Thursday, December 23, 2010

Konvensyen PR: Apa yang dicapai, dan apa yang terlepas

Konvensyen Pakatan Rakyat hujung minggu lalu telah berjaya mempersembahkan gabungan itu sebagai pesaing paling jelas kepada Barisan Nasional dan paling mampu menggantikan BN sebagai kerajaan pusat.

Buku jingga Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia yang diedarkan menyenaraikan program PR untuk dinilai, menegaskan persediaan PR untuk melaksanakan tugas sebagai pemerintah dengan lebih berkesan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan perasmian telah menggariskan usaha kerjasama yang realistik dan cadangan praktikal meletakkan calon-calon yang bersih.

Kepentingan usaha itu dapat dilihat berdasarkan cabaran daripada kumpulan-kumpulan yang dianggap kuasa ketiga dalam politik Malaysia seperti Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) dan kumpulan seperti Hindraf.

MCLM dalam satu kenyataannya menegaskan pencalonan calon bersih, dan pada masa sama mahu bertanding di bawah tiket PR.

Berdasarkan perkembangan ini, PR dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti perlu menyenaraikan calon-calon terbaik, yang sekiranya diletakkan bersebelahan calon-calon lain akan jelas kelebihan mereka, sekiranya PR tidak mahu kerusi mereka disaingi juga oleh pihak lain.

Buku jingga yang dikemukakan mungkin satu kelebihan, kerana berbanding kumpulan lain, PR telah memperincikan progam dengan jelas dan secara kolektif sebagai sebuah pakatan pilihan raya.

Satu perkembangan menarik ialah parti-parti PR, terutama PAS dan DAP telah menunjukkan kompromi dalam hal ideologi, melibatkan isu negara Islam.

Ini walau bagaimanapun tidak boleh dilihat sebagai satu kemuncak kerjasama parti-parti PR melainkan satu proses yang masih berjalan dan dirundingkan. Tawar-menawar dalam hal ini masih berjalan dan boleh berubah secara dramatik pada bila-bila masa.

PAS sama sekali tidak boleh membaca dengan berlebihan kenyataan Karpal Singh itu dan menganggap debat isu tersebut sebagai sudah selesai dan DAP menerima ide negara Islam PAS.

Apa yang berlaku hanya satu kompromi, dan menunjukkan PR ialah satu usaha sama parti-parti pembangkang dalam hal yang dipersetujui sahaja.

Ungkapan popular Putrajaya masih kedengaran, walaupun tidak sekerap sebelum ini. Dalam hal ini, kesepakatan dan program yang lebih terperinci yang dipersembahkan mungkin lebih mendalam dan berkesan serta menjanjikan berbanding ungkapan Putrajaya yang sudah terlalu banyak digunakan.

Ucapan-ucapan pemimpin, termasuk oleh Lim Guan Eng dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan lebih kepada untuk menarik sorakan dan membina sentimen feel good tanpa menjelaskan sebarang isu baharu.

Lim mempromosikan lagi kerajaannya sebagai mengutamakan Melayu dengan mengemukakan satu daripada banyak data yang ada, yakni penganugerahan kontrak kerajaan. Isu-isu seperti tapak perniagaan di kawasan percutian, penggunaan bahasa Melayu dan banyak lagi isu kerajaan tempatan tidak disentuh.

Anwar pula menarik khalayak dengan isu Apco dan Israel, menumpukan perhatian terus kepada Umno dan Apco tanpa menjawab laporan kenyataan pemimpin Singapura Lee Kuan Yew mengenai dakwaan liwat terhadapnya.

Persembahan dramatik Anwar telah mengalihkan tumpuan konvensyen kepada Apco dan Umno.

Ucapan Karpal pada akhir konvensyen menjadi satu lagi ucapan menarik sorakan hadirin, dengan serangan peribadi terhadap bekas-bekas ahli PKR dengan kasar dan tidak bersopan, termasuk menggunakan perkataan "celaka."

Apa yang ingin disampaikan boleh dijelaskan dengan lebih berkesan tanpa sebarang usaha mensensasikan isu tersebut oleh Karpal.

DAP boleh dianggap sebagai pihak yang mendapat manfaat terbesar daripada konvensyen yang diadakan di negeri di bawah pentadbirannya itu.

Ketua Menteri Lim telah mengambil kesempatan memberikan sumbangan kepada rakyat negeri itu pada waktu rehat, selepas menyenaraikan kebaikan-kebaikan kerajaan negeri pada ucapan awal.

Ucapan presiden PAS mungkin yang paling tidak mendapat perhatian, kerana nada serius dan bersifat introspektif terhadap pakatan pembangkang itu, ketika sebahagian besar ahli dan penyokong PR masih menagih retorik-retorik, termasuk pujian-pujian dan kecaman terhadap musuh.

Budaya politik PR masih memerlukan penambahbaikan yang menyeluruh supaya tidak hanya mengulang dan meneruskan apa yang disaksikan selama ini.

PR tidak lagi boleh hanya menggunakan hujah ia lebih baik berbanding BN dalam semua perkara.

PR masih memerlukan maklum balas daripada rakyat berhubung buku jingga yang dikemukakan itu, kerana agenda tersebut bukan satu kitab suci yang perlu diterima semua rakyat Malaysia.

Tambahan pula, banyak perkara di dalamnya yang perlu diperincikan lagi dan ditegaskan, supaya tidak wujud tafsiran yang pelbagai.

Satu contoh ialah isu tempat ibadat yang sesuai untuk semua agama. Hal ini akan terdedah kepada pertikaian seperti yang telah berlaku di Shah Alam, Selangor.

Begitu juga dengan isu perumahan dan "satu keluarga, satu rumah." Berdasarkan penerusan sistem ekonomi neoliberal yang diterima oleh parti-parti PR, sukar untuk dijangka apa yang telah berlaku selama ini dikawal atau dihentikan di bawah kerajaan PR, kerana kuasa pendesak golongan kapitalis yang sering lebih berjaya berbanding rakyat biasa.

Isu ini melibatkan satu dasar yang sangat besar. Masa akan menentukan sama ada kerajaan PR benar-benar serius dengan janji ini.

Rakyat masih perlu menuntut janji sejak 2008 ditunaikan oleh PR. Agenda dalam buku jingga yang dilancarkan itu masih perlu kepada penambahbaikan, untuk benar-benar menjadikan agenda PR sekiranya berjaya memerintah negara akan memulihkan sistem sedia ada dan bukan hanya menukar pemain lain.

Dan yang lebih menuntut keikhlasan PR ialah usaha mencapai agenda-agenda tersebut walaupun tidak berjaya membentuk kerajaan pusat pada pilihan raya akan datang.

5 comments:

dankuala.com said...

PR MEMANG BERJAYA MENYENARAI SEGALA JANJI MANIS UNTUK MENGABURI MATA RAKYAT. TAPI RAKYAT TETAP JUGA MENUNGGU JANJI PR SEWAKTU PRU 12. HAMPIR SEMUANYA TIDAK DIPENUHI. YANG ADA ADALAH ALASAN.

PERSOALANNYA KENAPA PAS SAHAJA YANG GHAIRAH MEWAR WARKAN JANJI INI. DAP LANGSUNG TIDAK BERSUARA.

ALahaI sI LunCAi said...

SESIAPA YANG BERJANJI DAN MEMUNGKIRI JANJINYA ADALAH MUNAFIQ TULEN.

USAHLAH BERJANJI KERANA JANJI PRU 12 PUN TAK TERTUNAI.

AKU YAKIN JANJI DIBUAT DENGAN NIAT UNTUK MENDAPAT UNDI. MAKNANYA PR TELAH CENDERUNG UNTUK TERLIBAT DALAM PERBUATAN RASUAH.

INGATLAH HIDUP INI SEMENTARA JE. KITA AKAN DIADILI DI HADAPAN TUHAN

Anonymous said...

KALAU NAK DI IKUTKAN UMNO-BN LAGILAH HERO DALAM JANJI MENJANJI INI.PR BELUM LAGI MEMERINTAH NEGARA TAPI ADA KEBAIKKAN YG MEREKA LAKUKAN CUBA BAYANGKAN KALAU DAPAT MEMERINTAH NEGARA SESUNGGUHNYA MEREKA AKAN MENTAKBIR NEGARA LABIH BAIK DARI UMNO-BN YG SUDAH 53 THN MEMERINTAH.RAKYAT HANCUR,UGAMA PUNAH RANAP YG KAYA RAYA PEMIMPIN UMNO-BN AND KRONI2. INI SUDAH TERBUKTI.... JGN NAK BERDOLAK DALIH LAGI... UMNO-BN SEMEMANGNYA PENIPU,PEMBOHONG,PENYAMUN,PENYANGAK,PEROGOL DAN BANYAK LAGI KALAU NAK DI SEBUT ANDA LIHATLAH SENDIRI...

pokku said...

Di bawah kerajaan yang ada sekarang ni rakyat semakin tertekan kerana kos sara hidup semakin tinggi.Barang naik, minyak naik, saman polis naik semuanya naik. Sebelum ni saya undi BN, insyaallah bila PR 13 nanti kita cuba yang baru.Kita harus berhijrah untuk mengubah keadaan.

Anonymous said...

Aku nak tengok apa yang akan terjadi di Malaysia selepas PRU13.Sekiranya PR membentuk kerajaan adakah Islam akan terus menjadi agama rasmi Malaysia??

Lupakah kalian peristiwa 13Mei???Apa Cina telah buat pada Melayu bila menang??halau Melayu???

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...