Friday, September 30, 2011

Menegak Agama Membela Bangsa: Sejarah perjuangan kemerdekaan PAS

"Setelah mencapai kemerdekaan sampailah kita kepada peringkat perjuangan mengisi kemerdekaan, dari sini bermulalah peringkat kedua perjuangan kita, peringkat jangka panjang perjuangan PAS.

"Sebagai sebuah parti yang berideologi, kita berazam hendak mengisi kemerdekaan itu dengan ideologi kita sendiri, iaitu ideologi Islam atau Islamisme. Kita percaya dengan Islam sahajalah negara kita dan umat kita dapat dibawa ke arah keselamatan dan kebahagiaan yang sebenar-benarnya.

"Dengan lain-lain perkataan bahawa tugas kita yang terpenting sesudah tercapainya kemerdekaan ialah berikhtiar supaya undang-undang dan peraturan yang diamalkan dalam masyarakat dan dalam pemerintahan negara, sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah. Dengan itu barulah ada nilainya Islam itu sebagai agama pembimbing hidup kemanusiaan." - Prof Zulkifli Mohamad

Menegak Agama Membela Bangsa: Perjuangan PAS 1951-1970
Oleh Dr Ismail Said
Buku Harakah, 2011.

Buku Menegak Agama Membela Bangsa: Perjuangan PAS 1951-1970 ini amat relevan dengan perkembangan semasa politik tanah air, semasa kita masih meraikan ulangtahun kemerdekaan dan menyaksikan perdebatan hangat menilai semula sejarah negara.

Hasil kajian akademik Dr Ismail Said ini merakamkan sejarah awal PAS, menjelang kemerdekaan daripada penjajah Inggeris dan perjuangan getir tahun-tahun awal selepas merdeka.

Buku ini menceritakan perjuangan PAS di bawah pemimpin-pemimpin awal Haji Ahmad Fuad Hassan, Dr Haji Abbas Alias dan Dr Burhanuddin al-Helmi.

Hasil kajian yang dikemukakan dengan mudah menjawab dakwaan bahawa hanya parti nasionalis Umno dan sekutunya sahaja yang memperjuangkan kemerdekaan, atau mereka sahaja pejuang tulen kemerdekaan.

Buku ini menjelaskan bagaimana asas kesedaran Islam telah membina perjuangan Islam untuk memerdekakan tanah air daripada penjajahan Inggeris, dan gandingan kesedaran Islam dan semangat membela bangsa memperkukuhkan perjuangan PAS pada tempoh awal kemerdekaan negara.

Dapatan pengkaji ini memperlihatkan semangat Islam dan Melayu yang kukuh dalam diri setiap pemimpin awal PAS itu, seperti yang dicatat dalam perlembagaan parti.

Dengan tegas sekali, pemimpin-pemimpin PAS terbabit memperjuangkan agama Islam dalam mengisi kemerdekaan negara, dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang merdeka ini.

Turut dirakamkan ialah perjuangan getir PAS menghadapi beberapa pilihan raya awal, berdepan dengan tekanan dan sekatan oleh pemerintah termasuk ditahan tanpa bicara.

Banyak iktibar boleh diperolehi daripada kisah perjuangan pemimpin-pemimpin terawal PAS yang terakam dalam buku ini, menjadikannya sebuah karya yang terus relevan dan bacaan penting kepada ahli-ahli PAS.

Thursday, September 29, 2011

Makna kenyataan Pakatan Rakyat tentang hudud

Kata sepakat parti-parti Pakatan Rakyat dicapai hasil pertemuan empat jam pemimpin-pemimpin semalam.

Keputusan yang dicapai ialah kompromi yang boleh dijangka bagi sebuah gabungan parti politik berbeza ideologi.

Apa yang dicapai dalam mesyuarat pemimpin PR itu sebenarnya bukan sesuatu yang baharu, kerana sekadar menegaskan sekali lagi bahawa PR ialah satu gabungan dengan agenda bersama.

PR telah bersetuju dengan dasar bersama dan agenda yang dicatat dalam Buku Jingga yang dilancarkan pada konvensyen gabungan itu pada Disember tahun lalu.

Hal yang tidak dipersetujui, yang berkaitan dengan ideologi tidak menjadi agenda PR, termasuk pelaksanaan hukum jenayah hudud dan undang-undang Islam lain, seperti yang diluluskan di Kelantan dan Terengganu di bawah pimpinan PAS.

Semua parti terlibat, terutama PAS, perlu menyedari apa yang dimaksudkan dengan agenda bersama ini, dan bersedia berkompromi dalam hal-hal tertentu. Di sinilah letaknya had kerjasama parti-parti PR.

PAS juga perlu menyedari bahawa parti-parti PR yang lain secara ideologinya tidak akan bersetuju dengan hudud dan undang-undang Islam lain.

Apa yang dinyatakan oleh Karpal Singh, pemimpin veteran DAP di konvensyen tahun lalu sebenarnya telah menjelaskan dengan terang pendirian DAP, iaitu bersedia berkompromi tetapi tidak menerima agenda negara Islam (termasuk hudud) PAS.

Pendirian Karpal dalam pertikaian terkini dengan PAS hakikatnya tidak berbeza langsung dengan apa yang disebut semasa konvensyen itu, seperti dirakam SiasahDaily:

"PAS sama sekali tidak boleh membaca dengan berlebihan kenyataan Karpal Singh itu dan menganggap debat isu tersebut sebagai sudah selesai dan DAP menerima ide negara Islam PAS.

"Apa yang berlaku hanya satu kompromi, dan menunjukkan PR ialah satu usaha sama parti-parti pembangkang dalam hal yang dipersetujui sahaja."

Setiap parti sememangnya akan membawa agenda yang difikirkan mewakili kepentingan nasional untuk diangkat sebagai agenda perjuangan PR, dan PAS tidak boleh terkecuali daripada usaha ini.

Banyak agenda dan pendekatan parti DAP dan PKR turut tidak selari dengan dasar Islam PAS, dan kedudukannya sebagai salah sebuah parti utama orang Melayu.

Ini bermakna PR ialah satu ruang dan peluang kerjasama politik, dan tidak boleh dianggap hujung jalan perjuangan PAS.

Friday, September 23, 2011

Isu hudud, mampukah PAS tarik sokongan Melayu?

Isu hudud kembali menjadi berita utama dalam media, ekoran sorotan kembali ke atas isu ini melibatkan PAS, sekutu dalam Pakatan Rakyat dan parti pemerintah Umno.

Menteri besar kerajaan PAS di Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat muncul dengan tegas menyatakan pendirian mahukan undang-undang Islam itu dijalankan, sehingga mencetuskan respons keras daripada pemimpin-pemimpin DAP, Karpal Singh dan Lim Kit Siang.

Debat isu hudud ini terus dilihat sebagai satu strategi politik menjelang pilihan raya umum, sesuatu yang tidak dapat dielakkan ekoran masa ini ini timbul.

Umno melihat kenyataan pemimpin PAS mengulas isu hudud kali ini sebagai untuk menarik penyokong tradisional dan undi Melayu, manakala PAS melihatnya sebagai strategi Umno untuk mendorong parti-parti PR bertelagah.

Hudud, dan penubuhan "negara Islam" oleh PAS merupakan isu kontroversi berkaitan pelaksanaan pentadbiran dan perundangan bersumber Islam yang menjadi agenda besar parti Islam itu, dan telah menjadi faktor mendorong DAP meninggal dua pakatan pembangkang sebelum ini.

DAP meninggalkan pakatannya dengan Semangat 46 pada hujung 1980-an selepas mengaitkan hubungan parti Melayu itu dalam satu lagi pakatan lain dengan PAS yang didakwa menjejaskan undinya.

DAP walau bagaimanapun kemudian menyertai Barisan Alternatif yang menggabungkannya bersama PAS, tetapi turut meninggalkan pakatan itu selepas bertembung dengan PAS dalam isu negara Islam.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-12, DAP sekali lagi bersama PAS dalam satu lagi gabungan terbaharu pembangkang, walaupun PAS sama sekali tidak menunjukkan sebarang perubahan dalam pendirian berhubung pentadbiran dan perundanga Islamnya.

PAS walau bagaimanapun menjelang pilihan raya umum 2008 telah mengetengahkan agenda negara berkebajikan, yang dikemukakan sebagai satu pendekatan bersumber Islam tanpa menyebut negara Islam.

Isu kontroversi berkaitan ideologi melibatkan PAS dengan DAP kelihatan semakin boleh dikawal selepas tertubuhnya gabungan PR.

Malah, semasa konvensyen kedua PR di Pulau Pinang, Karpal Singh sendiri menunjukkan kesediaan berkompromi dalam isu negara Islam, menampakkan kesediaan PR menumpukan pada persetujuan bersama dan tidak menjadikan ideologi parti-parti komponen sebagai isu yang boleh menjejaskan kerjasama.

Nik Abdul Aziz sendiri menunjukkan penerimaan positif kenyataan Karpal, disusuli dengan pelbagai pujian pemimpin-pemimpin PAS lain, yang ada antaranya kelihatan agak berlebihan.

Selepas konvensyen berprofil tinggi itu, isu ideologi dilihat sudah tidak lagi akan menjadi isu dalam PR, seperti yang disaksikan di media hari ini.

Tetapi, dalam debat di media hari ini, Nik Abdul Aziz dengan terbuka menyelar kenyataan pemimpin DAP dan tidak kisah sekiranya DAP ingin keluar daripada PR.

Apapun di sebalik timbulnya isu hudud ini di media, PAS mampu memanfaatkannya untuk membina kembali imejnya yang terjejas akibat dilihat sesetengah pihak sebagai tunduk kepada DAP.

Kesan ini amat jelas untuk dibaca, disebabkan suasana menjelang pilihan raya kini. Oleh kerana itu, PAS juga tidak dapat mengelak daripada dilihat sebagai mengambil pendirian tegas itu sebagai satu pendirian untuk mendapat manfaat politik (political posturing).

DAP, malah MCA turut cuba mengambil manfaat daripada isu hudud dengan mengambil posisi keras menentangnya.

DAP walau bagaimanapun dijangka tidak mengambil sebarang tindakan drastik, ekoran manfaat yang lebih banyak diperolehi daripada kerjasama dengan PR sejak selepas pilihan raya 2008, tidak seperti dalam dua pakatan sebelum ini.

Hudud, isu yang dekat dengan penyokong tradisi PAS mampu untuk menarik kembali minat penyokongnya, serta undi Melayu Muslim yang memberi perhatian pada perjuangan Islam PAS yang hudud menjadi salah satu isu utamanya.

Kenyataan pemimpin PAS dalam isu ini, yang mendapat respons positif pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut boleh menjejaskan Umno, yang tidak dapat dielakkan daripada dilihat sebagai penghalang agenda melaksanakan hudud oleh kerajaan PAS Kelantan.

Umno di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri (dan Anwar sebagai timbalan perdana menteri) menolak usaha PAS melaksanakan hudud di Kelantan.

Pendirian Umno ini tidak berubah hingga ke hari ini, seperti dilihat melalui kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menegaskan Malaysia belum bersedia melaksanakan hudud walaupun pada masa sama menegaskan menyokong undang-undang ini dari segi prinsip.

Wednesday, September 21, 2011

Belanjawan 2012, peluang terakhir jamin undi BN

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008, pembangkang menjanjikan penurunan harga minyak serta-merta sekiranya berjaya menguasai Putrajaya.

Sejak itu, isu harga minyak yang menjejaskan Barisan Nasional ekoran keputusan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi perdana menteri pada masa itu terus menjadi isu kritikal melibatkan sokongan pengundi.

Harga minyak terus ditangani dengan retorik-retorik populis oleh kedua-dua pemerintah dan pembangkang, dengan kedua-dua pihak saling cuba mengatasi satu sama lain.

Tindakan dan janji parti-parti politik sentiasa ditunggu-tunggu dengan harapan dapat meringankan beban rakyat.

Harga minyak di pasaran global dijangka terus meningkat, begitu juga barangan lain. Sejauh mana sesebuah kerajaan mampu untuk menampung kos dalam memastikan harga minyak berada pada tahap yang rendah?

Perkembangan semasa politik dan ekonomi global yang semakin menyumbang kepada peningkatan kos menjadikan isu kepenggunaan seperti ini mendapat perhatian semua lapisan masyarakat.

Tidak dapat dielakkan lagi, belanjawan 2012 yang bakal dibentangkan nanti dijangka mengandungi habuan dan janji terakhir dan terbesar daripada pemerintah untuk keperluan sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Walau bagaimanapun, pendekatan kedua-dua pihak masih dikuasai elemen populis yang tidak menampakkan agenda pemulihan dan kawalan yang lebih berani, bukan sahaja dalam hal minyak dan tenaga tetapi juga melibatkan peningkatan kos semua daripada harga rumah hingga barangan harian.

Dalam banyak hal, kuasa kapitalis jelas lebih mampu untuk mempengaruhi pembuatan dasar berbanding suara rakyat, yang masih kurang diwakili dalam hal ini oleh kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang.

Untuk menangani hal ini dengan lebih berkesan, kedua-dua pemerintah dan pembangkang perlu lebih banyak mendengar dan menerima saranan kumpulan-kumpulan bukan kerajaan yang berautoriti dalam hal ini.

Kerajaan, termasuk kerajaan negeri dikuasai parti Pakatan Rakyat perlu lebih berani - termasuk menolak serta menahan desakan-desakan pelobi kapitalis - mengambil tindakan lebih berani dan konkrit untuk menangani peningkatan kos hidup rakyat.

Tuesday, September 20, 2011

Tawaran baharu Umno: Najib yang lebih cool!


Oleh HARIS ZALKAPLI

Sejak beberapa tahun lalu, politik Malaysia semakin menampakkan pertemuannya dan saling berkait dengan budaya popular, antaranya melalui poster, kartun dan pelbagai lukisan dalam pilihan raya dan kemunculan aktor budaya popular dalam arena politik.

Pilihan raya pada tahun 2008 yang lalu telah memunculkan artis seperti Siti Nurhaliza, Mawi, dan Camelia dalam kempen-kempen pilihan raya, ekoran kesedaran yang meningkat dalam kalangan parti-parti politik untuk menyampaikan mesej melalui medium yang lebih mudah diterima orang ramai.

Sejak beberapa tahun lalu juga, aktor-aktor budaya popular semakin sering digunakan oleh pemimpin-pemimpin parti-parti politik dalam pengurusan imej mereka.

Perkembangan ini semakin jelas dalam politik Malaysia, dan akan dapat diperhatikan lagi dalam kempen politik parti menjelang pilihan raya nanti, membuktikan perhatian dan sumber yang semakin banyak diberikan pada aspek budaya popular dalam politik.

Kebelakangan ini, penyertaan selebriti Bob Lokman dalam PAS dan pengacara terkenal Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot menunjukkan kecenderungan politik propembangkang menjadi isu panas di media tempatan.

Ukuran kepentingan isu itu ialah respons keras blog-blog pro-Umno terhadap sikap ditunjukkan kedua-dua selebriti itu, dan respons media pro-Umno yang cuba menunjukkan parti pemerintah itu turut menerima sokongan selebriti.

Kerajaan negeri PAS Kelantan, pada awal kemunculan Mawi telah memanfaatkan artis terkenal ini – yang sangat diminati sebilangan pemimpin PAS sendiri pada masa itu – untuk mendapatkan faedah politik, paling utama mendekatkan diri dengan anak muda dan menolak imej negatif yang dikaitkan dengan parti itu sejak sekian lama.

Hubungan PAS dengan dunia seni sebahagian besarnya hanya pulih ekoran satu usaha pemuda parti itu menggerakkan program melibatkan seni, termasuk sebuah konsert nasyid.

Hal ini mampu meningkat lagi menjelang pilihan raya akan datang. Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sebagai contoh telah berjaya memanfaatkan Facebook beliau untuk membina kelompok peminat daripada kalangan orang muda.

Najib kelihatan agak berjaya dalam menangani penglibatannya dalam Facebook dengan menjadikannya berita, walaupun pemimpin lain yang lebih popular telah lama terlibat dalam laman rangkaian sosial ini.

Najib juga kemudian muncul dalam sebuah rancangan radio popular, kemunculan yang dengan sendirinya menjadi berita disebabkan kejutan yang tercetus ekoran tindakan seorang perdana menteri muncul di stesen radio itu.

Dalam soal jawab dalam pertemuan dengan "rakan-rakannya," Najib berjaya menangani satu isu yang berpotensi menimbulkan rasa tidak selesa dengan tidak menunjukkan sokongan yang kuat kepada pasukan bola sepak Manchester United, tetapi menunjukkan juga minat terhadap pasukan-pasukan popular lain yang mempunyai ramai peminat dalam kalangan peminat bola sepak di Malaysia.

Hal ini penting kerana sokongan terlalu jelas kepada satu pasukan boleh menyebabkan terjejasnya sokongan sebahagian audiens. Ini kerana satu peraturan dalam budaya popular ialah, jelas sekali, populariti.

Kumpulan-kumpulan konservatif pernah terjejas akibat sikap yang bertentangan dengan sentimen popular, seperti Dan Quayle, tokoh Republikan di Amerika Syarikat yang mengkritik siri komedi televisyen Murphy Brown kerana isu moralnya dan PAS pra-Mawi di Malaysia yang sebelum ini lebih banyak meminggirkan ruang seni kerana implikasi moralnya.

Satu contoh bagaimana seorang politikus menarik perhatian ramai ialah menunjukkan minat terhadap sesuatu yang popular (artis, siri tv, filem) dalam budaya popular untuk berhubung dengan orang ramai.

Dia mungkin berkata meminati tiga artis daripada genre yang berbeza (seperti hip hop, rock dan pop) untuk mendapat manfaat daripada peminat-peminat artis tersebut daripada kalangan masing-masing.

Terbaharu, di negara kita, Najib dilaporkan sedang membina imej “cool” untuk menarik orang muda, usaha yang sebenarnya sudah lama dimulakan.

Imej cool terbukti telah memberi kesan sangat positif kepada ahli politik, seperti ditunjukkan Bill Clinton dengan muncul bermain saksofon di televisyen dan Tony Blair menunjukkan imej rock yang mesra orang muda.

Perkembangan ini memberi implikasi yang luas kepada proses politik, kerana potensinya memisahkan orang ramai daripada isu sebenar politik, dengan memudahkan isu-isu besar seperti ideologi, dasar dan sebagainya kepada sensasi dan spectacle.

Pembuatan keputusan oleh rakyat terbanyak boleh disandarkan semata-mata pada faktor popular, termasuk ciri yang disifatkan sebagai cool.

Sunday, September 18, 2011

Ubah bendera Malaysia: Manoharan bebal dan biadap


Kenyataan wakil rakyat DAP, Manoharan Malayalam menghina bendera Malaysia memperlihatkan satu kelemahan besar Pakatan Rakyat dalam menangani debat berhubung pembinaan negara.

Sehingga kini, selain usaha DAP menyelamatkan diri dengan menjarakkan diri daripada kenyataan Manoharan, tidak kelihatan satu sikap yang jelas daripada pemimpin-pemimpin parti PR.

Hal ini mendedahkan bagaimana politik kelompok yang sempit semakin menjadi satu ciri yang kukuh politik negara yang wacananya dikuasai pandangan hitam putih dua gabungan parti terbesar negara.

Pemimpin-pemimpin parti PR boleh menghabiskan masa dan tenaga yang banyak mengkritik, menyindir, malah menghina sebarang kenyataan atau tindakan pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang salah atau sekadar tidak sehaluan dengan mereka.

Dalam hal ini, pemimpin-pemimpin PR gagal melihat isu penghinaan oleh Manoharan itu sebagai satu isu yang menyentuh isu yang asas kepada sebuah negara, yang kepentingannya jauh mengatasi politik kepartian.

Walaupun dilapor sudah meminta maaf, ahli DAP yang aktif dalam pertubuhan rasis Hindraf itu telah mendedahkan satu sentimen yang memecah-belah, dan wajar menarik reaksi lebih tegas daripada partinya dan PR.

Ketiadaan kenyataan tegas PR dalam isu ini memberi implikasi gabungan pembangkang itu membenarkan, memaafkan atau mengambil mudah sebarang tindakan melampau sekiranya ditujukan kepada Umno dan pemerintah.

Manoharan memperlihatkan sikapnya yang bebal, kurang ajar dan juga rasis apabila mengaitkan bendera negara dengan BN, yang dikuasai oleh parti Melayu Umno, dan mengatakan bendera sedia ada tidak layak digunakan dan perlu ditukar.

Lebih buruk lagi, dia mengedarkan bendera parti politik untuk sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia, sebagai ganti kepada bendera Malaysia yang ditentangnya itu.

Dia turut mendakwa PR - melibatkan kesemua PAS, PKR dan DAP - akan menggantikan bendera sedia ada dengan bendera lain sekiranya berjaya memerintah Malaysia.

Perkembangan ini, yang bukan kali pertama wakil pembangkang menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia, turut mendedahkan satu risiko ekoran keahlian pengikut pelbagai fahaman ekstrem dalam parti-parti PR.

Sekiranya PR berjaya menguasai Putrajaya, elemen-elemen ini tidak akan dapat dielakkan daripada menjadi sebahagian kerajaan pusat, dan mempunyai lebih keupayaan untuk mempengaruhi haluan baharu negara nanti.

PR perlu dengan serius bertindak dan mengambil pelajaran daripada episod ini, menjadi peserta politik nasional yang lebih konstruktif dalam pembangunan bangsa dan bukan menjadi penyebar kebencian melalui politik murahan.

Sikap yang tegas dan jelas berhubung hal ini perlu ditunjukkan oleh PR. Sekiranya tidak, PR jelas belum lagi layak untuk memimpin negara ini.

Friday, September 16, 2011

Najib, Anwar dan makna 16 September

Satu persaingan utama dalam politik negara kini ialah antara Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin de facto PKR dan Pakatan Rakyat.

Hari ini, 16 September, 2011, Najib merakam sejarah terkini tarikh yang mencetus debat panas sejak 2008 ini dengan menjadikan satu tindakannya berita terbesar yang dikait dengan tarikh ini.

Najib kini mengatasi Anwar dalam meletakkan makna pada tarikh 16 September, dengan menjadikannya tarikh yang dikaitkan dengan pemansuhan undang-undang keselamatan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, atau ISA.

Najib juga mengatasi Anwar dengan menjadi perdana menteri yang memansuhkan ISA, sesuatu yang dilihat menjadi impian Anwar dan gabungan parti Pakatan Rakyat.

Sambutan Hari Malaysia tahun ini diraikan bersama satu tindakan berani Najib memansuhkan ISA yang menjadi bahan kempen pembangkang dan pelbagai kumpulan menyerang Umno dan Barisan Nasional.

Hari Malaysia yang kini menjadi satu tarikh yang diraikan tidak seperti sebelum ini juga tidak dapat dinafikan dicetuskan oleh Anwar, hasil daripada projek menawan Putrajaya pada 2008.

Tindakan itu mendorong pentadbiran Najib menjadikan tarikh 16 September sebagai tarikh yang dirakan di peringkat nasional, sebahagiannya juga untuk mengambil hati warga Sabah dan Sarawak yang menjadi peserta penting projek 16 September Anwar pada 2008.

Hari ini juga, ketika Najib menyambut Hari Malaysia di Semenanjung, PKR menumpukan tenaga kepada konvensyen PR di Sabah, negeri yang mempunyai signifikan tersendiri kepada projek 16 September Anwar dan kegiatan politiknya semasa dalam Umno lagi.

Pembangkang dan kumpulan bukan kerajaan anti-ISA walau bagaimanapun masih meneruskan kempen negatif terhadap pemerintah, menafikan kredit yang boleh diperolehi Najib.

Risiko yang diambil Najib dalam tindakannya ini bukan kecil, kerana mengundang rasa tidak puas hati kelompok lebih konservatif dalam Umno dan kumpulan bukan kerajaan yang menyokong kuat Umno.

Ini merupakan antara risiko utama yang perlu dihadapi Naji dalam usaha menyaingi imej liberal dan terbuka yang menjadi antara kekuatan utama Anwar dan pembangkang.

Tetapi, Najib dilihat berpotensi menarik sokongan kelas menengah yang menerima baik langkah itu, antara segmen masyarakat yang menjadi rebutan utama pemerintah dan pembangkang.

Pendekatan ini dijelaskan dalam pengajian politik sebagai teori pengundi median, iaitu kelompok pertengahan dalam spektrum antara ekstrem berhaluan kiri dengan ekstrem berhaluan kanan.

Menurut teori, strategi ini boleh memberi pulangan dengan bergerak ke tengah, menambahkan lagi sokongan dan mengambil penyokong pihak lawan.

Najib sebelum ini telah melaksanakan pelbagai pendekatan untuk kelihatan lebih liberal, tindakan yang berupaya membolehkan parti pemerintah merebut undi kelas menengah daripada PR.

Dalam pelbagai pendekatan sosial dan ekonomi, Najib sendiri telah memperlihatkan kecenderungan liberal dan neoliberal, sebagai usaha menyaingi apa yang menjadi kekuatan Anwar.

Pemansuhan ISA ini merupakan satu lagi tindakan Najib yang mencetuskan rasa tidak puas hati kelompok berhaluan kanan dalam Umno dan dalamm kalangan penyokong Umno.

Perkembangan persaingan ini semakin menarik untuk diperhatikan, dan melihat sejauh mana keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti terkesan oleh tindakan-tindakan tersebut.

Mansuh ISA bukti Najib tertekan hadapi PRU 13

Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Abdul Razak melaksanakan langkah mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dimansuhkan.

Dalam ucapan sempena Hari Malaysia yang ditunggu-tunggu itu, Najib mengumumkan rancangan pemansuhan ISA dan beberapa peraturan lain termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, peraturan yang ditentang hebat pengamal media negara ini, terutama yang cenderung pembangkang.

Ekoran pemansuhan ISA, undang-undang lain akan digubal bagi tujuan keselamatan, tindakan yang bakal mendapat perhatian wakil-wakil rakyat pembangkang yang dilihat masih berhati-hati dengan tindakan Najib ini.

Sesetengah pihak turut menimbulkan persoalan tentang satu lagi undang-undang yang mengekang, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, yang menjadi satu senjata utama pemerintah mengawal institusi pengajian tinggi.

Tindakan mengejutkan Najib ini menandakan tekanan hebat dihadapi pemerintah di bawah pimpinan beliau, yang mengalami suasana sukar ekoran kemenangan besar pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008.

Pemansuhan ISA dan beberapa undang-undang lain ini juga menunjukkan sejauh mana pentadbiran Najib bersedia untuk melaksanakan perubahan, dan memberi gambaran kesungguhan Najib untuk mengekalkan kuasa Umno dan gabungan parti pemerintah.

Langkah drastik Najib ini sedikit menjejaskan usaha politik pembangkang yang menjadikan ISA sebagai satu alasan utama menentang pemerintahan Umno dan Barisan Nasional, dan menjadi langkah populis terkini pentadbiran Najib menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Apapun analisis akhir isu ini, Najib telah mencatat sejarah sebagai perdana menteri yang memansuhkan ISA dan melaksanakan reformasi yang kritikal, walaupun kelihatan untuk memenuhi tuntutan politik semasa.

Najib kini telah mengurangkan satu isu besar untuk dijadikan bahan kempen menentang pemerintah, dan memaksa pembangkang mencari sudut lain dalam menangani isu ini.

Pembangkang gabungan Pakatan Rakyat mengadakan perhimpunan anti-ISA di ibu negara pada 2009, dan dilaporkan merancang mengadakan satu lagi program anti-ISA menjelang pilihan raya umum akan datang.

Tindakan Najib berhubung ISA ini walau bagaimanapun dijangka menerima respons negatif sesetengah pihak yang menyokong BN, termasuk pertubuhan yang sebelum ini lantang menunjukkan sokongan kepada undang-undang drakonian itu.

Perhatian selepas ini akan tertumpu pada belanjawan yang bakal memberi peluang sekali lagi kepada Najib untuk menaburkan janji dan habuan kepada rakyat bagi membina sokongan.

Sebelum ini, menjelang Hari Raya Aidilfitri, pentadbiran Najib mengumumkan ganjaran bonus dan habuan lain kepada kakitangan awam, selepas beberapa tahun tidak menerima sebarang bonus.

Thursday, September 15, 2011

Debat sejarah merdeka: Pemuda PAS gesa henti provokasi, bersihkan nama pejuang

Pemuda PAS hari ini menggesa kontroversi penulisan sejarah kemerdekaan negara ditangani dengan cara ilmiah untuk memberi keadilan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan, dan mengecam serangan provokasi Umno terhadap PAS.

Kenyataan Nasrudin Hassan, ketua Pemuda PAS itu merupakan kenyataan terbaharu daripada PAS yang dilihat cuba membawa debat yang telah berpanjangan ini ke arah yang lebih positif.

Menurutnya, Umno telah mempergunakan kenyataan Mohamad Sabu, timbalan presiden PAS untuk kepentingan politik dengan cara menyerang dan memprovokasi pemimpin PAS itu secara keterlaluan.

"Kenapa tidak isu ini ditangani dengan ilmiah dan debat yang positif untuk menilai ketulenan atau keabsahan sejarah negara?

"Kenapa perlu menanam kebencian, kemarahan serta dendam yang melampau dan keterlaluan?" soal Nasrudin.

Sejarah negara berkaitan perjuangan kemerdekaan, menurut Nasrudin, "perlu dinilai dan dikaji semula. Para pakar sejarah perlu melihat kembali dokumen sejarah yang dibukukan serta menemui saksi hidup yang masih ada untuk menulis semula sejarah yang merdeka dari kehendak penjajah dan juga bebas dari istilah yang diguna oleh penjajah."

Menurutnya lagi, nama ramai tokoh pejuang kemerdekaan perlu dibersihkan daripada label-label negatif yang diberikan oleh penjajah Inggeris ekoran penentangan mereka terhadap penjajahan kuasa Eropah itu.

"Nama baik pejuang kemerdekaan yang dicemarkan seperti Tuan Guru Haji Hassan Munas (Tok Janggut), Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Maulana Awang Noh, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Rosli Dhobi dan ramai lagi dengan gelaran pemberontak oleh British dan bonekanya mesti dibersih dan dimurnikan kembali."

Tuesday, September 13, 2011

Caj 6% prabayar, kerajaan berdrama lagi

Kerajaan Barisan Nasional sekali lagi dilihat berdrama apabila caj enam peratus cukai perkhidmatan telefon prabayar ditangguhkan selepas dihebohkan selama beberapa hari.

Akhbar utama pro-Umno, Utusan Malaysia menjadikan tajuk kejayaan penanguhan pelaksanaan caj itu di muka hadapan, dengan berita lanjut yang memberi gambaran positif kepada kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Umno dan penyokong termasuk beberapa kumpulan dan blog memperlihatkan penentangan terhadap rancangan itu sejak mula diumumkan minggu lalu.

Menteri dari parti pemerintah itu turut mempersoalkan caj itu secara terbuka sejurus cadangan itu diumumkan.

Utusan Malaysia juga meletakkan tajuk Bantah Caj 6% Prabayar di muka hadapan pada keluaran 9 September lalu, memberi gambaran pendirian Umno dan kerajaan.

Kerajaan sebelum ini dilihat berdrama apabila bertindak menangguh kenaikan harga petrol RON 95 dengan meneruskan subsidi, selepas isu itu menjadi hangat di media selama beberapa hari.

Tindakan mengenakan caj enam peratus itu jelas satu beban yang besar kepada pengguna utamanya yang merupakan pelajar dan golongan berpendapatan rendah, menimbulkan risiko kemerosotan sokongan dalam pilihan raya umum akan datang.

Kos hidup melibatkan pelbagai barangan dan perkhidmatan kini meningkat dan kerajaan telah pun membenarkan kenaikan tarif tenaga elektrik beberapa bulan lalu.

Pembangkang walau bagaimanapun terus melahirkan rasa tidak puas hati dengan cukai perkhidmatan yang dikenakan, walaupun menyambut baik penangguhan itu.

Pemuda PAS dalam satu kenyataan hari ini mendesak cukai itu dihapuskan dan menggesa kerajaan memikirkan mekanisme cukai yang lebih berkesan terhadap penyedia perkhidmatan dan pengguna.

Menurut Pemuda PAS, sistem cukai seperti dilaksanakan kini memberi kesan negatif paling utama kepada golongan berpendapatan rendah, pengguna utama perkhidmatan prabayar.

Ketuanya, Nasrudin Hassan dalam kenyataan itu turut menggesa cukai perkhidmatan yang dinilai tidak adil itu dimansuhkan dalam bajet 2012 yang akan dibentangkan bulan depan.

Friday, September 9, 2011

PAS perlu angkat peranan gerakan Islam perjuang merdeka

PAS kini terlibat dengan mendalam sekali dalam perdebatan melibatkan sejarah kemerdekaan negara, ekoran kenyataan Mohamad Sabu mengaitkan sekumpulan anggota militan komunis sebagai “hero” perjuangan kemerdekaan.

Persepsi yang dibawa dan dieksploit oleh parti pemerintah Umno dan penyokongnya ialah sokongan PAS untuk komunis di negara kita, yang didokong oleh China pada masa itu.

Mohamad, timbalan presiden PAS ditimpa masalah besar ekoran kenyataannya, termasuk mencederakan perasaan sejumlah orang Melayu sehingga mencetuskan reaksi negatif terhadap PAS.

Laporan-laporan polis dibuat ekoran kenyataan Mohamad itu, yang kemudian ditegaskan lagi melalui pelbagai kenyataan defensif beliau dan pemimpin PAS lain.

Tidak dapat dinafikan, Mohamad dan PAS mempunyai satu poin penting dalam wacana penilaian semula sejarah ini, kerana menafikan peranan Umno dan sekutu semata-mata dalam perjuangan kemerdekaan, walaupun sikap Mohamad dalam hal ini boleh dipersoalkan.

PAS sejak lama dulu telah konsisten membawa isu-isu terpinggir dalam sejarah negara yang dibawa oleh pemerintah Umno dan Barisan Nasional.

Sebagai penerus perjuangan gerakan Islam terdahulu termasuk Hizbul Muslimin, PAS sering menimbulkan persoalan peranan gerakan Islam terbabit, yang diberi pelbagai tanggapan negatif oleh pemerintah dan Inggeris, seperti menyifatkannya sebagai “bahaya dari gunung.”

PAS juga sering menimbulkan isu pengharaman penjajah Inggeris terhadap parti-parti selain parti-parti yang akhirnya mewakili rundingan kemerdekaan dan memperolehi kemerdekaan lalu membentuk kerajaan.

Ramai tokoh kemerdekaan yang terlibat dalam penentangan terhadap Inggeris tidak diangkat sebagai pejuang kemerdekaan dalam naratif dikuasai pemerintah.

Satu usaha konkrit daripada PAS dalam mewacanakan isu peranan tokoh gerakan Islam dalam perjuangan kemerdekaan ialah buku Ulama’ Dalam Sorotan Perjuangan Kemerdekaan, tulisan aktivis pemuda dan pengkaji Riduan Mohamad Nor dan Mohd Fadli Ghani, terbitan MHI Publication, 2007.

Sebetulnya, isu yang dikemukakan dalam buku ini lebih layak mengambil masa dan tenaga PAS dalam mewacanakan perjuangan kemerdekaan, berbanding komunis dan simpatisan mereka yang mewakili kepentingan kuasa luar.

Kesukaran terbesar dihadapi PAS dalam wacana kemerdekaan tanah air kini melibatkan kumpulan daripada ideologi lain yang berbeza malah bertentangan dengan ideologi PAS sendiri.

Semangat perjuangan kemerdekaan digerakkan oleh banyak kumpulan termasuk ulama dan gerakan Islam, yang kesedaran itu bersumberkan ajaran agama Islam.

Berbanding perjuangan kemerdekaan kumpulan lain seperti komunis, perjuangan kemerdekaan kumpulan Islam tidak dikuasai oleh sebarang agenda asing.

Perjuangan kemerdekaan sememangnya satu perjuangan yang kompleks, melibatkan aliansi sementara dengan kumpulan tertentu dan pelbagai strategi.

Tokoh yang pernah memimpin PAS sendiri, Dr Burhanuddin Helmi juga pernah terlibat dalam pentadbiran tentera Jepun, seperti yang turut dijelaskan oleh buku di atas.

Penglibatan ini tidak boleh terus disimpulkan sebagai pengkhianatan kerana Burhanuddin tetap berperanan penting dalam menggerakkan kesedaran dan menahan tindakan-tindakan Jepun seperti cuba menghapuskan amalan solat fardhu (dalam bab Dr Burhanuddin dan Ulama Zaman Jepun, halaman 137.)

PAS wajar mengambil kesempatan perhatian meluas terhadap sejarah pada masa ini untuk mengangkat perjuangan Islam yang diwarisi oleh parti Islam itu, isu yang masih jauh dari pemerhatian ramai.

Peranan Islam dalam perjuangan kemerdekaan perlu menjadi fokus utama PAS dalam usaha menulis semula sejarah kemerdekaan tanah air.

Thursday, September 8, 2011

'Tidak merdeka kalau komunis menang'

Oleh ABI QALAM

Disebabkan kepentingan politik, komunis pun PAS sanggup dakwa sebagai pejuang kemerdekaan. Ini satu kenyataan bodoh.

Fikirlah habis-habis sebelum bercakap. Memang orang Melayu dahulu dahagakan kemerdekaan yang terlibat dengan API, PKMM dan gerakan kiri menyumbang ke arah kemerdekaan.

Cuma kaedah yang mengambil semangat Melayu Raya dari Indonesia tidak diterima secara menyeluruh oleh rang Melayu dan raja-raja Melayu.. Maknanya ideologi keras mereka tidak sesuai diguna pakai oleh majoriti.

Berlainan dengan perjuangan Datuk Onn Jaafar dan Umno yang lebih cerdik dan diterima oleh umum baik dari pihak rakyat, raja-raja dan Inggeris sendiri. Mohamad Sabu dan PAS ingat walaupun mereka bekerja dengan Inggeris mereka tak ada akal fikiran? Ingat mereka jadi tunggul? Habis satu Malaya jadi tunggullah kalau begitu, dan anda sahaja jadi her?

Jika ditakdirkan golongan kiri yang mendapat kekuatan dan kita berjaya menuntut kemerdekaan daripada Inggeris dengan jalan darah, rasanya kita ini akan jadi sebahagian daripada Indonesia Raya.

Kemudian, apabila Umno mendapat mandat daripada rakyat dan raja, puak-puak Melayu berhaluan kiri terpaksa pula bergabung dengan komunis, kerana hanya komunis sahaja yang boleh menerima dan bertolak ansur dengan ideologi mereka yang lebih nasionalis, liberal dan antifeudal seperti Indonesia.

Maksudnya, niat puak-puak berhaluan kiri ialah mendirikan negara yang tidak mementingkan kedudukan Islam, raja-raja dan keistimewaan orang melayu.

Ini adalah secocok dengan niat Partai Komunis Malaya yang ingin mendirikan negara dengan mengambil contoh dari negara Marxis China. Padahal PKM hanya mengambil kesempatan atas perjuangan tokoh-tokoh kiri seperti Mat Indera, Abdullah CD dan lain-lain demi propaganda politik mereka.

Tokoh-tokoh kiri Melayu hanya tertipu dengan permainan politik PKM seperti PAS tertipu dengan DAP sekarang.

Sila telusuri peristiwa Bukit Kepong dengan saksama. Mat Indera dan rakan-rakan Melayu yang bersama dengan 180 anggota Cina komunis menyerang balai pasong yang dipertahankan oleh 18 anggota polis Melayu.

Mula-mulanya Mat Indera hanya mengarahkan menangkap polis-polis yang mabuk sempena Tahun Baru Cina dan bertujuan untuk memalukan Inggeris sahaja. Tetapi kerana keghairahan celaka komunis Cina, 23 orang terkorban..

Bukan setakat anggota polis, isteri dan anak mereka pun dibunuh! Tak cukup dibunuh, Cina komunis bakar mayat-mayat anggota polis, isteri dan anak-anak mereka. Mana keberanian Mat Indera pada masa itu?

Orang Melayu mana tahan melihat orang Melayu lain diperlakukan demikian? Orang Islam mana yang dapat sabar lihat mayat-mayat saudara mereka dijulang jadi piala, disepak, dikencing, diludah dan dibakar sampai rentung?

Mungkin pada hari itu baru Mat Indera sedar yang dia hanya dipermainkan komunis! Tapi nasi sudah jadi bubur..

Bukan kita tak faham yang pembangkang sengaja hendak menaikkan pejuang-pejuang kemerdekaan berhaluan kiri dengan tujuan untuk discredit peranan Umno dalam kemerdekaan negara kita semata-mata untuk mileage politik.

Tapi sedarlah hakikat, jika pejuang-pejuang kiri yang memerdekakan negara kita, hanya dua kemungkinan sahaja yang akan berlaku; 1. Kita adalah sebahagian dari Indonesia Raya, dan 2. Kita akan menjadi negara komunis berpaksikan China.

Dan kedua-duanya menafikan kemerdekaan mutlak seperti yang telah kita nikmati 54 tahun ini!

Abi Qalam ialah pembaca SiasahDaily. Tulisan disiarkan tidak semestinya mewakili pandangan SiasahDaily.

Saturday, September 3, 2011

Implikasi besar isu ganti Azizan

Isu melibatkan dakwaan PAS berhasrat menggantikan menteri besar Kedah menjadi berita hangat dalam politik Malaysia pada masa ini, ketika semua pihak sedang membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telahpun menafikan kewujudan perancangan menggantikan Azizan itu, selepas satu tempoh yang cukup panjang untuk pelbagai spekulasi tersebar.

Datuk Seri Azizan Abdul Razak dikatakan cuba diganti oleh kepimpinan PAS ekoran kesihatannya, sebab yang ditolak oleh Azizan yang mendakwa dirinya kini sihat dan mampu menjalankan tugas selepas menghadapi serangan jantung.

Azizan walau bagaimanapun dilapor berkata bersedia berundur sekiranya diarahkan oleh parti, pendirian yang selari dengan amalan penguasaan parti ke atas kerajaan negeri ditadbir PAS.

Sekiranya laporan hasrat PAS itu benar, isu kesihatan Azizan wajar menjadi satu faktor disebabkan isu berkaitan kemampuan wakil parti menjalankan tugas besar mentadbir negeri merupakan hal yang penting.

Malah, hal kesihatan dan kemampuan melaksanakan tugas perlu lebih ditekankan sejak pemilihan calon untuk bertanding dalam pilihan raya, untuk mengelakkan kerumitan pada masa depan.

Tetapi isu kesihatan hanya satu isu dalam konteks mempertahankan Kedah di bawah penguasaan PAS selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, yang dilihat sesetengah pihak sebagai memerlukan pemimpin lain yang dianggap lebih memenuhi keperluan semasa.

Walau bagaimanapun, masa isu ini timbul memberi persepsi negatif berhubung beberapa hal, sekiranya perancangan ini bersumber daripada parti.

Musuh parti seperti Umno mudah mengaitkan usaha ini sebagai satu tindakan yang didorong tekanan pihak tertentu ekoran hasrat menghadkan operasi pusat hiburan pada Ramadhan lalu dan beberapa isu lain yang mempunyai elemen kaum dan agama.

Dakwaan PAS mengubah kepimpinan negeri untuk memuaskan hati rakan Pakatan Rakyat sebelum ini tercetus selepas pelantikan kepimpinan baharu di Selangor, negeri yang PAS menjadi sebahagian kerajaan.

Kes lain seperti pertembungan kerajaan negeri dengan sebuah institusi pengajian tinggi, sehingga mencetuskan debat hangat melibatkan presiden PAS sendiri pula boleh menimbulkan tanda tanya sama ada pergeseran dalaman parti mendorong usaha menggantikan Azizan sebagai menteri besar.

Implikasi besar yang lain melibatkan menteri besar PAS di Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut mempunyai isu berhubung kesihatan dan kemampuan memenuhi tuntutan tugas sebagai menteri besar.

Secara tidak langsung, isu kesihatan dan kemampuan menjalankan tugas oleh Azizan melibatkan sekali Nik Abdul Aziz yang bukan sahaja dipertikaikan kesihatannya oleh sesetengah pihak tetapi juga telah memegang jawatan menteri besar melebihi 20 tahun.

Persoalan tentang kesihatan Azizan telah membawa isu kemampuan bertugas ke depan, dan tidak dapat dielakkan daripada kriteria ini menjadi satu ukuran wakil-wakil rakyat PAS keseluruhannya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...