Wednesday, July 17, 2013

Krisis Mesir dan 'kegagalan Islam politik'

Oleh HARIS ZALKAPLI

Rampasan kuasa di Mesir pada malam 3 Julai lalu telah mencetuskan satu debat baru yang panas berhubung demokrasi di dunia Islam, akibat jatuhnya sebuah pemerintahan didukung gerakan Islam Ikhwan al-Muslimin di Mesir, lokasi kebangkitan rakyat yang boleh dihujahkan sebagai yang paling dramatik sejak bermula kebangkitan pada hujung Disember 2011 di Afrika Utara dan Asia Barat.

Rampasan kuasa di Mesir kali ini, yang menjatuhkan pemimpin yang dipilih secara demokratik (walaupun dengan kelebihan undi yang kecil) walau bagaimanapun dinilai dengan berbeza-beza oleh pelbagai pihak, sama ada yang terlibat mahupun yang memerhati dari jauh.

Satu isu besar yang dibincangkan dalam debat berhubung rampasan kuasa ini ialah peranan gerakan Islam, atau kumpulan Islam terlibat dalam politik dan proses demokratik pilihan raya dan pentadbiran.

Di satu pihak, rampasan kuasa yang cuba dilunakkan sebagai kuasa rakyat menjatuhkan pemimpin dengan bantuan tentera ini diberikan pelbagai justifikasi oleh penyokongnya, untuk memberi hujah bahawa perubahan pemerintahan yang berlaku itu bukan rampasan kuasa, satu tindakan yang jelas tidak demokratik.

Dalam hal ini, pegangan bahawa Islam politik telah gagal bukan sahaja dipegang dengan kuat, malah kelihatan mahu dipastikan gagal dan tidak diberi peluang sewajarnya untuk terlibat dalam politik dan pentadbiran negara.

Sesetengah pihak, dalam analisis segera berhubung perkembangan terbaru di Mesir menyimpulkan atau menyarankan bahawa Islam politik telah gagal di Mesir dengan jatuhnya pemerintahan didukung Ikhwan.

Pandangan bahawa Islam politik telah gagal walau bagaimanapun dinilai sebagai agak terlalu awal untuk dibuat, dan ditolak akademik pemerhati rantau ini.

Seorang pemerhati menegaskan bahawa peristiwa terbaru yang berlaku di Mesir "tidak menunjukkan bahawa Islamisme, sebagai satu ideologi politik, kurang popular di Mesir pasca-Mubarak berbanding sebelum 2011."

Walaupun dengan pendirian dan pendekatan yang telah dilunakkan, gerakan Islam yang menguasai politik dan pentadbiran Mesir masih dilihat - dan diperbesar-besarkan - sebagai mampu menggugat demokrasi di negara itu, sehingga rampasan kuasa ke atas Presiden Mohamed Morsi dibenarkan dan dipertahankan.

Kelompok liberal Mesir, yang sejak bermula kebangkitan rakyat mungkin melihat peluang yang besar tersedia untuk mereka dalam politik negara ini, menjadi penyokong kuat tindakan menjatuhkan Morsi melalui cara tidak demokratik, pada masa sama menggunakan alasan demokrasi.

Selepas menjadi salah satu kuasa penting kebangkitan rakyat, liberal Mesir kemudian menjadi pendukung tindakan tidak demokratik, termasuk penangkapan aktivis Ikhwan al-Muslimin, penutupan rangkaian televisyen, yang menampakkan permusuhan yang sangat kuat terhadap kelompok Islamis.

Dalam hal ini, pertembungan liberal dengan Islamis di Mesir kelihatan dengan semakin jelas, di negara Arab yang menjadi medan pertemuan, percampuran dan persaingan pelbagai aliran politik yang menarik sejak puluhan tahun lalu.

Mesir ialah tempat lahir dan medan paling sengit bagi gerakan Islam Ikhwan, yang berdepan pelbagai tekanan pemerintah sejak penubuhannya.

Pada masa sama, gerakan liberal Mesir juga boleh disifatkan sebagai yang paling maju di seluruh dunia Arab, dan menunjukkan prestasi baik dalam pilihan raya-pilihan raya yang diadakan dalam tahun-tahun terakhir pemerintahan Hosni Mubarak.

Kebangkitan rakyat yang berlaku di seluruh dunia Arab telah membuka peluang kepada dua kumpulan ini; liberal yang semakin popular dan mendapat perhatian dan sokongan kuasa-kuasa Barat dan Islamis yang menguasai massa, yang dalam kes Mesir ialah gerakan Ikhwan al-Muslimin.

Walau bagaimanapun, gerakan yang lebih meluas dan sokongan massa yang lebih kuat - dan juga sokongan kuasa serantau Qatar yang berpengaruh - melonjakkan Ikhwan al-Muslimin dan tokoh yang disokongnya.

Rampasan kuasa ini telah menghentikan dengan tiba-tiba dan dengan keras kebangkitan gerakan Islam di Mesir, yang berbeza dengan parti-parti Islam di Tunisia dan Turki berpegang pada aliran gerakan Islam yang masih dinilai sebagai tradisional, yang disebut sebagai "Islamism."

Parti yang muncul daripada serpihan Ikhwan, Parti Wasat ialah parti yang menepati ciri gerakan Islam pasca-Islamis, yang lebih terbuka dan pragmatik berbanding Ikhwan.

Sejak awal kejatuhan Mubarak, haluan parti politik berimej Islam seperti yang dilihat di Turki sering diangkat sebagai haluan yang wajar menjadi pilihan gerakan Islam yang bakal menguasai politik Mesir.

Parti politik yang berperanan penting di Tunisia selepas kejatuhan rejim lama, al-Nahda dilihat sebagai telah mengambil haluan yang selari dengan Parti Keadilan dan Pembangunan di Turki, yang dinilai sebagai sebuah parti pasca-Islamis.

Mesir yang dikuasai Ikhwan kelihatan tidak segera mengikut model Turki yang sering dilihat sebagai pilihan yang terbaik untuk Mesir bergerak ke hadapan.

Selepas kebangkitan rakyat yang disebut sesetengah pihak sebagai satu "revolusi pasca-Islamis," Mesir menampakkan satu kecenderungan untuk tidak turut sama menyertai program politik baru dunia Arab yang lebih terbuka.

Kebangkitan di dunia Arab ditegaskan pendukung pasca-Islamisme sebagai melahirkan suasana baharu yang membuka peluang kepada gagasan ini diterima ramai.

Satu yang boleh dilihat kini ialah campur tangan pihak tentera untuk menamatkan pemerintahan Islamis; Presiden Morsi dan pentadbirannya yang didukung Ikhwan, yang mempunyai persamaan dengan tindakan tentera campur tangan terhadap pemerintahan Islamis Necmettin Erbakan.

Selepas satu proses panjang, Turki muncul dengan parti yang bersifat pasca-Islamis, dan dinilai sebagai model utama pasca-Islamisme dan contoh untuk diikuti oleh dunia Arab pascarevolusi.

Banyak kemungkinan boleh berlaku di Mesir, dan masih terlalu awal untuk menilai dengan tepat dan tegas ke mana Mesir selepas ini. Tetapi apa yang jelas ialah halangan untuk gerakan Islam di Mesir sememangnya besar, dalam politik baru ekoran "revolusi pasca-Islamisme" di dunia Arab. - Julai 17, 2013

Thursday, July 4, 2013

Krisis Mesir: Satu pemerhatian ringkas

Oleh HARIS ZALKAPLI

Pada awal 2011, sejurus Presiden Hosni Mubarak dijatuhkan melalui kebangkitan massa, peringatan bahawa perjuangan sebenar baru bermula mungkin tidak benar-benar difahami ramai, sama ada yang terlibat mahu pun yang memerhati dari jauh.

Sentimen prodemokrasi yang berleluasa dan popular kelihatan telah membina pemahaman yang mengaitkan dengan terus perubahan yang dramatik dengan pendemokrasian, atau kejatuhan seorang pemimpin (atau rejim) dengan bermulanya era yang lebih demokratik.

Kuasa sebenar di Mesir, penguasa tentera, menunjukkan dengan tegas cabaran dihadapi dalam proses pendemokrasian, apabila melakukan tindakan yang menjatuhkan Presiden Mohamed Morsi dari kedudukan sebagai presiden, pada malam 3 Julai.

Tentera yang kelihatan agak kurang ke depan sejak Morsi memenangi jawatan presiden kini kembali menegaskan kuasanya, dengan kerjasama kelompok sekular dan juga liberal, dan menggunakan sentimen ketakutan terhadap "kecenderungan Islam" kelompok parti Islam dan gerakan Ikhwan al-Muslimin yang menjadi pemain penting politik Mesir masa kini.

Sifat Islamis dan implikasi negatif yang dikaitkan dengan Morsi dan kumpulan penyokongnya telah digambarkan dengan jelas sejak awal, dan sentiasa disebut-sebut sebagai satu kelemahan di pihak beliau.

Sentimen inilah - yang ada kalanya kelihatan diperbesarkan - yang mendorong kumpulan liberal memberi penentangan kuat kepada Morsi, malah turut sama menyokong tindakan tidak demokratik pihak tentera.

Kelompok liberal dalam hal ini kelihatan berlebihan dalam bermain politik dan menggunakan apa sahaja untuk mengkritik dan menjejaskan kredibiliti Morsi dan kelompok penyokongnya.

Satu pengajaran penting dalam kes Mesir ini ialah bagaimana suara rakyat yang menjatuhkan pemimpin tidak demokratik Mubarak, kemudian digunakan untuk menjatuhkan pemimpin yang dilantik melalui proses demokrasi.

Perkembangan terkini telah menunjukkan makna rakyat dan demokrasi berubah-ubah dan dipergunakan untuk tujuan politik tertentu, dan terbuka kepada mana-mana pihak yang berkemampuan mengambil manfaat.

Di pihak penyokong Morsi yang jumlahnya tetap besar, walaupun penentang pemerintah menampakkan jumlah yang sangat besar, kes ini meningkatkan krisis kepercayaan terhadap proses demokrasi.

Hal ini sangat jelas dan tidak dapat dinafikan merupakan sentimen yang berleluasa dalam kalangan penyokong pemerintah, menegaskan kepentingan kuasa besar yang bersedia mengorbankan demokrasi apabila bertentangan dengan kepentingannya.

Sejarah yang masih baru dilalui menampakkan pendirian Amerika Syarikat, sekutu rapat dan pendokong Mesir yang berhati-hati dalam menangani pergolakan yang berlaku di Mesir, mengimbangi keperluan menyokong demokrasi dan memelihara kepentingan.

Mesir ialah sekutu AS dan - bersama Israel - menjadi dalam kalangan empat penerima bantuan ketenteraan terbesar Washington. Perubahan yang berlaku ini dinilai seorang pemerhati sebagai yang dapat diterima oleh Washington.

Sudut lain, termasuk peranan Ikhwan al-Muslimin yang mempunyai hubungan sangat baik dengan Qatar, sebuah negara yang mempunyai agenda besar di dunia Arab juga perlu diberi pemerhatian sewajarnya, dalam melihat prestasi dan haluan pemerintahan Morsi dan pengaruh gerakan Ikhwan di Mesir dan dunia Arab pada masa kini.

Qatar mempunyai hubungan baik dengan Ikhwan dan memberi sokongan kepada gerakan ini, dalam usahanya membina dan mengukuhkan pengaruh di seluruh dunia Arab, sehingga mencetuskan rasa kurang senang negara Arab lain terutama monarki Teluk, yang merasa terancam oleh kebangkitan Ikhwan.

Negara kecil di Teluk Parsi itu mempunyai pengaruh kuat di Mesir ekoran penguasaan Ikhwan, dan menimbulkan banyak persoalan berhubung motif dan haluan yang bakal diambil oleh Kaherah dalam banyak hal.

Dari sudut implikasi serantau, Qatar dilihat berdepan satu cabaran dalam usahanya membina pengaruh serantau ekoran kejatuhan Morsi dan ketidaktentuan politik yang dijangka berterusan untuk beberapa bulan lagi sekurang-kurangnya.

Perkembangan terbaru di Mesir ini memerlukan penilaian yang lebih cermat dan mendalam untuk melihat permainan politiknya, di dalam negara dan antara kuasa-kuasa serantau dan global, dan tidak semudah memberi sokongan kepada mana-mana pihak.

Politik Mesir pasca-Mubarak kini menampakkan kompleksiti dan cabaran besar yang harus dihadapi rakyat Mesir, dan pada masa sama menyediakan peluang kepada pihak lain mengambil pelajaran daripadanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...