Sunday, April 27, 2014

Demo Dataran Merdeka boleh jatuhkan Najib?

Demonstrasi membantah cukai barangan dan perkhidmatan dijadual pada 1 Mei nanti, dekat Dataran Merdeka, tempat yang masih tidak dapat dijadikan lokasi sentral protes oleh Pakatan Rakyat dan penyokong.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan lokasi pilihan tetap Dataran Merdeka walau apa pun yang menghalang.

Dalam siri demonstrasi sebelum ini, Dataran Merdeka sentiasa tersenarai sebagai salah satu lokasi, tetapi bukan lokasi utama yang menjadi pusat protes di ibu negara.

Kawasan yang biasa dipenuhi ialah sekitar depan Dataran Merdeka hingga ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India, tetapi bukan betul-betul di atas padang Dataran Merdeka.

Sebelum ini pernah diadakan protes menduduki Dataran Merdeka, yang dikreditkan sesetengah pihak sebagai melahirkan gerakan Occupy antarabangsa.

Aksi protes ini walau bagaimanapun ditamatkan dengan segera dan tegas oleh pihak berkuasa, yang mungkin menyedari kelebihan yang dimiliki pihak memprotes dengan menduduki lokasi itu.

Kesedaran pihak berkuasa ini dipercayai menjadi sebab sentiasa ada halangan untuk perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka. Terbaharu, perhimpunan tidak dibenarkan kerana sedang dijalankan penambahbaikan kawasan terbabit.

Di tengah bandar Kuala Lumpur, Dataran Merdeka ialah lokasi simbolik dan sentral yang paling menarik untuk dijadikan lokasi protes besar-besaran.

Di negara-negara lain yang telah menyaksikan protes, terutama yang berjaya mencapai matlamat menjatuhkan pemerintah, protes mengambil lokasi dataran utama di ibu negara, seperti Dataran Merdeka di Kiev, Ukraine, Medan Tahrir di Kaherah, Mesir, dan Bulatan Mutiara di Manama, Bahrain.

Kuasa tersendiri lokasi simbolik dan sentral itu menghadirkan sekali pelbagai faktor lain yang membantu protes, termasuk akses dan perhatian segera.

Di Bahrain, pihak berkuasanya akhirnya merobohkan monumen sejarah berbentuk mutiara yang menjadi titik fokal Bulatan Mutiara, dalam usaha menamatkan terus kewujudan lokasi penting itu.

Bahrain, negara yang menyaksikan kebangkitan rakyat hampir sekitar setahun sebelum kebangkitan di Tunisia yang dinilai sebagai permulaan kebangkitan Arab akhirnya menyaksikan kemerosotan kekuatan protes terhadap pemerintah selepas lokasi simbolik itu dimusnahkan, ditambah dengan pelbagai faktor dalaman dan juga geopolitik melibatkan kuasa-kuasa serantau dan Amerika Syarikat.


Menurut taktik-taktik yang disenaraikan oleh pengkaji kebangkitan sivil, Gene Sharp dan kemudian dikembangkan lagi oleh aktivis global, lokasi simbolik penting untuk diduduki dan dijadikan kubu kepada gerakan protes.

Mesir dan Ukraine membuktikan kuasa lokasi simbolik dan sentral itu, yang menjadi penyumbang besar kepada kejayaan protes, dan dalam kes Ukraine, lebih daripada sekali.

Protes di lokasi utama, dalam kes Malaysia Dataran Merdeka, memberi nilai sentimen politik yang tinggi akibat kedudukannya dalam sejarah negara, selain kelebihan lain seperti akses yang mudah.

Walau bagaimanapun, Dataran Merdeka tidak berjaya dijadikan sebagai lokasi utama demonstrasi di negara ini, seperti halnya melibatkan Mesir dan Ukraine.

Lokasi protes di Kuala Lumpur biasanya berubah-ubah, dengan penetapan dilakukan pada saat-saat akhir dan melibatkan banyak tempat sekaligus, walaupun tempat pertemuan biasanya ditetapkan di satu lokasi.

Tetapi berbeza dengan protes di luar negara, demonstrasi di negara ini biasa berlangsung dalam masa yang singkat, dan tidak melibatkan aksi menduduki lokasi simbolik dan sentral untuk tempoh yang panjang.

Protes menolak GST pada 1 Mei nanti bakal mengubah pendekatan dari segi lokasi ini, sekiranya Dataran Merdeka berjaya dimasuki dan dijadikan pusat demonstrasi, dan lebih utama, dijadikan lokasi tetap protes-protes berikutnya sekiranya ada.

Tajuk protes melibatkan cukai dan kos hidup meningkat yang dirasai oleh lebih ramai warga berbanding isu-isu politik yang secara terus lebih melibatkan parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan, berupaya memberi impak tambahan kepada protes menolak GST ini kepada pembangkang.

Hal ini mungkin menjadi satu nilai tambah yang paling kuat kepada gabungan PR dalam memimpin penyampaian protes terhadap pemerintah.

Tarikh 1 Mei nanti akan menunjukkan kepada kita hala tuju dan perkembangan hal ini, dan sejauh mana PR dan sekutu dapat menguasai dan memanfaatkan Dataran Merdeka. - April 25, 2014

Saturday, April 26, 2014

Dalam lawatan Obama, sejauh mana LGBT jadi agenda?

Isu hak asasi manusia pasti menjadi salah satu agenda yang dibincangkan dalam lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia bermula hari ini.

Walaupun tidak dijadual mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini mewakili suara pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan yang pelbagai, demokrasi dan hak asasi manusia ialah agenda tetap dasar luar AS, dan bermula penggal lalu, hak gay diangkat menjadi salah satu prioriti dalam agenda dasar luar AS.

John Sifton dari kumpulan Human Rights Watch dilapor berkata Obama wajar menyampaikan mesej mendesak Malaysia lebih menghormati hak LGBT, walaupun akan sedikit memalukan tuan rumah.

Menjelang lawatan Obama, tekanan semakin meningkat mendesak beliau menyampaikan mesej membela hak kelompok LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transeksual), dengan dakwaan liwat terhadap Anwar dijadikan salah satu fokus utama isu ini.

Aktivis LGBT Malaysia, Pang Khee Teik, yang dijemput menyertai perbincangan dengan Human Rights Watch dan Kedutaan AS untuk diminta pandangan menjelang lawatan Obama walau bagaimanapun mempersoalkan agenda sokongan Obama itu, dan mendakwa hasilnya ialah komuniti LGBT menjadi bidak dalam percaturan kuasa-kuasa yang bersaing.

Dalam satu tulisan panjang yang diterbitkan di laman Facebook beliau, Pang menulis, "Saya berasa terganggu kerana LGBT semakin menjadi bidak dalam pertarungan ideologi pihak yang berkuasa,"


Beberapa wakil kumpulan hak asasi manusia, termasuk yang terlibat dalam memperjuangkan hak LGBT dijadual mengadakan pertemuan dengan Obama, termasuk Islamic Renaissance Front, IRF, dan wakil pertubuhan pemerhati pilihan raya Bersih.

Kumpulan-kumpulan tersebut ialah pertubuhan bukan kerajaan yang mesra dengan agenda hak asasi dan demokrasi yang disokong AS, dan mendapat sokongan politik dan bantuan kewangan daripada sumber AS seperti Endowmen Demokrasi Nasional, NED.

Agenda yang selari dengan AS juga menyebabkan mereka mudah diangkat oleh Washington. Satu contoh, Sisters in Islam disebut beberapa kali sebagai satu kuasa progresif yang penting oleh Setiausaha Negara Hillary Clinton dalam satu majlisnya semasa melawat Malaysia pada 2010.

Pertemuan Obama dengan kumpulan-kumpulan ini bakal mencetuskan debat yang panas berhubung agenda liberal yang diperjuangkan. Kelompok konservatif akan menilainya sebagai sokongan kuasa asing terhadap kumpulan terbabit, dan pihak liberal dijangka mempromosikan pertemuan tersebut sebagai satu bentuk endorsmen daripada AS, yang masih dinilai sebagai sesuatu yang berprestij di sini.

Pada masa sama, lawatan Obama ke Kuala Lumpur ini juga bakal diangkat sebagai satu perakuan terhadap Malaysia di bawah pentadbiran Najib yang berdepan pelbagai tekanan berhubung isu-isu hak asasi dan demokrasi, dan ini dikuatkan lagi oleh keputusan Obama tidak bertemu dengan Anwar.

Malaysia juga berada di kedudukan yang selesa pada masa ini dalam hubungan dengan AS, pada masa hubungan Washington dengan negara Islam lain seperti Turki - yang dilihat sebagai model negara Islam progresif - dan Mesir berada pada tahap agak kurang baik.

Najib dilihat mempunyai hubungan yang baik dengan Obama dan telah beberapa kali bertemu di majlis berprofil tinggi. Najib konsisten dalam usahanya menngemukakan imej Muslim moderat dalam usahanya merapatkan hubungan dengan Obama.

Obama dalam lawatan ini berusaha mengimbangi sokongannya terhadap Najib dan kumpulan-kumpulan liberal, dengan kedua-dua pihak tidak akan dapat mendakwa kemenangan sepenuhnya dalam usaha mendapatkan restu Obama.

Kumpulan-kumpulan bukan kerajaan walau bagaimanapun sentiasa mendapat perhatian AS dan tetap akan mendapat manfaat masing-masing hasil lawatan Obama.

Aktivisme kumpulan terbabit bakal terus meningkat, memandangkan agenda demokrasi dan hak asasi yang kekal menjadi tonggak dasar luar AS, dan juga akibat pengaruh kumplan-kumpulan ini di negara membangun seperti Malaysia.

Agenda seperti LGBT dan hak asasi manusia dan demokrasi, yang ditolak oleh konservatif akan kekal kuat diperjuangkan, memandangkan iklim politik global masa kini. 


Friday, April 25, 2014

Orde dunia Lautan Hindi

Oleh ROBERT KAPLAN

Satu perubahan geopolitik yang bakal memberi kesan meluas sedang berlangsung, tetapi belum mendapat perhatian media. Pada masa depan, satu bahagian besar tentera laut Amerika Syarikat di Asia Barat mungkin akan menghabiskan masa yang kurang di Teluk Parsi berbanding di Lautan Hindi di sebelahnya. Manama di Bahrain akan kekal menjadi ibu pejabat Armada Kelima.

Tetapi kapal perang dan kru AS, dan juga pelbagai perkhidmatan penyelengaraan dan bekalan yang diperlukan, mungkin akan tertumpu pada pelabuhan baharu Duqm di Oman, yang terletak di luar Teluk Parsi, dekat Laut Arab, bahagian barat Lautan Hindi.

Pegawai-pegawai tertinggi pertahanan AS, daripada kalangan tentera dan pegawai awam, banyak melawat Oman, terutama Duqm kebelakangan ini. Beberapa tahun lepas, di atas peta Duqm hanya satu tempat kosong, menghadap laut dan membelakangi padang pasir.

Kini, sebanyak AS$2 bilion telah dilaburkan untuk membina jeti sepanjang berkilometer, dok kering, jalan raya, landasan kapal terbang dan hotel. Menjelang masa Duqm muncul sebagai sebuah bandar nanti, AS$60 bilion akan siap dibelanjakan, kata seorang pegawai Oman.

Pembangunan jelas nampak tidak asli. Ia tidak bermatlamat menjadi pusat media, kebudayaan atau hiburan seperti Doha atau Dubai, tetapi sebuah tempat yang menjadi sebahagian daripada satu rangkaian pengangkutan bekalan, yang asas kewujudannya semata-mata geografi dan geopolitik.

Duqm tidak mempunyai sejarah yang menarik, maka ia akan hanya muncul sebagai lokasi untuk perdagangan dan perniagaan. Jika dilihat pada peta, Duqm berada betul-betul di luar kawasan yang berkemungkinan berkonflik di Teluk Parsi, tetapi cukup dekat untuk mengambil manfaat daripada laluan bekalan tenaga di sana. 
 
Duqm juga berada di tengah Laut Arab, di antara India dan Afrika Timur yang sedang pesat membangun, dengan kelas menengah yang berkembang.

Bagi Oman, Duqm ialah satu anak kunci bagi pembangunan negara, kerana ia akan menghubungkan lagi wilayah Dhofar di barat daya dan pelabuhannya Salalah dengan pelabuhan-pelabuhan di Muscat dan Sohar di timur laut Oman. 
 
Bagi AS, Duqm akan dapat menyaingi, walaupun tidak sepenuhnya, pelabuhan Gwadar yang terletak tidak jauh dari sana, di Pakistan.

Pada masa China meneruskan penglibatannya dalam pelabuhan Lautan Hindi (seperti yang saya tulis dalam buku tahun 2010 saya, Monsoon: The Indian Ocean and the Future of American Power), AS akan terus berusaha mengekalkan imbangan kuasa di Lautan Hindi melalui kehadiran ketenteraan dan perdagangan.

Penekanan baharu pada Duqm bakal menjadi satu lonjakan besar menjadikan tentera laut AS satu pasukan Lautan Hindi-Pasifik dan bukan lagi Atlantik-Pasifik. 
 
Dari Duqm, tentera laut AS akan kekal dekat dengan Teluk Parsi untuk mengebom Iran, tetapi tidak mendedahkan kapal AS kepada serangan seperti halnya sekarang dengan penempatan di Bahrain.

Peralihan ini akan berlaku dengan berperingkat dan mengambil sedikit masa. Tentera laut AS bukan meninggalkan Bahrain dan Teluk Parsi.

Bagi China, Duqm boleh menjadi hab bagi pengangkutan barangannya ke benua kecil India dan Afrika Utara - terutama untuk ke pasaran baru muncul di Tanzania dan Mozambique. Dalam kata lain, kapal kontena akan tiba dari China, kontena diturunkan di Duqm dan kemudian dibawa dengan kapal kecil ke banyak tempat di Afrika, India dan Asia Barat serta kawasan sekitar.

Salalah, yang kedudukannya agak jauh ke barat daya, telah berfungsi seperti ini. Tetapi pegawai tempatan bertegas yang akan banyak lagi kapal komersil akan tiba dan menjadikan Duqm juga berdaya maju.
 
Walaupun China telah menunjukkan minat untuk menggunakan pelabuhan di Duqm, pegawai Oman berpandangan China tidak akan berpengaruh ke atas pelabuhan baharu ini seperti pengaruhnya di pelabuhan lain di Lautan Hindi.

Pembangunan pesat di sini jelas menunjukkan kepentingan geopolitik yang semakin meningkat berhubung Lautan Hindi. Dalam satu perjalanan saya ke sana, jalan antara Muscat dan Duqm hanya kawasan tandus dan hanya ada unta dan kambing.

Di Duqm, selain pembangunan pelabuhan yang telah kelihatan, juga kelihatan kapal perang dari negara-negara Majlis Kerjasama Teluk yang sedang bersedia untuk satu latihan perang. Dok kering dipenuhi kapal menunggu untuk diperbaiki. 
 
Kapal perang AS juga semakin sering singgah di sini. Pihak berkuasa pelabuhan ini juga sedang merancang fasiliti lebih lengkap untuk menyelenggara kapal pengangkut pesawat dan kapal selam AS berkuasa nuklear.

Pegawai-pegawai Oman memberi taklimat tentang perancangan pembangunan Duqm, yang akan mempunyai kemudahan perumahan, penapisan minyak, hab transit pertrokimia, jalan keretapi, pembuatan berasaskan galian, fasiliti penapisan air laut, hospital, pusat membeli-belah, sekolah antarabangsa, pusat bandar dan kawasan pelancongan. Lapangan terbang akan dilengkapi kemudahan kargo.

Landasan di lapangan terbang cukup panjang untuk menerima penerbangan dari Eropah. Dengan 80 km pantai baharu di pesisir Duqm, bandar ini berpotensi menjadi lebih besar daripada Bahrain atau Singapura.
 
Semua ini hanya sebahagian daripada fasa satu, dan menunjukkan Duqm menjadi bukti pentingnya geografi pada abad ini, seperti juga abad sebelumnya.

Penemuan gas asli di kawasan padang pasir bakal menyumbang kepada tenaga yang diperlukan Duqm, yang dijangka mempunyai populasi 67,000 menjelang tahun 2020. Rangkaian keretapinya akan menghubungkan dengan Muscat, Dubai dan pelabuhan-pelabuhan lain hingga ke utara di Kuwait.

Sekiranya pemulihan hubungan antara AS dan Iran berjaya, Duqm akan menjadi boleh menjadi satu lokasi penyelenggaraan kapal Iran dan pangkalan luar bagi ekonomi Iran yang berkembang, dan sekiranya tidak, Duqm akan masih menjadi pilihan kerana kedudukannya yang agak jauh dari Teluk Parsi yang lebih tidak stabil.
 
Untuk meningkatkan lagi pembangunan, Duqm akan memperkenalkan rangka perundangan baharu dan akan membenarkan pemilikan 100 peratus perniagaan tempatan oleh pihak asing. Saya diberitahu syarikat asing yang melabur di sini akan menikmati status bebas cukai dan dibenarkan beroperasi tanpa kekangan dan syarat tukaran wang.

Kelebihan terbesar Duqm bagi AS ialah Oman selama berdekad lamanya kekal sebuah negara paling stabil, diurus tadbir dengan baik dan paling kurang menekan rakyatnya di seluruh rantau Asia Barat dan kawasan berdekatannya. Pihak China pula bermasalah kerana Gwadar di Pakistan pula sebaliknya.

Kedudukan geografi yang strategik bagi sebuah pelabuhan memerlukan bukan hanya kelebihan lokasi berhubung laut, tetapi juga dengan daratan. Apa yang menjadikan tempat-tempat seperti Salalah, Sohar dan Duqm menarik ialah jalan, landasan keretapi dan saluran paip gas atau minyak dari pelabuhan Oman di luar Teluk Parsi yang menghubungkannya dengan pelabuhan dalam Teluk, dari Dubai ke Kuwait.

Sekiranya Duqm berjaya - pada tahap ini semua masih belum pasti - tempat ini akan menjadi satu nama besar dalam abad ke-21, seperti Aden pada abad ke-19 dan Singapura pada abad ke-20.

Perkembangan demografi yang pesat dan prospek dinamisme ekonomi di India dan Afrika Timur - pada masa Eropah berdepan pertumbuhan populasi sifar dan ekonomi yang terlalu dikawal dan tidak bergerak - Lautan Hindi, seperti yang telah bertahun saya jelaskan dalam tulisan saya, bakal menjadi pusat geopolitik era pascamoden. Saya yakin Duqm akan membuktikannya.

Robert Kaplan baru menerbitkan buku Asia's Cauldron: The South China Sea and the End of a Stable Pacific. Artikel ini diterjemahkan daripada tulisan beliau yang diterbitkan di Stratfor.

Thursday, April 24, 2014

Krisis air dan ancaman keselamatan bukan tradisional

Lembah Klang masih berdepan masalah bekalan air yang telah memaksa catuan besar-besaran dimulakan lebih sebulan yang lalu.

Masih belum jelas sama ada catuan ini akan ditamatkan dalam masa terdekat atau diteruskan lagi untuk beberapa bulan lagi, walaupun hujan lebat telah mula melanda banyak kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Seiring dengan krisis air ini, tumpuan ahli politik, media dan orang ramai ialah pada isu pengurusan air di Selangor, yang menjadi tempat tumpuan jutaan penduduk.

Isu air, walau bagaimanapun, hanya satu daripada bahagian penting sumber penting yang semakin kritikal pada masa ini dan perlu diberi perhatian lebih serius oleh semua.

Sumber air berkait rapat dengan dua sumber lain iaitu tanah dan makanan, dan ketiga-tiganya saling memberi kesan kepada yang lain.

Sumber air menjadi semakin penting dalam keadaan negara kita hari ini, dan menjadi salah satu topik penting dalam keselamatan bukan tradisional.

Krisis air yang terjadi pada masa ini berlaku dalam keadaan negara kita boleh dikatakan masih dalam keadaan yang baik, tanpa krisis bencana dan ancaman keselamatan, sama ada yang tradisional mahu pun bukan tradisional.

Ini bermakna negara kita berada dalam keadaan agak terdedah kepada ancaman keselamatan berhubung air, walaupun perkembangan baharu menunjukkan infrastruktur dan industri air di Lembah Klang bakal ditingkatkan lagi.

Hanya dengan catuan dan bukan krisis yang lebih besar, dapat diperhatikan suasana kesukaran, kelam-kabut dan malah panik dalam kalangan orang ramai.

Malah, catuan yang dibuat ini pun telah diumumkan agak awal, dan masih memberikan masa kepada orang ramai untuk bersedia.

Sukar untuk dibayangkan sekiranya krisis yang lebih meluas dan berpanjangan berlaku dalam keadaan persediaan kita menghadapi krisis berada di tahap yang rendah.

Tambahan pula keadaan bandar-bandar besar, seperti bangunan kediaman tinggi dan sebagainya, mempengaruhi dan memburukkan lagi keadaan jika berlaku krisis yang besar.

Ini diburukkan lagi oleh sentimen politik yang sangat tebal pada masa ini, dan kelihatan mempengaruhi banyak hal yang sepatutnya dapat ditangani dengan lebih cekap.

Dalam peristiwa krisis, misalnya bencana alam seperti kemarau, banjir dan sebagainya, sumber air biasanya menjadi yang pertama terjejas.

Kesukaran yang melanda meningkat tahapnya dengan segera, dan mudah mencetuskan pula masalah lain yang boleh menambahkan lagi risiko keselamatan.

Isu air perlu dilihat melalui perspektif yang lebih menyeluruh, dan disedari kedudukannya yang kritikal dalam keselamatan bukan tradisional yang semakin perlu diberi perhatian.

Perancangan jangka panjang, termasuk melibatkan budaya kesedaran yang tinggi berhubung hal ini, perlu diusahakan untuk menjadikan kita bersedia berdepan suasana yang semakin tidak pasti.

Pihak yang terlibat, terutama kerajaan yang bertanggungjawab, wajar lebih memberi perhatian kepada isu ini secara khusus, agar tidak mengulangi kesilapan-kesilapan yang telah disaksikan dalam menangani bencana. - April 18, 2014

Wednesday, April 23, 2014

Lawatan Obama ke Asia: Harapan dan implikasi

Oleh HARIS ZALKAPLI

Lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia dan tiga negara Asia lain ialah sebahagian daripada satu agenda besar AS di Asia-Pasifik, pada masa China sedang pesat bangkit dan sekutu-sekutu di Asia-Pasifik berdepan masa depan yang sukar.

Hal ini mungkin kurang dirasakan di Malaysia disebabkan kedudukan Malaysia yang agak jauh dari China, dan kejayaan pemerintah mengimbangi hubungan dengan kedua-dua kuasa AS dan China dalam mengemudi hubungan luar negara.

Dari segi Obama sebagai presiden yang berada di penggal terakhir, harapan yang besar bagi beliau ialah menyempurnakan atau sekurang-kurangnya membawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, TPPA, ke peringkat akhir.

Tanda-tanda menunjukkan agenda ini tidak mudah, terutama ekoran isu yang masih tidak selesai dengan Jepun, sekutu kuat AS sendiri, antaranya melibatkan akses untuk produk pertanian dan pembuatan automobil, dua bidang yang menjadi tunggak penting ekonomi kedua-dua negara.

Pada masa sama, Obama berdepan tentangan kuat daripada dalam Parti Demokratik sendiri, yang melihat janji-janji seperti peluang pekerjaan akan hanya tinggal janji, seperti yang telah disaksikan dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara, Nafta.

Malah, menjelang lawatan Asia Obama, tiga anggota Kongres AS daripada Demokrat, George Miller, Rosa DeLauro dan Louise Slaughter menulis dalam akhbar Los Angeles Times, menyimpulkan, "Kita tidak patut secara membuta mengesahkan lebih banyak perjanjian-perjanjian seperti Nafta yang tidak adil, yang dirundingkan di balik pintu yang tertutup, yang membawa ancaman mengkhianati para pekerja Amerika, membawa sektor pembuatan kita ke negara luar dan mempercepatkan gaji dan faedah pekerja menjunam jatuh."

Malaysia yang terlibat dalam rundingan TPPA dan dilihat sebagai tidak mempunyai kelebihan dalam rundingan dan semakin tertekan, mungkin boleh terselamat daripada tekanan untuk segera menyempurnakan perjanjian ini ekoran masalah yang masih tidak selesai melibatkan sekutu kuat AS sendiri dan tentangan dalam kalangan Demokrat di AS.

Malah, lawatan Obama juga dilihat sesetengah pemerhati sebagai lebih bersifat simbolik berbanding substantif berhubung agenda TPPA, dan lawatan ini berlaku agak lewat, dalam penggal kedua selepas dasar berpasak di Pasifik dimulakan semasa penggal pertama Obama.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dielakkan faktor operasi pencarian pesawat Penerbangan Malaysia yang hilang, dipercayai di Lautan Hindi, yang melibatkan bantuan yang besar daripada AS dan juga sekutu kuatnya Australia.

Tragedi pesawat MH370 telah merapatkan lagi Malaysia dengan AS, dan menampakkan keperluan terhadap kemampuan bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana tentera AS di rantau Indo-Pasifik, mengulangi dan menegaskan apa yang ditunjukkan melalui tsunami 2004 dan taufan di Filipina hujung tahun lalu.

Hubungan yang semakin rapat ini memudahkan lagi usaha untuk Malaysia menyelaraskan dasar dan tindakan dengan AS, terutama melibatkan dua bahagian yang saling melengkapi dalam infrastruktur untuk berdepan kebangkitan China di rantau ini, iaitu TPPA melibatkan perdagangan dan kerjasama dan penyusunan politik dan ketenteraan yang lebih rapat, termasuk melibatkan Asean.

Dalam bab kerjasama keselamatan, ancaman China yang jelas kepada negara-negara jiran yang terlibat dalam pertikaian di Laut China Selatan dan Timur menjadikan peranan AS semakin diperlukan, seperti yang ditunjukkan oleh Filipina terutamanya.

Tindakan-tindakan China kebelakangan ini merapatkan persefahaman negara-negara Asia Tenggara yang terlibat dalam pertikaian, walaupun persefahaman yang lebih bersifat formal - seperti kenyataan sesetengah pemerhati yang membayangkan penubuhan "Nato Asia" - sukar untuk dilihat berlaku, memandangkan keperluan memelihara hubungan dengan China, yang dijangka akan terus bangkit dari sudut ekonomi dan juga ketenteraan.

AS juga dinilai lebih menumpukan pada rantau Asia Barat selama ini, walaupun mengisytiharkan tumpuan pada rantau Asia-Pasifik, sehingga menimbulkan kebimbangan sekutu-sekutu, kebimbangan yang masih tidak dapat dihilangkan oleh lawatan Setiausaha Pertahanan Chuck Hagel beberapa minggu lalu.

Negara-negara Asia termasuk Malaysia, lokasi laluan penting perdagangan Selat Melaka, menyedari keperluan pragmatik dan realistik memelihara hubungan dengan China, memandangkan faktor geografi yang tidak dapat dielakkan dan perdagangan.

AS kini berada dalam peringkat pengunduran atau secara relatif semakin merosot kuasanya berbanding negara-negara baharu muncul dan pesat membangun, dengan China menjadi ancaman yang paling jelas dan kredibel pada masa ini.

Dari sudut persaingan dalam pembentukan orde baharu dunia, China ialah ancaman yang paling perlu ditangani, kerana ia melibatkan kedua-dua ekonomi dan juga politik yang sentiasa berkait. 
 
China menjadi pesaing ekonomi dan perdagangan kepada AS, dan pada masa sama berhubungan baik dari segi politik dengan Rusia dan Iran yang mempunyai pandangan alam yang bertentangan dengan visi AS.

Malaysia, dalam perkembangan yang rancak ini, jelas kelihatan lebih cenderung untuk bersama AS, walaupun tidak secara jelas merendahkan kerjasama dengan China akibat keperluan praktikal, dan lawatan Obama bakal menjelaskan lagi hal ini.

Selain dua isu ini, kehadiran Obama juga menuntut pemerhatian terhadap isyarat-isyarat penting lain, khususnya melibatkan agenda liberal kebebasan, termasuk penyebaran demokrasi yang menjadi tonggak dasar luar AS.

Malaysia menjadi satu-satunya negara Islam dalam siri lawatan Obama kali ini, yang bakal menyaksikan mesej berhubung hal ini disampaikan, walaupun mungkin tidak menyamai "ucapan kepada dunia Islam" di Universiti Kaherah di Mesir pada 4 Jun, 2009.

Isyarat berhubung kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju - dan juga isu Islam yang lebih besar - dijangka menjadi salah satu tumpuan penting dalam lawatan Obama nanti, pada masa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak mahu menonjolkan imej Malaysia sebagai negara Islam progresif.

Ucapan Obama di Kaherah itu ditunggu-tunggu untuk menilai pandangan pentadbiran baharu AS terhadap dunia Islam, dan menariknya, perubahan politik yang besar kemudian berlaku di Mesir, dan sesetengah pihak mengaitkan ucapan Obama dengan perubahan yang tercetus lebih setahun selepas itu.

Thursday, April 17, 2014

Qaradawi uji hubungan Qatar-GCC

Ilmuan Islam terkemuka, Dr Yusuf al-Qaradawi kini menjadi ujian yang getir kepada pemerintah Qatar dalam hubungannya dengan negara-negara jiran Majlis Kerjasama Teluk, GCC.

Al-Qaradawi yang kini mempunyai kerakyatan Qatar dan mempunyai hubungan sangat baik dengan istana selama ini, telah muncul menjadi satu faktor yang menjejaskan hubungan Doha dengan GCC ekoran kelantangannya menyuarakan pandangan politiknya yang menyokong agenda dasar luar Qatar dan pro-Ikhwan al-Muslimin.

Awal Mac lalu, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Bahrain memanggil pulang duta masing-masing kerana tidak berpuas hati dengan pendirian Qatar terus menyokong Ikhwan al-Muslimin. Doha didakwa tidak memenuhi perjanjian keselamatan yang memerlukannya bertindak terhadap kumpulan-kumpulan yang dikaitkan dengan ancaman keselamatan.

Di bawah emir baharu, negara-negara GCC diketuai Arab Saudi mendesak Qatar menjarakkan diri daripada Ikhwan, yang diberikan sokongan kewangan dan politik yang besar sejak beberapa tahun lalu.

Di Syria, Qatar dan Arab Saudi berkongsi agenda buat satu tempoh, tetapi kemudian bertembung apabila masing-masing menyokong pihak yang berbeza ideologi politik. Persaingan proksi di Syria juga menjadi satu faktor tekanan Arab Saudi terhadap Qatar.

Al-Qaradawi pada Februari lalu mencetuskan ketegangan antara UAE dan Qatar apabila mengkritik keras pemerintah UAE yang didakwa menolak pemerintahan Islam, ekoran hukuman mahkamah negara itu menghukum penjara sekumpulan 30 warga negaranya dan Mesir kerana dituduh menubuhkan sel Ikhwan al-Muslimin di UAE.

Beliau juga menyelar sikap pemerintah UAE menyokong kerajaan sementara Mesir, yang berkuasa selepas Presiden Mohamed Morsi dijatuhkan, sekaligus menamatkan penguasaan Ikhwan al-Muslimin di Mesir.

Kerajaan UAE telah memanggil duta Qatar ke Abu Dhabi untuk menyampaikan protes formal atas kenyataan tokoh yang dekat dengan Doha itu. GCC turut mengeluarkan kenyataan mengecam al-Qaradawi, yang disifatkan sebagai satu provokasi.

Ilmuan Islam itu sentiasa peka dengan perkembangan politik di Mesir, negara asalnya sebelum berpindah ke luar, dan sering menyuarakan pandangan yang menyebelahi Ikhwan, kumpulan yang disokong Doha.

Beliau juga menunjukkan sokongan dan memberikan endorsemen kepada tokoh tertentu dalam kalangan Ikhwan untuk bertanding sebagai presiden Mesir, menjelang pilihan raya presiden Mesir.

Pada masa konflik di Libya, beliau menunjukkan sokongan kuat kepada agenda menjatuhkan Muammar Gaddafi, dan mengeluarkan pandangan supaya Gaddafi dibunuh.

Qatar pada masa itu telah memulakan tindakan dasar luar memberi bantuan kepada kumpulan yang boleh melanjutkan lagi pengaruhnya di seluruh rantau Arab. Libya ialah tempat pertama Doha menunjukkan agenda dasar luar baharunya itu. Kemudian, al-Qaradawi juga menunjukkan pandangan yang selaras dengan Doha berhubung Syria.

Jumaat lalu, al-Qaradawi tidak muncul untuk memberikan khutbah di Doha seperti biasa, perkembangan yang dilihat sebagai satu petanda pemerintah Qatar telah menunjukkan satu perubahan sikap dalam menguruskan krisis dengan negara-negara GCC lain.

Khutbah al-Qaradawi dan kenyataan-kenyataannya kebelakangan ini dilihat sebagai satu pemangkin utama yang mendorong reaksi keras daripada Saudi, UAE dan Kuwait, sehingga menyebabkan negara terbabit memanggil pulang duta masing-masing.

Sekiranya pemerintah Qatar mengambil tindakan yang lebih drastik, peranan dan pengaruh al-Qaradawi juga bakal berubah, dan mungkin akan tidak menikmati kebebasan seperti yang dinikmati selama ini dalam menyuarakan pandangan, terutama yang menyentuh sensitiviti negara-negara jiran GCC.

Tahun lalu, semasa emir baharu mengambil alih pemerintahan di Qatar, ada khabar yang menyebut al-Qaradawi bakal menyaksikan peranannya semakin berkurangan, tetapi perkembangan kemudian menafikan berita itu.

Terkini, satu laporan akhbar yang berpangkalan di London, United Kingdom menyebut Qatar mencapai satu perjanjian dengan Tunisia untuk memindahkan al-Qaradawi ke negara Afrika Utara itu, sebagai satu langkah oleh Doha untuk meredakan ketegangan dengan anggota GCC yang lain.

Berita ini timbul ekoran lawatan Emir Syeikh Tamim bin Hamad al-Thani ke Tunisia untuk bertemu dengan Presiden Tunisia, Moncef Marzouqi minggu lalu. Laporan ini walau bagaimanapun dinafikan oleh pejabat presiden Tunisia dan pejabat al-Qaradawi sendiri.

Perkembangan selepas ini akan menunjukkan sejauh mana Qatar bersedia bertindak terhadap al-Qaradawi atau meneruskan dasar luar yang bebas daripada pengaruh jiran-jirannya yang lebih berpengaruh, atau terus melaksanakan usaha sukar mengimbangi dasar luar yang pragmatik dengan memuaskan hati rakan-rakan GCC. - April 14, 2014

Friday, April 11, 2014

Kenapa Erdogan terus menang?

Oleh MUSTAFA AKYOL

Pilihan raya 30 Mac lalu akan tercatat dalam sejarah sebagai satu lagi kejayaan politik perdana menteri Turki yang berkuasa, Recep Tayyip Erdogan. Purata kebangsaan undi yang dimenangi partinya - 43 atau 45 peratus daripada keseluruhan undi - jelas sekali satu kejayaan besar. Walaupun sekiranya semua tuduhan pemalsuan undi didapati benar, terutama di Ankara, jelas bahawa Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, masih popular selepas 11 tahun berkuasa.

Ini mungkin mengejutkan sesetengah pemerhati, terutama dari Barat, yang menyangka Erdogan akan kehilangan sokongan disebabkan skandal dan kontroversi yang melanda Turki, seperti korupsi, autoritarianisme dan penghakisan sesetengah kebebasan. Mereka mungkin berfikir, kenapa Erdogan masih mampu menang walaupun menghadapi masalah-masalah ini.

Untuk mendapatkan jawapannya, perlu diperhatikan masyarakat Turki dan corak politiknya dengan lebih mendalam. Perkara pertama ialah selama lebih daripada 60 tahun, selama Turki melalui pilihan raya yang adil dan bebas, masyarakat Turki secara kasarnya boleh dibahagi kepada dua bahagian yang tidak seimbang: "Golongan kanan" yang membentuk 60 hingga 65 peratus undi, dan "golongan kiri" membentuk 35 hingga 40 peratus undi.

Golongan kanan dalam konteks ini, ditakrif oleh tradisi - terutama Islam Sunni - dan dengan fokus pada pembangunan ekonomi. Pihak kiri pula ditakrif oleh sekularisme dan tema sosialis 'kesamarataan," bersama dengan Alevisme. (Ini menjelaskan kenapa hari ini, di dewan muzik Alevi di Istanbul, terdapat poster Imam Ali, Attaturk dan Che Guevara dalam dewan yang sama.)

Golongan kanan secara tradisinya mempunyai tiga komponen: Kanan sederhana, kanan Islam dan kanan nasionalis. Kejayaan besar Erdogan ialah beliau menggabungkan dua yang pertama itu di bawah bendera AKP lantas membentuk blok undi terbesar dalam sejarah Turki. (Pihak kanan nasionalis wujud berasingan, di bawah bendera Parti Tindakan Nasionalis, MHP, yang mendapat 15 peratus daripada purata nasional pada 30 Mac.)

Kejayaan besar Erdogan melibatkan pembangunan ekonomi - banyak lebuhraya, bangunan tinggi, pusat membeli-belah dan hospital dibina semasa pemerintahannya - menjadi satu tanda pengenalan pihak kanan sederhana. Retorik dan simbolisme Islam beliau disanjung oleh kelompok kanan Islam.
Oleh itu, bagi pengundi kanan sederhana dan Islamis Turki, yang merupakan separuh daripada masyarakat, tidak ada sebab untuk mereka menarik balik sokongan kepada Erdogan dan memilih pesaingnya pada masa ini.

Pembangkang utama Parti Rakyat Republikan, CHP, tidak mendapat sokongan kuat kerana dua sebab: Parti ini kelihatan tidak cekap berbandign AKP dalam hal ekonomi dan pentadbiran.

Masa silam ultra sekularis CHP juga, yang ditakrifkan oleh penindasan dan pencabulan terhadap konservatif agama melalui dasar-dasar seperti pengharaman tudung kepala masih menjadikan parti ini dinilai sebagai orang jahat oleh kelompok kanan.

Hakikatnya, CHP sedang cuba mengubah imej di bawah kepimpinan Kemal Kilicdaroglu, tetapi perubahan yang dibawanya amat sedikit dan dangkal. CHP perlu berubah lebih banyak dengan bergerak lebih dekat ke tengah.

Ini dijelaskan melalui sokongan kuat diterima Mansur Yavas, calon CHP di Ankara, seorang calon yang berpendirian politik kanan sederhana.

Bagaimana pula dengan skandal korupsi yang sebelum ini dijangka akan menjejakan Erdogan? Sebenarnya, menurut satu syarikat tinjauan pendapat, "Dakwaan korupsi tidak ada kesan dalam pilihan raya tempatan." Satu sebabnya ialah pengundi Turki biasanya mengingati yang setiap kerajaan sebelum ini terlibat dalam korupsi, dan AKP bukan satu pengecualian. (Ramai menyebut, "Mereka mencuri tetapi sekurang-kurangnya mereka bekerja keras.")

Sebab kedua ialah ramai daripada kalangan konservatif agama juga percaya bahawa apa yang kelihatan seperti korupsi sebenarnya ialah satu bentuk pencarian dana secara tidak formal untuk "tujuan yang baik" - seperti membiayai yayasan Islam dan kebajikan.

Tambahan lagi, ramai pengundi pro-Erdogan menunjukkan sokongan kuat kepadanya disebabkan skandal yang didedahkan itu. Hakikat bahawa kebanyakan tuduhan berdasarkan rakaman rahsia yang didedahkan di internet memberi gambaran yang wujud konspirasi terhadap kerajaan oleh "negara dalam negara."

Tindakan Erdogan mengharamkan Twitter dan YouTube, yang dikecam oleh pihak liberal dan Barat sebagai serangan terhadap kebebasan, dilihat oleh kem pro-Erdogan sebagai wajar dalam usaha menentang kempen"jahat" tersebut.

Isu terakhir juga membawa kepada gerakan Gulen, komuniti Islam paling berkuasa di Turki, yang dikecam Erdogan sebagai mengetuai sebuah "negara dalam negara" dan menjadi alat "kuasa asing" yang mahu melemahkan Turki.

Apapun realiti berhubung "negara dalam negara," gerakan Gulen - sebelum ini sekutu kuat Erdogan - telah bersungguh-sungguh menentang Erdogan dalam pilihan raya ini, sehingga memberi sokongan kepada CHP, yang dianggap dosa besar oleh pihak konservatif.

Dalam kata lain, gerakan itu telah mengakibatkannya tidak diterima oleh kebanyakan kumpulan Islam dan mengundang kemarahan Erdogan. Bagaimana hal ini akan berkembang dalam masa terdekat, dan sekuat mana janji Erdogan untuk menghapuskan "negara dalam negara" itu ialah satu persoalan yang menarik untuk diperhatikan.

Satu akibat utama keputusan pilihan raya ini ialah peningkatan peluang Erdogan untuk memenangi pilihan raya presiden, yang dijadual pada 10 Ogos. Malah, masih belum jelas sama asa Erdogan akan bertanding, atau mungkin menyokong Presiden Abdullah Gul untuk penggal kedua dan kekal sebagai perdana menteri.

Keputusan terbaharu memberi isyarat kepada Erdogan yang beliau boleh menang pilihan raya presiden pada pusingan pertama dengan mendapat majoriti mudah, iaitu dengan mengekalkan jumlah 45 peratus yang dimenangi AKP dan menambah undi nasionalis Kurdi, yang kini muncul sebagai sekutu politiknya.

Kesimpulannya ialah Erdogan terus memenangi pilihan raya di Turki, dan amat kecil kemungkinan akan kalah dalam masa terdekat. Tetapi, sementara kemenangan ini menjadikan kem pro-Erdogan gembira, pihak yang lain - hampir separuh daripada masyarakat - berasa terdesak, marah dan benci.

Kerana inilah Turki cenderung untuk terus berdepan polarisasi, kalau pun bukan ketidakstabilan, sekiranya Erdogan tidak mengambil langkah memenangi hati dan minda penentangnya dan menuju ke arah perdamaian nasional.

Artikel ini dipetik dan diterjemahkan daripada laman Al-Monitor.

Friday, April 4, 2014

Tragedi Memali: Selamatkan Musa, salahkan Mahathir?

Laporan Tun Musa Hitam mendedahkan yang Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Malaysia - dan bukan di China seperti diterima selama ini - semasa peristiwa Memali pada 19 November, 1985 telah mencetuskan satu kegemparan baharu dalam politik negara.

Kegemparan, atau kekecohan ini berlaku akibat satu pemahaman dan tanggapan baharu berhubung isu ini, yang dari sudut tertentu terpisah daripada gambaran keseluruhan sejarah peristiwa berdarah itu.

Satu persepsi yang kelihatan agak berleluasa ialah kecenderungan seolah-olah menyelamatkan Musa daripada dosa Memali dan pada masa sama mengambil kesempatan daripada pendedahan ini untuk meletakkan Mahathir dalam posisi defensif.

Pemahaman baharu ini telah membawa satu perspektif yang tidak tepat dalam menilai peristiwa yang telah lama dijadikan bahan untuk menilai PAS secara negatif itu.

Pertangungjawaban berhubung tragedi itu perlu dikongsi secara kolektif oleh pemimpin-pemimpin pemerintah pada masa itu, kerana hal ini tidak boleh dielakkan.

Apa yang berlaku di Memali perlu dinilai sebagai satu tindakan kolektif pentadbiran Mahathir pada masa itu, dan dilihat berdasarkan realiti pada masa itu.

Perkembangan terkini telah banyak merubah pandangan tentang peristiwa Memali, termasuk kemungkinan aliansi politik baharu melibatkan Musa dan usaha mengeksploit peristiwa itu untuk kegunaan politik pada masa ini.

Pendedahan Musa ini dilihat dari satu sudut perkembangan politik terkini menjadi satu senjata terbaharu musuh-musuh politik Mahathir untuk menyerang bekas perdana menteri itu.

Pada masa sama, pendedahan ini juga memainkan peranan dalam pemulihan imej Musa yang kelihatan telah semakin diterima ramai dalam kalangan pembangkang, terutama kumpulan yang berhaluan liberal.

Musa kelihatan semakin diterima ramai pihak yang tidak sehaluan dengan parti pemerintah kerana imejnya yang masih relatif baik, dan dinilai sebagai seorang tokoh yang melangkaui sentimen politik kepartian.

Dan pada peringkat yang lebih rendah, beliau diterima baik kerana kesediaannya bertembung dengan Mahathir dalam hal ini.

Suasana politik tahun 1980-an menyaksikan pertembungan sengit Islamis dengan kelompok sekular, yang jauh lebih sengit dan ganas, berbeza dengan suasana sekarang yang menyaksikan garis pemisah ideologi yang lebih kabur antara Islamis PAS dan etnonasionalis sekular Umno.

Pertembungan PAS dan Umno pada masa itu hampir tidak ada pengecualian ialah pertembungan ideologi yang sengit, menyaksikan Umno yang sekular memusuhi kuat pegangan Islam PAS, dengan hujah-hujah yang jelas menunjukkan penolakan.

Memudahkan penilaian Memali dengan menumpukan pada peranan Mahathir dan Musa, misalnya untuk melihat siapa yang sebenarnya lebih bertanggungjawab hanya melarikan daripada isu besar yang sebenarnya menjelaskan pertembungan di Memali. - April 1, 2014

Wednesday, April 2, 2014

Mesir, Ikhwan dan ketuanan serantau Arab Saudi

Oleh HARIS ZALKAPLI

Tindakan sebuah mahkamah Mesir menjatuhi hukuman mati ke atas 529 ahli dan penyokong Ikhwan al-Muslimin telah menyampaikan satu mesej yang jelas bahawa Mesir sedang kembali kepada kawalan tentera dan kelompok rejim lama.

Kemunculan dan kebangkitan pantas Abdul Fatah al-Sisi, yang telah mengisytiharkan akan bertanding merebut jawatan presiden, dan dilihat mempunyai peluang yang cerah, menunjukkan satu perubahan besar yang bukan sahaja melibatkan politik dalaman Mesir, tetapi juga landskap politik serantau.

Apa yang sedang berlaku di Mesir pada masa ini tidak dapat dipisahkan daripada percaturan kuasa-kuasa serantau, terutama Arab Saudi, dalam membina semula susunan kuasa seperti yang wujud sebelum diubah oleh kebangkitan Arab yang mencapai kemuncaknya pada 2011.

Arab Saudi mungkin kuasa yang paling bimbang dengan kebangkitan massa serantau yang melanda hampir semua negara di Asia Barat, termasuk jiran-jirannya di Teluk Parsi.

Semasa kebangkitan mula tercetus di Mesir, Riyadh mengambil langkah-langkah untuk membantu, termasuk menyatakan sokongan kepada Mubarak dan mendesak sokongan lebih kuat daripada Amerika Syarikat.

Saudi melihat sekutu kuatnya itu, yang bersamanya dianggap sebagai tonggak dunia Arab, perlu dipastikan kekal dikuasa oleh Presiden Hosni Mubarak atau sekurang-kurangnya pemimpin yang mengekalkan sistem dan aliansi politik sedia ada.

Kejatuhan Mubarak menjatuhkan satu sekutu penting Saudi, dan menandakan permulaan kebangkitan gerakan Ikhwan al-Muslimin yang bersifat popular dan republikan, bertentangan dengan sifat sistem politik keluarga monarki Saudi dan "pseudo-monarki" Mesir.

Ikhwan sebagai sebuah gerakan politik mempunyai cita-cita politik merentasi sempadan negara yang besar, dan mempunyai kuasa-kuasa tersendiri, termasuk tarikan dari sudut keagamaan.

Penguasaan Ikhwan di Mesir menandakan gerakan itu mempunyai satu negara yang ditadbir, dan membuka peluang kepadanya untuk membina hubungan dengan kuasa-kuasa serantau dan global, sekaligus mengukuhkan kedudukan di dunia Arab dan dunia Islam.

Kehilangan Mesir dan dikuasai gerakan Ikhwan membuka kepada pelbagai kemungkinan yang dilihat oleh Riyadh sebagai mencabar ketuanannya di rantau Arab, termasuk perluasan pengaruh ideologi gerakan Islam itu dan kemungkinan pembinaan hubungan dengan Iran.

Pengaruh meluas Ikhwan telah membolehkannya memenangi pilihan raya di Mesir, dan meningkatkan profil dalam kalangan gerakan Islam serantau dan global. Tarikan popular ini telah menunjukkan potensinya dalam kebangkitan yang menjatuhkan Mubarak, dan Saudi tidak mahu sentimen ini berleluasa di dunia Arab dan sampai ke sempadannya dan negara-negara serantau lain.

Kaherah di bawah Morsi tidak menunjukkan kecenderungan untuk membina hubungan dengan Tehran, tetapi kemungkinan hal ini berlaku membimbangkan Riyadh.

Saudi walau bagaimanapun sukar menangani kebangkitan Ikhwan yang dilihat sebagai ancaman kepadanya dan negara-negara monarki lain seperti Emiriyah Arab Bersatu dan beberapa negara serantau lain, terutama disebabkan naungan Qatar.

Kejatuhan Presiden Mohamed Morsi membuka peluang kepada Saudi untuk mengembalikan Mesir ke zaman sebelum ini, dengan hubungan yang rapat dengannya dan berperanan seperti semasa era Mubarak.

Bantuan dan sokongan yang diberikan Riyadh kepada Kaherah selepas penggulingan Morsi menunjukkan kesungguhan Saudi untuk memandu Mesir ke arah yang dikehendakinya, dengan sokongan sekutu UAE dan juga Kuwait.

Arab Saudi dan sekutu-sekutu di Teluk Parsi pada masa yang sama menekan Qatar dengan lebih kuat, mendesak negara penanung Ikhwan itu menghentikan usaha agenda serantaunya menyokong dan menaikkan Ikhwan al-Muslimin.

Tindakan terhadap Qatar dilakukan ekoran sokongan kepada Ikhwan, dan agenda meluaskan pengaruh serantau dengan Ikhwan sebagai proksi seperti di Mesir dan Syria. Desakan ini terus dilakukan dan beberapa tindakan diambil tidak lama sebelum sidang Liga Arab di Kuwait minggu lalu.

Sejurus selepas Arab Saudi, UAE dan Bahrain memanggil pulang duta masing-masing dari Qatar, Riyadh mengisytiharkan Ikhwanul Muslimin sebagai pertubuhan teroris.

Di Mesir, media instrumen dasar luar Qatar, al-Jazeera terus berdepan tekanan dengan wartawannya ditahan dan dibicarakan atas tuduhan mengubah rakaman yang menjejaskan nama baik Mesir dan membantu teroris.

Tuduhan itu, yang dikenakan terhadap tiga orang wartawan al-Jazeera, Peter Greste, Mohamed Fahmy dan Baher Mohamed sedang dibicarakan di mahkamah Mesir.

Tindakan ini dilihat sebagai satu tindakan balas dendam terhadap al-Jazeera, media utama yang membuat liputan kebangkitan yang menjatuhkan Mubarak dan menunjukkan sokongan kepada Ikhwan.

Sukar untuk menjangkakan perkembangan yang berlaku pada masa ini dilakukan tanpa pengaruh Riyadh, daripada penarikan duta-duta dari Qatar, tindakan Kaherah terhadap wartawan al-Jazeera, bantuan kewangan kepada Kaherah selepas kejatuhan Morsi hingga kepada sokongan kepada al-Sisi bertanding jawatan presiden Mesir.

Arab Saudi dan sekutunya di Teluk Parsi yang membentuk Majlis Kerjasama Teluk dan menguasai Liga Arab kini sedang mengambil peranan sebagai sekutu dan penaung baharu kepada Mesir, yang sedang pantas bergerak ke arah dikuasai kuasa lama yang terbina di bawah kepimpinan Mubarak.

Riyadh dan sekutunya sedang membina semula aturan yang terjejas dan diubah ekoran perubahan politik akibat kebangkitan Arab, dan apa yang sedang berlaku di Mesir menunjukkan agenda ini semakin hampir dicapai. - Mac 28, 2014
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...