Showing posts with label Keselamatan. Show all posts
Showing posts with label Keselamatan. Show all posts

Tuesday, December 23, 2014

Kenapa Mesir mahu tangkap Qaradawi?

Oleh HARIS ZALKAPLI

Di dunia Arab, tiga negara kini berada di barisan paling hadapan dalam kempen menentang kebangkitan Ikhwan al-Muslimin; Arab Saudi, Mesir, dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), yang mendapat sokongan rejim-rejim Arab lain.

Di satu pihak lain, Qatar dan Turki menjadi penyokong kuat Ikhwan, dengan Qatar menjadi pendana dan pelindung politik utama kepada Ikhwan di seluruh dunia Arab. Turki di bawah Recep Tayyip Erdogan dan Ahmet Davutoglu turut menjadi sekutu rapat Ikhwan. Hamas berada dalam kem yang sama dengan Ikhwan al-Muslimin, dan pada dasarnya boleh dianggap sebagai sebahagian Ikhwan, walaupun pecahan dalam agak lebih kompleks.

Satu pihak lagi ialah Iran dan Syria, dan sekutu-sekutu bukan negara mereka seperti Hizbullah, Hamas, dan Jihad Islami. Kumpulan ini dimusuhi oleh kedua-dua kumpulan di atas kerana pelbagai isu terutama melibatkan penguasaan di dunia Arab.

Perkembangan yang berlaku di dunia Arab pada masa ini, yang ada kalanya tidak dikaitkan dengan kebangkitan Arab yang bermula pada 2011 seperti pergolakan terkini di Yaman dan tekanan ke atas Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi berkait langsung dengan kempen anti-Ikhwan dan anti-Qatar oleh kuasa-kuasa lama Arab.

Mesir yang dikuasai Ikhwan, yang disokong Qatar telah ditamatkan riwayatnya dengan kejatuhan Presiden Mohamed Morsi. Kuasa baharu di sana kini disokong oleh Arab Saudi dan sekutunya di Teluk, Emiriyah dan Kuwait.

Sejurus selepas Morsi dijatuhkan, Arab Saudi, Emiriyah dan Kuwait segera menjanjikan bantuan sebanyak AS$12 bilion, sebagai usaha mengatasi pengaruh Qatar dan menarik Mesir ke pihak mereka.

Ini bermakna, tindakan Mesir terhadap al-Qaradawi dan Ikhwan ini berkait langsung dengan kepentingan bersama Saudi, Emiriyah dan Kuwait yang kini menjadi pendukung Mesir.

Dalam usaha mengekang kebangkitan Qatar dan Ikhwan, pakatan Saudi, Mesir dan Emiriyah meningkatkan tekanan ke atas Qatar yang kini diperintah oleh emir baharu yang jauh kurang pengaruhnya berbanding emir sebelumnya.

Qatar menjadi sasaran penting kerana sebagai pendana dan pendukung Ikhwan, Qatar yang lemah akan bermakna Ikhwan di seluruh dunia Arab akan kehilangan penaung dan turut menjadi semakin lemah.

Qatar mempunyai dua aset penting sebagai instrumen dasar luarnya yang digunakan untuk mengukuhkan pengaruh, sambil membina orde baharu Ikhwan di dunia Arab, yakni stesen televisyen al-Jazeera dan ilmuan al-Qaradawi. Tindakan ke atas al-Qaradawi mampu melemahkan Qatar yang bergantung kepada ilmuan ternama ini untuk keabsahan dan prestij dalam dunia Islam.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Qatar semakin tidak disenangi negara-negara Arab lain kerana dasar luarnya itu, tetapi tindakan terhadapnya hanya dapat dilakukan dengan lebih kuat selepas emir lama turun takhta dan pakatan baharu dikukuhkan antara negara-negara Arab anti-Ikhwan.

Antara rungutan utama Emiriyah ialah al-Qaradawi yang lantang bersuara menyokong Ikhwan di negara jiran Qatar itu, selain menunjukkan sokongan kepada Ikhwan di Mesir, negara asalnya yang kini dikuasai oleh kem anti-Ikhwan.

Al-Qaradawi telah menunjukkan sokongan terhadap dasar luar Qatar dan Ikhwan serantau. Beliau memberi sokongan kepada Ikhwan di Emiriyah, Mesir dan menyatakan sokongan jelas kepada Erdogan semasa menjadi perdana menteri Turki dalam kes protes di Gezi, yang disifatkan Qaradawi sebagai satu "plot antarabangsa" untuk menjatuhkan Erdogan.

Tindakan memanggil pulang duta dari Qatar diketuai oleh Saudi beberapa bulan lalu memulakan satu tindakan bersepadu terhadap negara pangkalan Ikhwan itu. Tindakan protes itu didorong oleh isu utama dasar luar Doha yang menyokong Ikhwan, dengan al-Qaradawi menjadi satu senjata pentingnya.

Selepas itu, dapat diperhatikan yang Qatar mula menunjukkan perubahan sikap, walaupun sedikit, dalam mengimbangi hubungannya dengan Ikhwan dan negara-negara jiran yang bersama dalam pertubuhan serantau Majlis Kerjasama Teluk, GCC.

Terkini, Qatar menunjukkan pemulihan hubungan dengan Mesir yang diperintah oleh Presiden Abdel Fatah al-Sisi, yang mengetuai usaha menjatuhkan Morsi pada Julai tahun lalu.

Ini didorong oleh tekanan oleh pakatan anti-Qatar dan anti-Ikhwan yang semakin kuat dan bertekad untuk menamatkan gelombang kebangkitan Ikhwan al-Muslimin di dunia Arab. Kempen inilah juga yang mendorong tindakan diambil ke atas ilmuan al-Qaradawi, dan Interpol kemudian mengeluarkan notis tangkapan beliau.

Tindakan ke atas al-Qaradawi ini menunjukkan yang pengaruh Qatar dalam politik serantau semakin lemah pada masa ini, dan negara-negara kuasa lama Arab sedang meningkatkan kembali penguasaan.

Hal ini juga sedang menyukarkan lagi politik dunia Islam akibat perpecahan dalaman dan persaingan kuasa yang sengit, menambahkan lagi realiti kompleks dalam era kebangkitan pada masa ini. - Disember 19, 2014

Sunday, November 9, 2014

Tentera laut Asean mula tumpu pasukan amfibia

Oleh KOH SWEE LEAN COLLIN

Tentera laut Asia Tenggara sentiasa berusaha membina kemampuan yang seimbang, akibat daripada geografi maritim dan pelbagai cabaran keselamatan dalaman.

Ini bukan sahaja mencerminkan keperluan setiap negara yang berbeza tetapi juga keadaan ekonomi yang berbeza yang menuntut prioriti ditetapkan.

Dalam hal ini, pasukan amfibia yang sering dilihat sebagai kurang menarik, sentiasa tidak diutamakan berbanding aset-aset berkeupayaan tinggi seperti kapal dan kapal selam bersenjata peluru berpandu.

Sejak sedekad lalu, hal ini mula berubah.

Enam daripada sembilan anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) kini memiliki pasukan darat amfibia seperti Kor Marin Amerika Syarikat atau Infantri Tentera Laut Rusia.

Ini semua bukan kebetulan kerana mengurus pasukan yang berbeza dengan tentera darat ini bukan murah. Tambahan pula, kapal amfibia yang diperlukan untuk memberi keupayaan mobiliti pasukan ini juga mahal walaupun sistemnya kurang kompleks berbanding aset bersenjata.

Pada awal 1990-an, Indonesia membeli 12 buah kapal pendaratan kelas Frosch dari Jerman dengan harga murah. Ini mendorong Malaysia membeli KD Sri Inderapura, kapal 8,450 tan terpakai dari Tentera Laut Amerika Syarikat. Dilengkapi dengan dok pelantar pendaratan (LPD) besar untuk membawa kapal dan kenderaan tempur kecil dan pelantar untuk dua atau lebih helikopter saiz sederhana.

Kemudian Singapura menggantikan kapal pendaratan lamanya dengan empat buah LPD buatan tempatan seberat 8,500 tan pada hujung 1990-an. Perolehan ini semua ialah petanda penting kerana kebanyakan kapal amfibia Asia Tenggara ialah kapal era Soviet dan Perang Dunia ke-2 yang dipersoalkan kemampuan untuk beroperasi.

Walau bagaimanapun, kemampuan amfibia Asean masih terhad dan tidak mampu memberi bantuan kemanusiaan ekoran tsunami pada Disember 2004. Sejak itu, Indonesia dan Thailand terutamanya mula membeli LPD baharu.

Indonesia membeli lima LPD kelas Makassar 11,400 tan (satu daripadanya dijadikan kapal hospital) berdasarkan reka bentuk Korea Selatan. Thailand memperkenalkan HTMS Ang Thong, varian ubah suai direka bentuk di Singapura, yang menunjukkan kemampuan membantu mangsa tsunami di Aceh.

Minat terhadap kemampuan amfibia ini walau bagaimanapun tersekat akibat dana yang terhad. Asean mula memberi tumpuan pada ancaman yang jelas. Contohnya, walaupun KD Sri Inderapura perlu diganti ekoran kebakaran pada 2009, masalah belanjawan menyebabkan Malaysia menangguhkannya, dan memberi tumpuan pada platform kawalan dan pencegahan penggunaan laut melalui pembelian kapal peronda dan kapal selam, untuk digunakan menangani lanun dan terkini, ketegangan di Laut China Selatan.

Minat terhadap kemampuan amfibia diperbaharui semula kebelakangan ini. Julai lalu, Myanmar dilaporkan mula berunding dengan pembina kapal Indonesia untuk membeli LPD kelas Makassar yang tidak didedahkan jumlahnya.

Sekiranya urusniaga ini berlaku, Myanmar akan melakukan satu lonjakan. Filipina juga akhirnya meneruskan program melibatkan kontrak membeli kapal LPD kelas Makassar.

Sebelum itu, Filipina hanya memiliki sebuah kapal pendaratan buatan tempatan yang mula digunakan pada 2011, satu-satunya tambahan kepada keupayaan Filipina yang kebanyakannya daripada era Perang Dunia ke-2. 

Banyak pihak mengaitkan perkembangan ini dengan operasi bantuan bencana dan kemanusian, yang diperlukan dalam beberapa insiden kebelakangan ini seperti Taufan Haiyan. Ini mungkin disokong oleh rancangan Singapura untuk membeli sebuah kapal yang digelar kapal pengangkut pesawat mini, kapal pelbagai misi.

Walaupun peningkatan ini mungkin dinilai sebagai usaha kolektif untuk meningkatkan kemampuan bantuan oleh negara-negara Asean, ada juga faktor-faktor lain. Ini termasuk modenisasi dan pengoperasian pasukan darat amfibia, dan juga perubahan doktrin yang melebihi daripada sekadar bantuan bencana dan kemanusiaan.

Misalnya, ekoran pertempuran dengan militan Sulu di Lahad Datu, Sabah, Menteri Pertahanan Malaysia Dato' Seri Hishamuddin Hussein memberitahu wartawan pada Oktober 2013 bahawa usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan keupayaan pertahanan amfibia.

Semasa lawatan kerja ke Hawaii Januari lalu, beliau meminta bantuan AS untuk membangunkan satu pasukan khusus tentera amfibia berdasarkan model Marin AS. Latihan bersama Eksesais Amfibia Malaysia-AS di Lahad Datu mungkin satu langkah ke arah kerjasama ini.

Indonesia juga sedang memperbaharui kemampuannya. Baru-baru ini, ia melancarkan kapal amfibia terbaharunya, KRI Teluk Bintuni, dan merancang untuk membeli sekurang-kurangnya enam buah lagi kapal jenis ini. Kor Marin Indonesia juga sedang meningkatkan keupayaan. Pada Julai 2013, Jakarta dilaporkan merancang menubuhkan batalion ke-10 marin sebagai sebahagian program perluasan dan penstrukturan semula tentera laut. Tambahan kapal amfibia buatan Rusia yang dioptimumkan untuk serangan amfibia, tiba pada Januari 2014, menjadikan jumlah keseluruhan kapal amfibia marin Indonesia 54 buah. Indonesia juga dilaporkan merancang untuk membeli dari Ukraine.

Selain faktor misi bantuan, perkembangan ini juga dipengaruhi sebahagiannya oleh program amfibia kuasa sekitar Asia. Australia sebagai contoh kini sedang mula menggunakan kapal pelantar pendaratan helikopter kelas Canberra berdasarkan kelas Juan Carlos, dan mempunyai rancangan untuk memiliki pasukan amfibia yang siap siaga menjelang 2016.

Korea Utara juga menyediakan rancangan pada 2013 untuk memperolehi sebuah kapal pendaratan amfibia yang lebih besar daripada Dokdo seberat 19,000 tan yang sedia ada, kemungkinan juga berdasarkan kelas Juan Carlos. Korea juga baru melancarkan kapal pendaratan buatan tempatan, LST-II seberat 4,500 tan pada September 2013, dan bercadang membeli tiga lagi kapal seumpamanya.

Jepun sedang menubuhkan pasukan amfibia khusus untuk memenuhi keperluan dasar pertahanannya, melibatkan pulau-pulau di selatan termasuk Senkaku/Diayou yang dipertikaikan. Ini termasuk menubuhkan pasukan seperti Marin AS menjelang 2015 yang akan dilengkapi kenderaan tempur amfibia dan helikopter Osprey MV-22, dan juga kapal pendaratan besar yang lebih berkemampuan berbanding LPD kelas Osumi, dijangka mula berkhidmat pada Mac 2019. Jepun juga sedang mendapatkan pengetahuan tentang operasi serangan amfibia melalui latihan dengan Kor Marin AS.

Paling menarik tumpuan ialah China yang rancak meningkatkan kemampuan pasukan amfibia sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kor Marin China sedang melaksanakan modenisasi dengan meningkatkan keupayaan infantri dan kenderaan amfibia, disokong kapal yang lebih besar. Ogos tahun lalu, Beijing dilaporkan mula membina dok pendaratan helikopter berdasarkan kapal kelas Mistral Perancis.

China baru-baru ini menarik perhatian lagi apabila memperlihatkan kemampuan amfibianya di perairan dipertikaikan. Kapal LPD kelas Yuzhao 17,600 tan sering dilihat bersama pasukan Marin China, helikopter dan kapal serangan pendaratan di perairan dipertikaian.

Kemampuan amfibia China yang dilihat berdasarkan pertikaian Laut China Selatan mungkin faktor penting mendorong peningkatan pasukan amfibia di Asia Tenggara. Ini paling utama dilihat pada Filipina dan Vietnam, dan juga Indonesia dan Malaysia. Filipina baru-baru ini mengisytiharkan peralihan daripada pasukan keselamatan dalaman kepada pasukan pertahanan luaran dengan fokus pada Laut China Selatan. Kapal baharu yang akan diterima pada 2016-17 akan menyokong kerahan pasukan ke kawasan yang jauh di Kepulauan Spratly.

Vietnam kini bergerak ke arah membina keupayaan kawalan laut ofensif yang boleh digunakan sekiranya kedudukan dikuasainya di Spratly ditawan. Walaupun keupayaan amfibia masih kecil, Vietnam telah memberi tumpuan pada misi Spratly. Tentera laut infantri Vietnam juga sedang melaksanakan modenisasi yang sederhana dan mula membeli peralatan baharu.

Malaysia tidak menuntut kawasan yang besar di Spratly, dan tidak mengejutkan apabila ia tidak menunjukkan reaksi marah semasa berlaku pencerobohan wilayah perairannya oleh China. Tetapi Kuala Lumpur sedar cabaran China di Laut China Selatan. Walaupun rancangan menubuhkan pasukan amfibia bermodelkan Marin AS dikaitkan dengan insiden Lahad Datu, tidak boleh ditolak kemungkinan langkah itu juga diambil berdasarkan perkiraan Laut China Selatan. Berdasarkan perkiraan ini, latihan bersama dengan AS berguna untuk persediaan di Sabah dan juga Spratly.

Indonesia juga memerhatikan Laut China Selatan. Mac tahun ini, pemimpin tentera Indonesia Jeneral Moeldoko mengisytiharkan pengukuhan pertahanan sekitar Kepulauan Natuna di hujung selatan Laut China Selata, lokasi kapal perang China sering menceroboh. Beliau menggesa pemantauan Laut China Selatan dan berkata sebarang peristiwa di Laut China Selatan mungkin merbahaya kepada Indonesia kerana boleh merebak ke negara itu.

Pembinaan kekuatan Indonesia juga kelihatan berdasarkan kemungkinan pertikaian maritim dengan Malaysia. Pada Mei 2014, Marin Indonesia terlibat dalam latihan melibatkan operasi udara-darat-laut yang bertujuan meningkatkan keupayaan respons terhadap Malaysia berhubung blok hidrokarbon Ambalat di Laut Celebes.

Kapal pendaratan amfibia sukar dibezakan antara kemampuan pertahanan dan serangan. Memang sifatnya ialah dua kegunaan, yang boleh digunakan untuk misi bantuan tetapi juga tindakan agresif merampas wilayah maritim. Pada era bencana semakin kerap, keupayaan ini menjadi pilihan oleh Asean.

Walau bagaimanapun, disebabkan dua fungsi inilah wujud kemungkinan lain, terutama bila digabungkan dengan pasukan tentera laut yang lain. Kemampuan amfibia ini menjadi lebih relevan dengan pertikaian wilayah. Untuk menangani masalah ini, pasukan amfibia serantau perlu digalakkan mengadakan latihan bersama bukan sahaja untuk membina ketahanan serantau terhadap bencana, tetapi juga membina keyakinan dan kepercayaan.- November 3, 2014

Koh Swee Lean Collin ialah felo penyelidik bersekutu di Institut Kajian Pertahanan dan Strategi di Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.  Artikel asal, Southeast Asia's Emerging Amphibious Forces, diterbitkan di laman The Diplomat.

Tuesday, November 4, 2014

Selepas AS berundur, China mahu kuasai Afghanistan

Oleh DIRK VAN DER KLEY

Dalam masa dua bulan, pasukan keselamatan asing di Afghanistan akan menyerahkan tanggungjawab keselamatan kepada pasukan tempatan.

Sebagai persediaan untuk penyerahan ini, dan kemudian pengunduran pihak tentera asing, Beijing telah meningkatkan usaha diplomasinya di Afghanistan, yang sebelum ini secara tradisinya tidak menonjol.

China telah mengusahakan berpuluh mekanisme diplomasi dua hala dan pelbagai hala dengan Afghanistan dan negara-negara sekitar dengan tumpuan diberikan pada isu keselamatan. Diplomasi, selain peningkatan kerjasama ekonomi, ialah satu tunjang utama China di Afghanistan.

Kepentingan utama China di Afghanistan ialah keselamatan. China mahu mengelakkan penyebaran fahaman yang oleh mendorong aktiviti terorisme ke wilayah Xinjiang, dan pada masa sama memastikan Afghanistan tidak menjadi satu pangkalan untuk militan Uyghur.

Beijing tidak akan menempatkan tenteranya di Afghanistan, jadi bagaimanakah ia akan menggunakan diplomasi untuk menghalang ketidakstabilan merebak ke Xinjiang?

Beijing akan cuba mengurangkan ancaman keselamatan melalui dua cara.

1. Menstabilkan Afghanistan, atau menghalang kemerosotan dalam keadaan keselamatan Afghanistan yang telah sedia buruk.
2. Sekiranya langkah 1 gagal, hadkan penyebaran ketidakstabilan baharu dan kurangkan ancaman langsung terhadap Xinjiang.

Pengaruh langsung Beijing dalam menstabilkan Afghanistan adalah terhad. Hal ini memerlukan komitmen bantuan sokongan ekonomi yang besar.

Dari sudut diplomasi, Beijing mengajak negara-negara jiran menyumbang kepada pembangunan semula Afghanistan. Tetapi hal keselamatan diserahkan kepada pasukan bersenjata Afghan dan tentera asing yang masih ada. Amerika Syarikat kemungkinan besar akan memainkan peranan pengantara di Afghanistan jika perlu, seperti yang berlaku semasa kebuntuan dalam pilihan raya yang lalu.

Berhubung menghalang penyebaran ketidakstabilan baharu, Beijing mempunyai lebih pilihan melalui cara diplomasi. China mempunyai hubungan dengan pelbagai pihak, termasuk individu dan kumpulan di Afghanistan, termasuk Taliban.

Sejak kerajaan Hamid Karzai berkuasa pada 2001, hubungan dengan Taliban dilakukan melalui orang tengah. Tetapi kebelakangan ini Beijing dilaporkan membina semula hubungan terus dengan Taliban yang telah terbina sejak sebelum penaklukan AS pada 2001.

Beijing mahu jaminan yang Afghanistan tidak akan berfungsi sebagai satu pangkalan untuk kumpulan militan Uyghur. Ia juga mahu pelaburan China di Afghanistan dilindungi daripada serangan Taliban.

Wujud pelbagai pandangan bercampur-campur tentang keberkesanan pendekatan ini. Ada sumber dari China yang mengatakan Taliban tidak mahu membangkitkan kemarahan Beijing kerana ini akan menyukarkan hubungan kumpulan itu dengan Pakistan yang juga mempunyai hubungan rapat dengan China.

Ada juga yang mempersoalkan komitmen Taliban terhadap tuntutan-tuntutan China. Militan telah menyerang projek sumber China di Afghanistan beberapa kali, dan pada tahun 2012 Reuters memetik seorang jurucakap Taliban sebagai berkata yang kumpulan itu menentang pelaburan terbesar China di Afghanistan, sebuah lombong tembaga dekat Kabul.

Beijing juga telah meluaskan kehadiran diplomatiknya di rantau ini. China berharap dapat mencapai konsensus mengenai Afghanistan dengan negara-negara sekitar kerana ia berada di barisan hadapan dalam menangani ketidakstabilan di Afghanistan.

Bentuk konsensus ini masih tidak jelas, tetapi mungkin melibatkan usaha meningkatkan kerjasama serantau berhubung isu seperti antinarkotik dan menentang terorisme, dengan langkah-langkah praktikal seperti perkongsian hasil risikan, latihan ketenteraan bersama dan latihan perundangan dan penguatkuasaan undang-undang bersama (sesetengah kerjasama ini telah dijalankan secara dua hala melalui Pertubuhan Kerjasama Shanghai, SCO).

Terdapat banyak halangan untuk mencapai agenda China ini. Pegawai-pegawai di negara Asia Tengah disyaki mempunyai hubungan baik dengan pedagang dadah. Pada masa sama juga telah wujud lama kerisauan terhadap Pakistan yang membantu melindungi teroris. Malah, hubungan sesama negara Asia Tengah juga tidak baik.

Walaupun berdepan cabaran, pendekatan diplomatik Beijing kelihatan mencukupi untuk menangani ancaman teroris dari Afghanistan. Jumlah militan Uyghur yang berlindung di Afghanistan dan juga Pakistan masih kecil, dan kemampuan militan Uyghur dari luar untuk melancarkan serangan ke atas China masih terhad. Mereka perlu meningkatkan kemampuan berganda untuk mampu menjadi ancaman yang tetap kepada China.

Walau bagaimanapun, campurtangan dalam bentuk diplomasi, ekonomi dan ketenteraan tidak mampu menyekat propaganda dari teroris yang menggunakan agama daripada sampai ke Xinjiang.

Hal ini secara konsisten disebut oleh pihak China sebagai ancaman luar yang paling besar terhadap kestabilan Xinjiang.

Kerajaan China mungkin memperbesarkan ancaman ideologi dari luar, seperti yang dilakukan oleh banyak kerajaan. Masalah Xinjiang hampir keseluruhannya bersifat domestik, yang muncul daripada peminggiran populasi Uyghur melibatkan kekangan keagamaan, ketidakseimbangan ekonomi dan diskriminasi yang telah berleluasa. Tetapi dibimbangi yang mesej-mesej ideologi mungkin diterima oleh kumpulan ini.

Kumpulan bersenjata Uyghur yang beroperasi di luar paling dikenali, Parti Islam Turkistan, menggalakkan penggunaan taktik keras di Xinjiang dan menyokong pemisahan.

Hebahan medianya juga semakin canggih sejak beberapa tahun lalu. Kumpulan lain seperti ISIS dan al-Qaeda juga telah menunjukkan sokongan secara ideologi kepada Uyghur di Xinjiang, walaupun sokongan hanya terhad dan tidak termasuk sokongan operasi.

Penganalisis China memahami had kemampuan diplomasi dalam menangani hal keselamatan berkaitan Afghanistan. Tetapi diplomasi dilihat, bersama dengan bantuan ekonomi, sebagai pilihan yang terbaik daripada pilihan-pilihan yang terburuk.

Shi Lan daripada Akademi Sains Sosial Xinjiang menyimpulkan pilihan ini: "Dialog ialah pilihan terbaik yang ada untuk menyelesaikan masalah. Saya sendiri merasakan sukar untuk mencapai sebarang hasil, tetapi kita mesti mencuba." - Oktober 27, 2014

Tulisan ini, dipetik dari laman Lowy Interpreter, tajuk asalnya China's Afghanistan Policy: Testing the Limits of Diplomacy.

Monday, October 20, 2014

Kerana memusuhi Kurdi, AKP memihak kepada ISIS?

Oleh CENGIZ CANDAR

Pada 7 Oktober lalu, saya bersama rakan sekerja dan seorang sahabat lama Hasan Cemal makan malam di Istanbul. Dalam perjalanan ke restoren berkenaan, saya difahamkan berlaku kekacauan di wilayah-wilayah yang diduduki rakyat Kurdi di Turki.

Ramai yang terbunuh dan perintah berkurung terpaksa dikenakan di enam pusat wilayah dan beberapa daerah. Sewaktu kami duduk makan, kami diberitahu bahawa di beberapa kawasan di Istanbul, tercetus pergaduhan antara pihak berkuasa dengan pembantah; Cemal menerima panggilan bertali arus.

Dia memberitahu saya bahawa awal pagi esok beliau akan ke sempadan wilayah Mardin menyertai majlis yang dihoskan Datuk Bandar Ahmet Turk, seorang ahli politik Kurdi veteran, barangkali seorang tokoh Kurdi yang sangat dihormati dalam kalangan pendapat awam Turki.

Berita ini tidak mengejutkan saya. Cemal boleh dianggap sebagai dekan bagi institusi kewartawan Turki. Beliau telah terlibat dalam profesyen berkenaan lebih daripada 40  tahun, dan pernah berkhidmat sebagai ketua pengarang akhbar tertua di Turki, Cumhuriyet, selama satu dekad.

Sewaktu pemerintahan tentera pada awal 1980-an, beliau berada dalam jawatankuasa eksekutif, Institut Akhbar Antarabangsa. Selepas mempamerkan karier profesional yang cemerlang untuk tempoh masa yang panjang, beliau menjuruskan dirinya membuat laporan-laporan lapangan khususnya mengenai isu Kurdi.

Beliau kerap berjalan dan membina hubungan yang kukuh dalam kalangan ahli politik elit Kurdi. Beliau baru menerbitkan sebuah buku bertajuk, Kurdistan Gunlukleri (Urutan Sejarah Kurdi), mengenai perjalanannya yang banyak dan hubungan yang dimilikinya di Rojava, daerah masyarakat Kurdi di Syria, bersebelahan sempadan Turki.

Apabila kumpulan Negara Islam di Iraq dan al-Syam (ISIS) mula menyerang dan melakukan keganasan di Kobani, dan Turki pada waktu itu hanya bertindak melihat kuasa ekstremis menyembelih masyarakat Kurdi dan berfikir apakah kesannya ke atas masyarakat Kurdi di Turki, Cemal tidak mampu berbuat apa-apa melainkan harus pergi ke daerah tersebut membuat laporan.

Dan itulah yang beliau lakukan. Inilah sedutan daripada tulisan pertama beliau pada 8 Oktober di bawah tajuk Serhildan-I (Kebangkitan Kurdi). Membaca impresi Cemal menjadikan tajuk itu lebih menarik: "Ahmet Turk berkata, 'Saya menjadi bingung dengan isu Kobani ini. Saya pernah fikir bahawa Turki akhirnya akan membantu Kurdi. Saya silap. Ia tidak berlaku.'"

Cemal percaya tindakan Ankara membiarkan sahaja kelompok Kurdi menghadapi kumpulan ganas ISIS merupakan isu yang menghilangkan sepenuhnya kepercayaan kelompok Kurdis kepada negara. Beliau menulis, "Mereka yang tidak pernah mengundi kami, mereka yang menyokong AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan) semuanya berada di Suruc. Mereka berada di atas jalan raya sekarang. Dasar Ankara membiarkan ISIS untuk menghapuskan PKK (Parti Pekerja Kurdistan) dan PYD (Parti Kesatuan Demokratik) dengan tujuan untuk mengajar mereka, telah memusnahkan segala-galanya.

"Membiarkan masyarakat Kurdi dipenggal kepala, perempuannya dirogol serta sikap pasif Turki terhadap sikap ganas ini menghilangkan terus kepercayaan masyarakat Kurdi pada Ankara. Masyarakat Kurdi dapat melihat bagaimana negara itu membutakan mata terhadap perlakuan ISIS."


"Merujuk kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan, Ahmet Turk berkata, 'Di mata rakyat, Erdogan sekarang seorang diktator. Apa jenis kesombongan yang ditunjukkannya?'

"Ahmet Turk seterusnya menyambung, 'Dengar, apa yang kita lalui sejak dua hari lepas adalah serhildan Kobani, satu kebangkitan. Di luar usaha mana-mana organisasi. Ia adalah kebangkitan rakyat. Asas cara berfikir negara tidak berubah. Tengok, beberapa tahun kemudian, kereta perisai akan kembali semula ke atas jalan raya. Dengan cara berfikir seperti ini, kesamarataan bagi rakyat Kurdis adalah mimpi palsu. Kamu tidak akan mampu menyelesaikan isu ini menurut cara berfikir seperti itu."

Cemal kemudian memetik pandangan masyarakat Kurdi yang tidak dikenali: "Mengenai pemisahan, seorang daripada mereka berkata, 'Dasar AKP adalah memberi sokongan kepada ISIS. Itu dasar yang memecahbelahkan Turki. Rakyat Kurdi dapat melihat realiti ini. Mereka faham bahawa proses rundingan bukan untuk menyelesaikan masalah tetapi untuk melemahkan masyarakat Kurdi.'

"Yang lain menambah, 'Erdogan meletakkan ISIS dan PKK dalam bakul yang sama, semuanya dipanggil kumpulan pengganas. Ini membuatkan rakyat Kurdi sakit hati. Mereka tidak percaya semua ini berlaku.'"

Pada tengah malam 9 Oktober, Cemal menulis Serhildan-II dari bandar Kurdi iaitu Suruc, yang sempadannya hanya dipisahkan oleh landasan keretapi dari Kobani:

"Kamu dengar rungutan terhadap Erdogan dalam setiap langkah di sini. Beliau berkata Kobani kemungkinan ditawan dan akan ditawan. Tidakkah beliau sedar bahawa Diyarbakir telahpun jatuh dan ditawan? Jika hal ini terus berlaku, minta Tuhan menolong kita, keseluruhan negara ini akan hangus. Adakah Erdogan sedar hal ini?"

Arzu Yilmaz merupakan seorang ahli akademik muda berketurunan Kurdi. Beliau adalah calon kedoktoran di jabatan sains politik, Universiti Ankara, dan beliau dianggap sebagai tokoh yang mempunyai perspektif paling terkehadapan dalam isu Kurdi.

Untuk disertasi PhD nya, beliau menghabiskan masa lebih dua tahun di Dahuk, wilayah Kurdi Iraq, di mana beliau mengkaji pergerakan politik Kurdi. Pada saat tercetusnya kebangkitan rakyat di wilayah Kurdi di Turki, beliau menulis seperti berikut:

"Jangan sesiapa pun diperbodohkan. Turki secara terbuka telah mengisytiharkan perang, bukan sahaja di luar sempadannya, malah di dalam negara juga. Rakyat Kurdi telah bangkit. Di Kurdistan telah berlaku kebangkitan popular dengan sokongan popular yang belum pernah berlaku sebelum ini. Apa yang jelas, tidak kira kota, bandar atau kampung. Ia adalah bom yang besedia untuk meletup."

Satu perkara kecil yang tidak menarik minat ramai orang, bagi saya sangat penting. Teyrenbazen Azadiya Kurdistan (TAK), dipercayai merupakan organisasi cabang dalam PKK, yang bertanggungjawab ke atas beberapa aksi keganasan di kawasan bandar, mengeluarkan kenyataan yang berbunyi: "Peringatan kepada pemilik-pemilik senjata yang selama ini dihalakan ke arah Kobani. Mulai sekarang, semua bandar utama merupakan medan tempur kami dan semua kekuatan musuh menjadi sasaran utama kami. Apabila Kobani dibakar, semua bandar di Turki tidak akan tidur selesa. TAK akan memindahkan semua kesengsaraan yang ditimpakan di Kobani, kepada kekuatan musuh di bandar-bandar besar dan akan menjadikannya neraka."

Laporan media pada 9 Oktober menyifatkan rekod TAK sebagai berikut: "TAK, yang merupakan sebahagian daripada PKK tetapi beroperasi secara bebas daripada organisasi tersebut, sehingga kini mendakwa bertanggungjawab terhadap banyak peristiwa serangan bom di bandar-bandar besar dan tempat tarikan pelancong. Serangan di Kusadasi, Marmaris dan Antalya dalam 2005 dan 2006, dan serangan pada 22 Jun 2010 di Istanbul yang mengorbankan lima orang, empat daripadanya anggota tentera, didakwa dilakukan TAK. Serangan pada 31 Oktober 2010 di Taksim, Istanbul yang mencederakan 32 orang, dan serangan pada 20 September 2011 di Ankara yang membunuh tiga orang juga didakwa dilakukan organisasi ini."

Turki memilih jalan yang sangat bahaya ke arah keganasan, yang memungkinkan berlakunya perang saudara dan perbalahan kelompok masyarakat. Ini merupakan berita yang sangat buruk. Lebih buruk lagi, PKK dan pemimpinnya yang dipenjarakan Abdullah Ocalan tidak akan berupaya mengawal perkembangan tersebut.

Kita akan menyaksikan skop tindakan spontan kebangkitan masyarakat Kurdi di Turki dan bakat ahli politik elit Kurdi menangani keadaan ini.

Bagi kerajaan Turki - yang kelihatannnya telah hilang keupayaan untuk berfikir secara komprehensif - usaha untuk menghalang Turki daripada terjerumus ke dalam kancah perang saudara kebanyakkannya bergantung kepada ahli politik elit Kurdi dan kawalannnya ke atas generasi baru Kurdi, yang menunjukkan keberangan semakin memuncak ekoran peristiwa di Kobani.

Kerana, jika apa yang berlaku ini adalah "serhildan," maka kejadian selepas ini dijangkakan lebih buruk.


Artikel ini dipetik daripada laman Al-Monitor, dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh MUHAMMAD NOR ABD SAMAD.

Saturday, October 11, 2014

Selepas kemaraan Houthi, ke mana hala tuju Yaman?

Selepas pertempuran dan protes besar-besaran sejak hujung tahun lalu, pihak yang paling banyak mendapat keuntungan ialah kumpulan Houthi, yang kini mendapat suara yang lebih besar dalam usaha penubuhan kerajaan baharu, selepas diabaikan dalam persidangan dialog kebangsaan sebelum ini.

Houthi yang meningkat pencapaian dan pengaruhnya dengan setiap pertembungan dengan kerajaan kini mencapai kemuncaknya apabila berjaya menguasai Sanaa dan meningkatkan pengaruhnya dalam kerajaan di ibu negara, selepas berjaya menewaskan Islah dan sejumlah kecil tentera yang menentang mereka - pada masa sama mendapat sokongan daripada sebahagian tentera Yaman - dua kumpulan berpengaruh yang menguasai Yaman.

Kemenangan Houthi ini tidak dapat dielakkan daripada dilihat sebagai peningkatan penguasaan Syiah dan Iran, ekoran hubungan baik Houthi dengan Tehran, walaupun tidak jelas lagi sejauh mana Houthi dapat menguasai pentadbiran di Sanaa dan membantu mencapai agenda serantau Iran, disebabkan kedudukannya sebagai minoriti Zaidiyah dan bukan sebahagian puak terkuat di Yaman.

Houthi walaupun dapat menguasai Sanaa dilihat tidak meneruskan kemaraan lebih jauh lagi, dipercayai kerana bimbang dengan reaksi keras yang bakal diundang melalui tindakan yang lebih drastik itu, selepas membuat kejutan dengan langkah pantas menguasai ibu negara dan lokasi-lokasi penting.

Tindakan kumpulan pemberontak ini tidak mahu berundur daripada Sanaa walaupun selepas perjanjian dicapai mengundang keresahan ramai, dan telah mendorong serangan daripada pihak al-Qaeda yang anti-Syiah.

Kemaraan Houthi ini kini digunakan untuk mengukuhkan naratif kebangkitan Syiah yang mengancam penguasaan Sunni di rantau Arab secara simplistik dan mengundang ketakutan, seperti yang digunakan di Syria dan Iraq untuk memperlihatkan pertembungan Sunni-Syiah dan membakar lagi sentimen sektarian.

Walau bagaimanapun, selain disebarkan oleh pihak musuh Iran dan Syiah, pihak di Iran sendiri turut menyumbang kepada pengukuhan pandangan ini, apabila ada pihak di Iran sendiri melihat kemaraan Houthi sebagai satu kejayaan Iran. Seorang ahli Parlimen Iran, Alireza Zakani dilaporkan berkata yang Iran kini menguasai empat ibu negara Arab; Baghdad, Damsyik, Beirut dan Sanaa.

Naratif ancaman Syiah digunakan dalam propaganda panjang dalam konflik di Syria, hingga menyuburkan medan perang itu dengan militan dari seluruh dunia Islam, yang akhirnya membawa Syria dan juga seluruh dunia Islam ke satu konflik ganas sektarian dan krisis kemanusiaan yang berpanjangan.

Pelbagai kumpulan yang menjadikan penentangan terhadap Syiah sebagai satu bahagian utama perjuangan muncul dan beroperasi di Syria dan kawasan sekitar, yang bentuk paling buruknya ialah militan yang menamakan diri mereka Negara Islam di Iraq dan al-Syam.

Sebahagian media telah menampakkan kecenderungan membingkaikan perkembangan di Yaman dengan memberi tumpuan yang terlalu besar pada kata kunci Syiah, yang ekoran naratif yang dibangunkan dan disebarkan hasil konflik di Syria, memberi gambaran hanya mengenai satu sudut peristiwa yang kompleks itu.

Yaman yang telah sedia menjadi satu pangkalan al-Qaeda kini berpotensi untuk terjerumus dalam konflik sektarian yang dahsyat, dan menarik militan-militan dari seluruh dunia Islam yang tertarik dengan mesej sektarian yang terhasil daripada konflik ini.

Pemerhatian terhadap perkembangan terkini ini, selain ditumpukan pada Iran, juga perlu diberikan pada Arab Saudi yang juga satu pemain utama dan mendapat manfaat daripada kemaraan Houthi yang berjaya menjejaskan musuh di negara jirannya itu.

Pada masa sama, Arab Saudi yang kelihatan mencapai satu persefahaman dengan Iran yang menyokong Houthi tidak akan membiarkan negara jirannya itu menjadi kubu Iran dan Houthi, yang mempunyai lebih banyak perbezaan berbanding persamaan.

Menurut seorang pemerhati, Abdullah Hameed al-Deen yang menulis di akhbar al-Hayat, Riyadh dan Tehran kelihatan bekerjasama secara taktikal dalam memberikan sokongan untuk Houthi menewaskan Islah dan kelompok yang dilihat mengkhianati Ali Abdullah Saleh, sekutu kuat Saudi di Yaman.

Tulis Abdullah, pada tahap ini, Riyadh membenarkan Houthi mara dan Iran mendapat manfaat daripada perkembangan ini, tetapi kemaraan Houthi dan potensi perluasan pengaruh serantau Tehran ini tidak akan dibenarkan berterusan lebih daripada yang sepatutnya.

Menurutnya, pada tahap seterusnya, Saudi dijangka akan bergerak untuk kembali menguasai Yaman melalui pihak-pihak yang mempunyai hubungan baik dengannya, selepas musuh-musuhnya terdiri daripada Ikhwan al-Muslimin dan pihak yang bekerjasama dengan Ikhwan untuk menjatuhkan Ali Abdullah ditewaskan oleh Houthi.

Presiden Abd Rabbuh Mansur Hadi sendiri ialah sekutu Saudi dan sekutu penting Amerika Syarikat dalam "perang menentang terorisme."

Sekiranya ini berlaku, Riyadh perlu membina persefahaman dengan Houthi dan Iran, sekiranya tidak mahu rancanganya itu berdepan halangan dan tentangan. Perkembangan terbaharu ini, yang semakin jelas selepas pertemuan wakil Riyadh dan Tehran di New York, Amerika Syarikat beberapa minggu lalu menunjukkan satu kecenderungan baharu Arab Saudi dan Iran untuk menyelaraskan dasar luar masing-masing berdasarkan perkembangan semasa, walaupun masih mempunyai perbezaan yang besar.

Di pihak lain, Qatar dan Turki melihat penghakisan pengaruh yang pantas berlaku selepas pencapaian-pencapaian luar biasa sejak beberapa tahun lalu hingga sekitar 2012, pada masa imbangan kuasa di rantau Arab berubah dengan dramatik.

Qatar sebelum ini bekerjasama rapat dengan Saudi dalam usaha menjatuhkan Presiden Bashar al-Assad di Syria, dengan memberikan bantuan persenjataan, kewangan, sokongan media dan diplomasi kepada kumpulan-kumpulan penentang rejim Bashar.

Doha menerima tekanan kuat Riyadh dan jiran-jiran Majlis Kerjasama Teluk yang lain - selain Oman yang berpendirian berbeza - untuk tidak lagi menyokong Ikhwan al-Muslimin serantau, dan beberapa tindakan Saudi dan sekutu kebelakangan ini telah melemahkan kedudukan serantau Qatar.

Perkembangan terkini di Yaman menunjukkan yang negara ini menjadi medan persaingan terbaharu kuasa-kuasa serantau, dan membuktikan lagi yang kebangkitan rakyat yang bermula empat tahun lalu masih belum sampai kepada satu penamat, tetapi telah membuka kepada pelbagai kemungkinan dan meningkatkan lagi persaingan geopolitik yang sengit. - Oktober 2, 2014

Friday, September 26, 2014

Apa yang sedang berlaku di Yaman?

Oleh HARIS ZALKAPLI

Apa yang sedang berlaku di Yaman berkait langsung dengan perubahan kepimpinan dan aliansi selepas kebangkitan massa yang akhirnya menyebabkan Presiden Ali Abdullah Saleh yang telah memerintah selama 33 tahun diundurkan.

Perkembangan ini turut berkait langsung dengan persaingan kuasa-kuasa serantau Asia Barat, yang juga dikesankan oleh kebangkitan rakyat yang bermula pada 2011.

Konflik yang telah berlangsung sejak hujung tahun lalu ini juga berkait dengan kepentingan kuasa-kuasa serantau di sana, yang lebih meluas daripada persaingan proksi antara Arab Saudi dan Iran - atau Sunni dengan Syiah - seperti yang dilihat oleh sesetengah pihak.

Banyak pihak terlibat dalam krisis terbaharu ini, walaupun tumpuan banyak diberikan pada kumpulan pemberontak Houthi yang beraliran Syiah Zaidiyah dengan kubu kuat di utara Yaman bersempadan dengan Arab Saudi.

Politik Yaman kuat dicorakkan oleh kuasa puak-puak berpengaruh yang menguasai kerajaan sejak pemerintahan Syiah Zaidiyah ditamatkan dan Yaman muncul sebagai sebuah negara republik, satu-satunya di Semenanjung Arab.

Aliran Zaidiyah yang disebut hakikatnya bukan garis pemisah atau penentu paling utama - walaupun tidak dinafikan peranan pentingnya - seperti tanggapan sesetengah pihak, kerana Houthi turut mendapat sokongan Sunni, dan Ali Abdullah yang memerangi Houthi selama pentadbiran beliau juga bermazhab Syiah Zaidiyah.

Selain Houthi, kumpulan lain yang terlibat termasuk kelompok Salafi yang mempunyai pengaruh kuat di Yaman selama ini, dan Ikhwan al-Muslimin, yang bersama Salafi dan keluarga berpengaruh al-Ahmar - keluarga paling kuat dalam gabungan puak Hashid - membentuk Parti Islah yang ditubuhkan pada 1990, sekutu kuat Presiden Ali Abdullah sehingga beliau berundur.

Salafi mempunyai pengaruh kuat di Yaman hasil hubungan baik dengan kerajaan Ali Abdullah dan kerajaan Saudi, yang menggunakan mereka sejak sekian lama untuk menangani pesaing seperti Parti Sosialis Yaman - yang menguasai Yaman Selatan sehingga penyatuan pada tahun 1990 - dan kumpulan-kumpulan lain.

Salafi, dipimpin Abdul Majid al-Zindani merupakan seteru kuat Houthi, yang menjadi satu punca tindakan keras Houthi terhadap Universiti al-Iman, pusat kegiatan Salafi dan dikaitkan juga dengan al-Qaeda, yang kini menjadikan Yaman sebagai salah satu pangkalannya.

Houthi terlibat dalam konflik bersenjata dengan kerajaan, terbaharu sejak 2004 hingga 2011, dan berhasil mencapai matlamat mereka sedikit demi sedikit terutama melibatkan wilayah dikuasai. Perkembangan terkini menyaksikan Houthi mendapat kelebihan paling besar.

Islah yang kini dikuasai Ikhwan memainkan peranan penting dalam menjatuhkan Ali Abdullah hasil kebangkitan yang bermula pada 2011, menjadi satu sebab permusuhan bekas presiden itu terhadap Islah.

Islah menjadi broker penting dalam perjanjian mengundurkan Ali Abdullah - yang turut melibatkan Arab Saudi, pihak yang membantu presiden itu berundur dengan selamat - dan menyerahkan jawatan presiden kepada orang nombor dua, Abd Rabbuh Mansur Hadi.

Ikhwan yang tidak berpuas hati dengan aturan itu, hingga menjejaskan hubungan Islah dengan Riyadh dan mendorong Qatar berusaha melebarkan pengaruh di Yaman bermula 2011 dengan memberikan sokongan kepada Islah, selari dengan dasar menyokong Ikhwan di Mesir dan Syria sepanjang kebangkitan.

Bermula 2011, Islah merapatkan diri dengan Qatar dan Turki, dua pemain serantau yang mempunyai agenda untuk meluaskan pengaruh di seluruh rantau Arab, dan pada sekaligus melebarkan lagi jurang dengan sekutu lama Arab Saudi.

Ali Abdullah turut memusuhi keluarga al-Ahmar, setelah dikhianati oleh Jeneral Ali Mohsen al-Ahmar semasa kebangkitan yang akhirnya menjatuhkan Ali Abdullah. Puak Ali Abdullah dan keluarga al-Ahmar kedua-duanya daripada puak yang sama, Sanhan, dan kedua-duanya mempunyai pengaruh masing-masing dalam gabungan puak Hashid.

Persaingan Ali Abdullah dengan keluarga al-Ahmar - walaupun mengekalkan kerjasama demi kepentingan kuasa - sejak sekian lama akhirnya menjadi permusuhan yang jelas ekoran perubahan politik yang dramatik pada 2011.

Pemberontak Houthi berkongsi kepentingan dengan Ali Abdullah dan penyokongnya dalam hal Islah dan keluarga al-Ahmar, yang menjadi penentang kuat Houthi selama ini.

Hal ini menyebabkan Ali Abdullah dilihat berperanan aktif dalam membantu kemaraan Houthi ke Sanaa dan keupayaan menguasai ibu negara dalam masa sebulan tanpa tentangan yang setara.

Kepentingan yang pelbagai dilihat dalam krisis terbaharu ini, yang memperlihatkan pihak yang tidak sehaluan selama ini berkongsi kepentingan yang sama, seperti Tehran dan Riyadh yang masing-masing mendapat manfaat melalui peningkatan pengaruh Houthi dan pengunduran Ikhwan al-Muslimin.

Saudi mengetuai kempen serantau bersama Emiriyah Arab Bersatu dan Kuwait dalam mematahkan kemaraan Ikhwan yang disokong Qatar, sebelum ini di Mesir dan kini di Yaman.

Pengaruh Saudi merosot di Mesir dan Yaman ekoran perubahan politik sepanjang kebangkitan yang bermula pada 2011, tetapi perkembangan di Mesir dan Yaman membantu memelihara kembali kepentingan Riyadh.

Perkembangan terbaharu di Yaman ini bakal membawa implikasi yang berpotensi memanjangkan lagi pertembungan, mengundang reaksi balas yang keras daripada kumpulan-kumpulan yang melihat kebangkitan Houthi - dan kepentingan Syiah Zaidiyah serta perluasan pengaruh Iran yang dikaitkan dengannya - sebagai satu ancaman besar.

Perjanjian yang dicapai membuka ruang kepada satu proses pemulihan dan pembinaan negara yang baharu, tetapi rasa tidak puas hati antara pihak yang bermusuh selama ini dijangka akan terus kekal.

Hal ini jelas dapat diperhatikan berdasarkan kelebihan yang diperolehi oleh Houthi hasil perjanjian yang telah dicapai, yang memberikan pihak Houthi perkara-perkara penting yang menjadi tuntutan mereka termasuk lebih diwakili dalam pemerintahan baharu, termasuk suara dalam pemilihan perdana menteri.

Pada masa sama, situasi tidak stabil yang telah berlarutan sejak sekurang-kurangnya lima tahun lalu bakal menyuburkan lagi elemen militan di negara itu, yang menjadi semakin meluas ekoran peningkatan aktiviti bersenjata kebelakangan ini.

Politik identiti yang dibawa oleh pemberontak Houthi, golongan Salafi yang semakin tercabar dan cuba dipinggirkan, dan pemain-pemain penting daripada puak-puak dan keluarga-keluarga berpengaruh yang turut tergugat bakal meningkatkan elemen sektarian dalam kekacauan di Yaman.

Persaingan antara kuasa-kuasa serantau juga mampu menjadi lebih sengit, apabila pihak-pihak bertelagah kini mempunyai keperluan yang lebih besar untuk menharapkan sokongan daripada pihak yang sedia membantu, terutama kuasa-kuasa serantau yang memiliki kemampuan kewangan dan bantuan lain termasuk senjata.  - September 25, 2014


Friday, September 12, 2014

Akta Hasutan hangatkan persaingan liberal-konservatif dalam Umno

Oleh HARIS ZALKAPLI

Tiga tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak mengambil satu tindakan mengejutkan apabila memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, ISA, dalam suasana negara menunggu Pilihan Raya Umum ke-13.

Tindakan Najib itu menggerakkan pemerintah Umno dan Barisan Nasional ke arah yang lebih liberal, sehingga mencetuskan kegusaran dalam parti itu yang sebahagian besar ahlinya cenderung konservatif.

Pada masa itu, ramai pemerhati melihat dengan optimis tetapi berhati-hati terhadap tindakan berani Najib yang tidak dijangka itu.

Dalam parti, tindakan memansuhkan ISA yang dilihat sebagai satu instrumen penting untuk memelihara keselamatan negara dilihat sebagai satu lagi tindakan yang menunjukkan kecenderungan liberal Najib.

Najib mula dilihat berkecenderungan lebih liberal apabila memunculkan retorik 1 Malaysia yang dilihat sebagai didasari atau bersumber fahaman liberal, yang tidak selari dengan pegangan ketuanan Melayu yang dipertahankan Umno selama ini.

Debat berhubung Akta Hasutan 1948 hari ini sekali lagi menghangatkan persaingan liberal dan konservatif dalam Umno, yang berlangsung dengan sengit dalam era Najib yang mencabar ini.

Gelombang pendakwaan menggunakan Akta Hasutan yang sedang berjalan ini memperlihatkan Najib sebagai pemimpin yang semakin autoritarian, tetapi pada masa sama beliau menunjukkan yang akta itu akan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional yang dilihat sebagai lebih disenangi kelompok liberal di dalam dan luar parti.

Kelompok konservatif tidak mahu Akta Hasutan dimansuhkan kerana menganggapnya sebagai penting untuk memelihara kesejahteraan negara.

Selepas ISA dimansuhkan, konservatif melihat pemansuhan Akta Hasutan akan meruntuhkan satu lagi benteng penting pertahanan keselamatan dan keharmonian negara.

Najib pada 11 Julai, 2012 berjanji yang Akta Hasutan akan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional. "Melalui pemansuhan dan penggubalan rang undang-undang yang sedang berjalan, kerajaan mahu memastikan ruang demokratik yang mencukupi disediakan untuk perbezaan pendapat serta persaingan idea," kata Najib dipetik Bernama.

"Pucuk pangkalnya, kita mahu mencipta sebuah Malaysia yang mana prinsip hak asasi manusia dijunjung, kebebasan individu untuk menyatakan pendapat secara terbuka diraikan, seraya kepentingan individu dan komuniti diimbangi."

Sentimen menyokong Akta Hasutan ini diwakili oleh tokoh Melayu konservatif Datuk Ibrahim Ali yang lantang menyuarakan penentangan terhadap usaha memansuhkan akta tersebut. Beliau dilapor berkata akta ini masih diperlukan untuk mencegah perkara yang boleh mengancam keselamatan negara.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Memorandum Perpaduan Nasional turut menggesa Akta Hasutan ditambahbaik untuk menangani hasutan dan penghinaan agama yang dilakukan di media sosial.

"Cegah sebelum musnah. Kalau pemimpin Umno dah faham apa dalam fikiran orang Melayu, ini petanda baik. Masih ada talian hayat. Kekalkan dan tambah baik Akta Hasutan," katanya dipetik Astro Awani.

Beliau berkata demikian menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilapor berkata kerajaan sedia meminda Akta Hasutan dan undang-undang lain bagi menangani penghinaan dan hasutan di media sosial.

Muhyiddin dilihat sebagai mewakili kelompok konservatif dalam Umno, yang mendapat sokongan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi pengkritik kuat terhadap kecenderungan liberal Perdana Menteri Najib dan kemaraan tokoh-tokoh liberal dalam Umno seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Kritikan terhadap Najib dan liberal dalam Umno juga muncul ekoran kenyataan Datuk Saifuddin Abdullah, ketua pegawai eksekutif Yayasan Kesederhanaan Global, GMMF, sebuah badan yang dibina untuk melonjakkan imej moderat Najib di peringkat antarabangsa.

Saifuddin mengambil pendirian menyokong pemansuhan Akta Hasutan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional, dan secara konsisten menulis di Twitter menyertai kempen memansuhkan Akta Hasutan.

Saifuddin menunjukkan sokongan kepada akademik Universiti Malaya yang didakwa, Azmi Sharom, dan menganggap pendakwaan itu menyekat kebebasan akademik.

Beliau menganggap pelaksanaan Akta Hasutan kini sebagai bersifat drakonian dan selektif.  Katanya, Najib perlu disokong untuk memansuhkan Akta Hasutan. "Rakyat perlu menggalakkan dia untuk melakukannya. Tidak semua orang di sekeliling Najib mempunyai pemikiran yang sama dengan dia. Jika beliau mahu melakukannya, maka rakyat harus memberi sokongan kepada mereka," katanya dipetik media.

Saifuddin tewas di kerusi Parlimen Temerloh dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu, dengan sebahagian puncanya ialah penolakan ahli-ahli Umno terhadapnya ekoran kecenderungan liberal beliau.

Akta Keharmonian Nasional terus menerima reaksi bercampur-campur daripada kalangan ahli Umno dan tokoh-tokoh Melayu.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pada Julai lalu dilapor berkata Majlis Konsultasi Perpaduan Negara yang menyumbang kepada penggubalan Akta Keharmonian Nasional dikuasai kelompok liberal.

Abdul Hamid yang menolak tawaran mempengerusikan majlis itu dilapor berkata majlis itu dibimbangi diperalat untuk menghakis hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam.

"Saya takut kiranya saya akan menjadi 'pengkhianat' kepada bangsa Melayu dan agama Islam," beliau dipetik berkata.

Satu pandangan konservatif turut disiarkan akhbar Umno, Utusan Malaysia julai lalu, tulisan pemerhati politik, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim.

Beliau menegaskan, "Kita sememangnya cukup bimbang sekiranya Rang Undang-Undang Harmoni Nasional yang bakal menggantikan Akta Hasutan 1948 terlampau menjulang Perkara Lapan Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara Lapan yang memperuntukkan kesamarataan itu sehinggakan mengetepikan pula empat perkara sensitif dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu Bahasa Kebangsaan (Perkara 152), kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera (Perkara 153), kedaulatan Raja-Raja Melayu (Perkara 181) dan Bahagian III berkaitan kerakyatan (Perkara 14-30).

"Kekhuatiran ini pada dasarnya berasas kerana kelihatannya ketika ini yang berlegar-legar dalam fikiran sebahagian ahli berfahaman liberal dalam Majlis Konsultasi Perpaduan Negara agak menjurus untuk menguar-uarkan Perkara Lapan Perlembagaan Persekutuan," tulisnya.

Kritikan keras terhadap Najib bakal meningkat lagi ekoran perkembangan terbaharu ini, dan ini diburukkan lagi oleh kemerosotan hubungan beliau dengan Mahathir kebelakangan ini.

Wartawan veteran Abdul Kadir Jasin pada April lalu menegaskan yang lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama bertemu Najib dijelaskan oleh dasar liberal yang dilaksanakan Najib.

Debat berhubung isu pemansuhan Akta Hasutan ini, dan penggubalan Akta Keharmonian Nasional kini menunjukkan dengan jelas perbezaan pemikiran dalam kalangan liberal dan konservatif dalam Umno, dan menjadi ujian terkini terhadap Najib dalam usahanya melaksanakan perubahan ke arah yang lebih liberal untuk memelihara kedudukannya. - September 9, 2014

Monday, August 25, 2014

Malaysia dalam pergelutan kuasa-kuasa dunia

Tragedi pesawat Penerbangan Malaysia MH17 ditembak di ruang udara Ukraine, di kawasan pertembungan Rusia dengan Barat, memaksa Malaysia terlibat secara langsung dalam satu konflik yang jauh dari sempadan negara.

Tiba-tiba, Malaysia menjadi satu pemain penting dalam satu persaingan antara kuasa besar Amerika Syarikat, sekutunya Ukraine dan Rusia.

Tindakan Malaysia menjadi perhatian kuasa-kuasa yang terlibat, dalam satu pergelutan paling sengit dan panjang antara AS dan Ukraine dengan Rusia yang sedang bangkit dan mahu meneruskan penguasaan terhadap wilayah dekatnya itu.

Wilayah Ukraine di timur Eropah itu, yang selama ini tidak mendapat perhatian Malaysia berbanding rantau Asia Timur, tiba-tiba menjadi salah satu medan diplomasi Malaysia, yang kesannya melibatkan hubungan Kuala Lumpur dengan kuasa-kuasa besar dunia.

Di Asia Barat, nama Malaysia tiba-tiba disebut oleh perisikan Israel sebagai satu lokasi latihan pejuang Hamas, dikatakan untuk satu operasi serangan menggunakan payung terjun.

Pendedahan ini, yang dinafikan segera oleh pemerintah Malaysia, mengheret Malaysia ke dalam konflik bersenjata di Palestin, yang Malaysia diketahui memberi sokongan kepada pihak Palestin.

Dakwaan ini meletakkan Malaysia di barisan yang lebih ke hadapan dalam usaha menentang kekejaman Zionis di Asia Barat, kerana implikasinya memungkinkan tindakan dikenakan ke atas Malaysia.

Malaysia selama ini lebih memberikan sokongan dari jauh, dengan menyampaikan bantuan kemanusiaan dan menjalankan kempen-kempen boikot terhadap syarikat-syarikat yang diketahui mempunyai hubungan dan membantu Israel.

Pada masa yang sama, Malaysia kini juga menjadi salah sebuah negara yang mempunyai ramai warga terlibat dalam konflik bersenjata di Syria dan kawasan sekitarnya.

Malaysia cuba menjarakkan diri daripada tindakan segelintir rakyatnya itu, tetapi perkembangan ini sukar dihalang akibat sentimen yang telah lama dibina dan tersebar dalam kalangan Muslim di sini.

Malaysia yang selama ini menjadi medan persaingan antara kuasa-kuasa dalam dunia Islam terlibat makin mendalam di Syria yang merupakan satu medan pertembungan negara-negara Asia Barat yang bersaing dalam melebarkan pengaruh di dunia Islam.

Perkembangan di Syria - dan juga di Iraq pada masa ini - turut akan mendatangkan implikasi negatif kepada negara, yang akan mendatangkan kesan berpanjangan dan sukar diatasi.

Perkembangan ini semua melibatkan kuasa-kuasa dalam dunia Islam terutama Arab Saudi, Iran, dan Turki, yang semuanya berhubungan baik dengan Malaysia.

Walaupun kecil dan tidak mempunyai pengaruh seperti negara-negara Arab Saudi, Iran dan Turki, sejarah telah menunjukkan yang Malaysia menjadi negara yang diperlukan sokongannya.

Dalam hal ini, Malaysia mempunyai pengaruh tersendiri dalam dunia Islam, disebabkan imej sederhana dan maju yang dibawa.

Dalam tempoh yang singkat tahun ini, dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia semakin terheret dalam isu-isu kritikal politik global yang selama ini dinilai sebagai jauh dari segi geografi dan jarang diteliti secara lebih dalam.

Konflik di Syria telah meningkatkan sentimen sektarian dalam kalangan Muslim di Malaysia sehingga mencetuskan satu krisis.

Tragedi MH370 meletakkan Malaysia di tengah-tengah dalam persaingan kuasa Asia, China, dengan kuasa besar dunia AS.

Kemudian, MH17 sekali lagi menguji Malaysia yang selama ini mengekalkan hubungan baik dengan dua pihak yang bertentangan, AS dan Rusia.

Dalam semua peristiwa ini, Malaysia terpaksa berdepan ujian mengimbangi rakan dan sekutu yang penting. Arab Saudi, Iran, AS, China semuanya rakan yang mempunyai kedudukan dalam kepentingan negara.

Malaysia kini memasuki satu fasa baharu yang lebih mencabar dalam diplomasi dan hubungan antarabangsa, apabila dipaksa berdepan dengan hal politik global yang selama ini dirasakan jauh.

Semua ini menuntut tenaga dan perhatian lebih banyak daripada Malaysia kepada hal diplomasi, dan memerlukan pemerhatian terhadap isu-isu penting melibatkan hubungan kuasa-kuasa, sama ada dalam kalangan dunia Islam dan juga kuasa global. - Ogos 22, 2014

Saturday, July 19, 2014

Implikasi global tragedi MH17

Oleh HARIS ZALKAPLI

Malaysia ditimpa tragedi penerbangan kedua dalam tempoh empat bulan, apabila pesawat Penerbangan Malaysia MH17 terhempas akibat ditembak jatuh di wilayah berkonflik Ukraine, dekat dengan sempadan Rusia.

Kedua-dua insiden malang ini muncul menjadi peristiwa penentu penting dalam geopoltik dunia, dengan Malaysia menjadi negara yang tersepit dan dipaksa memainkan peranan yang kritikal, pada masa sama Kuala Lumpur berusaha mengimbangi kuasa-kuasa besar yang terlibat.

Sejurus laporan dan ulasan peristiwa ini muncul di media, satu konsensus dalam media Barat kelihatan telah dicapai, mengaitkan pemberontak pro-Rusia malah tentera Rusia sendiri sebagai pihak yang bertanggungjawab.

Media Amerika Syarikat dan negara-negara Barat lain telah membina dan terus mengekalkan naratif kaitan kumpulan pemberontak pro-Rusia dan pertanggungjawaban Moskow dengan kemalangan pesawat MH17 sejak awal, dan pada masa sama segera memberi gambaran implikasi geopolitik peristiwa ini.

Presiden AS Barack Obama segera membuat kenyataan amaran kepada Rusia dan pemberontak agar tidak mencemarkan lokasi pesawat terhempas, dan menyatakan kesediaan AS untuk membantu siasatan kepada Presiden Ukraine Petro Poroshenko, yang menyatakan kesediaan menerima penyiasat antarabangsa.

Naib Presiden Joe Biden pula menegaskan yang peristiwa itu bukan satu kemalangan yang tidak disengajakan. Menurutnya, apa yang jelas daripada yang dapat diperhatikan ialah pesawat Malaysia itu ditembak.

Bekas Setiausaha Negara Hillary Clinton menyampaikan kenyataan keras, mengatakan bahawa ada petunjuk kuat yang pemberontak pro-Rusia bertanggungjawab. Tegasnya, tindakan perlu diambil untuk menyampaikan mesej kepada Putin yang beliau telah bertindak berlebihan.

John McCain, senator yang menganggotai jawatankuasa hubungan luar senat, walaupun menegaskan tidak akan menuduh mana-mana pihak selagi tiada bukti, menyatakan yang Rusia bakal berdepan tindakan keras sekiranya terbukti pihak Rusia atau pemberontak pro-Rusia terlibat menembak MH17.

Sekutu kuat AS di Asia Pasifik, Australia juga telah menunjukkan pandangan yang selari dengan AS dan menjadi sekutu paling lantang menyuarakan pandangan yang kritikal terhadap Rusia.

Perdana Menteri Tony Abbott mengatakan di parlimen yang peristiwa itu kelihatan lebih sebagai satu tindakan jenayah berbanding kemalangan.

Abbott turut menegaskan yang Rusia tidak boleh berdiam diri kerana kejadian berlaku di kawasan pemisah yang disokong Rusia.

Implikasi geopolitik insiden ini telah jelas dapat diperhatikan sejak awal, ekoran kenyataan-kenyataan dari Barat dan kedudukan Ukraine sebagai titik panas dalam hubungan Rusia dengan Barat.

Ukraine di bawah kepimpinan baharu kini ialah sekutu rapat Washington dalam persaingan dengan Rusia di wilayah pasca-Soviet yang masih menyaksikan penguasaan dan tindakan agresif Rusia, yang semakin meningkat di bawah Presiden Vladimir Putin kini.

Ukraine menghadapi kebangkitan rakyat yang menjatuhkan pemerintah pro-Moskow pada penghujung 2004 hingga awal 2005, tetapi pemerintah pro-Moskow di bawah Presiden Viktor Yanukovych kembali menang selepas beberapa tahun, hingga dijatuhkan awal tahun ini oleh kelompok pro-Barat.

Sebagai respons, Mac lalu Rusia menakluk Crimea, wilayah Ukraine berbentuk semenanjung di Laut Hitam, dalam satu tindakan mengejutkan dan meningkatkan permusuhan antara Rusia dengan Barat, terutama AS.

Crimea yang terletak dalam kawasan yang lebih cenderung ke Rusia menempatkan pengkalan tentera laut Rusia di Laut Hitam, di Sevastopol.

Pangkalan Sevastopol ialah pangkalan tentera laut Rusia di kawasan penting, di wilayah bersempadan dengan negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, dan tidak beku semasa musim dingin.

Konflik terus berlangsung di Ukraine, apabila kumpulan militan pemisah disokong Rusia terus aktif di wilayah timur Ukraine yang didiami majoriti penduduk cenderung ke Rusia.

Perkembangan terbaharu ini meningkatkan konfrontasi antara Rusia dengan Barat, dan memberi peluang kepada AS dan sekutu meningkatkan tekanan dan mengolah tindakan baharu terhadap Putin dan Moskow.

Ini meningkatkan lagi kepentingan kritikal Malaysia dalam percaturan politik kuasa besar global, yang menyaksikan kemungkinan peningkatan konflik bersenjata.

Tragedi MH17 di Ukraine berlaku kurang sehari selepas AS dan Eropah mengumumkan sekatan baharu terhadap syarikat-syarikat penting Rusia, termasuk institusi kewangan dan syarikat tenaga.

Peristiwa ini sedang menyaksikan kesan negatif kepada Rusia, apabila AS dan sekutu-sekutu telah melemparkan kritikan terhadap Rusia, yang tertumpu pada pertanggungjawaban Rusia kerana membekalkan peralatan perang yang canggih kepada pemisah di Ukraine, negara yang kini dikuasai pemerintah pro-Barat.

Obama, dalam sidang medianya pada Jumaat menegaskan solidariti dengan negara-negara yang terlibat, dan menekankan sekali lagi keperluan kerjasama negara-negara terlibat termasuk Rusia dan agar kawasan kemalangan tidak dicemar dan keperluan penyiasat antarabangsa yang bebas.

Beliau juga menyatakan yang bukti menunjukkan pesawat Penerbangan Malaysia itu ditembak jatuh menggunakan senjata buatan Rusia dari kawasan dikuasai pemberontak, yang kemungkinan besar dibekalkan oleh Moskow kepada pemberontak.

Penyiasat antarabangsa yang bebas ini ditegaskan sejak awal bersama presiden Ukraine dan Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak, yang bermaksud sebagai satu amaran kepada Rusia tidak menghalang siasatan ke atas insiden ini yang berlaku di wilayah dikuasai pemisah pro-Rusia.

Pada Jumaat, penyiasat Organisasi bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah, OSCE, telah tiba di lokasi insiden. Pemberontak dikatakan menghalang akses kepada kawasan pesawat terhempas, dan kemungkinan penglibatan mereka bakal mendorong lagi tindakan menyekat penyiasat luar.

Obama juga dalam ucapan itu menegaskan pendirian AS mendesak gencatan senjata dilaksanakan segera di wilayah berkonflik di timur Ukraine itu.

Kejadian MH17 ini melibatkan pihak utama yang merupakan sekutu rapat AS seperti Belanda, Malaysia, Australia dan Ukraine. Hal ini membolehkan AS memimpin respons terhadap kejadian ini dan kesan-kesannya kemudian.

Dalam sidang media itu Obama juga menegaskan bahawa konflik di Ukraine kini memperlihatkan implikasi globalnya yang tidak boleh diabaikan lagi oleh dunia.

Setakat ini, Washington secara rasmi masih tidak menunjukkan kecenderungan untuk secara terbuka dan keras menekan Rusia, tetapi secara konsisten membina sokongan daripada masyarakat antarabangsa untuk menunjukkan respons yang seragam.

Perkembangan ini bermakna Malaysia kini berdepan kemungkinan menghadapi ujian dalam hubungan dengan Rusia, selepas hubungan dengan China terjejas akibat peristiwa kehilangan MH370 empat bulan lalu.

Najib dijangka menyelaraskan pandangan dan tindakan dengan Washington, seperti yang disaksikan dalam respons terhadap MH370 yang melibatkan AS dan China.

China dan Rusia ialah sekutu yang semakin merapatkan hubungan dan kerjasama dalam politik, perdagangan dan ekonomi sejak kebelakangan ini, yang berjalan selari dengan kemerosotan hubungan dengan AS.

Kedua-dua negara ialah sebahagian daripada lima negara kuasa ekonomi dan politik yang pantas meningkat yang digelar Brics, menggabungkan Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Gabungan ini baru-baru ini mengumumkan penubuhan bank pembangunan yang dilihat sebagai pencabar kepada Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa, IMF, dan pada masa yang sama melaksanakan urusniaga yang meningkatkan profil mata wang yuan China.

Latar ini, walaupun tidak boleh dikaitkan terus dengan insiden MH17 dan respons Barat, menampakkan persaingan global kuasa-kuasa besar terbabit, dan mungkin menambahkan motivasi kepada AS untuk terus menekan Rusia.

Rusia telah kelihatan terkesan akibat insiden ini sejak awal, dan dijangka berdepan lebih tekanan dalam sidang kemuncak Kumpulan 20, G 20, di Australia. Insiden ini bukan pertama kali peristiwa yang memalukan Kremlin berlaku menjelang sidang antarabangsa yang berprofil tinggi.

Perkembangan ini menunjukkan Malaysia kini terlibat lagi dalam persaingan kuasa besar dunia, yang implikasinya bakal mempengaruhi politik global, terutama melibatkan hubungan AS dan sekutu dengan Rusia.

Ini mendedahkan Malaysia kepada cabaran keselamatan yang semakin meningkat, yang disukarkan lagi oleh peranan besar kuasa-kuasa global yang mempunyai hubungan baik dengan Kuala Lumpur. - Julai 18, 2014

Wednesday, July 16, 2014

Peranan Perancis dalam konflik di dunia Islam

Perancis ialah kuasa penjajah yang berperanan besar dalam membentuk Asia Barat seperti yang dikenali hari ini, melalui peranannya menetapkan sempadan baharu bersama Inggeris selepas keruntuhan Empayar Uthmaniyah.

Perancis membentuk Syria dan Lubnan, dua jajahan diperolehinya selepas perpecahan Uthmaniyah, dan bersama Inggeris berperanan membentuk sempadan negara-bangsa yang dikenali di Asia Barat pada hari ini.

Kuasa kolonial Perancis juga sampai ke Afrika, membentuk negara-negara yang berbahasa Perancis dan memilih serta mengekalkan pemerintah-pemerintah diktator hingga ke hari ini.

Selepas berakhir Perang Dunia ke-2, Perancis berundur dari arena antarabangsa, sekurang-kurangnya berundur daripada peranannya sebelum ini, dan mengambil peranan lebih kecil dalam politik dunia.

Walau bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Perancis mula muncul dengan dasar luar agresif di arena antarabangsa, tindakan yang dilihat sebagai satu usaha menempatkan kembali Perancis sebagai kuasa besar berpengaruh.

Pada 2011, Perancis di bawah Presiden Nicolas Sarkozy bersama Inggeris mendepani usaha untuk menjatuhkan pemimpin Libya Muammar Gaddafi yang ditentang pemberontak.

Sarkozy yang mula menjawat jawatan presiden Perancis pada 2007 telah membawa satu haluan baharu dasar luar negara itu, merapatkan hubungan dengan AS dan menyertai semula struktur pemerintahan Nato.

Sarkozy juga menunjukkan pendirian selari dengan AS berhubung Iran, dengan menegaskan yang program nuklear Iran sebagai satu ancaman, hingga menggambarkan yang Iran perlu diserang.

Perancis juga, sebagai salah sebuah negara anggota Majlis Keselamatan PBB, menunjukkan sikap konsisten menyokong resolusi meningkatkan sekatan terhadap Iran.

Paris dan London bersama-sama membina kes untuk campur tangan secara ketenteraan di Libya untuk menewaskan Gaddafi, dan akhirnya menghasilkan Resolusi Majlis Keselamatan 1973 yang diterima pada 17 Mac 2011, menguatkuasakan zon larangan terbang tetapi telah dijadikan alasan membenarkan serangan, dilakukan bersama Amerika Syarikat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato.

Perancis turut menghantar bekalan senjata dan makanan untuk pemberontak Libya, meningkatkan lagi konflik bersenjata di negara Afrika utara itu.

Semasa pertempuran antara pemberontak dan kerajaan Gaddafi berlangsung, Perancis menjadi negara pertama mengiktiraf kerajaan ditubuh pemberontak, Majlis Transisi Nasional, NTC, sebagai kerajaan Libya yang sah, ketika negara-negara lain masih berwaspada dan tidak mahu terburu-buru.

Pada masa itu, Perancis mula mendapat perhatian di peringkat antarabangsa disebabkan tindakannya mendorong dan terlibat dalam operasi tentera di Libya itu hingga akhirnya berhasil menewaskan Gaddafi.

Tindakan Paris itu bertentangan dengan keengganannya menyokong kempen ketenteraan pimpinan AS di Iraq sedekad lalu, hingga menjejaskan hubungan baik dengan Washington.

Kali ini, Paris mendepani usaha memulakan tindakan ketenteraan di sebuah negara asing dan Washington mengikuti dari belakang.

Presiden Barack Obama pada masa itu telah menampakkan kecenderungan untuk tidak terlibat dalam konflik, selepas kompleksiti di Iraq dan Afghanistan yang masih berlarutan.

Di bawah Presiden Francois Hollande, Perancis meneruskan dasar luar campur tangan, dengan menghantar tentera ke Mali dan Republik Afrika Tengah, dua negara bekas jajahannya.

Pada Januari 2013, Perancis menghantar tentera ke Mali untuk menangani konflik di negara yang menghadapi kesan militarisasi konflik Libya itu, dan pada November, tentera Perancis dikerahkan ke Republik Afrika Tengah untuk menangani konflik sektarian antara Kristian dengan Muslim.

Pentadbiran Hollande juga menunjukkan sikap keras terhadap Tehran, seperti yang ditunjukkan oleh Sarkozy. Tentangan Perancis menyebabkan rundingan awal Barat dengan Iran berhubung program nuklearnya gagal mencapai persetujuan.

Di bawah Hollande, konflik di Syria sedang berlangsung, dan Perancis tidak melepaskan peluang mengambil kesempatan ini untuk melonjakkan lagi nama dalam politik global.

Di Syria, Paris sekali lagi menjadi penyokong kuat pihak pemberontak dan menggesa tindakan ketenteraan terhadap rejim yang ditentang.

Pada November 2012, selepas terbentuk gabungan pemberontak Syria yang baharu dan lebih merangkumi pelbagai kumpulan, Perancis menjadi negara Barat pertama mengiktiraf kumpulan itu, Pakatan Nasional Syria, SNC.

Paris menganggap SNC sebagai wakil tunggal rakyat Syria, dan bakal membentuk kerajaan demokratik di negara itu selepas kerajaan Bashar al-Assad digulingkan.

Tindakan Perancis itu, seperti pengiktirafannya untuk kumpulan pemberontak Libya, bertujuan meningkatkan kredibiliti pemberontak Syria - yang sejak awal sentiasa dibelenggu pertikaian dan pergeseran dalaman hingga tidak menampakkan kewujudan pembangkang yang kredibel - dan menggerakkan usaha untuk bertindak keras ke atas Bashar ke hadapan.

Tindakan Perancis itu membawa tekanan kepada negara-negara Barat lain terutama AS untuk turut sama mengiktiraf kumpulan pemberontak itu dan mempercepatkan usaha menjatuhkan Bashar melalui cara ketenteraan.

Tindakan dasar luar Perancis, terutama melibatkan campur tangan ketenteraan, walau bagaimanapun banyak bergantung kepada kesediaan Washington untuk bertindak, seperti disaksikan dalam kes Syria dan Iran.

Hollande lebih bebas bertindak di bekas jajahan Perancis di Afrika, tetapi memerlukan kerjasama AS dan sekutu-sekutu Barat untuk bertindak di Asia Barat dan Afrika Utara.

Di Libya, tindakan ke atas Gaddafi dapat diambil segera, antaranya disebabkan kepentingan Inggeris dan negara Eropah lain dari sudut ekonomi dan pada masa sama kesediaan Obama menyokong tindakan itu.

Di Syria, bekas jajahan Perancis di Asia Barat, keadaan jauh lebih kompleks berbanding Libya, dan Damsyik turut mempunyai sekutu kuat, Iran dan Rusia yang memberikan bantuan sokongan politik dan ketenteraan.

Bermula dengan Sarkozy dan diteruskan oleh Hollande, dasar luar baharu ini menampakkan kesediaan Perancis untuk mengambil posisi yang lebih tinggi dalam politik serantau Asia Barat dan Afrika Utara, dan konflik di Syria telah menyediakan peluang kepada Paris untuk menggerakkan agendanya.

Kepentingan politik domestik memainkan peranan dalam mendorong tindakan Sarkozy dan Hollande, tetapi haluan dasar luar bukan digerakkan semata-mata oleh perkiraan politik pilihan raya.

Perancis mempunyai kepentingan untuk muncul sebagai sebuah kuasa yang disegani dan diyakini dalam politik antarabangsa, pada masa seluruh rantau Asia Barat dan sekitarnya berdepan perubahan yang meluas.

Pada masa pengaruh AS semakin merosot dan menumpukan perhatian kepada Asia Timur yang sedang berdepan kebangkitan pantas China, Perancis melihat peluangnya untuk menjadi kuasa dunia berpengaruh. - Julai 7, 2014

Sunday, July 13, 2014

Gaza diserang, siapa bantu Hamas hadapi serangan Israel?

Setiap kali berlaku serangan ke atas Gaza di Palestin, atau sebarang konflik dalam wilayah dunia Islam, Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC, sering disebut dalam kenyataan-kenyataan, mendesak pertubuhan terbesar masyarakat Islam dunia itu bertindak.

Malangnya, realiti politik aliansi global tidak membenarkan peranan yang besar itu diambil oleh OIC, sebuah pertubuhan yang dikuasai oleh Arab Saudi dan tidak melibatkan diri dalam isu politik yang rumit.

Negara-negara Arab yang secara tradisi menguasai dunia Islam dan sekaligus OIC ialah Arab Saudi dan Mesir, dua negara yang juga sekutu kuat Amerika Syarikat.

Dua negara ini ialah negara yang tidak senang dengan Ikhwan al-Muslimin dan Hamas, kumpulan yang umumnya berkongsi falsafah perjuangan yang sama.

Maka, amat sukar untuk melihat OIC yang dikuasai Saudi dan Mesir berupaya mengambil tindakan yang tegas dalam isu Palestin.

Mesir di bawah Abdel Fatah al-Sisi kini lebih kuat memusuhi dua kumpulan ini, dan tidak dapat diharapkan sama sekali untuk membantu dalam kes Gaza.

Dalam dunia Arab, politik serantau seperti konflik Syria dan Iraq biasanya ditangani melalui Liga Arab, yang kini juga dikuasai oleh Arab Saudi dan sekutu-sekutunya di Teluk Parsi.

Tindakan paling tegas diambil oleh Liga Arab sejak beberapa tahun lalu, pada 2011, ialah menggantung keahlian Syria, dalam satu tindakan yang memperlihatkan persaingan serantau melibatkan konflik di negara itu.

Syria yang bersekutu dengan Iran sejak 1979 kini digugat oleh Saudi, Qatar, Turki dan negara sealiran yang lain dalam usaha melemahkan paksi Syria-Iran dan kumpulan-kumpulan yang disokong mereka, yang paling utama Hizbullah dan Hamas.

Syria dan Iran - dan juga Sudan - memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kekuatan persenjataan Hamas dan Hizbullah dalam berdepan dengan Israel.

Syria dan Iran ialah pembekal utama senjata kepada Hamas dan Hizbullah, yang menjadi satu sebab AS yang melindungi Israel mahu pakatan Syria-Iran diputuskan.

Selain dua negara itu, Sudan berperanan sebagai satu saluran bekalan senjata dari Iran ke Hamas dan Hizbullah. Kilang senjata, yang satu destinasinya utamanya ialah Gaza, turut beroperasi di wilayah Sudan.



Pada tahun 2012, sebuah kilang senjata di Sudan, tidak jauh dari Khartoum, dibom, dipercayai oleh Israel sebagai usaha menjejaskan bekalan senjata kepada musuhnya di Gaza dan Lubnan.

Kilang tersebut dikatakan dimiliki oleh Iran, dan dioperasikan untuk membekalkan senjata kepada musuh-musuh Israel di kawasan Syam.

Sudan sebelum itu pada 2009 menjadi sasaran serangan udara, dipercayai oleh AS ke atas konvoi membawa senjata. Satu serangan pada Januari dan satu lagi pada Februari, 2009, dilaporkan mengorbankan 88 orang.

Hari ini, Iran masih membekalkan senjata kepada Hamas - dan juga semakin banyak kepada Jihad Islami - yang berdepan dengan serangan Israel.

Realiti politik serantau menunjukkan yang kuasa-kuasa Arab tidak diyakini untuk berdepan secara tegas dengan Israel, akibat pelbagai kepentingan dan keterbatasan.

Sebuah lagi negara Islam, Turki, telah menunjukkan kesediaan berdepan dengan Israel pada tahap tertentu, tetapi kedudukannya sebagai anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, menghalangnya daripada bertindak lebih tegas.

Realiti politik rantau Arab mendedahkan kompleksiti yang menjadikan sebarang tindakan tegas ke atas Israel sukar dilakukan oleh kuasa-kuasa Arab, terutama Mesir yang bersempadan dengan Gaza, yang kini dipimpin oleh al-Sisi.

Kekuatan dan iltizam politik yang lebih kuat diperlukan oleh kerajaan-kerajaan negara Islam untuk membantu umat di Palestin.

Ini tidak bermakna usaha membantu terhad kepada kerajaan, kerana pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan telah menunjukkan kemampuan dalam membantu warga Palestin. Tetapi, realiti politik melibatkan persaingan kuasa-kuasa di dunia Islam ini menjadikan penyelesaian masalah Palestin menjadi semakin sukar, dan bermakna serangan ke atas Gaza akan terus berulang.

Dalam menangani isu kekejaman Israel, selain bantuan kemanusiaan, penyelesaian politik tetap diperlukan kerana faktor kuasa negara yang menjadi penentu besar dalam hal ini.

Tetapi, pada masa sama, perhatian yang serius juga perlu diberikan pada umat Muslim di negara-negara lain yang juga berdepan kezaliman seperti di Burma, Thailand, Filipina, dan Sri Lanka. - Julai 11, 2014

Thursday, July 3, 2014

Isytihar tubuh khilafah, sejauh mana ISIS dapat sokongan?

Kumpulan Negara Islam di Syria dan al-Syam, ISIS, telah mengumumkan penubuhan pemerintahan khalifah dari kedudukannya di Syria dan Iraq, dan turut mendakwa mewakili umat Muslim di seluruh dunia.

Kumpulan ini, yang dalam bahasa Arab dikenali dengan nama singkatan Da'ish, telah mengubah nama kepada Negara Islam atau Daulah Islamiyah, untuk mencerminkan sifatnya yang global.

Selain Syria dan Iraq, ISIS mempunyai pengaruh di seluruh dunia Arab, malah hingga ke Indonesia di Asia Tenggara. Selepas berjaya menawan kawasan luas di Iraq, ISIS dilihat akan meluaskan operasi hingga ke Lubnan, sebuah lagi negara yang mempunyai populasi Syiah yang besar.

ISIS bermula sebagai al-Qaeda di Iraq, yang aktif dan berkembang sepanjang konflik pascaperang selepas pemerintahan Baath dijatuhkan.

Ekoran konflik berpanjangan di Syria, ISIS mendapat manfaat melalui sentimen yang berleluasa akibat pertembungan sektarian dan kempen "jihad" menentang pengaruh Syiah, yang bermakna Syria dan Iraq menjadi medan yang tidak dapat dipisahkan.

Perkembangan ini menjadikan ISIS dikenali dengan kawasan baharunya Iraq dan al-Syam, kawasan yang meliputi timur Mediterranean, dari selatan Turki hingga utara Mesir.

Kemunculan militan pimpinan Abu Bakr al-Baghdadi ini mengisytiharkan negara Islam ini bermakna gerakan militan global kini mempunyai sebuah kumpulan yang boleh dilihat sebagai pemimpin.

Kumpulan ini kini dijangka akan mengatasi al-Qaeda dari segi tarikan kepada mereka yang ingin menyertai gerakan militan bersenjata, ekoran kejayaannya dilihat sebagai mempunyai kuasa ke atas sebuah wilayah dan mendapat sokongan popular.

Kejayaan menawan satu wilayah besar di Iraq dinilai sebagai satu kemenangan terhadap "agen Iran" yang menguasai Iraq, terutama pemimpinnya Perdana Menteri Nouri al-Maliki yang telah menjalankan dasar anti-Sunni sejak sekian lama.

ISIS kini mendepani penentangan terhadap Syiah dan Iran, dan setakat ini, boleh disifatkan sebagai berjaya mencapai misi menubuhkan khilafah atau pemerintahan sentral bagi umat Muslim yang menjadi cita-cita kumpulan-kumpulan Islam Sunni pelbagai kecenderungan, daripada Ikhwan al-Muslimin, kepada Hizb al-Tahrir.

Dari sudut perjuangan radikal dan bersenjata, ISIS juga kini mempunyai imej sebagai kumpulan bersenjata yang berjaya, terutama ekoran kejayaan simbolik menawan utara Iraq dengan pantas.

Pengumuman ISIS ini baharu sahaja berlaku. Tindakan ini dilihat sesetengah pihak sebagai hanya satu kempen publisiti dan tidak akan bertahan lama, ekoran sokongan yang bakal merosot selepas tempoh tertentu dan kekuatan ISIS untuk bertahan.

ISIS sukar untuk mendapat sokongan negara serantau, yang bimbang dengan kebangkitan kumpulan militan itu, dan dijangka akan mengambil langkah untuk mengekang dan menentangnya.

Kumpulan ini juga dilihat sebagai ancaman oleh kuasa-kuasa yang bertentangan dalam politik serantau Asia Barat, iaitu Iran dan Arab Saudi.

Tindakan ISIS di Iraq menggugat pengaruh Iran di negara yang semakin terpecah itu, dan pada masa sama mencemaskan Arab Saudi, sekutunya Jordan yang lebih dekat dengan Iraq, Turki yang bersempadan dengan Iraq, dan negara-negara Arab Teluk Parsi. 

Iran menentang kumpulan-kumpulan militan seperti al-Qaeda, ISIS dan kumpulan-kumpulan militan yang terlibat menentang sekutunya Bashar al-Assad di Syria dan pada masa sama turut memerangi Syiah.

Penentangan kumpulan-kumpulan ini, yang disifatkan oleh Iran sebagai berideologi takfiri, menentang pemerintah Syria sebagai sebahagian perang terhadap pengaruh Syiah di dunia Arab.

Di Syria, Hizbullah telah turut terlibat dalam konflik bersenjata menentang militan pemberontak yang memerangi pemerintah Syria yang merupakan sekutu kuat Hizbullah dan Iran.

Arab Saudi juga semakin bimbang dengan peningkatan kumpulan-kumpulan ekstremis seperti al-Qaeda dan ISIS sendiri, yang berpendirian keras menentang pemerintahan monarki Saudi yang tidak selari dengan pemerintahan cara Islam.

Pemerintahan monarki Saudi dan negara-negara Arab Teluk dan Jordan dilihat oleh kelompok ektremis sebagai satu penghalang kepada penubuhan pemerintahan Islam.

Riyadh sejak kebelakngan ini telah menunjukkan perubahan sikap apabila meningkatkan usaha mengekang militan, termasuk melalui kerjasama dengan Amerika Syarikat.

Malangnya, Saudi dan Qatar menjadi pihak yang memberi sumbangan paling besar kepada percambahan kumpulan dan ideologi militan melalui sokongan mereka kepada kumpulan-kumpulan militan yang memberontak menentang pemerintah Syria.

Terbaharu, AS merancang membelanjakan AS$500 juta untuk membiayai pembangkang "moderat" untuk menentang Bashar, tindakan yang bakal meningkatkan lagi militarisasi konflik Syria, yang tidak akan dihadkan oleh sempadannya.

Secara spesifik, tidak dapat dikaitkan dengan pasti sumbangan dan sokongan Riyadh secara rasmi kepada ISIS seperti yang wujud pada hari ini, tetapi lambakan wang dan senjata, propaganda berideologi ekstrem yang digerakkan sepanjang kempen Syria telah menyediakan medan yang subur untuk kumpulan seperti ini tumbuh dan berkembang.

Pada masa ini, pihak yang paling rugi akibat kebangkitan ISIS yang paling jelas ialah pemerintah pusat Iraq yang berpotensi kehilangan wilayah dan sumber, dan berdepan negara yang semakin tergugat keselamatannya.

Iran turut berdepan kerugian apabila negara sekutu yang dikuasainya - walaupun bukan sepenuhnya - ditawan kumpulan militan yang menewaskan tentera kerajaan, yang membawa mesej sekutunya di Iraq lemah dan tidak popular. 

Ekoran kejayaannya di Iraq dan pengumuman penubuhan pemerintahan khalifah, ISIS kini muncul sebagai pemimpin baharu gerakan militan global, dan kelihatan sedang menggantikan peranan yang dipegang oleh al-Qaeda.

ISIS bakal membawa semangat militan ini ke peringkat lebih tinggi akibat perkembangan semasa yang menyaksikan konflik yang semakin dahsyat.

Pada masa sama, ISIS juga meneruskan dan meningkatkan pertembungan sektarian di rantau Asia Barat dan juga seluruh dunia Islam melalui mesej yang disampaikan melalui perjuangan mereka.

Akibatnya, dunia Islam kini berdepan satu lagi cabaran besar, menambahkan krisis dan konflik akibat kebangkitan massa di Asia Barat dan Afrika terus menyaksikan kesannya. - Jun 30, 2014

Sunday, June 15, 2014

ISIS di Iraq: Punca dan implikasi

Kumpulan militan Negara Islam di Iraq dan Syam, yang lebih dikenali dengan singkatan nama dalam bahasa Inggeris, ISIS, dengan agak mudah menawan dan menguasai satu bahagian besar wilayah utara dan barat Iraq, bermula di sempadan dengan negara jiran Syria hingga menghampiri ibu negara Baghdad.

Negara yang menjadi medan persaingan kuasa Arab Saudi yang memimpin sikap dunia Islam Sunni dengan Iran yang mewakili Syiah itu kini berdepan risiko semakin berpecah berdasarkan garis mazhab dan etnik, dan perluasan penguasaan ISIS kini menampakkan dengan jelas lagi perang proksi antara Riyadh dengan Tehran.

Kumpulan ekstremis yang satu ciri utamanya ialah sikap anti-Syiah dan sekutu telah menunjukkan kecenderungan politiknya sejak awal kegiatan, yang memuncak semasa konflik menentang pemerintah Syria - medan ISIS membina pengaruh hingga muncul dengan kekuatan seperti disaksikan hari ini - yang disokong Iran dan mendapat bantuan gerakan militan Syiah Lubnan, Hizbullah.

ISIS menampakkan sikap politik anti-Syiah dan sekutu dalam konflik Syria, dengan penentangan terhadap rejim Bashar al-Assad dilakukan sebagai satu penentangan terhadap paksi Syria-Iran.

Seperti dijelaskan oleh namanya, rancangan besar ISIS ialah menubuhkan sebuah negara Islam menurut tafsirannya di Iraq dan Syam, satu kawasan besar meliputi Iraq yang majoriti penduduknya Syiah dan Syam yang turut meliputi Syria.

ISIS kelihatan mendapat sokongan oleh satu jumlah besar Muslim Sunni yang dipengaruhi fahaman anti-Syiah dan yang beraliran Wahabi, ekoran eksploitasi sentimen sektarian ekoran konflik di Iraq dan Syria.

Keruntuhan Iraq selepas perang yang menampakkan dengan lebih jelas perbezaan mazhab dan konflik di Syria yang sering digunakan oleh pihak berkepentingan untuk menunjukkan perbezaan mazhab bagi memarakkan persengketaan.

Kedua-dua Iraq dan Syria berjaya dijadikan medan disebabkan ketiadaan undang-undang dan kestabilan, dan ketegangan yang tinggi akibat konflik memudahkan sentimen sektarian dimainkan, dan memudahkan pemerolehan senjata.

Ketiadaan kerajaan yang efektif di kedua-dua Iraq dan Syria memudahkan kumpulan-kumpulan militan termasuk ISIS bergerak dan meluaskan pengaruh, dan kesediaan kuasa-kuasa berkepentingan menyalurkan senjata meningkatkan lagi keadaan ganas yang sedia berleluasa.

Sentimen persengketaan mazhab meningkat selepas kejatuhan rejim Baath Iraq - yang walaupun sekular, masih mewakili minoriti Sunni negara itu - dan pilihan raya yang menyaksikan penguasaan politik Syiah, sehingga menimbulkan kebimbangan kuasa-kuasa serantau yang bimbang dengan peningkatan Syiah di rantau Arab, yang kuasa sentralnya ialah Iran.

Berlatarkan perkembangan ini, sentimen anti-Syiah digerakkan dengan agresif, yang dijelaskan mengapa sasaran utama kegiatan ISIS ialah Iraq dan Syria, dua wilayah yang Iran berjaya membina dan mengukuhkan pengaruh.

Pada masa sama, rejim-rejim di seluruh dunia Arab yang korup dan tidak mentadbir berdasarkan prinsip Islam meningkatkan lagi sentimen untuk membangunkan "negara Islam" oleh kumpulan-kumpulan seperti ISIS, dengan pelaksanaan peraturan dan undang-undang yang bersumber Islam menurut tafsiran mereka.

Di Syria, ISIS semakin kukuh ekoran bekalan persenjataan yang canggih dibiayai oleh kuasa serantau seperti Arab Saudi dan Qatar yang sampai ke negara itu, serta kemasukan Muslim dari seluruh dunia untuk turut serta berjuang menentang rejim Bashar.

Kemasukan ramai pejuang asing menyumbang kepada keadaan yang kini disaksikan di Syria dan Iraq, yang sebahagian besarnya melibatkan sentimen ekstrem yang berleluasa hasil konflik di Syria dan Iraq.

Konflik di kedua-dua Iraq dan Syria menyediakan medan yang subur untuk kegiatan militan, dan lebih buruk lagi, digerakkan oleh sentimen ekstrem untuk kepentingan kuasa-kuasa serantau dan global yang mempunyai agenda yang merosakkan.

Tetapi, dalam kes Iraq, pemimpin Nouri al-Maliki yang berfahaman Syiah juga berperanan dalam menyuburkan konflik sektarian di negara dilanda perang itu, ekoran dasar anti-Sunni dan dendam kelompoknya terhadap minoriti Sunni yang menguasai Iraq selama ini.

Hal ini memungkinkan satu bentuk kerjasama Baath Iraq yang telah tersingkir dengan ISIS atau mana-mana kumpulan anti-Syiah, dalam usaha menentang kerajaan al-Maliki dan Syiah yang menguasai Iraq.

Perkembangan yang sedang berlaku di Iraq ini membuka satu fasa baharu, dan tidak akan reda dalam masa terdekat. Iraq kini memperlihatkan kesan daripada konflik Syria yang menjadi medan persaingan kuasa serantau, pada masa sama Iraq telah lebih 10 tahun menjadi medan persaingan yang sama.

Semua ini, berkait dengan kebangkitan Arab yang memuncak pada 2011, yang di Syria menjadi konflik bersenjata ekoran campur tangan asing dengan agenda masing-masing.

Paling utama, perkembangan ini mendedahkan kelemahan umat Muslim di rantau Arab dan juga seluruh dunia yang terlibat, yang menjadi alat menyumbang kepada lebih banyak kerosakan. - Jun 13, 2014

Friday, June 13, 2014

Obama, presiden pasca-Amerika

Oleh HARIS ZALKAPLI

Ucapan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di akademi tentera di West Point telah menegaskan satu pendirian menolak campur tangan ketenteraan di luar negara, satu pendirian yang bertentangan dengan haluan utama dasar luar AS selama berdekad lalu, terutama presiden Republikan terakhir George W Bush.

Dinilai sebagai ucapan mempertahankan dasar luarnya yang dilihat sebagai gagal, lemah dan tidak terfokus, ucapan Obama dengan tegas mempersoalkan pendekatan memilih penyelesaian ketenteraan melibatkan konflik di seluruh dunia, termasuk fahaman campur tangan kemanusiaan yang menjadi pegangan golongan liberal antarabangsa.

Ucapan menggariskan dasar luar Obama itu menegaskan kepercayaan beliau terhadap kedudukan istimewa AS di arena antarabangsa, yang mungkin tidak bermakna bagi pengkritik beliau kerana keengganan memilih penyelesaian ketenteraan di Syria.

Menurutnya, penting untuk AS pada masa ini memilih kerjasama multilateral dan mematuhi norma dan undang-undang antarabangsa, sesuatu yang lebih menjelaskan lagi haluan berbeza dasar luar beliau. Tegas Obama, keperluan tindakan unilateral AS perlu dikurangkan, dan memilih kerjasama multilateral tidak wajar dinilai sebagai satu kelemahan.

Obama menyebut contoh-contoh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa, IMF, empat pertubuhan yang dikuasai AS - sama ada sepenuhnya atau sebahagian - sebagai contoh kebaikan multilateralisme.

Obama dengan jelas mengatakan yang beliau tidak menentang tindakan ketenteraan termasuk secara unilateral, tetapi hanya sekiranya kepentingan hakiki AS tergugat, dan bukan bertindak dengan menganggap penyelesaian ketenteraan sebagai jawapan kepada semua masalah.

Sepanjang ucapannya, Obama menggunakan kata multilateral sebanyak tiga kali, sokongan, pendapat, norma dan undang-undang antarabangsa sebanyak 11 kali, termasuk sekali menyebut konvensyen undang-undang laut ketika mengajak kongres meratifikasikan penerimaan AS terhadap peraturan itu, dan kata rakan dan perkongsian sebanyak 16 kali.

Isu Syria, yang bermula pada 2011 dan masih tidak menunjukkan tanda akan berakhir segera, jelas sekali menjadi isu utama dasar luar di bawah Obama, mencetuskan debat panas di Washington, dalam kalangan komuniti dasar luar daripada penasihat sekeliling Obama, ahli-ahli politik di kongres, hingga kepada tokoh kumpulan pemikir dan akademik.

Jawapan paling utama yang diberikan dalam ucapannya itu ialah berhubung konflik Syria, yang menjadi punca dasar luar beliau dikritik sebagai lemah dan tidak tegas kerana tidak bertindak secara ketenteraan terhadap rejim Bashar al-Assad. Persepsi tentang kelemahan dasar luar beliau ditambah lagi dengan peristiwa di Ukraine, apabila Rusia merampas Crimea, dan kemudian di Asia dengan China yang semakin agresif dan angkuh terhadap sekutu-sekutu AS.

Konflik di Syria kini telah menjadi satu penanda pembentukan satu orde dunia yang baharu. Konflik ini menyaksikan peranan kuasa-kuasa sedang meningkat seperti Turki, Iran, dan Qatar dan keupayaan Rusia dan China mengimbangi AS dan kuasa-kuasa Barat.

Di Syria, Rusia - dan juga Iran - telah dilihat berjaya menahan kemaraan orde dunia yang dibawa AS, dengan melawan norma, peraturan dan pandangan alam AS dan sekutu-sekutu Baratnya dengan tegas. Hal ini ditambah lagi dengan tindakan Rusia di Ukraine, yang menampakkan dengan jelas lagi realiti dunia yang pantas menuju keadaan pasca-Amerika. Kemudian, tidak lama selepas itu, Rusia mengukuhkan aliansi dengan China, yang turut mempunyai visi anti-AS yang jelas.

Perkembangan ini semua menunjukkan satu perubahan orde dunia yang sedang berlangsung, yang menunjukkan kedudukan AS yang jauh daripada realiti dunia pada awal 1990-an semasa AS di puncak dunia unipolar. Hal ini mungkin menjadi faktor yang meresahkan ramai pihak di AS, sehingga mencetuskan reaksi yang kuat terhadap dasar luar Obama yang dilihat sebagai lemah.

Obama mengambil alih tampuk pemerintahan AS pada masa dunia termasuk AS sendiri mengalami perubahan, melibatkan kuasa-kuasa lain yang semakin kuat dan yakin, yang bermakna secara relatif kekuatan AS mula merosot, dan dunia yang seperti disaksikan pada hari ini ialah hasil daripada perkembangan ini, yang sukar dielakkan dan mempengaruhi pendirian Obama ini.

Obama walau bagaimanapun menegaskan yang AS terus menyokong kerajaan baharu Mesir, disebabkan pertimbangan dasar luar di Asia Barat yang meletakkan keselamatan Israel dan pengekalan rejim yang mesra AS atau tidak menunjukkan penentangan terhadap penguasaan AS di rantau itu. Malah, pada 2009, beliau meningkatkan kerahan tentera AS ke Afghanistan, dan turut meningkatkan serangan dron di Afghanistan dan Pakistan.

Tetapi secara keseluruhannya, Obama menumpukan pada visi dasar luar idealistik sambil memberi jawapan kepada pilihan dasar luarnya kepada pengkritik. Pengkritik Obama tetap melihat isu pilihan untuk campur tangan di Syria sebagai penegasan kedudukan istimewa dan kekuasaan AS memelihara orde dunia yang dipimpin kuasa besar itu.

Obama tetap dilihat sebagai tidak mampu memimpin di pentas dunia, walaupun menegaskan yang beliau masih percaya dengan kedudukan istimewa AS dan hanya AS yang dapat memainkan peranan kepimpinan.

Ucapan Obama menggambarkan AS sebagai satu kuasa yang sedang merosot, dengan pilihan dan peranan kepimpinan yang semakin mengecil, seiring dengan peningkatan kuasa-kuasa lain di dunia. - Mei 29, 2014
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...