Oleh HARIS ZALKAPLI
Pada 1997, semasa Rusia di bawah pemerintahan Presiden Boris
Yeltsin, satu perjanjian penting dicapai dengan Ukraine pimpinan
Presiden Leonid Kuchma, jirannya di sebelah barat yang menempatkan
semenanjung Crimea dan pelabuhan tentera laut Sevastopol.
Hasil persetujuan yang tercapai setelah pertikaian selama lima tahun
itu, Rusia membayar satu jumlah pampasan kepada Ukraine, dan tentera
laut Rusia, Armada Laut Hitam dibenarkan berada di Sevastopol untuk
tempoh 20 tahun lagi, sehingga 2017. Moscow juga, sebagai ganjaran
kepada tindakan Kiev itu telah melupuskan hutang pembelian tenaga oleh
Ukraine.
Perjanjian itu menjelaskan dua isu penting dalam perkembangan
terkini hubungan Rusia-Ukraine, iaitu semenanjung Crimea dan pangkalan
tentera laut Sevastopol dan pergantungan Ukraine pada sumber gas dan
minyak Rusia. Kedua-dua perkara, status Crimea dan bekalan tenaga
terutama gas Rusia kepada Ukraine menjadi senjata penting masing-masing
dalam diplomasi antara dua negara terbabit.
Hal ini menjelaskan implikasi besar perjanjian diskaun gas dan
pelanjutan kedudukan tentera laut Rusia di pangkalan Sevastopol di
semenanjung Crimea. Perjanjian yang dicapai pada 21 April, 2010 dan
disahkan kedua-dua parlimen Rusia dan Ukraine pada 27 April memberikan
gas Rusia kepada Ukraine pada harga yang lebih rendah, dan membenarkan
Rusia berada di Sevastopol hingga 25 tahun lagi selepas 2017, iaitu
hingga 2042.
Perjanjian itu menetapkan harga gas Rusia yang dijual kepada Ukraine
dikurangkan daripada AS$330 per 1,000 meter padu kepada AS$230 bermula
separuh kedua tahun 2010. Diskaun ini dikira terhadap 30 bilion meter
padu gas yang akan diimport oleh Ukraine pada 2010 dan 40 bilion meter
padu lagi untuk tempoh 2011 hingga 2019.
Perjanjian ini akan memberi kesan positif kepada ekonomi Ukraine
dalam tempoh perjanjian tersebut, kerana mengurangkan beban terhadap
industri yang memakan banyak tenaga dan meringankan beban rakyat dan
kerajaan terhadap harga tenaga yang semakin tinggi selepas Rusia mula
menaikkan harga tenaga.
Rusia pula, menurut Putin, terpaksa menanggung jumlah AS$40 bilion
dalam bentuk bantuan kepada Ukraine hasil perjanjian itu. Dalam hal ini,
beban cukai Ukraine dipindahkan kepada Rusia, dalam usaha Rusia untuk
mencapai perjanjian yang membenarkannya terus berada di Sevastopol untuk
satu tempoh yang lebih lama.
Semenanjung Crimea mempunyai satu kedudukan yang istimewa bagi
Rusia, antaranya disebabkan kedudukan strategiknya di Laut Hitam. Armada
Laut Hitam Rusia yang mempunyai sekitar 300 buah kapal - menurut
anggaran paling konservatif - mendominasi Laut Hitam, tetapi kedudukan
Rusia terjejas ekoran kejatuhan Kesatuan Soviet apabila Ukraine merdeka
dan Armada Laut Hitam berada di wilayah negara asing.
Semenanjung Crimea ialah sebuah wilayah Rusia sehingga Nikita
Krushchev pada 1954 menyerahkan wilayah itu kepada republik Ukraine.
Walau bagaimanapun, pemindahan itu terbukti memberi kesan buruk kepada
Rusia setelah runtuhnya Kesatuan Soviet apabila semenanjung Crimea
menjadi sebahagian negara Ukraine yang merdeka.
Selepas keruntuhan Kesatuan Soviet, keadaan menjadi lebih buruk
dengan berlakunya perluasan keahlian Pertubuhan Perjanjian Atlantik
Utara (Nato) dan perubahan kiblat politik negara-negara bekas Soviet
termasuk Ukraine kepada Amerika Syarikat dan Eropah. Sehingga kini,
seperti yang disaksikan melalui perjanjian Presiden Rusia Dmitri
Medvedev dengan Presiden Ukraine Viktor Yanukovych pada 2010 itu, kiblat
politik rejim pemerintah Ukraine sangat penting dalam usaha Rusia
mengekalkan kedudukannya di Sevastopol.
Sentimen nasionalis di kedua-dua Rusia dan Ukraine terus berjaya
menjadikan posisi istimewa semenanjung Crimea sebagai alat permainan
kuasa masing-masing. Pemimpin-pemimpin Ukraine termasuk bekas Presiden
Viktor Yushchenko (menamatkan tempoh presiden pada Februari 2010)
menggunakan sentimen anti-Rusia melibatkan isu Crimea dalam kempen
pilihan rayanya yang lalu.
Walau bagaimanapun, kekuatan rakyat yang condong ke Barat dan
pro-Rusia agak seimbang di Ukraine, menjadikan eksploitasi sentimen
berhubung Crimea terbatas. Bagi kumpulan ini, hal ini diburukkan lagi
apabila kem pro-Rusia Yanukovych menang dalam pilihan raya presiden awal
tahun 2010.
Yushchenko ketika menjadi presiden bertindak cuba mengekang
kebebasan tentera laut Rusia di Laut Hitam, dengan mengenakan pelbagai
peraturan yang hakikatnya tidak dihiraukan oleh Rusia. Semasa perang
Rusia dengan Georgia pada Ogos 2008, Yushchenko mengeluarkan dikri
menetapkan pergerakan tentera laut Rusia keluar dan masuk Sevastopol
perlu mendapat kebenaran kerajaan Ukraine.
Ukraine juga menggunakan Crimea sebagai senjata diplomasi dalam
hubungannya dengan Rusia. Ekoran perang Ogos 2008 itu, Ukraine menerima
lawatan kapal tentera laut AS yang menunjukkan gambaran peranan
keselamatannya di Laut Hitam.
Selain Georgia, Ukraine turut menjalin kerjasama ketenteraan dengan
AS dalam usaha meningkatan kemampuan tentera lautnya di Laut Hitam,
dalam usaha mengimbangi dominasi Armada Laut Hitam Rusia. Pada masa
sama, Rusia juga sedang meningkatkan kemampuan Armada Laut Hitam dengan
pembelian kapal baharu yang lebih canggih dari Perancis.
Rusia juga dipengaruhi sentimen nasionalis yang sama dalam
menguruskan isu Crimea. Dalam sejarah panjang Rusia, Kiev, ibu negara
Ukraine tercatat sebagai pusat tamadun pertama yang membentuk Rusia
seperti yang dikenali hari ini. Sentimen nasionalis Rusia juga melihat
Ukraine sebagai sebahagian keluarga rumpun bangsa Slav yang sepatutnya
berada dalam Rusia.
Sentimen pan-Slavisme ini terus kukuh dalam politik Rusia hingga
kini, walaupun realiti geopolitik masa kini menghadkan pelaksanaannya.
Pada 1992, dalam satu perkembangan dramatik sepanjang sejarah
pertikaian, penggubal undang-undang Rusia membuat resolusi menyatakan
pemindahan kedaulatan Crimea pada 1954 itu tidak berdasarkan
undang-undang.
Walau bagaimanapun, haluan pro-Barat di bawah Yeltsin tidak
membenarkan agenda nasionalistik itu diteruskan. Yeltsin bersikap
berhati-hati dalam hal melibatkan hubungan yang berkaitan dengan Barat.
Agenda nasionalistik ini kemudian diteruskan oleh kelompok nasionalis di
bawah kepimpinan Vladimir Putin dan Medvedev selepas itu yang memegang
jawatan presiden sebelum Putin kembali, kepimpinan yang memilih haluan
membina kembali Rusia sebagai satu kuasa dunia.
Moscow turut menggunakan taktik yang sama digunakan dalam menangani
pengaruh Georgia di Ossetia Selatan, dengan memberikan pasport Rusia
kepada penduduk Crimea yang majoriti besarnya berbangsa Rusia dan
bercakap dalam bahasa Rusia. Banci pada 1989 menunjukkan lebih
67 peratus rakyat Crimea berbangsa Rusia, manakala yang berbangsa
Ukraine, separuh daripada mereka bertutur dalam bahasa Rusia sebagai
bahasa pertama.
Realiti budaya ini memudahkan usaha Moskow untuk mengukuhkan
pengaruhnya di Crimea, dan juga di sebelah timur Ukraine yang sebahagian
besar berbahasa Rusia. Dalam perang dengan Georgia, Rusia menggunakan
alasan mempertahankan rakyatnya di Ossetia Selatan ketika menggerakkan
tentera untuk memerangi Georgia.
Usaha ini masih dijalankan di Crimea, digandingkan dengan penyebaran
sentimen pro-Rusia dan menyokong kumpulan politik yang menuntut
pemisahan Crimea daripada Ukraine. Perbezaan bahasa dan budaya di
wilayah itu memberikan gambaran perbezaan yang besar dan merit kepada
tuntutan itu.
Berdasarkan realiti Laut Hitam yang tertakluk di bawah Konvensyen
Montreux, Rusia masih lagi kuasa dominan perairan itu. Konvensyen
Montreux menghadkan kehadiran kapal wilayah asing di Laut Hitam.
Konvensyen
ini juga memberikan kuasa ke atas Selat Bosporus kepada Turki,
menjadikan Turki berkepentingan untuk mematuhi peraturan ini, dan
membenarkan Rusia mendominasi Laut Hitam. Turki sebagai salah sebuah
negara serantau yang terlibat di Laut Hitam berkepentingan untuk
memastikan Laut Hitam tidak menjadi medan aktiviti negara lain yang
bukan daripada wilayah itu.
Walaupun kedua-dua pihak mempunyai senjata masing-masing, realiti
berhubung bekalan gas yang rangkaian pengangkutan melalui paip masih
dimiliki syarikat Rusia, Gazprom, menjadikan Rusia lebih mudah
menggunakan senjatanya, dan dengan lebih berkesan.
Pada Januari 2006, Rusia menghentikan bekalan gas kepada Ukraine
ekoran pertikaian harga. Rusia meningkatkan harga kepada Ukraine
daripada AS$50 kepada AS$180 setiap 1,000 meter padu, tindakan yang
ditentang Ukraine. Bekalan kemudian disambung semula selepas Ukraine
tunduk kepada tekanan Rusia.
Senjata sumber tenaga ini berkesan kepada Moskow bukan hanya untuk
mengubah sikap Kiev, tetapi juga mendedahkan penyelewengan yang didakwa
dilakukan Ukraine, menjadikan Ukraine kurang dipercayai negara-negara
Eropah yang menerima bekalan gas Rusia. Rusia walau bagaimanapun turut
menerima kesan apabila kebolehpercayaannya sebagai pembekal terjejas
ekoran tindakan memotong bekalan kepada Ukraine yang merupakan laluan
utama pengangkutan gas ke Eropah.
Moscow juga meneruskan usaha menggunakan bekalan tenaganya sebagai
senjata dalam menghadapi Ukraine. Putin, selepas persetujuan Medvedev
dengan Yanukovych berhubung diskaun gas dan Sevastopol, mencadangkan
penggabungan syarikat gas Ukraine, Naftogas Ukrainy dengan monopoli gas
Rusia, Gazprom, dan juga industri nuklear kedua-dua negara.
Perjanjian diskaun gas dan lanjutan tempoh menduduki pangkalan
Sevastopol masih boleh berubah bergantung kepada rejim yang memerintah
dan bentuk kerjasama kedua-dua negara. Isu bekalan gas akan terus
menjadi isu besar dalam hubungan kedua-dua negara, antaranya ekoran
kedudukan penting Ukraine di laluan eksport ke Eropah.
Tetapi pada masa sama, Ukraine akan terus terpaksa berdepan
percaturan politik Moskow disebabkan kedudukan istimewa Ukraine dalam
sejarah panjang Rusia dan perkembangan geopolitik hari ini.
Sejarah
telah menetapkan Ukraine akan sentiasa penting dalam percaturan
geopolitik Rusia. Rusia tidak mahu negara jirannya di barat itu
menyertai orbit politik Barat dan menjadi ancaman kepada Rusia.
Pangkalan tentera laut Rusia di Sevastopol hanyalah sebahagian
daripada agenda melibatkan laut Hitam, semenanjung Crimea dan lebih
besar lagi, Ukraine.
Perkembangan terkini melibatkan Rusia
dan Ukraine, ekoran tindakan menjatuhkan Yanukovych oleh protes yang
disokong Barat, mengundang tindakan lebih keras Rusia di bawah Putin
yang kelihatan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, dan membuka
pelbagai kemungkinan di Ukraine dan seluruh rantau bekas Soviet. - Mei 4, 2010/Mac 2014
No comments:
Post a Comment