Friday, September 23, 2011

Isu hudud, mampukah PAS tarik sokongan Melayu?

Isu hudud kembali menjadi berita utama dalam media, ekoran sorotan kembali ke atas isu ini melibatkan PAS, sekutu dalam Pakatan Rakyat dan parti pemerintah Umno.

Menteri besar kerajaan PAS di Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat muncul dengan tegas menyatakan pendirian mahukan undang-undang Islam itu dijalankan, sehingga mencetuskan respons keras daripada pemimpin-pemimpin DAP, Karpal Singh dan Lim Kit Siang.

Debat isu hudud ini terus dilihat sebagai satu strategi politik menjelang pilihan raya umum, sesuatu yang tidak dapat dielakkan ekoran masa ini ini timbul.

Umno melihat kenyataan pemimpin PAS mengulas isu hudud kali ini sebagai untuk menarik penyokong tradisional dan undi Melayu, manakala PAS melihatnya sebagai strategi Umno untuk mendorong parti-parti PR bertelagah.

Hudud, dan penubuhan "negara Islam" oleh PAS merupakan isu kontroversi berkaitan pelaksanaan pentadbiran dan perundangan bersumber Islam yang menjadi agenda besar parti Islam itu, dan telah menjadi faktor mendorong DAP meninggal dua pakatan pembangkang sebelum ini.

DAP meninggalkan pakatannya dengan Semangat 46 pada hujung 1980-an selepas mengaitkan hubungan parti Melayu itu dalam satu lagi pakatan lain dengan PAS yang didakwa menjejaskan undinya.

DAP walau bagaimanapun kemudian menyertai Barisan Alternatif yang menggabungkannya bersama PAS, tetapi turut meninggalkan pakatan itu selepas bertembung dengan PAS dalam isu negara Islam.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-12, DAP sekali lagi bersama PAS dalam satu lagi gabungan terbaharu pembangkang, walaupun PAS sama sekali tidak menunjukkan sebarang perubahan dalam pendirian berhubung pentadbiran dan perundanga Islamnya.

PAS walau bagaimanapun menjelang pilihan raya umum 2008 telah mengetengahkan agenda negara berkebajikan, yang dikemukakan sebagai satu pendekatan bersumber Islam tanpa menyebut negara Islam.

Isu kontroversi berkaitan ideologi melibatkan PAS dengan DAP kelihatan semakin boleh dikawal selepas tertubuhnya gabungan PR.

Malah, semasa konvensyen kedua PR di Pulau Pinang, Karpal Singh sendiri menunjukkan kesediaan berkompromi dalam isu negara Islam, menampakkan kesediaan PR menumpukan pada persetujuan bersama dan tidak menjadikan ideologi parti-parti komponen sebagai isu yang boleh menjejaskan kerjasama.

Nik Abdul Aziz sendiri menunjukkan penerimaan positif kenyataan Karpal, disusuli dengan pelbagai pujian pemimpin-pemimpin PAS lain, yang ada antaranya kelihatan agak berlebihan.

Selepas konvensyen berprofil tinggi itu, isu ideologi dilihat sudah tidak lagi akan menjadi isu dalam PR, seperti yang disaksikan di media hari ini.

Tetapi, dalam debat di media hari ini, Nik Abdul Aziz dengan terbuka menyelar kenyataan pemimpin DAP dan tidak kisah sekiranya DAP ingin keluar daripada PR.

Apapun di sebalik timbulnya isu hudud ini di media, PAS mampu memanfaatkannya untuk membina kembali imejnya yang terjejas akibat dilihat sesetengah pihak sebagai tunduk kepada DAP.

Kesan ini amat jelas untuk dibaca, disebabkan suasana menjelang pilihan raya kini. Oleh kerana itu, PAS juga tidak dapat mengelak daripada dilihat sebagai mengambil pendirian tegas itu sebagai satu pendirian untuk mendapat manfaat politik (political posturing).

DAP, malah MCA turut cuba mengambil manfaat daripada isu hudud dengan mengambil posisi keras menentangnya.

DAP walau bagaimanapun dijangka tidak mengambil sebarang tindakan drastik, ekoran manfaat yang lebih banyak diperolehi daripada kerjasama dengan PR sejak selepas pilihan raya 2008, tidak seperti dalam dua pakatan sebelum ini.

Hudud, isu yang dekat dengan penyokong tradisi PAS mampu untuk menarik kembali minat penyokongnya, serta undi Melayu Muslim yang memberi perhatian pada perjuangan Islam PAS yang hudud menjadi salah satu isu utamanya.

Kenyataan pemimpin PAS dalam isu ini, yang mendapat respons positif pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut boleh menjejaskan Umno, yang tidak dapat dielakkan daripada dilihat sebagai penghalang agenda melaksanakan hudud oleh kerajaan PAS Kelantan.

Umno di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri (dan Anwar sebagai timbalan perdana menteri) menolak usaha PAS melaksanakan hudud di Kelantan.

Pendirian Umno ini tidak berubah hingga ke hari ini, seperti dilihat melalui kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menegaskan Malaysia belum bersedia melaksanakan hudud walaupun pada masa sama menegaskan menyokong undang-undang ini dari segi prinsip.

5 comments:

Dahan Jati said...

Orang melayu sokong pas kerana sokong penubuhan negara islam yang dikata wajib dilaksanakan walau apa cara sekalipun. Begitulah yg diceramahkan oleh PAS. Kalau sekarang ini, PAS kata penubuhan negara islam bukan lagi satu keutamaan tp negara kebajikan apabila masuk dlm pakatan bersama DAP maka sekarang orang melayu nampak PAS dan UMNO jadi sama saja. Oleh itu, kalau dulu org. Melayu anggap sokong PAS wajib sebab nak tubuh negara islam tapi sekarang tak wajib lagi, baik sokong umno pulak sebab umno dah lama buat kebajikan.

Anonymous said...

UMNO pun kena tunjukkan juga bahawa mereka juga sokong hudud cuma keadaan yang belum sesuai macam alasan yang sama mereka berikan bila masuk pakatan.

Anonymous said...

Adakah ini sekali lagi lakonan pas untuk menarik kembali sokongan orang melayu. Bukankah dlm muktamar pas dulu dah diputuskan penubuhan negara islam bukan lagi satu matlamat, tetapi negara berkebajikan? Pas pun tahu tanpa matlamat negara islam, parti pas tak lebih darpada umno pd. Pandangan orang melayu.

Anonymous said...

Assalamualaikum..
Islam jika sokong hudud.
Munafik jika tolak hudud.
Tolak hudud = tolak hukum Allah.
Pikir2 kan lah saudara Islamku..

Anonymous said...

BUKAN TOLAK CUMA PAS PERLU BENTANGKAN PERLAKSANAAN NYA KEPADA SEMUA SUPAYA DAPAT DITERIMA OLEH SMUA...BUKAN BERSIKAP POPULARIS DAN MENYALAHKAN KERAJAAN N UMNO PULAK

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...