Oleh HARIS ZALKAPLI
Di
dunia Arab, tiga negara kini berada di barisan paling hadapan dalam
kempen menentang kebangkitan Ikhwan al-Muslimin; Arab Saudi, Mesir, dan
Emiriyah Arab Bersatu (UAE), yang mendapat sokongan rejim-rejim Arab
lain.
Di satu pihak lain, Qatar dan Turki menjadi penyokong
kuat Ikhwan, dengan Qatar menjadi pendana dan pelindung politik utama
kepada Ikhwan di seluruh dunia Arab. Turki di bawah Recep Tayyip Erdogan
dan Ahmet Davutoglu turut menjadi sekutu rapat Ikhwan. Hamas berada
dalam kem yang sama dengan Ikhwan al-Muslimin, dan pada dasarnya boleh
dianggap sebagai sebahagian Ikhwan, walaupun pecahan dalam agak lebih
kompleks.
Satu pihak lagi ialah Iran dan Syria, dan
sekutu-sekutu bukan negara mereka seperti Hizbullah, Hamas, dan Jihad
Islami. Kumpulan ini dimusuhi oleh kedua-dua kumpulan di atas kerana
pelbagai isu terutama melibatkan penguasaan di dunia Arab.
Perkembangan
yang berlaku di dunia Arab pada masa ini, yang ada kalanya tidak
dikaitkan dengan kebangkitan Arab yang bermula pada 2011 seperti
pergolakan terkini di Yaman dan tekanan ke atas Syeikh Dr Yusuf
al-Qaradawi berkait langsung dengan kempen anti-Ikhwan dan anti-Qatar
oleh kuasa-kuasa lama Arab.
Mesir yang dikuasai Ikhwan,
yang disokong Qatar telah ditamatkan riwayatnya dengan kejatuhan
Presiden Mohamed Morsi. Kuasa baharu di sana kini disokong oleh Arab
Saudi dan sekutunya di Teluk, Emiriyah dan Kuwait.
Sejurus
selepas Morsi dijatuhkan, Arab Saudi, Emiriyah dan Kuwait segera
menjanjikan bantuan sebanyak AS$12 bilion, sebagai usaha mengatasi
pengaruh Qatar dan menarik Mesir ke pihak mereka.
Ini
bermakna, tindakan Mesir terhadap al-Qaradawi dan Ikhwan ini berkait
langsung dengan kepentingan bersama Saudi, Emiriyah dan Kuwait yang kini
menjadi pendukung Mesir.
Dalam
usaha mengekang kebangkitan Qatar dan Ikhwan, pakatan Saudi, Mesir dan
Emiriyah meningkatkan tekanan ke atas Qatar yang kini diperintah oleh
emir baharu yang jauh kurang pengaruhnya berbanding emir sebelumnya.
Qatar
menjadi sasaran penting kerana sebagai pendana dan pendukung Ikhwan,
Qatar yang lemah akan bermakna Ikhwan di seluruh dunia Arab akan
kehilangan penaung dan turut menjadi semakin lemah.
Qatar
mempunyai dua aset penting sebagai instrumen dasar luarnya yang
digunakan untuk mengukuhkan pengaruh, sambil membina orde baharu Ikhwan
di dunia Arab, yakni stesen televisyen al-Jazeera dan ilmuan
al-Qaradawi. Tindakan ke atas al-Qaradawi mampu melemahkan Qatar yang
bergantung kepada
ilmuan ternama ini untuk keabsahan dan prestij dalam dunia Islam.
Sejak
beberapa tahun kebelakangan ini, Qatar semakin tidak disenangi
negara-negara Arab lain kerana dasar luarnya itu, tetapi tindakan
terhadapnya hanya dapat dilakukan dengan lebih kuat selepas emir lama
turun takhta dan pakatan baharu dikukuhkan antara negara-negara Arab
anti-Ikhwan.
Antara rungutan utama Emiriyah ialah al-Qaradawi
yang lantang bersuara menyokong Ikhwan di negara jiran Qatar itu, selain
menunjukkan sokongan kepada Ikhwan di Mesir, negara asalnya yang kini
dikuasai oleh kem anti-Ikhwan.
Al-Qaradawi telah
menunjukkan sokongan terhadap dasar luar Qatar dan Ikhwan serantau.
Beliau memberi sokongan kepada Ikhwan di Emiriyah, Mesir dan menyatakan
sokongan jelas kepada Erdogan semasa menjadi perdana menteri Turki dalam
kes protes di Gezi, yang disifatkan Qaradawi sebagai satu "plot
antarabangsa" untuk menjatuhkan Erdogan.
Tindakan
memanggil pulang duta dari Qatar diketuai oleh Saudi beberapa bulan
lalu memulakan satu tindakan bersepadu terhadap negara pangkalan Ikhwan
itu. Tindakan protes itu didorong oleh isu utama dasar luar Doha yang
menyokong Ikhwan, dengan al-Qaradawi menjadi satu senjata pentingnya.
Selepas
itu, dapat diperhatikan yang Qatar mula menunjukkan perubahan sikap,
walaupun sedikit, dalam mengimbangi hubungannya dengan Ikhwan dan
negara-negara jiran yang bersama dalam pertubuhan serantau Majlis
Kerjasama Teluk, GCC.
Terkini, Qatar menunjukkan pemulihan
hubungan dengan Mesir yang diperintah oleh Presiden Abdel Fatah al-Sisi,
yang mengetuai usaha menjatuhkan Morsi pada Julai tahun lalu.
Ini
didorong oleh tekanan oleh pakatan anti-Qatar dan anti-Ikhwan yang
semakin kuat dan bertekad untuk menamatkan gelombang kebangkitan
Ikhwan al-Muslimin di dunia Arab. Kempen inilah juga yang mendorong
tindakan diambil ke atas ilmuan al-Qaradawi, dan Interpol kemudian
mengeluarkan notis tangkapan beliau.
Tindakan ke atas
al-Qaradawi ini menunjukkan yang pengaruh Qatar dalam politik serantau
semakin lemah pada masa ini, dan negara-negara kuasa lama Arab sedang
meningkatkan kembali penguasaan.
Hal ini juga sedang
menyukarkan lagi politik dunia Islam akibat perpecahan dalaman dan
persaingan kuasa yang sengit, menambahkan lagi realiti kompleks dalam
era kebangkitan pada masa ini. - Disember 19, 2014
No comments:
Post a Comment