Tuesday, December 31, 2013

Politik global 2013: Isu, idea dan tokoh

Politik dunia Islam: 10 isu utama

10. Hukuman mati Abdul Kader Mullah dan krisis politik Bangladesh

Abdul Kader Mullah, bekas pemimpin Jamaat-e-Islami Bangladesh dijatuhi hukuman mati - selepas melalui proses yang kontroversi - setelah didapati bersalah oleh tribunal menyiasat jenayah semasa perang kemerdekaan Bangladesh pada 1971. Abdul Kader pada mulanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, tetapi kemudian hukuman itu digantikan dengan gantung sampai mati. Semasa dan selepas dijatuhi hukuman, perhimpunan dan protes besar-besaran diadakan oleh kedua-dua pihak yang menyokong dan memprotes. Tribunal yang matlamat asalnya untuk mencari keadilan akhirnya didakwa menjadi senjata politik parti pemerintah. Protes terhadap proses yang didakwa selektif dan bermotif politik itu telah menyebabkan puluhan mati, dan mengheret kembali Bangladesh ke dalam krisis politik.

9. Pertembungan Erdogan-AKP dengan gerakan Gulen

Selepas beberapa tahun, perselisihan melibatkan Recep Tayyip Erdogan dan partinya Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, dengan Fethullah Gulen yang mengetuai gerakan antarabangsanya meletus secara terbuka. Imej Erdogan tercalar agak teruk akibat siasatan korupsi melibatkan pentadbirannya, sesuatu yang disifatkan perdana menteri popular itu sebagai satu konspirasi yang turut melibatkan pihak asing, merujuk kepada Gulen dan Amerika Syarikat, yang menjadi tempat tinggal tokoh itu. Gerakan Gulen yang berpengaruh telah menunjukkan kekuatannya, dan bakal memberi kesan kepada pilihan raya presiden pada 2014, pilihan raya yang Erdogan, sebelum episod ini tercetus, dijangka bertanding dan berpeluang besar untuk menang, dan mengukuhkan lagi kuasanya di Turki.

8. Rundingan Iran-Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa Barat


Iran menerima pemimpin baharu tahun ini, Presiden Hassan Rouhani yang disifatkan sebagai lebih liberal berbanding pemimpin sebelumnya, Mahmoud Ahmadinejad. Rouhani menunjukkan perbezaan yang dijangka itu apabila memulakan dialog dengan AS dan kuasa-kuasa Barat berhubung isu nuklear, walaupun menerima tentangan daripada dalaman Iran sendiri. Rundingan masih di peringkat permulaan dan berdepan halangan, tetapi merupakan satu permulaan yang diperhatikan banyak pihak, terutama sekutu-sekutu pihak yang terbabit seperti Arab Saudi, monarki Arab di Teluk Parsi dan Israel, sekutu-sekutu utama AS di dunia Arab yang bakal berdepan kesannya sekiranya hubungan Iran-AS pulih dan mengubah dasar luar Washington dan Tehran, terutama berkaitan aliansi di Asia Barat.

7. Pencerobohan Israel di Palestin


Ekoran dasar baharu pemerintah Israel, warga Yahudi kini diberikan hak lebih luas untuk memasuki dan beribadat di kawasan Haram al-Sharif di Baitulmaqdis, sehingga mencetuskan ketegangan dan kekerasan. Dengan perlindungan pasukan keselamatan Israel, penganut-penganut Yahudi kini dapat memasuki dan menggunakan tempat ibadat Muslim dan mendapat perlindungan pasukan keselamatan Zionis. Tanpa mendapat liputan media antarabangsa, pencerobohan Zionis ke atas Palestin semakin meningkat hari demi hari, dan pada masa pihak berkuasa Palestin dan kumpulan politik utama Palestin semakin lemah disebabkan politik dalaman dan pelbagai perkembangan serantau. Satu undang-undang baharu juga dicadangkan untuk membolehkan Yahudi dan Muslim berkongsi kawasan ibadat di Haram al-Sharif.

6. Rampasan kuasa di Mesir


Selepas protes besar-besaran di bandar-bandar utama, pihak tentera akhirnya merampas kuasa daripada Presiden Mohammed Morsi, mencetuskan kekacauan dan suasana tidak stabil yang berterusan hingga ke hari ini. Gaza, wilayah Palestin dikuasai Hamas menjadi mangsa awal implikasi kejatuhan Ikhwan al-Muslimin di Mesir, apabila pihak yang diharapkan dapat membantu hilang kuasa, dan tindakan kepungan digiatkan semula oleh tentera. Ikhwan berdepan cabaran paling getir sejak perubahan politik pada awal 2011 ekoran perkembangan ini, dan telah dilabel sebagai sebuah pertubuhan teroris oleh pihak berkuasa. Mesir, negara yang mendapat tumpuan dunia ini juga sedang menyaksikan satu lagi perkembangan yang merancakkan perbincangan berhubung gerakan Islam dalam politik masa kini.

5. Serangan dron di Yaman, Pakistan dan Somalia

Serangan dron yang direkodkan menurun berbanding tahun sebelumnya - terutama tahun 2010 yang menyaksikan serangan terbanyak - tetapi semakin mendapat perhatian dan memberi kesan kepada hubungan AS dengan sekutu, terutama Pakistan yang kelihatan semakin tidak sehaluan dengan Washington dan menunjukkan sikap itu secara terbuka. Kritikan terhadap Presiden Barack Obama - dan juga dasar peperangan Washington - semakin meningkat disebabkan jumlah kematian orang awam yang besar, dan persoalan perundangan serangan tersebut. Operasi dron juga semakin menjadi isu yang memberi kesan kepada pengendalian peperangan oleh AS. Serangan terburuk di Yaman berlaku pada 12 Disember lalu, ke atas satu konvoi majlis perkahwinan, mengorbankan sehingga 17 nyawa yang sebahagian besarnya orang awam.

4. Rohingya di Burma

Kezaliman terhadap etnik Rohingya di Burma berterusan pada 2013 tanpa mendapat perhatian sewajarnya, dan menjadi mangsa percaturan politik dalaman akibat pendekatan berhati-hati tokoh yang diharap menjadi pejuang demokrasi, Aung San Suu Kyi. Akibat persaingan geopolitik antara China dan AS di Burma, pengabaian terhadap pencabulan hak asasi manusia terus berjalan seperti sebelum Burma dilihat sebagai memasuki fasa baharu menuju politik yang lebih demokratik. Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, Asean, turut sama menunjukkan kelemahan apabila tidak mampu bertindak, malah tidak mengeluarkan kenyataan yang tegas terhadap kekejaman disokong rejim di Burma. Burma menjadi tuan rumah sukan antara Asean, Sukan Sea, tanpa sebarang insiden protes dan bantahan keras daripada negara-negara anggota Asean.

3. Campurtangan ketenteraan Perancis di Mali dan Republik Afrika Tengah

Tahun 2013 menjadi tahun aktif dasar luar Perancis apabila dua negara Afrika, Mali dan Republik Afrika Tengah menjadi medan operasi tentera negara Eropah itu. Perancis, bekas penjajah di banyak negara Afrika dan Asia Barat - termasuk Mali dan Republik Afrika Tengah - kembali menggiatkan dasar luar campurtangannya, sebelum ini di Libya dan kemudian ke Mali dan Republik Afrika Tengah. Campurtangan Perancis di Mali bermula pada Januari, dan di Republik Afrika Tengah pada penghujung November lalu, dengan satu alasannya menghalang konflik sektarian antara Kristian dan Muslim berterusan, tetapi kini didakwa menyebelahi kumpulan Kristian dalam konflik itu. Perkembangan ini menandakan peningkatan peranan Perancis di dunia Islam, pada masa bekas jajahannya di wilayah Syam, masih bergolak dan tidak lepas daripada perhatian Paris.

2. Keganasan sektarian di Iraq

Sentimen sektarian melibatkan Muslim Sunni dengan Syiah semakin meningkat di seluruh rantau Asia Barat, malah seluruh dunia, akibat pelbagai isu yang berakar daripada konflik di Syria. Iraq yang menjadi titik mula sentimen sektarian ini melalui tahun 2013 dengan mencatat jumlah korban keganasan politik yang sangat tinggi, jauh mengatasi tahun-tahun sebelumnya. Selain Syria, Iraq menjadi medan utama pertembungan antara mazhab di dunia Islam, melibatkan militan daripada kedua-dua kumpulan Sunni dan Syiah. Menurut kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sebanyak 7,818 orang awam telah terkorban sepanjang 2013 di Iraq, berbanding 3,238 pada 2012. Mangsa utama ialah komuniti Syiah, yang sering dijadikan sasaran pada masa hari sambutan keagamaan. Keganasan di Iraq memberi petunjuk kepada peningkatan sentimen sektarianisme Sunni-Syiah, dan permainan politik kuasa-kuasa serantau.

1. Konflik Syria


Konflik Syria menjadi isu sentral dunia Islam akibat kedudukannya yang merupakan manifestasi dasar luar kuasa-kuasa serantau, dan kesan yang diberikan kepada rantau sekitar dan kepada kuasa-kuasa dunia. Negara jiran kepada Lubnan yang selama ini mempengaruhi negara kecil itu kini bergolak dan berdepan bencana kemanusiaan yang dahsyat, akibat kezaliman pemerintah dan tindakan kuasa-kuasa asing. Pada masa sama, kesan konflik telah menampakkan kesannya di Lubnan. Konflik Syria menemukan pemain-pemain utama dunia Islam - terutama Arab Saudi, Qatar, Iran dan Turki - dan kuasa-kuasa global - AS, Rusia - dan menguji hubungan antara negara, pada masa sama menunjukkan perubahan aturan kuasa global. - Disember 26, 2013

Pembetulan: Angka dalam tajuk Keganasan Sektarian di Iraq sebelum ini dinyatakan sebagai "lebih daripada 7,000 orang." Angka sebenar, melibatkan kematian orang awam menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ialah 7,818. Pembetulan telah dilakukan dalam tulisan di atas.

Monday, December 30, 2013

2014, tahun tekanan, tahun protes?

Menurut kajian oleh Unit Intelijen Ekonomis (EIU), Malaysia tersenarai sebagai salah sebuah negara yang berisiko rendah untuk menghadapi protes hingga membawa kepada kekacauan sosial pada tahun 2014 nanti.

Malaysia menurut kajian itu, tersenarai bersama negara aman dan stabil lain seperti Sweden, Finland, Jerman dan New Zealand, negara yang jauh kurang menghadapi kompleksiti kepelbagaian berbanding Malaysia.

Laporan ini mungkin melegakan bagi pihak parti pemerintah, yang baru lepas melalui pilihan raya yang mencabar dan akan memasuki tempoh getir berhubung hal ehwal ekonomi rakyat.

Bagi pihak yang mahu protes terus digiatkan bagi meningkatkan tekanan ke atas pemerintah, laporan itu dinilai dengan sangat kritikal.

Walau bagaimanapun, berdasarkan perkembangan terkini di dalam negara, masih banyak yang boleh berubah, disebabkan ketidaktentuan yang menanti pada tahun depan.

Pemerintah Barisan Nasional telah menjadi sasaran sentimen negatif orang ramai dan pembangkang ekoran prospek kenaikan harga tol dan tarif elektrik, yang menambahkan lagi kos kehidupan harian rakyat.

Selain kenaikan itu, kenaikan harga bahan bakar tidak lama dulu akan menampakkan lagi kesannya pada tahun 2014 nanti.

Perkembangan semasa mempunyai potensi untuk mengulangi suasana global tahun 2007-2008, ketika dunia dilanda kenaikan drastik harga beras dan bijirin lain melebihi 100 peratus hingga mencetuskan protes di banyak negara dan menggugat pemerintah.


Hal ini dipercayai menyumbang kepada prestasi buruk gabungan parti pemerintah BN dalam pilihan raya yang diadakan pada Mac 2008.

Semua ini dapat digunakan oleh penentang parti pemerintah untuk menggerakkan protes dan menambahkan tekanan ke atas pemerintah, walaupun pilihan raya umum - yang pasti diambil kira oleh pemerintah dalam menguruskan kenaikan itu - telah berlalu.

Isu ekonomi sentiasa menjadi hal besar yang memberi kesan kepada pemerintah, dan tahun 2014 nanti akan menjadi sangat mencabar kepada BN, dalam keadaan ekonomi yang menyuburkan rasa tertekan dan tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

Pemerintah sentiasa menjadi pihak yang perlu memberikan jawapan kepada rakyat apabila keadaan ekonomi buruk, dan sentiasa menjadi yang awal menerima kesan rasa tidak puas hati itu.

Ini menjelaskan tindakan segera pihak berkuasa terhadap aktivis yang terlibat dalam protes harga barang menjelang tahun baru 2014 beberapa hari lagi.

Kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang kini menghadapi cabaran menguruskan sentimen ini dalam persaingan mengekalkan dan merebut sokongan rakyat dan menjadi pihak yang suaranya paling didengari.

Pihak Pakatan Rakyat telah mula menggerakkan protes menentang cukai barangan dan perkhidmatan yang bakal dilaksanakan, dan kumpulan-kumpulan lain turut terlibat mengeksploit kemarahan untuk dihalakan kepada parti pemerintah.

Ini semua meningkatkan kemungkinan tahun 2014 nanti akan menyaksikan siri protes besar-besaran terhadap pemerintah BN, yang dipertanggungjawabkan atas peningkatan kos hidup yang dirasai hari ini.

Lebih memburukkan keadaan kepada BN, kenaikan harga seperti tol dan tarif elektrik, dan GST yang akan menyusul, dikaitkan terus dengan dasar pemerintah - terutama pemberian konsesi kepada syarikat-syarikat pengendali lebuh raya - pada masa sama pemimpin-pemimpin dan ahli keluarga dilihat masih meneruskan gaya hidup mewah.

Berkaitan kenaikan tol, hal ini mendedahkan dengan jelas kegagalan BN menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya umum lalu untuk mengurangkan kadar tol antara bandar secara berperingkat.

Pada masa sama, mood global juga memperlihatkan protes politik menjadi sesuatu yang semakin menjadi pilihan ramai, sejak bermula protes besar-besaran di dunia Arab lebih tiga tahun lalu.

Apa pun jangkaan yang dibuat, tahun 2014 nanti boleh dijangka menjadi tahun yang mencabar kepada BN, yang bakal menghadapi kesan rasa tertekan rakyat akibat kenaikan kos. - Disember 27, 2013

Sunday, December 22, 2013

Kebangkitan Arab: Antara demokrasi, perubahan dan kesinambungan


Pada Disember 2010, peristiwa yang disifatkan permulaan gelombang kebangkitan menuntut demokrasi bermula di dunia Arab, di Tunisia.

Secara mudah, siri protes di negara-negara Asia Barat dan Afrika Utara itu disifatkan sebagai proses pendemokrasian yang baik untuk kesejahteraan warga dunia Arab.

Demokrasi dijadikan kata kunci utama dalam perbincangan mengenai kebangkitan Arab, dan Tunisia diterima sebagai titik mulanya.

Kini, selepas tiga tahun, perbincangan tentang kebangkitan Arab memerlukan perhatian yang lebih luas daripada sekadar demokrasi dan menuntut penilaian yang lebih kritikal.

Tulisan di bawah ini, yang ditulis pada Januari tahun ini, menimbulkan persoalan-persoalan berhubung konsensus yang diterima apabila membincangkan kebangkitan Arab, dan menekankan perhatian lebih pada perubahan dan kesinambungan dalam perkembangan ini.  

Kebangkitan Arab: Demokrasi, perubahan dan kesinambungan
Oleh HARIS ZALKAPLI

Dunia Arab yang meliputi Asia Barat dan Afrika Utara menjadi perhatian dunia sejak tercetus kebangkitan yang menjatuhkan pemerintah di Tunisia, yang disebut sebagai permulaan peristiwa besar dinamakan “Arab spring.”

Dua hal di sini ditetapkan dan diterima ramai; iaitu kebangkitan bermula di Tunisia, dan diletakkan di bawah tajuk besar satu kebangkitan baharu dalam politik dunia.

Hakikatnya, Tunisia boleh dianggap permulaan satu gelombang baharu kebangkitan di dunia Arab, tetapi sebelum Tunisia, kebangkitan telah berlaku di Yaman pada 2009, dalam pertembungan terbaharu pemberontak Houthi di utara dengan kerajaan, dan di Bahrain, melibatkan warga yang majoritinya beraliran Islam Syiah.


Kebangkitan di dunia Arab telah berlaku banyak kali sebelum Disember 2010 di Tunisia, yang tiba-tiba mendapat perhatian khusus media Barat dan dunia dan dijadikan satu permulaan episod baharu warga dunia Arab menuntut demokrasi dan kebebasan.

Bahrain kini menjadi satu kisah kebangkitan yang gagal, akibat ditekan hebat oleh pemerintah monarki negara itu dan kuasa serantau Arab Saudi, yang turut menghantar tentera untuk membantu rejim mematahkan protes rakyat.

Protes di Bahrain, yang menerima tekanan kuat dan tindakan keras pemerintah kini tenggelam daripada perhatian dunia dan juga umat Muslim sedunia yang secara umumnya berminat memerhatikan perubahan yang sedang melanda dunia Islam di rantau Asia Barat dan Afrika Utara.

Apa yang menarik di sini ialah sekiranya berlaku perubahan pemerintahan di Bahrain, perubahan yang berlaku itu berpotensi menjadi perubahan yang paling besar, melibatkan perubahan sistem dan bukan sekadar perubahan pemimpin seperti yang berlaku di Tunisia dan Mesir, dua kes perubahan yang paling menarik minat dan dijadikan contoh perubahan di dunia Arab.

Lebih memburukkan keadaan, kebangkitan di Bahrain dan di negara-negara monarki Arab Teluk Parsi diberikan wajah sektarian oleh pemerintah monarki terbabit, dengan menuding kepada pengaruh asing dari Iran.

Elemen Syiah dan pengaruh Iran dijadikan isu yang utama, mencetuskan sentimen sektarian di dalam negara terbabit dan juga mempengaruhi pemerhati dari luar dalam kalangan sesetengah umat Muslim.

Permainan politik monarki Arab itu terlepas daripada pandangan dan penilaian kritikal banyak pihak, lebih-lebih lagi akibat sentimen yang sudah terbina dan perhatian yang dihalakan ke Syria, yang bertentangan dengan Bahrain yang majoriti Syiah tetapi berpemerintah Sunni, dikuasai pemerintah daripada sekte minoriti dengan majoriti penduduk beraliran Sunni.

Kebangkitan di Bahrain terus tenggelam daripada pemerhatian umat Muslim pada masa ini, ekoran pertembungan yang lebih rancak di Syria dan seluruh wilayah Syam, tempat terletaknya Palestin yang melibatkan isu sentral dunia Islam.

Kebangkitan di Bahrain yang terkini, bermula pada 2010 itu tidak berakhir dan diteruskan setelah episod yang dinamakan kebangkitan Arab itu bermula.

Kini, selepas lebih dua tahun gelombang dinamakan “Arab spring” itu berlangsung, Bahrain terus tenggelam, ditenggelamkan sentimen sektarian dan perhatian media yang jauh lebih kecil berbanding kisah di Syria.

Pengalaman menuntut demokrasi dan kejayaan yang bermakna juga tidak bermula dengan Tunisia, seperti yang mungkin tergambar hasil wacana yang berleluasa pada masa kini.

Pada 2006, Hamas, kumpulan Islam yang dilabel teroris oleh Barat memenangi pilihan raya parlimen di Palestin berdepan dengan Fatah, kumpulan sekular yang didukungi Barat.

Peristiwa ini, selepas episod kemenangan kumpulan Islam di Algeria pada pilihan raya 1991, menunjukkan pengalaman demokrasi yang tidak asing kepada dunia Arab, tetapi berdepan halangan termasuk akibat tidak sehaluan dengan kuasa-kuasa Barat.

Peristiwa-peristiwa itu tidak diletakkan di bawah tajuk demokrasi yang sewajarnya, dan tidak disambut seperti kebangkitan terkini yang bermula di Tunisia, tetapi masih berada di bawah tajuk “ancaman Islamis” dan sama ada Islam dan demokrasi itu selari, yang sering kali bermaksud adakah Islamis akan mengancam nilai-nilai demokratik dan mencabulhak asasi manusia.

Di Iraq pula, yang dinamakan sesetengah pemerhati sebagai “Arab spring” pertama, pada Januari 2005 menyaksikan pilihan raya pertama pasca-Saddam Hussein, yang hasilnya meletakkan kepimpinan baharu yang jauh berbeza komposisinya, melibatkan aliran ideologi politik dan sekte agama.

Tetapi, episod ini juga dilihat dari sisi sektarian dan bukan kebangkitan menuntut demokrasi. Pemimpin Jordan, Raja Abdullah dalam satu wawancara dengan akhbar Washington Post memberi amaran tentang ancaman pengaruh Iran yang bakal diberi ruang besar hasil pilihan raya itu.

Abdullah memberi amaran tentang kewujudan kawasan di bawah pengaruh Iran yang dinamakan bulan sabit Syiah, meliputi kawasan berbentuk seperti bulan sabit dari Syam (Lubnan, Syria) hingga ke Teluk Parsi.

Amaran ini telah membentuk dan mempengaruhi wacana berhubung hubungan Sunni-Syiah dan pengaruh Iran, mempengaruhi sikap rejim-rejim Arab, Israel dan kuasa-kuasa Barat.

Perkembangan melibatkan Syria, Hamas dan hubungan Arab dengan Iran pada masa ini mendapat sumbangan besar daripada wacana yang diperkukuhkan oleh amaran Raja Abdullah pada Disember 2004 itu.

Wacana yang meletakkan kebangkitan bermula di Tunisia sebagai satu permulaan baharu dalam politik dunia juga mengabaikan kebangkitan-kebangkitan di Asia Tengah dan Kaukasus yang bermula sejak hujung 2003.

Bermula di Georgia pada 2003, Ukraine pada 2004-2005 dan Kyrgyzstan pada 2005, mood kebangkitan dan protes telah bermula, dan menjadi satu ciri politik terkini.

Pada masa sama, Amerika Syarikat juga meningkatkan kempen penyebaran demokrasi di seluruh dunia, melalui usaha bersepadu kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan program latihan dan pendidikan hal-hal berkaitan demokrasi dan hak asasi manusia.

Usaha penyebaran demokrasi ini menyumbang satu bahagian besar kepada kebangkitan yang disaksikan di seluruh dunia, termasuk di dunia Arab.

Ini menjelaskan bahawa kebangkitan itu terhasil daripada banyak faktor dan bukan berlaku dengan berasaskan kesedaran yang datang tiba-tiba, walaupun tidak dapat dinafikan penyertaan sebahagian besar massa hanya tercetus selepas protes bermula.

Malah, pada 2010, berlaku satu lagi kebangkitan yang mengubah pemerintah di Kyrgyzstan, menjadikan dekad yang lalu dipenuhi kisah kebangkitan rakyat, yang sering disebut dengan takrif popular revolusi.

Tanpa menafikan kepentingan kebangkitan Arab dalam mencetus dan meningkatkan mood perubahan, protes dan kebangkitan di dunia Arab tidak boleh dilihat secara terpisah daripada trend kebangkitan di seluruh dunia, yang tercetus hasil kesedaran politik yang semakin meningkat dan berleluasa.

Selepas lebih dua tahun berlalu, janji-janji perubahan yang muncul pada peringkat awal kebangkitan juga perlu dinilai dengan lebih mendalam.

Sebarang perubahan politik yang dramatik dan emotif pasti akan mencetuskan sekali harapan-harapan besar, seperti disaksikan di Tunisia dan Mesir terutamanya.

Tunisia ialah negara Rachid Ghannouchi, pemikir Muslim yang popular dalam kalangan ahli gerakan Islam. Begitu juga Mesir yang menjadi medan Ikhwan al-Muslimin dan Dr Yusuf al-Qaradawi.

Kedua-duanya diharapkan oleh gerakan Islam, sekurang-kurangnya di negara kita, untuk memainkan peranan yang lebih dalam pemerintahan negara masing-masing selepas berlaku perubahan.

Kini, kelihatan harapan yang diletakkan pada mereka terlalu besar, dan telah melampaui jangkaan-jangkaan realistik, melibatkan pentadbiran, pembinaan negara dan juga hal ehwal hubungan luar.

Malah sehingga kini, banyak komentar dan pemerhatian terhadap perkembangan di dunia Arab mengabaikan pemerhatian lebih teliti terhadap perubahan dan kesinambungan.

Jangkaan dan bacaan salah ini sehingga mencetuskan dakwaan kebangkitan Islam secara berlebihan, sehingga ada yang mengaitkan pemerintahan baharu di Mesir dengan kebangkitan semula khalifah Islam.

Kes Mesir ialah yang paling mudah untuk menjelaskan pemerhatian berhubung perubahan dan kesinambungan selepas kebangkitan yang mengubah pemerintah.

Antara isu utama yang diperhatikan dalam hal ini ialah hubungan negara-negara terbabit dengan Israel.

Satu kesilapan dalam hal ini ialah menjangka perubahan akan berlaku dengan segera dalam hal hubungan dengan Israel dan Barat, dan juga sama ada perubahan boleh berlaku.

Pemerintahan oleh Mohammad Morsi daripada Parti Kebebasan dan Keadilan yang berkait dengan Ikhwan hakikatnya tidak membawa haluan baharu yang fundamental.

Pemerintahan pasca-Mubarak dijangka membina hubungan lebih rapat dengan Hamas, membantu Gaza berdepan tekanan dan kepungan Israel.

Tetapi kepentingan nasional terbukti terlalu kuat untuk diabaikan, termasuk oleh pemerintahan daripada gerakan Islam.

Setakat ini belum dapat dilihat tindakan tegas dan jelas daripada kerajaan Morsi yang menunjukkan perubahan besar dalam hubungan dengan Israel.

Kaherah telah menghantar duta baharu ke Israel, meneruskan hubungan Mesir dengan Israel seperti biasa, walaupun tidak dinafikan kemungkinan sikap kritikal terhadap Israel dalam kalangan pemerintah baharu.

Pentadbiran Morsi telah memanggil pulang duta dari Israel ekoran serangan tentera Zionis ke atas Gaza pada November 2012, tetapi hal yang sama juga dilakukan pentadbiran Hosni Mubarak ekoran serangan ke atas Gaza pada Disember 2008 hingga Januari 2009.

Hal yang sama juga dapat diperhatikan pada tindakan Turki, ekoran serangan ke atas kapal bantuan Mavi Marmara pada 2010, yang menjelaskan tentang perubahan dan kelangsungan.

Hubungan Turki dengan Israel terjejas, dan mendapat sorakan ramai umat Muslim pada masa itu, yang mengangkat Turki dan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan sebagai wira umat.

Tetapi pemerhatian terhadap Turki dalam hal hubungannya dengan Israel semakin kurang mendapat perhatian selepas lama peristiwa itu berlalu.

Sejarah sebenarnya telah menunjukkan hubungan baik Turki di bawah Parti Keadilan dan Pembangunan dengan Israel, dan kemerosotan hubungan kedua-dua pihak pernah berlaku semasa pemerintahan tentera, yang mempunyai hubungan lebih baik dengan Israel dan Barat. 

Isu berkaitan Palestin dan Israel sememangnya mampu mencetuskan emosi dan sentimen, yang berdasarkan sejarah, sering kali hanya bersifat bermusim, iaitu sekitar masa serangan berlaku.

Kesimpulannya, kebangkitan Arab perlu dilihat dengan lebih mendalam dari sudut perubahan dan kesinambungan, supaya dapat melihat dengan lebih jelas dan tepat tentang kesannya, dan mendapat penilaian yang lebih adil dan bukan dikuasai sentimen.

Konsensus media, sama ada Barat atau Islamis, mempunyai kecenderungan masing-masing, memperbesarkan sesetengah hal dan memperkecilkan hal-hal lain menurut ideologi dan kecenderungan masing-masing.

Banyak peristiwa perubahan politik di seluruh dunia, yang sesetengahnya belum lagi lama berlalu dalam catatan sejarah, dapat memberi pengajaran berguna dalam usaha memahami perubahan yang berlaku.

Perubahan yang dramatik tidak bermakna berlaku pendemokrasian yang seiring, melainkan ada turun naiknya berdasarkan persaingan dalaman dan juga luaran melibatkan kuasa-kuasa serantau dan global.

Contoh seperti negara-negara bekas Soviet yang janji-janji revolusinya tidak tertunai seperti Georgia, Ukraine dan Kyrgyzstan perlu diambil kira sebagai pengajaran.

Ukraine menyaksikan pihak yang sama-sama berjuang dalam revolusi menjatuhkan rejim lama terlibat dalam persaingan dalaman hingga menjejaskan kerajaan yang terbina hasil kebangkitan rakyat itu.

Kyrgyzstan juga mengalami pengalaman yang sama, dengan kerajaan baharu terbukti gagal menunaikan janji dan bersikap sama dengan rejim lama yang dijatuhkan sebelum itu.

Perubahan yang segera dan dramatik jelas sekali satu perubahan memasuki fasa baharu, tetapi tidak bermakna semestinya proses demokrasi lebih mudah selepas itu.

Malaysia, yang sedang menyaksikan mood untuk perubahan yang membuak-buak, perlu melihat perubahan-perubahan di dunia Arab tersebut untuk mendapat pengajaran yang berguna berhubung perubahan dan kesinambungan.- Januari, 2013

Friday, December 13, 2013

Syiah, Malaysia dan politik global dunia Islam

Isu Syiah dan hal-hal berkaitan dengannya kini menjadi satu isu besar dalam politik negara, dan muncul sebagai satu isu yang menarik respons kuat daripada pihak-pihak berkepentingan.

Isu Syiah ini muncul bukan secara terpisah daripada isu-isu global dan politik tempatan, dan bukan semata-mata menjadi topik debat berhubung pentadbiran agama Islam di negara ini.

Kali ini, isu Syiah tidak boleh dilihat secara terasing daripada perkembangan politik di peringkat global yang rancak melibatkan persaingan kuasa-kuasa utama dunia Islam.

Pada masa sama, sikap dan pendekatan, dan pembingkaian isu Syiah oleh pemerintah di negara ini juga wajar disorot dengan lebih kritikal.

Hal berkaitan "kebangkitan Syiah" mula diperkatakan di rantau Asia Barat pada 2004, sejurus selepas kejatuhan pemerintahan Baath di Iraq, yang disusuli oleh politik yang lebih terbuka, sekaligus membuka ruang kepada penglibatan majoriti Syiah negara itu.

Wacana yang panjang dan mendalam berhubung kebangkitan Syiah di dunia Arab dan dunia Islam bermula pada masa itu.

Kemudian, ekoran perang antara militia Hizbullah, proksi Iran di Lubnan dengan tentera Israel pada musim panas 2006, populariti kumpulan Islam Syiah itu meningkatkan kebimbangan terhadap peningkatan populariti dan pengaruh Syiah dan Iran.

Keresahan pemerintah-pemerintah Arab Sunni, terutama monarki Arab di Teluk Parsi terhadap kebangkitan Iran dan Syiah terus meningkat, dengan persaingan utama melibatkan Arab Saudi dengan Iran.

Kedua-dua Arab Saudi dan Iran melihat diri masing-masing sebagai pemimpin dunia Islam, dan bersaing sengit mengukuhkan pengaruh di dunia Arab dan dunia Islam sejak 1979.

Persaingan ini menjadi isu asas kepada pelbagai isu dan peristiwa, sama ada disedari atau tidak oleh pihak-pihak lain yang terlibat.

Isu Syiah yang panas pada masa kini dapat diperhatikan mula muncul dengan lebih tersusun dan digerak dengan agresif sejak bermula konflik di Syria.

Pemerintah Baath Syria yang sekular dan menganut agama Alawi dalam kempen oleh kumpulan-kumpulan anti-Syiah sering dikemukakan sebagai "Syiah," tanpa penjelasan lain, dan segera dikaitkan dengan Iran, yang dipercayai bertujuan menyampaikan gambaran salah.

Hal yang hampir sama dilihat semasa konflik di Yaman bermula pada 2009, apabila pemberontak Houthi juga disebut sebagai "Syiah," tanpa menyebut aliran Zaidiyah, yang umumnya lebih diterima Muslim Sunni berbanding Imamiyah.

Kempen-kempen benci anti-Syiah - dan anti-Iran - mula meningkat dengan dramatik sejak konflik Syria, yang segera sampai di Malaysia dan mencetuskan debat simplistik dan divisif dalam kalangan Muslim Malaysia.

Secara tiba-tiba, muncul pelbagai kumpulan sama ada yang dikenali atau yang tidak mendedahkan identiti yang matlamat utamanya menyebarkan sentimen benci terhadap Syiah dengan hujah yang lemah dan bukti yang diragui.

Malah, ramai yang muncul memberikan ceramah dan penerangan isu-isu geopolitik dan hubungan antarabangsa dengan mengemukakan hal-hal yang jelas salah dan tidak bersandar pada kajian.

Semua ini memberi petunjuk kewujudan kepentingan tertentu dalam memanipulasi isu Syiah untuk mewujudkan sentimen benci dan mengaburi isu geopolitik dan kepentingan kuasa yang lebih mendasar.  

Pada masa sama, pentadbiran Najib juga menunjukkan hubungan yang rapat dengan Riyadh dan negara-negara Arab Teluk Parsi, negara-negara yang diketahui berseberangan dari segi politik dengan Iran.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sendiri pernah menerima anugerah daripada kerajaan Arab Saudi, Hadiah Raja Abdulaziz pada Januari 2010.

Najib menunjukkan sikap menyebelahi Arab Saudi sepenuhnya sejak merapatkan hubungan dengan Riyadh, antaranya membuat kenyataan menyokong tindakan tentera Saudi di Yaman pada 2009 dan menyokong kenyataan keras pemerintah Saudi terhadap pembangkang Bahrain pada 2011.

Serbuan ke atas sebuah hauzah Syiah di Gombak, Selangor pada Disember 2010 berlaku sekitar masa yang sama pemerintah merapatkan hubungan dengan Arab Saudi, pesaing Iran dalam politik dunia Islam.

Serbuan ini memulakan perhatian lebih rapi terhadap Syiah di Malaysia, dan menyumbang kepada peningkatan sentimen negatif terhadap Syiah, disebabkan liputan dan komentar yang dihalakan kepada hal negatif.

Najib juga tidak menyertai Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, NAM, di Tehran, Iran pada Ogos 2012, tetapi hadir ke Arab Saudi menyertai sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC, beberapa hari sebelum itu.

Dalam menangani kedua-dua pertemuan penting dunia itu, pentadbiran Najib menunjukkan sikap memilih dan berpihak yang jelas.

Melibatkan politik dalaman, parti pemerintah secara konsisten sejak kebelakangan ini menghalakan isu Syiah ini kepada parti pesaing, PAS.

Isu Syiah yang melanda negara pada masa ini bukan semata-mata isu dalaman melibatkan pentadbiran agama Islam, tetapi mempunyai dimensi politik global yang jelas dan perlu ditangani dengan pemahaman yang lebih baik dan bukan sekadar bertindak berdasarkan sentimen. - Disember 10, 2013

Wednesday, December 11, 2013

Risiko krisis tanah global

Oleh AMBROSE EVANS-PRITCHARD

Para saintis Amerika Syarikat telah mendapat satu penemuan mengejutkan. Pertanian di kawasan tanah rata sejak penghujung abad ke-19 telah menyebabkan kemusnahan mikro organisma yang membantu memelihara ekosistem kawasan itu.

Mereka tidak tahu apa sebenarnya yang dilakukan oleh bakteria tersebut. Ini merupakan satu medan penyelidikan yang baharu.

Mereka juga tidak tahu di manakah hadnya, dan bagaimana kemerosotan itu boleh dipulihkan. Tidak ada sesiapa yang tahu sama ada hal yang sama berlaku di tempat lain di dunia.

Satu pasukan di Universiti Colorado di bawah Noah Fierer menggunakan teknologi gen DNA untuk menguji "verrucomicrobia" di kawasan tanah rata. Kajian diterbitkan jurnal AS, Science, mendapati pertanian telah "mengubah secara drastik" biologi kawasan tanah tersebut.

"Tanah yang sekarang didapati di seluruh wilayah itu sangat berbeza dengan keadaannya sebelum pertanian dimulakan," menurut kesimpulan kajian itu.

Mungkin ada yang akan berkata hal ini telah diketahui, tetapi sebenarnya tidak. Tidak pernah ada kajian seumpamanya pada skala yang sama. Prof Fierer berkata manusia perlu berhati-hati. "Kita sebenarnya hanya tahu sangat sedikit tentang salah satu tanah paling produktif di dunia, tetapi kita tidak tahu yang mikro organisma tanah memainkan peranan penting dan kita tidak boleh terus sekadar menambah baja," katanya.

Kajian Universiti Colorado itu telah mengejutkan dunia kajian tanah. Kajian ini diiringi analisis menyedarkan dalam jurnal Science oleh para akademik di Universiti Witwatersrand, Afrika Selatan.

Mereka bimbang yang kita mengulangi kesilapan tamadun-tamadun silam yang mengeksploit tanah sehingga tidak dapat dipulihkan lagi, mencetuskan kitaran ganas kebuluran dan akhirnya keruntuhan sosial.

Bertajuk Dust to Dust, kajian itu mengemukakan hujah bahawa penghakisan kesuburan tanah selama ini dikaburi oleh khasiat yang ditaburkan ke atas tanah, memberikan kita gambaran salah tentang kesuburan tanah.

Menurut kajian itu lagi, 1 peratus daripada tanah global merosot kualitinya setiap tahun, yang ditakrifkan dengan penghakisan tanah lapisan atas sebanyak 70 peratus.

Apabila tanah lapisan atas merosot, kadar pemulihan semakin perlahan. Bahan kimia boleh mengekalkan hasil yang tinggi buat sementara waktu tetapi ekologi kompleks di bawah semakin merosot. Hasil pertanian telah merosot sebanyak 8 peratus di seluruh Afrika.

Kajian ini mengajak perubahan menyeluruh sebagai "satu-satunya haluan untuk terus dapat menghasilkan makanan dan memastikan dunia dapat terus didiami."

Masalah degradasi tanah ini membimbangkan kerana populasi dunia akan meningkat sebanyak lebih satu per empat kepada 9 bilion sebelum mencapai puncaknya pada pertengahan abad akan datang.

Masalah ini juga muncul pada masa China dan Asia yang semakin membangun bertukar ke pemakanan protein haiwan, mengikut corak yang sama dilihat di Jepun dan Korea semasa mereka menjadi semakin kaya. Umumnya, sekitar 4 hingga 8kg bijirin makanan haiwan diperlukan untuk menghasilkan 1kg daging.

Prof Robert Scholes, salah seorang pengkaji, berkata ada kalanya kerajaan yang bimbang mengambil keputusan sukar mengorbankan masa depan untuk menyelamatkan rakyat yang kebuluran pada hari ini. "Kita sedang menyaksikan pengurangan hutan besar-besaran di Afrika," katanya.

Banyak amaran telah dapat diperhatikan. Bahagian timur Madagascar telah dimusnahkan oleh amalan tebang dan bakar, dan tidak dapat dipulihkan lagi. Pendatang di Iceland mengubah kawasan hijau dan berhutan kepada padang pasir pada abad ke-10. Kerosakan tanah itu masih tidak dapat dipulihkan seribu tahun selepas itu, walaupun dengan jagaan rapi.

"Kita semakin kekurangan kawasan baharu pertanian untuk diteroka dan kita tidak dapat membuat kesilapan lagi. Kita telah menggunakan segala zat tanah dan bakal menyaksikan krisis makanan dalam 30 ke 40 tahun akan datang. Kita menghadapi risiko terperangkap akibat perbuatan kita sendiri. Kemungkinan kebuluran tidak boleh dinafikan," katanya.

Tamadun Sumeria yang bertani di Tigris dan Furat dimusnahkan oleh penghakisan tanah dan penggunaan tanah secara berlebihan. Hikayat Gilgamesh menceritakan hutan cemara di Iraq yang musnah kerana ditebang untuk perdagangan balak pada 2,600 sebelum masihi.

Kisahnya biasanya hampir sama, sama ada melibatkan Maya di tanah rendah di Amerika Tengah, atau Empayar Khmer di Angkor, atau Pulau Easter, yang diceritakan oleh Jared Diamond dalam bukunya Collapse: How Societies Choose to Fail or Succeed.

Apabila pokok-pokok di tebing bukit ditebang, aliran air diganggu. Akhirnya semakin sukar untuk menghasilkan makanan untuk penempatan yang semakin padat. Masyarakat biasanya mahu mencari jalan pintas, dan akhirnya tanah semakin kekurangan. Perubahan mendadak iklim pada masa ini menambah buruk keadaan.

Konvensyen PBB untuk Memerangi Penggurunan (UNCCD) mengatakan permintaan makanan dunia akan meningkat 50 peratus menjelang 2030. Ini memerlukan sehingga 170 hingga 220 juta hektar tanah baharu.

Walau bagaimanapun badan ini juga menjangka kemerosotan tanah akan mengurangkan pengeluaran sebanyak 12 peratus dalam tempoh 25 tahun akan datang.

UNCCD mensasarkan satu kerjasama global untuk mencapai degradasi sifar tanah pada 2015, sebahagian besarnya melalui penanama semula hutan. Ketua bahagian alam sekitar badan ini, Veerle Venderweerde berkata rancangan ini tidak berjalan lancar.

"Kita tahu bagaimana memulihkan tanah yang mengalami degradasi. Hal ini tidak mustahil tetapi memerlukan masa, wang, dedikasi dan keazaman politik, dan keazaman politik ini yang sukar."

Tetapi ada juga kes yang memberi inspirasi. Yacouba Sawadogo, menggunakan satu teknik lama menghentikan hakisan tanah di ladang kecilnya di Burkina Faso. Beliau menanam semula 20 hektar hutan di kawasan Sahel yang kering. Malangnya, pegawai tempatan kemudian merampas tanahnya.

Menurut Venderveerde, syarikat-syarikat industri pertanian global sekarang ini memasuki perbatasan baharu, menggunakan dan menjejaskan tanah untuk mendapatkan untung segera, yang lebih mirip kepada perlombongan berbanding pertanian.

"Mereka sepatutnya tidak boleh datang, mengambil sumber dan kemudian pergi. Syarikat besar perlu mengubah sikap mereka. Mereka tidak akan berubah melainkan dipaksa berbuat demikian."

Pusat kajian Land Matrix Global Observatory menggabungkan lima pusat kajian mendapati perlumbaan memperolehi tanah oleh pelabur tidak seteruk yang disangka. Pelaburan Agri-SA di Congo didapati hanya 80,000 hektar, dan bukan 10 juta seperti didakwa.

Mereka juga mendapati persetujuan melibatkan 48 juta hektar sedang dirunding atau telah dicapai, sebesar saiz Sepanyol. Ini mungkin angka yang diperkecilkan kerana syarikat-syarikat asing kini telah belajar dan semakin berhati-hati ekoran kemarahan ramai di Afrika dan Amerika Latin. Syarikat asing kini bekerjasama dengan syarikat tempatan.

Mereka mendapati pelabur utama datang dari AS, diikuti oleh Malaysia, Emiriah Arab Bersatu, dan United Kingdom (kebanyakannya dana global di London). China bukan pelabur besar, tetapi ini mungkin berubah selepas persetujuan pada September melibatkan sewaan 5 peratus tanah di Ukraine selama 50 tahun.

Sasaran utama ialah Papua New Guinea, lokasi salah satu hutan hujan terakhir dunia, yang kini sebanyak satu pertiga dimiliki syarikat asing. Ini diikuti oleh Indonesia, Sudan, Congo, dan Mozambique. Tidak ada sesiapa yang memerhatikan hal ini.

Kebimbangan terhadap kebuluran telah berkurangan sejak peristiwa 2008 apabila harga jagung dan meningkat tiga kali ganda dalam tempoh tiga tahun dan kekal tinggi, hingga membawa kepada rusuhan yang kemudian membawa kepada kebangkitan Arab.

Menurut PBB, hasil yang banyak di AS, Kanada, dan Ukraine telah meningkatkan pengeluaran bijirin dunia sebanyak 8 peratus tahun ini, tetapi penggunaan meningkat kepada 3.5 peratus.

Stok bijirin global telah meningkat 13 peratus ke tahap yang agak selamat, tetapi jumlah ini hanya meliputi 69 hari penggunaan global. Stok pada tahun-tahun 1980-an dan 1990-an secara purata cukup untuk 107 hari.

Kita kini beroperasi dengan margin yang sangat tipis. Harga makanan juga tidak kembali ke kadar sebelum ini. Indeks makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meningkat sebanyak 105 peratus sejak sedekad lalu.

Kita telah kembali bersikap mengambil mudah. Hakikatnya ialah dunia tidak mampu untuk terus kehilangan sehektar tanah setiap tahun, apatah lagi 12 hektar. Ditambah dengan penemuan yang kita melakukan kemusnahan yang lebih besar terhadap mikro organisma daripada yang kita sedari sepatutnya menginsafkan. Kita terlalu banyak berdebat tentang pemanasan global.

Krisis tanah global ini sepenuhnya akibat perbuatan manusia, dan semakin menyukarkan kita pada masa ini. Perkembangan ini hanya boleh dipulihkan sekiranya pemimpin-pemimpin dunia mengambil keputusan menanganinya. - Telegraph

Tuesday, December 10, 2013

Malaysia perlu tingkat persediaan bencana

Oleh HARIS ZALKAPLI

Bencana banjir sentiasa menjadi peristiwa besar negara kita setiap tahun, yang biasanya terjadi pada musim yang sama dan cuma dibezakan oleh tahap bencana tersebut.

Pengalaman berdepan banjir sepatutnya telah menyediakan kita untuk menangani dan menguruskan bencana tersebut.

Bencana banjir, sejak kebelakangan ini kelihatan semakin dahsyat, ekoran pelbagai faktor termasuk alam sekitar yang semakin banyak berubah.

Sebagai sebuah negara yang bencana alam utamanya ialah banjir, Malaysia sewajarnya meningkatkan persediaan menghadapi kemungkinan bencana ini berlaku pada bila-bila masa.

Pendidikan berkaitan menangani bencana - yang tidak terhad kepada banjir - perlu disebarluas melalui pelbagai cara,  agar persediaan menghadapi bencana diambil perhatian oleh semua.

Persediaan bukan sahaja perlu dilakukan oleh pihak berkuasa, tetapi orang ramai juga perlu sentiasa memastikan persediaan yang munasabah bagi menghadapi kemungkinan bencana alam.

Antara yang paling mudah dilakukan ialah persediaan penyimpanan barangan paling asas, seperti air minuman dan air bersih dalam botol, beras, dan makanan dalam tin dan kering, antara keperluan paling utama.

Penyimpanan stok air bersih dan air minuman sewajarnya telah diberi perhatian dan diamalkan, ekoran gangguan bekalan air yang agak biasa dihadapi oleh penduduk di sesetengah kawasan seperti Lembah Kelang.

Amalan ini dapat membantu dalam senario-senario lain, kerana keputusan bekalan air hampir pasti mengiringi bencana alam lain.

Simpanan bahan-bahan ini perlu dipastikan dan mungkin ditingkatkan semasa musim hujan, terutama bagi yang tinggal di kawasan dilanda banjir atau yang berpotensi dilanda.

Terutamanya bagi mereka yang terperangkap dan terputus hubungan, dan tidak perlu berpindah ke pusat pemindahan, keperluan paling asas yang disimpan di dalam rumah, yang sentiasa dipastikan mencukupi dapat membantu meringankan kesan bencana.

Keperluan lain ialah makanan dalam tin dan makanan kering (seperti mee segera, makanan dipek yang hanya perlu dipanaskan) yang boleh disimpan lama tanpa memerlukan peti sejuk.

Selain makanan, ubat-ubatan termasuk kit rawatan awal, lampu, bateri, dan sebagainya juga perlu sentiasa dipastikan ada.

Menurut panduan asas bencana, keperluan kit bekalan bencana ini perlu mencukupi untuk tempoh 72 jam, tempoh yang biasanya diperlukan untuk bantuan sampai.

Kit bekalan kecemasan ini juga boleh dilengkapi dengan keperluan lebih asas (kit yang juga dikenali sebagai go bag) yang boleh dibawa bagi yang perlu bergerak.

Dalam senario bencana tidak teruk dan tidak memerlukan pemindahan, persediaan makanan dan keperluan asas yang munasabah dapat banyak membantu.

Di pihak kerajaan dan pihak yang terbabit memberi bantuan, pelan tindakan yang lebih terperinci dan dapat digerakkan dengan segera mungkin perlu diberi lebih perhatian.

Perkara ini mungkin dapat dilakukan dan diselaras dengan lebih mudah oleh pihak seperti PAS, yang mempunyai rangkaian dan ahli yang ramai serta agak mudah dimobilisasi.

Pengalaman PAS, termasuk pengalaman spesifik Jabatan Amal, perlu dimanfaatkan untuk membina satu pelan tindakan yang lebih lengkap, meliputi masa sebelum, semasa dan selepas bencana.

Persediaan ini dapat membantu mengurangkan masa respons terhadap bencana, yang biasanya mengambil masa beberapa hari sebelum bantuan-bantuan dari luar tiba dan diselaraskan.

Persediaan ini juga, apabila dibuat secara lengkap, akan menyampaikan pengtahuan tentang keperluan bencana kepada orang ramai yang tidak terlibat atau tidak pernah terlibat dalam bencana alam.

Hal ini dapat membina sensitiviti mereka yang tidak terlibat dan memberi input tentang barangan yang paling perlu disumbangkan.

Pada masa ini, banyak barangan keperluan termasuk air bersih, keperluan wanita dan bayi agak kurang mendapat perhatian, dan sesetengah pihak amat mudah memilih untuk memberikan pakaian pada masa keperluan lebih utama masih belum dipenuhi.

Pengetahuan yang lebih tentang bencana alam seperti banjir juga akan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang keperluan pascabencana, melibatkan pembersihan, pemulihan infrastruktur dan melibatkan mangsa terbabit.

Selepas bencana, liputan media tidak seperti semasa bencana berlaku, dan ini memberi gambaran kepada orang ramai yang masalah telah selesai.

Hal ini menyebabkan orang ramai berhenti daripada menghulurkan bantuan, sedangkan kesan bencana, termasuk kos kewangan memperbaiki kerosakan, mengganti keperluan yang rosak atau hilang dan kesan tekanan kepada mangsa terlibat masih belum berakhir, malah mungkin baru bermula.

Pelbagai pihak perlu memberikan perhatian yang lebih berbanding biasa kepada senario selepas bencana.

Bencana alam banjir yang berlaku saban tahun wajar menjadikan semua pihak, daripada kerajaan dan agensi-agensi yang berkaitan. Begitu juga dengan orang ramai sama ada terjejas atau tidak dengan bencana tersebut.

Kesedaran terhadap persediaan bencana perlu ditingkatkan dalam kalangan orang awam sehingga persediaan bencana diamalkan oleh semua supaya kesan buruk daripada bencana lebih dapat ditangani dan dikurangkan.- Disember 6, 2013

Thursday, December 5, 2013

Ada yang tak kena dalam Pemuda?

Oleh JOHARI M

Minggu lalu kecoh tentang mesyuarat pertama Pemuda PAS Pusat yang dilapor media yang sangat berminat dengan isu dalaman PAS sebagai gagal mencapai persetujuan melantik setiausaha.

Dilaporkan Ketua Pemuda Suhaizan Kaiat menghadapi kesukaran kerana barisan exco tidak menunjukkan sokongan dan cuba menghalang semua hasrat ketua Pemuda.

Sebenarnya apa yang berlaku dalam mesyuarat tidak diketahui dengan tepat oleh mereka yang di luar, selain daripada apa yang disampaikan oleh ahli mesyuarat.

Mungkin benar Suhaizan terkepung dan tidak dapat memastikan pilihannya diterima, tetapi perlu diingat juga mungkin perkiraan pihak yang menolak bukan semata-mata sebab perbezaan kumpulan, mungkin juga sebab-sebab lebih praktikal seperti pengalaman dan sebagainya.

Banyak cakap-cakap yang terdengar berkaitan mesyuarat itu dan gambaran yang diberikan menampakkan yang ramai masih menggunakan label-label jahat, seperti "geng UG" dan sebagainya.

Dikatakan, Suhaizan cuba dihalang dan dikawal oleh "geng UG" yang mahu meletakkan orang mereka seperti Zaharuddin Muhammad di kedudukan-kedudukan strategik.

Sebenarnya, inilah realiti politik yang perlu dihadapi semua, tidak kira daripada kumpulan mana sekalipun. Pembuatan keputusan perlu menghormati suara ramai atau majoriti.

Dalam kes pelantikan dalam Pemuda, suara majoriti mungkin kumpulan yang berbeza perspektif dengan Suhaizan, dan pemimpin-pemimpin itu pula dilantik oleh muktamar yang baru berlalu.

Muktamar ialah pembuat keputusan yang perlu dihormati. Muktamarlah memutuskan parti perlu memboikot akhbar Utusan Malaysia, dan PAS perlu bersama Pakatan Rakyat. Muktamar jugalah yang memilih pemimpin-pemimpin yang mahu Zaharuddin diangkat.

Tetapi, kumpulan majoriti juga perlu menghormati keputusan ketua Pemuda, yang juga dipilih majoriti untuk mengepalai Dewan Pemuda PAS Pusat (yang dikenali sekarang sebagai Dewan Pemuda PAS Malaysia, atau namanya yang lebih "komersil," Pemuda PAS Malaysia.)

Seperti juga PAS menuntut parti pemerintah menghormati undi popular dan undi besar penyokong PAS dan PR, kumpulan majoriti dalam Pemuda perlu menghormati pihak yang kalah yang juga membentuk satu bahagian Pemuda.

Ketua perlu diberi sedikit kebebasan untuk memilih beberapa orang yang dekat dengannya untuk membantu tugas-tugas ketua yang berat. Pelantikan setiausaha mungkin perlu diberikan lebih banyak kebebasan kepada ketua Pemuda untuk melantik orang pilihannya.

Gabungan kepimpinan Pemuda sekarang mungkin yang paling menarik kepada golongan muda pada masa kini, yang membentuk segmen besar yang akan menjadi pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Pembentukan kabinet baharu Pemuda satu tujuan utamanya ialah memasuki Pilihan Raya Umum ke-14 nanti dengan kuat dan yakin, dan inilah yang perlu menjadi perkiraan utama kepimpinan baharu Pemuda sekarang ini.

Semua pihak yang terlibat perlu mengutamakan kepentingan Pemuda dan parti, dan bukan kelompok masing-masing. Diharap agenda ini akan direalisasikan melalui pelantikan dan pembentukan barisan kepimpinan baharu Pemuda.

Foto oleh WAN ZAHARI WAN SALLEH

Wednesday, December 4, 2013

Pemilihan pemimpin, ahli pilih kelangsungan dan kestabilan

Oleh HARIS ZALKAPLI

Satu gambaran utama yang diberikan oleh perwakilan dalam pemilihan yang baru lepas ialah pemilihan dua perkara penting; kelangsungan dan kestabilan, yang berpotensi untuk meneruskan kerja-kerja yang telah dimulakan oleh kepimpinan lama dan sedia ada.

Hal ini paling utama dapat diperhatikan pada pemilihan jawatan timbalan dan naib presiden, ketua Dewan Muslimat dan sejumlah besar ahli jawatankuasa peringkat pusat.

Dalam jawatankuasa pusat juga, beberapa muka baharu yang dipilih telah mempunyai kehadiran peringkat nasional sejak sekurang-kurangnya sepenggal lepas, seperti Idris Ahmad, Nasrudin Hassan dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Faktor penting yang mendorong pembuatan keputusan oleh perwakilan nampaknya ialah populariti dan wajah-wajah yang dikenali, walaupun faktor pemilihan berdasarkan senarai kumpulan juga tidak boleh dinafikan.

Penyandang sentiasa memiliki kelebihan, terutama timbalan presiden Mohamad Sabu yang telah berada di barisan kepimpinan tertinggi dan bersama memimpin parti melalui siri protes utama disertai PAS sejak 2007 dan melalui Pilihan Raya Umum ke-13, pilihan raya umum pertama bagi Pakatan Rakyat.

Mohamad mendapat majoriti lebih besar pada pemilihan kali ini, sebanyak 98 undi. Undi diperolehi Mohamad ialah sebanyak 588 undi, berbanding 490 diperolehi Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Walau bagaimanapun, Mohamad dalam pemilihan pada 2011 mendapat 420 undi, dengan dua lawannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Nasharuddin Mat Isa masing-masing memperolehi 399 dan 224 undi. Mohamad hanya mendapat kelebihan undi sebanyak 21 undi berbanding saingan terdekatnya Tuan Ibrahim.

Kemenangan Mohamad pada masa itu disebut sebagai disebabkan oleh perpecahan undian melibatkan Tuan Ibrahim dan Nasharuddin, yang dilihat sebagai mewakili kelompok yang sama.

Di peringkat naib presiden, kehadiran nasional Tuan Ibrahim - yang lama disebut-sebut hendak bertanding timbalan presiden - dan tiga penyandang yang lain memberi kelebihan besar kepada mereka, walaupun seorang terkeluar disebabkan kemasukan Tuan Ibrahim.

Salahuddin Ayub kekal sebagai naib presiden mendapat undi tertinggi dengan 917 undi. Pada pemilihan 2011, Salahuddin mendapat undi tertinggi sebanyak 753 undi, diikuti Datuk Husam Musa yang mendapat 660. Mahfuz yang tidak terpilih kali ini mendapat undi terendah dalam pemilihan lalu, dengan 616 undi.

Bekas ketua penerangan ini mengalami hal yang hampir sama dengan Idris yang disebut-sebut akan bertanding jawatan naib presiden dan dilihat ramai ahli sebagai layak menduduki salah satu kerusi itu. Beliau memenangi undi terbanyak dalam kalangan ahli jawatankuasa, sebanyak 927, diikuti oleh Mazlan Aliman dengan 840 undi.

Keputusan undian ahli jawatankuasa menunjukkan kewujudan pemilihan berdasarkan kumpulan, apabila calon-calon yang mewakili kelompok digelar Erdogan atau "reformis," yang juga merupakan penyandang, mengekalkan kedudukan masing-masing dengan jumlah undi selesa, walaupun faktor populariti dan kelebihan penyandang juga tidak dapat dinafikan menjadi faktor dipilih.

Calon-calon kumpulan agamawan dan konservatif, seperti Nasrudin, Nik Abduh, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, dan Dr Riduan Mohamad Nor juga dipilih ke jawatankuasa pusat dengan undi yang selesa.

Di Dewan Pemuda, kemenangan Suhaizan Kaiat memperlihatkan kehendak perubahan dalam kalangan ahli dan pada masa sama pemilihan wajah yang dikenali, yang telah aktif di peringkat nasional dan dinilai sebagai calon berpotensi untuk jawatan ketua Pemuda, yang bermula sejak pemilihan yang lalu apabila beliau menjadi satu pilihan popular untuk bertanding jawatan ketua dewan itu.

Pemilihan pemimpin-pemimpin yang popular, dan dinilai mampu menjalankan tugas masing-masing, memperlihatkan kelangsungan masih menjadi pilihan ahli walaupun beberapa tokoh kunci kem masing-masing telah dipastikan dipilih.

Kemenangan Mohamad dan Suhaizan terutamanya, telah menafikan spekulasi panjang menjelang pemilihan yang mendakwa kumpulan ulama akan menguasai sepenuhnya, dan membuktikan ahli PAS mengambil kira banyak faktor.

Dari satu sudut, kemenangan timbalan presiden mengekalkan kedudukan dan kemenangan ketua Pemuda baharu menyumbang kepada bukan sahaja kelangsungan tetapi juga kestabilan parti dengan mewujudkan keseimbangan.

Undi yang agak seimbang antara Mohamad dan Mohd Amar menunjukkan kewujudan imbangan kuasa melibatkan dua aliran besar dalam PAS, hal yang perlu diambil kira oleh semua pemimpin dalam pembuatan keputusan.

Kemenangan kedua-dua pemimpin itu juga memaksa kerjasama dan kompromi antara yang memiliki perspektif berbeza, dan tidak hanya mengangkat agenda satu pihak sahaja yang mungkin berlaku - atau dilihat sebagai berlaku - sekiranya lawan mereka menang.

Hal ini penting kepada PAS sebagai sebuah parti yang semakin bersifat arus perdana, tetapi mempunyai akar umbi setia dan penggerak parti yang besar terdiri daripada agamawan dan konservatif.

PAS perlu meraikan dan menerima kecenderungan pragmatik dan inklusif yang telah meningkatkan sokongan daripada kelompok luar daripada pengikut tradisionalnya, tetapi tidak dapat dinafikan kepentingan elemen konservatif yang telah membina kekuatan parti selama ini, yang kekal setia sepanjang zaman sukar PAS pra-1998.

Kini terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin-pemimpin dan seluruh ahli untuk membina kekuatan atas kelebihan-kelebihan kepelbagaian aliran ini, untuk terus mengemudi parti melalui medan politik yang semakin berbeza berbanding apa yang dilalui PAS selama ini. - November 29, 2013
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...