Tuesday, December 29, 2009

Kedah rancang strategi baru tarik pelancong 2010


Kerajaan Negeri Kedah telah merangka perancangan yang lebih baik bagi menjadikan negeri tersebut sebagai salah satu destinasi menarik bagi pelancong tempatan dan juga luar negara.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Pembangunan Masyarakat dan Sumber Manusia, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat India, S.Manikumar, pembangunan keatas beberapa tempat menarik yang telah dirancang untuk diberikan penekanan bersama agensi-agensi yang terlibat merangkumi empat zon yang telah dikenal pasti.

"Langkawi, Pembangunan Merbok, Hub Agro Tourism di Pendang dan Pembangunan Bandaraya Alor Setar adalah antara beberapa buah lokasi yang dilihat menarik kerana di situ terdapat Gunung dan Sungai yang berpotensi untuk menjadi tarikan kepada para pelancong.

"Di Merbok ada produk pelancongan seperti Gunung Jerai, Sungai Merbok dan Semeling, Pulau Songsong dan sebagainya.Antara perkara yang akan diberi perhatian ialah mewujudkan 'tag line' kepada industri pelancongan ini.Tempat-tempat yang menarik akan secara automatiknya mewujudkan konsep bumi hijau yang akan merangkumi beberapa pengembaraan yang menarik seperti."

Menurut beliau lagi bagi menjayakan perancangan tahun 2010 ini maka kerjasama daripada pelbagai pihak adalah penting bagi memastikan aspirasi Kerajaan Negeri untuk mewujudkan destinasi menarik pelancongan di negeri Kedah ini menjadi realiti yang akan memberi pulangan kepada kerajaan dan juga manfaat rakyat negeri ini.

Surat SPRM Sahkan Tiada Kes Terhadap Norza : Saksi


Mahkamah Sesyen di sini dimaklumkan bahawa seorang pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah menghantar surat kepada Umno mengatakan bahawa suruhanjaya itu "tidak ada kes" terhadap Datuk Norza Zakaria, bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan yang sedang menghadapi tuduhan rasuah.

Bekas Setiausaha Kerja Umno, Brig Jen (B), Datuk Husainy Hashim, yang merupakan saksi kelima pendakwaan bagi kes perbicaraan rasuah membabitkan Mohamad Norza dan ejennya, Halimi Kamaruzzaman, berkata surat berkenaan telah diserahkan kepada Majlis Tertinggi Umno.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris mendakwa keterangan oleh saksi berkenaan dibuat kerana didorong oleh peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohamad Norza.

Saiful yang menyoal balas Husainy bertanyakan siapa yang menandatangani surat berkenaan kerana sebelum itu beliau memberi keterangan bahawa beliau "rasa ada surat berkenaan".

"Datuk Shukri (yang menandatangani surat itu), saya tak ingat nama penuhnya, dia seorang pegawai tinggi SPRM," kata Husainy yang turut tidak mengingati tarikh surat berkenaan.

Saiful kemudiannya berkali-kali meminta Husainy mengingati siapa "Shukri" berkenaan.

Muhammad Shafee kemudian mencelah: "Berapa ramai "Shukri" dalam SPRM?"

Pengarah Siasatan SPRM ialah Shukri Abdul.

Husainy, 64, berkata mengikut surat berkenaan, SPRM meminta Umno sendiri membuat siasatan dalaman dan SPRM tidak ada kes terhadap Norza.

Ketika soal balas sebelum itu, Muhammad Shafee berkata Husainy, yang juga anggota sekretariat Umno yang meneliti kes-kes politik wang, juga telah memaklumkan bahawa Lembaga Disiplin Umno turut mendapati Norza tidak bersalah.

Saiful kemudian menyoal balas Husainy: "Datuk, Lembaga Disiplin kata tidak bersalah, tapi tak semestinya orang itu tidak bersalah.

"Ada Datuk sedar ada agensi lain yang masih boleh lakukan siasatan juga?.

"Saya sedar," kata Husainy.

Perbicaraan kes itu yang bermula 10.30 pagi terpaksa ditangguhkan lebih awal kerana bekalan elektrik terputus pada 11.19 pagi.

Pada mulanya perbicaraan tetap diteruskan sehingga 1 tengah hari tetapi keadaan kurang selesa menyebabkan Hakim Azuar Che Yusof menangguhkannya ke 1 Feb tahun depan.

Mohamad Norza, 43, yang juga bekas anggota Majlis Tertinggi Umno, dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi untuk diagihkan kepada anggota perwakilan sebagai dorongan untuk mengundi beliau memenangi dalam pemilihan bagi kerusi Majlis Tertinggi pada Perhimpunan Agung Umno Mac lepas.

Beliau juga menghadapi satu lagi pertuduhan memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama.

Kedua-dua tuduhan itu didakwa dilakukan pada 6.30 petang 20 Jan lepas di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh, di sini.

Nik Aziz nafi: Husam letak jawatan dan dua pegawainya dipecat

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak dakwaan dua pegawainya dipecat di samping menafikan exconya, Datuk Husam Musa meletakkan jawatan.

Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media di kediaman Menteri Besar hari ini, beliau memberitahu niat setiausaha politiknya, Anual Bakhri Haroun untuk meletakkan jawatan sudah lama dinyatakan.

Ianya dibuat atas sebab Anual mahu menumpukan kepada bidang penulisan dan syarikat beliau dan juga atas masalah kesihatan anak bongsunya yang harus deberi penumpuan.

Manakala setiausaha akhbarnya pula, Mohd Saiba Yaakob akan habis kontrak hujung bulan ini.

Apa yang berlaku katanya bukan rombakan tetapi prosedur biasa lantikan politik apabila seseorang itu tamat kontrak.

"Saya boleh mengesahkan Annual Bakhri sudahpun menyerahkan surat peletakan jawatannya dan saya baru menerima pagi ini, begitu juga dengan Saiba," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian Pas Kelantan di sini hari ini.

Nik Aziz juga menolak spekulasi kononnya Exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa akan meletakkan jawatannya ekoran rombakan dalam pentadbiran pejabat menteri besar.


Sebaliknya Nik Aziz memberitahu, Husam yang merupakan bekas setiausaha politiknya sebenarnya pemimpin kesayangan semua orang.

“Mana boleh dia (Husam) letak jawatan... kita semua sayang pada dia, dia punya kebijaksanaan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai desas-desus bahawa Husam akan meninggalkan Kabinet kerajaan negeri dan kerusi Dewan Undangan Negeri, Nik Aziz berkata, “siapa kata dia (Husam) nak letak jawatan? Karut semua itu.”

Dimaklumkan perkara itu dilaporkan oleh blog sejak beberapa hari lalu, Nik Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan menegaskan, “celaka blog itu. Tak ada kerja lain... tau nak laga-lagakan orang.”

“Suka buat dosa. Berdosa menulis perkara bukan-bukan tanpa bukti dan fakta jelas,” tambah beliau.

Husam juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan. Malah juga diamanahkan untuk mengetuai jawatankuasa berkaitan isu pertikaian royalti minyak untuk negeri itu.

Mengenai Calon Pilihan raya akan datang, Nik Abdul Aziz berkata Pas Kelantan akan meneruskan amalan mengambil calon luar Kelantan untuk bertanding pada pilihan akan datang.

"Pas Kelantan masih memerlukan khidmat calon luar Kelantan bagi mengisi keperluan di negeri di samping mereka yang tiada tempat di negeri mereka," katanya.

Monday, December 28, 2009

Dewan Pemuda PAS buat aduan polis penunjuk perasaan menyamar ahli

PETALING JAYA, Dis 28 - Dewan Pemuda PAS Selangor membuat aduan polis berhubung tindakan sekumpulan pemuda yang mendakwa mereka sebagai ahli dan penyokong PAS mendesak ia keluar Pakatan Rakyat (PR), semalam.

Aduan di Ibu Pejabat Polis Shah Alam pada pukul 11 pagi tadi.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Selangor Khairul Fahmi Matsom ketika dihubungi sebagai berkata kumpulan itu, yang dianggarkan kira-kira 20 orang telah menyamar sebagai ahli dan penyokong PAS sehingga mencalar imej parti tersebut.

“Kami membuat aduan berhubung dua perkara,” kata beliau.

Pertama, menurut beliau membabitkan ketua kumpulan itu Wan Hilman Abdul Rahim yang mendakwa dia sebagai ahli PAS kawasan Gombak.

“Kami buat siasatan di PAS kawasan Gombak dan juga di ibu pejabat mendapati dia (Wan Hilman) bukan merupakan ahli PAS... kami mendapati dia menyamar sebagai ahli PAS,” katanya lagi.

Kedua, kata Khairul Fahmi, pihaknya juga meminta polis agar menyiasat kerana mereka membuat kenyataan berunsur fitnah dengan meminta PAS keluar dari PR.

“Dia membuat satu kenyataan fitnah PAS ... ini kenyataan yang serius, kami memandang berat,” katanya lagi.

Mengenai tindakan susulan, kata Khairul Fahmi, pihaknya akan melihat perkembangan sama ada perlu mengambil tindakan perundangan terhadap Wan Hilman.

“Apa pun tindakan kami akan mengkaji dulu,” katanya.

Sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Gerakan Penyokong dan Pengundi PAS Selangor mendesak parti itu keluar daripada PR negeri dengan segera.

Mereka mahu PAS bertindak demikian ekoran rasa tidak puas hati terhadap pimpinan kerajaan campuran Selangor dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu sebenarnya.

Wan Hilman dipetik berkata pihaknya merasakan rakan sekutu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP cuba membelakangi PAS dalam membuat keputusan walaupun parti itu turut berada dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Mereka tidak sempat menyerahkan memorandum semalam kerana pejabat ditutup.

Sebaliknya mereka bercadang untuk menyerahkannya Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali pagi ini di pejabatnya di sini.

Bagaimanapun sehingga 3 petang tadi mereka tidak menyerahkan sebarang dokumen.

Ia disahkan oleh Khairul Fahmi dan Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir sendiri.

“Kami belum menerima apa-apa memorandum setakat ini,” kata Roslan Shahir.

Laporan Harakah Daily kelmarin yang memetik kiriman SMS berkata perhimpunan itu akan diadakan di pekarangan pejabat Perhubungan PAS Selangor di Shah Alam semalam.

Sempena perhimpunan itu, menurut SMS tersebut, satu memorandum akan diserahkan, yang bakal diterima sendiri oleh Hasan.

“Perhimpunan mendesak PAS Selangor keluar Pakatan Rakyat. Datanglah beramai-ramai demi kepentingan Melayu...,” tulis SMS itu dipetik portal tersebut.

Harakah Daily mendakwa Umno mahu mengambil peluang dari masalah dalaman yang berlaku di Selangor sekarang untuk memecahkan PAS ketika wujud spekulasi Umno-BN akan mengambil alih negeri itu bulan depan.

Wan Hilman yang mengaku dirinya ahli PAS dari Bahagian Gombak menafikan dakwaan kononnya kumpulannya didalangi Umno Selangor dan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sunday, December 27, 2009

Bekas MB Perlis- Datuk Seri Shahidan Kassim sertai Konvensyen Sunnah pimpinan Dr.As


Konvensyen Sunnah Kali ke 5 anjuran Institut Al Qayyim yang diadakan di Mengkuang, Bukit Mertajam turut dihadiri oleh bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan berjubah putih yang membuktikan bahawa beliau sememangnya menyokong perjuangan yang dibawa oleh bekas Mufti Perlis, Dr.Asri Zainul Abidin dalam isu fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Shahidan yang ditemui selepas konvensyen tersebut berkata Konvensyen Sunnah ini amat penting diadakan dari masa ke semasa.

"Apa yang saya lihat ialah komitmen yang ditunjukkan oleh NGO yang menganjurkan konvensyen ini tanpa adanya bantuan daripada pihak kerajaan maupun pihak berkuasa agama tetapi berjaya untuk menjana minda dan memberi pendedahan secara ilmiah kepada masyarakat betapa pentingnya fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah ini menjadi teras ikutan dan panduan dalam amalan kehidupan seharian terutamanya dalam konteks masyarakat negara ini.

"Semasa saya menjadi MB dahulu pernah perkara ini diutarakan supaya Konvensyen Sunnah ini diadakan kerap dalam masa setahun.Kita mempunyai begitu ramai para ilmuan dan cendekiawan dalam bidang agama termasuklah mereka yang mendapat pendidikan daripada Timur Tengah,Ini semua dapat kita garapkan supaya ia dapat memberi manfaat yang besar kepada masyarakat,agama dan negara.Islam tanpa pembaharuan akan terdedah kepada perkara bidaah yang akan merosakkan agama."

Menyentuh mengenai dakwaan beberapa imam masjid di negeri Perlis yang dikatakan meletakkan jawatan kerana berlakunya percanggahan dalam fahaman mazhab beliau berkata imam yang meletakkan jawatan dalam negeri Perlis ada pelbagai sebab dan alasan yang tersendiri.

"Jika ada imam-imam yang enggan menurut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mereka ingin mengikut fahaman yang bertentangan sudah pasti mereka mesti berhenti daripada memegang jawatan tersebut.Sekiranya saya menjadi pemerintah sekali pun saya tidak akan mengambil imam yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah ini untuk berada dibawah pentadbiran saya maupun dimana-mana sahaja.

"Imam yang telah menggunakan media sebagai tempat mereka mengeluarkan pandangan adalah orang yang tidak layak untuk menjadi imam.Mereka ini juga telah cuba untuk mengubah apa yang telah lama dipraktikkan di negeri Perlis dan di masjid-masjid berkenaan yang sememangnya mengamalkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Negeri Perlis adalah sebuah negeri yang terbuka untuk memberi pandangan dan pendapat sekiranya berlakunya percanggahan mengenai apa jua isu yang membabitkan fahaman mazhab dan agama."

Salahuddin: Pendesak PAS keluar Pakatan, bukan ahli


PAS hari ini menafikan bahawa kumpulan yang menggelarkan diri sebagai Gerakan Penyokong dan Pengundi PAS Selangor adalah anggota parti itu.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata kumpulan berkenaan tidak wujud dalam parti, sebalik ditubuhkan bertujuan untuk memfitnah parti tersebut. "Saya tidak kenal pun mereka. Kumpulan itu bukan di bawah kita (PAS) dan ini semua fitnah," katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kewujudan kumpulan itu yang mendesak PAS Selangor keluar daripada pakatan pembangkang di negeri itu kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan negeri dalam memperjuangkan isu Islam dan bangsa Melayu.

Ditanya sama ada PAS bercadang mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas mereka, Salahuddin berkata buat masa ini PAS mengambil pendirian untuk meneliti perkara tersebut. "Itu kita tengok kemudian (ambil tindakan undang-undang). Sekarang ini biarlah dahulu," katanya.

Beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai kumpulan terbabit dan tindakan seterusnya parti itu.

Ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Berikutan dengan sepuluh penumpang maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas dua tingkat Sani Express terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, awal pagi ini, dengan ini saya mewakili Pakatan Rakyat Negeri Perak mengeluarkan beberapa kenyataan seperti berikut :-  
1. Pakatan Rakyat Perak turut bersimpati dan bersedih dengan keluarga mangsa dan mengucapkan takziah kepada mereka yang terlibat,harapan kami semuga semuanya bersabar dan sentiasa berdoa kepada Allah supaya semua yang meninggal dunia ditempatkan oleh Allah SWT dikalangan roh orang yang beriman. Kepada semua marilah kita menyedekahkan bacaan Al Quran kepada mereka semua..Al Fatihah...  
2. Satu sisatan yang terperinci dan menyelurh mesti dilakukan dengan segera bagi memastikan pihak yang bertanggugn jawab diadili dengan sebaik mungkin termasuklah pemandu yang memandu bas ketika kemalangan itu yang telah ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  
3. Siasatan juga perlu melibatkan keadaan jalan, pembahagi jalan dan lain-lain aspek yang berkaitan supaya kejadian seumpama itu tidak akan berulang lagi dimasa akan datang.  4. Walaupun tidak setimpal dengan nilai kehilangan nyawa, pihak yang terbabit mestilah membayar pampasan yang sepatutunya bagi membela keluarga mangsa tersebut.  
Kenyataan Media/ 26 Disember 2009  
YB. DRS. KHALIL IDHAM LIM 
Setiausaha, 
Sekretariat Pakatan Rakyat Negeri perak.  

Friday, December 4, 2009

Puluhan ribu rakyat berhimpun sokong Tok Guru



KOTA BHARU, 4 Dis: Pusat bandar Kota Bharu penuh sesak dengan kebanjiran lautan manusia menghadiri perhimpunan menyokong kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Apa yang jelas ia ratusan kali ganda lebih ramai berbanding demontrasi mendesak Menteri Besar Kelantan meletak jawatan di hadapan Kota Darulnamim Selasa lalu, kata Ketua Penerangan PAS, Ahmad Baihaki Atiqullah.
Biarpun cuaca redup dengan hujan sekali sekala lebat, ia tidak menghalang puluhan ribu rakyat Kelantan hadir menyatakan kasih dan sayang mereka kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.
Ada yang datang dari Besut, Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan negeri-negeri lain bagi meramaikan lagi perhimpunan tersebut.Pelbagai sepanduk dapat dilihat, ada yang bertulis ‘Kita Sayang Tok Guru Kita’, ‘Kami Menyokong Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz’, ‘Royalti bui-builah (bagi-bagilah)’ dan ramai yang memakai lilit kepala bertulis ‘We Love Tok Guru’.
Tidak kurang juga kelihatan ramai anggota polis yang terpaksa berkawal di sepanjang jalan.

Medan Ilmu di Jalan Tok Pati menyaksikan sokongan terhadap kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz tidak pernah surut.

Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, Ketua-ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud dan penduduk bukan Islam serta pemimpin KeADIlan negeri.

Lebih menarik lagi apabila pemimpin masyarakat Cina, India dan Siam turut berucap di hadapan ribuan yang hadir.

Ah Seng mewakili masyarakat Cina menyatakan kaum tersebut di Kelantan dapat hidup aman damai di bawah pemerintahan PAS yang dipimpinan Tok Guru.
“Masyarakat Cina berdiri teguh di belakang Tok Guru. Kami masyarakat Cina menentang keras usaha-usaha pihak lawan yang mahu menjatuhkan Menteri Besar,” katanya diikuti laungan takbir orang ramai.

Tharuman wakil masyarakat India juga menyatakan masyarakat India di Kelantan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Tok Guru.

Ucapan dalam bahasa Tamil membuat orang ramai menjadi riuh rendah seketika.

Wakil institusi pondok tradisional di Kelantan, Ustaz Awang Yusof dari Pondok Gelang Mas, Pasir Mas secara terbuka meminta rakyat Kelantan tanpa mengira agama dan bangsa memberi sokongan padu kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Wakil KeADILan yang begitu bersemangat berucap berkata, ribuan rakyat yang hadir hari ini tidak dibayar sesen pun untuk hadir menyatakan sokongan kepada Menteri Besar.

“Tidak ada sebuah kerajaan yang bersih di negara ini kecuali Kelantan sepanjang ditadbir Tok Guru hampir 20 tahun,” ujarnya.

Beliau juga mencabar pemuda Umno berdebat pada bila-bila masa untuk membincang isu royalti yang menjadi hak milik rakyat negeri ini cuba dinafikan perdana menteri.

Wednesday, December 2, 2009

Pulau Pinang turut haramkan BTN

Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengikuti langkah Selangor apabila memutuskan bahawa semua kakitangannya dan pelajar institusi pengajian tinggi milik penuh kerajaan negeri diharamkan dari mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) yang dianjurkan oleh Kerajaan Persekutuan berkuat kuasa serta-merta.

Pengumuman dibuat Timbalan Ketua Menteri 1, Dr Mansor Othman dalam sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang tengahari tadi.

"Mulai hari ini Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengikuti langkah Kerajaan Selangor yang mengharamkan BTN kerana tidak melaksanakan modul sebenar bahkan mengisi modul dengan sikap jijik, menghina dan mencemuh kepimpinan Pakatan Rakyat, " jelasnya.

Kerajaan juga sedang mengkaji mana-mana pihak yang menganjurkan kursus serupa kerana ada laporan mengatakan mereka sengaja melemparkan kata-kata nista kepada pihak tertentu yang tidak menyokong Barisan Nasional (BN).

Menurut Dr Mansor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, laporan yang diterima daripada peserta amat mendukacitakan malahan ada yang tertekan dengan tindakan membuli peserta jika mereka tidak memberi kerjasama kepada penganjur.

Walaupun ada usaha kerajaan BN untuk mengkaji semula BTN namun ia sudah terlambat kerana sudah ramai minda peserta telah dirosakan dengan doktrin perkauman dan tidak bertanggungjawab.

Menurutnya remaja sepatutnta dididik dengan modul yang baik bukan memburukan kepimpinan Pakatan Rakyat kerana golongan remaja adalah pemimpin masa depan yang semestinya mempunyai mutu pemikiran yang matang dan tidak terikat dengan kedangkalan fikiran terhadap Umno dan BN sahaja.

"Walaupun ada usaha BN untuk kaji semula namun ia sudah terlambat kerana sudah ramai pemikiran remaja telah diselewengkan dengan melemparkan tuduhan tanpa bukti semata-mata untuk menarik kembali sokongan terhadap BN, " katanya.

25 November lalu, Kerajaan Negeri Selangor, negeri pertama Pakatan Rakyat memutuskan untuk mengharamkan kakitangannya dan pelajar institusi pengajian tinggi milik penuh kerajaan negeri daripada mengikuti kursus atau program dikendalikan BTN.

Sehubungan itu, beberapa buah negeri Pakatan Rakyat yang lain juga sedang menimbang perkara tersebut.

Kenyataan akhbar Pemuda Pas Perak: Tahniah Umno kerana tertib dan beradab

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) memuji dan mengucapkan tahniah kepada Pergerakan Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Pulau Pinang dan juga Negeri Perak kerana telah memenuhi aspirasi budaya dan adab 1Malaysia sepertimana ulasan pimpinan utama mereka katakan kelmarin seperti Tan Sri Dato' Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan pimpinan UMNO dan BN yang mengulas tindakan menjadikan gambar 3 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak sebagai alas kaki semasa konvensyen DAP Negeri Perak.

Hebatnya Pemuda UMNO dan BN ini kerana mempunyai sikap moral yang tinggi, akhlak terpuji, bersikap tertib dan bersopan santun, terpelajar dan cerdik, bertamadun tinggi, berfikiran waras dan bermaruah walaupun mereka telah menconteng, mengoyak dan memijak serta membakar gambar pimpinan seorang ketua kerajaan negeri Pulau Pinang. Tindakan bertamadun Pemuda UMNO dan BN ini semua adalah lebih beradab dan berfikiran jauh berbanding sekadar memijak gambar kononnya.

Adakah kita rakyat Malaysia melihat tindakan tersebut wajar di terima di dalam budaya ketimuran ini? Oleh perkara tersebut, DPPN Pk menyifatkan perbuatan yang telah dilakukan oleh Pemuda UMNO dan BN tersebut telah direstui oleh pimpinan tertinggi mereka. Ini kerana tiada komen, ulasan dan tindakan yang diambil oleh pimpinan UMNO dan BN Negeri Pulau Pinang dan juga Negeri Perak atau pun pimpinan tertinggi mereka terhadap tindakan mengoyak, menconteng dan membakar potrait Ketua Menteri Pulau Pinang dan beberapa pimpinan tertinggi DAP yang lain.

Perkara ini jelas menunjukkan bahawa budaya yang dibawa oleh UMNO dan BN perlu ditolak oleh rakyat Malaysia. DPPN Pk menyeru agar perbuatan tersebut tidak dilakukan oleh manusia yang bertamadun dan bersifat ketimuran.

DR. RAJA AHMAD AL-HISS

Setiausaha,

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Kerajaan Negeri akan guna Unesco sekiranya Kerajaan Persekutuan engkar janji mereka


Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menggunakan saluran antarabangsa bagi mendapatkan peruntukan sebanyak RM25 juta sepertimana yang telah dipersetujui oleh mantan Perdana Menteri dahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi bagi projek Tapak Warisan Dunia di Pulau Pinang.

Menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng sekiranya Kerajaan Pusat masih enggan menyalurkan peruntukan tersebut maka ia akan dirujuk kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan(Unesco).

"Jika Kerajaan Negeri Melaka yang juga sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia sepertimana Georgetown mendapat peruntukan tersebut kenapa pula Pulau Pinang yang sama-sama berada dalam kategori tersebut dipinggirkan.

"Namun begitu kita akan terus berunding dengan Kerajaan Persekutuan terlebih dahulu bagi mendapatkan hak tersebut.Sekiranya masih tidak berkesan maka saluran lain termasuk Unesco akan digunakan."

Menurut Lim lagi Kerajaan Persekutuan harus bersikap adil dan mengamalkan dasar yang sama dalam menyalurkan peruntukan kepada mana-mana Kerajaan Negeri tanpa mengambil kira ideologi politik.

"Jika amalan pilih kasih masih lagi menjadi amalan mereka maka Konsep Satu Malaysia yang diuar-uarkan sebenarnya bukanlah Satu Malaysia tetapi ianya adalah Dua Malaysia."katanya lagi.

Timbalan Ketua Menteri II P.Pinang sedia terima tindakan undang-undang isu Tang Hak Ju


Isu kontroversi pertikaian tanah lot 954, 955 dan 956 di Seberang Perai Tengah yang melibatkan Tang Hak Ju dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang membuatkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof.Dr. P. Ramasamy membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM)baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata tindakannya itu adalah satu tindakan yang betul bagi menyelamatkan Kerajaan Negeri daripada menanggung kerugian sebanyak RM40 juta yang terpaksa dibayar kepada Tang Hak Ju setelah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini.

"Saya ada menerima notis tindakan daripada Tang Hak Ju yang mendakwa saya membuat fitnah terhadapnya berhubung penemuan maklumat tambahan yang telah diserahkan kepada SPRM.Saya juga telah diberi tempoh selama lima hari untuk menjawab notis beliau.

"Saya sanggup untuk menerima dan dikenakan apa jua tindakan undang-undang sekiranya apa yang dilaporkan kepada SPRM Itu tidak benar.Malah tujuan sebenar saya adalah untuk mengelakkan kerugian yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri yang memerintah daripada membayar kepada mereka dalam kadar yang mencecah sehingga RM40 juta."

Sebelum ini Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat telah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Khas sebaik sahaja dimaklumkan Kerajaan Negeri menghadapi kerugian berjuta-juta ringgit akibat daripada skandal dan penyelewengan tanah Tang Hak Ju.

Pemajakan tanah 4.2 hektar oleh Kerajaan Negeri Barisan Nasional ketika itu kepada Tang dan pembatalan perjanjian adalah dibawah pentadbiran Tan Sri Dr.Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah sebagai Timbalannya.

"Justeru itu keputusan mahkamah yang memutuskan Kerajaan Negeri bersalah dan perlu membayar sejumlah besar wang kepada Tang adalah satu kerugian kepada Kerajaan yang melibatkan wang rakyat.Perkara ini perlu mendapat keadilan dan perlu disiasat."kata Ramasamy lagi.

Kenyataan akhbar: Beri royalti dan rombak BTN

Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK Malaysia) menggesa agar Kerajaan Pusat mengkaji semula keputusan berkaitan royalti minyak dengan memberikan royalti 5% hasil pengeluaran minyak oleh Petronas kepada Kelantan selaras dengan kedudukan Kelantan sebagai negeri pengeluar minyak. Gerak berpandangan tidak ada istilah wang ihsan menurut Akta Petroleum Negara 1974 seperti mana yang telahpun ditegaskan oleh Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah terlibat sebagai pengasas Petronas. Jika negeri Sabah, Sarawak dan Terengganu boleh diberikan wang royalti sebagai negeri pengeluar minyak. Maka mengapa tidak diberikan juga hak royalti 5% kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk diuruskan.

Gerak percaya Kerajaan Negeri Kelantan akan menguruskan wang royalti dengan telus dan bertanggungjawab sekiranya Kerajaan Pusat bersifat terbuka untuk menyemak kembali kedudukan pemberian wang royalti bagi diuruskan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Kredibiliti Kerajaan Pusat dan Petronas akan lebih terserlah dengan menghormati Akta Petroleum Negara.

Adalah menjadi hak Negeri Kelantan untuk mendapatkan wang tuntutan ganti rugi hasil daripada aktiviti cari gali petroleum dan amat wajar untuk Petronas membayar wang royalti 5% atau bayaran tunai 5% (cash payment) kepada Kerajaan Kelantan. Kita tidak mahu sikap yang pernah dilakukan oleh Kerajaan Pusat BN selepas tewas di Terengganu pada tahun 1999 dengan menukarkan status wang royalti menjadi wang ihsan dan sekarang apabila Kerajaan BN menang semula di Terengganu ditukar kembali status kepada wang royalti.

Semangat federalisme yang penuh integriti wajib diamalkan oleh Kerajaan Pusat dalam isu royalti minyak ini. Dalam perkembangan lain, Gerak juga menyarankan agar Kerajaan Pusat mengkaji semula silibus Program Biro Tata Negara (BTN) agar ianya tidak disemai dengan semangat perkauman. Silibus yang baik seumpama bagi menaikkan semangat patriotismedan jati diri peserta boleh dikekalkan agar menjamin perpaduan dikalangan rakyat.

Gerak juga mencadangkan agar silibus integriti dan anti korupsi diterapkan sebagai salah satu daripada silibus Program Biro Tatanegara (BTN) dalam suasana negara pada hari ini berhasrat membentuk Good Governance. Isu-isu integriti sering menjadi agenda Perdana Menteri dan termasuk juga pimpinan pembangkang. Adalah menjadi suatu kelompangan dalam pengisian program BTN sebagai program pembinaan jati diri jika tidak memuatkan nilai-nilai dan informasi berkaitan agenda membudayakan integriti dan anti korupsi dalam jiwa peserta yang rata-rata terdiri daripada kakitangan awam dan generasi muda termasuk mahasiswa. Gerak bersedia bersama kerajaan dalam merencanakan pengisian integriti dan anti korupsi tersebut.

MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi GERAK Malaysia

Tuesday, December 1, 2009

Kenyataan akhbar Presiden PAS: Tindakan Nik Aziz gambaran ikhlas dan jiwa besar


Keputusan yang diambil oleh Tok Guru Mursyidul Am PAS dengan meminta menantu beliau Ir. Abdul Ariffahmi Abd Rahman untuk meletakkan jawatan dari kedudukan sebagai CEO PMBK adalah jelas merupakan satu tanda keikhlasan dan jiwa besar yang ditunjukkan oleh Tok Guru yang bersedia menerima keputusan parti.

Sifat berjiwa besar ini juga ditunjukkan oleh seluruh ahli keluarga beliau yang bersabar dengan ujian yang dan ini sangat berbeza dengan konsep kronisme yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional yang tidak boleh dirombak dan dirungkaikan.

Kita juga berhadapan dengan undang-undang manusia yang seringkali menjatuhkan hukuman dengan tidak adil – iaitu hukuman telah dijatuhkan sebelum maklumat sepenuhnya diperolehi dari sumber yang amanah dan benar.

Benarlah keadaan yang digambarkan oleh Rasulullah saw “Akan berlaku di akhir zaman keadaan yang celaru, orang amanah dikatakan khianat, orang khianat dikatakan amanah, orang benar dikatakan bohong dan orang bohong dikatakan benar”.

Kita dapati Tok Guru selaku Pengerusi PMBK telah menjalankan pelantikan yang ikhlas.

Apa yang kurangnya ialah mereka yang bertugas di sekeliling yang tidak memberi nasihat perundangan dan politik yang betul kepada Tok Guru.

Kita dapati bahawa selama 19 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, Tok Guru selaku Menteri Besar dan ahli keluarganya tidak pernah mengambil peluang dari jawatan yang diamanahkan ini.

Seluruh ahli PAS menjunjung tinggi keikhlasan Tok Guru dalam menjalankan amanah yang sangat besar dan berat ini.

Kita juga sangat hairan dengan sikap orang yang menyerang Tok Guru ini kerana mereka berdiam diri pula dengan membiarkan kesalahan dan ketidakadilan terhadap rakyat yang dilakukan oleh para pimpinan UMNO dan BN sewenang-wenangnya.

Kita berharap agar Tok Guru dan keluarga bersabar dengan ujian masyarakat yang tidak memahami keadaan sebenar yang berlaku.

Kita mengharapkan agar mereka yang suka menyebarkan api kebencian agar segera bertaubat kerana sabda Rasulullah saw “Barangsiapa yang bermusuh dengan orang-orang yang mentaati perintahku maka aku mengisytiharkan kemurkaan yang sekeras-kerasnya”.

Saya juga menyeru seluruh ahli PAS agar berbangga dengan keputusan Tok Guru beserta ahli keluarganya yang bersedia menerima keputusan parti, dan marilah kita bersama-sama dengan Tok Guru dalam menghadapi ujian fitnah media yang tidak putus-putus dan cubaan musuh untuk meletakkan kerajaan PAS di Kelantan dalam keadaan tidak tenteram.

Marilah kita sama-sama mempertahankan kerajaan yang telah dibina di atas dasar amanah Allah ini dengan seluruh tenaga yang kita ada.

Presiden PAS
Abdul Hadi Awang

Hampir 50 anjur tunjuk perasaan disaksikan 500 penonton di Kota Darul Naim

Hampir 50 anggota kumpulan yang menggelarkan diri mereka Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan yang juga penyokong Umno mengadakan tunjuk perasaan di Kota Darul Naim pagi ini dengan disaksikan hampir 500 penonton bagi memprotes tindakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendoakan kecelakaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno kerana keengganan kerajaan persekutuan membayar royalti.

Perhimpunan ini dipimpin oleh Timbalan Ketua Umno Pasir Mas, Che Johan Che Pa.

Kumpulan itu mula tiba di pusat pentadbiran kerajaan negeri itu kira-kira pukul 10 pagi dan bersurai lebih satu jam kemudian selepas selesai menyerahkan memorandum bantahan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Anual Bakri Haron.

Sebelum itu, pihak polis mula berkawal di depan pusat pentadbiran kerajaan Kelantan seawal pukul 9 pagi sebagai persiapan menghadapi perhimpunan membantah kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Semalam satu mesej bersebaran melalui SMS menggesa ahli-ahli Umno berhimpun supaya menyokong protes itu dan malam tadi, Pemuda PAS Kelantan membuat satu laporan polis bagi memaklumkan rancangan demo ini.

Bagaimanapun, seorang pemimpin Pemuda Umno Kelantan menegaskan protes itu yang juga bertujuan mendesak Nik Aziz meletakkan jawatan adalah inisiatif NGO tersebut.

Difahamkan, para pemimpin PAS menuduh Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali sebagai dalang di sebalik protes itu.

Bagaimanapun, MP bebas yang bertanding di bawah tiket parti Islam itu tahun lalu menafikannya.

Nik Aziz dalam khutbah Aidiladha Jumaat lalu menggesa para jemaah supaya berdoa agar hati Najib dibuka untuk membayar royalti minyak kepada kerajaan Kelantan.

Beliau juga berkata akan mendoakan kecelakaan Najib dan Umno sekiranya royalti minyak itu tidak dibayar.

Doa kontroversi Nik Aziz itu telah digunakan oleh pemimpin Umno untuk menekan Mursyidul Am PAS itu.

Hari ini akhbar parti Melayu itu, Utusan Malaysia menyiarkan laporan yang menggesa Nik Aziz supaya berundur kerana telah menimbulkan kegelisahan kepada umat Islam.

ADUN Titi Serong puji usaha mengumpulkan keluarga keturunan Janggol dan Normah


Usaha mengumpulkan keturunan keluarga yang dilakukan oleh waris keturunan Janggol dan Normah merupakan satu usaha yang baik dan perlu dicontohi oleh semua pihak khususnya warga setempat, kerana itu saya ucapkan tahniah diatas kejayaan usaha murni ini. Demikian antara ucapan ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim semasa merasmikan Majlis Korban dan Hari Keluarga Keturunan Janggol dan Normah yang diadakan di Dewan Sek.Men.Agama Al Falah disini.


Himpunan keluarga keturunan Janggol dan Normah itu dikendalikan oleh sebuah Jawatan Kuasa yang dipengerusikan oleh Waris ke 3, Ust. Hj. bahruddin bin Sulaiman. Satu kejayaan yang ditunjukkan oleh program yang julung kali diadakan dalam usaha mengumpulkan keluarga itu apabila sekitar 700 orang memenuhi dewan dan dijamu dengan 2 ekor lembu korban.

"Manusia dijadikan oleh Allah dengan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku namun yang paling mulia disisiNya ialah yang paling bertakwa, termasuklah dalam keturunan Janggol dan Normah, mereka menjadi mulia disisi Allah adalah kerana takwa". Jelas Drs. Khalil.


"Saya berharap dengan usaha ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan mengeratkan hubungan kekeluargaaan sesama kita, usaha ini penting kerana generasi masakini dilihat telah terhakis dari mengamalkannya" Ucap Drs. Khalil.

Bagi merealisasikan dan meneruskan aktiviti pada masa akan datang, Drs. Khalil menyarankan kepada Jawatankuasa pengelola supaya mewujudkan sebuah Website dan menubuhkan khairat kematian.

Sementara itu semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya, Pengerusi jawatankuasa Program, Ust. Hj. Bahruddin Sulaiman menjelaskan himpunan melibatkan keturunan ke 3 hingga ke 6 sahaja.

Beliau juga menjelaskan usaha jawatankuasa menghubungi mereka dengan berbagai cara termasuk mengiklankan dalam akhbar harian. Mereka ada yang tinggal di Johor, Pahang, Sabah dan semuanya dijemput untuk hadir.

"Air dicincang tidak akan putus" Demikianlah harapan akhir kepada keluarga Janggol dan Normah, ucap Ust.bahruddin mengakhiri ucapannya.

Kes liwat Anwar didengar bulan depan


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhadapan dengan “cabaran politik” ekoran gagal dalam usaha beliau untuk membatalkan kes liwat — yang kedua dihadapinya dalam 10 tahun.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang menolak permohonan Anwar pagi ini menetapkan tempoh sebulan iaitu dari 25 Januari hingga 25 Februari depan untuk mendengar kes beliau.

Meskipun diwakili oleh pasukan peguam terbaik termasuk Raja Aziz Addruse, Anwar gagal dalam usahanya untuk mengetepikan kes liwat ini.

Anwar berhadapan dengan kes liwat pertama sejurus selepas dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada September 1998.

Jika disabit kesalahan Anwar boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, yang dilihat boleh menjejaskan kerjaya politik beliau dan peluang menawan Putrajaya dengan kerjasama PAS dan DAP.

Kini Anwar merupakan Ketua Umum Pakatan Rakyat. Anwar memohon untuk membatalkan dakwaan liwat terhadapnya.

Hakim memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk mengetepikan tuduhan terhadap Anwar tetapi Ahli Parlimen Permatang Pauh itu harus membuktikan dakwaan bahawa wujud niat jahat dan konspirasi politik di pihak pejabat Peguam Negara terhadapnya.

Justeru Zabidin menambah terserah kepada pendakwa raya untuk memutuskan bagaimana mereka hendak membuktikan wujudnya unsur penetrasi. Anwar, 62, didakwa meliwat Mohd Saiful Bukhari Azla, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.

Mohd Saiful, 24, merupakan bekas pembantu peribadi Anwar.

Perbicaraan kes itu pada mulanya ditetapkan 1 sehingga 23 Julai lalu tetapi ditangguhkan beberapa kali bagi membolehkan mahkamah mendengar beberapa permohonan yang difailkan Anwar.

Pada 23 November lalu, peguam Anwar memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dakwaan liwat terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu berniat jahat dan tidak boleh diterima memandangkan ketiadaan penemuan perubatan berhubung penetrasi.

Peguam R. Sivarasa berkata bukanlah satu perkara baru bahawa untuk melakukan dakwaan liwat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, penetrasi merupakan perkara utama dan teras.

Beliau berkata dalam kes ini, tiada bukti perubatan yang pasti bagi mencadangkan berlaku penetrasi ke dalam dubur pengadu, Mohd Saiful.

Sivarasa turut berhujah bahawa dakwaan terhadap Anwar tidak berasaskan bukti sebaliknya berat sebelah, menyalahi undang-undang, berniat jahat, bermotifkan politik dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Beliau berkata mahkamah mempunyai hak dan kuasa sedia ada untuk membenarkan permohonan membatalkan atau menangguhkan dakwaan itu bagi mengelak pendakwaan yang menindas dan mempunyai niat buruk terhadap Anwar.

Sivarasa berkata pembabitkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam kes itu jelas menunjukkan niat jahat terhadap Anwar, memandangkan beliau disiasat oleh

Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berikutan laporan polis terhadap beliau oleh Anwar membabitkan pemalsuan keterangan dalam insiden “mata lebam” ketika Anwar ditahan polis pada 1998.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...