telah menunjukkan sikap mereka terhadap isu Palestin sejak lebih setahun lalu.

Negara-negara Arab seperti Arab Saudi dan Qatar (dalam pakatan bersama Turki) memberikan tumpuan kepada usaha menjatuhkan rejim Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad, dalam usaha yang didasari kepentingan kuasa serantau berbanding membela rakyat Syria, yang ditunjukkan dengan jelas melalui kumpulan yang disokong Riyadh dan Doha.

Negara-negara ini menggunakan Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC, untuk menjalankan agenda mereka, termasuk mengadakan persidangan pada bulan Ramadan dengan menumpukan pada hal Syria, dan bukan Palestin.

Qatar, Arab Saudi, negara-negara monarki Majlis Kerjasama Teluk dan Turki bekerjasama dalam satu pakatan melemahkan pemerintah Syria, yang bersekutu dengan Iran dan kumpulan-kumpulan Islam di Syam.

Dengan menggunakan kempen sektarian, pakatan Syria-Iran-gerakan Islam Syam itu dilabel sebagai satu pakatan Syiah yang membentuk "bulan sabit Syiah" dari Syam, meliputi Iraq, Iran dan berakhir di Teluk Parsi di wilayah timur Arab Saudi.

Kejatuhan pakatan ini, yang berseberangan dengan Saudi-Qatar dan sekutu mereka, bakal menjejaskan pengaruh Iran dan Syria yang bergantung kuat pada gerakan-gerakan Islam di Syam, yang termasuk Hamas.

Permainan politik serantau itu kini telah membawa manfaat kepada pakatan monarki Arab itu, apabila kepimpinan Hamas yang berpangkalan di Damsyik berpindah ke Qatar, sekaligus menerima naungan negara yang aktif menyokong pemberontak Syria itu.

Ekoran itu, seperti yang terlaksana Oktober lalu, Qatar dalam satu lawatan berprofil tinggi pemimpinnya ke Gaza menunjukkan kepada dunia kedudukan baharunya sebagai pembela Palestin dan Gaza, juga sebahagian usaha mengukuhkan pengaruh serantau.

Qatar, negara terkenal dengan peranannya sebagai perantara dalam meredakan konflik di rantau Asia Barat dan Afrika, turut mempunyai kepentingan melibatkan misi perantaraannya dalam menyatukan Hamas dan Fatah dalam satu kerajaan perpaduan di Palestin.

Penglibatan Qatar di Gaza, melibatkan bantuan dan pelaburan ratusan juta dolar dan lawatan Oktober lalu yang meningkatkan kedudukan Hamas berbanding Fatah, dijangka memudahkan lagi usaha Doha mencapai penyerlesaian dalam misi perantaraannya melibatkan Hamas dengan Fatah.

Pada masa sama, Qatar ialah negara Arab yang mempunyai hubungan yang luar biasa baik dengan Israel, ekoran dasar luarnya yang pragmatik.

Perpindahan Hamas ke Qatar dan negara Arab lain berpotensi meningkatkan imej negara-negara terbabit sebagai pembela Palestin, dan sekaligus menjanjikan masa depan yang lebih cerah kepada Hamas berbanding bersama Syria, tetapi hanya sejarah akan menunjukkan sejauh mana janji ini akan terlaksana.

Ekoran perkembangan semasa, dunia Arab dijangka menunjukkan reaksi yang tegas dan mengutarakan retorik keras, tetapi turut sama akan menimbulkan persoalan sejauh mana komitmen untuk menangani Palestin lebih daripada sekadar percaturan dalam persaingan kuasa serantau.

Friday, November 9, 2012

Kontroversi kebebasan agama, Nurul Izzah tingkat sokongan liberal

Kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyokong kebebasan beragama meliputi semua termasuk Melayu-Muslim yang mencetuskan kekecohan kini kelihatan meningkatkan sokongan terhadap beliau daripada golongan liberal negara ini.

Di laman-laman berita liberal dan media sosial, sokongan meluas dan komen positif berhubung pendiriannya itu dapat dilihat daripada ramai pembaca dan pengulas, walaupun mendapat respons negatif yang keras daripada konservatif dalam kalangan parti politik dan akademik.

Seorang pengulas di laman Malaysiakini menulis satu artikel panjang memuji pendirian Nurul Izzah itu, yang disifatkan sebagai satu ide penting yang perlu difikirkan oleh rakyat negara ini. 

Parti pemerintah Umno dan golongan konservatif menentang keras kenyataan beliau itu, tetapi politik parti yang sangat partisan memperlihatkan sokongan yang tidak berubah daripada parti beliau, PKR.

Episod ini turut dilihat meningkatkan imej dan kelayakan liberal beliau, ciri penting untuk terus mendapatkan sokongan komuniti liberal yang termasuk banyak pertubuhan bukan kerajaan berpengaruh di dalam dan luar negara serta, serta kerajaan Barat seperti Amerika Syarikat dan Britain.

Kenyataan Nurul Izzah itu kelihatan ditujukan kepada audiens liberal, yang jelas memperlihatkan pendirian terbuka beliau berhubung kebebasan memilih agama termasuk melibatkan orang Muslim.

Beliau kini telah mula dikemukakan sebagai bakal perdana menteri Malaysia oleh para penyokong, yang sebahagian besarnya terdiri daripada politikus dan aktivis liberal, dengan liputan agak meluas daripada media Barat.

Debat panas yang tercetus daripada kenyataan pemimpin muda PKR ini memperlihatkan penerusan debat terbuka berhubung isu berkaitan agama Islam di negara ini, ketika Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir.

Nurul Izzah menerima kritikan keras daripada akademik dan aktivis Muslim, yang melihat beliau sebagai meneruskan kesinambungan perjuangan bapanya, Datuk Seri Awnar Ibrahim yang dilihat membawa agenda liberal.

Pensyarah di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban di Universiti Teknologi Malaysia, Dr Khalif Muammar A Harris menulis kritikan yang dipercayai ditujukan kepada Nurul Izzah dan penyokong di laman Facebook beliau: "Sekadar teguran dan nasihat kepada para aktivis. Jangan kerana kesetiaan politik yang salah dibenarkan. Yang salah itu tetap salah, bila kenyataan telah dibuat dan seseorang itu sedar ia telah melakukan kesilapan ia perlu menarik balik kenyataannya dan memohon maaf, dan bukan menyalahkan orang lain yg dianggap memutar belit."

"Hal serupa berlaku ketika Anwar Ibrahim memberi ucapan di LSE [Sekolah Ekonomi dan Sains Politik London], ia jelas mendukung pluralisme agama, tetapi ramai aktivis justeru menyalahkan orang lain yang salah faham. Dalam kes Nurul Izzah memang ada tanggapan yang ekstrem sehingga menambahkan perkara yg tidak benar, tetapi lihatlah kata-katannya sendiri dan nilailah mengikut ilmu di dada jika tidak mampu rujuk yang tahu," tulis Khalif.

Walau bagaimanapun, kenyataan Nurul Izzah itu mendapat sokongan - walaupun dengan tafsiran yang pelbagai - daripada rakan-rakan ahli politik dan aktivis seperti Dr Ahmad Farouk Musa - antara aktivis yang memberi sokongan kuat kepada Nurul Izzah untuk menjadi perdana menteri Malaysia - ketua pertubuhan penganjur forum tempat naib presiden PKR itu mengeluarkan kenyataan kebebasan agama itu.

Nurul Izzah kini telah meningkatkan lagi profil beliau sebagai seorang pemimpin Muslim beraliran liberal, yang diperlukan untuk beliau meningkatkan dan mengukuhkan lagi sokongan daripada kelompok liberal, dan pada masa sama juga telah meningkatkan pertembungan antara konservatif dengan liberal di Malaysia, yang menjadi satu ciri penting persaingan politik terkini.


Sunday, November 4, 2012

Perangkap hudud MCA tidak mengena

Usaha pemimpin MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengumpan respons daripada parti-parti Pakatan Rakyat berhubung isu hudud bagi mencetuskan perdebatan hangat tidak menampakkan hasil.

Selain PAS, parti-parti PR tidak memberikan respons yang mencetuskan perdebatan terbuka antara parti terbabit, terutama PAS dengan DAP, yang dilihat menjadi matlamat Chua mencetuskan isu bahaya hudud.

Malah, Chua turut terpaksa memberikan penjelasan panjang berhubung kenyataannya yang disifatkan sebagai anti-Islam itu, yang dipublisitikan secara prominen oleh akhbar Umno, Mingguan Malaysia hari ini.

Penjelasan Chua itu juga dilihat sebagai mengawal kerosakan yang menimpa Umno, sekutu MCA dalam Barisan Nasional yang bersaing merebut undi Melayu dengan PAS.

Umno mendapat kesan negatif ekoran kenyataan Chua itu selepas dilihat tidak memberi respons keras terhadap kenyataan presiden MCA itu seperti yang dilakukan terhadap pemimpin-pemimpin PR yang membuat kenyataan yang dinilai menghina Islam.

Kenyataan Chua yang mendakwa hanya menolak hudud versi PAS itu, selain menampakkan alasan murahan untuk membela diri, juga mencetuskan persoalan sama ada MCA tidak akan menentang pelaksanaan hudud (yang melibatkan hukuman seperti potong tangan) yang dibawa oleh pihak lain.

Chua juga, sebagai melanjutkan lagi usahanya mencetuskan debat hudud terbaharu, mencabar PR menjadikan pelaksanaan hukum hudud sebagai salah satu janji dalam manifesto bersama Pilihan Raya Umum ke-13.

Tindakan ini sekiranya cuba dilaksanakan bakal mencetuskan pertikaian dan perpecahan melibatkan parti-parti berbeza ideologi dalam gabungan PR.

PR walau bagaimanapun tidak memberikan respons terhadap kenyataan terkini Chua itu. 


Thursday, October 18, 2012

Chua Soi Lek timbul isu hudud untuk hadapi PRU 13

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek terus membangkitkan isu hudud dengan memperbesarkan apa yang didakwa ancamannya kepada ekonomi negara, mendakwa 1.2 juta rakyat bakal kehilangan pekerjaan jika undang-undang itu dilaksanakan.

Kenyataan terbaharu Chua itu tidak banyak perbezaan dengan kenyataannya sebelum ini berhubung hudud, termasuk mengatakan pelabur asing akan meninggalkan Malaysia sekiranya hudud dijalankan.

Kenyataan Chua kali ini, dengan memetik sumber teks pesanan ringkas melalui telefon, menampakkan isu hudud sengaja ditimbulkan lagi untuk meneruskan kehangatan debat isu ini dalam politik negara.

Dari sudut strategi, menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, isu hudud yang menjadi satu isu yang boleh menentukan undi kaum Cina perlu dimainkan lagi untuk kepentingan MCA.

Kejayaan pertama Chua ialah isu ini telah hangat menjadi perhatian di media, dan dijangka akan turut menjadi perhatian khusus media berbahasa Cina, kerana debat ini melibatkan parti-parti mewakili kepentingan Cina.

Perhatian pengundi Cina terhadap isu ini, mengikut kepentingan MCA, perlu diteruskan dan dijadikan isu yang menjadi faktor pengundian mereka.

Dakwaan yang disebut - yang hanya dipetik daripada SMS - akan segera berakhir, tetapi kehangatan debat hudud dalam media akan berterusan.

Pengundi Cina menjadi sasaran debat terkini ini, yang dijelaskan melalui fokus kepada ekonomi yang menjadi tumpuan utama MCA dalam mengulas isu hudud.

MCA turut mengundang reaksi daripada DAP, yang bakal terus diserang kerana mempunyai hubungan dengan PAS yang dikaitkan dengan hudud, walaupun hal ini bukan lagi menjadi keutamaan parti Islam itu.

DAP, sebagai tindakan untuk menenangkan dan meyakinkan konstituensinya biasanya akan memgeluarkan kenyataan tegas menolak hudud untuk membuktikan yang parti itu tidak dipengaruhi PAS dan menolak sepenuhnya hudud, seperti juga MCA.

Hal yang sama telah berlaku dalam bentuk yang hampir sama semasa DAP bersama PAS dalam gabungan Barisan Alternatif. Strategi yang sama digunakan lagi oleh MCA kali ini.

DAP, walaupun kelihatan semakin bijak menangani sentimen Melayu - seperti dilakukan di Pulau Pinang - masih terikat dengan komitmen ideologinya yang mengutamakan pemisahan agama Islam dengan politik di negara ini.

Seperti diperhatikan malah sejak tertubuhnya Pakatan Rakyat, DAP terpaksa memberi respons yang tegas dalam isu hudud, demi menjaga sentimen pengundinya dan pegangan sekular dan tidak mesra dengan Islam yang menunjangi parti dikuasai Cina itu.


Wednesday, October 10, 2012

Faktor ekonomi jadi penentu PRU 13

Mesyuarat tahunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa di Tokyo, Jepun telah menunjukkan tanda-tanda ekonomi global yang semakin tidak memberangsangkan pada tahun-tahun mendatang.

Menurut Bank Dunia, pertumbuhan Asia akan menjadi lebih perlahan, sebahagiannya disebabkan ekonomi China yang semakin perlahan, walaupun rantau ini disebut-sebut sebelum ini sebagai agak terlindung daripada situasi di Eropah dan Amerika Syarikat.

IMF pula menjangkakan pemulihan ekonomi yang semakin lemah, disebabkan dasar-dasar kerajaan yang gagal memulihkan keyakinan.

Menurut laporan, IMF menurunkan unjuran pertumbuhan 2012 daripada 3.4 peratus Julai lalu kepada 3.3 peratus. Pertumbuhan ekonomi dunia tahun depan pula diturunkan kepada 3.6 peratus, berbanding 3.9 tiga bulan lalu.

Menurut badan itu lagi, pertumbuhan yang semakin perlahan pada tahun ini dan tahun hadapan bakal disertai peningkatan risiko. 

Malaysia, sebagai pengeksport komoditi dijangka berdepan cabaran penurunan harga, walaupun dijangka dapat mengurangkan beban subsidi ekoran penurunan harga minyak.

Senario diramalkan Bank Dunia dan IMF ini mungkin menjadi salah satu faktor pemerintah Barisan Nasional tidak akan melewat-lewatkan lagi Pilihan Raya Umum ke-13, lebih-lebih lagi selepas beberapa bulan memasuki 2013, untuk mengelak kesan negatif hasil reaksi rakyat dan pembangkang ekoran ekonomi yang merudum.

Walau bagaimanapun, tempoh beberapa bulan akan datang dijangka tidak memberi kesan yang kuat terhadap pemerintah ekoran gula-gula belanjawan yang mula diagihkan, termasuk bonus kepada kaki tangan awam dan pemberian lain.

Keadaan ekonomi ini paling utama dijangka menghangatkan lagi suasana politik pada penggal akan datang selepas Pilihan Raya Umum ke-13, memberi tekanan tambahan kepada kerajaan yang bakal memerintah, sama ada di peringkat pusat mahu pun negeri, ditambah lagi dengan cabaran pelaksanaan belanjawan 2013 yang melibatkan perbelanjaan besar.

Cabaran sosio-ekonomi juga bakal dihadapi dalam suasana peningkatan harga makanan yang pantas pada masa ini, perkembangan yang menambahkan lagi kehangatan suasana politik, termasuk di negara membangun seperti Malaysia yang peratusan pendapatan dibelanjakan untuk makanan semakin meningkat.

Thursday, October 4, 2012

Menjelang PRU 13, LGBT kembali jadi perhatian

Ketika Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir, dan menjelang genap setahun kontroversi LGBT berhubung Seksualiti Merdeka dan konsert Elton John tahun lalu, debat isu LGBT kembali panas.

Isu orientasi seksual LGBT kembali menjadi berita besar ekoran pendedahan garis panduan mengenali LGBT untuk ibu bapa yang dilapor disokong Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sekumpulan aktivis gay sebagai reaksi menganjurkan hari leher-v di sekitar menara Petronas di KLCC pada 1 Oktober lalu, yang turut menjadi acara publisiti kempen kesedaran kumpulan tersebut.

Sebelum itu, sebuah restoran mesra gay, Fierce Curry House memberikan nasi beriyani percuma kepada 15 lelaki pertama yang muncul dengan baju leher-v, juga sebagai reaksi kepada laporan garis panduan itu. (Fierce ialah satu istilah yang pernah popular dalam kalangan gay di Amerika Syarikat dan juga seluruh dunia, untuk menyifatkan "cool" atau hebat.)

Debat isu LGBT kini semakin terbuka dan menyaksikan pertembungan ide yang keras antara kedua-dua kumpulan konservatif dan liberal di negara ini, dan bakal menjadi isu besar dalam politik negara, yang selama ini dikuasai konservatif.

Kelompok LGBT dijangka bakal menunjukkan kuasa undi dengan memberikan sokongan politik yang kuat kepada kumpulan yang liberal dan lebih toleran terhadap orientasi seksual mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Isu orientasi seks yang diterima sebagai hak asasi menurut tafsiran hak asasi manusia liberal Barat dinilai dengan sangat kritikal oleh Muslim dan penganut agama utama dunia, yang menolaknya sebagai sesuatu yang menyeleweng.

Walau bagaimanapun, layanan buruk terhadap golongan ini pula dinilai sebagai bertentangan dengan hak asasi melibatkan penghormatan terhadap manusia.

Akademik yang banyak mengkaji masyarakat minoriti, Dr Mohd Faizal Musa yang lebih dikenali dengan nama penanya Faisal Tehrani dalam satu tulisan baru-baru ini menjelaskan: "Bersabit dengan LGBT di Malaysia, maruah manusia (human dignity) pengamalnya harus dilindungi. Mereka tidak wajar diaib dan didiskriminasi.

"Pun, sebagai ingatan semula hak-hak LGBT di Malaysia bagaimanapun sangat bergantung kepada nilai-nilai moral (moral values); ketenteraman awam (public order); dan hak-hak manusia lain (rights of others). Sebagai anggota masyarakat pengamal LGBT dijangka akur dengan formula di atas.

"Untuk generasi muda di Malaysia pula, yang harus didedahkan kepada mereka adalah apa itu perbezaan dan bagaimana menanganinya dengan betul. Bukan mengajar mereka melakukan pelabelan dan stigma."


Belanjawan populis akibat politik sengit

Belanjawan 2013 yang dibentangkan minggu lalu menepati jangkaan banyak pihak apabila muncul sebagai bajet yang amat populis, meneruskan dan meningkatkan pemberian tunai dan bonus untuk kakitangan perkhidmatan awam.

Hakikat bahawa belanjawan kali ini merupakan satu persediaan menghadapi pilihan raya akan datang telah jelas dan banyak diulas.

Apa yang agak mengejutkan ialah tawaran yang kelihatan tidak berdasarkan perkiraan jangka panjang seperti rebat untuk belia membeli telefon pintar - melalui pembekal terpilih - yang kini lebih banyak berfungsi sebagai aksesori semasa.

Fokus pemerintah pada kali ini, iaitu belia dan kakitangan kerajaan amat jelas, sebagai usaha menarik dan menjamin undi yang selesa daripada golongan ini.

Apa yang turut mengejutkan ialah kekurangan reaksi tegas dan konstruktif terhadap belanjawan populis yang memerlukan belanja besar untuk dilaksanakan daripada pihak bertanggungjawab.

Ekonomi negara dan pembangunan jangka panjang kini terabai akibat persaingan politik sengit sehingga pentadbiran Najib menghasilkan belanjawan populis yang kurang berhemah.

Populisme berlebihan dalam pentadbiran negara tidak menyumbang kepada dasar dan tindakan yang berhemah, yang lebih diperlukan dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, ditambah dengan prospek krisis makanan dan kekurangan sumber.

Di negara jiran, Thailand, hal yang sama telah berlaku dan wajar menjadi pengajaran, apabila populisme yang ekstrem mengancam ekonomi negara.

Lebih empat tahun selepas pilihan raya umum pada Mac, 2008, persaingan politik yang sengit antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dan konsultasi bipartisan yang amat kurang kini menampakkan kesan negatifnya.

Kepentingan ramai dan jangka panjang semakin terjejas akibat persaingan BN-PR yang amat sengit dan lebih kelihatan berlandaskan kepentingan politik kelompok.

Wednesday, September 26, 2012

Gerakan Islam menghadapi gelombang Islamofobia

Suasana panas ekoran kemunculan treler filem Innocence of Muslims terus berlanjutan, mencetuskan debat dan pada masa sama mencetuskan protes penuh emosi umat Muslim.

Sikap dwi-standard Barat dalam hal ini telah diketahui dan dikritik dengan meluas banyak pihak, yang membenarkan penghinaan dan penyebaran kebencian dengan mengatasnamakan kebebasan.

Barat telah banyak kali menampakkan sikap mudah melatah dan tidak kritikal dalam isu melibatkan pertembungan nilai-nilai liberal (seperti kebebasan bersuara) dengan konservatif (seperti kesucian agama), atau nilai Barat dengan masyarakat lain, yang telah dikritik dan dikupas ramai pemerhati.

Satu masalah berhubung isu ini, yang terus membenarkan episod seperti ini berulang-ulang ialah pandangan alam Barat yang berseberangan dengan dunia Islam dan sebahagian dunia tamadun lain, yang pandangan mereka terhadap agama berbeza dengan pandangan dominan di Barat.

Barat melihat sikap marah umat Muslim terhadap penghinaan klip filem tersebut sebagai sesuatu yang aneh, dan mungkin juga dengan sedikit rasa kasihan terhadap emosi meluap-luap tidak terkawal itu, seperti ditunjukkan oleh sesetengah pengikut Islam, misalnya di Pakistan.

Tetapi, dari sudut lain, Barat juga wajar dikasihankan kerana tidak lagi mempunyai apa-apa yang sangat dicintai dan disakralkan seperti halnya Nabi Muhammad s.a.w. dan agama pada umat Muslim.

Barat juga, dalam kes filem ini dan penghinaan lain sepertinya, memperlihatkan kebencian luar biasa yang tidak ada taranya di sebelah dunia Islam.

Apa pun kelemahan umat Muslim, kita tidak menyaksikan usaha-usaha gigih dilakukan oleh Muslim (walaupun mereka jauh sekali daripada mewakili Muslim seluruhnya) untuk menghina agama dan tokoh-tokoh agama lain seperti dilakukan pembikin filem tersebut, atau seperti dilakukan penulis Salman Rushdie dan penulis lain sepertinya.

Satu persoalan yang perlu ditanya dalam hal ini ialah kenapa usaha menghina agama dan tokoh agama Islam begitu gigih sekali diusahakan. Jawapannya tentu sekali bukan semata-mata kerana kebebasan berkarya atau bersuara, melainkan kerana kebencian.

Di Barat, atau lebih tepat lagi dunia Barat yang menerima demokrasi liberal, nilai-nilai keagamaan dan simbol-simbol berkaitan tidak mendapat tempat seperti di dunia Muslim, walaupun tafsiran dan pengamalan agama di dunia Muslim masih dibelenggu pelbagai masalah.

Tetapi, sebelum umat Muslim digesa melakukan introspeksi melihat diri ekoran emosi tidak terkawal akibat penghinaan ini dan episod lain sepertinya, lebih utama untuk pihak di Barat menangani kepincangan yang melanda mereka, sehingga kempen kebencian menggunakan alasan liberal kebebasan berlaku secara berterusan.

Kebebasan mutlak, pelbagai kepincangan dan pegangan-pegangan seperti saintisme menjadikan Barat kehilangan perasaan cinta terhadap agama dan kesuciannya, seperti yang terus menjadi satu ciri penting masyarakat Muslim.

Ini sama sekali tidak menafikan kepincangan nilai dan ketololan segelintir yang hanya tergerak emosi apabila berdepan isu-isu seperti ini, yang mudah diberi tindak balas dan tidak memerlukan pemikiran dan tindakan yang lebih daripada sekadar meluahkan kemarahan melalui protes.

Gerakan Islam, salah satu gerakan yang meletakkan diri sebagai pemimpin umat juga kelihatan mudah memasuki perangkap ini, dan kemudian tidak menunjukkan tindak balas susulan yang lain yang boleh menjadi lebih membina dan berpanjangan.

Filem Innocence of Muslims dan pelbagai bentuk penghinaan lain, melalui seni budaya dan bidang lain, dicetuskan dan diteruskan hasil satu gerak kerja besar, daripada asas-asas pemikiran hingga ke pelaksanaan.

Dunia Islam wajar memberikan respons yang serupa, sebagai reaksi dan wacana balas bagi menangani kebencian yang luar biasa itu, melalui bidang-bidang yang setara.

Sekiranya filem-filem anti-Islam boleh diperolehi, pilihan juga perlu diadakan supaya filem-filem yang mengangkat kesucian agama Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. juga dapat ditonton.

Monday, September 10, 2012

Tentang politik warna dan bendera

Isu bendera merah putih yang dikibarkan penyokong Pakatan Rakyat pada malam ambang merdeka bulan lalu terus panas, dengan penyertaan semakin banyak kumpulan dalam debat panas ini.

Satu isu yang menarik perhatian dalam hal ini ialah tentangan kuat kumpulan Perkasa terhadap bendera yang mempunyai warna merah dan putih itu, sedangkan warna tersebut mempunyai hubungan sejarah lebih rapat dengan perjuangan Perkasa, sebuah kumpulan yang memanfaatkan populisme haluan kanan di Malaysia.

Warna merah putih menjadi bendera dua parti Melayu utama negara ini; Umno dan PAS, disebabkan latar warna tersebut dalam sejarah Melayu rantau ini, sekurang-kurangnya dalam sejarah terkini Nusantara.

Persamaan warna merah putih digunakan pada bendera di rantau ini disebabkan oleh akar sejarah wilayah Melayu rantau ini.

Hal yang sama dapat dilihat di rantau lain, antara contohnya ialah dunia Arab yang berkongsi warna hitam, hijau, putih dan merah, warna pan-Afrika yang dikongsi di dunia Afrika, dunia Slav yang berkongsi warna merah, biru dan putih, dan rumpun bangsa Iran dengan warna hijau, putih dan merah.

Sebagai kumpulan yang berpendirian lebih kanan daripada Umno, Perkasa lebih wajar menyertai debat isu bendera ini dengan lebih cermat dan cerdik, dan bukan sekadar menentang apa yang dibawakan oleh pihak penentang Umno.

Dalam hal ini, pihak yang mencetuskan isu ini dengan memperkenalkan bendera itu menjelang ulang tahun kemerdekaan ke-55 dan Perkasa mengambil posisi yang sebenarnya bertentangan dengan ideologi masing-masing.

Perkasa terlibat menentang tindakan memperkenalkan satu "bendera alternatif" kepada Malaysia yang telah menjadi lebih pluralis hasil kemerdekaan, kemerdekaan yang telah mengubah Tanah Melayu menjadi Malaysia dan mengambil bendera yang jauh berbeza dengan warna merah putih seperti yang menjadi warna pilihan Indonesia dan Singapura.

Walau bagaimanapun,isu mengubah bendera bukan sesuatu yang sangat asing atau aneh, dan dilakukan di banyak tempat untuk mencerminkan bentuk rejim memerintah atau keperluan lain.

Di Syria, pihak pemberontak menggunakan bendera pra-Baath dengan warna hijau, putih, dan hitam, untuk menunjukkan penentangan dan penolakan pemerintahan rejim sedia ada.

Rusia sebagai contoh, sejak zaman czar hingga ke hari ini telah menyaksikan perubahan bendera negara berdasarkan bentuk pemerintahan.

Lebih dekat dengan Malaysia, Burma (Myanmar) turut mengubah bendera pada tahun 2010, menggantikan bendera berwarna merah biru kepada bendera tiga warna: kuning, hijau dan merah, dengan bintang di tengah.

Pihak yang memperkenalkan bendera bersifat "revisionist" yang lebih rapat kaitan sejarah Melayunya itu pula ialah daripada pihak parti yang berideologi liberal, yang tidak meletakkan isu Melayu sebagai perjuangan pentingnya.

Dalam keadaan biasa, boleh dijangka sebarang usaha memperkenalkan bendera yang berakar Melayu itu bakal menerima tentangan hebat liberal dan kumpulan anti-Melayu dan diwajarkan oleh kumpulan Melayu seperti Perkasa.

Walau bagaimanapun, tindakan memperkenalkan bendera itu oleh pihak penentang rejim Barisan Nasional tidak dapat dilihat lebih daripada sebagai satu permainan politik dan bukan satu usaha memulakan satu debat serius untuk mengubah Jalur Gemilang kepada merah putih, malah lebih kepada satu provokasi yang tidak perlu, menunjukkan satu keperluan di pihak pembangkang yang cenderung untuk mahu berseberangan dalam setiap isu dengan pemerintah.


Pihak PR setakat ini, sekurang-kurangnya dalam jangka masa pendek tidak menunjukkan gambaran hasrat mengubah bendera sedia ada, walaupun berbeza dari segi fundamental dengan pemerintah BN, termasuk dalam isu kedudukan Melayu.

Thursday, August 30, 2012

Syaitan dan politik Malaysia

Pada masa istilah "politik baharu" tidak lekang dari bibir ahli-ahli politik Pakatan Rakyat, satu hal yang memperlihatkan politik yang tidak cerdik dan murahan berlaku dan mencetuskan debat yang besar, lebih besar daripada yang sepatutnya.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu tulisan yang juga disebut dalam satu kenyataan kepada wartawan memetik simpulan bahasa dari bahasa Inggeris, "Better the devil you know than the devil you don't," tetapi mengubah devil yang kedua kepada angel (malaikat), mungkin sebagai sindiran kepada tokoh-tokoh tertentu parti lawannya.

Kedua-dua kenyataan itu - tulisan di blog dan kenyataan kepada wartawan - dibuat dalam bahasa Inggeris.

Kenyataan Mahathir itu segera mendapat respons daripada pemimpin parti lawan, pertama daripada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang mengulas penggunaan istilah syaitan yang digunakan Mahathir sebagai bertentangan dengan agama.

Dakwaan bahawa kenyataan itu boleh mengelirukan mungkin ada benarnya, kepada mereka yang tidak berfikir panjang dan hanya menerima apa yang didengari, tetapi kenyataan daripada bekas menteri besar Perak - yang anaknya terlibat menentang dasar pendidikan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris melalui proses mahkamah - itu mengabaikan satu fakta mudah, iaitu simpulan bahasa dalam bahasa Inggeris itu tidak perlu diterjemah secara harfiah.

Lebih malang lagi, salah faham ini berpanjangan hingga menjadi satu isu besar politik nasional ketika suasana Syawal agak masih baru bermula, sebahagian besarnya diulas tanpa merujuk kepada asal ekspresi itu dalam bahasa Inggeris, mendedahkan satu kelemahan yang besar di pihak PR kerana terlalu cepat mahu mempolitikkan kenyataan tersebut yang merupakan satu simpulan bahasa yang agak mudah dan dikenali.

Sekiranya ada satu kesalahan di pihak Mahathir ialah penggunaan ekspresi daripada bahasa Inggeris dalam konteks politik Malaysia, dan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rujukan utama.

Satu isu yang boleh diberi perhatian dalam isu ini ialah konteks sejarah dan budaya sesuatu bahasa itu, yang dalam beberapa kes tidak dapat dipakai dalam konteks masyarakat yang asing kepada bahasa tersebut.

Sekiranya penggunaan istilah syaitan itu menimbulkan masalah, banyak lagi ekspresi lain seperti "underdog" yang sangat biasa digunakan perlu dipersoalkan juga.

Ada beberapa ekspresi dalam bahasa Inggeris hakikatnya agak tidak kena atau memang tidak sesuai digunakan dalam konteks masyarakat Melayu Muslim negara ini ekoran etimologi atau asal usulnya, seperti "Speak of the devil," "Keep your fingers crossed," yang mempunyai kaitan agama.

Bahasa Inggeris juga, hasil pengalaamn sejarahnya sendiri, mempunyai banyak ekspresi dan simpulan bahasa mengandungi istilah "devil."

Isu ini kini telah menjadi isu politik kepartian, mencetuskan banyak komen dan ulasan murahan semata0mata untuk memalukan pihak lawan, tanpa membawa sebarang manfaat.

Turut menarik perhatian dalam isu ini ialah tindakan seorang ilmuan agama dari Umno, Fathul Bahari Mat Jahaya yang mempertahankan kenyataan Mahathir itu berdasarkan hakikat bahawa simpulan bahasa itu tidak boleh dibaca secara literal.

Dalam hal ini, mungkin perlu ilmuan muda yang agak berpengaruh itu menegur juga seorang penceramah yang mengecam hebat tokoh agama zaman lalu kerana menggunakan ayat-ayat puitik dalam menghayati agama.

Sekiranya simpulan bahasa daripada bahasa Inggeris boleh dipertahankan, tentu ekspresi berasal daripada tokoh agama Islam sendiri juga wajar dipertahankan dan tidak dikecam sewenang-wenangnya. 

Penceramah ini - yang mungkin sealiran dengan ilmuan muda Umno tersebut - jelas kelihatan lemah penguasaan bahasanya telah mengambil secara salah satu retorik yang kini turut popular sebagai sebuah lagu dan mengecamnya sebagai satu kenyataan tidak mahu masuk syurga.



Sunday, August 26, 2012

Guardian henti guna khidmat pelobi pro-Zionis dikait Najib

Guardian, akhbar Inggeris liberal beraluan kiri menghentikan khidmat Joshua Trevino, pemblog dan pelobi pro-Zionis sebagai kolumnis di akhbar itu, memberi alasan konflik kepentingan melibatkan aktiviti bisnes di Malaysia.

Menurut kenyataan ringkas Guardian dan Trevino, penulis itu telah melanggar etika kerana tidak mendedahkan konflik kepentingannya melibatkan Malaysia.

Trevino didakwa menjadi penulis upahan yang menulis bagi pihak pemerintah Malaysia di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, dengan satu misi utamanya menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membantu meningkatkan imej Najib.

Trevino mencetuskan kekecohan ekoran tulisannya mendakwa Anwar "membeli" khidmat CNN untuk membantu memulihkan imejnya dalam satu lawatan ke Amerika Syarikat hujung 2010 yang digelar "lawatan memohon maaf," ekoran beberapa kenyataannya yang dilihat anti-Yahudi.

Pemerhatian terhadap rancangan soal jawab melibatkan Anwar di CNN tersebut walau bagaimanapun cenderung untuk membenarkan dakwaan Trevino itu, ekoran soalan-soalan mudah dan terpilih yang diberikan kepada Anwar, dan tanpa susulan yang lebih menekan.

Walau bagaimanapun, kredibiliti Guardian turut terjejas ekoran episod ini, kerana menggunakan khidmat Trevino, bekas penulis ucapan Bush dan pelobi pro-Zionis itu walaupun pendirian kontroversi beliau termasuk menyokong pembunuhan oleh Zionis sedia diketahui ramai.

Wartawan dan pengasas bersama laman Electronic Intifada, Ali Abunimah dalam satu tulisan mengemukakan kaitan Trevino dengan Israel sambil mempersoalkan sikap Guardian yang mendapat respons segera akhbar itu, yang kelihatan cuba menyembunyikan hal sebenar.

Ali merupakan seorang penulis yang sejak awal memerhati dan mendedahkan sikap Guardian terhadap penulis anti-Islam itu.

Kaitan dengan Israel dan kedudukan Trevino sebagai pelobi Zionis telah menunjukkan satu konflik kepentingan yang jauh lebih besar sejak awal lagi, dan sewajarnya sudah mendesak Guardian memutuskan hubungan dengan Trevino.



Thursday, August 23, 2012

Lagi sokongan untuk Nurul Izzah di media Barat

Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai dan pemimpin PKR, sekali lagi disebut dalam media Barat sebagai calon pengganti kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sejak mengetuai protes menentang pemerintah pada penghujung 1998 disebut-sebut sebagai pewaris jawatan perdana menteri oleh gabungan parti-parti pembangkang.

Dalam satu tulisan yang tidak mengemukakan sebarang isu baharu, Luke Hunt di laman The Diplomat menyebut bahawa Nurul Izzah ialah salah seorang calon penerus misi Anwar.

Banyak pihak, terutama di Barat, melihat Anwar sebagai satu-satunya calon perdana menteri Malaysia gabungan pembangkang, disebabkan ideologinya yang lebih disenangi berbanding PAS, parti pembangkang terbesar dan lebih mudah diterima berbanding DAP yang dikuasai etnik Cina, selain hubungan Anwar dengan Barat yang telah lama terjalin.

Artikel bertajuk Malaysia's Opposition Leader Stepping Down? itu senada dan kelihatan hampir sama dengan satu tulisan di akhbar Inggeris Guardian awal Julai lalu, yang juga menyebut nama Nurul Izzah sebagai calon pengganti Anwar di penghujung rencana.

Tulisan agak ringkas ini sekadar mencatatkan peluang Anwar menewaskan Barisan Nasional yang semakin sukar dan keperluan menyerahkan kepimpinan kepada generasi lebih muda.

Menurut Hunt, peluang Anwar menwaskan BN semakin sukar ekoran pemberian ganjaran yang besar oleh kerajaan, ekonomi yang bertambah pulih, pemansuhan undang-undang yang mengekang kebebasan, kebebasan media dan proses perundangan yang terlaksana di bawah Najib.

Nurul Izzah kini menjadi pemimpin dalam pakatan pembangkang yang paling jelas disebut sebagai pengganti bapanya sebagai pemimpin pembangkang dan calon perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaan persekutuan.

Beliau mempunyai sokongan kuat kelompok liberal Malaysia, ekoran pelbagai faktor termasuk populariti dan potensi untuk membawa agenda liberal tetapi tanpa mencetuskan banyak perpecahan seperti dilakukan bapanya.

Walaupun prestasinya di Lembah Pantai didakwa sesetengah pihak sebagai tidak cemerlang seperti yang dikemukakan, ahli politik yang menerima sokongan sebahagian besarnya akibat kedudukan keluarganya ini setakat ini belum mengalami kontroversi ekoran pendirian politiknya.

Anwar semakin terjejas populariti dan kredibiliti ekoran pelbagai isu, termasuk peribadi melibatkan dakwaan liwat, pendirian dalam isu homoseksualiti, dan melibatkan agama seperti pluralisme agama.

Beliau juga kini merupakan pemimpin yang jauh lebih tua berbanding ramai pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Sekiranya Anwar menjadi perdana menteri seterusnya, beliau bakal menjadi perdana menteri yang lebih tua enam tahun berbanding penjawat sebelumnya.

Tulisan terkini di media antarabangsa ini mampu meningkatkan lagi tekanan terhadap Anwar untuk berundur, sekiranya beliau tidak bercadang untuk berundur, lebih-lebih lagi selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, dan mampu meningkatkan lagi sokongan kepada anaknya Nurul Izzah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mendapat liputan agak meluas media dan menjalin hubungan baik dengan pelbagai pihak yang mampu membantu peningkatannya.


Dilema dasar luar Najib menangani NAM

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak berdepan cabaran mengimbangi usaha merapatkan hubungan dengan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama dengan politik Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, NAM, yang bakal berlangsung di Tehran, Iran tidak lama lagi.

Dalam usaha mendapatkan sokongan berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 dan kempen imej moderat di peringkat antarabangsa, Najib memerlukan AS dan Obama, yang mempunyai pengaruh besar dalam hal ini.

Pada masa sama, NAM, yang Malaysia berperanan sebagai ahli pentingnya semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, bakal menangani satu agenda kritikal berhubung hubungan AS dengan Iran dan juga melibatkan hubungan negara serantau di Asia Barat.

Di sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC di Arab Saudi minggu lepas, Malaysia menunjukkan sikap selari dengan agenda Riyadh dan sekutunya Turki dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk, GCC, dengan menyokong penggantungan Syria, sekutu utama Iran di dunia Arab.

Riyadh telah menggunakan sidang kemuncak OIC yang lalu sebagai satu medan untuk menegaskan lagi pengaruhnya dan mencapai agenda melibatkan persaingan kuasa-kuasa serantau di dunia Arab, menggunakan tarikh penting dalam bulan Ramadan dan kedudukannya sebagai negara menempatkan kota suci Mekah sebagai simbol yang mengabsahkan agendanya.

Ekoran pelbagai kepentingan termasuk ekonomi, Malaysia di bawah Najib memelihara hubungan baik dengan Saudi dan sekutu, sehingga menunjukkan sokongan tidak berbelah bagi berhubung politik dalaman dan serantau negara-negara monarki terbabit.

Mahathir dalam satu kenyataan telah menegaskan kepentingan sidang kemuncak NAM di Tehran sebagai satu forum untuk "mempertahankan kepentingan negara yang mendapat layanan tidak adil Barat."

Pentadbiran Najib walau bagaimanapun dijangka tidak akan memperlihatkan sikap tegas seperti Mahathir ini, yang bakal mengguris negara-negara seperti Arab Saudi dan AS.

Kerajaan AS - dan juga sekutunya Israel - telah mengeluarkan kenyataan mengecam sidang kemuncak NAM di Tehran, mendakwa Iran menggunakan pertemuan itu untuk kepentingan agendanya.

Dalam hal ini, Najib mengambil haluan dasar luar yang berbeza berbanding pendekatan zaman Mahathir, yang lantang bersuara terhadap sikap Barat, walaupun dikritik kerana bersikap kuku besi di dalam negara.

Mahathir melalui aktivismenya dalam isu-isu antarabangsa terus menangani isu-isu sensitif kepada kuasa besar seperti Palestin, campur tangan kuasa Barat dan struktur dunia yang tidak seimbang terhadap negara Membangun, yang selari dengan semangat NAM.

Wednesday, August 15, 2012

Semua pihak mesti tegas isu lompat parti

Tindakan keluar parti beberapa nama dikenali dari parti pemerintah mencetuskan sambutan positif daripada Pakatan Rakyat, yang melihatnya sebagai satu kemenangan yang meningkatkan lagi kekuatan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Dalam episod terbaharu, Datuk Seri Wilfred Bumburing, Datuk Seri Lajim Ukin dan Tamrin Abdul Ghafar keluar parti dan menyertai kem PR. 

Perkembangan ini semakin menunjukkan sikap tidak konsisten parti-parti politik termasuk di pihak PR terhadap tindakan lompat parti.

Dalam kes individu seperti Wilfred, Lajim dan Tamrin, kesannya tidak sebesar lompatan ahli politik yang menjadi wakil rakyat, sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, tetapi sikap yang ditunjukkan pihak pembangkang memperlihatkan pendirian moral yang membimbangkan dalam isu ini.

Kedua-dua pihak Barisan Nasional dan PR perlu menunjukkan sikap yang jelas dalam isu moral ini, yang implikasinya setara dengan isu moral seperti rasuah, yang kuat dikecam pemimpin-pemimpin PR sepanjang masa.

Kedua-dua pihak BN dan PR jelas bersikap selektif dalam isu lompat parti, dengan logik moral yang diubah dan diselaras sewenang-wenang dalam menangani isu lompat parti.

Sikap tidak konsisten kedua-dua pihak telah dicatat dalam sejarah, melalui episod projek 16 September, 2008 yang bermatlamat menumbangkan kerajaan BN di peringkat persekutuan dan kemudian lompatan yang menjatuhkan kerajaan negeri Perak dikuasai DAP, PKR dan PAS.

Kedua-dua pihak BN dan PR pernah menunjukkan sokongan kepada penggubalan undang-undang menghalang lompat parti, tetapi mengubah pendirian apabila kepentingan menyebelahi mereka.

Banyak pihak bersetuju dengan peraturan melepaskan kerusi sebagai wakil rakyat sekiranya melompat parti, kerana umumnya wakil tersebut dipilih berdasarkan ideologi atau perjuangan parti oleh pengundi di konstituensinya. 

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini bersuara menuntut undang-undang lompat parti digubal.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dalam satu kenyataan menegaskan, "Kita tidak mahu wakil rakyat mencabul hak rakyat sebagai pemilih."

"Jika seseorang wakil rakyat lompat, maka dia perlu dikenakan tindakan gugur jawatan sebagai wakil rakyat, sama ada Parlimen atau Adun," katanya dipetik Harakahdaily.  

Menurut Mahfuz, isu ini "bukan soal PAS (atau) BN. Ini soal mengkhianati amanah rakyat."  





Pendirian ini perlu terus ditegaskan dan diusahakan menjadi undang-undang yang dapat mengawal moral dan integriti politik negara kita daripada pengkhianatan amanah.

PAS sendiri kini mendesak Ahli Parlimen Bachok, Nasharuddin Mat Isa yang juga bekas timbalan presiden parti itu agar melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat ekoran hubungan rapat dengan Umno.

Pendirian ini bermakna PAS perlu menunjukkan sikap yang sama konsisten dalam hal melibatkan lompat parti, terutama melibatkan wakil rakyat.

Hal yang sama juga perlu dilaksanakan melibatkan wakil rakyat yang meletak jawatan tanpa sebab yang munasabah seperti isu kesihatan, contohnya untuk memberi laluan kepada ahli politik lain bertanding di kerusi sama.

Isu lompat parti ialah satu isu moral yang besar, melibatkan implikasi luas. Sudah sampai masanya isu moral melibatkan lompat parti tidak hanya dijadikan senjata untuk menyerang lawan.

Lompat parti perlu segera ditangani dengan tegas, dihalang daripada menjadi satu ciri politik negara kita.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...