Friday, October 11, 2013

Debat ideologi PAS perlu elak label salah

Oleh HARIS ZALKAPLI 

Pelabelan atau pembahagian golongan biasa digunakan untuk menyifatkan aliran, fahaman atau ideologi politik, supaya dapat mengenal pasti sesuatu kumpulan.

Pembahagian ini penting untuk menjelaskan identiti, sikap dan dasar kumpulan-kumpulan yang terbabit, dan menjelaskan perbezaan-perbezaan.

Walau bagaimanapun, label dan kategori selalu digunakan secara salah, seperti label fundamentalis Islam yang banyak digunakan pada satu masa dahulu.

Dalam menyifatkan perbezaan aliran dalam PAS, pelabelan salah sering digunakan - sama ada secara sengaja atau tidak - untuk memberikan identifikasi aliran-aliran dalam parti.

Label seperti ulama dan profesional misalnya, sering digunakan untuk menyifatkan dua kumpulan yang dikenal pasti dalam PAS, terutama oleh pemerhati luar.

Kumpulan-kumpulan ini dipertentangkan dan dianggap menepati semua ciri yang dianggap pada kumpulan tersebut.

Pada masa sama, pembahagian dua aliran seperti ini digunakan sebagai satu pertentangan dan dibina garis yang terlalu simplistik.

Label ini ialah penamaan yang salah, terutama akibat implikasi yang sering dibawa melalui pembahagian ini.

Saya pernah mengulas isu ini dalam satu tulisan di SiasahDaily pada 2011: "Kedua-dua label 'profesional' dan 'ulama' tidak secara automatik menjadikan pemegangnya memenuhi tuntutan-tuntutan yang diperlukan, kerana profesionalisme tidak boleh diharapkan secara automatik daripada seseorang profesional, seperti juga penghayatan dan pelaksanaan agama tidak datang secara automatik daripada seseorang agamawan.

"Berkait dengan dualisme ini ialah label progresif yang sering digunakan untuk menyifatkan pemimpin-pemimpin berkelayakan 'profesional,' sedangkan sifat progresif juga dapat dimiliki oleh agamawan.

"Penggunaan istilah seperti di atas tidak adil kepada agamawan kerana secara automatik memaknakan golongan agamawan atau ulama sebagai tidak progresif.

"Sifat progresif perlu dibuktikan dan merupakan kualiti yang boleh turun dan naik, dan tidak sewajarnya dikait terus, misalnya, dengan bidang pendidikan seseorang."

Label ulama dan profesional tidak pernah dijelaskan ciri-cirinya, dan digunakan dengan mudah untuk memisahkan kumpulan yang cenderung kepada pandangan ulama dalam parti dengan kumpulan yang berkelayakan profesional, atau hanya kerana bukan sebahagian daripada golongan ulama atau berpendidikan agama.

Kelompok yang dilabel ulama sering terpalit sekali dengan label konservatif yang membawa implikasi jumud dan sukar berubah, manakala kelompok dilabel profesional juga dilabel juga sebagai moderat, reformis, dan progresif, yang secara terang membawa erti yang positif.

Menyifatkan konservatif dengan nilai-nilai negatif secara tidak adil meletakkan pegangan konservatif sebagai semestinya salah, sedangkan sebagai sebuah parti politik, PAS ialah sebuah parti yang terbina di atas asas-asas yang konservatif.

Tetapi, sifat konservatif itu tidak bermakna secara automatik menentang segala perubahan dan tidak berani untuk berubah menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.

Penetapan label seperti konservatif lawan reformis, seperti dikemukakan oleh Dr Mujahid Yusof (yang sebenarnya boleh juga disifatkan sebagai liberal, kerana pertentangannya dengan konservatif) sebahagiannya memanjangkan lagi pembahagian ulama dan profesional, kerana dari segi praktik, pemahaman umum telah menerima maksud yang dibawa melalui implikasi pelabelan itu.

Berkait hal yang sama, penetapan kelompok ulama sebagai satu ciri kelayakan menduduki jawatan-jawatan eksekutif dalam parti juga perlu diperincikan supaya tidak mencetuskan masalah pada masa depan, apabila berlaku perubahan yang tidak dijangka.

Dalam wacana di media liberal, terutama yang berbahasa Inggeris, pembahagian yang memecah-belah ini telah diterima dan dipanjangkan, termasuk segala implikasinya secara simplistik.

Kelompok ulama dan agamawan dilihat sebagai konservatif dengan makna yang sangat negatif, dan berseberangan dengan kelompok yang dinilai sebagai reformis, profesional, dan moderat.

Wacana popular di media amat mudah mengatasi apa sahaja penjelasan sebenar isu ini, terutama takrif sebenar ulama, profesional, reformis dan sebagainya, disebabkan kecenderungan wartawan dan pengulas untuk membuat pembahagian mudah.

Pelabelan dan pengkategorian perlu dibuat berdasarkan ciri-ciri khusus yang menepati takrif yang sepatutnya, untuk mengelakkan pelbagai salah faham sehingga mencetuskan perpecahan dalam parti. - September 24, 2012

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...