Sunday, March 30, 2014

Model Turki, gagasan yang semakin dilupakan

Oleh SEMIH IDIZ

Pengalaman peribadi saya di Mesir - sebuah negara yang telah saya lawati banyak kali sejak tiga dekad lalu dan membangkitkan perasaan yang kuat, disebabkan sejarah hubungan keluarga - telah menunjukkan pada saya bahawa sikap terhadap Turki di negara tunjang dunia Arab ini biasanya, paling kurang, bercampur-campur.

Saya dapati melalui pengalaman di beberapa negara Asia Barat yang sikap umum terhadap Turki ialah campuran memandang rendah dan kagum.

Dari perspektif Islam, terutama mereka yang menjadi ahli atau simpatisan Ikhwan al-Muslimin, pandangan paling berleluasa ialah Turki hilang jiwa Islamnya selepas reformasi pembaratan Presiden Mustafa Kamal Attaturk.

Sebuah Turki sekular yang bermatlamat menjadi sebuah negara mengamalkan demokrasi cara Barat - walaupun populasinya majoriti Muslim yang mengamalkan agama - dilihat sebagai bertentangan dengan apa yang dipegang oleh Ikhwan.

Hal ini jga ditunjukkan dengan jelas semasa kemuncak kebangkitan Arab, apabila Ikhwan memberikan reaksi marah terhadap cadangan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan kepada Mesir supaya membina sebuah perlembagaan sekular, dengan menggambarkan yang sekularisme bukan bermakna atheisme dan bersikap neutral terhadap semua agama.

Cadangan Erdogan itu walau bagaimanapun diterima ramai rakyat Mesir yang berkecenderungan liberal, sama ada dalam kalangan Muslim atau Kristian. Pandangan Erdogan itu juga diterima di Eropah dan Amerika Syarikat, di mana perasaan pada masa itu ialah Turki, sebagai sebuah negara majoriti Muslim tetapi dikendalikan dengan demokrasi ala-Barat, boleh menjadi contoh penting kepada negara-negara yang dilanda perubahan.

Erdogan walau bagaimanapun tidak terus mengangkat isu itu, dan kemudian menyokong kempen Mohamed Morsi untuk jawatan presiden dan usaha Ikhwan mendapatkan kuasa melalui pilihan raya demokratik pertama Mesir.

Beliau juga tidak mengkritik Morsi dan Ikhwan selepas mereka mendapat kuasa, yang berlebihan dalam melaksanakan tindakan-tindakan Islamis dan memperlihatkan kecenderungan antidemokratik, terutama dalam menggubal perlembagaan baharu negara itu dan cara ia dipaksakan ke atas negara Mesir.

Sebenarnya, memang tidak banyak sebab untuk Erdogan mengkritik Mesir pada peringkat itu, kerana beliau dan partinya, Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, yang bersimpati dengan Ikhwan juga telah menjadi semakin autoritarian dan semakin bersifat Islamis, berdasarkan pemahaman demokrasi yang majoritarian dan bukan pluralistik.

Simpati itu menjadikan Erdogan disanjung oleh Islamis di seluruh Asia Barat, di mana Ikhwan diangkat sebagai satu kuasa baharu meningkat yang penting, sehingga mendorong sekularis Turki mendakwa AKP secara terbuka meninggalkan haluan modernis dan mahu menjadi lebih keagamaan yang reaksionari.

Parlimen Eropah, dalam laporan kemajuan Turki sebagai calon ahli Kesatuan Eropah pada pada 12 Mac lalu - dalam laporan paling kritikal sejak 2005 - juga menekankan yang Turki sedang merosot dari segi kriteria demokratik, politik dan kehakiman, kriteria yang diperlukan untuk dinilai sebelum diterima sebagai ahli EU.

Jutaan warga Turki, Mesir dan negara-negara lain seluruh dunia Arab yang mahukan kebebasan gaya Barat kini berasa kecewa dengan Turki yang selama ini dilihat sebagai model demokrasi, tetapi kini mula menunjukkan yang Islam dan demokrasi mungkin sebenarnya memang tidak selari.

Selama ini, ramai yang menyebut, "Kalau Turki boleh melakukannya, tentu kita juga boleh." Hari ini, ia telah berubah kepada "pengalaman Tunisia," kerana Tunisia walaupun dilanda pelbagai masalah, terus menjadi tarikan sementara Turki kini dilanda kekacauan politik dalaman, di bawah perdana menteri dan parti pemerintah yang semakin autoritarian.

"Perkembangan terkini melibatkan kebebasan fundamental, kebebasan kehakiman, kebebasan ekspresi dan lain-lain semakin membimbangkan," kata wakil khas parlimen Eropah ke Turki, Ria Oomen-Ruijten, selepas parlimen Eropah menerima laporan kemajuan Turki itu.

Laporan itu juga menyentuh cubaan kerajaan AKP menyekat akses kepada internet dan usaha Erdogan menutup Facebook dan Youtube menjelang pilihan raya tempatan pada 30 Mac.

Memandangkan peranan internet dalam demonstrasi besar-besaran yang diadakan oleh orang muda di Dataran Tahrir pada 2011, berita sekatan internet yang diperkenalkan oleh kerajaan Erdogan itu, dan hasrat Erdogan menghadkan media sosial, meminggirkan beliau daripada warga Mesir yang bukan pengikut Ikhwan al-Muslimin.

Sejauh mana kekaguman terhadap Erdogan akan bertahan dalam kalangan pengikut Ikhwan Muslimin, yang tertarik dengan beliau disebabkan sikap kerasnya terhadap tentera Mesir, juga semakin tidak menentu dengan dakwaan korupsi terhadap beliau pada masa ini.

Satu faktor utama menyatukan belia-belia Mesir yang berbeza pandangan politik pada 2011, selain pemerintahan diktator Presiden Hosni Mubarak yang disingkirkan itu, ialah korupsi yang berleluasa di bawah rejim Mubarak.

Suasana politik dalaman yang kacau dan sentimen sesama Islamis mungkin menghalang ahli Ikhwan memberi fokus pada tuduhan korupsi yang dikenakan pada Erdogan dan ahli AKP pada masa ini.

Sama ada kekaguman terhadap beliau berterusan memandangkan pelbagai pendedahan politik dalaman kini, masih menjadi satu soalan yang terbuka.

Setelah kehilangan kekuatan sebagai model kepada rakyat Mesir yang liberal dan sekular, tidak menghairankan bahawa Turki di bawah Erdogan mungkin akan kehilangan kepimpinan moral pada pandangan rakyat Mesir yang lebih cenderung kepada agama dan penyokong Ikhwan al-Muslimin di seluruh dunia Arab.

Semakin pudar harapan untuk melihat Turki di bawah kepimpinan Erdogan terus menyediakan model untuk diikuti oleh negara-negara Asia Barat yang ingin maju dalam dunia moden hari ini.

Semih Idiz ialah penganalisis politik Turki. Artikel ini dipetik dan diterjemahkan daripada laman Al-Monitor.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...