Wednesday, November 28, 2007

Air Kelantan: Khairy diminta tanya bapak mertuanya


KOTA BHARU, 28 Nov: Menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaludin perlu bertanya kepada bapa mertuanya sendiri bagaimana proses tender projek Air Kelantan kerana Menteri Kewanganlah pihak yang mengeluar sebarang tender mengenainya.

Exco kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa berkata, sudah menjadi peraturan semua tender yang dikeluarkan oleh Air Kelantan perlu diluluskan oleh Kementerian Kewangan sebelum diberikan kepada mana-mana kontraktor.

"Pihak Air Kelantan hanya boleh membuat senarai pendek sahaja," kata beliau semasa sesi penggulungan perbahasan Bajet Kelantan 2008 dalam sidang DUN Kelantan selasa lepas.

Siasah difahamkan, peraturan tender itu berkuatkuasa apabila Air Kelantan mendapat pinjaman dari kerajaan Pusat untuk membangunkan air di Kelantan.

Menurut Husam, kerana kuasa itulah kadang-kadang Menteri Kewangan menyalahgunakannya dengan cara tidak memilih kontraktor di kalangan yang disenarai pendekkan oleh oleh Air Kelantan tetapi memilih kontraktor yang tidak direkomenkan oleh Air Kelantan.

"Inilah yang berlaku kepada projek Loji Kampung Puteh yang terbengkalai lebih tiga tahun akibat dari tersalah pilih kontraktor yang bukan dalam senarai pendek Air Kelantan," kata Husam.

Menurut Husam, Khairy semasa datang ke Kelantan tiga bulan lepas telah membawa satu sampul surat kononnya mengandungi dokumen yang mengaitkan beliau (Husam) dengan rasuah dalam Air Kelantan.

"Hasilnya BPR telah keluar masuk dalam Air Kelantan untuk mencari rasuah itu. Siasat dan siasat termasuk ke atas satu syarikat bernama Roadbilder yang menerima kontrak dari Air Kelantan.

"Pengerusi Roadbilder adalah Tengku Ahmad Rithaudeen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno. Jadi Khairy minta siasat Pengerusi JK Disiplin Umno," kata Husam.

Kata Husam, ekoran dakwaan Khairy itu, pegawai BPR keluar masuk Air Kelantan dan memanggil para jurutera di syarikat milik kerajaan negeri itu.

"Tetapi sampai sekarang tidak ada yang boleh dikaitkan dengan dakwaan rasuah Khairy itu," kata Husam.

Tuesday, November 27, 2007

Anuar sedia jadi Presiden Kafa selepas Khairy jadi Timb Presiden FAM

KOTA BHARU, 27 Nov: Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyudin Hassan mendakwa Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa menerima perlantikan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Amatur Kelantan (Kafa) setelah menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaludin dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Dakwaan itu dibuatnya dalam sidang Dun Kelantan pagi ini (27 November).

"Dia terima jawatan itu untuk mudah jumpa Khairy...kalaupun tak dapat jumpa Perdana Menteri selalu pun tak apa...asal dapat jumpa menantunya," kata Takiyudin dalam ucapan penggulungan perbahasan belanjawan Kelantan 2008 Kelantan.

Sebelum ini, kata Takiyudin, Annuar Musa menolak tawaran jawatan itu dengan alasan dia lebih berminat untuk memajukan negeri berbanding dengan bolasepak.

Cadangan agar MB Kelantan dilantik sebagai Pengerusi Kafa untuk membolehkan kerajaan negeri membantu Kafa juga ditolak dengan alasan "MB Kelantan orang politik".

"Tetapi selepas Kahiry menjadi Timbalan Presiden FAM, dia terima tawaran jawatan itu. Saya tak taulah dia ni orang politik ke dak," kata Takiyudin menyindir.

Takiyudin berucap bagi mengulas sindiran Annuar Musa dalam ucapannya yang kerajaan negeri tidak memberikan bantuan dalam pembangunan bolasepak Kelantan.

Antaranya, menurut Takiyudin, Annuar berkata, kerajaan negeri hanya memperuntukkan RM10 sahaja untuk pembangunan bolasepak dalam belanjawannya.

Takiyudin bersetuju agar kerajaan negeri membantu pembangunan bolasepak di Kelantan khasnya membantu Kafa tetapi bagi beliau permohonan itu biarlah beradab dengan cara Kafa menemui sendiri Menteri Besar Kelantan atau Ecxco pembangunan belia dan sukannya.

Monday, November 26, 2007

Adun BN sepak Adun PAS dua kali dalam sidang DUN Kelantan

KOTA BHARU, 26 Nov: Adun Paloh, Norzula Mat Diah dan Adun Bukit Bunga, Adham Kechik telah digantung selama enam bulan jika tidak memohon maaf kepada Speaker DUN Kelantan selepas mendakwa beliau tidak adil dalam kenyataan akhbarnya.

Usul mengenai perkara tersebut telah diluluskan oleh DUN dengan undi 23 menyokong dan 21 menentang.

Bagaimanapun, tidak ada masa yang ditetapkan untuk kedua-duanya berbuat demikian.

Sementara itu, sidang DUN Kelantan juga kecoh apabila Adun Paloh, Norzula Mat Diah meluru ke arah Adun PAS dari Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim dan menyepaknya (Zaki) sebanyak dua kali.

Video klip mengenainya kini disiarkan Harakhdaily.net.

Wednesday, November 21, 2007

PAS anjur kempen bahaya BN di seluruh negara

KUALA LUMPUR, 21 Nov: PAS mengatur 13 ceramah serentak di seluruh negara dalam program Kempen Bahaya BN parti itu.

Ceramah anjuran Lajnah Penerangan PAS yang dipengerusikan oleh Mahfuz Omar itu bakal melibatkan semua pimpinan utama parti Islam itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Lajnah Penerangan PAS, antara pemimpin yang terlibat dalam ceramah itu adalah Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan juga timbalannya, Nasharudin Mat Isa.

”Program ini mempunyai tiga tujuan, mendedahkan kepada rakyat tentang bahaya BN, mengajak rakyat menolak BN dalam pilihanraya ke 12 dan mencipta gelombang untuk menghadapi PRU ke 12,” kata kenyataan itu.

Tuesday, November 20, 2007

Raja Muda Perak dicadang Pengerusi Suruhanjaya


KUALA LUMPUR, 20 Nov: Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang mencadangkan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah (gambar)dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Diraja bagi mengembalikan kemuliaan institusi kehakiman negara ini atau pun ayah baginda, Sultan Perak sendiri sebagai bekas Ketua Hakim Negara di era gemilang institusi kehakiman negara.

Di samping mereka berdua, beliau juga mencadangkan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dzaiddin Abdullah, bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Shaikh Daud dan Datuk N. H. Chan dan bekas dan bekas hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Visu Sinnadurai sebagai anggota.

Di samping mereka, Kit Siang juga mencadangkan agar nama-nama berikut dipertimbangkan untuk menjadi anggota Suruhanjyaya Diraja itu.

Mereka adalah Tunku Abdul Aziz (Transparency International), Raja Aziz Addruse (Bekas Presiden Majlis Peguam), Datuk Param Cumaraswamy (bekas pelapur khas PBB), Yeo Yang Poh (bekas Presiden Majlis Peguam) dan Chooi Mun Sou (anggota JK Penyiasat BBMB).

Kerajaan baru-baru ini bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat dan mencadangkan pembaikan untuk institusi kehakiman ekoran cadangan penal penyiasat video klip VK Lingam.

Bagaimanapun, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa bimbang penubuhan suruhanjaya ini senasib dengan penubuhan suruhanjaya penambahbaikan polis menjelang pilihanraya 2004 lalu.

"Ia hanya menjadi gimik menjelang pilihan raya sahaja. Selepas ini, cadangan entah ke mana, laporan entah ke mana," kata Husam.

Tuesday, November 13, 2007

Pakai pakaian kuning setiap Sabtu

KUALA LUMPUR, 13 Nov: Bersih mengisytiharkan warna kuning sebagai warna rasmi yang perlu dipakai pada setiap hari Sabtu mulai sekarang sebagai melahirkan sokongan untuk mendapatkan pilihan raya bersih dan adil di negara ini.

Tindakan ini dibuat bagi menandakan protes rakyat terhadap sistem demokrasi, semangat cintakan negara dan tuntutan Bersih untuk mendapatkan pilihan raya bersih dan adil.

Pengisytiharan ini dibuat oleh Ahli Jawatankuasa Bersih (Gabungan menuntut pilihan raya bersih dan adil), Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi ekoran daripada perhimpunan rakyat pada 10 November lalu.

Turut bersama beliau adalah Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim, Ketua Pemuda PAS Pusat Salahuddin Ayub, wakil Women Development Collective (WDC) Maria Chin Abdullah dan wakil Youth For Change (Y4C) Lee Khai Loon dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Warna kuning telah digunakan dalam perhimpunan yang disertai oleh lebih 40,000 orang di perkaranga Istana Negara Sabtu lepas bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agung.

Kedatangan begitu ramai penyokong telah membentuk lautan manusia di perkarangan Istana Negara yang warna rasminya adalah kuning.

Blogger yang juga aktivis politik Ruhanie Ahmad dalam blognya juga turut mencadangkan supaya 'Gelombang Kuning' dengan pakaian kuning setiap Sabtu.

"Gelombang kuning perlu terus digelorakan di seluruh pelusuk tanahair tercinta. Bukan dengan perarakan ke Istana Negara di Kuala Lumpur sahaja," katanya dalam blognya Kuda Kepang.

"Tapi, hanya dengan memakai pakaian - baju, baju-t, tudung, necktie, selendang, kot, jubah, serban, seluar, skirt atau topi berwarna kuning pada setiap hari Sabtu," katanya

Sebelum ini, Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat turut mencadangkan agar Hari Sabtu dijadikan Hari Kuning dengan cara memakai pakaian yang berasaskan warna itu.

DARI PASAR BUDAYA KE ISTANA NEGARA


Oleh Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

Kira-kira pukul 12.15 tengahari tadi saya dihubungi oleh wartawan Malaysiakini untuk bertanyakan bagaimana peristiwa kumpulan penyokong BERSIH dapat melepasi halangan Polis untuk tiba di masjid negara.

Saya juga telah membacaberita daripada Malaysiakini yang bertajuk Bagaimana 40,000 meloloskan diri dari kepungan polis? dan Bersih plays cat-and-mouse with cops.

Awalnya, saya tidak berhajat untuk menulis tentang perkara ini tetapi setelah membaca berita di atas, saya rasa perlu untuk saya menggambarkan dengan lebih jelas tentang kejadian tersebut. Saya telah diamanahkan untuk memulakan perhimpunan di Pasar Budaya (CM) yang menempatkan para penyokong BERSIH daripada negeri-negeri Selatan tanahair bersama sdr Amiruddin Shari, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).


Inilah pertama kalinya saya diamanahkan untuk memimpin himpunan aman di sekitar lembah Klang. Walaupun ianya bukanlah satu perkara yang luar biasa tetapi bukannya di Kuala Lumpur. Sekadar untuk berdemonstrasi adalah perkara biasa tetapi bukannya untuk memimpin. Tapi tak apalah, sdr Amiruddin tentu dapat melaksanakan tugas ini nanti.

Kira-kira pukul 1.00 petang sdr Amiruddin menghantar SMS untuk memaklumkan saya supaya meneruskan amanah memimpin kumpulan di CM kerana beliau telah dihalang oleh pihak polis. Keadaan yang sukar menyebabkan beliau mungkin tidak akan ke CM.
”Habislah aku!” bisik hati saya.

Saya bergegas keluar daripada Bangunan PAS yang terletak di Jalan Raja Laut menuju ke CM menaiki LRT daripada stesyen Sultan Ismail dan turun ke Stesen Masjid Jamek. Di kawasan Masjid Jamek kelihatan ramai penyokong BERSIH telahpun berkumpul sambil menantikan arahan.
Apabila tiba di CM saya dapati telah ramai penyokong yang telah berlegar-legar untuk menunggu arahan untuk bergerak. Bendahari PAS Johor, Haji Mustapha telah bersama saya untuk membincangkan strategi yang perlu dibuat.

Saya masih mengharapkan agar Amiruddin dapat meloloskan diri supaya dapat tiba di CM.
Pada awalnya, saya mendapat arahan supaya memulakan majlis himpunan tersebut di kawasan pejalan kaki yang terletak di antara bangunan CM dan bangunan perniagaan yang terletak disebelahnya (Ada KFC)

Lebih kurang pukul 2 petang pasukan polis telah mula ramai dan mereka membuat satu barisan untuk menghalang penyokong BERSIH daripada mengadakan perarakan menghala ke arah dataran Merdeka. Kesemua polis tersebut berdiri menghala ke arah Perhentian Bas Klang.

Saya telah memberikan arahan kepada beberapa pemuda PAS Johor untuk mencuit kesemua penyokong BERSIH supaya bergerak perlahan-lahan secara berasingan melalui jalan koridor di hadapan bangunan tersebut dan akhirnya sebahagian besar daripada penyokong BERSIH berkumpul pula dibelakang polis yang berdiri.

Kebetulan hujan turun dan kesemuanya lari mencari tempat perlindungan. Saya berbincang dengan sdr Tian Chua apakah strategi seterusnya memandangkan hujan telah turun dengan lebatnya. Atas nasihat beliau, saya mengarahkan kesemua penyokong untuk berpindah ke Annexe Central Market.

Saya menghubungi Datuk Dr Mahfodz supaya bergerak ke lokasi terbaru tersebut. Saya masih tertunggu-tunggu kehadiran Sdr Amiruddin Shari yang masih tidak dapat melepasi halangan pihak keselamatan.

Bingung juga rasanya apakah yang patut saya lakukan kerana hujan semakin lebat dan saya sememangnya tidak begitu memahami apa yang sepatutnya dilakukan. Sdr Tian Chua mencadangkan agar kumpulan daripada CM bergerak daripada lokasi setelah hujan reda tetapi tidak dipersetujui oleh bahagian keselamatan BERSIH.

Saya pula masih teragak-agak untuk memulakan majlis himpunan kerana penyokong masih belum dapat dihimpunkan di kawasan tersebut. Ketika itu, saya dapat melihat kelibat beberapa pimpinan daripada pelbagai pihak seperti Datuk Dr Mahfodz (Pesuruhjaya PAS Johor), Ust Abd Ghani Abd Rahman (Pesuruhjaya PAS Melaka), Puan Irene Fernandez (MPT Keadilan), Dr Zaliha Mustafa (Naib Ketua Wanita Keadilan Pusat), Sdr Tan Hong Pin (Setiausaha DAP Johor), sdr Jalil Adam (Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor), sdr Adly Zahari (Exco DPP Pusat), Cik Elizabert Wong (Ketua Penerangan Wanita Keadilan) dan ramai lagi yang tak tersebut oleh saya.

Saya memulakan majlis setelah bahagian keselamatan memaklumkan kesemua penyokong BERSIH daripada lokasi yang lain telah memulakan perarakan. Ucapan pertama saya.

”Saudara dan saudari sekelian, saya membawa satu berita yang cukup gembira pada petang ini. Yang Mulia Yang Di Pertuan Agong telah bersetuju untuk menerima memorandum yang akan kita serahkan pada petang ini!”.

Laungan ”Daulat Tuanku” diiiringi dengan Laungan ”Allahu Akbar” ”Reformasi” dan ”Hidup Rakyat” kedengaran berulang-kali tanda kegembiraan para penyokong kerana Yang Di Pertuan Agong membuka ruang yang diimpikan oleh semua.
Saya menyambung lagi ;

”Himpunan ini adalah himpunan aman yang tidak menggunakan kekerasan. Kami adalah rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan”.

”Saya minta agar pihak polis tidak menghalang atau menimbulkan provokasi kerana ia sesungguhnya akan dimurkai oleh Yang Di Pertuan Agong”

Dan banyak lagi yang saya katakan tetapi tidak perlulah saya coretkan kesemuanya.
Perarakan dimulakan dengan Puan Irene Fernandez berada dihadapan. FRU cuba untuk menghalang kami daripada terus bergerak ke arah dataran merdeka.

Bila dihalang kami disebelah kiri jalan, kami bergerak ke arah kanan jalan, bila FRU bergerak ke arah kanan jalan, kami pun bergerak ke arah kiri jalan. Ibaratkan seperti sedang bermain ragbi, kami terus bergerak dalam satu kumpulan ke hadapan merempuh halangan FRU sehinggalah kami tiba ke lokasi yang terletak lebih kurang 15 meter daripada Dataran Merdeka (DM).

Ketika itu, kami sudah tidak berupaya untuk merempuh benteng FRU yang cukup gagah dan kental kerana bilangan mereka sudah terlalu ramai. Ketika itu, sdr Tian Chua, Dr Mahfodz dan Ust Abd Ghani telah hilang daripada kumpulan. Saya dan rakan-rakan lain semacam mati akal kerana rundingan dengan FRU untuk membenarkan kami meneruskan perjalanan telah gagal.

Saya cuba hubungi ketua sdr Amir Shari dan rakan-rakan lain tetapi gagal. Dalam kebingungan tersebut, saya dimaklumkan bahawa terdapat satu jalan kecil yang membolehkan kita keluar daripada halangan tersebut untuk menuju ke masjid negara dan seterusnya ke Istana negara. Saya dapati bahawa jalan itu tidal dikawal dengan rapi oleh pihak Polis.

Bagi mengelakkan FRU menyedari bahawa saya sedang menyusun langkah untuk mengeluarkan kesemua penyokong daripada sekatan tersebut, beberapa teman saya arahkan untuk terus bercakap, berteriak, melaung dan yang sewaktu dengannya bagi menumpukan pandangan mereka terhadap provokasi tersebut.

Sdr Azlan (AMK Johor) terus berceramah sambil sesekali menyanyikan lagu ”We Want We Want Justice!” Seorang kakak daripada Senawang yang membawa anak kecilnya turut memeriahkan suasana tersebut dengan ceramah dan syarahan yang cukup menikam kalbu.

Pada masa yang sama saya bergerak bertemu dengan para penyokong BERSIH dengan mengarahkan mereka ‘mencuit’ tiga orang sahabat yang lain untuk keluar daripada kumpulan dan bergerak melalui jalan yang telah saya nyatakan tadi.

Secara beransur-ansur, para penyokong BERSIH keluar daripada kepungan tersebut sehinggalah kami tinggal seramai lebih kurang 30 puluh orang sahaja!. Apabila saya rasa strategi tersebut telah berjaya, saya terus membuat pengumuman.

”Saudara sekelian, saya ingin memaklumkan bahawa sebahagian bersar daripada kumpulan kita telahpun selama sampai ke Istana Negara. Hanya kita sahaja seramai 30 orang ini yang tinggal bagi mengaburi mata. Pihak polis jangan tanya saya macamana rakan-rakan kami boleh tiba di istana.”

Seperti baru dipukau, FRU yang berada dihadapan kami terkejut dengan pengumuman tersebut. Saya yakin dan percaya mereka tertanya-tanya bagaimana mereka boleh terlepas pandang.

Saya berbincang dengan Puan Irene Fernandez untuk strategi terakhir untuk membolehkan kami keluar daripada halangan tersebut. Kami bergerak semula menghala ke arah CM dan terus berpecah. FRU yang tadinya menghalang kami tidak berbuat apa-apa dengan membiarkan kami lalu sahaja.

Akhirnya, kami daripada kumpulan 30 orang yang terakhir selamat juga sampai di hadapan Istana Negara. Di sana, saya bertemu semula dengan sdr Azlan, Puan Irene dan kakak daripada Senawang dengan anak kecilnya.

Sehingga ke saat saya menulis ini, saya masih tidak dapat melupakan saat-saat yang paling menarik tersebut. Mungkin ia tidak menarik jika dibandingkan dengan lokasi-lokasi yang lain namun ia tetap menjadi kenangan kepada saya.

Apapun, segalanya adalah daripada pertolongan ALLAH. Dialah yang membuka ruang dan peluang untuk kita mencapai kemenangan dan kejayaan.

Al Jazeera umpama kacang lupakan kulit - Zam

KUALU LUMPUR, 13 Nov: Stesen televisyen setelit Al Jazeera disifatkan umpama 'kacang lupakan kulit' dan tidak berterima kasih kepada kerajaan Malaysia yang telah memberikan tempat kepadanya untuk beroperasi apabila menyiarkan perhimpunan aman 100,000 rakyat baru-baru ini.

Menteri Penerangan, Datuk Zainudin Maidin (Zam) berkata, Al Jazeera telah membuat laporan berat sebelah mengenai perhimpunan itu dengan menggambarkan polis bertindak kasar terhadap mereka yang berhimpun secara aman.

Zam berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya di Angkasapuri semalam.

Ketika perhimpunan itu berlangsung, Al Jazeera telah menyiarkan perhimpunan itu dalam siarannya secara langsung sambil mewawancara Menteri Penerangan itu sendiri.

Laporan Al Jazeera itu kemudiannya telah disiarkan sebagai berita utama oleh RTM dalam Berita Jam 8 malamnya pada hari itu juga.

Ia amat mengejutkan kerana, TV3 sendiri tidak menjadikan berita itu berita utama.

"Jika laporan Al Jazeera itu negetif kenapa RTM yang dikuasai oleh Zam sendiri menyiarkan berita Al Jazeera itu sebagai berita utama. TV3 pun tak siar lagi laporan perhimpunan itu, RTM dah jadi berita utama. Adakah kerana ia menyiarkan temubual secara langsung dengan Zam maka RTM menyiarkan laporan itu?" tanya seorang pengamal media yang terkejut dengan kenyataan Zam itu.

Oleh itu, katanya, "Saya berpendapat RTM sebenarnya yang tersilap menyiarkan laporan Al Jazeera itu. Baik-baik ia hanya boleh ditonton pelanggan Astro sahaja dan bukan di waktu puncak, RTM memberikan peluang seluruh rakyat melihat perhimpunan itu dengan jelas."

Dalam sidang medianya juga Zam menyelar Al Jazeera kerana Al Jazeera telah mengikut cara CNN yang dimiliki Amerika padahal Al Jazeera sepatutnya menurut cara BBC yang dimiliki British.

"Mereka sepatutnya mendapat pandangan yang tepat tentang Malaysia bagi mengelakkan mereka mempunyai persepsi yang salah," kata Zam dalam sidang akhbar di pejabatnya di Angkasapuri semalam, lapor Bernama.

Padahal, Zam sendiri yang memberikan pandangan dan diberikan peluang untuk menerangkan sikap Malaysia dalam laporan itu Al Jazeera itu.

Zam juga kesal kerana penulis blog, Jeff Ooi dipilih oleh Al Jazeera menjadi pengulas perhimpunan aman itu.

Monday, November 12, 2007

Media gila apabila lapor hanya 4,000 sertai Perhimpunan 10 November

KUALA LUMPUR, 12 Nov: Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menyifatkan media massa yang dikawal BN sudah gila apabila melaporkan perhimpunan Sabtu lalu hanya disertai 4,000 orang.
Dalam ceramahnya di Kampung Pandan semalam, Mahfuz menganggap laporan itru sebagai tidak logik.

“Polis yang hadir seramai 4 ribu orang dan jumlah peserta yang dilaporkan media BN 4 ribu orang juga. Tak masuk akal langsung seorang Polis jaga seorang peserta perhimpunan, media massa BN dah gila dan tak boleh nak berfikir secara waras,” kata Mahfuz.

Himpunan 100 ribu menjadi kenyataan apabila warna kuning menguasai ibu kota dari Sogo hingga ke Istana Negara. Pihak penganjur memecahkan para peserta diperingkat awal di empat tempat iaitu SOGO, Masjid Jamek, Pasar Seni dan Masjid Negara.

Himpunan bermula awal sejam dari yang dirancang memandangkan pihak Polis mulai melakukan provokasi dan menangkap para peserta yang hadir.

Tepat Pukul 2 petang Lebih 70 ribu peserta yang datang dari SOGO, Pasar Seni dan Masjid Negara telah bergerak terus ke Istana Negara.

Pihak Polis yang menyangkakan bahawa mereka akan berarak ke Dataran Merdeka menjadi panik dan akhirnya para peserta dapat sampai lebih awal dari yang dijangkakan. Lebih kurang 30 ribu peserta yang berkumpul di Masjid Jamek pula terpaksa bertempur hebat dengan pihak Polis sehingga pukul 3.30 petang. Rancangan untuk melalui Dataran Merdeka untuk ke Istana Negara disambut dengan Water Canon dan Gas Pemedih mata.

Berpuluh orang ditangkap dan Dr. Hatta yang memimpin para peserta terpaksa mengerakkan para peserta melalui Jalan Masjid India dan Keluar di Jalan Raja Laut.

Di Jalan Raja Laut para peserta dikejar lagi dengan Water Canon dan mendesak perarakkan kuning berundur menuju ke SOGO dan seterusnya memasuki Jalan Kuching untuk ke Istana Negara. Dalam keletihan dan kepayahan itu mereka akhirnya sampai ke Istana Negara pada pukul 4.15 petang.

Walaupun sampai lewat dan masih ada yang terkandas dihadapan Masjid Negara angkara sekatan Polis, namun para peserta berpuas hati kerana dapat melahirkan Soladariti dan Kebebasan mereka.

Walaupun media arus perdana tidak melaporkan jumlah yang betul, rakyat tetap akan tahu jumlah yang sebenarnya. Apa yang penting, adalah kehadiran para peserta ini berjaya membuatkan pemimpin-pemimpin BN membisu dan bersembunyi selama 1 hari.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Herman Samsudeen berkata, "Perhimpunan 10 Nov adalah permulaan dan kita mengingatkan kepada SPR dan Barisan Nasional bahawa rakyat tidak teragak-agak untuk memanjat Istana-Istana mereka sekiranya mereka masih berdegil dan angkuh."

Tahniah dan terima kasih untuk semua - Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 12 Nov: Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang, merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat tanpa mengira agama, keturunan dan fahaman politik, yang telah turun berama-ramai untuk menjayakan Himpunan Aman BERSIH pada hari Sabtu 10 November, 2007 yang lalu.

Katanya, ternyata Himpunan Aman BERSIH itu telah berjaya walaupun terdapat usaha untuk menggagalkannya dari berbagai pihak.

"Mudah-mudahan semangat dan daya juang yang telah ditunjukkan oleh rakyat Malaysia untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil itu, akan berterusan sehinggalah ianya dipenuhi oleh pihak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).


"Sesungguhnya demokrasi yang diamalkan di Negara kita ini tidak akan memberikan sebarang makna sekiranya sistem pilihan rayanya pincang dan tempang," kata beliau.


Abd Hadi turut merakamkan tahniah khas kepada Unit Amal Malaysia yang di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat kerana berjaya menjalankan tugas dengan penuh berani, amanah dan dedikasi.

Dan hakikat ini bukan hanya diiktiraf oleh pihak PAS malah semua yang hadir termasuklah kebanyakkan laman-laman web bukan PAS yang turut mengiktiraf dan menghargai peranan Unit Amal Malaysia itu.


"Pimpinan dan seluruh ahli-ahli dan penyokong PAS berbangga dengan keberanian, amanah dan dedikasi pasukan Unit Amal yang bertugas pada hari tersebut khasnya di kawasan Masjid Jamek, yang telah sekaligus mengharumkan nama parti dikalangan orang-ramai termasuklah media antarabangsa yang membuat liputan.


"Ternyata pihak penganjur dengan bantuan Unit Amal Malaysia mampu untuk memastikan kelicinan dan ketenteraman mereka yang berhimpun secara aman pada hari tersebut, dan jika ianya berjalan tanpa gangguan sudah pasti tiada tangkapan atau penyuraian secara paksa perlu dilakukan.

"Syabas dan tahniah kepada semua pihak, dan semoga perjuangan munri kita ini akan beroleh kejayaan, insyallah," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...