Tarikh 31 Ogos lalu negara kita Malaysia memasuki tahun ke-56
kemerdekaan, dan merayakan Hari Malaysia pada 16 September lalu.
Ini bermakna sebagai sebuah negara yang berdaulat,
kita telah membina negara yang meliputi wilayah Semenanjung Tanah Melayu
dan sebahagian pulau Borneo ini dalam satu tempoh yang panjang.
Tempoh 56 tahun ialah satu tempoh yang cukup untuk membentuk
sebuah negara yang bersatu, mempunyai identiti kenegaraan yang jelas dan
pemahaman tentang sebuah negara yang kukuh.
Malangnya,
dalam tempoh kita merayakan ulangtahun kemerdekaan ke-56 dan Hari
Malaysia ke-50, isu-isu dasar dalam pembinaan negara masih menjadi
perkara yang berupaya mencetuskan kontroversi yang merimaskan.
Selepas 56 tahun merdeka, kita masih terpaksa
menangani isu perbezaan bahasa dan sistem pendidikan, pertempungan
budaya dan persaingan politik yang sering bersifat memecah-belah.
Hal-hal yang sepatutnya telah diselesaikan sejak awal atau sebelum
kemerdekaan terus menjadi isu yang memanaskan debat sosial dan politik
di negara kita.
Bahasa kebangsaan masih tidak
diletakkan di tempat yang sepatutnya, oleh mereka yang tidak senang
dengan ciri penting negara Malaysia ini, malah oleh pemerintah yang
ditunjangi oleh sebuah parti Melayu sendiri, apabila tiba-tiba
memperjuangkan pembelajaran dan pengajaran subjek sains dan matematik
dalam bahasa Inggeris.
Terkini, pihak pemerintah turut menjadikan
pencapaian dalam bahasa Inggeris sebagai salah satu keutamaan dalam
sistem pendidikan, ketika banyak hal-hal asas yang lain masih memerlukan
perhatian khusus.
Di seberang yang lain, wujud pula pihak yang sedaya
upaya memperjuangkan satu identiti, nilai dan sistem yang berbeza dengan
ide negara Malaysia yang kita kenali ini.
Pihak
yang lain ini mengabaikan dan menolak bahasa kebangsaan, dan berusaha
memastikan kelangsungan satu aliran yang bertentangan dengan sebahagian
besar rakyat Malaysia.
Aliran ini, yang salah satunya diwakili oleh
kumpulan pendidikan Cina yang ekstrem dan sangat eksklusif, melakukan
sesuatu yang bertentangan dengan ide sebuah negara yang bersatu.
Tuntutan-tuntutan yang melampau dan eksklusivis menampakkan sikap
kumpulan ini yang tidak menghormati perjanjian yang dicapai dalam
menubuhkan negara ini.
Tidak keterlaluan
dikatakan aliran ini enggan menerima asas-asas negara Malaysia ini, dan
sebenarnya mengimpikan sebuah negara yang sangat berbeza segala ciri dan
identitinya.
Hal ini semakin sukar ditangani disebabkan kesatuan
yang masih tidak kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia, ditambah lagi
dengan politik populis yang menghalang usaha dan tindakan yang tidak
popular.
Kita sering membandingkan pencapaian dan kelemahan
kita dengan negara maju, misalnya apabila mengkritik sesuatu perkara
yang berlaku dan berlanjutan di negara ini.
Dalam
hal ini, apabila dibandingkan dengan negara maju, pemisahan ini dapat
menunjukkan satu ciri kemunduran dan tidak bersatu yang jelas.
Tidak akan ada kumpulan-kumpulan tertentu di negara
maju seperti Jerman, Perancis dan Amerika Syarikat yang boleh dapat
memperjuangkan satu budaya yang berbeza dan bertentangan dengan
asas-asas negara-negara tersebut.
Di negara-negara maju, hukum yang dipegang ialah
pentingnya asimilasi dan usaha menyatukan seluruh rakyat berdasarkan
asas-asas sesebuah negara, paling utama melibatkan bahasa.
Sikap yang eksklusif dipandang dengan penuh syak, dan dilihat sebagai
sesuatu yang kurang melayakkan mereka yang terlibat itu untuk menjadi
warga negara.
Setelah tertubuh sebuah negara
bangsa, mereka yang menjadi warga dianggap telah menerima asas-asas
negara tersebut, paling utama bahasa kebangsaan yang menjadi identiti
dan penyatu rakyat yang berbilang etnik dan agama.
Rakyat negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat
ini perlu memastikan asas-asas negara ini dipelihara dan diperjuangkan,
walaupun mempunyai perbezaan politik kepartian.
Selepas
56 tahun merdeka, seluruh warga negara sepatutnya sudah mampu berfikir
dan bertindak sebagai sebuah negara yang maju dari segi ini, dan
memastikan kelangsungan dan kemakmuran negara kita Malaysia. - September 13, 2013
No comments:
Post a Comment