Pakatan Rakyat akan mengadakan konvensyen kedua pada 19 Disember ini, di tengah-tengah suasana yang sangat mencabar bagi gabungan parti pembangkang ini.
Selepas kegembiraan ekoran Mac 2008, kegagalan projek 16 September Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan 13 pilihan raya kecil, konvensyen kali ini jauh sekali daripada konvensyen di Shah Alam pada tahun lalu.
Konvensyen pertama masih penuh dengan harapan, cita-cita besar dan semangat pakatan baharu yang berdepan Umno dan Barisan Nasional yang agak lemah dan berpecah-belah.
Dalam konvensyen pertama, yang berlangsung ketika cabaran menuju Pilihan Raya Umum ke-13 masih jauh, pelbagai janji dan harapan diberikan, janji dan harapan yang perlu ditunaikan dalam konvensyen kedua nanti.
Konvensyen Ahad nanti bakal berjalan dalam suasana ahli-ahli berada dalam keadaan battle weary, selepas cabaran sebenar realpolitik, politik aliansi dan pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri menghambat parti-parti komponen.
Beberapa pilihan raya kecil terakhir menyaksikan peningkatan prestasi Umno dan BN dan gabungan parti pemerintah itu mula mendapat suntikan semangat baharu kebelakangan ini, dan telah membuka keahlian yang dijangka akan meningkatkan undi BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Pada masa sama, parti-parti PR berdepan pelbagai cabaran, terbaharu pergeseran dalaman pemilihan parti Parti Keadilan Rakyat dan DAP.
Pendaftaran PR sebagai sebuah entiti seperti BN, yang mencetuskan isu seperti lambang bersama dalam pilihan raya dan sebagainya tidak memberi kelebihan kepada PR, malah mungkin menjadi isu yang akan menjadi sasaran BN untuk dieksploit.
Isu ideologi masih menjadi isu sensitif yang mampu menjejaskan eksperimen terbaharu parti-parti pembangkang ini, selepas Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif berpecah akibat perdebatan isu ideologi.
Konvensyen ini dijangka menjadi pertemuan besar terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang, menjadikannya medan untuk menunjukkan wajah bersatu dan bersefahaman kepada rakyat, dan paling utama, untuk meyakinkan diri sendiri.
PR kini berdepan cabaran paling getir sejak penubuhannya, iaitu menyelesaikan banyak agenda sekaligus dalam satu pertemuan, untuk menyampaikan mesej positif kepada rakyat.
2 comments:
Peserta pulang ' kosong '.Konvensyen sama seperti ceramah pakatan. Sarat retorik dan penyatuan palsu.
Aku jangka inilah konvesyen Pakatan. Selepas ini Pakatan akan berpecah dan memjadi umpama buih di lautan luas.
Konvensyen Pakatan kedua laksana pertemuan penipu dengan pembohong. DAP, PKR dan PAS saling alat memperalat antara satu sama lain.
Percayalah tidak akan ada Konvensyen Pakatan 3 kerana Pakatan sedang menuju kehancuran.
Post a Comment