Sejak awal sejarah, Malaysia dan Semenanjung Tanah Melayu sentiasa
menjadi laluan, tempat pertemuan dan destinasi pelbagai pihak di dunia,
dari sebelah barat dan juga timur.
Kedudukan geografi Malaysia yang strategik telah
menjadikan negara ini tumpuan pelbagai pihak untuk pelbagai tujuan,
termasuk menyebarkan dan meluaskan pengaruh masing-masing.
Dalam perkembangan politik semasa dunia, Malaysia kini terpaksa
mengimbangi persaingan global yang sengit melibatkan kuasa-kuasa utama
dunia, yang berupaya menggunakan pengaruh dengan pelbagai cara.
Amerika Syarikat telah menamakan masa kini sebagai "abad Pasifik" bagi kuasa besar itu, masa untuk menumpukan sumber-sumber "diplomatik,
ekonomi dan strategi" di rantau Asia-Pasifik, rantau yang kini mengambil
peranan sebagai "pemandu penting politik global."
Malaysia, bersama Indonesia, India dan China kini
sedang menyaksikan kebangkitan pantas dalam pelbagai bidang, sekaligus
menarik perhatian kuasa besar AS yang sentiasa memerhatikan sebarang
perubahan demi memelihara kepentingannya.
AS bersaing sengit dengan China di rantau ini, dan
Malaysia terletak di tengah-tengah persaingan ini, sebagai rakan politik
dan perdagangan yang penting kepada kedua-dua pihak.
Walaupun pada masa sama saling memerlukan dan menjadi rakan dagang, AS dan China menjadikan rantau Asia-Pasifik ini sebagai medan persaingan terpentingnya pada masa ini.
Pertikaian di Laut
China Selatan meletakkan Malaysia dalam keadaan berpotensi bertembung
dengan China dan menjejaskan hubungan yang selama ini dalam keadaan
baik.
Malaysia ialah sekutu rapat AS, terlibat dalam
kerjasama pertahanan bersama sekutu-sekutu lain di rantau Asia-Pasifik,
dan pada masa sama menjaga hubungan yang tidak kurang penting dengan
China yang berada di rantau ini.
Beijing pada masa sama menunjukkan pengaruhnya ke
atas negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, Asean,
seperti Kemboja, pengaruh yang akhirnya boleh menjejaskan Asean sebagai
sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai amat harmoni.
Pengaruh China ke atas Kemboja telah menunjukkan kesannya dalam satu mesyuarat Asean di Phnom Penh, ibu negara Kemboja
pada Julai 2012, apabila buat pertama kali, mesyuarat menteri-menteri
luar terbabit tidak mengeluarkan satu kenyataan bersama.
Dasar luar yang lebih agresif Beijing pada masa ini
juga menyaksikan hubungannya menjadi semakin keruh dengan Filipina dan
Vietnam, yang juga negara anggota Asean.
Perkembangan
ini mendorong Washington menumpukan sumber yang besar ke rantau
Asia-Pasifik, dan merapatkan lagi kerjasama dengan Australia, negara
jiran kepada Indonesia, anggota Asean yang mempunyai hubungan sangat
penting dengan Malaysia.
Pendekatan agresif China mendorong AS berusaha
mendapatkan komitmen kerjasama yang lebih kuat daripada negara-negara
rantau ini termasuk Malaysia, memaksa usaha mengimbang yang lebih sukar
dan kompleks.
Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan China,
dan walaupun terlibat dalam pertikaian di Laut China Selatan, China
tidak menunjukkan sikap yang keras terhadap Malaysia berbanding terhadap
Vietnam dan Filipina.
Negara-negara seperti Filipina dan Vietnam
merapatkan hubungan dengan AS, termasuk dalam bidang ketenteraan hingga
membuka ruang penglibatan tentera AS yang lebih mendalam di Filipina.
Hal ini kemudian akan mengundang pula reaksi China yang bakal
bertindak balas dengan meningkatkan hubungan dan membuat tawaran-tawaran
lain, sambil pada masa sama menggunakan pengaruh untuk mendorong
pembuatan keputusan di rantau ini menyebelahi kepentingannya.
Pada masa sama, AS berusaha mencapai persetujuan
untuk menggerakkan agenda pasaran bebasnya, Perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik, satu agenda penting dasar luar Presiden Barack Obama
melibatkan perdagangan bebas dan rantau Asia-Pasifik.
Agenda ini dilihat sebagai salah satu strategi
membina dan mengikat hubungan lebih rapat antara AS dengan negara-negara
Asia-Pasifik, yang sekaligus dapat berperanan sebagai strategi
menjarakkan negara-negara rantau ini dengan China.
Presiden Demokratik sebelum ini, Bill Clinton
menunjukkan satu pencapaian besar dalam perdagangan bebas apabila
berjaya menyelesaikan agenda Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara,
NAFTA, dan juga berperanan penubuhan Pertubuhan Perdagangan Dunia, WTO.
Tempoh pentadbiran Clinton menyaksikan satu era
gemilang presiden AS dalam mengembangkan agenda perdagangan bebas di
seluruh dunia. Selain NAFTA dan WTO, Clinton juga bertanggungjawab
menandatangani 270 perjanjian perdagangan bebas atau liberalisasi
perdagangan yang membuka pasaran kepada syarikat-syarikat AS.
Agenda perdagangan bebas trans-Pasifik yang
diusahakan pentadbiran Obama ini sendiri bermula dengan usaha Clinton
melalui Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik, APEC, dalam pertemuan di
Seattle, Washington pada 1993.
Obama kini mengambil tugas menyelesaikan agenda yang
dimulakan oleh presiden Parti Demokratik sebelumnya, satu agenda yang
mencabar dan menjadi salah satu agenda yang bakal mentakrifkan tempoh
pentadbirannya.
Malaysia, sebagai negara yang berada di
tengah-tengah semua ini, berdepan cabaran yang jauh lebih sukar, dalam
usaha mengimbangi kedua-dua kuasa besar yang terus menjadikan rantau ini
sebagai medan meluaskan pengaruh. - September 27, 2013
No comments:
Post a Comment