Showing posts with label MCA. Show all posts
Showing posts with label MCA. Show all posts

Tuesday, July 1, 2014

Selepas rombakan kabinet, tiada lagi tsunami Cina?

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak telah menambah anggota kabinetnya minggu lalu, melantik wakil-wakil MCA dan Gerakan.

Parti-parti Cina itu kembali ke kabinet melalui pelantikan itu, selepas "tsunami Cina" pada Pilihan Raya Umum ke-13 menyaksikan MCA, parti Cina terbesar dalam Barisan Nasional tewas teruk.

Kemasukan kembali wakil-wakil Cina ke kabinet menyusuli kemenangan wakil Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan bulan lepas.

Teluk Intan menjadi petanda jelas peralihan undi etnik Cina, apabila wakil DAP tewas kepada calon BN, yang dijanjikan jawatan dalam kabinet Najib sekiranya menang.

MCA telah agak lama menunjukkan kesediaan untuk kembali ke kabinet, satu perubahan pendirian yang menunjukkan penilaian semula oleh parti itu selepas tsunami Cina tidak menghasilkan perubahan pemerintahan di peringkat persekutuan.

MCA menunjukkan yang parti itu melihat ketiadaan mereka dalam kabinet merugikan, dan juga memberi gambaran parti Cina itu bersedia berperanan semula dalam pemerintahan BN.

Penilaian semula ini menunjukkan sikap pragmatik parti MCA dan juga komuniti Cina yang diwakili mereka, yang bertindak berdasarkan keperluan semasa.

Di pihak Najib, penambahan anggota kabinet Cina ini menunjukkan yang beliau masih berusaha memenangi undi Cina melalui MCA dan Gerakan, dan mampu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan Umno sendiri.

MCA dilihat oleh sesetengah pihak dalam Umno sebagai menjadi penyumbang besar kepada kemerosotan undi yang besar dalam pilihan raya umum lalu.

Malah ada yang menilai MCA tidak menunjukkan usaha yang cukup dalam mempertahankan BN dan melawan kempen lawan terutama DAP.

Najib yang mengambil pendekatan liberal sejak menjawat jawatan perdana menteri menunjukkan yang beliau masih tidak berputus asa dalam usaha memenangi undi Cina, menunjukkan beliau telah memulakan usaha menghadapi pilihan raya akan datang.

Hal ini dilihat sesuatu yang rasional sekiranya didasarkan pada hasil pengundian di Teluk Intan, dan berdasarkan penilaian pencapaian DAP dan Pakatan Rakyat melibatkan undi Cina telah mencapai jumlah maksimum dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Satu perkembangan semasa menunjukkan sesuatu yang dapat menjelaskan peranan MCA dalam membantu BN dan menjejaskan DAP, iaitu melibatkan permainan isu militan dalam media.

Akhbar dikuasai MCA, Star melapor dan menyorot isu militan di Syria dan Iraq secara berterusan, yang antara kesannya yang boleh dijangka ialah kesan negatif terhadap PAS dan juga sekutunya.

Hal yang hampir sama berlaku ekoran peristiwa serangan pada 11 September, 2001 di Amerika Syarikat, apabila kumpulan-kumpulan Islam termasuk PAS dipalitkan dengan imej sangat negatif, hingga memberi kesan kepada hubungannya dengan parti rakan.

Permainan dalam media MCA ini menunjukkan satu agenda yang besar melibatkan peranannya dalam BN, dan menandakan satu perkembangan baharu dalam politik BN-PR. - Jun 27, 2014

Wednesday, February 26, 2014

Kajang antara pemulihan MCA dan kebimbangan Umno

Oleh JOHARI M

Barisan Nasional telah memutuskan untuk meletakkan Datin Paduka Chew Mei Fun, naib presiden MCA bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, bersaing dengan nama-nama besar seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Zaid Ibrahim, yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding.

Jelas sekali apa yang menjadi penilaian utama BN dalam meletakkan calon MCA ialah harapan merebut undi kaum Cina yang merupakan sekitar 40 peratus pengundi di kawasan itu.

Perkiraan ini sekali pandang nampak seperti strategi yang baik, tetapi apabila dilihat dengan lebih mendalam mendedahkan kaum Cina di Kajang kepada satu dilema dan implikasi yang negatif.

Calon Dun Kajang sebelum ini ialah wakil Cina daripada PKR, yang telah meletak jawatan dan memberi laluan kepada Anwar, pemimpin Pakatan Rakyat berbangsa Melayu.

Pengundi Cina Kajang dijangka memberi undi secara blok kepada Anwar, atas merit beliau sebagai pemimpin PR yang dilihat sebagai boleh memelihara kepentingan mereka tanpa mengira bangsa.

Calon daripada MCA dinilai mampu mencabar Anwar dan calon lain berdasarkan MCA yang telah agak pulih dan diharap mampu menarik kembali sokongan kaum Cina yang pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu meletak sepenuh harapan pada PR.

BN berharap perletakan jawatan wakil rakyat Kajang sebelum ini dan penyerahan kerusi itu kepada Anwar dilihat secara negatif oleh kaum Cina, dan akan membuat undi protes.

Sekiranya MCA menang, BN akan meraikan satu kejayaan yang mengejutkan dan menggembirakan, tetapi corak pengundian itu akan menunjukkan yang kaum Cina hanya mahu mengundi kaum mereka sendiri sahaja.

Hal yang sama juga sekiranya undi MCA meningkat dan majoriti kemenangan PR merosot berbanding PRU 13 yang lalu. Hakikat itu akan dapat dieksploit.


Perkiraan ini memberi gambaran tentang tanggapan BN terhadap pengundi Cina bukan sahaja di Kajang tetapi di seluruh negara, bahawa perkiraan kaum ialah yang paling penting.

Pilihan BN meletakkan calon daripada kaum Cina telah meletakkan pengundi Cina Kajang dalam persoalan yang boleh mencetuskan isu yang sukar kepada mereka.

Dalam persaingan di Kajang, Anwar nampaknya mempunyai kelebihan paling banyak, kerana sejak awal telah mengumumkan akan bertanding, tindakan yang menunjukkan kesungguhan dan tekad untuk mewakili rakyat Kajang.

Anwar turun bertemu orang ramai dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan berhubung masalah setempat dan nasional, menunjukkan kesungguhan beliau.

Kehadiran beliau di Kajang sejak awal juga memberi kelebihan kerana paling awal bertemu rakyat Kajang dan membina hubungan, pada masa BN lambat membuat keputusan dan pada satu ketika kelihatan ketiadaan calon yang mempunyai kualiti boleh menang hingga muncul cadangan meletakkan jaguh badminton nasional Lee Chong Wei.

Sebab BN tidak meletakkan calon Umno dijangka disebabkan perkiraan yang hampir sama, yakni kerana tidak yakin kaum Cina akan memberi sokongan kepada calon Umno.

Pengundi Melayu yang membentuk majoriti juga tidak diyakini dapat memberi undi kepada Umno, kerana sokongan kuat kepada PR yang telah menunjukkan kemampuan menggantikan BN sebagai kerajaan di Putrajaya.

Pada PRU 13, Umno dihukum kerana mengambil kerusi yang selama ini ditandingi oleh MCA. Umno nampaknya tidak mahu hal ini berulang di Kajang, dan mungkin melihat tidak ada calon Melayu Umno yang mampu berdepan dengan Anwar, terutama dalam merebut sokongan kaum Cina.

Pilihan raya kecil Kajang itu nanti akan menjadi satu referendum kepada sokongan kaum Cina kepada MCA dan BN, selepas hampir setahun PRU 13 berlalu. - Februari 21, 2014

Friday, May 17, 2013

Kabinet balas jasa dan kukuhkan sokongan

Kabinet yang baru disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak menampakkan pilihan yang semakin sukar dihadapi Umno yang memimpin Barisan Nasional.

Selepas pilihan raya umum yang secara praktikalnya telah menamatkan retorik 1 Malaysia, kepimpinan negara kini tertumpu pada Umno dan parti utama dari Malaysia Timur yang masih kekal kubu kuat BN.

Najib berdepan pilihan yang semakin sukar dan terhad, dan memilih apa yang ada dan diperlukan untuk mengukuhkan sokongan sedia ada dan yang masih ada selepas Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Umno menguasai kabinet kali ini, termasuk perumahan dan kerajaan tempatan, dan pada masa sama memangku Kementerian Pengangkutan yang kedua-duanya sebelum ini dipegang oleh MCA.

Najib juga membalas jasa dengan meletakkan beberapa pemimpin dalam kabinet kali ini, termasuk pemimpin Hindraf, Waytha Moorthy Ponnusamy di Jabatan Perdana Menteri dan Datuk Seri Idris Jusoh di Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi.

Pelantikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar - pemimpin pemuda Umno yang sebelum ini dinafikan tempatnya - ke Kementerian Belia dan Sukan juga satu tindakan membalas jasa, selain merapatkan barisan dan mengelak tindakan tawar-menawar Khairy yang boleh menjejaskan Najib.

Perkembangan ini menunjukkan Umno dan parti Melayu di Sarawak terus mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan tanpa komponen utama parti Cina, tetapi menunjukkan juga sokongan yang semakin kurang dan menyukarkan kerajaan BN mengendalikan pentadbiran negara.

Kabinet kali ini masih besar, dan beberapa pilihan kelihatan sangat mudah dipersoalkan seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Kementerian Pertahanan dan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Memasukkan muka-muka baharu mungkin lebih mudah bagi Najib, berbanding meletakkan muka lama di tempat yang sewajarnya, tempat yang termasuk juga bukan di dalam kabinet.

Kabinet Najib ini dibina dengan tujuan penting membalas jasa dan mengukuhkan sokongan dalaman, dan menyediakan pemimpin-pemimpin tertentu - seperti Hishammuddin - menghadapi pemilihan parti akan datang, tetapi belum pasti dapat membina sokongan tambahan yang diperlukan, dalam menghadapi penggal ini dan mengukuhkan BN menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Wednesday, April 17, 2013

PRU 13, peningkatan Umno dan kemerosotan MCA

Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak memasuki gelanggang Pilihan Raya Umum ke-13 untuk pertama kali sejak dilantik perdana menteri pada 2009, selepas Barisan Nasional menghadapi kemerosotan teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Selain penghakisan sokongan daripada pengundi, faktor sabotaj juga dilihat menjadi faktor utama, dan dinilai sebagai sebab penting kejatuhan Selangor kepada gabungan parti-parti yang kemudian membentuk Pakatan Rakyat.

Pemilihan calon kali ini telah mengambil kira faktor sabotaj daripada kalangan warlords dan ahli yang kecewa kerana tidak terpilih mewakili parti.

Pemimpin-pemimpin parti berulang kali menyuarakan amaran supaya tidak mensabotaj parti, dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri beberapa kali mengulangi amaran supaya tidak melakukan sabotaj demi memastikan BN menang.

Najib telah menunjukkan keberanian dalam memilih calon-calon untuk bertanding mewakili BN dalam pilihan raya kali ini, terutama dengan meletakkan ramai muka-muka baharu, satu usaha memulihkan semula keyakinan orang ramai terhadap BN dan tidak memanjangkan lagi tempoh pemimpin-pemimpin lama.

Melalui pemilihan calon-calon di Selangor, Najib menunjukkan kesungguhan untuk menawan semula negeri kaya itu, yang kehilangannya pada 2008 mencatat sejarah hitam kepada Umno.

Pencalonan Mukhriz Mahathir di kerusi negeri juga menunjukkan satu persediaan untuk menawan semula Kedah, negeri yang menyaksikan serangan tidak kurang hebat terhadap pemerintahan PAS yang menawan negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-12.

Pemilihan calon untuk berdepan pilihan raya mencabar kali ini menyaksikan Umno dan BN melaksanakan kerja yang jauh lebih sukar berbanding sebelum ini untuk memilih calon yang boleh menang, yang tafsirannya berbeza dalam kalangan parti-parti komponen.

Pemilihan calon Umno di kerusi Wangsa Maju dan Gelang Patah yang sebelum ini ditandingi MCA menunjukkan perkiraan sokongan Melayu yang dinilai lebih terjamin kepada Umno dan BN berbanding calon rakan Cina dalam BN itu.

MCA setakat ini boleh disimpulkan sebagai sedang melalui proses peralihan penggantian peranannya mewakili kepentingan Cina kepada DAP.

Sejak beberapa tahun lepas, MCA telah bersedia untuk memainkan peranan sebagai pembangkang seperti yang dilakukan DAP selama ini, dan mendakwa akan dapat berperanan menjadi pembangkang Cina yang lebih berkesan berbanding DAP.

Pilihan raya umum kali ini menampakkan lagi peningkatan kedudukan Umno dan kemerosotan MCA yang mewakili suara Cina dalam gabungan BN.


Monday, November 19, 2012

PAS perlu henti dakwa DAP terima hudud

Dalam satu tindakan yang dilihat sebagai usaha menunjukkan satu bentuk kejayaan dalam kerjasama dengan sekutu Pakatan Rakyat, PAS telah beberapa kali mendakwa DAP telah mula lunak terhadap pelaksanaan hukum hudud.

Terkini, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib ketika muktamar parti di Kota Bharu, Kelantan membuat dakwaan yang hampir sama, dan segera disusuli penafian oleh Karpal Singh, veteran DAP yang berpengaruh.

Sebelum itu, Ketua Pemuda Nasrudin Hassan dalam sebuah forum mengatakan bahawa Karpal telah mula menerima hudud, walaupun hebat menentangnya sebelum itu.

Dakwaan Nasrudin itu merujuk kepada kenyataan Karpal di sebuah Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat di Pulau Pinang pada Disember, 2010, yang sering dibaca PAS sebagai bukti bahawa Karpal yang pernah membuat kenyataan ofensif berhubung hudud itu telah mula lunak terhadap hukum tersebut.

Hakikatnya, Karpal dalam ucapan di konvensyen itu tidak menyatakan dengan jelas penerimaan DAP terhadap hudud, tetapi sekadar menyampaikan mesej sedia berkompromi demi kerjasama dalam hal dipersetujui bersama, yang disampaikan dengan tidak menyebut sebarang komitmen secara jelas.

Pakatan bersama PAS, DAP dan PKR telah bersetuju meletakkan dokumen dikenali Buku JIngga sebagai dasar bersama, yang tidak meliputi hukum hudud.

Secara bersama, PR tidak dapat dilihat menerima sebarang dasar Islam lebih daripada apa yang sedia terlaksana, kerana perlaksanaan Islam seperti yang diperjuangkan PAS tidak diterima sebagai agenda bersama, disebabkan sifat Buku Jingga yang sekular.

Kerjasama parti-parti PR juga dihadkan oleh ideologi berbeza setiap parti, dan ideologi DAP sama sekali tidak akan menerima hudud, kecuali sekiranya terjadi keperluan realpolitik untuk mengubah pendirian secara drastik.

DAP memperjuangkan Malaysia yang sekular, dan tidak keterlaluan apabila mengatakan parti ini memegang ideal negara yang lebih sekular daripada yang ada pada hari ini.

Ini disebabkan oleh ideologi parti dan juga konstituensinya yang paling utama ialah masyarakat bukan Melayu.

Sejarah telah menunjukkan DAP memberi respons segera kepada suara konstituensinya, terkini semasa memutuskan hubungan dalam kerjasama dengan Semangat 46 yang mempunyai hubungan dengan PAS dan selepas itu selepas pertikaian semasa dalam Barisan Alternatif.

Isu utama yang mendorong tindakan DAP meninggalkan pakatan-pakatan tersebut ialah hukum hudud yang dibawa PAS.

PAS, selain tersilap baca kenyataan Karpal itu, juga didorong oleh persaingannya dengan Umno.
PAS mengaitkan sebarang tindakan sekutu Umno, seperti MCA dan Gerakan yang salah faham atau bersangka buruk terhadap Islam dengan kegagalan Umno "mendidik" parti terbabit.

Hampir setiap kali pemimpin MCA membuat kenyataan yang mengkritik atau menghina Islam, hujah yang biasa diberikan ialah kegagalan Umno yang telah bersekutu dengan parti tersebut lebih 50 tahun untuk memberi penerangan tentang Islam.

PAS mahu menunjukkan yang ia berjaya memberi penerangan atau mempengaruhi sekutu dalam PR, lalu memberi gambaran bahawa Islam, termasuk hukum hudud, semakin diterima oleh sekutunya.

Hal ini ditegaskan untuk menunjukkan yang PAS lebih berjaya dalam memperjuangkan Islam berbanding Umno, dan kerjasama PAS dengan sekutu politik mempunyai dasar yang lebih murni berbanding kerjasama Umno dan sekutu Barisan Nasional.

Tindakan PAS memberi gambaran DAP menerima hudud sebenarnya meningkatkan dan menyebarkan salah faham dalam kalangan ahli, dan seperti dilihat selama ini, hanya sekadar mampu mencetuskan pertikaian yang mudah dieksploit oleh seteru politik.

PAS sewajarnya lebih memahami dan menginsafi realiti politik pakatan yang disertainya bersama parti-parti berbeza ideologi, dan tidak memberi gambaran salah yang tidak membantu perjuangannya dan memperbaiki hubungan dengan parti-parti sekutu.

Sunday, November 4, 2012

Perangkap hudud MCA tidak mengena

Usaha pemimpin MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengumpan respons daripada parti-parti Pakatan Rakyat berhubung isu hudud bagi mencetuskan perdebatan hangat tidak menampakkan hasil.

Selain PAS, parti-parti PR tidak memberikan respons yang mencetuskan perdebatan terbuka antara parti terbabit, terutama PAS dengan DAP, yang dilihat menjadi matlamat Chua mencetuskan isu bahaya hudud.

Malah, Chua turut terpaksa memberikan penjelasan panjang berhubung kenyataannya yang disifatkan sebagai anti-Islam itu, yang dipublisitikan secara prominen oleh akhbar Umno, Mingguan Malaysia hari ini.

Penjelasan Chua itu juga dilihat sebagai mengawal kerosakan yang menimpa Umno, sekutu MCA dalam Barisan Nasional yang bersaing merebut undi Melayu dengan PAS.

Umno mendapat kesan negatif ekoran kenyataan Chua itu selepas dilihat tidak memberi respons keras terhadap kenyataan presiden MCA itu seperti yang dilakukan terhadap pemimpin-pemimpin PR yang membuat kenyataan yang dinilai menghina Islam.

Kenyataan Chua yang mendakwa hanya menolak hudud versi PAS itu, selain menampakkan alasan murahan untuk membela diri, juga mencetuskan persoalan sama ada MCA tidak akan menentang pelaksanaan hudud (yang melibatkan hukuman seperti potong tangan) yang dibawa oleh pihak lain.

Chua juga, sebagai melanjutkan lagi usahanya mencetuskan debat hudud terbaharu, mencabar PR menjadikan pelaksanaan hukum hudud sebagai salah satu janji dalam manifesto bersama Pilihan Raya Umum ke-13.

Tindakan ini sekiranya cuba dilaksanakan bakal mencetuskan pertikaian dan perpecahan melibatkan parti-parti berbeza ideologi dalam gabungan PR.

PR walau bagaimanapun tidak memberikan respons terhadap kenyataan terkini Chua itu. 


Thursday, October 18, 2012

Chua Soi Lek timbul isu hudud untuk hadapi PRU 13

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek terus membangkitkan isu hudud dengan memperbesarkan apa yang didakwa ancamannya kepada ekonomi negara, mendakwa 1.2 juta rakyat bakal kehilangan pekerjaan jika undang-undang itu dilaksanakan.

Kenyataan terbaharu Chua itu tidak banyak perbezaan dengan kenyataannya sebelum ini berhubung hudud, termasuk mengatakan pelabur asing akan meninggalkan Malaysia sekiranya hudud dijalankan.

Kenyataan Chua kali ini, dengan memetik sumber teks pesanan ringkas melalui telefon, menampakkan isu hudud sengaja ditimbulkan lagi untuk meneruskan kehangatan debat isu ini dalam politik negara.

Dari sudut strategi, menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, isu hudud yang menjadi satu isu yang boleh menentukan undi kaum Cina perlu dimainkan lagi untuk kepentingan MCA.

Kejayaan pertama Chua ialah isu ini telah hangat menjadi perhatian di media, dan dijangka akan turut menjadi perhatian khusus media berbahasa Cina, kerana debat ini melibatkan parti-parti mewakili kepentingan Cina.

Perhatian pengundi Cina terhadap isu ini, mengikut kepentingan MCA, perlu diteruskan dan dijadikan isu yang menjadi faktor pengundian mereka.

Dakwaan yang disebut - yang hanya dipetik daripada SMS - akan segera berakhir, tetapi kehangatan debat hudud dalam media akan berterusan.

Pengundi Cina menjadi sasaran debat terkini ini, yang dijelaskan melalui fokus kepada ekonomi yang menjadi tumpuan utama MCA dalam mengulas isu hudud.

MCA turut mengundang reaksi daripada DAP, yang bakal terus diserang kerana mempunyai hubungan dengan PAS yang dikaitkan dengan hudud, walaupun hal ini bukan lagi menjadi keutamaan parti Islam itu.

DAP, sebagai tindakan untuk menenangkan dan meyakinkan konstituensinya biasanya akan memgeluarkan kenyataan tegas menolak hudud untuk membuktikan yang parti itu tidak dipengaruhi PAS dan menolak sepenuhnya hudud, seperti juga MCA.

Hal yang sama telah berlaku dalam bentuk yang hampir sama semasa DAP bersama PAS dalam gabungan Barisan Alternatif. Strategi yang sama digunakan lagi oleh MCA kali ini.

DAP, walaupun kelihatan semakin bijak menangani sentimen Melayu - seperti dilakukan di Pulau Pinang - masih terikat dengan komitmen ideologinya yang mengutamakan pemisahan agama Islam dengan politik di negara ini.

Seperti diperhatikan malah sejak tertubuhnya Pakatan Rakyat, DAP terpaksa memberi respons yang tegas dalam isu hudud, demi menjaga sentimen pengundinya dan pegangan sekular dan tidak mesra dengan Islam yang menunjangi parti dikuasai Cina itu.


Sunday, October 2, 2011

MCA guna hudud untuk tarik undi, jejas sokongan DAP

MCA, parti komponen Barisan Nasional yang tewas teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 lalu kelihatan terdesak untuk meningkatkan kedudukan dalam BN apabila menjadikan hudud sebagai bahan utama kempen.

Parti Cina utama BN itu dilihat mengambil kesempatan daripada kontroversi yang tercetus dengan memperlihatkan diri sebagai penentang terkuat undang-undang Islam itu, dalam persaingannya dengan DAP, sebuah parti Cina dalam Pakatan Rakyat.

MCA sebelum ini mengugut untuk meninggalkan Umno sekiranya parti itu melaksanakan hudud, pendirian yang turut disuarakan oleh Gerakan, parti Cina yang kubu kuatnya Pulau Pinang ditawan oleh DAP dalam pilihan raya umum yang lalu.

Ugutan itu sesuatu yang jelas sekali bersifat retorik murahan untuk menarik perhatian, kerana Umno bersikap realisitik dan menyedari kedudukannya dalam komponen BN tidak membenarkannya melaksanakan undang-undang itu.

MCA kelihatan mahu menarik perhatian masyarakat Cina yang kini tertumpu pada DAP yang sedang bertembung dengan PAS berhubung isu hudud, dengan menunjukkan pendirian lebih keras terhadap hudud, dan pendekatan yang lebih berkesan berbanding DAP.

Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek dalam ucapan di perhimpunan agung ke-58 parti itu juga menggesa ahlinya menghukum semua parti PR dalam pilihan raya akan datang kerana agenda PAS mahu melaksanakan hudud.

Ugutan untuk tidak bersama Umno itu juga secara tidak langsung menjadi satu cabaran kepada DAP untuk meninggalkan PAS, sekutunya dalam PR yang bertegas mahu melaksanakan undang-undang itu.

Melalui akhbar The Star yang dikuasai MCA, isu hudud kelihatan dikemukakan sebagai berita utama, menarik perhatian ramai, terutama kumpulan sasaran pengundi Cina kepada isu tersebut.

Isu hudud boleh menjejaskan sokongan bukan Melayu kepada PR dan DAP, dan memberi faedah terus kepada MCA.

DAP sebelum ini menjadikan hudud dan isu berkaitan negara Islam sebagai isu pemutus (deal breaker) dalam hubungannya dengan rakan-rakan pakatan, meninggalkan dua gabungan pembangkang sebelum PR disebabkan isu negara Islam.

Walau bagaimanapun, manfaat besar yang diperolehi melalui PR menjadikannya lebih pragmatik dan terus kekal bersama PAS dan PKR, walaupun memperlihatkan posisi yang tegas.

DAP menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang dan mempunyai kedudukan yang kuat di Selangor. Kedua-dua negeri ialah negeri maju yang menjadi pusat kegiatan ekonomi, termasuk pelaburan asing.

Chua turut mengecam DAP yang didakwa mengamalkan politik kaum yang sempit dengan hanya bertanding di kawasan Cina sehingga menjadikan kaum Cina terus di kem pembangkang.

MCA cuba mengemukakan kedudukannya dalam kerajaan BN sebagai lebih bermanfaat kepada orang Cina berbanding DAP dalam pembangkang.

Kedudukan MCA dalam BN selepas Pilihan Raya Umum ke-13 bakal bergantung kepada prestasinya memenangi kerusi Cina.

Kekalahan teruk MCA dalam pilihan raya umum lalu menjadikan BN dikuasai oleh Umno. Parti Melayu yang menguasai BN itu kemudian dilihat bersendirian sejak 2008, dan kurang mendapat sokongan parti komponen lain dalam berdepan pelbagai isu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...