Monday, March 31, 2014

Pemilihan PKR: Persaingan parti dan persaingan politik Selangor

Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa kongres PKR di Seremban pada 2007, melalui satu ucapan penuh drama menolak untuk dipilih sebagai presiden parti dengan alasan masalah yang mungkin timbul melibatkan Pendaftar Pertubuhan.

Pada pemilihan tahun ini yang akan berlangsung tidak lama lagi, Anwar kelihatan bersedia menghadapi satu risiko besar.

Pelbagai spekulasi timbul ekoran keputusan Anwar itu, termasuk kemungkinan kaitan dengan satu perjanjian politik melibatkan parti pemerintah, dan Anwar sengaja mengundang masalah melalui pencalonan ini.

Keputusan Anwar ini, yang meletakkannya sebagai pencabar kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menjadi isu yang menarik perhatian dalam pemilihan PKR kali ini, kerana kesediaan Anwar untuk bertanding dan juga kedudukan Wan Azizah yang disebut sebagai "insurans" sekiranya Anwar tidak dapat bertanding, yang bermakna jawatan presiden kekal tidak dapat direbut orang lain. 

Sama ada kedua-dua pemimpin akan bersaing merebut jawatan atau salah seorang menarik diri, keputusan ini telah mencetuskan pelbagai tanggapan terhadap PKR, dan mengesahkan beberapa label negatif yang telah berleluasa selama ini.

Apa pun keputusan pemilihan presiden, PKR sememangnya selama ini dikuasai Anwar hampir sepenuhnya, dengan beberapa tokoh lain, termasuk Wan Azizah, bertindak sebagai pengimbang kepada kuasa Anwar.

Selain pasangan suami isteri ini, tumpuan lain ialah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mencabar Mohamed Azmin Ali untuk jawatan timbalan presiden. Dua pemimpin ini masih bersaing sengit di Selangor, dengan pelbagai usaha dilakukan sejak bertahun lalu untuk menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor.

Selepas "langkah Kajang" berakhir tidak seperti yang diuar-uarkan pada awalnya, Khalid masih dilihat belum selamat, antaranya kerana kompleksiti kedudukan Wan Azizah, yang dilihat perlu diletakkan di kedudukan yang sewajarnya.

Keputusan Khalid mencabar Azmin menunjukkan keyakinan dan tekad yang kuat untuk menteri besar Selangor itu terlibat lebih mendalam dalam politik parti PKR, meningkatkan pertembungannya dengan Azmin.  

Pada masa sama, pemilihan ketua pemuda PKR juga menyaksikan persaingan kem-kem bertentangan yang berpihak pada pemimpin-pemimpin tertinggi dalam parti, paling jelas Azmin diwakili Amiruddin Shaari, pemimpin muda yang paling awal mengumumkan hasrat bertanding sebagai ketua sayap pemuda PKR, Angkatan Muda Keadilan.

Proksi Azmin ini bakal bersaing dengan Nik Nazmi Nik Ahmad dan Mohd Nazree Yunus, yang kedua-duanya sama ada cenderung kepada Khalid atau agak kurang kesetiaan kem, tetapi Nik Nazmi juga dilihat sebagai orang Anwar, sehingga disimpulkan pertembungan proksi turut menemukan Anwar dengan Wan Azizah selain Azmin dengan Khalid.

Dalam wanita PKR, Azmin diwakili orang kuatnya Zuraida Kamarudin. Persaingan naib presiden pula menampakkan pemimpin-pemimpin yang tidak cenderung kepada Azmin mempunyai kelebihan, termasuk Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli.

Pemilihan kali ini jelas sekali dicorakkan oleh pertembungan di Selangor, negeri kaya di mana PKR paling kuat dan membentuk tonggak utama sumber parti, bermakna pemenang dalam pemilihan kali ini akan memperolehi peluang untuk lebih menguasai Selangor dan menentukan hala tuju parti masa depan, termasuk melibatkan hubungan PKR dengan Pakatan Rakyat.

Sunday, March 30, 2014

Model Turki, gagasan yang semakin dilupakan

Oleh SEMIH IDIZ

Pengalaman peribadi saya di Mesir - sebuah negara yang telah saya lawati banyak kali sejak tiga dekad lalu dan membangkitkan perasaan yang kuat, disebabkan sejarah hubungan keluarga - telah menunjukkan pada saya bahawa sikap terhadap Turki di negara tunjang dunia Arab ini biasanya, paling kurang, bercampur-campur.

Saya dapati melalui pengalaman di beberapa negara Asia Barat yang sikap umum terhadap Turki ialah campuran memandang rendah dan kagum.

Dari perspektif Islam, terutama mereka yang menjadi ahli atau simpatisan Ikhwan al-Muslimin, pandangan paling berleluasa ialah Turki hilang jiwa Islamnya selepas reformasi pembaratan Presiden Mustafa Kamal Attaturk.

Sebuah Turki sekular yang bermatlamat menjadi sebuah negara mengamalkan demokrasi cara Barat - walaupun populasinya majoriti Muslim yang mengamalkan agama - dilihat sebagai bertentangan dengan apa yang dipegang oleh Ikhwan.

Hal ini jga ditunjukkan dengan jelas semasa kemuncak kebangkitan Arab, apabila Ikhwan memberikan reaksi marah terhadap cadangan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan kepada Mesir supaya membina sebuah perlembagaan sekular, dengan menggambarkan yang sekularisme bukan bermakna atheisme dan bersikap neutral terhadap semua agama.

Cadangan Erdogan itu walau bagaimanapun diterima ramai rakyat Mesir yang berkecenderungan liberal, sama ada dalam kalangan Muslim atau Kristian. Pandangan Erdogan itu juga diterima di Eropah dan Amerika Syarikat, di mana perasaan pada masa itu ialah Turki, sebagai sebuah negara majoriti Muslim tetapi dikendalikan dengan demokrasi ala-Barat, boleh menjadi contoh penting kepada negara-negara yang dilanda perubahan.

Erdogan walau bagaimanapun tidak terus mengangkat isu itu, dan kemudian menyokong kempen Mohamed Morsi untuk jawatan presiden dan usaha Ikhwan mendapatkan kuasa melalui pilihan raya demokratik pertama Mesir.

Beliau juga tidak mengkritik Morsi dan Ikhwan selepas mereka mendapat kuasa, yang berlebihan dalam melaksanakan tindakan-tindakan Islamis dan memperlihatkan kecenderungan antidemokratik, terutama dalam menggubal perlembagaan baharu negara itu dan cara ia dipaksakan ke atas negara Mesir.

Sebenarnya, memang tidak banyak sebab untuk Erdogan mengkritik Mesir pada peringkat itu, kerana beliau dan partinya, Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, yang bersimpati dengan Ikhwan juga telah menjadi semakin autoritarian dan semakin bersifat Islamis, berdasarkan pemahaman demokrasi yang majoritarian dan bukan pluralistik.

Simpati itu menjadikan Erdogan disanjung oleh Islamis di seluruh Asia Barat, di mana Ikhwan diangkat sebagai satu kuasa baharu meningkat yang penting, sehingga mendorong sekularis Turki mendakwa AKP secara terbuka meninggalkan haluan modernis dan mahu menjadi lebih keagamaan yang reaksionari.

Parlimen Eropah, dalam laporan kemajuan Turki sebagai calon ahli Kesatuan Eropah pada pada 12 Mac lalu - dalam laporan paling kritikal sejak 2005 - juga menekankan yang Turki sedang merosot dari segi kriteria demokratik, politik dan kehakiman, kriteria yang diperlukan untuk dinilai sebelum diterima sebagai ahli EU.

Jutaan warga Turki, Mesir dan negara-negara lain seluruh dunia Arab yang mahukan kebebasan gaya Barat kini berasa kecewa dengan Turki yang selama ini dilihat sebagai model demokrasi, tetapi kini mula menunjukkan yang Islam dan demokrasi mungkin sebenarnya memang tidak selari.

Selama ini, ramai yang menyebut, "Kalau Turki boleh melakukannya, tentu kita juga boleh." Hari ini, ia telah berubah kepada "pengalaman Tunisia," kerana Tunisia walaupun dilanda pelbagai masalah, terus menjadi tarikan sementara Turki kini dilanda kekacauan politik dalaman, di bawah perdana menteri dan parti pemerintah yang semakin autoritarian.

"Perkembangan terkini melibatkan kebebasan fundamental, kebebasan kehakiman, kebebasan ekspresi dan lain-lain semakin membimbangkan," kata wakil khas parlimen Eropah ke Turki, Ria Oomen-Ruijten, selepas parlimen Eropah menerima laporan kemajuan Turki itu.

Laporan itu juga menyentuh cubaan kerajaan AKP menyekat akses kepada internet dan usaha Erdogan menutup Facebook dan Youtube menjelang pilihan raya tempatan pada 30 Mac.

Memandangkan peranan internet dalam demonstrasi besar-besaran yang diadakan oleh orang muda di Dataran Tahrir pada 2011, berita sekatan internet yang diperkenalkan oleh kerajaan Erdogan itu, dan hasrat Erdogan menghadkan media sosial, meminggirkan beliau daripada warga Mesir yang bukan pengikut Ikhwan al-Muslimin.

Sejauh mana kekaguman terhadap Erdogan akan bertahan dalam kalangan pengikut Ikhwan Muslimin, yang tertarik dengan beliau disebabkan sikap kerasnya terhadap tentera Mesir, juga semakin tidak menentu dengan dakwaan korupsi terhadap beliau pada masa ini.

Satu faktor utama menyatukan belia-belia Mesir yang berbeza pandangan politik pada 2011, selain pemerintahan diktator Presiden Hosni Mubarak yang disingkirkan itu, ialah korupsi yang berleluasa di bawah rejim Mubarak.

Suasana politik dalaman yang kacau dan sentimen sesama Islamis mungkin menghalang ahli Ikhwan memberi fokus pada tuduhan korupsi yang dikenakan pada Erdogan dan ahli AKP pada masa ini.

Sama ada kekaguman terhadap beliau berterusan memandangkan pelbagai pendedahan politik dalaman kini, masih menjadi satu soalan yang terbuka.

Setelah kehilangan kekuatan sebagai model kepada rakyat Mesir yang liberal dan sekular, tidak menghairankan bahawa Turki di bawah Erdogan mungkin akan kehilangan kepimpinan moral pada pandangan rakyat Mesir yang lebih cenderung kepada agama dan penyokong Ikhwan al-Muslimin di seluruh dunia Arab.

Semakin pudar harapan untuk melihat Turki di bawah kepimpinan Erdogan terus menyediakan model untuk diikuti oleh negara-negara Asia Barat yang ingin maju dalam dunia moden hari ini.

Semih Idiz ialah penganalisis politik Turki. Artikel ini dipetik dan diterjemahkan daripada laman Al-Monitor.

Thursday, March 20, 2014

Pencarian MH370 dedah sensitiviti dan persaingan pertahanan serantau

Kesan taufan Haiyan yang melanda Filipina tahun lalu, tentera China telah dilihat tidak bersedia dari sudut bantuan kemanusiaan dan bencana, apabila sumbangan kepada misi bantuan amat sedikit.

Antara bantuan China yang dapat diperhatikan ialah sebuah kapal hospital, tetapi tentera Amerika Syarikat menyediakan pelbagai kemudahan logistik dan bantuan lain, dalam tempoh yang segera dan memberi kesan yang besar.

Kali ini, kehilangan pesawat Boeing 777 Penerbangan Malaysia yang melibatkan ramai rakyat China menimbulkan lagi isu bantuan oleh tentera, apabila sekali lagi AS lebih mendahului dalam misi mencari dan menyelamat, dan China kelihatan semakin menyedari implikasi politik serantaunya.

Kelebihan logistik dan aset AS kelihatan jauh lebih mengatasi China, dan pencarian di Laut China Selatan dan kemudian Lautan Hindi menunjukkan penguasaan AS di kedua-dua medan persaingan AS-China itu.

Pada masa sama, China juga tidak mempunyai hubungan politik dan ketenteraan dengan beberapa negara Asia Tenggara seperti halnya AS, yang menjalankan aktiviti daripada ketenteraan, diplomasi dan juga diplomasi awam.

Di Malaysia misalnya, lawatan kapal-kapal AS melibatkan pelbagai aktiviti diplomasi, termasuk majlis resepsi dengan pemimpin tentera dan politik di atas kapal dan lawatan ke misi kebajikan ke rumah anak yatim.

Tahun lepas, lawatan kapal USS Blue Ridge ke Pelabuhan Klang melibatkan majlis mesra dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan penyampaian anugerah kepada rekrut muda tentera Malaysia.

Sebelum itu, persinggahan kapal pengangkut pesawat USS George Washington juga melibatkan majlis yang meriah, dengan liputan meluas media cetak dan elektronik tempatan, memperlihatkan kejayaan diplomasi awam lawatan itu.

China, kali ini, mula menunjukkan kesediaan yang lebih berbanding bencana taufan Haiyan, apabila menghantar aset-aset dan menunjukkan kesediaannya menjalankan misi menyelamat, dan paling utama, menunjukkan peranannya di rantau ini.

Menurut laporan Reuters, China telah menghantar empat kapal perang, empat kapal pengawal pantai, lapan pesawat dan menumpukan 10 satelit ke kawasan carian.

Kawasan Laut China Selatan yang pada awalnya menjadi fokus pencarian ialah kawasan yang dipertikaian, melibatkan China dengan beberapa negara Asia Tenggara termasuk Vietnam dan Malaysia.

Dalam misi mencari dan menyelamat ini, persaingan AS dengan China, walaupun bukan menjadi fokus utama, tetap menjadi satu isu yang menarik untuk diperhatikan.

Hakikatnya, China bersaing dengan AS dalam usaha mencari dan mahu menunjukkan kemampuannya dalam hal ini untuk menegaskan kredibilitinya dan tuntutan peranan dominan di rantau ini.

China juga, akibat insiden ini, telah menunjukkan sikap yang berbeza daripada biasa dengan Malaysia, apabila menegur pihak berkuasa Malaysia yang didakwa lambat dan tidak berkongsi maklumat yang cukup.

Ini menambahkan senarai tindakan China yang cuba menampakkan peranan dominannya di rantau ini, selepas pencerobohan di James Shoal dekat perairan Sarawak tahun lepas.

Selain persaingan ini, misi mencari dan menyelamat ini juga boleh menimbulkan ketegangan dan rasa tidak selesa dalam kalangan negara serantau terlibat, dari sudut kerjasama seperti perkongsian data.

Apapun yang terlibat, termasuk nyawa orang awam, perkongsian yang boleh mendedahkan rahsia tidak akan dibenarkan oleh mana-mana pihak, dan perkongsian data juga dibuat kemungkinan dengan tapisan tertentu.

Pelbagai isu sensitif boleh timbul daripad insiden ini. Malaysia kini berada dalam keadaan defensif, apabila terdedah kepada negara-negara jiran yang tidak ada tindakan ketika pesawat MH370 berpusing balik dan melintasi semenanjung menuju ke barat, yang mendedahkan kekurangan dalam keupayaan pemantauan ruang angkasa negara.

Negara-negara terlibat tidak akan mendedahkan perkara yang memalukan, dan ini menimbulkan kemungkinan sensitiviti keselamatan menjejaskan pencarian kerana ada pihak tidak mendedahkan maklumat yang kritikal.

India, sebuah lagi negara yang mempunyai kekuatan tentera laut dan terlibat dalam persaingan di Lautan Hindi dengan China, telah menyatakan yang ia tidak mengesan pesawat tersebut memasuki ruang pemantauannya.

Kepulauan Andaman dan Nicobar di barat laut Selat Melaka yang pernah dikatakan satu lokasi kemungkinan MH370, ialah satu lokasi strategik yang amat penting kepada India.

India juga mempunyai sensitiviti yang perlu dijaga, disebabkan penglibatan besar China dalam insiden MH370 ini dan penegasan kedudukannya di rantau berdekatannya dan di Asia-Pasifik.

Insiden kehilangan pesawat Boeing 777 Malaysia ini, dan misi mencari dan menyelamat mencetuskan pelbagai implikasi melibatkan hubungan Malaysia dengan negara-negara serantau dan kuasa besar AS dan China, yang selama ini diimbangi dengan baik oleh Kuala Lumpur.

Persaingan antara kuasa-kuasa terbabit di kawasan perairan yang menjadi medan perlumbaan dominasi menjadikan tragedi ini lebih daripada satu bencana melibatkan Malaysia dan anak kapal terlibat, tetapi berkait langsung dengan politik serantau. - Mac 18, 2014

Tuesday, March 18, 2014

Hubungan Rusia-Ukraine dan geopolitik Crimea

Oleh HARIS ZALKAPLI

Pada 1997, semasa Rusia di bawah pemerintahan Presiden Boris Yeltsin, satu perjanjian penting dicapai dengan Ukraine pimpinan Presiden Leonid Kuchma, jirannya di sebelah barat yang menempatkan semenanjung Crimea dan pelabuhan tentera laut Sevastopol.

Hasil persetujuan yang tercapai setelah pertikaian selama lima tahun itu, Rusia membayar satu jumlah pampasan kepada Ukraine, dan tentera laut Rusia, Armada Laut Hitam dibenarkan berada di Sevastopol untuk tempoh 20 tahun lagi, sehingga 2017. Moscow  juga, sebagai ganjaran kepada tindakan Kiev itu telah melupuskan hutang pembelian tenaga oleh Ukraine.

Perjanjian itu menjelaskan dua isu penting dalam perkembangan terkini hubungan Rusia-Ukraine, iaitu semenanjung Crimea dan pangkalan tentera laut Sevastopol dan pergantungan Ukraine pada sumber gas dan minyak Rusia. Kedua-dua perkara, status Crimea dan bekalan tenaga terutama gas Rusia kepada Ukraine menjadi senjata penting masing-masing dalam diplomasi antara dua negara terbabit.

Hal ini menjelaskan implikasi besar perjanjian diskaun gas dan pelanjutan kedudukan tentera laut Rusia di pangkalan Sevastopol di semenanjung Crimea. Perjanjian yang dicapai pada 21 April, 2010 dan disahkan kedua-dua parlimen Rusia dan Ukraine pada 27 April memberikan gas Rusia kepada Ukraine pada harga yang lebih rendah, dan membenarkan Rusia berada di Sevastopol hingga 25 tahun lagi selepas 2017, iaitu hingga 2042.

Perjanjian itu menetapkan harga gas Rusia yang dijual kepada Ukraine dikurangkan daripada AS$330 per 1,000 meter padu kepada AS$230 bermula separuh kedua tahun 2010. Diskaun ini dikira terhadap 30 bilion meter  padu gas yang akan diimport oleh Ukraine pada 2010 dan 40 bilion meter padu lagi untuk tempoh 2011 hingga 2019.

Perjanjian ini akan memberi kesan positif kepada ekonomi Ukraine dalam tempoh perjanjian tersebut, kerana mengurangkan beban terhadap industri yang memakan banyak tenaga dan meringankan beban rakyat dan kerajaan terhadap harga tenaga yang semakin tinggi selepas Rusia mula menaikkan harga tenaga.

Rusia pula, menurut Putin, terpaksa menanggung jumlah AS$40 bilion dalam bentuk bantuan kepada Ukraine hasil perjanjian itu. Dalam hal ini, beban cukai Ukraine dipindahkan kepada Rusia, dalam usaha Rusia untuk mencapai perjanjian yang membenarkannya terus berada di Sevastopol untuk satu tempoh yang lebih lama.

Semenanjung Crimea mempunyai satu kedudukan yang istimewa bagi Rusia, antaranya disebabkan kedudukan strategiknya di Laut Hitam. Armada Laut Hitam Rusia yang mempunyai sekitar 300 buah kapal - menurut anggaran paling konservatif - mendominasi Laut Hitam, tetapi kedudukan Rusia terjejas ekoran kejatuhan Kesatuan Soviet apabila Ukraine merdeka dan Armada Laut Hitam berada di wilayah negara asing.

Semenanjung Crimea ialah sebuah wilayah Rusia sehingga Nikita Krushchev pada 1954 menyerahkan wilayah itu kepada republik Ukraine. Walau bagaimanapun, pemindahan itu terbukti memberi kesan buruk kepada Rusia setelah runtuhnya Kesatuan Soviet apabila semenanjung Crimea menjadi sebahagian negara Ukraine yang merdeka.

Selepas keruntuhan Kesatuan Soviet, keadaan menjadi lebih buruk dengan berlakunya perluasan keahlian Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan perubahan kiblat politik negara-negara bekas Soviet termasuk Ukraine kepada Amerika Syarikat dan Eropah. Sehingga kini, seperti yang disaksikan melalui perjanjian Presiden Rusia Dmitri Medvedev dengan Presiden Ukraine Viktor Yanukovych pada 2010 itu, kiblat politik rejim pemerintah Ukraine sangat penting dalam usaha Rusia mengekalkan kedudukannya di Sevastopol.

Sentimen nasionalis di kedua-dua Rusia dan Ukraine terus berjaya menjadikan posisi istimewa semenanjung Crimea sebagai alat permainan kuasa masing-masing. Pemimpin-pemimpin Ukraine termasuk bekas Presiden Viktor Yushchenko (menamatkan tempoh presiden pada Februari 2010) menggunakan sentimen anti-Rusia melibatkan isu Crimea dalam kempen pilihan rayanya yang lalu.

Walau bagaimanapun, kekuatan rakyat yang condong ke Barat dan pro-Rusia agak seimbang di Ukraine, menjadikan eksploitasi sentimen berhubung Crimea terbatas. Bagi kumpulan ini, hal ini diburukkan lagi apabila kem pro-Rusia Yanukovych menang dalam pilihan raya presiden awal tahun 2010.

Yushchenko ketika menjadi presiden bertindak cuba mengekang kebebasan tentera laut Rusia di Laut Hitam, dengan mengenakan pelbagai peraturan yang hakikatnya tidak dihiraukan oleh Rusia. Semasa perang Rusia dengan Georgia pada Ogos 2008, Yushchenko mengeluarkan dikri menetapkan pergerakan tentera laut Rusia keluar dan masuk Sevastopol perlu mendapat kebenaran kerajaan Ukraine.

Ukraine juga menggunakan Crimea sebagai senjata diplomasi dalam hubungannya dengan Rusia. Ekoran perang Ogos 2008 itu, Ukraine menerima lawatan kapal tentera laut AS yang menunjukkan gambaran peranan keselamatannya di Laut Hitam.

Selain Georgia, Ukraine turut menjalin kerjasama ketenteraan dengan AS dalam usaha meningkatan kemampuan tentera lautnya di Laut Hitam, dalam usaha mengimbangi dominasi Armada Laut Hitam Rusia. Pada masa sama, Rusia juga sedang meningkatkan kemampuan Armada Laut Hitam dengan pembelian kapal baharu yang lebih canggih dari Perancis.

Rusia juga dipengaruhi sentimen nasionalis yang sama dalam menguruskan isu Crimea. Dalam sejarah panjang Rusia, Kiev, ibu negara Ukraine tercatat sebagai pusat tamadun pertama yang membentuk Rusia seperti yang dikenali hari ini. Sentimen nasionalis Rusia juga melihat Ukraine sebagai sebahagian keluarga rumpun bangsa Slav yang sepatutnya berada dalam Rusia.

Sentimen pan-Slavisme ini terus kukuh dalam politik Rusia hingga kini, walaupun realiti geopolitik masa kini menghadkan pelaksanaannya. Pada 1992, dalam satu perkembangan dramatik sepanjang sejarah pertikaian, penggubal undang-undang Rusia membuat resolusi menyatakan pemindahan kedaulatan Crimea pada 1954 itu tidak berdasarkan undang-undang.

Walau bagaimanapun, haluan pro-Barat di bawah Yeltsin tidak membenarkan agenda nasionalistik itu diteruskan. Yeltsin bersikap berhati-hati dalam hal melibatkan hubungan yang berkaitan dengan Barat. Agenda nasionalistik ini kemudian diteruskan oleh kelompok nasionalis di bawah kepimpinan Vladimir Putin dan Medvedev selepas itu yang memegang jawatan presiden sebelum Putin kembali, kepimpinan yang memilih haluan membina kembali Rusia sebagai satu kuasa dunia.

Moscow turut menggunakan taktik yang sama digunakan dalam menangani pengaruh Georgia di Ossetia Selatan, dengan memberikan pasport Rusia kepada penduduk Crimea yang majoriti besarnya berbangsa Rusia dan bercakap dalam bahasa Rusia. Banci pada 1989 menunjukkan lebih 67 peratus rakyat Crimea berbangsa Rusia, manakala yang berbangsa Ukraine, separuh daripada mereka bertutur dalam bahasa Rusia sebagai bahasa pertama.

Realiti budaya ini memudahkan usaha Moskow untuk mengukuhkan pengaruhnya di Crimea, dan juga di sebelah timur Ukraine yang sebahagian besar berbahasa Rusia. Dalam perang dengan Georgia, Rusia menggunakan alasan mempertahankan rakyatnya di Ossetia Selatan ketika menggerakkan tentera untuk memerangi Georgia.

Usaha ini masih dijalankan di Crimea, digandingkan dengan penyebaran sentimen pro-Rusia dan menyokong kumpulan politik yang menuntut pemisahan Crimea daripada Ukraine. Perbezaan bahasa dan budaya di wilayah itu memberikan gambaran perbezaan yang besar dan merit kepada tuntutan itu.

Berdasarkan realiti Laut Hitam yang tertakluk di bawah Konvensyen Montreux, Rusia masih lagi kuasa dominan perairan itu. Konvensyen Montreux menghadkan kehadiran kapal wilayah asing di Laut Hitam.

Konvensyen ini juga memberikan kuasa ke atas Selat Bosporus kepada Turki, menjadikan Turki berkepentingan untuk mematuhi peraturan ini, dan membenarkan Rusia mendominasi Laut Hitam. Turki sebagai salah sebuah negara serantau yang terlibat di Laut Hitam berkepentingan untuk memastikan Laut Hitam tidak menjadi medan aktiviti negara lain yang bukan daripada wilayah itu.

Walaupun kedua-dua pihak mempunyai senjata masing-masing, realiti berhubung bekalan gas yang rangkaian pengangkutan melalui paip masih dimiliki syarikat Rusia, Gazprom, menjadikan Rusia lebih mudah menggunakan senjatanya, dan dengan lebih berkesan.

Pada Januari 2006, Rusia menghentikan bekalan gas kepada Ukraine ekoran pertikaian harga. Rusia meningkatkan harga kepada Ukraine daripada AS$50 kepada AS$180 setiap 1,000 meter padu, tindakan yang ditentang Ukraine. Bekalan kemudian disambung semula selepas Ukraine tunduk kepada tekanan Rusia.

Senjata sumber tenaga ini berkesan kepada Moskow bukan hanya untuk mengubah sikap Kiev, tetapi juga mendedahkan penyelewengan yang didakwa dilakukan Ukraine, menjadikan Ukraine kurang dipercayai negara-negara Eropah yang menerima bekalan gas Rusia. Rusia walau bagaimanapun turut menerima kesan apabila kebolehpercayaannya sebagai pembekal terjejas ekoran tindakan memotong bekalan kepada Ukraine yang merupakan laluan utama pengangkutan gas ke Eropah.

Moscow juga meneruskan usaha menggunakan bekalan tenaganya sebagai senjata dalam menghadapi Ukraine. Putin, selepas persetujuan Medvedev dengan Yanukovych berhubung diskaun gas dan Sevastopol, mencadangkan penggabungan syarikat gas Ukraine, Naftogas Ukrainy dengan monopoli gas Rusia, Gazprom, dan juga industri nuklear kedua-dua negara. 

Perjanjian diskaun gas dan lanjutan tempoh menduduki pangkalan Sevastopol masih boleh berubah bergantung kepada rejim yang memerintah dan bentuk kerjasama kedua-dua negara. Isu bekalan gas akan terus menjadi isu besar dalam hubungan kedua-dua negara, antaranya ekoran kedudukan penting Ukraine di laluan eksport ke Eropah. 

Tetapi pada masa sama, Ukraine akan terus terpaksa berdepan percaturan politik Moskow disebabkan kedudukan istimewa Ukraine dalam sejarah panjang Rusia dan perkembangan geopolitik hari ini.

Sejarah telah menetapkan Ukraine akan sentiasa penting dalam percaturan geopolitik Rusia. Rusia tidak mahu negara jirannya di barat itu menyertai orbit politik Barat dan menjadi ancaman kepada Rusia.

Pangkalan tentera laut Rusia di Sevastopol hanyalah sebahagian daripada agenda melibatkan laut Hitam, semenanjung Crimea dan lebih besar lagi, Ukraine.

Perkembangan terkini melibatkan Rusia dan Ukraine, ekoran tindakan menjatuhkan Yanukovych oleh protes yang disokong Barat, mengundang tindakan lebih keras Rusia di bawah Putin yang kelihatan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, dan membuka pelbagai kemungkinan di Ukraine dan seluruh rantau bekas Soviet. - Mei 4, 2010/Mac 2014

Monday, March 17, 2014

Kehilangan MH 370, Malaysia dan politik serantau

Pencarian pesawat Boeing 777 Penerbangan Malaysia yang hilang sejak lebih seminggu lalu kini memasuki fasa baharu, apabila tumpuan mula diberikan pada juruterbang pesawat MH 370 itu.

Negara-negara yang terlibat kini meningkat jumlahnya daripada 14 ke 25 buah negara, menambahkan lagi kompleksiti dan implikasi politik insiden ini.

Peristiwa ini sedang mula menampakkan kesannya kepada Malaysia dan politik serantau, yang turut melibatkan kuasa-kuasa besar dunia terutama Amerika Syarikat yang sentiasa peka terhadap perkembangan yang menyentuh kepentingannya.

AS juga kini sedang memberi tumpuan kepada rantau Asia-Pasifik, yang meliputi seluruh kawasan dari Pasifik hingga ke Lautan Hindi, kawasan yang menjadi salah satu medan persaingan paling sengit dalam kalangan kuasa-kuasa Asia dan AS sendiri.

Di kawasan luas ini, yang turut disebut sebagai wilayah Indo-Pasifik, AS sedang berusaha menangani kebangkitan China yang sedang mencabar kedudukan dominan AS, dan pada masa sama menguruskan negara-negara sekutu seperti India, Australia dan Malaysia. 

Pada masa yang sama, kawasan Asia Selatan dan Asia Tengah juga tidak terlepas daripada perhatian AS, yang menjadi satu medan pentingnya sejak peristiwa serangan 11 September, 2002.

Kawasan ini menyaksikan AS dan Rusia dan juga China bersaing, dengan negara-negara di rantau ini mengimbangi hubungan dengan AS, Rusia dan China, seperti yang dilakukan antaranya oleh Pakistan, Afghanistan, dan Kyrgyzstan.

Dalam misi mencari dan menyelamat, AS mempunyai kelebihan dari segi logistik dan kemampuan teknologi, yang telah diperlihatkan sejak tragedi tsunami pada 2004 hingga bencana taufan Haiyan yang melanda Filipina pada 2013.

Kelebihan logistik AS untuk menjalankan bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana jauh mengatasi negara-negara lain, disebabkan kesediaan aset-asetnya di rantau ini, dan ini memberikan kelebihan geopolitik kepada AS, seperti yang paling jelas diperlihatkan melalui bencana taufan di Filipina hujung tahun lalu.

Kepentingan aspek bantuan kemanusiaan dan bencana ini semakin mendapat perhatian tentera AS, yang boleh membantu dalam diplomasi, selain manfaat geopolitik.

Dalam misi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia yang hilang ini, AS berkemampuan untuk memberi sumbangan yang besar dalam menemui pesawat itu. Sumbangan besar AS ini memberi kesan kepada hubungannya dengan Malaysia, yang walaupun memelihara hubungan baik dengan AS, turut mengimbangi hubungan dengan China.

Dalam kalangan negara-negara Asia-Pasifik, Malaysia mungkin negara yang paling banyak mengimbangi hubungan dengan AS dan China, menjaga hubungan baik dengan kedua-dua kuasa dan mengelak daripada kelihatan terlalu memihak kepada satu kuasa.

Satu contoh ialah pencerobohan kapal tentera laut China dekat James Shoal awal tahun ini. Malaysia menafikan pencerobohan berlaku, dipercayai dalam usaha untuk tidak memperbesarkan insiden ini, dan mungkin juga mengelak dimalukan dan pada masa sama menjaga sensitiviti dengan China.

Peranan AS dalam misi mencari dan menyelamat MH 370 yang hilang itu berpotensi menjadikan Malaysia terhutang budi kepada AS, yang kini mempunyai agenda besar di rantau ini, antaranya rejim perdagangan bebas Perkongsian Trans-Pasifik.

Kesan kepada hubungan Malaysia-AS ini juga menarik untuk diperhatikan memandangkan Presiden Barack Obama dijadual melawat Malaysia pada April nanti, yang bermakna isu-isu sekitar insiden kehilangan pesawat itu akan menjadi topik perbincangan.

Apa pun, sekiranya pesawat yang hilang itu ditemui nanti, sama ada penemuan itu dengan semua atau sebahagian anak kapal masih hidup atau penemuan serpihan pesawat yang telah terhempas tanpa ada yang selamat, satu peristiwa besar politik dunia akan bermula, dengan pelbagai implikasi yang dijangka, dan mungkin juga tidak diduga.

Saturday, March 15, 2014

Kehilangan MH 370: Pesawat disahkan dibawa ke haluan lain

Sidang media Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak di Sepang, Selangor hari ini, 15 Mac, 2014 mengesahkan beberapa petunjuk yang ditimbulkan sebelum ini, termasuk pesawat mengubah haluan.

Walaupun tidak mengesahkan telah berlaku rampasan - yang bermakna melibatkan unsur terorisme - Najib mengesahkan yang pesawat itu telah dipandu ke arah lain.

Kemungkinan ini bermakna pesawat dibawa ke haluan tersebut oleh pengendali, sama ada juruterbang yang diugut dan dipaksa atau pihak lain yang berkemampuan dan memiliki pengetahuan laluan penerbangan.

Dapatan bahawa sistem-sistem komunikasi ditutup secara sengaja juga telah membawa perhatian kepada juruterbang dan kru, selain para penumpang.

Najib berkata,  berdasarkan bukti satelit dan radar, pesawat itu telah mengubah arah dan mungkin telah terbang lagi selama tujuh jam, dan menyebut bahawa pergerakan pesawat konsisten dengan tindakan secara sengaja oleh seseorang di dalam kapal terbang tersebut.

Menjelang sidang media yang bermula hampir 20 minit selepas jam 2 petang, Najib disebut-sebut akan mengumumkan yang pesawat MH 370 itu telah dirampas.

Laporan terbaharu yang memberi petunjuk pesawat diterbangkan ke arah bertentangan ialah laporan eksklusif Reuters yang memetik sumber yang dekat dengan siasatan, berdasarkan penelitian terhadap maklumat radar tentera.

Najib menyebut dua laluan yang kini menjadi tumpuan, iaitu kawasan dari utara Thailand hingga ke kawasan antara sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan, dan kawasan utara pulau Sumatra hingga ke barat di Lautan Hindi, menghala ke India.

Pada masa sama, pencarian di Laut China Selatan dihentikan. Kawasan ini, di luar pantai Vietnam, ialah lokasi terakhir pesawat berhubung dengan pusat kawalan dan dapat dikesan.

Perkembangan ini, menurut Najib dalam sidang media yang disiarkan langsung oleh saluran-saluran berita tempatan dan antarabangsa, menandakan yang penyiasatan kini memasuki fasa baharu.

Pesawat Boeing 777 penerbangan ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan kod MH 370 itu berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi, 8 Mac lalu. Komunikasi radio dengan pusat kawalan trafik udara di Subang dilapor terputus pada 1.30 pagi.

Walau bagaimanapun, pesawat itu dikatakan dikesan kali terakhir oleh satelit pada pukul 8.11 pagi Sabtu waktu Malaysia.

Ramai pakar yang ditemubual media sejak beberapa hari lalu mula mempertimbangkan kemungkinan pesawat dirampas atau dibawa ke haluan lain secara sengaja, berdasarkan pencarian yang tidak berhasil di Laut China Selatan dan maklumat-maklumat terkini yang dilapor media.

Perkembangan terbaharu ini menjadikan pencarian dan penyiasatan kehilangan pesawat ini lebih kompleks dan bakal mendatangkan implikasi politik dan keselamatan yang luas, termasuk disebabkan penglibatan banyak pihak terutama Amerika Syarikat, China dan Rusia.

Rantau Asia-Pasifik, termasuk Lautan Hindi kini menjadi tumpuan dalam politik serantau dan global, ekoran fokus AS yang semakin meningkat ke rantau ini sejak beberapa tahun lalu.


Thursday, March 13, 2014

Qatar di hujung jalan?

Oleh HARIS ZALKAPLI

Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Bahrain pada 5 Mac lalu mengisytiharkan memanggil pulang duta masing-masing dari Qatar, dalam satu tindakan yang menampakkan dengan jelas lagi perbezaan antara negara-negara Majlis Kerjasama Teluk, GCC, dalam menangani Ikhwanul Muslimin dan Iran, terutama melibatkan dua kuasa penting yang berjiran, Arab Saudi dan Qatar.

Perkembangan ini walaupun menggemparkan, telah lama menampakkan tanda-tandanya dalam kalangan negara-negara GCC dan seluruh rantau Asia Barat, yang mudah diperhatikan sejak tercetus kebangkitan massa serantau.

Asas kepada tindakan Saudi, UAE dan Bahrain ini ialah dasar yang dikongsi negara-negara monarki di rantau ini, yang termasuk juga Jordan, terhadap gerakan Ikhwan, dan terhadap Iran yang menjadi pesaing kepada Arab Saudi terutamanya.

Perbezaan ini kelihatan semasa kebangkitan Arab memuncak pada 2011 dan 2012, dengan fokus utama pada Mesir dan Syria, yang menyaksikan peranan besar gerakan Ikhwan.

Di Syria, segala-galanya bertemu termasuk peranan Qatar dalam membantu pemberontak yang dikuasai Ikhwan dan persaingan serantau Iran dengan kuasa-kuasa Arab yang berpotensi mengubah landskap politik rantau Arab.

Qatar meningkat naik di bawah Emir Sheikh Hamad bin Khalifa al-Thani, yang dengan sumber kewangan yang besar hasil gas dan minyak, membina kekuatan dalam segala bidang termasuk perniagaan antarabangsa dan diplomasi.

Qatar membina nama melalui peranan sebagai perantara yang mendamaikan pihak-pihak berkonflik di seluruh rantau Arab dan Afrika, membina pengaruhnya melalui peranan mendamaikan ini.

Pada masa sama, Qatar juga meningkatkan pengaruh serantaunya melalui stesen berita satelit al-Jazeera, yang menjadi instrumen penting bagi dasar luar Doha, sehingga menjejaskan hubungan dengan negara serantau terutama Saudi.

Kemuncak peranan al-Jazeera sebagai instrumen dasar luar Qatar ialah apabila kebangkitan di Mesir tercetus dan menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak pada awal 2011. Al-Jazeera menyumbang melalui liputannya yang kelihatan cenderung menyebelahi penentang Mubarak.

Hari ini, selepas kejatuhan Mubarak dan Abdel Fatah al-Sisi sedang berusaha untuk menjadi presiden Mesir seterusnya, al-Jazeera masih menunjukkan kecenderungan pro-Ikhwan, yang menjelaskan tindakan pihak berkuasa Mesir menahan dan memenjarakan wartawan al-Jazeera di sana.

Pada permulaan kebangkitan serantau, yang turut melibatkan negara-negara monarki Teluk Parsi, Qatar dan Arab Saudi berkongsi agenda yang sama, yakni mempertahankan kerajaan-kerajaan terbabit daripada tekanan pembangkang dan gerakan protes.

Berbeza dengan liputan terhadap Mesir, al-Jazeera - terutama saluran berbahasa Arab yang ditonton di Asia Barat - memperlihatkan kecenderungan berbeza dalam liputannya terhadap protes di Bahrain dan Arab Saudi.

Walau bagaimanapun, hubungan baik Saudi dan Qatar yang berkongsi kepentingan sama mempertahankan pemerintah serantau teruji apabila konflik di Syria bermula dan berpanjangan.

Walaupun berkongsi agenda menjatuhkan rejim Bashar al-Assad, Riyadh dan Doha lama-kelamaan melihat perbezaan yang sukar didamaikan, seperti sokongan pemerintah Qatar kepada Ikhwan, dan dilihat mempunyai agenda untuk melihat Ikhwan menguasai Syria pasca-Assad.

Qatar telah mempunyai pengaruh yang kuat di Mesir, yang telah dikuasai Ikhwan selepas Mubarak dijatuhkan. Pada Mei 2013, Qatar menambah bantuan kepada Mesir sebanyak AS$3 bilion, dalam bentuk pinjaman rendah faedah, menjadikan jumlah bantuan dari Qatar sebanyak AS$8 bilion dalam tempoh singkat dua tahun Ikhwan menguasai Mesir.

Bantuan Doha telah membantu Kaherah mengelakkan daripada meminjam daripada Dana Kewangan Antarabangsa, IMF, yang akan memaksa pemerintah mengambil langkah-langkah sukar yang tidak popular. Kaherah, sebelum bantuan Qatar itu, sedang berunding dengan IMF untuk bantuan sebanyak AS$4.8 bilion.

Perkembangan ini, bersama sokongan kuat Qatar kepada Ikhwan di Syria, menimbulkan pelbagai persoalan tentang agenda serantau Doha, yang dilihat memberi sokongan kuat kepada Ikhwan dalam usaha mendapatkan hasil apabila kumpulan-kumpulan Ikhwan menguasai kerajaan pascakebangkitan.

Qatar juga membina hubungan dengan Hamas di Gaza,dan menggunakan pengaruhnya mendorong perpindahan pemimpin Hamas di Damsyik ke Doha.

Hamas dikaitkan dengan ideologi yang hampir dengan pegangan Ikhwan, dan muncul menjadi kumpulan yang tidak disenangi rejim-rejim Arab, termasuk pemerintah baharu Mesir, yang meneruskan kembali dasar era Mubarak.

Pada 2012, Sheikh Hamad melawat Gaza dan mengikrarkan bantuan sebanyak AS$400 juta untuk pembangunan wilayah itu.

Negara-negara monarki Arab, terutama Saudi, UAE dan Kuwait melihat Ikhwan dan Iran sebagai ancaman besar, walaupun UAE dan negara-negara lain bersikap lebih pragmatik dalam hubungan dengan Iran.

Qatar tidak berkongsi pandangan sama dengan negara seranrau berhubung Ikhwan dan Iran. Doha masih meneruskan dasar mengimbangi hubungan dengan rakan serantau dan Iran, yang tidak dilihat sebagai ancaman yang besar seperti yang dinilai oleh Riyadh, walaupun dengan apa yang berlaku di Syria.

Pada Julai 2012, ketua polis Dubai Dahi Khalfan memberi amaran tentang ancaman Ikhwan di rantau Teluk, yang melibatkan satu "komplot antarabangsa" untuk menjatuhkan pemerintah di rantau itu.

Amaran ini mengsahkan lagi kebimbangan negara-negara Arab Teluk terhadap ancaman Ikhwan, yang kini mempunyai cita-cita politik yang besar di seluruh rantau Arab, dan mendapat sokongan kewangan dan diplomatik Qatar.

Dalam menjelaskan tindakan memanggil pulang duta, Saudi, UAE dan Bahrain menyebut campur tangan dalam politik negara GCC oleh Qatar, ekoran tindakannya memberi sokongan kepada Ikhwan.

Pada masa sama, Qatar juga menjadi tempat kediaman Yusuf al-Qaradawi, tokoh agama yang mempunyai kaitan dengan Ikhwan dan sentiasa mengutarakan pandangan menyebelahi kepentingan pemerintah Qatar dan Ikhwan.

Kenyataan-kenyataan al-Qaradawi telah beberapa kali mencetuskan ketegangan antara Qatar dengan negara jiran, terutama UAE. Februari lalu, UAE menyampaikan protes kepada pemerintah Qatar ekoran kenyataan al-Qaradawi di televisyen mengkritik kerajaan UAE yang memberi sokongan kepada pemerintahan al-Sisi di Mesir, kenyataan terkini al-Qaradawi yang menunjukkan sokongan kepada Ikhwan.

Setiausaha agung GCC, Abdullatif bin Rashid al-Zayani turut mengeluarkan satu kenyataan mengecam kenyataan al-Qaradawi itu, menjelaskan lagi tekanan ke atas pemerintah Qatar.

Di bawah emir baharu Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani, pencapaian-pencapaian yang bermula semasa era bapanya kelihatan menampakkan tanda-tanda digugat, dan pengaruh Qatar kelihatan mula merosot.

Pengaruh Qatar di Mesir terjejas teruk apabila Presiden Mohamed Morsi dijatuhkan, sekaligus membuka ruang kepada negara serantau lain masuk bersaing membina pengaruh masing-masing.

Riyadh menyambut baik kejatuhan Morsi dan mengucapkan tahniah kepada pemerintah baharu, walaupun al-Sisi belum lagi secara rasmi memegang peranan sebagai pemerintah sementara.

Saudi dan UAE segera menghulurkan bantuan dan pinjaman kepada Mesir sejurus kejatuhan Morsi. Saudi memberikan AS$5 bilion, dan UAE AS$3 bilion. Kuwait kemudian mengumumkan bantuan sebanyak AS$4 bilion, menjadikan jumlah bantuan tiga negara itu AS$12 bilion, dalam masa sehari, kurang seminggu selepas Morsi diguling.

Perkembangan yang pertama kali berlaku dalam sejarah GCC ini menjadi satu ujian kepada kesatuan organisasi yang sedang berdepan cabaran kebangkitan serantau dan perbezaan dasar luar, dan pada masa sama sedang merundingkan penyatuan yang lebih rapat.

Perkembangan ini juga menguji kepimpinan Arab Saudi, melibatkan ukuran sejauh mana negara-negara serantau menurut agenda yang ditetapkan Riyadh. Sebelum ini, Oman telah menunjukkan sikap yang agak bebas dalam tindakan dasar luarnya.

Ujian besar juga dihadapi emir baharu, Sheikh Tamim, yang mengambil alih pada masa perkembangan serantau menjejaskan pencapaian dasar luar Qatar selama ini, dan mendedahkannya kepada risiko kemerosotan pengaruh serantau yang serius. - Mac 6, 2014

Tuesday, March 11, 2014

Bagaimana pengundi Kajang menilai Wan Azizah?

Pilihan raya kecil Kajang, di atas kertas, agak kurang enak apabila dijelaskan, terutama kepada Pakatan Rakyat.

Wakil rakyat Kajang meletakkan jawatan, memberi laluan kepada seorang pemimpin yang telah menjadi ketua pembangkang selepas diberi laluan di Parlimen Permatang Pauh oleh isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang meletak jawatan.

Bekas wakil Permatang Pauh itu, yang dulu meletak jawatan, kini dicalonkan untuk menggantikan wakil rakyat Kajang yang meletak jawatan itu.

Dinilai berdasarkan agenda besar yang diuar-uarkan sebagai satu permulaan rancangan besar untuk meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri besar Selangor, sebagai persediaan menjadi perdana menteri tidak lama lagi, Kajang sudah kehilangan segala nilainya seperti yang digembar-gemburkan sejak beberapa minggu lalu.

Cerita menggantikan menteri besar tidak kedengaran lagi, malah kini diatasi oleh cerita Anwar didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Perkembangan sejak Jumaat 7 Mac lalu tidak menyebelahi Anwar dan PR. Rasa tidak sepakat dalam kalangan PR kelihatan jelas dalam pilihan raya kecil kali ini.

Keesokan harinya, 8 Mac, konvensyen PR kali kelima diadakan di Shah Alam, Selangor - negeri dikuasai PR yang paling berharga dan paling diuji - tanpa promosi besar-besaran dan suasana tertunggu-tunggu seperti sebelum ini.

Semasa konvensyen, pakaian yang seragam pemimpin-pemimpin dan juga petugas Jabatan Amal PAS tidak dapat melindungi rasa ketidaksepakatan yang telah lama terbuku.

Pada masa kepimpinan Anwar semakin dirasakan berada di penghujung, PR masih belum menampakkan pemimpin pelapis yang mampu, dan Anwar kekal dengan kedudukannya yang hampir menyamai pemimpin kultus itu.

Dengan kedudukan yang semakin tercabar, Wan Azizah akan mengharapkan sokongan kepada PR dan simpati pengundi untuk menghadapi BN di Kajang.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...