Showing posts with label Pentadbiran. Show all posts
Showing posts with label Pentadbiran. Show all posts

Saturday, October 11, 2014

Selepas kemaraan Houthi, ke mana hala tuju Yaman?

Selepas pertempuran dan protes besar-besaran sejak hujung tahun lalu, pihak yang paling banyak mendapat keuntungan ialah kumpulan Houthi, yang kini mendapat suara yang lebih besar dalam usaha penubuhan kerajaan baharu, selepas diabaikan dalam persidangan dialog kebangsaan sebelum ini.

Houthi yang meningkat pencapaian dan pengaruhnya dengan setiap pertembungan dengan kerajaan kini mencapai kemuncaknya apabila berjaya menguasai Sanaa dan meningkatkan pengaruhnya dalam kerajaan di ibu negara, selepas berjaya menewaskan Islah dan sejumlah kecil tentera yang menentang mereka - pada masa sama mendapat sokongan daripada sebahagian tentera Yaman - dua kumpulan berpengaruh yang menguasai Yaman.

Kemenangan Houthi ini tidak dapat dielakkan daripada dilihat sebagai peningkatan penguasaan Syiah dan Iran, ekoran hubungan baik Houthi dengan Tehran, walaupun tidak jelas lagi sejauh mana Houthi dapat menguasai pentadbiran di Sanaa dan membantu mencapai agenda serantau Iran, disebabkan kedudukannya sebagai minoriti Zaidiyah dan bukan sebahagian puak terkuat di Yaman.

Houthi walaupun dapat menguasai Sanaa dilihat tidak meneruskan kemaraan lebih jauh lagi, dipercayai kerana bimbang dengan reaksi keras yang bakal diundang melalui tindakan yang lebih drastik itu, selepas membuat kejutan dengan langkah pantas menguasai ibu negara dan lokasi-lokasi penting.

Tindakan kumpulan pemberontak ini tidak mahu berundur daripada Sanaa walaupun selepas perjanjian dicapai mengundang keresahan ramai, dan telah mendorong serangan daripada pihak al-Qaeda yang anti-Syiah.

Kemaraan Houthi ini kini digunakan untuk mengukuhkan naratif kebangkitan Syiah yang mengancam penguasaan Sunni di rantau Arab secara simplistik dan mengundang ketakutan, seperti yang digunakan di Syria dan Iraq untuk memperlihatkan pertembungan Sunni-Syiah dan membakar lagi sentimen sektarian.

Walau bagaimanapun, selain disebarkan oleh pihak musuh Iran dan Syiah, pihak di Iran sendiri turut menyumbang kepada pengukuhan pandangan ini, apabila ada pihak di Iran sendiri melihat kemaraan Houthi sebagai satu kejayaan Iran. Seorang ahli Parlimen Iran, Alireza Zakani dilaporkan berkata yang Iran kini menguasai empat ibu negara Arab; Baghdad, Damsyik, Beirut dan Sanaa.

Naratif ancaman Syiah digunakan dalam propaganda panjang dalam konflik di Syria, hingga menyuburkan medan perang itu dengan militan dari seluruh dunia Islam, yang akhirnya membawa Syria dan juga seluruh dunia Islam ke satu konflik ganas sektarian dan krisis kemanusiaan yang berpanjangan.

Pelbagai kumpulan yang menjadikan penentangan terhadap Syiah sebagai satu bahagian utama perjuangan muncul dan beroperasi di Syria dan kawasan sekitar, yang bentuk paling buruknya ialah militan yang menamakan diri mereka Negara Islam di Iraq dan al-Syam.

Sebahagian media telah menampakkan kecenderungan membingkaikan perkembangan di Yaman dengan memberi tumpuan yang terlalu besar pada kata kunci Syiah, yang ekoran naratif yang dibangunkan dan disebarkan hasil konflik di Syria, memberi gambaran hanya mengenai satu sudut peristiwa yang kompleks itu.

Yaman yang telah sedia menjadi satu pangkalan al-Qaeda kini berpotensi untuk terjerumus dalam konflik sektarian yang dahsyat, dan menarik militan-militan dari seluruh dunia Islam yang tertarik dengan mesej sektarian yang terhasil daripada konflik ini.

Pemerhatian terhadap perkembangan terkini ini, selain ditumpukan pada Iran, juga perlu diberikan pada Arab Saudi yang juga satu pemain utama dan mendapat manfaat daripada kemaraan Houthi yang berjaya menjejaskan musuh di negara jirannya itu.

Pada masa sama, Arab Saudi yang kelihatan mencapai satu persefahaman dengan Iran yang menyokong Houthi tidak akan membiarkan negara jirannya itu menjadi kubu Iran dan Houthi, yang mempunyai lebih banyak perbezaan berbanding persamaan.

Menurut seorang pemerhati, Abdullah Hameed al-Deen yang menulis di akhbar al-Hayat, Riyadh dan Tehran kelihatan bekerjasama secara taktikal dalam memberikan sokongan untuk Houthi menewaskan Islah dan kelompok yang dilihat mengkhianati Ali Abdullah Saleh, sekutu kuat Saudi di Yaman.

Tulis Abdullah, pada tahap ini, Riyadh membenarkan Houthi mara dan Iran mendapat manfaat daripada perkembangan ini, tetapi kemaraan Houthi dan potensi perluasan pengaruh serantau Tehran ini tidak akan dibenarkan berterusan lebih daripada yang sepatutnya.

Menurutnya, pada tahap seterusnya, Saudi dijangka akan bergerak untuk kembali menguasai Yaman melalui pihak-pihak yang mempunyai hubungan baik dengannya, selepas musuh-musuhnya terdiri daripada Ikhwan al-Muslimin dan pihak yang bekerjasama dengan Ikhwan untuk menjatuhkan Ali Abdullah ditewaskan oleh Houthi.

Presiden Abd Rabbuh Mansur Hadi sendiri ialah sekutu Saudi dan sekutu penting Amerika Syarikat dalam "perang menentang terorisme."

Sekiranya ini berlaku, Riyadh perlu membina persefahaman dengan Houthi dan Iran, sekiranya tidak mahu rancanganya itu berdepan halangan dan tentangan. Perkembangan terbaharu ini, yang semakin jelas selepas pertemuan wakil Riyadh dan Tehran di New York, Amerika Syarikat beberapa minggu lalu menunjukkan satu kecenderungan baharu Arab Saudi dan Iran untuk menyelaraskan dasar luar masing-masing berdasarkan perkembangan semasa, walaupun masih mempunyai perbezaan yang besar.

Di pihak lain, Qatar dan Turki melihat penghakisan pengaruh yang pantas berlaku selepas pencapaian-pencapaian luar biasa sejak beberapa tahun lalu hingga sekitar 2012, pada masa imbangan kuasa di rantau Arab berubah dengan dramatik.

Qatar sebelum ini bekerjasama rapat dengan Saudi dalam usaha menjatuhkan Presiden Bashar al-Assad di Syria, dengan memberikan bantuan persenjataan, kewangan, sokongan media dan diplomasi kepada kumpulan-kumpulan penentang rejim Bashar.

Doha menerima tekanan kuat Riyadh dan jiran-jiran Majlis Kerjasama Teluk yang lain - selain Oman yang berpendirian berbeza - untuk tidak lagi menyokong Ikhwan al-Muslimin serantau, dan beberapa tindakan Saudi dan sekutu kebelakangan ini telah melemahkan kedudukan serantau Qatar.

Perkembangan terkini di Yaman menunjukkan yang negara ini menjadi medan persaingan terbaharu kuasa-kuasa serantau, dan membuktikan lagi yang kebangkitan rakyat yang bermula empat tahun lalu masih belum sampai kepada satu penamat, tetapi telah membuka kepada pelbagai kemungkinan dan meningkatkan lagi persaingan geopolitik yang sengit. - Oktober 2, 2014

Friday, September 26, 2014

Apa yang sedang berlaku di Yaman?

Oleh HARIS ZALKAPLI

Apa yang sedang berlaku di Yaman berkait langsung dengan perubahan kepimpinan dan aliansi selepas kebangkitan massa yang akhirnya menyebabkan Presiden Ali Abdullah Saleh yang telah memerintah selama 33 tahun diundurkan.

Perkembangan ini turut berkait langsung dengan persaingan kuasa-kuasa serantau Asia Barat, yang juga dikesankan oleh kebangkitan rakyat yang bermula pada 2011.

Konflik yang telah berlangsung sejak hujung tahun lalu ini juga berkait dengan kepentingan kuasa-kuasa serantau di sana, yang lebih meluas daripada persaingan proksi antara Arab Saudi dan Iran - atau Sunni dengan Syiah - seperti yang dilihat oleh sesetengah pihak.

Banyak pihak terlibat dalam krisis terbaharu ini, walaupun tumpuan banyak diberikan pada kumpulan pemberontak Houthi yang beraliran Syiah Zaidiyah dengan kubu kuat di utara Yaman bersempadan dengan Arab Saudi.

Politik Yaman kuat dicorakkan oleh kuasa puak-puak berpengaruh yang menguasai kerajaan sejak pemerintahan Syiah Zaidiyah ditamatkan dan Yaman muncul sebagai sebuah negara republik, satu-satunya di Semenanjung Arab.

Aliran Zaidiyah yang disebut hakikatnya bukan garis pemisah atau penentu paling utama - walaupun tidak dinafikan peranan pentingnya - seperti tanggapan sesetengah pihak, kerana Houthi turut mendapat sokongan Sunni, dan Ali Abdullah yang memerangi Houthi selama pentadbiran beliau juga bermazhab Syiah Zaidiyah.

Selain Houthi, kumpulan lain yang terlibat termasuk kelompok Salafi yang mempunyai pengaruh kuat di Yaman selama ini, dan Ikhwan al-Muslimin, yang bersama Salafi dan keluarga berpengaruh al-Ahmar - keluarga paling kuat dalam gabungan puak Hashid - membentuk Parti Islah yang ditubuhkan pada 1990, sekutu kuat Presiden Ali Abdullah sehingga beliau berundur.

Salafi mempunyai pengaruh kuat di Yaman hasil hubungan baik dengan kerajaan Ali Abdullah dan kerajaan Saudi, yang menggunakan mereka sejak sekian lama untuk menangani pesaing seperti Parti Sosialis Yaman - yang menguasai Yaman Selatan sehingga penyatuan pada tahun 1990 - dan kumpulan-kumpulan lain.

Salafi, dipimpin Abdul Majid al-Zindani merupakan seteru kuat Houthi, yang menjadi satu punca tindakan keras Houthi terhadap Universiti al-Iman, pusat kegiatan Salafi dan dikaitkan juga dengan al-Qaeda, yang kini menjadikan Yaman sebagai salah satu pangkalannya.

Houthi terlibat dalam konflik bersenjata dengan kerajaan, terbaharu sejak 2004 hingga 2011, dan berhasil mencapai matlamat mereka sedikit demi sedikit terutama melibatkan wilayah dikuasai. Perkembangan terkini menyaksikan Houthi mendapat kelebihan paling besar.

Islah yang kini dikuasai Ikhwan memainkan peranan penting dalam menjatuhkan Ali Abdullah hasil kebangkitan yang bermula pada 2011, menjadi satu sebab permusuhan bekas presiden itu terhadap Islah.

Islah menjadi broker penting dalam perjanjian mengundurkan Ali Abdullah - yang turut melibatkan Arab Saudi, pihak yang membantu presiden itu berundur dengan selamat - dan menyerahkan jawatan presiden kepada orang nombor dua, Abd Rabbuh Mansur Hadi.

Ikhwan yang tidak berpuas hati dengan aturan itu, hingga menjejaskan hubungan Islah dengan Riyadh dan mendorong Qatar berusaha melebarkan pengaruh di Yaman bermula 2011 dengan memberikan sokongan kepada Islah, selari dengan dasar menyokong Ikhwan di Mesir dan Syria sepanjang kebangkitan.

Bermula 2011, Islah merapatkan diri dengan Qatar dan Turki, dua pemain serantau yang mempunyai agenda untuk meluaskan pengaruh di seluruh rantau Arab, dan pada sekaligus melebarkan lagi jurang dengan sekutu lama Arab Saudi.

Ali Abdullah turut memusuhi keluarga al-Ahmar, setelah dikhianati oleh Jeneral Ali Mohsen al-Ahmar semasa kebangkitan yang akhirnya menjatuhkan Ali Abdullah. Puak Ali Abdullah dan keluarga al-Ahmar kedua-duanya daripada puak yang sama, Sanhan, dan kedua-duanya mempunyai pengaruh masing-masing dalam gabungan puak Hashid.

Persaingan Ali Abdullah dengan keluarga al-Ahmar - walaupun mengekalkan kerjasama demi kepentingan kuasa - sejak sekian lama akhirnya menjadi permusuhan yang jelas ekoran perubahan politik yang dramatik pada 2011.

Pemberontak Houthi berkongsi kepentingan dengan Ali Abdullah dan penyokongnya dalam hal Islah dan keluarga al-Ahmar, yang menjadi penentang kuat Houthi selama ini.

Hal ini menyebabkan Ali Abdullah dilihat berperanan aktif dalam membantu kemaraan Houthi ke Sanaa dan keupayaan menguasai ibu negara dalam masa sebulan tanpa tentangan yang setara.

Kepentingan yang pelbagai dilihat dalam krisis terbaharu ini, yang memperlihatkan pihak yang tidak sehaluan selama ini berkongsi kepentingan yang sama, seperti Tehran dan Riyadh yang masing-masing mendapat manfaat melalui peningkatan pengaruh Houthi dan pengunduran Ikhwan al-Muslimin.

Saudi mengetuai kempen serantau bersama Emiriyah Arab Bersatu dan Kuwait dalam mematahkan kemaraan Ikhwan yang disokong Qatar, sebelum ini di Mesir dan kini di Yaman.

Pengaruh Saudi merosot di Mesir dan Yaman ekoran perubahan politik sepanjang kebangkitan yang bermula pada 2011, tetapi perkembangan di Mesir dan Yaman membantu memelihara kembali kepentingan Riyadh.

Perkembangan terbaharu di Yaman ini bakal membawa implikasi yang berpotensi memanjangkan lagi pertembungan, mengundang reaksi balas yang keras daripada kumpulan-kumpulan yang melihat kebangkitan Houthi - dan kepentingan Syiah Zaidiyah serta perluasan pengaruh Iran yang dikaitkan dengannya - sebagai satu ancaman besar.

Perjanjian yang dicapai membuka ruang kepada satu proses pemulihan dan pembinaan negara yang baharu, tetapi rasa tidak puas hati antara pihak yang bermusuh selama ini dijangka akan terus kekal.

Hal ini jelas dapat diperhatikan berdasarkan kelebihan yang diperolehi oleh Houthi hasil perjanjian yang telah dicapai, yang memberikan pihak Houthi perkara-perkara penting yang menjadi tuntutan mereka termasuk lebih diwakili dalam pemerintahan baharu, termasuk suara dalam pemilihan perdana menteri.

Pada masa sama, situasi tidak stabil yang telah berlarutan sejak sekurang-kurangnya lima tahun lalu bakal menyuburkan lagi elemen militan di negara itu, yang menjadi semakin meluas ekoran peningkatan aktiviti bersenjata kebelakangan ini.

Politik identiti yang dibawa oleh pemberontak Houthi, golongan Salafi yang semakin tercabar dan cuba dipinggirkan, dan pemain-pemain penting daripada puak-puak dan keluarga-keluarga berpengaruh yang turut tergugat bakal meningkatkan elemen sektarian dalam kekacauan di Yaman.

Persaingan antara kuasa-kuasa serantau juga mampu menjadi lebih sengit, apabila pihak-pihak bertelagah kini mempunyai keperluan yang lebih besar untuk menharapkan sokongan daripada pihak yang sedia membantu, terutama kuasa-kuasa serantau yang memiliki kemampuan kewangan dan bantuan lain termasuk senjata.  - September 25, 2014


Friday, September 12, 2014

Akta Hasutan hangatkan persaingan liberal-konservatif dalam Umno

Oleh HARIS ZALKAPLI

Tiga tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak mengambil satu tindakan mengejutkan apabila memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, ISA, dalam suasana negara menunggu Pilihan Raya Umum ke-13.

Tindakan Najib itu menggerakkan pemerintah Umno dan Barisan Nasional ke arah yang lebih liberal, sehingga mencetuskan kegusaran dalam parti itu yang sebahagian besar ahlinya cenderung konservatif.

Pada masa itu, ramai pemerhati melihat dengan optimis tetapi berhati-hati terhadap tindakan berani Najib yang tidak dijangka itu.

Dalam parti, tindakan memansuhkan ISA yang dilihat sebagai satu instrumen penting untuk memelihara keselamatan negara dilihat sebagai satu lagi tindakan yang menunjukkan kecenderungan liberal Najib.

Najib mula dilihat berkecenderungan lebih liberal apabila memunculkan retorik 1 Malaysia yang dilihat sebagai didasari atau bersumber fahaman liberal, yang tidak selari dengan pegangan ketuanan Melayu yang dipertahankan Umno selama ini.

Debat berhubung Akta Hasutan 1948 hari ini sekali lagi menghangatkan persaingan liberal dan konservatif dalam Umno, yang berlangsung dengan sengit dalam era Najib yang mencabar ini.

Gelombang pendakwaan menggunakan Akta Hasutan yang sedang berjalan ini memperlihatkan Najib sebagai pemimpin yang semakin autoritarian, tetapi pada masa sama beliau menunjukkan yang akta itu akan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional yang dilihat sebagai lebih disenangi kelompok liberal di dalam dan luar parti.

Kelompok konservatif tidak mahu Akta Hasutan dimansuhkan kerana menganggapnya sebagai penting untuk memelihara kesejahteraan negara.

Selepas ISA dimansuhkan, konservatif melihat pemansuhan Akta Hasutan akan meruntuhkan satu lagi benteng penting pertahanan keselamatan dan keharmonian negara.

Najib pada 11 Julai, 2012 berjanji yang Akta Hasutan akan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional. "Melalui pemansuhan dan penggubalan rang undang-undang yang sedang berjalan, kerajaan mahu memastikan ruang demokratik yang mencukupi disediakan untuk perbezaan pendapat serta persaingan idea," kata Najib dipetik Bernama.

"Pucuk pangkalnya, kita mahu mencipta sebuah Malaysia yang mana prinsip hak asasi manusia dijunjung, kebebasan individu untuk menyatakan pendapat secara terbuka diraikan, seraya kepentingan individu dan komuniti diimbangi."

Sentimen menyokong Akta Hasutan ini diwakili oleh tokoh Melayu konservatif Datuk Ibrahim Ali yang lantang menyuarakan penentangan terhadap usaha memansuhkan akta tersebut. Beliau dilapor berkata akta ini masih diperlukan untuk mencegah perkara yang boleh mengancam keselamatan negara.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Memorandum Perpaduan Nasional turut menggesa Akta Hasutan ditambahbaik untuk menangani hasutan dan penghinaan agama yang dilakukan di media sosial.

"Cegah sebelum musnah. Kalau pemimpin Umno dah faham apa dalam fikiran orang Melayu, ini petanda baik. Masih ada talian hayat. Kekalkan dan tambah baik Akta Hasutan," katanya dipetik Astro Awani.

Beliau berkata demikian menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilapor berkata kerajaan sedia meminda Akta Hasutan dan undang-undang lain bagi menangani penghinaan dan hasutan di media sosial.

Muhyiddin dilihat sebagai mewakili kelompok konservatif dalam Umno, yang mendapat sokongan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi pengkritik kuat terhadap kecenderungan liberal Perdana Menteri Najib dan kemaraan tokoh-tokoh liberal dalam Umno seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Kritikan terhadap Najib dan liberal dalam Umno juga muncul ekoran kenyataan Datuk Saifuddin Abdullah, ketua pegawai eksekutif Yayasan Kesederhanaan Global, GMMF, sebuah badan yang dibina untuk melonjakkan imej moderat Najib di peringkat antarabangsa.

Saifuddin mengambil pendirian menyokong pemansuhan Akta Hasutan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional, dan secara konsisten menulis di Twitter menyertai kempen memansuhkan Akta Hasutan.

Saifuddin menunjukkan sokongan kepada akademik Universiti Malaya yang didakwa, Azmi Sharom, dan menganggap pendakwaan itu menyekat kebebasan akademik.

Beliau menganggap pelaksanaan Akta Hasutan kini sebagai bersifat drakonian dan selektif.  Katanya, Najib perlu disokong untuk memansuhkan Akta Hasutan. "Rakyat perlu menggalakkan dia untuk melakukannya. Tidak semua orang di sekeliling Najib mempunyai pemikiran yang sama dengan dia. Jika beliau mahu melakukannya, maka rakyat harus memberi sokongan kepada mereka," katanya dipetik media.

Saifuddin tewas di kerusi Parlimen Temerloh dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu, dengan sebahagian puncanya ialah penolakan ahli-ahli Umno terhadapnya ekoran kecenderungan liberal beliau.

Akta Keharmonian Nasional terus menerima reaksi bercampur-campur daripada kalangan ahli Umno dan tokoh-tokoh Melayu.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pada Julai lalu dilapor berkata Majlis Konsultasi Perpaduan Negara yang menyumbang kepada penggubalan Akta Keharmonian Nasional dikuasai kelompok liberal.

Abdul Hamid yang menolak tawaran mempengerusikan majlis itu dilapor berkata majlis itu dibimbangi diperalat untuk menghakis hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam.

"Saya takut kiranya saya akan menjadi 'pengkhianat' kepada bangsa Melayu dan agama Islam," beliau dipetik berkata.

Satu pandangan konservatif turut disiarkan akhbar Umno, Utusan Malaysia julai lalu, tulisan pemerhati politik, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim.

Beliau menegaskan, "Kita sememangnya cukup bimbang sekiranya Rang Undang-Undang Harmoni Nasional yang bakal menggantikan Akta Hasutan 1948 terlampau menjulang Perkara Lapan Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara Lapan yang memperuntukkan kesamarataan itu sehinggakan mengetepikan pula empat perkara sensitif dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu Bahasa Kebangsaan (Perkara 152), kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera (Perkara 153), kedaulatan Raja-Raja Melayu (Perkara 181) dan Bahagian III berkaitan kerakyatan (Perkara 14-30).

"Kekhuatiran ini pada dasarnya berasas kerana kelihatannya ketika ini yang berlegar-legar dalam fikiran sebahagian ahli berfahaman liberal dalam Majlis Konsultasi Perpaduan Negara agak menjurus untuk menguar-uarkan Perkara Lapan Perlembagaan Persekutuan," tulisnya.

Kritikan keras terhadap Najib bakal meningkat lagi ekoran perkembangan terbaharu ini, dan ini diburukkan lagi oleh kemerosotan hubungan beliau dengan Mahathir kebelakangan ini.

Wartawan veteran Abdul Kadir Jasin pada April lalu menegaskan yang lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama bertemu Najib dijelaskan oleh dasar liberal yang dilaksanakan Najib.

Debat berhubung isu pemansuhan Akta Hasutan ini, dan penggubalan Akta Keharmonian Nasional kini menunjukkan dengan jelas perbezaan pemikiran dalam kalangan liberal dan konservatif dalam Umno, dan menjadi ujian terkini terhadap Najib dalam usahanya melaksanakan perubahan ke arah yang lebih liberal untuk memelihara kedudukannya. - September 9, 2014

Tuesday, July 1, 2014

Selepas rombakan kabinet, tiada lagi tsunami Cina?

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak telah menambah anggota kabinetnya minggu lalu, melantik wakil-wakil MCA dan Gerakan.

Parti-parti Cina itu kembali ke kabinet melalui pelantikan itu, selepas "tsunami Cina" pada Pilihan Raya Umum ke-13 menyaksikan MCA, parti Cina terbesar dalam Barisan Nasional tewas teruk.

Kemasukan kembali wakil-wakil Cina ke kabinet menyusuli kemenangan wakil Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan bulan lepas.

Teluk Intan menjadi petanda jelas peralihan undi etnik Cina, apabila wakil DAP tewas kepada calon BN, yang dijanjikan jawatan dalam kabinet Najib sekiranya menang.

MCA telah agak lama menunjukkan kesediaan untuk kembali ke kabinet, satu perubahan pendirian yang menunjukkan penilaian semula oleh parti itu selepas tsunami Cina tidak menghasilkan perubahan pemerintahan di peringkat persekutuan.

MCA menunjukkan yang parti itu melihat ketiadaan mereka dalam kabinet merugikan, dan juga memberi gambaran parti Cina itu bersedia berperanan semula dalam pemerintahan BN.

Penilaian semula ini menunjukkan sikap pragmatik parti MCA dan juga komuniti Cina yang diwakili mereka, yang bertindak berdasarkan keperluan semasa.

Di pihak Najib, penambahan anggota kabinet Cina ini menunjukkan yang beliau masih berusaha memenangi undi Cina melalui MCA dan Gerakan, dan mampu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan Umno sendiri.

MCA dilihat oleh sesetengah pihak dalam Umno sebagai menjadi penyumbang besar kepada kemerosotan undi yang besar dalam pilihan raya umum lalu.

Malah ada yang menilai MCA tidak menunjukkan usaha yang cukup dalam mempertahankan BN dan melawan kempen lawan terutama DAP.

Najib yang mengambil pendekatan liberal sejak menjawat jawatan perdana menteri menunjukkan yang beliau masih tidak berputus asa dalam usaha memenangi undi Cina, menunjukkan beliau telah memulakan usaha menghadapi pilihan raya akan datang.

Hal ini dilihat sesuatu yang rasional sekiranya didasarkan pada hasil pengundian di Teluk Intan, dan berdasarkan penilaian pencapaian DAP dan Pakatan Rakyat melibatkan undi Cina telah mencapai jumlah maksimum dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Satu perkembangan semasa menunjukkan sesuatu yang dapat menjelaskan peranan MCA dalam membantu BN dan menjejaskan DAP, iaitu melibatkan permainan isu militan dalam media.

Akhbar dikuasai MCA, Star melapor dan menyorot isu militan di Syria dan Iraq secara berterusan, yang antara kesannya yang boleh dijangka ialah kesan negatif terhadap PAS dan juga sekutunya.

Hal yang hampir sama berlaku ekoran peristiwa serangan pada 11 September, 2001 di Amerika Syarikat, apabila kumpulan-kumpulan Islam termasuk PAS dipalitkan dengan imej sangat negatif, hingga memberi kesan kepada hubungannya dengan parti rakan.

Permainan dalam media MCA ini menunjukkan satu agenda yang besar melibatkan peranannya dalam BN, dan menandakan satu perkembangan baharu dalam politik BN-PR. - Jun 27, 2014

Sunday, June 1, 2014

Jangan remehkan sensitiviti isu DNA babi

Kejutan besar penemuan DNA babi dalam produk coklat Cadburry telah mencetuskan satu polemik berpanjangan dan mengejutkan, apabila pelbagai pandangan aneh ditimbulkan oleh anggota masyarakat.

Beberapa pandangan ekstrem dan tidak bersumberkan pemikiran yang teliti terhadap hukum agama telah ditimbulkan, termasuk keperluan menyamak mulut dan menukar darah.

Malah, dalam tindakan yang menampakkan lagi kebodohan dan sikap terburu-buru, ada yang mengajak tindakan ganas dilakukan, seperti membakar kilang Cabdury.

Lebih malang lagi, pandangan seperti ini diberi layanan sangat berlebihan daripada yang sepatutnya, dengan memberikannya perhatian dan respons yang memberikan pandangan-pandangan tersebut kedudukan seolah-olah penting, walaupun sebenarnya pandangan marginal berpunca daripada kejahilan.

Tindakan memberi layanan kepada pandangan pinggiran ini menyebabkan isu sebenar ditenggelamkan, dan sikap terburu-buru itu mengambil tempat di pentas utama.

Tindakan itu, yang dilakukan oleh sesetengah media, menunjukkan sikap politik mereka yang tidak prihatin terhadap umat Muslim, dan kemungkinan juga sikap memusuhi Muslim yang bersuara terhadap isu status halal produk makanan tersebut.

Satu lagi perkembangan yang mengusutkan ialah sebilangan umat Muslim di negara ini kelihatan gagal menanggapi dan menangani isu DNA babi ini dengan cara yang sepatutnya, yakni dengan memberi respons tegas, berdasarkan hak sebagai Muslim dan sebagai pengguna.

Sebilangan Muslim telah cuba mengambil sikap yang menyusahkan isu yang mudah ini, dengan menimbulkan persoalan seperti kenapa rasuah yang juga haram tidak ditangani dengan tegas seperti isu DNA babi.

Mereka ini, yang cuba untuk dilihat liberal, telah cuba memberi gambaran yang isu penemuan DNA babi itu bukan satu isu yang besar, dan ada isu yang lebih utama perlu ditangani oleh umat, iaitu rasuah dan urus tadbir yang baik.

Kekeliruan besar dalam persoalan ini ialah kenapa persoalan haramnya rasuah itu ditimbulkan dan dibandingkan dengan DNA babi, dengan memberi implikasi yang mereka yang marah itu bersikap selektif dengan hanya marah dengan kehadiran DNA babi dalam makanan mereka, tetapi mengabaikan amalan rasuah yang juga haram.

Sebenarnya, isu halal haram ini tertakluk di bawah undang-undang yang berkaitan dengan pelabelan produk makanan yang perlu dikuatkuasakan oleh pelaksana amanah, yang jelas sekali bermakna isu ini sebahagian daripada isu urus tadbir baik.

Di Britain tahun lalu, satu isu yang paling menggemparkan pengguna di sana ialah penemuan daging kuda dalam produk daging lembu. Isu ini melibatkan pelabelan, pemalsuan oleh syarikat pengeluar dan kehendak pengguna.

Pada masa itu, mereka yang mengatakan rasuah juga haram seperti babi tentu sahaja tidak mampu dan berani untuk mengatakan sesuatu yang seumpamanya kepada pengguna di Britain.

Ada banyak sudut pandang yang membolehkan isu ini dipolitikkan dan diremehkan sebagai respons orang bodoh, tetapi kemarahan dan respons keras daripada Muslim yang terkesan tidak boleh dinafikan dan ditolak begitu sahaja.

Dalam kalangan yang marah itu, tidak boleh dielakkan akan ada segolongan yang berlebih-lebihan, tetapi ini sama sekali tidak menafikan kewajaran dan keperluan pengguna yang terjejas mengambil tindakan.

Isu sebenarnya hanyalah kemungkinan kecuaian atau kegagalan pembuat coklat tersebut mematuhi peraturan yang telah ditetapkan, dan sebagai pengguna, mereka yang terjejas berhak untuk bertindak menurut undang-undang atau memboikot produk tersebut, seperti yang dilakukan oleh mana-mana pengguna di seluruh dunia.

Ramai yang telah mengambil sikap apologetik dan cuba mengalih tumpuan daripada isu sebenar dengan memperbesarkan isu pinggiran yang ditimbulkan oleh mereka yang hanya mewakili sebahagian kecil daripada mereka yang terbabit.

Umat Muslim di negara ini perlu mengambil pendirian tegas dengan menuntut kepatuhan terhadap peraturan halal yang ditetapkan, dan bertindak dengan lebih tegas dan rasional menangani isu ini. - Mei 30, 2014

Friday, February 28, 2014

Pintasan Putrajaya lemahkan langkah Kajang

Upacara menandatangani memorandum persefahaman penstrukturan semula bekalan air Selangor antara Selangor dan Putrajaya 26 Februari lalu berlangsung dengan sangat sederhana tetapi jelas mesej politiknya.

Majlis yang sepatutnya tidak seberapa besar itu dihadiri sama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Majlis itu jelas menampakkan kejayaan Putrajaya dan Khalid memintas kemungkinan-kemungkinan yang bakal dicetuskan pihak lain sekiranya Khalid tidak lagi menjadi menteri besar.

Majlis yang dikatakan diadakan secara agak tergesa-gesa dan tanpa pengetahuan ramai sebelumnya segera mendapat respons arkitek langkah Kajang, Rafizi Ramli, mewakili kepimpinan PKR yang menunjukkan penentangan terhadap persetujuan itu.

Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin kemudian turut mempersoalkan tindakan Khalid itu, dengan mengaitkannya dengan kemungkinan kos air lebih tinggi dan dilakukan secara terburu-buru, walaupun dinyatakan dengan agak berlapik.

Persetujuan ini sebenarnya telah dicapai selepas rundingan Disember lalu, dan Khalid mengumumkannya Januari lalu. Tawaran kerajaan Selangor akhir tahun lalu pada mulanya tidak dipersetujui, yang kemudian membawa kepada persetujuan baharu, yang dipersetujui pentadbiran Khalid dan Putrajaya.

Satu lagi tawaran pengambilalihan melibatkan syarikat Gamuda Berhad, yang menawarkan pembelian aset air Selangor dengan nilai RM10.75 bilion.

Langkah Khalid ini segera mendapat perhatian seteru politik Anwar, Datuk Zaid Ibrahim yang mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merancang bertanding di Kajang dan menjadi menteri besar Selangor, mempunyai rancangan lain yang kini telah dipintas oleh Khalid dan Putrajaya.

Khalid turut membuat kenyataan yang hampir sama, dengan menyatakan ada pemimpin PKR yang mahu menetapkan harga lain bagi aset air Selangor.

Dalam kalangan Pakatan Rakyat terutama PKR, ramai tidak bersetuju dengan tindakan Khalid, kritikan terhadap menteri besar Selangor itu masih dilakukan dengan agak berhati-hati.

Thursday, February 20, 2014

Krisis air dan krisis politik Selangor

Cuaca panas yang berpanjangan di negara ini mula menampakkan kesan politiknya apabila kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mula dilihat dijadikan sasaran untuk dipersalahkan.

Media elektronik dan media cetak yang pro-Barisan Nasional telah bersama mengangkat kemungkinan krisis air berlaku sekiranya cuaca panas berterusan dan bekalan air merosot.

Antaranya, laporan akhbar Umno, Berita Harian pada 14 Februari mengaitkan kemungkinan krisis air di Lembah Klang dengan apa yang dianggap sebagai kegagalan kerajaan negeri Selangor menyelesaikan isu pembinaan loji air baharu.

Akhbar Berita Harian di muka depannya memaparkan gambar air yang surut di sebuah ampangan dengan tajuk Akibat Degil: Lembah Klang Tidak Akan Berdepan Risik Catuan Air Jika Kerajaan Selangor Pimpinan PKR Benarkan Pembinaan Loji Langat 2.

Tindakan media Umno memainkan isu ini sejak awal lagi, sama ada krisis yang dijangka itu benar-benar akan berlaku atau tidak, memperlihatkan satu kempen terbaharu BN dalam usaha menjejaskan imej dan kredibiliti kerajaan negeri Selangor.

BN dan sekutu dilihat kecewa dengan pendirian kerajaan Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tidak sehaluan dengan pengurusan bekalan air negeri ini oleh syarikat konsesi.

Empat syarikat konsesi menguruskan bekalan air beroperasi di Selangor; Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd, dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash).

Hujung tahun 2013, kerajaan Selangor memutuskan untuk mengambil alih pengurusan empat syarikat tersebut, dengan membuat tawaran RM9.65 bilion bagi tujuan itu melalui cabang pelaburannya Kumpulan Darul Ehsan Berhad. Rancangan pengambilalihan itu walau bagaimanapun tidak berjaya dilaksanakan.

Menurut Abdul Khalid, kerajaan Selangor mahu mengambil alih syarikat konsesi air di Selangor kerana syarikat terbabit gagal memberikan perkhidmatan yang baik dan tarif yang berpatutan walaupun telah memperolehi keuntungan besar.

Walau bagaimanapun, Januari lalu, Abdul Khalid mengumumkan yang projek Loji Rawatan Air Langat 2 diteruskan semula selepas siri rundingan dengan Putrajaya, dan kerajaan Selangor bersetuju bekerjasama dengan kerajaan persekutuan mengambil alih syarikat konsesi air di Selangor, menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006.

Keputusan Abdul Khalid itu walau bagaimanapun tidak dipersetujui sepenuhnya dalam kalangan wakil-wakil rakyat PKR, dan dipercayai menjadi satu isu yang membawa kepada krisis politik dalaman Selangor masa kini.

Isu air Selangor menjadi isu yang banyak dipolitikkan di Selangor, dan dilihat berpotensi menggugat kedudukan pemerintahan PR menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Media BN memperlihatkan kerajaan PR Selangor sebagai tidak cekap menguruskan air hingga menyebabkan gangguan bekalan sering terjadi, tanpa memberi perhatian pada syarikat konsesi yang mempunyai hubungan baik dengan BN.

Sepanjang 2012, Selangor menyaksikan banyak gangguan bekalan air berlaku, dan perkembangan ini segera mencetuskan pertengkaran terbuka antara kerajaan negeri dengan syarikat konsesi Syabas.

Pada awal 2013, krisis air sekali lagi melanda Lembah Klang, yang dikatakan akibat kerosakan stesen pam. Krisis ini segera mendapat liputan meluas media pro-BN dan menjadi bahan kempen terbaharu terhadap Pakatan di Selangor.

Akhbar-akhbar meletakkan liputan isu krisis air itu di muka hadapan, dengan pertanggungjawaban dihalakan kepada kerajaan negeri Selangor.

Pada masa sama, Umno menggunakan krisis itu untuk kempen politik, termasuk melibatkan isteri perdana menteri, Datin Sri Rosmah Mansor memberikan bantuan bekalan air dalam botol kepada penduduk Lembah Klang.

Umno kelihatan cuba menyebarkan persepsi yang kerajaan negeri Selangor menangani isu air tersebut berdasarkan kepentingan politik, sedangkan Umno turun kepada rakyat dan memberikan bantuan.

Pilihan Raya Umum ke-13 yang dirasakan semakin hampir pada masa itu memanaskan lagi krisis air yang menjejaskan ribuan warga Selangor dan Kuala Lumpur itu.

Kali ini, BN telah memulakan tindakan preemtif dengan menghalakan perhatian kepada kerajaan PR Selangor, mengambil kesempatan daripada suasana cuaca panas yang melanda negara.

Sekiranya krisis air benar-benar terjadi, krisis tersebut boleh dijangka akan sekali lagi dimanipulasi untuk kepentingan politik BN, yang telah mula dapat diperhatikan dalam media tertentu.

Krisis terbaharu itu nanti bakal menjadi sangat sengit dan memberikan implikasi yang luas, memandangkan pada masa sama, Selangor juga sedang menyaksikan krisis politik dalaman. - Februari 14, 2014

Wednesday, February 19, 2014

Sarawak selepas Taib Mahmud

Pengunduran Tan Sri Taib Mahmud daripada kedudukan sebagai ketua menteri Sarawak yang dipegangnya selama 33 tahun telah mencetuskan isu politik dalaman negeri ini, berhubung penggantinya dan pengaruh Taib selepas ini.

Kedudukan Taib yang sangat lama sebagai ketua menteri telah mengukuhkan kedudukan beliau dan sekutu politik dan ekonominya, pada satu tahap yang hanya dapat diperhatikan di Sarawak.

Pemimpin selepas Taib dijangka tidak akan dapat mengatasi malah menyaingi pengaruhnya sebagai ketua menteri, dan kemungkinan akan terus dibayangi Taib dalam politik dan pentadbiran negeri Sarawak.

Malah, mungkin ada yang melihat kepentingan Taib masih kuat dalam usaha memastikan kestabilan di Sarawak, dan untuk mengelakkan persaingan kuasa yang boleh menjejaskan partinya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, PBB dan Barisan Nasional.

Pengaruh yang telah lama dibina bermakna penguasaan Taib dan sekutu yang kukuh dalam pelbagai ruang, dalam tempoh yang suasana politiknya jauh berbeza dengan sekarang dari sudut penguasaan parti pemerintah dominan.

Hari ini, selain pengganti yang tidak dapat menyamai kepimpinan Taib, suasana politik yang baharu menyaksikan parti-parti pembangkang termasuk daripada Pakatan Rakyat semakin mengukuhkan kedudukan di negeri ini.

Dalam Pilihan Raya Negeri ke-10 pada April 2011, BN memenangi 55 kerusi Dewan Undangan Negeri, daripada 71 kerusi, merosot daripada 62 kerusi dalam pilihan raya negeri sebelum itu.

Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mac tahun lalu pula menyaksikan BN menang 25 kerusi Parlimen daripada 31 kerusi, berbanding 31 dimenangi pada pilihan raya umum 2008.

Ini bermakna landskap politik Sarawak telah banyak berubah, malah Parti Keadilan Rakyat pada 2011 berkempen dengan menjanjikan pelantikan pemimpin parti itu, Baru Bian sebagai ketua menteri jika PR menguasai Sarawak.

Pada tahun-tahun akhir Taib sebagai ketua menteri, kempen untuk menjatuhkan beliau juga berjalan dengan rancak dari dalam dan luar negara, meningkatkan lagi tekanan ke atas Taib dan negeri kubu kuat BN itu.

Tetapi selepas dua pilihan raya itu, Sarawak kekal sebagai kubu kuat BN walaupun dengan kekuatan yang merosot, dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, PBB, yang bersifat Bumiputera Muslim kekal dominan dalam BN di Sarawak, dan bersama dengan Umno menjadikan BN hanya dikuasai parti Melayu.

Piliha raya 2011 telah mencatat rekod terbaharu Taib berjaya mempertahankan penguasaan BN di Sarawak, pada masa banyak pihak bercakap tentang keperluan peralihan kepimpinan negeri Sarawak.

Perkembangan itu menunjukkan satu perubahan besar yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini; peningkatan kepentingan Sarawak dalam politik nasional, terutama kepada parti-parti politik dominan yang asas kuasanya terletak di Semenanjung.

Menyedari kekuatan undi di Sarawak, PR menjadikan negeri ini sebagai sasaran perubahan besar-besaran untuk mengubah imbangan kuasa BN-PR, terutamanya memandangkan Sarawak memegang 31 kerusi Parlimen.

Sarawak dan juga Sabah mula menjadi perhatian khusus parti-parti pembangkang, terutama PR dan parti Kita untuk merebut bahagian lebih besar hasil pilihan raya, dengan tawar-menawar yang semakin seimbang.

Selama ini, Sarawak dan Sabah kelihatan sekadar dipergunakan untuk kepentingan agenda-agenda yang sering tidak sehaluan dan tidak meletakkan kepentingan rakyat dua negeri itu sebagai matlamat utama.

Tetapi, berbeza dengan Sabah, Sarawak terus dikuasai PBB sedangkan Sabah telah menjadi salah satu medan utama Umno dan mempunyai kedudukan istimewa dalam kepimpinan tertinggi parti itu.

Sarawak mahu mengekalkan kepentingannya, dan bukan sekadar menjadi sumber undi mudah kepada BN tanpa pulangan yang sewajarnya.

Perkembangan ini menunjukkan pengaruh PBB yang semakin kritikal kepada BN, yang masih mampu mempertahankan negeri bank undi gabungan parti pemerintah.

Hal ini menjadikan PBB menyedari kekuatannya dan dapat dijangka tidak akan dengan mudah mahu mengorbankan kedudukan dominan ini, kedudukan yang semakin jelas pada masa BN semakin tercabar oleh PR. - Februari 11, 2014

Saturday, February 1, 2014

Pilihan raya kecil Kajang dan masa depan Pakatan Rakyat

Perletakan jawatan wakil rakyat Kajang dan persetujuan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi itu menjadi berita paling mengejutkan dalam politik negara pada masa ini.

Perkembangan ini meletakkan PKR dan Pakatan Rakyat dalam keadaan defensif, kerana tindakan yang tidak dapat diberi justifikasi dan memberi gambaran kepentingan agenda peribadi dan kumpulan mengatasi kepentingan rakyat.

Banyak persoalan sukar timbul ekoran keputusan perletakan jawatan dan hasrat Anwar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, yang bakal membuka ruang kepadanya menjadi sebahagian kerajaan Selangor.

Sekurang-kurangnya tiga isu utama menjadikan episod terbaharu drama politik di Selangor ini menunjukkan kelemahan serius PKR terutamanya, dan juga PR dalam menangani persaingan kuasa di negeri ini.

Perletakan jawatan Lee Chin Cheh tanpa sebarang sebab yang dapat diterima ialah masalah pertama yang timbul, walaupun isu ini terus tenggelam disebabkan perkembangan selepas itu yang lebih menarik minat ramai.

Kedua ialah keperluan menukar menteri besar sedia ada kepada pemimpin lain, tanpa ada kesalahan atau isu-isu yang membolehkan tindakan ini diambil, dengan persetujuan parti-parti PR yang bersama membentuk kerajaan negeri.

Ketiga pemilihan Anwar, yang dilakukan dengan segera, untuk bertanding di kerusi Dun Kajang. Ini menimbulkan persoalan berhubung keperluan beliau bertanding dan berperanan dalam politik dan pentadbiran Selangor, pada masa sama beliau berperanan sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

Tiga isu ini, tidak dapat tidak menunjukkan ke arah politik peribadi dan kumpulan semata-mata, dengan mengabaikan kepentingan rakyat dan kerjasama politik parti-parti Pakatan.

Perkembangan ini kini menjadi ujian terbesar kepada PR, melibatkan integritinya sebagai sebuah gabungan yang selama ini mendakwa meletakkan kepentingan rakyat sebagai satu agenda utama perjuangan.

Perletakan jawatan seorang wakil rakyat yang telah dipilih tidak sepatutnya berlaku dengan begitu mudah, dengan matlamat membuka jalan kepada pemimpin lain untuk memposisikan diri dan mendapatkan kuasa.

Menteri besar, bukan sahaja di Selangor tetapi juga di negeri-negeri lain sentiasa terdedah kepada pelbagai cabaran dan kontroversi. Ada yang lebih melibatkan permainan politik dalaman dan antara parti, dan ada yang melibatkan hal pentadbiran.

Menteri besar sedia ada tidak menampakkan sebarang kelemahan yang serius hingga memerlukan beliau diganti, apatah lagi dengan segala drama permainan politik yang bertaraf rendah dan menjejaskan imej dan nama baik PR secara keseluruhan.

Ruang yang dibuka kepada Anwar pula menunjukkan dominasi seorang pemimpin yang berlebihan dan mencetuskan pelbagai konflik lain, kepada kerajaan negeri, partinya dan PR.

Apa pun kedudukan Anwar sekiranya menang nanti, beliau bakal membawa pengaruh yang besar disebabkan kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi PKR. Ini akan memberi kesan yang tidak sepatutnya sekiranya beliau dapat menjadi menteri besar, dan lebih buruk lagi sekiranya tidak.

Kerosakan telah berlaku akibat percaturan politik ini, yang terus dikecam bukan sahaja oleh pesaing politik tetapi juga rakan dan penyokong. Parti-parti komponen dalam PR, terutama PAS, perlu mengambil tindakan yang rasional dalam menangani kemelut ini.

Kekecohan yang dirasai pada masa ini, walaupun menggemparkan, mungkin hanyalah permulaan kepada satu kerumitan yang lebih panjang dan kompleks.

Kepentingan kerjasama politik dan menjaga hubungan sememangnya penting demi memastikan kelangsungan pakatan politik ini, tetapi tidaklah jauh lebih mengatasi kepentingan rakyat. - Januari 28, 2014

Friday, December 13, 2013

Syiah, Malaysia dan politik global dunia Islam

Isu Syiah dan hal-hal berkaitan dengannya kini menjadi satu isu besar dalam politik negara, dan muncul sebagai satu isu yang menarik respons kuat daripada pihak-pihak berkepentingan.

Isu Syiah ini muncul bukan secara terpisah daripada isu-isu global dan politik tempatan, dan bukan semata-mata menjadi topik debat berhubung pentadbiran agama Islam di negara ini.

Kali ini, isu Syiah tidak boleh dilihat secara terasing daripada perkembangan politik di peringkat global yang rancak melibatkan persaingan kuasa-kuasa utama dunia Islam.

Pada masa sama, sikap dan pendekatan, dan pembingkaian isu Syiah oleh pemerintah di negara ini juga wajar disorot dengan lebih kritikal.

Hal berkaitan "kebangkitan Syiah" mula diperkatakan di rantau Asia Barat pada 2004, sejurus selepas kejatuhan pemerintahan Baath di Iraq, yang disusuli oleh politik yang lebih terbuka, sekaligus membuka ruang kepada penglibatan majoriti Syiah negara itu.

Wacana yang panjang dan mendalam berhubung kebangkitan Syiah di dunia Arab dan dunia Islam bermula pada masa itu.

Kemudian, ekoran perang antara militia Hizbullah, proksi Iran di Lubnan dengan tentera Israel pada musim panas 2006, populariti kumpulan Islam Syiah itu meningkatkan kebimbangan terhadap peningkatan populariti dan pengaruh Syiah dan Iran.

Keresahan pemerintah-pemerintah Arab Sunni, terutama monarki Arab di Teluk Parsi terhadap kebangkitan Iran dan Syiah terus meningkat, dengan persaingan utama melibatkan Arab Saudi dengan Iran.

Kedua-dua Arab Saudi dan Iran melihat diri masing-masing sebagai pemimpin dunia Islam, dan bersaing sengit mengukuhkan pengaruh di dunia Arab dan dunia Islam sejak 1979.

Persaingan ini menjadi isu asas kepada pelbagai isu dan peristiwa, sama ada disedari atau tidak oleh pihak-pihak lain yang terlibat.

Isu Syiah yang panas pada masa kini dapat diperhatikan mula muncul dengan lebih tersusun dan digerak dengan agresif sejak bermula konflik di Syria.

Pemerintah Baath Syria yang sekular dan menganut agama Alawi dalam kempen oleh kumpulan-kumpulan anti-Syiah sering dikemukakan sebagai "Syiah," tanpa penjelasan lain, dan segera dikaitkan dengan Iran, yang dipercayai bertujuan menyampaikan gambaran salah.

Hal yang hampir sama dilihat semasa konflik di Yaman bermula pada 2009, apabila pemberontak Houthi juga disebut sebagai "Syiah," tanpa menyebut aliran Zaidiyah, yang umumnya lebih diterima Muslim Sunni berbanding Imamiyah.

Kempen-kempen benci anti-Syiah - dan anti-Iran - mula meningkat dengan dramatik sejak konflik Syria, yang segera sampai di Malaysia dan mencetuskan debat simplistik dan divisif dalam kalangan Muslim Malaysia.

Secara tiba-tiba, muncul pelbagai kumpulan sama ada yang dikenali atau yang tidak mendedahkan identiti yang matlamat utamanya menyebarkan sentimen benci terhadap Syiah dengan hujah yang lemah dan bukti yang diragui.

Malah, ramai yang muncul memberikan ceramah dan penerangan isu-isu geopolitik dan hubungan antarabangsa dengan mengemukakan hal-hal yang jelas salah dan tidak bersandar pada kajian.

Semua ini memberi petunjuk kewujudan kepentingan tertentu dalam memanipulasi isu Syiah untuk mewujudkan sentimen benci dan mengaburi isu geopolitik dan kepentingan kuasa yang lebih mendasar.  

Pada masa sama, pentadbiran Najib juga menunjukkan hubungan yang rapat dengan Riyadh dan negara-negara Arab Teluk Parsi, negara-negara yang diketahui berseberangan dari segi politik dengan Iran.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sendiri pernah menerima anugerah daripada kerajaan Arab Saudi, Hadiah Raja Abdulaziz pada Januari 2010.

Najib menunjukkan sikap menyebelahi Arab Saudi sepenuhnya sejak merapatkan hubungan dengan Riyadh, antaranya membuat kenyataan menyokong tindakan tentera Saudi di Yaman pada 2009 dan menyokong kenyataan keras pemerintah Saudi terhadap pembangkang Bahrain pada 2011.

Serbuan ke atas sebuah hauzah Syiah di Gombak, Selangor pada Disember 2010 berlaku sekitar masa yang sama pemerintah merapatkan hubungan dengan Arab Saudi, pesaing Iran dalam politik dunia Islam.

Serbuan ini memulakan perhatian lebih rapi terhadap Syiah di Malaysia, dan menyumbang kepada peningkatan sentimen negatif terhadap Syiah, disebabkan liputan dan komentar yang dihalakan kepada hal negatif.

Najib juga tidak menyertai Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, NAM, di Tehran, Iran pada Ogos 2012, tetapi hadir ke Arab Saudi menyertai sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC, beberapa hari sebelum itu.

Dalam menangani kedua-dua pertemuan penting dunia itu, pentadbiran Najib menunjukkan sikap memilih dan berpihak yang jelas.

Melibatkan politik dalaman, parti pemerintah secara konsisten sejak kebelakangan ini menghalakan isu Syiah ini kepada parti pesaing, PAS.

Isu Syiah yang melanda negara pada masa ini bukan semata-mata isu dalaman melibatkan pentadbiran agama Islam, tetapi mempunyai dimensi politik global yang jelas dan perlu ditangani dengan pemahaman yang lebih baik dan bukan sekadar bertindak berdasarkan sentimen. - Disember 10, 2013

Wednesday, December 11, 2013

Risiko krisis tanah global

Oleh AMBROSE EVANS-PRITCHARD

Para saintis Amerika Syarikat telah mendapat satu penemuan mengejutkan. Pertanian di kawasan tanah rata sejak penghujung abad ke-19 telah menyebabkan kemusnahan mikro organisma yang membantu memelihara ekosistem kawasan itu.

Mereka tidak tahu apa sebenarnya yang dilakukan oleh bakteria tersebut. Ini merupakan satu medan penyelidikan yang baharu.

Mereka juga tidak tahu di manakah hadnya, dan bagaimana kemerosotan itu boleh dipulihkan. Tidak ada sesiapa yang tahu sama ada hal yang sama berlaku di tempat lain di dunia.

Satu pasukan di Universiti Colorado di bawah Noah Fierer menggunakan teknologi gen DNA untuk menguji "verrucomicrobia" di kawasan tanah rata. Kajian diterbitkan jurnal AS, Science, mendapati pertanian telah "mengubah secara drastik" biologi kawasan tanah tersebut.

"Tanah yang sekarang didapati di seluruh wilayah itu sangat berbeza dengan keadaannya sebelum pertanian dimulakan," menurut kesimpulan kajian itu.

Mungkin ada yang akan berkata hal ini telah diketahui, tetapi sebenarnya tidak. Tidak pernah ada kajian seumpamanya pada skala yang sama. Prof Fierer berkata manusia perlu berhati-hati. "Kita sebenarnya hanya tahu sangat sedikit tentang salah satu tanah paling produktif di dunia, tetapi kita tidak tahu yang mikro organisma tanah memainkan peranan penting dan kita tidak boleh terus sekadar menambah baja," katanya.

Kajian Universiti Colorado itu telah mengejutkan dunia kajian tanah. Kajian ini diiringi analisis menyedarkan dalam jurnal Science oleh para akademik di Universiti Witwatersrand, Afrika Selatan.

Mereka bimbang yang kita mengulangi kesilapan tamadun-tamadun silam yang mengeksploit tanah sehingga tidak dapat dipulihkan lagi, mencetuskan kitaran ganas kebuluran dan akhirnya keruntuhan sosial.

Bertajuk Dust to Dust, kajian itu mengemukakan hujah bahawa penghakisan kesuburan tanah selama ini dikaburi oleh khasiat yang ditaburkan ke atas tanah, memberikan kita gambaran salah tentang kesuburan tanah.

Menurut kajian itu lagi, 1 peratus daripada tanah global merosot kualitinya setiap tahun, yang ditakrifkan dengan penghakisan tanah lapisan atas sebanyak 70 peratus.

Apabila tanah lapisan atas merosot, kadar pemulihan semakin perlahan. Bahan kimia boleh mengekalkan hasil yang tinggi buat sementara waktu tetapi ekologi kompleks di bawah semakin merosot. Hasil pertanian telah merosot sebanyak 8 peratus di seluruh Afrika.

Kajian ini mengajak perubahan menyeluruh sebagai "satu-satunya haluan untuk terus dapat menghasilkan makanan dan memastikan dunia dapat terus didiami."

Masalah degradasi tanah ini membimbangkan kerana populasi dunia akan meningkat sebanyak lebih satu per empat kepada 9 bilion sebelum mencapai puncaknya pada pertengahan abad akan datang.

Masalah ini juga muncul pada masa China dan Asia yang semakin membangun bertukar ke pemakanan protein haiwan, mengikut corak yang sama dilihat di Jepun dan Korea semasa mereka menjadi semakin kaya. Umumnya, sekitar 4 hingga 8kg bijirin makanan haiwan diperlukan untuk menghasilkan 1kg daging.

Prof Robert Scholes, salah seorang pengkaji, berkata ada kalanya kerajaan yang bimbang mengambil keputusan sukar mengorbankan masa depan untuk menyelamatkan rakyat yang kebuluran pada hari ini. "Kita sedang menyaksikan pengurangan hutan besar-besaran di Afrika," katanya.

Banyak amaran telah dapat diperhatikan. Bahagian timur Madagascar telah dimusnahkan oleh amalan tebang dan bakar, dan tidak dapat dipulihkan lagi. Pendatang di Iceland mengubah kawasan hijau dan berhutan kepada padang pasir pada abad ke-10. Kerosakan tanah itu masih tidak dapat dipulihkan seribu tahun selepas itu, walaupun dengan jagaan rapi.

"Kita semakin kekurangan kawasan baharu pertanian untuk diteroka dan kita tidak dapat membuat kesilapan lagi. Kita telah menggunakan segala zat tanah dan bakal menyaksikan krisis makanan dalam 30 ke 40 tahun akan datang. Kita menghadapi risiko terperangkap akibat perbuatan kita sendiri. Kemungkinan kebuluran tidak boleh dinafikan," katanya.

Tamadun Sumeria yang bertani di Tigris dan Furat dimusnahkan oleh penghakisan tanah dan penggunaan tanah secara berlebihan. Hikayat Gilgamesh menceritakan hutan cemara di Iraq yang musnah kerana ditebang untuk perdagangan balak pada 2,600 sebelum masihi.

Kisahnya biasanya hampir sama, sama ada melibatkan Maya di tanah rendah di Amerika Tengah, atau Empayar Khmer di Angkor, atau Pulau Easter, yang diceritakan oleh Jared Diamond dalam bukunya Collapse: How Societies Choose to Fail or Succeed.

Apabila pokok-pokok di tebing bukit ditebang, aliran air diganggu. Akhirnya semakin sukar untuk menghasilkan makanan untuk penempatan yang semakin padat. Masyarakat biasanya mahu mencari jalan pintas, dan akhirnya tanah semakin kekurangan. Perubahan mendadak iklim pada masa ini menambah buruk keadaan.

Konvensyen PBB untuk Memerangi Penggurunan (UNCCD) mengatakan permintaan makanan dunia akan meningkat 50 peratus menjelang 2030. Ini memerlukan sehingga 170 hingga 220 juta hektar tanah baharu.

Walau bagaimanapun badan ini juga menjangka kemerosotan tanah akan mengurangkan pengeluaran sebanyak 12 peratus dalam tempoh 25 tahun akan datang.

UNCCD mensasarkan satu kerjasama global untuk mencapai degradasi sifar tanah pada 2015, sebahagian besarnya melalui penanama semula hutan. Ketua bahagian alam sekitar badan ini, Veerle Venderweerde berkata rancangan ini tidak berjalan lancar.

"Kita tahu bagaimana memulihkan tanah yang mengalami degradasi. Hal ini tidak mustahil tetapi memerlukan masa, wang, dedikasi dan keazaman politik, dan keazaman politik ini yang sukar."

Tetapi ada juga kes yang memberi inspirasi. Yacouba Sawadogo, menggunakan satu teknik lama menghentikan hakisan tanah di ladang kecilnya di Burkina Faso. Beliau menanam semula 20 hektar hutan di kawasan Sahel yang kering. Malangnya, pegawai tempatan kemudian merampas tanahnya.

Menurut Venderveerde, syarikat-syarikat industri pertanian global sekarang ini memasuki perbatasan baharu, menggunakan dan menjejaskan tanah untuk mendapatkan untung segera, yang lebih mirip kepada perlombongan berbanding pertanian.

"Mereka sepatutnya tidak boleh datang, mengambil sumber dan kemudian pergi. Syarikat besar perlu mengubah sikap mereka. Mereka tidak akan berubah melainkan dipaksa berbuat demikian."

Pusat kajian Land Matrix Global Observatory menggabungkan lima pusat kajian mendapati perlumbaan memperolehi tanah oleh pelabur tidak seteruk yang disangka. Pelaburan Agri-SA di Congo didapati hanya 80,000 hektar, dan bukan 10 juta seperti didakwa.

Mereka juga mendapati persetujuan melibatkan 48 juta hektar sedang dirunding atau telah dicapai, sebesar saiz Sepanyol. Ini mungkin angka yang diperkecilkan kerana syarikat-syarikat asing kini telah belajar dan semakin berhati-hati ekoran kemarahan ramai di Afrika dan Amerika Latin. Syarikat asing kini bekerjasama dengan syarikat tempatan.

Mereka mendapati pelabur utama datang dari AS, diikuti oleh Malaysia, Emiriah Arab Bersatu, dan United Kingdom (kebanyakannya dana global di London). China bukan pelabur besar, tetapi ini mungkin berubah selepas persetujuan pada September melibatkan sewaan 5 peratus tanah di Ukraine selama 50 tahun.

Sasaran utama ialah Papua New Guinea, lokasi salah satu hutan hujan terakhir dunia, yang kini sebanyak satu pertiga dimiliki syarikat asing. Ini diikuti oleh Indonesia, Sudan, Congo, dan Mozambique. Tidak ada sesiapa yang memerhatikan hal ini.

Kebimbangan terhadap kebuluran telah berkurangan sejak peristiwa 2008 apabila harga jagung dan meningkat tiga kali ganda dalam tempoh tiga tahun dan kekal tinggi, hingga membawa kepada rusuhan yang kemudian membawa kepada kebangkitan Arab.

Menurut PBB, hasil yang banyak di AS, Kanada, dan Ukraine telah meningkatkan pengeluaran bijirin dunia sebanyak 8 peratus tahun ini, tetapi penggunaan meningkat kepada 3.5 peratus.

Stok bijirin global telah meningkat 13 peratus ke tahap yang agak selamat, tetapi jumlah ini hanya meliputi 69 hari penggunaan global. Stok pada tahun-tahun 1980-an dan 1990-an secara purata cukup untuk 107 hari.

Kita kini beroperasi dengan margin yang sangat tipis. Harga makanan juga tidak kembali ke kadar sebelum ini. Indeks makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meningkat sebanyak 105 peratus sejak sedekad lalu.

Kita telah kembali bersikap mengambil mudah. Hakikatnya ialah dunia tidak mampu untuk terus kehilangan sehektar tanah setiap tahun, apatah lagi 12 hektar. Ditambah dengan penemuan yang kita melakukan kemusnahan yang lebih besar terhadap mikro organisma daripada yang kita sedari sepatutnya menginsafkan. Kita terlalu banyak berdebat tentang pemanasan global.

Krisis tanah global ini sepenuhnya akibat perbuatan manusia, dan semakin menyukarkan kita pada masa ini. Perkembangan ini hanya boleh dipulihkan sekiranya pemimpin-pemimpin dunia mengambil keputusan menanganinya. - Telegraph

Tuesday, December 10, 2013

Malaysia perlu tingkat persediaan bencana

Oleh HARIS ZALKAPLI

Bencana banjir sentiasa menjadi peristiwa besar negara kita setiap tahun, yang biasanya terjadi pada musim yang sama dan cuma dibezakan oleh tahap bencana tersebut.

Pengalaman berdepan banjir sepatutnya telah menyediakan kita untuk menangani dan menguruskan bencana tersebut.

Bencana banjir, sejak kebelakangan ini kelihatan semakin dahsyat, ekoran pelbagai faktor termasuk alam sekitar yang semakin banyak berubah.

Sebagai sebuah negara yang bencana alam utamanya ialah banjir, Malaysia sewajarnya meningkatkan persediaan menghadapi kemungkinan bencana ini berlaku pada bila-bila masa.

Pendidikan berkaitan menangani bencana - yang tidak terhad kepada banjir - perlu disebarluas melalui pelbagai cara,  agar persediaan menghadapi bencana diambil perhatian oleh semua.

Persediaan bukan sahaja perlu dilakukan oleh pihak berkuasa, tetapi orang ramai juga perlu sentiasa memastikan persediaan yang munasabah bagi menghadapi kemungkinan bencana alam.

Antara yang paling mudah dilakukan ialah persediaan penyimpanan barangan paling asas, seperti air minuman dan air bersih dalam botol, beras, dan makanan dalam tin dan kering, antara keperluan paling utama.

Penyimpanan stok air bersih dan air minuman sewajarnya telah diberi perhatian dan diamalkan, ekoran gangguan bekalan air yang agak biasa dihadapi oleh penduduk di sesetengah kawasan seperti Lembah Kelang.

Amalan ini dapat membantu dalam senario-senario lain, kerana keputusan bekalan air hampir pasti mengiringi bencana alam lain.

Simpanan bahan-bahan ini perlu dipastikan dan mungkin ditingkatkan semasa musim hujan, terutama bagi yang tinggal di kawasan dilanda banjir atau yang berpotensi dilanda.

Terutamanya bagi mereka yang terperangkap dan terputus hubungan, dan tidak perlu berpindah ke pusat pemindahan, keperluan paling asas yang disimpan di dalam rumah, yang sentiasa dipastikan mencukupi dapat membantu meringankan kesan bencana.

Keperluan lain ialah makanan dalam tin dan makanan kering (seperti mee segera, makanan dipek yang hanya perlu dipanaskan) yang boleh disimpan lama tanpa memerlukan peti sejuk.

Selain makanan, ubat-ubatan termasuk kit rawatan awal, lampu, bateri, dan sebagainya juga perlu sentiasa dipastikan ada.

Menurut panduan asas bencana, keperluan kit bekalan bencana ini perlu mencukupi untuk tempoh 72 jam, tempoh yang biasanya diperlukan untuk bantuan sampai.

Kit bekalan kecemasan ini juga boleh dilengkapi dengan keperluan lebih asas (kit yang juga dikenali sebagai go bag) yang boleh dibawa bagi yang perlu bergerak.

Dalam senario bencana tidak teruk dan tidak memerlukan pemindahan, persediaan makanan dan keperluan asas yang munasabah dapat banyak membantu.

Di pihak kerajaan dan pihak yang terbabit memberi bantuan, pelan tindakan yang lebih terperinci dan dapat digerakkan dengan segera mungkin perlu diberi lebih perhatian.

Perkara ini mungkin dapat dilakukan dan diselaras dengan lebih mudah oleh pihak seperti PAS, yang mempunyai rangkaian dan ahli yang ramai serta agak mudah dimobilisasi.

Pengalaman PAS, termasuk pengalaman spesifik Jabatan Amal, perlu dimanfaatkan untuk membina satu pelan tindakan yang lebih lengkap, meliputi masa sebelum, semasa dan selepas bencana.

Persediaan ini dapat membantu mengurangkan masa respons terhadap bencana, yang biasanya mengambil masa beberapa hari sebelum bantuan-bantuan dari luar tiba dan diselaraskan.

Persediaan ini juga, apabila dibuat secara lengkap, akan menyampaikan pengtahuan tentang keperluan bencana kepada orang ramai yang tidak terlibat atau tidak pernah terlibat dalam bencana alam.

Hal ini dapat membina sensitiviti mereka yang tidak terlibat dan memberi input tentang barangan yang paling perlu disumbangkan.

Pada masa ini, banyak barangan keperluan termasuk air bersih, keperluan wanita dan bayi agak kurang mendapat perhatian, dan sesetengah pihak amat mudah memilih untuk memberikan pakaian pada masa keperluan lebih utama masih belum dipenuhi.

Pengetahuan yang lebih tentang bencana alam seperti banjir juga akan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang keperluan pascabencana, melibatkan pembersihan, pemulihan infrastruktur dan melibatkan mangsa terbabit.

Selepas bencana, liputan media tidak seperti semasa bencana berlaku, dan ini memberi gambaran kepada orang ramai yang masalah telah selesai.

Hal ini menyebabkan orang ramai berhenti daripada menghulurkan bantuan, sedangkan kesan bencana, termasuk kos kewangan memperbaiki kerosakan, mengganti keperluan yang rosak atau hilang dan kesan tekanan kepada mangsa terlibat masih belum berakhir, malah mungkin baru bermula.

Pelbagai pihak perlu memberikan perhatian yang lebih berbanding biasa kepada senario selepas bencana.

Bencana alam banjir yang berlaku saban tahun wajar menjadikan semua pihak, daripada kerajaan dan agensi-agensi yang berkaitan. Begitu juga dengan orang ramai sama ada terjejas atau tidak dengan bencana tersebut.

Kesedaran terhadap persediaan bencana perlu ditingkatkan dalam kalangan orang awam sehingga persediaan bencana diamalkan oleh semua supaya kesan buruk daripada bencana lebih dapat ditangani dan dikurangkan.- Disember 6, 2013

Monday, November 4, 2013

Produksi perlu ditingkat untuk pastikan keselamatan makanan global

Oleh REN WANG

Kita semua sudah mendengar penerangan tentang angkanya. Sekitar 870 juta manusia seluruh dunia kekurangan zat makanan, dan penduduk dunia bakal bertambah 2.8 bilion orang lagi menjelang 2050.

Ini bermakna pengeluaran makanan global mesti meningkat sebanyak 60 peratus untuk memastikan bekalan makanan mencukupi untuk semua.

Bagi sesetengah orang, angka itu terlalu besar untuk difahami dan masalah yang diterangkan itu hampir mustahil untuk diatasi. Kita, walau bagaimanapun, pernah berdepan dengan masalah ini.

Pada penghujung 1960-an, Profesor Paul R Ehrlich dari Universiti Stanford menulis dalam bukunya, The Population Bomb tentang peningkatan populasi global (yang telah meningkat sebanyak 2.8 bilion sejak buku itu ditulis): “Perjuangan untuk menyediakan makanan kepada semua manusia sudah berakhir. Pada 1970-an, ratusan juta manusia akan mati kebuluran walaupun program pantas dimulakan pada masa ini…”

Revolusi Hijau yang menyusul jangkaan menakutkan itu menjadi satu contoh kejayaan apabila hasil ditingkatkan bersama gabungan kepelbagaian tanaman dan penggunaan baja, racun serangga dan air.

Usaha itu membantu meningkatkan penghasilan bijirin sebanyak tiga kali ganda di India dan China dalam 25 tahun selepas 1965. Pertanian berjaya memenuhi keperluan makanan dengan meluaskan kawasan penanaman dan mengaktifkan pengeluaran.

Walau bagaimanapun, halangan-halangan kepada kemajuan seperti ini semakin dirasakan dan diterima.

Di seluruh dunia, masih banyak tanah berpotensi yang tidak diusahakan. Tetapi tanah itu menghadapi persaingan permintaan termasuk untuk penghasilan makanan, makanan haiwan dan tenaga bio (terutama kayu untuk bahan bakar, sumber tenaga utama di banyak negara membangun); dan pengurusan ekosistem seperti perlindungan tanah, pengurusan air (termasuk perlindungan daripada banjir dan kualiti air), pemeliharaan kepelbagaian bio, sekuestrasi karbon, dan penggunaan urban dan industri.

Wujud juga cabaran berkaitan air. Penyaliran memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengeluaran dan mengurangkan keperluan kepada tanah tambahan. Di seluruh dunia, tanah bersaliran – 16 peratus daripada tanah pertanian – menghasilkan 44 peratus daripada produksi tanaman. Tetapi air lebih diperlukan dan lebih sukar diperolehi berbanding tanah. Pada masa depan, mungkin bekalan tidak akan mencukupi untuk semua.

Bahan baker fosil dan baja sintetik ialah sumber terhad yang berperanan penting dalam produksi makanan. Tekanan untuk menghasilkannya dan kekurangan dari masa ke masa membawa kepada ketidaktentuan harga, mendorong kepada lebih ketidakpastian dalam penghasilan makanan.

Kemudian ada juga tekanan-tekanan lain pada kemampuan kita meningkatkan produksi: keperluan untuk tanah subur, perkhidmatan sumber-sumber genetik dan ekosistem, dan juga amalan pengurusan yang baik dan dasar kerajaan yang membantu.

Kini, banyak kawasan pengeluaran makanan paling produktif mengalami akibat alam sekitar daripada penggunaan berlebihan dan salah urus sumber asli, kemerosotan tanah, hakisan dan kemerosotan perkhidmatan ekosistem seperti pendebungaan.

Sebagai respons kepada cabaran besar menanam sumber makanan yang sangat diperlukan, Pertubuhan Makanan dan Pertanian, FAO, telah melancarkan “Simpan dan Tanam” pada 2011, satu strategi global baharu untuk memastikan keselamatan makanan yang terfokus pada peningkatan produksi tanaman mapan (sustainable crop production intensification, SCPI): “Jimat” untuk menghasilkan lebih banyak dengan masukan yang sedikit pada tanah yang terhad, “Tanam” pada masa sekarang dan masa depan. SCPI memberi fokus pada pertanian produktif yang memelihara dan meningkatkan sumber alami.

Strategi ini menggunakan pendekatan ekosistem yang mengambil manfaat daripada penanaman sumber makanan dengan mengambil kesempatan daripada persekitaran dan menggunakan sumber dengan lebih efisyen.

Amalan-amalan dalam pendekatan ini menumpukan pada pengetahuan dan saling bergantung, dan pada masa sama bersifat setempat dan spesifik pada sistemnya. Pada peringkat awal, menggalakkan amalan-amalan ini memerlukan sokongan awam melalui insentif dan pelaburan yang khusus.

Sebagai respons kepada keperluan ini, FAO sedang memperluaskan pendekatan Simpan dan Tanam melibatkan sektor pertanian lain, termasuk penternakan, dan meluaskannya kepada satu perspektif rantaian makanan.

Salah satu contoh menarik pemakaian prinsip-prinsip Jimat dan Tanam ialah pengurangan kehilangan dan pembaziran makanan.

Kami percaya pendekatan ini menyediakan strategi yang diperlukan oleh warga dunia untuk memastikan keselamatan makanan global pada masa kini dan masa hadapan.

Ren Wang ialah penolong ketua pengarah Jabatan Pertanian dan Perlindungan Pengguna, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Artikel asal diterbitkan di laman Skoll World Forum.

Wednesday, October 23, 2013

Politik kelapa sawit: Peranan Indonesia, Malaysia dan Singapura merumitkan keadaan

Oleh PAVIN CHACHAVALPONGPUN

Penanaman dan pemprosesan kelapa sawit telah menjadi satu industri strategik bagi Indonesia Indonesia.

Kelapa sawit ialah sumber pendapatan daripada eksport ketiga terbesar, menyumbang kepada pendapatan tukaran asing dan menyediakan peluang kepada petani skala kecil untuk terlibat dalam perniagaan pertanian yang rancak ini, sekaligus membangunkan ekonomi luar bandar dan memperbanyakkan peluang pekerjaan. 

Di Asia Tenggara, kelapa sawit ialah komoditi tradisional yang mula ditanam sejak zaman penjajahan.

Tetapi menjelang 1980-an, permintaan kelapa sawit yang semakin meningkat di peringkat global - untuk produk makanan, kosmetik dan bahan bakar bio - membawa kepada penanaman berskala besar, terutama di pulau Sumatra dan Kalimantan, disebabkan keadaan cuaca dan tanah yang sesuai di kawasan itu.

Pada tahun 2008, Indonesia menggantikan Malaysia sebagai pengeksport terbesar kelapa sawit hasil daripada program kelolaan kerajaan yang bermatlamat meningkatkan produksi kelapa sawit, seperti penswastaan estet diurus kerajaan.

Hari ini, Indonesia memiliki 6 juta hektar ladang kelapa sawit. Negara ini kini menghasilkan sehingga 25 juta tan kelapa sawit setahun, separuh daripada jumlah keluaran dunia, yang merupakan 5 peratus daripada keluaran kasar dalam negara.

Kejayaan ini juga disebabkan oleh pembukaan kepada pelaburan asing. Malaysia dan Singapura mewakili pelabur asing terbesar, mengatasi pelabur lain dari luar rantau ini.

Melalui pelaburan tunggal dan kerjasama dengan syarikat tempatan, dua negara tersebut mengawal lebih daripada dua pertiga keseluruhan pengeluaran kelapa sawit Indonesia.

Konteks ini menjelaskan hubungan yang tidak dapat dipisahkan antara pelaburan dari Malaysia dan Singapura dan kebakaran hutan yang diakibatkan oleh pembakaran untuk pembersihan tanah untuk penanaman dengan kos rendah, untuk membolehkan penanaman semula lebih cepat.

Tahun ini terutamanya, jerebut dari Sumatra menyebabkan kesan lebih teruk di Malaysia dan Indonesia dari sudut ekonomi dan kesihatan.

Jerebu yang berlaku itu mencapai tahap bahaya di dua negara jiran terbabit, dan Malaysia telah mengisytiharkan darurat di Muar dan Ledang di negeri Johor.

Maka apabila kerajaan Malaysia dan Singapura mengutuk petani-petani Indonesia, mereka kelihatan telah terlepas pandang hakikat bahawa ladang milik syarikat dari negara mereka sendiri telah berperanan besar dalam mengakibatkan jerebu itu.

Krisis pentadbiran bertangungjawab mencetuskan masalah merentasi sempadan ini.

Indonesia ada undang-undang mengharamkan cara membakar untuk membersihkan tanah untuk penanaman.

Sebagai contoh, Artikel 78 Undang-Undang Perhutanan 1999 memperuntukkan sesiapa didapati bersalah membakar hutan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda maksimum 5 bilion Rupiah.

Pada masa sama, Kalimantan Tengah menetapkan peraturan sendiri pada 2008 yang membenarkan pembakaran terkawal oleh petani kecil.

Rasionalnya ialah pengharaman sepenuhnya akan menjejaskan petani kecil dan mengakibatkan pengurangan hasil beras.

Satu persoalan yang mesti ditangani ialah mengapa pengurus ladang-ladang kelapa sawit komersil di Indonesia masih boleh memberi ancaman kepada alam sekitar dan ekonomi serantau?

Helena Varkke, yang mengkaji komunikasi korporat dan pembangunan mapan, berhujah dalam satu kajian terkini bahawa sektor kelapa sawit yang semakin melibatkan penglibatan negara-negara serantau telah membentuk budaya politik yang bercirikan sistem naungan yang mendalam.

Disebabkan sistem politik naungan yang sama, Malaysia dan Singapura berjaya menyertai rangkaian patronage di Indonesia, yang turut terlibat dalam industri penting seperti kelapa sawit.

Dalam sektor kelapa sawit, sistem naungan terbentuk dalam struktur melibatkan produksi, pemasaran dan pengedaran, dan menghubungkan pemain-pemain penting untuk memudahkan urusan mereka melalui mekanisme yang sah seperti konsortium kelapa sawit.

Konsortium-konsortium ini biasanya terdiri daripada pengeluar tempatan, birokrat senior dan ahli perniagaan berpengaruh yang membina hubungan baik dengan pemimpin nasional.

Sebagai contoh, dalam kes Indonesia, seorang ahli politik berpengaruh memainkan peranan utama dalam pembuatan keputusan syarikat yang memiliki kawasan penanaman kelapa sawit yang luas.

Keputusan-keputusan ini boleh memberi kesan besar kepada industri kelapa sawit Indonesia.

Bagi syarikat asing, penting untuk mereka membina hubungan dengan individu dan institusi berpengaruh Indonesia untuk terlibat dalam industri ini.

Beberapa syarikat Malaysia yang mengusahakan kelapa sawit merupakan pelabur besar dengan hubungan rapat dengan pihak berkuasa Indonesia, jelas Varkke.

Syarikat Singapura juga sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga semakin berpengaruh dalam industri kelapa sawit Indonesia.

Beberapa syarikat konglomerat ini telah menjadi pengeluar minyak kelapa sawit terbesar berpangkalan di Indonesia.

Kebiasaannya, ahli-ahli lembaga pengarah syarikat terbabit terdiri daripada tokoh politik dan perniagaan berpengaruh.

Sebagai satu contoh sistem naungan yang wujud, banyak syarikat Malaysia mendapat manfaat daripada perjanjian pelaburan Malaysia-Indonesia pada 1997, apabila Indonesia berikrar untuk memperuntukkan 1.5 juta hektar tanah kepada pelabur Malaysia untuk pembangunan kelapa sawit.

Disebabkan sistem politik naungan Indonesia, syarikat Malaysia dan Singapura perlu membina hubungan baik dengan pemimpin dan individu berpengaruh tempatan.

Daripada menubuhkan subsidiari, mendapatkan lesen dan hak tanah, hingga kepada melantik tokoh Indonesia berpengaruh ke lembaga pengarah, syarikat Malaysia dan Singapura telah mengukuhkan lagi politik naungan dalam industri kelapa sawit.

Hubungan baik dengan pemimpin-pemimpin tertinggi memudahkan semua bentuk urusan.

Kawasan tanah gambut sesuai untuk tanaman kelapa sawit, tetapi juga mudah terbakar. Kerajaan Indonesia telah menggubal undang-undang pada 1999 untuk mengawal jumlah kawasan tanah gambut yang diperuntukkan kepada penanaman kelapa sawit dan mengharamkan amalan pembakaran.

Kebiasaannya, peraturan seperti itu diabaikan kerana syarikat-syarikat besar dilindungi oleh pihak tertentu dalam kerajaan Indonesia dan kerana kekurangan penguatkuasaan.

Akibatnya, syarikat-syarikat lebih suka membersihkan kawasan dengan membakar berbanding cara lain menggunakan jentera yang lebih menelan kos tinggi.

Duta Palma, sebuah syarikat Indonesia ialah salah sebuah syarikat yang mempunyai rekod terburuk melibatkan pembakaran terbuka, dakwa Varkke.

Ramai pemimpin politik lebih suka berdiam diri atau bersikap tidak peduli apabila jerebu menyelubungi Singapura dan Malaysia Jun lalu, dengan salah seorang pemimpin memberi tahu Singapura supaya tidak berkelakuan seperti budak-budak.

Beberapa agensi kerajaan seperti badan pencegah rasuah Indonesia bekerjasama rapat dengan Pemantau Korupsi Indonesia, sebuah badan bukan kerajaan tempatan, dan sedang menyiasat beberapa kes melibatkan syarikat asing yang terlibat dalam mengusahakan tanah secara haram.

Usaha mereka disekat oleh mahkamah Indonesia. Mahkamah telah berpihak kepada pihak industri yang berpengaruh, yang mereka sendiri berkepentingan dalamnya.

Pada 2010, sebuah syarikat kelapa sawit Malaysia telah dibawa ke mahkamah, tetapi kes itu dihalang daripada diteruskan di mahkamah lebih tinggi.

Hubungan rumit merentasi sempadan dalam industri kelapa sawit menyebabkan timbul satu suasana yang sukar dan mencetuskan krisis pentadbiran di Asia Tenggara.

Kerajaan-kerajaan Indonesia, Malaysia dan Singapura hakikatnya hanya bermain retorik dalam mempersalahkan pihak-pihak tertentu semasa krisis jerebu berlaku.

Hakikatnya, semua pihak mengelak daripada menangani isu sebenar, kerana masalah dasarnya melibatkan kepentingan bersama ketiga-tiga pihak terbabit.

Pavin Chachavalpongpun ialah profesor madya di Pusat Kajian Asia Tenggara, Universiti Kyoto. Artikel ini dipetik dan diterjemahkan daripada laman Yale Global, bertajuk The Politics of Palm Oil.

Wednesday, October 9, 2013

Umno dan kebangkitan liberal Malaysia


Oleh HARIS ZALKAPLI

Umno ialah sebuah parti yang bersifat konservatif dari segi sosial dan sebahagian besar hal ekonomi.

Sejarah parti ini menyebabkannya sentiasa mempunyai bahagian konservatif yang kuat, terutama daripada kalangan ahli akar umbi yang membentuk kekuatan parti.

Sebagai sebuah parti etnonasionalis, hal melibatkan bangsa Melayu dan agama Islam mendorong Umno menjadi sebuah parti yang konservatif melibatkan isu kaum dan agama.

Walau bagaimanapun, Umno juga tidak asing dengan pendekatan pragmatik, yang mengetepikan beberapa pegangan utama parti dalam mengemudi politik dan pentadbiran negara bersama parti-parti komponen Barisan Nasional.

Dalam sejarah persaingannya dengan PAS, Umno lebih cenderung kepada sikap yang relatif lebih liberal, sekular dan pragmatik, berbanding PAS yang lebih berpegang pada prinsip didasari agama Islam.

Tetapi perkembangan politik terkini yang menyaksikan gelombang liberal melanda telah menunjukkan potensi untuk Umno bergerak menjadi lebih liberal, sehingga mungkin menyaingi beberapa sisi parti-parti liberal dalam politik negara.

Di bawah Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Umno terpaksa memperjuangkan gagasan 1 Malaysia, yang walaupun agak kabur dan cair, tetap mempunyai ciri liberal yang agak jelas.

Jenama politik Najib ini diberikan tafsiran yang lebih liberal oleh seteru-seteru - malah rakan-rakan - politik Umno, dan ditafsirkan sebagai satu janji atau garis panduan dasar-dasar dan pendekatan pentadbiran Najib.

Hal ini demikian sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam Umno sendiri, terutama ketika liberal meningkatkan serangan dan sisi lebih konservatif Umno kelihatan terpaksa dipendam demi memasarkan jenama baharu dibawa Perdana Menteri Najib.

Sekitar masa yang sama Umno berusaha menunjukkan wajah yang lebih liberal, muncul kumpulan sayap kanan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Perkasa, yang secara praktisnya menjadi sayap kanan Umno untuk menangani isu-isu yang dilihat tidak sehaluan dengan jenama liberal 1 Malaysia.

Perkembangan ini menandakan perpisahan Umno dengan pendekatan konservatif yang dibawa selama ini, menandakan politik baharu yang terpaksa ditempuhi oleh Umno dalam landskap terkini politik negara.

Umno yang menguasai BN sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-12 mula bergerak ke tengah dalam spektrum ideologi, dengan Najib memberanikan diri menangani sendiri hal-hal yang menjadi pengenalan sifat konservatif Umno.

Selain pemansuhan beberapa undang-undang berkaitan keselamatan, Najib semakin kuat berusaha menunjukkan wajah baharu Umno kepada masyarakat.

Walau bagaimanapun, dalam Umno sendiri, haluan baharu Najib ini tidak diterima sepenuhnya malah dilihat sesetengah pihak sebagai satu kelemahan besar Najib yang tunduk kepada tuntutan liberal dalam usaha menarik sokongan.

Terkini, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) semakin menerima kecaman hebat elemen lebih konservatif dalam Umno, yang dapat diperhatikan melalui serangan-serangan daripada blog-blog Umno.

Pengendali blog Umno merupakan elemen paling berhaluan kanan dalam Umno, dan memainkan peranan sebagai penyampai suara dan pendesak kumpulan lebih konservatif dalam parti itu.

Sejak mula berperanan aktif bermula 2008, kumpulan lebih konservatif ini telah beberapa kali menunjukkan kekecewaan terhadap beberapa tindakan Najib yang cenderung menyebelahi liberal.

Dalam hal ini juga, Najib semakin dilihat dengan kritikal oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tokoh yang menaikkan Najib dan memberi sokongan (dan nasihat) kepadanya hingga ke hari ini, yang masih mempunyai pengaruh yang kuat dalam Umno.

Mahathir berada di kem konservatif dalam Umno, yang hari demi hari semakin mempunyai banyak perbezaan pandangan dengan Najib yang semakin liberal.

Pada masa sama, pemimpin muda Khairy Jamaluddin Abu Bakar semakin meningkat naik dalam Umno dan pentadbiran Najib, dan semakin dinilai sebagai salah seorang pemimpin utama masa depan Umno.

Khairy menampakkan dengan jelas kecenderungan liberal, yang agak jauh berbeza dengan pendirian yang diterima sebahagian besar pemimpin dan ahli Umno.

Sebelum ini, elemen sayap kanan dalam Umno pernah menunjukkan penentangan kuat terhadap rancangan pelantikannya ke dalam kabinet, yang didakwa dipertimbangkan dengan serius oleh Najib.

Selepas pilihan raya yang lepas, Khairy tidak dapat dikekang lagi dan diberikan satu kedudukan dalam kabinet, dan memulakan kembali pendakiannya ke kedudukan yang lebih tinggi.

Perkembangan ini berpotensi menampakkan lagi perbezaan antara kelompok lebih liberal dan yang lebih berkecenderungan konservatif dalam Umno.

Berdasarkan perkembangan terkini, elemen liberal kelihatan mempunyai masa depan yang semakin cerah dalam Umno. - September 10, 2013.

Thursday, August 15, 2013

Mengimbas kembali 'kerajaan perpaduan'

Isu kerajaan perpaduan kembali mendapat perhatian ekoran satu laporan Asia Sentinel, diikuti dengan tulisan memberi gambaran positif usaha itu di Malaysian Insider - dengan tajuk hampir sama dengan artikel di bawah. Perkembangan ini ialah yang terkini selepas episod rundingan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum Pilihan Raya Umum ke-12. Di bawah ini ialah tulisan pada Jun 2010 menjelaskan isu kerajaan perpaduan yang disuarakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Tulisan ini pernah disiarkan akhbar Siasah.

Oleh HARIS ZALKAPLI

Ketika bermula muktamar tahunan PAS ke-56 di Kota Bharu, Kelantan minggu ini, pelbagai isu yang berkaitan dengan permainan politik dalaman parti ini sudah pun tersebar di pelbagai media termasuk blog.

Satu isu perenial yang ditimbulkan untuk mencapai tujuan politik kelompok ialah kerajaan perpaduan yang pernah dicadangkan oleh presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada tahun lalu.

Dalam wacana popular kelompok tertentu, isu ini ditimbulkan secara mudah, tanpa penjelasan yang definitif yang boleh menyanggah kebolehlaksanaan ide tersebut.

Kerajaan perpaduan, yang disebut sebagai “UG” (singkatan kepada unity government) dijadikan simbol dalam kempen negatif terhadap Abdul hadi dan sesiapa sahaja yang dilabel “pro-UG.”

Hampir semua isu, daripada pertemuan di rumah terbuka hingga kepada pemberian credential media kepada penulis blog di muktamar diletakkan secara mudah di bawah tajuk besar “UG.”

Berdasarkan pemerhatian pada sejarah singkat wacana kerajaan perpaduan dalam PAS, kempen negatif yang dimainkan secara berterusan itu dapat dibuktikan sebagai satu tindakan politik kelompok yang tidak berdasarkan sebarang bukti.

Ide kerajaan perpaduan yang paling jelas oleh Abdul Hadi dicetuskan dalam satu wawancara yang disiarkan Siasah keluaran ke-138 (1 hingga 7 Mac, 2009). Muka depan Siasah keluaran itu memuatkan berita utama bertajuk Negara Tanpa Pembangkang, yang menyusuli siri tumpuan kepada “politik damai” yang dicadangkan oleh Siasah.

Dalam wawancara itu, Abdul Hadi menerangkan cadangan kerajaan perpaduan dengan mengambil contoh Indonesia di bawah bekas Presiden BJ Habibie. Jelas Abdul Hadi, kerajaan perpaduan ini akan melibatkan semua parti politik menjadi sebahagian kerajaan, dan bukan hanya melibatkan PAS dengan Umno.

Ketika itu, cadangan ini menerima reaksi positif daripada banyak pihak dalam PAS sekurang-kurangnya, dengan isu kerjasama PAS dengan Umno tidak ditimbulkan langsung.

Malah, dakwaan bahawa cadangan kerajaan perpaduan dibawa hanya oleh Abdul Hadi dan “PAS Terengganu” tidak didapati asasnya kerana ide ini turut dibawa oleh Dr Mujahid Yusuf, Ahli Parlimen Parit Buntar.

Dalam Siasah keluaran yang sama, Mujahid yang juga pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS dalam satu tulisan panjangnya menjelaskan perlunya satu pendekatan baharu dalam politik negara, dengan menimbulkan persoalan, “Mungkinkah ini era kerajaan perpaduan nasional ataukah ia kerajaan persekutuan nasional yang akan terbentuk..,” memberikan harapan kepada penubuhan sebuah kerajaan perpaduan nasional baharu.

Kemudian, ekoran pelbagai isu yang timbul dalam perdebatan isu kerajaan perpaduan dan kehadiran Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sebagai perdana menteri baharu, gagasan kerajaan perpaduan yang hampir menjadi konsensus itu mula ditolak.

Pada penghujung April, Abdul Hadi menjelaskan bahawa cadangan kerajaan perpaduan tidak berbangkit lagi.

Beliau dipetik sebagai berkata oleh Harakahdaily dalam satu laporan bertarikh 21 April bahawa ide kerajaan perpaduan ditarik balik kerana wujud ketidakfahaman dalam kalangan ahli PAS sendiri dan menimbulkan pelbagai kekeliruan, walaupun isu itu sudah dibincangkan di peringkat pemimpin tertinggi.

“Ramai yang tidak faham dengan konsep ini. Rakyat ada kebebasan. Ini ‘unity’ biar kita kena faham. Apa yang saya rasa lucu, ada orang Umno yang membangkang dan ada orang Umno yang bersetuju.

“Tetapi, orang PAS juga bangkang dia (PAS) tidak tahu. Ini menandakan, dia (orang PAS) tidak tahu apa ‘unity government.’ Barangkali kalau dia tahu bentuknya saya rasa orang boleh terima. Oleh kerana, ramai orang tidak faham, maka, saya tarik balik cadangan saya itu.”

Selepas itu, Harakahdaily melaporkan pada 18 Jun kenyataan Datuk Harun Taib, ketua Dewan Ulama yang menyebut kerajaan perpaduan tidak boleh berlaku jika hanya dengan Umno.

“Kerajaan perpaduan itu bukan hanya PAS dengan Umno sahaja, tidak timbul soal PAS-Umno. Semua parti-parti politik terlibat sama dengan Parti Keadilan Rakyat, DAP, MCA, MIC, Umno dan parti-parti di Sabah dan Sarawak baru jadi 'perpaduan.’”

Penutupan pintu kerajaan perpaduan dijelaskan lagi beberapa bulan selepas kenyataan Abdul Hadi itu. Pada Jun 2009 melalui satu kenyataan bersama pemimpin Pakatan Rakyat mengulangi pendirian kerajaan rakyat tidak lagi menjadi isu bagi gabungan itu.

Laporan Harakahdaily bertajuk Tidak Ada Lagi Bincang Kerajaan Perpaduan – Presiden PAS turut dimuatkan juga dalam blog Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan akan datang,” kata Anwar seperti dilapor Harakahdaily.

Dalam debat panjang yang tidak berkesudahan ini, dua perkara besar kelihatan sengaja diabaikan oleh pengkritik gagasan tersebut, iaitu definisi dan bentuk serta proses ke arah kerajaan perpaduan dan tindakan PAS menggugurkan agenda itu.

Kerajaan perpaduan terus didefinisikan sebagai “perpaduan PAS-Umno” yang hanya mempunyai satu bentuk, dengan kedua-dua parti bergabung dalam satu pakatan politik – mengabaikan realiti kedudukan Umno yang bekerjasama dengan parti-parti komponen bukan Melayu dalam Barisan Nasional – dan terus dikatakan menjadi agenda PAS walaupun kenyataan demi kenyataan menafikannya dibuat oleh pemimpin parti tersebut.

Pada masa sama, pertemuan pemimpin PAS tertentu dengan pemimpin Umno atau pegawai kerajaan tertentu juga ditafsirkan sebagai pertemuan untuk dalam tajuk “kerajaan perpaduan PAS-Umno.”

Selepas semua kenyataan menjelaskan tentang kerajaan perpaduan, isu ini terus dikemukakan sebagai gabungan PAS dengan Umno yang menjadi agenda rahsia kumpulan yang digelar “faksi Umno” dalam PAS.

Selain kenyataan, tidak ada juga sebarang perbincangan dan tindakan yang boleh dibaca sebagai meneruskan gagasan kerajaan perpaduan daripada mana-mana pihak dalam PAS, tetapi momokan “UG” yang berdasarkan tafsiran menyeleweng – yang seragam bentuknya dalam setiap komentar pengkritiknya – masih menjadi senjata kumpulan tertentu dalam PAS sendiri untuk menyimpulkan pelbagai isu, termasuk yang tidak berkaitan sama sekali dengan matlamat menjejaskan kredibiliti.

Kerajaan perpaduan yang dicadangkan Abdul Hadi itu telah tidak ditangani dengan sewajarnya oleh banyak pihak – terutama oleh mereka yang memberi sokongan penuh kepada projek 16 September yang boleh dipertikaikan dari segi moral itu – dan menjadikannya senjata dalam kempen negatif terhadap satu kelompok dalam PAS. – 9 Jun, 2010    

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...