Friday, October 30, 2009

AMK Selangor Desak ADUN Pelabuhan Klang Letak Jawatan ADUN Segera

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak agar ADUN Pelabuhan Klang,YB Badrul Hisham Abdullah untuk meletakkan jawatannya sebagai ADUN dengan kadar segera. Ini adalah untuk membolehkan seorang wakil rakyat baru dipilih setelah beliau gagal melaksanakan tugas dan amanah yang diberi rakyat dengan baik, demikian menurut satu kenyataan media daripada Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Ezli Mashut.

Menurut kenyataan itu lagi, AMK Selangor amat menghargai ketegasan Dato’ Menteri Besar Selangor,Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim dalam isu YB Badrul Hisham di mana ADUN Pelabuhan Klang ini telah gagal menjalankan amanah rakyat yang diberi dan pelbagai masalah dan kerenah yang ditimbulkannya. Tindakan dan ketegasan Menteri Besar Selangor ini
jelas mendahulukan kepentingan dan kebajikan rakyat adalah amat penting dan terutama daripada kepentingan politik semata-mata.

AMK Selangor membuat desakan kuat ini agar ADUN Pelabuhan Klang yang menang dalam Pilihanraya Umum ke-12 menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat apabila mengistiharkan dirinya keluar daripada PKR perlu melepaskan jawatan ADUN tersebut segera. Tindakan beliau tidak melepaskan jawatan ADUN tersebut dan menyokong pembangkang Barisan Nasional di Selangor seolah-olah beliau sudah tidak mempunyai harga dan maruah yang tinggi lagi.

AMK Selangor merasakan tindakan beliau semasa mengistiharkan keluar daripada PKR dan memilih untuk menjadi ADUN Bebas dengan menyerang kepimpinan tinggi PKR dan kerajaan Selangor, jelas membuktikan agenda perancangan busuk dan keji pihak tertentu untuk menjejaskan keutuhan dan kekuatan Pakatan Rakyat di Selangor. Malahan tindakan beliau seperti ‘kacang lupakan kulit’ yang sebelum ini memenangi jawatan ADUN Pelabuhan Klang menggunakan platform Parti Keadilan Rakyat.

Rakyat keseluruhannya dan pengundi di DUN Pelabuhan Klang sendiri sudah mengetahui segala-galanya berkenaan kegagalan total YB Badrul Hisham dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberi rakyat sejak sekian lama. Malahan kepimpinan parti dan juga negeri sudah beberapa kali memberikan teguran dan nasihat agar melaksanakan tugas dengan baik namun beliau sehingga kini gagal menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat seperti yang diharap-harapkan.

AMK Selangor berpandangan pemimpin yang mendatangkan terlalu banyak bermasalah,karenah dan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat dan pengundi dalam melaksanakan tugas dan amanah perlu dihumban jauh-jauh daripada menjadi liabiliti kepada parti dan kerajaan. Dengan keluarnya YB Badrul Hisham daripada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor membuktikan bahawa Pakatan Rakyat amat mementingkan dan mutu kerja yang cemerlang,bertanggungjawab dan bersih. Tindakan beliau keluar dan menyokong UMNO/BN membuktikan dan menjelaskan lagi itulah wadah politik yang amat sesuai dengan imej kini UMNO/BN yang penuh dan terpalit dengan pelbagai skandal,penyelewengan,rasuah dan jenayah politik.

AMK Selangor yakin bahawa imej positif Pakatan Rakyat di Selangor semakin meningkat mendadak pada pandangan rakyat yang berharap pemimpin yang menerajui Selangor adalah kalangan yang bersih,bertanggungjawab dan melaksanakan tugas dan amanah yang diberi dengan penuh berhemah dan komitmen. Isu ini juga sebenarnya memberikan gambaran bahawa menjelang PRU-13 ini,Pakatan Rakyat akan diwakili oleh pemimpin yang lebih berkredibiliti dan mempunyai rasa amanah dan integriti yang amat tinggi kepada rakyat untuk memimpin arus perubahan besar negara kelak.

AMK Selangor berpandangan pemimpin yang berhak memimpin perubahan perlu mempunyai jatidiri,integriti dan komitmen yang kuat untuk memimpin rakyat dan perubahan. Pemimpin yang lemah,rasuah,mempunyai pelbagai masalah serta kerenah, tidak mempunyai jatidiri dan perjuangan yang kuat sepatutnya tidak layak untuk bersama-sama dengan arus perjuangan rakyat semuanya.

AMK Selangor melihat pelbagai ‘kemelut politik kecil’ yang disensasikan oleh media yang melanda khususnya Parti Keadilan Rakyat akan mematangkan lagi proses pengalaman politik PKR yang baru berusia 10 tahun. Sebuah parti yang langsung tidak diberi harapan langsung dalam PRU-12 tetapi membuat kejutan dan tsunami politik besar bersama-sama rakan Pakatan Rakyat daripada PAS dan DAP atas semangat dan kesedaran memuncak rakyat.

AMK Selangor berharap agar rakyat terus memberikan keyakinan dan sokongan kepada Pakatan Rakyat untuk terus memimpin dan membawa perubahan. Kejayaan parti baru sepertiDemocratic Parti of Japan (DPJ) yang menumbangkan seteru kuat politik daripada Liberal Democratic Parti (LDP) yang memerintah selama 50 tahun di Jepun membakar semangat dan iltizam baru seluruh rakyat dan pendukung Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya dalam PRU-13 ini.

AMK Selangor menaruh harapan yang amat tinggi bahawa semangat dan dokongan rakyat di Selangor akan terus meningkat kerana terbukti kini bahawa Pakatan Rakyat amat mementingkan individu pemimpin yang mampu menjalankan tugas, amanah, mempunyai integriti dan jatidiri unggul untuk memimpin arus perubahan dan kepimpinan negeri.

Ini jelas berbeza dengan dasar pemilihan kepimpinan UMNO/BN yang akan terus mendambakan pemimpin yang rasuah, menyeleweng kuasa dan penuh dengan pelbagai skandal keji dan jijik. Memang layak YB Badrul Hisham untuk menghuni parti seperti ini yang hanya menunggu masa sahaja untuk karam dan pupus daripada kamus politik negara.

Akhirnya,AMK Selangor mengulangi pendirian tegas mencabar YB Badrul Hisham jika masih mempunyai harga diri dan maruah yang tinggi untuk segera melepaskan jawatan ADUN Pelabuhan Klang dan bertanding semula atas tiket sendiri dalam pilihanraya kecil yang diadakan kelak.

Husam cadang pembangkang boleh jadi timbalan Exco Kelantan

KOTA BHARU: Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa mencetus idea baru apabila bersedia menerima wakil rakyat pembangkang di Kelantan sebagai timbalan Exco sekiranya ia tidak menyalahi peraturan.

Husam berkata, beliau sedia membincangkan cadangan melantik Adun pembangkang sebagai timbalan Exco sekiranya mendapat restu daripada Menteri Besar.

“Mungkin tiga daripada enam wakil rakyat pembangkang ada peluang menjadi timbalan Exco sekiranya perkara itu dibolehkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Enakmen Saraan Adun (pindaan) 2009 pada persidangan Dun hari ini.

Ketika ini Kelantan yang ditadbir oleh PAS mempunyai enam Wakil Rakyat pembangkang, semuanya daripada Umno daripada jumlah keseluruhan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri itu.

Menurut Husam, pelantikan timbalan kepada anggota Exco daripada Adun yang mempunyai kelayakan profesional dapat membantu kerajaan bagi merancang lebih banyak lagi program untuk manfaat rakyat.

“Ini satu keperluan dan bukan sekadar mengisi mereka ke jawatan yang baru. Mereka akan menerima elaun tetap bulanan sebanyak RM1,500 dan kuasa untuk menjalankan tugas.

“Mereka boleh melawat jabatan-jabatan kerajaan sebagai menggantikan Exco yang kesibukan dengan pelbagai tugasan lain,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Exco tidak mempunyai kemudahan lain seperti kereta dan pejabat. Kelantan sekarang mempunyai 10 anggota Exco termasuk Timbalan Menteri Besar.

Sebelum ini kerajaan Kelantan mempunyai timbalan Exco, namun tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan tugas.

Fikir baik buruk sebelum terima Ibrahim dalam Umno

PANDANGAN sesetengah pihak yang mahukan Datuk Ibrahim Ali kembali ke dalam Umno telah menimbulkan pendapat yang berbelah bahagi di kalangan Umno baik di peringkat nasional, negeri dan juga Umno Pasir Mas sendiri.

Ada yang merasakan ‘kepulangan’ Ibrhim wajar kerana beliau dikatakan dapat memperkuatkan kedudukan parti dan memberi ancaman baru kepada PAS.

Sebaliknya bagi mereka yang kurang senang dengan kerencaman gaya politik ahli Parlimen bebas itu merasakan elok kalau Ibrahim dibiarkan terkontang kanting tanpa berjejak di bumi nyata untuk memberi kesedaran kepadanya.

Salah seorang ahli Umno Bahagian Pasir Mas, Datuk Dr Wan Suhaimi Wan Daud melihat cadangan untuk membawa masuk Ibrahim ke dalam Umno sebagai subjktif, ada baik dan ada buruknya.

Bagi beliau cadangan membawa masuk itu hendaklah difikir secara mendalam dan direnungi dari berbagai sudut dan tidak dibuat secara terburu-buru.

Laporan lanjut dalam akhbar Siasah keluaran terbaru

Thursday, October 29, 2009

Konflik dalaman PAS akan dibincang bersama ahli: Seminar ganti EGM


KUALA LUMPUR: PAS memutuskan untuk mengadakan satu seminar bagi mengantikan Muktamar Luar Biasa (EGM) yang dicadangkan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  berkata, seminar tersebut akan diadakan pada 7 Disember bertempat di Taman Melewar dengan yang akan disertai ahli-ahli PAS daripada seluruh negara.

Siasah difahamkan peserta seminar tersebut adalah sama dengan peserta muktamar tahunan PAS.

Abdul Hadi sebelum itu mempengerusikan mesyuarat khas ahli jawatankuasa PAS Pusat berhubung konflik terbaru dalam parti itu.

Turut diputuskan dalam mesyuarat yang berlangsung lebih empat jam itu ialah kajian terhadap kes Selangor - salah satu isu yang dicetuskan dalam konflik tersebut, yang akan diketuai Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man daripada jawatankuasa disiplin PAS Pusat.

Mesyuarat juga memutuskan isu kerajaan perpaduan (unity government) tidak akan berbangkit lagi dalam PAS.

Konflik dalaman terbaru PAS tercetus apabila Nik Aziz menggesa satu muktamar Khas (EGM) diadakan bagi membincangkan isu yang beliau sifatkan "dua tiga kerat pemimpin bermasalah".

Menguatkan cadangannya itu, Nik Aziz juga merujuk kepada parti Umno, MCA dan MIC yang mengadakan EGM apabila berlaku masalah dalaman parti.

"Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan mesyuarat agung khas dan MCA pun boleh mengadakan EGM-nya sehingga sempat menggugurkan presiden dan timbalan presidennya.

"Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan perlembagaannya melalui kongres khas mereka. Maka kita?

"Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang (presiden MIC Datuk Seri S) Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain.

"Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya, mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu." tulis Nik Aziz dalam blog beliau.

Beliau juga mengambarkan cadangan untuk EGM itu turut dipengaruhi setelah membaca tulisan pensyarah Undang-undang Universiti Islam Malaysia (UIA) Dr Aziz Bari yang mengaitkan kemerosotan undi PAS di Bagan Pinang baru-baru ini dengan kekecohan di Selangor serta mengkritik kepimpinan Abdul Hadi.

Sekurang-kurangnya dua pimpinan tertinggi PAS iaitu Nasharuddin dan Naib Presiden, Salahuddin Ayub telah bertemu Nik Aziz ekoran kenyataan tersebut.

Isu yang turut dipanaskan oleh media dan menjadi topik utama kebanyakan blog yang dikendalikan individu yang dekat dengan PAS telah menimbulkan kegelisahan dikalangan ahli PAS apalagi ada pemimpin yang memperlihatkan sokongan dan bantahan terhadap cadangan Mursyidul Am itu.

Bagaimanapun Abdul Hadi dalam reaksinya beberapa hari selepas isu tersebut menjadi panas meminta kemelut dalaman yang sedang dihadapi PAS perlu diselesaikan secara musyawarah dan bukannya menerusi penggunaan media massa dan media baru.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Abdul Hadi berkata pendekatan musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS sewajarnya dipilih, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti.

"Sehubungan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini," katanya.

Nik Aziz kemudiannya juga akur untuk menukar EGM seperti mana cadangan awalnya kepada mesyuarat khas.

Sejurus itu, Setiausaha Agung PAS menetapkan jam 8.30 malam pada 28 Oktober untuk mengadakan mesyuarat khas dikalangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi membincangkan isu berkaitan EGM yang dicadangkan Nik Aziz, melalui sidang media pada 26 Oktober.

Mesyuarat tersebut turut menjemput Nik Aziz hadir untuk membolehkan membentangkan pendapatnya disamping semua pimpinan PAS mendengar sendiri penjelasan daripada beliau.

Nik Aziz pada asalnya dilaporkan keberatan untuk hadir kerana bertembung dengan persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan yang berakhir pada petang rabu bagaimanapun mengambil keputusan untuk turut serta dalam mesyuarat tersebut.

Kenyataan Media: Dewan Pemuda PAS Perak

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) amat sedih dan cukup bimbang dengan suasana di Perak terutamanya apa yang telah berlaku semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada hari ini sebentar tadi.  

   

Krisis yang sudah hampir lapan (8) bulan berlalu ini seolah-olah tiada jalan penyelesaian kerana banyak pihak yang diberikan kuasa telah menyalahgunakan kuasa mereka mengikut perancangan-perancangan yang telah di susun oleh UMNO / Barisan Nasional (BN).  

   

DPPN Pk melihat bahawa krisis yang sepatutnya diselesaikan oleh rakyat telah diketepikan kerana terlalu gilakan kuasa dan sikap tidak sabar UMNO / BN untuk berkuasa kembali sebelum Pilihan Raya Umum ke - 13 sehingga sanggup membelakangkan nilai-nilai adab ketimuran serta adap-tertib kepimpinan.  

   

DPPN Pk sedar bahawa suara yang telah kami sembahkan kepada DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah semasa mengadap baginda tempohari tidak membuahkan hasil sepertimana yang rakyat Perak harapkan.  

   

DPPN Pk amat bersimpati kepada seluruh rakyat Perak khasnya dan rakyat Malaysia amnya malah masyarakat antarabangsa yang melihat sendiri krisis yang masih berlarutan ini tanpa penyelesaian konkrit serta terkuburnya demokrasi dan undang-undang yang menjadi asas keluruhan dalam Rukun negara Malaysia. 

   

DPPN Pk sekali lagi merafak sembah merayu kepada Paduka Seri Sultan Perak dan juga Raja Muda Perak membantu kami dan rakyat yang cintakan demokrasi untuk memastikan krisis ini dapat diselesaikan secepat mungkin melalui jalan musyawarah dan keluhuran perlembagaan.  

   

   

DR. RAJA AHMAD AL-HISS  

Setiausaha,  

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Wednesday, October 28, 2009

Kenyataan Media Sivakumar dan Nizar


Pihak polis menahan kami beberapa kali sebelum boleh masuk dewan, tidak pernah berlaku Adun dilayan seperti penjenayah.

Apabila kami tidak mahu menyerahkan jubah dan kekerasan digunakan untuk merampas songkok dan jubah. Mereka menekan dan mencekik saya supaya saya tidak bernafas dan lemah. Walaupun Adun PR cuba menyelamatkan tetapi mereka menghadapi ramai polis.

Sivakumar menunjukkan sekali lagi cebisan jubah yang masih tinggal sebagai simbol demokrasi.

Sivakumar mempersoalkan tindakan kami dilarang membawa masuk kamera. Juga beliau mendakwa semacam dirancang tidak ada anggota media dalam ruang legar SUK semacam hendak mengelak media melihat apa yang berlaku.

Speaker Sivakumar mengesahkan sidang pada hari ini dengan meluluskan tiga usul iaitu usul berkaitan tragedi di Kuala Dipang, tahniah dengan prestasi Kerajaan PR dan pencalonan seorang calon untuk menjadi Ahli Dewan Negara yang baru.

Sementara itu Datuk Seri Nizar Jamaludin pula berkata, rombongan Adun PR telah dihalang oleh 5 sekatan dan ini bercanggah dengan demokrasi. Terbukti kekecohan bermula dari arahan defekto BN.

"Saya rakamkan disini atas arahan BN kepada pihak polis menghalang kami." 

"Jika Speaker itu haram maka usul, bajet adalah tidak sah dan semuanya tidak mengikuti peraturan."

"Saya mendesak Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Hishamuddin wajib meletakkan jawatan kerana tindakan polis yang memalukan," ujarnya lagi.

Dun Perak: Jubah Speaker Sivakumar direntap dan dirampas



Kemaskini 12.50 tgh:| Berikut adalah lintas langsung yang dibawa oleh Harakahdaily terhadap perjalanan sidang Dun yang diadakan di Bangunan SUK, Perak.

12.50 tgh: Ketika ini semua Adun Pakatan Rakyat sedang bermesyuarat di Wisma DAP. Dijangkakan satu lagi sidang media akan diadakan pada jam 1.30 petang nanti.

12.37 tgh: Sidang media tamat, semua beredar.

12.35 tgh: Dalam sidang media itu juga Sivakumar menceritakan bagaimana beliau hampir tidak dapat bernafas dan lemas akibat jubahnya direntap dengan ganas.

12.30 tgh: Sivakumar dan Adun Pakatan Rakyat sedang membuat sidang media di dalam perpustakaan di kompleks SUK. Beliau (Sivakumar) menunjukkan cebisan jubah speaker yang dirampas sehingga terkoyak kepada media.

12.15 tgh: Dalam pada itu, Sivakumar memberitahu usul untuk melantik Osman Abdul Rahman sebagai senator telah diluluskan dalam sidang mereka sebe

lum ini.

12.14 tgh: Sementara itu, sidang dewan BN sedang berlangsung di dalam dewan dengan usul unt

uk melantik Datuk Azian Osman sebagai senator di Dewan Negara.

11.55 pagi: Adun PR sedang memberikan sidang media di luar dewan dan memberikan penerangan terperinci situasi yang berlaku hari itu.

11.52 pagi: Sambil keluar dewan semua Adun Pakatan Rakyat melambai kepada Ganesan dan mengucapkan 'Selamat Hari Deepavali.'

11.49 pagi: Ganesan cuba mengumumkan bajet 2010 diluluskan. Sivakumar berdiri dan mengumumkan sidang telah ditangguhkan.Semua Adun Pakatan Rakyat telah keluar dewan.

11.45 pagi:Adun BN cuba mengusul untuk menerima dan membahaskan bajet tetapi ditenggelami dengan suara daripada adun-adun lain.

11.40 pagi: Mikrofon Adun Pakatan Rakyat telah ditutup tetapi tidak bagi Adun BN.

11.37 pagi: Zambry cuba berdiri untuk bercakap dan Adun PR melaungkan 'lanun' terhadapnya.

11.35 pagi: Seorang Adun BN menyuruh Ganesan menghukum adun-adun PR.

11.30 pagi: Kedua-dua sidang sedang berlangsung sekarang. Seorang adun PR kelihatan sedang membaca sesuatu tetapiu tidak jelas kedengaran akibat gangguan.

11.25 pagi: Ganesan menyambung kembali sidang. Adun Pakatan Rakyat menyerit menyatakan Ganesan 'Speaker Haram'. Ganesan membuka sidang untuk debat mengenai belanjawan.Sidang mula kecoh. Riiuh. Dentuman meja ke

dengaran. Suara adun mula tenggelam timbul.

11.15 pagi: Sidang dijangka bermula semula jam 11.20 pagi. Suasana di luar tenang.

11.11 pagi: Adun Pakatan Rakyat terima usul dan luluskannya. Sivakumar tangguhkan sidang sementara waktu, tiada sesiapa kecuali Adun Pakatan Rakyat yang mendengar sidang tersebut.

11.01 pagi: Ganesan telah menangguhkan sidang dun. Adun Titi Serong mengusulkan agar sidang dun dibubar. Kerajaan BN adalah haram dan wajar dikembalikan kepada rakyat. Ganesan terus tidak menghiraukan sidang yang berlangsung sebaliknya berbual dengan bekjas MB, Tajol Rosli.

10.57 pagi: Ganesan disuruh oleh Sivasubramaniam untuk meninggalkan tempat duduknya. Suis mikrofon telah ditutup. Kemudian Sivakumar memberitahu dewan kejadian yang berlaku diluar dewan tentang kekasaran yang dilakukan terhadapnya.

10.56 pagi: Ngeh menyokong usul Nizar. Adun BN sedang berborak sesama sendiri. Adun Pakatan Rakyat melaungkan "setuju". Sementara di luar SUK, polis kelihatan menyuraikan sekumpulan penyokong Pakatan Rakyat yang berkumpul berhampiran sebuah restoran.

10.55 pagi: Ganesan kelihatan menguap dan tidak mengendahkan sidang yang dijalankan. Adun BN sedang bercakap sesama sendiri dan beberapa adun BN termasuk Zambry kelihatan meninggalkan dewan.

10.53 pagi: MB Pakatan Rakyat, DS Nizar bangun dan mengusulkan agar semua program PLKN dan 1 Malaysia dihentikan serta merta.

10.52 pagi: Sivakumar berkata beliau kini telah memulakan persidangan dan mengarahkan semua adun untuk bertakafur selama 1 minit untuk memperingati tragedi titi gantung di Kampar baru-baru ini.

10.45 pagi: Adun Buntong, A Sivasubramaniam bangun dan mengarahkan Ganesan untuk beredar kerana beliau merupakan speaker yang dilantik secara haram.

10.39 pagi: Adun Pakatan Rakyat memulakan persidangan dengan Adun Khalil Idham Lim membaca doa.Ganesan menyampuk dengan memberitahu sidang telah bermula.

10.38 pagi: Ganesan (Speaker BN) hanya duduk diam dan begitu juga dengan Adun BN.

10.37 pagi: Adun Pakatan Rakyat masuk ke dalam dewan dan melaungkan "Ketibaan Speaker Dewan". Sementara itu, DSP Glen memberikan masa 5 minit kepada penyokong PAS untuk beredar daripada kawasan SUK.

10.36 pagi: Helikopter masih kelihatan di udara.

10.35 pagi: Adun Pakatan Rakyat kelihatan di luar dewan persidangan dan mengecam Ganesan sebagai Speaker haram.

10.20 pagi: Kelihatan penyokong Pakatan Rakyat bukan beragama Islam berdiri berhampiran dengan penyokong PAS yang sedang bersolat hajat

 untuk menunjukkkan solariditi mereka.

10.19 pagi: Keadaan di luar SUK kelihatan agak tenang walaupun kelihatan orang ramai sedang berkumpul untuk mengikuti kejadian yang berlaku ketika ini.

Kelihatan penyokong PAS sedang melakukan solat hajat berhampiran dengan pagar halangan di luar SUK.

10.09 pagi: Nizar dan Adun Pakatan Rakyat cuba masuk sekali lagi ke dalam dewan persidangan.Sivakumar kelihatan tanpa jubah Speakernya.

10.05 pagi: Dalam dewan kelihatan pengawal (betara) seramai 20 orang mengawal sekitar 'Speaker' Ganesan.

10.04 pagi: Persidangan bermula di dalam dewan dengan bacaan doa tanpa kehadiran adun Pakatan Rakyat.

10.00 pagi: Adun Pakatan beredar keluar daripada SUK. Beberapa adun dan Nizar kelihatan di lluar SUK. Nizar mendakwa mereka dihalang masuk ke dalam dewan.

9.57 pagi: Polis kelihatan menyerbu ke arah Sivakumar. Beberapa adun Pakatan Rakyat cuba menghalang daripada serbuan polis. Seorang SB dilihat merampas songkok Speaker. Jubah yang dipakai oleh Sivakumar juga cuba ditarik.

9.55 pagi: Keadaan di luar, adun pakatan rakyat dihalang dan dilambatkan oleh kawalan pihak polis.

9.55 pagi: Keadaan dalam dewan, Speaker BN Ganesan kelihatan sudah mengambil tempatnya begitu juga adun-adun BN.

9.50 pagi: Adun Pakatan diketuai Nizar terus bergerak ke arah pintu SUK.Sivakumar kelihatan memakai pakaian rasmi speaker.

9.45 pagi: Adun BN bersama Zambry Abdul Kadir telah berada dalam SUK.

9.40 pagi: Adun Pakatan Rakyat mula berarak menuju ke arah SUK bersama sekumpulan penyokong PAKATAN RAKYAT. Sivakumar dilindungi dan dikawal oleh para penyokong. Mereka kelihatan menuju ke arah 'Pokok Demokrasi' dan cuba masuk melalui kawasan tersebut. Polis hanya benarkan Adun-adun masuk.

9.35 pagi: Speaker Pakatan Rakyat, V Sivakumar kelihatan di Wisma DAP.

9.25 pagi: Kawasan koridor bangunan SUK dipenuhi polis dan media hanya dibenarkan masuk setelah diperiksa dengan ketat dan disahkan pas mereka.

9.15 pagi: Adun Ngeh, Thomas, L P Seah, B P Ong, Sivanesan, Idham, Ramli, M M Leong and K W Wong adalah antara Adun Pakatan Rakyat yang kelihatan berada di Wisma DAP.

9.05 pagi: Anggota polis (SB) kelihatan mengambil gambar secara rambang kawasan sekitar.

9.00 pagi: Helikopter polis kelihatan berlegar di atas bangunan dan kawasan SUK.

8.50 pagi:Ngeh dan Thomas kelihatan terpaksa bertikam lidah dengan polis kerana dihalang daripada memasuki kawasan yang telah dikepung (dihalang) polis. Namun akhirnya mereka dibenrakan masuk.

8.45 pagi: Kelihatan Adun Ngeh dan Thomas Su berada di luar bangunan. Wartawan mula kerumuni mereka untuk mendapatkan maklumat.

8.30 pagi:Bilangan anggota polis dikatakan lebih 400 orang kini.

8.20 pagi: Pagar kawat berduri makin banyak dipasang. Antaranya bangunan ibu pejabat DAP juga kelihatan dikawal ketat. Orang ramai (awam) dihalang daripada masuk kawasan sekitar.

7.55 pagi: Semakin banyak kenderaan polis kelihatan. Trak FRU mula kelihatan. Trak meriam air juga kelihatan di sekitar bangunan SUK.

7.52 pagi: Keseluruhan kawasan SUK dikawal dengan ketat. Lebih 40 anggota keselamatan berkawal di hadapan SUK dengan memakai vest hijau dan diapit 2 buah trak merah dan beberapa kenderaan serta van polis. Kumpulan wartawan berada di hadapan hadangan berkawat berduri.

7.15 pagi: 6 buah kenderaan polis termasuk 'Black Maria' digunakan sebagai perisai di hadapan pagar dan pusat 'check point'. Anggota polis berpakaian biasa (SB) kelihatan mula penuhi kawasan sekitar. Keadaan mula sibuk.

7.00 pagi: Lingkaran dawai berkawat telah dipasang di sekeliling Bangunan SUK Perak.

Tuesday, October 27, 2009

Nik Aziz hadir mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat


Mursyidul am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat  akan hadir ke Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat yang akan di adakan di Pejabat Agung PAS Pusat esok.


Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Politik beliau, Anual Bakri ketika dihubungi.


Beliau sebelum ini keberatan untuk hadir kerana Sidang Dewan Undangan Negeri sedang berlangsung.


Semalam dalam sidang media Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memberitahu satu mesyuarat khas yang melibatkan AJK PAS dan Pesuruhhaya PAS Negeri akan diadakan untuk membincangkan satu cadangan dari Nik Aziz di dalam blognya yang mahu  PAS mengadakan satu Muktamar Khas.


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  telah mengarahkan Mustafa supaya diadakan satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat malam esok mulai jam 8.30 malam di Pejabat Agong PAS, Jalan Raja Laut.


Menurut perlembagaan PAS, mesyuarat agung luar biasa boleh diadakan dengan arahan presiden, permintaan satu pertiga ahli Jawatankuasa PAS Pusat atau permintaan satu pertiga dari kawasan-kawasan PAS di seluruh negara iaitu sekurang-kurangnya 57 kawasan.

ADUN PR hadir sidang, dapat jaminan polis

28 ADUN Pakatan Rakyat Perak hari ini mengesahkan kehadiran ke sidang DUN esok setelah mendapat jaminan daripada pihak polis bahawa keselamatan mereka akan dijaga.


Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat (PRBBC) Khalil Idham Lim berkata, mereka akan hadir berdasarkan notis panggilan mesyuarat yang dikeluarkan oleh speaker yang sah.

"Kami (ADUN Pakatan) akan hadir atas panggilan speaker yang sah. Saya tak mahu sebut nama, tapi saya tegaskan, speaker yang sah,"katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Khalil merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak polis yang memberikan jaminan akan menjaga keselamatan mereka itu.

"Saya ucapkan terima kasihlah di atas jaminan itu,"ujarnya.

Semalam, Khalil yang juga ADUN Titi Serong berkata kesemua ADUN Pakatan mungkin tidak akan menghadiri sidang DUN Rabu ini jika polis gagal memberi jaminan terhadap keselamatan mereka.

"Sebelum ini kami (ADUN Pakatan) minta jaminan daripada pihak polis. Apa jaminan yang mereka boleh bagi untuk pastikan keselamatan kami terjamin," katanya lagi.

Menteri Besar Pakatan Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin seperti yang dilaporkan laman web Malaysikini sebelum ini mendakwa beliau mendengar dari sumber-sumber tidak sah tetapi boleh dipercayai bahawa Umno akan mengupah 15 orang "samseng" untuk menggantikan pengawal keselamatan di DUN bagi menghalang "berlaku sebarang kekecohan dari pihak Pakatan.

Nizar juga memberitahu bahawa beliau mendengar dari sumber-sumber di Sekretariat Kerajaan Negeri (SUK) bahawa 28 ADUN Pakatan akan dihalang daripada membawa telefon bimbit dan kamera untuk merakam sebarang kejadian tidak diingini yang mungkin berlaku dalam sidang esok.

Khalil sebentar tadi turut memaklumkan perkembangan terkini berhubung sidang DUN esok yang dihantar ADUN DAP Beruas Ngeh Kor Ham melalui khidmat pesanan ringkas (sms).

Ngeh membuat tinjauan ke Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi melihat perkembangan terkini.

Ngeh dalam pesanannya memberitahu polis baru sahaja selesai memasang kamera berparabola di sekeliling Bangunan Perak Darul Ridzuan dihubungkan terus ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memantau sebarang kejadian esok.

"Polis turut memasang mesin pengesan di pintu masuk utama. Beberapa petugas sedang mencuba mikrofon tanpa wayar kemungkinan akan digunakan speaker mereka apabila mereka mematikan mikrofon ADUN PR," lapornya dalam sms berkenaan.

Kerajaan Pulau Pinang wujudkan wajah baru 42 rumah pangsa

Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk memberi wajah baru kepada 42 rumah pangsa milik Kerajaan Negeri seluruh Pulau Pinang bermula pada tahun 2010 yang akan datang.
 
Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata dibawah pentadbirannya kemudahan kepada rakyat adalah menjadi keutamaan.
 
"Selama ini penduduk rumah pangsa sentiasa berada dalam keadaan yang tidak selesa kerana pelbagai masalah infrastruktur mahupun masalah kebersihan di sekeliling mereka.
 
"Apa yang lebih ketara lagi ialah kegagalan pemantauan terhadap kebersihan, kerosakan lif, peti simpanan surat rosak dan memungkinkan berlakunya kegiatan jenayah sekiranya kawasan tersebut gelap dan lampu tidak berfungsi."
 
Sebelum ini masalah yang dihadapi oleh kebanyakan rumah pangsa milik kerajaan negeri seluruh Pulau Pinang tidak dapat diselesaikan dalam jangka waktu yang singkat dan mendatang pelbagai masalah kepada mereka yang mendiami rumah-rumah tersebut.
 
"Perubahan akan dibuat mulai tahun 2010 dan ia dijangka siap dalam tempoh lima tahun yang akan datang.Tempoh masa yang agak lama ini adalah untuk memberi ruang kepada pihak kerajaan negeri untuk meneliti terlebih dahulu masalah yang dihadapi oleh penduduk dan memperbaiki keadaan dengan menyediakan kemudahan yang diperlukan."katanya lagi.
 
Ekoran itu maka Ketua Menteri bersama kepimpinan negeri telah turun padang bagi memastikan masalah yang sekian lama tidak dapat diselesaikan itu dapat diatasi dengan segera. 
 
Lim berkata demikian semasa sesi perjumpaan bersama pegawai Kerajaan dan penduduk rumah pangsa Kampung Melayu.Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar dan Kesenian, Wong Hon Wei, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim, Pengerusi PAS kawasan Bukit Gelugor, Taqiuddin Hamzah serta pegawai kewangan negeri.

Rundingan Umno-PAS hanya umpan Muhyiddin

PAS mengingatkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin jangan cuba mencari kesempatan untuk memecah belahkan perpaduan parti PAS dan Pakatan Rakyat, seperti yang dilaporkan dalam UM 26/10/2009. Muhyiddin jangan jadi hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong.


PAS berpendapat Umno begitu gelisah apabila melihat PAS semakin mendapat tempat di kalangan orang bukan Islam dan orang Islam. PAS tidak lagi dipandang sebagai parti yang cauvanis perkauman, sebaliknya mereka melihat PAS sebagai wadah baru mereka untuk mendapat keadilan di negara ini. Umno sedar bahawa tungkat sakti mereka sudah patah (iaitu pengundi bukan Islam), kerana selama ini Umno hanya boleh bernafas dengan bantuan oksigen daripada balang oksigen pengundi bukan Islam. Sekarang talian hayat itu sudah berpindah kepada PAS dan pakatan Rakyat.


Sebenarnya pengundi-pengundi Melayu di negara ini, terutama generasi muda mereka menyebelahi PAS. Inilah yang menjadi kebimbangan Umno. Kalau undi Melayu sudah kepada PAS dan dicampur dengan undi bukan Islam maka sudah tentu ia akan memberi kesan politik yang parah kepada Umno , bukan kepada orang melayu. Sifir mudahnya ialah kalau Umno kalah yang menggantikan Umno ialah PAS.


PAS menyedari bahawa Umno sedang manipulasi isu Melayu dan Islam, kononnya kalau Umno kalah Melayu dan Islam akan hancur. Sedangkan apa yang berlaku kemusnahan kepada Melayu dan Islam adalah angkara Umno. Umno tidak boleh tutup bangkai gajah dengan tudung saji yang kecil, kerana yang menjahanamkan Melayu dan Islam ialah angkara Umno, bukannya perbuatan PAS.

 

PAS bersama dengan Pakatan Rakyat sedang mengukuhkan lagi agenda perjuangan rakyat di negara ini sebagai sebuah parti untuk menjadi kerajaan menunggu . Satu Konvesnsyen Pakatan Rakyat akan diadalah di Shah Alam Selangor pada 13hb Disember 2009.

Kenyataan Media: Apakah jaminan keselamatan kepada Adun PR pada sidang 20 Okt

Berhubung dengan sidang DUN Perak yang akan diadakan esok dan kami adun PR akan hadir dengan surat panggilan dari Speaker yang sah V. Sivakumar, maka dengan munculnya berbagai berita sdan spekulasi yang mendorong saya untuk mengeluarkan beberapa kenyataan seperti yang di sebutkan kelmarin dihadapan rakan media dalam sidang media di Pejabat PAS Ipoh . 
 
Kenyataan saya dalam perkara berkaitan ialah : 
 
1. Apakah jaminan yang boleh diberikan oleh pasukan keselamatan/polis terhadap ADUN-ADUN Pakatan Rakyat dalam sidang DUN esok. Saya memberikan tempoh sehingga hari ini kepada pihak polis supaya menjamin keselamatan semua ADUN Pakatan Rakyat dan akan melakukan laporan polis sekiranya difikirkan perlu. 
 
2. Saya mempersoalkan kewajaran maklumat yang mengatakan seramai 30 orang lebih bentara ditugaskan untuk bertugas pada esok hari. Berdasarkan pengalaman saya sejak memegang jawatan ADUN Perak, tidak lebih 10 orang sahaja bentara yang bertugas. Saya juga mempersoalkan kenapakah bentara yang sedia ada dari Bahagian Majlis telah ditukar dengan individu lain yang menimbulkan pertanyaan. Apa lagi sekiranya benar mereka adalah samseng-samseng seperti yang kami dedahkan sebelum ini, kami mempersoalkan kewajaran dan kelayakan kelompok tersebut dilantik untuk menjaga dewan yang mulia. 
 
3. Saya mempersoal dan membantah tindakan mewartakan 500 meter di sekitar SUK sebagai kawasan larangan bagi orang awam dan ini adalah tindakan yang mencabul hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan perkara 10.(1)(b). semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata. 
 
Tidakkah rakyat sentiasa digalakkan untuk hadir ke DUN atau parlimen untuk menyaksikan sendiri sidang yang berlangsung sebagai pemerhati, kenapakah hasrat rakyat ini dihalang malah dilarang. Apalagi sidang bajet yang saya fikirkan tersangat penting. 
 
Sekia, terim kasih. 
 
DRS. KHALIL IDHAM LIM 
Pengerusi PRBBC Perak.

Monday, October 26, 2009

Boustead Holdings mungkin saman Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Boustead Holdings Berhad kemungkinan besar akan menyaman Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana keengganan mereka untuk membenarkan projek pembinaan bangunan hotel 12 tingkat di kawasan yang diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia di negeri ini diteruskan.
 
Boustead bercadang untuk meneruskan projek pembinaan hotel tersebut yang akan mengandungi 300 bilik itu setelah mendapat kelulusan pelan pembangunan dairpada Majlis Perbandaran Pulau Pinang ketika ianya diterajui oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.
 
Namun begitu Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Lim Guan Eng telah mengeluarkan garis panduan yang membenarkan pembinaan bangunan tidak melebihi lima tingkat dalam kawasan tapak warisan dunia di Georgetown.
 
Menurut Lim garis panduan yang dikeluarkan itu adalah bertujuan bagi mengelak status tapak warisan dunia itu ditarik balik oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu(Unesco).
 
"Kita akan cuba untuk mencari jalan yang terbaik melalui rundingan bagi menyelesaikan masalah ini.Namun begitu tiga pemaju daripada empat yang terlibat dengan projek pembinaan hotel dalam tapak warisan dunia ini telah berjaya diselesaikan melalui rundingan  kecuali Boustead Holdings Berhad sahaja.
 
"Walaupun Kerajaan Negeri komited bagi memastikan kawasan tapak warisan dunia ini berada dalam keadaan yang menurut garis panduan yang ditetapkan, kita tidak akan mengambil tindakan yang boleh menimbulkan masalah kepada pihak lain, ini termasuklah dibawa ke mahkamah yang akan merumitkan lagi keadaan."
 
Lim berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang menyebut Boustead Holdings Berhad akan menyaman Kerajaan Negeri sekiranya enggan membenarkan bangunan hotel tersebut dibina mengikut ketinggian asal setinggi 12 tingkat.

Mesyuarat Khas Rabu ini bincang Isu EGM


Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat Rabu ini akan membincangkan cadangan yang di minta oleh Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat agar diadakan satu mesyuarat agung luar biasa..


Setiausaha Agong Pas, Datuk Musyafa Ali berkata demikian dalam sidang medianya yang diadakan di Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini.

 

Mesyuarat ini akan dihadiri oleh  ahli jawatankuasa dan semua pesuruhjaya PAS negeri. 


Surat jemputan untuk mesyuarat ini akan segera dikeluarkan dan akan dihantar kepada semua AJK Pas Pusat dan Pesuruhjaya negeri.


Menurut Mustafa beliau telah mendapat arahan dari  Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar memanggil mesyuarat khas itu.


"Jadi apa-apa yang berkait kita akan bincang dalam mesyuarat pusat nanti," katanya.


Nik Aziz akan hadir sebagai Pesuruhjaya Kelantan dan jemputan khas bagi membolehkan beliau memberi penjelasan kepada ahli mesyuarat berhubung cadangan beliau dalam blognya agar diadakan satu muktamar agung khas.


Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang  telah mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz di Kota Bharu memberitahu,  mesyuarat agung luar biasa tidak akan diadakan kerana Nik Aziz sendiri mencadangkan ia digantikan dengan mesyuarat khas.


Menjawab soalan pemberita mengenai cadangan mengadakan muktamar khas, beliau berkata mengikut perlembagaan PAS, mesyuarat agung luar biasa hanya boleh diadakan mengikut tiga cara.


Ia boleh dilakukan apabila ada arahan daripada presiden parti, ada permintaan bersurat satu pertiga daripada ahli jawatankuasa pusat, atau permintaan bertulis satu pertiga daripada PAS kawasan-kawasan.


Dalam sidang media yang sama Mustafa turut menafikan masalah komunikasi antara Nik Aziz dan Abdul Hadi atau dengan AJK PAS Pusat.


Mengulas kerjasama antara PAS dengan Umno, Mustafa menjelaskan ia "sudah ditutup sebagaimana yang telah diputuskan di dalam muktamar yang lalu.


"Kerjasama politik (dengan Umno), kita sudah tutup buku kerana keputusan muktamar. Tetapi perbincangan antara kerajaan dengan kerajaan dalam konteks federelisme sebagai contoh isu royalti tidak jadi masalah," ujarnya lagi.


Mustafa juga yakin isu yang akan dibincangkan dalam mesyuarat ini akan dapat mencari penyelesaian yang baik.


Mustafa juga enggan mengulas sama ada kemungkinan artikel di blog Nik Aziz itu disediakan oleh pihak ketiga.

Thursday, October 22, 2009

Kenyataan MediaDPPN Pk: Buat laporan polis Ganesan tiada kuasa

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) cukup hairan dengan kenyataan Datuk G. Ganesan yang mendakwa beliau adalah ‘Speaker’ Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang sah dengan tidak memahami Perintah-Perintah Tetap DUN Perak itu sendiri tentang pemegang jawatan Speaker malah cuba membohongi rakyat Perak khasnya.

DPPN Pk meminta supaya Ganesan seorang yang dipertanggungjawabkan mencemar dan merosakkan imej DUN Perak mesti diambil tindakan segera oleh Polis kerana Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak yang dipengerusikan oleh V. Sivakumar telah menjatuhkan hukuman terhadap beliau. Dan Polis adalah bertanggungjawab melaksanakan keputusan tersebut apabila telah diterima oleh sidang DUN.

DPPN Pk kesal jika Polis hanya menerima laporan daripada Ganesan yang bukan melalui keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak terus mengambil tindakan adalah amat malang bagi DUN Perak jika perkara ini berlaku. Malah tindakan tersebut bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Tetap DUN Perak dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak itu sendiri.

Persoalan yang rakyat perlu tahu, bagi seorang Speaker yang akan mempengerusikan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak boleh memanggil mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didapati melanggar peraturan-peraturan berkaitan DUN akan dihadapkan ke jawatankuasa ini. Apa yang menghairankan kita kenapa Ganesan hanya membuat laporan Polis sebanyak 3 kali semata-mata. Kenapa beliau yang mendakwa sebagai seorang ‘Speaker’ yang sah tidak mengambil tindakan mengikut peruntukan yang ada.

Oleh yang demikian, DPPN Pk yang masih menunggu perkenan untuk mengadap Paduka Seri Sultan Perak akan juga memperjelaskan isu Speaker ini dan meminta supaya rakyat menilai sendiri kejadian yang telah berlaku semasa sidang DUN Perak pada 7 Mei yang lalu.


DR. RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Wednesday, October 21, 2009

Beng Hock: Selangor gesa tubuhkan Suruhanjaya Diraja


SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor mendesak sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

Desakan itu ekoran pendedahan yang dibuat oleh ahli patologi dari Thailand, Dr Pornthip di inkues mendiang Teoh Beng Hock Rabu lalu yang merupakan perkembangan terbaru kes tersebut.

Dr Pornthip telah membuat kesimpulan bahawa 80 peratus kemungkinan kematian Teoh adalah dibunuh. 

Dalam keterangannya Dr Pornthip  memberitahu, tengkorak kepala Teoh Beng Hock pecah bukan kerana jatuh tetapi kerana pukulan kuat manakala tanda bulatan merah pada tengkuknya pula bagi beliau adalah akibat dari dicekik dengan menggunakan tangan dan ia adalah kesan jari pada tengkuk mangsa.

SPRM diminta siasat kenderaan kerajaan kerap isi minyak

Oleh KHAIRIL ABDUL RAHIM

TEMERLOH: Pemuda PAS Pahang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penyelewengan yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun kewangan 2008.

Naib Ketuanya, Abdullah Abdul Karim berkata, laporan yang dibuat di pejabat SPRM Cawangan Temerloh pada 21 Oktober itu bertujuan meminta pihak SPRM menyiasat jika wujud penyelewengan kerana ia melibatkan kewangan kerajaan.

Laporan audit baru-baru ini melaporkan sebuah kereta milik kerajaan negeri Pahang dalam perbezaan satu minit saja, direkodkan mengisi minyak bernilai lebih RM100 sebanyak dua kali di sebuah stesen minyak yang sama di negeri itu.

Ini adalah penyalahgunaan kad inden bagi perolehan bahan api untuk kenderaan kerajaan yang didedahkan dan diedarkan di parlimen sehari sebelum itu mengenai aktiviti jabatan, agensi dan pengurusan syarikat kerajaan negeri Pahang 2008.

Laporan itu berkata semakan audit terhadap Laporan Butiran Belian Bahan Api yang dikeluarkan oleh pihak pembekal pada tahun lepas mendapati sebanyak 24 kes pengisian bahan api dalam tempoh kurang dari lima minit melibatkan lima buah kenderaan pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang.

Kereta-kereta terbabit dikenalpasti sebagai Proton Perdana bernombor pendaftaran CBD88 yang telah membuat sebanyak 18 kes pengisian bahan api dalam tempoh masa yang singkat dengan jumlah kos sebanyak RM4,177.

Laporan itu menyebut pada 14 Dis lepas, kereta tersebut telah mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Raub, Pahang pada pukul 12.14 tengah hari sebanyak 59.47 liter yang bernilai RM113 dan seminit kemudian pada 12.15 tengah hari kereta yang sama mengisi sebanyak 58.95 liter minyak yang bernilai RM112 di stesen yang sama.

'PAS Untuk Semua' berjaya tarik golongan terpelajar, bukan Islam

Kejayaan polisi "PAS Untuk Semua" bukan sahaja melalui ucapan tetapi kenyataan, di antaranya berjaya menarik golongan terpelajar yang majoriti mereka menyokong dan bersama dengan PAS. 

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ini dapat dilihat daripada pengaruh PAS di bandar dan pinggir bandar, iaitu kawasan yang mempunyai kemudahan untuk mendapatkan maklumat terkini melalui internet dan maklumat alternatif. 

Tambahnya, yang kedua ialah PAS telah berjaya memecahkan tembok dengan golongan bukan Islam. 

"Kita bukan sahaja sampai ke tahap kerjasama dengan parti dan NGO bukan Islam, dalam masa yang sama kita telah berjaya menubuhkan Kelab Penyokong PAS yang disertai oleh orang-orang bukan Islam," ujarnya kepada media di Markas Tarbiah PAS Kubang Lembik, Manir, Hulu Terengganu, baru-baru ini. 

Beliau yang juga Penasihat PAS Terengganu berkata, mereka telah menyatakan sokongan kepada PAS dan membuktikan kesungguhan dalam kerja-kerja pilihan raya. 

Mengenai kelab itu menjadi sayap PAS, beliau berkata: ìSayap tak sayap begitulah. Sayap kita banyak dan (kelab penyokong) salah satu daripadanyaî. 

Ini, katanya untuk melonjakkan PAS setelah mencapai kejayaan tersebut. 
Tambahnya, mereka bukan sahaja memberikan sokongan kepada PAS tetapi mahu melibatkan diri secara langsung dengan parti. 

Mengenai kemungkinan ada calon PAS dari kalangan mereka dalam pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan. 

"Kita tidak gopoh dalam perkara ini... tengok kepada keperluan," ujarnya. 
Ini, jelasnya kerana PAS masih lagi bersama dalam Pakatan Rakyat yang juga sudah mempunyai calon-calon daripada kalangan bukan Islam. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...